Thursday, March 06, 2014

Obses Cacah Tatu Peta Dunia Di Badan!

Obses Cacah Tatu Peta Dunia Di Badan!

Seorang bekas peguam dari Louisiana, Amerika Syarikat memiliki cara tersendiri untuk mengabadikan kegemarannya melancong dan mengembara ke seluruh dunia.

Bill Passman Tattoo
Proses mencacah tatu.

Bill Passman, 59 tahun mencacah tatu di bahagian belakangnya dengan corak peta dunia kerana obsesnya kepada penggembaraan.

Sejak mula melancong pada usia 51 tahun, kini Bill sudah pun menjejaki sekurang-kurangnya separuh jumlah negara yang ada di bumi ini.

Untuk mengikuti perjalanan beliau, setiap kali Bill tiba di sebuah tempat yang belum pernah dijejaki ia akan diwarnakan oleh artis tatu dengan warna berbeza.

Setakat ini, kira-kira 60 buah negara di belakang badan Bill sudah diwarnakan sementara bakinya bakal diwarnakan tidak lama lagi.

Bill Passman Tattoo [2]
Lokasi yang sudah dilawati.

Perjalanan pertama Bill selepas mendapat pasportnya ialah ke Tanzania dan kemudian membuat keputusan untuk mengembara sepenuh masa.

Pada tahun 2010, beliau berhenti bekerja sebagai peguam dan mula melancong.

Beliau berada jauh dari rumahnya hampir sepanjang tahun, Bill hanya kembali ke rumahnya selama kira-kira tiga bulan dalam masa setahun.

Menurut beliau, negara kegemaranya ialah Guatemala.

“Saya mendapatkan tatu ini untuk diukit di belakang saya sebagai menunjukkan kesukaan saya kepada pelancongan.

“Ia adalah sebagai satu memori abadi berkenaan semua tempat menarik yang sudah saya kunjungi,” katanya.

Bill Passman Tattoo [3]
Salah satu lokasi dilawati Bill.

Selain tatu, Bill merupakan seorang penulis blog yang aktif. Di laman webnya, beliau menulis berkenaan inspirasinya membuat tatu berkenaan ialah seorang wanita yang ditemuinya di Antigua.

Wanita itu juga memiliki cacahan tatu berbentuk peta dunia di belakangnya, dan pada setiap lokasi yang dilawatinya ia akan ditandakan dengan titik berwarna merah. -Mynewshub

Saturday, January 11, 2014

Remaja Obses Sanggup Kumpul 14,000 Batang Pensil!

Remaja Obses Sanggup Kumpul 14,000 Batang Pensil!

Ketika kebanyakan remaja gemar menggumpul setem, syiling atau kunci, namun berbeza dengan Tushar Lakhanpal yang berusia 15 tahun.

Tushar Lakhanpal Pencil Collection

Dia suka mengumpul pensil dan setakat ini mempunyai 14,000 pencil dari 40 negara.

Salah satu daripada koleksi pensilnya ialah dia batang pensil kayu disalut emas, yang dibeli oleh ibu bapanya yang berharga £400, dipercayai pernah dimiliki dan digunakan oleh Ratu Elizabeth II.

Manakala pensil yang paling panjang dan terbesar pula adalah berukuran 8 kaki 3 inci dengan lebar 29 cm sementara pensil terkecil hanya 4 cm panjang.

(Baca: Penjara Yang Membenarkan Anak Dan Isteri Tinggal Bersama!)

Tushar sebelum ini sudah tersenarai dalam Indian Limca Book of Records dan kini dia mahu memecah rekod Guinness Book of Records.

“Saya masih mengumpul pensil dan yakin ia akan mencecah 15,000 tidak lama lagi.

“Rekod dalam Guinness Book of Records kini dipegang oleh Emilio Arenas dari Uruguay yang memiliki lebih 14,552 pensil dari 60 negara,’’ katanya.

Menurut Tushar, dia menghabiskan masa berjam-jam di internet untuk mencari pensil terbaik dan berbeza dengan pensil yang dijual di kedai biasa.

Selain itu, bapanya, Ashish Lakhanpal yang bekerja sebagai juruterbang juga membantu mendapatkan pensil tersebut ketika membuat penerbangan di luar negara.

[Sumber]

Sunday, December 22, 2013

'Selfie', Obses Terhadap Diri Sendiri

'Selfie', Obses Terhadap Diri Sendiri

Bukan isu besar kalau kita perhatikan ramai remaja tak kiralah sama ada si gadis atau si jejaka suka tangkap gambar sendiri pada zaman sekarang.

'Selfie'
Gambar hiasan.

Apatah lagi cabang media sosial yang semakin banyak membuatkan mereka semakin obses untuk tonjolkan diri sendiri dalam kalangan rakan lain.

Perempuan terkenal dengan sikap yang suka cantik dan sedikit menunjuk-nunjuk sekiranya penampilan terlebih cantik pada hari tertentu.

Oleh itu, sikap ini secara tak langsung akan membuatkan mereka cuba berkongsi kegembiraan dengan rakam gambar sendiri untuk dimuat naik di laman sosial.

Bagaimanapun, lain pula kisahnya turut terkena tempias tabiat ini. Lelaki yang terkenal dengan sikap ‘macho’, ego dan tegas juga tidak dapat tahan diri daripada tidak ‘selfie’.

Tarikannya terlalu kuat hingga mampu buatkan golongan ‘control macho’ turut tergolong dalam kelompok ini.

Sukar dimengerti

Selfie adalah singkatan kepada gabungan perkataan potret diri sendiri (self-potrait). ‘Selfie’ juga merujuk kepada perbuatan suka mengabadikan gambar sendiri yang ditangkap tanpa bantuan orang lain.

Perbuatan ini bukanlah dikategorikan sebagai salah, tetapi apabila semakin ramai yang gemar ‘selfie’ walau di tempat tak sepatutnya, ia agak menjengkelkan.

Tabiat suka tangkap gambar sendiri ini ibarat virus kerana sudah merebak kepada semua golongan. Tak kiralah, anak gadis, mak cik, pak cik, ibu bapa atau saudara-mara, gambar ‘selfie’ boleh dikatakan wajib ada dalam akaun laman sosial masing-masing.

Tak keterlaluan jika penulis berpendapat, ‘selfie’ boleh dikategorikan sebagai tabiat yang sukar dimengertikan. Sehingga ke hari ini, bukan saja wanita yang mahu tonjolkan penampilan dan paras rupa seharian, tetapi kaum lelaki juga tidak mahu ketinggalan malah ada di antaranya lebih obses berbanding wanita.

Depan cermin

Diakui, melihat gambar ‘selfie’ yang dimuat naik di laman sosial membuatkan penulis tertanya-tanya, kenapa perlu rakam gambar sendiri di tempat tak sepatutnya?

Sebagai contoh, banyak gambar ‘syok sendiri’ ini boleh dikatakan dengan ‘pose’ di depan cermin.

Mungkin pantulan imej daripada cermin boleh menampakkan seluruh tubuh pemilik kamera, sekali gus tercapai hasrat untuk berkongsi penampilan harian dengan rakan lain.

Jika itu sebabnya, ia boleh difahami, tetapi apabila si ‘selfie’ terlalu aktif hingga tidak boleh bezakan lokasi mungkin akan buatkan dia kelihatan seperti obses dengan rupa paras sendiri.

Bergaya dan menangkap gambar di depan cermin adalah budaya baru dan ibarat lokasi wajib untuk ‘selfie’. Paling banyak dilihat adalah ‘selfie’ di depan cermin tandas awam berbanding rumah sendiri.

Kenapa perlu tandas awam? Faktor cermin yang besar hingga menampakkan keseluruhan tubuh membuatkan ia jadi pilihan ramai. Jangan menuding jari kepada satu golongan saja, si jejaka juga tak kurang hebatnya.

Antara lokasi lain yang menjadi pilihan termasuklah dalam kereta, di tempat kerja, atas katil sebelum tidur atau di kedai makan.

‘Duckface’

‘Duckface’ merujuk kepada pose memuncungkan mulut seperti itik. Dengan bibir yang dimuncungkan, ada beranggapan ia boleh menampakkan tulang pipi sekali gus membuatkan wajah si ‘selfie’ kelihatan berbentuk bujur dan tidak terlalu bulat.

Mungkin faktor itulah membuatkan gaya ini menjadi ‘trademark’ si gadis apatah lagi apabila bibir diwarnakan dengan gincu warna terang. Cukup menggoda! Jangan terkejut apabila ada juga lelaki sukakan gaya ini apatah lagi apabila ‘selfie’ beramai-ramai dengan rakan wanita.

Selain posisi biasa, gaya rakam gambar daripada sisi atas kepala juga antara pilihan. Dipercayai, ia boleh buatkan wajah seseorang khususnya berbentuk bulat kelihatan muncung tirus selain boleh sembunyikan lemak di bawah dagu.

Gaya ini bukanlah bertujuan untuk memburukkan sesiapa terutama golongan berbadan besar tetapi pandangan ini dikongsi melalui forum dan blog yang menceritakan mengenai isu ini.

Obses diri sendiri

Itu tanggapan sesetengah individu yang tak gemar ‘selfie’. Bagi mereka, sesiapa yang suka rakam gambar sendiri lebih kepada masalah syok sendiri. Obses dengan rupa paras dan penampilan diri hingga terlalu yakin untuk berkongsi dengan orang ramai.

Obses di sini merujuk kepada mereka yang terlalu aktif ‘selfie’ hinggakan dalam satu hari, lebih lima gambar ‘selfie’ dimuat naik di laman sosial hingga membuatkan orang mula menyampah.

Hakikatnya ramai gadis cantik dan jejaka tampan turut obses dengan ‘selfie’ contohnya seperti selebriti atau ‘public figure’ lain.

Oleh kerana mereka mempunyai ribuan peminat, keadaan kadang-kala mendesak mereka untuk muat naik gambar sendiri kerana tidak mahu mengecewakan peminat.

Itu kisah selebriti, bagi orang biasa pula, apa nak dikisahkan dengan pandangan orang asalkan anda buat perkara yang boleh membahagiakan anda, sudah memadai.

Walaupun ramai beranggapan ‘selfie’ adalah perbuatan syok sendiri tetapi dari segi positifnya, lebih baik obses dengan diri sendiri daripada obses dengan orang lain yang jelas tiada faedahnya.

Teruskan ‘selfie’ dan pedulikan pandangan sinis orang lain walaupun ketika anda sedang ‘selfie’ beramai-ramai di tepi jalan!

BACA INI JUGA: 'Selfie' Gaya Mulut Dimuncungkan Lebih Ramai Peminat!

Sumber: Harian Metro

Sunday, August 25, 2013

Aneh! Lelaki Yang Obses Menjadi Bayi

Aneh! Lelaki Yang Obses Menjadi Bayi

Nama Stanley Thornton, seorang lelaki warganegara Amerika Syarikat, tiba-tiba menjadi sebutan ramai di kalangan masyarakat tempatan dan juga luar negara kerana obses peliknya yang suka menjadi bayi.


Gara-gara perlakuan anehnya, dia terkenal dengan jolokan sebagai 'The Adult Baby'.

Ia bermula selepas kisah hidupnya yang disiar secara langsung dalam sebuah rancangan dokumentari bertajuk National Geographic, 'Taboo: Fantasy Lives'.

Menerusi rancangan tersebut, gelagat Thornton tidak ubah seperti seorang bayi. Tanpa segan-silu, dia melakukan perkara sama seperti mana yang dilakukan oleh seorang bayi. Termasuklah minum dengan menggunakan botol susu, tidur di atas katil bayi, memakai lampin, bermain alat permainan dan sebagainya.

Mengikut laporan sebuah portal berita, Mail Online, kecenderungan lelaki tersebut untuk menjadi seorang bayi dipercayai berpunca akibat kecelaruan psikologi yang dikenali sebagai Paraphilic Infantilism.

Individu yang mengalami masalah ini selalunya mengalami situasi tertekan, tidak tenang, sentiasa cemas, trauma atau berkemungkinan terdapat masalah perkembangan sejak daripada kecil lagi.

Menurut Thornton, ketika berusia 14 tahun dia sering mengalami gangguan emosi yang sangat serius. Ia disebabkan simptom kencing malam yang dihadapinya berlarutan sehingga umurnya mencecah 20 tahun.

Keadaan itu telah menyebabkan beliau berasa sangat malu dengan orang di sekelilingnya. Lebih-lebih lagi terpaksa memakai lampin setiap kali hendak tidur. Biarpun kini sudah pulih sepenuhnya daripada masalah itu, Thornton masih lagi memakai lampin sehingga hari ini.

Bagaimanapun, timbul pula masalah lain apabila perwatakan Thornton dikatakan berubah apabila minatnya cenderung untuk bermain permainan bayi. Malah, beliau sanggup mereka sendiri beberapa alat kelengkapan bayi lain seperti katil, playpen (kandang permainan kanak-kanak) dan banyak lagi.

Seperti kehidupan bayi lain, lelaki ini turut mempunyai seorang pengasuh bernama Sandra Diaz. Setiap hari, pengasuh terbabit akan melakukan rutin hariannya seperti mengejutkan Thornton daripada tidur, menyuapkan makanan dan menyusukannya.


Jelas bekas pengawal keselamatan ini lagi, menjalani kehidupan sebagai seorang bayi merupakan satu pengalaman yang sangat menyeronokkan. Ia bagaikan berada di satu dunia lain yang sangat indah dan penuh kasih sayang. Keadaan itu menyebabkan lelaki yang berasal dari California ini bagaikan kembali semula ke zaman kecilnya.

Sungguhpun begitu, kelakuan ganjil ini hanya dilakukan ketika dia berada di rumah sahaja. Apabila dia berada di luar rumah, dia akan berkelakuan seperti biasa. Sama seperti manusia dewasa normal lain.

Perangai pelik ini mendapat reaksi berbeza daripada orang ramai termasuklah dari dalam dan luar negara. Kebanyakandaripada mereka sangat terhibur melihat gelagat lelaki tersebut.

Tidak terkecuali ada juga meluahkan rasa terkejut selepas mendapat tahu individu dewasa sepertinya sanggup menjadi bayi semula.

Akibat obsesnya yang suka meniru aksi bayi, dia pernah disangka sebagai seorang yang tidak waras dikalangan jiran tetangganya. Thornton menyedari ramai yang tidak senang dengan perlakuan ganjilnya itu. Tetapi dia tetap gembira dengan kehidupannya kini.

Tidak berhenti di ditu, kisah beliau turut mendapat liputan meluas daripada pihak media. Kebanyakan mereka ingin tahu punca mengapa Thornton berkelakuan seperti itu.

Mengulas mengenai persoalan itu, kata Thornton, pada mulanya idea menjadi seperti seperti seorang bayi hanya bertujuan untuk keseronokan.

Namun, lama-kelamaan ia menjadi ketagih sehinggakan sukar baginya untuk meninggalkan tabiat itu. Tambahan pula, ia dianggap sebuah terapi yang ia anggap sebuah terapi yang bagus bagi mengelak dirinya daripada tekanan emosi.

-Sentiasapanas.com

Sunday, August 11, 2013

Selebriti Terkenal Yang Menderita Kerana Obses Mahu Kurus

Selebriti Terkenal Yang Menderita Kerana Obses Mahu Kurus

Jika anda masih ingat, pada tahun 1983, Karen Carpenter, seorang daripada duo adik-beradik The Carpenters meninggal dunia pada usia 32 tahun kerana kegagalan jantung yang disebabkan oleh penyakit anoreksia nervosa.

Karen Carpenter

Tragedi tersebut mencetus kontroversi hebat tentang kecelaruan makan yang sebelum ini dipandang remeh oleh masyarakat.

Anoreksia Nervosa dan Bulemia Nervosa merupakan antara dua penyakit kecelaruan makan yang paling banyak dilaporkan di seluruh dunia.

Namun bukan Karen sahaja selebriti yang mengalami masalah yang dianggap sebagai gangguan psikiatri dan kesihatan ini. Antara yang lain termasuk:

Christina Ricci

Christina Ricci

Pada usia 16 tahun, bintang "Sleepy Hollow" ini dimasukkan ke hospital selepas disahkan mempunyai kecelaruan makan selepas tabiat menahan diri dari makan supaya tidak gemuk - sesuatu yang biasa berlaku di kalangan selebriti wanita Hollywood.

Menurut Ricci, sukar sekali untuk dia pulih dari anoreksia dan dia mengambil masa yang lama untuk menerima dirinya seadanya.

Jessica Alba

Jessica Alba

Dia mungkin antara selebriti terseksi Hollywood, malah seringkali dipilih untuk memegang status tersebut oleh beberapa majalah wanita dan lelaki.

Namun menurut Jessica Alba sendiri, dia pernah berjuang melawan kecelaruan makan yang diakibatkan rasa rendah dirinya.

Ketika dia di era "Dark Angel", Alba banyak melakukan senaman dan menahan diri dari makan sehingga menyebabkan dia menderita anoreksia. Kini Alba lebih yakin dan tidak lagi risau tentang perubahan tubuhnya.

Katherine McPhee

Katherine McPhee

Bekas naib juara "American Idol" ini mendedahkan bahawa dia mengalami bulimia ketika berada di rancangan tersebut kerana rasa tidak yakin dengan dirinya sendiri.

Jelas McPhee, "Saya seorang penyanyi tetapi saya mengalami masalah sedemikian. Ia turut memberi kesan buruk terhadap peti suara saya."

Namun McPhee sedar masalah tersebut dengan segera dan mendapatkan rawatan sejurus selepas pertandingan tersebut.

Namun McPhee mengakui bahawa dia masih belajar untuk menerima keadaannya, sekalipun adakalanya sukar.

Jamie Lynn Sigler

Jamie Lynn Sigler

Ketika dia masih melakonkan watak Meadow dalam siri TV "The Sopranos", pelakon jelita Jamie Lynn Sigler mengakui bahawa dia tidak makan dan akan bersenam empat jam setiap hari supaya tidak gemuk - rutin yang menyebabkan dia menghidap anoreksia nervosa.

Selepas menyedari bahawa hal tersebut membawa bahaya kepada dirinya, Sigler segera mendapatkan bantuan dan kini menjadi duta kepada Persatuan Kecelaruan Makanan Kebangsaan (NEDA).

Princess Diana

Princess Diana

Dalam buku tulisan Andrew Morton, "Diana: Her True Story" (1992), dia mendedahkan bahawa Puteri Wales itu pernah mengalami bulimia sejak tahun 1981 selepas Diana melihat gambar pertunangannya dan merasakan beliau kelihatan gemuk dalam gambar tersebut.

Untuk tampil cantik dalam gaun perkahwinannya, Diana menjadikan tabiat untuk memuntahkan semula makanannya.

Selepas penerbitan buku tersebut , ramai yang jadi lebih selesa dalam mengakui masalah mereka dan berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan dan pemulihan. Peristiwa ini dikenali dalam sejarah sebagai "Efek Diana".

Ashlee Simpson

Ashlee Simpson

Dalam temuramahnya dengan majalah Cosmopolitan, Simpson mengakui bahawa dia pernah mengalami kecelaruan makanan ketika berusia 11 tahun dan masih berkecimpung dalam seni tarian balet.

Dalam masa enam bulan, Simpson menahan diri dari makan dengan banyak sehingga beratnya turun sehingga 70 paun.

Kalau bukan kerana ibu bapanya masuk campur dan menghentikan tabiat itu, Simpson pasti, dia akan mengalami masalah yang lebih besar.

Lady Gaga

Lady Gaga

"Kalau saya tak atasi bulimia, mungkin saya sudah kehilangan suara saya," itu yang Lady Gaga katakan dalam ucapannya di sebuah persidangan wanita di California.

Lady Gaga, yang juga pernah menjadi seorang balerina, menjelaskan bahawa dia seringkali memuntahkan semula makanannya supaya dia boleh kelihatan seperti balerina sebenar.

Tabiat pemakanan keluarganya dan makanan Itali yang seringkali dihidangkan tidak membantu, menyebabkan Gaga melakukan hal yang ekstrim tersebut.

Mary-Kate Olsen

Mary-Kate Olsen

Dia pernah mengalami masalah ketagihan dadah dan dia juga pernah disahkan anoreksik oleh para doktor, dan Olsen menerima rawatan untuk kedua-dua masalah tersebut.

Kecelaruan makanan yang bermula sejak zaman sekolah menengah lagi akhirnya menjadi lebih serius sehingga keluarganya terpaksa masuk campur dan membawanya bertemu pakar.

Olsen menyalahkan media atas masalah psikiatrinya, kerana sentiasa mengkritik dia dan kembarnya Ashley dan mengikuti mereka ke mana saja sejak mereka masih kecil.

Calista Flockhart

Calista Flockhart

Bintang "Ally McBeal" ini mengakui bahawa dia pernah mengalami saat di mana dia lebih banyak bersenam dan kurang makan supaya tidak mengalami kegemukan ketika masih melakonkan watak peguam tersebut.

Namun begitu, ketika ia masih berlaku, Flockhart sentiasa menafikan yang dia mengalami anoreksia.

Akhirnya pada tahun 2002, Flockhart membuat pengakuan tersebut dan menjelaskan bahawa dia telah lama berjuang dengan isu imej tubuhnya.

Gerri Halliwel 

Gerri Halliwel

Dia memiliki antara imej tubuh yang sihat ketika berada dalam Spice Girls, tapi menurut Gerri (atau Ginger Spice), selepas kumpulan tersebut berpecah, tubuhnya menjadi lebih kurus sehingga ke tahap membimbangkan.

Gerri mengakui bahawa dia tidak berjaya menyelesaikan kemurungannya akibat perpecahan mereka dan seringkali memuntahkan semula makanannya supaya kekal kurus.

Mujur rakannya, Robbie Williams memaksa Gerri mendapatkan rawatan.

"Robbie faham masalah saya sebab dia juga pernah mengalami masalah untuk meneruskan kerjayanya selepas perpecahan Take That," ujar Gerri.

BACA INI JUGA: Lindsay Lohan Muat Naik Ayat Al-Qur'an Dalam Instagram!

Sumber: Yahoo.com

Sunday, August 04, 2013

Selebriti Hollywood Yang Kemaruk Pembedahan Plastik

Selebriti Hollywood Yang Kemaruk Pembedahan Plastik

Selebriti-tanpa-sebab, Courtney Stodden yang baru berusia 18 tahun baru-baru ini telah menjalani pembedahan untuk menambah saiz payudaranya dari C ke DD. Untuk apa? Kepuasan diri katanya. Begitu juga dengan bekas IT girl, Amanda Bynes, yang mengakui pembedahan plastik buat dia puas dengan dirinya.


Rasa rendah diri, populariti yang semakin menurun, putus cinta, perceraian, inginkan kepuasan. Berbanding orang biasa, banyak sebab untuk seorang selebriti bertemu doktor bedah dan mengubah rupa paras mereka, sekalipun dunia mencemburui anugerah yang telah dikurniakan kepada mereka.

Stodden dan Bynes hanyalah sebahagian dari artis-artis di bawah ini:

Melanie Griffith


Bintang "Working Girl" ini memang seorang yang jelita, Jika tidak, dia tidak akan berjaya menawan hati jejaka Sepanyol Antonio Banderas dan mengekalkan perkahwinannya sehingga kini. Namun obsesinya dengan pembedahan plastik agar tampil relevan dengan suaminya menjadikan wanita All-American ini berubah rupa, terutama sekali di bahagian bibirnya sehingga mencacatkan kemanisan yang sedia ada.

Jocelyn Wildenstein


Dia mungkin bukan bintang filem atau realiti, tapi akibat pembedahan platik yang gagal, sosialit New York, Jocelyn Widenstein kini menjadi contoh terulung mengapa anda perlu berfikir panjang sebelum membuat keputusan untuk mengubah anugerah yang diberikan Tuhan.

Sekalipun dia memulakan tabiat bertemu doktor bedah kosmetik sejak awal 90-an, perceraian dengan suaminya, Alec Wildenstein menambahkan lagi obsesinya terhadap pembedahan plastik sehinggakan hampir AS$4 juta (RM12.8 juta) dihabiskan untuk memperbaiki wajahnya. Dia digelar "Catwoman", kerana dikatakan cuba menjadikan wajahnya lebih 'kekucingan' untuk menarik hati suaminya.

Mickey Rourke


Mickey Rourke sendiri mengakui bahawa dia banyak melakukan prosedur pembedahan kosmetik untuk memperbaiki kerosakan pada rupa parasnya akibat dari aktiviti tinjunya di masa muda. Tapi malangnya, ia bukan memperbaiki, tetapi merosakkan proses penuaan Rourke, seorang hero filem yang kacak dan digilai ramai ketika mudanya, menjadi lelaki pertengahan usia yang tidak mahu melepaskan zaman kegemilangannya.

Meg Ryan


Dia disukai wanita dan digilai kaum lelaki. Wajahnya yang manis dan sentiasa tampak muda remaja menjadikan bintang "You've Got Mail" dan "Kate & Leopold", Meg Ryan pilihan terbaik untuk filem-filem bercorak komedi romantis.

Malangnya, dia tidak berbeza dengan kebanyakan artis Hollywood yang tidak dapat menerima proses penuaan yang harus dialami semua, lalu Ryan banyak menghabiskan wangnya mengambil suntikan Botox, selain beberapa prosedur lain yang tidak pernah diakuinya (tapi jelas boleh dilihat bezanya). Sejak itu, popularitinya bukan sahaja menurun, malah kali terakhir dia dilihat di layar lebar adalah pada tahun 2009 melalui filem "Serious Moonlight".

Tori Spelling


Anak gadis produser terkenal Aaron Spelling ini mungkin dikatakan berjaya kerana pengaruh bapanya, tapi dia masih seorang gadis yang boleh menarik perhatian ramai dengan rupanya yang mudah disukai. Malangnya, berbeza dengan artis lain yang pasti akan mencuba untuk membuktikan orang lain salah melalui bakat lakonan mereka, Tori mencari bantuan dari klinik pembedahan kosmetik untuk menambahkan imej seksinya dengan membesarkan payudaranya.

Akibatnya, prosedur tersebut gagal dan dia yang sebelum ini tidak ada cacat celanya dikurniakan payudara yang mengempis. Sekalipun dia telah menyaman doktornya, Tori yang sememangnya tipikal gadis California, tidak berhenti dari terus menjalani beberapa prosedur untuk mengubah rupa parasnya.

Lara Flynn Boyle


Bintang siri TV "The Practice" ini sememangnya dikenali dengan kejelitaan berdarah Irish, Jerman dan Italinya. Namun begitu, bila usianya meningkat, Lara membuat keputusan untuk menambah lagi kecantikan rupa parasnya dengan suntikan di bibir yang tidak pernah diakuinya.

Bruce Jenner


Dia seorang atlit olahraga pingat emas Olimpik 1976 tapi Bruce Jenner juga digilai ramai wanita kerana kekacakannya. Namun bila dia meningkat usia, Jenner dijadikan bahan jenaka ramai kerana kegagalan pembedahan pastik untuk mengekalkan keremajaannya. Hidungnya menjadi lebih nipis, keningnya terbentuk seperti wanita dan tulang rahangnya juga lebih feminin. Malah menurut anak tirinya, Kim Kardashian, Bruce telah membuat kesilapan kerana mendengar nasihat seorang doktor bedah plastik yang mengatakan pembedahan menegangkan kulit dan di hidung merupakan pilihan terbaik untuknya. Pada tahun 2009, dia menjalani satu lagi pembedahan untuk memperbetulkan kesilapan lama.

Janice Dickinson


Janice menggelar dirinya supermodel pertama dunia, dan wajah eksotik kacukan Scottish, Irish dan Polish yang dimilikinya menjadi rebutan pelbagai agensi pada era 70-an. Namun, tidak ubah seperti para model lain dengan tempoh kekal yang tidak lama, Janice cuba berpaut pada glamor dan keremajaannya sehinggakan dia kerap kali melakukan pembedahan kosmetik untuk tidak kelihatan tua.

Hasilnya? Janice sendiri sering membuat jenaka tentang wajahnya dan mengatakan yang dia telah lupa bagaimana rupa sebenarnya.

Heidi Pratt


Bintang realiti TV "The Hills" ini memang meraih perhatian kerana kecantikan semulajadinya. Namun itu tidak cukup bagi isteri kepada (seorang lagi) bintang realiti, Spencer Pratt ini.

Hasilnya? Jerawat di bawah dagunya akibat mengasah dagu, dua bahagian botak di garis rambutnya akibat prosedur menegangkan kening, dan parut di belakang telinganya disebabkan telinganya ditarik ke belakang. Dia juga memiliki parut di behagaian belakang dan di bawah punggung akibat liposuction yang gagal, kesan berwarna merah di bahagian dalam lubang hidung kanannya dari rhinoplasty dan saiz dada yang tidak seimbang.

[Sumber]

Monday, February 25, 2013

Selebriti Bollywood Yang Sangat Taksub Dengan Yoga

Selebriti Bollywood Yang Sangat Taksub Dengan Yoga

Senaman yoga kini nampaknya semakin popular di kalangan selebriti Bollywood. Sudah semakin ramai yang mengamalkan senaman tersebut, termasuklah lapan orang selebriti terkenal yang antaranya mempunyai cakera padat (CD) khas senaman tersebut. Mereka terdiri daripada:


Neha Dhupia. Aktres ini kini dikatakan semakin giat melakukan senaman yoga dan menjadikan senaman tersebut sebagai senaman utamanya kini. Dia juga selalu dilihat melakukan yoga di salah sebuah kawasan terkenal di Karnataka.

Sameera Reddy. Sameera Reddy juga dikatakan sedang jatuh cinta dengan senaman yoga. Dia giat melakukan senaman tersebut untuk mengekalkan tubuh badan langsing selain minda yang sihat.

Kangana Ranaut. Kemunculan Kangana dalam bikini baru-baru mengejutkan ramai peminat apabila melihat tubuh badannya yang semakin cantik. Ujar Kangana, rahsianya adalah senaman yoga dari jenis Pranayam yang sentiasa membuat dia rasa bertenaga.

Shilpa Shetty. Shilpa Shetty memang selalu dianggap sebagai pemilik badan terbaik selebriti Bollywood. Dia harus berterima kasih kepada senaman yoga yang menjadi amalannya. Shilpa kini muncul dengan DVD yoga yang diberi nama Shilpa’s Yoga untuk dikongsi bersama peminat.

Geeta Basra. Semakin mendapat perhatian, Geeta Basra tahu cara bagaimana untuk membuat khalayak ‘tidak lari’ daripada terus memerhatikannya. Dia kini giat dengan rejim yoga untuk mendapatkan bentuk badan ideal sebelum muncul di dalam filem terkininya, Zila Ghaziabad.

Lara Dutta. Baru sahaja melahirkan anak, Lara Dutta tidak berselindung tentang rahsia kekal cantiknya. Dia memberitahu, senaman yoga yang diamalkannya banyak membantu dan sebab itu dia kini muncul dengan DVD Yoga Recovery and Rejuvenation.

Bipasha Basu. Seorang lagi selebriti yang dianggap sebagai penggila kesihatan, Bipasha Basu, baru sahaja dilantik menjadi duta bagi Sugar Free Natura. Dia sangat obses dengan senaman yoga jenis Suryanamaskar dan baru sahaja melancarkan CD Bipasha Basu Love Yourself.

Kareena Kapoor. Kareena Kapoor adalah seorang pengamal yoga yang setia. Dia menjalani rejim yoga yang berlainan untuk tubuh badannya. Untuk bahagian belakang badan, dia mengamalkan yoga jenis Bhujangasana, untuk kaki dia mengamalkan yoga Virabhadra dan Surya Namaskar untuk badan.

-Kosmo