Friday, March 24, 2023

Meninggal Di Bulan Ramadhan Di Masukkan Ke Dalam Syurga?

Meninggal Di Bulan Ramadhan Di Masukkan Ke Dalam Syurga?

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Meninggal Di Bulan Ramadhan

Di antara kelebihan bulan Ramadhan sebagaimana yang disebutkan di dalam kitab-kitab hadith yang sahih adalah seperti yang diriwayatkan oleh Imam Muslim:

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW yang maksudnya, "Apabila datangnya Ramadhan maka dibuka pintu-pintu syurga, ditutup pintu-pintu neraka dan dibelenggu syaitan-syaitan." [Riwayat Muslim (1079)]

Syeikh al-Izz bin Abd al-Salam di dalam kitabnya Maqasid al-Saum menyatakan makna hadith ini adalah dibuka pintu syurga adalah disebabkan banyaknya amalan ketaatan dilakukan pada malam ini.

Adapun ditutup pintu neraka pula adalah disebabkan kurangnya orang-orang yang melakukan maksiat pada bulan tersebut dan dibelenggu syaitan pula adalah bebasnya manusia daripada gangguan syaitan.

Berdasarkan soalan di atas, kami tidak mendapati hadith-hadith yang sahih berkaitan kelebihan mati pada bulan Ramadhan.

Adapun berkaitan orang yang mati pada bulan Ramadhan akan dimasukkan ke dalam syurga pula, secara asasnya seseorang itu akan dimasukkan ke dalam syurga dengan rahmat Allah serta amalan kebaikan yang dilakukan ketika di dunia dahulu.

Ini dijelaskan di dalam al-Quran. Firman Allah SWT dalam surah al-Nahl:32 yang maksudnya, "Masuklah kamu ke dalam Syurga disebabkan amal kebaikan yang telah kamu kerjakan."

Syeikh al-Sya’rawi ketika menafsirkan ayat ini mengatakan, ayat ini menjelaskan bahawa Allah SWT akan memberikan syurga sebagai balasan kepada setiap hamba-Nya yang telah melakukan amal soleh ketika di dunia dahulu serta disebabkan hamba tersebut telah mengikut manhaj atau jalan yang benar. [Lihat: Tafsir al-Sya’rawi, 7897/13]

Untuk itu, masuknya seseorang itu ke dalam syurga dengan amalan yang dilakukan. Bulan Ramadhan merupakan musim beramal. Semoga kematiannya dalam bulan Ramadhan menjadi suatu kelebihan buatnya oleh Allah SWT kerana keadaannya yang sedang beramal.

Ia sebagaimana sabda Rasulullah SAW: "Dan sesiapa yang berpuasa sehari kerana mencari keredhaan Allah, yang ia mengakhiri hidupnya dengan amal tersebut, ia masuk syurga." [Riwayat Ahmad (23324)]

Ini menunjukkan bahawa orang yang mati pada bulan Ramadhan itu, tetap dimasukkan ke dalam syurga bergantung kepada amalannya.

Tambahan pula, jika seseorang itu ditakdirkan oleh Allah SWT bahawa ajalnya pada bulan Ramadhan atau pada waktu-waktu mulia yang lain seperti hari Jumaat, atau pada tempat-tempat mulia yang lain seperti di Tanah Haram, maka ia boleh dikategorikan sebagai salah satu tanda husn al-khatimah (pengakhiran hidup yang baik).

Selain itu, tugas kita sebagai seorang hamba adalah dengan sentiasa memperbanyakkan amalan soleh serta sentiasa beristiqamah mempersiapkan diri untuk bertemu Allah SWT pada bila-bila masa sahaja.

Sifat Rahmat dan keampunan Allah SWT amat luas dan ia tidak terhad pada tempat atau waktu-waktu tertentu.

Penutup

Kesimpulannya, kita tidak mempunyai kuasa untuk menentukan tempat atau waktu kematian kerana ia merupakan hak Allah SWT.

Kita hanya dituntut untuk sentiasa bersedia dengan memperbanyakkan amalan soleh di dunia ini supaya dengan amalan tersebut akan membawa kita ke dalam syurga Allah SWT.

Semoga Allah SWT mengurniakan kita pengakhiran hidup yang baik. Amin.

Wallahu a'lam.

sumber: (1)

-Sentiasapanas.com

Thursday, April 07, 2022

Tiada Dalil Menyatakan Roh Akan Pulang Ketika Bulan Ramadhan

Tiada Dalil Menyatakan Roh Akan Pulang Ketika Bulan Ramadhan

Prinsip mengutamakan dalil adalah "tulang belakang atau nyawa" agama yang wajib dijaga. Jika tulang ini patah atau bengkok, kesucian Islam akan tercemar dengan garapan manusia yang kuat berkhayal atau dipengaruhi anasir agama asing.

Roh pulang ketika Ramadhan

Disiplin "DALIL, NASS, HUJAH DAN FAKTA" adalah perjuangan para ulama semenjak zaman sahabat sehingga kiamat.

Malangnya, antara anasir agama asing yang sangat popular di kalangan orang Islam adalah kepercayan pulangnya roh orang yang sudah meninggal pada waktu tertentu seperti malam Jumaat dan bulan Ramadhan.

Tidak kurang juga kepercayaan "hantu" yang didakwa berasal dari roh si mati yang tidak selesai urusannya, lalu dia pulang ke dunia bagi menyelesaikan dendam atau keadilan buat dirinya yang terbantut.

Kepercayaan ini jelas bercanggah dengan keadilan mahkamah Allah di akhirat kelak. Orang mati mahu segera mendapat keadian tanpa perlu menunggu balasan akhirat!

Menjelang Ramadhan, tazkirah media sosial tentang "KEPULANGAN ROH PADA BULAN RAMADHAN" mulai dikongsi ramai tanpa fikir.

Tazkirah ini juga tidak disokong oleh nas atau dalil yang sahih. Ia disebar bagai ombak besar yang merempuh semua disiplin Islam.

Akibatnya, masyarakat awam yang tidak mengenal disiplin agama sekali lagi dirosakkan mindanya dengan cerita karut serta khurafat percutian roh pada bulan Ramadhan.

Sesetengah orang pula bermatian mempertahankan kepercayaan ini walau tanpa dalil. Semoga Allah memberikan mereka hidayah.

Roh manusia yang sudah mati "TIDAK BOLEH SAMA SEKALI" pulang ke dunia. Mereka tidak pulang pada malam Jumaat, tidak juga pada bulan Ramadhan atau pulang menuntut bela sebagai hantu.

Kepercayaan roh balik ke dunia bukan dari ajaran Islam. Ia adalah pengaruh agama asing.

Di sini saya berikan beberapa dalil, nas dan hujah bagi meruntuh dan meranapkan terus kepercayaan ini.

Biar kepercayaan karut warisan turun temurun ini hancur lebur dan mati tanpa kubur. Ini hujahnya.

1. Perihal roh adalah rahsia Allah yang tergolong dalam urusan ghaib. Pengetahuan kita mengenainya pun sangat sedikit

Firman Allah SWT yang maksudnya: "Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh. Katakan: "ROH ITU DARI PERKARA URUSAN TUHANKU; DAN KAMU TIDAK DIBERIKAN ILMU PENGETAHUAN MELAINKAN SEDIKIT SAHAJA." (al-Isra' [17:85])

Sebarang bicara mengenai yang ghaib seperti roh wajib bersandarkan sumber wahyu seperti al-Quran dan Hadith yang Sahih.

Fahamilah disiplin ilmu Islam melalui Firman Allah SWT ini yang maksudnya:

"Katakanlah lagi: “TIADA SESIAPAPUN DI LANGIT DAN DI BUMI YANG MENGETAHUI PERKARA YANG GHAIB MELAINKAN ALLAH!" Dan tiadalah mereka menyedari bilakah masing-masing akan dibangkitkan hidup semula (sesudah mati)." (al-Naml [27:65])

2. Allah menegaskan manusia yang mati akan terkurung dalam alam barzakh sehingga kiamat

Barzakh bermaksud "DINDING PEMISAH YANG MENGHALANG ROH SI MATI DARI KEMBALI KE DUNIA." (Tafsir al-Jalalayn)

Firman Allah yang maksudnya: "Kesudahan golongan yang kufur ingkar itu apabila sampai ajal maut kepada salah seorang antara mereka, dia berkata: "Wahai Tuhanku, kembalikanlah aku (hidup semula di dunia). Supaya aku mengerjakan amal yang soleh dalam perkara yang telah aku tinggalkan." Tidak! Masakan dapat? Sesungguhnya perkataannya itu hanyalah kata-kata yang dia sahaja ucapkan, sedang di hadapan mereka ada alam barzakh (dinding pemisah yang mereka tinggal tetap padanya) hingga hari mereka dibangkitkan semula (pada hari kiamat)." (al-mu'minun [23:99-100])

3. Nikmat yang diperolehi oleh roh orang beriman di alam barzakh jauh lebih besar dan lebih hebat. Apa perlunya mereka pulang ke dunia untuk melihat nikmat dunia yang sungguh biasa?

Jika dikata pulangnya mereka kerana mahu mengutip pahala hasil sedekah orang masjid atau anak cucu, maka kuasa Allah mengatasi segalanya. Kuasa-Nya merentas alam.

Doa yang dipanjatkan oleh keluarga roh si mati boleh terus disalurkan ke alam barzakh tanpa perlu mereka pulang ke dunia.

4. "ALLAH SENDIRI MENEGASKAN" roh si mati tidak boleh pulang ke dunia sebagaimana kisah kesedihan seorang sahabat bernama Jabir bin Abdullah r.a. yang kematian bapanya dalam perang Uhud

Bagi memujuknya Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: "Mahukah aku khabarkan kepadamu berita gembira tentang ayahmu?" Aku (Jabir menjawab): "Ya! Wahai Rasulullah." Rasulullah SAW menyambung: "Allah tidak berbicara dengan sesiapapun secara terus melainkan di sebalik tabir. (Pun begitu) Allah menghidupkan ayahmu (di alam barzakh) lalu berbicara dengannya secara terus (berdepan tanpa perantara) seraya berkata: "Wahai hambaku! Pintalah (apa sahaja), pasti akan Aku tunaikan!" Ayahmu menjawab: "Wahai Tuhanku, hidupkan aku sekali lagi agar aku dapat mati (syahid) kerana (agama)Mu buat kali kedua." Allah menjawab: "(ITU TIDAK MUNGKIN BERLAKU KERANA) TELAH TETAP DARI (KEPUTUSANKU) bahawa sesungguhnya mereka (yang mati) tidak akan kembali lagi ke dunia." Rasulullah menyambung: "Berikutan itu Allah menurunkan ayat ini: "Dan jangan sekali-kali engkau menyangka orang-orang yang terbunuh (yang gugur Syahid) pada jalan Allah itu mati, (mereka tidak mati) bahkan mereka hidup (secara istimewa) di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki." (Ali 'Imran [3:169]) (Sunan al-Tirmidhi)

Situasi yang sama boleh difahami dari kisah lelaki soleh (bernama Habib al-Najjar) yang mati dibunuh dalam kisah surah Yasin.

Firman Allah SWT yang maksudnya: "(Setelah dia mati) lalu dikatakan kepadanya: "Masuklah ke dalam Syurga". Ia berkata: "Alangkah baiknya kalau kaumku mengetahui - "Tentang perkara yang menyebabkan daku diampunkan oleh Tuhanku, serta dijadikannya daku dari orang-orang yang dimuliakan." (Yasin[36:26-27])

Beliau yang mati syahid ingin kembali ke dunia untuk menasihati kaumnya agar beriman kepada Allah, tetapi hasratnya dihalang.

Ini sebabnya beliau menggunakan lafaz "alangkah baiknya" kerana ia adalah harapan yang tidak mampu dicapai.

Walau berjela hujah naqli (wahyu) dan aqli (logik) diutarakan bagi menafikan kepercayaan karut ini, orang jahil yang TIADA DISIPLIN ILMU ISLAM akan menyanggah dengan ayat "SERIBU GUNA" mereka iaitu: "IA TIDAK MUSTAHIL PADA KEKUASAAN ALLAH KERANA ALLAH ITU MAHA BERKUASA. BOLEH SAHAJA ALLAH DENGAN KUASANYA YANG TIDAK TERBATAS MEMBEBASKAN ROH YANG BERIMAN PADA BULAN RAMADHAN ATAU MALAM JUMAAT UNTUK PULANG KE DUNIA."

Jika begitu logik mereka, maka ini jawapannya:

"Malam tadi saya didatangi Jibril a.s. Jibril memeluk saya erat sambil mengajarkan saya surah al-'Alaq. Sejurus selepas itu saya DILANTIK SEBAGAI NABI akhir ZAMAN SELEPAS NABI MUHAMMAD SAW.

"Jadi, anda semua perlu beriman kepada kerasulan saya. Jika ada yang tidak bersetuju dengan perlantikan saya sebagai Rasul, maka ini hujah "SERIBU GUNA" saya: "IA TIDAK MUSTAHIL PADA KEKUASAAN ALLAH KERANA ALLAH ITU MAHA BERKUASA. BOLEH SAHAJA ALLAH DENGAN KUASANYA YANG TIDAK TERBATAS MELANTIK SAYA SEBAGAI NABI AKHIR ZAMAN SELEPAS NABI MUHAMMAD."

Inilah antara contoh "DISIPLIN CACA MARBA" dalam agama yang digunapakai oleh sesetengah orang jahil.

Memang Allah Maha Berkuasa untuk melakukan apa sahaja, tetapi perlu dipahat kemas dalam hati bahawa Allah juga sudah meletakkan Sunnatullah atau undang-undang-Nya yang tidak akan diubah.

Antara Sunnatullah yang tidak akan berubah sampai kiamat adalah roh orang yang sudah mati tidak boleh pulang sama sekali ke dunia untuk apa sahaja tujuan.

Sebarang dakwaan menyanggah hukum dan undang-undang Allah ini wajib ditolak. Jika tidak, agama suci ini akan jadi "agama secukup rasa" yang bergantung kepada penganutnya.

Jika mahu lebih pedas tambahlah cilinya. Jika mahu lebih masin, tambahlah garamnya. Jika mahu lebih manis, tambahlah gulanya.

Jika ini disiplin memahami agama ini, hilanglah keagungannya dan runtuhlah kegemilangannya.

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:
sumber: catatantauhidsunnah

Monday, April 04, 2022

9 Golongan Yang Amat Rugi Di Sepanjang Bulan Ramadhan

9 Golongan Yang Amat Rugi Di Sepanjang Bulan Ramadhan

Amat rugilah mereka yang berpeluang bertemu dengan Ramadhan, tetapi tidak mendapat keampunan ilahi. Bagi orang yang beriman, inilah masa yang dinanti-nantikan. Mereka bersedia dengan persiapan yang rapi bagi menyambut Ramadhan.

Puasa ramadhan

Pun begitu, ramai di kalangan umat Islam yang tidak bersedia dalam menyambut Ramadhan. Bahkan ada yang tidak merasakan apa-apa dengan kedatangan bulan keampunan ini.

9 GOLONGAN YANG RUGI DI BULAN RAMADHAN

GOLONGAN PERTAMA

Iaitu mereka yang tidak melaksanakan ibadah puasa dengan penuh keimanan dan ikhlas kepada Allah, sebaliknya berpuasa dengan perasaan riak dan puasa adat sahaja.

GOLONGAN KEDUA

Mereka yang tidak beribadah pada malamnya (dengan solat tarawih dan lain-lain) kerana bermalas-malasan dan sengaja memberatkan diri dan melakukan ketaatan kepada Allah SWT.

GOLONGAN KETIGA

Mereka yang berterusan mengamalkan akhlak yang buruk di mana puasanya tidak sedikit pun menghalangnya dari berkelakuan buruk itu dan dari melakukan perkara haram.

GOLONGAN KEEMPAT

Mereka yang banyak menghabiskan masa dan saat-saat keemasan di bulan Ramadhan dengan tidur, lalai dengan menonton TV, mendengar lagu dan nyanyian, menonton cerita cerita yang dimurkai Allah.

GOLONGAN KELIMA

Mereka yang mensia-siakan solat 5 waktu, tidak berkunjung ke masjid dan surau untuk solat bersama para jemaah (lelaki).

GOLONGAN KEENAM

Mereka yang merosakkan puasa mereka dengan sengaja melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa seperti bersetubuh, makan dan minum, mengeluarkan mani dengan sengaja, mengadu domba, mengumpat, hasad dengki, mengejek-ngejek dan mempermainkan orang lain, menyebut kata-kata kotor dan sebagainya.

GOLONGAN KETUJUH

Mereka yang hanya bersungguh-sungguh dalam beribadah di awal Ramadhan serta berazam untuk bertaubat dan beristiqamah dalam beribadah, tetapi bertukar sebaliknya dengan menjalani kehidupan yang sia-sia dan melalaikan.

GOLONGAN KELAPAN

Mereka yang meninggalkan Al-Quran di bulan Ramadhan di mana Al-Quran tidak dibaca dan ditadabbur.

GOLONGAN KESEMBILAN

Mereka yang bakhil dengan harta yang dianugerahkan oleh Allah SWT kepada mereka dan tidak menafkahkannya ke jalan Allah dengan memberi makan orang yang lapar, tidak memberi makanan berbuka kepada orang yang berpuasa dan tidak memberi pakaian kepada orang yang tiada pakaian.

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:
sumber: impiana

Friday, May 22, 2020

Sebab Disembunyikan Malam Lailatul Qadar?

Sebab Disembunyikan Malam Lailatul Qadar?

Menurut Imam al-Razi, seorang ahli tafsir terkenal, yang telah menulis mengenai sebab-sebab kenapa Allah SWT dengan sengaja telah menyembunyikan pada malam bilakah Lailatul Qadar daripada pengetahuan kita.

Doa Malam Lailatul Qadar

Pertama. Allah menyembunyikan malam Lailatul Qadar sebagaimana Dia menyembunyikan seluruh rahsia sesuatu yang lain seperti Dia menyembunyikan keredhaanNya dalam ketaatan seseorang hamba sehingga menimbulkan keseronokan dalam melakukan semua ketaatan kepada Allah.

Allah juga menyembunyikan saat-saat diperkenankan doa agar setiap hamba-Nya bersungguh-sungguh setiap kali berdoa.

Begitulah juga Dia menyembunyikan malam Lailatul Qadar agar umat Islam dapat membesarkan kesemua malam di bulan Ramadhan tanpa memilih malam tertentu sahaja.

Kedua. Jika diberitahu secara jelas tentang malam Lailatul Qadar, maka manusia yang tahu tentang kedatangan malam tersebut tidak lagi berusaha untuk merebutnya dengan amal ibadat atau pun dia melakukan maksiat.

Ini akan menyebabkan dia terjerumus ke lembah kecelakaan dalam keadaan dia tahu dan ingat bahawa berbuat maksiat atau tidak bersungguh dalam melakukan ibadat dalam keadaan kita tahu ia merupakan malam yang mempunyai kelebihan yang besar adalah lebih berat dosanya daripada kita yang tidak mengetahuinya. Oleh itu dirahsiakan malam Lailatul Qadar.

Ketiga. Supaya seseorang mukallaf itu bersungguh-sungguh berusaha mencari malam Lailatul Qadar sehingga dia mampu memperbanyakkan ibadat lalu dia memperolehi pahala daripada kesungguhannya itu.

Keempat. Seseorang yang meyakini akan datangnya malam Lailatul Qadar maka dia akan bersungguh-sungguh mencarinya pada keseluruhan malam Ramadhan dengan harapan akan kebetulan dengan malam Lailatul Qadar.

Allah akan bermegah dengan usahanya ini dengan menyatakan kepada para malaikat bahawa inilah manusia yang pernah kamu katakan bahawa mereka akan melakukan kerosakan dan pertumpahan darah di bumi sedangkan apa yang kamu lihat ialah mereka merupakan makhluk yang kuat beribadat

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:

sumber: peribadirasulullah

Ar-Rayyan, Pintu Syurga Untuk Orang Berpuasa

Ar-Rayyan, Pintu Syurga Untuk Orang Berpuasa

Daripada Sahl r.a., Nabi SAW telah bersabda: "Sesungguhnya dalam syurga ada satu pintu yang diberi nama Ar-Rayyan, iaitu pintu masuk bagi orang yang berpuasa di hari kiamat nanti. Tidak akan ada seorangpun yang masuk melewati pintu tersebut kecuali orang yang berpuasa. Lalu dikatakan kepada mereka; Mana orang yang berpuasa? Maka orang yang berpuasa berdiri menghadap (memasukinya). Tidak akan ada seorang pun yang masuk melewati pintu tersebut selain mereka. Apabila mereka telah masuk semuanya, maka pintu itu ditutup dan tidak akan ada lagi seorang pun yang masuk melewati pintu tersebut." (HR Bukhari No: 1896) Status: Hadis Sahih

Amazing Nature
Gambar hiasan.

Ulasan Hadis

1. Sesungguhnya ujian daripada puasa itu amat besar dan kedudukannya di sisi Allah SWT sangat mulia di mana Allah SWT menyediakan pintu khas memasuki syurga yang dinamakan Ar-Rayyan kepada orang yang berpuasa.

Malaikat yang menjaga pintu tersebut akan menyeru dan memanggil orang yang berpuasa untuk dimasukkan ke dalam syurga melaluinya dan tiada yang dapat melaluinya melainkan mereka yang layak sahaja.

2. Imam al-Nawawi dalam Syarah Muslim menyebut: Hadis ini menunjukkan kelebihan puasa dan kemuliaan orang yang berpuasa.

3. Pintu tersebut dinamakan "Ar-Rayyan" yang berasal dari kalimah "Array" dari segi bahasa membawa maksud titisan air hujan yang pertama.

Kiasan kepada orang yang berpuasa apabila memasukinya akan hilanglah segala hausnya selama-lamanya sebagaimana apabila kita sesat di padang pasir yang panas dalam keadaan kehausan dan apabila disebutkan air maka akan terasa kehausan itu semakin berkurangan walaupun sebenarnya kita belum meminumnya lagi.

Bayangkanlah apabila kita dapat menikmati air tersebut tatkala kehausan, betapa nikmatnya tidak dapat diperkatakan.

4. Al-Rayyan membawa maksud: Orang yang tidak merasa dahaga. Ia kalimah atau sifat yang sangat sesuai kepada orang yang berpuasa.

5. Berkata Mulla al-Qari: "Maksud al-Rayyan itu sama ada dirinya sendiri tidak merasa dahaga kerana terdapat banyaknya sungai-sungai yang mengalir dan buah-buahan yang berada di sampingnya atau kerana yang sampai kepadanya (memasukinya) akan hilang rasa dahaga pada hari kiamat."

6. Syurga itu indah dan terlalu mahal harganya. Sudah pasti untuk memasukinya memerlukan rahmat Allah SWT yang Maha Luas.

Di bulan Ramadhan ini, rahmat Allah SWT mencurah-curah untuk hamba-Nya yang berpuasa dan sudah disediakan kepada orang yang berpuasa satu pintu untuk memasukinya.

Orang yang berpuasa Ramadhan, pada hari kiamat akan memasukki syurga melalui pintu Ar-Rayyan (pintu yang dikhaskan kepada orang yang berpuasa).

Ayuh kita laksanakan ibadah puasa dengah sungguh-sungguh, semoga kita menjadi salah seorang yang akan memasuki syurga melalui pintu ar-Rayyan.

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:

sumber: mamapipie

Monday, May 06, 2019

Doa Orang Berpuasa Di Kabulkan Allah

Doa Orang Berpuasa Di Kabulkan Allah

Ketika memasuki Ramadan, Rasulullah SAW selalu memperbanyakkan amalan kebaikan, lebihkan bersedekah, lebihkan mengerjakan amal-amal soleh terutama yang sunat seperti melakukan solat sunat Rawatib dan sunat-sunat yang lain.

Doa orang berpuasa

Amalkan juga sikap suka senyum ketika bertemu dengan kaum muslimin, menyambung silaturrahim, mengunjungi kaum kerabatnya, bersikap lemah lembut, senang memberi dan berkorban untuk orang lain dan Nabi SAW mengkhususkan bulan Ramadan untuk memperbanyakkan bacaan al-Quran.

Elakkan pembaziran dan bersederhana ketika berbelanja membeli makanan.

Apa istimewanya Ramadhan?

1. Sabda nabi SAW, “Orang yang berpuasa pada bulan Ramadhan denganpenuh keimanan dan penuh harapan maka akan diampuni dosa-dosanya yang telah lalu.”

Tetapi yang Nabi SAW maksudkan adalah dosa-dosa kecil sahaja yang akan diampuni. Ada pun dosa besar memerlukan taubat yang khusus dan kalau dosa tersebut terlibat dengan manusia maka terlebih dahulu kesalahan tersebut dimaafkan oleh mangsa baharulah Allah akan ampunkan dosa tersebut.

2. Nabi SAW bersabda, “Di syurga terdapat sebuah pintu yang bernama al-Rayyan. Orang–orang yang berpuasa akan masuk melalui pintu itu. Jika mereka telah masuk maka pintu itu akan dikunci sehingga orang–orang selain mereka tidak dapat masuk ke dalamnya.”

3. Nabi SAW bersabda, “Orang yang berpuasa satu hari ketika berjuang pada jalan Allah, wajahnya akan dijauhkan Allah dari neraka sejauh 70 kali musim luruh.”

4. Allah anugerahkan malam Lailatul Qadar yang lebih baik dari seribu bulan.

5. Allah gandakan pahala amalan pada bulan Ramadhan. Nabi SAW bersabda; Setiap amalan anak Adam pasti dilipatgandakan. Satu kebaikan akan dibalas dengan sepuluh kali kebaikan sehingga 700 kali ganda, bahkan sehingga gandaan tertentu sesuai kehendak Allah.

Allah berfirman: “Kecuali puasa, kerana puasa itu milik-Ku dan Akulah yang akan memberikan balasannya.”

6. Nabi SAW bersabda, “Ketika sedang berbuka, seseorang yang berpuasa memiliki satu doa yang tidak akan ditolak oleh Allah.” Maka jangan lepaskan peluang ini berdoalah kepada Allah.

7. Segala syaitan dirantai, pintu syurga dibuka dan pintu neraka ditutup. Oleh itu, marilah sama-sama kita menjaga puasa bukan sahaja menahan makan dan minum, bahkan daripada segala maksiat mata, telinga dan mulut serta lain-lain anggota.

Banyakkan membaca al-Quran, melakukan solat sunat dan bersedekah. Semoga Allah menjadikan Ramadhan kali ini sebagai Ramadhan yang terbaik atau mungkin yang terakhir bagi kita sebelum berjumpa Allah

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: mstar

Monday, June 11, 2018

Perbuatan Membatalkan Puasa Yang Sering Menjadi Persoalan Di Bulan Ramadhan

Perbuatan Membatalkan Puasa Yang Sering Menjadi Persoalan Di Bulan Ramadhan

Ramai orang awam yang terhad kemampuan, masa dan rujukan sering berada dalam kebimbangan dengan isu batal dan tidak batal puasa terutamanya ketika di bulan Ramadhan. Lebih dikesali adalah perbincangan tentang ini juga ada meninggalkan perbincangan yang lebih besar berkenaan Ramadhan. (Taysir al-Fiqh - Fiqh As-Siyam, hlm 86-87)

Perbuatan Membatalkan Puasa

Ulama terbilang dunia, Dr Yusoff Al-Qaradhawi pernah menyebut dan meluah rasa kurang setuju beliau dengan tindakan para ulama yang terlalu meluaskan perbuatan yang membatalkan puasa.

Beliau lebih setuju untuk mengecilkan skop dan ruang lingkup pembatalan puasa kepada perbuatan yang benar-benar terdapat dalil tepat dari al-Quran, al-Hadith dan disepakati ulama sahaja.

Sebagai contoh, antara isu terbesar yang patut diberikan fokus mendalam di waktu Ramadhan adalah:-

1. Raih Taqwa dan Mendapatkan Keampunan

Sangat jelas arahan Allah dan RasulNya menegaskan keperluan kita berusaha meraih taqwa dan keampunan di dalam bulan ini.

Perbincangan berkenaan kaedah, cara dan cabaran yang boleh menghalang kita mencapai target ini perlu diberikan perhatian lebih.

2. Bulan Ingatan Fungsi Al-Quran

Firman Allah yang menyebut bahawa Al-Quran diturunkan di bulan Ramadhan ini sebagai petunjuk, dan bukti kebenaran petunjuk dan pembeza di antara haq dan yang batil.

Justeru perbincangan berkenaan kemestian umat Islam kembali kepada Al-Quran sebagai satu-satunya formula untuk berjaya sebagai golongan bertaqwa dan selamat dunia akhirat perlu diperhebat.

3. Amaran Terhadap Pengikis Pahala Ramadhan Yang 'Confirmed'

Sabda-sabda Nabi berkenaan tindakan yang boleh menghapuskan pahala puasa Ramadhan seperti bercakap kotor, nista, carut dan perbuatan jahat dan keji di waktu bulan ini.

Ia perlu dipertekankan kerana ia adalah perkara yang disepakati bakal merosakkan pahala puasa seseorang walaupun ia tidak sampai membatalkan zahir puasanya.

4. Kaedah Penambah Pahala & Redha Allah di Bulan Ramadhan Yang 'Confirmed'

Sabda-sabda Nabi yang mengandungi janji-janji dan tawaran Allah di bulan ini juga perlu diperluas kepada orang ramai agar semakin ramai yang berpotensi ke Syurga Allah sekali gus melemahkan fungsi Syaitan dan nafsu amarah yang sentiasa ingin mengajak kepada kemaksiatan.

Adapun isu perkara yang membatalkan puasa, sewajarnya ditumpukan kepada hukum yang disepakati sahaja.

Justeru, larangan yang disepakati tatkala puasa adalah menahan nafsu syahwat, menanggung lapar dan dahaga serta menahan diri dari bersetubuh dengan isteri di siang hari dengan niat ikhlas ibadat kerana Allah.

Inilah yang dijelaskan dari al-Quran dan as-sunnah, demikian juga menjauhi kata-kata nista, bohong, mengumpat, cercaan dan lain-lain dosa anggota demi kerana Allah. Ia disebut di dalam ayat al-Baqarah: 187 dan disokong oleh hadith-hadith yang banyak.

Merokok, keluar darah haid atau nifas dan hilang akal adalah dipersetujui secara sepakat ulama membatalkan puasa.

Adapun yang tidak disepakati, boleh dibincangkan cuma jangan sampai ia mengambil perhatian utama kita apabila berada di dalam Ramdhan.

Sebagai panduan, berikut disertakan beberapa hukum secara ringkas berkaitan puasa yang kerap ditanya oleh orang ramai:-

1. Darah keluar dari tubuh; samada untuk berbekam, ambil darah pesakit, menderma darah, tercedera, darah dari hidung, tangan dan lain-lain.

Hukumnya:

Tidak batal puasa kerana yang membatalkan adalah yang masuk ke tubuh melalui saluran terbuka hingga ke perut dan bukannya ‘yang keluar' dari tubuh. (As-Siyam Muhdathatuhu wa hawadithuhu, Dr Muhd ‘Uqlah, hlm 215).

Manakala pandangan pembatalan puasa dengan berbekam yang berdalil hadith riwayat Abu Daud dan Ibn Majah dengan sanad sohih menurut Imam An-Nawawi, ia telah dipinda (nasakh) dengan hadith dari Ibn Abbas yang menyebut Nabi SAW berbekam dalam keadaan baginda berpuasa. (Riwayat Al-Bukari, 3/43) kerana hadith dari Ibn Abbas ini berlaku tatkala Haji Wida' dan terkemudian dari hadith yang menyebut batal kerana bekam. (Tasysir al-Fiqh, Qaradawi, hlm 90). Malah ini juga padangan majority mazhab kecuali Hanbali. ( Bidayatul Mujtahid, 1/247)

2. Memasukkan sesuatu ke dalam rongga terbuka dan dikeluarkan kembali tanpa sampai ke perut dan yang seumpamanya di bahagian kepala.

Ia seperti memasukkan alat tertentu ke dalam kemaluan wanita atau dubur ketika proses perubatan yang berkaitan, demikian juga memasukkan jari ke dalam hidung, telinga, mulut dan dubur.

Hukumnya:

Tidak membatalkan puasa kecuali jika alatan itu dibiar tinggal di dalam kemaluan tadi, kerana illah @ faktor penyebab batal puasa adalah masuknya sesuatu berfizikal ke perut.

Terkecuali juga, wanita atau lelaki yang memasukkan jarinya ke dubur atau kemaluannya dengan tujuan nafsu, maka ia membatalkan puasa, tetapi jika tujuan istinja' atau membasuhnya maka hukum yang lebih kuat menurut para ulama adalah tidak batal. (As-Siyam, Dr Md ‘Uqlah, hlm 211).

Ini juga dipersetujui oleh Syeikh Atiyyah Saqar yang mengatakan masuk sesuatu ke telinga dan hidung yang tidak sampai ke perut atau bahagian otak adalah tidak membatalkan puasa. (Min Ahsanil Kalam fil Fatawa).

Tidak dinafikan terdapat fatwa yang mengatakan batal, justeru, nasihat saya adalah lebih baik menjauhinya kiranya tiada tujuan yang agak mendesak. Kerana menjauhi yang khilaf (perbezaan pendapat) itu lebih baik.

3. Pil elak haid untuk puasa penuh

Hukumnya:

Harus dengan syarat tidak membawa mudarat kepada pusingan haidnya, dan memerlukan nasihat doktor Islam yang berwibawa.

Namun yang terbaik adalah tidak menyekat haid, dan tidak menganggu kitaran fitrah yang telah ditentukan oleh Allah swt. selain itu wanita sedang haid juga masih boleh melaksanakan pelbagai jenis ibadah.

4. Penyembur gas untuk pesakit lelah

Hukumnya:

Pada bulan Julai 2007, Persidangan Majlis Fiqh Antarabangsa di Putrajaya ada membincangkan isu ini.

Isu ini amat kerap dibincangkan oleh para ulama seantero dunia dan mereka berbeza pandangan apabila sebahagian menyatakannya batal dan sebahagian lain menolak.

Menurut kajian terperinci bantuan para doktor, mendapati gas semburan itu punyai jisim-jisim putih yang jelas kelihatan jika di sembur di atas kertas.

Selain itu, hampir 90 % darinya akan terus masuk ke tekak dan melekat di esophagus dan terus ke perut. Ini bermakna ianya jisim-jisim gas itu masuk ke perut setiap kali semburan. Justeru sudah pasti ia membatalkan puasa.

Demikian pandangan awal dari Majlis Fiqh Antarabangsa yang bersidang Julai 2007, tetapi kemudiannya mereka menarik balik keputusan mereka untuk dibincangkan lebih terperinci dalam persidangan akan datang.

Namun itu adalah pandangan sebahagian ulama kontemporari yang menyakini masuknya serbuk jisim gas ke dalam perut.

Bagaimanapun para ulama masih perlu bergantung kepada makumat jelas dari para doktor bagi memberikan fatwa tepat.

Sebahagian ulama seperti Syeikh At-Tantawi, Syeikh Dr Muhd ‘Uqlah, menyebut hukumnya tidak batal kerana gas itu hanya terhenti di paru-paru dan tidak masuk ke perut.

Manakala, ubat lelah jenis hidu melalui hidung adalah membatalkan puasa kerana ia akan masuk ke bahagian kepala. (As-Siyam, Dr Md Uqlah, hlm 226)

Namun jelas para ulama berhati-hati dalam memberikan keputusan dalam hal ini kerana menyedari walaupun serbuk-serbuk dari inhaler tersebut boleh memasuki ruang perut, namun ia adalah satu keperluan mendesak buat pesakit athma dan tidak pula dilaksanakan secara saja-saja, bukan pula kerana nafsu lapar.

Pandangan terpilih adalah TIDAK BATAL, kerana terdapat perbezaan informasi dan data oleh para pakar perubatan berkenaan ketepatan fakta masuknya jisim ke dalam perut pada setiap kali semburan dibuat.

Justeru, hukum puasa adalah kekal di atas sifat asalnya iaitu sah selagi belum terdapat bukti nyata dan diyakini terbatalnya ia.

Sebagaimana kaedah Fiqh yang ertinya, "Hukum asalnya, kekalnya hukum sesuatu pada sifat sebelumnya."

Justeru, jika ada sekalipun jisim yang termasuk ke dalam perut, ia bukanlah makanan yang mengenyangkan dan bukan pula dilakukan secara suka-suka serta ia tergolong dalam ubat-ubatan yang diperlukan secara mendesak.

Selain itu, jisim yang termasuk ke dalam perut pula adalah tergolong di dalam kategori DIMAAFKAN sebagaimana beberapa kadar air yang tertinggal di atas lidah dan dalam hidung semasa berkumur dan berwudhu. Wallahu a'lam.

5. Suntikan ke dalam tubuh melalui tangan, kaki selain rongga terbuka yang asal

Hukumnya:

Terdapat dua jenis: samada untuk berubat atau untuk menguatkan. Jika ia digunakan untuk mengurangkan demam, bius, 'pain killer' dan apa jua tujuan asas perubatan, ia disepakati tidak membatalkan puasa (Al-Qaradawi, hlm 100; ‘Uqlah , hlm 226). Demikian juga hukumnya suntikan kalsium dan sebagainya untuk kekuatan badan demi perubatan.

Berkenaan suntikan makanan, airseperti glukos dan sepertinya untuk tujuan perubatan; para ulama sekali lagi berbeza pandangan: Pandangan majoriti adalah: Tidak membatalkan puasa kerana ia tidak masuk ke dalam tubuh melalui rongga terbuka dan ia tidak mengenyangkan serta tidak bercanggah dengan hikmah puasa.

Ia adalah fatwa oleh Syeikh Dr Yusof Al-Qaradawi, Syeikh Md Bakhit, Syeikh Abd Rahman Taj, Syeikh Ahmad As-Syurbashi, Keputusan Lajnah Fatwa Azhar tahun 1948 (Taysir Al-Fiqh As-Siyam, hlm 100; Fatawa Syar'iyyah, hlm 268; Yasalunaka, 5/53 dll ).

Bagaimanapun, suntikan jenis makanan ini membatalkan puasa terutama jika dilakukan secara sengaja untuk melarikan diri dari ujian keletihan lapar dahaga puasa.

6. Berkumur-kumur dan air masuk ke rongga hidung semasa wudhu

Hukumnya:

Tidak membatalkan puasa, cuma jika berlebihan berkumur ulama Syafie mengatakannya terbatal. Justeru, jauhilah berlebihan di ketika puasa adalah lebih baik.

Ia berdasarkan hadith, "Sempurnakan wudhu, basuhlah celah-celah jari jemarimu, dan lebih-lebihkan menyedut air ke hidungmu kecuali tatkala kamu berpuasa (Riwayat Abu Daud, no 142; At-Tirmidzi, 788; Al-Hakim, Sohih menurut Ibn Khuzaymah, Ibn Hibban & Al-Hakim dan dipersetujui oleh Az-Zahabi; albani; Sohih).

7. Melakukan Maksiat seperti tidak solat

Hukumnya:

Tidak batal puasa menurut majoriti mazhab dan ulama. Akan tetapi dosa maksiat itu akan ditanggung berasingan mengikut jenis maksiat, malah mungkin bertambah besar dosanya kerana mencarik kehormatan Ramadhan. Pahala puasanya pula akan terhapus.

Selain itu, ia juga mencarikkan keseluruhan tujuan berpuasa iaitu bagi melahirkan insan taqwa, beroleh keampunan dan jauh dari maksiat. (Qaradawi, hlm 104)

Nabi bersabda, "Barangsiapa sempat bertemu Ramadhan dan tidak diampun dosanya, maka semakin jauh ia dengan Allah" (Riwayat Ibn Hibban)

8. Mencium lelaki dan wanita semasa berpuasa

Hukumnya:

Mencium isteri atau suami tatkala berpuasa, tidak batal menurut majoriti ulama.

Ia berdasarkan beberapa dalil yang ertinya, "Nabi S.a.w mencium dan bermesra (dengan isterinya) dalam keadaan ia berpuasa, tetapi baginda adalah seorang yang menguasai diri dan nafsunya." (Riwayat Abu Daud, 2/311 ; Syuaib arnaout : Sohih)

Dan satu lagi adalah yang ertinya, "Kami bersama Nabi tiba-tiba didatangi oleh seorang pemuda dan bertanya: Aku berpuasa dan aku mencium isteriku, jawab nabi: Jangan; tiba-tiba datang seorang tua dan bertanya soalan yang sama: Jawab nabi: Ya ( tiada masalah); kami kami saling berpandangan antara satu sama lain, maka nabi berkata, "Aku tahu mengapa kamu saling berpandangan antara satu sama lain, sesungguhnya orang tua mampu mengawal dirinya (nafsu)." (Riwayat Ahmad dan At-Tabrani, sanad terdapat Ibn Lahi'ah yang diperkatakan tentangnya, menyebabkan hadis dianggap dhoif)

Al-Qaradawi pula menambah, "Berapa ramai orang tua zaman sekarang yang turut tidak mampu mengawal nafsunya." (Fiqh As-Siyam, hlm 106 )

Kesimpulannya, ia tidak membatalkan puasa dan ciuman sebegini tidak harus jika ia boleh membawa mudarat seperti menaikkan nafsu dan boleh membawa kepada persetubuhan di siang hari Ramadhan.

9. Wanita tamat haid

Wanita tamat haid pada waktu malam dan sempat niat pada waktu malamnya sebelum naik fajar subuh. Ia dikira sah walaupun belum mandi hadas.

Jika ia tidak sempat berniat sebelum fajar subuh, seperti belum makan dan minum apa-apa pada pagi itu, kemudian pada jam 8 pagi haidnya kering, ia tidak dikira boleh berpuasa pada hari itu kerana tiada niat bagi puasa wajib boleh dibuat selepas terbit fajar.

Demikian juga ditegaskan oleh majoriti ulama (Al-Mughni, Ibn Quddamah, 4/201)

Dalilnya adalah yang ertinya ertinya, "Barangsiapa yang tidak berniat untuk puasa sebelum fajar, tiada puasa (wajib) baginya." ( Riwayat Abu Daud, 3/108 ; Albani : Sohih )

10. Keluar air mazi

Air mazi adalah air yang keluar dari kemaluan lelaki atau perempuan kerana naik syahwat. Banyak persoalan berkenaan keluarnya air mazi semasa berpuasa, samada ia membatalkan puasa atau tidak.?

Zahir dalam mazhab Hanbali menyatakan, ia membatalkan puasa.

Bagaimanapun mazhab Hanafi, Syafie, Awzai'e, Hasan albasri, As-Sya'bi dan Imam Ahmad dalam satu pendapatnya berfatwa keluarnya air mazi tidak membatalkan puasa. Saya lebih cenderung dengan pendapat ini.

11. Keluar air mani tanpa setubuh

Mencium dan menyentuh melalui onani sehingga keluarnya mani dengan syahwat adalah membatalkan puasa dan wajib qadha, ia adalah disepakati oleh seluruh ulama.

Adapun keluarnya air mani hanya kerana berfikir lucah dan melihat dengan syahwat, ia tidaklah batal menurut sebahagian ulama termasuk mazhab Syafie, Hanafi. (Al-Mughni, 4/159)

Manakala mazhab Hanbali dan Maliki mengatakannya batal.

Walau bagaimanapun, saya lebih cenderung dengan pendapat yang mengatakannya batal kerana ia benar-benar bercanggah dengan tujuan dan maqasid puasa dalam Islam. Selain itu, ia juga adalah sama dengannya keluar mani kerana sentuhan.

Keluar air mani kerana bermimpi di siang hari Ramadhan atau kerana sakit tertentu. Sepakat ulama menyatakan ia tidak membatalkan puasa.

12. Menelan air liur dan kahak

Hukum : Ia tidak membatalkan puasa disebabkan terlalu sukarnya untukmenjaga hal seperti ini. (Al-Mughni, Ibn Quddamah, 4/159).

Manakala Kahak yang selagi ia belum sampai ke anggota mulut (sebelah hadapan lidah), iaitu masih berada pada had tekak maka tidak membatalkan puasa jika ditelan. Kerana ia masih tidak keluar daripada anggota zahir.

Kahak yang sudah sampai pada mulut, inilah yang menjadi khilaf adakah membatalkan puasa atau tidak.

Ada pendapat yang mengatakan batal dan ada pendapat yang mengatakan tidak batal. Sebahagian ulama berpendapat HARAM menelannya dengan sengaja kerana ia adalah kotoran.

Jadi, kesimpulan yang terpilih adalah kahak yang sampai ke mulut haram ditelan dan kebanyakan ulama menyatakan ia membatalkan puasa.

Manakala yang berada di bahagian pangkal lidah dan tekak, jika ditelan tidak membatalkan puasa.

13. Mandi

Tiada masalah untuk orang berpuasa mandi, ia tidak membatalkan puasa. Dalilnya adalah hadis yang menunjukkan Nabi SAW mengizinkan orang yang junub mandi selepas waktu subuh, namun mandi junub adalah wajib, bagaimana pula mandi sunat atau harian yang biasa?

Jawapnya ia tidak membatalkan puasa malah sahabat besar seperti Ibn Abbas juga pernah disebutkan mandi ketika berpuasa.

Anas bin Malik pula adakalanya merendam kepalanya di dalam batu dipenuhi air (seperti telaga) akibat bersangatan panas. (Rujuk Fath Al-bari)

Cuma puasa hanya boleh batal apabila seseorang mandi sambil mencuri minum sebagaimana yang mungkin dilakukan oleh para remaja dan lainnya, maka ia batal kerana minum dan bukan mandi itu sendiri.

14. Berniat berbuka atau membatalkan puasa sebelum waktu

Tindakan sebegini adalah membatalkan puasa menurut mazhab Syafie, Hanbali dan Hanafi. Cuma jika dengan segera seseorang itu kembali berniat dan membetulkan niatnya tadi, puasa tidak terbatal.

Justeru, seluruh individu berpuasa wajib menjaga niatnya agar tidak terpesong untuk membatalkannya.

Imam Ibn Qudamah menolak pandangan yang mengatakan tidak batal kerana ibadah itu adalah berdasarkan niat seperti solat juga yang akan terbatal jika berniat membatalkannya. (Al-Mughni, 4/175)

15. Mengosok gigi ketika berpuasa

Penggunaan ubat gigi, air atau berus gigi merupakan perkara yang dibolehkan bagi mencapai tujuan dan fokus saranan Nabi SAW iaitu kebersihan mulut dan tidak membatalkan puasa.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: zaharuddin

Friday, June 08, 2018

Apakah Hukum Menelan Air Liur Ketika Puasa?

Apakah Hukum Menelan Air Liur Ketika Puasa?

Soalan: Mengenai air liur diantara bibir dan diluar mulut, adakah jumhur ulama mengatakan batal puasa menelannya?

Apakah yang dimaksudkan dengan air liur diantara bibir? Adakah kedudukannya di celah bibir atau macam mana? Air liur yang diludah akan tertarik balik dan berkeadaan diantara bibir, pasti ianya akan masuk balik.

Harap diperjelaskan macam mana dengan hingus atau kahak? Air liur, kahak, hingus yang diludah biasanya akan masuk ke dalam hidung dalam bentuk renjisan.

Apa yang perlu dibuat?

Apakah Hukum Menelan Air Liur Ketika Puasa?

Jawapan:

Syarak telah menetapkan hukum makan dan minum pada ketika puasa adalah dilarang, maka perbuatan sengaja menelan apa-apa benda luaran juga tidak dibenarkan.

Tetapi tidak perlu dibangkitkan permasalahan-permasalahan seperti air liur atas bibir jika masuk ke dalam balik, renjisan hingus masuk hidung balik, kerana perkara-perkara ini tidak diperincikan oleh syarak.

Kerana:

Apa-apa yang syarak senyap tentangnya, maka ia adalah kemaafan.

Perkara-perkara tersebut jika hendak dijaga, pasti membawa masyaqqah.

Contohnya, jika berkumur ketika puasa, sudah pasti lebihan air kumuran akan tertinggal dalam mulut, akhirnya boleh jadi masuk dalam rongga.

Ini adalah masyaqqah yang dimaafkan.

Menimbulkan persoalan ini akan membawa kepada penyakit was-was.

Wallahu a’lam

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: abuumair

Tuesday, June 05, 2018

Doa Yang Mustajab Adalah Sebelum Berbuka Puasa Dan Bersahur

Doa Yang Mustajab Adalah Sebelum Berbuka Puasa Dan Bersahur

Terdapat beberapa waktu yang mustajab untuk berdoa, di mana doa tersebut tidak akan ditolak oleh Allah SWT iaitu berdoa ketika berbuka puasa dan berdoa ketika bersahur.

Doa Yang Mustajab Adalah Doa Sebelum Berbuka Puasa Dan Bersahur

Dari Abu Hurairah radhiallahu ‘anhu, Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

“Ada tiga orang yang doanya tidak ditolak, Pemimpin yang adil, orang yang berpuasa sampai dia berbuka, dan doa orang yang didzalimi, Allah angkat di atas awan pada hari kiamat.”

1. Doa Sebelum Berbuka Puasa

Kebanyakan kaum muslimin mensia-siakan waktu yang mustajab ini dengan menyibukkan diri seperti keluar membeli juadah untuk berbuka, menyiapkan hidangan berbuka hingga menjelang azan maghrib, menonton tv dan lain-lain lagi.

10 minit ketika nak masuk azan maghrib, mereka berkumpul di meja makan menghadap hidangan berbuka dan apabila terdengar azan, cukup dengan hanya membaca doa makan.

Oleh itu,marilah kita bersedia sekurang-kurangnya 15 hingga 20 minit sebelum azan maghrib serta dalam keadaan berwudhu.

Kemudian, meminta dan memohon apa sahaja doa. Mulakan doa dengan puji-pujian kepada Allah SWT dan berselawat atas Nabi SAW.

2. Doa Ketika Bersahur

Ketika sahur adalah diantara waktu yang sangat berkat dan ketika ini, doa-doa kita mudah dimakbulkan oleh Allah SWT.

Ketika waktu ini, marilah sama-sama kita memanjatkan doa kepada Allah Taala, untuk memohon setiap hajat-hajat.

Dalam hadis muttafaqun ‘alaih, dari Anas bin Malik, Nabi SAW bersabda:

“Makan sahurlah kamu kerana dalam makan sahur terdapat keberkahan.” (HR. Bukhari & Muslim)

Imam Nawawi berkata bahawa bentuk keberkatan makan sahur di diantaranya adalah kerana waktu itu orang bangun, terdapat zikir dan doa pada waktu yang mulia tersebut. Pada masa itu ialah masa diturunkannya rahmat serta diterimanya doa dan istighfar. (Syarh Shahih Muslim, 9: 182)

Jadi, marilah kita sama-sama merebut peluang ini untuk berdoa kepada Allah.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: almukhlisin

Sunday, June 03, 2018

8 Tanda Malam Lailatul Qadar

8 Tanda Malam Lailatul Qadar

Lailatur Qadar atau biasa disebut sebagai “malam seribu bulan” adalah satu malam yang sangat istimewa di bulan Ramadhan dan mereka yang berpuasa di bulan ini sangat mendambakannya, sebab malam Lailatur Qadar memiliki banyak keutamaan dan keistimewaan.

8 Tanda Malam Lailatul Qadar

Lailatul Qadar atau Lailat Al-Qadar adalah satu malam penting yang terjadi pada bulan Ramadhan, yang dalam Al Qur’an digambarkan sebagai malam yang lebih baik dari seribu bulan.

Dan juga diperingati sebagai malam diturunkannya Al Qur’an.

Deskripsi tentang keistimewaan malam ini dapat dijumpai pada Surah Al-Qadar, surat ke-97 dalam Al Qur’an.

Terdapat pendapat yang mengatakan bahawa terjadinya malam Lailatul Qadar itu pada 10 malam terakhir bulan Ramadhan, hal ini berdasarkan hadits dari Aisyah yang mengatakan, ”Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam beri’tikaf di sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan dan dia bersabda, yang ertinya, “Carilah malam Lailatul Qadar di (malam ganjil) pada 10 hari terakhir bulan Ramadhan.” (HR: Bukhari 4/225 dan Muslim 1169).

Sudah menjadi pengetahuan umum bahawa Lailatul Qadar kemungkinan akan “diwujudkan” oleh Allah pada malam ganjil, tetapi mengingat umat islam memulai awal puasa pada hari atau tanggal yang berbeza, maka umat islam yang menghendaki untuk mendapatkan keutamaan Lailatul Qadar dapat “mencarinya” setiap malam.

Agar kita yang menghendaki “mendapatkan” Lailatul Qadar, maka berbuka puasalah “sekadarnya” saja agar badan tidak “menjadi berat” dan malas serta menjadi sebab ngantuk dan mudah tertidur, sehingga yang kita inginkan untuk mendapatkan Lailatul Qadar tidak membuahkan hasil.

Penetapan dan pengaturan sehingga Lailat Al-Qadar difahami sebagai malam penetapan Allah bagi perjalanan hidup manusia.

Penggunaan Qadar sebagai ketetapan dapat ditemui pada surah Ad-Dukhan ayat 3-5:

"Sesungguhnya Kami menurunkannya (Al-Quran) pada suatu malam, dan sesungguhnya Kamilah yang memberi peringatan.

"Pada malam itu dijelaskan semua urusan yang penuh hikmah, iaitu urusan yang besar di sisi Kami Kemuliaan.

"Malam tersebut adalah malam mulia tiada bandingnya. Ia mulia kerana terpilih sebagai malam turunnya Al-Quran."

Penggunaan Qadar yang merujuk pada kemuliaan dapat ditemui pada surat Al-An’am (6): 91 yang berbicara tentang kaum musyrik: "Mereka itu tidak memuliakan Allah dengan kemuliaan yang semestinya, tatkala mereka berkata bahawa Allah tidak menurunkan sesuatu pun kepada masyarakat."

Apakah kamu termasuk yang ingin mendapat malam Lailatur Qadar?

Kalau begitu, mari semak 8 tanda-tanda malam Lailatul Qadar yang menakjubkan berikut ini.

1. Suasana Sejuk di Malam Lailatul Qadar

Saat malam Lailatul Qadar, udara terasa sejuk. Tidak panas dan tidak dingin. Suasananya sangat nyaman. Di malam itu tidak ada hawa yang panas mahupun dingin.

Hal ini sebagaimana sabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam, “Lailatul qadar adalah malam yang penuh kemudahan dan kebaikan, tidak begitu panas, juga tidak begitu dingin, pada pagi hari matahari bersinar tidak begitu cerah dan nampak kemerah-merahan.” (HR. Ath Thoyalisi dan Al Baihaqi dalam Syu’abul Iman, lihat Jaami’ul Ahadits 18/361, shahih).

Suasana memang sangat sejuk sekali, sehingga terasa nikmat bagi mereka yang beritikaf lalu menemui satu malam ini.

Syaikh Khalid Al-Mushlih hafizhahullah menyatakan bahawa tidak ada tanda khusus jika seseorang telah mendapatkan Lailatul Qadar.

Terang beliau, kalau kita memperbanyak beribadah terus menerus di sepuluh hari terakhir Ramadhan, tentu akan mendapatkan malam penuh kemuliaan tersebut.

Yang patut pula difahami bahawa cara menghidupkan malam tersebut boleh dengan mengerjakan shalat Isya, shalat tarawih (shalat malam) dan shalat shubuh.

Mengerjakan ketiga shalat ini dapat dicatat telah mengerjakan shalat semalam suntuk.

Malam Lailatul Qodar yang ada di dalam Al-Qur’an dijelaskan dengan malam penuh berkah dan ketenangan.

Semua malam akan berbeza saat telah memasuki malam Lailatul Qodar ini.

Sebab saat malam penuh berkah ini membuat suasana menjadi tenang, udara akan terasa sangat sejuk, tak terasa panas, tidak terasa dingin, tidak hujan dan tidak terjadi pelemparan bintang (meteor).

Apalagi suasana di dalam sebuah keluarga akan terasa nyaman sekali, dimana tidak memiliki kesamaan dengan malam-malam sebelumnya dalam bulan Ramadhan.

2. Suasana Malam yang Tenang

Saat tiba malam lailatul Qadar, suasana terasa sangat tenang. Tidak ada kebisingan. Semuanya terasa amat tenteram.

Inilah malam yang terasa sangat khidmat untuk beribadah kepada Allah SWT.

Dalam surat Al Qadar ayat 4 dijelaskan, “Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan malaikat Jibril”.

Banyak malaikat yang akan turun pada malam Lailatul Qodar, kerana banyaknya keberkahan di malam Lailatul Qodar tersebut.

Turunnya malaikat ke dunia untuk menandakan turunnya berkah dan rahmat.

Seperti halnya ketika malaikat turun saat ada yang membaca Alqur’an, sebagaimana mereka akan mengelilingi orang-orang yang berbeza dalam sebuah majlis zikir.

Seperti juga malaikat akan meletakkan sayap-sayap mereka pada penuntut ilmu, kerana malaikat sangat mengagungkan mereka.

Suasana pada malam itu memang sangat tenang sekali, tak ada suara kicau burung atau binatang lain pada malam itu.

Jika kita boleh melihat pun, semua tumbuhan di dunia ini bersujud kepada Allah SWT pada malam itu.

Dari Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda, "Barang siapa melaksanakan solat pada malam lailatul qodar kerana iman dan mengharapkan redha dari Allah SWT, maka dosa-dosanya yang lalu akan diampuni.” (HR. Bukhari)

3. Suasana Malam Cerah

Malam saat Lailatul Qadar langit tampak cerah. Langit tampak terang dan terlihat indah.

Hal ini sebagaimana sabda Nabi Muhammad SAW, “Malam itu adalah malam yang cerah iaitu malam ke dua puluh tujuh (dari bulan Ramadhan). Dan tanda-tandanya ialah pada pagi harinya matahari terbit berwarna putih tanpa sinar yang menyorot.” (HR. Muslim no. 762)

Dalam hadist lain yang diriwayatkan oleh Ibnu Hibban, Sabda Rasulullah Saw, "Sesungguhnya aku diperlihatkan lailatul qodr lalu aku dilupakan, ia ada di sepuluh malam terakhir.

"Malam itu cerah, tidak panas dan tidak dingin bagaikan bulan menyingkap bintang-bintang.

"Tidaklah keluar syaitannya hingga terbit fajar.” (HR. Ibnu Hibban).

Kamu boleh cuba perhatikan ini di 10 malam terakhir Ramadhan.

Saat langit malam tampak cerah, boleh jadi itu adalah saat malam Lailatul Qadar tiba.

Ibnu Katsir menjelaskan dalam kitab tafsirnya, bahawa pencatatan takdir di lauhul mahfudh dalam setahun akan dirinci pada malam lailatul qodar, juga akan dicatat ketentuan ajal dan rezeki.

Perlu diingat juga, keterangan dari Imam Nawawi dalam Syarh Shahih Muslim bahwa catatan takdir tahunan tersebut tentu saja didahului oleh ilmu dan penulisan Allah SWT.

Takdir ini nantinya akan diperlihatkan pada malaikat dan ia akan mengetahui apa yang akan terjadi, kemudian ia akan melakukan tugas sesuai dengan apa yang diperintahkan Allah SWT kepadanya.

4. Matahari Bersinar Lembut

Di pagi hari setelah malam Lailatul Qadar, sinar matahari bersinar dengan lembut dan suasana hari itu pun terlihat cerah.

Hal ini seperti diterangkan dalam sebuah hadits, ”Lailatul qodr adalah malam yang cerah, tidak panas dan tidak dingin, matahari pada hari itu bersinar kemerahan lemah.”

Sebagaimana diriwayatkan oleh Ibnu Khuzaimah yang dishahihkan oleh Al Bani.

5. Angin Berhembus Sepoi-sepoi

Pada malam Lailatul Qadar, angin pun berhembus lembut. Ini membuatkan suasana terasa sangat nyaman. Tidak panas dan juga tidak dingin.

6. Tidak Hujan

Pada malam Lailatul Qadar, tidak terjadi hujan. Saat itu malam terasa begitu syahdu dengan suasana langit yang cerah.

7. Terjadi di 10 Hari Terakhir Ramadhan

Malam Lailatul Qadar terjadi di sepuluh malam terakhir bulan Ramadhan.

Hal ini seperti sabda Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam, “Carilah lailatul qadar pada sepuluh malam terakhir dari bulan Ramadhan.” (HR. Bukhari no. 2020 dan Muslim no. 1169)

8. Tiba di Malam Ganjil

Kedatangan malam Lailatul Qadar lebih mungkin terjadi di malam-malam ganjil bulan Ramadhan.

Hal ini seperti sabda Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam, “Carilah lailatul qadar di malam ganjil dari sepuluh malam terakhir di bulan Ramadhan.” (HR. Bukhari no. 2017)

Tanda-tanda malam Lailatul Qadar ini bukan kemudian justeru menyibukkan kita untuk melihat dan mengamati apakah suatu malam itu adalah malam Lailatul Qadar atau bukan.

Namun sebaliknya, tiap hari, sejak awal hingga akhir Ramadhan, kita terus memperbanyak ibadah pada Allah, dengan melaksanakan shalat, berdzikir dan bertilawah.

Terutama di sepuluh hari terakhir Ramadhan itu, kita perlu kian giat beribadah pada Allah SWT.

Dengan demikian, pastilah malam penuh berkah itu tak akan luput kita peroleh. Tak ada seorang pun yang tahu bila tamu agung itu akan datang.

Hanya Allah SWT yang mengetahui bila malam yang lebih baik dari 1.000 bulan itu akan menghampiri hambanya.

Terlebih, sebagai tamu agung, Lailatul Qadar hanya dianugerahkan kepada orang-orang yang mendapat taufik dan beramal saleh pada malam itu.

Mengapa begitu? Supaya kita semakin giat mencarinya sepanjang hari, khususnya pada malam-malam sepuluh terakhir Ramadhan.

Cara Mengetahui Malam Lailatul Qadar dari Pengalaman para Ulama

Selain 8 tanda-tanda diatas, ada beberapa cara untuk kita mengetahui dan mendapatkan malam Lailatul Qadar.

Cara ini berdasarkan kebiasaan mereka dalam memahami dan mencintai agama Allah salah satunya untuk mendapatkan keutamaan Lailatul Qadar yang disusun di beberapa kitab terjemahan mereka.

Beberapa diantaranya adalah sebagai berikut.

Pertama, iaitu di ambil dari kitab I’anatuththaalibiin juz II halaman 257, cetakan al ‘Alawiyyah Semarang:
  • Jika awal Ramadhan hari Ahad atau Rabu maka lailatul qodar malam 29
  • Jika awal Ramadhan hari Senin maka lailatul qodar malam 21
  • Jika awal Ramadhan hari Selasa atau Jumat maka lailatul qodar malam 27
  • Jika awal Ramadhan hari Kamis maka lailatul qodar malam 25
  • Jika awal Ramadhan hari Sabtu maka lailatul qodar malam 23

Kedua, adalah sumber yang diambil dari kitab Hasyiyah ash Shaawi ‘alal Jalaalain juz IV halaman 337, cetakan Daar Ihya al Kutub a ‘Arabiyyah:
  • Kalau awal Ramadhan hari Ahad maka lailatul qodar malam 29
  • Kalau awal Ramadhan hari Senin maka lailatul qodar malam 21
  • Kalau awal Ramadhan hari Selasa maka lailatul qodar malam 27
  • Kalau awal Ramadhan hari Rabu maka lailatul qodar malam 19
  • Kalau awal Ramadhan hari Kamis maka lailatul qodar malam 25
  • Kalau awal Raamadhan hari Jumat maka lailatul qadar malam 17
  • Kalau awal Raamadhan hari Sabtu maka lailatul qadar malam 23

Cara yang ketiga yang diambil dari kitab Hasyiyah al Bajuri ‘ala Ibni Qaasim al Ghaazi juz I halaman 304, cetakan Syirkah al Ma’arif Bandung:
  • Kalau awal Ramadhan hari Jumat maka lailatul qodar malam 29
  • Kalau awal Ramadhan hari Sabtu maka lailatul qodar malam 21
  • Kalau awal Ramadhan hari Ahad maka lailatul qodar malam 27
  • Kalau awal Ramadhan hari Senin maka lailatul qodar malam 29
  • Kalau awal Ramadhan hari Selasa maka lailatul qodar malam 25
  • Kalau awal Raamadhan hari Rabu maka lailatul qadar malam 27
  • Kalau awal Raamadhan hari Kamis maka malam ganjil setelah malam 20

Wallaahu A’lamu Bishshawaab

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: ezdiet

Monday, June 12, 2017

7 Perbuatan Yang Membatalkan Puasa

7 Perbuatan Yang Membatalkan Puasa

Perkara yang membatalkan puasa ada tujuh perkara dan semuanya membatalkan puasa apabila dilakukan secara sengaja (kecuali gila), jika tidak sengaja, terlupa dan dipaksa, maka tidak batal.

Perbuatan batalkan Puasa

7 Perkara Membatalkan Puasa;

1. Makan dan minum. Batal sama ada sedikit atau banyak.

2. Sampainya ain kepada rongga tengah badan melalui laluan yang terbuka. Ain bererti fizikal sesuatu yang terlihat pada mata. Ruang tengah termasuklah bahagian otak, dan bahagian bawah halkum, perut dan terus ke kemaluan depan dan belakang. laluan terbuka bererti lubang mulut, hidung, qubul dan dubur.

3. Sengaja muntah.

4. Persetubuhan. Sekalipun tidak mengeluarkan air mani.

5. Melancap. Yakni mengeluarkan air mani.

6. Datang darah haid atau nifas.

7. Gila dan murtad.

Semuanya membatalkan puasa apabila dilakukan secara sengaja (kecuali gila), jika tidak sengaja, terlupa dan dipaksa, maka tidak batal. Rujuk Fiqh al-Manhaji (1/241-245).

Perlu disebutkan juga, dalam kes pemakaian inhaler bagi pesakit asthma, kami tarjihkan pendapat tidak membatalkan puasa atas sebab darurat dan lain-lain.

Rujuk Irsyad Al-Fatwa Khas Ramadhan #15: Hukum Menggunakan 'Inhaler' di laman web kami.

Wallahu a’lam.

BACA INI JUGA: 19 Perkara Yang Tidak Membatalkan Puasa Dalam Bidang Perubatan

sumber: muftiwp

Monday, June 05, 2017

Benarkah Mengorek Telinga Dan Hidung Membatalkan Puasa?

Benarkah Mengorek Telinga Dan Hidung Membatalkan Puasa?

Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin berkata, tanggapan bahawa perbuatan mengorek lubang hidung atau telinga akan membatalkan puasa sekadar menyusahkan umat Islam yang berpuasa.

batal puasa

Antara anggapan yang tidak tepat ialah menyatakan semasa puasa tidak boleh atau membatalkan puasa memasukkan apa-apa benda ke dalam mata, telinga dan mulut sekalipun bukan makanan dan minuman.

Ini menyebabkan mereka yang gatal telinga ataupun hidung menderita sepanjang hari berpuasa. Ia berlawanan dengan sifat Islam yang mudah, katanya di Facebook.

Mohd. Asri berkata, perbuatan memakai celak dan menggunakan eye drops juga tidak membatalkan puasa seseorang muslim.

“Demikian juga memakai minyak rambut dan minyak urut sekalipun sifat minyak itu mudah meresap ke dalam kulit,” katanya.

Sehubungan itu, segelintir netizen mendesak supaya pembelajaran bab puasa di sekolah-sekolah agama diubah kerana umat Islam Malaysia selama ini telah dididik dengan ajaran yang salah tentang amalan berpuasa.

BACA INI JUGA: Adakah Muntah Menyebabkan Batal Puasa?

sumber: mynewshub

Sunday, June 04, 2017

Kenapa Memperbanyakkan Doa Di Bulan Ramadhan?

Kenapa Memperbanyakkan Doa Di Bulan Ramadhan?

Dalam satu riwayat, Nabi SAW menyebut: “Sekiranya manusia menyedari kebaikan-kebaikan Ramadhan, pasti mereka akan mengharapkan supaya sepanjang tahun adalah Ramadhan.”

Berdoa

Antara amalan yang biasa kita terlepas pandang pada bulan ini ialah memperbanyakkan doa.

Dalam riwayat Bazzar, Nabi menyebut: “Sesungguhnya Allah SWT mempunyai hamba-hamba yang dibebaskan (daripada api neraka) pada setiap siang dan malam (bulan Ramadhan) dan bagi setiap orang Islam ada doa yang dimakbulkan pada setiap siang dan malam (Ramadhan).”

Dalam riwayat yang lain pula menyebutkan: “Tiga orang yang tidak ditolak doa-doa mereka, seorang yang berpuasa sehingga dia berbuka. Seorang imam (pemerintah) yang adil dan doa seseorang yang dizalimi.”

Banyak riwayat menyebut doa seseorang yang berpuasa dimakbulkan. Oleh itu, Ramadhan merupakan kesempatan terbaik untuk kita memohon pelbagai hajat daripada Allah yang Maha Pemurah.

Kita semua adalah hamba Allah yang memang sentiasa berhajat. Allah pula adalah zat yang Maha Kaya. Kayanya Allah sehinggakan tidak berhajat kepada mana-mana ciptaan-Nya. Bahkan Dia adalah zat yang menunaikan hajat dan keperluan semua makhluk.

Bersangka baik

Nabi bersabda: “Apabila seseorang Muslim berdoa, maka Allah akan beri kepadanya salah satu daripada tiga perkara, dengan syarat dia tidak berdoa untuk memutuskan silaturahim dan tidak juga berdoa untuk sebarang dosa:

1 Sama ada dia mendapat apa-apa yang telah didoakan atau

2 Sebagai ganti daripada doa itu satu musibah atau keburukan dijauhkan atau

3 Di akhirat nanti pahala akan diberikan mengikut kadar doanya.”

Berdasarkan hadis ini, kita seharusnya bersangka baik dengan Allah tentang penerimaan doa-doa kita. Allah Maha Mengetahui akan apa yang terbaik untuk diri kita. Seperti seorang anak kecil yang meminta sebilah pisau daripada ibunya untuk bermain.

Sudah pasti ibunya akan menggantikan alat yang lebih sesuai untuk anaknya bermain. Tidak sesukar mana bagi seorang ibu untuk menunaikan permintaan itu, namun kebijaksanaan ibu tadi jelas mengatasi kebijaksanaan seorang anak kecil yang tidak mengerti apa-apa.

Begitu juga dalam konteks permintaan kita dengan Allah yang dipanjatkan menerusi doa. Allah dengan sifat kerahiman-Nya Maha Mengetahui akan kemaslahatan hamba-Nya.

Terdapat banyak masa yang khusus akan penerimaan doa sepanjang bulan Ramadan.

Oleh itu, memperbanyakkan doa pada bulan yang berkat ini adalah satu perkara yang penting. Kemalasan dan kecuaian kita untuk memperbanyakkan doa merupakan satu kerugian yang nyata.

Satu perkara yang perlu diberi penekanan di sini ialah tentang beberapa syarat lain yang perlu diambil perhatian dalam konteks penerimaan doa.

Dalam hal ini, Nabi ada menyebutkan: “Ramai sekali orang yang berada dalam kesusahan menadah tangan ke langit memohon doa dan berkata, Ya Allah! Ya Allah! tetapi makanannya haram, minumannya haram dan pakaiannya juga haram. Dalam situasi ini, bagaimana mungkin doanya diterima.”

Oleh itu, dalam konteks pelbagai keinginan dan hajat yang kita pohon daripada Allah menerusi doa, penting untuk kita meneliti akan syarat-syarat penerimaan sesuatu doa.

BACA INI JUGA: 12 Kesilapan Umat Islam Dalam Bulan Ramadhan

sumber: kosmo

Saturday, June 03, 2017

Minum Jus Buah-Buahan Ketika Sahur Untuk Kekal Cergas

Minum Jus Buah-Buahan Ketika Sahur Untuk Kekal Cergas

Minum jus buah-buahan semasa bersahur adalah antara tindakan yang baik untuk memastikan umat Islam sentiasa bertenaga dan sihat sepanjang hari pada Ramadan ini.

Jus Buah-buahan

Ketua Jabatan Dietetik dan Sajian Hospital Kuala Lumpur (HKL), Ridzoni Sulaiman berkata, dengan meminum air buah-buahan segar, ia dapat mencegah tubuh daripada mengalami dehidrasi pada bulan puasa ini.

Air buah-buahan ini mengandungi pelbagai jenis nutrien seperti vitamin, potasium dan glukosa, dan berperanan sebagai bekalan tenaga di dalam badan.

Rasa letih, penat dan mengantuk bukannya disebabkan kekurangan makanan tetapi ia adalah disebabkan kuantiti air di dalam badan berada pada tahap rendah.

Bila berlakunya dehidrasi, tubuh kita kehilangan air serta garam galian seperti sodium, potasium, kalsium, fosfat dan sebagainya, sebab itu air memainkan peranan penting di dalam tubuh kita.

Selain meminum air buah-buahan, orang ramai perlu mengelak daripada meminum kopi ataupun teh pada bulan puasa kerana minuman itu mempunyai kesan deuratik.

Minuman tersebut akan merangsang pengeluaran air kencing dan akibatnya, badan akan mengalami dehidrasi dan tekak menjadi sangat haus.

Tubuh badan memerlukan sekurang-kurangnya lapan gelas air sehari bagi memastikan sel-sel tubuh dapat berfungsi dengan baik.

Jadi, walaupun pengambilan air yang mencukupi dititikberatkan namun orang ramai turut dinasihat memakan makanan seimbang.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Adakah Puasa Menjadikan Kita Lemah?

sumber: mstar

Tuesday, May 30, 2017

Makna, Syarat Wajib Dan Waktu Mengeluarkan Zakat Fitrah

Makna, Syarat Wajib Dan Waktu Mengeluarkan Zakat Fitrah

Zakat fitrah adalah zakat diri yang diwajibkan ke atas setiap individu lelaki dan perempuan muslim yang berkemampuan dengan syarat-syarat yang ditetapkan.

Waktu Mengeluarkan Zakat Fitrah

Dari Ibnu Umar r.a. katanya, “Rasulullah SAW telah mewajibkan zakat fitrah pada bulan Ramadhan kepada semua orang Islam, laki-laki, perempuan, orang yang merdeka mahupun hamba, 1 (satu) Sha’ kurma atau gandum.” (Hadith riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

Syarat-syarat bagi Wajib Zakat Fitrah
  1. Mempunyai lebihan makanan atau harta dari keperluan tanggungannya pada malam dan pagi hari raya.
  2. Anak yang lahir sebelum matahari jatuh pada akhir bulan Ramadhan dan hidup selepas terbenam matahari.
  3. Memeluk Islam sebelum terbenam matahari pada akhir bulan Ramadhan dan berkekalan Islamnya.
  4. Seseorang yang meninggal selepas terbenam matahari akhir Ramadhan.

5 waktu dan masa mengeluarkan zakat fitrah

1. Wajib. Apabila terbenam matahari akhir 30 Ramadhan sehingga terbit matahari esoknya.

2. Afdhal. Sebelum sembahyang Hari Raya.

3. Sunat. Sepanjang bulan Ramadhan.

4. Makruh. Selepas sembahyang Hari Raya sehingga terbenam matahari pada satu Syawal.

5. Haram. Selepas terbenam matahari satu Syawal.

Untuk mengelakkan suasana yang sibuk dan kesukaran bagi amil-amil dan juga kelalaian bagi pembayar itu sendiri sehingga melepasi waktu afdhal, maka dinasihatkan supaya zakat fitrah dikeluarkan lebih awal, iaitu mulai hari pertama bulan Ramadhan.

Maksud sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah, “Maka sesiapa yang mengeluarkan (fitrah) sebelum sembahyang Hari Raya, maka itulah zakat yang diterima, dan sesiapa yang mengeluarkannya sesudah sembahyang Hari raya maka itu hanyalah merupakan sedekah sahaja.“

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Kefardhuan Dan Hukum Mengeluarkan Zakat Fitrah

sumber: zakat-muib

Monday, May 29, 2017

Kadar Zakat Fitrah Malaysia 2017

Kadar Zakat Fitrah Malaysia 2017

Kadar bayaran zakat fitrah sepanjang Ramadhan 2017 di semua negeri seluruh negara menyaksikan tiada perubahan kecuali Johor yang melaksanakan penyeragaman.

Kadar Zakat Fitrah 2017 [2]

Kadar zakat fitrah di setiap negeri bagi bulan puasa tahun ini kekal dengan ditetapkan sama iaitu RM7 bagi seorang Muslim.

Perlis, Selangor, Terengganu, Sarawak serta Wilayah Persekutuan yang merangkumi Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan; menjadi negeri terakhir mengesahkan secara rasmi kadar zakat pada Ramadhan kali ini tetap sama, RM7.

Negeri yang turut meletakkan nilai kekal RM7 sebagai kadar zakat fitrah tahun ini seperti tahun-tahun sebelumnya ialah Kedah, Pulau Pinang, Perak, Pahang, Kelantan dan Sabah.

Manakala Negeri Sembilan dan Melaka juga tiada perbezaan apabila menetapkan kadar kekal masing-masing sebanyak RM6.50 dan RM6.70.

Johor melakar sejarah apabila Ramadhan kali ini memperlihatkan kadarnya diselaraskan kepada RM7 berbanding tahun-tahun terdahulu iaitu RM6 jika makan beras murah dan RM8 untuk beras premium.

Terengganu dan Perlis suatu ketika dahulu juga pernah menetapkan sehingga tiga kadar berbeza untuk pembayaran zakat fitrah bergantung kepada jenis beras dimakan sebelum diseragamkan kepada satu kadar.

Sementara itu, Majlis Ugama Islam Singapura dalam satu kenyataan mengisytiharkan kadar zakat fitrah untuk Ramadhan tahun ini ialah S$5.10 (RM15.75) bagi kadar biasa dan S$7.00 (RM21.62) bagi kadar lebih tinggi.

Ia meningkat sedikit berbanding S$6.90 (RM21.31) pada Ramadhan tahun lalu untuk beras premium tetapi untuk jenis murah, kadarnya tidak berubah kecuali perbandingan pada 2015 apabila ia ditetapkan S$4.90 (RM15.14).

Kadar rasmi tersebut menurut pihak majlis berkenaan adalah berdasarkan kepada pengiraaan purata harga 2.3 kilogram beras mengikut ukuran berat Baghdad yang dimakan oleh masyarakat Islam tempatan.

Sejak tahun 2005, majlis tersebut mula memperkenalkan dua kadar zakat fitrah berbeza iaitu menyertakan kadar lebih tinggi bagi individu Muslim yang berhasrat membayar zakat fitrah dengan lebih tinggi daripada kadar biasa.

Ini kerana mereka dikatakan secara lazimnya lebih berkemampuan dan menggunakan gred beras lebih mahal.

Senarai Bayaran Zakat Semua Negeri Ramadhan 2017
  • Perlis - RM7.00
  • Kedah - RM7.00
  • Perak - RM7.00
  • Selangor - RM7.00
  • Wilayah Persekutuan (Putrajaya, Labuan) - RM7.00
  • Negeri Sembilan - RM6.50
  • Melaka - RM6.70
  • Johor - RM7.00
  • Pahang - RM7.00
  • Terengganu - RM7.00
  • Sabah - RM7.00
  • Sarawak - RM7.00

Selamat berpuasa dan jangan lupa bayar zakat.

BACA INI JUGA: Zakat Fitrah Patut Hasilkan 700 Jutawan Di Malaysia?

sumber: mynewshub