Sunday, July 07, 2019

Bagaimana Mustafa Kemal Ataturk Menukar Turki Menjadi Negara Sekular?

Bagaimana Mustafa Kemal Ataturk Menukar Turki Menjadi Negara Sekular?

Turki merupakan sebuah negara yang terletak antara Timur dan Barat yang sebelum ini merupakan sebuah kuasa besar dunia yang lebih dikenali sebagai Empayar Uthmaniyyah, namun sejak kejatuhannya pada tahun 1920-an, wilayah-wilayah Arab di bawah Empayar Uthmaniyyah telah dibahagikan antara pihak Besekutu, sehingga berpecah-belah.

Mustafa Kemal Ataturk menukar turki menjadi sekular

Selepas revolusi Turki yang terjadi pada abad ke-20, kerajaan telah mengharamkan pemakaian tudung di pejabat awam dan juga pusat pengajian tinggi sampailah pada tahun 2013.

Namun, bagaimana negara Turki boleh berubah daripada sebuah negara Islam menjadi negara sekular?

Untuk memahami fenomena ini secara lebih mendalam, kita kenali dulu presiden Turki yang pertama, Mustafa Kemal Ataturk.

Berjaya Menyekat Tentera British Dan Perancis

Pada tahun 1915, reputasi Ataturk melonjak sewaktu kempen Gallipoli, di mana dia telah berjaya menyekat sejumlah besar askar Britain dan Perancis daripada merampas Istanbul dan disebabkan sumbangan itu, Ataturk telah dinaikkan pangkat menjadi Brigadier-Jeneral.

Sewaktu Perang Dunia Pertama (1914-1918), empayar Uthmaniyyah mula menunjukkan unsur-unsur uzur. Banyak infrastruktur musnah dan aktiviti jenayah semakin berleluasa.

Tidak cukup dengan itu, wilayah-wilayah di bawah jajahan empayar Uthmaniyyah mula memberontak dan menuntut kemerdekaan mereka sendiri.

Jadi, apabila Ataturk balik ke Istanbul, dia mendapati bandar tersebut penuh dengan tentera Pihak Bersekutu. Marah dengan tindakan itu, Ataturk telah mengetuai satu pemberontakan dan melawan Pihak Bersekutu.

Ataturk yang mendapat sokongan orang Turki bukan sebab dia hebat berperang, tapi disebabkan kehebatannya menggunakan semangat perkauman.

Berbeza dengan Empayar Uthmaniyyah yang ada rakyat berbilang kaum, Ataturk terang-terangan berkata hanya ingin memperjuangkan nasib bangsa Turki sahaja.

Pada waktu inilah Ataturk menjadi hero bagi bangsa Turki, kerana dengan semangat perkauman yang semakin tegang, baru kalah dalam Perang Dunia Pertama, Sultan hilang entah ke mana, hanya Ataturk yang berani bersuara menentang penjajah.

Selain semangat nasionalisma Turki , Ataturk juga menggunakan agama Islam mengikut pengertiannya sendiri dalam manifesto untuk mendapatkan sokongan daripada orang awam:

“Walaupun sebelum kedatangan agama orang Arab (Islam), Turki merupakan sebuah negara yang hebat. Tapi selepas kedatangan agama orang Arab ini, ia tidakpun menyatukan orang Arab, Parsi, dan Mesir di bawah satu negara sebaliknya, ia melonggarkan semangat kenegaraan Turki.

"Ini hanyalah perkara biasa, sebab tujuan agama yang diasaskan oleh Muhammad, ke atas semua negara, adalah untuk mengheret mereka ke dalam politik Arab.” -Mustafa Kemal Ataturk.

Dari sinilah Mustafa Kemal mendapat nama ‘Ataturk’, yang bererti “Bapa orang Turki”.

Selepas memerintah, Ataturk menghalau sultan dan memansuhkan sistem khalifah.

Waktu mula-mula memerintah, kerajaan Ataturk sama seperti kerajaan Islam. Perlembagaan menyatakan yang Islam adalah negara rasmi dan apa-apa undang-undang baru tidak boleh bercanggah dengan syariah.

Masalahnya, di Turki ada dua kerajaan iaitu Kesultanan Uthmaniyyah dan kerajaan Ataturk. Jadi, untuk menyelesaikan masalah ini, Ataturk telah menuntut kesahihan kerajaannya dan menghalau sultan.

British dan Perancis yang menawan Turki waktu itu juga tidak menyokong sultan yang baru kalah perang dan askar mereka semua sudah balik, manakala tentera yang setia kepada sultan berada terlalu jauh untuk membantu.

Akhirnya, pada tahun 1922 selepas bergaduh dengan pengikut setia sultan, kerajaan Ataturk berjaya menawan Turki.

Sultan Uthmaniyyah yang terakhir dan keluarganya telah di hantar ke Malta oleh tentera British menggunakan kapal perang HMS Malaya yang dimiliki oleh tentera British yang dibiayai oleh sultan-sultan Tanah Melayu.

Tahun berikutnya, Ataturk telah mengalihkan pusat kerajaan dari Instanbul ke Ankara dan kemudian lahirnya sebuah republik yang baru, iaitu kerajaan Turki dengan Ataturk sebagai Presiden yang pertama.

Ketika inilah secara perlahan-perlahan beliau menunjukkan belang, Ataturk mula mempersoalkan agama dan kaitannya dengan sesebuah kerajaan.

Pada masa yang sama, Ataturk juga telah memperkenalkan Kemalism, sejenis pentadbiran yang diasaskan oleh Ataturk sendiri dimana ia menggabungkan enam prinsip pentadbiran yang lain seperti Populism, Refomisma, Republik, Kenegerian, Nasionalisma dan Laisisma.

Menyerang agama dan budaya atas nama kemajuan

Ataturk telah mula membuat undang-undang baru di mana agama dibuang daripada kehidupan seharian orang Turki, bermula daripada peringkat sekolah, Ataturk telah mengarahkan penutupan madrasah dan universiti agama.

Atatürk berpendapat, agama akan menjauhkan orang Turki daripada dunia luar, kemudiannya telah menentang golongan Sufi di mana semua tempat perjumpaan orang-orang Sufi telah ditukar menjadi muzium dan telah menghukum mati pemimpin Sufi ketika itu.

Bagi rakyat Turki ketika itu, mereka menyangka penentangan terhadap golongan Sufi ini seperti melawan golongan ajaran sesat.

Pada tahun 1926, Ataturk menggantikan undang-undang syariah kepada undang-undang sivil Swiss. Ia kemudiannya diteruskan dengan pengharaman serban dan fez (kopiah merah) dan golongan wanita pula tidak dibenarkan untuk memakai tudung di tempat awam.

Untuk menaikkan lagi semangat nasionalisma, Ataturk menukar azan dari bahasa Arab kepada bahasa Turki dan menukar kalendar Islam kepada Gregorian (kalendar yang kita guna sekarang ini).

Tapi, apa yang benar-benar telah membunuh budaya orang Turki adalah penulisan dalam bahasa Arab bertukar menjadi tulisan rumi (Latin).

Sejak dari itu, Turki telah berubah dari sebuah kerajaan Islam menjadi republik yang memandang ke arah Barat.

Agama telah menjadi suatu kepercayaan individu dan tidak terhad kepada Islam sahaja, malah orang yang beragama Yahudi dan Kristian pun tidak boleh mempraktikkan agama mereka secara terang-terangan.

Maka terlahirlah sebuah negara sekular:

“Ada banyak budaya, tapi hanya satu tamadun sahaja iaitu tamadun Eropah.” – Mustafa Kemal Ataturk

Dan dari situlah bermulanya proses pemodenan Turki sebagai sebuah negara sekular yang meminggirkan Islam.

Ataturk membawa kemajuan dari segi ekonomi dan pembangunan

Untuk mana-mana negara menjadi maju, memerlukan pelan ekonomi yang kukuh dan inilah yang menjadi keutamaan di mana Ataturk telah menubuhkan satu majlis khas untuk memikirkan strategi ekonomi negara.

Majlis ini kemudiannya menjalankan pelan kemajuan industri untuk 5 tahun di mana ia telah mendapat sambutan hangat dan keuntungan yang banyak.

Selain itu, Ataturk telah memberi hak wanita yang lebih meluas. Undang-undang baru yang diambil dari negara Swiss telah membenarkan wanita untuk mengundi dan pada masa yang sama mendapat peluang pendidikan dan pekerjaan yang sama seperti kaum lelaki.

Sekolah telah diwajiibkan dan tidak dikenakan yuran hasilnya, kadar celik huruf di Turki telah meningkat dari 9% kepada 33% dalam masa 10 tahun.

Kejayaan Ataturk tidak terhenti dalam negara sahaja, malah Turki telah dijemput untuk menyertai League of Nations (persatuan negara sebelum PBB).

Dalam masa yang sama, Ataturk bersama negara jiran telah mengasaskan Balkan Entente (persatuan Balkan) yang merupakan satu organisasi yang membincangkan tentang kedamaian sekitar kawasan Balkan.

Jadi, dari segi luaran mungkin kita boleh melihat yang Turki sudah maju dan mempunyai masa depan yang cerah, tetapi adakah ia satu pengorbanan yang berbaloi apabila agama dan budaya terpaksa dibuang demi mengejar kemajuan?

Malah, daripada segi ekonomi, tidak semua hidup selesa di Turki kerana golongan minoriti sering ditindas dan dinafikan kerakyatan mereka.

Orang Kurdish ditindas

Walaupun bangsa utama Turki dapat merasai kemajuan yang dibawa oleh Ataturk, golongan Kurdish telah mendapat layanan yang sangat berbeza.

Orang Kurdish yang menetap di Turki sejak Sebelum Masihi lagi adalah antara bangsa asal, tetapi disebabkan mereka tidak ramai, mereka telah dianggap sebagai warga kelas kedua.

Semasa Ataturk berusaha mencapai kemerdekaan untuk negara Turki, orang Kurdish dijanjikan pelbagai kata-kata manis, taktik sama terhadap umat Islam.

Tetapi, Ataturk kemudiannya mengharamkan penggunaan bahasa Kurdish di tempat awam dan langsung tidak dibenarkan untuk diajar disekolah.

Ataturk kemudian telah memaksa semua orang Kurdish berpindah ke Barat negara itu untuk tinggal di kawasan pedalaman.

Malah, disebabkan tidak diiktiraf sebagai warganegarga yang sah, mereka sering dibuli oleh pihak berkuasa dan dipaksa meninggalkan segala ajaran dan budaya nenek moyang mereka untuk mengikut aliran budaya Turki yang baharu.

Bagi yang menentang, mereka akan dibunuh atau diseksa oleh tentera Ataturk.

Malah, sewaktu kemerdekaan Turki, seramai 40,000 hingga 250,000 orang Kurdish telah dibunuh dengan kejam manakala lebih kurang 210 kampung Kurdish telah dibakar, dengan alasan semua orang Kurdish yang mati telah dilabel sebagai “pengganas”.

Sebenarnya, kaum Kurdish bukanlah minoriti kerana merangkumi lebih kurang 25% dari jumlah penduduk besar Turki.

Pada tahun 2011, Presiden Turki sekarang, Erdogan, telah mewakili pihak kerajaan untuk meminta maaf kepada orang Kurdish terhadap pembunuhan yang terjadi pada tahun 1936-1939.

Semangat perkauman dan agama dimanipulasi

Sebelum kejatuhan Empayar Uthmaniyyah lagi, rakyatnya sudah lama bergaduh sesama kaum, lalu semangat perkauman inilah yang Ataturk telah gunakan untuk mendapatkan sokongan bangsa Turki.

Apabila sudah berkuasa, Ataturk menggunakan agama Islam sebagai alasan supaya rakyat tidak memberontak.

Contohnya, apabila kuasa khalifah dijatuhkan, Ataturk berkata dia sebenarnya mencontohi kerajaan Abbasiyah, tetapi sedikit demi sedikit dia menjadikan Turki sebuah negara sekular yang dipimpin oleh satu parti, malah menindas orang Kurdish dan pihak pembangkang.

Tidak dinafikan Ataturk telah banyak membawa kemodenan terhadap negara Turki, malah ramai yang menganggap Ataturk sebagai hero negara.

Malah, walaupun Ataturk sudah meninggal dunia pada tahun 1938, falsafah yang dibawanya masih terngiang-ngiang di kalangan rakyat Turki.

Ironinya, Ataturk telah menggunakan identiti bangsa Turki sebagai alasan untuk menghapuskan budaya dan agama Islam yang telah lama diamalkan rakyat Turki sendiri.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: soscili

Tuesday, May 28, 2019

Mustafa Kemal Ataturk, Yahudi Yang Menumbangkan Kerajaan Khalifah Uthmaniyyah

Mustafa Kemal Ataturk, Yahudi Yang Menumbangkan Kerajaan Khalifah Uthmaniyyah

Mustafa Kemal Ataturk, nama yang pernah suatu ketika dahulu menjadi bualan hangat dan berlegar di minda terutamanya umat Islam, merupakan presiden Turki pertama yang dianggap sebagai bapa pemodenan Turki moden.

Mustafa Kemal Ataturk bangsa Yahudi

Namanya sangat dibanggakan dan diberikan gelaran "Ataturk" yang bermaksud bapa orang Turki. Dia merupakan pembawa sekularisma di Turki.

Namun, jika dilihat sejarah dari sudut pandangan lain, Ataturk adalah seorang yahudi yang menyamar menjadi seorang Islam untuk menghancurkan Islam itu sendiri dari dalam.

Dia adalah orang yang bertanggungjawab menghapuskan pemerintahan khalifah Islam yang dibubarkan secara rasmi pada 3 Mac 1924.

Dia sengaja menjauhkan nilai-nilai agama dari kehidupan rakyat Turki yang selama ratusan tahun dinaungi cahaya Islam. Seorang pengkhianat agama yang tidak dapat, oleh sebahagian besar umat Islam, membayangkan kejahatannya.

Latar belakang

Mustafa Kemal Ataturk yang diberi gelaran al-Ghazi yang bermaksud orang yang memerangi ini lahir pada tahun 1881 di Kota Salonika yang ketika itu merupakan taklukan Khalifah Uthmaniyyah.

Ayahnya, Ali Riza, adalah seorang pengawal di jabatan kastam manakala ibunya bernama Zubayde seorang wanita yang amat taat dalam menjalankan agama.

Menurut H.S. Armstrong, salah seorang pembantu Ataturk dalam bukunya yang berjudul "al-Zi'bu al-Aghbar" atau "al-Hayah al- Khasah li taghiyyah" telah menulis:

"Sesungguhnya Ataturk adalah daripada keturunan Yahudi. Nenek moyangnya adalah Yahudi yang berpindah dari Sepanyol ke bandar Salonika."

Golongan Yahudi ini dinamakan dengan Yahudi Daunamah yang terdiri daripada 600 buah keluarga. Mereka mendakwa memeluk Islam pada tahun 1095H (1683M), tetapi masih menganut agama Yahudi secara senyap-senyap.

Ini diakui sendiri oleh bekas Presiden Israel, Yitzak Zifi, dalam bukunya Daunamah terbitan tahun 1377H (1957M):

"Ada kumpulan-kumpulan agama yang masih menganggap diri mereka sebahagian daripada Nabi Israel. Antara mereka ada satu kumpulan iaitu kumpulan Daunamah yang Islam hanya pada zahir tetapi mengamalkan ajaran Yahudi secara senyap-senyap."

Awal hidup Ataturk

Ali Mufrodi, seorang pengkaji Islam dari University of Leiden Belanda dalam bukunya yang berjudul, "Ensiklopedia Tematis Dunia Islam" menjelaskan, Mustafa Kemal Ataturk dimasukkan oleh ibu bapanya ke madrasah, tetapi dia tidak menyukainya dan selalu melawan guru.

Ketika Mustafa berumur 12 tahun, dia memasuki Sekolah Tentera Salonika dan meneruskan pelajarannya di Akademi Tentera Monasitar pada tahun 1302H (1885M).

Dia kemudiannya menyambung ke akademi tentera di Istanbul dan menamatkan latihan ketenteraanya pada 1325H (1907M) dan seterusnya ditugaskan di Kem Tentera Batalion ketiga di Salonika.

Inilah titik permulaanya dalam memerangi pemerintahan Khalifah Uthmaniyyah dan sebagai seorang penentang agama Islam.

Sebagai seorang graduan dari akademi tentera, dia telah mengingatkan dan mempengaruhi rakan pegawainya agar tidak tertipu dengan dunia pemikiran Islam.

Kebangkitan Mustafa Kemal Ataturk

Permulaannya, dia telah mengubah ucapan Assalamualaikum kepada Marhaban Bikum (Selamat Datang).

Gerakan pertamanya memerangi Islam adalah dengan menubuhkan Organisasi Kebangsaan dan Kebebasan yang bertujuan menghapuskan pemerintahan Khalifah Uthmaniyyah yang menurutnya mengamalkan cara pemerintahan autoritarian, namun usahanya gagal.

Ketika tercetusnya Perang Dunia Pertama, nama Mustafa Kemal Ataturk meningkat naik apabila dia telah dipilih menjadi panglima tentera ke-19 i Sinaq Qal'ah.

Tenteranya telah berjaya mengalahkan tentera Inggeris sebanyak dua kali di Semenanjung Ghalibuli di Balkan Darnadil walaupun pada hakikatnya kekuatan tentera Inggeris mampu mengalahkan tentera Ataturk.

Disebabkan kejayaan Ataturk membawa kemenangan kepada Turki, dia telah dilantik menjadi kapten dan seterusnya menjadi jeneral pada tahun 1335H (1916M).

Namun, jika dilihat dengan mata hati, kejayaan yang diraih oleh Ataturk ini sebenarnya adalah rancangan jahat pihak Inggeris yang sengaja mahu mengangkat nama Ataturk sehingga reputasinya dipandang tinggi oleh kerajaan Uthmaniyyah.

Dalam satu lagi gerakannya, dia telah mengetuai satu pasukan tentera di Palestin pada tahun 1918. Dia telah menghentikan peperangan terhadap Inggeris iaitu musuh Kerajaan Uthmaniyyah secara mengejut lalu membenarkan Inggeris untuk maju ke sebelah utara tanpa sebarang tentangan.

Dengan muslihatnya yang licik, dia telah mengadu jatuh sakit dan terlantar di Kem Nablus namun tindakannya itu telah membuatkan orang ramai tertanya-tanya dan pelbagai spekulasi timbul.

Dia kemudiannya membawa tenteranya ke Damsyik dan disitu dia telah memerintahkan supaya tentangan terhadap Inggeris dihentikan.

Dengan ini, ia menjadi peluang keemasan kepada pihak Inggeris untuk maju ke wilayah Uthmaniyyah.

Campur tangan pihak Inggeris

Pihak Inggeris meminta khalifah membubarkan Dewan Rakyat yang mana ia berkuasa untuk menentukan kekuasan khalifah, selepas kekalahan Turki dan pengisytiharan gencatan senjata.

Tidak cukup dengan itu, Inggeris mencetuskan huru-hara dalam istana Kerajaan Uthmaniyyah dari tahun 1918 sehingga 1919.

Mereka kemudiannya mencadangkan agar Mustafa Kemal memikul tugas sebagai pemerintah supaya beliau dapat menjadi orang yang mampu memenuhi kehendak rakyat dan juga satu-satunya pegawai tentera yang layak mendapat penghargaan daripada pihak tentera.

Oleh itu, kehebatan Mustafa Kemal kian terserlah di mata masyarakat manakala institusi khalifah pula semakin merosot.

Pada masa yang sama dia telah berjaya menjayakan rancangan Pihak Bersekutu untuk menguasai wilayah-wilayah Kerajaan Uthmaniyyah.

Revolusi yang dicetuskan oleh Ataturk disokong penuh oleh Inggeris dan berjaya pada peringkat awal setelah gerakannya disertai oleh pemimpin-pemimpin muda dan ahli fikir yang meletakkan syarat agar tidak membabitkan khalifah.

Pertempuran di antara tentera Uthmaniyyah dengan Greek telah berlanjutan selama satu setengah tahun dan semasa peperangan sedang berlaku, Pihak Bersekutu telah mengumumkan bahawa mereka berkecuali.

Sungguh menghairankan kerana senjata-senjata yang dibekalkan kepada Mustafa Kemal adalah daripada Rusia hasil perancangan rapi pihak Inggeris di Busfor sekalipun Rusia memang memusuhi Kerajaan Uthmaniyyah.

Tentera Greek mencetuskan api peperangan sekali lagi pada 23 Mac 1921 dan pada bulan September 1921 pertempuran antara mereka terhenti apabila Greek menarik balik tenteranya dari Izmir.

Selepas dua hari, tentera Uthmaniyyah mula memasuki Izmir tanpa menggunakan sebarang kekerasan.

Propaganda Barat

Barat telah membesar-besarkan kemenangan pimpinan Mustafa Kamal ini dan menyebarkannya dengan cepat ke negara-negara Islam.

Orang Islam telah tertipu dengan tindakan Mustafa yang berjaya memenuhi aspirasi mereka sehinggakan Ahmad Shauqi pernah memuji Ataturk melalui sebuah qasidah yang mengumpamakan Ataturk seperti Khalid bin al-Walid.

"Maha Besar Allah betapa kemenangan yang penuh keajaiban, Khalid Turki hidupkanlah kembali, Khalid Arab."

Jatuhnya Kerajaan Khalifah Uthmaniyyah

Namun, cita-cita dan impian mereka berkubur apabila Ataturk membubarkan Kerajaan Khalifah pada 3 Mac 1924.

Kerabat diraja dan Khalifah dihalau keluar dari Turki. Kementerian Wakaf dan Kementerian Undang-undang Syariah dimansuhkan serta sekolah-sekolah agama ditukar menjadi sekolah-sekolah awam.

Musuh-musuh Islam melihat bahawa penghapusan Khilafah Islamiah bukanlah suatu perkara mudah. Ia hanya akan tercapai dengan cara menonjolkan seorang wira yang agung dan Mustafa merupakan orang yang digelar wira tersebut.

Dengan jatuhnya Kerajaan Khalifah, Mustafa Kemal dengan bantuan pihak Inggeris telah berjaya mempengaruhi dan memperbodohkan seluruh rakyat dan inilah masanya yang paling sempurna bagi mereka untuk menghancurkan Islam.

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:

sumber: iluminasi

Sunday, May 26, 2019

Kisah Kematian Mustafa Kemal Ataturk Dan Kontroversi Jasad Tidak Di Terima Bumi

Kisah Kematian Mustafa Kemal Ataturk Dan Kontroversi Jasad Tidak Di Terima Bumi

Bila kita berbicara tentang Mustafa Kemal Ataturk, cerita paling masyhur mengenai beliau ialah jenazahnya yang tidak diterima bumi kerana dosa-dosa yang dilakukan pada umat Islam, apabila menghapuskan sistem kekhalifahan dan tindakan kejam beliau kepada institusi agama.

Mustafa Kemal Ataturk

Kisah jasad tidak diterima bumi ini adalah topik kontroversi yang sering diceritakan para agamawan di medan-medan ceramah tak kira masa atau tempat. Wallahu a'lam.

Tahun-tahun Terakhir Ataturk

Pada tahun 1937, sudah timbul tanda-tanda kemerosotan kesihatan Ataturk dan pada awal tahun 1938, semasa melakukan lawatan ke Yalova, Turki, beliau ditimpa penyakit serius dan memerlukan rawatan doktor.

Selepas mendapat rawatan jangka pendek di Yalova di mana keadaan kesihatan beliau dilihat bertambah baik, Ataturk meneruskan lawatan seperti dirancang.

Namun, keadaan kesihatan beliau kembali merosot semasa melakukan perjalanan ke Ankara, Mersin dan Adana.

Apabila beliau pulang semula ke Ankara pada Mei 1938, Ataturk dinasihatkan untuk berangkat ke Istanbul bagi mendapatkan rawatan untuk penyakit beliau.

Hasil diagnosis yang dilakukan pakar perubatan mendapati beliau menghidap sirosis, sejenis penyakit hati yang mengakibatkan peningkatan dalam tisu berserat dan pemusnahan sel-sel hati.

Dan ini sesuatu yang tidak mengejutkan kerana menurut rekod, Ataturk dikenali sebagai kaki botol, suka menari, bermain permainan kad dan perempuan.

Berikutan itu, beliau mengambil keputusan menjadikan Istana Dolmabahce, Istanbul, di sebelah utara bahagian Eropah Selat Bosphorus sebagai kediaman beliau.

Semasa bulan-bulan terakhir ini, walaupun dalam keadaan sakit yang teramat, Ataturk cuba meneruskan rutin harian seperti biasa.

Antara rutin beliau pada bulan-bulan tersebut ialah mempengerusikan mesyuarat Majlis Menteri-Menteri, menyelesaikan urusan berkenaan wilayah Hatay dan menjadi tuan rumah kepada Raja Carol II dari Romania semasa lawatan baginda ke Turki pada Jun 1938.

Namun, Ataturk dilihat jarang berdiri dan pada ketika itu, berehat di atas kapal layar Savarona sehingga akhir Julai 1938, di mana keadaan kesihatan beliau kembali merosot lalu dipindahkan ke satu bilik khas di Istana Dolmabahce.

Semasa di Dolmabahce, Ataturk koma pada bulan September sebelum kembali tidak sedarkan diri pada 9 November.

Pada tanggal 10 November 1938, beliau meninggal dunia pada usia 57 tahun dengan jam bilik tidurnya menunjukkan waktu kematian 9.05 pagi.

Pengebumian

Persiapan telah diatur oleh pihak berkuasa untuk menguruskan urusan pemakaman negara untuk Ataturk. Pada ketika itu, belum ada keputusan berkenaan tempat pemakaman.

Sehari selepas kematian beliau, Parlimen Turki yang bersidang di Ankara melantik Ismet Inonu sebagai Presiden Republik Turki yang baharu.

Pada mulanya, tidak ada keperluan untuk melakukan solat jenazah bagi Ataturk namun, Makbule Atadan, kakak kepada Ataturk, yang menetap di Dolmabahce selama beberapa hari sehingga hari kematian Ataturk, mendesak agar urusan tersebut dilakukan di sebuah masjid sebelum jenazah dibawa ke Ankara.

Akhirnya, Atadan diyakinkan oleh Presiden Jabatan Pengurusan Agama, Rifat Borekci bahawa solat jenazah juga seharusnya dilakukan di luar masjid.

Pada 19 November, jam 8.10 pagi waktu tempatan, solat jenazah Ataturk diimamkan oleh Profesor Serafettin Yaltkaya, Pengarah Institut Kajian Islam di mana ia dilakukan dalam Bahasa Turki dan bukan mengikut Bahasa Arab.

Semasa upacara berlangsung, sebarang usaha untuk mengambil gambar adalah tidak dibenarkan, selain solat jenazah dihadiri oleh orang-orang yang rapat dengan beliau, beberapa orang jeneral, pegawai-pegawai agama, kakitangan istana dan Mejar Yasar Okur, seorang hafiz Al-Quran merangkap pegawai tentera yang berkhidmat bersama Ataturk selama 15 tahun.

Memandangkan urusan pengebumian ditangguhkan bagi memberi peluang kepada def-def kehormat dan orang ramai memberi penghormatan terakhir kepada Ataturk, jenazah beliau telah diawet di Ankara oleh pakar patologi dari Akademi Perubatan Tentera Gulhane (GMMA), Prof. Lutfi Aksu.

Sementara proses pengkafanan dilakukan oleh salah seorang dari sembilan pakar perubatan yang menandatangani sijil kematian beliau, Prof. Mehmet Kamil Berk.

Kemudian, jenazah Ataturk dibaringkan dalam posisi rehat sementara Atadan, pegawai-pegawai tinggi kerajaan dan tentera serta individu berpengaruh lain memberi penghormatan terakhir pada waktu-waktu tertentu.

Jenazah Ataturk diletakkan dalam satu keranda kayu walnut berkualiti tinggi dengan bahagian dalam diperbuat daripada kayu mahogani.

Keranda yang dilitupi dengan bendera kebangsaan Turki diletakkan pada 16 November di dewan sambutan istana pada sebuah catalfaque.

Ianya diapit dengan tiga obor tinggi pada setiap sisi mewakili enam rukun utama Kemalisme dan diletakkan lingkaran bunga di atas keranda untuk tatapan orang ramai.

Selama tiga hari, beribu-ribu orang hadir bagi memberi penghormatan terakhir kepada beliau pada catalfaque di mana pegawai-pegawai kehormat bertugas menjaga jenazah.

Selepas selesai solat, jenazah Ataturk dibawa keluar dari Dolmabache, diletakkan atas kaison yang ditarik kuda dan dibawa di hadapan perarakan jenazah ke Taman Gulhane.

Dari Seraglio Point, sebuah bot torpedo membawa jenazah beliau ke kapal perang TCG Yavuz, yang diiringi oleh kapal tentera laut Turki dan kapal-kapal asing membawa jenazah sehingga melepasi Pulau Buyukada. Setelah itu, Yavuz meneruskan perjalanan ke bandar pelabuhan Izmit.

Keranda yang membawa jenazah dipindahkan ke atas keretapi pengebumian dan dibawa ke Ankara di mana ia tiba pada 20 November 1938.

Menanti jenazah tiba ialah def-def kehormat terdiri daripada Presiden Turki, Ismet Inonu, Speaker Parlimen Turki, Abdulhalik Renda, Perdana Menteri, Celal Bayar, menteri-menteri Kabinet, Panglima Angkatan Tentera Turki, Field Marshall Fevzi Cakmak, pegawai-pegawai tinggi kerajaan dan tentera serta semua ahli parlimen.

Keranda Ataturk kemudian sekali lagi dibawa di atas kaison ke Bangunan Perhimpunan Agung Kebangsaan Turki di Ulus, di mana ia diletakkan atas sebuah catalfaque di hadapan bangunan Parlimen untuk tatapan umum.

Ini memberi peluang kepada ribuan penduduk Ankara memberi penghormatan terakhir kepada Bapa Turki Moden.

Pada hari berikutnya, satu lagi upacara pengebumian lebih besar diadakan bagi memberi peluang kepada pemimpin-pemimpin asing memberi penghormatan terakhir.

17 pemimpin asing hadir memberi penghormatan

Perarakan dengan keranda jenazah Ataturk yang dilitupi dengan bendera Turki diletakkan atas kaison yang ditarik kuda dibawa ke Muzium Etnografi Ankara turut diiringi sembilan detasmen pegawal kehormatan.

Antara negara yang menghantar detasmen tersebut ialah Britain, Iran dan Yugoslavia.

Setibanya di muzium, keranda Ataturk diletakkan dalam sebuah keranda batu marmar berwarna putih yang dibina khas dengan bendera Turki menutup penutup keranda.

Dan dari rekod rasmi ini, cerita jenazah Ataturk tidak diterima bumi muncul dan tersebar secara meluas di serata dunia termasuk di medan-medan ceramah.

Dan bila memandang polisi pemerintahan Ataturk, maka tidak hairanlah bagaimana ia dapat dikaitkan sebagai satu kisah teladan yang menarik tetapi sumbernya goyah.

Cerita sebenar kenapa kerajaan Turki menyemadikan sementara jenazah beliau di situ ialah mereka mahu membina satu kompleks pemakaman besar untuk Ataturk di atas bukit paling tinggi di Ankara pada ketika itu, Rasateppe.

Memandangkan projek kompleks pemakaman yang dipanggil Anitkabir akan mengambil masa 15 tahun, maka pihak kerajaan memilih Muzium Etnografi Ankara sebagai tempat persemadian sementara beliau.

Anitkabir

Anitkabir makam mustafa kemal

Dan impian tersebut menjadi kenyataan pada 1953, apabila penutup keranda batu dibuka kali pertama dan keranda tersebut dibawa keluar dengan bantuan kren jenis trispastos untuk diletakkan di atas catalfaque dengan disaksikan oleh kakak Ataturk, Makbule Atadan, Presiden Celal Bayar, Speaker Parlimen Refik Koraltan, Perdana Menteri Adnan Menderes, Panglima Angkatan Tentera Turki Nuri Yamut, Abdulhalik Renda dan beberapa pegawai tinggi kerajaan.

Gabenor Ankara, Kemal Aygun menugaskan ahli patologi dari fakulti perubatan Universiti Ankara, Profesor Kamile Sevki Mutlu untuk mengeluarkan keranda, memeriksa jenazah dan menyelia proses pengebumian semula di mana ia perlu mengikut tradisi pengebumian tempatan.

Proses yang berlaku pada 9 November 1953 ini menyaksikan Prof. Mutlu dibantu oleh dua rakan sekerjanya, Dr. Cahit Ozen dan Dr. Seref Yezgan serta 10 guru sekolah tinggi teknikal vokasional yang dihadiri pegawai-pegawai tinggi kerajaan.

Selepas membuka bahagian dalam zink, mereka menemui sebuah plastik coklat mengandungi jenazah Ataturk yang disokong penyokong kayu.

Selepas mengeluarkan plastik dan kain kafan jenazah, pasukan Prof. Mutlu mendapati jenazah beliau masih dalam keadaan baik dan tidak busuk, terima kasih kepada proses pengawetan yang dijalankan 15 tahun lepas oleh Prof. Aksu yang meninggal dunia pada tahun 1951.

Turut ditemui dalam keranda tersebut ialah sampel bahan kimia pengawet yang digunakan dalam satu botol tertutup bersama label kimia tersebut.

Def-def kehormat naik ke catalfaque seorang demi seorang dan memandang wajah Ataturk dan atas nasihat Prof. Mutlu, keranda ditutup semula selepas jenazah dikafankan dengan kain yang baru dan diberi kimia khas untuk kekal utuh.

Sehari selepas itu, pada tanggal 10 November 1953, keranda dilitupi bendera Turki dibawa keluar dari Muzium Etnografi Ankara dan diusung oleh 12 askar untuk diletakkan atas kaison untuk dibawa ke lokasi kekal persemadian beliau, Anitkabir.

Pengusungan keranda diketuai oleh pelbagai pemimpin komuniti agama Turki seperti Armenian Patriach, Greek Orthodox, Roman Katolik dan ketua Rabbi Yahudi selain Presiden Bahagian Hal Ehwal Agama Turki.

138 pegawai simpanan muda termasuk daripada barisan sehingga tiga kilometer terdiri daripada Presiden, Perdana Menteri, Menteri-Menteri Kabinet, ahli-ahli perhimpunan kebangsaan, gabenor-gabenor wilayah dan diplomat-diplomat asing.

Sementara 21 juta rakyat Turki berdiri tegak dan senyap seketika selama lima minit di setiap pelosok negara.

Seorang laksamana tentera laut menjaga kusyen baldu mengandungi Pingat Kemerdekaan, satu-satunya pingat dalam banyak pingat yang dimiliki, yang dipilih Ataturk untuk dipakai.

Dan Bapa Turki Moden disemadikan di tempat persemadian kekalnya, kompleks pemakaman Anitkabir.

Seorang pegawai menceritakan pengalaman semasa proses tersebut berlangsung, “Saya masih bertugas pada hari pengebumiannya, bila saya menitiskan air mata tentang hakikat kematian. Hari ini saya tidak bersedih kerana 15 tahun telah mengajar saya bahawa Ataturk tidak pernah mati.”

Legasi

Hari ini, pada 9 November setiap tahun, pada 9.05 pagi, semua aktiviti dihentikan seketika selama dua minit.

Siren dibunyikan di segenap pelosok negara dan rakyat Turki diam seketika pada waktu tersebut untuk menghormati Ataturk tanpa mengira sama ada di jalan raya, kafe atau pasar raya dan bagi pelajar sekolah, mereka juga diam seketika selama seminit pada 9.05 pagi.

Pada hari itu, bendera Turki dikibarkan separuh tiang bagi mengingati presiden pertama Republik Turki.

Bagi yang mengikuti sejarah Turki, pasti sedar akan jasa Ataturk membebaskan negara daripada dijajah Britain, Perancis, Itali dan Greece dan menghalau mereka keluar dari bumi Anatolia.

Dan Ataturk turut berjasa membawa Turki maju ke depan dengan melancarkan pelbagai polisi bagi mengukuhkan kembali Turki sebagai sebuah negara yang hebat.

Kehebatan beliau dalam mengendalikan soal pemerintahan mengagumkan ramai sehingga menjadikan beliau atau ideologi Kemalisme sebagai cara melawan imperialisme Barat.

Daripada Shah Reza di Iran sehinggalah presiden pertama Tunisia, Habib Bourgiba menjadikan beliau sebagai inspirasi.

Sementara parti Nazi Jerman diketuai Adolf Hitler menganggap beliau seperti sebahagian daripada mereka dan meniru bulat-bulat sebahagian polisi Ataturk seperti bersikap keras terhadap gereja, institusi Islam dan menghalau keluar kelompok minoriti seperti yang dilakukan beliau pada 20-an dan 30-an.

Pada hari kematian Ataturk, Joseph Goebbels, Menteri Propaganda Jerman menyifatkan kematian beliau satu kehilangan yang sukar digantikan.

Namun pada masa yang sama, polisi keras Ataturk terhadap Islam sama sekali mencalarkan imej beliau sebagai patriot dan nasionalis.

Ya, beliau membenarkan kebebasan wanita tetapi menafikan kebebasan mereka menutup aurat. Beliau masih membenarkan azan dan Al-Quran tetapi semuanya diubah dalam Bahasa Turki berikutan sikap anti-Arab beliau.

Pendek kata, pendekatan sekular Ataturk menolak Islam sehingga ke tebing curam namun, tindakan ini mendorong ramai ulama bangkit termasuk Said Nursi hafizahullah untuk memelihara cahaya agama daripada terus pudar di bumi Anatolia.

Kemalisme

Jasad Mustafa Kemal Ataturk
Jasad Mustafa Kemal Ataturk.

Tetapi, legasi terbesar Ataturk ialah Kemalisme, satu doktrin politik yang menganggap dirinya moden dan pro-Barat, sosialis, pro-tentera dan ultra-sekular dalam pendekatannya sehingga mencekik warga Turki untuk bernafas dalam mendapatkan hak mereka terutama soal kebebasan agama.

Dan ini sudah dibuktikan dengan siri kudeta pada 1960, 1971, 1980 dan 1997 di mana tentera dan sistem kehakiman memperlihatkan diri mereka sebagai penjaga Kemalism.

Dan mereka tidak teragak-agak menyingkirkan mana-mana tokoh sama ada Adnan Menderes atau Necmettin Erbakan sekiranya agenda kerajaan berlawanan dengan enam prinsip utama Kemalism.

Namun, keghairahan Kemalism ini akhirnya memakan diri kerana perlahan-lahan ditolak rakyat yang mula condong kepada pan-Islamisme dan mahukan kembali hak mereka yang dinafikan.

Ini dibantu pula dengan beberapa keputusan Kesatuan Eropah (EU) yang tidak memihak kepada mereka termasuk mengharamkan mahkamah keselamatan negara dan kebijaksanaan parti-parti politik bercorak Islam termasuk Parti Pembangunan dan Keadilan (AKP) bermain catur politik yang membantu mereka naik ke puncak.

Dan siapa sangka dengan cubaan rampasan kuasa terbaru pada 2016, ia bukan langkah akhir kejatuhan sebuah lagi kerajaan pilihan rakyat tetapi satu lagi pukulan besar kepada Kemalisme.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: thepatriots

Sunday, January 27, 2019

Kenapa Masih Ramai Rakyat Turki Menyanjung Mustafa Kamal Ataturk

Kenapa Masih Ramai Rakyat Turki Menyanjung Mustafa Kamal Ataturk

Majoriti umat Islam kini terutamanya yang bukan rakyat Turki pasti akan membenci tokoh kontroversi bernama Mustafa Kamal Ataturk. Dia dikatakan sebagai punca terhapusnya Khilafah Turki Uthmaniyyah namun hakikatnya, hampir seluruh rakyat Turki dahulunya menganggap Mustafa Kamal Ataturk sebagai hero bangsa.

Rakyat Turki Menyanjung Mustafa Kamal Ataturk

Kini, separuh rakyat Turki masih lagi mengagungkan Ideologi Kemalis terutama dalam kalangan tentera.

Kalau tak percaya, pergilah tengok sendiri di Turki, gambar-gambar Mustafa Kamal Ataturk digantung disana-sini dan jangan cuba-cuba menghina, nanti orang Turki belasah anda!

Sepertimana orang Malaysia menyayangi Tunku Abdul Rahman sebagai Bapa Kemerdekaan Malaya, begitu juga anggapan rakyat Turki kepada Mustafa Kamal yang digelar AtaTürk (Bapa Turki) kerana memperjuangkan kemerdekaan Turki.

Tulisan ini bukanlah untuk menyanjung Mustafa Kamal Ataturk, tetapi ianya adalah penulisan yang mewakili pandangan rakyat Turki.

Mari kita lihat rasional rakyat Turki dalam isu taboo ini.

1. HERO KEMERDEKAAN

Tunku merupakan kerabat DiRaja Kedah yang keluar istana untuk aktif dalam politik. Beliau menggantikan Onn Jaafar seorang pemimpin Melayu yang mempunyai darah Turki Uthmaniyyah sebagai pemimpin UMNO.

Dulu-dulu, banyak pihak politik Melayu berusaha melawan penjajah Jepun atau British seperti PKMM, Rejimen Melayu ke-10 PKM, KMM, MPAJA, PUTERA-AMCJA, Hizbul Muslimin dan UMNO.

Ada yang lawan secara perang dan ada secara rundingan. Perjuangan sayap kiri kebanyakannya diharamkan oleh British.

Tunku adalah salah seorang pejuang Nasionalis sayap kanan dan setelah menjadi wakil kerajaan tempatan melalui Pilihanraya Persekutuan 1955, Tunku memimpin kerajaannya untuk membuat Rundingan London pada 1956 bagi menuntut kemerdekaan dan seterusnya menggubal perlembagaan persekutuan melalui Suruhanjaya Reid sebulan kemudian. Kemerdekaan tercapai pada 1957, 2 tahun setelah kerajaan Tunku dibentuk.

Mustafa Kamal Ataturk pula merupakan seorang Komander Perang dalam angkatan tentera Khilafah Turki Uthmaniyyah.

Pada 1918, Turki Uthmaniyyah kalah dalam Perang Dunia Pertama. Tentera Bersekutu iaitu British, Perancis, Itali dan Rusia yang memenangi peperangan itu telah mencarik-carikkan wilayah Khilafah Turki Uthmaniyyah.

Khalifah ketika itu tidak lagi menguasai empayar Islam sebaliknya hanya menjadi Sultan yang mampu berkuasa di sekitar Turki sahaja.

Bahkan Tentera Bersekutu mencengkam hampir 70% wilayah Turki untuk dijajah pula.

Pada 1920, Mustafa Kamal Ataturk membentuk kerajaan yang dikenali sebagai Majlis Kebangsaan Turki (MKT) di Ankara.

Mustafa Kamal Ataturk dilantik menjadi Perdana Menteri kerajaan MKT.

Kesultanan Turki Uthmaniyyah ketika itu sangat lemah dan perlu tunduk kepada kuasa Barat.

Oleh itu, wakil kerajaan Sultan Turki Uthmaniyyah di Istanbul menandatangani Perjanjian Sevres yang membolehkan kedaulatan Turki tergadai kerana menjadi negara taklukan barat.

Mustafa Kamal Ataturk tak bersetuju dengan Perjanjian Sevres lalu memimpin sebuah revolusi politik dan ketenteraan yang dipanggil Gerakan Nasional Turki bagi menentang penjajahan Turki.

Maka berlakulah Perang Kemerdekaan Turki antara Turki pimpinan Mustafa Kamal Ataturk melawan gabungan Britain, Perancis, Itali, Yunani dan Armenia.

Rakyat Turki amat takut ketika itu kerana perlu berhadapan dengan gabungan tentera barat yang baru saja memenangi Perang Dunia Pertama.

Namun keajaiban berlaku apabila Mustafa Kamal Ataturk berjaya menewaskan gabungan tentera barat itu pada 1922.

Setelah itu, Mustafa Kamal Ataturk di Ankara memutuskan secara rasmi bahawa bentuk pemerintah baharu akan digunakan di Turki.

Mustafa Kamal Ataturk dipilih sebagai pemimpin Turki lalu dia memindahkan ibu negara Turki dari Istanbul ke Ankara.

Pada 1923, Kerajaan Turki pimpinan Mustafa Kamal Ataturk menghadiri Muktamar Luzan di Switzerland lalu tertubuhlah Republik Turki baharu dengan beliau menjadi Presidennya.

Kemerdekaan Turki pada 1923 ini adalah 3 tahun setelah MKA membentuk kerajaannya.

Akhirnya, pada 3 Mac 1924, dengan rasminya Mustafa Kamal menghapuskan sistem Khalifah.

Republik Turki berjaya membebaskan diri dari dijajah oleh Barat tidak seperti negara Islam lain yang dijajah oleh kuasa barat dan hanya mencapai kemerdekaan setelah tamatnya Perang Dunia Kedua.

Sebab itu orang Turki menganggap Mustafa Kamal Ataturk ini hero nasionalis yang bijak tidak seperti Raja-Raja Arab.

2. POLITIK PRO BARAT

Dasar luar Malaya ketika zaman pemerintahan Tunku lebih bercorak Pro-Barat Anti-Komunis memandangkan negara baru sahaja merdeka dan pada waktu ini ancaman komunis masih kuat.

Namun, pemerintahan Mustafa Kamal Ataturk di Turki adalah lebih ekstrim pro baratnya berbanding Malaya.

Kononnya, bagi menolak unsur Autokratik tertutup, Mustafa Kamal Ataturk mengamalkan pemerintahan bercorak Demokrasi Liberal dengan nilai-nilai sekular yang lebih bebas dan sama rata buat rakyatnya.

Hasilnya, kemelesetan ekonomi Turki mula mengukuh kembali.

3. BUDAYA HIDUP ALA BARAT

Suatu ketika dahulu di Malaya, budaya hidup ala Barat adalah perkara normal. Ustazah sekolah pun hanya memakai skarf dan skirt.

Isu aurat hanya mula dititik beratkan ketika zaman al-Arqam yang disebut sebagai unsur “Talibanisasi” oleh masyarakat.

Pada zaman Mustafa Kamal Ataturk memerintah, Turki ketika itu mengalami Revolusi Fesyen bagi melambangkan masyarakat berketamadunan moden.

Walaupun isteri dan ibu Mustafa Kamal Ataturk sendiri bertudung, tetapi majoriti masyarakat Turki pada ketika itu tidak bertudung.

Pemakaian skarf dalam urusan rasmi tidak dibenarkan, bagi meraikan hak kebebasan dan mengangkat darjat hak kewanitaan.

Bahkan, Turki antara negara terawal di eropah yang membenarkan wanita untuk mengundi.

Orang lelaki pula dilarang memakai penutup kepala berunsur keagamaan.

Sebaliknya, mereka disarankan untuk memakai topi “koboi”.

4. PENGHAPUSAN TULISAN ARAB

Dahulu penulisan orang Melayu menggunakan bahasa Melayu Klasik manhaj Hamzah Fansuri sepertimana yang terkandung dalam kitab-kitab Turath Jawi.

Kemudian, Bahasa Melayu Klasik ini dimodenkan dengan menggunakan tulisan Jawi moden.

Seterusnya pada era Tunku, tulisan Jawi dihapuskan sepenuhnya dalam urusan rasmi oleh seorang ahli politik dari Kedah iaitu Khir Johari pada tahun 1966.

Di Turki, Mustafa Kamal Ataturk juga menghapuskan penggunaan tulisan Arab dan menggantikan sistem huruf dan tulisan yang dicipta olehnya sendiri.

Sebelum kedatangan Islam ke Turki dahulu, Turki merupakan sebahagian dari wilayah Yunani dan kemudiannya Rom Byzantine.

Oleh itu, sistem tulisan yang berteraskan tulisan Latin atau Rumi ini lebih sesuai digunakan untuk bunyi bahasa Turki berbanding penggunaan huruf Arab.

Hasilnya, Mustafa Kamal Ataturk berjaya mengurangkan kadar buta huruf di Turki.

Selain memperkenalkan tulisan Turki Moden, Mustafa Kamal Ataturk juga memperkenalkan Bahasa Turki Moden bagi menggantikan bahasa Turki Klasik yang banyak dipengaruhi unsur Arab dan Parsi.

Al-Quran serta Azan diterjemah dan dibaca dalam bahasa Turki Moden agar mudah difahami oleh rakyat.

Namun, tindakan ini ditentang kuat oleh golongan konservatif terutama dari kalangan agamawan.

Sistem pengajian tradisi seperti Turath Islami dihapuskan dan digantikan dengan sistem pengajian Saintifik Kontemporari.

Semua ini berlaku kerana rakyat Turki telah lama meninggalkan cara hidup Islam dan mengamalkan budaya hidup ala barat.

Oleh itu, dasar-dasar kerajaan perlu diubah mengikut situasi semasa masyarakat agar mereka tidak keciciran dari mengejar arus pemodenan.

5. KAITAN FREEMASON

Menurut sesetengah dakwaan, seorang ahli politik dari Kedah iaitu Sanusi Junaid mendedahkan bahawa Tunku merupakan ahli Freemason yang ketika itu popular dengan buku bertajuk, “Apa Salahnya Masuk Freemason.”

Manakala di Turki, amat masyhur bahawa Mustafa Kamal Ataturk merupakan ahli Freemason dengan banyaknya bukti yang tersebar.

Bahkan, Mustafa Kamal Ataturk dikatakan seorang yang gemar minum arak dan berzina.

Namun, fokus penulisan ini bukan nak cerita pasal Freemason, hanya sebagai sisipan sahaja.

Tulisan ini bukan nak menyamakan antara Tunku dan Mustafa Kamal, tetapi untuk menggambarkan bagaimana pandangan orang Turki terhadap Mustafa Kamal Ataturk adalah sama seperti pandangan orang Malaysia terhadap Tunku Abdul Rahman.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: thepatriots