Friday, October 04, 2019

Sains Membuktikan Kebaikan Makan Dengan Tangan Kanan

Sains Membuktikan Kebaikan Makan Dengan Tangan Kanan

Rasulullah SAW menganjurkan supaya apabila kita menjamah makanan dan minuman, maka gunakanlah tangan kanan serta dilarang menggunakan tangan kiri dan ini bukanlah amalan sia-sia sebaliknya mempunyai kebaikannya.

Kebaikan Makan Tangan Kanan

Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya, "Hendaklah membaca Bismillah, makan dengan tangan kanan dan ambil makanan yang berhampiran." (Hadis riwayat Al-Bukhari)

Rasulullah SAW juga bersabda yang maksudnya, "Jangan makan seorang pun kamu dengan tangan kiri begitu juga jangan minum dengannya kerana sesungguhnya syaitan makan dan minum dengan tangan kiri." (Hadis riwayat Muslim)

Kajian saintis

Hasil kajian sains membuktikan bahawa tangan kanan mengeluarkan tiga jenis enzim yang dapat menolong proses penghadaman.

Berbanding tangan kiri, enzim yang dikeluarkan lebih banyak maka ia sesuai untuk beristinjak selain tangan ini tentulah kotor.

Salah satu enzim tersebut ialah RNAse yang terdapat pada tiga jari iaitu, ibu jari, telunjuk dan jari tengah pada tangan kanan.

Apabila kita menyuap makanan ke dalam mulut, enzim ini akan berfungsi melawan bakteria tidak baik yang ada pada makanan, seterusnya menjadikan tubuh kita lebih kuat.

Enzim RNAse juga berfungsi meningkatkan kekebalan tubuh kita terhadap serangan bakteria patogen.

Keburukan makan menggunakan sudu

Penemuan saintis ini juga sebenarnya membuktikan kebaikan makan menggunakan tangan kanan dan bukannya dengan tangan kiri dan sudu.

Malangnya, ramai dikalangan kita lebih berbangga makan menggunakan sudu dan garfu dan adakalanya menyuap dengan tangan kiri kerana terikut-ikut dengan budaya asing.

Baik untuk otak

Makan dengan tangan kanan baik untuk otak yang terbahagi kepada dua bahagian iaitu Otak Hemisfera Kiri dan Kanan.

Bahagian kiri badan, contohnya tangan kiri dikawal oleh bahagian kanan otak, manakala bahagian kanan badan pula, contoh tangan kanan dikawal oleh bahagian kiri otak.

Kajian menjelaskan, lebih banyak aktiviti di bahagian kiri otak akan berfungsi apabila seseorang itu berada dalam keadaan positif, contohnya gembira, teruja atau mesra.

Sebaliknya, sifat-sifat negatif seperti bercakap seorang diri, murung, menyendiri, akan mengaktifkan otak sebelah kanan.

Oleh itu, jika dikaitkan makan menggunakan tangan kanan, ia akan mengaktifkan bahagian otak kiri sehingga melahirkan sifat-sifat yang positif pada diri.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-Sentiasapanas.com

Thursday, October 03, 2019

Saintis Berjaya Menemui Cara Untuk Hidup Tanpa Bernafas!

Saintis Berjaya Menemui Cara Untuk Hidup Tanpa Bernafas!

Jika lebih daripada tiga minit tanpa oksigen, sel-sel otak akan mula rosak dan mati namun, akhirnya saintis telah berjaya menemui partikel mikro yang membolehkan manusia mampu hidup tanpa perlu bernafas!

Mati Otak
Gambar hiasan.

Bunyinya seperti adegan di dalam filem sains fiksyen, tetapi babak yang tidak masuk akal ini benar-benar telah berjaya direalisasikan menjadi realiti.

Science Translation Medicine melaporkan, sekumpulan saintis dari Jabatan Kardiologi, di Boston Children's Hospital, telah berjaya membangunkan partikel mikro berisi oksigen.

Partikel ini dikatakan sebagai antara penemuan terbaik dalam perubatan kerana ia mampu memberikan oksigen kepada seseorang untuk terus hidup walaupun sudah tidak bernafas.

Ketua penyelidiknya, John Kheir, berkata partikel mikro tersebut boleh membekalkan oksigen dengan pantas dengan menyuntiknya terus ke dalam saluran darah.

Zarah mikro itu berupa kapsul bersaiz kecil kira-kira dua hingga empat mikro meter dan tidak mampu dilihat tanpa menggunakan mikroskop.

Ia direka dengan saiz yang sangat kecil supaya mudah dibawa dan digunakan oleh paramedik serta krew kecemasan dan kakitangan hospital.

Partikel ini telah dihasilkan daripada satu lapisan lipid, molekul semulajadi yang biasanya menyimpan tenaga atau berfungsi sebagai komponen membran sel.

Apabila digunakan, kapsul tersebut akan digantung ke dalam cecair supaya tidak membentuk gelombang lebih besar, yang mungkin boleh membunuh pesakit jika sampai ke jantung dan otak.

Setelah cecair berisi kapsul disuntik ke dalam salur darah, zarah-zarah mikro akan berlanggar dengan sel-sel darah merah.

Perlanggaran itu kemudiannya akan memindahkan oksigen ke dalam darah dengan kadar yang sangat pantas pada kadar 70 peratus daripada suntikan, hanya dalam masa empat saat.

Kaedah ini merupakan pengganti oksigen jangka pendek, satu cara untuk menyokong dan menstabilkan pesakit yang mengalami kesukaran bernafas dalam keadaan kritikal.

Penyelesaian seperti ini sebenarnya sudah dikaji sejak awal 1990an lagi, namun oksigen gagal dibekalkan ke dalam darah disebabkan kehadiran gelembung gas berbahaya.

Sehinggalah John Kheir dan pasukannya berjaya mengatasi masalah itu dengan menggunakan partikel yang boleh berubah bentuk dan bukannya menggelembung.

Penemuan hebat ini diramal mampu menyelamatkan berjuta-juta nyawa di seluruh dunia.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-Sentiasapanas.com

Sunday, December 02, 2018

Ketahui Bagaimana Peredaran Matahari Mempengaruhi Cuaca Panas Dan Sejuk

Ketahui Bagaimana Peredaran Matahari Mempengaruhi Cuaca Panas Dan Sejuk

Malaysia terletak berhampiran garisan khatulistiwa, iaitu antara garisan lintang 1°N - 7°N dan garisan tegak 98°E – 119°E, merupakan sebuah negara beriklim tropika yang secara umumnya mengalami cuaca lembab dan panas sepanjang tahun.

Pergerakan matahari dalam setahun

Purata jumlah hujan tahunan negara adalah tinggi, iaitu antara 2,000mm dan 4,000mm setahun mengikut kawasan berbanding negara-negara beriklim sederhana dan sejuk yang mempunyai purata hujan kurang daripada 2,000mm.

Sementara suhu harian adalah hampir seragam sepanjang tahun dengan purata bacaan maksimum sekitar 32°C. Walau bagaimanapun, saban tahun cuaca kita akan berubah mengikut musim berdasarkan kepada corak aliran angin yang bertiup ke negara kita.

Faktor utama yang mempengaruhi pergerakan angin adalah disebabkan berlakunya pemanasan permukaan tanah yang tidak sekata antara bahagian atau hemisfera di utara dan selatan bumi.

Ini berlaku kerana matahari yang merupakan sumber utama haba kepada bumi sentiasa berubah kedudukan sepanjang tahun berikutan posisi bumi yang condong pada sudut 23.5° di atas paksinya.

Bumi sebenarnya bergerak mengelilingi matahari di atas orbit dan melengkapkan satu pusingan selama 365 hari, iaitu bersamaan setahun.

Selepas 21 Mac, matahari secara beransur-ansur akan berganjak ke bahagian utara bumi menyebabkan waktu siang di negara-negara yang berada di sana akan menjadi lebih panjang berbanding malam.

Akibatnya, lebih banyak haba akan tertumpu utara menjadikan kawasan terbabit lebih panas berbanding bahagian selatan bumi.

Pada sekitar 22 Jun, kedudukan matahari adalah tegak di atas Garisan Sartan, iaitu garisan lintang yang berada di 23.5° Utara. Ini menandakan bermulanya musim panas bagi negara-negara yang berada di Hemisfera Utara.

Sebaliknya, pada masa yang sama negara-negara di Hemisfera Selatan akan mengalami waktu malam yang lebih panjang dan menerima haba matahari yang lebih sedikit yang membawa kepada berlakunya musim sejuk di sana.

Keadaan bumi yang panas di utara akan menjurus kepada pembentukan kawasan atmosfera bertekanan rendah (L), sementara di Hemisfera Selatan yang lebih sejuk akan membentuk kawasan bertekanan tinggi (H).

Perbezaan tekanan yang ketara antara dua wilayah bumi menyebabkan berlakunya pergerakan angin dari kawasan atmosfera bertekanan tinggi ke rendah, iaitu dari selatan ke utara.

Arah pergerakan angin akan terpesong sedikit kesan daripada pergerakan bumi yang sentiasa berputar mengikut arah melawan jam pada paksinya pada kadar 1,670 kilometer (km) sejam atau bersamaan satu pusingan lengkap untuk tempoh 24 jam.

Memandangkan negara kita terletak di pertengahan laluan angin berkenaan, maka antara Mei dan sebahagian September, angin yang bertiup ke negara kita adalah dari arah barat daya, iaitu tempoh dikatakan mengalami musim Monsun Barat Daya.

Sepanjang tempoh musim ini, cuaca di negara ini biasanya agak panas dan menerima sedikit hujan kecuali kawasan pantai negeri-negeri utara Semenanjung dan bahagian pantai barat dan utara Sabah.

Negara jiran kita seperti Indonesia dan Thailand juga mengalami cuaca yang sama. Keadaan ini boleh mengundang kepada cuaca kering dan masalah kebakaran hutan yang mungkin dapat menghasilkan asap-asap jerebu rentas sempadan.

Cuaca boleh menjadi lebih ekstrem sekiranya ia berlaku bersekali dengan fenomena El Nino, seperti yang berlaku pada tahun 1998 dan 2005. Semasa musim Monsun Barat Daya ini juga, aktiviti siklon tropika di barat Lautan Pasifik adalah sangat aktif.

Musim Panas Di Khatulistiwa

Selepas 22 Jun, matahari di lihat akan mula beransur-ansur berganjak pula ke selatan bumi. Dalam perjalanan ini, kita sekali lagi akan mengalami fenomena ekuinoks apabila matahari melintasi dan berada tegak di atas garisan Khatulistiwa bumi yang kebiasaannya jatuh pada tanggal 23 September setiap tahun.

Selepas itu, ia akan terus bergerak ke Hemisfera Selatan dan pada 22 Disember, matahari dijangka berada tegak di atas garisan lintang 23.5° Selatan, yang juga dikenali sebagai Garisan Jadi.

Pada ketika ini musim panas secara rasmi bermula di Hemisfera Selatan dengan waktu siang lebih panjang berbanding malam, sebaliknya Hemisfera Utara akan mengalami musim sejuk yang mempunyai waktu malam yang lebih panjang daripada siang.

Kesan daripada penerimaan haba matahari yang lebih banyak di selatan bumi dan kurang di bahagian utara menyebabkan angin akan bergerak pula dari Hemisfera Utara menuju ke Hemisfera Selatan antara November dan sebahagian Mac.

Keadaan ini mengakibatkan negara kita akan menerima angin dari arah timur laut , iaitu tempoh di mana negara mengalami musim Monsun Timur Laut atau tengkujuh.

Keadaan cuaca pada awal dan pertengahan musim ini adalah sangat lembab dengan tiupan angin yang agak kencang, terutama di negeri-negeri pantai timur Semenanjung dan sebahagian besar Sarawak.

Musim ini juga sering dikaitkan dengan bencana banjir besar yang boleh mengakibatkan kerosakan harta benda dan kehilangan nyawa.

Hujung tahun cuaca tidak menentu

Pada Disember 2014, negara telah dikejutkan dengan kejadian banjir ekstrem. Kejadian seumpamanya juga dikatakan pernah berlaku sebelum ini, iaitu pada musim tengkujuh tahun 1926 dan 1967.

Selain cuaca lembab, negara juga mengalami suhu yang lebih rendah daripada kelaziman pada musim ini berikutan pergerakan angin musim sejuk dari Tanah Besar China ke negara kita namun begitu, keadaan cuaca menjadi lebih kering dan panas pada fasa akhir monsun ini.

Selain cuaca buruk yang berlaku dalam musim Monsun Barat Daya dan Timur Laut, negara turut mengalami cuaca buruk ketika berlakunya peralihan musim antara kedua-dua monsun ini, iaitu pada sebahagian September hingga awal November ketika Monsun Barat Daya beralih ke Timur Laut dan pada sebahagian Mac hingga awal Mei apabila Monsun Timur Laut beralih pula ke Barat Daya.

Sepanjang tempoh peralihan monsun ini, keadaan angin adalah lebih tenang dan bertiup dari pelbagai arah berikutan kedudukan matahari yang berada tegak di atas negara kita.

Awan kumulunimbus

Keadaan ini menyebabkan atmosfera menjadi sangat tidak stabil yang boleh membawa kepada pembentukan awan ribut petir yang juga dikenali sebagai awan kumulunimbus.

Awan jenis ini dikategorikan sebagai awan yang paling berbahaya jika dibanding dengan awan–awan lain dan lazimnya menghasilkan hujan yang sangat lebat dalam tempoh yang singkat dan selalu dikaitkan dengan kejadian banjir kilat.

Selain itu, kehadiran awan ini turut disertai dengan angin ribut yang kencang bersama kilat dan guruh yang boleh mengakibatkan kerosakan harta benda dan kehilangan nyawa.

Kejadian hujan lebat dan ribut petir semasa peralihan monsun ini kebiasaannya tertumpu di negeri-negeri pantai barat Semenanjung dari Perlis 
hingga ke Johor.

Fenomena cuaca buruk lain yang biasa berlaku semasa tempoh peralihan monsun termasuklah kejadian hujan batu dan pembentukan belalai air serta puting beliung.

Fenomena ribut petir

Pergerakan matahari dalam setahun

Ribut petir merupakan fenomena cuaca yang boleh berlaku pada bila-bila masa di negara ini. Secara lazimnya ia lebih mudah berlaku pada waktu petang dan senja, akan muncul dengan lebih kerap ketika tempoh peralihan monsun berlangsung.

Ribut petir terhasil daripada awan kumulunimbus yang secara relatifnya adalah bersaiz kecil, iaitu antara 1 dan 10 kilometer lebar, berbanding dengan fenomena cuaca yang lain, seperti siklon tropika, garis badai dan kemarau.

Namun begitu, ia adalah sangat berbahaya terutama kepada operasi penerbangan dan aktiviti harian manusia. Fenomena ini kebiasaannya menghasilkan angin kencang, kilat dan guruh dan hujan lebat dalam tempoh masa dari setengah jam sehingga ke beberapa jam, bergantung kepada intensiti ribut terbabit.

Situasi ini mungkin boleh mengakibatkan kejadian banjir kilat, pokok tumbang, tanah runtuh dan kerosakan bumbung rumah. Ribut petir akan terhasil apabila atmosfera berada dalam keadaan lembab dan tidak stabil.

Jangka hayat ribut petir boleh dibahagiakan kepada 3 peringkat iaitu:

Bermula dengan pembentukan awan kumulus setelah wap udara lembab naik dari permukaan bumi ke altitud yang lebih tinggi dan berubah fizikal menjadi titisan air.
  • Awan kumulus akan terus membesar menjadi awan kumulunimbus yang boleh mencapai ketinggian sehingga 15km.

Pada peringkat ini hujan lebat, kilat dan guruh disertai dengan angin kencang yang bergerak secara menegak ke dalam atau keluar daripada awan tersebut akan berlaku.

Pergolakan udara yang kuat di dalam awan terbabit ketika peringkat ini menyebabkan semua pesawat terbang akan mengelak daripada mendekatinya.
  • Hujan lebat, kilat serta guruh mulai reda dan awan kumulunimbus akan beransur-ansur lenyap menjadi awan-awan lain yang lebih kecil dan berlapis-lapis.

Musim tanaman

Jadi, melalui maklumat dan gambarajah diatas, sudah semestinya bagi petani, bulan paling sesuai untuk menanam tanaman anda bermula pada Mei-Jun dan November-Disember.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: utusan

Wednesday, January 31, 2018

Perbezaan Sinar Dan Cahaya Diterangkan Dalam Al-Qur'an

Perbezaan Sinar Dan Cahaya Diterangkan Dalam Al-Qur'an

Masa di mana ilmu metafizik tidak dapat membezakan di antara sinar dan cahaya, kita menemui konsep sains al Quran dalam masalah ini salah satunya Al Quran menerangkan tentang matahari.

Perbezaan Sinar Dan Cahaya Diterangkan Dalam Al-Quran

Al Quran mengilustrasikan matahari sebagai sinar dan menggambarkan bulan sebagai cahaya, ini adalah satu bentuk ayat wasfiyah, sebagaimana Firman Allah SWT yang maksudnya, "Dialah yang menjadikan matahari bersinar dan bulan bercahaya..."(Surah Yunus ayat 5)

Sinar adalah suatu yang terpancar langsung dari benda yang terbakar serta bercahaya dengan sendirinya manakala sinar ini jatuh pada benda yang gelap maka sinar tersebut akan memancar.

Maksudnya, "Maha suci Allah yang menjadikan di langit gugusan bintang (buruj) dan menjadikan padanya siraaj dan bulan yang munir." (surah al-Furqan ayat 61)

Hal yang sama ditekankan dalam surah al-Nabak ayat 13 yang bermaksud, "Dan Kami yang jadikan siraajan wahhaaja (iaitu matahari)."

Dalam surah an-Nuh ayat 15 hingga 16 pula Allah berfirman, "Tidakkah Kamu perhatikan bagaimana Allah menciptakan tujuh langit bertingkat-tingkat dan Allah menciptakan pada langit-langit itu bulan sebagai nuur dan matahari sebagai siraaj."

Di dalam Hans Wehr: A Dictionary Of Modern Written Arabic, siraj diertikan sebagai 'lamp', 'light' yang bermaksud 'pelita', 'lampu'.

Makna wahaaja pula adalah burn, blaze, flame yang bermaksud membakar, menyala, berapi. Justeru matahari sebagai siraaj dan siraajan wahaaja mengeluarkan cahaya sendiri melalui proses tertentu yang berlaku di dalamnya.

Nuur diertikan sebagai brightness, gleam, glow yang bermaksud bercahaya, menyilau. Muniir pula diertikan sebagai luminous, radiant, shining yang bermaksud bercahaya, bersinar.

Justeru bulan sebagai nuur dan muniir tidak mengeluarkan cahaya sendiri sebaliknya ia mamantulkan cahaya matahari yang menimpanya.

Ayat-ayat ini menjelaskan mengenai perbezaan antara matahari dan bulan dalam konteks cahaya yang dikeluarkan kedua-duanya.

Mengikut al-Quran, matahari membakar dan dengan itu mengeluarkan cahaya sedangkan bulan hanya bersinar iaitu menerima dan memantulkan cahaya.

Kiasannya adalah seperti lampu dan cermin, lampu mengeluarkan cahaya, sedangkan cermin hanya memantulkan cahaya.

Kenyataan ini adalah selari dengan penemuan sains semasa kerana matahari adalah sebuah bintang sedangkan bulan adalah satelit.

Seperti bintang-bintang yang lain, kestabilan matahari dan sinaran cahaya yang keluar daripadanya bergantung kepada tenaga yang mampu dihasilkannya.

Perbezaan jelas antara sinar dan cahaya sudah diterangkan oleh Allah SWT 1,400 tahun silam yang menjadi penegas bagi mukjizat sains Al Quran Al Karim.

Sebenarnya ilmu metafizik yang ada dalam kehidupan kita waktu ini merupakan akumulasi ilmu pengetahuan di kurun ke 21 tetapi baru beberapa tahun terakhir sahaja ilmu metafizik dapat membezakan di antara sinar dan cahaya.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: iffah-muhsin

Tuesday, December 05, 2017

Fakta Tentang Manfaat Tanah Yang Telah Dijelaskan Al-Qur'an 1,400 Tahun Lalu!

Fakta Tentang Manfaat Tanah Yang Telah Dijelaskan Al-Qur'an 1,400 Tahun Lalu!

Jika kita mengambail segenggam tanah, kebanyakan orang mungkin akan berfikiran tanah itu mengandungi bakteria membawa penyakit, namun tahukah anda dalam sebuah kajian, para saintis mengatakan bahawa salah satu fungsi tanah dan khususnya tanah dari gunung berapi boleh menghapuskan bakteria yang lebih berbahaya. Kini mereka menghasilkan antibiotik pembunuh bakteria berbahaya yang diambil dari jenis tanah tertentu.

Fakta Tentang Manfaat Tanah

"Bumi dijadikan untukku sebagai tempat sujud (masjid ) dan alat bersuci." (HR.Muslim)

Seorang Doktor Perancis, Line Brunet de Course mendapatkan tanah dari tanah hijau Perancis yang boleh digunakan sebagai antibiotik untuk rawatan di Ivory Coast dan Kenya.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengganggap penemuan tersebut sungguh mengagumkan.

Setelah itu Dr Linda Williams juga mengesahkan bahawa tanah merupakat zat yang sangat bersih, di mana bahan-bahan tersebut mengendalikan aktiviti mikrob dan pada akhirnya dapat melemahkan dan menghilangkannya.

Salah seorang ahli biologi Dr. Haydel berkata, "Sekarang kita harus mencari hubungan antara ilmu pengetahuan dan sel-sel hidup.

"Setahun yang lalu saya hanya memandang tanah sebagai bahan kotor, tapi sekarang sebaliknya menganggap tanah sebagai bahan-bahan yang steril!"

Para penyelidik mendapati bahawa beberapa jenis tanah di Afrika Selatan boleh menghasilkan suatu jenis antibiotik yang boleh membunuh bakteria yang tidak dapat dibunuh dengan antibiotik lain.

Penemuan ini diterbitkan dalam jurnal "New World" pada tahun 2006, yang menurut penyelidik Jun Wang, di makmal Merck Research di New Jersey yang menemui penemuan ini, "Sekarang peluang baru telah muncul, dalam rangka untuk menghasilkan antibiotik dari tanah!

Sifat tanah seperti yang disimpulkan oleh para ilmuwan baru-baru ini, sebagai berikut:
  1. Bahan steril terbaik yang terdapat di alam!
  2. Tanah mampu menghapuskan bakteria yang tidak dapat dibunuh oleh bahan kimia.
  3. Tanah merupakan bahan terbaik untuk membersihkan air!
  4. Tahan adalah bahan semulajadi yang dimurnikan air.
  5. Ada lebih dari sepuluh ribu jenis tanah yang baru ditemui di Eropah.
  6. Pelbagai jenis pinggan dan periuk buatan cina yang paling terbaik terbuat dari tanah!
  7. Tanah adalah zat yang tidak tumbuh semula dengan berlalunya waktu.
  8. Ruang yang terdapat di antara butiran- butiran tanah berukuran 50% dari ukurannya.
  9. Antibiotik yang kita gunakan untuk merawat penyakit sebahagian besar berasal dari mikroorganisma dalam tanah.
  10. Tanah merupakan bahan yang sangat baik untuk membersihkan liang-liang kulit.

Tapi sebagai Muslim, perkaratersebut bukanlah sesuatu yang ganjil. 14 abad lalu tanah adalah benda suci sebagaimana kita ketahui hubungan antara sel-sel dan tanah.

Islam meyakini manusia dicipta dari tanah dan akan kembali menjadi tanah.

Mungkin kita telah mengetahui mengapa islam menyuruh Bertayamum dengan debu tanah, "Bumi dijadikan untukku sebagai tempat sujud (masjid) dan alat bersuci" serta rahsia di sebalik kewajipan membersihkan jilatan anjing dengan tanah dan air.

Oleh kerana itu, termasuk hikmah ilahiyah bahawa kita selalu melarang anak-anak kita yang suka bermain dengan tanah yang dianggap kotor itu.

Walhal, Allah SWT memberi mereka naluri yang mengetahui bahawa tanah adalah bahan steril yang mengungguli fungsi sabun dari jenis terbaik!

Maka, segala kebesaran bagi Allah SWT yang mengajarkan manusia apa yang ia tidak tahui.

Semua sabda yang dituturkan oleh baginda Rasulullah SAW merupakan kebenaran dari Allah SWT tatkala pelbagai penemuan-penemuan ilmu pengetahuan moden turut menjustifikasi dan membenarkan tutur kata Rasulullah SAW yang sama sekali belum diketahui dan terbayang dalam benak manusia sebelumnya disebabkan keterbatasan ilmu.

Wallau a'lam.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Hikmah Larangan Memelihara Anjing Dalam Islam

sumber: silverheritage

Wednesday, January 04, 2017

Fenomena Perihelion, Saat Matahari Paling Hampir Dengan Bumi

Fenomena Perihelion, Saat Matahari Paling Hampir Dengan Bumi

Fenomena Perihelion terjadi apabila kedudukan matahari berada paling hampir dengan permukaan bumi dijangka yang berlaku pada 4 Januari 2017.

Perihelion

Menurut Profesor Pelawat Program Astronomi Islam, Universiti Malaya, Datuk Profesor Dr Mohd Zambri Zainuddin berkata, matahari akan berada di titik paling hampir dengan bumi.

Semasa fenomena Perihelion berlaku, Matahari akan berada di jarak 147,100,998 kilometer (km) dari Bumi berbanding pada kebiasaannya iaitu di 149,600,000 km.

Fenomena Perihelion berlaku apabila Bumi melengkapkan putaran 365 hari mengelilingi orbitnya yang berbentuk elips (bujur).

Terdapat sedikit perubahan suhu yang berlaku semasa fenomena Perihelion ini namun tidak mendatangkan bahaya.

Orang ramai juga diminta tidak panik atau cemas memandangkan fenomena Perihelion sering berlaku saban tahun.

Memandangkan jarak Matahari yang dekat dengan Bumi, ia mungkin akan menyebabkan suhu cuaca sedikit tinggi daripada kebiasaannya, walaupun begitu ia tidak menyebabkan kepanasan yang melampau atau ‘heatwave’.

Perbezaan saiz Matahari juga dapat dilihat tetapi tidak begitu ketara dan kita di Malaysia tidak dapat melihat fenomena Perihelion ini kerana ia berlaku pada waktu malam, pukul 10.18 malam (4/1/2017).

Para saintis di seluruh dunia akan menggunakan kesempatan ini untuk mengambil ukuran radiasi matahari dan merekodkannya.

Bagaimanapun, pada 4 Julai nanti, bumi akan mengalami satu lagi fenomena iaitu Aphelion di mana ketika itu, matahari akan berada pada jarak paling jauh dengan bumi.

BACA INI JUGA: Fakta Yang Sebenarnya Palsu Tapi Ramai Yang Percaya!

Sumber: SH

Friday, November 04, 2016

Sains Membuktikan Kelebihan Bangun Awal Solat Subuh

Sains Membuktikan Kelebihan Bangun Awal Solat Subuh

Kajian sains mendapati udara pagi adalah lebih bersih dan mengandungi oksigen paling tinggi berbanding waktu lain.

Kebaikan Bangun Awal

Oksigen yang paling baik pada awal pagi juga terbukti mampu melancarkan peredaran darah dalam badan.

Sebuah penyelidikan yang dijalankan pada tahun 2008 oleh University of Texas, Amerika Syarikat, menunjukkan pelajar yang bangun awal pagi sering memperoleh prestasi lebih baik berbanding pelajar yang bangun lambat.

Apabila dikaji sebabnya, didapati udara pagi membolehkan aliran darah dan oksigen sampai kepada otak secara maksimum sehingga menjadikan otak berfungsi dengan baik seterusnya meningkatkan daya ingatan.

American Psychological Association (APA) turut mendedahkan bahawa orang yang bangun awal pagi lebih cenderung memiliki perasaan gembira, senang hati dan bahagia berbanding mereka yang bangun lewat.

Mengapa? Kerana secara psikologi, menghirup udara pagi dapat menciptakan tenaga positif di dalam badan.

Dalam erti kata lain, seseorang itu akan lebih bersemangat daripada orang yang bangun lambat.

Secara prinsipnya, apabila seseorang itu menjadi bersemangat, produktiviti kerja akan turut meningkat.

Fakta ini diakui oleh seorang ahli biologi dari Harvard, Chrisoph Randler, yang menurut beliau orang yang bangun awal pagi didapati memiliki kecenderungan lebih aktif dalam bekerja dan berdiskusi.

Waktu pagi sebenarnya sangat istimewa dalam Islam kerana ia merupakan salah satu waktu yang didoakan oleh Nabi Muhammad SAW.

Sebuah hadis sahih daripada Abu Hurairah r.a. meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda, "Syaitan membuat tiga ikatan ditengkuk salah seorang daripada kamu ketika tidur. Pada setiap ikatan, syaitan akan mengatakan, 'malam masih panjang, tidurlah!' Jika dia bangun lalu berzikir kepada Allah terlepaslah satu ikatan. Kemudian jika dia berwuduk, terlepaslah satu ikatan lagi. Kemudian apabila dia bersolat, terlepaslah ikatan yang ketiga dan dia menjadi bertenaga serta bersemangat baik. Jika tidak, dia akan merasa malas dan berjiwa tidak baik." HR Al-Bukhari dan Muslim

Kata kunci kepada keberkatan serta keluasan rezeki berdasarkan kepada keterangan hadis diatas ialah merujuk kepada sifat bertenaga dan jiwa positif yang diperoleh oleh orang-orang yang bangun awal pagi.

Orang yang menjaga solat subuh ialah mereka daripada kalangan yang bangun diawal pagi.

Insan-insan seperti ini kita boleh saksikan betapa lancarnya urusan kehidupan mereka.

Dalam Islam, bangun pagi merupakan permulaan kepada urusan kehidupan dunia setelah berehat pada waktu malam, 'mengecas' rohani dan jasmani.

Betapa cantiknya kehidupan seorang Muslim kerana aturan Allah memulakan hari manusia dengan ibadah solat yang merupakan pengecasan kepada rohani.

Jadi, didiklah diri kita untuk bangun seawal pagi dengan menjalani segala perintah Allah dan manfaatkanlah saat berharga itu selagi mana kita masih berpeluang menikmatinya.

BACA INI JUGA: Sains Membuktikan Larangan Hadis Bahaya Tidur Meniarap!

-SENTIASAPANAS.COM