Tuesday, November 12, 2024

SBDJ Siri 216: Raja Susuk Mati Di Masjid

SBDJ Siri 216: Raja Susuk Mati Di Masjid

Suasana dalam Masjid Raya terasa damai. Di luar bunyi hon kereta masih galak, begitu juga dengan bunyi loceng dan hon motosikal saling meningkah mengusik gegendang telinga. Cuaca beransur cerah. Datuk kelihatan cukup berminat untuk mengikuti ceramah, yang disampaikan oleh ulama berbadan kecil itu.

Toyol jadi-jadian

Secara jujur si ulama berbadan kecil itu mengaku tidak tahu bagaimana budaya susuk menguasai Kepulauan Melayu. Dia juga tidak menolak kemungkinan pengamal susuk kurang pengetahuan agama. Tidak tahu yang perbuatan mereka salah dan dilarang.

Boleh jadi juga mereka tidak tetap iman, sering berubah-ubah dan ragu-ragu. Dan bukan mustahil mereka yang tahu perbuatan itu salah, sengaja buat tidak tahu kerana wang atau mahu hidup senang atau mengambil kesempatan dari orang yang sememangnya jahil.

Ertinya mempergunakan dan memperalatkan kelemahan, kebodohan orang lain untuk kepentingan diri sendiri.

"Perbuatan begini, bukanlah perbuatan terpuji. Agama tidak mengalakkannya dan orang-orang yang nipis iman sanggup melakukannya." tutur ulama berbadan kecil dengan wajah serius.

Datuk dan para jemaah nampak mengangguk kepala, setuju dengan apa yang diluahkan oleh si ulama tersebut.

Ulama berbadan kecil terus menyebut, bahawa orang yang tetap pegangan keimanannya dianggap sebagai ladang yang subur bagi syaitan untuk menabur benih kesesatan.

Bila sesaorang mengalami putus asa, tidak percaya pada diri, mungkin disebabkan putus tunang, susah mendapat jodoh, kerjaya terhalang atau merasai dirinya dikhianati kawan sekerja dan sebagainya. Masa itulah iblis menjalankan peranannya.

"Iblis melakukan peranannya sebagai penggoda anak adam, sesuai dengan janjinya di depan Allah, bahawa syaitan akan menggoda umat manusia hinga hari kiamat. Jampi-jampi sihir ajaran syaitan. Ilmu syaitan (sihir) sudah ujud sejak zaman para nabi lagi. Contohnya, zaman Nabi Musa alaihi salam. Jadi dalam hal ini yang salah, manusia itu sendiri atau iblis?"

Saya lihat wajah para jemaah nampak serius. Ada yang tunduk dan ada yang menarik dan melepaskan nafas. Ulama bertubuh kecil terus menatap wajah para jemaah satu demi satu, termasuk wajah saya dan Harun.

"Jawap pertanyaan saya," Ulang si ulama dalam nada suara yang tinggi.

"Syaitan salah tuk guru," sahut seorang jemaah yang berada di bucu masjid.

Si ulama berbadan kecil gelengkan kepala.

"Manusia yang salah," sahut jemaah di belakang saya.

Si ulama segera anggukan kepala.

"Betul, syaitan itu kerjanya. Manusia pula harus mempertahankan diri dengan iman. Kalau tak tau hal-hal agama manusia disuruh belajar dan berfikir. Tahu membezakan yang buruk dan baik. Itulah sebabnya manusia dikurniakan akal fikiran."

Macam tadi juga, para jemaah terpaku. Akur dengan penjelasan yang diluahkan oleh si ulama.

TARIK

Dengan wajah yang bersahaja bersama nada suara lembut tetapi bertenaga, si ulama berbadan kecil terus menyebut yang sihir itu boleh mengubah perkara yang tidak menjadi wajar atau terlihat wajar dari penglihatan orang yang tidak tetap hati atau sentiasa berada dalam keraguan, goyang imannya.

Sesungguhnya daya tarik atau kecantikan lahiriah tidak begitu diutamakan, apa yang diutamakan ialah kecantkan batiniah.

Bila batin cantik kerana iman, maka rupa buruk dan kulit yang hitam akan memancarkan cahaya wajah yang cantik dan menarik.

"Ingin saya mengingatkan kepada meraka yang mengamalkan susuk, segeralah bertaubat. Macam saya katakan tadi, kecantikan itu bukan terpancar dari lahiriah tetapi dari batiniah. Jika batiniahnya cantik, sudah pasti lahiriahnya cantik. Soalnya sekarang, bagaimana mahu cantik lahir batin," sepasang anak mata hitam si ulama tertumbuk ke arah wajah para jemaah.

Tiada seorang pun yang berani memberikan pendapat. Semuanya membatu.

"Mudah saja," kata si ulama.

"Bagaimana caranya Tok Guru?" Dengan mendadak saja seorang jemaah memberanikan diri bertanya. Duduk paling hujung, dekat dinding tidak jauh dari pintu. Semua biji mata para jemaah merenung kearahnya.

"Bagus awak berani bertanya, bila kita belajar kita mesti kerap bertanya dengan itu dapat mengasah daya berfikir, banyak perkara dapat kita ketahui. Awaklah 'hero' kuliah subuh kali ini," si ulama berbadan kecil berjenaka sambil menegakkan ibu jarinya ke arah orang yang bertanya.

Dan ruang Masjid Raya pun dipenuhi dengan suara orang ketawa, menghalau rasa bosan dan membelakkan biji mata para jemaah yang mengantuk.

"Cantikkan batin dengan cara beriman, bertawakal, berdoa dan menjalankan segala syariat Islam yang telah digariskan. InsyaAllah Tuhan akan mengkabulkan segala hajat kita. Bagi Pak Dukun, Pak Kiai yang masih menjalankan pasang susuk, segeralah bertaubat. Amalkan ilmu kejalan Allah agar dapat pahala yang baik, sebabnya dunia ini adalah fana," si ulama berbadan kecil menarik nafas lalu berhenti bercakap.

Hampir lima minit masa berlalu begitu sahaja. Semuanya bagaikan terpukau mendengar nasihat dari si ulama berbadan kecil.

Dari wajah yang terpamer, saya dapat menduga bahawa para jemaah masih mengharapkan si ulama menyambung percakapan yang terhenti.

Tetapi dari gerak geri yang diperlihatkan seolah-olah si ulama itu memberitahu yang dia tidak berminat mahu menyambung percakapan yang terhenti. Dia seperti mengelamun macam ada sesuatu yang difikirkannya.

Para jemaah mula resah semacam. Si ulama berbadan kecil tetap seperti tadi, terus mengelamun dan berkhayal. Para jemaah yang tertonggok bagaikan tidak wujud didepan matanya.

Akibatnya menimbul bermacam macam keraguan dalam hati para jemaah termasuk diri saya dan Harun.

"Oh ya..."

Si ulama berbadan kecil seperti terkejut dari sebuah lamunan yang panjang. Dia toleh kiri, toleh kanan. Beberapa orang jemaah yang sedar atas perbuatan si ulama tersenyum panjang.

"Cukup sampai di sini saja, kalau umur saya panjang dua minggu lagi kita berjumpa di sini, kita bincangkan pula topik keimanan dan ketakwaan. Maafkan saya kalau semasa bercakap tadi, ada kata-kata yang boleh menyinggung perasaan kamu semua," ungkap si ulama berbadan kecil, senyum terus berlari di kelopak bibirnya.

PENUTUP

Sebagai penutup majlis, Pak Imam pun membaca doa kesyukuran dan kesejahteraan untuk para jemaah yang hadhir.

Selesai doa dibaca, si ulama berbadan kecil segera berdiri. Para jemaah pun bersalaman sambil mengucapkan terima kasih.

Ada jemaah yang cuba membongkokkan seluruh badan sambil cuba mencium telapak tangan si ulama berbadan kecil. Si ulama terus menegah perbuatan itu.

"Jangan sampai begitu, mendewa-dewakan sesama manusia perbuatan yang dilarang oleh ajaran yang beriman dan bertakwa," ungkap si ulama berbadan kurus.

Bahu orang ang membongkok dan mencium telapak tangannya ditepuk manka berkali-kali.

"Tegakkan badan kamu," tambahnya.

Orang itu segera menegakkan tubuhnya.

"Assalaamualaikum ahli masjid," jerit seorang lelaki di muka pintu.

"Ada apa hal?" tanya Pak Imam seraya meluru kearahnya.

"Mahu jumpa tuan guru," jawap lelaki itu.

"Apa halnya," menusul pertanyaan dari Pak Imam.

"Awak siapa? Banyak soal dan tanya," tanya lelaki itu sinis.

"Saya Pak Imam."

Lelaki di pintu masjid terdiam seketika. Matanya liar menatap muka para jemaah yang merenung ke arahnya. Datuk yang tadi berdiri terus duduk di salah satu sudut. Beberapa orang jemaah segera meniru perbuatan datuk.

"Apa halnya kamu nak jumpa, tuan guru," cukup lembut nada suara Pak Imam.

"Itu urusan aku dengannya," nada suara lelaki mula meninggi. Dia mula memperlihatkan wajah yang bengis.

"Ha..." wajah Pak Imam cemas.

Lima enam orang jemaah yang tadi cuba mendekati lelaki itu segera berundur, mencari tempat yang baik untuk bertahan. Takdirnya, terjadi sesuatu yang tidak diingini, mereka sudah bersedia.

"Ganji orang ni," terdengar komen dari seorang jemaah.

"Orang gila agaknya," balas yang lain.

"Aku mahu jumpa Tuk Guru. Orang lain yang aku cari, orang lain pula yang sibuk," lelaki di muka pintu masjid menyuarakan rasa tidak senangnya.

"Jangan halang dia, biarkan dia jumpa Tuk Guru, dia mau bertaubat tu," terdengar suara dari luar masjid.

Beberapa detik kemudian seorang anak muda dalam usia sekitar empat puluhan berdiri di kanan lelaki yang mahu berjumpa si ulama. Kehadiran anak muda itu membuat keadaan menjadi bertambah kacau.

Si ulama berbadan kecil berdiri tenang di tengah ruang masjid, dikelilingi oleh para jemaah yang bertubuh tegap.

Anak muda awal empat puluhan itu memakai kemeja lengan pendek, berjalur biru putih, tidak bersongkok. Rambut lebatnya di sikat berat kekanan. Seluar yang dipakai berwarna kelabu.

"Sabar," Anak muda awal empat puluhan, menenangkan perasaan lelaki yang mahu menemui tuan guru.

"Mana boleh sabar, orang lain mahu kita temui, orang lain pula yang sibuk, mahu tunjuk kuasa bagaikan rumah Allah ini dia yang punya," Lelaki di muka pintu menyindir Pak Imam.

Saya lihat Pak Imam menarik nafas sambil menelan air liur. Para jemaah mula memperlihatkan rasa geram dan meluat terhadap lelaki di muka pintu masjid.

MUNCUL

Secara tidak diduga, saya dapati datuk sudah berada tidak jauh dari saya dan Harun. Dia memberi isyarat dengan tangan agar kami berada jauh dari Pak Imam.

Perintah itu kami patuhi, perlahan-lahan saya dan Harun beredar dari sisi Pak Imam. Kami memilih tempat agak tersorok dari pandangan para jemaah yang lain.

"Jangan halang dia, biarkan dia jumpa tuan guru," tutur datuk dengan wajah tenang.

Pak Imam jadi terkejut, perasaan para jemaah berbelah bagi. Ada yang menyokong, ada yang menentang.

"Macam mana kalau dia bertindak kasar pada tuan guru?" Wajah Pak Imam nampak cemas.

"Dengan izin Allah perkara itu tak akan berlaku," datuk mempertahankan cadangannya.

"Terpulang," Pak Imam mengangkat kedua-dua belah bahunya.

"Niatnya baik, dia mahu bertaubat," anak muda awal empat puluhan bagaikan menyokong pendapat datuk.

Di luar, matahari sedikit demi sedikit menyibarkan cahayanya. Dan para jemaah dalam perut masjid begitu ingin mengetahui kisah selanjutnya. Tidak seorang pun diantara mereka mahu keluar.

"Bertenang," Ulama berbadan kecil bersuara.

Dan para jemaah yang mengelilinginya disuruh bersurai dan duduk. Dengan gaya langkah penuh keyakinan, si ulama menjemput lelaki di muka pintu masjid yang memakai baju melayu cekak musang, warna biji kundang, berkain pelikat kotak-kotak.

Di kepalanya terlekap, songkok (ketayap) manakala di bahu kanan tersangkut kain berwarna putih dan bahagian tepinya dijahit rapat-rapat menyebabkan warna putih itu menyerlah.

Silakan masuk ke tengah masjid, ceritakan apa masalah kamu, mari..." si ulama berbadan kurus menghulurkan tangan dengan tenang lelaki di muka pintu masjid menyambutnya.

"Mari..." si ulama menarik tangan lelaki tersebut.

"Ehhh..." Lelaki di muka pintu masjid bersuara Dia tidak mahu bergerak dari tempat dia berdiri.

"Kenapa?" terpamer rasa kecewa di wajah si ulama berbadan kurus.

"Tak payah masuk ke dalam, di sini saja sudah cukup, lagi pun saya tak mahu apa yang saya mahu sampaikan kepada tuan di ketahui ramai," itu alasan yang diluahkan oleh lelaki di muka pintu masjid.

Para jemaah berpandangan sama sendiri dan berbisik. Anak muda awal empat puluhan diam membatu, tidak memberi sebarang komentar.

"Kalau niat awak baik dan ikhlas, saya rasa tidak salah orang yang berada dalam masjid ini mendengar apa yang mahu kamu katakan," balas si ulama berbadan kecil.

Dan lelaki yang memakai baju cekak mUsang berkain pelikat menarik nafas. Wajahnya tidak segarang tadi.

"Tapi tuk guru..." Cuma setakat itu saja kata yang terluah.

"Kamu malu, jangan malu kalau niat kita baik kerana Allah," pintas si ulama berbadan kecil.

SETUJU

Lelaki berbaju cekak musang anggukan kepala perlahan-lahan tanpa mahu menatap wajah si ulama dan para jemaah.

Tanpa di sangka-sangka datuk mendekati lelaki berbaju cekak musang. Bahu lelaki itu ditepuknya sambil membisikkan sesuatu ke telinga lelaki tesebut.

"Iya, saya setuju dengan cadangan tuk guru dan orang ini..." Lelaki itu menoleh ke arah datuk saya seraya menyambung kata-kata.

"Menasihati saya supaya ikut cakap tuk guru..."

Sebaik saja menamatkan pertuturan, lelaki berbaju cekak musang segera melangkah dengan penuh keyakinan menuju ke tengah ruang masjid. Para jemaah segera memberikan tepukan gemuruh.

Mereka (para jemaah) segera mengekori sambil membentuk bulatan mengelilingi si ulama berbadan kecil, lelaki berbaju cekak musang dan pemuda berusia awal empat puluhan.

"Duduk," kata si ulama.

Semua para jemaah duduk, begitu juga dengan si ulama itu sendiri. Si ulama duduk bersila sambil merenung wajah para jemaah.

Lelaki berbaju cekak musang dan pemuda berusia empat puluhan bersedia mahu duduk.

"Jangan, kamu berdiri di situ," Si ulama berbadan kecil menuding jari telunjuk ke arah lelaki berbaju cekak musang.

"Saya?" anak muda awal empat puluhan bertanya.

"Kamu duduk."

Dengan penuh sopan anak muda empat puluhan terus duduk.

"Sekarang kamu katakan apa yang mahu kamu katakan pada aku," sepasang anak mata si ulama berbadan kecil tertampar ke wajah lelaki berbaju cekak musang yang nampak resah dan serba tidak kena.

"Tapi..." lelaki yang memakai baju cekak musang tidak meneruskan kata-kata.

"Apa lagi..." bersama segaris senyum si ulama berbadan kecil menyoal kembali.

"Tentu tak manis. Tuk guru yang berilmu duduk, saya yang jahil berdiri. Ertinya saya tidak menghormati orang berilmu," itu alasan yang dikemukakan oleh lelaki yang memakai baju cekak musang. Matanya merenung permaidani masjid.

Para jemaah yang duduk bersila, tidak berkata apa-apa. Mereka hanya memerhatikan saja gerak-geri lelaki berbaju cekak musang dan si ulama berbadan berbadan kecil.

Saya menarik nafas dan mula bosan dengan suasana yang dihadapi. Dari pintu masjid yang terdedah saya merenung keluar. Sinar matahari pagi kian marak. Saya kira kegelisahan itu, turut juga dirasai oleh orang lain.

"Bosan."

Keluhan saya di dengar oleh Harun.

"Sabar Tamar, kita akan melihat peristiwa besar pagi ini. Aku kenal lelaki yang datang tu, salah seorang pelanggan kedai kain aku berasal dari daerah Bilah, suka menikah dengan 'pucuk muda' yang cantik. Peliknya ramai pula yang bersedia menjadi isterinya."

"Orang kaya?"

"Itu aku tak tahu Tamar, boleh jadi orang ternama di daerah Bilah," tambah Harun.

BILAH

Bila Harun menyebut perkataan 'BILAH' secara sepontan saya teringatkan Istana Raja BILAH di Papan, tidak jauh dari pekan Pusing Perak.

Malah beberapa orang saya kenali ada kaitannya dengan Raja Bilah terbayang di kepala, terutama dengan beberapa keluarga yang tinggal di sekitar Mukim Selama-Perak.

"Kamu tahu kerjayanya Harun?" Saya menyoal.

"Tak tahu Tamar. Tetapi beberapa orang kenalan memanggilnya Raja Susuk."

"Raja Susuk?" Ulang saya.

Harun angukkan kepala. Kami tidak dapat meneruskan bisikan bila mendengar suara datuk berdehem panjang sebagai signal atau isyarat menyuruh kami menumpukan perhatian ke arah lelaki berbaju cekak musang dan si ulama berbadan kecil.

"Kalau itu permintaan kamu, saya perkenankan. Sebelum duduk terangkan nama kamu dan tujuan kamu berjumpa dengan aku."

Ungkapan dari si ulama berbadan kecil membuat wajah lelaki berbaju cekak musang ceria dan senyum. Cemas dan bimbang tidak lagi terpamer di muka. Semua penghuni masjid memusatkan perhatian kepadanya.

"Nama saya Shamsuddin Muammad Nor, beranak di Pondok Tanjung dekat Taiping. Ayah saya anak Pengkalan Beranda, emak saya orang Bagan Serai," Lelaki berbaju cekak musang berhenti bercakap.

Tangan kirinya menekan pangkal belikat kiri. Dia kelihatan seperti menahan rasa sakit.

"Kamu sakit?"

Pertanyaan dari si ulama berbadan kecil dijawap oleh lelaki berbaju cekak musang dengan geleng kepala.

"Masa kecil saya selalu berpindah randah – maklumlah ayah saya peniaga buah-buahan, masa itu saya berkenalan dengan bermacam orang."

"Orang tua kamu tak ajar asas agama?" tingkah si ulama berbadan kecil.

"Ada tapi, tidak diberatkan. Sayangnya, saya merasa terlalu pandai dalam bidang itu. Pada ilmu agama yang ada tidak sejauh mana, mengaku pandai, akhirnya saya tersalah langkah."

Semua orang ada dalam masjid terdiam, setiap patah perkataan yang dituturkan oleh lelaki berbaju cekak musang diikuti dengan penuh teliti.

"Masa berumur tujuh belas tahun ayah membawa saya dan emak ke Sumatera ke kampung halamannya di Pengkalan Beranda. Masa di sinilah saya menuntut atau memilih jalan yang silap kemudian saya kembangkan ke Tanah Semenanjung. Ilmu dunia dan akhirat saya satukan. Aduh..."

Lelaki berbaju cekak musang tidak dapat meneruskan percakapan.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 216/284

BACA: SBDJ Siri 215: Lembaga Hitam Tanpa Kaki
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com

Wednesday, October 23, 2024

SBDJ Siri 215: Lembaga Hitam Tanpa Kaki

SBDJ Siri 215: Lembaga Hitam Tanpa Kaki

Setelah Nonong melangkah keluar dari bilik rahsia, datuk pun mengeluarkan sehelai kain kuning sebesar sapu tangan (saya menduga, kain itu memang sudah disediakan oleh datuk sejak awal lagi) dan bungkusan di tepi pintu pun ditutup dengan kain tersebut. Datuk segera mengarahkan saya dan Harun keluar dari bilik misteri.

Toyol jadi-jadian

"Mandi," katanya.

"Sejuk memanda," jawab Harun.

"Kamu mahu ke rumah Allah, mahu bersolat, mahu mengadap muka padaNya.

"Bukan saja hati mesti bersih, mesti jujur, tubuh badan mesti bersih, pakaian juga mesti bersih. Kalau badan tidak bersih, pakaian juga tidak bersih, ertinya tidak cukup sempurnalah diri kita pergi ke masjid untuk bersembahyang," cukup tenang datuk melunturkan kata-kata kepada kami.

Saya dan Harun segera mahu bangun untuk meninggalkan bilik misteri.

"Nanti dulu," tahan datuk.

Serentak saya dan Harun berpandangan, mencari-cari jawapan kenapa kami ditahan.

"Pelik benar anak muda sekarang, kalau turun ke bandar merambu atau ke panggung wayang, ke tempat pesta, mengenakan pakaian yang cantik-cantik, kemas, biar nampak kacak dan cantik. Kenapa perkara macam itu tidak dilakukan bila ke masjid," datuk mula berceloteh.

Sesungguhnya perkara seperti ini memang tidak saya senangi. Sebelum celoteh menjadi lebih panjang, secara hormat kami mohon diri, lalu segera angkat kaki.

Sebaik sahaja melepasi ruang tengah menuju ke bilik air, saya toleh ke arah datuk yang sedang merapatkan daun pintu dan menguncinya.

Dalam jangkaannya, datuk akan bersama-sama kami ke Masjid Raya. Jangkaan itu tersasar, datuk pergi dulu sendirian. Entah mengapa datuk tidak mahu bersama.

Barangkali, dia ada matlamat atau maksud tertentu. Boleh jadi juga, dia mahu menguji keberanian saya dan Harun.

Mungkin dia mempunyai muslihat dan strategi tertentu. Jarang datuk berbuat demikian atau meninggalkan saya. Memang wajarlah tindak-tanduknya menimbulkan bermacam-macam andaian dalam kepala saya.

BESAR

Kami tiada pilihan, terpaksa meredah kedinginan dan kabus subuh dengan rasa takut-takut berani. Entah mengapa, sambil melangkah saya teringatkan kemunculan lembaga manusia dalam kabus menghalang perjalanan saya dan datuk. Memang saya mengharapkan perkara demikian tidak akan berulang lagi. Kami terus melangkah.

"Tamar."

Langkah terhenti, bahu kiri dipaut Harun dari arah belakang.

"Kenapa Harun?"

"Aku rasa seram semacam."

“Ah! tak ada apa-apa, kalau ada pun kita tentang," tutur saya dengan nada suara yang meninggi.

Mendengar kata-kata itu, Harun mengeluh dan terus melangkah. Saya membaca beberapa surah dari AI-Quran untuk menghilangkan rasa cemas yang muncul mendadak dalam diri.

Langkah terus dipercepatkan.

“Allahhu akbar."

ltu yang terkeluar dari kelopak bibir. Di depan saya berdiri lembaga hitam. Harun terkejut besar, mulutnya terlopong. Sepasang matanya terbeliak. Kedua-dua belah tangannya memeluk tubuh saya.

Siapa pun menggeletar,bila berdepan dengan makhluk asing berkulit hitam. Tubuhnya besar, kira-kira lima pemeluk pokok sena dan tingginya melepasi pokok kelapa dara. Rambut kuningnya melepasi punggung manakala di bahagian dada penuh dengan bulu tebal.

Bulu tebal yang menguasai bahagian dada hingga ke paras lutut berwarna kehitam-hitaman bercampur dengan warna putih kemerah-merahan.

Di bahagian kemaluan, warnanya lain pula, macam warna perak, keras macam berus dawai penggosok periuk, berlapis-lapis tebal macam cawat menyebabkan sukar bagi saya menentukan jenis kelamin makhluk asing itu, sama ada lelaki atau perempuan.

"Tak ada kaki.”

Dalam rasa takut dan cemas itu, Harun masih sempat berbisik kepada saya. Apa yang dikatakannya memang benar. Anggota makhluk asing hanya boleh dilihat dari paras bahu hingga ke bahagian lutut. Kepala dan bahagian kaki tidak kelihatan.

Makhluk itu bagaikan berdiri atas kabus. Berpusing perlahan-lahan seolah-olah melihat keadaan sekitar. Beberapa minit kemudian, lembaga tanpa kepala dan kaki itu hilang dari pandangan kami.

"Bagaimana Tamar?"

"Persetankan, dia sekadar menguji kita."

"Tapi..."

"Tak ada tapinya lagi, jangan banyak cakap, jalan terus, subuh dah hampir benar ni," kata saya sambil menarik tangan Harun. Langkah yang terhenti di susun semula. Kali ini kami melangkah dengan cepat sekali tanpa mahu menoleh ke kiri dan ke kanan.

Memang tidak diduga datuk menunggu kami di luar perkarangan Masjid Raya. Dengan senyum datuk menyambut kami.

"Ada apa-apa perkara pelik yang kamu berdua alami semasa datang ke sini tadi?" tanya datuk.

"Tak ada apa-apa tuk," saya berbohong.

"Kamu Harun?"

"Aaaaaa..." Harun tidak dapat meneruskan percakapan kerana bahu kirinya saya singgung dengan siku. Perbuatan saya itu dapat dikesan oleh datuk.

"Jangan tahan dia nak bercerita Tamar."

Saya memaksa diri senyum untuk menutup rasa malu yang saya lakukan sendiri. Harun renung muka saya, macam mahu menyatakan bahawa dia terpaksa patuh dengan permintaan. Saya restui permintaannya dengan menegakkan ibu jari kanan.

"Ceritakan Harun, jangan peduli dengan Tamar," kata-kata dorongan dari datuk membuat Harun menarik nafas lega.

"Kami jumpa lembaga hitam tidak berkepala dan berkaki," Harun memulakan cerita dan saya lihat datuk macam tidak berminat mahu mendengarnya.

"Ceritakan dari mula Harun," saya memberitahu.

Datuk anggukkan kepala, setuju dengan saranan saya.

"Sebaik saja sampai di kepala simpang, saya rasa macam ada sesuatu menyentuh cuping telinga saya. Tapi, kerana takut saya diam saja, tak cakap pada Tamar. Akhirnya, kami bertembung dengan lembaga hitam tidak berkepala dan tidak berkaki."

"Hummmm..." datuk mengeluh kecil sambil menggigit bibir.

JEMAAH

Beberapa orang jemaah yang lain memberi salam dan berjabat tangan dengan datuk. Malah dua tiga orang daripada jemaah itu bercakap-cakap dengan datuk seketika, mereka bertanya kenapa berada di luar kawasan masjid. Setelah menerima penjelasan dari datuk, mereka pun beredar.

"Cuping telinga sebelah mana? kiri atau kanan Harun?" tanya datuk.

"Kanan memanda."

"Benda yang sentuh telinga kamu tu, macam daun lalang."

"Iya memanda."

Datuk termenung seketika. Dahinya, dikerutkan dan bibir bawah digigit untuk kesekian kalinya. Perlahan-lahan datuk dongak wajah ke langit, melihat awan subuh yang berarak lembut. Pangkal tumit kirinya ditekan ke bumi hingga berbekas.

"Kalau begitu. kita ada dua pilihan untuk menyelesaikan barang dalam bungkusan yang berada dekat pintu bilik," tutur datuk sambil merenung ke arah saya dan Harun.

Dan di bawah langit subuh, saya lihat sinar mata datuk bercahaya, penuh keyakinan dan pengharapan.

"Maksud tuk?" soal saya.

"Barang dalam bungkusan tu, mesti dibuang ke sungai atau tanam di tanah kampung, di mana ilmu susuk itu diturunkan kepada emak Nonong."

Saya lihat wajah Harun cemas sambil menarik nafas dalam-dalam. Matanya tidak berkedip merenung dada langit.

"Habis, macam mana memanda?" tanya Harun penuh keraguan.

"Usah bimbang, semuanya akan kita fikirkan selepas solat nanti tak usah risau," datuk memberikan keputusan muktamad, membunuh keraguan dan kebimbangan di hati saya dan Harun. Dan kami pun akur dengan keputusannya itu.

Sebelum azan bergema, kami segera masuk ke masjid melakukan solat tahyat masjid. Tidak lama berselang azan subuh pun dilaungkan oleh muazin.

Suaranya bergema dan mendayu penuh syahdu menguasai suasana subuh yang sekaligus dapat didengar penghuni kota raya Medan yang tinggal tidak jauh dari Masjid Raya.

Di bawah langit dan bumbung masjid saya terharu menikmati alunan azan. Dan terasa betapa kecilnya diri ini di atas bumi Allah.

Sesungguhnya, Allah maha agung dan maha berkuasa, padaMu aku mohon restu dan berlindung. Tanpa disedari air mata meleleh dicerun pipi.

Solat subuh pun bermula.

Saya kira setelah selesai menunaikan sembahyang subuh, datuk terus pulang seperti yang dilakukan pada subuh sebelumnya. Perhitungan saya tidak tepat kali ini.

Datuk menahan saya dan Harun agar bernaung lebih lama lagi dalam perut masjid.

"Kita ikut kuliah subuh kali ini," bisik datuk ke telinga Harun.

Kata-kata yang sama juga diungkapkan oleh Harun ke Iubang telinga saya.

"Terpaksa," kata Harun.

"Iya," nada saya Iemah.

Harun senyum panjang.

Melihat kepada jumlah para jemaah yang masih ramai bertahan dalam masjid, saya menduga kuliahnya pasti menarik dan memikat. Kuliah subuh disampaikan oleh seorang ulama dari Bukit Tinggi (nama saya sudah lupa).

Perkara yang disyarahkan berhubung dengan gangguan syaitan. Kerana cara penyampaiannya yang begitu menarik dan memikat membuat para jemaah terpesona. Tidak bergerak dari tempat duduk. Semuanya mendengar dengan penuh khusyuk.

"Kalau kita dekat dengan Allah. Syaitan jauh dari kita," tutur si ulama berbadan kecil, berjanggut sejemput berkulit sawo matang.

"Kalau kita dekat dengan syaitan, Allah jauh dan kita. Celaka hidup seseorang bila didekati syaitan," sambungnya sambiI membetulkan kedudukan cermin mata bulat, macam cermin mata Mahatma Ghandi, pemimpin agung negara India.

Semua para jemaah yang berada dalam masjid menganggukkan kepala.

"Negara hancur dan jahanam, bila pemimpin didampingi syaitan, maka lahirlah pemimpin gila kuasa, pemimpin rasuah, ambil harta rakyat untuk kaum kerabat. Dan anak sendiri. Kawan-kawan yang tidak sehaluan ditangkap dan dihukum," tambah si ulama penuh semangat sambil mengingatkan para jemaah yang bercita-cita mahu jadi pemimpin harus bersikap adil dan bijaksana.

POLITIK

Semasa si ulama berbadan kecil memberi peluang kepada para jemaah mengemukakan pertanyaan. Harun segera mengangkat tangan.

"Silakan," si ulama memberi laluan.

Semua biji mala para jemaah tertumpu ke arah Harun. Dan saya lihat Harun menggigit bibir menahan rasa gementar. Maklumlah dia tidak pernah bercakap di khalayak ramai.

"Saya mahu bertanya tentang perkara yang terkeluar dari topik dalam kuliah ini," suara Harun tersangkut-sangkut.

"Tentang politik?" si ulama berbadan kecil mengajukan pertanyaan.

"Tidak," jawab Harun.

"Kalau begitu, silakan."

Buat seketika Harun merenung ke arah kepala para jemaah yang berceratuk. Dan secara tidak sengaja, semasa saya mengangkat kepala, pandangan saya dengan Harun bertembung. Cepat-cepat saya menegakkan ibu jari memberi perangsang. Harun tersenyum penuh semangat.

"Apa hukumnya bagi mereka yang memakai susuk termasuk dukun susuk?" Harun bertanya dengan lantang.

Terbeliak mata datuk melihat keberanian Harun. Memang di luar dugaan yang Harun mampu bertindak demikian.

"Tahniah! pertanyaan yang baik dan jarang ditanyakan kepada saya," ada senyum terpamer di kelopak bibir ulama berbadan kecil, perlahan-lahan dia menolak bingkai kaca mata sebelah kiri ke atas.

Renungannya diarahkan ke muka Harun.

"Hai orang muda, agaknya kamu nak pasang susuk?"

"Tidak," pantas Harun menjawab sambil menggelengkan kepala.

Terdengar suara para jemaah berbisik sama sendiri yang diselang dengan suara orang batuk yang sengaja dibuat-buat. Agaknya, mereka menyindir Harun. Suara berbisik dan batuk itu datangnya dari arah belakang kami.

"Ehemmmm..."

Suara dari ulama berbadan kecil membunuh suara orang yang berbisik dan batuk yang sengaja dibuat-buat.

Situasi dalam perot masjid kembali sepi dan tenang. Gigi atas dengan gigi bawah saya lagakan berkali-kali. Patuh tunduk merenung permaidani masjid.

Sayup-sayup terdengar bunyi kenderaan di jalanan. Suasana subuh masih lagi menguasai pinggir kota Medan.

"Secara kebetulan beberapa hari lalu semasa saya singgah di kedai kopi, terdengar beberapa orang di meja sebelah bercakap tentang susuk," si ulama berbadan kecil menatap wajah para jemaah yang tertonggok di depannya.

Semuanya diam terpaku, penuh minat menanti kata-kata yang bakal diluahkan oleh si ulama berbadan kecil.

"Saya tak tahu entah kenapa perkara susuk ni, suka sangat disebut-sebut terutama di kalangan kaum wanita. Menurut kata orang, tujuan memakai susuk atau pemanis diri supaya wajah yang tak cantik nampak cantik, dan mampu menarik perhatian lawan jenis. Niatnya sudah lain," percakapan si ulama berbadan kecil terganggu, kedudukan cermin matanya nampak sengit sebelah kanan kerana terlalu kerap mengoyang-goyangkan kepala ke kiri dan ke kanan.

"Jadi, dia nampak menarik dan cantik tidak sebagaimana yang sepatutnya, kecantikannya kerana pengaruh susuk," percakapan yang terhenti disambung kembali. Beberapa orang para jemaah mengeluh kecil sambil menarik nafas.

"Cara ini saya tidak setuju dan kurang terpuji kerana segala sesuatu tergantung pada niat, 'innamal a'malu binniati waiinamalikuli riin manawa,' sesungguhnya segala sesuatu dengan niat, jika niat hanya untuk mendapat atau mencari perhatian supaya orang lebih tertarik dan tergila-gilakan padanya. Perbuatan begini pada saya memang mengelirukan dan itu haram hukumnya. Ertinya, mengikut hukum Islam susuk itu haram," Harun menggigit kuku jari mendengar penjelasan tersebut.

BURUK

Ulama berbadan kecil lagi sekali membetulkan kedudukan kaca matanya. Para jemaah tidak berganjak punggung. Dan minat saya untuk mengikuti kisah selanjutnya terus memuncak.

Dari pengamatan sara ternyata si ulama itu sendiri cukup berminat untuk memperkatakan tentang topik yang ditimbulkan oleh Harun.

Selanjutnya, dijelaskan oleh si ulama itu bahawa perbuatan mereka (pengamal susuk) sudah menyalahi kudrat, mereka sudah ingkar dari apa yang telah digariskan oleh Allah.

"Tidak puas dengan apa yang dikurniakan oleh Allah kepada mereka, lalu berusaha mempercantikkan diri, mereka pasang susuk. Saya mendapat tahu pasang susuk itu ada jampi serapahnya."

"Sesuatu yang dibuat oleh manusia, sudah tentu tidak kekal. Bila kuasa susuk menjadi tawar (tidak berkesan) keadaan sebenar terserlah (wajah kurang menarik) ditambah pula dengan usia yang semakin meningkat. Perkahwinan alan percintaan yang disalut dengan susuk akan berubah dan akhirnya merugikan kedua-dua belah pihak."

"Lawan jenis tidak tertarik, rasa cintanya segera luntur, macam luntur seri wajah yang dibalut susuk. Selama ini dia tertarik kerana kepalsuan, cantik yang dibedak syaitan, dia tertipu."

"Kesimpulannya, benda atau barang buruk dibungkus dengan pembungkus yang elok supaya nampak cantik dan menarik tetapi, isinya tetap buruk. Orang yang tertarik dengan pembungkus yang cantik segera mahu memilikinya, bila dibuka baru tahu isinya. Itulah sebabnya perbuatan tersebut berdosa dan haram hukumnya."

"Maafkan saya tuk guru."

Semua kepala para jemaah bergerak serentak menoleh ke arah kanan masjid. Seorang lelaki dalam lingkungan usia awal empat puluhan, bersongkok putih, berdiri mengemukakan pertanyaan.

"Mahu bertanya?"

"Iya Pak guru."

"Silakan. Siapa nama anda?"

"Saya Syed Shahrul Akbar, saya tinggal tidak jauh dari Pusat Pasar Medan, perkara yang ingin saya tanyakan ialah apa pendapat Pak guru tentang ada golongan yang tahu hukum agama seperti kiai, ustaz dan sebagainya yang seolah-olah memberikan galakan memasang susuk?"

Satu pertanyaan yang secara tidak langsung mempertikaikan kejujuran dan keikhlasan golongan atau ahli agama dalam usaha membanteras perbuatan yang bertentangan dengan hukum Islam. Air muka si ulama berbadan kecil nampak berubah seketika.

Malah beberapa orang para jemaah memperlihatkan rasa kurang senang dengan pertanyaan yang diajukan oleh Syed Shahrul Akbar.

Pertanyaan itu menjatuhkan air muka si ulama berbadan kecil, meragui kebolehannya. Apa juga alasan yang diberikan, tindak-tanduknya (Syed Shahrul Akbar) memang tidak wajar dan keterlaluan.

BERAKHIR

Tetapi, kebimbangan para jemaah segera berakhir, bila si ulama berbadan kecil tersenyum. Dia pun mengulangi kembali penjelasan tentang niat, sesuatu perbuatan bergantung pada niat, jika niatnya tidak baik atau jahat, sudah pasti perbuatannya berdosa.

"Sebagai contoh, ada guru agama atau ustaz memasang susuk kepada seseorang supaya orang itu mempunyai daya tarik, daya pemikat. Bukan bertujuan untuk mengubati penyakit atau sebagainya."

"Sudah tentu perbuatan ini berdosa!"

Dari balik cermin mata putihnya, si ulama berbadan kecil menatap wajah para jemaah yang tertonggok di depannya satu persatu. Para jemaah di bahagian belakang memanjangkan lehernya.

"Kalau tak silap saya, Imam Ghazali pernah mengatakan golongan orang berilmu {ulama) ada dua jenis, di antaranya ada ulama SYU', ertinya ulama yang jahat. Ulama jenis ini sudah tentu ilmunya tidak seberapa," sambungnya dalam nada suara yang amat rendah sekal, tetapi berjaya menarik perhatian para jemaah.

"Begitu," cara mendadak Syed Shahrul Akbar.

"Iya, begitulah yang saya ketahui," sahut ulama berbadan kecil.

"Dengan bermodalkan ilmu yang tidak seberapa itu dia telah melanggar aturan atau hukum syarak yang sebenarnya dia sudah tahu tentang dasar hukumnya. Mungkin kerana imannya masih nipis dan dapat dikuasai oleh syaitan maka dia pun mengutamakan dunia daripada akhirat."

Saya mengeliat untuk menghilangkan rasa lenguh di pinggang akibat terlalu lama duduk. Harun termenung panjang dan datuk memicit-micit pangkal pahanya.

Dua tiga orang para jemaah batuk. Semuanya itu tidak mengganggu kelancaran kata-kata dari ulama berbadan kecil.

"Nah, golongan inilah dikatakan ulama jahat yang tidak wajar dijadikan contoh, sebabnya dia sudah menipu orang lain dan menipu dirinya sendiri, ulama yang baik itu adalah AI-Ulama Wahrahsatul Anbia, bermaksud ulama itu adalah pewaris para nabi," kali ini nada suara ulama berbadan kecil agak tinggi dan lantang sekali terutama bila dia menyebut kata-kata ulama adalah pewaris nabi.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 215/284

BACA: SBDJ Siri 214: Dendam Dukun Banten
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com

Tuesday, October 22, 2024

SBDJ Siri 214: Dendam Dukun Banten

SBDJ Siri 214: Dendam Dukun Banten

"Kita bertemu juga," Suara orang itu bergema buat kali kedua. Tidak ada tindak balas dari datuk.

"Kamu mahu merebut milik Dang Intan Mahani atau Ani Cantik," datang lagi suara dari orang berwajah putih kapas. Perlahan-lahan kain hijau yang membalut sebahagian daripada wajahnya dijatuhkan ke lantai. Semuanya dihadapi oleh datuk dengan tenang dan tabah.

Toyol jadi-jadian

Orang berwajah putih kapas, cuba melangkah mendekati datuk. Dua tapak datuk undur kebelakang. Orang itu maju lagi, datuk mengelak. Kali ini empat tapak di belakang.

Dengan hati-hati datuk angkat tangan kiri separas bahu, kemudian memusingkan tubuhnya dengan pantas sebanyak tiga kali berturut-turut hingga tercipta sempadan pemisah ditandai dengan garisan hitam di lantai.

Sebelum tangan kiri kembali kepada kedudukan asal (lurus kebawah) tangan kanan diangkat lalu didakapkan ke dada dengan tiga jari menekan tulang selangka. Tiga kali nafas ditarik dan dilepaskan barulah tangan dibawa ke dada menindih tangan kanan yang tersedia di dada.

"Pulangkan segala-galanya pada yang berhak," datuk bersuara.

"Maksud kamu?" Tanya orang berwajah kapas.

"Ani Cantik mengambil hak anaknya untuk kepentingan dirinya."

"Hummm..." terdengar keluhan.

Suasana berikutnya, menjadi sepi. Orang berwajah putih kapas masih berdiri di tempat. Datuk tetap berada dalam lingkungan garisan. Saya Nonong dan Harun tetap macam tadi, masih bertindih dan berhimpit dekat tiang.

"Kita jalinkan persahabatan."

Orang berwajah putih kapas, maju setapak sambil menghulurkan telapak tangan untuk bersalam. Malangnya, tangan yang dihulur tidak dapat melepasi garisan di lantai.

"Ertinya kita tidak boleh bersahabat," orang berwajah putih kapas bersuara penuh kesal. Terbayang kekecewaan yang amat sangat di wajahnya.

"Begitulah kira-kiranya," balas datuk.

Orang berwajah putih tunduk merenung lantai.

"Pulangkan hak anak Ani Cantik," rayu datuk.

"Iya, apa yang kamu lihat dan temui dalam bilik ini setelah aku pergi. Itulah haknya dan selanjutnya terpulanglah kepada kamu mengendalikannya," suara itu bergema dan bergaung dalam bilik.

"Aku faham," kata datuk lantang.

Tanpa banyak cakap orang yang berwajah seputih kapas itu, perlahan-lahan memusingkan tubuhnya. Setiap liku dan sudut bilik ada dalam anak matanya. Saya jadi cemas semacam, lambat laun renungannya akan tertacap ke wajah saya.

"Sial," kutuk saya dalam hati.

Bagaikan ada kuasa ghaib memusingkan tubuh dan wajah orang seputih kapas ke arah saya. Renungannya cukup tajam, penuh benci dan dendam. Berkali-kali giginya dilagakan bergemeretap bunyinya.

"Hummmmm..." dengusnya.

Dan renungannya segera berubah kepada Nonong. Kemarahan dan geram yang terpamer segera digantikan rasa simpati dan renungan yang penuh kesayuan.

Dia menundukkan muka, merenung lantai untuk waktu yang agak lama. Kedua-dua belah bahunya bergegar lalu diikuti dengan suara tangisan berserta sedu yang memanjang. Tanpa diduga dia menghentakkan kaki kirinya ke lantai sambil meluahkan kata-kata yang kurang jelas maksudnya.

Dalam sekelip mata batang tubuhnya menghilang, tempat manusia aneh itu berdiri kelihatan kepulan asap yang naik memanjang menuju siling bilik.

GHAIB

Sebelum kepulan asap itu ghaib, berlaku sekali lagi ledakan yang amat kuat bersama pancaran kilat. Di luar deru ribut yang amat hebat. Rumah teras bergegar, lantai bergerak dan kami terumbang ambing.

Datuk yang tadi berada tidak jauh dari kami bertiga, kini terpisah jauh nampak samar-samar. Saya cuba bersuara memanggil namanya, Seperti tadi suara saya tidak keluar tersekat di kerongkong.

Dalam keadaan yang tidak menentu, semua yang di buat serba tidak kena. Kotak fikiran seperti kosong melopong. Tidak tahu dengan suasana yang dihadapi sama ada siang atau malam. Malah di mana berada pun tidak tahu.

"Husssssssss..." Saya menghembuskan nafas.

Dan hati saya bagaikan memberitahu, bahawa kami berada di suatu dunia yang terasing.

Aneh gegendang telinga terus diasak dengan bunyi deru air dari gunung. Badan bagaikan dilambung ombak ke sana ke mari. Tiba-tiba, badan dipukul oleh gelombang besar setinggi pokok kelapa dara. Sekujur tubuh diarak ombak lalu dihempaskan kepada objek yang keras.

Kulit dan tulang temulang bagaikan bercerai-berai. Sakitnya bukan kepalang dan selanjutnya tidak tahu apa yang terjadi. Segala-galanya menjadi fana.

KELOPAK

Tidak tahu berapa lama masa masa sudah berlalu. Dan kelopak mata secara perlahan-lahan digerakkan berkali-kali. Terasa pedih dan perit. Bahu sebelah kanan disentuh sesuatu secara lembut. Kemudian digoyang dan ditumbuk bertalu-talu.

"Tamar."

Kelopak mata mash gagal dibuka. Bulu mata bawah dengan bulu mata aras masih bertaut erat. Deru air dari gunung beransur kurang, tidak sekuat tadi dan usaha membuka kelopak mata tetap diteruskan.

"Tamar."

Saya yakin, itu suara datuk. Kepala saya gerakkan perlahan-lahan sebagai tanda yang saya boleh mendengar tetapi, tidak dapat bersuara.

"Kamu tak boleh buka mata Tamar.."

Macam tadi juga saya tetap anggukkan kepala. Tidak lama berselang, terasa ada jari jemari lembut mengurut-urut kelopak mata dengan mesra.

"Buka kelopak mata kamu Tamar!"

Arahan itu segera saya patuhi. Kelopak mata boleh dibuka dengan mudah. Wajah datuk terdampar dalam anak mata. Senyum yang menari di kelopak bibirnya bagaikan menghantar sebuah kemesraan yang berbalut sayang dari seorang datuk kepada seorang cucu yang baru berada di alam nyata.

Renungan segera beredar dari wajah datuk ke wajah Nonong dan Harun. Mereka nampak tergamam. Tetapi, apa yang pasti mereka lebih awal sedar dari saya. Malah sudah pun bangun, bersiap-siap untuk keluar dari bilik.

"Memang aku tidak menduga berdepan dengan hal-hal yang pelik begini. Tak apalah, setidak-tidaknya kamu bertiga dapat pengalaman baru," tutur datuk seperti berbisik.

"Iya, memanda, menakutkan dan tidak masuk di akal," Nonong menyampuk.

"Biarkan perkara itu berlalu, kamu berdua bersiap sedia untuk ke masjid, bolehlah kita sama-sama orang lain berjemaah," balas datuk. Saya masih dalam keadaan terpinga-pinga.

"Dah selesai?" saya bersuara.

Datuk ketawa kecil sambil mengeleng-negelengkan kepala.

"Kamu masih mamai lagi Tamar. Aku harap perkara ganjil yang menakutkan ini, Insya Allah tidak berulang lagi," nada suara datuk agak lemah.

Walaupun Nonong dan Harun mendengar sindiran dari datuk untuk saya, tetapi mereka tidak memberikan sebarang komentar. Malah, wajah mereka nampak bersahaja.

Memang tidak diduga sama sekali, Nonong dan Harun yang sudah bersiap sedia meninggalkan bilik, membatalkan hasrat. Mereka kembali duduk bersila tidak jauh dari saya.

Rasa cemas, bimbang dan takut menguasai diri dapat saya kawal hingga keadaan normal. Dan saya memberanikan diri menanggungkan kepala, setiap sudut bilik saya sorot secara terperinci.

Ternyata tidak ada satu pun kesan aneh yang dapat dilihat. Tidak ada dinding yang berlubang, tidak ada barang yang berserakan.

"Pelik."

"Apa yang pelik Tamar," sambut datuk.

"Mana dia seludang kelapa, batu gunung, tempat bakar kemenyan dan rambut. Kemana barang-barang itu menghilang," saya minta sebuah kepastian kepada datuk.

BESAR

Nonong dan Harun terkejut besar mendengar pertanyaan yang saya kemukakan pada datuk. Mereka seperti tersentak dari lamunan yang panjang.

"Betul, cakap Tamar tu memang betul," Harun memberi sokongan.

"Apa yang betul tu Harun, tiba-tiba main sokong saja. Cakap pada aku apa yang betul tu?" Sepasang bola mata datuk tertumpu ke arah batang hidung harun yang nampak sedikit resah.

Bagaimana dia tidak resah, renungan datuk itu tidak ubah macam kucing mahu menerkam tikus.

"Barang-barang yang Tamar sebutkan memang tidak ada di sini, mana dia barang-barang tu memanda," Harun memberanikan diri memberikan jawapan.

"Mata kau buta," sergah datuk.

Kami terkejut dan bersedia lari bertempiaran keluar dari bilik andainya, datuk naik angin. Agaknya, pertanyaan saya dan Harun dianggap datuk sebagai mencabar kewibawannya.

"Jegilkan biji mata kamu semua, renung sebelah kiri pintu."

Semua biji mata tertumpu ke arah yang datuk katakan. Di situ ada bungkusan berbalut kain hitam, sebesar putik kelapa.

"Tapi..."

"Aku tahu apa yang kamu fikirkan? Kamu fikirkan seludang kelapa, batu gunung, rambut dan tempat kemenyan. Bukan begitu Harun?"

"Iya, memanda," suara Harun terketar-ketar.

"Semua barang-barang itu sudah di satukan dan terus di bungkus. Apa lagi yang kamu semua mahu tahu?"

Kami terdiam, anak mata kami kembali menyorot ke arah bungkusan yang berbalut dengan kain hitam.

Suasana dalam bilik kembali bungkam. Empat insan melayani fkiran masing-masing.

"Tapi memanda, kami mengalami bermacam-macam hal dan perkara pelik-pelik," Nonong dengan nada suara penuh keyakinan memecahkan suasana bungkam.

Datuk tidak memperlihatkan reaksi yang tidak menyenangkan. Mungkin rasa marah sudah hilang dari kalbunya.

"Hummmmmm..." datuk menarik dan melepaskan nafas.

Saya dan Harun bertukar pandangan. Tentunya dengan perasaan yang berdebar.

Datuk menggigit bibir sambil mengkerutkan kening. Dia seperti keberatan untuk menjawap pertanyaan yang diajukan oleh Nonong.

"Kenapa perkara itu terjadi memanda," ulang Nonong.

Kali ini nada suara Nonong terasa mengandungi rasa bimbang. Lagi sekali datuk menarik nafas panjang. Keresahan di wajah segera bertukar menjadi rasa simpati terhadap Nonong.

Dan buat kesekian kalinya, datuk merenung lantai. Tindak tanduk itu mengundang seribu amalan dalam diri. Apalah susah sangat datuk mahu menjelaskannya?

Masih adakah nanti bencana atau olah dari makhluk ganjil untuk menggugat keluarga Nonong? Kalau perkara sebenar tidak jelaskan, macam-macam perkara negatif mucul dalam kepala.

Sesungguhnya bila berdepan dengan suasana begini, saya jadi kebal dan marahkan datuk.

ANGIN

Datuk yang tadi berdiri di tengah-tengah ruang bilik, segera mencari tempat sesuai untuknya melabuhkan punggung. Tempat yang jadi pilihan, tidak jauh dari sisi Harun. Mungkin untuk memberikan kekuatan dan keyakianan, bahu kiri Harun ditepuk oelh datuk berkali-kali. Nonong hanya menjeling sahaja.

Di luar, angin subuh yang bertiup lembut terus menempuh dedaun pokok di halaman dan di kiri kanan rumah, melahirkan bunyi yang tidak menentu, sekejap meninggi sekejap meredah.

Bunyi ekor cicak memukul dinding jelas kedengaran yang di selang seli dengan suaranya yang memanjang dan nyaring. Dari air muka Nonong dan Harun dapat saya baca keresahan yang bergolak dalam batin mereka.

"Masa untuk bercerita terhad," renungan lembut dari datuk terdampar ke wajah Nonong.

"Huss..." Harun mendengus, membayangkan rasa putus asa.

"Masa untuk bercerita terhad," ulang datuk.

"Waktu subuh dah dekat benar," sambungnya bersahaja sambil mengerakkan lehernya ke kiri dan ke kanan. Perasaan saya tetap berdebar.

"Masih mahu berdalih," rungut saya dalam hati.

Mulut Harun terlopong.

TERBAKAR

Dia juga seperti saya dan Nonong, masih menanti dengan serbu pertanyaan. Apakah yang bakal diluahkan oleh datuk.

"Sebenarnya, semasa batu gunung itu terbakar, kamu bertiga terpisah dari kawalan aku secara batin. Kamu berada dalam kawalan iblis yang menguasai batu gunung. Kamu bertiga berada di antara sedar dengan tidak. Antara alam nyata dengan alam ghaib. Pendek kata kamu bertiga seperti berkhayal," tentu saja kata-kata datuk itu mengejutkan kami.

"Memanda tidak dikuasainya?" Nonong ajukan pertanyaan.

"Aku sentiasa berada dialam nyata," jawap datuk.

Nonong dan Harun segera meraba-raba, cuping telinga, begitu juga dengan saya. Tidak memadai dengan itu, kami mematahkan ibu jari kaki kiri hingga terasa sakit.

Secara serentak kami menumbuk lantai hingga tulang di buku lima terasa pedih. Perbuatan kami di sorot oleh datuk dengan ekor mata.

"Sekarang kami bertiga berada di alam nyata," datuk senyum sinis, tetapi ternyata Harun masih kurang yakin.

"Buktinya memanda?"

"Kamu berdiri sebelah kiri."

Harun melakukan apa yang datuk suruh. Semasa dia mahu mengimbangi tubuhnya dia terlayah lalu jatuh ke arah saya, belum pun sempat tubuhnya jauh atas badan, saya mengelak. Harun jatuh atas lantai lalu menjerit kesakitan.

"Itu buktinya," sambut datuk.

Saya dan Nonong ketawa, akibatnya kami menerima teguran dari datuk.

"Sekarang bagaimana Harun, kamu yakin dengan apa yang aku cakapkan?"

"Saya yakin memanda," Harun kembali duduk seperti posisi asal.

"Amalan ilmu hitam yang dimiliki dukun tempat arwah emak kamu minta tangkal susuk tu, memang dukun yang hebat..." datuk tidak meneruskan kata-kata. Nonong kerutkan dahi, macam ada sesuatu yang difikirkannya.

"Macam mana memanda kata dia hebat?"

"Lain kali saja kita ceritakan tentang kehebatannya, walaupun sebanyak sedikit kebolehannya sudah dapat kamu bertiga rasakan."

Nonong anggukkan kepala, akur dengan penjelasan datuk. Muka Harun saya jeling. Dia resah semacam, masih bimbang dan takut-takut.

KULIT

Dingin subuh kian terasa mengigit kulit tubuh dan untuk menghangatkan badan terpaksa berpeluk tubuh. Bunyi deru angin kian kerap mengusik gegendang telinga.

Sesekali terdengar bunyi tagar sayup-sayup memanjang. Selalunya suasana seperti itu menandakan hari mahu hujan. Kata orang tua-tua, hujuan subuh membawa rahmat tetapi, bagi pengamal ilmu hitam hujan subuh mengundang kecelakaan.

"Eh, Tamar, Harun, kita tidak boleh berlengah lengah lagi," datuk segera bangun, mundar-mandir di depan kami sambil jari kelingking kirinya mengaru-garu hujung dagu.

"Pergi bersihkan tubuh," sambungnya dengan tekanan suara separuh keras.

"Tapi..."

"Apa lagi yang mahu kamu tanyakan Nonong?"

"Barang-barang dalam bungkusan dekat pintu tu, mau dibiarkan di situ memanda?"

"Terima kasih atas ingatan tu, kalau kamu tidak mengingatkannya, memang aku dah lupa, Nonong," datuk pun merenung ke arah bungkusan yang tersadai di bucu pintu.

Saya dan Harun berpandangan, dalam hati berdoa, semoga saya dan Harun tidak akan diberi tugas untuk menyelesaikan masalah bungkusan yang saya anggap berpuaka. Memadailah dengan apa yang telah dilalui, cukup terseksa rasanya.

"Begini Nonong."

Apa yang bergolak dalam fikiran segera tumpas. Sepasang anak mata ditujukan kembali ke muka datuk.

"Lepas balik dari masid kita selesaikan. Kamu tak usah takut-takut, buat kerja macam biasa Nonong," suara datuk bersahaja. Nonong mengigit bibir, keresahan tetap terpamer di mukanya.

"Baiklah memanda."

Nonong bangun dan bersedia untuk melangkah keluar dari bilik.

"Nanti dulu Nonong," tahan datuk. Langkah Nonong terhenti. Perlahan-lahan dia menoleh ke arah datuk yang menjentik papan lantai dengan ibu jarinya berkali-kali.

"Masa ketiadaan kami, kamu jangan masuk dan melintas di depan bilik ini."

"Kenapa memanda?" Nonong ingin tahu.

"Jangan banyak tanya, ikut saja cakap aku."

"Baiklah memanda, maafkan saya."

"Hummm..." balas datuk.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 214/284

BACA: SBDJ Siri 213: Tak Rela Mati Katak
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com

Monday, September 30, 2024

SBDJ Siri 213: Tak Rela Mati Katak

SBDJ Siri 213: Tak Rela Mati Katak

Seluruh bilik dikuasai bau rambut dan seludang kelapa yang terbakar. Hangit dan melemaskan lubang hidung.

Mata kami (saya, Nonong dan Harun) berair dan terasa pedih, terbatuk-batuk. Datuk tidak mengalami sebarang gangguan. Tetap tenang, tidak memperlihatkan sebarang reaksi.

Toyol jadi-jadian

Api terus membakar rambut yang melilit batu gunung, begitu juga dengan seludang kelapa. Perasaan saya benar-benar terganggu. Walaupun begitu, ekor mata saya sempat menjeling ke arah Nonong dan Harun. Mereka juga nampak resah semacam.

"Ahh!!!" kata saya terkejut.

Bagaimana saya tidak terkejut bila melihat batu gunung menjadi bara merah menyala. Seludang kelapa terus menjadi abu. Berterbangan dalam bilik, macam ada sesuatu yang menghembusnya.

"Pelik," suara saya meninggi.

Datuk segera memberi isyarat jari menyuruh diam. Saya patuh dengan arahan itu tetapi, kalbu tetap berperang dengan perasaan cemas dan takut.

Betapa tidak, kepulan abu seludang yang berterbangan terus berpusu-pusu ke satu sudut berkumpul di situ dalam bentuk memanjang berukuran satu kaki.

Dalam sekelip mata pula bertukar menjadi seperti puntung kayu yang rentung. Hitam legam.

Puntung kayu yang rentung berpusing ligat di situ, macam gasing serta mengeluarkan bunyi yang berdengung. Setelah berpusing lebih kurang lima minit, putung kayu itu bergerak ke arah pintu lalu melanggar jenang pintu. Pecah bertaburan menjadi seperti percikan bunga api yang halus lalu hilang.

Apa yang berlaku kami ikuti dengan penuh debar. Saya yakin, kalau berlaku sesuatu yang tidak diingini terhadap kami bertiga, datuk tidak akan lepas tangan.

"Semuanya pelik dan menakutkan," ujar Harun kepada kakaknya dalam nada suara yang agak perlahan, tetapi dapat di dengar oleh datuk.

Seperti yang dilakukan kepada saya, datuk memberi isyarat kepada Harun dan Nonong supaya jangan bercakap.

Harun menarik nafas panjang. Agaknya, kecewa dengan arahan datuk.

Dengan perlahan-lahan Harun mengisut ke arah Nonong. Mereka duduk berdekatan, berpegangan tangan.

Barangkali kalau terjadi suatu yang buruk mereka tidak mahu berpisah, mahu mati bersama. Rela rentung, jadi abu bersama rumah peninggalan orang tua andainya dimamah api.

Tetapi, bagaimana dengan diri ini, apakah harus mati bersama?

Saya cuma menemani datuk bagi mengatasi masalah yang ditanggung oleh Nonong. Tentulah tidak wajar saya menanggung akibatnya, mati katak kerana orang Iain. Kerana itu, saya mesti bersedia untuk menyelamatkan diri bila keadaan terdesak.

Diri datuk tidak perlu digusarkan. Dia banyak pengalaman, kaya ilmu dunia akhirat. Tidak ada masalah baginya untuk menghadapi apa juga kesulitan dalam situasi sekalipun.

Semuanya itu berkocak dalam kotak batin. Saya mula menjeling ke arah pintu bilik. Kalau perlu saya harus merempuh apa saja untuk keluar dari suasana yang tidak menyenangkan itu.

"Harun," gegendang telinga saya didatangi suara Nonong.

"Kenapa Kak?" Balas Harun.

"Apakah kita akan jadi korban penunggu bilik?"

"Tidak kak."

"Paaaaaaaaapppppppppppp...”

Telapak tangan kiri datuk menampar lantai dengan sekuat hati. Punggung saya terangkat kerana terkejut. Wajah Nonong dan Harun pucat lesi, macam mayat.

Semua biji mata tertumbuk ke arah datuk. Dia memberi isyarat supaya jangan berkata-kata. Dan kami pun menundukkan kepala, tanda bersedia mematuhi larangannya.

NEGATIF

Di tengah-tengah situasi yang tidak rnenentu itu, bermacam-macam yang timbul dalam kepala. Semuanya negatif.

"Ah," saya bersuara dalam hati.

Tik tik tik, datuk menjentik lantai.

Saya faham, apa yang terdetik dalam hati sampai ke akal fikiran datuk. Lagi sekali saya menundukkan kepala. Berjanji tidak akan memikirkan sesuatu yang buruk.

Saya yakin datuk menerima ikrar saya, buktinya dia tidak membuka sepasang kelopak matanya.

Rasa tidak selesa kian menjadi-jadi. Badan mula berpeluh dan ruang bilik terasa panas membahang seperti mahu terbakar, panas dan pedih.

Setiap liang roma mengeluarkan peluh. Seluruh sendi terasa bergetah dan peluh pun mengeluarkan bau yang kurang menyenangkan.

Saya menoleh ke arah Nonong dan Harun. Mereka juga resah gelisah. Pakaian mereka basah kuyup, macam orang terjatuh dalam sungai. Datuk macam tadi, tak bergerak dan bertindak.

Duduk bersila cara pahlawan dengan kedua-dua belah tangan memeluk tubuh.

"Sekarang dah jauh malam, apa lagi yang kamu nantikan. Keluarlah secara baik, sebelum kamu aku binasakan," suara datuk menggeletar, macam menahan marah. Tidak tahu kepada siapa kata-kata itu datuk tujukan.

Saya segera membuat andaian sendiri, kata-kata itu dihalakan kepada makhluk halus penghuni bilik. Tidak ada tindak balas atau reaksi dari makhluk halus sama ada secara nyata atau ghaib.

Malam kian larut. Sekali-sekala terdengar suara burung hantu dan jampuk. Begitu juga dengan salakan anjing di hujung kota mendayu-dayu bercampur aduk dengan bunyi deru kereta yang sesekali lalu di jalan besar.

Kalau sudah sampai dinihari, di mana-mana pasti terasa dingin tetapi, keadaan menjadi sebaliknya di bilik yang kami huni ini. Panasnya menjadi-jadi.

Bara batu gunung terus marak, bertambah besar sambil memercikkan bunga-bunga api yang halus menyala ke arah datuk.

Anehnya, bebunga api itu berpatah balik ke arah bara api sebaik sahaja mendekati datuk dalam jarak satu hasta. Saya lihat datuk tidak lakukan apa-apa supaya bebunga api itu berpatah balik ke tempat asaInya.

Datuk tetap seperti tadi, duduk bersila memeluk tubuh. Perbezaan yang ketara dapat dikesan pada bahagian mata. Tadi, kelopak matanya rapat, kini terbuka sedikit. Memandang kuyu ke arah kami bertiga.

Dan suara lolongan anjing makin galak dan diikuti dengan suara burung hantu bagaikan berpesta di atas bumbung sambil sayapnya memukul atap rumah. Semuanya menambahkan rasa takut dan cemas di hati.

Dalam ketakutan itu muncul persoalan dalam hati, dari mana burung-burung hantu itu datang? Ternyata soalan itu sukar dicari jawapannya.

"Ah..."datuk mengeluh.

Cepat-cepat saya arahkan sepasang mata kepadanya. Kedudukannya sudah berubah. Dari duduk bersila kepada bertinggung. Kaki kirinya melepaskan beberapa tendangan kencang arah dinding.

Setelah melepaskan lebih daripada enam tendangan kencang ke arah dinding, datuk kembali kepada posisi asal.

Sekali lagi kami mengalami kejutan. Bara batu gunung yang marak dan merah menyala terus padam. Seluruh bilik gelap gelita.

Dari arah kanan (arah pintu masuk) muncul cahaya pelita minyak tanah. Bergerak di awang-awangan, berlegar-legar di atas kepala kami bertiga.

Badan yang panas serta-merta terasa sejuk. Pelita bergerak pula mengelilingi tubuh datuk. Badan kami kembali panas.

SAMAR

Dalam cahaya yang samar-samar itu, saya melibat tangan kanan datuk bergerak dengan pantas untuk menangkap lampu minyak tanah yang terbuai-buai mengelilinginya. Usaha datuk gagal.

Lampu minyak tanah bergerak arah kiri dan naik ke arah siling bilik, tergantung di situ untuk beberapa saat sebelum berada di permukaan lantai.

Semasa lampu minyak tanah berada di lantai, datuk segera melompat dan menerkam ke arah lampu tersebut. Pergelutan pun berlaku antara datuk dengan makhluk (tidak kelihatan) yang menguasai pelita minyak tanah.

Datuk mahu merebutnya untuk dimusnahkan sedangkan makhluk yang tidak dapat dilihat, mahu mempertahankannya.

Pergelutan berlaku dalam cahaya pelita minyak tanah yang samar-samar itu, tidak dapat diikuti dengan jelas. Tetapi, setiap kali datuk melepaskan buah silat yang jitu dan tepat mengenai sasarannya terdengar suara orang mengeluh, menahan rasa sakit.

Berdasarkan pada suara tersebut, saya kira usia makhluk yang mempertahankan lampu minyak tanah itu, tidak jauh beza dengan usia datuk. Dua kali datuk tercampak ke dinding akibat kena penendang dari makhluk yang tidak dapat dilihat.

Perlawanan bertambah sengit dan gamat. Datuk sering sahaja jatuh dan bangun.

Melompat ke kiri, melompat ke kanan. Ada ketikanya lompatan tadi hampir mencecah siling rumah.

Tanpa tidak disangka-sangka dua kali saya kena libasan kain cindai makhluk ghaib di bahagian muka. Perit dan pedihnya rasa tak tertanggung. Pipi yang kena terasa terus membengkak.

"Melayang," itu yang keluar dari kelopak bibir.

Bagaimana tidak bersuara, saya terkejut melihat kejadian yang tidak disangka-sangka terjadi di hadapan mata.

"Dummmmmmmmmmmm.."

Pelita minyak tanah meletup betul-betul di atas bara batu gunung yang padam. Bilik terasa bergegar. Dua keping papan dinding berlubang.

Kami bertiga terangkat dari permukaan lantai lalu tercampak ke arah tiang. Bertindih-tindih di situ. Harun menghempap tubuh saya. Tubuhnya pula dihempap oleh Nonong.

Kami bertiga bagaikan berada di sebuah dunia asing yang sunyi sepi. Otak kami terasa kosong. Kami melihat api menjilat dinding dan lantai rumah. Mulut bagaikan terkunci untuk menjerit atau memekik.

Datuk yang tadi nampak gagah dan hebat melepaskan tendangan dan tumbukan ke arah musuh mula lemah.

Secara perlahan-lahan dia rebah di lantai, terbujur di situ menggeletik macam ikan keli kena ketuk.

Dan selanjutnya, secara bertahap-tahap badan datuk mengerekot seakan-akan angka lima.

Api di lantai segera menjalar ke arahnya lalu mengelilingi sekujur tubuh datuk dalam jarak satu kaki. Saya tidak terdaya menolongnya.

Sepasang kaki serta tangan tidak boleh digerakkan melekat pada tiang. Mujurlah, biji mata boleh digerakkan untuk melihat ke seluruh bilik. Nonong dan Harun juga macam saya.

"Syukur," kata hati.

Perlahan-lahan datuk meluruskan tubuhnya yang mengerekot, tidak ubah macam ular sawa membuka lingkaran. Sepasang kaki dan tangan mula diluruskan. Kepalanya juga boleh digerakkan untuk merenung keadaan sekitar.

Dan api yang mengelilingi datuk beransur kurang, tidak semarak tadi. Sebahagian darinya sudah pun padam, terutama di bahagian yang berdekatan dengan hujung kaki. Apa yang kelihatan di situ ialah kepulan nipis.

Dari lubang dinding yang terpelehong saya melihat keluar. Semuanya nampak gelap gelita. Suara jampuk dan kelawar masih kedengaran. Salakan anjing boleh dikatakan hilang terus. Tetapi, suara katak dan cengkerik masih bergemam bagaikan nada dan irama.

Ada ketikanya, seperti suara orang menangis, kadangkala terdengar suara orang mengilai dan bunyi orang makan daging. Semuanya ini membuat saya bertambah cemas.

MAYA

Nonong dan Harun sudah tidak bermaya. Lembik semacam, mata mereka nampak kuyu dengan sepasang bibir terjuih ke bawah. Keadaan mereka macam orang kena pukau angin.

Berdasarkan apa yang mereka alami, saya yakin kedua-duanya tidak sedar atau dapat melihat apa yang berlaku dalam bilik. Kerana kepala masih boleh digerakkan ke kiri dan ke kanan lalu saya manfaatkan dengan sebaik mungkin.

Perkara yang saya utamakan ialah menumpukan perhatian ke arah datuk.

"Syukur pada Allah."

Itulah yang terdetik dalam kalbu saya, bila melihat datuk boleh bangun. Duduk bersila, bertindih paha seperti keadaan sebelum kejadian.

Api yang marak terus padam. Seluruh bilik dikuasai asap nipis. Lubang hidung mula disumbat dengan bau kemenyan.

Peliknya, asap yang banyak itu tidak pula memedihkan mata saya. Mungkin juga mata Nonong dan Harun Fadillah. Dalam gerak asap nipis yang lembut itu ada kelibat lembaga yang tinggi lunjung hampir memecah siling bilik.

Bau kemenyan yang kurang menyenangkan itu bertukar menjadi bau yang amat wangi. Imbasan yang tinggi melunjung, sedikit demi sedikit menjadi rendah dan berhenti dalam ukuran tinggi seperti manusia normal (ukuran tinggi orang Malaysia).

Kalau tadi dapat dilihat dalam bentuk imbasan, kini beransur jelas bentuk dan rupanya.

Sepasang anak mata diarahkan kepada sesusuk tubuh yang berdiri di hadapan, merenung tajam ke muka datuk yang masih berusaha mengumpulkan tenaga.

Secara automatik saya teringatkan sesuatu. Rasa-rasanya pernah bertemu dan melihat wajah dan tubuh manusia tersebut.

Semasa berhempas pulas memutarkan jarum ingatan pada waktu yang berlalu. Orang yang dijadikan fokus hilang dengan serta-merta, kemudian timbul semula dan hilang kembali.

Begitulah silih berganti, hilang timbul, hilang timbul. Membuat kepala terasa pening, pandangan jadi berpinar. Tekak terasa loya, pertukaran gerakan lembaga tersebut terlalu cepat serta mengeluarkan cahaya dalam bermacam-macam warna.

Secara tidak sengaja air liur meleleh dan berbuih di pinggir mulut. Ada sesuatu yang menekan halkum saya.

Apakah perkara yang saya alami ini, turut dirasai oleh Nonong dan Harun?

Menjelma pertanyaan dalam hati. Datuk masih lagi meneruskan usahanya memulihkan tenaga yang banyak terbuang akibat pertarungan tidak diingini. Datuk menggeliat dan melakukan senaman harimau bangkit dari tidur.

"Uuuuhh huk..."

Nonong terbatuk dan saya cuba menoleh ke arahnya. Tetapi, tidak berhasil, leher tidak boleh digerakkan. Dalam masa yang sama terdengar suara Harun merintih, menahan rasa sakit.

Saya tidak dapat berbuat apa-apa melainkan berdoa pada Allah, semoga tidak akan berlaku perkara yang tidak diingini pada mereka berdua.

Kerana tidak boleh menoleh ke kiri dan ke kanan, perhatian kembali kepada datuk dan lembaga aneh. Rasa silau dan pedih di mata terpaksa ditanggung, kepala semakin pening, denyutnya mula terasa.

"Weeeeekkkkkkkkkkk..."

Isi perut bagaikan mahu keluar. Tidak terdaya menahan rasa muntah terpaksa diluahkan. Malangnya muntah yang diluahkan tidak keluar kecuali angin dan bau yang tidak menyenangkan.

Lebih dari lima kali saya mengalami perkara yang sungguh membosankan, sungguh menyeksakan membuat seluruh tubuh tidak berdaya.

MUNTAH

Bila keadaan sudah aman, perut tidak bergelora, rasa mahu muntah sudah hilang begitu juga dengan rasa loya di tekak. Barulah waktu yang berlalu dapat di sorot.

Masih tergambar dan penuh yakin saya memang pernah bertemu dengan lembaga manusia yang berdiri memandang datuk itu. Cuma yang berbeza dari segi berpakaian.

Dulu memakai baju Melayu teluk belanga yang koyak di bahagian bawah, bersongkok putih, berkain pelikat. Di bahu kanannya tersangkut kain hitam serta berwajah garang. Keadaannya, sudah banyak berubah.

Wajah yang garang bertukar lembut, tidak bermaya. Putih macam kapas. Misai tebal yang hitam bertukar kemerah-merahan. Sebahagian dari wajahnya di balut dengan kain hijau (macam serban). Rambutnya yang kemerah-merahan, panjang separas leher jelas kelihatan.

"Sudah sah, orang inilah yang saya temui bersama datuk, sewaktu pulang solat jemaah subuh dari Masjid Raya," jerit saya sekuat hati tanda kegembiraan.

Malangnya, jeritan tidak di dengari oleh sesiapapun. Tidak keluar dari tekak. Saya amat kecewa sekali.

Perlahan-lahan, lelaki tua berwajah seputih kapas alihkan perhatian kepada saya sambil melemparkan senyum sinis. Seolah-olah tahu apa yang saya lakukan.

Datuk yang sudah berjaya mengumpulkan tenaga terus bangun dan berdiri, bertentang wajah dengan orang tua berwajah seputih kapas.

Perlahan-lahan datuk menjarakkan kedudukan kaki kiri dengan kaki kanan supaya ada ruang yang lebarnya kira-kira satu kaki lebih di celah kangkangnya. Kemudian memperkemaskan kekuda kiranya dengan membengkok sedikit bahagian lutut.

Semuanya dilakukan dengan tujuan untuk berjaga-jaga.

Mana tahu, kalu secara tiba-tiba orang di hadapannya melakukan serangan kilat.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 213/284

BACA: SBDJ Siri 212: Anak Sulung Nikah Seludang
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com

Friday, September 27, 2024

SBDJ Siri 212: Anak Sulung Nikah Seludang

SBDJ Siri 212: Anak Sulung Nikah Seludang

Semasa mengadakan pertunjukan di kawasan pendalaman, Jawa Barat lebih tepatnya di daerah Banten, Ani Cantik telah menemui seorang tua yang memang handal dalam ilmu susuk. Dengan bantuan orang tua itu Ani cantik dibekalkan dengan sejenis ilmu susuk yang cukup kuat pengaruhnya. Setiap orang yang memandang, lebih-lebih lagi kaum lelaki akan tertarik dan jatuh hati kepadanya.

Toyol jadi-jadian

Kerana ilmu susuk yang dikatakan amat mujarab itu, Rani cantik terpaksa patuh dengan syarat-syarat yang ditetapkan oleh pemilik ilmu susuk.

Roda kehidupan 'Ani Cantik' terus berputar. Kemasyhurannya terus menguasai dunia bangsawan. Tiada orang yang tidak kenal atau tidak tahu menyebut nama “'Ani Cantik'. Banyak kumpulan bangsawan yang lain gulung tikar kerana Ani Cantik.

Semasa bangsawan Inderpura mengadakan pertunjukan di Tanjung Pinang-Riau, seorang saudagar muda yang membekalkan buah-buahan, sayur-sayuran dan ikan basah dari Tanjung Pinang ke Singapura dan Melaka terus jatuh cinta dan gilakan Ani Cantik setengah mati.

Saudagar muda yang kacak itu akan berusaha menghadirkan diri di mana sahaja bangsawan Inderapura mengadakan pertunjukan. Tidak mudah memenangi hati 'Ani Cantik' kerana terpaksa bersaing dengan anak-anak muda lain.

Untuk memiliki 'Ani Cantik', saudagar muda yang berasal dari Kampong Serkam Melaka itu terpaksa mengeluarkan jumlah wang yang banyak untuk meminangnya. Barang hantarannya juga mahal-mahal belaka, kebanyakannya buatan luar negeri.

"Siapa orang muda yang berjaya menakluki hati Seri Panggung itu memanda?" Nonong mengajukan pertanyaan.

Datuk sambut dengan senyum dan diakhiri dengan ketawa kecil penuh sinis.

"Kamu nak tahu orangnya Nonong."

Nonong anggukkan kepala.

"Ayah awaklah, kawan memanda Raja Amiruddin, tak suka dipanggil raja, dia muda lima belas tahun dari aku. Baik orangnya, tinggi budi bahasa dan setia bila berkawan. Pemurah orangnya."

"Dari mula saya dah agak, pemuda itu ayah saya," kata Nonong keriangan dan sebuah senyum bangga terpamer di kelopak bibir.

Tidak ada orang yang tidak merasa bangga, bila ayah sendiri dipuji orang, fikir saya dalam hati.

"Berbalik semula pada cerita tadi, aku mendapat tahu semasa Rani Cantik memasang susuk, si dukun mengenakan syarat yang mesti dibuat. Kalau tidak dipenuhi "Ilmu susuk" akan memakan diri..."

Saya melihat datuk menelan air liur. Keberatan untuk meneruskan kata-kata. Dia nampak gusar semacam.

JEMU

Beberapa saat masa terus berlalu begitu saja. Bagi menghilangkan rasa jemu, saya kembali merenung dada langit. Awan berarak seperti tadi juga.

Entah mengapa badan saya terasa seram sejuk. Nonong yang tadi tenang nampak resah. Melaga-lagakan gigi atas dengan gigi bawah berkali-kali hingga menimbulkan bunyi seperti orang menarik kain kapan. Matanya masih merah dan nampak liar semacam.

"Nonong, tenang Nonong. Bacalah ayat Al-Ikhlas, Al-Falaq dan An-Nas," datuk mengingatkan Nonong.

Permintaan datuk segera dipatuhi oleh Nonong. Setelah dilaksanakan ternyata kegelisahan yang dialami terus hilang. Gigi atas dan gigi bawah tidak dilagakan, mata yang merah kembali normal.

Saya yang secara diam-diam membaca surah yang disebutkan oleh datuk tadi, tidak lagi mengalami rasa seram sejuk.

"Apa syarat yang dituntut?"

Datuk mengigit bibir bawah. Renung ke dinding ke dinding dan ke arah tingkap seketika sebelum menatap wajah Nonong dengan pandangan yang tajam, tetapi, penuh simpati.

"Rani Cantik mesti mempertaruhkan anak perempuan sulungnya. Mesti dikahwinkan dengan batu gunung yang ditemui di Kuala Sungai dengan kedudukan batu menghala ke arah matahari jatuh. Cara kebetulan anak perempuan sulung "Rani Cantik" itu adalah kamu."

"Kenapa saya dijadikan korban dan taruhan?" Nonong jengilkan sepasang biji mata sambil menggenggam penumbuk. Datuk terus memujuknya agar bersabar.

"Kenapa emak bertindak begitu kejam pada saya? Apa tujuan dia berbuat demikian?" Muncul lagi pertanyaan dari Nonong. Wajahnya membayangkan rasa kesal yang tidak ada penghujungnya.

Datuk mula menyedari, dia kini berada dalam keadaan terdesak. Kalau lambat bertindak, mungkin Nonong mengalami tekanan yang membawa kepada histeria, menjerit tidak tentu fasal, meracau tak tentu arah.

"Nonong bertenanglah, kisahnya belum habis. Aku sekarang sedang berusaha membetulkan kesilapan yang emak kamu lakukan. Kalau kamu tidak dapat mengawal perasaan, tidak sabar, semua usaha yang dibuat menjadi sia-sia Nonong."

"Maafkan saya memanda."

"Dengan mengahwinkan kamu dengan batu gunung, daya pesona, seri wajah dan apa yang kamu miliki akan berpindah ke wajah emak kamu. Emak kamu sentiasa keliahatn berseri-seri. Nampak menarik di mata sesiapa saja."

"Rasa macam tak percaya, susah untuk diterima akal," Nonong berusaha sambil merenung kosong ke arah pintu yang terdedah.

"Tetapi itulah yang terjadi Nonong," keluh datuk penuh kehampaan.

"Apa tindakan selanjutnya memanda,"

"Kita bersurai, malam nanti, lepas sembahyang Isyak, kita baca Yassin. Kemudian kita sama-sama masuk bilik rahsia emak kamu," datuk meluahkan agenda selanjutnya.

"Adik saya Harun macam mana?"

"Dia ikut sama. Dia waris kuat kamu, lagipun dalam ilmu yang emak kamu amalkan, boleh dihalang oleh anak bongsu lelaki dari berlanjutan pada waris kamu pada masa akan datang," sebuah penerangan yang penuh yakin dari datuk untuk Nonong.

BERTINDAK

Setelah usai membaca surah Yassin, Datuk menyuruh Harun Fadillah memakai pakaian serba putih. Nonong diminta jangan menukar telekong yang dipakai. Saya disuruh memakai kain pelikat tanpa baju. Kepala diikat dengan kain merah.

Seperti biasa bila mahu melakukan tugas-tugas khas, datuk akan mengenakan pakaian serba hitam. Dan kerana mahu ikut serta dalam gerakan tersebut, saya disuruh berpakaian ganjil kerana saya orang luar. Tidak ada sangkut paut dengan keturunan Nonong.

Tugas dimulakan oleh datuk menggunakan rotan untuk mengetuk pintu bilik rahsia. Lima kali ketuk, mangga tembaga terbuka sendiri. Ketukan kali keenam daun pintu bilik terkuak sendiri. Harun Fadillah meluru mahu masuk kebilik rahsia.

"Jangan, nanti kamu terima padah," tahan datuk.

Semua biji mata tertumpu ke bilik rahsia. Kerana gelap tidak ada satu pun yang kelihatan. Bila direnung lama-lama, terasa seram.

"Ada lilin?"

"Ada memanda," jawap Harun Fadillah.

"Ambil enam batang, nyalakan dan bagi seorang dua. Bila sampai ke dalam letakkan rapat-rapat dan letakkan di tempat yang agak tinggi. Arahan ini sekali saja tidak akan diulangi lagi, faham."

"Faham," balas harun Fadillah.

Semua arahan dilaksanakan dengan sebaik mungkin. Tugas selanjutnya banyak dilakukan oleh datuk tanpa memberitahu kami terlebih dahulu.

Sepanjang operasi berjalan, semuanya membisu. Semuanya mengharapkan cahaya lilin. Saya tidak tahu kenapa lampu letrik tidak dinyalakan. Memang membosankan berada dalam bilik yang kekurangan cahaya, pergerakan jadi terbatas. Lebih dari sepuluh minit berada dalam suasana yang serba tak kena.

"Onkan lampu," bisik datuk ke telinga Harun Fadillah.

Bagaikan kilat hjari Harun Fadillah menekan "Switch" lampu. Dengan serta merta seluruh ruang bilik dilimpahi cahaya terang benderang. Semuanya nampak cerah. Masing-masing menarik nafas lega.

"Nonong, Harun, kamu lihat apa yang terletak di bucu bilik."

Biji mata Nonong dan Harun Fadillah tertumpu ke arah yang dikatakan oleh datuk. Saya juga tidak mahu ketinggalan lalu merenung ke bucu bilik yang keadaan tidak bersih.

Nampak berhabuk dan ada bungkusan yang dibalut dengan kain dua warna hitam-putih.

"Harun Fadillah, kamu waris kuat dalam keluarga, ambil bungkusan itu dan buka," sambil duduk bersila, berpeluk tubuh di muka pintu.

Datuk terus memberikan panduan dengan kelopak mata separuh pejam. Harun Fadillah nampak cemas mahu mematuhi arahan. Renung ke arah kakaknya seketika seolah-olah minta bantuan.

"Jangan lambat-lambatkan," datang lagi araan dari datuk. Kali ini nada suara keras dan meninggi.

Harun Fadillah tidak ada pilihan. Antara berani dan takut, bungkusan yang dibalut dengan dua warna segera diambil dan dibuka.

Sungguh mengejutkan, seketul batu gunung kehitaman berkilat dibalut dengan segumpal rambut yang hitam berkilat dan seakan-akan memancarkan cahaya.

KECIL

Satu bungkusan kecil yang dibalut dengan kain kuning sebesar tiga jari orang dewasa turut ditemui diantara gumpalan rambut itu.

"Buka bungkusan kecil itu," arah datuk.

Terketar-ketar Harun membukanya. Mata saya dan mata Nonong tidak bergerak melihat ke arahnya. Dan bungkusan itu ditemui tujuh helai rambut yang halus.

Warnanya agak kekuning-kuningan, tidak ubah macam rambut bayi yang baru lahir dalam kotak kecil, bersama daun pandan kering tetapi masih berbau.

"Semua barang-barang diletakkan dekat hujung kepala lutut kiri aku. Jangan diangkat. Tarik perlahan-lahan," nada datuk agak lembut. Tetapi, perintahnya menyusahkan.

Menarik barang-barang dalam kain bukanlah satu kerja mudah. Kenapa tidak dibungkus semula kemudian diletakkan di hujung lutut. Bukankah cara itu lebih mudah dan cepat. Begitu saya membuat kesimpulan.

Walau apa pun arahan datuk itu tetap dipatuhi oleh Harun Fadillah. Bila semua barang-barang sudah berada di lutut kiri, secara perlahan-lahan datuk membuka kelopak mata. Silih berganti dia menatap wajah Harun Fadillah dan kakaknya (Nonong).

Tidak dinafikan dua bersaudara itu nampak pucat dan cemas semacam. Saya berdebar-debar menanti arahan ang bakal di tuturkan oleh datuk.

Rasanya, memang tidak ada untungnya saya melibatkan diri dalam perkara ini. Tetapi, apakan daya sudah terlanjur. Susah senang terpaksa juga dihadapi.

"Harun, Nonong."

Dua bersaudara itu segera angkat muka, merenung ke arah datuk dengan seribu pertanyaan. Apakah arahan yang mesti dipatuhi?

Apa yang dinanti tidak menjadi kenyataan. Dua minit masa berlalu begitu sahaja. Datuk tidak berkata sepatah apapun. Asyik resah tidak menentu. Macam ada perkara yang berputar dalam tengkorak kepalanya.

"Apa yang kamu lihat di hujung lutut ini, sebahagian daripada barang yang mesti disediakan oleh emak kamu, sesuai dengan kemahuan dukun susuk," ungkap datuk.

Nonong dan Harun Fadillah anggukkan kepala.

"Aku tidak boleh menjelaskan perkara ini secara terperinci, kecuali kamu berdua mahu tahu. Jadi, kamu boleh bertanya sebelum pukul dua belas tengah malam," sambung datuk.

"Apakah itu syarat dan pantang larangnya, memanda?" Nonong memberanikan diri cuba bertanya

"Kalau dilanggar apa padahnya?" susul Harun Fadillah.

"Usaha aku untuk memulihkan kakak kamu tidak berjaya. Malah, anak bini kamu menanggung susah."

Nonong terkejut dengan penjelasan itu. Wajah Harun Fadillah pucat. Datuk yang duduk bersila, secara mengejut jatuh tersungkur ke depan, macam ada kuasa yang menolaknya dari belakang.

Secara tidak semena-mena udara dalam bilik jadi panas, bagaikan berada di tepi unggun api. Badan saya terus berpeluh. Rasanya seperti ada sepasang mata berwarna hijau menucul di dinding bilik dari arah belakang.

Dalam keadaan yang serba gawat dan cemas itu, datuk berjaya duduk kembali seperti keadaan asal. Serentak dengan itu suasana kembali tenang, rasa panas yang membara dan mata hijau yang ganjil terus lesap.

"Kerana benda-benda inilah adik-adik kamu dilarang masuk kedalam bilik khas ini," datuk renung ke arah dua objek yang berada di hujung lututnya.

"Iya, saya ingat sekarang, kata-kata emak," Nonong bersuara penuh perasaan.

Wajahnya nampak cerah dan matanya bersinar penuh ghairah membayangkan sepenuhnya kepuasan yang tiada taranya. Bagaikan orang haus mendapat air.

"Apa yang emak kamu katakan pada kamu Nonong."

"Bila emak ajak saya masuk ke bilik khas. Saya minta kebenaran supaya Khatijah ikut sama. Emak tak benarkan, dia selalu berkata: Anak sulung yang sudah susah dapat rezeki. Rupa-rupanya ada perkara yang mahu dirahsiakannya," ucap Nonong.

Harun Fadillah menarik nafas, Dia menggeleng-gelengkan kepalanya.

MENARIK

Tiada siapapun boleh menafikan bahawa apa yang dialami oleh Nonong menarik dan menyeronokkan. Ada ketikanya menakutkan, semuanya itu menambahkan minat saya untuk mengikutinya hingga akhir.

Mungkin, pada satu masa kelak, cerita yang dikira tidak masuk akal itu, boleh dikisahkan pada generasi akan datang. Samada mereka mahu percaya atau tidak itu hak mereka.

Setidak tidaknya mereka tahu bahawa dunia ghaib tidak dapat dipisahkan dengan kehidupan nenek moyang mereka.

Malah ada yang mendampingi makhluk ghaib untuk tujuan tertentu. Biasanya untuk kejahatan yang akhirnya menjahanamkan diri manusia itu sendiri. Fikir saya dalam hati.

"Sekarang ceritakan rambut siapa yang membungkus batu gunung tu, memanda," Nonong ingin tahu.

"Rambut emak kamu yang dicabut semasa bulan mengambang, dibalut pada batu sebagai tanda ikatan perjanjian dengan dukun susuk."

"Yang lagi satu tu?" Soal Harun Fadillah.

"Rambut kakak kamu yang semasa berusia 55 hari, dipotong dengan bilah buluh tumpat semasa matahari mahu naik. Ditaruh dalam seludang kelapa gading bersama dengan daun pandan diselitkan celah gumpalan rambut emak kamu," datuk berhenti bercakap.

"Tujuannya,?" desak Nonong.

"Macam aku katakan tadi, seri wajah kamu berpindah kepada emak kamu. Kecantikan zahir yang kamu miliki, tidak ada daya penarik membuat orang lelaki tidak minat. Dalam istilah ilmu hitam disebut sebagai 'NIKAH SELUDANG.'"

Harun Fadillah dan Nonong terkejut besar. Dan mereka mengakui kalau datuk tidak membuktikan kebenarannya ceritanya, mereka tidak akan percaya perkara itu dilakukan oleh ibu mereka.

"Sekarang terjawap sudah kenapa arwah ayah beria-ia benar menyuruh saya mencari memanda. Rupanya semua yang terjadi ada dalam pengetahuan memanda," suara Harun Fadillah penuh terharu.

"Dari dulu aku sudah tahu arwah emak kamu banyak melakukan perkara yang kurang baik. Aku suruh berhenti. Malangnya dia tidak mahu. Arwah ayah kamu juga gagal memujuknya. Akibatnya kamu yang tanggung derita," datuk tidak berhasil meneruskan kata-kata. Dia tersedak.

Semasa datuk tersedak, saya rasa batang leher seperti disentuh jari manusia yang tidak dapat dilihat yang terasa amat sejuk sekali. Nonong menjerit dan Harun Fadillah melompat macam ada sesuatu mengusik mereka.

"Kenapa Nonong," tanya datuk.

"Saya rasa ada tangan menyentuh buah dada saya, memanda."

"Ada jari panjang meraba leher dan telinga saya, sejuknya bukan main macam tangan mayat."

"Hum...," keluh datuk.

Kerana saya tidak ditanya, saya pun tidak menceritakan apa yang saya alami. Apa yang saya tahu tidak jauh bezanya dengan apa yang dirasai oleh Harun Fadillah.

BERGERAK

TIBA-TIBA apa yang berada ddalam bilik berterbangan. Tetapi, anehnya benda yang berada di kepala lutut kiri datuk tidak bergerak walau sedikit pun. Keadaan itu membuat saya, Nonong dan Harun Fadillah merasa cemas.

Memang cemas dan menakutkan, bila saya lihat tubuh Nonong dan Harun Fadillah bergerak dalam keadaan duduk dari sudut ke sudut, tidak ubah macam berada di perahu yang dipukul gelombang.

Nonong dan Harun Fadillah terkapai-kapai, mulut mereka terbuka dan cuba berkata sesuatu ke arah saya dan datuk. Malangnya, suara dua beradik itu tidak keluar.

Paling mengerikan, bila tubuh mereka terangkat dan cuba bergerak ke arah pintu. Pada ketika itu datuk segera bangun dan mulutnya keluar beberapa ayat Quran penghalau syaitan.

"Aduh..." Jerit Nonong dan Harun Fadillah serentak.

Kedua-duanya jatuh terperosok di sudut dinding, dimana bungkusan ganjil itu di temui. Dengan susah payah mereka bangun, lalu duduk bersila di tempat asal.

"Sebelum tengah malam, sebelum pukul dua belas, kita mesti selesaikan semuanya ini. Datuk melahirkan sebuah keazaman. Dari nada suara dan gaya dia bercakap, nampaknya datuk tidak mahu bertolak ansur lagi. Segala-galanya mahu diselesaikan dengan segera.

"Api," kata datuk.

Dengan jari telunjuk, saya menunjukkan ke arah enam batang lilin. Salah satu lilin itu masih lagi terbakar. Lilin yang masih menyala itu datuk ambil.

Setelah mengemaskan silanya serta memastikan kedudukan batu gunung yang dibalut dengan rambut serta tujuh helai rambut dalam seludang pinang berada di hujung lutut kirinya, perlahan-lahan datuk menghalakan di hujung lilin ke arah objek tersebut.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 212/284

BACA: SBDJ Siri 211: Susuk Gadai Anak
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com

Monday, September 23, 2024

SBDJ Siri 211: Susuk Gadai Anak

SBDJ Siri 211: Susuk Gadai Anak

Lagi sekali saya direndam rasa kecewa. Melihat pada situasi, tidak ada tanda-tanda datuk mahu menyambung ungkapan yang terputus. Dia bagaikan tidak berselera mahu mencungkil kisah silam datuk dan nenek Nonong.

Mungkin datuk terfikir begini: membuka kisah cela dan keburukan orang yang sudah mati, bukanlah kerja terpuji.

Kenapa dalam saat begini, perkara seperti itu harus muncul dalam benak datuk? Timbul pertanyaan dalam diri saya.

Nonong nampak resah semacam. Barangkali apa yang berlegar dalam kepala saya, itu jugalah yang bermain dalam otak Nonong.

Toyol jadi-jadian

Soalnya, siapakah di antara kami yang berani bersuara menyuruh datuk menyambung kembali cerita yang tergantung? Tentulah saya bukan orangnya. Nonong memang berhak kerana apa yang diperkatakan adalah masalah keluarganya yang berpaut erat dengan masalah dirinya.

"Memanda," lembut sekali suara Nonong.

"Aku tahu, kamu mahu tahu ceritanya," ekor mata datuk menjeling ke arah Nonong.

Saya telan air liur, diharap kelembutan suara Nonong akan menjentik keghairahan datuk menyambung cerita.

"Memang itulah yang saya harapkan."

"Baiklah," datuk memperkemaskan silanya.

"Adakah rahsia yang lebih sulit dari apa yang memanda sebutkan tadi?" Nonong mendesak.

"Ada, tapi..." datuk menarik dan melepaskan nafas.

"Kenapa memanda?"

"Beri masa untuk aku berfikir, dan mengingati nama nenek dan datuk kamu yang sebenar. Mereka lebih terkenal dengan nama gelaran 'Pawang Istana' atau 'Pawang Raja' bagi datuk kamu. Nenek kamu pula disebut 'Andam diraja' atau 'tukang andam istana'" tutur datuk dengan tenang.

"Saya ingat memanda," Nonong separuh menjerit.

Datuk tersenyum sambil merenung ke arah saya.

"Siapa namanya?"

"Datuk saya namanya Alang Basitah," penuh yakin Nonong menjawab.

"Nenek kamu pula?"

"Raja Anum Dang Sari."

"Bagus, kamu masih ingat akar umbi kamu, Nonong,"

"Aduh, manisnya senyuman gadis lanjut usia yang berat jodoh," komen saya dalam hati bila melihat sepasang kelopak bibir Nonong mengukir senyum.

Setelah Nonong berhasil memujuk datuk, saya merasakan ada perubahan yang terjadi secara spontan dalam dirinya.

Datuk bagaikan memperoleh kekuatan untuk meneruskan cerita, tidak merasa cemas atau diganggu sesuatu yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar.

Kata datuk selanjutnya, Pawang Raja dan Andam Istana terus memberikan perhatian kepada anak gadis mereka jika ada majlis bertindik, berkhatan atau pernikahan. Nama ibu Nonong terus menjadi sebutan di mana-mana.

"Sebagai penari yang sedang naik, nama emak kamu jadi sebutan. Selalu diminta menarikan tarian tradisional di depan para pembesar negara dari dalam dan luar negeri, sama ada yang di undang oleh pihak istana ataupun yang mengadakan kunjungan hormat," tutur datuk.

"Selain dari istana, ke mana pula dia pergi, memanda?"

"Menyeberang Selat Melaka."

"Ke mana?" Nonong minta kepastian.

"Di mana ada perayaan raja, ada masanya ke lstana Deli, Riau, Serdang atau Batu Bara. Bila pawang Raja meninggal dunia, kegiatan andam istana mula berkurangan."

"Kenapa macam tu, memanda?"

"Sebabnya, tugas pawang dan andam mesti sama seiring. Kematian suaminya menyebabkan andam istana mengambil keputusan untuk tinggal di luar kawasan istana. Datang ke istana bila diperlukan."

Sedikit demi sedikit, datuk membuka sejarah lalu pawang raja dan pawang andam istana. Nonong mendengar penuh khusyuk kerana kedua-dua insan yang disebutkan oleh datuk adalah asal usul keturunan Nonong.

Walaupun begitu, Nonong tidak menampakkan rasa bangga atau megah dengan tugas datuk dan neneknya di dalam istana.

"Nenek kamu datang ke istana bila diperlukan. Kerana kebolehannya yang luar biasa sebagai tukang andam, kaya dengan pantang larang, kaya dengan petua, dada penuh dengan jampi serapah serta mantera nenek kamu dicari orang istana bila ada anak raja mahu bersanding atau bertindik. Dia di bawa ke istana di Langkat, Indrapura, Batu Bara di Sumatera."

"Saya minta maaf."

Biji mata datuk dan Nonong terpaku ke wajah saya. Mereka kehairanan, mengapa saya yang tidak ada sangkut paut dengan perkara yang diceritakan mesti masuk campur.

"Kenapa Tamar!" sergah datuk

"Saya musykil tuk."

"Apa yang kamu musykilkan?"

"Begini, setelah lndonesia mencapai kemerdekaan dan mengisytiharkan Negara Republik, semua sistem raja dihapuskan, Sultan tidak wujud lagi. Kenapa mesti ada sultan itu, Sultan ini di Sumatera?"

Nonong anggukkan kepala, setuju dengan pertanyaan yang saya ajukan. Datuk tersenyum senang. Perlahan-lahan dia membetulkan kedudukan kaki kirinya sambil merenung ke dada langit, melawan awan putih yang berarak lembut. Datuk menggaru pangkal tumit kaki kirinya.

"Apa yang kamu katakan itu memang betul, Sultan yang ada selepas kemerdekaan, hanya pada nama saja. Mereka tidak mempunyai kuasa, sekadar menjadi ketua adat, budaya masyarakat. Mereka boleh meneruskan adat-adat istana di kawasan yang ditentukan, seperti mengadakan upacara berkhatan, bertindik, nikah kahwin dan sebagainya," serius benar datuk memberikan penjelasan, kelopak matanya tidak berkedip merenung muka saya.

Kerana sering berulang alik ke Tanah Deli, Raja Anum mengambil keputusan untuk menetap di Deli. Secara kebetulan pula dia masih punyai pertalian darah dengan keluarga kesultanan Deli.

Dia pun membeli sekeping tanah tidak jauh dari kawasan istana.

Kerana usianya semakin tua, Kegiatan Raja Anum tidak serancak dulu.Tetapi, kalau ada yang memerlukan pertolongannya, Raja Anum tidak keberatan membantu.

Tidak dinafikan, dalam usia senja dia masih dicari orang terutama orang-orang Melayu yang masih berkampung di sekitar Medan yang mahu mengekalkan adat tradisi nenek moyang.

Raja Anum dicari bukan kerana tuanya tetapi kerana pengalamannya.

"Hebat juga nenek saya memanda."

"Begitulah kira-kiranya," balas datuk sambil ketawa kecil.

Saya juga tersenyum.

"Dalam waktu yang sama, emak kamu terus mengembangkan bakatnya dalam tarian. Kalau dulu nenek selalu dijemput ke Istana Deli tetapi awal dua puluhan selalu dijemput oleh kaum kerabat di beberapa buah negeri di Malaysia," sungguh bersemangat datuk bercakap.

"Saya tahu memanda."

"Emak dipanggil untuk memperlihatkan tarian tradisional pada harijadi sultan, bertindik, berkhatan atau pesta perkahwinan."

"Betul, itulah kelebihan yang Allah berikan kepada ibu kamu. Nenek kamu berbangga dengan kebolehan yang dimiliki oleh anak perempuan tunggalnya, nenek kamu yang memang tidak suka duduk diam membuka kedai kain," datuk berhenti bercakap kerana tersedak.

KEMBALI

Sebelum menyambung ceritanya kembali, datuk kerutkan kening sambil merapatkan sepasang kelopak mata. Barangkali, dia cuba mengingati di kawasan mana arwah nenek Nonong membuka kedai kain.

Saya lihat dua tiga kali datuk menggeleng-gelengkan kepala, barangkali, datuk tidak dapat mengingatinya. ltulah andaian saya bila melihat gerak-geri datuk di depan mata.

"Aku tak dapat menunjukkan kawasan kedai nenek kamu dulu Nonong. Apa yang aku tahu, nenek kamu juga membawa kain tenunan orang Batu Bara, Songket Palembang, batik Medan barang-barang kerja tangan ke Semenanjung. Kemudian barang-barang Semenanjung pula di bawa ke sini. Begitulah yang dibuat oleh nenek, setiap kali dia berpeluang berulang-alik dari Deli ke Semenanjung. Kadang-kadang emak kamu juga turut berbuat macam itu."

"Sambil menyelam, sambil minum air," saya mencelah.

"Kamu dengar saja, usah masuk campur," datuk melarang dan saya terdiam.

Khabarnya, kedai kain Raja Anum jadi tumpuan ramai terutama orang lelaki. Bukan kerana mahu membeli barang-barang yang dijual tetapi, mahu melihat wajah anak gadis disebut-sebut sebagai penari dan penyanyi tradisional golongan bangsawan Melayu sama ada di Tanah Semenanjung atau Tanah Sumatera.

Raja Anum pun, sedikit demi sedikit menurunkan segala ilmu dan petua menjaga badan dan kecantikan yang ada dalam dada kepada anaknya. Begitu juga dengan petua menjaga suara.

Raja Anum berpendapat kebolehan arwah suami dan dirinya harus diwarisi oleh anak gadisnya. Tradisi mendampingi golongan istana dan bangsawan harus dikuasai oleh keturunannya.

Dan perkara itu sering dibisikkan ke cuping telinga anaknya. Biar perkara itu menjadi simbol perjuangan yang mesti dilaksanakan.

Demi tujuan tersebut, apa juga rintangan, apa juga cabaran harus ditempuhi, asalkan matlamat perjuangan menjadi sebuah kenyataan.

Hinggalah pada suatu hari, kedai kain milik Raja Anum dikunjungi oleh sepasang suami isteri. Mereka membeli beberapa pasang kain songket dan selendang.

Setelah membayar semua barang yang dibeli, pasangan suami isteri mohon mahu mengadakan pertemuan khas dengan Raja Anum.

Pada mulanya, Raja Anum agak keberatan mahu memenuhi permintaan pasangan suami isteri tersebut. Dia bimbang kalau pertemuan itu mempunyai tujuan yang kurang baik.

Setelah didesak berkali-kali dengan alasan yang meyakinkan oleh pasangan suami isteri tersebut, Raja Anum akhirnya mengalah. Dia pun menetapkan pertemuan pada sebelah malam selepas waktu Isyak.

"Tidak boleh awal lagi," tanya si isteri yang berbadan langsing dan cantik dengan kain batik jawa, baju kebaya bandung.

"Kalau dapat awal lagi baik," celah si suami.

"Minta maaflah, kalau setuju itulah masa yang sesuai," Raja Anum memberi keputusan muktamad. Pasangan suami isteri itu tiada pilihan dan terpaksa akur.

Waktu yang ditetapkan oleh Raja Anum itu sesuai dengan petua orang tua-tua yang dipelajarinya. Kalau orang mengatakan hasrat mahu bertandang ke rumah pada hari Rabu, selepas waktu Zuhur, suruh orang itu datang selepas Isyak.

Kalau pada hari yang sama, orang mengatakan mahu berkunjung ke rumah pada sebelah pagi, suruh datang ke rumah selepas Asar.

Kalau tidak disesuaikan dengan keadaan dan masa yang ditetapkan oleh petua, tuan rumah akan menerima kecelakaan. Lagi pun bila diberi masa yang panjang, tuan rumah boleh membuat persediaan.

Kalau orang yang datang mempunyai niat buruk boleh menyebabkan orang yang berniat jahat membatalkan niatnya kerana bosan menantikan masa yang ditetap oleh orang yang mahu menunggu.

lni sekadar petua, entah betul entahkan tidak. Tetapi, Raja Anum tetap percaya. Baginya, setiap yang berlaku dan bakal dilakukan harus bersandar pada petua dan pantang larang nenek moyang.

Sebagai tukang andam istana, pantang larang dan petua tidak boleh ditolak begitu saja harus dipelihara serta dipraktikkan, kalau tidak ilmu yang dimiliki menjadi tawar.

"Anak daranya mana?" Tanya wanita yang wajahnya mirip wanita timur tengah, sebaik sahaja meletakkan punggungnya ke bangku rotan di ruang tamu rumah Raja Anum.

"Di bilik berlangsir, merawat muka, menjaga badan. Awak berdua ni siapa sebenarnya? Emak di depan mata tidak ditanya. Anak dara orang yang disoal," dalam manis Raja Anum menyindir tetamu.

"Begini, saya berdua ni tuan punya bangsawan Indera Pura," lelaki tinggi lampai berkulit putih merenung ke arah isterinya yang bernama Sharifah Marnis.

"Anak awak berbakat dan kami berminat untuk menjadikan dia seri panggung terkenal. Suami saya, Syed Ali Al-Idrus memang sudah lama mencari seri panggung. Seri panggung kami yang lama sudah berpindah ke bangsawan lain," kata Sharifah Marnis sambil merenung ke arah Syed Ali AI-Idrus yang secara spontan menganggukkan kepala.

"Di mana awak berdua tahu tentang kebolehan anak saya?"

"Sudah lama, bermula dari majlis bertindik kerabat Raja Selangor terus ke Johor, Perak dan Pahang. Sudah lebih dari setahun kami mengikutinya," jelas Syed Ali AI-Idrus dengan senyum berbunga.

GANTUNG

Raja Anum termenung sejenak, dalam keadaan sekarang bergantung dengan kerjaya sebagai penari istana, bukanlah masa dan ketika yang baik. Tidak boleh menjamin masa depan yang baik. Lebih-lebih lagi dengan berakhirnya kuasa pemerintah bersultan di Sumatera.

Menyandarkan harapan pada raja-raja di Tanah Semenanjung, bagaikan menahan jerat di tanah lapang, kalau nasib baik mengena, kalau tidak hampa selalu.

Lagi pun sejak akhir-akhir ini setiap negeri di Semenanjung sudah mempunyai badan kebudayaan sendiri. Jika ada perayaan atau temasya di istana, kumpulan budaya tersebut di undang untuk mempersembahkan sebarang bentuk kebudayaan pada para tetamu.

Kebanyakan ahli-ahli-kumpulan itu adalah bekas anak muridnya. Setelah diperhitungkan buruk baik, untung rugi yang mendalam, pada dasarnya tawaran itu tidak wajar ditolak.

Meskipun begitu ada beberapa bal yang harus diambil berat. Memang, sekali lalu perkara yang harus dititik beratkan itu nampak agak remeh. Tetapi, kalau terus diketepikan akan membawa padah yang kurang baik pada anaknya, juga kaum keluarganya.

"Kenapa menung panjang? Cakap saja boleh," Sharifah Mamis menguntum senyum.

Raja Anum tersentak dari lamunan. Semuanya yang bergerak dan bergolak dalam tempurung kepala lenyap dengan serta merta.

"Boleh "

"Alhamdulillah, syukur," Syed Ali AI-Idrus segera bangun.

"Dengan syarat?"

"Haaaaa ada syarat, apa syaratnya?" Perlahan-lahan Syed Ali AI-Idrus duduk di kerusi rotan.

Wajahnya nampak kurang ceria. Pasangan suami itu saling berpandangan dengan seribu kenyataan muncul di dada.

"Jamin keselamatan anak saya, jangan dipersia-siakan kebolehannya, jangan jadikan dia batu loncatan untuk kekayaan awak berdua."

"Kami tak berniat begitu, kami mahu jadikan dia anak angkat kami, cara kebetulan kami memang tidak ada anak," Sharifah Marnis luahkan apa yang dirancang di dalam hati.

"Terima kasih, ada syarat Iain lagi."

"Apa dia Raja Anum," tanya Syed Ali AI-Idrus tanpa sabar.

"Bila bermain di Semenanjung, hubungi pihak istana beritahu mereka anak saya ikut rombongan awak, bila pihak istana minta khidmatnya, awak mesti melepaskannya. Saya berikan nama-nama orang istana yang mesti awak berdua hubungi. Tidak semua orang Semenanjung mesti awak hubungi hanya beberapa negeri tertentu saja. Kalau awak berdua setuju dengan syarat itu, baru boleh saya tunaikan permintaan awak berdua."

"Setuju," jawab pasangan suami isteri itu serentak.

Seminggu kemudian anak gadis Raja Anum menjadi keluarga Bangsawan Indera Pura. Pada peringkat awal disuruh menjadi penari kemudian, sebagai penyanyi di samping menjadi pelakon pembantu dan akhirnya menjadi seri panggung dengan panggilan "Rani Cantik", kependekan dari nama sebenarnya Dang Intan Mahani.

UNTUNG

Ternyata kehadiran 'Rani Cantik' membawa keuntungan yang besar kepada pemilik 'Bangsawan Indera pura' di mana saja rombongan itu mengadakan pertunjukan, sama ada di Sumatera, Kepulauan Borneo Jawa, dan Tanah Melayu tetap mendapat sambutan yang sungguh bebat.

Nama Seri panggung 'Rani Cantik' yang kemudiannya bertukar menjadi Ani Cantik jadi sebutan di mana-mana. Jadi buah mulut orang muda. Ramai anak muda yang tidak dapat tidur lena, mengigau malam mimpi siang mengingatkan 'Ani Cantik'.

Sebagai Seri panggung, sudah tentu Ani Cantik tidak bergantung semata-mata pada bentuk tubuh, kecantikan wajah dan kemerduan suara.

Atas nasihat ibunya (Raja Anum), Ani Cantik berusaha sendiri mencari ilmu yang boleh menguntungkan dirinya.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 211/284

BACA: SBDJ Siri 210: Mangsa Susuk Ibu
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com