Monday, March 10, 2025

SBDJ Siri 224: Di Serang Pontianak

SBDJ Siri 224: Di Serang Pontianak

Berpandu pada pengalaman dan apa yang dilihat, menebalkan keyakinan di hati bahawa datuk sedang bertarung dengan sesuatu, sedang memanfaatkan ilmu kebatinannya. Ali Usman tetap dengan caranya, terus bersilat dengan menjerit kecil.

Toyol jadi-jadian

Semua yang berlaku di depan mata membuat saya tidak keruan dan tidak tentu arah. Semuanya pelik dan membingungkan.

Macam mana tidak pelik, Ali Usman yang tidak tahu bersilat, tiba-tiba boleh bersilat macam pendekar.

Biasanya dalam saat-saat genting seperti ini, datuk tidak mahu berada jauh dari saya, tetapi kali ini keadaan itu tidak berlaku.

"Huuuuuuuuuuuuuuu... Ahhhhhhhhhh..."

Suara jeritan itu membuat saya menekup sepasang lubang telinga dengan telapak tangan. Ali Usman yang bersilat, mati langkah malah tersembam memeluk pokok jering, macam ada tenaga ghaib yang menghempaskannya kepokok tersebut.

Datuk pula sudah berubah tempat, duduk bersila di atas tanah yang agak tinggi memeluk tubuh, tidak ubah macam orang bersemadi.

Bila jeritan itu berakhir, baru telapak tangan yang menekup lubang telinga saya buka.

Mata saya melilau mencari punca jeritan. Mungkin dari datuk, mungkin juga dari manusia keluang. Terlintas dalam fikiran untuk meniru bunyi jeritan tersebut.

"Batalkan apa yang kamu fikirkan. Kalau kamu meniru jeritannya, kamu akan masuk perangkapnya. Aku baru saja melepaskan Ali dari cengkamannya. Bila dia sudah menguasai fikiran dan hati kamu, susah jadinya," saya pasti itu adalah suara datuk.

Dengan pantas saya renung ke arahnya, datuk tidak bergerak, masih macam tadi.

"Huuuuuuuuuuuu... Ahhhhhhhhhh..." jeritan bergema lagi.

Dan kali ini saya sudah menemui kepastiannya. Jeritan itu datang dari manusia keluang. Memang wajar datuk melarang saya meniru jeritannya.

Saya teringat pesan orang tua-tua, kononnya "semangat" hantu syaitan dan makhluk ghaib boleh bersatu dengan semangat manusia, bila manusia meniru gaya dan lagak mereka seperti meniru perbuatan mereka, mengajuk suara mereka dan sebagainya.

Saya renung ke arah manusia keluang dengan harapan dia akan menjerit. Lebih dari lima minit menanti, jeritan tidak juga bergema. Apa yang saya lihat manusia keluang berhempas pulas cuba bangun.

Segala usahanya tidak berhasil. Sebaik sahaja dapat berdiri terus rebah ke bumi. Kedua-dua belah pahanya tidak dapat menopang badannya yang besar. Keadaannya tidak ubah seperti itik patah pinggang.

Apa yang menarik, manusia keluang tidak kenal putus asa. Susah macamanapun, dia tetap berusaha. Tidak lemah semangat, tidak jemu.

Perlahan-lahan bibir bawah saya tekan dengan gigi atas. Kagum dengan semangat yang diperlihatkannya.

"Huuuuhhhhhhh..."

Terdengar suara manusia keluang, seperti mengeluh. Dia sudah hampir berjaya berdiri dengan sepenuhnya.

Tetapi, kerana tidak dapat mengimbangi badan disebabkan perutnya yang luar biasa besar menyebabkan dia tersembam ke dada bumi semula.

Saya mula merasakan satu perbuatan yang tidak wajar, kalau sekadar hanya melihat gerak-geri dan karenah manusia keluang itu tidak ada untungnya dan boleh mengundang kecelakaan, fikir saya dalam hati.

Tindakan selanjutnya yang boleh saya lakukan ialah merenung ke arah datuk minta bantuan. Datuk masih macam tadi masih bertafakur.

Renungan saya alihkan ke arah Ali Usman. Ada perubahan pada dirinya. Keadaan sudah berubah. dia tidak lagi memeluk pangkal pokok.

"Ali."

Saya cuba bersuara. Malangnya suara saya tidak keluar. Saya lambaikan tangan ke arahnya. Tidak mendapat balasan. Suasana begini membuat saya tidak tentu arah.

Dan sebagai usaha terakhir, saya bercadang mahu mengambil seketul batu kecil untuk dilontarkan ke arah Ali Usman.

JAMAH

Semasa ketul batu dijamah, pergelangan tangan kanan terasa sengal dan sakit macam ada sesuatu yang menekan. Toleh kiri, toleh kanan. Tidak ada apa di sisi saya.

"Siapa yang mengganggu?"

Muncul pertanyaan dalam hati sambil perlahan-lahan menoleh ke arah manusia keluang yang sudah berdiri dengan baiknya.

"Perbuatan kamu," kata saya.

Manusia keluang bagaikan mengerti dengan bahasa yang saya tuturkan. Sepasang tangan memukul-mukul dada menggambarkan kebanggaan dan secara tidak langsung mengakui perbuatannya terhadap diri saya.

Menyedari risiko besar menanti, saya batalkan hasrat mengutip batu kecil untuk dilemparkan ke arah Ali Usman.

Saya sedar, datuk dan Ali Usman tidak dapat menolong, andainya terjadi sesuatu perkara yang tidak diingini. Jadi saya harus bertindak sendirian andainya terjadi sesuatu perkara di luar jangkaan.

"Allah yang maha besar, berilah kekuatan dan keyakinan untuk menentang semuanya ini. Sesungguhnya, tanpa-Mu, aku tidak berdaya," hati kecil saya berdoa, memohon kekuatan.

Suasana sekitar terasa agak sepi. Datuk dan Ali Usman, tidak menarik perhatian saya.

Dalam keadaan begini, mereka berdua tidak dapat memberikan sesuatu yang bererti atau bermakna dalam menghadapi situasi yang serba genting ini.

Saya cuba melupakan tentang manusia keluang untuk seketika. Seluruh pancaindera zahir batin harus dikerahkan untuk mencari jalan bagi menyelamatkan diri.

Saya menarik dan melepaskan nafas dengan tenang. Muka saya tengadahkan ke dada langit, kelihatan awan nipis bergerak ke satu arah. Sinar matahari tidak segarang tadi.

Sukar untuk mengagak sudah berapa lama kami (datuk, saya dan Ali Usman) berada di sini.

Sesungguhnya, memang saya mengharapkan manusia keluang merupakan dugaan terakhir daripada episod perjuangan misteri, yang tidak boleh diterima oleh akal.

"Uhhhhhhhh..."

Saya renung ke arah kanan, kerana dari situ suara tersebut muncul. Manusia keluang melangkah ke arah saya dengan sepasang tangan dihulurkan ke arah batang leher. Dari hujung jari jemarinya terjulur kuku yang panjang dan tajam.

CEMAS

Sepasang telinga ganjilnya nampak tegak dan mengembang, giginya yang bersusun rapi dipamerkan. Dengus nafasnya, jelas kedengaran.

Matanya, tidak berkedip merenung ke arah saya. Dan saya mula berkira-kira ke arah mana harus lompatan dilakukan dan kemudian terus lari menyelamatkan diri.

"Uhhhhhhhhhhhh..."

Manusia keluang melakukan lompatan yang luar biasa. Dia sudah tercegat di depan saya. Bersedia meletakkan sepasang tangan ke batang leher sambil melakukan cekikan padu hingga boleh membuat lidah terjelir sampai sekaki.

Bila membayangkan tentang semuanya ini saya jadi cemas dan takut semacam.

"Selamatkan diri kamu Tamar,"

Bagaikan ledakan petir, suara datuk mengasak lubang telinga saya. Dan ketika itu, saya seperti memperolehi kekuatan yang luar biasa dan terus melompat tinggi melepasi kepala manusia keluang. Lompatan itu membawa saya berada dekat dengan datuk.

Muka datuk saya tatap dengan gerak wajah dan mulut, datuk menyuruh saya berlari kearah Ali Usman.

Memang sudah diduga tindak tanduk saya menimbulkan kemarahan yang amat sangat pada manusia keluang. Perkara ini diukur dari tempekan suaranya yang menguasai kawasan sekitar.

Disaat manusia keluang meledakkan kemarahannya dengan tempekan sambil menghentak-hentakan sepasang kakinya ke permukaan bumi, Datuk segera memanfaatkan kesempatan itu dengan sebaik mungkin.

Dia menguling-gulingkan diri ke arah kaki sebelah kiri manusia keluang. Taktik yang dilakukan oleh datuk dapat dikesan oleh makhluk aneh tersebut.

Perlahan-lahan dia mengangkat kaki semampu yang boleh, dalam perkiraannya bila tubuh datuk berada di bawah telapak kaki akan dijatuhkan dan sekujur tubuh datuk terbenam dalam perut bumi.

Perancangan yang disusun oleh manusia aneh berjalan dengan baik, begitu juga dengan perancangan datuk. Disaat ghairah menggolekkan tubuh, tiba-tiba saja datuk kehilangan tenaga.

Tubuhnya keras kaku dan betul-betul berada di bawah telapak kaki kiri manusia keluang. Dengan tempikan dan ketawa yang tidak putus-putus, sedikit demi sedikit manusia keluang menjatuhkan telapak kakinya.

Tidak ada apa-apa yang datuk lakukan, hanya berserah pada Allah.

Entah macamana dalam saat genting begitu, datuk terlihat seketul teras kayu merbau hitam dihujung kakinya.

TERAS KAYU

Dengan sisa kekuatan yang tidak seberapa, dia berusaha mengkuiskan teras kayu itu dengan ibu jari kakinya hingga sampai ke hujung tangan kanannya.

Sebaik saja teras merbau hitam yang tajam dan runcing itu berada di tangannya terus dicacakkannya permukaan bumi.

Pada masa itu jarak dadanya dengan telapak kaki manusia keluang tidak sampai sepuluh inci hingga bau telapak kaki yang busuk dan hanyir itu terus menyumbat lubang hidungnya, tekaknya terasa loya dan mahu muntah.

Datuk cuba mengarahkan tubuhnya ke kanan. Kali pertama masih gagal. Kali kedua juga tidak berhasil sedangkan telapak kaki manusia keluang, makin hampir ke dadanya. Usaha ketiga juga tidak menhasilkan sesuatu seperti yang diharapkan.

"Kalau kali ini gagal juga, ertinya memang sudah sampai ajalku," bisik batin datuk sambil matanya memandang ke arah telapak kaki manusia keluang yang mengerutu serta mengeluarkan bau busuk dan hapak.

Telapak kaki itu hanya berada beberapa inci saja dari dadanya. Bajunya terutama di bahagian dada basah kuyup akibat dihujani air hanyir dan hapak dari bawah telapak kaki kiri manusia keluang.

Apakan daya, dia terpaksa menghidu bau yang kurang menyenangkan itu.

"Allahhu Akbar..."

CANTUM

Tempik datuk dengan sekuat hati. Suaranya bergema ke seluruh kawasan dan pada masa yang sama, datuk terus berusaha mengubah kedudukan tubuhnya ke kanan. Ternyata usaha itu tidak sia-sia.

Semasa telapak kaki kiri manusia keluang bercantum dengan permukaan bumi, tubuh datuk sudah bergerak jauh ke kanan.

Sepasang tangannya berpaut pada sebatang pokok langsat. Dengan berpaut pada pokok tersebut, datuk mengharapkan agar dia dapat bangun dan berdiri.

Dalam pada itu sepasang matanya tidak terlepas dari memerhatikan keadaan manusia keluang.

Terdengar rintihan kesakitan yang amat sangat dari manusia keluang, kami juga mendengar rintihan tersebut.

"Kakinya tertusuk benda tajam?"

Secara tiba-tiba saja Ali Usman bersuara. Datuk yang sudah duduk tersandar di batang langsat, saya lihat dia menganggukkan kepala, membenarkan pendapat Ali Usman.

Memang benar apa yang dikatakan oleh Ali Usman. Manusia keluang berpusing-pusing sambil mengangkat kaki. Bila telapak kakinya dihalakan ke arah saya, kelihatam benda hitam terbenam di situ.

Darah yang bercampur dengan air hanyir bercucuran kebumi. Manusia keluang berjalan terhincut-hincut.

Suaranya yang merintih menahan kesakitan sungguh memilukan meringgit-ringgit macam bayi kelaparan susu.

Dia tidak tentu arah. Sekejap melompat, sekejap bergulung-gulung di bumi. Kakinya yang ditusuk teras merbau hitam, tidak lepas dari pegangannya.

"Bummmmm..."

Manusia keluang tumbang di bumi terlentang merenung langit. Telapak kaki kirinya yang ditusuk teras kayu merbau hitam di angkatnya ke udara, seolah-olah minta bantuan pada sesiapa saja.

Ada lelehan air jernih dipinggir kelopak matanya. Sedih sunguh melihat keadaannya.

"Huuuuuhhhhh..."

Terdengar dengusan dari manusia keluang. Serentak dengan itu dari ibu jari kanannya keluar asap nipis yang diikuti dengan percikan bunga api.

Dalam masa beberapa detik saja percikan bunga api itu bertukar menjadi bara api yang akhirnya mengeluarkan api dan terus marak serta merebak ke seluruh badan manusia keluang. Tubuhnya terbakar terus.

Bunyi suara api yang membakar tubuh manusia ganjil tidak ubah macam bunyi batang-batang kayu besar yang dibakar ketika membuka tanah baru. Tidak sampai sepuluh minit seluruh tubuh manusia keluang menjadi abu dan debu.

Saya menarik nafas lega, semoga selepas ini tidak ada lagi kejadian yang menakutkan.

Dengan sisa-sisa yang masih ada, datuk berjalan separuh merangkak menuju ke tempat mayat manusia keluang terbakar. Saya hanya melihat gerak-geri datuk dengan hati-hati dan teliti.

Saat datuk duduk mencangkung di depan debu mayat, tanpa diduga angin bertiup kencang. Debu mayat berterbangan berpusing-pusing lalu membentuk sekujur tubuh perempuan berjubah putih dengan rambut mengerbang wujud di depan datuk.

Wanita yang wajahnya berkeriput dipenuhi dengan ulat-ulat kecil macam ulat nangka terus melakukan serangan mengejut ke arah datuk.

Nasib baik dalam keadaan yang serba terdesak itu, datuk dapat berfkir dan membuka langkah silat untuk mempertahankan diri.

Serangan dari perempuan berjubah putih berterusan. Dua tiga kali datuk jatuh terduduk akibat menerima (tendangan) pukulan dari wanita tersebut.

"Állah hu Akbar..."

MAYAT

Serentak dengan ungkapan itu, datuk menggenggam abu mayat yang berada tidak jauh darinya. Setelah membaca sesuatu debu mayat itu di campakkan ke arah wanita yang berada di awang-awangan di depannya.

Angin kencang terus mati, lembaga wanita terus ghaib dan seluruh kawasan dikuasai jeritan suara wanita. Sungguh nyaring dan mengerikan.

Suasana sekitar kembali tenang. Ali Usman mengatur langkah menuju ke arah saya. Datuk yang berhadapan dengan kejadian aneh dan pelik itu hanya mengurut dada sambil menark nafas panjang.

Setelah mengumpulkan sisa-sisa tenaga yang ada datuk segera berubah tempat. Dia menuju ke arah tanah lapang dan duduk bersila di situ.

"Kamu berdua mari ke sini."

Datuk merenung tajam ke arah saya dan Ali Usman. Kami segera mendekati dan duduk di sampingnya. Saya berada di sebelah kanan, manakala Ali Usman di kirinya.

"Wajarkah kita masuk ke rumah itu?"

Hujung telunjuk datuk menunding ke arah rumah Raja Susuk. Sukar untuk memberikan jawapan dan saya mengharapkan Ali Usman akan melakukan sesuatu.

"Wajar diteruskan, kalau perlu kita musnahkan semua kelengkapan di rumahnya, kerana ini adalah amanatnya," jawapan yang sungguh menyenangkan.

Datuk mengkerutkan dahi, ada sesuatu yang difikirkannya.

"Kamu macamana Tamar?" Soal datuk.

"Saya hanya mengikut."

"Hmmmmmm..."

Datuk menelan air liur. Saya dan Ali Usman saling berpandangan. Ruang dada terus diselubungi dengan berbagai-bagai pertanyaan. Apakah datuk bersedia menunaikan permintaan kami.

"Iya kita tunaikan amanat orang bertujuan baik." Satu jawapan yang sungguh menyenangkan.

Dan sebuah harapan berbunga di dada. Semoga seiepas ini, tidak ada dugaan dan rintangan besar yang bakal menghalang kami bertiga memasuki RAJA SUSUK.

Kami pun melangkah dengan sebuah keyakinan yang kukuh. Tidak dinafikan ada gangguan-gangguan kecil serupa bayangan wanita berwajah hodoh, kulit mukanya menggerutu macam katak puru, rambut menggerbang bagaikan berterbangan di depan kami.

Ada ketikanya dia berdiri di depan kami tanpa bunyi. Semuanya tidak dihiraukan oleh datuk.

Kerana kedatangan makhluk (Pontianak) dalam keadaan seperti bebayang atau kabus, datuk terus menguaknya ke tepi dengan sepasang tangan. Setiap kali dikuak, terdengar suara wanita ketawa manja kegelian seperti digelitik.

"Jangan peduli semuanya itu."

Datuk mengingatkan kami. Serentak kami anggukkan kepala. Dan akhirnya, anak tangga pertama rumah milik Raja Susuk dipijak oleh Ali Usman. Dikuti oleh datuk dan saya. Bila anak tangga kedua dipijak, pintu rumah terbuka sendiri.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 224/284

BACA: SBDJ Siri 223: Di Usik Manusia Keluang
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com

Monday, February 10, 2025

SBDJ Siri 223: Di Usik Manusia Keluang

SBDJ Siri 223: Di Usik Manusia Keluang

Suaranya mula bergema, macam suara singa betina sarkas yang lapar. Keluang kian banyak bertenggek di dahan pokok besar. Suara dari kumpulan keluang itu amat mengganggu sekali. Sambil berbunyi, kumpulan keluang itu terus melepaskan biji dan kulit rambutan yang dibawa dari kawasan kampung berdekatan.

Toyol jadi-jadian

Tidak memadai dengan itu, kumpulan keluang tersebut terus berak dan kencing. Kami terpaksa berhadapan dengan bau yang kurang menyenangkan.

Ada keganjilan yang cukup ketara dilakukan oleh Ali Usman. Saya tidak tahu apakah perkara yang dilakukannya itu merupakan petua atau syarat yang telah diterapkan oleh datuk kepadanya.

Setiap sepuluh kali melangkah. Ali Usman berhenti dan menoleh ke arah saya dan datuk. Sudah tiga kali dia berbuat demikian. Peliknya manusia keluang juga turut berbuat demikian.

Sepuluh langkah menuju ke depan terus terhenti. Menoleh ke arah pangkal pokok besar, macam ada sesuatu yang dilihatnya di situ, seperti menerima arahan seseorang dari pokok besar.

"Maju terus jangan menoleh ke arah kami."

Arahan dari datuk segera dipatuhi oleh Ali Usman.

"Ingat, aku bersama kamu Ali," tambah datuk lagi. Suara cukup lantang sekali.

Dari jauh Ali Usman anggukkan kepala dan mengangkat tangan. Datuk senyum kerana dia tahu Ali Usman sudah cukup bersedia. Tidak boleh diganggu gugat, tidak mudah patah semangat.

Manusia kelawar juga mengikut rentak Ali Usman. Cepat langkah Ali Usman, cepat juga langkahnya. Ali Usman angkat tangan, dia juga angkat tangan. Ali Usman anggukkan kepala, dia juga anggukkan kepala.

Saya berdepan dengan suasana yang melucukan dan memaksa saya ketawa kecil.

KETAWA

"Jangan ketawa Tamar," tegah datuk.

"Kelakuan makhluk ganjil tu macam kartun tuk."

"Biarkan, kita tunggu dan lihat."

"Tapi, dia mempermain-mainkan kita tuk," saya luahkan rasa kurang senang.

"Kita tengok sejauh mana dia mahu memperdayakan kita," kata datuk sambil menggigit bibir.

Jawapan datuk itu memang tidak menggembirakan hati. Saya dongakkan kepala ke dada langit, melihat awan putih nipis bergerak ke arah gunung di selatan.

Bila datuk meluahkan kata "Kita lihat sejauh mana dia mahu memperdayakan kita", dalam erti kata lain, datuk tidak mahu bertindak. Dia sekadar mahu menonton saja.

Perhatian kembali ditumpukan kearah Ali Usman yang terus mara penuh semangat. Begitu juga dengan manusia kelawar.

Diduga satu pertarungan hebat lagi mencemaskan pasti berlaku. Antara manusia kelawar dengan Ali Usman siapakah yang lebih hebat?

"Jangan kemana-mana. Kamu duduk di sini.”

Datuk segera bergerak ke perdu pokok Pulai patah dahan akibat di panah petir.

Dengan tenang bersandar di situ, telapak kaki jarinya menekan akar pulai yang menolak bumi. Kaki kanannya diangkat separas lutut. Ekor matanya menjeling ke arah Ali Usman dan manusia kelawar.

"Nampaknya, datuk mula membuat persiapan," cetus batin saya sambil merenung ke arahnya.

"Jangan renung aku, tengok ke arah Ali," sergah datuk.

"Baik tuk." sahut saya cemas

SASARAN

Ali Usman dan manusia kelawar kembali menjadi sasaran sepasang anak mata saya. Kalau tadi langkah mereka rancak dan penuh semangat, kini kelihatan agak lemah.

Jarak mereka antara satu sama lain kian dekat. Pada hemat saya, sepuluh tapak melangkah ke depan pasti berlaga batang hidung.

Andainya Ali Usman menjadi korban manusia kelawar, apakah tindakan selanjutnya yang akan datuk lakukan?

Mungkinkah datuk bertindak atau lepas tangan. Semuanya bagaikan diundang muncul dalam tempurung kepala.

Dalam saat genting begini, perkara yang negatif saja yang muncul. Kenapa hal-hal yang positif tidak mahu datang? Suara kalbu saya terus bergelora dan bergolak.

"Ahhhh..."

Saya terkejut, Ali Usman dan manusia kelawar, berhenti melangkah, masing-masing terpaku kaku. Mereka terpisah dalam jarak sepuluh langkah. Terfikir oleh saya untuk merenung ke arah datuk yang bersandar di pangkal pokok Pulai.

Tetapi, bila teringatkan pesannya, hasrat tersebut terpaksa dibekukan.

"Dummmm..."

Bergema ledakan yang kuat. Bumi yang dipijak terasa bergegar dan badan terlayah ke kiri dan ke kanan. Akhirnya tersembam di permukaan bumi, berpusing-pusing macam gasing dan tercampak di pangkal pukok Pulai, tempat datuk bersandar.

"Bangun Tamar."

Sedaya upaya saya berusaha untuk bangun dengan berpaut pada lutut datuk. Bila berhasil berdiri dengan sempurna, jari jemari kanan datuk menepuk bahu kiri saya tiga kali berturut-turut.

Serentak dengan itu terdengar suara datuk menyebut beberapa potong ayat dari al-Quran untuk menghalau syaitan.

"Nampaknya aku seperti dicabar."

Datuk melepaskan geramnya dengan menumbuk pangkal Pulai hingga meninggalkan bekas. Kulit pokok tersebut terkupas.

Tersentak dengan tindak-tanduk itu, saya seperti mendapat semangat baru. Apa yang dialami sebentar tadi bagaikan tidak terasa.

"Tenaga kamu dah pulih Tamar?"

MENOLEH

Soalan datuk saya jawab dengan anggukan.

Entah macam mana, seperti didorong oleh sesuatu saya menoleh ke arah Ali Usman dan manusia kelawar. Kedua-dua-nya terkapar di tanah.

Ali Usman terlentang menentang langit sedangkan manusia kelawar tertiarap dengan sepasang kakinya masih menggeletek. Macam ekor cicak yang terputus dari badan.

"Sungguh ganjil, semuanya ganjii."

Datuk mengeluh, rupa-rupanya dia juga merenung ke arah yang sama seperti saya. Kami saling berpandangan tanpa sepatah kata. Bila saya amat-amati seperti ada kabus nipis keluar dari hujung kaki manusia kelawar.

Kabus nipis itu kelihatan naik memanjang ke udara yang kemudiannya mengembang akhirnya terus menghilang. Tanah berhampiran telinga manusia kelawar nampak berlubang sebesar buah kelapa.

Otak nakal segera membuat andaian, mungkin ledakan tersebut berpunca dan situ.

"Ah... dia masih hidup, syukur."

Itu yang muncul di hati, bila melihat sepasang kaki dan tangan Ali Usman bergerak-gerak. Menggeliat macam orang terjaga dari tidur yang panjang. Beberapa minit berikutnya terus duduk.

"Ali dah duduk Tuk," kata saya.

Tiada jawapan dari datuk tetapi, sepasang anak matanya masih terpanah ke arah Ali Usman yang sedang menggerakkan kepalanya kekiri dan ke kanan.

"Mari Tamar."

Datuk pun menarik tangan saya dengan kasar. Kami terus berlari anak mendapatkan Ali Usman yang tertonggok kebingungan.

Manusia kelawar yang terkapar tidak kami hiraukan. Suara kumpulan beburung gagak yang berpadu dengan suara jeritan kelawar liar dari pepohon sekitar kawasan tersebut, tidak kami pedulikan.

"Ali bagaimana kamu?" Tanya datuk.

Tiada jawapan dari Ali Usman.

Datuk terus meletakkan telapak tangan kanannya ke dahi Ali Usman. Perlahan-lahan telapak tangannya bergerak ke atas permukaan rambut hingga ke bahagian belakang tengkuk.

Perkara sedemikian dilakukan olen datuk sebanyak tiga kali berturut-turut. Dan sebagai penamatnya, belakang Ali Usman ditumbuk dengan sekuat hati hingga tersedak dan muntah. Manusia kelawar terus mengeruh macam babi hutan kena peluru senapang kampung.

PANTAS

Dengan pantas saya merapatkan sepasang kelopak mata, tidak sanggup melihat muntah Ali Usman yang melambak di tanah.

Sebagai manusia, rasa ingin tahu membuat saya membuka kelopak mata semula. Muntah yang berwarna kekuningan bercampur kehijauan dan berlendir membuat bulu tengkuk saya meremang dan tekak jadi loya.

"Ahhhhhhh..."

Saya mengalami kejutan yang luar biasa, bersama muntah yang berlendir itu keiihatan batu-batu kerikil, tanah liat. Beberapa batang paku belanda serta serpihan tembikar.

"Muntahkan lagi, biar semua yang ada di dalam isi perut kamu keluar," lembut nada suara datuk selembut telapak tangannya mengurut belakang Ali Usman.

"Saya tak terdaya lagi," suara All Usman tersangkut-sangkut.

"Hummmmmmm..."

Datuk menarik nafas dalam-dalam. Seiring dengan tarikan nafas itu datuk terus menepuk belakang Ali Usman dengan sekuat hati.

"Weeeeekkkkkk..."

Ali Usman membongkok dan lubang mulutnya terpancut muntah air yang keruh dan berkeladak. Baunya masam sekali.

Bila muntah air tidak lagi memancut dari mulutnya, Ali Usman nampak keletihan dan tidak bermaya, lembik macam ayam berak kapur.

"Kamu letih," tanya datuk.

Ali Usman anggukkan kepala.

"Tekak kamu kering."

Macam tadi juga. Ali Usman terus mengangguk.

"Kamu dahaga?"

Ali Usman gelengkan kepala.

"Bagaimana, apakah semuanya akan berakhir?" Tersekat-sekat Ali Usman mengajukan pertanyaan. Buat seketika, datuk termenung sambil menekan-nekan pangkal dagunya dengan ibu jari kanan.

"Kalau mengikut gerak langkah, petua orang tua-tua, semuanya sudah mahu berakhir," jawab datuk selamba.

Dan secara tidak langsung memberikan khabar gembira buat saya.

"Uuuuhhhhhh..."

Serentak saya dan datuk menoleh ke arah suara tersebut. Manusia kelawar yang hampir dilupakan cuba bergerak dan berdiri. Tetapi tidak berhasil.

Suara gagak dan jeritan kelawar liar mula berkurangan. Agak lama juga datuk merenungi manusia kelawar. Kelopak bibir datuk bergerak-gerak. Tidak tahu apa yang dikatakannya.

Mungkin dia menyebut sumpah petua orang tua-tua. Mungkin juga dia membaca potongan ayat-ayat dari al-Quran. Fikir saya dalam hati.

"Ah! pedulikan dia, kita uruskan hal si Ali ini dulu. Tak guna kita membuang masa di sini, kalau kita terlalu lama di sini, nanti orang yang menunggu marahkan kita," anak mata datuk menikam wajah.

Bibir bawah saya tekan dengan gigi hingga berbekas

Apakah pertanyaan itu wajar dijawab dengan kata-kata atau dengan gerak badan? Sukar untuk saya membuat keputusan.

"Bagaimana? Apakah pendapat aku itu betul atau salah, Tamar?"

Perasaan jadi tidak tentu arah, hati berdebar semacam. Jarang sekali datuk meminta pendapat atau pandangan dari saya.

"Betul tuk," kata saya penun yakin.

"Hummmm..." suara datuk lemah.

Lagi sekali datuk mengusap wajah Ali Usman hingga ke bahagian belakang tengkuk. Kedua-dua belah sayap bahu turut menjadi mangsa jari jemari datuk.

MUNTAH

Setiap kali picit dilakukan, Ali Usman batuk terbahak-bahak, bau mulutnya busuk kesan muntah.

Dari bahu, jari-jemari datuk turun ke tengah belakang dan akhirnya singgah di bahagian pinggang. Lebih tepatnya di belikat Ali Usman yang kegelian. Dengkur manusia monyet sekejap keras sekejap lembik.

"Tamar kamu picit kedua-dua belah buah betisnya."

"Iya Tuk."

Tanpa diarahkan. Ali Usman memberikan kerjasama yang sungguh baik. Sepasang kakinya dilunjurkan. Dan buah betis yang dipadati dengan daging keras terus saya picit.

"Cuba berdiri."

Cakap datuk segera di patuhi, secara perlahan-lahan dan penuh hati-hati Ali Usman berusaha berdiri. Kali pertama gagal, kali kedua juga gagal. Kepala lututnya, seolah-olah tidak berfungsi sama sekali.

Tetapi usaha kali ketiga cemerlang sekali. Dapat berdiri seperti keadaan asal. Ali Usman boleh menghayunkan kakinya ke kiri dan ke kanan, sesuka hati.

Kegembiraan terpancar dimuka datuk dan saya menarik nafas lega.

"Saya dah pulih."

Ali Usman memberitahu datuk, seiring dengan senyuman yang berlari di kelopak bibir. Dua tiga kali, sepasang tangannya diangkat dan dijatuhkan.

"Sekarang saya boleh berjalan?"

"Nanti dulu."

"Kenapa pula?” Ali Usman kehairanan.

Datuk tidak memberikan jawapan pasti, sebaliknya mencabut keris di pinggang dan terus membongkok. Dengan hujung keris pendek dia mencungkil dan mengkuis-kuis tanah lalu dikumpulkan menjadi dua longgokan.

Dua helai daun hijau yang lebar dipetik dari ranting pokok berdekatan.

Memang diyakini, daun yang berada di tangan datuk adalah daun mengkudu hutan yang mempunyai khasiat tersendiri. Setiap urat di daun boleh dijadikan penawar sakit berbisa.

Memilih daun untuk dijadikan penawar harus pandai, mesti dipilih urat daun yang bertindih. Daunnya tidak terlalu tua, tidak pula terlalu muda. Tangkainya mesti terdapat garis-garis nipis.

PETIK

Kedudukan daun yang mahu dipetik itu mestilah mengarah ke kiblat. Dimulai dengan Bismillah dan diakhiri dengan selawat terhadap Nabi SAW.

Ciri-ciri itulah yang dilakukan oleh datuk. Saya masih buntu dan tidak dapat menduga untuk apa daun mengkudu hutan itu dipetik oleh datuk.

"Untuk apa?" tanya saya sendirian.

Bila melihat datuk membungkus dua longgokan tanah dengan daun mengkudu hutan. Tak ubah seperti membungkus nasi lemak.

"Kemari dan berdiri di depan aku."

Macam kanak-kanak tadika, Ali Usman mematuhi cakap datuk.

Saya menelan air liur. Perhatian tetap saya tumpukan pada datuk dan Ali Usman. Suara gagak dan jentan kelawar sudah pun berakhir. Di ganti dengan kicau burung.

"Lipat seluar kamu hingga paras pangkal paha," lantang suara datuk menguasai kawasan sekitar. Ali Usman pun membongkok lalu menggulung kaki seluarnya seperti yang diinginkan oleh datuk.

"Lagi apa yang mesti saya buat?" Ali Usman pula bertanya.

"Begini, semasa aku melumurkan kedua-dua lutut kamu dengan tanah, kamu bacalah surah Al-Fatihah tujuh kali. Minta pertolongan dan perlindungan dari Allah, kamu faham?"

"Faham," angguk Ali Usman.

Sebelum bungkusan berisi tanah singgah di kepala lutut Ali Usman, hujung keris kecil dicucuk ke bahagian bucu bungkusan tiga kali berturut-turut. Kemudian baru bungkusan berisi tanah dihempaskan ke kepala lutut Ali Usman.

Bila bungkusan pecah, tanah bertaburan, Ali Usman menjerit kesakitan untuk seketika. Cebisan daun pembungkus segera dikutip oleh datuk lalu dilemparkan ke arah tubuh manusia kelawar.

Sebaik saja terkena cebisan daun mengkudu hutan, manusia kelawar terus bangun terpekik terlolong, mengejutkan dan menghentikan nyanyian beburung.

"Tuk..."

Saya tidak dapat meneruskan kata-kata bila melihat datuk mengangkat tangan kiri dan mengembangkan ke lima-lima jarinya ke arah saya.

GANJIL

Gerak tangan itu bermaksud jangan bertanya kerana dia sedang menggunakan indera yang kelima untuk berhadapan dengan manusia kelawar.

Ali Usman yang sudah dipulihkan oleh datuk, berkelakuan agak ganjil seperti bersilat beradu kekuatan dengan seseorang.

Datuk berdiri kaku sambil memeluk tubuh. Perhatian tertumpu ke satu arah. Dia bagaikan memisahkan dirinya dari alam nyata untuk masuk ke alam lain.

Bila sudah demikian, secara tidak langsung membawa perubahan fizikal pada datuk. Tubuhnya menggeletar sebelum dia undur tiga tapak ke belakang untuk mencari kedudukan yang baik dan selamat.

"Haiiiiii..."

Teriakan datuk itu membuat saya terus merenung ke arahnya. Ada perubahan di wajahnya, keras tengang bercampur bengis. Rambutnya kelihatan seperti mengembang terutama yang dekat cuping telinga, hujung tengkuk dan pelipis.

Kedua-dua telinganya merah hidungnya kembang kempis. Setiap kali dia menarik dan melepaskan nafas dadanya nampak berombak. Urat dan otot ditubuh seperti membengkak.

Jika diperhatikan dengan teliti tanpa berkerdip macam ada bebayang asap keluar dari tubuhnya.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 223/284

BACA: SBDJ Siri 222: Di Serang Monyet Jadian
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com

Tuesday, January 14, 2025

SBDJ Siri 222: Di Serang Monyet Jadian

SBDJ Siri 222: Di Serang Monyet Jadian

Dalam masa yang amat singkat beratus–ratus ekor monyet menguasai bumbung rumah dan pokok ara besar. Semua monyet tersebut memperlihatkan kemarahan. Tidak mahu menerima kehadiran kami.

Toyol jadi-jadian

Bila saya acah, kemarahan kumpulan monyet itu kian menjadi-jadi. Malah ada yang berani mendekati kami. Datuk dan Ali Usman tetap tenang. Buat saya, keadaan begini sungguh membosankan, menjadikan saya tidak tentu arah dan lemas sendirian. Mahu rasanya menjerit sekuat hati.

Ketika saya membongkok mahu mengambil sepotong kayu di hujung kaki untuk dibalingkan ke arah monyet-monyet yang menjerit, datuk segera memagang tangan saya.

"Jangan," suara datuk keras.

"Jangan Tamar, monyet-monyet di sini kalau diganggu akan mengamuk, susah kita dibuatnya."

Ali Usman bagaikan menyokong tindakan yang datuk buat.

"Mana kamu tahu?"

"Aku sudah mengalaminya, dulu aku datang ke sini, seekor monyet jantan mengacah-acah aku di kepala tangga. Bila di baling dengan kayu sekumpulan monyet lain datang menyerang. Nasib baik bapa saudara aku ada. Kalau dia tak ada tak tahulah apa nak kata."

"Hmmmmm...." keluh saya.

Bila melihat kumpulan monyet kian bertambah, datuk seperti keresahan. Lebih-lebih lagi bila melihat ukuran badan satu kali lebih besar dari monyet biasa.

Terdapat juga satu kumpulan monyet berbulu putih dan kemerahan. Kumpulan yang berbulu kemerah-merahan ini lebih agresif berbanding dengan kumpulan yang lain.

"Keadaan ini tidak boleh dibiarkan, kita sebenarnya dalam bahaya. Sebelum keadaan menjadi lebih teruk, kita mesti bertindak."

Sebaik saja selesai bercakap, datuk mematahkan batang pokok kemahang yang ada disisinya. Batang kemahang itu dipatah tiga. Bahagian bawah dihumbankan ke bawah rumah manakala bahagian atas dicacak kebumi.

Batang bahagian tengah ditimang beberapa kali. Berdaasarkan gerak mulutnya, saya yakin datuk sedang membaca ayat-ayat suci. Bila pembacaannya tamat, kayu yang ditimang terus digenggam erat.

Kemudian potongan kayu itu terus dilemparkan ke pangkal pokok ara besar. Monyet-monyet liar yang bergayutan bertempiaran menuju kearah bukit kecil.

Akibat dari lompatan monyet-monyet tersebut, dedaun muda dan tua berguguran ke bumi. Reranting yang kering berjatuhan.

Bunyi deru akibat lompatan kumpulan monyet dari dahan ke dahan, tidak ubah seperti rebut yang kuat.

Jeritan dari monyet-monyet itu menegejutkan beburung dan lain-lain unggas yang mendiami hutan sekitar rumah.

BESAR

Dalam suasana yang tidak menentu itu, seekor monyet besar yang ukuran tingginya sama dengan seekor beruang dewasa muncul dari balik pangkal pokok ara besar. Seluruh badannya si selimuti bulu tebal berwarna kemerah-merahan.

Bentuk muka monyet besar ini menyerupai muka mawas yang seketurunan dengan orang hutan dan cimpanzi. Monyet besar mendengus marah sambil menyeringai gigi yang tajam. Dalam keadaan tegak melangkah perlahan-lahan kearah datuk.

Ali Usman bagaikan terpaku. Saya toleh ke kiri, toleh ke kanan mencari tempat yang sesuai untuk melompat dan melarikan diri. Andainya, berlaku sesuatu yang tidak diduga.

HAMPIR

Monyet besar kian lama kian hampir dengan datuk. Secara perlahan-lahan Ali Usman berubah tempat. Tadi ke kanan, kini betul-betul berada di belakang datuk. Saya pula berlindung di belakangnya (Ali Usman). Apa saja ayat-ayat Quran yang saya ingat saya terus baca.

"Kamu berdua pergi jauh, cari tempat berlindung."

Tanpa menoleh ke arah saya dan Ali Usman, datuk mengeluarkan arahan.

Jeritan kumpulan monyet tidak kedengaran lagi. Begitu juga dengan dahan yang patah. Dedaun tua dan muda tidak ada yang berterbangan. Bunyi menderu juga sudah berakhir.

"Cepat cari teempat berlindung, jangan banyak fikir."

Kerana kami masih teragak-agak, datuk mengeluarkan arahan kali kedua. Kali ini nada suaranya meninggi dan keras. Membayangkan kemarahan mula berbuih dalam hati. Monyet besar terus mendekati datuk.

Dalam keadaan yang serba tertekan itu, kami tidak dapat membuat keputusan. Arah mana dan tempat mana yang paling sesuai dijadikan tempat berlindung. Peliknya, bagaikan ada arahan dari dalam diri masing-masing, kami memilih tempat yang sama.

Saya dan Ali Usman jalan beriringan menuju kearah kepala jalan yang sudah kami lalui, ketika memasuki kawasan rumah RAJA SUSUK.

Bagaikan ada persefahaman yang terjalin dalam diri kami berdua. Tempat yang dipilih ialah di bawah pokok sukun berbuah jarang.

Dari bawah pokok sukun kami dapat melihat dengan jelas kearah datuk yang berdiri kemas menanti kedatangan monyet besar, berbulu kemerah-merahan.

CEMAS

Cemas juga hati melihat situasi tersebut. Bagaimana datuk harus menghadapi monyet besar itu? Muncul pertanyaan dalam hati.

"Bolehkah datuk kamu melawannya, Tamar."

"Entahlah susah nak cakap."

"Kita tolong dia."

Ali Usman mengusulkan satu cadangan. Saya tergaman sejenak. Cadangan itu memang baik sekali. Tetapi, bila mengingatkan pesan datuk yang tidak mahu dibantu bila berhadapan dengan sebarang kesukaran kecuali dia sendiri yang minta tolong.

Cadangan yang baik menjadi susah.

"Nanti dulu," tahan saya.

"Kenapa?"

"Kita bantu bila dia minta tolong. Itu lebih baik."

"Kalau itu merupakan syarat, aku tak boleh buat apa-apa," balas Ali Usman tenang.

Perlahan-lahan saya anggukkan kepala. Kami berbalas senyum.

Perhatian ditumpukan kearah datuk yang sedang berhadapan dengan monyet besar dalam jarak yang dekat.

Mungkin menyedari yang lawannya memiliki kekuatan yang luar biasa, datuk menggunakan taktik berundur, tidak menyerang.

Malah ada ketikanya datuk berlindung di balik pepokok kecil sambil mengambil beberapa potong kayu lalu dilempar ke arah monyet besar.

Perbuatan datuk menimbul kemarahan yang amat ketara pada monyet besar. Sepasang kakinya menghentak-hentak bumi. Teriakannya cukup lantang.

Monyet besar terus mara. Beberapa kali terkaman dibuat ke arah datuk. Macam tadi, datuk berhasil mengelak.

HABIS

Mungkin kerana kerap melompat dan berdiri ke setiap sudut, datuk kehabisan tenaga.

Dalam usaha untuk kesekian kali mengelakkan diri dari cengkaman monyet besar, datuk tersilap langkah, terpijak tanah berlubang lalu tersembam mencium tanah. Terkial-kial berusaha untuk bangun.

Kesempatan yang baik itu, segera di manafaatkan oleh monyet berbadan besar. Datuk diterkam dan dipijak berkali-kali. Dijulang dan dicampak ke arah pokok renik. Datuk mengerang dan mengolek-golek. Monyet besar terus mengikuti dimana datuk berada.

Datuk ditendang dan disepak bagaikan bola. Dalam pertarungan kali ini datuk tewas. Seluruh kekuatannya bagaikan tidak wujud lagi. Situasi begitu, sungguh mencengkam perasaan kami. Ali Usman bagaikan tidak sabar mahu membantu.

Saya terpaksa bekerja keras menahan Ali Usman menerpa ke arah monyet besar.

"Bertenang, selagi dia tidak meminta bantuan kita tidak boleh membantunya."

"Kesian datuk kamu, Tamar,"

"Aku tak berani melanggar pesannya."

Ali Usman menarik nafas kehampaan.

"Ahhhhooooo..."

Jeritan monyet besar bergema ke seluruh kawasan sekitar. Kaki kanannnya yang berbulu berada di atas dada datuk.

Monyet besar menepuk-nepuk dadanya sambil merenung kawasan sekitar. Seolah-olah memberitahu kepada semua makhluk yang berada di situ yang dia berjaya menewaskan datuk.

Di saat monyet besar berada di puncak kegembiraan, datuk yang berada di bawah telapak kakinya segera bertindak.

Dengan sisa tenaga yang masih ada, kedua-dua belah tangan datuk memegang pergelangan kaki monyet besar lalu dipulas.

Monyet besar menjerit kesakitan kerana pergelangan kakinya terkehel dan terus jatuh. Secepat kilat datuk bangun dan bersedia untuk meneruskan perlawannan.

Kerana menyedari musuhnya seekor monyet besar, dia harus bertindak dengan hati-hati dan teliti. Silap langkah akan menanggung sengsara seumur hidup.

Dari cara datuk berdiri serta memperkemaskan kekuda, saya dapat menduga yang datuk tidak akan membuka langkah silat GERAK RASA DAN HATI yang banyak menafaatkan tenaga dalam.

Setiap jurus yang dilepaskan seiring dengan kalimah Allah. Begitu juga dengan gerak langkah dan kerdipan mata.

Silat gerak dan Rasa Hati jarang sekali digunakan. Malah datuk sendiri tidak gemar menggunakan silat jenis ini.

Kecuali sudah terdesak benar atau menghadapi saat paling genting yang tidak dapat diatasi cara lain.

Biasanya, setelah datuk memanfaatkan silat tersebut untuk melawan musuh, dia akan berpuasa selama seminggu dan melakkukan amalan tertentu sepanjang malam.

Banyak melakkukan sembahyang sunat dan bersedekah. Selain itu, seluruh sendi dan tubuh terasa sengal-sengal dan sakit. Menanggung rasa sakit inilah yang tidak berapa digemari oleh datuk. Mungkin kerana faktor usianya.

"Monyet besar dah bangun," tutur Ali Usman.

Sepasang anak mata saya tertumpu ke arah datuk dan monyet besar saling berhadapan. Dalam keadaan yang terhincut-hincut monyet besar perlahan-lahan memusingkan badan hingga membelakangkan datuk.

Datuk yang berkira-kira mahu membuat serangan mengejut merapatkan dirinya dengan monyet besar. Mencari bahagian yang baik untuk untuk melepaskan tumbukan berkesan.

POSISI

Datuk menemui posisi paling baik, berada di sebelah rusuk kiri monyet besar dalam jarak kira-kira satu kaki. Bila tumbukan padu dilepaskan urat saraf dan tali perut boleh putus tanpa meninggalkan sebarang kesan dari luar.

Di saat datuk menaraik nafas, mengumpulkan kekuatan dari dalam sambil mengucapkan kalimah Allah, monyet besar melepaskan tending kencang.

Secepat kilat datuk menjatuhkan diri hingga berlakangnya sama paras dengan pucut rumut semilu.

Menyedari tendangannya tidak mengena sasaran, monyet besar menjadi marah dan membetulkan kedudukannya untuk melepaskan tendanngan kedua yang lebih kuat dan padu.

Sasarannya (tubuh datuk) sudah dipastikan di mana berada. Sebelum tendangan kedua dari monyet besar berjalan, datuk bertindak terlebih dahulu.

Bagi mengelirukan perhatian dan tumpuan monyet besar. Datuk menggolekkan tubuhnya ke kanan dan kekiri di bumi.

Keadaan tersebut menyebabkan meonyet besar teragak-agak untuk melepaskan tendangan. Kedudukan sasarannya sering berubah.

Kemarahan monyet besar terus membara, memekik dan menumbuk dada dan menghentak bumi. Ketika itulah tumbukan dilepaskan oleh datuk ke arah yang sudah dipilih.

Monyet besar terus meraung. Bila suara raungannya berhenti, tubuh monyet besar hilang, entah kemana. Cuma yang kelihatan kepulan asap nipis bersama bau kemenyan.

BERLARI

"Kamu berdua kemari," laung datuk.

Saya dan Ali Usman segera berlari ke arah datuk yang tertunduk duduk di bumi. Dia nampak tercungap-cungap dan keletihan.

"Kita berehat dahulu," itu usul dari Ali Usman.

"Tak payah, sekarang kita masuk kerumah," kata datuk.

"Tapi, datuk keletihan," kata saya.

"Tak apa, suruh Ali Usman buka pintu rumah."

Datuk terus bangun. Ali Usman mengigit bibir sambil merenung kearah pintu rumah yang bertutup rapat.

"Cepat Ali," sergah datuk.

"Baik," balas Ali Usman.

Baru saja dua tapak Ali Usman melangkah menuju ke kaki tangga, terdengar sesuatu dari balik pokok ara. Ali Usman berpatah balik ke arah datuk.

"Macam ada bunyi binatang di balik pokok besar," beritahu Ali Usman.

"Perasaan kamu saja rasa macam itu," saya meningkah.

"Tidak Tamar."

Serentak dengan itu terdengar bunyi dedahan dan reranting pokok besar bergegar. Akar yang bergayutan terbuai-buai.

Dua tiga ekor tupai yang berlari di dahan berjatuhan ke bumi. Macam ada sesuatu yang menggoyangkan pohon Ara dua pemeluk itu.

Kami alihkan perhatian kearah pokok Ara besar. Lagi sekali mengalami kejutan yang tidak di duga.

Rasanya bagaikan tidak percaya dengan apa yang berada dii depan mata. Sejenis makhluk ganjil keluar dari celah-celahan juntaian akar.

Rupanya sungguh pelik. Badanya bersisik macam sisik buaya. Perutnya buncit dengan pusat tersembul sebesar buah jambu batu.

PAYUDARA

Sepasang payu dara besarnya kelihatan lembik terbuai-buai. Bagaikan bersabung dengan bahagian dagu. Putingnya, tersembul hitam macam seketul kayu arang.

Kedua dua belah pipinya kelihatan kembung, tidak ubah macam perut katak puru yang baru diusik dengan kayu.

Bentuk wajahnya campuran keluang dan manusia. Sepasang telinganya menyerupai telinga gajah. Kedua-dua belah tangan dan jari jemari persis tangan dan jejari manusia.

Kehadiran makhluk ganjil ini diiringi dengan beberapa ekor keluang berukuran besar. Lebih besar dari ayam jantan.

Saya terpesona dengan sepasang kaki dan pahanya yang besar dan memancarkan cahaya. Sisik di bahagian tersebut kedudukannya agak menonjol dan bentuknya seperti kulit tiram.

Walau apa pun, saya dan Ali Usman tidak berani merenung ke arah mata yang merah menyala serta memancarkan sinar yang boleh memeningkan kepala bila ditentang.

"Berjaga."

Datuk mengingatkan kami berdua, bila melihat makhluk pelik itu melangkah sambil mengangkat kedua tangannya.

Setiap kali makhluk hodoh dan menakutkan itu melangkah, keluang yang berterbangan mengiringinya dalam nada suara yang tiinggi dan rendah bagaikan satu irama.

Pancaran matahari yang kea rah badan makhluk pelik itu memantulkan kilauan yang berpadu dalam warna kekuningan. Kebiruan dan merah jambu. Kilauan warna itu cukup menarik.

Jika direnung dalam tempoh yang lebih dari sepuluh saat kepala terasa pening dan pandangan jadi berpinau-pinau. Tekak jadi loya dan tterasa mahu muntah.

"Ini bukan sebarang binatang," komen saya.

"Iya," balas datuk.

"Ini syaitan," tingkah Ali Usman.

"Benar apa yang kamu kata. Aku minta kamu atasi masalah ini."

MENGUJI

Mungkin kerana kepenatan, mungkin mahu mmenguji atau sememangnya datuk tahu keupayaan Ali Usman maka tugas tersebut diserahhkan ke bahunya.

"Serahkan pada saya," ada nada kebimbangan mengiringi kata dari Ali Usman.

"Iya, kamu harus mencuba. Aku bantu kamu."

Itu janji datuk yang memberikan kekuatan semangat pada Ali Usman. Ada cahaya keyakinan tergambar diwajahnya.

Walaupun sudah diberikan suntikan semangat keyakinan oleh datuk. Tetapi, Ali Usman bagaikan ragu-ragu mahu memulakannya.

Perkara itu dapat saya kesan berdasarkan riak wajahnya. Dua tiga kali dia menarik nafas sambil merenung ke arah saya, minta sokongan moral.

"Kamu boleh buat Ali," saya bersuara.

Dia tersenyum resah.

"Hadapilah dengan keyakinan, percaya Allah berkuasa atas segala-galanya," nada suara datuk agak keras.

Ali Usman masih belum berganjak dari tempat asalnya. Masih belum membuka langkah.

"Ayuh, pergi sekarang," desak datuk.

"Sekarang?"

"Iyalah," balas datuk dengan tegas.

Wajah Ali Usman dalam matanya. Dalam keadaan yang serba tidak kena itu, Ali Usman tatap muka saya. Dengan tujuan menaikkan semangatnya, saya tegakkan ibu jari kearahhnya.

"Kamu boleh," kata saya.

Ali Usman terus melangkah dengan tenang ke arah makhluk aneh yang kian berani mempamirkan dirinya. Tidak mahu berlindung dibalik pokok besar lagi.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 222/284

BACA: SBDJ Siri 221: Diusik Harimau Raja Susuk
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com

Wednesday, January 08, 2025

SBDJ Siri 221: Diusik Harimau Raja Susuk

SBDJ Siri 221: Diusik Harimau Raja Susuk

Dalam usaha mencari ketenangan dan menyingkirkan keresahan yang bersarang dalam kepala. Saya menarik dan melepaskan nafas secara perlahan-lahan. Sepanjang yang diingati, sejak menemani datuk kemana-mana. Sama ada di tanah air, di Sumatera dan di Tanah Jawa.

Toyol jadi-jadian

Dalam setahun, paling kurang dua tiga kali berhadapan dengan kejadian yang tidak diduga dan sukar diterima oleh akal fikiran yang waras.

Kesan yang diterima setelah melalui peristiwa tersebut berbeza-beza. Bergantung pada kuat atau tidak tekanan perasaan yang dialami, semasa peristiwa itu, berlaku atau dalam istilah orag tua-tua di sebut "BADI".

Ada ketikanya, saya seperti orang bodoh, bercakap sendirian. Bermain pasir macam kanak-kanak berusia antara 5-10 tahun. Mengigau dan mengalami mimpi ngeri. Menjerit, setiap kali matahari terbit dan matahari jatuh sambil berlari keliling rumah.

Penawar paling mujarab yang datuk lakukan, ialah menyuruh saya membaca beberapa wirid tertentu, setelah melakukan sembahyang wajib dan sunat.

Dilanjutkan dengan membaca surah yassin, ayat Al-Kursi petikan surah Al-Baqarah dan lain-lain lagi.

Jika cara itu masih tidak mendatangkan hasil. Datuk sendiri akan bertindak hingga apa yang saya tanggung hilang terus.

Soalnya, apakah perkara yang baru dialami sebentar tadi akan meninggalkan "BADI" yang hebat? Itulah yang berlegar-legar dalam tempurung kepala.

Bagaimana fikiran tidak terganggu. Apa yang dilihat dan dialami memang luar biasa sekali. Tidak masuk di akal. Sukar diterima oleh orang lain. Betapa tidak, dalam keadaan sedar saya seperti dibawa kedunia lain yang serba aneh.

"Apa ertinya semua ini?" Saya tersentak.

Ali Usman mengulangi pertanyaan yang tidak dapat mendapat sebarang reaksi dari datuk. Pertanyaan itu juga menyebabkan apa yang saya fikirkan hilang serta merta. Datuk tidak juga memberikan jawapan.

"Apa ertinya semua ini?"

Untuk kali yang ketiga Ali Usman mengajukan pertanyaan.

"Ayah saudara kamu memang hebat," balas datuk.

"Maksudnya," sepasang anak mata Ali Usman tertumbuk kewajah datuk yang mempamirkan senyum sinis.

"Maksudnya mudah saja," ujar datuk.

"Mudah?" Ali Usman kehairanan.

Wajah saya direnunginya sejenak. Sayap bahu kiri dan kanan segera digerakkan ke atas, menandakan yang saya sendiri tidak dapat menangkap maksud kata-kata yang datuk lontarkan.

"Maksud mudah itu seperti yang kamu lihat dan kamu alami."

Jawapan datuk itu bertujuan membunuh keraguan dalam diri Ali Usman. Buat beberapa ketika, saya dan Ali Usman termenung panjang. Datuk nampak tenang dan aman saja.

"Iya, saya tidak menafikan bapa saudara saya boleh menundukkan binatang buas, boleh menyuruh binatang melakukan sesuatu," nada suara Ali Usman lemah sekali.

"Sekarang kamu sudah faham Ali."

"Iya," Ali Usman mengangguk.

"Itulah kehebatan bapa saudara kamu, tapi..."

Datuk tidak meneruskan kata, mati begitu saja. Tetapi, ada senyum sinis berlari di kelopak bibir datuk yang kecut.

GARU

Ali Usman menggaru cuping telinga kanan dua tiga kali. Dan dia dapat merasakan yang datuk tidak menyindirnya.

"Tapi sebenarnya, dia tidak hebat."

Tanpa diduga datuk menyambung kembali kata yang putus. Ini sungguh mengejutkan buat diri Ali Usman dan saya. Datuk seperti bermain tarik tali dengan Ali Usman.

"Sebabnya?" Ali Usman minta kepastian.

"Dia yang nampak hebat, sebenarnya memang tidak hebat. Bapa saudara kamu jadi hamba nafsu dan makhluk lain," sambung datuk dengan wajah selamba.

Ali Usman tidak memperlihatkan sebarang reaksi yang kurang menyenangkan. Malah dia turut menganggukkan kepala beberapa kali. Bagaikan setuju dengan apa yang datuk katakan.

"Saya menyedari hal ini," ucap Ali Usman dengan penuh yakin.

"Bagus bila kamu menyedarinya."

"Kerana itu saya berusaha menyedarkannya. Berusaha membawanya ke jalan yang betul. Hasilnya seperti apa yang terjadi," Ali Usman menelan air liur sambil merenung lesau kearah pepokok kecil di hadapannya.

"Sesungguhnya, saya tidak menduga sampai begitu jauh bapa saudara memilih jalan yang salah," lemah benar suara Ali Usman.

Rasa kesal dapat dibaca di wajahnya. Berkali-kali dia mengucap panjang. Kelopak matanya di genangi air jernih.

"Tak apalah Ali, usah dikenang perkara yang lalu. Marilah kita berdoa muda-mudahannya taubatnya diterima oleh Allah dan rohnya ditempatkan di kalangan orang-orang yang soleh," sebuah harapan dan doa penuh simpati dari datuk.

"Memang itu yang saya harapkan."

Ali Usman tersedu sambil tunduk merenung permukaan bumi.

Perasaan saya bagaikan terjebak dalam suasana yang mengharukan. Dada terasa sebak, tidak tahu apa yang harus saya tuturkan kepada Ali Usman.

"Masa dah suntuk ni, saya tak mahu kerana kita orang lain tergendala. Saya tak mahu Syed Hamid Al-Hadad dan Harun Fadillah menunggu kita terlalu lama."

Cepat-cepat saya alihkan perhatian dari Ali Usman kepada datuk yang baru saja menuturkan kata.

"Iya, kita harus pergi ke tempat yang dihajati," sanggah Ali Usman.

PERJALANAN

Sebelum meneruskan perjalanan, Ali Usman melihat jam di tangan. Dahunya berkedut seketika. Kepalanya didongakkan ke langit melihat awan putih bersih berarak lembut entah kemana.

"Hampir sejam kita di sini," kata saya.

"Ertinya, hampir satu jam kita diganggu." Sahut Ali Usman.

Datuk anggukkan kepala.

"Tak sangka sampai begitu lama," komen saya lagi.

"Bukan diganggu."

Lagi sekali datuk jadi perhatian kami berdua.

"Kalau bukan diganggu, apa dia?" Soal Ali Usman serius.

"Kita dihalang untuk pergi ke rumah Raja Susuk. Orang tua yang bertukar-tukar dan akhirnya memperlihatkan dirinya sebagai lelaki muda yang kacak dan tampan. Itulah orang yang menjadi pelindung dan pendamping bapa saudara kamu."

"Tapi..." Ali Usman memintas percakapan datuk.

"Bapa saudara saya kata, guru atau pendampingnya sudah lama mati."

"Cakap bapa saudara kamu memang benar."

"Kalau sudah mati, bagaimana orang itu boleh wujud?" Teragak-agak Ali Usman bertanya.

"Jangan terkejut, bila aku katakan pendamping bapa saudara kamu itu, sedang mencari pengganti bapa saudara kamu. Mungkin kamu salah seorang dari calonnya."

"Haaaa..."

Ali Usman terkejut besar.

"Kalau sudah mati macam mana dia boleh wujud di dunia ini," muncul lagi pertanyaan dari mulut Ali Usman.

"Barangkali roh dan jasadnya ditolak bumi."

Penjelasan dari datuk itu membuat Ali Usman bertambah resah. Cemas dan takut. Wajahnya pucat, tubuhnya mula menggeletar. Mula bercakap sebarangan.

Matanya mula memperlihatkan urat-urat merah bersama renungan yang sungguh mengerikan. Wajah yang pucat bertukar garang.

Suasana yang tenang berkocak semula. Perubahan tingkah laku Ali usman memang tidak diduga. Datuk yang terkejut mula membuat persiapan perlu bagi menghindari kejadian lebih buruk berlaku.

"Tamar, tumbuk rusuk kanannya dengan tangan kiri."

Arahan datuk segera saya patuhi. Dengan sekali tumbuk Ali Usman jatuh terlentang.

Belum pun sempat Ali Usman bangun untuk melakukan tindak balas, datuk segera mengambil serumpun semalu berbunga lebat diramas hingga lumat. Kemudian dilemparkan ke muka Ali Usman.

"Ahhh..." Terdengar suara Ali Usman.

Berguling-guling di tanah sambil berusaha untuk bangun, tetapi tidak berhasil. Ali Usman bagaikan kehabisan tenaga.

"Tamar, rentap kaki kanannya sekuat hati dan alihkan kedudukannya supaya kepalanya mengadap kiblat."

Perintah datuk segera saya ikut, berhempas pulas juga mahu menangkap kaki kanan Ali Usman. Walaupun dia nampak lemah dan tidak berdaya, Ali Usman tetap mempamirkan tentangan.

Sebaik pergelangan kaki kanannya disentuh, Ali Usman terus menjerit dan berguling-guling di tanah sambil menggigit rerumput sekitarnya.

Semasa saya berusaha mengalihkan kedudukan tubuhnya seperti yang diingini oleh datuk, belakang syaa terasa seperti ditusuk oleh benda tajam.

"Jangan pedulikan semuanya, kamu bertahan saja Tamar."

Suara datuk cukup lantang kedengaran. Datuk bagaikan tahu yang saya sedang bergelut dengan sesuatu. Dalam tercungap-cungap kepenatan, hajat datuk dilaksanakan.

Di saat membetul kedudukan kepala Ali Usman supaya selari dengan arah kiblat, saya mengalami kejutan. Seluruh kulit muka, lengan dan kaki Ali Usman bersisik macam sisik ular tedung namak berkilau-kilau.

Gerak badannya juga bertukar, tidak ubah macam ular bergerak di permukaan tanah yang berpasir.

Perubahan itu tidak bertaan lama. Sebaik saja kedudukan kepalanya selari dengan arah kiblat, sekujur tubuh Ali Usman kembali normal.

Dengan segenggam tanah yang ditaburkan oleh datuk dari hujung kaki hingga ke kepala, Ali Usman pulih seperti sediakala.

"Ali, kamu kenal dengan orang yang duduk dekat kamu ini?" Bisik datuk ke cuping telinganya.

"Kenal."

"Siapa namanya?" Tambah datuk.

"Tamar."

"Betul." sambut datuk keriangan.

Serentak kami ketawa terkikih.

BERDIRI

Bila Ali Usman berdiri dan bersedia untuk melangkah menuju ke rumah Raja Susuk, halangan datang lagi. Dengan tidak semena-mena muncul seekor harimau belang dari sebelah kanan jalan.

Kaki kiri bahagian belakng harimau itu kudung tetapi itu bukan halangan untuknya menerkam malah membaham kami sekaligus.

Tanpa berfikir panjang datuk pun mengambil segenggam tanah. Langkah silat pun dibuka menuju ke arah harimau yang mula menyeringai, mempamirkan sepasang siung yang tajam.

"Allah huakbar..."

Kawasan sekitar bergema dengan suara datuk. Serentak dengan itu tanah yang ada dalam genggaman dilemparkan kearah muka harimau belang.

Si harimau mengaum dengan sekuat hati dan terus lari ke sebelah kiri jalan hingga tidak dapat ditangkap oleh kuasa mata kami bertiga.

"Kalau kamu pergi ke rumah itu seorang saja, kamu tidak menghadapi sebarang masalah seperti apa yang terjadi sebentar tadi. Pendamping bapa saudara kamu mahu membinasakan aku dan Tamar saja. Kamu tidak diapa-apakannya. Dia mahu menjadikan kamu sebagai tuannya," tanpa diminta datuk member penjelasan.

"Inilah membuat saya tidak senang," terpancut kata dari Ali Usman. Dia mula resah dan nampak tidak keruan.

Sebelum kejadian seperti tadi berulang, datuk segera meletakkan bahagian belakang tangan kirinya ke pangkal leher kanan Ali Usman. Mulut datuk nampak komat-kamit.

Ada sesuatu yang dibacanya. Barangkali datuk memberikan suntikan semangat secara batin.

"Kalau sulit kita patah balik saja," usul dari Ali Usman.

"Kau keberatan," Tanya datuk.

Ali Usman seperti serba salah untuk menyatakan. Tetapi, akhirnya dia mengangguk. Datuk senyum.

"Ali, jangan bimbang, renung biji mata aku. Kedua belah tangan kamu lekapkan ke dada."

"Baik," jawab Ali Usman.

Ali Usman akur dengan arahan datuk. Lebih dari lima saat mereka berlaga anak mata. Peluh mercik di kedua dua belah pelipis Ali Usman. Rambut di bahagian ubun-ubun terpacak.

Bila datuk alihkan anak mata ke arah lain, rambut yang tegak pun tunduk. Peluh di kiri kanan pelipis pun hilang.

"Kita teruskan, usah bimbang. Dengan ilmu yang ada, disertai dengan taqwa kepada Allah, aku yakin kamu tidak mudah dipengaruhi," satu suntikan semangat datuk terapkan di dalam kalbu Ali Usman.

"Kadang-kadang orang berilmu dan kuat iman memang dicari atau jadi sasaran syaitan."

"Sebenarnya, ilmu tidak setinggi mana." Ali Usman merendah diri.

"Aku percaya, kamu boleh menghadapinya. Buktinya..."

"Apa buktinya..." pintas Ali Usman.

"Kamu telah membawa bapa saudara kamu ke landasan yang sempurna. Jangan banyak fikir, mari kita pergi."

Datuk pun menepuk bahu kanan Ali Usman. Tetapi, Ali Usman seperti keberatan mahu melangkah. Keraguan dan kebimbangan masih bersarang di sudut hatinya.

"Rumah itu jauh terpencil, letaknya di hujung kampung dekat bukit pula," sebuah dalih yang tersusun rapi dari Ali Usman.

"Tak apa, kita pergi dulu," datuk mendesak.

Ali Usman menggigit bibir. Perubahan sikap itu sedikit sebanyak menimbulkan pertanyaan dalam diri saya. Kenapa mudah, dia beralih hati.

SEMANGAT

Kalau tadi dia bersemangat mahu membawa datuk ke tempat tersebut. Tetapi, setelah melalui beberapa kejadian yang tidak diduga, semangatnya terus menurun.

"Mari kita pergi."

Datuk terus mendesak.

"Kita balik saja." lemah benar suara Ali Usman.

Bagi menguatkan alasannya, dia memberitahu yang rumah papan tua di bawah pokok ara besar itu, tidak mempunyai apa-apa keistimewaan.

Selain dari menghadiahkan pandangan yang menyeramkan. Akar dari dedahan pokok ara berjuntaian bagaikan bersatu dengan atap zink yang sudah berkarat. Suasana sekitar kawasan rumah sentiasa redup dan lembab.

"Kenapa kita mesti balik?"

"Saya rasa lain macam saja."

"Jangan begitu, memang menjadi tanggungjawab kita bersama untuk menghapuskan perbuatan dan kepercayaan syirik yang bertentangan dengan hukum Allah. Kalau biarkan nanti ramai orang yang jahanam," dengan lembut datuk memujuk.

"Betullah tu."

"Kalau sudah betul, jangan lengah-lengahkan, ayuh kita pergi."

Kali ini, Ali Usman tidak mampu berdalih, tidak boleh memberikan sebarang alasan lagi. Dan dia dengan rela hati menyandang tugasnya semula sebagai kepala jalan menuju ke rumah RAJA SUSUK. Kami segera bergerak.

Hanya bunyi telapak kaki dan kicau burung yang kedengaran. Sesekali terdengar bunyi ranting patah akibat di pijak, diselang seli dengan bunyi daun pokok yang berlaga sesama sendiri kerana disentuh angin.

Kami bertiga tidak banyak bercakap. Masing-masing tetap berhati-hati. Hati kecil terus digayuti harapan. Semuga tidak ada peristiwa buruk yang bakal berlaku.

"Itu dia rumahnya."

Sebuah rumah papan tua, beratap zink tertegun kaku di depan mata. Saya terus memasang telinga, menanti ungkapan yang bakal diluahkan oleh Ali Usman. Tetapi, mata saya terus memperhatikan keadaan sekitar rumah papan usang itu.

Halaman rumah dipenuhi dengan rumput rampai setinggi lutut. Di bawah rumah terdapat timbunan kayu api di samping beberapa pohon senduduk, mengkudu dan pohon ciku yang menolak lantai.

Tidak jauh dari tangga terdapat sebuah perahu lama yang dibuat dari pokok meranti.

Lima ancak yang dibuat dari buluh dan bertiang ( juga dari buluh) dipacakkan di dalam perahu tua. Terdapat lorong kecil untuk laluan seorang sahaja menuju ke kaki tangga yang bersimen separuh. Anak tangga yang berjumlah tujuh semuanya dibuat dari jenis kayu keras.

Sekali pandang, rumah tersebut bagaikan tidak pernah didiami oleh manusia. Pohon ara sebesar dua pemeluk tumbuh megah di sudut kanan rumah berbumbung limas.

Bumbung bahagian dapur bagaikan tidak kelihatan kerana di selimuti dedaun ara yang berjuntaian.

Kehadiran pokok ara dua pemeluk itu memberikan suasana seram dan suram. Boleh mengundang rasa takut pada orang yang baru melihatnya.

Beberapa ekor monyet liar berlompatan dari dahan Ara ke dahan pokok berdekatan yang berjajar menuju kearah bukit kecil yang tidak jauh dari rumah.

Melihat kedatangan kami, monyet-monyet liar itu terus menjerit sambil menegakkan ekornya yang panjang sambil cuba mahu menerkam ke arah kami.

Jeritan monyet yang tidak berhenti-henti berjaya menarik perhatian kumpulan monyet yang lain.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 221/284

BACA: SBDJ Siri 220: Suara Azan Dalam Rimba Raya
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com

Friday, December 27, 2024

SBDJ Siri 220: Suara Azan Dalam Rimba Raya

SBDJ Siri 220: Suara Azan Dalam Rimba Raya

Sesungguhnya saya tidak dapat menduga atau membaca perasaan Ali Usman di saat itu. Gegendang telinga dapat menangkap suara datuk seperti membaca sesuatu. Makin lama, makin jelas kedengaran, saya pasti datuk sedang membaca petikan ayat Al-Quran. Semakin keras suara datuk, semakin galak ular tedung sebesar batang pinang itu mengerak-gerakan badannya.

Toyol jadi-jadian

Ular itu seperti mahu memperlihatkan kekuatan dan kehebatannya kepada kami. Mulutnya dibuka luas mempamirkan dua siung yang tajam. Lidahnya yang bercabang dijulurkan ke kiri dan ke kanan, sesekali terkena kepala Ali Usman.

Semuanya mencemaskan penuh dengan debaran. Bila saya melihat kelopak mata si ular tedung berkedip, semakin kuat saya mengatakan ular tersebut adalah ular jadian.

"Syukur."

Itulah berdetik dalam hati.

Ular yang tegak berdiri, Nampak lemah sedikit. Tidak sehebat tadi, ekornya yang menjadi tunjang berdiri bergerak lembik, secara beransur-ansur badannya merendah separuh pucuk lalang. Kemudian merendah lagi dan akhirnya melata di permukaan jalan.

Kepalanya masih bergerak ke kiri dan ke kanan dengan mulut ternganga. Lidahnya yang bercabang halus, sekejap terjulur keluar sekejap tersentap kedalam. Suara datuk masih kedengaran melafazkan surah pilihan dari Al_Quran.

Saya dan Ali Usman masih tegak kaku, macam tunggul kayu buruk di muara sungai. Gelora hati, hanya Allah sahaja yang Maha Mengetahui.

Di bawah sinar matahari, sisik ular tedung nampak bermanik-manik dan bercahaya kuning keemasan, sungguh menarik sekali. Tanpa disangka-sangka ular tedung itu mendesis sambil membentuk lingkaran.

Beberapa minit berikut, lingkaran itu dibuka perlahan-lahan. Sungguh menhejutkan bila ekornya melibas dengan ganas rerumpun lalang sekitarya.

"Kamu berdua bergerak dengan segera mengundur perlahan-lahan. Kemudian, seorang berdiri di kanan dan seorang lagi di kiri. Ikut seperti apa yang aku lakukan," itu arahan datuk dalam suasana cemas dan mendebarkan.

Apa yang diarahkan segera kami patuhi.

Datuk berdiri dalam keadaan yang agak berbeza dengan kami. Kaki kirinya dihulurkan agak ketara kehadapan. Kaki kanan ditarik ke belakang. Sepasang kelopak matanya dalam keadaan separuh pejam. Sepasang tangan memeluk tubuh.

Tangan kiri menindih tangan kanan dengan telapak tangan kiri mengampu siku tangan kanan. Semua yang datuk lakukan segera kami turuti.

"Jangan pejamkan mata kamu berdua, lihat apa yang terjadi."

"Haaaa..." Ali Usman bersuara.

"Kamu berdua ikut saja, jangan banyak haaaaaaa dan jangan banyak eeekkkkk," satu amaran dari datuk.

Kelopak mata yang separuh pejam segera kami buka.

Ada debaran dalam dada, bila menyaksikan ular tedung terus melibas-libaskan ekornya ke arah rerumpun lalang hingga rebah ke permukaan bumi.

Tidak memadai dengan semuanya itu, si ular tedung membalik-balikkan diri dan menghempas-hempaskan badan di bumi seperti bergelut dengan sesuatu. Suara desis si tedung jelas kedengaran.

Datuk tetap dengan keadaannya, si tedung terus menghempaskan badan hingga tanah jalan yang agak keras menjadi lekuk.

Dari rerumpun lalang yang rebah dan melata, keluar asap nipis macam kabus. Beberapa saat berikutnya asap nipis bertukar menjadi api dan kebakaran kecil pun berlaku.

Saya lihat datuk masih tenang dan saya yakin datuk dapat melihat apa yang berlaku, walaupun kedua-dua belah kelopak matanya dalam keadaan tertutup.

TERBAKAR

Rerumpun lalang terus terbakar dan seluruh kawasan dikuasai oleh asap yang tebal. Saya dan Ali Usman tersedak. Mata mula terasa pedih dan perit. Menarik dan melepaskan nafas terasa sukar sekali.

Angin yang bertiup membawa gumpalan asap ke arah wajah kami. Saya dan Ali Usman mula lemas. Peliknya datuk terhindar dari masaalah yang kami hadapi. Dia tetap tenang dan bersahaja.

Di tengah-tengah gumpalan asap hitam bersama lidah api yang marak memamah rumpun lalang, terlihat bayang seorang lelaki tua, berjanggut putih hingga ke dada, memakai pakaian seperti hulubalang kerajaan Majapahit, duduk bersila atas batu besar di keliling api yang marak.

Di tangan kanannya tersedia sebatang tongkat dari jenis kayu keras berlekuk (berkeluk-keluk) semacam badan ular memanjat akar. Kepala tongkatnya menyerupai naga berkepala dua.

Sekali sekala orang tua berjanggut putih itu kelihatan terangkat secara perlahan-lahan dari permukaan batu. Bergerak bebas di hujung api sambil melemparkan batu-batu ke arah datuk.

Anehnya, belum pun sempat batu-batu mengenai tubuh datuk, batu-batu itu berpatah balik semula ke arahnya dan berlakulah letupan kecil seperti mercun.

Datuk masih seperti tadi. Saya dan Ali Usman terus tersedak dan batuk-batuk. Dada terasa sakit dan sukar untuk menarik dan melepaskan nafas. Orang tua berjanggut masih bergerak bebas mengikut angin.

Bila kedudukannya bertentangan dengan datuk, pergerakannya mati disitu. Bagaikan ada kuasa yang menahannya dari pergi kemana-mana.

Kerana menyedari ada sesuatu di hadapannya, datuk segera membukakan kelopak matanya secara perlahan. Setiap kali kelopak matanya bergerak terdengar suara rintihan orang menangis dan meminta tolong. Tidak tahu dari mana suara itu datang.

Jalan yang dilalui, tidak wujud lagi di depan mata. Sudah hilang entah kemana. Kiri kanan ialah lautan api yang sungguh luas.

Bahang api membuat seluruh badan terasa panas, tekak menjadi kering dan rasa dahaga bagaikan tidak tertahan-tahan. Seluruh tubuh kami berdua dibasahi peluh. Letupan kecil terus berlaku.

Saya dan Ali Usman melihat datuk, dua tiga kali rebah ke bumi mengerang kesakitan. Macam ada sesuatu yang menumbuk dan memukulnya.

Setiap kali datuk rebah ke bumi, secepat kilat dia bangun tanpa membuka tangan yang memeluk tubuh, suara rintihan meminta tolong terus bergema.

Dalam satu kesempatan yang agak baik dan selamat datuk segera mengumpulkan segala kekuatannya. Berdiri dalam keadaan siap sedia mengahadapi sebarang rintangan.

Orang tua berjanggut putih separas dada, rupa-rupanya menyusun strategi. Dia juga berdiri dalam kumpulan asap tetapi, separuh saja badannya yang kelihatan.

Tubuh bahagian pinggangnya bagaikan bersatu dengan asap. Orang tua berjanggut putih separas dada merenung ke arah datuk. Mereka bertentang mata.

"Ajaib," kata saya.

Seluruh badan menggeletar. Bagaimana tidak mengeletar? Dari mata lelaki tua berjanggut separas dada, muncul cahaya kehijauan, kekuningan dan kemerahan.

Semua warna itu berpadu (menjadi satu) dan membulat macam sarang tebuan. Warnanya bertukar agak menjadi putih pucat, persis macam warna sarang tebuan.

SARANG

Benda yang seperti sarang tebuan itu terus melindungi wajah lelaki tua berjanggut panjang. Seimbas pandang, lelaki tua berjanggut panjang itu, bagaikan berwajah sarang tebuan.

Apa pun yang berlaku di depan mata, saya tetap mengawasi setiap pergerakan datuk.

Datuk pun mengubah kedudukan kakinya. Kaki kiri dialihkan ke belakang dan kaki kanan di ubah ke depan. Berdiri seperti seorang pesilat yang bersedia menhadapi serangan musuh.

Anak matanya bergerak tajam merenung keliling macam ada sesuatu yang dicarinya.

Datuk bermandi peluh dan saya lihat Ali Usman cemas semacam. Dalam diam, dia berusaha merapatkan badannya dengan saya. Api yang membakar seluruh kawasan padam mengejut.

"Pernah kamu menghadapi perkara semacam ini?" bisik saya ke telinga Ali Usman.

Tiada jawapan yang saya terima. Pertanyaan yang sama saya ulangi.

"Tak pernah," jawabnya pendek.

"Kamu kenal orang tua tu?"

Ali Usman gelengkan kepala.

"Barangkali ada hubungan keluarga dengan kamu?"

"Kau jangan merepek, Tamar."

"Maafkan aku Ali," tutur saya tenang.

Rasa kurang senang yang terpamir di wajah Ali Usman segera padam.

Saya dan Ali Usman terkejut besar, kami terdengar deru angin yang cukup kuat. Datuk masih berdiri seperti tadi. Bagaikan tidak terganggu dengan bunyi deru angin tersebut.

Orang tua berwajah sarang tebuan masih tidak berganjak dari tempatnya.

"Ribut mengejut," kata saya pada Ali Usman, bila melihat dahan mempelam dan dahan durian yang berputik lebat sekali. Dedaun muda dan tua berterbangan.

Angin yang kuat membuat saya dan Ali Usman hampir terjatuh dan terpaksa mencari pokok kecil untuk bertahan.

Anehnya ribut yang datang secara mengejut itu itu berlegar-legar dalam kawasan seluas antara lima hingga 100 meter. Beberapa batang pokok bayas dan pokok pisang hutan tercabut bergelempangan.

Ribut yang disertai dengan titik-titik hujan yang halus menyebabkan baju kami basah dan lembab. Rasa gatal dan miang mula menguasai celah ketiak, celah pelipat paha dan tengah belakang.

Cuping telinga terasa tebal, pangkal hidung terasa membengkak. Semuanya ini, membuat saya tidak tenang dan selesa.

Ribut terus mematahkan dedahan pokok, menggugurkan dedaun dan peputik buah-buahan. Deru ribut membuat telinga terasa pekak. Badan menggigil kesejukan.

"Azan..."

Kerana yakin suara itu adalah suara datuk, saya segera menoleh ke arahnya. Tetapi, datuk tidak dilihat, dipisahkan oleh dinding asap yang tebal. Tidak tahu dari mana datangnya.

"Kita dalam bahaya Ali," tutur saya mengeletar kesejukan.

"Maksud kamu, Tamar?"

"Kamu lihat sendiri Ali, asap tebal memisahkan kita dengannya."

"Jadi apa yang harus kita lakukan."

"Tak tahu." Jawap saya dengan rasa hampa dan kecewa.

Titik-titik hujan yang halus bertukar besar. Beberapa dahan yang sekah dibawa angin jatuh di sisi saya dan Ali Usman. Setiap kali titik hujan yang kasar mengenai tubuh, aduh sakitnya bukan kepalang seperti terkena air panas.

"Azan."

Saya dan Ali Usman berpandangan.

"Itu suara datuk kamu, Tamar."

"Iya, tadi aku terdengar suara macam itu, Ali."

"Barangkali dia suruh kita azan, kau saja yang azan dan kemudian tengok hasilnya."

“Baiklah,”

AZAN

Beberapa saat berikutnya, saya terus melaungkan azan. Bergema di seluruh kawasan.

Reaksi pertama dari tindakan itu ialah hujan semakin menjadi-jadi bersama dengan dentuman petir. Dahan jering yang sebesar paha terus patah. Tidak memadai dengan itu, batangnya terbelah dua.

Sepotong kayu melayang-layang ke arah kepala Ali Usman. Dengan serta merta Ali Usman meniarap badannya ke tanah. Potong kayu itu jatuh tidak jauh dari Ali Usman, lebih tepatnya jatuh atas perdu nenas dan perdu nenas pun terbakar dalam hujan yang mencurah-curah itu.

Ali Usman yang tertiarap tidak dapat bangun. Tubunya bagaikan melekat di bumi. Mukanya nampak pucat sekali.

Apakah saya harus melaungkan azan atau berhenti untuk menolong Ali Usman yang berusaha untk berdiri. Dalam masa yang sama saya seperti mendengar suara datuk menyuruh saya meneruskan laungan azan dan jangan mempedulikan keadaan sekitar.

Saya mengambil keputusan untuk mematuhi bisikan suara datuk. Penuh semangat dan khusyuk azan saya laungkan dengan semahu-mahunya. Sungguh mengejutkan sebaik saja saya menghabiskan laungan azan, ribut beransur reda, begitu juga dengan bunyi petir dan hujan.

Tergesa-gesa Ali Usman bangun sambil menepuk-nepuk bajunya menghilangkan kesan-kesan tanah dan dedaun yang melekat.

Perdu nenas yang terbakar, tidak apa-apa. Tetap seperti keadaan asal. Begitu juga dahan-dahan yang sekah atau patah akibat ribut kembali pada keadaan asal. Tidak ada sesuatu yang terjejas, semuanya seperti sediakala.

Malah asap tebal yang memisahkan kami (saya dan Ali Usman) dengan datuk, sudah hilang entah ke mana. Tetapi, orang tua berwajah sarang tebuan masih wujud, berdepan dengan datuk yang masih berpeluk tubuh.

Dalam kedaan tubuh dan dahi yang berpeluh, saya lihat datuk masih berusaha mencari anak mata lelaki tua yang ditampal sarang tebuan. Dengan sedaya upaya lelaki itu cuba mengelak.

Ternyata, usaha itu menemui kegagalan, menerusi mata batinnya, datuk dapat mengesan di mana lelaki tua itu menyembunyikan anak matanya di balik sarang tebuan.

Bila sudah menemui sasarannya dengan penuh hati-hati dan keyakinan datuk pun melepaskan pandangan makrifat bersama sebuah doa yang diambil dari surah Al-Jin. Dengan serta merta sarang tebuan yang tertampal di wajah lelaki tua melahirkan bunyi letupan kecil seperti mercun.

Sarang tebuan pecah berkecai, bertaburan bersama percikan bunga api dalam bermacam-macam warna. Di mana saja percikan bungi api itu jatuh akan berlaku kebakaran kecil.

Sebahagian yang tidak menjadi bunga api bertkar menjadi kepingan tanah liat kering bila jatuh kepermukaan bumi mengeluarkan kepulan asap hitam seperti asap tayar kereta yang dibakar.

Sebahagian lagi dari percikan bungan api seperti menuju ke arah pakaian datuk. Malangnya, belum pun sempat percikan bunga api membakar baju dan seluar hitam datuk, bunga api itu padam lalu menjadi kumpulan kelkatu yang membunuh diri dalam api di mana berlaku kebakaran kecil.

HITAM

Dalam kepulan asap hitam yang tebal itu, lelaki tua berjanggut separas dada mempamerkan wajah sebenarnya. Muka sebelah kirinya cukup sempurna. Tidak ada cacat cela.

Manakala, muka sebelah kanan sungguh menyeramkan. Tanpa hidung, kulitnya bersisik macam kulit bunga tembaga. Ada tanduk di kepala, macam tanduk kambing gurun dengan telinga menyerupai telinga harimau.

Manakal bibirnya, terjuih kebawah dan tebal. Bibir atasnya menutup mulut. Matanya kecil tanpa kelopak, tanpa kening dan tersembul keluar seperti mata katak puru.

"Manusia dua muka."

Terdengar suara datuk tersangkut-sangkut, macam ada sesuatu yang tersangkut di kerongkong. Suara orang ketua dengan jumlah yang ramai mula menguasai kawasan sekitar.

Saya dan Ali jadi mengelabah semacam. Datuk masih tetap tenang, suara ketawa beramai-ramai beransur perlahan-lahan dan akhirnya hilang. Begitu juga dengan lelaki dua wajah buruk dan cantik, terus ghaib.

Tetapi, kami berhadapan dengan suasana yang sungguh mencemaskan, di sekeliling kami – setiap inci penuh dengan api yang menjulang melepasi kepala. Bahang ganasnya Allah sahaja yang mengetahui.

Lagi sekali lelaki tua berjanggut separas dada muncul dalam wajah yang sungguh berbeza. Kalau tadi sebelah mukanya hodoh dan sebelah lagi buruk. Kali ini keadaan ini tidak wujud.

Dia muncul dengan wajah yang sempurna, bertanjak, bermisai sambil memegang hulu keris berukiran kepala helang. Orangnya sungguh kacak berkulit putih merah.

Tetapi sayang dia hanya muncul untuk beberapa saat saja dalam keadaan yang amat marah.

Sebelum menghilang sedikit demi sedikit dari penglihatan saya – mungkin juga penglihatan Ali Usman dan datuk, terdengar suara dengusan darinya serentak dengan itu dia terus ghaib.

Saya dan Ali Usman terpinga-pinga. Datuk nampak bersahaja, bagaikan tidak terkesan dengan apa yang berlaku.

Saya dan Ali Usman bagaikan dihumban kembali ke alam nyata. Tidak ada asap, tidak ada lalang yang terbakar. Malah, tidak ada api yang marak menjulang. Segala-galanya macam biasa. Masih berdiri tidak jauh dari pokok jering besar yang tidak berubah.

Langit nampak cerah dengan awan gemawan yeng berarak lembut ke selatan. Matahari bersinar terang. Cuma yang tidak berubah, kami bertiga (saya, datuk dan Ali Usman) tidak berubah dari kawasan mula berdiri tadi.

Saya kira kawasan tempat kami berdiri mempunyai keistimewaan yang tersendiri. Boleh membuat orang yang berdiri di situ berada dalam dua alam. Alam fantasi dan alam nyata.

Dalam erti kata lain, berada di alam manusia dan alam makhluk halus, boleh jadi alam jin (bunian) atau syaitan.

"Apa erti semuanya ini?" Sebuah pertanyaan dari Ali Usman ntuk datuk.

Tiada jawapan yang diterima oleh Ali Usman. Terukir rasa hampa di kerutan wajahnya.

"Bertenang dulu Ali, belum masanya untuk bertanya," kata saya perlahan sambil meraba-raba pangkal dagu.

"Aku setuju dengan kamu Tamar," sahutnya tenang.

Datuk menarik nafas dalam-dalam. Cuba mententeramkan fikiran dan melapangkan dada. Saya pun melagakan gigi atas dengan gigi bawah berkali-kai sambil memikirkan tentang suasana yang ditempuh sebentar tadi.

Suasana demikian suasana yang asing bagi saya.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 220/284

BACA: SBDJ Siri 219: Rahsia Pondok Raja Susuk
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com

Friday, December 20, 2024

SBDJ Siri 219: Rahsia Pondok Raja Susuk

SBDJ Siri 219: Rahsia Pondok Raja Susuk

Beberapa orang tempatan yang berada di situ mula beredar. Barangkali mereka tidak mahu campur tangan dalam urusan yang tidak menguntungkan itu.

"Huh, penakut."

Terdengar suara protes. Tidak tahu dari mana datangnya. Saya cuba mengesan tetapi, tidak berhasil sama sekali. Hati kecil yakin, suara itu datangnya dari lelaki berwajah keras.

Toyol jadi-jadian


Ada dua alasan yang kuat kenapa saya mengatakan suara itu datangnya dari lelaki yang berwajah keras. Pertama, dia tidak begitu suka seperti menaruh dendam pada simati. Kedua, dia seperti tidak puas hati dengan tindak tanduk si ulama berbadan kecil.

"Hummmmmm..."

Terdengar dengusan.

Kali ini saya berjaya mengesan si pendengus tersebut, Tidak lain, tidak bukan ialah lelaki berwajah keras. Dia tidak berpuas hati kerana tidak menerima penjelasan segera dari si ulama berbadan kecil.

Dan protes itu dilahirkan dengan berbagai-bagai cara untuk perhatian orang ramai terutama dari si ulama.

Apa juga yang dilakukan oleh lelaki berwajah keras, tidak dipedulikan oleh si ulama berbadan kecil. Keadaan demikian, membuatkan saya resah semacam, mungkin orang lain juga mengalami seperti apa yang saya alami.

Lelaki berwajah keras bertambah agresif. Dia bercakap ikut suka hati. Meluahkan sindiran tajam dan pedih secara tidak langsung ditujukan kepada si ulama berbadan kecil. Mulutnya cukup celupar.

Apa yang menariknya, si ulama tidak bertindak balas. Tetapi tenang dan bersahaja. Malah saya pula yang panas telinga.

"Saudara."

Semua biji mata tertumpu ke arah Pak Imam yang berdiri dengan wajah berkerut.

"Kenapa?" sanggah lelaki berwajah keras.

Dia dapat merasakan Pak Imam memperkatakan sesuatu terhadapnya. Lalu dia memusingkan tubuhnya menghadap ke arah Pak Imam. Dada dan muka mereka bertentang,

"Dengan izin Allah, tidak ada perkara pelik di muka bumi ini, Allah berhak melakukan apa saja terhadap makhluk ciptaannya, janganlah kita persoalkan kekuasaan Allah," tambah Pak Imam dalam nada suara yang keras dan lantang.

Tindakan Pak Imam itu mengejutkan datuk, Syed Hamid Al-Hadad juga si ulama berbadan kecil. Memang mereka tidak menduga Pak Imam yang banyak diam dari bercakap itu mahu mengambil dan menjalankan peranannya sendiri.

"Tidak baik mengungkit dan memperkatakan tentang orang yang sudah mati, perbuatan itu mencerminkan kerendahan akhlak diri sendiri, lagi pun perbuatan demikian di tegah oleh agama," Pak Imam menyambung kuliah singkatnya di depan para tetamu.

Tersentak dengan penjelasan Pak Imam, lelaki berwajah keras terdiam. Tidak memperlihatkan sebarang reaksi. Malah tunduk terus sehingga majlis ucapan terima kasih itu selesai.

Tetapi, saya dan Harun tetap waspada, mungkin orang lain juga demikian. Mana tahu, dalam diam lelaki berwajah keras yang merasakan dirinya diperkecilkan bertindak di luar dugaan.

BERGERAK

Penduduk setempat mula bergerak. Mula bersalaman dengan ahli rombongan dari Masjid Raya, termasuk Syed Hamid Al-Hadad, Pak Imam dan datuk.

Saya dan Harun orang terakhir tidak membabitkan diri dalam acara itu, masih sendirian dan duduk mencangkung atas tunggul buruk, macam beruk jantan nanti beruk betina melintas di depan.

Saya kira kata-kata dari Pak Imam meninggalkan kesan yang mendalam pada dirinya.

"Terima kasih."

Dengan pantas ayah Ali Usman menyambar telapak tangan yang dihulurkan oleh Syed Hamid Al-Hadad. Telapak tangan mereka berlaga kulit, jari jemari bercantum erat.

Kelopak bibir mengukir senyum dalam pelukan persaudaraan sesama Islam, penuh erat, penuh mesra.

"Sepatutnya saya yang mengucapkan terima kasih kerana berusaha membawa jenazah arwah abang saya untuk dikebumikan di sini," suara ayah Usman Ali tersekat-sekat dan akhirnya menangis.

"Jangan menangis."

"Maafkan saya, semoga Allah murahkan rezeki, panjangkan umur Tuan Syed."

"Alhamdulillah, semoga Allah memberi rahmat dan petunjuk ke atas keluarga kamu," balas Syed Hamid Al-Hadad sambil menjatuhkan tangannya yang memeluk tubuh ayah Ali Usman.

Syed Hamid Al-Hadad hanya melangkah beberapa tapak ke depan sebelum berpatah semula ke arah ayah Ali Usman.

Sudah tentu perbuatan Syed Hamid Al Hadad menimbul persoalan dalam hati datuk. Mungkin juga dalam hati Pak Imam tetapi, Ali Usman tidak pula menganggap perbuatan Syed Hamid Al-Hadad sebagai sesuatu yang luar biasa.

"Lelaki yang marah-marah tu, orang dari kampung mana?"

Syed Hamid Al-Hadad bertanya secara berbisik kepada ayah Ali Usman.

"Anak jati kampung ni, tinggal sebelah darat dekat sungai," balas ayah Ali Usman secara berbisik juga.

"Saya nak berjumpa dengannya."

"Haaaaa..."

Terbeliak sepasang biji mata ayah Ali Usman seketika. Tidak terdetik di dalam hatinya yang Syed Hamid Al-Hadad berminat dengan lelaki berwajah keras.

"Bawa saya berjumpa dengannya," desak Syed Hamid.

Tanpa bertangguh lagi, ayah Ali Usman membawa Syed Hamid Al-Hadad bertemu dengan lelaki berwajah keras yang termenung di tunggul buruk.

Pertemuan Syed Hamid Al-Hadad dengan lelaki berwajah keras itu berlangsung lebih dari setengah jam. Ada ketikanya, mereka kelihatan seperti bertengkar dan mahu bergaduh dan dalam masa yang sama nampak cukup mesra.

Apa yang jelas, lelaki berwajah keras tetap dengan sikap agresifnya, cepat naik darah dan bercakap dengan suara yang tinggi. Seolah-olah mahu mengheret Syed Hamid Al-Hadad dalam pergaduhan kecil.

Usahanya itu gagal, dapat dikalahkan oleh Syed Hamid Al-Hadad dengan sikap perwatakannya yang lembut dan tenang.

Walaupun ayah Ali Usman tidak melibatkan diri dalam dialog kecil antara Syed Hamid Al-Hadad dengan lelaki berwajah keras, dia tetap mengawasi keadaan.

RIWAYAT

Semasa Syed Hamid Al-Hadad menjejaki riwayat silam laki berwajah keras itu secara perbualan dari adik si mati, datuk mengambil peluang mengajak Ali Usman (lelaki empat puluhan) ke pondok pamannya, RAJA SUSUK yang terpencil di kaki bukit. Saya di ajak oleh datuk untuk menemaninya ke kaki bukit.

Pemergian saya dan datuk dipersetujui oleh Pak Imam dengan bersyarat. Harun mesti tinggal bersamanya untuk mengikuti perkembangan pertemuan Syed Hamid Al-Hadad dengan lelaki berwajah keras.

Syarat itu bukanlah syarat yang sulit buat datuk. Tetapi, bagi Harun syarat itu sungguh menyiksakan, dia harus berpisah dengan saya untuk sementara.

Perjalanan ke pondok RAJA SUSUK terpaksa melalui denai yang saya kira, laluan binatang buas yang kiri kanannya penuh dengan semak belukar.

Kami tidak boleh jalan bersaing kerana denai yang sempit muat untuk laluan seorang saja. Suasana terasa menyeramkan dibawah sinar matahari yang keras, terdengar bermacam-macam dari berbagai jenis unggas.

"Yang kita lalui ni, laluan gajah waktu malam. Kadang-kadang waktu siang begini ada harimau yang lalu, ular tedung melintas. Kalau nasib baik dapat melihat kijang."

"Oh..." itulah reaksi saya.

"Berbulan-bulan saya berulang-alik di laluan ini, tidak kira waktu, ada masanya waktu tengah malam, subuh, pagi, petang, tengah hari memujuk dia supaya bertaubat dan kembali ke jalan yang benar. Empat kali berulang alik belum tentu dapat bertemu dengannya," cerita Ali Usman.

Datuk tidak memberikan sebarang komentar. Dia hanya anggukkan kepala.

Saya kira bermacam-macam bergolak dalam tempurung kepala datuk, bagaikan ombak memukul pantai. Pasti, datuk tidak dapat memisahkan barang dalam bungkusan di rumah Harun dengan pondok milik RAJA SUSUK di kaki bukit, semuanya itu mungkin ada kaitannya.

"Saya pernah terserempak dengan harimau menggonggong napuh waktu tengah malam di sini," Ali Usman berhenti melangkah dan menunjukkan kepada datuk dan saya dari arah mana harimau itu muncul dan ke arah mana pula dia menghilangkan diri.

"Berhati-hati," pendek datuk bersuara.

Dan saya menoleh ke kiri, pepokok kecil bergerak macam dilanggar sesuatu. Suara unggas kian garang berbunyi bagaikan memberikan kepada kami sesuatu yang bakal muncul dari rimbunan pepokok kecil.

Saya semakin cemas, sepasang biji mata berputar melihat keadaan sekitar. Dengan tidak semena-mena kepala lutut mengeletar. Kaki terasa lemah untuk melangkah. Malah, sepasang telapak kaki bagaikan tidak berpijak di permukaan bumi.

"Subhanallah..." ucap saya lemah.

Dari celah-celah rimbunan pokok kecil terjenggul kepala harimau dengan sinar mata yang tajam dan garang. Dan dalam beberapa detik saja seluruh badan harimau dapat saya lihat dengan jelas sekali.

"Tuk...." saya bersuara.

Tiada jawapan balas yang diterima. Dedaun hutan yang tua ditolak angin melayang-layang lemah sebelum tersadai di dedaun pepokok kecil. Suara monyet liar mula kedengaran.

Ali Usman yang menjadi kepala tidak memperlihatkan rasa terkejut atau cemas. Dia nampak tenang dan bersahaja, begitu juga dengan datuk.

Harimau belang sebesar bapak lembu dengan perut yang mengelembir, terbuai ke kiri, terbuai ke kanan merintangi perjalanan kamai.

"Bagaimana..." ucap saya,

Datuk dan Ali Usman tidak memberikan sebarang reaksi. Bagi mereka harimau besar yang mengoyang-goyangkan itu bagaikan tidak wujud.

Dan harimau nampak semakin berani, kalau tadi dia merintangi jalan, kini semakin bebas bergerak. Berlegar-legar didepan kami. Suara monyet liar semakin kuat.

Setelah beberapa kali berlegar sambil menguap, harimau besar itu cuba melakukan terkaman untuk mematahkan batang leher Ali Usman. Hati saya semakin kecut. Datuk tetap berdiri tenang.

PERSOALAN

Keadaan yang tidak aman itu menimbulkan bermacam-macam persoalan dalam hati. Apakah salah seorang dari kami akan menjadi mangsa harimau? Kenapa datuk tidak melakukan sesuatu?

Berapa lama Ali Usman boleh bertahan dengan keadaan yang mencemaskan ini. Saya menggigit bibir sambil menarik nafas panjang. Harimau terus melakukan terkaman maut ke arah Ali Usman yang tidak berganjak dari tempat dia berdiri. Bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.

Setelah menyorot dengan teliti pergerakan harimau belang, saya dapati ada sesuatu yang aneh terjadi. Setiap kali harimau itu melakukan terkaman akan mengalami kegagalan. Hanya mampu melompat separuh jalan saja.

Harimau itu nampak seperti kehilangan tenaga dan kekuatan. Kaki belakangnya seperti tidak berfungsi untuk menolak tubuhnya yang besar itu ke arah Ali Usman yang sedang menanti di depannya.

Dalam usaha menahan serangan harimau belang berbadan besar, saya dapati Ali Usman melakukan dua perkara. Dia tidak berganjak pada tempat dia berdiri dalam kedudukan sebagai seorang jaguh silat menentang musuh.

Sepasang matanya tidak berkedip merenung ke arah anak mata harimau liar. Agaknya, kerana bosan, sering mengalami kegagalan menerkam Ali Usman, perlahan-lahan harimau itu beredar sambil mencium dedaun pepokok renik di kiri dan di kanannya.

"Kamu nampaknya, hebat sekali," kata datuk.

"Perkara begini memang selalu saya alami," Ali Usman menoleh ke arah saya dan datuk.

"Hmmmm..." pendek saja jawap datuk.

Dan perjalanan pun diteruskan. Suara jeritan monyet tidak kedengaran lagi tetapi, suara burung masih kedengaran terutama burung murai batu, merbah jambul dan kuang.

Hati kecil tetap mengharapkan tidak akan berhadapan dengan perkara yang tidak diingini. Matahari tetap ramah memancarkan cahayanya. Walau apapun, kami tetap melangkah dengan hati-hati.

"Kata arwah bapa saudara saya, semua binatang buas di kawasan ini sudah dikuasainya. Sudah diilmukan secara jauh. Semuanya sudah disusuk secara batin," ungkapan Ali Usman itu sesuatu yang mengejutkan dan saya menoleh ke arah datuk.

"Ehemmmm..."

Saya tidak tahu kenapa datuk berdehem. Mungkin ada sesuatu yang tersirat dari suara tersebut?

Apa yang pasti ungkapan yang terluah dari kelopak bibir Ali Usman menambahkan perbendaharaan pengetahuan saya. Barulah saya tahu rupanya binatang buas juga boleh disusuk. Benarkah perkara ini? Timbul pertanyaan dalam hati.

"Orang yang satu keturunan dengan paman, tidak akan dibinasakan oleh binatang buas dan mereka sering diuji. Ada syarat tertentu untuk mengatasi ujian tersebut."

"Apa syaratnya?" Dengan pantas datuk meningkah.

"Menentang anak mata binatang buas dengan tidak berkedip, ibu jari kaki kanan dibengkukkkan," jelas Ali Usman sambil berjalan. Dia tidak mahu menoleh ke arah datuk. Saya hanya memasang telinga saja.

"Kamu percaya dengan cakapnya tu?"

Langkah Ali Usman terhenti seketika. Dengan pantas dia menoleh ke arah datuk. Kerana Ali Usman berhenti secara mengejut menyebabkan saya hampir melanggarnya. Datuk tersenyum melihat gelagat saya.

"Dalam hal ini susah saya mahu menjelaskannya. Nak kata tak percaya, perkara itu macam benar," lemah benar suara Ali Usman, selemah hayunan kakinya.

"Buktinya," datuk minta kepastian.

"Pernah di suatu petang saya terserempak dengan babi hutan yang ganas terus menyerang saya. Kerana tidak ingat pesan paman, saya terus melarikan diri. Entah macam mana dalam keadaan yang kelam kabut, saya teringat cakap paman. Apa yang dicakapkannya, saya buat, mata babi hutan itu saya tentang," Ali Usman berhenti bercerita.

"Akhirnya jadi macam mana?" soal datuk.

"Bila ditentang dengan penuh rasa yakin, babi hutan itu tunduk dan undur kebelakang. Itulah sebabnya saya kata susah nak cakap, nak kata tak percaya pun tak boleh, bila percaya rasanya macam tak masuk akal," jujur benar Ali Usman menerangkan keadaan sebenar yang di alaminya.

POKOK

Penjelasan dari Ali Usman membuat datuk tersenyum panjang. Andainya, pada ketika itu ada orang bertanya tentang pendirian saya dalam hal ini, pasti saya katakan sama dengan pendapat Ali Usman. Perjalanan diteruskan ke tempat yang diingini.

Sebaik saja mendekati pokok jering besar yang tidak berbuah, dalam jarak kira-kira lima kaki, halangan baru muncul. Seekor ular tedung muncul dari rerumpun lalang berdekatan pokok jering besar. Sisiknya nampak berkilat ditampar cahaya matahari.

Ular itu duduk di tengah jalan sambil memanggungkan kepalanya. Lidahnya yang bercabang terjulur keluar, bergerak ke kanan dan ke kiri.

Ah! sungguh menyiksakan, perjalanan menuju ke rumah peninggalan RAJA SUSUK penuh dengan rintangan dan cabaran.

Kenapa datuk memilih cara ini menyelesaikan masalahnya, fikir saya dalam hati sambil merenung ke arah ular tedung yang tegak berdiri melepasi kepala kami bertiga. Tiba-tiba dengan sekelip mata ular itu hilang dari pandangan saya.

Secara otomatik saya terfikir, ular tedung tersebut, bukan ular sebarangan. Sudah pasti ular jadi-jadian dan harus dimusnahkan.

Sebaik saja saya berpendapat sedemikian ular itu menjelma kembali, betul-betul di depan Ali Usman dalam jarak yang cukup dekat, tidak sampai sepuluh kaki.

Apa yang tergambar dalam kepala saya ialah sebuah kematian yang mengerikan. Tiga manusia mati serentak dipatuk ular tedung.

"Jangan bergerak."

Terpinga-pinga saya mendengar suara datuk. Bagaikan ada kuasa ghaib, sepasang kaki Ali Usman dan saya bagaikan dipaku dibumi. Tidak bergerak walau seinci pun.

Memang ada niat untuk menoleh ke arah datuk, bila mengingatkan arahannya hasrat tersebut terpaksa dikuburkan begitu saja.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 219/284

BACA: SBDJ Siri 218: Menjunjung Songkok Hitam
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com