Tuesday, November 01, 2022

Melawan Kejahatan Perasuah Melalui Peti Undi!

Melawan Kejahatan Perasuah Melalui Peti Undi!

Suara reformasi bukan sekadar protes kebangkitan rakyat yang kelaparan, sebaliknya citra kebangkitan rakyat menentang wakil rakyat yang korup dan malangnya kemiskinan menjadi hiasan sebahagian besar negara Islam di dunia.

Rasuah di Malaysia

Misalnya, Indonesia yang kaya dengan penduduk - lebih 300 juta - tapi kemiskinan merantai 80 peratus daripada warganya. Korupsi, salah guna kuasa dan penindasan tidak banyak berubah berbanding era Sukarno yang memerintah sejak 1945 sehingga 1967.

Perjuangan reformasi memuncak pada 1998 apabila Indonesia gagal mengawal ekonomi dan kemiskinan. Jakarta gagal melunaskan hutang Tabung Kewangan Antarabangsa sehingga memaksa Suharto meletak jawatan.

Ekonomi merudum dan rakyat bangkit di jalanan menuntut keadilan serta kehidupan yang lebih baik. Kerajaan kerap bertukar pimpinan namun Indonesia - sehingga awal 2000 - masih keliru tentang kedaulatan dan kemanusiaan.

Rasuah Musuh No 1 Negara

Suara reformasi bukan sekadar protes kebangkitan rakyat yang kelaparan, sebaliknya citra kebangkitan rakyat menentang wakil rakyat yang korup, dengan pemerintah yang sekadar mengenyangkan peribadi.

Rakyat memberontak kerana mereka diperbodohkan oleh wakil rakyat masing-masing. Rakyat keliru kerana pemimpin yang mereka pilih akhirnya tidak mengenal orang yang mengangkat mereka ke jawatan berkenaan.

Kejahatan koruptor mempunyai kesan yang besar. Bukan sekadar pelaku yang menerima kesan dosa daripada perbuatan rasuah, juga kesulitan buat rakyat terbanyak.

Generasi terkemudian bakal menerima kesan daripada pimpinan korup yang disalah pilih oleh rakyat menerusi peti undi.

Rasuah, salah guna kuasa dan penindasan berlaku secara terbuka ketika rakyat kelaparan. Kronisme dan korupsi - istilah yang dulunya tabu - kini diperkatakan secara meluas bukan sahaja di Indonesia, juga di Malaysia.

Melawan Penyeluk Saku

Selepas 20 tahun reformasi 1998 berlalu, akhirnya berlaku pertukaran kerajaan daripada kleptokrat kepada kerajaan pilihan rakyat secara demokratik pada Mei 2018.

Malangnya demokrasi Malaysia yang masih muda tidak tahan ujian suapan wang dan kuasa apabila 22 bulan kemudian rakyat 'dipaksa' menerima pertukaran kerajaan melalui pembelotan dan transaksi habuan.

Ia berlaku tanpa sedikit pun rasa malu pada wajah-wajah wakil rakyat yang menjadi pengkhianat.

Di sebalik propaganda murahan mengenai 'kegagalan' kerajaan pilihan rakyat itu, tempoh 22 bulan berkenaan sebenarnya waktu untuk orang ramai menyaksikan pendedahan pelbagai kejahatan yang sebelum itu diselindungkan.

Kleptokrat menubuhkan syarikat menggunakan dana negara untuk mengaut keuntungan peribadi berbilion ringgit, misalnya. Juga mengenai yayasan 'kebajikan' yang luar biasa apabila kewujudannya seumpama bunian - ada pada nama, misteri pada mata.

Hari ini menentang kejahatan bukan sekadar perjuangan melawan penyeluk saku di pasar Chow Kit. Ia adalah tentang menolak kejahatan yang membudaya dan menjadi sebahagian daripada cara hidup.

Pelbagai peringkat terkait dengan isu rasuah walaupun kadar penerimaan berbeza.

Rakyat berdepan dengan 'penyamun' yang sama sekali berbeza daripada apa yang tergambar dalam filem Ali Baba Bujang Lapok. Penyamun kini adalah golongan yang kelihatan hebat serta suci.

Pilihlah wakil yang merakyat, bukannya tukang lawak, kaki carut, pedagang agama, anarkis dan yang seumpamanya. Apa lagi koruptor yang berselindung di sebalik agama dan bangsa.

Elak golongan yang mendirikan kilang dalil untuk menghukum orang lain seolah-olah diri mereka maksum dan terjamin ke syurga tanpa hisab. Jangan dipilih calon yang bermain banyak kolam dan memperguna agama untuk menghukum.

Setiap parti dan pakatan politik ada kekuatan dan kelemahan. Rakyat berhak memilih yang terbaik daripada sekian banyak mudarat yang timbul.

"Melawan Rasuah Adalah Menentang Kejahatan"

Slogan ini perlu jadi prinsip dalam kehidupan manusiawi. Slogan ini tidak muncul sendiri. Amalan rasuah sudah lama wujud dengan tamadun dunia.

Amalan rasuah bukan sahaja dalam kalangan pedagang bahkan penguasa politik untuk mencari dan mengekalkan kuasa. Melawan rasuah adalah menentang kejahatan.

Pengundi wajib tahu jika perasuah diberi peluang berkuasa semula, mereka akan menggunakan rasuah untuk menentang kebenaran yang sepatutnya menjadi milik rakyat.

Belum berkuasa pun sudah ada cadangan untuk menukar ketua hakim negara, peguam negara dan membebaskan tuduhan rasuah terhadap beberapa tokoh yang terpalit skandal. Ada juga yang bincang pengampunan diraja buat 'Mat Sakau' yang baru dua bulan dalam penjara. Bayangkan jika rakyat salah memilih!

Ingat: melawan rasuah adalah menentang kejahatan. Parti politik yang menentang perasuah wajar bersatu dan ketepikan ego peribadi.

Perpecahan dalam kalangan penentang rasuah akan memberi manfaat kepada perasuah itu sendiri. Jika tidak bersatu perasuah akan berkuasa dan meneruskan tradisi rasuah untuk dulu, kini dan selamanya.

Jom, kita lawan perasuah melalui peti undi!!

BACA INI JUGA:
sumber: (1)

Tuesday, August 16, 2022

Kisah Ngeri Skandal Projek RM6 Bilion LCS

Kisah Ngeri Skandal Projek RM6 Bilion LCS

Sejurus selepas laporan PAC mengenai Kapal Tempur Pesisir (LCS) dibentangkan, seorang rakan wartawan telah menghantar mesej kepada saya, bertanya "Apakah perasaan anda?" Saya jawab: "𝐌𝐞𝐧𝐲𝐞𝐝𝐢𝐡𝐤𝐚𝐧".

RASUAH LCS

Kami telah mengadakan 10 prosiding, dengan satu lawatan tapak ke limbungan kapal BNS di Lumut dan memanggil 21 orang saksi.

Akhirnya, sebuah Laporan dengan 247 muka surat, berserta dengan dengan penyata hansard sebanyak 489 muka surat, dan 192 muka slaid telah dibentangkan sebagai laporan penuh.

PAC memutuskan untuk melawat limbungan kapal BNS selepas menerima keterangan dari KSU MINDEF, saksi dari BNS dan bekas Menteri Pertahanan DS Zahid Hamidi.

𝐋𝐚𝐰𝐚𝐭𝐚𝐧 𝐓𝐚𝐩𝐚𝐤 @ 𝟏𝟏/𝟏𝟐/𝟐𝟎𝟐𝟏

Kami tiba di limbungan kapal pada jam 9 pagi, 11 Disember 2021. Prosiding bermula pada jam 9.05 pagi dengan kehadiran saksi dari MINDEF, Tentera Laut, BHIC, dan BNS.

Untuk dinamakan, tiga orang saksi penting turut hadir bersama iaitu Ketua Pegawai Eksekutif BHIC, Sharifuddin Md Zaini, Pengarah Projek LCS BNS Kepten (B) Ir Azhar Jumaat dan bekas Ketua Pasukan Projek Tentera Laut, Lak. Muda Datuk Ir. Mohd Saiful.

Prosiding berlangsung selama 3 jam, berakhir pada 12.01 tengahari dan semua orang beredar untuk ke lawatan tapak.

𝐆𝐮𝐝𝐚𝐧𝐠 𝐒𝐢𝐦𝐩𝐚𝐧𝐚𝐧

PAC dibawa untuk melawat gudang simpanan. Terdapat sejumlah 13 gudang simpanan yang menyimpan perkakasan yang berkaitan dengan projek LCS ini.

5 secara khusus untuk perkakasan LCS dan 8 lagi digunakan sebagai Gudang Simpanan Am BNS yang mengandungi campuran perkakasan untuk LCS dan barang-barang lain.

Kami melawat beberapa gudang simpanan. Terdapat perkakasan persenjataan, bahagian-bahagian untuk tujuan pembinaan kapal, dan barang-barang lain.

Apa yang menonjol adalah beberapa bungkusan TV Pintar, untuk tujuan kegunaan LCS, disimpan di stor ini. Kita semua tahu yang TV Pintar ini tidak lagi pintar selepas beberapa tahun.

Saya tidak pasti mengenai yang lain, terutama mengenai bahagian dan perkakasan yang melibatkan teknologi kapal tempur.

Kami menyemak dan mendapati banyak perkakasan dan barangan ini dibeli pada tahun 2013, 2014, dan 2015.

Persoalan timbul sama ada barang-barang ini masih cukup "pintar" untuk kegunaan masa sekarang apabila mengambil kira kemajuan teknologi terkini.

Kami dimaklumkan nilai barangan dalam simpanan ini adalah RM1,757,791,266.02.

Saya bertanya kepada BNS, berapa banyak daripada barangan ini boleh dikira usang dan jawapan dianggarkan pada kira-kira 15%. Bermakna kerugian sebanyak kira-kira RM263,668,689.90.

Adakah semua perkakasan ini telah dibayar oleh BNS? Tidak. Bukan semuanya telah dibayar.

Kerana ini kita boleh baca mengenai hutang besar BNS kepada pengeluar asal (OEM) yang telah menyebabkan arahan henti kerja dan henti bekalan.

𝐓𝐚𝐩𝐚𝐤 𝐏𝐞𝐦𝐛𝐢𝐧𝐚𝐚𝐧

Kami kemudiannya dibawa untuk melawat LCS1 di tapak pembinaanya. Melihat kapal ini, seseorang mungkin tidak pasti sama ada ia adalah kapal yang sama yang "dilancarkan" pada tahun 2017, tetapi kami tahu ia adalah kapal yang sama. Sudah tentu sekali, tiang utama kapal yang dipertikaikan itu sudah tidak ada.

Kami naik ke blok utama, untuk melihat tahap kemajuan proses pembinaan. MINDEF memaklumkan PAC yang kadar kemajuan proses pembinaan LCS1 pada tahap 44%.

Kami meluangkan masa kira-kira satu jam dalam LCS1 dan kemudiannya pulang ke bas. Bas ini membawa kami ke seluruh tapak pembinaan untuk LCS1 hingga ke LCS5.

Sudah tidak ada pekerja di tapak pembinaan ini, baik tempatan atau pekerja asing dan sudah tidak ada kerja yang berjalan. Kosong, segalanya terhenti.

Perkara ini amat menyedihkan memandangkan kita semua tahu yang RM6 billion telah pun dibelanjakan. Habis.

𝐒𝐮𝐝𝐚𝐡 𝐓𝐢𝐝𝐚𝐤 𝐀𝐝𝐚 𝐖𝐚𝐧𝐠

Dalam mesyuarat sebelum ini, kami dimaklumkan bahawa kedudukan kewangan BNS berada dalam keadaan yang buruk kerana salah tadbir urus dalam syarikat ini.

Ahli PAC, YB Wong Shu Qi bertanya sama ada semua RM6 billion telah dibelanjakan oleh BNS.

Ketua Pegawai Eksekutif BHIC, Sharifuddin mengakui, "Memang duit kita sudah habis. Company memang tidak ada duit dan memang akan lingkup pun besok silap-silap."

Gaji pekerja dipotong sejak Oktober 2020, caruman KWSP tidak dibayar sejak Mei 2021.

BNS memang bergantung kepada kerja kecil-kecilan seperti kerja pembaikan untuk TLDM untuk terus bertahan. (Hal 49 Hansard)

Sharifuddin mengatakan lagi kepada PAC, sekiranya BNS tidak ada lagi, Boustead Holdings dan LTAT akan terkesan teruk.

Sektor Perladangan, Pharmaniaga, Boustead Properties dan Boustead Hotels semua akan terkesan.

Perkara ini berkemungkinan menyebabkan LTAT untuk kehilangan sehingga 46% saiz dananya. (Hal 52 Hansard)

𝐌𝐞𝐧𝐲𝐞𝐝𝐢𝐡𝐤𝐚𝐧

Perkara ini amatlah menyedihkan dan mengecewakan. Perkara pertama yang terlintas dalam fikiran saya adalah, bagaimana sebuah syarikat yang mendapat kontrak bernilai RM9 billion dari Kerajaan jadi sampai tahap sebegini?

Perkara ini pastinya melibatkan lebih dari salah urus. Pastinya ada perkara lain selain dari pengurusan yang lemah. Ada perkara yang amat tidak kena dengan mereka yang memegang kuasa dan mereka yang mendapat kontrak ini.

Saya harap Laporan PAC mengenai LCS ini dapat membantu negara, dengan menjadi rujukan tentang cara bagaimana proses perolehan pertahanan negara TIDAK sepatutnya dilakukan dan bagaimana kuasa dan proses TIDAK patut disalahguna.

Kisah ngeri dalam keseluruhan Projek LCS ini patut menjadi pengajaran kepada semua yang memegang kuasa, baik pada masa sekarang, mahupun pada masa hadapan.

Nota: 𝐏𝐀𝐂 𝐭𝐢𝐝𝐚𝐤 𝐦𝐞𝐦𝐛𝐮𝐚𝐭 𝐋𝐚𝐩𝐨𝐫𝐚𝐧 𝐦𝐞𝐧𝐠𝐢𝐤𝐮𝐭 𝐩𝐞𝐫𝐚𝐬𝐚𝐚𝐧 atau tuduhan. 𝐏𝐀𝐂 𝐦𝐞𝐦𝐛𝐮𝐚𝐭 𝐋𝐚𝐩𝐨𝐫𝐚𝐧 𝐦𝐞𝐧𝐠𝐢𝐤𝐮𝐭 𝐤𝐞𝐭𝐞𝐫𝐚𝐧𝐠𝐚𝐧 𝐬𝐚𝐤𝐬𝐢, 𝐛𝐮𝐤𝐚𝐧 𝐛𝐞𝐫𝐠𝐚𝐧𝐭𝐮𝐧𝐠 𝐤𝐞𝐩𝐚𝐝𝐚 𝐬𝐞𝐨𝐫𝐚𝐧𝐠 𝐝𝐮𝐚 𝐬𝐚𝐡𝐚𝐣𝐚 𝐭𝐞𝐭𝐚𝐩𝐢 𝐛𝐞𝐫𝐩𝐚𝐧𝐝𝐮𝐤𝐚𝐧 𝐤𝐞𝐩𝐚𝐝𝐚 𝐤𝐞𝐭𝐞𝐫𝐚𝐧𝐠𝐚𝐧 𝐲𝐚𝐧𝐠 𝐝𝐢𝐚𝐦𝐛𝐢𝐥 𝐬𝐞𝐩𝐚𝐧𝐣𝐚𝐧𝐠 𝐩𝐫𝐨𝐬𝐢𝐝𝐢𝐧𝐠. Bagi isu LCS, 10 prosiding dan 21 orang saksi. Inilah bagaimana PAC mencapai rumusan yang dibentangkan.

WONG KAH WOH
Pengerusi PAC
12.08.2022

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: (1)

Wednesday, August 10, 2022

Skandal Kapal Tempur Malaysia (LCS), RM6 Bilion Lesap!?

Skandal Kapal Tempur Malaysia (LCS), RM6 Bilion Lesap!?

Projek LCS atau Kapal Tempur Pesisir Malaysia, adalah kontrak RM9 bilion untuk mendapatkan enam kapal bagi kegunaan tentera laut, yang dimulakan pada 2011, tetapi setakat Ogos 2022, tiada kapal LCS telah disiapkan, walaupun kerajaan Malaysia telah membayar RM6 bilion untuk projek tersebut. Projek tersebut digantung pada 2019 dan disambung semula pada 2022.

Skandal Kapal Tempur Pesisir Malaysia

Kapal pertama sepatutnya dihantar pada 2019 tetapi kini jangkaannya adalah kapal pertama mungkin hanya akan dihantar menjelang 2024.

Skandal tersebut didedahkan berikutan siasatan oleh Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Parlimen Malaysia pada Ogos 2022.

Laporan jawatankuasa itu mendedahkan bahawa projek itu telah diberikan kepada Boustead Naval Shipyard (BNS) melalui rundingan terus dan syarikat itu dibayar RM6 bilion oleh kerajaan, tetapi tiada kapal dihantar.

Laporan itu juga mendedahkan bahawa syarikat itu telah menggunakan wang itu untuk membeli peralatan daripada pengeluar peralatan asal, menyebabkan kos pembelian meningkat berlipat kali ganda.

PENIPU AMATUR

Paling menjengkelkan, Menteri Pertahanan, Hishammuddin Hussein menerima kecaman berikutan kenyataannya bahawa Kapal Tempur Pesisir (LCS) pertama akan diperoleh dalam tempoh dua tahun lagi, pada tahun 2024.

Yang peliknya, semasa bertugas sebagai menteri pertahanan kali pertama pada 2017, dia mengumumkan ketibaan kapal LCS yang pertama ketika itu.

Pada 2017, Hishammuddin memaparkan gambar yang dikatakan sebagai LCS 1 Maharajalela di Twitter dan mengalu-alukan perolehannya ke dalam armada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Ia kini didedahkan bahawa kapal-kapal tersebut sebenarnya tidak pernah disiapkan!

Atau mungkin kapal yang disambut Hishamuddin direka menggunakan teknologi siluman, yang membolehkan ia ghaib daripada penglihatan dan mengelak dikesan radar.

RM6 Bilion Kena Songlap

Skandal LCS

Kira-kira RM6 bilion telah dibelanjakan untuk projek itu, namun tidak ada satu kapal pun yang telah disiapkan.

PAC antara lain mendapati Kementerian Pertahanan dan syarikat Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) tidak mengendahkan pandangan TLDM dalam perolehan kapal LCS.

Ini menyebabkan lebihan kos berjumlah RM1.4 bilion dalam kontrak RM9 bilion yang diberikan pada 2011.

PAC juga mendapati kementerian pertahanan pada mulanya memilih reka bentuk jenis Sigma untuk LCS pada Mei 2011, tetapi dua bulan kemudian menukarnya kepada reka bentuk jenis Gowind, daripada pengeluar kapal selam Scorpene Perancis yang sama, sekali gus bercanggah dengan nasihat TLDM.

Keputusan untuk menukar reka bentuk itu dibuat oleh menteri pertahanan ketika itu Ahmad Zahid Hamidi, atas cadangan BNS.

PAC mendapati pelbagai keputusan lain yang dibuat oleh BNS meningkatkan lagi kos, dengan hutang BNS semakin bertimbun.

Malah PAC berkata, sehingga kini reka bentuk terpeinci LCS masih belum dimuktamadkan kerajaan dan BNS, menyebabkan pengeluaran perintah variasi (VO) secara berterusan dan terdedah kepada peluang manipulasi (baca: peluang menyamun duit rakyat).

PAC juga mendapati sebahagian daripada bayaran yang dibuat tidak digunakan dalam perolehan LCS tetapi RM400 juta digunakan oleh BNS untuk menyelesaikan hutang lapuk sebuah lagi projek lama iaitu Kapal Peronda Generasi Baru (NGPV).

GIGIT SAMPI TULANG

Perolehan kapal tempur pesisir (LCS) naik tiga kali ganda kerana kontrak berlapis-lapis, kata Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli.

Katanya, kerajaan melantik Boustead Naval Shipyard (BNS), BNS melantik subkontraktor Contraves Advanced Devices Sdn Bhd (CAD), CAD melantik Contraves Electrodynamics Sdn Bhd (CED) dan CED melantik syarikat Perancis DCNS.

Siasatan menunjukkan dua pakej yang dimuktamadkan pada harga RM1.185 bilion dengan kerajaan Malaysia, sedangkan surat lantikan dari CED (subkontraktor lapis kedua) kepada DCNS meletakkan kos sebanyak RM397 juta sahaja.

"Maknanya, bagi kerja-kerja yang akan diinvois oleh DCNS kepada CED sebanyak RM397 juta, tuntutan dari sub-kontraktor CED dan CAD kepada kerajaan Malaysia (melalui BNS) adalah tiga kali ganda lebih mahal," katanya.

Laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) pada 4 Ogos 2022 yang lalu mendedahkan, kerajaan sudah membayar RM6 bilion walaupun tiada satu pun kapal yang siap.

Laporan itu juga mengatakan pandangan panglima tentera laut sebagai penguna akhir kapal itu tidak diendahkan oleh Kementerian Pertahanan dan kontraktor utama BNS.

Projek membina enam kapal tempur pesisir (LCS) telah dianugerahkan kepada anak syarikat Boustead Heavy Industries Corp Bhd (BHIC) pada tahun 2011.

Projek itu telah dibelenggu dengan lebihan kos dan kelewatan, tanpa satu kapal dihantar setakat Ogos 2022.

Perbincangan mengenai pesanan variasi projek dan kos tambahan menjadi tumpuan berikutan pertukaran kerajaan kepada Pakatan Harapan pada 2018. Projek itu digantung pada tahun berikutnya, sementara menunggu hasil rundingan.

Pada Oktober 2019, menteri pertahanan ketika itu, Mohamad Sabu, memberitahu Dewan Rakyat bahawa projek itu telah siap 55.7% pada suku ketiga 2019, berbanding sasaran siapnya sebanyak 78%.

Dengan itu, kapal pertama dijangka akan dihantar tiga tahun kemudian daripada tarikh akhir April 2019.

Selain itu, turut didedahkan bahawa nilai kontrak projek itu mencecah kira-kira RM9.13 bilion dan kos tambahan untuk menyiapkan kesemua enam kapal berjumlah RM1.4 bilion atau RM10.63 bilion secara keseluruhan.

Pada Ogos 2020, menteri kanan (pertahanan) ketika itu Ismail Sabri Yaakob memberitahu Dewan Rakyat tentang rancangan untuk mengehadkan kos projek pada RM9 bilion, tetapi untuk dua kapal sahaja, yang akan dilakukan sama ada oleh BNS atau syarikat lain.

Sementara itu, Boustead Holdings Bhd (BHB) mengemukakan cadangan kepada kerajaan, yang dibentangkan pada mesyuarat kabinet pada Mei 2021.

Pada Mac 2022, kerajaan yang bukan dipilih oleh rakyat memutuskan untuk meneruskan projek itu.

UNTUNG ATAS ANGIN, PROJEK ALIBABA

Laporan PAC Parlimen pada 4 Ogos 2022 telah mendapati bahawa kontrak projek LCS telah dianugerahkan kepada syarikat Boustead Naval Shipyard (BNS) melalui rundingan terus.

Kerajaan telah membayar sejumlah RM6.083 bilion bagi projek LCS, tetapi tiada kapal LCS telah disiapkan.

Syarikat BNS telah melantik Contravest Advanced Devices dan Contravest Electrodynamics Devices untuk membeli peralatan daripada Pengeluar Peralatan Asal, yang telah menyebabkan kos pembelian meningkat berlipat kali ganda.

Syarat kontrak pula adalah lemah dan tidak memihak kepada kerajaan. Bayaran yang diterima daripada kerajaan oleh BNS tidak digunakan sepenuhnya untuk projek LCS, menyebabkan BNS menghadapi lebihan kos.

Peralatan yang disimpan dalam simpanan untuk projek LCS dianggarkan berjumlah RM1.7 bilion dan dianggarkan 15% sudah usang.

Laporan PAC turut mendedahkan bahawa LCS pertama, LCS kelas Maharaja Lela, yang dilancarkan pada 2017 sebenarnya belum siap. Kapal itu hanya 44% siap pada masa pelancaran.

Majlis penamaan dan pelancaran kapal itu hanyalah sekadar pertunjukan dan kos tambahan tiang yang dipasang pada LCS 1 semasa majlis itu adalah berjumlah RM400,000.

PAC Parlimen juga telah mengesyorkan Kementerian Pertahanan menyahklasifikasi laporan Jawatankuasa Khas Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) mengenai perolehan enam buah Second Generation Patrol Vessel (SGPV), berkeupayaan LCS Tentera Laut Diraja Malaysia dan insiden pemilihan reka bentuk kapal LCS berubah daripada SIGMA kepada GOWIND dijadikan iktibar bagi perolehan akan datang.

PAC juga telah mengesyorkan Kementerian Pertahanan membentangkan pelan perolehan kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Pertahanan dan Keselamatan dari semasa ke semasa dan supaya pentadbiran kontrak kerajaan diperkemas untuk meminimumkan Arahan Perubahan Kerja (variation order).

MALAYSIA NEGARA RASUAH TERSOHOR DUNIA

Rasuah LCS

Menurut menteri pertahanan pada Ogos 2022, Hishamuddin Hussein, kerajaan Malaysia sedang menyiasat kemungkinan rasuah dalam projek membina kapal untuk tentera laut negara.

Kerajaan telah menubuhkan jawatankuasa pentadbiran khas untuk memantau dengan teliti keadaan dan melaporkan segala perkembangan kepada Kabinet.

Menurut timbalan presiden PKR, Rafizi Ramli, dipercayai RM890 juta telah diseleweng daripada projek itu melalui penipuan, pemindahan wang kepada pihak dengan tujuan untuk menipu kontrak, kontrak pendua dan penyelewengan lain.

Tambahnya, Menteri Pertahanan pada masa projek itu dianugerahkan dan Menteri Pertahanan pada masa kontrak akhir ditandatangani kedua-duanya telah dimaklumkan mengenai penyelewengan itu tetapi tidak mengambil sebarang tindakan. Beliau berkata skandal ini penting kerana ia melibatkan penyelewengan dana awam dan pengabaian pertahanan negara.

Rafizi turut mendedahkan bahawa pada tahun 2012, kerajaan Malaysia telah memberi kontrak Boustead Naval Shipyard (BNS) untuk membina dua kapal.

BNS kemudiannya melantik Contraves Advanced Devices Sdn Bhd (CAD) sebagai subkontraktor untuk membantu pembinaan.

CAD kemudiannya melantik syarikat bersekutunya, Contraves Electrodynamics Sdn Bhd (CED), sebagai sub-subkontraktor. CED kemudiannya membuat kontrak dengan DCNS, syarikat yang pada asalnya sepatutnya menjadi kontraktor utama, untuk membekalkan bahan dan kepakaran untuk pembinaan.

Masalahnya ialah, CED hanya membayar DCNS RM397 juta untuk kerja itu, walaupun kerajaan Malaysia membayar CED RM1.185 bilion. Ini bermakna seseorang sedang mengantongi komisen 200% untuk kerja yang DCNS lakukan.

Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim, berpendapat Najib Razak, perdana menteri ketika itu dan Ahmad Zahid Hamidi, menteri pertahanan, berpakat untuk memberi kelebihan kepada syarikat yang membekalkan kapal berkenaan, DCNS.

Syarikat ini sudah pun terpalit dengan skandal rasuah membabitkan dua jenis kapal lain iaitu kapal selam Scorpene dan Agosta. Dia berpendapat Najib dan Zahid tahu tentang rasuah syarikat ini dan masih memilih untuk BERSEKONGKOL dengan mereka.

Aduhai Malaysia Tanah Tumpah Rasuah!

BACA INI JUGA:
sumber: (1)(2)(3)

Thursday, July 28, 2022

Potong Gaji Menteri Sebagai Tanda Prihatin Kesusahan Rakyat, Bukannya Semakin Bongkak!

Potong Gaji Menteri Sebagai Tanda Prihatin Kesusahan Rakyat, Bukannya Semakin Bongkak!

Bongkak. Begitu Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli menanggapi Annuar Musa selepas pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi berhujah mengenai isu memotong gaji menteri.

Annuan Musa bongkak
Gambar hiasan.

Kata Rafizi, walaupun Annuar berpendapat tiada negara yang berjaya menangani isu inflasi dengan memotong gaji menterinya, ahli parlimen Keterh itu terlupa sesuatu.

Di negara selain Malaysia, layanan yang diberikan rakyat kepada menteri yang gagal menguruskan ekonomi dan menyusahkan orang ramai jauh lebih keras berbanding memotong gaji.

Ada yang dipecat, ada yang didakwa, ada yang dipenjarakan!

Justeru menurut Rafizi, Annuar perlu sedar bahawa desakan agar menteri-menteri mengambil potongan gaji bukanlah untuk mengurangkan harga barang.

Langkah tersebut, tambahnya, adalah perlambangan keinginan rakyat untuk melihat beberapa perkara termasuk sebagai isyarat menteri-menteri di negara ini gagal menjalankan tugas masing-masing bagi menguruskan ekonomi sehingga kenaikan harga barang tidak terkawal serta menekan orang awam.

Potongan gaji menteri juga, katanya, memaklumkan kepada rakyat bahawa menteri-menteri turut sensitif terhadap kepayahan yang dialami orang awam dan menjadi suatu bentuk solidariti terhadap kepayahan yang ditanggung.

"Pemotongan gaji menteri menghantar isyarat bahawa menteri-menteri juga tidak terkecuali daripada langkah penjimatan yang diarahkan kepada penjawat-penjawat awam.

"Jika tidak peruntukan awam dipotong tetapi menteri-menteri tetap menikmati kemewahan yang sama," katanya.

Kenaikan kos sara hidup sejak akhir-akhir ini menjadi antara tekanan yang dialami orang ramai dan ada desakan agar gaji anggota kabinet dipotong. Tunjuk perasaan bagi menyuarakan tekanan itu juga diadakan.

Bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri, Rafidah Aziz, turut mencadangkan gaji menteri dipotong sebagai tanda empati kepada rakyat yang bergelut dengan keadaan semasa ekonomi.

Ambil masa berbulan-bulan

Annuar sebelum ini mencabar pengkritik agar menamakan negara yang berjaya menurunkan kadar inflasi setelah melaksanakan langkah seumpama itu.

Annuar yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia membayangkan, walaupun gaji setiap menteri dipotong, jumlah penjimatan itu tetap tidak memadai untuk mengubah keadaan.

"Tolonglah, jangan main politik," kata Annuar.

Sehari kemudian, Naib Presiden Umno Khaled Nordin tampil menempelak Annuar dengan berkata, walaupun inflasi tidak boleh diturunkan dengan memotong gaji menteri, langkah tersebut sekurang-kurangnya menunjukkan anggota kabinet faham akan kesusahan rakyat.

"Lupakah pengajaran yang kita dapati dari kewajipan berpuasa?" katanya.

Menurut Rafizi perlu ada lebih ramai pemimpin dan orang ramai mendesak agar menteri di negara ini mengambil potongan gaji sebagai langkah menguruskan "keangkuhan" Annuar.

Jika tidak, kata Rafizi, mereka hanya akan mempengerusikan jawatankuasa demi jawatankuasa yang mengambil masa berbulan-bulan untuk membuat keputusan.

Setelah ada keputusan, katanya, masa berbulan-bulan lagi digunakan untuk melaksanakan ketetapan tersebut.

"Kegilaan ini perlu dihentikan. Hanya melalui desakan rakyat yang kena pada poket menteri, barulah mereka sedar terhadap keutamaan (urgency) untuk mengambil tindakan dengan lebih cepat," katanya.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: (1)

Tuesday, July 05, 2022

Apa Guna Mengundi?

Apa Guna Mengundi?

Menolak politik akan menyebabkan masa depan anak-anak ditentukan oleh ahli politik yang korup. Malangnya, ramai tidak lagi peduli politik kerana pilihan pengundi tidak dihormati oleh ahli politik.

ahli+politik+bodoh
Gambar hiasan.

Ramai menolak politik kerana tidak kira siapa yang diundi, ada pintu belakang, pintu sisi, pintu berputar, pintu kecemasan dan pintu Narnia yang dipenuhi dengan mereka yang tidak diundi, mengambil alih kerajaan dan membenarkan samseng masuk.

Jadi, apa gunanya?

Malaysia telah menyaksikan tiga pertukaran kerajaan dalam tempoh empat tahun lalu berikutan rampasan kuasa politik dan lompat parti.

Putrajaya dan parlimen menyasarkan untuk menyelesaikan perkara itu dengan memperkenalkan undang-undang antilompat parti yang akan dibahaskan kemudian.

Bagaimanapun, undang-undang dalam bentuk cadangan semasa, tidak akan menghalang seluruh parti daripada menukar keberpihakan, seperti pengkhianatan yang dilakukan oleh Bersatu semasa Langkah Sheraton yang menyebabkan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Bentuk sistem politik ketika ini cacat. Sistem ini sengaja dibuat untuk kekal cacat. Untuk memanfaatkan satu peratus yang memegang 99 peratus kuasa.

Kemajuan tidak boleh dicapai jika mereka yang berkuasa dibiarkan terlepas daripada salah laku.

Apakah kemajuan yang boleh dicapai jika mereka yang berkuasa melakukan sabotaj dan merosakkan keseluruhan sistem kemudian memanipulasinya?

Pengkritik sistem pilihan raya negara telah menegaskan bahawa satu kelemahan utama ialah sistem first-past-the-post (FPTP) yang diamalkan ketika ini.

Berdasarkan sistem itu, pemenang tidak memerlukan majoriti dan hanya perlu meraih undi terbanyak.

Ia dilihat telah menguntungkan BN, seperti berlaku dalam pilihan raya nergeri (PRN) Melaka dan Johor.

Walaupun hanya mendapat undian 45 peratus undi popular, BN mampu memenangi lebih 66 peratus kerusi dan membentuk majoriti besar dalam kerajaan negeri.

Ini disebabkan pertembungan berbilang penjuru yang memecah undi dan hasilnya lebih 60 peratus pengundi tidak diwakili secukupnya.

Perlu diingat bahawa PH juga mendapat manfaat daripada pertembungan berbilang penjuru di bawah FPTP dan membentuk kerajaan pada 2018 walaupun hanya memenangi 45.68 peratus undi popular.

Sebuah suruhanjaya pembaharuan pilihan raya di bawah kerajaan PH telah mencadangkan untuk menggantikan FPTP dengan perwakilan berkadar (PR) atau sistem senarai parti (party-listing), yang akan memastikan mereka yang dipilih menjadi wakil rakyat adalah berkadaran dengan jumlah undi yang mereka terima.

Bagaimanapun, ini tidak pernah dilaksanakan dan nampaknya tiada tanda-tanda bahawa wakil rakyat ketika ini berminat untuk mendesak pelaksanaannya dalam masa terdekat meskipun Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 semakin hampir.

Politik Jujur Tinggal Impian

Rakyat sudah muak dengan politik tempatan, sekurang-kurangnya buat masa ini.

Kita tidak perlu mencari pendapat kedua untuk menyatakan mengapa rakyat tidak lagi mahu peduli dengan politik sebagai bukan siapa-siapa.

Rakyat yang mempunyai hak tetapi disalahgunakan oleh mereka yang tidak diberikan kuasa oleh kita pengundi.

Namun, pasti akan ada yang berkata bahawa kita perlu terus memilih dan tidak berputus asa demi kelangsungan masa depan negara. Mengalah kepada ahli politik korup bukanlah pilihan. Kita mahukan perubahan!

Akan tetapi, secara peribadi rakyat tidak lagi peduli.

Jika anda masih peduli, itu terpulang kepada anda!

BACA INI JUGA:
sumber: (1)

Wednesday, February 16, 2022

Berdosa Jika Jujur Berpolitik Di Negara Musang Berjanggut!

Berdosa Jika Jujur Berpolitik Di Negara Musang Berjanggut!

Ahli parlimen Parti Konservatif Britain, Michael Bates, ialah keturunan penjajah. Manalah layak sebenarnya untuk ditulis lalu dibaca oleh bangsa yang mulia lagi hebat seperti Melayu di tanah bertuah ini.

Negara Musang berjanggut

Tetapi dengan berat hati saya menukilkan juga nama dia yang menawarkan diri meletak jawatan hanya kerana terlewat beberapa minit tiba di parlimen untuk menjawab soalan dikemukakan pembangkang.

Kemudian ada pula nama Iain Lees-Galloway yang terpaksa dipetik juga. Dia ialah seorang menteri bagi kerajaan New Zealand sehinggalah dipecat oleh seorang perempuan bernama Jacinda Ardern pada 22 Julai 2020.

Puncanya, Lees-Galloway menjalin hubungan dengan seorang wanita yang juga kakitangan di pejabatnya selama 12 bulan sehingga ia dikhuatiri boleh menjejaskan tanggungjawab sebagai menteri.

Ya, benar. Tidak ada bukti lelaki berusia 43 tahun itu sudah menyalahgunakan kuasa apabila bercinta dengan kakitangan bawahannya. Tetapi dia diketepikan daripada jawatan sebagai menteri imigresen New Zealand.

Sebelum Lees-Galloway dihukum, dunia menyaksikan kerajaan New Zealand menguruskan seorang lagi menterinya yang melanggar peraturan yang dibuat mereka sendiri.

Cuma kali ini Jacinda, tidak perlu memecat sesiapa, kerana David Clark sendiri yang berundur dan meletakkan jawatannya sebagai menteri kesihatan.

Hal itu dilakukan ahli parlimen Dunedin itu selepas didapati melanggar prosedur operasi standard berkenaan perintah kawalan pergerakan.

Negara yang malang

Sebelum meletak jawatan, Jacinda sudah menurunkan pangkat David Clark selepas membawa keluarganya ke pantai ketika orang lain dilarang untuk bergerak bebas kerana Wellington mahu memastikan Covid-19 dapat dikalahkan.

Pada 2 Julai Clark menawarkan diri untuk meletak jawatan dan Jacinda dengan senang hati menerimanya.

Dengan neraca kita, ternyata New Zealand sebuah negara yang disumpah malang dan terkutuk kerana satu demi satu menterinya berundur kesipuan selepas terbabas melanggar undang-undang.

Asas perbuatan itu adalah moral, bukannya suatu jenayah. David Clark dan Lees-Galloway tidak mencuri duit rakyat pun. Mereka juga tidak merompak, atau melanggar lampu merah.

Tidak ada sebarang bukti juga mereka berkonvoi ke mana-mana sambil anggota keselamatan mengarahkan kenderaan lain berhenti atau ke tepi bagi memberi laluan kepada VVIP.

Tetapi mereka meletak jawatan. Alangkah malang dan buruknya nasib negara itu.

Sebenarnya ada banyak lagi nama orang kafir yang boleh disebut dan dipetik untuk menunjukkan bagaimana malangnya bangsa mereka kerana selalu bertindak berdasarkan persoalan moral.

Mereka sepatutnya belajar dari negara ini untuk berpolitik.

Kita di sini menjadi begitu maju dan terkedepan dari aspek menekuni siapa peserta siri pertandingan TV yang layak untuk jadi penyanyi, misalnya.

Atau siapa yang perlu dikipas - atau dijilat - agar peluang menjadi calon tidak padam ketika PRU semakin menghampiri.

Moral di negara ini ialah sibuk mengendap pengunjung hotel murah untuk diserbu.

Berniaga sambil bekerja sebagai penjawat awam berjawatan tinggi tidak ada kaitan dengan moral. Membeli saham pada harga yang zahirnya tidak sepadan dengan gaji bulanan seseorang juga tiada kaitan dengan moral. Itu adalah persoalan 'undang-undang' yang perlu diuruskan dengan 'betul'.

Semuanya tak perlukan moral

Kalau didakwa di mahkamah, seseorang itu tidak dianggap bersalah sehinggalah hukuman dijatuhkan.

Apabila hukuman dijatuhkan, dia masih tidak boleh dianggap bersalah sehinggalah rayuannya didengar dan diputuskan.

Selepas rayuan ditolak, dia masih tak bersalah kerana di sana ada mahkamah yang lebih tinggi untuk mendengar permohonan rayuannya.

Kalau takdirnya nanti dia disabitkan bersalah juga, ingatlah bahawa tuan-tuan guru sudah berpesan: itu semua hanyalah mahkamah dunia. Sebagai Muslim kita ada mahkamah akhirat.

Sementara hidup, tidak ada apa-apa yang harus dimalukan. Dalil? Mahu dalil yang bagaimana - semuanya ada. Ia bukan saja di hujung jari, tapi sentiasa melekat di hujung lidah!

Seperti 'fatwa' Datok Nikah Kahwin kepada Puspawangi dalam Musang Berjanggut: "Eehh, salah jugaklah, tapi itu tak jadi apa sebab undang-undang dalam ini negeri kanda yang bikin. Itu semua boleh padam!"

Negara ini sudah berpuluh-puluh tahun bergerak tanpa pertimbangan moral. Sama ada dalam kerajaan, badan korporat, syarikat bermodal RM1 atau penjaja jajan. Semuanya tidak perlukan moral.

Menghabiskan masa berborak dan menikmati teh tarik lebih lama - atau hampir sama - dengan waktu bekerja adalah suatu kemestian untuk bangsa yang terpilih ini.

Kerana menimbang sesuatu dengan perkiraan moral itu ajaran Barat yang sudah pasti akan ke neraka pada akhirnya. Itulah kesudahan yang amat buruk.

Itik yang patah kakinya pun tidaklah seburuk kesudahan itu.

Jika di negara luar kebanyakan orang politiknya sibuk menjaga maruah dan integriti kerana ia sentiasa boleh dipersoalkan oleh rakyat, kita di sini sibuk mencari dalil untuk membersihkan diri sendiri.

Dan pada akhirnya kita pun akur bahawa ia adalah keputusan yang tepat. Kerana jika kita mengambil aspek moral sebagai neraca, barangkali akan kosonglah semua pejabat menteri yang ada sekarang.

Jika itu berlaku, siapa nanti yang akan mempengerusikan mesyuarat kabinet, kan? Dan siapa pula yang akan menjadi korum mesyuarat?

Hendak berharap kepada menteri kanan, menteri kanan pun langgar SOP!

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: malaysiakini

Friday, July 30, 2021

Malaysia Aman Tanpa Ahli Politik

Malaysia Aman Tanpa Ahli Politik

Ketika kita kian bergelut dengan konflik jiwa, harga diri juga semain murah dan kes baru Covid-19 pula terus mencanak-canak naiknya sehingga ke angka amat menggerunkan, pada masa yang sama kita juga takjub dengan sikap aneh segelintir manusia, golongan kayangan, yang suka mengundang maki hamun untuk diri sendiri. Sama ada sengaja atau tidak, wallahu a'lam.

Ahli Politik

Cuma kita yakin ia sebenarnya sejenis penyakit juga. Dan penting juga diubati sebelum ia menjadi semakin tenat dan memualkan.

Kadang-kadang cara mereka mengajak orang memaki hamun dirinya itu juga unik, iaitu dia sengaja memilih ungkapan yang keji.

Walaupun tidak dinyatakan secara tersurat, mereka sebenarnya sangat meminta untuk dimaki semula.

Kemudian ada pula sindir-menyindir dan jika ia dirasa menyakitkan hati dan tidak boleh diterima, maka melatahlah mereka lalu khidmat peguam pun digunakan. Sementelah mereka memang berwang (baca wang rakyat).

Kita pun hairan kerana sepatutnya susuk tokoh yang kelihatan wajar dihormati dan meredakan kegelisahan ummah, tetapi sebaliknya dia selalu meminta agar dimaki.

Sekarang ini kalau ditelek-telek dari jauh, sebenarnya sudah ada riak-riak gelombang rakyat mahu mencari jalan sendiri untuk mengurus kemelut yang sedang melanda.

Rakyat yang rencam itu boleh berpakat lalu membentuk jemaah tersendiri apabila mereka disatukan oleh masalah yang sama.

Dan itulah yang sedang berlaku secara berselerak di seluruh negara apabila mereka bergandingan bahu menghulurkan bantuan kepada sesama, rakyat bantu rakyat.

Sesungguhnya negara ini sedang dahagakan kepimpinan yang segar dan meyakinkan, selain bebas daripada kebodohan bergayut pada kuasa yang menjadi nyawa mereka.

Padahal kuasa itulah yang dijadikan lesen untuk menyendatkan tembolok masing-masing dan pada masa yang sama kebajikan rakyat diketepikan.

Rakyat sudah tidak lagi mampu menahan perasaan hidup dalam suasana yang berulamkan maki hamun dan carut-marut seperti sekarang.

Masalah Covid-19 sudah cukup melemaskan dan tidak ada perlunya masalah lain ditambah oleh ahli politik.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: 1