Friday, June 02, 2017

Menjawab Putar Belit Orientalis Peristiwa Israk Mikraj

Menjawab Putar Belit Orientalis Peristiwa Israk Mikraj

Musuh-musuh Islam terutamanya di kalangan Orientalis barat, telah meletakkan jarum-jarum mereka dalam penulisan buku-buku sejarah dan sirah baginda Rasulullah SAW.

Putar Belit Orientalis

Ia bertujuan agar umat Islam yang membacanya akan terkeliru dengan fakta sebenar mengenai perjalanan Israk dan Mikraj.

Takrif Israk dan Mikraj

Israk: Perjalanan Nabi Muhammad SAW pada 27 Rejab, daripada Masjidil Haram, ke Masjidil Aqsa. Dalil jelas disebutkan di dalam al Quran, Surah al Isra’ ayat 1. Sesiapa yang mengingkarinya adalah kafir.

Mikraj: Perjalanan Baginda SAW pada tarikh tersebut, daripada Masjidil Aqsa ke langit yang ketujuh. Dalil disebutkan di dalam Hadis Masyhur. Ada yang mengatakan mikraj Baginda SAW melintasi syurga, sampai ke Arasy, dan sebagainya berdasarkan perbezaan riwayat. Kesemuanya diriwayatkan secara perseorangan. Sesiapa yang mengingkarinya adalah fasiq, tidak dikafirkan.

Tarikh Peristiwa Israk dan Mikraj

Ulama khilaf di dalam menentukan tarikh yang tepat peristiwa ini.

1. Imam Thabari mengatakan bahawa ia berlaku pada tahun Nabi SAW di lantik sebagai nabi.

2. Al ‘Allamah Mansur Furi mengatakan ia berlaku pada 27 Rejab, tahun ke 10 kenabian Nabi Muhammad SAW.

3. Imam Nawawi dan al Qurtubi mengatakan bahawa ia berlaku pada tahun ke 5 kenabian.

4. Pandangan-pandangan lain ada yang mengatakan bahawa ia berlaku pada 16 bulan sebelum hijrah bersamaan Ramadhan tahun ke 12 kenabian. Ada juga yang mengatakan pada setahun dua bulan sebelum hijrah, iaitu pada Muharram tahun ke 13 selepas kenabian. Juga ada yang mengatakan ia berlaku pada setahun sebelum hijrah, iaitu pada Rabi’ul Awwal tahun ke 13 selepas kenabian. Namun, pandangan-pandangan ini tidak dapat dipastikan sumber-sumbernya.

Di dalam kitab Zadul Ma’ad, menyebut bahawa solat fardhu diwahyukan selepas kewafatan Saidatina Khadijah, iaitu pada Bulan Ramadhan, tahun ke 10 selepas kenabian. Dan solat fardhu disyariatkan pada malam Israk dan mikraj. Wallahu a’lam.

Plot-plot Israk dan Mikraj

1. Nabi Muhammad SAW berjalan di waktu malam (israk) dengan menaiki buraq, daripada Mekah ke Baitul Maqdis dengan tubuhnya. Baginda SAW didampingi oleh Malaikat Jibril AS.

2. Baginda SAW sampai di Baitul Maqdis, dan menjadi imam solat bagi nabi-nabi. Baginda SAW mengikat buraq di pintu masjid, dan terus mikraj.

3. Mikraj bermula dengan melalui langit dunia, dan Jibril AS meminta supaya ia dibuka, dan pintu langit dunia dibuka untuk laluan Baginda SAW. Di sana, Baginda SAW bertemu dengan Nabi Adam AS, dan memberi salam kepadanya. Salam tersebut dijawab, dan Nabi Adam AS mengakui kenabian Nabi Muhammad SAW.

4. Dalam masa yang sama, Allah SWT memperlihatkan kepada Nabi Muhammad SAW roh-roh orang syahid di medan perang di sebelah kanan Baginda SAW, dan roh-roh orang yang jahat di sebelah kirinya.

5. Kemudian, Baginda SAW dinaikkan (dimikrajkan) ke langit kedua. Di sana, Nabi Muhammad SAW bertemu Nabi Yahya bin Zakaria AS, dan Nabi Isa bin Maryam AS. Baginda SAW memberi salam kepada mereka, dan mereka mengakui kenabian Baginda SAW.

6. Kemudian, Baginda SAW dinaikkan lagi ke langit ketiga. Di sana, Baginda SAW bertemu dengan Nabi Yusuf AS, dan memberi salam kepadanya. Salam tersebut dijawab, dan Nabi Yusuf mengakui kenabian Nabi Muhammad SAW.

7. Kemudian, Baginda SAW dinaikkan lagi ke langit yang keempat. Di sana Baginda SAW bertemu dengan Nabi Idris AS, dan memberi salam kepadanya. Salam tersebut dijawab, dan Nabi Idris mengakui kenabian Nabi Muhammad SAW.

8. Kemudian, Baginda SAW dinaikkan lagi ke langit yang kelima. Di sana Baginda SAW bertemu dengan Nabi Harun bin Imran AS, dan memberi salam kepadanya. Salam tersebut dijawab, dan Nabi Harun mengakui kenabian Nabi Muhammad SAW.

9. Kemudian, Baginda SAW dinaikkan lagi ke langit yang keenam. Di sana Baginda SAW bertemu dengan Nabi Musa bin Imran AS, dan memberi salam kepadanya. Salam tersebut dijawab, dan Nabi Musa mengakui kenabian Nabi Muhammad SAW.

10. Ketika Nabi Muhammad SAW melepasinya, Nabi Musa menangis. Lalu, ditanya kepada Nabi Musa, “kenapakah kamu menangis?” Nabi Musa AS menjawab: “Aku menangis kerana seorang manusia yang diutuskan selepasku, umatnya masuk ke syurga lebih ramai daripada umatku.”

11. Kemudian, Baginda SAW dinaikkan lagi ke langit yang ketujuh. Di sana Baginda SAW bertemu dengan Nabi Ibrahim a.s., dan memberi salam kepadanya. Salam tersebut dijawab, dan Nabi Ibrahim mengakui kenabian Nabi Muhammad SAW.

12. Kemudian, Nabi Muhammad SAW dinaikkan ke Sidratul Muntaha, dan dinaikkan lagi ke Baitul Ma’mur. Seterusnya dinaikkan bertemu Allah SWT. Di sinilah, Baginda SAW disyariatkan solat fardhu 50 waktu. Setelah itu, Baginda SAW turun daripada tempat tersebut sehinggalah melalui langit keenam, tempat pertemuan dengan Nabi Musa AS.

13. Di sana, Nabi Musa AS bertanya kepada Baginda SAW, “Apakah yang diperintahkan kepada kamu?” Nabi Muhammad SAW menjawab “50 waktu solat”. Nabi Musa AS berkata, “Umat kamu tidak mampu melakukannya, pergilah bertemu Allah SWT minta dikurangkan”. Lalu Baginda SAW bertanya kepada Jibril, dan Baginda SAW dinaikkan semula.

14. Apabila bertemu Allah SWT buat kali kedua, bilangan waktu solat dikurangkan menjadi 45 waktu. Baginda SAW turun semula dan sekali lagi bertemu dengan Nabi Musa AS. Nabi Musa AS berkata kepadanya supaya meminta lagi supaya dikurangkan. Lalu Baginda SAW naik semula sehinggalah waktu solat dikurangkan menjadi 5 waktu sahaja.

Persoalan Dan Keraguan Yang Dilontarkan Orientalis Di Dalam Peristiwa Ini

Di sana terdapat beberapa keraguan, yang dapat dijelaskan di sini. Antara keraguan tersebut ialah:

Pertama

Bagaimanakah Nabi Muhammad SAW boleh bertemu dengan Allah SWT di Baitul Makmur? Bukankah Allah SWT tidak bertempat?

Jawapan: Hakikatnya Allah itu bukanlah berada di Baitul Makmur. Tetapi, Nabi SAW dinaikkan daripada tempat tersebut sehingga bertemu Allah SWT. Dan tidak pula menyatakan bahawa Allah itu berada di Baitul Makmur. Ini kerana Allah itu tidak bertempat.

Kedua

Bagaimanakah Nabi Muhammad SAW boleh bertemu Allah? Adakah Allah itu boleh dilihat? Bukankah ia menunjukkan Allah itu berada di satu tempat?

Jawapan: Ya, Nabi Muhammad SAW bertemu Allah, tetapi Allah SWT tidak serupa langsung dengan makhluk. Allah SWT wujud, dan setiap yang wujud dapat dilihat. Maka, Allah dapat dilihat, tetapi, kita melihat Allah tidak sama dengan melihat makhluk. Makhluk memerlukan ruang untuk bertempat, sedangkan Allah tidak. Contohnya, kita melihat pemberita di dalam televisyen. Tetapi, hakikatnya pemberita tersebut tidak berada (bertempat) di dalam peti televisyen tersebut.

Isra dan Mikraj Dengan Roh Sahaja? Atau Beserta Jasad?

Syeikh Ibrahim al Baijuri mengatakan bahawa, di dalam persoalan ini, terdapat tiga pandangan yang berbeza:

1. Sebahagian umat Islam pada kurun pertama berpandangan bahawa Nabi SAW israk dan mikraj dengan rohnya sahaja.

2. Sebahagian yang lain, berpandangan bahawa Baginda SAW hanya bermimpi.

3. Umat Islam kurun kedua, dan selepasnya, berpandangan bahawa Nabi SAW israk dan mikraj dengan roh dan jasadnya. Pandangan inilah yang terpilih.

Perbezaan di antara pandangan pertama dan kedua ialah, sekiranya israk dan mikraj dengan roh sahaja, iaitu dalam keadaan berjaga (tidak tidur). Dan jasadnya berada dalam keadaan separa sedar. Manakala mimpi, jasadnya sedang tidur.

Pandangan Terpilih

1. Imam Nawawi berkata bahawa kebanyakan salafus soleh, umat Islam selepasnya, para fuqaha’, ulama’ hadis dan ulama’ Ilmu Kalam, kesemuanya berpandangan bahawa Baginda SAW israk dan mikraj dengan roh dan jasad.

2. Imam Ibnu Hajar al Asqolani berkata bahawa ia berlaku dalam keadaan sedar, jasad dan roh Baginda SAW, sepertimana yang dipegang oleh ulama’ Hadis, para fuqaha’ dan ulama Ilmu Kalam.

Bagaimanakah kita dapat menggambarkannya dengan akal?

Menggambarkan bahawa Nabi Muhammad SAW israk dan mikraj dengan jasad dan rohnya, adalah satu perkara yang mudah.

Cuma, beberapa persoalan yang meragukan, kerap timbul. Maka, saya datangkan sebuah perumpamaan yang sesuai untuk menjawab persoalan ini.

Seekor semut sedang berada di pakaian seorang peniaga, ketika peniaga tersebut pergi melancong maka, semut tadi akan bersama-sama peniaga tadi, melancong ke seluruh dunia.

Apabila peniaga tersebut kembali ke rumah, semut tadi menceritakan kepada kawan-kawannya, bahawa dia telah pergi melancong ke seluruh dunia.

Maka, semut-semut yang lain, sukar untuk mempercayainya. Mana mungkin seekor semut boleh sampai ke London, Mesir dan New Zealand, kata mereka.

Kawan-kawan semut menambah lagi, mungkin kamu hanya melihat pada gambar kemudian berkhayal, atau kamu hanya bermimpi! Tetapi hakikatnya ia adalah satu perkara yang logik.

Adakah Nabi SAW pergi dengan roh dan jasadnya? Jawapannya adalah “ya”.

Sekiranya Baginda SAW hanya bermimpi atau pergi dengan rohnya sahaja, maka tidaklah nampak satu kehebatan dan kelainan pada Peristiwa Israk dan Mikraj ini.

Muhammad Mujahid bin Mohammad Fadzil
Kuliah Usuluddin, Akidah dan Falsafah
Universiti Al Azhar

BACA INI JUGA:

sumber: ibnuirfadzil

Wednesday, April 05, 2017

Sejarah Siapa Orientalis Dan Serangan Intelektual Terhadap Islam

Sejarah Siapa Orientalis Dan Serangan Intelektual Terhadap Islam

Rencana ini menyentuh tentang para pengkaji ilmu Islam dari kalangan bukan Islam (orientalis) dan hasil tulisan mereka yang mana karya-karyanya terdapat seribu satu jenis racun yang mampu melemah dan menyeleweng fahaman sebenar Islam.

Sejarah Siapa Orientalis

Penulisan ini dibuat dalam bentuk separa ilmiah, bertujuan memberi maklumat mudah kepada golongan awam dan professional Islam terutamanya yang sering bergantung kepada rujukan buku berbahasa Inggeris.

Penulisan ini akan mendedahkan hal berikut secara ringkas:-
  1. Beberapa jenis kumpulan Orientalis
  2. Senarai Nama Orientalis yang berbahaya, latar belakang & beberapa dakwaan jahat mereka.
  3. Senarai nama kitab karangan mereka yang sangat merbahaya.
  4. Kumpulan karya Orientalis yang boleh dibaca.
  5. Beberapa buah karya Bekas Orientalis yang telah masuk Islam
  6. Antara Individu Islam yang terpengaruh dengan Orientalis dan karya mereka.

Jenis kumpulan Orientalis

1. Kumpulan pengkaji yang suka mencari kisah ganjil, pelik dan dongeng. Jenis ini banyak mereka cipta kisah bohong & fitnah terhadap Islam. Muncul dengan pesat di awal kemunculan gerakan Orientalis, bagaimanapun semakin berkurangan dari masa ke semasa.

2. Kumpulan yang meluangkan sepenuh masanya dalam kajian Islam dan Arab dalam usaha membekalkan maklumat kepada Barat dari sudut Ekonomi dan Politik dan Penjajahan baru.

3. Kumpulan yang sangat benci dan bermusuhan dengan Islam lalu sengaja menutup kebenaran dalam tulisan-tulisan mereka.

4. Kumpulan yang memperkenalkan diri mereka sebagai pengkaji akademik yang tulus ikhlas dan professional, bagaimanapun sebenarnya mencari kelemahan Islam serta meragukan kesohihan Risalah Islam, Aqidah Tauhid, kesahihan Al-Quran, Hadith dan lain-lain.

5. Kumpulan yang benar-benar membuat kajian secara ilmiah dan professional tanpa sebarang sentimen agama, yang mana setengahnya membawa mereka kepada Islam. (Rujuk Dr Hamdi Zaqzuq, ms 78-79)

Senarai Nama Para Orientalis Barat Jahat & Karya mereka

Berikut ialah nama Orientalis serta Tajuk Buku (Kebanyakan Tajuk disebut dalam Bahasa Malaysia), Tahun Keluar (Masihi).

1. A.J Arberry

Warga British, sangat memusuhi Islam. Professor di Universiti Cambridge. Ramai pelajar Mesir belajar dengannya dalam Pengajian Islam.

Buku
  • Islam Hari Ini (Islam Today)
  • Pendahuluan Sejarah Tasawuf
  • At-Tasawuf
  • Terjemahan Quran (1948-1950)

2. A. Geom

Warga British, sangat memusuhi Islam. Pensyarah di Universiti di Britain & USA. Jelas dalam karyanya agenda missionary. Ramai pelajar Mesir mempelajari ilmu Timur darinya dengan biasiswa kerajaan Mesir.

Buku
  • Al-Islam

3. Baron Garra de Vaux

Salah seorang pengarang Islamic Encyclopedia. Berbangsa Perancis dan sangat musuhi Islam.

4. H.A.R Gibb

Pengarang utama Islamic Encyclopedia. Warga British, Orientalis terbesar. Ahli dalam kesatuan Bahasa di Mesir. Profesor di Universiti Hartford, USA· Karya-karyanya sangat bahaya kepada Islam.

Buku
  • Cara Islam (Inggeris & Arab)
  • Pendekatan Baru Dalam Islam (Inggeris&Arab)
  • Mazhab Muhammadi (Mohammedanism)
  • Islam & Masyarakat Barat
  • Whither Islam 1947

5. Goldziher

Pengasas gerakan meragukan kesahihan hadith. Dianggap pakar dalam bidang hadith oleh rakan-rakan Orientalisnya. Mendakwa Quran diubah selepas Baginda SAW wafat. Tokoh utama oreintalis , terlalu benci kepada Islam

Buku
  • Pengarang utama Islamic Encyclopedia
  • Sejarah Mazhab Tafsir Islam (Inggeris & Arab)
  • Pengenalan aqidah & Syariah Dalam Islam (Introduction to Islamic Theology & Law)
  • Halangan Muhammad

6. John Maynard

Buku
  • Majalah Persatuan Pengajian Timur (1924)

7. S.M. Zweimer

Berasal dari Amerika Syarikat, Missionari, sangat terkenal dengan permusuhannya dengan Islam.

Dunia Islam (pengasas majalah ini):
  • Islam Mencabar
  • Demi ‘Aqidah
  • Al-Islam (1908-1911)

8. Aziz ‘Atiyyah Suryal

Menulis beberapa buah kitab tentang Perang Salib. Rakyat Mesir beragama Kristian. Belajar di Universiti Amerika, sangat benci kepada Islam.·Terlalu banyak menyelewengkan ajaran Islam.

9. Von Grunbaum

Rakyat Jerman berbangsa Yahudi tetapi menetap di Amerika Syarikat. Profesor di Universiti Chicago. Terlampau banyak menyerang Islam.

Buku
  • Islam di zaman pertengahan
  • Perayaan Muhammad
  • Usaha Menerangkan Islam yang Moden
  • Pengajian Sejarah Keilmuan Islam
  • Al-Islam
  • Kesatuan & Kepelbagaian dalam Tamadun Islam

10. Phillip Hitti

Rakyat Lubnan beragama Kristian. Professor Pengajian Timur Universiti Brenston, Amerika Sayrikat. Penyelia tidak rasmi kepada Kementerian Luar Amerika. Sangat benci kepada Islam dan enggan menisbahkan Islam dengan sebarang kebaikan atau keutamaan.

Buku
  • Ensaiklopedia Islam, Bab Sastera Arab
  • Sejarah Arab (History of Arabs) yang mengandungi tuduhan bahawa Nabi tidak siuman
  • Al-Islam
  • Sejarah Syria
  • Asal usul Agama Duruz

11. Carl Brocklemann

Buku
  • The History (Jerman, Inggeris)

12. A.J Weinsink

Mendakwa Nabi SAW mereka Al-Quran hasil dari ringkasan kitab-kitab agama dan falsafah sebelumnya. Tetapi sesetengah karya Weinsink boleh dibaca (lihat selepas ini).

Buku
  • Aqidah Islam (1932)

13. Kenneth Gragg

Berasal dari Amerika. Sangat benci dan menentang Islam. Mengajar di Universiti Amerika di Qaherah beberapa ketika. Missionari Kristian. Ketua Jabatan Kristian di Universiti Hartford.

Buku
  • Ketua Editor Majalah The Muslim World
  • Dakwah al-Makzanah (956)

14. L. Massignon

Berbangsa Perancis, Orientalis terbesar keluaran Perancis. Penasihat Menteri Jajahan Perancis dalam hal ehwal Timur Afrika. Pengawas Kerohanian Kesatuan Missionari Perancis di Mesir.

Pernah menjadi askar Perancis selama 5 tahun dalam Perang Dunia Pertama. Ahli Majlis Bahasa di Mesir dan Kesatuan Ilmu ‘Arab di Dimasq, Syria. Mendalami bidang Falsafah dan Tasauf Islam.

Buku
  • Al-Hallaj , sufi yang syahid di Alam Islam
  • Salah seorang penting dalam karya Ensaiklopedia Islam

15. D.B. Macdonald

Berasal dari Amerika dan di antara orientalis yang paling memusuhi Islam.

Buku
  • Perkembangan Ilmu Kalam, Fiqh dan Teori Perlembagaan Dalam Islam
  • Pendirian Agama & Hidup Dalam Islam (1903-1908)

16. M.Green

Setiausaha Majalah Middle East.

17. Majid Qadrawi

Penganut Kristian dari Iraq, Ketua Jabatan Pengajian Timur Tengah Universiti John Hopkins, USA·Ketua Ma'ahad Timur Tengah untuk Penyelidikan & Pendidikan di Washington. Terlalu membenci Islam.

Buku
  • Perang & Damai Dalam Islam (1955)

18. D.S Margoliouth

Berbangsa Inggeris.

Buku
  • Perkembangan Baru Dalam Islam
  • Muhammad & Kelahiran Islam
  • Universiti Islam

19. R.A Nicholson

Berbangsa Inggeris. Sangat bencikan Islam.·Menafikan Islam agama wahyu. Mendalami bidang Tasawuf Islam.

Buku
  • Antara pengarang Ensaiklopedia Islam
  • Para ahli Sufi Islam
  • Sejarah Sastera Arab (1910-1930)

20. Henry Lammens

Antara pengarang Ensaiklopedia Islam. Berbangsa Perancis. Tersangat merbahaya. Mendakwa Nabi tidak menyukai perpaduan. Telah banyak mengubah fakta sejarah Islam seperti mengubah tarikh lahir Nabi SAW serta membuat gambaran jahat terhadap Fatimah az-Zahra.

Buku
  • Al-Islam
  • At-Toif
  • Majalah Kesatuan Pengajian Timur USA (1925) ·

21. Joseph Schacht

Antara pengarang Ensaiklopedia Islam. Berbangsa Jerman. Menghasilkan banyak karya tentang fiqh dan Usul Fiqh. Mendakwa asas syariat Islam adalah cedokan undang-undang Rom.

Buku
  • Usul Fiqh Islam
  • Sumber Fiqh Islam (The Origins of Mohammadans Jurisprudence).

22. Rudi Paret

Menuduh Nabi SAW mencipta sendiri Quran dan mengambil pengalaman hidup dan ilmu tentang Isa dan Maryam sebagai asas rekaan Al-Quran.

Buku
  • The Quran
  • Der Koran ·

23. Karl Heinrich Becker

Pengasas Majalah Islam.

24. Jetson Phiit

Menghentam Islam melalui bukunya.

Buku
  • Majd al-Islam (Kemuliaan Islam)

25. Richard Bell

Profesor Bahasa Arab di Universiti Edinburgh.

Buku
  • "Al-Quran & Hubungan Nasrani dengan Nabi SAW (Arab & Inggeris)

26. Lord

Mendakwa Nabi terpengaruh dengan ajaran Yahudi dan mereka permulaan beberapa surah dengan huruf-huruf. Seperti ‘Alif Lam Mim' dan lain-lain.

27. Najib al-‘Aqiqi Al-Musytasriqun (Orientalis)

Berbangsa Arab.

28. W.C. Smith

Buku
  • Islam in Modern History

29. Montgomery Watt

Buku
  • Sirah Nabi di Mekah
  • Sirah Nabi di Mekah(Mohammad In Mecca & Medina)
  • Mohammad, Prophet & Statesman

30. Dr C.G Pfander

Mencabar Ulama Islam berdebat dengannya, disahut dan dilakukan pada 1854 M. Hasil debat ini akhirnya Pfander mengakui terdapat 8 tempat penyelewengan dalam Injil.

Debat dibuat dalam beberapa hari, pengikut Kristian yang semakin ramai membanjiri majlis, kecewa dengan Pfander. Kelemahan hujjah Pfander ketara hingga beliau tidak datang pada hari ke 3 debat.

Syiarnya selepas itu, "Kiranya Syeikh (ulama yang berdebat dengannya) ada di satu tempat, saya beredar dari tempat itu." (Lihat Abu Hasan Ali An-Nadawi).

Buku
  • ‘Neraca Kebenaran (Mizan al-Haqq)'

31. George Sale

Buku
  • Terjemahan al-Quran ke Bahasa Inggeris

32. Hamilton Jobb

Banyak melakukan penyelewengan maklumat dan menyelewengkan pendapat ulama dalam bukunya.

Buku
  • Asas Bina Pemikiran Agama dalam Islam

33. William Muir

Cuba meragukan bahasa al- Quran dan menuduh ianya tidak terjamin dari kesalahan.

34. Louis Gardeih

Mendakwa Saidina Uthman yang menyusun surah dan ayat quran.

Buku
  • ‘Falsafah Pemikiran Agama antara Islam dan Kristian'

35. Z.P Bodly

Menuduh kotor isteri-isteri Nabi. Dakwaan bohong yang mengatakan Nabi mempunyai hubungan dengan Rahib Kristian dan juga dakwaan bohong Nabi dipengaruhi Paderi Waqas B. Sa'adah dan Waraqah Nawfal. (Lihat Anwar al-Jundi)

36. Cofan, Renan, Jano

Berikut pula adalah beberapa nama buku bahaya hasil karya para Oreintalis dan yang terpengaruh dengannya.
  1. The Encyclopedia Of Islam - Terbitan pertama tahun 1913 hingga 1938 dalam 3 bahasa iaitu Bahasa Inggeris, Jerman & Perancis. Kemudian ensaiklopedia ini cuba diterjemah ke bahasa Arab sehingga huruf ‘ain. Projek ini terhenti dan para penterjemahnya melakukan kritikan yang banyak terhadap kandungannya hinggalah membawa kepada pindaan sebahagian besar dari isi kandungannya. Terbitan baru tahun 1954 . Diterbitkan dalam 6 jilid, dan kelihatan agak sederhana dalam kebanyakan pendirian terhadap masalah khillafiah, disebabkan ada sedikit campurtangan para ulama dalam kandungannya. Terjemahan sempurna ke dalam bahasa Arab siap dan dikeluarkan pada tahun 1997 dalam 32 jilid.
  2. The Encyclopedia Of Britanicca _ amat banyak meneyeleang dalam pelabagi bab. Termasuk dalam bab Al-Quran yang telah di jawap oleh Syeikh Prof. Dr Fadhal Hasan Abbas.
  3. Majalah ‘The Muslim World'
  4. Shorter Encyclopedia Of Islam
  5. Encyclopedia Of Religion and Ethics
  6. Encyclopedia Of Social Sciences
  7. Dirasat fi Tarikh ( Pengajian Sejarah) oleh Arnold Toynbee
  8. Hayat Muhd ( Hidup Muhammad) oleh W Muir
  9. Al-Islam oleh Alfred Geom
  10. Deen As-Syiah ( Agama Syiah ) oleh D.M Donaldson
  11. Tarikh Sharel al-Kabir oleh Bishop Turpin
  12. Al-Islam dalam Bahasa Perancis oleh Henry Lammens
  13. Al-Islam dalam Bahasa Inggeris oleh S.M Zweimer
  14. Islam Today oleh A.J Arberry
  15. Translation of Quran oleh A.J Arberry
  16. Tarikh Mazahib Tafsir Al-Islami (Sejarah Mazhab Tafsir Islam) dalam bahasa Jerman & Arab oleh Goldziher
  17. Arabic History oleh Phillip Hitti
  18. Majalah Al-Islam - Keluaran Malaysia
  19. Jewism In Islam oleh Ibrahim Kashh
  20. Qamus Al-Munjid : Dr Mustafa al-Jawad telah memberi komentar bahawa dikenalpasti lebih 324 penyelewengan dalam kamus ini dan kami tidak merujuknya kecuali ketika sangat perlu sahaja, sebagai contoh lihat nama kalimah (الطلقاء) , diterjemahkan sebagai : Mereka yang memasuki Islam secara dipaksa. (Penulis tidak sempat menyemak hal ini)
  21. Dan lain2 kitab yang telah disebutkan sebelum ini juga merupakan karya yang terbanyak membuat keraguan terhadap Islam.

Antara Karya Orientalis yang boleh dibaca

Menurut Syeikh Abul Hasan Ali An-Nadawi, karya-kara ini adalah diiktiraf sebagai mempunyai kualiti ilmu yang baik dan amat sedikit kelihatan sentimen dengki dan benci terhadap Islam.

Sebagai contoh:-
  1. Prof T. W Arnold - The Preaching of Islam
  2. Stanley Lane Poole - Saladin (Salahuddin Al-Ayyubi)
  3. Stanley Lane Poole - Moors in Spain
  4. Dr Aloys Sprenger - Pendahuluan kitab ‘Al-Isobah fi tamyiz as- sahobah karangan' Al- Hafiz Ibnu Hajar
  5. Edward William Lane - Mu'jam Arabic-English Lexicon
  6. A.J Weinsink - Mu'jam Al-Mufhiras ‘Am Bagi Hadith Nabi (Dari Sunan yang 6, iaitu Musnad Ad-Darimi , Muwatto' Malik dan Musnad Ahmad diterjemah ke bahasa Arab Arab oleh Mohd Fuad Abd Baqi dengan kata pengantarnya oleh Syeikh Mohd Rashid Ridha
  7. G.B Strenge - Land of the Eastern Caliphate

Antara karya bekas Orientalis yang telah memeluk Islam
  1. Islam at the Crossroad oleh Muhamad Asad (nama sebelum Islam Leopold Weis)
  2. Road to Mecca oleh Muhamad Asad (nama sebelum Islam Leopold Weis)
  3. Islam verses The West oleh Maryam al-Jameelah (nama sebelum Islam Margaret Marcus)
  4. Islam & Modernisme oleh Maryam al-Jameelah (nama sebelum Islam Margaret Marcus)

Beberapa Individu Islam yang terpengaruh dengan Orientalis

Al-Marhum Syeikh Prof. Dr. Mustafa As-Sibaie pernah menyatakan bahawa selain orientalis asli yang terdiri daripada golongan kuffar, terdapat juga spesis anak buah berfikiran oreintalis yang sering menjalankan usaha meragukan kekuatan Islam serta membawa berita dan fakta bohong dari kalangan umat Islam.

Sebahagian lain pula terpengaruh dengan racun pemikiran Orientalis. Mereka juga adalah dari kalangan umat Islam.

Terdapat juga kalangan ini yang menyeleweng akibat kejahilan hakikat Islam sebenar selain mempunyai tujuan-tujuan lain.

Antara yang boleh dianggap demikian adalah seperti berikut:

1. Prof. Ahmad Amin

Pernah menjadi Dekan Kuliah Sastera, mempunyai sijil dalam Qadha' Syar'ie).

Kitabnya bernama ‘Fajr al-Islam'. Majoriti kandungan kitab ini adalah tentang Hadith Nabi.

Di antara dakwaan di dalam buku ini kononnya Abu Hurairah r.a. lemah dalam meriwayatkan Hadith, Imam Abu Hanifah tidak mempunyai Hadith, menuduh Ibn Mubarak lalai, mempertikaikan keadilan Sahabat Nabi, menimbulkan keraguan terhadap Imam Bukhari.

2. Abu Rayyah Adwa'

Tulisan bertajuk ‘ala As-Sunnah, mempertikaikan Abu Hurairah.

3. Ismail Adham

Tulisan mengenai Sunnah (tahun 1353 H). Mengisytiharkan hadith sahih dari kitab-kitab sunan tidak sah, serta menuduh ianya mawdu' (rekaan).

4. Prof. Ali Hasbullah

Buku bertajuk: Usul At-Tasri' Al-Islami. Mendakwa maslahat perlu diutamakan apabila bertembung dengan Nusus Quran & Sunnah yang Qat'ie.

Dakwaan ini dijawab oleh Dr. Yusoff Al-Qaradhawi, Prof. Dr. Said Ramadhan Al-Buti, Syeikh Muhd Al-Ghazali dan ramai lagi.

5. Syeikh Ali Abd Raziq

Al-Islam wa Usul al-Hukm (Islam dan Usul Perundangan tahun 1925 ). Menuduh tiada politik dalam Islam. Kitab ini dikecam hebat oleh ulama Islam semasa.

Antara ulama yang menjawab ialah Syeikh Muhd Bakhit al-Mut'ie dan Syeikh Khudar Hussain. Akhirnya penulis telah menarik balik dakwaannya selepas itu, demikian menurut Dr. Muhd ‘Amaroh.

6. Prof Khalid Muhd Khalid :

Bukunya bertajuk ‘Min Huna Nabda (Dari sini kita bermula)' dan ‘Ad-Demoqratia Abadan' · Kitab ini dijawap oleh Syeikh Muhd Al-Ghazali dalam kitabnya ‘Min Huna Na'lam' (dari sini kita tahu).

Akhirnya penulis ini juga menarik balik kalamnya lalu menulis kitab baru tajuk ‘Ad-Dawlah fil Islam'- Bab Maslahat.

7. Prof Dr Abd Hamid al-Mutawali (Seorang Profesor Undang-undang )

‘Manahij at-Tafsir fil Fiqh al-Islami' (Perlu dingat hanya sebahagian kecil dalam bab tertentu sahaja yang perlu disemak & diperbetul, majoriti karyanya adalah diiktiraf, manakala kitabnya yang lain dipuji seperti Mabadi' Nizom al-Hukm fil Islam- Al-Qaradhawi).

Bab Maslahat, mendakwa Saidina Umar ra membatalkan Nas Quran kerana Maslahat. Dakwaan palsu ini dijawab oleh al-Qaradhawi dan Al-Buti dll.

8. Dr Nur Farhat (Prof Undang-undang & dekan Kuliah Undang-undang di Universiti Az-zaqaziq) Di mesir

Bab Maslahat dan Saidina Umar.

9. Sai'd al-Ushmawi Mesir

Bab Maslahat dan Saidina Umar.

10. Kumpulan Sisters In Islam (Malaysia)

Dalam kebanyakan artikel karya mereka. Tiada ruang untuk dinyatakan di sini. Kebanyakan dakwaan dan pertikaian disebabkan kekurangan maklumat Islam hakiki dan jahil.

Di maklumkan juga, pihak SIS ini sering mendapat bahan kajian ilmiah yang boleh meragukan tentang Islam dari sumber-sumber Orientalis Barat.

11. Astora Jabat (Malaysia)

Dalam kebanyakan tulisannya. Dia juga pernah mengaku dalam satu forum terbuka bahawa dia sengaja membawa isu-isu pelik berkaitan Islam untuk melariskan majalah yang dia menjadi pengarangnya.

12. Dr. Kassim Ahmad

Semua hal berkaitan hadith. Menafikan hadith secara total. Pemimpin gerakan Anti Hadith Malaysia.

Demikianlah beberapa maklumat yang mampu disertakan oleh penulis melalui beberapa pembacaan analisa para ulama Islam.

Justeru, semoga seluruh muslimin dan muslimat yang prihatin dapat meneliti senarai yang disertakan dan berhati-hati.

Apa yang benar dari Allah, dan segala kesilapan adalah hasil kelemahan diri dan gangguan syaitan.

BACA INI JUGA:

sumber: zaharuddin