Monday, March 20, 2023

6 Resipi Roti Bakar Ketika Sahur, Cepat Dan Mengenyangkan!

6 Resipi Roti Bakar Ketika Sahur, Cepat Dan Mengenyangkan!

Selain berkhasiat, sesuatu makanan itu juga haruslah ringkas serta mudah disediakan kerana di pagi hari ramai yang kelang-kabut untuk bersiap ke tempat kerja.

Pencipta kandungan masakan, Linda Safar ada berkongsi resepi roti bakar yang bukan sahaja sesuai untuk sarapan malah boleh dicuba ketika bersahur nanti disepanjang bulan Ramadhan.

Ayuh kita cuba sendiri di rumah dan rasai kelazatannya!

1. Roti bakar telur goyang

Roti bakar telur goyang

Bahan-bahan:
  • Roti, cheese, telur.

Cara penyediaan:
  • Lenyek bulat di bahagian tengah roti.
  • Tabur cheese di sekeliling bahagian roti.
  • Letak telur di tengah roti dan set suhu ketuhar untuk 180’c selama 17 minit.

2. Roti jagung cheese

Roti jagung cheese

Bahan-bahan:
  • Roti, hirisan chicken ham, jagung, cheese.

Cara penyediaan:
  • Campur dan sebatikan chicken ham dengan jagung dan mayonis.
  • Lenyek bahagian tengah roti.
  • Ratakan bahan tadi ke atas roti, lapis cheese di atas.
  • Set suhu ketuhar kepada 180’C selama 15 minit.

3. Roti bakar gula

Roti bakar gula

Bahan-bahan:
  • Roti, mentega, gula.

Cara penyediaan:
  • Hiris hiris bahagian atas roti dalam bentuk kotak seperti gambar di atas.
  • Tuang mentega (dicairkan) ke atas keseluruhan permukaan roti.
  • Tabur gula di atas, bakar dalam ketuhar 180’C selama 10 minit.

4. Roti bakar blueberry

Roti bakar blueberry

Bahan-bahan:
  • Roti, blueberry, yogurt, telur kuning.

Cara penyediaan:
  • Yogurt dan telur kuning digaul sekata di atas roti.
  • Lenyek bahagian tengah roti supaya jadi tenggelam sedikit dan ada ruang.
  • Tuang bancuhan tadi.
  • Susun blueberry.
  • Set suhu kepada 180’C selama15 minit.

5. Roti telur udang

Roti telur udang

Bahan-bahan:
  • Udang, telur, roti, susu, timun.

Cara penyediaan:
  • Campurkan telur, susu, garam.
  • Masak udang guna sedikit minyak.
  • Buat telur dadar dengan sedikit minyak.
  • Susun timun dengan potongan memanjang.
  • Susun telur dan udang di atas roti, kemudian letak sos jika suka.

6. Roti sosej cheese

Roti sosej cheese

Bahan-bahan:
  • Roti, sosej dan bawang, cheese parut.

Cara penyediaan:
  • Ratakan mayo dan sos tomato.
  • Tabur sedikit cheese.
  • Susun sosej.
  • Tabur daun bawang, cheese dan mayo.
  • Bakar suhu 180'c dalam ketuhar selama 15 minit.

Selamat mencuba!

BACA INI JUGA:
sumber: (1)

Saturday, May 18, 2019

5 Makanan Untuk Menambah Tenaga Anda Di Bulan Puasa

5 Makanan Untuk Menambah Tenaga Anda Di Bulan Puasa

Dibulan Ramadhan semestinya badan berasa lesu dan tidak bertenaga, jadi untuk mengelakkan badan berasa tidak bertenaga sepanjang bulan Ramadhan, anda perlu mengambil makanan yang mampu memberi tenaga dan berkhasiat.

Puasa tapi bertenaga
Gambar hiasan.

Kali ini kami ingin berkongsi beberapa jenis makanan yang boleh anda makan ketika sahur supaya badan kekal cergas.

1. Madu

Air madu bersama perahan lemon dapat membantu menghilangkan dahaga dan membantu pencernaan dan detoksifikasi.

2. Oat

Oat bagus untuk jantung dan mengurangkan kolestrol dalam badan tetapi ia juga member tenaga yang berpanjangan.

Anda boleh makan oat bersama susu rendah lemak, hirisan kurma dan madu semasa sahur.

3. Tembikai

Just tembikai ketika berbuka sangat menyegarkan dan menghilangkan dahaga. Vitamin C yang tinggi di dalam tembikai meningkatkan sistem imunisasi dalam badan.

4. Kurma

Kisar kurma yang telah direndam di dalam air panas bersama setengah kotak susu segar dan beberapa ketul ais. Boleh ditambahkan madu untuk rasa manis semula jadi.

5. Roti Serat

Anda boleh makan roti serat bersama dengan hirisan pisang dan juga mentega kacang ataupun kegemaran ramai, Nutella.

Jadi buat anda yang beragama Islam, kami ucapkan selamat berpuasa dan pastikan anda mengambil makanan yang berkhasiat untuk memberi tenaga sepanjang hari.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: syok

Monday, May 06, 2019

Doa Orang Berpuasa Di Kabulkan Allah

Doa Orang Berpuasa Di Kabulkan Allah

Ketika memasuki Ramadan, Rasulullah SAW selalu memperbanyakkan amalan kebaikan, lebihkan bersedekah, lebihkan mengerjakan amal-amal soleh terutama yang sunat seperti melakukan solat sunat Rawatib dan sunat-sunat yang lain.

Doa orang berpuasa

Amalkan juga sikap suka senyum ketika bertemu dengan kaum muslimin, menyambung silaturrahim, mengunjungi kaum kerabatnya, bersikap lemah lembut, senang memberi dan berkorban untuk orang lain dan Nabi SAW mengkhususkan bulan Ramadan untuk memperbanyakkan bacaan al-Quran.

Elakkan pembaziran dan bersederhana ketika berbelanja membeli makanan.

Apa istimewanya Ramadhan?

1. Sabda nabi SAW, “Orang yang berpuasa pada bulan Ramadhan denganpenuh keimanan dan penuh harapan maka akan diampuni dosa-dosanya yang telah lalu.”

Tetapi yang Nabi SAW maksudkan adalah dosa-dosa kecil sahaja yang akan diampuni. Ada pun dosa besar memerlukan taubat yang khusus dan kalau dosa tersebut terlibat dengan manusia maka terlebih dahulu kesalahan tersebut dimaafkan oleh mangsa baharulah Allah akan ampunkan dosa tersebut.

2. Nabi SAW bersabda, “Di syurga terdapat sebuah pintu yang bernama al-Rayyan. Orang–orang yang berpuasa akan masuk melalui pintu itu. Jika mereka telah masuk maka pintu itu akan dikunci sehingga orang–orang selain mereka tidak dapat masuk ke dalamnya.”

3. Nabi SAW bersabda, “Orang yang berpuasa satu hari ketika berjuang pada jalan Allah, wajahnya akan dijauhkan Allah dari neraka sejauh 70 kali musim luruh.”

4. Allah anugerahkan malam Lailatul Qadar yang lebih baik dari seribu bulan.

5. Allah gandakan pahala amalan pada bulan Ramadhan. Nabi SAW bersabda; Setiap amalan anak Adam pasti dilipatgandakan. Satu kebaikan akan dibalas dengan sepuluh kali kebaikan sehingga 700 kali ganda, bahkan sehingga gandaan tertentu sesuai kehendak Allah.

Allah berfirman: “Kecuali puasa, kerana puasa itu milik-Ku dan Akulah yang akan memberikan balasannya.”

6. Nabi SAW bersabda, “Ketika sedang berbuka, seseorang yang berpuasa memiliki satu doa yang tidak akan ditolak oleh Allah.” Maka jangan lepaskan peluang ini berdoalah kepada Allah.

7. Segala syaitan dirantai, pintu syurga dibuka dan pintu neraka ditutup. Oleh itu, marilah sama-sama kita menjaga puasa bukan sahaja menahan makan dan minum, bahkan daripada segala maksiat mata, telinga dan mulut serta lain-lain anggota.

Banyakkan membaca al-Quran, melakukan solat sunat dan bersedekah. Semoga Allah menjadikan Ramadhan kali ini sebagai Ramadhan yang terbaik atau mungkin yang terakhir bagi kita sebelum berjumpa Allah

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: mstar

Monday, June 11, 2018

Perbuatan Membatalkan Puasa Yang Sering Menjadi Persoalan Di Bulan Ramadhan

Perbuatan Membatalkan Puasa Yang Sering Menjadi Persoalan Di Bulan Ramadhan

Ramai orang awam yang terhad kemampuan, masa dan rujukan sering berada dalam kebimbangan dengan isu batal dan tidak batal puasa terutamanya ketika di bulan Ramadhan. Lebih dikesali adalah perbincangan tentang ini juga ada meninggalkan perbincangan yang lebih besar berkenaan Ramadhan. (Taysir al-Fiqh - Fiqh As-Siyam, hlm 86-87)

Perbuatan Membatalkan Puasa

Ulama terbilang dunia, Dr Yusoff Al-Qaradhawi pernah menyebut dan meluah rasa kurang setuju beliau dengan tindakan para ulama yang terlalu meluaskan perbuatan yang membatalkan puasa.

Beliau lebih setuju untuk mengecilkan skop dan ruang lingkup pembatalan puasa kepada perbuatan yang benar-benar terdapat dalil tepat dari al-Quran, al-Hadith dan disepakati ulama sahaja.

Sebagai contoh, antara isu terbesar yang patut diberikan fokus mendalam di waktu Ramadhan adalah:-

1. Raih Taqwa dan Mendapatkan Keampunan

Sangat jelas arahan Allah dan RasulNya menegaskan keperluan kita berusaha meraih taqwa dan keampunan di dalam bulan ini.

Perbincangan berkenaan kaedah, cara dan cabaran yang boleh menghalang kita mencapai target ini perlu diberikan perhatian lebih.

2. Bulan Ingatan Fungsi Al-Quran

Firman Allah yang menyebut bahawa Al-Quran diturunkan di bulan Ramadhan ini sebagai petunjuk, dan bukti kebenaran petunjuk dan pembeza di antara haq dan yang batil.

Justeru perbincangan berkenaan kemestian umat Islam kembali kepada Al-Quran sebagai satu-satunya formula untuk berjaya sebagai golongan bertaqwa dan selamat dunia akhirat perlu diperhebat.

3. Amaran Terhadap Pengikis Pahala Ramadhan Yang 'Confirmed'

Sabda-sabda Nabi berkenaan tindakan yang boleh menghapuskan pahala puasa Ramadhan seperti bercakap kotor, nista, carut dan perbuatan jahat dan keji di waktu bulan ini.

Ia perlu dipertekankan kerana ia adalah perkara yang disepakati bakal merosakkan pahala puasa seseorang walaupun ia tidak sampai membatalkan zahir puasanya.

4. Kaedah Penambah Pahala & Redha Allah di Bulan Ramadhan Yang 'Confirmed'

Sabda-sabda Nabi yang mengandungi janji-janji dan tawaran Allah di bulan ini juga perlu diperluas kepada orang ramai agar semakin ramai yang berpotensi ke Syurga Allah sekali gus melemahkan fungsi Syaitan dan nafsu amarah yang sentiasa ingin mengajak kepada kemaksiatan.

Adapun isu perkara yang membatalkan puasa, sewajarnya ditumpukan kepada hukum yang disepakati sahaja.

Justeru, larangan yang disepakati tatkala puasa adalah menahan nafsu syahwat, menanggung lapar dan dahaga serta menahan diri dari bersetubuh dengan isteri di siang hari dengan niat ikhlas ibadat kerana Allah.

Inilah yang dijelaskan dari al-Quran dan as-sunnah, demikian juga menjauhi kata-kata nista, bohong, mengumpat, cercaan dan lain-lain dosa anggota demi kerana Allah. Ia disebut di dalam ayat al-Baqarah: 187 dan disokong oleh hadith-hadith yang banyak.

Merokok, keluar darah haid atau nifas dan hilang akal adalah dipersetujui secara sepakat ulama membatalkan puasa.

Adapun yang tidak disepakati, boleh dibincangkan cuma jangan sampai ia mengambil perhatian utama kita apabila berada di dalam Ramdhan.

Sebagai panduan, berikut disertakan beberapa hukum secara ringkas berkaitan puasa yang kerap ditanya oleh orang ramai:-

1. Darah keluar dari tubuh; samada untuk berbekam, ambil darah pesakit, menderma darah, tercedera, darah dari hidung, tangan dan lain-lain.

Hukumnya:

Tidak batal puasa kerana yang membatalkan adalah yang masuk ke tubuh melalui saluran terbuka hingga ke perut dan bukannya ‘yang keluar' dari tubuh. (As-Siyam Muhdathatuhu wa hawadithuhu, Dr Muhd ‘Uqlah, hlm 215).

Manakala pandangan pembatalan puasa dengan berbekam yang berdalil hadith riwayat Abu Daud dan Ibn Majah dengan sanad sohih menurut Imam An-Nawawi, ia telah dipinda (nasakh) dengan hadith dari Ibn Abbas yang menyebut Nabi SAW berbekam dalam keadaan baginda berpuasa. (Riwayat Al-Bukari, 3/43) kerana hadith dari Ibn Abbas ini berlaku tatkala Haji Wida' dan terkemudian dari hadith yang menyebut batal kerana bekam. (Tasysir al-Fiqh, Qaradawi, hlm 90). Malah ini juga padangan majority mazhab kecuali Hanbali. ( Bidayatul Mujtahid, 1/247)

2. Memasukkan sesuatu ke dalam rongga terbuka dan dikeluarkan kembali tanpa sampai ke perut dan yang seumpamanya di bahagian kepala.

Ia seperti memasukkan alat tertentu ke dalam kemaluan wanita atau dubur ketika proses perubatan yang berkaitan, demikian juga memasukkan jari ke dalam hidung, telinga, mulut dan dubur.

Hukumnya:

Tidak membatalkan puasa kecuali jika alatan itu dibiar tinggal di dalam kemaluan tadi, kerana illah @ faktor penyebab batal puasa adalah masuknya sesuatu berfizikal ke perut.

Terkecuali juga, wanita atau lelaki yang memasukkan jarinya ke dubur atau kemaluannya dengan tujuan nafsu, maka ia membatalkan puasa, tetapi jika tujuan istinja' atau membasuhnya maka hukum yang lebih kuat menurut para ulama adalah tidak batal. (As-Siyam, Dr Md ‘Uqlah, hlm 211).

Ini juga dipersetujui oleh Syeikh Atiyyah Saqar yang mengatakan masuk sesuatu ke telinga dan hidung yang tidak sampai ke perut atau bahagian otak adalah tidak membatalkan puasa. (Min Ahsanil Kalam fil Fatawa).

Tidak dinafikan terdapat fatwa yang mengatakan batal, justeru, nasihat saya adalah lebih baik menjauhinya kiranya tiada tujuan yang agak mendesak. Kerana menjauhi yang khilaf (perbezaan pendapat) itu lebih baik.

3. Pil elak haid untuk puasa penuh

Hukumnya:

Harus dengan syarat tidak membawa mudarat kepada pusingan haidnya, dan memerlukan nasihat doktor Islam yang berwibawa.

Namun yang terbaik adalah tidak menyekat haid, dan tidak menganggu kitaran fitrah yang telah ditentukan oleh Allah swt. selain itu wanita sedang haid juga masih boleh melaksanakan pelbagai jenis ibadah.

4. Penyembur gas untuk pesakit lelah

Hukumnya:

Pada bulan Julai 2007, Persidangan Majlis Fiqh Antarabangsa di Putrajaya ada membincangkan isu ini.

Isu ini amat kerap dibincangkan oleh para ulama seantero dunia dan mereka berbeza pandangan apabila sebahagian menyatakannya batal dan sebahagian lain menolak.

Menurut kajian terperinci bantuan para doktor, mendapati gas semburan itu punyai jisim-jisim putih yang jelas kelihatan jika di sembur di atas kertas.

Selain itu, hampir 90 % darinya akan terus masuk ke tekak dan melekat di esophagus dan terus ke perut. Ini bermakna ianya jisim-jisim gas itu masuk ke perut setiap kali semburan. Justeru sudah pasti ia membatalkan puasa.

Demikian pandangan awal dari Majlis Fiqh Antarabangsa yang bersidang Julai 2007, tetapi kemudiannya mereka menarik balik keputusan mereka untuk dibincangkan lebih terperinci dalam persidangan akan datang.

Namun itu adalah pandangan sebahagian ulama kontemporari yang menyakini masuknya serbuk jisim gas ke dalam perut.

Bagaimanapun para ulama masih perlu bergantung kepada makumat jelas dari para doktor bagi memberikan fatwa tepat.

Sebahagian ulama seperti Syeikh At-Tantawi, Syeikh Dr Muhd ‘Uqlah, menyebut hukumnya tidak batal kerana gas itu hanya terhenti di paru-paru dan tidak masuk ke perut.

Manakala, ubat lelah jenis hidu melalui hidung adalah membatalkan puasa kerana ia akan masuk ke bahagian kepala. (As-Siyam, Dr Md Uqlah, hlm 226)

Namun jelas para ulama berhati-hati dalam memberikan keputusan dalam hal ini kerana menyedari walaupun serbuk-serbuk dari inhaler tersebut boleh memasuki ruang perut, namun ia adalah satu keperluan mendesak buat pesakit athma dan tidak pula dilaksanakan secara saja-saja, bukan pula kerana nafsu lapar.

Pandangan terpilih adalah TIDAK BATAL, kerana terdapat perbezaan informasi dan data oleh para pakar perubatan berkenaan ketepatan fakta masuknya jisim ke dalam perut pada setiap kali semburan dibuat.

Justeru, hukum puasa adalah kekal di atas sifat asalnya iaitu sah selagi belum terdapat bukti nyata dan diyakini terbatalnya ia.

Sebagaimana kaedah Fiqh yang ertinya, "Hukum asalnya, kekalnya hukum sesuatu pada sifat sebelumnya."

Justeru, jika ada sekalipun jisim yang termasuk ke dalam perut, ia bukanlah makanan yang mengenyangkan dan bukan pula dilakukan secara suka-suka serta ia tergolong dalam ubat-ubatan yang diperlukan secara mendesak.

Selain itu, jisim yang termasuk ke dalam perut pula adalah tergolong di dalam kategori DIMAAFKAN sebagaimana beberapa kadar air yang tertinggal di atas lidah dan dalam hidung semasa berkumur dan berwudhu. Wallahu a'lam.

5. Suntikan ke dalam tubuh melalui tangan, kaki selain rongga terbuka yang asal

Hukumnya:

Terdapat dua jenis: samada untuk berubat atau untuk menguatkan. Jika ia digunakan untuk mengurangkan demam, bius, 'pain killer' dan apa jua tujuan asas perubatan, ia disepakati tidak membatalkan puasa (Al-Qaradawi, hlm 100; ‘Uqlah , hlm 226). Demikian juga hukumnya suntikan kalsium dan sebagainya untuk kekuatan badan demi perubatan.

Berkenaan suntikan makanan, airseperti glukos dan sepertinya untuk tujuan perubatan; para ulama sekali lagi berbeza pandangan: Pandangan majoriti adalah: Tidak membatalkan puasa kerana ia tidak masuk ke dalam tubuh melalui rongga terbuka dan ia tidak mengenyangkan serta tidak bercanggah dengan hikmah puasa.

Ia adalah fatwa oleh Syeikh Dr Yusof Al-Qaradawi, Syeikh Md Bakhit, Syeikh Abd Rahman Taj, Syeikh Ahmad As-Syurbashi, Keputusan Lajnah Fatwa Azhar tahun 1948 (Taysir Al-Fiqh As-Siyam, hlm 100; Fatawa Syar'iyyah, hlm 268; Yasalunaka, 5/53 dll ).

Bagaimanapun, suntikan jenis makanan ini membatalkan puasa terutama jika dilakukan secara sengaja untuk melarikan diri dari ujian keletihan lapar dahaga puasa.

6. Berkumur-kumur dan air masuk ke rongga hidung semasa wudhu

Hukumnya:

Tidak membatalkan puasa, cuma jika berlebihan berkumur ulama Syafie mengatakannya terbatal. Justeru, jauhilah berlebihan di ketika puasa adalah lebih baik.

Ia berdasarkan hadith, "Sempurnakan wudhu, basuhlah celah-celah jari jemarimu, dan lebih-lebihkan menyedut air ke hidungmu kecuali tatkala kamu berpuasa (Riwayat Abu Daud, no 142; At-Tirmidzi, 788; Al-Hakim, Sohih menurut Ibn Khuzaymah, Ibn Hibban & Al-Hakim dan dipersetujui oleh Az-Zahabi; albani; Sohih).

7. Melakukan Maksiat seperti tidak solat

Hukumnya:

Tidak batal puasa menurut majoriti mazhab dan ulama. Akan tetapi dosa maksiat itu akan ditanggung berasingan mengikut jenis maksiat, malah mungkin bertambah besar dosanya kerana mencarik kehormatan Ramadhan. Pahala puasanya pula akan terhapus.

Selain itu, ia juga mencarikkan keseluruhan tujuan berpuasa iaitu bagi melahirkan insan taqwa, beroleh keampunan dan jauh dari maksiat. (Qaradawi, hlm 104)

Nabi bersabda, "Barangsiapa sempat bertemu Ramadhan dan tidak diampun dosanya, maka semakin jauh ia dengan Allah" (Riwayat Ibn Hibban)

8. Mencium lelaki dan wanita semasa berpuasa

Hukumnya:

Mencium isteri atau suami tatkala berpuasa, tidak batal menurut majoriti ulama.

Ia berdasarkan beberapa dalil yang ertinya, "Nabi S.a.w mencium dan bermesra (dengan isterinya) dalam keadaan ia berpuasa, tetapi baginda adalah seorang yang menguasai diri dan nafsunya." (Riwayat Abu Daud, 2/311 ; Syuaib arnaout : Sohih)

Dan satu lagi adalah yang ertinya, "Kami bersama Nabi tiba-tiba didatangi oleh seorang pemuda dan bertanya: Aku berpuasa dan aku mencium isteriku, jawab nabi: Jangan; tiba-tiba datang seorang tua dan bertanya soalan yang sama: Jawab nabi: Ya ( tiada masalah); kami kami saling berpandangan antara satu sama lain, maka nabi berkata, "Aku tahu mengapa kamu saling berpandangan antara satu sama lain, sesungguhnya orang tua mampu mengawal dirinya (nafsu)." (Riwayat Ahmad dan At-Tabrani, sanad terdapat Ibn Lahi'ah yang diperkatakan tentangnya, menyebabkan hadis dianggap dhoif)

Al-Qaradawi pula menambah, "Berapa ramai orang tua zaman sekarang yang turut tidak mampu mengawal nafsunya." (Fiqh As-Siyam, hlm 106 )

Kesimpulannya, ia tidak membatalkan puasa dan ciuman sebegini tidak harus jika ia boleh membawa mudarat seperti menaikkan nafsu dan boleh membawa kepada persetubuhan di siang hari Ramadhan.

9. Wanita tamat haid

Wanita tamat haid pada waktu malam dan sempat niat pada waktu malamnya sebelum naik fajar subuh. Ia dikira sah walaupun belum mandi hadas.

Jika ia tidak sempat berniat sebelum fajar subuh, seperti belum makan dan minum apa-apa pada pagi itu, kemudian pada jam 8 pagi haidnya kering, ia tidak dikira boleh berpuasa pada hari itu kerana tiada niat bagi puasa wajib boleh dibuat selepas terbit fajar.

Demikian juga ditegaskan oleh majoriti ulama (Al-Mughni, Ibn Quddamah, 4/201)

Dalilnya adalah yang ertinya ertinya, "Barangsiapa yang tidak berniat untuk puasa sebelum fajar, tiada puasa (wajib) baginya." ( Riwayat Abu Daud, 3/108 ; Albani : Sohih )

10. Keluar air mazi

Air mazi adalah air yang keluar dari kemaluan lelaki atau perempuan kerana naik syahwat. Banyak persoalan berkenaan keluarnya air mazi semasa berpuasa, samada ia membatalkan puasa atau tidak.?

Zahir dalam mazhab Hanbali menyatakan, ia membatalkan puasa.

Bagaimanapun mazhab Hanafi, Syafie, Awzai'e, Hasan albasri, As-Sya'bi dan Imam Ahmad dalam satu pendapatnya berfatwa keluarnya air mazi tidak membatalkan puasa. Saya lebih cenderung dengan pendapat ini.

11. Keluar air mani tanpa setubuh

Mencium dan menyentuh melalui onani sehingga keluarnya mani dengan syahwat adalah membatalkan puasa dan wajib qadha, ia adalah disepakati oleh seluruh ulama.

Adapun keluarnya air mani hanya kerana berfikir lucah dan melihat dengan syahwat, ia tidaklah batal menurut sebahagian ulama termasuk mazhab Syafie, Hanafi. (Al-Mughni, 4/159)

Manakala mazhab Hanbali dan Maliki mengatakannya batal.

Walau bagaimanapun, saya lebih cenderung dengan pendapat yang mengatakannya batal kerana ia benar-benar bercanggah dengan tujuan dan maqasid puasa dalam Islam. Selain itu, ia juga adalah sama dengannya keluar mani kerana sentuhan.

Keluar air mani kerana bermimpi di siang hari Ramadhan atau kerana sakit tertentu. Sepakat ulama menyatakan ia tidak membatalkan puasa.

12. Menelan air liur dan kahak

Hukum : Ia tidak membatalkan puasa disebabkan terlalu sukarnya untukmenjaga hal seperti ini. (Al-Mughni, Ibn Quddamah, 4/159).

Manakala Kahak yang selagi ia belum sampai ke anggota mulut (sebelah hadapan lidah), iaitu masih berada pada had tekak maka tidak membatalkan puasa jika ditelan. Kerana ia masih tidak keluar daripada anggota zahir.

Kahak yang sudah sampai pada mulut, inilah yang menjadi khilaf adakah membatalkan puasa atau tidak.

Ada pendapat yang mengatakan batal dan ada pendapat yang mengatakan tidak batal. Sebahagian ulama berpendapat HARAM menelannya dengan sengaja kerana ia adalah kotoran.

Jadi, kesimpulan yang terpilih adalah kahak yang sampai ke mulut haram ditelan dan kebanyakan ulama menyatakan ia membatalkan puasa.

Manakala yang berada di bahagian pangkal lidah dan tekak, jika ditelan tidak membatalkan puasa.

13. Mandi

Tiada masalah untuk orang berpuasa mandi, ia tidak membatalkan puasa. Dalilnya adalah hadis yang menunjukkan Nabi SAW mengizinkan orang yang junub mandi selepas waktu subuh, namun mandi junub adalah wajib, bagaimana pula mandi sunat atau harian yang biasa?

Jawapnya ia tidak membatalkan puasa malah sahabat besar seperti Ibn Abbas juga pernah disebutkan mandi ketika berpuasa.

Anas bin Malik pula adakalanya merendam kepalanya di dalam batu dipenuhi air (seperti telaga) akibat bersangatan panas. (Rujuk Fath Al-bari)

Cuma puasa hanya boleh batal apabila seseorang mandi sambil mencuri minum sebagaimana yang mungkin dilakukan oleh para remaja dan lainnya, maka ia batal kerana minum dan bukan mandi itu sendiri.

14. Berniat berbuka atau membatalkan puasa sebelum waktu

Tindakan sebegini adalah membatalkan puasa menurut mazhab Syafie, Hanbali dan Hanafi. Cuma jika dengan segera seseorang itu kembali berniat dan membetulkan niatnya tadi, puasa tidak terbatal.

Justeru, seluruh individu berpuasa wajib menjaga niatnya agar tidak terpesong untuk membatalkannya.

Imam Ibn Qudamah menolak pandangan yang mengatakan tidak batal kerana ibadah itu adalah berdasarkan niat seperti solat juga yang akan terbatal jika berniat membatalkannya. (Al-Mughni, 4/175)

15. Mengosok gigi ketika berpuasa

Penggunaan ubat gigi, air atau berus gigi merupakan perkara yang dibolehkan bagi mencapai tujuan dan fokus saranan Nabi SAW iaitu kebersihan mulut dan tidak membatalkan puasa.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: zaharuddin

Friday, June 08, 2018

Apakah Hukum Menelan Air Liur Ketika Puasa?

Apakah Hukum Menelan Air Liur Ketika Puasa?

Soalan: Mengenai air liur diantara bibir dan diluar mulut, adakah jumhur ulama mengatakan batal puasa menelannya?

Apakah yang dimaksudkan dengan air liur diantara bibir? Adakah kedudukannya di celah bibir atau macam mana? Air liur yang diludah akan tertarik balik dan berkeadaan diantara bibir, pasti ianya akan masuk balik.

Harap diperjelaskan macam mana dengan hingus atau kahak? Air liur, kahak, hingus yang diludah biasanya akan masuk ke dalam hidung dalam bentuk renjisan.

Apa yang perlu dibuat?

Apakah Hukum Menelan Air Liur Ketika Puasa?

Jawapan:

Syarak telah menetapkan hukum makan dan minum pada ketika puasa adalah dilarang, maka perbuatan sengaja menelan apa-apa benda luaran juga tidak dibenarkan.

Tetapi tidak perlu dibangkitkan permasalahan-permasalahan seperti air liur atas bibir jika masuk ke dalam balik, renjisan hingus masuk hidung balik, kerana perkara-perkara ini tidak diperincikan oleh syarak.

Kerana:

Apa-apa yang syarak senyap tentangnya, maka ia adalah kemaafan.

Perkara-perkara tersebut jika hendak dijaga, pasti membawa masyaqqah.

Contohnya, jika berkumur ketika puasa, sudah pasti lebihan air kumuran akan tertinggal dalam mulut, akhirnya boleh jadi masuk dalam rongga.

Ini adalah masyaqqah yang dimaafkan.

Menimbulkan persoalan ini akan membawa kepada penyakit was-was.

Wallahu a’lam

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: abuumair

Tuesday, May 22, 2018

Apakah Hukum Makan Ubat Penahan Haid Untuk Puasa Penuh Di Bulan Ramadhan?

Apakah Hukum Makan Ubat Penahan Haid Untuk Puasa Penuh Di Bulan Ramadhan?

Bulan puasa penuh dengan keberkatan dan digandakan pahala. Semua umat Islam berebut-rebut untuk mengejar peluang mendapat syafaat di bulan mulia ini, namun perkara ini menjadi satu kekhuatiran pada golongan wanita dengan harapan tinggi untuk puasa penuh.

Apakah Hukum Makan Ubat Penahan Haid Untuk Puasa Penuh Di Bulan Ramadhan?

Tetapi, agak mustahil kerana wanita normal akan alami pusingan haid setiap bulan dan ini menyebabkan ada yang kecewa kerana tak dapat berpuasa penuh.

Mungkin ada yang terfikir untuk ambil ubat penahan haid bagi mendapatkan puasa penuh dan melakukan ibadah berterusan sepanjang bulan yang mulia ini.

Persoalannya, apakah hukumnya mengambil ubat menahan haid?

Ulama berbeza pendapat tentang hukum memakan ubat untuk menahan haid dari keluar sama ada ubat itu berbentuk pil atau cecair.

Di antara Ulama silam yang berpandangan harus mengambil ubat penahan haid adalah Imam Ahmad Bin Hanbal.

Imam Ibnu Qudamah meriwayat di dalam almughni:-

“Tidak mengapa seorang wanita minum ubat untuk memberhentikan haidnya sekiranya ubat tersebut dikenali (tidak membawa kesan negatif).”

Antara Ulama semasa yang berfatwa harus mengambil ubat penahan haid adalah imam Yusuf al Qaradhawi dan Syeikh Wahbah az zuhaili.

Imam al Qaradhawi menyebutkan fatwanya berkaitan keharusan mengambil ubat penahan haid di dalam bukunya Feqhu siyam.

Imam Qaradhawi juga menyebutkan bahawa ulama semasa yang lain juga membenarkan pengambilan ubat penahan haid.

Kata Dr Syeikh Wahbah az zuhaili:

“Perempuan ini dan seumpamanya boleh melakukan perkara (ambil pil penahan haid) ini pada Ramadan dan pada haji tetapi tidak dipaksa dan tidak mesti."

Ayat Doa Bagi Menangguh Dan Menghentikan Sementara Haid Wanita

Ayat dan doa di bawah ini bertujuan untuk menangguh dan menghentikan sementara pusingan haid kaum wanita.

Ia boleh digunakan sebagai suatu ikhtiar untuk mengatasi penyakit reproduktif wanita dan bagi kelancaran mengerjakan ibadah Ramadhan mahupun ibadah haji dan umrah.

Sekiranya memang waktu sepatutnya ‘keuzuran’ atau didatangi haid dan ingin melakukan sesuatu ibadah atau berlaku sesuatu yang tidak dapat dielakkan seperti perubahan jadual perjalanan dan flight semasa hendak menunaikan ibadah Haji dan umrah maka bolehlah diikhtiarkan membaca dan mengamalkan doa berikut:

DOA

Doa dan ikhtiar bagi menangguh dan menghentikan sementara haid wanita.

Bacaan Ayat dan Surah

Baca ayat-ayat berikut setiap satunya sekali:
  1. Ayat pertama, surah Al-Masad (Al-Lahab)
  2. Baca dari ayat 38, Surah Yaasin
  3. Baca sebahagian dari ayat 44, Surah Hud
  4. Baca sekali Surah Al-Ikhlas: Ayat 1 – 4
  5. Baca Selawat Nabi

Doa penahan dan ayat-ayat di atas boleh juga digunakan untuk menahan darah akibat luka, kemalangan, tumpah darah yang tiada henti, cirit-birit, muntah-muntah dan sebagainya.

Waktu Masa Membacanya

Doa dan ayat-ayat di atas boleh dibaca ketika:
  • Selepas kedatangan haid terakhir.
  • Sewaktu dijangka haid akan tiba.
  • Setiap kali selepas solat fardhu 5 waktu.
  • Apabila hendak berangkat ke Tanah Suci.
  • Sepanjang berada dalam ihram.

Cara Mengamalkannya:

1. Apabila selesai membaca ayat 1, 2 dan 3, tekankan lidah ke lelangit, tarik nafas dan tahan selama 5 saat sambil berdoa (mohon dihentikan sementara haid sehingga selesai ibadah haji / umrah) lalu dihembuskan ke dalam air.

2. Diteruskan membaca surah Al-Ikhlas dan ketika berhenti pada setiap hujung ayat hendaklah disebutkan niatnya dalam hati di situ; contohnya, “Ya Allah! Berhentikanlah darah ini.” Lalu ditiupkan ke dalam air.

3. Diakhiri dengan membaca Selawat Nabi lalu dihembuskan ke dalam air kemudian dibuat minum. Insya’Allah mujarab.

4. Boleh juga ditiupkan dan sapu sebanyak tiga kali pada bahagian ari-ari atau peranakan iaitu di bahagian atas dan bawah perut.

5. Bermohonlah dengan sepenuh keikhlasan hati dan bersungguh-sungguh kerana segala yang berlaku adalah dengan izin Allah ﺳﺒﺤﺎﻧﻪ ﻭﺗﻌﺎﻟﻰ .

Sekiranya Allah ﺳﺒﺤﺎﻧﻪ ﻭﺗﻌﺎﻟﻰ mengizinkan, maka kitaran haidnya akan tertangguh sehingga ke suatu masa yang dikehendaki.

Doa Penamat

Apabila telah selesai sesuatu ibadah dan tempohnya.

Bagi membuka dan untuk mengembalikannya kepada kitaran haid yang normal semula, maka bacalah doa Rasulullah SAW sepertimana terdapat dalam Surah Al-Isra’ berikut:

Allahus Somad! Bermohonlah dengan sepenuh keyakinan dan keikhlasan hati kepada Allah ﺳﺒﺤﺎﻧﻪ ﻭﺗﻌﺎﻟﻰ .

Kita hanya berusaha sedaya upaya dan bertawakal, sekiranya diamalkan dengan keyakinan yang tinggi, Insya’Allah, ianya akan mujarab.

Wallahu A’lam Bish Shawab, hanya Allah Maha Mengetahui apa yang benar.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: hijabista

Tuesday, June 20, 2017

Panduan Qada’ Puasa Dan Pembayaran Fidyah

Panduan Qada’ Puasa Dan Pembayaran Fidyah

Siapakah yang harus membayar qada’ puasa dan menunaikan fidyah? Bagaimanakah cara melaksanakannya? Semoga perkongsian ini mampu memberikan jawapannya.

Masalah puasa dan fidyah

Yang dimaksud dengan qada’ adalah mengerjakan suatu ibadah yang memiliki batasan waktu di luar waktunya. Jadi, siapa yang terkena Qada’ puasa dan masalah tentang pembayaran fidyah?

Qada' Puasa dan Fidyah Yang Dikenakan

1. Orang yang meninggalkan puasa Ramadhan kerana uzur syar’ie (musafir, haid atau nifas atau wiladah), sakit yang ada harapan sembuh.

Denda:
  • Wajib Qada’ puasa.
  • Sekiranya hingga datang Ramadhan berikutnya dia tidak ‘menggantikan puasanya, maka wajib dia Qada’ puasa dan membayar Fidyah.

2. Orang sakit yang tiada kemungkinan atau harapan untuk sembuh yang disahkan oleh doktor tidak boleh berpuasa.

Denda:
  • Tidak wajib Qada’ puasa.
  • Wajib bayar Fidyah pada tahun tersebut.

3. Ibu hamil atau yang masih menyusui anaknya yang tidak berpuasa di bulan Ramadhan dengan sebab, bimbang akan kesihatan dirinya sahaja atau bimbang akan kesihatan dirinya dan janinnya/anaknya.

Denda:
  • Wajib Qada’ puasa.
  • Tidak wajib bayar Fidyah.
  • Sekiranya hingga datang Ramadhan berikutnya dia tidak ‘menggantikan puasanya, maka wajib dia Qada’ puasa dan membayar Fidyah.

4. Ibu hamil atau yang masih menyusui anaknya yang tidak berpuasa di bulan Ramadhan dengan sebab bimbang akan kesihatan janinnya, anaknya sahaja.

Denda:
  • Wajib Qada’ puasa.
  • Wajib bayar Fidyah.

5. Orang yang telah meninggal dunia dan tidak sempat menggantikan puasanya.

Denda:

  • Tanggungjawab membayar fidyah si mati dilaksanakan oleh waris-warisnya mengikut bilangan hari yang ditinggalkan

Hukum fidyah

Hukum membayar fidyah adalah wajib. Ia wajib disempurnakan mengikut bilangan hari yang ditinggalkan. Ia juga menjadi satu tanggungan (hutang) kepada Allah SWT sekiranya tidak dilaksanakan.

Namun, dengan membayar fidyah tidak bermakna seseorang itu tidak perlu menggantikan puasa yang wajib diganti mengikut bilangan hari ditinggalkan (bagi) yang mampu).

Kadar Fidyah

Jika seseorang meninggalkan puasa selama tiga hari dan tidak menggantikan puasanya sehingga tiga kali bulan Ramadhan, maka kadar fidyahnya ialah: Harga semasa secupak beras (675 gram) x tiga hari x tiga tahun. *sila rujuk kadar semasa fidyah.

Hasil kutipan fidyah akan disalurkan kepada golongan fakir atau miskin sahaja.

Fidyah boleh dibayar di cawangan pusat zakat atau amil bertauliah menggunakan WANG TUNAI sebelum tiba Ramadhan tahun berikutnya bagi mengelakkan gandaan puasa.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Adakah Batal Puasa Pesakit Mengambil Ubat Yang Diletakkan Di bawah Lidah?

sumber: maij