Sunday, April 01, 2018

Rahsia Kenapa Watak Kassim Selamat P. Ramlee Dibutakan Matanya!

Rahsia Kenapa Watak Kassim Selamat P. Ramlee Dibutakan Matanya!

Tahun 2018 ini, genap usia 89 tahun hari kelahiran Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee yang terus dikenang dalam memberi sumbangan besar pada industri seni nusantara.

Rahsia Kenapa Watak Kassim Selamat P. Ramlee Dibutakan Matanya!

Sama ada filem mahupun muzik, jasa P. Ramlee memang tidak perlu dipersoalkan malah, karyanya terus bersifat malar segar sehingga merentasi pelbagai generasi.

Bagi peminat filem Melayu, sudah tentu tahu kisah Kassim Selamat dalam filem popularnya, Ibu Mertuaku yang menusuk emosi penonton.

Lakonan hebat P. Ramlee membawakan watak utama itu diiktiraf sebagai pemenang anugerah Bakat Serba Boleh pada Festival Filem Asia Pasifik ke-10 yang berlangsung di Tokyo pada tahun 1963.

Namun, di sebalik kisah Kassim Selamat sebagai pemain saksofon yang handal, ia juga merujuk pada kisah benar bapa P. Ramlee sendiri, Teuku Nyak Puteh Teuku Karim.

Menurut kisah yang dikongsi Kelab Filem & Muzik Melayu Klasik di Facebook, bapa P. Ramlee itu seringkali bersedih dan menangis selepas anaknya itu meninggalkan Pulau Pinang dan pergi ke Singapura pada tahun 1948.

Meskipun, bapanya merestui hasrat P. Ramlee yang mahu mengejar cita-citanya, jiwa seorang bapa tetap merindui anaknya sehingga matanya menjadi buta.

Lebih menyedihkan, bapanya itu pernah meminta rakan membawanya ke pawagam untuk menonton filem lakonan P. Ramlee biarpun hanya mampu mendengar suara.

P. Ramlee tidak berkesempatan pulang ke Pulau Pinang kerana sibuk dengan jadual kerja bagaimanapun, dua beranak itu bertemu semula lima tahun kemudian.

Sebagaimana kisah benar hidupnya itu, P. Ramlee menterjemahkannya ke layar perak sebagai teladan buat penonton. Al-fatihah.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Dendam Terhadap P. Ramlee Yang Tidak Pernah Padam

sumber: astroawani

Thursday, March 01, 2018

Filem-filem P. Ramlee Yang Tidak Berjaya Disiapkan

Filem-filem P. Ramlee Yang Tidak Berjaya Disiapkan

Walaupun P. Ramlee berjaya menghasilkan banyak filem, tetapi tidak semua rancangan pembikinan filemnya menjadi kenyataan.

Filem-filem P. Ramlee Yang Tidak Berjaya Disiapkan

Kami senaraikan beberapa projek filem arahan P. Ramlee yang terbengkalai akibat dari masalah tertentu.

Pada tahun 1961 P. Ramlee ingin membuat filem yang berunsur keagamaan berjudul Hidayah. Judul awalnya ialah Menchari Keampunan.

Filem ini banyak mengguna dan merujuk ayat-ayat suci Al-Quran yang bertujuan ingin menegakkan kesucian Agama Islam.

P. Ramlee bersama penolong pengarahnya S. Sudarmaji telah ke Johor Bahru bagi mendapatkan nasihat Jabatan Agama Islam Johor.

Ada ura-ura mengatakan Nordin Ahmad bintang dari studio Cathay-Keris akan membintangi filem ini dan beliau juga sudah mendapat pelepasan dari pihak majikannya.

Malangnya atas beberapa faktor petua dan hukum agama yang tak dapat diselesaikan oleh P. Ramlee dengan pihak majikannya Shaw Brothers, maka filem ini terpaksa ditangguhkan oleh P. Ramlee. Penangguhan berterusan hinggalah ke akhir hayat P. Ramlee.

Pada tahun yang sama juga P. Ramlee ingin membuat filem muzikal yang berjudul Pancha Sitara.

Kumpulan Pancha Sitara 1 yang ahlinya terdiri daripada Aziz Jaafar, Normadiah, Ahmad C, Kassim Masdor dan P. Ramlee sendiri difaktorkan akan membintangi filem ini.

Oleh kerana penulis cerita asal filem ini HM Rohaizad telah meninggal dunia maka sekali lagi P. Ramlee terpaksa menangguhkan pembikinan filem ini.

Jikalau filem ini berjaya dihasilkan sudah tentu filem ini adalah satu-satunya filem yang menggandingkan P. Ramlee bersama Aziz Jaafar.

Pada tahun 1963, P. Ramlee mahu mengarah filem berjudul Seniwati di Hong Kong atas arahan dari pihak Shaw Brothers.

Ini kerana salah satu usaha ingin meningkatkan mutu filem Melayu pada ketika itu untuk menembusi pasaran global. Skrip filem ini ditulis sendiri oleh P. Ramlee.

Antara pelakon yang terpilih berlakon di dalam filem ini Zeera Agus, Sarimah, Yusof Latif, Sharif Dol dan Kuswadinata.

Filem ini dikatakan akan dibuat dalam bentuk cinemascope berwarna, tetapi malangnya filem ini dikritik teruk oleh beberapa ahli yang mengangotai Persatuan Artis Malaya (PERSAMA).

Antara alasan yang diberi adalah filem buatan Hong Kong tidak akan melahirkan filem Melayu yang berteraskan budaya Melayu tulen. Jika tidak Seniwati akan menjadi filem warna pertama arahan P.  Ramlee.

Sekitar tahun 1970 P. Ramlee bersama H.M Shah menubuhkan PERFIMA. Empat lagi pengarah syarikat dilantik pada tahun 1972 iaitu Sarul Bariah Abu Bakar, Jins Shamsudin, Jaafar Abdullah dan Abdullah Hussain.

PERFIMA merancang ingin menerbitkan filem sulungnya berjudul Sandera. Ia adalah tajuk novel karya Arena Wati (Sasterawan Negara) yang ingin diadaptasi oleh P. Ramlee. Bagaimanapun, projek itu tidak menjadi kenyataan apabila P. Ramlee dan H.M Shah menarik diri dari PERFIMA.

Pada bulan Febuari 1973, P. Ramlee bersama H.M Shah menubuhkan syarikat Rumpun Melayu.

Hasrat P. Ramlee adalah ingin membuat filem yang merujuk kepada lirik lagu ciptaannya berjudul Air Mata Kuala Lumpur. Projek filem ini juga tidak menjadi kenyataan apabila P. Ramlee meninggal dunia pada 29 Mei 1973.

Semasa P. Ramlee menghadiri Festival Filem Asia ke – 19 di Singapura pada 18 Mei 1973, P. Ramlee telah bertemu dengan beberapa pembikin filem dari Indonesia yang juga rakan-rakannya.

P. Ramlee telah memberitahu tentang idea, cerita dan skrip yang dihasilkan olehnya yang berjudul Doktor Chelora.

Kata sepakat telah ditemui dan Doktor Chelora akan dibuat melalui usahasama Malaysia dan Indonesia. Malangnya selepas dua minggu persetujuan itu termetrai P. Ramlee meninggal dunia.

Lagu Azizah mempunyai sejarah besar dalam hidup P. Ramlee kerana ianya berjaya membuka pintu kepada seorang pemuda berusia 19 tahun ketika itu menjadi bintang seni teragung dalam dunia Melayu.

Pada malam 28 Mei 1973, P. Ramlee telah menelefon Osman Abadi dan memintanya menulis cerita berkisar lagu Azizah.

Sebelum ini mereka pernah bekerjasama menulis skrip untuk filem Gelora dan Putus Sudah Kaseh Sayang.

Sayangnya pada keesokan hari, P. Ramlee telah pergi buat selama-lamanya.

Antara filem-filem lain yang skripnya sudah tersedia tetapi tidak sempat dibuat oleh P. Ramlee dari tahun 1958-1964 seperti:
  1. Menanti Hujan Teduh
  2. Sayonara Kekaseh-Ku
  3. Batu Durhaka (Diarahkan oleh Omar Rojik)
  4. Roboh-Nya Kota Melaka
  5. Badang (Diarahkan oleh S.Roomainoor)
  6. Bujang Lapok Jumpa Puteri Gunung Ledang
  7. Bujang Lapok Ke Hong Kong

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Pesanan Tersirat P. Ramlee Dalam Filem Pendekar Bujang Lapok

sumber: thepatriots

Sunday, February 25, 2018

Dendam Terhadap P. Ramlee Yang Tidak Pernah Padam

Dendam Terhadap P. Ramlee Yang Tidak Pernah Padam

Di era kegemilangan filem Melayu Jalan Ampas, bukan semua orang suka pada P. Ramlee, sejak hari pertama P. Ramlee menjejakkan kaki ke studio Jalan Ampas sehinggalah beliau berhijrah ke Kuala Lumpur, dia masih mempunyai musuh.

Dendam Terhadap P. Ramlee Yang Tidak Pernah Padam

Ketika L. Krishnan memperkenalkan P. Ramlee buat kali pertama sebagai hero melalui filem Bakti (1950), bertambah ramai musuh P. Ramlee.

Musuh P. Ramlee pula adalah di kalangan kawan-kawannya sendiri. Apabila nama P. Ramlee telah sampai ke puncak kemahsyuran, makin bertambah-tambah musuh P. Ramlee.

Setelah P. Ramlee meninggal dunia, Arkib Negara Malaysia mengumumkan akan menubuhkan Pustaka Peringatan P. Ramlee setelah diarahkan oleh Encik Anwar Ibrahim, Menteri Kebudayaan Belia dan Sukan pada ketika itu.

Ternyata banyak suara-suara sumbang yang kedengaran seolah-olah membantah usaha untuk menubuhkan Pustaka P. Ramlee itu.

Tetapi, pada hakikatnya suara-suara sumbang ini juga yang hadir semasa hari pelancaran Pustaka tersebut.

Pernah Arkib Negara menganjurkan “Minggu P. Ramlee” selama satu minggu pada bulan Oktober 1984, penentang-penentang P. Ramlee ini muncul untuk mempertikaikan kewibawaan P. Ramlee.

Kononnya P. Ramlee hebat bukan kerana usahanya seorang tetapi mendapat bantuan daripada rakan-rakannya dengan menyebut nama S. Sudarmaji, Osman Ahmad, Yusof B dan Ahmad Jaafar.

Memang ada betulnya kenyataan itu dan nama yang mereka sebutkan itu juga mempunyai peranan besar dalam kerjaya seni P. Ramlee, tetapi siapakan nama-nama ini semua sebelum mereka bekerjasama dengan P. Ramlee?

P. Ramlee adalah penggerak bagi orang-orang seperti S. Sudarmadji, Osman Ahmad, Yusof B dan Ahmad Jaafar.

P. Ramlee memberi jalan, memberi arah tuju dan perangsang ke arah kejayaan seni muzik pada ketika itu.

Kita harus ingat sebelum P. Ramlee menjejakkan kaki ke Singapura, Osman Ahmad, Yusof B dan Ahmad Jaafar telah mencipta lagu dan bermain muzik. Tetapi apa kesannya? Mengapa mereka tidak menonjol seperti mana yang didakwa oleh mereka yang mencemuh P. Ramlee itu?

Sebenarnya, mereka ini semua memerlukan pendorong (catalyst) dan di dalam perkara ini P. Ramleelah yang menjadi pendorong kepada kelansungan warisan muzik yang dibawa oleh Osman Ahmad, Yusof B dan Ahmad Jaafar.

Setelah P. Ramlee menubuhkan Pancha Sitara, lagi berkembang aliran muzik mereka-mereka ini semua.

Berbalik kepada musuh-musuh P. Ramlee tadi, kita jangan terkejut sebenarnya ada dikalangan yang menjadi musuh P. Ramlee itu adalah orang yang nampak rapat dengan P. Ramlee.

Perkara ini pernah diceritakan sendiri oleh Sasterawan Negara Abdullah Hussain pada satu forum Bicara Seniman Agung di Universiti Malaya pada tahun 2001.

Di dalam buku tulisannya yang bertajuk Kisah Hidup Seniman Agung juga ada menyatakan perkara ini.

Musuh-musuh P. Ramlee ini bukan hanya sekadar mengata dan mengutuk P. Ramlee dibelakang, malahan mereka juga pernah merancang untuk mencederakan P. Ramlee dengan merosakkan wajahnya.

Anggapan mereka, apabila rosaknya wajah P. Ramlee dengan sendirinya populariti P. Ramlee akan lenyap.

Mereka berpendapat selagi wajah P. Ramlee masih kekal dalam keadaan begitu sampai bila-bila pun nama mereka akan tenggelam dalam dunia filem Melayu.

Allah itu maha berkuasa, niat buruk untuk mencederakan wajah P. Ramlee akhirnya terbongkar.

Rahsia komplot itu telah sampai ke pengetahuan Jasni Ahmad, suami kepada Neng Yatimah dan bapa kepada Rosyatimah adalah seorang penyanyi piring hitam.

Jasni atau lebih dikenali sebagai Wak Jasni adalah seorang yang sangat disegani dan berpengaruh di Singapura. Ada juga yang menggelarkan beliau sebagai ketua samseng di Singapura.

Wak Jasni telah menjalankan siasatan komplot mencederakan wajah P. Ramlee ini dan telah memberi amaran kepada mereka sekiranya perkara ini berlaku mereka semua akan menerima akibatnya.

Oleh kerana golongan musuh P. Ramlee ini segan dan takut dengan Wak Jasni, mereka telah membatalkan perancangan mereka itu dan memohon maaf pada P. Ramlee.

P. Ramlee sememangnya berjaya dan hebat bukan atas usaha beliau seorang. Beliau memerlukan bantuan rakan-rakan yang berkebolehan dalam bidang masing-masing demi kelansungan sesebuah karya.

Tetapi P. Ramlee mempunyai satu bakat luar biasa anugerah dari Allah yang membuatkan sentuhannya menjadi emas.

Rasulullah SAW juga dalam berdakwah baginda memerlukan para sahabat yang mendampinginya.

Begitu juga dengan kelangsungan P. Ramlee dalam berkarya. Dari penulis cerita, penulis skrip, penulis lirik, penggubah lagu, jurugambar, jurukamera, penata cahaya, penolong pengarah dan juga pelakon semuanya memainkan peranan yang besar kepada P. Ramlee.

Mana ada dalam dunia ini sesuatu kejayaan dan perkara yang berlaku itu dilakukan seorang diri kecuali datangnya dari Allah yang Maha Berkehendak.

“Kita berusaha mencari untuk memberi kembali, kerana itu adalah kitaran yang paling baik untuk diri sendiri dan masyarakat.”

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: P. Ramlee Satu-satunya Penerima Anugerah Pertama Pelakon Serba Boleh Di Dunia!

sumber: thepatriots

Thursday, December 07, 2017

P. Ramlee Satu-satunya Penerima Anugerah Pertama Pelakon Serba Boleh Di Dunia!

P. Ramlee Satu-satunya Penerima Anugerah Pertama Pelakon Serba Boleh Di Dunia!

Dari Tokyo, P. Ramlee telah menelefon Saloma dan memaklumkan kepadanya bahawa beliau telah tertangguh 1 hari (flight delay) untuk pulang ke Singapura.

P. Ramlee Satu-satunya Penerima Anugerah Pertama Pelakon Serba Boleh Di Dunia!

P. Ramlee menerangkan kepada Saloma bahawa beliau mendapat anugerah yang belum ada dalam dunia seni iaitu pelakon serba boleh, dimana P. Ramlee yang merupakan pelakon dan pengarah pertama yang dianugerahkan anugerah “THE MOST VERSATILE TALENT”.

Manakala bagi filem ANTARA DUA DARJAT pula, P. Ramlee terpaksa bertanding dengan Toshiro Mifune dari Jepun sebagai pelakon terbaik, kata P.Ramlee, beliau kalah satu mata kerana pihak Indonesia tidak memberi sebarang markah kepadanya.

Jika pihak Indonesia memberi 2 mata, P. Ramlee akan menerima anugerah sebagai pelakon lelaki terbaik untuk kali kedua, oleh itu anugerah pelakon lelaki terbaik telah dimenangi oleh Toshiro Mifune, rakan dan pelakon yang diminati oleh P. Ramlee dari Jepun.

NILAI SEBUAH SAHABAT SEJATI

Kepulangan P. Ramlee dari Jepun ke Singapura pada ketika itu membawa bersama anugerah tertinggi bagi orang seni didunia iaitu “THE MOST VERSATILE TALENT” yang merupakan anugerah yang belum pernah digondol oleh mana-mana pelakon dalam dunia.

Di lapangan terbang, tidak ramai yang menyambut kepulangan P. Ramlee, antara yang hadir pada masa itu ialah Mr Kwek, Jaafar Abdullah, Ahmad Zakaria dan yang mengalungkan bunga kepada P. Ramlee ialah Saloma dan Ramli Ismail.

Pada sebelah malam, NORDIN AHMAD datang ke rumah P. Ramlee di No. 28 Cedar Avenue sambil mengucapkan tahniah kepada beliau. Nordin Ahmad bertanya kepada P. Ramlee bagaimana anugerah seperti itu boleh diadakan (THE MOST VERSATILE TALENT)?

P. Ramlee berkata menurut kata juri hakim, tiada anugerah yang sepadan dengan kemampuannya dalam filem IBU MERTUA KU, kerana dalam filem itu dia terlibat sebagai pelakon drama dan muzik, dia sendiri yang menyanyi dalam filem itu dan mengarah filem tersebut.

Jadi, semua juri berbincang apa anugerah yang patut diberikan? Juri sebulat suara mengatakan P. Ramlee adalah seniman serba boleh dan dalam filem ANTARA DUA DARJAT kalau Indonesia beri 2 mata, P. Ramlee akan mendapat anugerah sebagai pelakon lelaki terbaik.

Pihak Shaw Brothers mahu P. Ramlee pergi ke Hong Kong untuk membuat filem Melayu disana.

Oleh kerana beliau tidak gemar sikap pekerjanya yang terlalu mengikut kata-kata pihak Union, Shaw telah menyerahkan sebuah skrip yang ditulis oleh Run Run Shaw kepada P. Ramlee untuk membuat filem pertama di Hong Kong.

Skrip itu berjudul “SENIWATI” dan pihak Shaw menyuruh P. Ramlee mencari sekurang-kurangnya tiga lagi cerita untuk dijadikan filem Melayu di Hong Kong.

Pelakon yang akan P. Ramlee bawa bersama ke Hong Kong untuk filem pertama berjudul “SENIWATI” itu ialah SARIMAH, UDA OMAR, AHMAD NISFU serta beberapa orang lagi pelakon dari studio Jalan Ampas.

Apabila pihak Union mendapat tahu perkara ini, semua pelakon dibawah naungan Union tidak dibenarkan mengikut P. Ramlee ke Hong Kong.

Sementara menantikan untuk ke Hong Kong, P. Ramlee mengarah satu lagi filem di studio Jalan Ampas iaitu filem TIGA ABDUL yang menggunakan 2 pelakon yang menjadi tulang belakang Union.

P. Ramlee juga turut berlakon dalam filem TIGA ABDUL itu dan merupakan filem terakhir arahan P. Ramlee di Singapura sebelum berhijrah ke Kuala Lumpur.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Merekalah Yang Telah Menjatuhkan P. Ramlee

sumber: thepatriots

Monday, July 10, 2017

Gambar Terakhir P. Ramlee

Gambar Terakhir P. Ramlee

Gambar dibawah ini diambil pada hari Isnin 21 Mei 1973 lapan hari sebelum Allahyarham Tan Sri P. Ramlee meninggal dunia pada waktu subuh hari Selasa 29 Mei 1973.

P Ramlee

Sedikit kronologi sebelum P. Ramlee meninggal dunia yang pernah diceritakan oleh anak kesayangannya Sazali.

Menurut Sazali sebelum bapanya meninggal, beliau telah mengadu kepada Saloma yang beliau sakit dada.

Saloma menawarkan untuk menghantar P. Ramlee ke hospital tetapi beliau menolak dengan memberi alasan ia hanya disebabkan oleh angin dalam badan. Lantas P. Ramlee meminta Saloma hanya menyapu Tiger Balm di dadanya.

Sekitar jam 5.30 pagi, P. Ramlee sekali lagi mengadu pada Saloma yang sakit dadanya telah menyerang kembali. Kali ini lebih sakit dari serangan pertama.

Keadaan bertambah panik apabila P. Ramlee meronta-ronta sambil mengatakan, “i mesti mati, sekejap lagi i mesti mati” kepada Saloma.

P. Ramlee juga sempat berpesan kepada anak-anak beliau yang ada disisinya pada ketika itu supaya menjaga Saloma dengan baik jika ditakdirkan beliau tiada lagi.

Setelah beberapa minit P. Ramlee diam tanpa berkata-apa. Tubuhnya pun tidak lagi bergerak. Saloma dan anak-anaknya menjangkakan yang P. Ramlee hanya pengsan lalu segera menelefon ambulans untuk meminta bantuan.

Apabila sampai di Hospital Kuala Lumpur, P. Ramlee disahkan oleh doktor telah meninggal dunia.

Menurut Nasir, tidak ada bedah siasat dilakukan ke atas jenazah P. Ramlee. Kami menerimanya dalam keadaan yang sempurna, kata Nasir.

Jenazah P. Ramlee kemudian dibawa pulang ke rumahnya di Jalan Dedap yang pada ketika itu sudah ramai didatangi oleh rakan-rakan dan peminat sejurus mendapat tahu P. Ramlee meninggal dunia.

Selepas dimandikan jenazah di sembahyangkan di Masjid Jamek Kampung Baru dan dikebumikan di tanah perkuburan Islam Jalan Ampang.

Tetapi tahukan anda bahawa pelakon M.Rajoli yang membacakan Talkin pada hari perkebumian P. Ramlee, yang pada ketika itu sedang berkhidmat sebagai salah seorang imam di Masjid Jamek Kampung Baru.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Video Channel History - P. Ramlee Dikhianati Bangsa Sendiri

sumber: thepatriots

Friday, July 07, 2017

Kisah Bagaimana P. Ramlee Menyelamatkan Kerjaya Seni Nordin Ahmad

Kisah Bagaimana P. Ramlee Menyelamatkan Kerjaya Seni Nordin Ahmad

Satu kepuasan besar dikecapi P. Ramlee apabila berjaya menarik Nordin Ahmad keluar dari keadaan yang mengaibkan berikutan dengan kegagalan filem PERMATA DI PERLIMBAHAN arahan Hj Mahadi terbitan tahun 1952.

P Ramlee dan Nordin Ahmad

P. Ramlee bukan sahaja berjaya mengeluarkan Nordin Ahmad dari keaiban itu malahan berjaya meletakkannya di satu tempat yang sangat tinggi sebagai seorang pelakon yang berwatak dan berkarisma besar serta disanjung tinggi oleh rakan-rakan dan peminatnya.

PERMATA DI PERLIMBAHAN merupakan filem pertama Nordin Ahmad membawa peranan hero yang menggandingkannya bersama Maria Menado.

Filem itu juga membolehkan Hj Mahadi bergelar sebagai anak Melayu pertama menjadi pengarah filem.

Malang sekali filem itu gagal di pasaran dan ini bermakna tertutup ruang untuk Nordin Ahmad terus menjadi hero. Begitu juga dengan Hj Mahadi yang tertutup terus pintu untuk terus menduduki bangku pengarah.

Nordin Ahmad selalu mengadu kepada P. Ramlee mengenai betapa malu dan tertekan perasaannya.

Malahan Nordin Ahmad juga pernah membayangkan kepada P. Ramlee untuk meninggalkan bidang lakonan dan ingin pulang ke Pulau Pinang.

Tetapi P. Ramlee meminta sahabatnya itu supaya bersabar dan menganggap ianya sebagai satu cabaran yang perlu dihadapi.

Hati Nordin Ahmad bertambah tenang apabila P. Ramlee mengakui bahawa Nordin Ahmad adalah seorang pelakon yang berwatak besar tetapi hanya belum menemui peluang untuk membuktikan keupayaan tingginya itu.

Peluang Nordin Ahmad untuk membuktikan kehandalan lakonannya dibuka oleh P. Ramlee melalui filem SEMERAH PADI pada tahun 1956.

Dalam filem itu P. Ramlee menjadikan Nordin Ahmad sebagai hero utama dan P. Ramlee sendiri sanggup memainkan peranan sebagai hero kedua.

Semasa ingin meletakkan “kredit tittle” filem ini, nama Nordin Ahmad diletakkan dikedudukan paling atas. Nama Sa’adiah dibawahnya kemudian baru nama P. Ramlee.

Apabila Nordin Ahmad mendapat tahu, beliau tidak bersetuju dan meminta P. Ramlee mengubah kedudukan namanya dibawah nama P. Ramlee.

Dengan tenang P. Ramlee menjawab, “Din, aku buat filem ini untuk hang. Aku ingin menaikkan nama hang, jadi gunakanlah kesempatan ini dengan sebaik-baiknya wahai sahabatku”.

Apabila Nordin Ahmad mendengar kata-kata P. Ramlee itu beliau terdiam dan terus berlalu meninggalkan P. Ramlee seolah-olah faham apa disebalik kata-kata P. Ramlee itu.

Nordin Ahmad telah mengejutkan semua peminat filem Melayu di zaman itu dengan lakonannya yang mantap dan bermutu tinggi dalam filem SEMERAH PADI.

Pujian besar telah diberikan kepadanya dan dengan sekelip mata Nordin Ahmad telah menjadi seorang pelakon yang berwatak besar setanding P. Ramlee.

P. Ramlee menitiskan air mata melihat kejayaan sahabatnya itu. Begitu juga Nordin Ahmad sebak dadanya mengenangkan jasa yang terlalu besar telah di tabur oleh P. Ramlee kepadanya.

“Segala-galanya berubah kepada kegemilangan selepas P. Ramlee mengambil dan memberi kepercayaan kepada saya untuk berlakon di dalam filem Semerah Padi,” demikian kata Nordin Ahmad kepada wartawan yang menemubual beliau.

Bertolak dari kejayaan Nordin Ahmad di dalam SEMERAH PADI masa depannya sebagai pelakon terus bersinar.

Apabila Nordin Ahmad berhijrah ke studio Cathay-Keris pada penghujung tahun 1957, beliau merupakan hero paling utama di studio berkenaan dan pelakon yang menerima bayaran dan bonus paling tinggi sekali.

Nordin Ahmad adalah daya kekuatan kepada filem keluaran Cathay-Keris dalam memberi saingan kepada filem-filem keluaran MFP.

Jikalau filem itu pelakon utamanya Nordin Ahmad ianya sudah pasti mendapat jaminan box office apabila ditayangkan di pawagam.

Disamping pula gandingan Nordin Ahmad dan LATIFAH OMAR sebagai pasangan paling serasi di layar perak telah berjaya membuatkan ianya sebagai satu fenomena kepada peminat filem Melayu di zaman itu.

Apabila Nordin Ahmad sudah berada di puncak kemahsyuran di Cathay-Keris beliau tidak pernah lupa kepada P. Ramlee dan rakan-rakannya di Jalan Ampas.

Sesekali beliau akan menziarahi rakan-rakannya disana yang pernah bersama-sama bersahabat dengannya antaranya, S. SUDARMADJI, A. RAHIM, S. SHAMSUDIN, AZIZ SATTAR dan P. Ramlee sendiri.

Nordin Ahmad selalu berkata kepada wartawan yang menebualnya apabila merujuk kepada kejayaan dalam kerjayanya, “Apabila setiap kali orang memperkatakan tentang kejayaan lakonan saya, P. Ramlee orang yang berhak berkongsi kejayaan itu bersama-sama saya, kerana P. Ramlee yang merubah keadaan saya, dari gelap menjadi terang.”

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Pesanan Tersirat P. Ramlee Dalam Filem Pendekar Bujang Lapok

sumber: thepatriots

Saturday, May 27, 2017

Sambutan Hari Seniman Kebangsaan

Sambutan Hari Seniman Kebangsaan

Hari Seniman Kebangsaan di Malaysia disambut pada 29 Mei setiap tahun bagi memperingati pemergian seniman agung negara, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee ke rahmatullah, 29 Mei 1973.

Hari Seniman Kebangsaan

Allahyarham P. Ramlee merupakan seniman tersohor, insan seni yang amat istimewa dan seorang reformer paling hebat dan tidak ada tandingannya.

P. Ramlee telah membawa banyak perubahan kepada bangsa Melayu dan telah menjadikan filem serta lagu sebagai satu usaha mempengaruhi pemikiran masyarakat untuk membawa kemajuan dan mengetepikan apa-apa yang tidak membawa kemajuan.

Langkah kerajaan mewujudkan Hari Seniman Kebangsaan juga adalah atas kesedaran golongan seniman termasuk penggiat seni sudah sekian lama memberi sumbangan berterusan kepada negara.

Bagi mereka yang bergelar seniman, Hari Seniman Kebangsaan membawa makna bahawa sumbangan mereka diiktiraf dan diakui.

Seniman tentunya bukan setakat artis dan karyawan filem serta muzik semata-mata malah merangkumi penggiat seni lain.

Hari seniman seharusnya disambut dengan hasrat para seniman dan karyawan akan terus menghasilkan karya yang mampu menyumbang ke arah merealisasikan wawasan negara.

Memang kita tidak boleh nafikan bahawa warga seni merupakan satu aset penting negara. Mereka mempunyai tugas yang penting iaitu meninggikan martabat masyarakat melalui karya seni

Seni tidak harus dijadikan santapan mata dan telinga semata-mata tetapi ia perlu berperanan dalam melahirkan tamadun bangsa berilmu dan berbudaya.

Dalam usaha Malaysia menuju ke arah negara maju, pembangunan material bukan segala-galanya tetapi menuntut kepada kepelbagaian elemen termasuk pembudayaan karya seni.

Kemajuan yang syumul bukan setakat pembangunan material semata-mata tetapi ia menuntut kepada pelbagai elemen kemajuan dan pembangunan termasuk pembudayaan karya seni dalam kalangan masyarakat.

Dalam konteks ini, seni perlu dijadikan sebagai satu wadah ke arah memupuk masyarakat yang berbudaya dan bertamadun.

Seni juga merupakan satu industri yang mempunyai potensi besar untuk dikembangkan bagi menjana pendapatan lebih tinggi, namun begitu ia perlu diusahakan secara bersungguh-sungguh.

Kerajaan sentiasa prihatin untuk membela nasib warga seni dan sedia mempertimbangkan sebarang cadangan yang boleh memberi kebaikan kepada golongan tersebut.

Bagi meneruskan usaha ini, kerajaan akan terus memberikan dokongan, sokongan dan galakan yang sewajarnya kepada penggiat seni dalam pelbagai genre dan bidang

Program sempena Hari Seniman

Konsep acara pada sambutan Hari Seniman termasuklah mempamerkan aktiviti seni persembahan secara terus yang menggambarkan keunikan, peranan dan sumbangan warga seni negara dalam menyumbang pembentukan bangsa Malaysia.

Melalui pameran itu, usaha mewujudkan jati diri bangsa dan menggalakkan semua pihak mencintai budaya dapat dilihat.

Program yang dirancang menjurus kepada cabang-cabang kesenian seperti kesenian rakyat, seni lukis, lakonan, nyanyian, puisi serta bidang seni lain.

Acara yang dirancang itu adalah untuk memperlihatkan sumbangan setiap cabang seni dalam menyemarakkan perkembangan seni tanah air.

Pada sebelah malam pula akan diadakan bacaan tahlil.

Agensi dan jabatan lain di bawah KPKKW juga menganjurkan program tersendiri, yang melibatkan ekspo jualan kraf, pameran produk kraf serta pameran seni warisan.

Jabatan Warisan Negara pula akan mengadakan Himpunan Seniman Rakyat manakala Teater Muzikal P. Ramlee akan dipentaskan di Istana Budaya.

Hari Seniman Kebangsaan tidak setakat untuk bersuka ria tetapi lebih penting pengisian ke arah mengangkat martabat seni.

Misalnya, lebih banyak peluang diberikan kepada kumpulan teater untuk beraksi di pentas Istana Budaya atau memberi peluang kepada lebih banyak artis mengadakan pameran secara berkumpulan atau solo di Balai Seni Lukis Negara.

Kepada semua anak seni yang bergelar atau digelar seniman, pengiktirafan itu jangan disia-siakan. Mereka perlu menyokong penuh program murni ini demi memartabatkan dunia kesenian negara.

Tunjukkan perpaduan dan mungkin dengan cara itu kerajaan dapat mempertimbangkan dana sesuai untuk mengangkat lagi industri seni di Malaysia.

Selamat menyambut Hari Seniman Kebangsaan.

BACA INI JUGA: Merekalah Yang Telah Menjatuhkan P. Ramlee

sumber: utusan | kosmo

Sunday, June 07, 2015

Merekalah Yang Telah Menjatuhkan P. Ramlee

Merekalah Yang Telah Menjatuhkan P. Ramlee

Kehebatan dan bakat seni yang ada dalam diri P. Ramlee amat dikagumi oleh semua orang. Namun, dalam suka ada duka, selain diminati dan dikagumi, P. Ramlee juga menjadi mangsa hasad dengki orang lain pada masa itu.

P Ramlee

Periuk nasi P. Ramlee ditutup oleh 2 syarikat yang dinaikkan oleh P. Ramlee

1. Jaafar Abdullah, Eksekutif Shaw Brothers telah mengeluarkan surat pemberhentian khidmat P. Ramlee atas arahan RunRun Shaw dan RunMe Shaw. Alasannya, “Karya P. Ramlee tak bagus..”

2. EMI menamatkan kontrak P. Ramlee, Mrs Devan berkata, “Lagu P. Ramlee dah tak laku.. orang tak beli”. EMI Malaysia juga kata kontrak P. Ramlee adalah dengan EMI Singapura.

Harus diingat, P. Ramlee pulang ke Malaysia  atas arahan Shaw Brothers apabila pekerja Studio Jalan Ampas yang dibayar gaji yang amat rendah membentuk kesatuan pekerja Melayu dan melakukan banyak protes. Lee Kuan Yew telah mengarahkan Shaw Brothers ditutup untuk menyekat kesatuan itu. Apa tujuan LKY?

EMI pula seolah-olah tidak lagi mengenang jasa P. Ramlee. Seniman Agung ini telah memberikan pulangan yang sangat lumayan kepada EMI hasil ratusan lagu dan album P. Ramlee, Saloma dll. Kenapa perlu 'buang' P. Ramlee? Ikon terbesar industri musik masa itu? Bukankah kompilasi lagu P. Ramlee dan hasil lirik serta lagu P. Ramlee masih popular?

Itulah dua punca utama yang telah menjatuhkan karier P. Ramlee. Ianya satu bentuk pengkhianatan. P. Ramlee adalah seorang pejuang seni yang berjuang memartabatkan budaya Melayu dalam filem dan lagu Melayu dalam nyanyian.

Tak cukup dengan itu, wartawan tempatan juga kerap memperlekeh usaha P. Ramlee ketika irama Pop Yeh Yeh, Blues, Rock dan Pop sedang meresap ke dalam jiwa anak bangsa. P. Ramlee terpaksa memboikot media yang sering memutarbelit kenyataannya.

Karyawan pula ramai yang dengki dan merasakan mereka lebih baik. Apabila P. Ramlee menubuhkan PERFIMA bersama HM Shah dan turut disertai Jaafar Abdullah, Jins Shamsuddin dan Salleh Ghani, BOD memutuskan bahawa P. Ramlee tidak bagus sebagai pengarah filem kerana ‘tiada kelayakan akademik’. Maka Jins Shamsuddin yang dilantik jadi Pengarah Filem kerana dia baru balik dengan sijil pengarahan filem dari London. Maka P. Ramlee dan HM Shah keluar dari PERFIMA pada Februari 1973.

Segala usaha P. Ramlee disabotaj. 3 bulan selepas itu, P. Ramlee menjadi bertambah tertekan apabila menerima saman mahkamah.

Beliau telah menjadi penjamin kepada seorang kawan untuk satu pinjaman. ‘Kawan’ ini lesap, P. Ramlee berhadapan tindakan mahkamah yang boleh menjatuhkan hukuman bankrupsi, sedangkan P. Ramlee ketika itu tidak mempunyai wang untuk melangsaikan hutang.

Beliau mengalami kemurungan dan kekecewaan yang teramat sangat. Nasir P. Ramlee pula telah berkahwin ketika berusia 19 tahun dan keluar dari rumah.

P. Ramlee kecewa dan marah kerana tidak bersetuju dengan perkahwinan itu. Beliau menjadi tidak terurus, tak bercukur sehingga hari tragik. Sedih, kecewa, tertekan...

Seminggu selepas menerima surat saman, P. Ramlee meninggal dunia menjelang subuh 29 Mei, 1973 akibat serangan jantung. Sebelumnya beliau mengadu sakit dada dan dalam kesakitan sempat berpesan kepada Sazali..

”Jaga Mama baik-baik walau apapun yang terjadi…”

BACA INI JUGA: Pesanan Tersirat P. Ramlee Dalam Filem Pendekar Bujang Lapok

Sumber: Ahmad Husni Ahmad Basri [Edited by SP]

Wednesday, August 28, 2013

Haram Membaiki Pusara P.Ramlee-Saloma Yang Telah Dirosakkan!

Haram Membaiki Pusara P.Ramlee-Saloma Yang Telah Dirosakkan!

Pusara Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dan isterinya Puan Seri Saloma yang bakal dibaik-pulih dengan kos mencecah RM25,000 adalah haram hukumnya di sisi agama Islam.

Pusara yang dirosakkan pihak tidak bertanggungjawab.

Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid berkata, Islam mengharamkan sesebuah pusara itu dihias secara berlebih-lebihan apatah lagi pengubahsuaian itu dilakukan di atas sebuah tanah wakaf.

“Kos RM25,000 itu sangat tinggi untuk menghias sesebuah pusara dan saya percaya ia pasti menggunakan batu marmar yang mahal.

Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid.

“Malah dalam Islam sendiri sudah jelas memberitahu haram jika pusara dihias secara berlebih-lebihan di tanah wakaf melainkan ia adalah tanah persendirian,” katanya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini pada Isnin.

(Baca: Video Channel History - P. Ramlee Dikhianati Bangsa Sendiri)

Pada 21 Ogos lalu sebuah akhbar melaporkan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) akan melakukan pengubahsuaian terhadap pusara P.Ramlee dan Saloma selepas ia roboh akibat dihempap pokok pada Mac lalu.

Ketua Pengarah agensi itu, Raja Rozaimie Raja Dalnish Shah dalam laporan berkenaan berkata, kerja-kerja pengubahsuaian tersebut mengambil sedikit masa memandangkan bahan binaan pusara berkenaan diimport dari luar negara yang turut mencecah RM25,000.

Pusara berkenaan terletak di Tanah Perkuburan Islam, Jalan Ampang dekat sini.

Dalam pada itu Mohd Tamyes berkata, setiap pusara di tanah wakaf hanya boleh dihias tidak melebihi setengah kaki selain dilarang sama sekali membina makam atau bangunan pusara berbentuk kekal kerana ia mungkin akan diguna semula pada masa akan datang jika tanah sudah penuh.

Tambah beliau, walaupun matlamat pihak yang mahu menghias sebuah pusara itu sebagai ingin mencantikkan tempat berkenaan tetapi biarlah hiasan pusara dapat memberi manfaat seperti menanam pokok-pokok renek yang akan mendoakan si mati agar mengurangkan dosa-dosa kecil mereka semasa di dunia.

“Senang cerita, kewajipan manusia pada jenazah hanya empat iaitu memandikan, mengapankan, sembahyangkan dan mengebumikannya. Ini yang wajib dan menghias bukanlah dalam perkara wajib,” tegasnya yang turut menyifatkan kos pembinaan itu adalah satu pembaziran.

Sementara itu, pendakwah dan pembimbing jemaah Haji, Ustaz Mohd Hasnil Abu Bakar pula berkata pihak Finas perlu mendapatkan nasihat dan pandangan daripada pihak berkuasa agama Islam sebelum meneruskan perancangan membaik pulih pusara berkenaan.

“Memanglah P.Ramlee milik masyarakat dan Allahyarham disayangi ramai.

“Tetapi untuk membaik pulih pusara dengan kos seperti itu, lebih baik mereka berbincang dahulu bagi mendapatkan nasihat yang sepatutnya oleh pihak berkuasa Agama Islam ataupun mufti-mufti,” katanya.

Tambah beliau, jika pembinaan pusara itu dibuat secara keterlaluan, ditakuti wujudnya unsur-unsur syirik dengan aktiviti pemujaan untuk generasi akan datang sehingga menjadi tempat penyebaran ajaran sesat.

“Adalah lebih baik wang itu digunakan untuk membuka maahad tahfiz P.Ramlee kerana ia akan mendatangkan lebih manfaat kepada umat Islam dan juga si mati sendiri,” katanya.

Ditanya siapakah yang berdosa jika projek berkenaan diteruskan Mohd Hasnil berkata, pihak yang terlibat membinanya akan menanggung dosa itu dan bukannya si mati. -mStar

Friday, August 09, 2013

Video Channel History - P. Ramlee Dikhianati Bangsa Sendiri

Video Channel History - P. Ramlee Dikhianati Bangsa Sendiri

Artikel ini tidak sama sekali bertujuan untuk mengaibkan atau mempersalahkan sesiapa tetapi sekadar untuk mengingati dan mengetahui kisah suka duka penghibur nombor satu Malaysia yang abadi.


Kisah rakan karibnya yang menangis bila mendengar lagu 'Di manakan Ku cari ganti' yang sedang digubah oleh P Ramlee membuatkan kita sebak.

Apatah lagi apabila Aziz Sattar bercerita tentang anak-anak P Ramlee hanya makan nasi kosong dengan telur goreng kerana Tan Sri tidak mempunyai wang akibat dikhianat oleh bangsa sendiri.

Begitu juga kata-kata P Ramlee yang berharap agar warisan bangsa terus menjaga muzik asli telah membuat kita rasa terbelakang dengan pendapatnya.

Amat memalukan apabila wujud sikap hasad dengki daripada prodesur filem tempatan dan pelakon di Singapura yang merupakan bangsa sendiri semasa nama Tan Sri di kemuncak.

Anda harus tonton sendiri video selama 1 jam lebih di bawah.

Pengkhianat seni P Ramlee pula yang hidup senang-lenang hari ini.. Shame on you! [Sumber]



Sunday, July 28, 2013

Pesanan Tersirat P. Ramlee Dalam Filem Pendekar Bujang Lapok

Pesanan Tersirat P. Ramlee Dalam Filem Pendekar Bujang Lapok

Semasa di usia kanak-kanak dan remaja, kita menonton filem Pendekar Bujang Lapok hanya untuk ketawa, santai dan berhibur melihat telatah Ramlee, Aziz dan Sudin berpencak silat.


Hanya setelah dewasa barulah kita sedar P. Ramlee mahu menyampaikan pesanan yang penting kepada bangsanya.

Samseng-samseng yang bekerja di jeti penambang ini adalah lelaki-lelaki pongah, kasar dan mempunyai akhlak yang rendah.

Samseng berbaju hitam dan baju dalam berbelang hitam-putih seperti badan nyamuk aedes ini suka memaki-hamun sesama sendiri.

Mereka bertangan panjang, mencuri buah-buahan yang dibawa oleh penumpang. Menyamun duit tambang perahu, menindas para penumpang yang terdiri daripada orang bawahan serta mendahulukan gadis-gadis cantik untuk menaiki perahu.

Ah! Hipokrit! Kemudian mampirlah sebuah sampan mendekati jeti dengan membawa beberapa orang penumpang.

Daripada raut wajah si pengayuh dan penumpangnya dapat dilihat kepayahan memperjuangkan hidup. Potret lazim Melayu desa yang sentiasa dipanggang matahari panas dan berkeringat mencari sesuap nasi.

Daripada barang-barang dibawa ternyata mereka menaiki sampan untuk menjalankan kerja-kerja harian ataupun berdagang.

Apabila sampai di jeti penambang, ada ramai penumpang yang menunggu untuk menaiki sampan. Orang-orang yang menunggu di situ juga semuanya kelihatan sugul.

Antara yang menunggu lama itu adalah Wak Mustar bergelar 'Pendekar Pinang Sebatang', Wak Mustar merayu untuk menaiki sampan.

Kata Wak Mustar dengan lemah lembut: "Nak...bila pak cik boleh naik? Sudah lama tunggu di sini..."

Wak Mustar juga tidak mempunyai pilihan selain menunggu kerana jalan lain hanyalah berenang di sungai yang besar.

"Bising pulak! Pergi berenanglah Wak! Sungai besar, Wak!", kata salah seorang samseng penambang itu.

Apabila si tauke itu datang, samseng-samseng itu pergi menyambutnya dengan penuh hormat. Hal ini dikritik oleh Wak Mustar: "Mentang-mentang aku orang miskin kau tolak-tolakkan ya. Kamu semua pengampu, pengampu orang kaya!".

Kata-kata yang keluar daripada mulut Wak Mustar mungkin tidak pernah didengar oleh tauke. Dia terkejut dan berasa terhina.


Sebagai orang kaya, selalunya dia menerima puji-pujian atau seperti kata Wak Mustar, setiap masa dia diampu kerana dia orang kaya.

Mereka mengampu tauke yang merupakan pemilik penambang tersebut dan sanggup menolak penumpang lain ketika tauke hendak menaiki perahu, hinggalah Pendekar Mustar menyingsing lengan.

Nah, tibalah masanya buaya di sebalik sungai yang tenang sudah muncul menunjukkan diri! Satu persatu samseng diajar oleh Wak Mustar!


Pemberontakan Pendekar Mustar ini merangsang Ramlee, Azizi dan Sudin yang pada mulanya sekadar duduk di satu sudut bersenandung menggembirakan hati sendiri.

Walaupun tanpa gerak silat yang tersusun, kegigihan tiga bujang lapok ini menentang golongan samseng membuahkan hasil. Dan pemberontakan ini bukan untuk membunuh dan menjadi pemenang. Sekadar untuk mendapatkan sampan sahaja untuk ke seberang.

Tauke iaitu pengusaha sampan tambang ini hanya berseorangan sebenarnya. Kuasa yang ada padanya ialah kuasa wang.

Dengan wang dia menggaji samseng-samseng untuk menjalankan operasi di penambang, menjadi pengayuh sampan dan sebagainya.

Pekerja-pekerja ini merasakan diri mereka lebih tinggi kedudukan daripada penumpang-penumpang itu lalu berlagak dan menunjukkan kuasa.

Mereka juga bergantung kepada tauke yang menjadi pemodal untuk mendapatkan kerja. Hakikatnya, kesemua orang yang dipaparkan oleh P. Ramlee di dalam filem ini tidak ada pilihan.

Mereka ini bergantung kepada golongan penindas yang memiliki kemudahan untuk mendapatkan kerja dan memenuhi keperluan hidup.

Oleh kerana pergantungan ini, mereka tidak dapat bertindak walaupun dizalimi. Pergantungan ini menyebabkan mereka tertekan, kehilangan maruah diri dan menikus di hadapan penindas yang berkuasa.

Dengan kebijaksanaan P. Ramlee, filem Pendekar Bujang Lapok memberitahu kita bahawa peniaga yang menindas dan peniaga bersikap samseng dapat diajar jika masyarakat bersatu-padu, berilmu dan bangkit membela hak kepenggunaan masing-masing.

Dulu kita ketawa melihat adegan kemuncak di penambang di mana samseng, penindas dan orang asing dihumbankan ke dalam sungai.

Sekarang kita harus membantu Aziz Satar yang aktif membantu seniman Melayu yang dipinggirkan. Janganlah bila tiba masanya Pak Aziz sudah keseberang sana kita baru sibuk hendak mengangkat jasa-jasanya.


Usah lupa kirimkan doa kepada Sudin yang baru-baru ini telah menghadap Ilahi. Ramlee dan Sudin telah menyeberangi alam dunia yang fana ke alam baqa yang kekal nan abadi.

Pasti dua sahabat baik ini sudah tiba di seberang sana dan berbahagia hendaknya. Manakala melalui memori yang menjentik menerusi skrin hitam putih, perahu yang digunakan Ramlee, Aziz dan Sudin bersama Wak Mustar sudah berjaya menyeberangi sungai.

Tiga bujang ini pun menuntut ilmu silat bagi mempertahankan diri dan menuntut ilmu akademik untuk mengubah nasib diri yang mewakili nasib bangsa Melayu.

Inilah pesan P. Ramlee kepada kita yang masih berdiri di seberang sini. Memang patutlah P. Ramlee diangkat sebagai lagenda dan budayawan bangsa bahkan dunia!

Mungkin sebab inilah juga mengapa filem-filem P. Ramlee termasuk filem Pendekar Bujang Lapok terus popular tiada tandingannya sehingga kini!

BACA INI JUGA: Video Channel History - P. Ramlee Dikhianati Bangsa Sendiri

-SENTIASAPANAS.COM