Wednesday, March 29, 2017

Kelebihan Di Bulan Rejab

Kelebihan Di Bulan Rejab

Sempena kedatangan bulan Rejab ini, marilah sama-sama kita mempertingkatkan amalan baik kita dan semoga Allah SWT sentiasa memberi kita taufiq dan hidayah-Nya dalam setiap amalan yang kita lakukan agar ia tidak bercanggah dengan al-Qur’an dan juga sunnah Rasulullah SAW.

Bulan Rejab

Namun begitu, apakah terdapat kelebihan atau amalan tertentu (khusus) dalam Bulan Rejab berdasarkan pendapat para ulama?

Di sini kami nyatakan beberapa pendapat para ulama’ berkaitan kelebihan bulan Rejab, antaranya ialah:

Al-Hafiz Ibn Hajar berkata, “Tidak ada disebut di dalam hadith yang sahih (yang boleh dibuat hujjah) akan kelebihan bulan Rejab, berpuasa padanya, berpuasa daripadanya disebabkan sesuatu perkara yang tertentu dan solat yang khusus.” [Tabyin al-‘Ajab, 9]

Imam Ibn al-Qayyim mengatakan, “Setiap hadith yang menyebut berkaitan puasa di bulan Rejab dan solat pada malam-malam tertentu di dalam bulan tersebut adalah satu pendustaan yang direka.” [al-Manar al-Munif, 96]

Imam al-Syaukani pula berkata: “Tidak ada disebut berkaitan amalan pada bulan Rejab secara khusus di dalam sunnah yang sahih, juga yang hasan dan juga yang dhaif (dhaif ringan). Bahkan, kesemua yang diriwayatkan berkaitannya secara khusus adalah palsu lagi dusta dan teramat dhaif.” [al-Sail al-Jarrar, 297]

Imam Ibn Rejab berkata: “Tidak ada yang sahih pada kelebihan berpuasa di bulan Rejab yang khusus daripada Nabi SAW dan juga tidak ada yang khusus daripada sahabat Baginda SAW.” [Faidh al-Qadhir, 4:210]

Tarjih

Setelah melihat dan menekuni pendapat para ulama’ dalam masalah ini, kami cenderung untuk mengatakan bahawa bulan Rejab tidak mempunyai apa-apa kelebihan yang khusus daripada hadith-hadith yang sahih seperti amal ibadat tertentu.

Walaupun begitu, ini tidak menghalang seseorang itu untuk melaksanakan amalan seperti berpuasa, solat sunat, bersedeqah dan lain-lain lagi dengan syarat tidak beri’tiqad (mempercayai) bahawa amalan ini mempunyai kelebihan-kelebihan yang khusus atau tertentu.

Ini kerana, bulan Rejab termasuk di dalam bulan-bulan haram yang mana diketahui akan kelebihan bulan-bulan haram berbanding bulan-bulan yang lain.

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:

sumber: muftiwp

Amalan Dan Ibadah Yang Sering Dikaitkan Di Bulan Rejab

Amalan Dan Ibadah Yang Sering Dikaitkan Di Bulan Rejab

Rejab secara bahasa bermaksud mengagungkan atau memuliakan. Ia merupakan bulan ketujuh dalam kalendar Hijrah.

Ibadah  Bulan Rejab

Orang Arab pada zaman jahiliah memuliakan dan mengharamkan apa jua bentuk peperangan pada bulan ini. Di antara kabilah Arab yang ekstrem dalam mengagungkan Rejab adalah Bani Mudhar.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya zaman itu akan terus berlalu sebagaimana saat ALLAH menciptakan langit dan bumi. Setahun itu ada 12 bulan. Empat di antaranya ialah bulan-bulan yang haram, tiga di antaranya ialah berturut-turut iaitu bulan-bulan Zulkaedah, Zulhijah dan Muharam. Bulan Rejab adalah bulan Mudhar (nama satu kabilah) yang terletak di antara Jamadilakhir dan Syaaban." (Riwayat Bukhari)

Ternyata, Rejab termasuk antara bulan yang dimuliakan ALLAH. Justeru, ia telah tersebar dalam masyarakat bahawa terdapat amalan khas sempena Rejab yang dikatakan memiliki fadilat besar.

Hakikatnya, tidak wujud satu pun dalil sah yang menunjukkan terdapat amal ibadat tertentu sempena Rejab.

Hal ini telah diperakui tokoh ulama hadis bermazhab Syafie iaitu al-Hafiz Ibnu Hajar al-‘Asqolani dalam kitabnya Tabyin al-Ajib Bimaa Warada Fi Fadli Rajab: tidak ada hadis sahih tentang keutamaannya (melainkan ia termasuk bulan haram), puasa dan solat malam pada Rejab yang dapat dijadikan pegangan.

Antara perkara ibadat yang dikaitkan Rejab adalah:

1. Puasa Rejab

Telah masyhur dalam masyarakat bahawa disunatkan berpuasa pada 1 Rejab, Khamis minggu pertama Rejab, Nisfu Rejab dan 27 Rejab sempena Israk Mikraj.

Bagi menguatkan hujah puasa sunat ini, maka ia disandarkan dengan beberapa riwayat palsu serta lemah berserta ganjaran pahala yang besar.

Ibnu Rajab dalam al-Mughni pula berkata, “Mengenai keutamaan puasa khusus pada Rejab, tidak ada satu pun hadis sahih yang diriwayatkan daripada Rasulullah mahupun golongan sahabat.”

Ada kalangan masyarakat mengamalkan puasa berterusan selama tiga bulan iaitu Rejab, Syaaban dan Ramadan. Amalan ini sebenarnya tidak memiliki sebarang dalil yang sah.

Imam Ibnu al-Qayyim al-Jauziyyah berkata, “Rasulullah tidak berpuasa pada tiga bulan tersebut secara terus-menerus seperti yang dilakukan sebahagian orang. Baginda sama sekali tidak berpuasa pada Rejab dan baginda pun tidak menggalakkan berpuasa pada bulan Rejab. Bahkan, baginda melarang berpuasa pada Rejab seperti yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah.”

Namun, jika seseorang itu berpuasa tanpa niat mengagungkan sebagaimana golongan jahiliah dan tidak meyakini fadilat palsu yang dikait puasa pada Rejab tersebut atau puasanya bertepatan dengan hari yang disunatkan berpuasa seperti Isnin dan Khamis, Ayyam al-Bidh (puasa pada 13, 14 dan 15 setiap bulan) atau Puasa Nabi Daud (puasa selang sehari) pada Rejab, maka ia dibenarkan oleh syarak.

2. Solat Rejab

Terdapat beberapa solat yang dikhususkan seperti solat pada malam pertama dan 27 Rejab serta Nisfu Rejab.

Paling diketahui ramai adalah sembahyang pada malam Jumaat minggu pertama Rejab yang dikenali sebagai solat Raghaib.

Menurut Imam al-Nawawi berkata dalam Fatawa al-Nawawi, “Solat Raghaib adalah bidaah yang tercela serta mungkar dan sangat diingkari, yang mencakupi kemungkaran sehingga ia harus ditinggalkan, ditentang dan diingkari pelakunya.

Golongan penguasa harus melarang manusia daripada melaksanakan solat ini kerana mereka adalah pemimpin dan setiap pemimpin bertanggungjawab atas rakyatnya.

Golongan ulama menulis buku khusus masalah ini dengan bertujuan untuk mengingkari, mencela serta membodohkan pelakunya.

Janganlah kita terperdaya oleh perbuatan majoriti pelakunya yang banyak terdapat di negara Islam.

Jangan pula tergoda kerana solat itu tertulis seperti di dalam kitab Quut al-Qulub (karya Muhammad bin Ali bin Athiyah al-Ajami al-Makki) dan Ihya’ ‘Ulum ad-Din (karya Hujjatul Islam Imam al-Ghazali).

Ini kerana, kedua-dua solat itu iaitu (solat Raghaib dan Nisfu Syaaban) itu adalah bidaah yang batil.”

3. Umrah Rejab

Ada juga pandangan bahawa adalah sunat untuk mengerjakan ibadat umrah pada bulan Rejab. Namun begitu, ‘Aishah RA berkata bahawa Rasulullah SAW tidak pernah membuat ataupun menganjurkan umrah pada bulan Rejab.

Dikisahkan bahawa: Daripada Mujahid dia berkata, “Aku masuk bersama Urwah bin az-Zubair ke masjid.

Ternyata ‘Abdullah bin ‘Umar sedang duduk di samping bilik Saydatina ‘Aishah. Kemudian beliau berkata kepadanya, ‘Berapa kali Rasulullah melakukan umrah?’ Dia (Ibnu ‘Umar) menjawab, ‘Empat kali, satunya pada bulan Rejab.’ Kami pun enggan untuk membenarkan perkataannya.

Dia (Mujahid) berkata, ‘Kami mendengar dia (iaitu ‘Aishah) sedang bersiwak.’ Kemudian Urwah bertanya kepada ‘Aishah, ‘Wahai ibu orang mukmin! Benarkah apa yang dikatakan oleh Abu ‘Abdurrahman?

Aishah bertanya, ‘Apa yang dia katakan?’ Aku menjawab, ‘Dia berkata bahawa Rasulullah pernah mengerjakan umrah pada Rejab.’

‘Aishah pun berkata, ‘Semoga ALLAH merahmati Abu ‘Abdurrahman. Rasulullah tidak melakukan satu umrah pun melainkan aku (yakni ‘Aishah) ikut bersama dan baginda tidak pernah mengerjakan umrah pada Rejab." (Riwayat Al-Bukhari)

4. ‘Atirah Rejab

‘Atirah adalah haiwan yang disembelih pada Rejab dan diguna orang Arab jahiliah untuk mendekatkan diri kepada tuhan mereka.

Ia dilaksanakan pada 10 hari pertama Rejab dan haiwan yang biasanya digunakan untuk ritual ini adalah kambing.

Sesetengah umat Islam masih melaksanakan ‘atirah ini dengan didasari beberapa hadis seperti berikut:

a) Al-Harith bin Amru bertanya Rasulullah tentang ‘atirah. Baginda menjawab: "Sesiapa yang mahu menyembelih ‘atirah, silakan menyembelih. Sesiapa yang tidak mahu, jangan menyembelih." (Riwayat Imam al-Nasa’i)

b) Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Wahai manusia, kepada setiap ahlul bait diwajibkan untuk berkorban dan menyembelih ‘atirah setiap yang kalian namakan Rajaban." (Riwayat At-Tirmidzi)

Namun, hadis tersebut menunjukkan ‘atirah diizinkan pelaksanaannya pada zaman awal kedatangan Islam. Bagaimanapun, hukumnya telah dimansuhkan.

Ini sebagaimana sabda Rasulullah, Daripada Abu Hurairah, "Tidak ada lagi fara’ dan juga ‘atirah.

Fara’ ialah anak unta pertama yang disembelih dan dipersembahkan kepada berhala dengan harapan induknya (ibu unta tersebut) akan lebih banyak melahirkan anak.

Sedangkan ‘atirah adalah kambing yang disembelih pada 10 hari pertama Rejab." (Riwayat Al-Bukhari)

5. Sambutan Israk Mikraj

Tanggal 27 Rejab adalah tarikh yang dianggap mulia dan hari kebesaran bagi kebanyakan umat Islam di seluruh dunia termasuk Malaysia.

Hakikat yang sebenar ialah tarikh peristiwa Israk Mikraj ini tidak disepakati kalangan ulama. Ulama masih berbeza pandangan tentang perkara ini.

Al-Hafiz Ibu Hajar al-‘Asqolani berkata, “Golongan ulama berselisih pendapat mengenai waktu berlakunya al-Mikraj. Ada yang mengatakan sebelum baginda dilantik menjadi Nabi.

Pendapat ini ganjil (syaz) kecuali dianggap terjadi dalam mimpi. Kebanyakan ulama berpendapat setelah baginda menjadi Nabi. Mereka juga berselisih tentang tarikh sebenar peristiwa ini.”

Imam Abu Syamah al-Syafie menegaskan, “Sebahagian ahli cerita menyebut bahawa israk dan mikraj terjadi pada Rejab. Dalam hal ini, menurut ahli al-Jarh wa al-Ta’dil (ulama hadis) hal itu merupakan pembohongan.”

Pengajaran daripada perselisihan pendapat Israk Mikraj, bagi penulis apabila menyampaikan ilmu berkaitan agama, maka hendaklah kita berlaku adil dan memastikan kesahihan fakta.

BACA INI JUGA:

sumber: sh

Monday, April 20, 2015

Tiada Amalan Khusus Di Bulan Rejab, Kemuliaan Dicemari Kepalsuan

Tiada Amalan Khusus Di Bulan Rejab, Kemuliaan Dicemari Kepalsuan

Bulan Rejab merupakan salah satu daripada ‘al-Ashur al-Hurum’ (bulan-bulan haram) selain bulan Muharram, Zulkaedah dan Zulhijjah.

Bulan Rejab

Bulan-bulan haram merupakan bulan mulia sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Taubah ayat 36, yang bermaksud, “Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Dia menciptakan langit dan bumi. Antaranya empat bulan haram (yang dihormati). Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar laranganNya)..”

Abu Bakrah melaporkan, Nabi Muhammad saw bersabda, “Sesungguhnya masa itu beredar sebagaimana hari Allah mencipta langit dan bumi iaitu setahun itu ada dua belas bulan. Antaranya ada empat bulan haram (yang dihormati) iaitu tiga bulan berturut-turut: Zulkaedah, Zulhijjah, dan Muharram. Seterusnya Rejab iaitu antara bulan Jamadilakhir dan Sya’ban.” (Hadis sahih direkodkan oleh Imam Bukhari dan Muslim).

Imam Ibnu Rajab al-Hanbali menjelaskan, maksud Rejab ialah agung (Lata’if al-ma’arif, hlm. 117).

Oleh sebab itu, bulan Rejab adalah bulan yang agung dan mulia. Antara keistimewaan bulan Rejab ialah berlakunya peristiwa Isra’ dan Mikraj yang menurut majoriti ulama’ ia berlaku pada 27 Rejab.

Namun isu yang timbul ialah kemuliaan bulan Rejab sebagai salah satu bulan haram telah dicemari dengan pengagungan yang bersumberkan kepada laporan/hadis palsu yang direka-reka yang diistilahkan dalam ilmu hadis sebagai hadis maudhuk.

Mengagungkan bulan Rejab bukanlah satu persoalan yang baru. Ia telah pun wujud pada zaman Jahiliyyah; sebelum kedatangan Islam.

Masyarakat Arab Jahiliyah begitu mengagungkan bulan Rejab sehingga mereka menjadikannya sebagai perayaan.

Antara amalan popular yang dilakukan oleh sebahagian orang Islam di Malaysia apabila datangnya bulan Rejab ialah mereka berusaha bersungguh-sungguh untuk melakukan puasa sunat Rejab dan menghidupkan malam dengan sembahyang sunat Rejab.

Umat Islam di Malaysia khususnya dan dunia umumnya; kini dan dahulu, telah disajikan dengan pelbagai janji manis jika melakukan sesuatu amalan khusus di bulan Rejab.

Satu kebenaran yang perlu dijelaskan kepada umat Islam ialah tiada amalan khusus dalam bulan Rejab yang dilaporkan daripada Rasulullah SAW dari hadis sahih.

Amalan tertentu seperti solat sunat Rejab, puasa Rejab dan umrah di bulan Rejab adalah sebahagian kecilnya bersandarkan kepada hadis lemah (daif) dan kebanyakkannya adalah hadis palsu (maudhuk).

Isu mencemarkan bulan Rejab dengan janji-janji daripada sumber yang palsu ini sudahpun wujud sekian lama.

Antara ulama terdahulu yang membongkar usaha golongan pemalsu hadis yang membuat pembohongan terhadap Nabi Muhammad saw berkaitan kelebihan bulan Rejab dan amalan khusus padanya, antaranya ialah Imam ahli hadis Abu al-Khattab ‘Umar bin Hasan ibn Dihyah (w. 633H) yang mengarang buku yang bertajuk ‘Ada’ ma wajab min bayan wad’ al-wadda’in fi Rajab (Melaksanakan apa yang wajib dengan menerangkan pemalsuan yang dilakukan oleh pembohong berkaitan Rejab)’ dan Imam Ibnu Hajar al-‘Asqalani (w. 852H) yang mengarang risalah yang bertajuk ‘Tabyin al-‘ajab bi ma warada fi fadhl Rajab (Menjelaskan perkara yang pelik berkaitan dengan apa yang disampaikan tentang kelebihan Rejab)’.

‘Ata; seorang ulama tabi’in menjelaskan, Nabi Muhammad SAW melarang daripada berpuasa penuh sebulan bulan Rejab agar ia tidak dijadikan sebagai perayaan sebagaimana yang dilakukan oleh orang Arab Jahiliyyah (Ibnu Rajab, Lata’if al-ma’arif, hlm. 11).

Ibnu Hajar al-‘Asqalani menjelaskan, “Larangan daripada berpuasa sebulan penuh pada bulan Rejab adalah berkaitan dengan individu yang melakukannya kerana terpengaruh dengan amalan orang Arab jahiliyyah yang begitu mengagungkan bulan Rejab.

Tetapi jika seseorang itu berpuasa sunat sama seperti bulan lain tanpa menganggap puasa bulan Rejab adalah lebih utama daripada bulan lain, tidak mengkhususkan puasa hari tertentu bulan Rejab bagi mendapat ganjaran tertentu, maka amalan itu tidak menjadi kesalahan.

Begitu juga dengan individu yang menghidupkan malam bulan Rejab dengan beribadah sebagaimana dia beribadah pada malam bulan lain.

Tetapi jika seseorang beribadah sunat hanya pada bulan Rejab sahaja dengan anggapan ia khusus untuk bulan Rejab, maka ia adalah amalan yang dilarang.” (Tabyin al-‘ajab, hlm. 49).

Imam Ibnu Hajar al-‘Asqalani menjelaskan tujuan beliau mengarang risalah yang bertajuk ‘Tabyin al-‘ajab bi ma warada fi fadhl Rajab’: “Telah berulang-ulang soalan yang dikemukakan tentang kelebihan bulan Rejab, tentang berpuasa dan solat sunat padanya. Serta untuk menjelaskan yang mana hadis yang sahih dan yang palsu.”

Kesimpulan daripada analisa yang dilakukan oleh Imam Ibnu Hajar ialah, “Langsung tidak terdapat hadis sahih yang boleh dijadikan hujah tentang kelebihan bulan Rejab, puasa sunat khusus Rejab, juga solat sunat qiyamullail khusus Rejab, namun begitu terdapat sebahagian ulama yang membenarkan menerima hadis yang menjelaskan tentang kelebihan bulan Rejab walaupun hadis itu daif, tetapi tidak boleh diterima jika ia hadis mauduk.”

Antara kelebihan bulan Rejab dan amalan khusus padanya yang bersumberkan laporan, hadis palsu ialah:

i. Hendaklah kamu memuliakan bulan Rejab nescaya Allah muliakan kamu dengan seribu kemuliaan di hari Qiamat Laporan ini palsu kerana ia direka oleh seorang pelapor hadis yang dilabel oleh ulama hadis sebagai seorang pembohong iaitu Abu al-Barakat Hibatullah ibn al-Mubarak al-Saqati.

ii. Bulan Rejab Bulan Allah, Bulan Syaaban bulanku, dan bulan Ramadhan bulan umatku. Laporan ini palsu kerana ia direka oleh seorang pelapor hadis yang dilabel oleh ulama hadis sebagai seorang pembohong iaitu Abu Bakar Muhammad bin Hasan al-Naqqash. Dalam rantaian pelapor hadis ini juga terdapat individu yang tidak dikenali seperti al-Kassa’i.

iii. Kelebihan bulan Rejab dari segala bulan seperti kelebihan Quran atas segala zikir. Laporan ini palsu kerana ia direka oleh seorang pelapor hadis yang dilabel oleh ulama hadis sebagai seorang pembohong iaitu Abu al-Barakat Hibatullah ibn al-Mubarak al-Saqati.

iv. Sesiapa berpuasa tiga hari pada bulan Rejab, Allah menuliskan untuknya pahala berpuasa sebulan. Sesiapa yang berpuasa tujuh hari ditutup baginya tujuh pintu neraka. Sesiapa berpuasa lapan hari, Allah membuka baginya lapan pintu syurga. Sesiapa berpuasa setengah bulan Rejab, Allah menuliskan untuknya memperoleh keredaanNya, sesiapa yang ditulis baginya keredaanNya, orang itu tidak akan diazab. Sesiapa yang berpuasa sebulan Rejab, Allah akan menghisab orang itu di padang Mahsyar dengan hisab yang mudah. Laporan ini palsu kerana ia direka oleh seorang pelapor hadis yang dilabel oleh ulama hadis sebagai seorang pembohong iaitu Aban bin Abi ‘Iyash. Laporan-laporan lain yang menjelaskan kelebihan berpuasa mengikut bilangan hari di bulan Rejab juga laporan palsu, antaranya direka oleh Uthman bin Matar, Harun bin ‘Antarah, dan Farrat bin al-Sa’ib.

v. Sesiapa sembahyang maghrib pada hari pertama bulan Rejab, kemudian selepas itu dia bersembahyang sunat 20 rakaat dengan sepuluh kali salam, setiap rakaat dibaca surah al-Fatihah dan selepas itu membaca surah al-Ikhlas sekali, adakah kamu tahu pahalanya? Laporan ini palsu kerana ia direka oleh seorang pelapor hadis yang dilabel oleh ulama hadis sebagai seorang pembohong iaitu al-Husayn bin Ibrahim. Terdapat laporan palsu lain yang direka menjelaskan kelebihan tertentu jika bersembahyang sunat dengan bilangan rakaat tertentu dengan bacaan tertentu pada bulan Rejab. Antara individu lain yang bertanggungjawab membuat laporan palsu tersebut ialah Ali bin Abdullah bin Jahdam, Aban bin Abi ‘Iyash. Sembahyang tersebut juga diistilahkan sebagai sembahyang sunat Ragha’ib.

vii. Bersedekah pada bulun Rejab dijauhkan Allah daripada api neraka. Laporan ini palsu kerana ia direka oleh seorang pelapor hadis yang dilabel oleh ulama hadis sebagai seorang pereka hadis iaitu Aban bin Abi ‘Iyash.

Haram menyebar hadis palsu

Al-Mughirah bin Syu’bah melaporkan, Nabi Muhammad saw bersabda, “Sesungguhnya pembohongan yang dilakukan ke atasku adalah tidak sama dengan pembohongan yang dilakukan ke atas orang lain.

Sesiapa yang membuat pembohongan terhadapku dengan sengaja, maka bersedialah dia dengan tempat duduknya di dalam api neraka.” (Hadis sahih direkod oleh Imam al-Bukhari).

Syeikh Abu Asma’ Ibrahim bin Ismail Ali ‘Asr menjelaskan dalam pendahuluannya kepada suntingan karya Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani yang bertajuk ‘Tabyin al-‘ajab bi ma warada fi fadhl Rajab’, ramai dalam kalangan pendakwah, penceramah, guru agama, khatib yang tidak sensitif terhadap hadis maudhuk, sehingga mereka menyampaikannya kepada masyarakat tanpa berusaha mengenalpasti status sesuatu hadis.

Perkara merbahaya ini boleh menceburkan mereka dan anggota masyarakat yang menyebarkan hadis palsu dalam ancaman Nabi, “Sesiapa yang berdusta terhadapku, maka bersedialah tempatnya di dalam api neraka”.

Walaupun mereka tidak berniat untuk melakukan pendustaan terhadap Rasulullah, tetapi dengan tindakan mereka menyebarkan hadis palsu sedangkan mereka sudah dijelaskan kepalsuan hadis itu, mereka telah terjebak dalam melakukan pendustaan terhadap Rasulullah saw.

Abu Hurairah melaporkan, Nabi Muhammad saw bersabda, “Cukuplah seseorang itu sudah dianggap berdosa dengan dia menyebarkan segala berita yang didengar tanpa disiasat terlebih dahulu.” (Hadis sahih direkod oleh Imam Muslim).

Umat Islam tidak perlu disajikan dengan pahala dan fadhilat untuk melakukan amalan khusus hanya di bulan Rejab sahaja, sedangkan ia bersumberkan laporan/hadis palsu yang merupakan pembohongan terhadap Nabi Muhammad saw.

Adalah amat baik kita dapat melazimi diri dengan melaksanakan amal ibadah secara berterusan yang bersumberkan dalil yang benar daripada al-Quran dan hadis sahih; tentang kelebihan menghidupkan malam dengan solat sunat seperti tahajud dan witir, puasa sunat isnin khamis, puasa sunat hari ke 13, 14, dan 15 setiap bulan, puasa sunat selang sehari seperti cara puasa Nabi Daud.

Marilah sama-sama kita memelihara kemuliaan bulan haram seperti bulan Rejab ini daripada dicemari dengan hadis palsu. -e-fatwa.gov.my

Wallahu a’lam.

BACA INI JUGA: 10 Kesalahan Dalam Solat Yang Sering Dilakukan