Monday, July 17, 2017

Sejarah Bagaimana Proton Saga Mendapat Nama

Sejarah Bagaimana Proton Saga Mendapat Nama

Proton Saga adalah model pertama kereta yang dilahirkan oleh PROTON, syarikat automatif pertama Malaysia dan mungkin ramai generasi baru belum tahu asal-usul bagaimana nama SAGA ini mendapat nama.

Proton saga

Proton Saga telah dilancarkan pada 1 September 1985 oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Mahathir Mohamad.

Beberapa bulan sebelum pelancarannya, rakyat Malaysia telah dipelawa menyertai pertandingan untuk memilih nama kereta kebangsaan pertama negara.

Pertandingan ini telah menarik penyertaan sebanyak 102,823 orang.

Sebanyak 334 nama dicadangkan dan daripada jumlah itu, hanya tiga nama yang dipilih ke peringkat akhir iaitu SAGA, PERDANA dan GAGAH.

Daripada ketiga-tiga nama itu, akhirnya nama SAGA dipilih sebagai pemenang.

Ketika pertandingan itu, ada 11 nama yang menghantar nama SAGA, namun tuah memihak kepada Sarjan Ismail Jaafar yang ketika itu bertugas di Markas Tentera Dua Divisyen, Pulau Pinang.

Apa sebenarnya maksud SAGA?

Mesti ramai yang akan menjawab ia merujuk kepada biji benih berwarna merah yang mudah didapati di Malaysia kan?

Sebenarnya, itu bukan maksud perkataan SAGA yang diilhamkan oleh Ismail.

Perkataan SAGA bukan bermaksud biji benih tetapi adalah akronim yang terbentuk daripada frasa yang diilhamkan oleh Ismail.

Begini kisahnya.

Suatu hari, Ismail sedang bermain permainan Scrabble dengan rakan-rakan sekerjanya.

Ketika itu, dia membuat frasa SAGA, yang kalau dalam bahasa Inggerisnya bermaksud 'a long and complicated story', 'a tale' dan beberapa maksud lain lagi.

Ketika itu, Ismail mendapat idea untuk menterjemahkan frasa SAGA kepada definisi baru yang mewakili setiap huruf tersebut.

S = Safety, Stability (keselamatan, kestabilan)
A = Achivement (pencapaian)
G = Greatness (keagungan)
A = Ability (kebolehan)

Jadi, sebenarnya SAGA asalnya daripada perkataan bahasa Inggeris.

Dan begitulah cerita asal-usul nama Proton SAGA yang kemudian dinamakan sempena kereta nasional pertama Malaysia.

Semoga mendapat manfaat.

BACA INI JUGA: 10 Kereta Yang Menjadi Kegemaran Pencuri Kereta di Malaysia

-SENTIASAPANAS.COM

Tuesday, February 07, 2017

Proton Bakal Dijual Kepada Syarikat Pembuat Kereta China?

Proton Bakal Dijual Kepada Syarikat Pembuat Kereta China?

Sindrom menjual kepada China nampaknya berterusan lagi walaupun setelah sekian banyak diserahkah kepada negara tersebut.

Proton

Kini, rakyat Malaysia dikejutkan lagi dengan berita syarikat kereta nasional, Proton juga bakal dijual kepada syarikat dari China.

Syarikat pembuat kereta China, Geely, dilaporkan akan membeli 51 peratus pegangan dalam kilang pembuatan Proton di Tanjung Malim yang sebelum ini menjadi kebanggaan negara kerana kemampuan membinanya tanpa berhutang dengan sesiapa.

Dengan kata lain, kilang itu dibina dengan wang tunai milik Proton sendiri.

Mahu tidak mahu dan walaupun cuba disembunyikan, hakikatnya inilah satu lagi bahana 1MDB yang menimpa kita.

Disebabkan hutang yang terlalu tinggi, tidak mampu membayarnya serta terdesak ingin mengambusnya sebelum tiba tarikh pilihanraya, maka cara mudahnya ialah dengan pemimpin kita menukar gelaran mereka lebih kepada "jurujual".

Sebab itulah, berita mengenai Proton ini tidak akan ditemui dalam Utusan dan TV3 sebab kalau boleh biar orang kampung dan makcik Felda tidak tahu apa-apa mengenai penjualan proton kepada China.

Apabila China sudah menguasai 51 peratus pemilikan Proton, apakah nasib vendor-vendor Bumiputera yang selama ini "cari makan" di situ?

Mampukah mereka terus bersaing dengan vendor-vendor daripada China yang tentu lebih murah harganya?

Adakah juga kilang itu nanti, daripada memasang dan mengeluarkan model kereta sendiri, akan bertukar menjadi tempat untuk hanya pasang pintu, bonet, cermin dan lain-lain model Geely daripada China?

Maka, apa akan jadi kepada Proton akhirnya?

BACA INI JUGA: Siapa Sebenarnya Dalang Punca Proton Bermasalah?

Sumber: shahbudin

Sunday, January 19, 2014

Lebih 'Sporty', Proton Suprima S Super Premium Dilancar

Lebih 'Sporty', Proton Suprima S Super Premium Dilancar

Proton Holdings Bhd (Proton) semalam, melancarkan varian baharu Proton Suprima yang diberi nama Suprima S Super Premium, yang menampilkan ciri-ciri lebih ‘sporty’ berbanding varian terdahulu.

Suprima S Super Premium

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Proton Datuk Lukman Ibrahim berkata varian ketiga yang menampilkan dua warna iaitu ‘Fire Red’ dan ‘Solid White’ itu dijual pada harga RM87,929.45.

“Suprima S Super Premium yang merupakan produk terbaik Proton, dilengkapi pelbagai ciri yang lebih komprehensif dari segi pencapaian, gaya, keselamatan, pemanduan dinamik dan canggih,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran varian tersebut di Karnival Jualan Proton di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka, di sini hari ini.

Beliau berkata Suprima S Super Premium dilengkapi rim ‘sporty’ 17 inci, kerusi kulit dan body kit R3 dan enjin 1.6 liter turbo tujuh kelajuan serta ciri pemanduan dan pengendalian Lotus yang dinamik.

Katanya Proton Suprima S Super Premium turut dilengkapi Teknologi HPF (Hot Press Forming) yang memberi perlindungan yang lebih baik, enam beg udara selain dianugerah penarafan keselamatan lima bintang Program Penilaian Kereta Baharu Australiasia (ANCAP).

(Baca: Video Iklan Tayar Yang Sangat Menakutkan!)

Lukman berkata dengan pelancaran varian terbaharu itu, pembeli tidak perlu membuat ubah suai pada kereta mereka untuk memiliki kenderaan yang lebih sporty dan memberi nilai pulangan yang lebih berbanding varian sebelumnya.

Beliau berkata Proton menyasarkan untuk menjual 750 unit varian itu setiap bulan, sama seperti dua varian terdahulu iaitu ‘executive’ yang dijual pada harga RM76,338 dan premium RM79,638.

“Kita telah berjaya menjual lebih 2,000 unit varian ‘executive’ dan premium sejak dilancarkan pada Ogos tahun lepas,” katanya.

Diskaun RM1,888 diberikan kepada pembeli yang membuat tempahan pada Karnival Jualan Proton yang berlangsung selama tiga hari bermula semalam, dan pengunjung boleh memandu uji varian terbaharu itu di karnival tersebut. Sumber: BERNAMA

Proton Suprima S Super Premium
Proton Suprima S Super Premium
Proton Suprima S Super Premium
Proton Suprima S Super Premium
Proton Suprima S Super Premium
Proton Suprima S Super Premium