Thursday, August 22, 2013

Apa Sebenarnya Ops Cantas Khas JSJ?

Apa Sebenarnya Ops Cantas Khas JSJ?

Sejak beberapa hari ini, Ops Cantas adalah antara topik yang paling banyak diperbualkan sama ada di kedai-kedai kopi atau di media sosial terutama selepas 5 pembunuh upahan ditumpaskan polis di Pulau Pinang beberapa hari lepas.


Mungkin ramai yang tahu dan mungkin ramai yang tertanya-tanya apakah itu Ops Cantas Khas yang dimulakan sejak 17 Ogos lalu.

Antara matlamat Ops berkenaan adalah untuk mengesan kembali bekas banduan yang ditahan di bawah Ordinan Darurat (OD) yang disyaki aktif semula dalam aktiviti jenayah.

Mana-mana individu yang dikesan dalam Ops Cantas akan ditahan mengikut Akta Pencegahan Jenayah untuk tempoh 24 jam.

Jika tambahan masa diperlukan untuk siasatan lanjut, suspek akan direman selepas mendapat perintah mahkamah.

Tumpuan Ops berkenaan banyak kepada individu yang terbabit dengan kumpulan kongsi gelap.

Selain mengesan kembali bekas tahanan OD, ia juga memberikan penumpuan kepada aktiviti sekatan jalan raya, pemeriksaan premis perniagaan dan kediaman.

Menurut kenyataan pihak PDRM, pelancaran Ops Cantas adalah berdasarkan kepada hakikat bahawa pencegahan jenayah adalah peranan dan fungsi Pasukan Polis sebagaimana termaktub dalam Seksyen 3(3) Akta Polis 1967.

Pencegahan Jenayah dilaksanakan melalui 2 cara, iaitu tindakan sebelum berlakunya jenayah dan tindakan selepas berlakunya jenayah.

Walaupun terdapat penurunan kadar jenayah ini tidak bermakna masyarakat di negara ini boleh berasa selesa dan selamat, sebaliknya kita semua perlu terus bekerjasama mengembelingkan usaha bagi membendung jenayah.

Tindakan pencegahan jenayah sebelum berlakunya jenayah adalah yang paling penting di mana tanggungjawab ini seharusnya dipikul bersama oleh masyarakat dan tidak meletakkan tanggungjawab sepenuhnya kepada pihak Polis.

Justeru itu, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) telah memulakan operasi bagi mencegah jenayah dengan menubuhkan satu pasukan khas yang dinamakan Ops Cantas Khas, di bawah tanggungjawab ACP Kamarulzaman Mamat, Penolong Pengarah Tahanan/Sekatan D7B, Jabatan Siasatan Jenayah dan dibantu oleh Supt. Amir Rasid Derani, Superintendan Pencegahan D7A, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.

Buat permulaan, tumpuan diberikan kepada Kontinjen Kuala Lumpur, Selangor dan juga Negeri Sembilan dan ia akan berterusan di semua kontinjen-kontinjen.

Usaha berterusan Jabatan Siasatan Jenayah yang dibantu dengan kekuatan pegawai dan anggota dari daerah-daerah yang terlibat ini adalah sebahagian daripada pencegahan jenayah.

Walaupun ia seolah-olah menyusahkan pengguna jalanraya di sekitar ibu kota dan Selangor, matlamatnya adalah baik, iaitu dapat membanteras penjenayah melalui pemeriksaan terhadap kenderaan dan individu di sekatan jalanraya. -Mynewshub

Wednesday, August 21, 2013

DAP Melenting Polis Tembak 5 Penjenayah!

DAP Melenting Polis Tembak 5 Penjenayah!

Tiada di kalangan orang awam di negara ini yang tidak gembira dan menarik nafas lega apabila polis memulakan Operasi Cantas secara rasmi dan hari pertama Ops Cantas ‘diserikan’ dengan terbunuhnya lima orang penjenayah dari Geng 04 di Pulau Pinang dalam satu kejadian tembak-menembak dengan polis.

Mayat Penjenayah Diarak Seperti Wira.

Namun, di sebalik kelegaan dan kegembiraan orang ramai, rupa-rupanya ada yang tidak senang hati dengan peperangan yang dilancarkan oleh pihak polis terhadap kumpulan penjenayah. Mereka adalah pimpinan DAP dan konco-konco penjenayah mereka.

(Baca: Lima Pembunuh Upahan Mati Ditembak Polis!)

Awal pagi lagi, Ahli Parlimen Segambut dari DAP, Lim Lip Eng telah mempersoalkan cop gangster yang diberikan oleh polis kepada kelima-lima orang lelaki India yang ditembak mati di sebuah apartment di Pulau Pinang itu. Kemudian Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng pula muncul dengan idea yang pastinya akan membuatkan para penggemarnya mendabik dada dan memuji-muja kebijaksanaannya.

Lim Guan Eng menyatakan bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan berbincang dengan PDRM untuk memetakan lokasi-lokasi penjenayah dan diletakkan di tempat-tempat awam sebagai peringatan kepada orang awam.

DAP draf sendiri laporan polis untuk ahli keluarga penjenayah.

Sekali dengar, murni benar hasrat tersebut tetapi sebenarnya menyerlahkan sifat sebenar Lim Guan Eng dan DAP yang amat bimbang sekiranya operasi penghapusan jenayah turut melibatkan kawasan-kawasan yang sememangnya sarang penjenayah di Pulau Pinang yang mempunyai kaitan dengan DAP.

Menjelang petang, DAP menerusi ADUN Seri Delima, R.S.N Rayer berjaya menghasut ahli-ahli keluarga anggota GANG 04 yang mati dalam kejadian tembak-menembak dengan pasukan polis untuk membuat laporan polis dalam cubaan menyalahkan operasi penghapusan dan pencegahan itu.

DAP sentiasa terlibat dalam sebarang usaha menggagalkan usaha PDRM mencegah dan memerangi jenayah. Sekalipun pada masa yang sama, mereka mendabik dada konon-kononnya merekalah parti yang memperjuangkan keamanan, hakikat yang ditunjukkan oleh parti tersebut, tidak ubah seperti Parti Likud di negara haram Zionis Israel yang amat menyokong pembunuhan rakyat Arab Palestin dan membela setiap penjenayah Zionis.

Ugutan bunuh di Tembok sebuah balai polis.

Dengan kekuatan barisan peguam yang terkemuka namanya dalam DAP, parti itu sudah tentu sedang memujuk ahli-ahli keluarga anggota GANG 04 untuk memulakan prosiding mendapatkan pampasan ratusan juta ringgit daripada Kerajaan Malaysia dan PDRM sepertimana yang mereka pernah lakukan sebelum ini.

Dan akhirnya setelah mempertimbangkan permintaan dan desakan tersebut, mahkamah mengarahkan Kerajaan Malaysia dan PDRM membayar ganti rugi, pampasan atau saguhati kepada ahli-ahli keluarga penjenayah itu.

Sekaligus masyarakat melihat dan membuat tanggapan, mahkamah serta sistem perundangan di negara ini bersekongkol dan membela penjenayah hanya semata-mata kerana takut dikecam oleh Pakatan Rakyat kononnya sistem keadilan di negara ini tidak adil dan terlalu menyebelahi pihak polis.

Sudah ramai yang menjangkakan, DAP sedang menyusun gerak dan melakukan perancangan rapi untuk mendesak kerajaan agar menubuhkan tribunal atau suruhanjaya bagi menyiasat pembunuhan kelima-lima anggota kumpulan penjenayah yang dikaitkan dengan sindiket pembunuh upahan itu.

DAP akan mengaitkan kes berkenaan dengan IPCMC yang sebelum ini ditolak oleh PDRM. DAP akan menjadikan kes tersebut sebagai salah laku dan salah guna kuasa serta senjata oleh polis.

Sokongan serta bantuan daripada PKR dan PAS, akan memudahkan kerja DAP. DAP hanya perlu menumpukan perhatian kepada masyarakat Cina dan India yang nampaknya sekarang ini sangat menyokong mereka, manakala PAS dan PKR cuba meraih sebanyak mungkin sokongan daripada masyarakat Melayu dan Bumiputera agar menentang dan mengurangkan kuasa pihak polis dengan pelbagai alasan termasuklah alasan agama.

Kita hanya perlu perkembangan selanjutnya dalam masa yang singkat. Yang pasti, DAP tidak akan melepaskan peluang keemasan ini untuk meraih sebanyak mungkin sokongan daripada masyarakat India, terutama sekali menjelang pemilihan CEC yang bakal mengenepikan sekali lagi penyokong-penyokong India mereka bagi melangsungkan survival KETUANAN CINA dalam DAP! [Sumber]

Lima Pembunuh Upahan Mati Ditembak Polis!

Lima Pembunuh Upahan Mati Ditembak Polis!

Polis mengesahkan lima lelaki yang mati selepas berbalas tembakan dengan polis di sebuah pangsapuri mewah di Sungai Nibong di sini, semalam, adalah pembunuh upahan yang terbabit dalam 10 kes bunuh di Pulau Pinang, Kedah dan Negeri Sembilan.

Mayat seorang daripada lima penjenayah dibawa 
masuk ke dalam trak polis untuk dibawa ke hospital.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, penjenayah berusia antara 21 hingga 31 tahun itu juga dikenal pasti ahli kumpulan kongsi gelap dan mereka bertindak mengikut arahan ketua untuk membunuh sasaran yang ditentukan.

“Mereka juga didapati terbabit dalam beberapa kejadian bunuh sebagai tindakan balas dendam berkemungkinan berkaitan perebutan kuasa dan wang.

“Mereka tidak tinggal satu tempat bagi mengelak daripada dikesan polis dan bergerak mengikut arahan dan sasaran,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang.

Hadir sama Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Hadi Ho Abdullah dan Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi.

Dalam kejadian jam 4.30 pagi semalam, lima lelaki berusia 21 hingga 31 tahun itu ditembak mati ketika serbuan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Jenayah Berat (D9) Bukit Aman, IPK Pulau Pinang dan IPK Kedah di pangsapuri mewah Century Bay di Sungai Nibong, di sini.

Suspek dikatakan baru seminggu tinggal di pangsapuri berkenaan dan menyewa di kawasan eksklusif itu bagi melindungi kegiatan mereka.

Khalid berkata, suspek bertindak melepaskan tembakan terhadap anggota yang melakukan serbuan sebelum tembakan balas terpaksa dilakukan sebelum membunuh semuanya.

Menurutnya, polis turut merampas tiga pucuk pistol yang digunakan dalam kejadian itu dan senjata yang dirampas itu dikenal pasti digunakan dalam beberapa kejadian bunuh sebelum ini.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan dan ada lagi anggota kumpulan yang masih bebas dan usaha mengesan mereka giat dilakukan,” katanya.

Khalid berkata, polis tidak pernah berdiam diri terhadap kes tembak yang membabitkan pembunuhan, malah mengambil langkah menubuhkan pasukan tindakan khas serta risikan untuk memberkas penjenayah termasuk ahli kongsi gelap, pengedar dadah dan lain-lain.

“Malah, sejak Operasi Cantas Khas (Op Cantas) digerakkan di seluruh negara Sabtu lalu, 200 orang ditahan di seluruh negara dan mereka kini sedang dikenal pasti sebelum tindakan diambil mengikut Akta Pencegahan Jenayah bagi tempoh 24 jam,” katanya.

Menurutnya, mereka yang ditahan akan melalui pelbagai peringkat saringan termasuk pemeriksaan rekod jenayah lampau, ujian air kencing, tubuh badan, kenderaan yang digunakan, kesalahan trafik, pengenalan diri dan lain-lain yang berkaitan.

Katanya, operasi itu akan diteruskan dan pihaknya mendapati masih ada ahli kumpulan tertentu bergiat aktif selain bergerak dari satu tempat ke satu tempat lain mengikut arahan ketua kumpulan masing-masing.

“Polis sedang berbincang dengan Peguam Negara untuk mengambil langkah memasang alat Peranti Pemantauan Elektronik (EMD) terhadap bekas pesalah Ordinan Darurat (OD) bagi mengelak mereka gagal dikesan dan jika dipersetujui ia memudahkan polis memantau pergerakan mereka,” katanya.

Op Cantas membabitkan sekatan jalan raya, pemeriksaan premis perniagaan dan kediaman serta mengesan bekas banduan yang pernah ditahan mengikut OD yang disyaki aktif semula dalam kegiatan jenayah. -Hmetro