Monday, August 05, 2024

Kenapa Rasa Kesunyian Walaupun Dikelilingi Ramai Manusia?

Kenapa Rasa Kesunyian Walaupun Dikelilingi Ramai Manusia?

Di sekeliling ada ramai manusia yang berjalan berkumpulan, ketawa dengan jenaka rakan. Ada pasangan berpegangan tangan, cuba sembunyi cinta di balik pipi yang kemerahan.

Kau berdiri tegak, berseorang. Selautan manusia, tiada satu pun yang dikenali. Tiada kenalan, apatah lagi rakan.

Makna kesepian

Kau pulang ke bilik sewa. Beg dicampak, baju dibuka, katil berkeriut menyambut hempasan tubuh yang berat dengan soalan, "Berjuta manusia, kenapa aku masih sunyi?"

Lampu pendafluor yang benderang hilang fungsi. Bilik menggelap. Empat dinding putih bagai bergerak dan menyempit.

Sepi datang dalam bentuk lembaga gelap, membuka mulut dan menelan kau masuk ke perut sunyi.

Kenapa aku selalu keseorangan?

Maafkan kata ganti nama yang tidak formal di atas. Ia sekadar sebuah gambaran tentang kesunyian yang ingin diteroka dalam tulisan ini.

Memahami sunyi tak semudah berkata-kata. Ia lebih rumit dan berdimensi daripada makna literal yang boleh dicari dalam kamus.

Kesunyian perlu difahami mengikut keadaan. Untuk menghapuskan kesunyian juga sangat bergantung kepada keadaan seseorang.

Robert S. Weiss – yang meletakkan ikatan sebagai inti penting fahamannya terhadap kesunyian – menerangkan bahawa kesunyian terkait rapat dengan kelemahan atau rasa benci diri (self-pity).

Mengambil fahaman itu, kita sedar bahawa kesunyian boleh disingkir dengan menjadi lebih yakin diri, bergaul dan memenuhi keperluan hubungan manusiawi (seperti bercinta, berkawan dan berkeluarga).

Namun, ia tidak semudah itu. Rasa benci diri juga sangat rumit dan tidak boleh diubat dengan idea ringkas menambah baik hubungan sosial.

Mungkin, langkah awal yang perlu diambil untuk kita memanjat keluar dari perut sunyi adalah dengan memahami kesunyian itu sendiri.

Apa maksud hidup penuh makna?

Campaign to End Loneliness menyenaraikan enam jenis kesunyian, iaitu:
  • Kesunyian emosi: ketiadaan hubungan emosi (cinta, sayang, kasih) yang bermakna.
  • Kesunyian sosial: ketiadaan hubungan sosial (kawan, kenalan) yang berkualiti.
  • Kesunyian kewujudan: rasa terasing daripada orang lain dan dunia keseluruhannya.
  • Kesunyian sementara: rasa sunyi yang datang dan pergi.
  • Kesunyian situasi: kesunyian yang berlaku pada waktu tertentu, seperti perayaan atau hujung minggu.
  • Kesunyian kronik: rasa sunyi pada sepanjang atau hampir sepanjang masa.

Yang paling kerap berlaku ialah kesunyian emosi, kesunyian sosial dan kesunyian kewujudan.

Kesunyian emosi mudah dirasai apabila keperluan emosi tidak dipenuhi dengan ikatan intim yang bermakna, seperti dari seorang kekasih, suami/isteri, kawan atau keluarga.

Manusia memerlukan keintiman – keterhubungan dengan makhluk lain pada tahap peribadi, dekat dan mendalam. Ia terkandung dalam diri sejak kita mula kenal rasa sayang.

Namun, keintiman tidak terhad pada perasaan kasih pada pasangan. Ada orang boleh dapat keintiman dalam hubungan yang platonik dan kekeluargaan.

Berbeza dengan kesunyian sosial, ia berkaitan kuantiti dan kualiti rangkaian sosial seperti persahabatan.

Seberapa banyak masa kita dalam sehari boleh diisi dengan bual santai bersama kawan dan bagaimana memuaskan masa itu diisi.

Berada di sekeliling khalayak yang ramai juga tidak boleh membuang kesunyian sosial. Ia tentang apa yang ada dalam kepala, bukan luar.

Kesunyian kewujudan lebih mendalam dan melibatkan fikiran. Ia boleh tiba-tiba datang apabila realiti-realiti gelap dunia datang singgah.

Tentang dunia yang kosong dan sedih. Tentang kerinduan yang tak dapat dielak. Tentang kenyataan bahawa satu hari nanti, jasad kita akan menjadi makanan ulat dalam tanah.

Kita mempersoal tujuan kewujudan dan merasakan diri terpisah dari komuniti, masyarakat dan setiap individu dalam dunia.

Serah, usah resah

Walaupun kesunyian tidak dianggap sebagai penyakit mental, ia berkait rapat dengan keadaan mental seperti kemurungan. Sunyi boleh membawa murung dan begitu juga sebaliknya.

Kemurungan paling nyata adalah apabila kita fikir yang kesunyian akan jadi teman tetap – ia tidak boleh disingkir dan dihapus. Sedangkan sebenarnya, ia boleh diusahakan.

Langkah pertama, usaha cari harapan dalam hidup. Ia ada pada manusia, alam atau Tuhan.

Cari ruang kosong dalam dada dan bentuk apa yang paling sesuai untuk mengisinya. Kuncinya, kita bersangka baik pada takdir. Beri peluang pada harapan.

Kedua, putuskan kebergantungan pada orang lain untuk rasa gembira dan cukup. Jangan terlalu peduli pada kata-kata orang.

Kalau anda boleh rasa puas dan cukup dengan menari dalam acara muzik, menarilah sepuasnya tanpa peduli pada jelingan orang di sekeliling.

Kalau anda rasa suka pada seseorang, walau mungkin pelik di mata orang, mungkin sebab jurang umur (tapi ini tak terpakai untuk kes pedofil, tolong), luahkan perasaan pada si dia. Kalau dia tolak pun, anda telah buat sesuatu untuk kegembiraan diri. Itu sudah cukup untuk menolak sunyi.

Kalau anda rasa berseorangan ke pawagam atau pusat karaoke itu menggembirakan, lakukanlah tanpa rasa bersalah pada kelaziman masyarakat. Jangan biar stereotaip mengikat.

Ketiga – ini mungkin yang paling penting – terima kesunyian sebagai teman yang kadang kala datang menyapa.

Akan ada masa kita berasa sunyi sebab ia normal. Kadang-kadang rindu datang menjenguk, tak apa. Ada masa sedih menegur, biarkanlah.

Raikan kerumitan kita sebagai manusia yang dikurnia emosi dan perasaan. Ada waktu emosinya gelap dan berkecamuk tapi hidup akan selalu menerbitkan cahaya.

Dakap sunyi dan raikannya. Jangan bimbang, perasaan itu hanya sebentar.

Benda dengan bulu pelepah

Pagi itu cerah dan segar. Bau rumput berselang tar hangat buat sesi jalan cergas kau bertenaga. Sudah dua kilometer ditempuh, tinggal separuh jalan lagi untuk sampai ke rumah.

Kau mandi dengan fikiran terang. Sebentar lagi kemeja kuning pemberian rakan akan menyarung tubuh wangi. Di pejabat nanti, akan ada sekumpulan manusia yang menyambut kau hadir dengan senyum dan ketawa gembira.

Sebelum melangkah keluar bilik, kau tenung empat dinding yang kini lapang. Pada sunyi yang datang bersapa, kau ucap selamat.

Harapan sebuah hal yang baik, mungkin terbaik, dan hal baik tak pernah mati.

Harapan ialah benda dengan bulu pelepah, yang merehatkan jiwa dan menyanyikan lagu tanpa kata, tak berhenti sampai bila-bila.

Semoga memberi manfaat.

-Sentiasapanas.com

Friday, March 05, 2021

Sebuah Renungan Tentang Keadilan

Sebuah Renungan Tentang Keadilan

Keadilan sosial atau keadilan masyarakat ialah suatu pemikiran mengenai hubungan yang adil dan saksama antara individu dan masyarakat; diukur mengikut syarat yang tersirat dan tersurat mengenai pengagihan kekayaan, peluang melakukan kegiatan persendirian serta keistimewaan, yang membolehkan seseorang menerima kelebihan dan bebanan hasil kerjasama masyarakat.

Keadilan

Kebanyakan orang percaya bahawa ketidakadilan harus dilawan dan dihukum dan banyak gerakan sosial dan politis di seluruh dunia berjuang menegakkannya.

Tapi, banyaknya jumlah dan variasi teori keadilan memberikan pemikiran bahawa tidak jelas apa yang dituntut dari keadilan dan hakikat ketidakadilan, kerana definisi apakah keadilan itu sendiri tidak jelas.

Kefahaman mengenai keadilan ini adalah bahawa, kita meletakkan segala sesuatu pada tempatnya.

Kisah Tentang Keadilan

Seorang pensyarah bertanya kepada salah seorang mahasiswa, "Siapa nama kamu?"

Lalu mahasiswa itu menyebutkan namanya.

Tiba-tiba, pensyarah tersebut mengarahkannya keluar dari dewan kuliah tanpa memberikan sebarang alasan.

Mahasiswa itu cuba membela diri dan bertanya kenapa, namun pensyarah itu malah membentaknya.

Akhirnya, dengan rasa terpaksa dia pun keluar dengan perasaan di zalimi.

Mahasiswa yang lain hanya diam.

Setelah itu, pensyarah itu pun memulakan kuliahnya.

Dia pun bertanya kepada para pelajarnya satu pertanyaan, "Untuk apa undang-undang dicipta?"

Seorang mahasiswi menjawab, "Untuk mengawal perilaku manusia."

Mahasiswa lain menjawab, "Untuk diterapkan."

Yang lain menjawab, "Agar yang kuat tidak menzalimi yang lemah."

Pensyarah itu berkata, "Benar. Tapi semua itu tidak mencukupi."

Kemudian, seorang mahasiswi mengacungkan tangan dan berkata, "Untuk mewujudkan keadilan."

Pensyarah berkata, "Benar. Itulah jawapannya. Agar tercipta keadilan.

"Tapi pertanyaannya, apa gunanya keadilan?"

Seorang mahasiswa menjawab, "Agar hak semua orang terjaga dan tidak ada yang di zalimi."

Pensyarah meneruskan dengan bertanya, "Sekarang jawab dengan jujur dan tidak perlu takut. Adakah saya telah berlaku zalim pada teman kalian ketika saya mengusirnya dari kelas?"

Mereka semua menjawab, "Ya."

Lalu pensyarah bertanya dengan nada suara yang tinggi, "Jadi, kenapa kalian diam saja dan tidak memberikan pembelaan?!"

"Apa gunanya undang-undang dan peraturan kalau kita tidak memiliki keberanian untuk menerapkannya?!"

"Ketika semua orang hanya berdiam diri disaat seseorang dizalimi dan kalian tidak berusaha menegakkan yang benar, maka kalian telah hilang sifat perikemanusiaan."

"Dan, sifat kemanusiaan tidak sepatutnya hilang dari dalam diri kita!"

Kemudian pensyarah itu memanggil semula mahasiswa yang diusirnya tadi lalu meminta maaf kepadanya di depan seluruh pelajar.

Dia lalu berkata, "Ini saja pelajaran untuk hari ini."

"Berusahalah mengamalkannya dalam kehidupan sehari-hari selama kalian masih hidup."

Begitulah wahai sahabat, berapa banyak orang yang diam melihat kezaliman, ketidak adilan, bahkan bersahabat pula dengan pelakunya, hanya kerana ingin mengampu, untuk mendapatkan kesenangan dunia yang sementara.

Pelajaran dari sebuah sikap dan perbuatan, jauh lebih bererti daripada nasihat yang hanya kedengaran hebat dan sekadar simpati di dalam hati.

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:
-Sentiasapanas.com

Wednesday, August 26, 2020

Kisah 'Ujian Saringan Tiga Kali' Kebijaksanaan Socrates Menutup Mulut Penyebar Berita Tidak Benar

Kisah 'Ujian Saringan Tiga Kali' Kebijaksanaan Socrates Menutup Mulut Penyebar Berita Tidak Benar

Pada zaman Yunani kuno dahulu, Socrates merupakan seorang ahli falsafah yang terkenal dengan kebijaksanan dan pengetahuannya yang tinggi. Pada suatu hari, seorang lelaki berjumpa dengannya dan berkata, "Tahukah bahawa saya baru saja mendengar cerita mengenai salah seorang sahabat anda?"

Kisah Socrates Ujian Saringan 3 Kali

"Tunggu sebentar. Sebelum menceritakannya, saya ingin anda melalui sebuah ujian kecil, dinamakan Ujian Saringan Tiga Kali.

"Saringan tiga kali?" tanya lelaki tersebut.

"Ya," jawab Socrates.

"Sebelum anda menceritakan kepada saya mengenai sahabat tersebut, ada eloknya anda memperuntukkan waktu sejenak untuk menyaring apa yang akan anda katakan. Itulah kenapa saya sebut sebagai Ujian Saringan Tiga Kali."

"Saringan yang pertama adalah KEBENARAN. Sudah pastikah anda bahawa apa yang akan dikatakan kepada saya adalah benar?"

"Belum tentu benar," kata lelaki tersebut.

"Sebenarnya saya baru saja mendengarnya dan ingin memberitahu tentangnya kepada anda," kata lelaki tersebut.

"Jadi, anda benar-benar tidak tahu adakah perkara itu benar atau tidak."

"Sekarang, mari kita cuba saringan kedua iaitu KEBAIKAN. Apakah yang akan anda katakan kepada saya mengenai kawan saya itu adalah sesuatu yang baik?"

"Sebaliknya mengenai hal yang buruk," jawab lelaki itu.

"Jadi, anda ingin mengatakan kepada saya sesuatu yang buruk mengenai dia, tetapi anda tidak yakin kalau itu benar," balas Socrates.

"Anda mungkin masih boleh lulus ujian selanjutnya, iaitu KEGUNAAN. Apakah perkara yang anda ingin beritahu kepada saya tentang kawan tersebut akan berguna buat saya?"

"Tidak, sungguh tidak," jawab lelaki tersebut.

"Kalau begitu, jika apa yang anda ingin beritahu kepada saya tentang rakan saya tersebut TIDAK BENAR, TIADA KEBAIKAN, bahkan TIDAK BERGUNA, kenapa ingin menceritakannya kepada saya?" simpul Socrates.

Lelaki itu pun berlalu pergi sambil tersipu malu tanpa dapat menceritakan berita tidak berguna tersebut kepada Socrates.

Semoga memberi manfaat. Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:

-Sentiasapanas.com

Saturday, June 13, 2020

Belajarlah Sesuatu Dari Durian Musang King

Belajarlah Sesuatu Dari Durian Musang King

Kenapa durian Musang King sangat mahal dan kenapa ia dinamakan King? Ada yang mengatakan ia adalah raja segala rasa durian. Tak percaya, cubalah dulu seulas, lepas tu baru anda tahu betapa tingginya langit.

Motivasi Musang King
Gambar hiasan.

Durian nombor dua terbaik adalah durian Udang Merah. Warnanya ada sedikit oren kemerahan. Mungkin sebab tu namanya Udang Merah.

Harga udang merah separuh lebih murah dari Musang King dan jika membeli Udang Merah dan Musang King, petuanya makan dulu Udang Merah, lepas tu baru makan Musang King.

Sebab, jika makan Musang King dulu, bila makan Udang Merah akan rasa tawar atau tiada rasa.

Kalau tak percaya, cubalah juga seulas, dah rasa nanti baru anda sedar betapa dalamnya lautan.

Kenapa Musang King Begitu Diminati dan Harganya Mahal?

1. Musang King isinya tebal, bijinya kecil dan banyak yang leper serta sangat kempis dan walaupun ada ulas yang kecil pada Musang King tetapi penuh dengan isi.

Jadi, kita dapat menikmati kenikmatan buah durian Musang King sepenuh hati dan jiwa.

Bayangkan, sedang durian biasa yang ulas besar-besar pun sudah terasa nikmatnya, apatah lagi si raja durian. Lagipun, buat apa biji besar? Bukannya kita makan biji pun. Kan?

Biji Musang King kecil dan leper. Mungkin itulah keajaibannya, mengorbankan diri agar menjadi isi yang boleh dinikmati sepenuhnya.

2. Isi durian Musang King juga langsung tak melekat pada biji, memaksimumkan 100% kenikmatan memakan isi durian tanpa meninggalkan lekat sedikit pun pada bijinya.

Kesimpulan apa yang boleh kita belajar dari Musang King adalah, apabila kita bekerja walau apa pun atau sekecil mana jawatan disandang, kita berilah yang terbaik, sehabis mampu untuk berkhidmat kepada manusia kerana Allah.

Kita dapat gaji, sedangkan Musang King tak dapat apa-apa pun tapi tetap memberikan yang terbaik sehinggakan begitu dihargai dan menjadi rebutan.

Musang King juga mengorbankan diri sehabis mungkin untuk memaksimumkan kepuasan kepada orang lain.

Dalilnya, Musang King isinya sangat tebal (untuk kita makan), tapi bijinya sangat kempis (untuk diri sendiri).

Ibaratnya, begitulah seseorang itu walaupun gajinya sedikit dan jawatan tak tinggi, tapi perkhidmatan dan kerjanya luar biasa berkualiti.

#Penulis ialah Izwan Haidar, Coach dan Perunding Kerjaya.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-Sentiasapanas.com

Friday, January 24, 2020

Ketika Kesunyian Melanda

Ketika Kesunyian Melanda

Mungkin kita pernah merasakan kesunyian melanda sanubari, yang ketika hal itu terjadi, kita merasa diri amat hampa. Hati terasa begitu terseksa sehingga di malam hari pun kita selalu terjaga. Bila perkara itu terjadi, tatkala kita merasa tidak ada seorang pun yang dapat memahami, tidak ada tempat untuk berkongsi cerita, berkongsi duka dan berkongsi rasa, hidup akan terasa semakin terseksa, hingga terasa hidup tak lagi bermakna.

Kesepian melanda

Bila itu yang kita rasakan, mungkin ada yang selama ini kita lupakan. Bahawa ketika kita sedar dari mimpi dan tertegun dalam kesunyian, disaat itu sebenarnya Allah ada.

DIA selalu berada disamping dan menemani kita dengan kasih sayang yang begitu dalam.

DIA akan selalu mengiringi tidur kita yang sepi dan menjaga diri kita yang lemah ini.

Namun, itu hanya mampu terjadi bila diri mahu meyakini bahawa Allah itu benar adanya dan tentu nama-Nya tertera dalam hati kita, mengimani dan mencintai-Nya dengan sepenuh jiwa.

Pernahkah kita menyedari itu?

Allah memberikan begitu banyak nikmat dan rahmat-Nya kepada kita. Membuatkan hati yang muram menjadi bersahaja. Yang suram jadi bercahaya.

Sepertinya kita tidak boleh larut dalam kesedihan, kerana boleh jadi Allah menganugerahkan rasa sepi dalam hati untuk menguji betapa kuatnya cinta kita.

Sehingga dengan sepi itu, kita mampu lebih khusyuk mendekati-Nya.

Ingatlah pesan Rasulullah SAW, sabdanya: Sesungguhnya orang mukmin itu luar biasa. Ketika mendapat kebaikan, dia bersyukur. Dan ketika mendapat kesulitan, maka dia bersabar.

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:

-Sentiasapanas.com

Sunday, January 05, 2020

3 Tips Paling Asas Jika Anda Mahu Menjadi Jutawan

3 Tips Paling Asas Jika Anda Mahu Menjadi Jutawan

Charlie Munger adalah seorang jutawan dan naib pengerusi Berkshire Hathaway, sebuah syarikat kepunyaan Warren Buffett, individu paling dipercayai sehingga digelar sebagai orang kanan jutawan terkemuka dunia itu. Hebat, bukan?

Charlie Munger Jutawan

Pasti ramai yang tertanya-tanya apakah rahsia di sebalik kejayaan beliau? Nak tahu lebih lanjut tentang kisah inspirasi figura hebat ini? Teruskan membaca.

Terdapat 3 tips kejayaan yang didedahkan oleh Charlie Munger.

1. Cari Bakat Dan Kelebihan Yang Anda Miliki

Figura hebat ini mendedahkan kepentingan untuk mengasah bakat seseorang.

Melalui bakat tersebut, anda juga boleh mengetahui tentang apakah kelebihan yang dimiliki dan menggunakannya dengan sebaik mungkin.

Hakikatnya, kedua-dua aspek ini sangat penting untuk menentukan kejayaan anda pada masa akan datang. Terokai bidang kerjaya yang menepati bakat anda.

Berdasarkan pengalamannya sebelum ini, Munger mengambil masa yang lama untuk memilih kerjaya yang bersesuaian dengan bakat yang dimilikinya.

Sebelum mula berkhidmat di Berkshire Hathaway, beliau telah membuka sebuah firma guaman.

Ketika itu, beliau mula memerhatikan bagaimana pelanggannya melabur dan percaya bahawa beliau boleh melakukannya dengan lebih baik.

Setelah pertemuannya dengan Warren Buffett, beliau memutuskan untuk meninggalkan bidang guaman dan menceburi dunia pelaburan.

Di samping itu, pengetahuan tentang bakat dan kelebihan yang dimiliki dapat membantu seseorang untuk memilih pelaburan yang bersesuaian.

Contohnya, beliau dan Warren Buffett hanya melabur dalam perniagaan yang mereka fahami dan mempunyai kelebihan berkaitannya.

2. Belajar Daripada Kesilapan

Munger menegaskan bahawa tiada siapa yang dapat mengelakkan diri daripada melakukan kesilapan.

Oleh yang demikian, kita perlu belajar untuk tidak mengulanginya lagi. Seperti dalam pelaburan, anda tak mungkin lari daripada kerugian.

Berdasarkan kerugian tersebut, anda boleh belajar bagaimana untuk mengurangkan atau mengelakkan kesalahan yang sama ketika melabur. Pengalaman adalah guru yang paling berharga.

Jangan takut untuk melakukan kesilapan! Jika tak berbuat silap, mana mungkin kita dapat belajar!

3. Jangan Takut Untuk Mengatakan ‘Tidak Tahu’

Setiap manusia mempunyai kelebihan dan kelemahan masing-masing. Jadi, sangat mustahil bahawa seorang individu mampu mengetahui tentang segala perkara.

Oleh itu, anda tidak perlu takut untuk mengakui kelemahan diri sendiri. Mengaku sahaja jika anda tidak tahu.

Hakikatnya, ia bukanlah suatu tindakan yang memalukan, sebaliknya anda adalah seorang yang berani!

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: intraday

Friday, November 15, 2019

Menikmati Hadirnya Allah Ketika Solat

Menikmati Hadirnya Allah Ketika Solat

“Katakanlah: Sesungguhnya solatku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam”. (Surah Al-An’aam ayat 162). Justeru, selagi nyawa di kandung badan, kerjakanlah ibadah dan sebarkan kebaikan setuntasnya agar menjadi bekal untuk perjalanan yang lebih jauh dan panjang.

Solat dihadapan Allah

Menurut Ibn Hajar al-Asqalani dalam kitabnya, Fathul Bari, manusia mendekati Allah dengan dua keadaan dan salah satunya adalah dengan mengerjakan solat.

Justeru, mohon pada Allah SWT untuk bantu diri dalam urusan ibadah solat. Antara doa yang boleh di amalkan adalah doa yang telah diajarkan oleh Nabi SAW kepada Saidina Muaz bin Jabal a.s. yang bermaksud, “Ya Allah! Bantulah aku untuk mengingati-Mu, dan bersyukur di atas nikmat-Mu dan memperelokkan ibadahku kepada-Mu”.

Usah pernah berhenti dalam menterjemahkan program-program kehidupan yang mampu menjayakan usaha mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Ketika engkau Solat:

Anggaplah solat itu pertemuan yang kau nantikan dengan Tuhanmu.

Apabila engkau anggap solat itu hanya sebagai kewajiban, maka kau akan terburu-buru mengerjakannya dan tidak akan menikmati hadirnya Allah saat kau mengerjakannya.

Anggaplah solat itu sebagai cara terbaik kau bercerita dengan Allah.

Anggaplah solat itu sebagai peluang terbaik untuk kau mengadu segala keluhan kepada Allah SWT.

Anggaplah solat itu seperti mana seriusnya kau dalam bermimpi.

Bayangkan ketika azan berkumandang, Allah melambai-lambai kepadamu untuk mengajak kau lebih dekat dengan-Nya.

Bayangkan ketika kau Takbir, Allah melihatmu, Allah tersenyum untukmu dan Allah berbangga denganmu.

Bayangkanlah ketika Rukuk, Allah menampung badanmu hingga kau tak terjatuh, hingga kau merasakan damai dalam sentuhan-Nya.

Bayangkan ketika Sujud, Allah mengusap kepalamu, lalu Dia berbisik lembut di kedua-dua telingamu, "Aku mencintai kamu wahai hamba-Ku."

Bayangkan ketika kau Duduk di antara 2 sujud, Allah berdiri gagah di depanmu, lalu mengatakan, "Aku tak akan diam apabila orang mengusikmu."

Bayangkan ketika kau memberi Salam, Allah menjawabnya, lalu kau jadi manusia berhati bersih. Sungguh nikmat solat yang kita lakukan.

Ingatan dan muhasabah buat diri sendiri, saudara-saudaraku dan sahabat-sahabatku. Kita insan biasa dan sering terlena dengan urusan dunia yang sentiasa menghambat kita.

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:

-Sentiasapanas.com