Wednesday, January 08, 2014

Pelajar Miskin, Nurkhatijah Yang Comel Akhirnya Di Bantu

Pelajar Miskin, Nurkhatijah Yang Comel Akhirnya Di Bantu

Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Agama Integrasi (SAI) Ar-Rahmaniah di Taman Dagang, Ampang akan mewujudkan satu Tabung Dana Amanah bagi menyalurkan bantuan yang diterima oleh adik Nurkhatijah Abdullah, 7 tahun, dan Norsyafiqah Abdul Rahim, 9 tahun, bagi kegunaan kedua-dua mereka untuk pendidikan.

Nurkhatijah Abdullah

Pengerusi PIBG sekolah itu Kamaruddin Ab Rahman berkata pihaknya belum mengadakan mesyuarat membincangkan perkara berkenaan kerana ia baru sahaja diketahui pada 2 Januari lepas.

“Perkara ini baru sahaja tersebar dalam 2 Jan lepas dan kita masih belum mengadakan mesyuarat, biasanya mesyuarat akan diadakan pada minggu pertama persekolahan.

“Kita akan berbincang untuk mewujudkan satu tabung amanah bagi menyalurkan semua wang bantuan yang diterima dan akan digunakan untuk membiayai pendidikan Nurkhatijah sampai ke peringkat paling tinggi,” katanya kepada Mynewshub.my ketika ditemui di rumah Nurkhatijah hari ini.

(Baca: Adik Khatijah, Pelajar Yang Terlalu Miskin Nak Bayar Yuran Sekolah!)

Kini, keluarga Nurkhatijah menerima tetamu tidak henti-henti di rumah mereka di Flet Taman Dagang Fasa 2A yang ingin menziarah Nurkhatijah dan menghulurkan sedikit sumbangan bagi meringankan beban datuk dan neneknya yang menjaga serta mengasuhnya sejak kecil.

Mohd Rodzi Ariffin, 61 tahun dan Shamsiah Yusof, 55 tahun, yang mesra dikenali sebagai Pak Long dan Mak Long kini bersyukur selepas kisah pembayaran yuran dengan duit syiling itu tersebar, kini bantuan mencurah datang dan mereka berasa lega apabila ada jaminan pendidikan cucu mereka akan berjalan dengan lancar pada masa depan.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang datang membantu dan mendoakan mereka semua dikurniakan kemurahan rezeki kelak, itu sahaja yang mampu saya doakan,” kata Pak Long.

Setakat ini, antara pihak yang sudah hadir dan menziarahi Nurkhatijah ialah wakil dari Kelab Toyota, Kelab Motor Kecil, Kelab Motor Besar dari Rawang, Persatuan Bekas Pelajar Sekolah Alam Shah, Pemuda UMNO dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chempaka Ir Iskandar Abdul Samad.

Rumah Nurkhatijah Abdullah

Sementara itu, penulis sempat bertemu dengan Ustazah Khatijah Alang Abu Shuker selepas menziarahi Nurkhatijah dan guru muda itu mengakui agak takut dan terkejut dengan respon yang diterima daripada kisah murid bernama Nurkhatijah itu.

“Niat saya hanya untuk membantu Nurkhatijah dan Norsyafiqah, apabila bantuan menderu masuk ke dalam akaun saya, saya jadi takut dan bimbang tidak tahu bagaimana hendak menguruskan wang berkenaan jika ia terlampau banyak sehingga memaksa saya membekukan akaun saya.

(Baca: Pelajar Terima RM100 Bermula 15 Januari 2014)

“Kini pihak bank sudah membukakan dua akaun untuk Nurkhatijah dan Norsyafiqah bagi memudahkan bantuan disalurkan kepada mereka,” katanya Ustazah Khatijah Alang.

Bagi anda yang ingin terus menghulurkan sumbangan kepada dua insan ini bolehlah mendepositkan wang anda ke akaun mereka :-

Akaun Bank Rakyat Nurkhatijah Abdullah : 2206 2124 4780

Akaun Bank Rakyat Norsyafiqah : 2201 4156 5286

Sumber: Mynewshub

Monday, January 06, 2014

Adik Khatijah, Pelajar Yang Terlalu Miskin Nak Bayar Yuran Sekolah!

Adik Khatijah, Pelajar Yang Terlalu Miskin Nak Bayar Yuran Sekolah!

Pagi-pagi saya terima whatsapp gambar ini dari adinda saya. Ni gambar duit yuran seorang pelajar yang masuk mendaftar ke sekolah semalam di Kuala Lumpur.

Adik Khatijah

Datuknya membawa punjut duit syiling yang bernilai RM64.00. Itu pun tak cukup untuk membayar yuran sekolah tersebut.

Guru-guru ‘ topup’ untuk pelajar tersebut.

Pelajar ini, kematian ibu sedari umurnya sebulan lagi. Bapa dipenjara kerana masalah dadah. Nenek bekerja sebagai cleaner dan akan tamat kontrak pada bulan Jun nanti. Datuknya sudah tidak berdaya untuk bekerja dan menerima bantuan PERKESO RM350.00. Berapalah sangat RM350.00 hidup di bandaraya Kuala Lumpur ini.

Bayangkan, semua orang menunggu untuk guru mengira jumlah duit syiling yang di bawa oleh datuk tersebut. Kasih seorang datuk untuk menyekolahkan anak ini.

Adik Khatijah

Semasa menulis cerita ini, saya beberapa kali terbabas kerana sebak.

Dalam dunia semakin pantas ini, di ibu kota ini, masih ada golongan yang dikategorikan sebagai miskin tegar.

Keluarga ini, sudah memohon beberapa kali bantuan zakat, namun kerana kerenah birokrasi , bantuan tidak disalurkan kepada mereka.

Mungkin inilah sepatutnya tugas wakil rakyat atau pemimpin masyarakat.

Mencari mereka yang terpinggir ini. Selalunya golongan ini, tidak akan meminta-minta untuk menagih simpati ramai. Malah mungkin hidup mereka lebih bahagia dengan jumlah wang yang sedikit tetapi dimanfaatkan sepenuhnya.

Sebenarnya, inilah ladang pahala untuk kita yang setiap hari membazir. Membazir makanan, membazir pakaian, membazir masa dan sebagainya.

Kisah anak ini, mungkin ada juga di tempat lain. Cuma kita sahaja yang belum mencarinya.

Saya juga ditunjukkan gambar anak-anak ini.

Adik Khatijah

Comel-comel dan gembira sahaja rupanya. Seronok hendak ke sekolah seperti orang lain juga. Namun bajunya tak serupa orang lain. Kekuningan, besar dan lusuh, mungkin juga pemberian orang lain.

Gambar ini disebar bukan untuk menagih simpati.

Gurunya yang sebar di kalangan rakan – rakan kami sahaja kerana sudah tidak tertahan lagi melihat kepayahan hidup yang anak ini bakal tempuhi.

Mana tak sebak, belum pernah dalam sejarah sekolah, mengira duit syiling yang belum tentu cukup untuk dijadikan yuran sekolah.

Akhir kalam, duit gaji atau bonus yang kita terima, sedekahlah kepada golongan seperti ini, kerana di dalam duit gaji kita, pasti ada hak orang lain.

Pengajaran juga buat saya, agar tidak mewahkan anak – anak, mana tahu ada rakan – rakan yang tidak bernasib baik. Pasti hati kecil mereka sayu dan tersentuh hati, mereka tidak semewah anak – anak lain.

Tiada ipad, tiada tv mungkin, tablet pc jauh sekali. Mungkin pegang komputer hanya di sekolah.

Cerita ini bukan rekaan. Berlaku di sebuah sekolah rendah agama di Kuala Lumpur pada Januari 2014.

Alhamdulillah, masih ada yang berhati mulia untuk membantu. Jika ada sebarang pertanyaan dan masalah, sila ajukan kepada saya atau komen di bawah.

Email: zunairahagi@gmail.com

Yuran Sekolah Dari Duit Syiling

Alhamdulillah, rupanya masih ramai yang prihatin. Saya menerima banyak pertanyaan, bagaimana nak salurkan bantuan.

Saya pun tidak sangka, entri tentang yuran duit syiling sebagai muhasabah diri mendapat perhatian pembaca.

Memang, kalau diikutkan, hidup di bandar besar, kosnya sangat tinggi hingga wujud istilah miskin bandar.

Kalau di kampung, macam saya di Sabak Bernam, boleh lagi bercucuk tanam, ikan masih boleh di pancing di parit atau sungai.

Sekurang-kurangnya, wang yang ada hanya digunakan untuk membeli garam dan gula. Namun harga barang yang meningkat menyebabkan kebanyakan yang hidup biasa-biasa ini yang paling terkesan.

“Oleh itu, adapun anak yatim maka janganlah engkau berlaku kasar terhadapnya, Adapun orang yang meminta (bantuan pimpinan) maka janganlah engkau tengking herdik; Adapun nikmat Tuhanmu, maka hendaklah engkau sebut-sebutkan (dan zahirkan) sebagai bersyukur kepadaNya.” (Adh-Dhuha: 9-11)

Di sini saya update sedikit cerita pelajar berkenaan.

Menurut ustazah Khadijah bt. Alang Abu Shuker (guru pelajar tersebut),terdapat 2 orang pelajar yang dirasakan perlu dibantu, iaitu Nurkhatijah bt. Abdullah dan Norsyafiqah bt.Abdul Rahim.

Kedua-duanya anak yatim. Seorang tiada emak dan seorang lagi tiada bapa. Boleh berhubung terus dengan ustazah Khadijah untuk maklumat dan bantuan. Nombor telefon bimbit ustazah:017-3078400.

Sekadar renungan, Rasulullah s.a.w. sangat memuliakan anak yatim dan suka menggembirakan mereka. Lantaran Baginda s.a.w. juga seorang anak yatim. Jadi apalah salahnya, kalau sumbangan yang kita berikan dapat menggembirakan mereka, memberikan motivasi untuk mereka ke sekolah.

Allah s.w.t. melarang manusia berbuat zalim terhadap anak yatim. Malah, seseorang yang berlaku zalim, tidak menjaga hak dan memberi makan anak yatim dianggap sebagai mendustakan agama. ALLAH subhanahu wata’ala berfirman dalam surah al-Ma`uun ayat 1-3: "Tahukah kamu (orang) yang mendustakan agama? Itulah orang yang mengherdik anak yatim dan tidak menganjurkan memberi makan orang miskin".

Berbahagialah ibu dan nenek adik-adik tadi, gurunya dan orang yang membantu mereka sesuai dengan hadith di bawah kerana anak-anak ini bakal menjadi penghalang api neraka kelak.

“Barang siapa yang diuji dengan sesuatu daripada anak-anak perempuannya, lalu dia berbuat baik kepada mereka, maka mereka akan menjadi penghalang baginya daripada api neraka”.

Daripada Abu Ummah diceritakan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Barang siapa yang membelai kepala anak yatim kerana Allah SWT, maka baginya kebaikan yang banyak daripada setiap rambut yang diusap. Dan barang siapa yang berbuat baik kepada anak yatim perempuan dan lelaki, maka aku dan dia akan berada di syurga seperti ini, Rasulullah SAW mengisyaratkan merenggangkan antara jari telunjuk dan jari tengahnya.” (Hadis riwayat Ahmad)

Dalam sebuah hadis daripada Ibnu Abbas meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Orang yang memelihara anak yatim dalam kalangan umat Muslimin, memberinya makan dan minum, pasti Allah SWT akan masukkan ke dalam syurga, kecuali ia melakukan dosa yang tidak boleh diampun.” (Hadis riwayat Tirmidzi)

Allah SWT berfirman dalam al-Quran yang bermaksud: “Katakanlah, sesungguhnya Tuhanku melapangkan rezeki bagi siapa yang dikehendaki-Nya di antara hamba-hamba-Nya dan menyempitkan bagi (sesiapa yang dikehendaki-Nya)’, dan apa saja yang kamu infakkan, maka Allah akan menggantikannya dan Dialah pemberi rezeki yang sebaik-baiknya.” (Surah Saba ayat 39).

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak ada suatu pagi yang dilalui oleh seorang hamba kecuali dua malaikat turun. Satu daripadanya berkata: Ya Allah, berilah ganti orang yang berinfak (dermawan). Malaikat yang satu lagi berkata: Ya Allah, berilah kehancuran bagi orang yang kedekut.” (Hadis riwayat Bukhari, Muslim dan Ahmad dari Abu Hurairah).

Terima kasih kepada semua dermawan. Hanya Allah s.w.t yang mampu membalas jasa kalian.

Jazakallah hukhairan kathira.

[Sumber]

*KITA TERTANYA-TANYA, DIMANA PUSAT ZAKAT? DIMANA YB-YB KAYA-RAYA KITA? DIMANA 'MEREKA-MEREKA' YANG MENGAKU MEMPERJUANGKAN NASIB RAKYAT?