Thursday, November 09, 2017

Cara Yang Betul Untuk Berpoligami

Cara Yang Betul Untuk Berpoligami

SOALAN: Saya dan isteri berkahwin sejak 15 tahun dan dikurniakan lima anak. Baru-baru ini saya bertemu semula dengan bekas kekasih dan kami mengambil keputusan untuk mendirikan rumahtangga.

Saya yakin mampu menanggung kehidupan isteri pertama, anak dan isteri baru dengan pendapatan bulanan RM7,000. Bagaimanakah cara memohon kebenaran untuk berpoligami di mahkamah syariah?

Syarat berpoligami

JAWAPAN: Berpoligami adalah perbuatan yang diharuskan dalam Islam. Firman ALLAH SWT yang bermaksud, "Jika kamu takut bahawa kamu tidak dapat berlaku adil terhadap (hak) perempuan-perempuan yang yatim, maka kahwinilah oleh mu perempuan yang baik bagi mu, dua, tiga atau empat orang.

Tetapi jika kamu takut bahawa tidak akan berlaku adil, maka kahwinilah seorang sahaja." (Surah An-Nisa': 3)

Saya ingin mengucapkan tahniah kepada anda bersedia untuk berpoligami mengikut prosedur sebenar mahkamah syariah serta tidak mengambil jalan mudah dan pintas dengan bernikah seperti di sempadan Thailand.

Prosedur permohonan

1. Boleh dibuat di mahkamah tinggi syariah di tempat anda tinggal atau bermastautin.

2. Permohonan mesti disertai dengan:
  • Satu ikrar yang menyatakan alasan berpoligami perlu dan patut;
  • Pendapatan pemohon ketika itu;
  • Butir-butir komitmen dan tanggungan kewangan;
  • Bilangan orang yang akan menjadi tanggungan pemohon;
  • Sama ada pemohon mendapat keizinan atau pandangan untuk berpoligami daripada isteri atau isteri-isteri pemohon sedia ada.

Walaupun isteri anda memberi keizinan, tapi terdapat faktor lain yang perlu dilihat oleh mahkamah sebelum memberi perintah kebenaran untuk berpoligami.

Faktor isteri tidak memberi keizinan juga bukan ukuran kepada mahkamah untuk tidak membenarkan pemohon untuk berpoligami.

Begitu juga dengan pendapatan kewangan yang diperoleh pemohon. Dalam kes ini, walaupun pendapatan anda mencapai RM7,000 sebulan termasuk elaun, tapi ia juga tidak menjamin anda mendapat kebenaran dari mahkamah syariah.

Perkara asas dinilai mahkamah mengikut Seksyen 23(5) Akta Undang-undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1998:
  • Mahkamah akan melihat sama ada perkahwinan yang dicadangkan itu patut dan perlu dengan melihat kepada sama ada isteri pemohon tidak dapat melahirkan zuriat.
  • Isteri sedia ada mengalami keuzuran jasmani hingga menyebabkan tidak mampu melakukan persetubuhan atau isteri sedia ada adalah seorang yang gila.
  • Sama ada pemohon berupaya atau mampu untuk memberikan layanan adil kepada semua isterinya mengikut kehendak syarak.
  • Perkahwinan yang dicadangkan oleh pemohon tidak akan mendatangkan darar syarie kepada isteri atau isteri-isteri yang sedia ada. 
  • Darar syarie ialah bahaya kepada isteri sama ada daripada segi agama, nyawa, tubuh badan, akal fi kiran, maruah atau harta benda mengikut syarak.
  • Isteri atau isteri-isteri sedia ada juga akan memberi keterangan di mahkamah sama ada pemohon layak untuk berpoligami atau tidak.
  • Setelah mahkamah meneliti permohonan pemohon, ikrar pemohon serta jawapan isteri atau isteri-isteri sedia ada dan setelah mahkamah meneliti keterangan pemohon, bakal isteri, wali kepada bakal isteri dan syarat-syarat untuk berpoligami, barulah mahkamah akan memutuskan sama ada pemohon layak atau tidak.

Islam memang membenarkan seorang lelaki mengahwini lebih daripada seorang wanita dengan syarat lelaki itu boleh berlaku adil secara sepenuhnya kepada semua isteri. Bagaimanapun, mampukan lelaki itu bersikap adil dalam berpoligami?

Firman ALLAH SWT yang bermaksud:"Kamu tidak akan berkuasa berlaku adil antara perempuan itu, meskipun kamu sangat ingin demikian." - (Surah An-Nur: 129)

Nota: Bukan mudah ya untuk beristeri lagi! Fikir-fikirkanlah.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: sinarharian