Friday, January 15, 2016

Remaja Reka Cerita Kena Culik Dihantar Ke Pusat Pemulihan Akhlak

Remaja Reka Cerita Kena Culik Dihantar Ke Pusat Pemulihan Akhlak

Nur Amirah Athirah Abdul Majid, gadis yang mereka-reka cerita diculik di Bandar Suleiman baru-baru ini diperintah oleh Mahkamah Majistret Klang untuk dihantar ke Sekolah Tunas Bakti bagi menjalani pemulihan selama tiga tahun.

Nur Amirah Athirah Abdul Majid

Majistret Nor Asma Ahmad mengeluarkan perintah mengikut Seksyen 91 (b) Akta Kanak-Kanak 2001.

Prosiding dijalankan secara tertutup kerana melibatkan kanak-kanak.

Ibu bapa remaja berkenaan turut dikenakan bon tanpa cagaran mengikut Seksyen 93 (1)(d) akta sama.

Mereka diperintah melawat anaknya sebulan sekali dan sekiranya syarat gagal dipatuhi, ibu bapa boleh didakwa.

Perintah bon itu dikeluarkan selepas mahkamah mendapati remaja perempuan itu bertindak sedemikian berikutan kegagalan ibu bapa memberi perhatian kepadanya selain faktor persekitaran.

Semua pihak juga dinasihati agar menghentikan cemuhan terhadap gadis itu memandangkan dia telah menerima pengajarannya.

Pihak pendakwaan juga memberi peluang kepada remaja perempuan itu untuk berubah memandangkan ini kesalahan pertamanya.

Sementara itu, Peguam, dalam mitigasinya, memaklumkan mahkamah bahawa anak guamnya tidak berniat untuk menimbulkan kekecohan, sebaliknya hanya ingin perhatian daripada ibu bapanya.

BACA INI JUGA: 10 Lokasi Rekreasi Paling Berbahaya Di Dunia

Sumber: Sinarharian.com.my

Sunday, January 03, 2016

Siasatan Kes Mangsa Culik Palsu Nur Amirah Athirah!

Siasatan Kes Mangsa Culik Palsu Nur Amirah Athirah!

Kertas siasatan berhubung kes penculikan Nur Amirah Athirah Abdul Majid, pada 27 Disember lalu, akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya, Selasa ini.

Nur Amirah Athirah


Siasatan secara menyeluruh terhadap teman lelaki mangsa yang berusia 19 tahun dan rakan yang bersubahat memberikan tempat tinggal kepada pasangan itu masih lagi berjalan.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Mohd. Yusoff Mamat, berkata, suspek akan disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan kerana melarikan orang dalam jagaan sah.

“Nur Amirah kini berada di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang dekat sini, bagi mendapatkan pemeriksaan dan rawatan lanjut, manakala teman lelaki dan rakannya itu masih ditahan reman.

“Sekiranya laporan perubatan mendapati Nur Amirah dirogol, teman lelakinya juga akan didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan,” katanya yang dipetik portal BH Online.

Mohd. Yusoff berkata, Nur Amirah, 14 tahun; akan ditempatkan di bawah jagaan pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk sementara waktu selepas dibenarkan keluar dari hospital itu.

Pada 27 Disember tahun lalu, Nur Amirah dilaporkan hilang secara misteri berdekatan dengan kediaman keluarganya di Bandar Sultan Sulaiman, Pelabuhan Klang dekat sini.

Kes kehilangan mangsa ini mula menjadi viral menerusi laman sosial tempatan selepas rakaman perbualan telefon antara remaja itu bersama kakak angkatnya tersebar secara meluas.

Bagaimanapun, pada kira-kira 7.45 petang 31 Disember lalu, Pasukan Penyiasat Khas Polis Kontinjen Selangor, yang ditubuhkan bagi menyelamatkan Nur Amirah berjaya menemui remaja itu.

Mangsa dijumpai bersama-sama dengan teman lelakinya itu ditahan di sebuah stesen minyak di Kanchong Darat, Banting dekat sini selepas dikesan di Putrajaya.

Satu Malaysia ditipu ‘hidup-hidup’

Siapa sangka, rupa-rupa satu Malaysia ditipu ‘hidup-hidup’ dengan drama sebabak yang dicipta oleh seorang gadis berusia 14 tahun, yang sebelum ini dipercayai diculik susulan rakaman audionya menjadi viral.

Hanya gara-gara mahukan hidup bebas, gadis yang dikenali sebagai Nur Amirah Athirah Abdul Majid sanggup berbohong terhadap keluarganya dengan membuat panggilan palsu menyatakan konon dirinya diculik.

Lebih parah, remaja yang tidak bersekolah ini sebenarnya lari mengikuti teman lelakinya yang baharu sahaja dikenali kira-kira seminggu.

Teka-teki helah penculikan ini terbongkar setelah pihak polis berjaya menemui gadis berkenaan bersama teman lelakinya, Gan Chin Teck berusia 19 tahun.

Mereka turut ditemui bersama-sama seorang kanak-kanak, Nurqistina, 6; di hadapan stesen minyak di Kanchong Darat Banting, Selangor, kira-kira 10 malam pada Khamis.

Hasil siasatan pihak polis, Athirah mengaku dirinya tidak diculik dan berbuat demikian kerana inginkan hidup bebas.

Menurut gadis ini, sepanjang kehilangannya menumpang di rumah bapa angkatnya yang dikenali sebagai Nizam di Bandar Sungai Emas, Banting.

Pada masa yang sama, gadis tersebut mendakwa tidak pernah melakukan hubungan seks bersama teman lelakinya.

Terdahulu, ibu remaja ini, Asmah Mamai, 33; membuat laporan polis setelah menyedari anak perempuannya itu tidak pulang ke rumah mereka yang terletak di Bandar Sultan Sulaiman, Pelabuhan Klang kira-kira 10 malam, pada Ahad lalu.

Bagaimanapun, Athirah dikatakan sempat hubungi ahli keluarganya mendakwa dia konon diculik menggunakan sebuah van berwarna putih namun tidak sempat lihat nombor pendaftaran kenderaan apabila kepala ditutup dengan kain.

Malah, Athirah dalam rakaman itu berkata, dia tidak diculik berseorangan, sebaliknya mendakwa ramai lagi gadis lain turut berada dalam van berkenaan, dipercayai diculik.

Netizen Kecam Gadis ‘Culik’

Susulan berita penemuan semula remaja perempuan, Nur Amirah Athirah yang dilaporkan hilang pada 27 Disember lalu, kisahnya kini sekali lagi dapat perhatian rakyat Malaysia yang rata-rata marah dengan tindakannya.

Ini kerana dia yang dilaporkan ‘hilang’ telah betul-betul berjaya meyakinkan seluruh rakyat Malaysia yang sememangnya percaya bahawa dia sudah diculik.

Atas rasa prihatin, rata-rata netizen telah membantu misi pencarian dengan menyebarkan maklumat mengenai berita kehilangan Athirah menerusi laman facebook dan twitter.

Bengang dan marah dengan tindakkannya itu, rata-rata netizen meluahkan rasa amarah di laman facebook dan twitter selepas berita sebenar terbongkar!

Ramai yang tampil memberi nasihat kepada Athirah dan ramai juga yang menghentam, mengherdik dan memarahinya ekoran insiden ‘rekaan’ ini.

“Banyak orang doakan awak, banyak orang menangis sebab awak. Banyak yang nak awak selamat, tapi awak balas dengan cara ni?? Kita orang tak marah tapi macam mana perasaan ibubapa awak?? Semoga tahun baru ini memberi keinsafan kepada awak… hhmm dan tolong, jangan buat mcm ni lagi. Hal ini bukan hal boleh dimanfaatkan…” kata Iena Liana.

“Cisss… kau ni memang buat suspen je la budak.. ape la nak jadi… kesian mak bapak kau.. kesian dekat pihak-pihak yang bertungkus lumus cari kau.. kesian kami satu Malaysia yang risau dan doakan kau… hati ape pon tak tahu la kau ni. Jangan nanti kena culik betul-betul baru nak menyesal… menyusahkan orang betul!!” kata Ladyzana Shazoura.

“Berani betul bohong orang tua nanti kalau betul-betul terjadi macam mana orang nak percaya buat susah mak bapak je takkan tak takut kalau betul-betul terjadi fikir-fikirkan wahai anak jangan menyusahkan ibu bapa mu???” kata Nordiran Musa.

“Menyusahkan orang tua je dia ni. Patut masuk sekolah budak jahat untuk pulihkan,” kata Saliha Daud.

“Aduhaiiiiii..sebagai ibu masa dengar rakaman dia ni.. macam kita mak dia dah… susahnya hati.. apatah lagi ibu dia… tapi macam ni pulak jadinye.. aduhaiiiiiiii,” kata Nadiah N Anizah.

Harapnya adik Athirah berubah dan mendapat hukuman berat yang setimpal diatas kehebatannya menipu dikala usia masih lagi muda!

BACA INI JUGA: 5 Tajuk Berita Akhbar Paling Menggemparkan Dunia

Sumber: Agensi/Mynewshub/HAA

Wednesday, December 30, 2015

Video Rakaman Perbualan Remaja 14 Tahun Diculik Van Putih

Video Rakaman Perbualan Remaja 14 Tahun Diculik Van Putih

Media sosial digemparkan dengan penyebaran audio perbualan seorang budak perempuan yang merintih minta diselamatkan selepas dipercayai diculik.

Nor Amira Atirah Abdul Majid

Menerusi perkongsian yang dimuatnaik salah seorang ahli keluarga mangsa, Nor Amira Atirah Abdul Majid, 14, dilaporkan diculik ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Bandar Sultan Sulaiman, Pelabuhan Klang, petang semalam.

“Tolong aku, aku nak balik, diorang culik aku, diorang nak jual aku.

“Dia tutup mulut aku dengan kain, lepas tu aku dah tak ingat apa-apa, lepas tu dah nak sampai tu aku nampak signboard Johor Bahru,” ujar Nor Amira dalam nada ketakutan.

Mangsa dikatakan hanya sempat memberitahu demikian ketika menelefon salah seorang ahli keluarga bagi meminta pertolongan sebelum perbualan terputus.

Berdasarkan rakaman perbualan, mangsa mendedahkan dia telah diculik menggunakan sebuah van berwarna putih namun tidak sempat melihat nombor pendaftaran kenderaan apabila kepala ditutup dengan kain.

Selepas tersedar mangsa hanya ternampak papan tanda menuju ke Johor Bahru .

Menurut Amira, dia tidak keseorangan diculik, sebaliknu mendakwa ramai lagi gadis lain turut berada dalam tahanan, dipercayai untuk dijual.

Sebuah portal pula melaporkan, ibu mangsa menyedari anak perempuannya itu tidak berada di rumah kira-kira jam 10 malam, seterusnya bertindak menghubungi mangsa namun tidak berjaya.

Dalam pada itu pihak polis dikatakan sedang mengumpul maklumat tentang perkara ini msebelum mengeluarkan sebarang kenyataan.

BACA INI JUGA: Lapa, Aplikasi Kesan Kedudukan Anak Dan Barang Jika Hilang!



Sumber: Mynewshub.cc