Friday, August 09, 2019

Petua Pisang Tahan Lama, Balut Tangkainya Dengan Plastik

Petua Pisang Tahan Lama, Balut Tangkainya Dengan Plastik

Semua sedia maklum, pisang mudah lebam jika dibiarkan selama beberapa hari dan pisang yang sudah terlalu masak memang sedap untuk dibuat kek atau jemput-jemput tapi, tidak semua orang suka makan pisang yang sudah lebam. Jadi, bagaimana caranya untuk mengekalkan kesegaran pisang dan memastikan ia tahan lebih lama?

Petua Pisang Tahan Lama

Pisang adalah antara buah yang mengeluarkan gas etilena iaitu sejenis hormon tumbuhan yang menyebabkan buah cepat masak.

Cara paling senang untuk mengekalkan kesegaran pisang adalah dengan membalut tangkainya dengan plastik untuk menghalang pembebasan gas etilena.

Jika plastik yang dibalut tidak ketat, ikat sekali lagi dengan menggunakan gelang getah di luar balutan plastik itu.

Selepas itu, masukkan pisang ke dalam peti sejuk untuk tahan lebih lama.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: mstar


Monday, June 05, 2017

Pisang Pelik Berbuah Beribu-ribu Biji

Pisang Pelik Berbuah Beribu-ribu Biji

Penduduk Desa Selo, Kecamatan Tawangharjo, Kabupaten Grobogan, Jawa Tengah dekat sini heboh memperkatakan sepohon pisang yang berbuah agak unik, lapor media tempatan.

Ibnu Hisyam

Pokok pisang di halaman rumah milik seorang penduduk dikenali sebagai Ibnu Hisyam, 65, itu menjadi tumpuan ramai kerana buah yang dihasilkan mencapai ribuan biji dan tumbuh subur pula tidak sebagaimana kelaziman.

Tandan pisang itu bahkan terus tumbuh menjuntai ke bawah sehingga bahagian hujung bunga atau jantungnya dapat menyentuh permukaan tanah dengan panjang mencecah kira-kira 190 sentimeter atau hampir dua meter.

Keanehan pohon pisang ini menarik perhatian penduduk apabila mereka berduyun-duyun datang untuk ingin menyaksikan sendiri dengan mata kepala mereka berhubung situasi pelik keadaan buah tumbuhan berkenaan.

Lebih unik lagi, lokasi pohon pisang ini tidak jauh dari tanah makam seorang tokoh ulama terkenal dikenali sebagai Ki Ageng Selo atau Syech Abdurrahman yang menyebarkan agama Islam di Jawa dan berketurunan Raja Majapahit.

Menurut cerita mitos tempatan, kesaktian pendakwah itu malah dapat menakluk petir. Kini ramai pelawat mula berkunjung ke rumah petani itu untuk memegang atau berswafoto dengan pohon pisang berbuah ribuan itu.

“Saya penasaran dan ingin memastikan. Ternyata benar. Memang sangat unik. Baru kali ini saya melihat pohon pisang seperti ini,” kata Sukamto, seorang penduduk dari Perumahan Ayodya Purwodadi kepada akhbar Kompas.

Dalam pada itu Hisyam menjelaskan bahawa pohon pisangnya yang kini menjadi tumpuan ramai itu hanya ditanam secara vegetatif iaitu dibiarkan begitu sahaja. Tunas muda sebelumnya diperoleh daripada jiran di kampungnya.

“Saya minta tunas dari seorang teman, kerana ingin tandur pisang. Ehh tak tahunya malah seperti ini,” tutur datuk kepada tiga belas orang cucu ini. Pohon tersebut sebenarnya merupakan variasi daripada spesies pisang hijau.

Hisyam sendiri pun tidak menyangka bakal muncul keunikan di luar jangkaan kerana pohon yang berumur enam bulan ini tumbuh sempurna namun beberapa hari lalu tandannya beransur memanjang sebelum berbuah lebat.

“Awalnya biasa saja tak ada janggal. Tapi dalam masa empat hari, buahnya jadi banyak. Ada ribuan kalau dihitung.

"Pohon ini tumbuh subur bahkan buahnya sudah matang saya cicipi. Rasanya sangat manis,” ungkap Hisyam.

Atas fenomena ini, beliau pun mempelawa pakar pertanian tempatan untuk melakukan penyelidikan bagi mengkaji pohon pisang miliknya itu sambil berharap ia kemudian dapat memberi manfaat baik bagi masyarakat sekitar.

“Di samping pohon itu sudah tumbuh anaknya. Saya harap ada ilmuwan yang datang untuk mengungkap fenomena buah pisang ini. Siapa tahu berguna bagi dunia pertanian?” pungkas Hisyam.

BACA INI JUGA: Pelik! Pokok Berbuah Pisang Dan Rasanya Seperti Durian

sumber: mynewshub

Tuesday, August 27, 2013

Khasiat Memakan Pisang Yang Anda Tidak Tahu

Khasiat Memakan Pisang Yang Anda Tidak Tahu

Pisang mengandungi 3 jenis gula semulajadi – sukrosa, fruktosa dan glukosa yang digabungkan dengan gentian. Pisang memberikan tenaga kepada manusia dengan kadar segera dan berterusan. Kajian yang telah dibuat menunjukkan bahawa 2 biji pisang mempunyai cukup tenaga untuk senaman selama 90 minit.

Khasiat Pisang

Tidak hairanlah pisang dijadikan buah utama kepada atlet terkenal dunia. Bukan itu saja, malah pisang juga amat sesuai untuk mencegah dan merawat beberapa jenis penyakit, menjadikannya amat sesuai dalam pemakanan seharian.

Berikut adalah kebaikan memakan buah pisang untuk kesihatan.

Tekanan

Merujuk kepada kajian yang dijalankan oleh MIND terhadap pesakit-pesakit tekanan jiwa, kebanyakan daripada mereka kembali pulih selepas makan pisang.

Ini kerana pisang mengandungi tryptophan, iaitu sejenis protin yang bertukar kepada serotonin dalam tubuh manusia, yang menyebabkan kita tenang, mengembalikan mood dan secara amnya membuatkan kita berasa gembira.

PMS

Lupakan pil-pil hospital – makan sahaja pisang. Vitamin B6 yang terkandung mampu meneutralkan paras glukosa dalam darah, yang boleh mengembalikan mood anda.

Anemia

Dengan kandungan zat besi yang tinggi, pisang mampu mengawal pertumbuhan hemoglobin dalam darah, yang secara tak langsung membantu dalam kes-kes anemia.

Tekanan Darah Tinggi

Buah tropikal unik ini mengandungi kadar potassium yang tinggi – garam rendah, menjadikannya sempurna untuk menstabilkan tekanan darah.

Kuasa Minda

Kajian dibuat terhadap 200 pelajar di sebuah sekolah di mana semasa peperiksaan dijalankan, mereka diberi makan pisang untuk sarapan, rehat, dan makan tengahari.

Keputusannya, buah pisang yang mengandungi kadar potassium yang tinggi dapat membantu pembelajaran dengan menjadikan pelajar-pelajar itu lebih cekap (alert).

Penghadaman

Gentian tinggi, jadikan pisang sebagai diet seharian anda pasti membantu menstabilkan tindakan usus kecil dan besar.

Keletihan

Salah satu cara terbaik untuk mengurangkan keletihan ialah dengan membuat minuman pisang susu campur madu.

Pisang bertindak menyejukkan perut dan dengan bantuan madu dapat membina semula kandungan gula dalam darah yang berkurangan akibat keletihan, manakala susu pula memperbetulkan sistem hidrasi semula anda.

Panas Jantung

Pisang mempunyai kesan anti-asid semulajadi dalam badan. Oleh itu, jika anda menghadapi rasa panas di jantung, cuba makan pisang untuk pemulihan yang baik.

Demam Pagi

Jadikan pisang sebagai snek setiap hari untuk membantu memelihara kadar gula dalam darah untuk mengelakkan demam pagi.

Gigitan Nyamuk

Sebelum menggunakan krim gigitan serangga, cuba sapukan kawasan bekas gigitan nyamuk dengan lapisan dalam kulit pisang. Ramai yang telah berjaya mengatasi kegatalan akibat gigitan nyamuk dengan cara ini.

Saraf

Pisang mengandungi kadar vitamin B yang tinggi yang dapat membantu menenangkan sistem saraf anda.

Obesiti dan Tekanan Kerja

Kajian di Institut Psikologi di Austria mendapati tekanan kerja menjadi pemangkin kepada pengambilan makanan seperti coklat dan kerepek.

Berdasarkan 5,000 pesakit hospital, kajian mendapati kebanyakan pesakit obes membuat kerja-kerja tekanan tinggi.

Laporan juga menyatakan, untuk mengatasi masalah ini, kita perlu mengawal kadar gula dalam darah dengan mengambil makanan karbohidrat tinggi setiap 2 jam untuk mengekalkan kadar yang stabil. Makanlah pisang.

Ulser

Pisang amat baik dalam pencegahan ulser kerana ia bersifat lembut dan tidak mencederakan organ dalaman kita.

Ia juga bertindak sebagai peneutral lebihan asid serta mengurangkan kepedihan dengan bertindak menyaluti lapisan dinding perut kita.

Kawalan Suhu

Ramai yang percaya bahawa dengan memakan pisang, ia dapat menurunkan suhu kedua-dua fizikal dan emosi kepada ibu-ibu mengandung.

Di Thailand sebagai contoh, ibu mengandung mengambil pisang untuk memastikan bayi yang dilahirkan itu menjadi seorang yang penyabar (cool).

Seasonal Affective Disorder (SAD)

Penyakit ini merupakan simptom yang terjadi akibat daripada kurangnya pendedahan kepada cahaya matahari.

Pisang dapat membantu pesakit ini kerana ia mengandungi tryptophan semulajadi yang membaikpulih mood kita.

Ketagihan Rokok & Tembakau

Pisang dapat membantu perokok yang ingin berhenti merokok. Vitamin B6, B12, potassium dan magnesium yang terdapat dalam pisang, ia dapat membantu tubuh kita dalam membaik pulih kesan nikotin terhadap tubuh.

Stres

Potassium merupakan bahan mineral vital, yang membantu menormalkan degupan jantung, menghantar oksigen kepada otak dan mengimbangi kandungan air dalam tubuh.

Bila kita stres, kadar metabolisma kita naik, menyebabkan kadar potassium menurun. Keadaan ini dapat diimbangi semula dengan bantuan snek pisang yang tinggi potassium.

Strok

Mengikut kajian dalam buku ‘The New England Journal of Medicine‘, mengambil pisang sebagai diet harian mampu mengurangkan risiko kematian akibat strok sebanyak 40%!

Lain-lain Penyakit Kulit

Pengamal perubatan semulajadi (alternatif) berpendapat, untuk menghilangkan pelbagai masalah kulit, termasuk jerawat, kudis, parut, kurap, dan sebagainya, ambil sekeping kulit pisang, tampalkan sebelah dalam kulit pisang itu pada tempat yang ingin dirawat dengan menggunakan plaster luka biasa atau pun plaster bedah.

Jadi, pisang memang merupakan ubat semulajadi kepada banyak penyakit. Jika dibandingkan dengan epal, pisang mempunyai 4 kali ganda kandungan protin, 2 kali karbohidrat, 3 kali fosforus, 5 kali vitamin A dan zat besi, dan 2 kali vitamin dan mineral lain. Ia juga kaya dengan potassium dan merupakan salah satu makanan terbaik yang mudah didapati.

Jadi mungkin inilah masa untuk berubah kepada kata yang biasa disebut-sebut, “Sebiji pisang sehari dapat menjauhkan doktor!”

Kesimpulannya, pisang adalah penyebab utama kenapa monyet-monyet di hutan selalu sihat dan bahagia setiap masa!

Satu lagi, ingin kilatkan kasut? Ambil bahagian dalam kulit pisang, sapukan kepada kasut anda, kemudian kilatkan dengan kain kering. Menakjubkan!

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: hannsays