Monday, September 23, 2013

Selepas Demokrasi Dicabul Adakah Mesir Menuju Revolusi Sebenar?

Selepas Demokrasi Dicabul Adakah Mesir Menuju Revolusi Sebenar?

Masyarakat antarabangsa menerima kejutan besar apabila Presiden Mesir pertama dipilih secara demokrasi, Mohamad Morsi yang baru hanya setahun menyandang jawatannya digulingkan pihak tentera negara itu pada 3 Julai.

Morsi

Para pemerhati berhujah tindakan tentera Mesir yang diketuai Ketua Tentera Abdul Fatah Al-Sisi menggulingkan Morsi yang dipilih secara demokrasi adalah salah dari segi undang-undang dan etika tanpa mengambil kira bantahan lain.

Morsi adalah Presiden Mesir kelima, yang juga orang awam serta pejuang Islam pertama menyandang jawatan itu.

Perkembangan itu membangkitkan persoalan sama ada apa yang berlaku selari dengan aspirasi untuk mewujudkan demokrasi, kestabilan dan keamanan di Mesir, negara yang tersohor dengan piramid serta budaya purbanya.

Duta Mesir ke Malaysia, Mohamed Saad Ebeid yang berkongsi pandangan dengan Bernama berhubung perkembangan di negaranya berkata, rakyat negara itu mahu melihat perubahan yang pantas.

Di mana silapnya?

Menurut beliau, rakyat Mesir mahu kerajaan menyegerakan perubahan selepas bertahun-tahun kegagalan demokrasi, ketaksamaan sosio-ekonomi, rasuah serta penyelewengan lain yang menjadi punca mereka memberontak sebelum itu.

Ebeid berkata, Morsi tidak memahami berapa kuatnya tuntutan daripada rakyat bawahan supaya kerajaan menyingkirkan amalan terdahulu seperti menyekat kuasa politik dalam pentadbiran negara itu.

Rakyat Mesir juga tidak senang dengan langkah Morsi memberi lebih kuasa kepada diri sendiri pada tahun lepas serta menggugurkan banyak kuasa kehakiman.

"Ini antara kesilapan besar yang dilakukan regim. Rakyat biasa merasa regim baharu itu tidak mengambil kira mengapa mereka bangkit menuntut demokrasi yang dianggap satu tuntutan yang murni," katanya, dengan menekankan bahawa Mesir sudah berubah selepas revolusi Januari 2011, yang secara meluasnya dikenali sebagai 'Arab Spring'.

"Rakyat Mesir tidak bersedia melepaskan impian mereka selepas apa yang mereka lakukan semasa revolusi. Mereka mahukan demokrasi tulen, mereka mahu lihat peningkatan dalam taraf hidup dan masa hadapan yang lebih baik untuk anak mereka. Itu yang mereka mahu lihat dalam tempoh setahun pemerintahan Ikhwanul Muslimin", jelasnya.

Penyingkiran Morsi

Morsi diguling selepas beliau enggan mematuhi tempoh akhir yang ditetapkan pihak tentera untuk meletak jawatan ekoran demonstrasi besar-besaran sejak 30 Jun, dengan rakyat menuntut diadakan pemilihan awal Presiden.

Ramai yang menyokong pemimpin Ikhwanul Muslim mengutuk tindakan Jeneral Al-Sisi, dan menyifatkannya sebagai rampasan kuasa tentera di mana mencetuskan semula pertempuran dan kematian di jalan raya.

Hampir 1,000 orang dilaporkan terbunuh dalam pertempuran antara pasukan tentera dan penyokong Presiden yang digulingkan sejak 14 Ogos.

Ia berlaku apabila pihak tentera bertindak menyuraikan dua khemah penunjuk perasaan terdiri daripada penyokong Morsi di Kaherah yang mengakibatkan beratus orang terkorban dan mencetuskan keganasan.

Menurut Laporan Arab Network for Human Rights Information, sewaktu tercetusnya revolusi Arab Spring, seramai 841 orang terbunuh dalam protes yang menggulingkan Hosni Mubarak.

Berdasarkan perangkaan rasmi, senarai itu tidak termasuk 26 anggota pasukan keselamatan yang turut terbunuh.

Krisis Agama dan Politik

Ebeid turut menegaskan bahawa krisis yang berlaku adalah isu dalaman Mesir melibatkan pandangan politik yang berbeza dan seharusnya tidak dianggap sebagai perang agama.

"Ianya tidak lebih daripada isu politik tetapi ada pihak yang cuba menjadikannya sebagai isu Islam.

"Pejuang-pejuang Islam mahu menunjukkan seolah-olah ada peperangan antara Islam dan penentangnya. Ini tak betul. Saya mahu menekankan lagi dan lagi kerana itu adalah tanggapan salah, dan boleh menimbulkan salah faham akan keadaan ini", jelasnya.

Menurut Ebeid, sesetengah pihak terlepas pandang fakta Ikhwanul Muslimin telah diberi peluang untuk mengambil langkah dan bertindak balas kepada ketidakpuasan hati sebahagian besar masyarakat terhadap dasar Ikhwanul Muslimin dan Morsi ketika beliau menjadi Presiden.

Beliau berkata terdapat cubaan untuk menunjukkan seolah-olah tentera menentang kerajaan yang sah, tanpa menghiraukan jutaan rakyat Mesir yang mahukan perubahan regim.

"Apa pun yang dilakukan penunjuk perasaan pada revolusi 30 Jun, sebahagian besar masyarakat Mesir melahirkan hasrat untuk melihat perubahan selepas mereka sedar presiden tidak mengotakan janji terutama jangkaan tinggi mereka ekoran revolusi Januari 2011", tambah beliau.

Kepimpinan yang keliru mencetus rampasan kuasa

Sementara itu, Presiden International Movement for A Just World (JUST), Dr Chandra Muzaffar berpandangan bahawa Morsi, Ikhwanul Muslimin dan sekutunya tidak menjalankan tugas yang baik semasa memegang tampuk pemerintahan.

"Mereka tidak dapat memberi tumpuan kepada ekonomi, sebaliknya memberi keutamaan kepada perkara yang lain", katanya.

Menurut Muzaffar terdapat ketidaktentuan dan kekeliruan dalam dasar kerajaan dan ini mengukuhkan 'tangan mereka' yang mahu menyingkir kepimpinan Morsi, kerana ketidakcekapannya dalam pelbagai bidang.

Bagaimanapun, beliau berpendapat penyingkiran Morsi adalah salah dari segi perundangan dan etika.

"Beliau adalah Presiden yang dipilih secara demokrasi dan jika ada yang mahu menyingkirkannya, ia harus dibuat menerusi peti undi, bukan rampasan kuasa yang didokong tentera", katanya.

Muzaffar berkata demikian pada forum antarabangsa mengenai "Kejatuhan Morsi dan Masa Hadapan Mesir" di International Institute of Advanced Islamic Studies (IAIS) di sini baru-baru ini.

Beliau menyifatkan apa yang berlaku sebagai "rampasan kuasa" terhadap presiden yang dipilih secara demokrasi.

Parti Morsi, katanya, Muslim Brotherhood's Freedom and Justice Party, memenangi undi majoriti dalam pilihan raya parlimen pada April 2012 dan pungutan suara Disember tahun itu, yang mana memberikan parti itu lebih kewajaran untuk memerintah.

Kebangkitan generasi baru

Penulis yang turut berpeluang mendapatkan pandangan Profesor Sains Politik Universiti Kaherah, Mohammad E Selim dimaklumkan bahawa revolusi pertama pada 2011 melihat kebangkitan generasi baru, atau belia berusia antara 20 dan 30 tahun, menunjuk perasaan di jalanan.

"Kemampuan mereka melancarkan pergerakan belia untuk menumbangkan regim yang hampir melumpuhkan Mesir adalah sesuatu yang memeranjatkan", katanya.

Beliau menyatakan golongan belia itu hanya mahukan masa hadapan yang lebih baik dalam demokrasi serta pembangunan dan percaya Mesir perlu kembali memainkan peranan utama mengekalkan keamanan dan keselamatan di Asia Barat.

Apa yang berlaku di Mesir ini sebenarnya adalah rentetan apa yang berlaku di Tunisia.

Revolusi serta tentangan meletus di Tunisia apabila Mohamed Bouazizi bertindak membakar dirinya pada 17 Dis, 2010 sehingga menyebabkan penyingkiran Presiden Zine El Abidine Ben Ali selepas 28 hari berlaku demonstrasi.

Api revolusi kemudiannya merebak ke Mesir, Libya dan Syria.

Rakyat Mesir, yang terpukau dengan kejayaan revolusi Tunisia menunjuk perasaan di jalanan pada 25 Jan, 2011, turut mengadakan demonstrasi besar-besaran untuk menuntut Mubarak dan regimnya meletak jawatan.

Selepas 18 hari iaitu pada 11 Feb, Mubarak meletak jawatan setelah memerintah Mesir secara diktator selama 30 tahun.

Bagi kebanyakan pemerhati di seluruh dunia, penyingkiran Mubarak dilihat sebagai kejayaan revolusi rakyat Mesir menamatkan rasuah dan penindasan untuk menuju kebebasan dan demokrasi.

Pengarah Eksekutif Serantau International Institute of Islamic Thought (IIIT), Jordan, Dr Fathi Malkawi memberitahu penulis dalam wawancara pada tahun lepas bahawa matlamat pergerakan revolusi rakyat Mesir tercapai dalam erti kata rakyat negara itu berjaya membebaskan negara daripada cengkaman rasuah dan pemerintahan kuku besi.

Duta Ebied bersetuju dengan pandangan Dr Malkawi. Beliau mengakui bahawa selepas Mubarak meletak jawatan keadaan di Mesir banyak berubah di mana rakyatnya semakin lantang bersuara dan berani membuat pelbagai tuntutan.

Kembalikan demokrasi ke Mesir

Tahun depan, mereka inilah yang sekali lagi akan menentukan siapa bakal pemimpin Mesir apabila diadakan pilihan raya.

Mengulas perkara ini, Mohammed E. Salim berkata draf Perlembagaan Mesir yang dipinda sedang dimuktamadkan. Pungutan suara mungkin diadakan Mac depan untuk mendapatkan kelulusan rakyat.

Beliau menjelaskan bahawa sebaik sahaja perlembagaan yang dipinda itu dikuatkuasakan, rakyat Mesir akan melalui pilihan raya parlimen dan presiden.

"Rakyat Mesir sudah bosan dengan keganasan dan mahu meneruskan kehidupan biasa mereka," katanya.

Sementara itu, masyarakat antarabangsa menunggu dengan penuh debaran untuk melihat Mesir betul-betul menyelesaikan krisis yang dihadapinya supaya negara ini kembali aman dan stabil serta memainkan peranan penting mengekalkan keamanan dan keselamatan di Asia Barat.

Sumber: BERNAMA

Tuesday, September 03, 2013

Morsi Akan Dibicarakan Atas Tuduhan Menghasut Pembunuhan

Morsi Akan Dibicarakan Atas Tuduhan Menghasut Pembunuhan

Bekas Presiden Mesir, Mohamed Morsi dan 14 pemimpin Ikhwanul Muslimin akan dibicarakan di mahkamah jenayah atas tuduhan menghasut pembunuhan.

Morsi
Mohamed Morsi (kiri) dan Mohamed Badie.

Televisyen membuat laporan itu kelmarin tanpa memberi tarikh untuk perbicaraan itu.

Ia menuduh defendan melakukannya pada Disember 2012 apabila penyokong Morsi dan penentang bergaduh di luar istana presiden yang membawa kematian.

(Baca: Akhirnya AS Mengaku Dalang Disebalik Rampasan Kuasa Guling Morsi)

Dituduh melakukan jenayah selepas lari dari penjara pada 2011, Morsi ditahan di lokasi rahsia sejak penggulingannya oleh tentera 3 Julai lalu.

Defendan bersama dalam perbicaraan itu termasuk orang kanan Ikhwan, Mohamed al-Beltagi dan pemimpin lain seperti Essam el-Erian, orang nombor dua Parti Kebebasan dan Keadilan, sayap politik Ikhwan.

Disember lalu, ribuan penunjuk perasaan berhimpun di hadapan istana presiden di sini untuk membantah satu perintah khas presiden yang memperluas kuasa Morsi dan usaha merangka perlembagaan.

Julai lalu, mahkamah mengarahkan Morsi ditahan untuk disoal berhubung hubungannya Hamas berkaitan rusuhan penjara dan serangan ke atas polis.

Kerajaan Mesir berkempen menentang Ikhwan sejak penyingkiran Morsi dan melumpuhkan kumpulan itu dengan menahan pemimpin utamanya, Mohamed Badie akhir bulan lalu.

Pihak berkuasa juga menahan lebih 2,000 ahli Ikhwan sejak menyingkirkan Morsi.

Defendan termasuk Badie, dijangka hadir di mahkamah 25 Ogos lalu namun dibatalkan atas alasan keselamatan oleh pihak berkuasa.

Satu perbicaraan baru dijangka diadakan 29 Oktober ini.

Badie dan timbalannya, Khairat al-Shater dan Rashad al-Bayoumi berdepan tuduhan berkaitan kematian penunjuk perasaan yang menyerbu ibu pejabat Ikhwan di sini 30 Jun lalu.

Tiga lagi anggota Ikhwan dibicarakan dengan pemimpin lain atas tuduhan melakukan pembunuhan akhir Jun lalu.

Presiden sementara Mesir, Adly Mansour mengumumkan satu panel anggota 50 orang akan merangka perlembagaan dengan pindaan tertentu namun tanpa pembabitan pemimpin Ikhwan.

Seorang pegawai atasan Kesatuan Afrika berkata, Ikhwan perlu menyertai peta laluan politik dicadangkan pihak berkuasa baru Mesir, dalam cubaan menamatkan keganasan. -AFP

Thursday, August 29, 2013

Tuduhan Morsi Di Kongkong Ikhwanul Muslimin Satu Pembohongan Besar!

Tuduhan Morsi Di Kongkong Ikhwanul Muslimin Satu Pembohongan Besar!

Kenyataan seorang profesor sains politik dari Mesir yang mendakwa Dr Mohamed Mursi terpaksa digulingkan kerana beliau mengecewakan majoriti rakyat negara itu yang memilihnya pada pilihan raya presiden tahun lalu lantaran terlalu memberi ruang kepada Ikhwanul Muslimin untuk memerintah, dicabar pakar politik Timur Tengah dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Maszlee Malik.


Menurut Maszlee, apa yang disebut oleh Prof Dr Mohammad Selim, saintis politik dari Universiti Kaherah itu sama dengan propaganda kumpulan penentang Mursi, Tamarood yang mendakwa Mursi sekadar jadi 'pak turut' kepada pemimpin Ikhwanul Muslimin yang lain sedangkan rakyat Mesir memilih beliau untuk jadi presiden mereka, bukan Ikhwan Muslimin.

(Baca: Yahudi Menangis Darah Jika Kudeta Al-Sisi Gagal Halang Morsi)

"Mursi dituduh oleh Tamarood sebagai presiden yang tidak berkuasa sebaliknya yang berkuasa adalah Ikhwanul Muslimin. Dari sudut mana dikatakan begitu? Dalam membuat keputusan, setiap keputusan Mursi dibuat bersama Majlis Penasihat Presiden.

Dalam majis itu, hanya seorang saja wakil Ikhwanul Muslimin iaitu Wael Haddad. Itu pun Wael Haddad adalah penasihat Mursi dalam hal hubungan antarabangsa. Anggota Majlis Penasihat lain pelbagai latar belakang, ada wakil Kristian Koptik, wanita, teknokrat, Salafi."

Paling jelas, kata Maszlee, Mursi malah pernah menawarkan jawatan timbalan presiden kepada Mohamed El Bardaei, pesaingnya dalam pilihan raya.

"Bukan El Baradei saja, calon-calon lain juga ditawarkannya jawatan, satu bukti komitmennya untuk perpaduan dalam politik Mesir. Satu lagi bukti ialah beliau tidak meletak orang Ikhwan sebagai Menteri Pertahanan, posisi yang sangat penting untuk pemerintahannya sebaliknya beliau lainti Abdel Fattah Al Sisi. Beliau gantikan Hussain Tantawi dengan Al Fattah yang akhirnya menggulingkan beliau.

"Jadi di mana boleh dikatakan Mursi memerintah dengan ikut telunjuk Ikhwan? Itu yang saya tidak faham," katanya. Maszlee menjelaskan demikian kepada Sinar Harian kelmarin.

Selain itu kata Maszlee, perkara yang paling nyata pada era Mursi ialah Perdana Menteri Mesir, Hisham Kandil bukan orang Ikhwan.

"Beliau juga tidak melantik rakannya, Muin Abdel Futuh yang keluar meninggalkan Ikhwan ke Kabinet atau Majlis Penasihat Presiden. Terlalu banyak fakta untuk menyangkal kenyataan seperti itu," katanya.

Sebenarnya jelas Maszlee ada banyak bukti untuk dijadikan hujah penggulingan Mursi dirancang, didalangi oleh saki baki rejim Mubarak dan juga kaitan dengan kuasa asing.

"Apabila berlaku revolusi 25 Januari 2011 yang menyaksikan jatuhnya bekas Presiden Hosni Mubarak, kita tidak boleh anggap bahawa revolusi itu sudah sempurna. Ini kerana walaupun kepala (Mubarak) sudah dibuang, badan dan ekornya masih yang lama. Jadi keadaan tidak banyak berubah seperti apa yang disangka.

"Bayangkanlah, polis terutama daripada Cawangan Khas (SB) yang sudah sekian lama melindungi seorang diktator (Mubarak), terpaksa menghadapi perubahan besar untuk berkhidmat kepada rakyat di bawah pentadbiran Mursi. Begitu juga tentera. Inilah yang mungkin jadi masalah bagi mereka, walaupun Mursi tidak mengongkong mereka sebagaimana di bawah rejim Mubarak."

(Baca: Expose Western Media Lies on Egypt, The Lies Of Democracy)

Lebih ketara, kata Maszlee, di bawah pemerintahan Mursi juga, pejabat Ikhwanul Muslimin di seluruh Mesir diserang, diceroboh, dibakar dan dirompak oleh kumpulan samseng yang dikenali sebagai Baltajia.

"Sungguh pun demikian, polis tidak ambil tindakan, biarkan saja. Inikah apa yang dikatakan Ikhwanul Muslimin menguasai pentadbiran Mursi sedangkan dalam keadaan keselamatan mereka sendiri diancam oleh samseng pun, polis tidak buat apa-apa sedangkan presiden orang mereka?" tanya Maszlee.

Selain itu, kata Maszlee, media juga rata-ratanya masih dikuasai oleh penerbit dan editor yang pro Mubarak. Ini termasuk Naguib Sawiris, taikun media Mesir daripada etnik Kristian Koptik yang diketahui bersikap anti Mursi dan anti Ikhwanul Muslimin.

"Sewaktu revolusi 25 Januari 2011, banyak gereja diserang tetapi polis tidak ambil tindakan kerana apa yang saya andaikan, mereka sengaja mahu beri gambaran buruk kepada revolusi tersebut. Di Mesir, politik mereka tidak kreatif. Sejak zaman Gamel Abdel Nasir yang naik jadi presiden selepas rampasan kuasa tentera pada 1952, seluruh dunia dimomokkan Ikhwanul Muslimin kumpulan yang ganas.

"Mereka tidak ada skrip baru dan ini menyebabkan pihak luar, media antarabangsa, kumpulan hak asasi sesetengahnya sudah tak larat nak layan Mesir. Kita amat sedih apabila seorang profesor universiti (Selim) pun tidak boleh berfikir out of the box (di luar kotak)," katanya.

Sebenarnya, kata Maszlee apa yang paling jelas di sebalik penggulingan Mursi ialah tangan ghaib pihak yang terjejas sejak pemimpin Ikhwan itu naik sebagai Presiden Mesir.

"Ini sudah tentu AS dan Israel. Paling nyata, dalam tempoh setahun saja jadi presiden, Mursi dengan berani telah menyanggah telunjuk AS yang menetapkan peraturan bahawa negara itu tidak boleh menanam gandum lebih daripada 20 peratus yang diperlukan rakyatnya. Peraturan ini termaktub dalam Perjanjian Camp David yang dimeterai pada 1978.

"Tetapi Mesir di bawah pemerintahan Mursi yang singkat itu, berjaya mengeluarkan gandum sehingga 60 peratus dengan bantuan Rusia. Mesir juga pada era Mursi mengikut model ekonomi Malaysia, 'dasar pandang ke Timur' ketika di bawah Tun Dr Mahathir dengan menjalin hubungan dagang dengan Rusia, China, Jepun dan Singapura.

Juga negara Selatan antaranya Brazil, Chile dan Venezuela. Ini yang tidak digemari oleh AS. Mereka bimbang jika Mesir terus dibiarkan dalam tangan Mursi, republik itu mungkin akan jadi Turki kedua," katanya. -SinarOnline

Tuesday, August 27, 2013

Akhirnya AS Mengaku Dalang Disebalik Rampasan Kuasa Guling Morsi

Akhirnya AS Mengaku Dalang Disebalik Rampasan Kuasa Guling Morsi

Amerika Syarikat (AS) akhirnya membuat pengakuan menerusi majalah The Week bahawa mereka berkomplot dalam rampasan kuasa tentera ke atas bekas Presiden Mesir digulingkan, Mohammed Mursi.

Penyokong Mursi membantah rampasan kuasa oleh tentera.

Dipetik laporan AP, majalah yang turut memaparkan gambar Jeneral Abdul Fatah Al-Sisi Al-Sisi dengan tajuk “Our Man in Cairo - Should US cut off aid to Egypt military?” itu turut menyiarkan kenyataan AS menyokong tentera walaupun sebelum ini mereka tidak mengiktiraf penggulingan Mursi secara rasmi.

(Baca: Turki Ada Bukti Israel Dalang Penggulingan Morsi)

AS yang merupakan dalang di sebalik pergolakan di Mesir kini dilihat cuba berselindung di sebalik gesaan supaya Mursi dibebaskan.

Sebelum ini, Washington turut mengenakan tekanan ke atas Mursi supaya membawa pembaharuan dalam sektor dan sistem demokrasi selepas pelantikan beliau pada tahun lalu.

Dalam satu kenyataan lain, jurucakap Jabatan Negara AS, Jen Psaki memaklumkan mereka menghormati keputusan mahkamah membebaskan bekas Presiden Hosni Mubarak yang turut menerima sokongan kuat AS sepanjang 30 tahun pemerintahannya. -SinarOnline

Syria bukan boneka Barat


Sementara itu, Presiden Syria, Bashar al-Assad menyifatkan dakwaan Barat yang menuduh tenteranya menggunakan senjata kimia sebagai 'tidak masuk akal' dan memberi amaran kepada Amerika Syarikat (AS) bahawa negara itu akan berdepan dengan kegagalan jika menyerang Syria.

Beliau yang diwawancara oleh akhbar Rusia, Izvestia dalam satu laporan yang disiarkan hari ini berkata, Syria tidak akan menjadi 'boneka' kepada Barat dan Washington tidak akan berjaya mencapai matlamat politiknya melalui perang.

"Dakwaan yang menuduh tentera Syria menggunakan senjata kimia yang dibuat oleh ahli politik di Barat dan negara lain adalah mengarut," katanya kepada akhbar prokerajaan itu.

Beliau turut menuduh AS hanya tahu membuat tuduhan dan kemudiannya baru mencari bukti.

"Kawasan kejadian yang didakwa berlakunya serangan senjata kimia itu tidak jelas dan tentera Syria berisiko membunuh anggotanya sendiri jika menggunakan senjata tersebut.

"Ini adalah bercanggah dengan akal fikiran dan tuduhan seperti itu jelas bermotifkan politik," tambah Assad.

Berhubung gesaan tindakan ketenteraan diambil ke atas Syria, beliau turut memberi amaran kepada negara-negara Barat supaya berhenti mencampuri hal ehwal dalaman negara lain dan 'mendengar pendapat rakyat'.

"Kami adalah sebuah negara merdeka dan akan berjuang menentang pengganas serta membina hubungan dengan mana-mana negara yang kami mahu demi kebaikan Syria," tegasnya.

Beliau turut memberi amaran kepada AS yang mahu menyerang Syria sambil menyatakan kempen perang yang dilancarkan oleh Washington sejak beberapa tahun lalu sering gagal menepati sasaran mereka.

"Jika AS menyerang Syria, negara itu bakal menghadapi kegagalan, sama seperti semua perang yang disertainya bermula dari Perang Vietnam," ujarnya. - AFP

-Sentiasapanas.com

Sunday, August 25, 2013

Turki Ada Bukti Israel Dalang Penggulingan Morsi

Turki Ada Bukti Israel Dalang Penggulingan Morsi

Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan menuduh Israel sebagai pihak yang mendalangi penggulingan bekas Presiden, Mohammed Mursi sehingga menyebabkan tercetusnya keganasan politik pada minggu lalu yang mengorbankan hampir 3,000 orang.


Dalam ucapannya semasa menghadiri mesyuarat Parti Pembangunan dan Keadilan (AKP) semalam, Erdogan berkata, kerajaan Turki turut mempunyai bukti berhubung dakwaan itu.

"Apa yang mereka perkatakan tentang Mesir? Demokrasi bukan pada kotak undi.

"Siapa dalang kepada semua ini? Pastinya Israel. Bukti ada dalam tangan kami," katanya yang merujuk kepada kenyataan Menteri Kehakiman Israel, Tzipi Livni semasa satu mesyuarat di Perancis sebelum pilihan raya Mesir pada tahun 2011.

(Baca: Yahudi Menangis Darah Jika Kudeta Al-Sisi Gagal Halang Morsi)

Jelasnya, dalam mesyuarat itu, Livni menyatakan bahawa Ikhwanul Muslimin tidak akan berkuasa walaupun pergerakan itu memenangi pilihan raya.

Berdasarkan maklumat yang diperolehi Associated Press, bukti yang dimaksudkan Erdogan merujuk kepada rakaman sidang akhbar antara Livni, ahli falsafah Perancis dan penulis, Bernard-Henri Levy.

Dalam video tersebut, Levy berkata, beliau akan terus melakukan tekanan walaupun terpaksa menggesa tentera Mesir untuk menentang Ikhwanul Muslimin.

"Saya akan menggesa (tentera Mesir) untuk menghalang Ikhwanul Muslimin daripada berkuasa walau apa cara sekalipun," katanya.

Dalam pada itu, kerajaan sementara Mesir menolak tuduhan Erdogan itu yang 'disifatkan tidak berasaskan fakta'.

Malah Amerika Syarikat (AS) turut mengkritik komen berkenaan yang dianggap 'menyakitkan hati, tidak berasas dan salah' manakala sekutu kuatnya, Israel mendakwa tuduhan Erdogan itu sebagai karut.

Dalam perkembangan lain, Perdana Menteri sementara Hazem al-Beblawi menegaskan, Mesir mampu bertahan tanpa bantuan dari AS selepas Washington dan Kesatuan Eropah mahu mengkaji semula hubungan dengan Kaherah ekoran pergolakan di negara itu. -AP/AFP

Thursday, August 22, 2013

Siapa Abdul Fattah Al-Sisi, General Yang Menggulingkan Morsi?

Siapa Abdul Fattah Al-Sisi, General Yang Menggulingkan Morsi?

Siapa General Abdul Fattah Al-Sisi? General El Sisi lahir di Kaherah pada19 November 1954.


Setelah lulus di Akademi Tentera Mesir pada tahun 1977, dia bertugas di korps infantri dan mendapat pengalaman dari Marshal Tantawi dan anggota SCAF lain.

Namun, kerjayanya melonjak dalam barisan tentera, dia menduduki pelbagai jawatan kanan, termasuk komander batalion infantri mekanik dan ketua maklumat dan keselamatan di sekretariat General Kementerian Pertahanan.

Dia juga pernah berkhidmat sebagai tentera Mesir di Arab Saudi.

Kemudian, General Al Sisi memegang jawatan sebagai ketua kakitangan Tentera dan kemudian menjadi Panglima Tentera wilayah Utara, beribu pejabat di Alexandria, sebelum diangkat menjadi pengarah Perisikan Tentera.

Sebelum menjadi ketua angkatan bersenjata pada Ogos lalu, dia menduduki jabatan Scaf sebagai ketua Perisikan Tentera dan merupakan pemimpin tinggi termuda.

Karisma Al Sisi memaparkan pesona awam yang tenang dan jauh dari tokoh tentera yang tegas.

Diangkat Mursi memegang jawatan Presiden, banyak khabar angin yang tersebar tentang hubungan Al Sisi dengan Ikhwanul Muslimin, organisasi Islam yang membesarkan Mohamed Morsi.

Khabar angin ini pada mulanya disebarkan media swasta dan saluran satelit, yang biasanya menyokong pembangkang.

Pemilik dan penyampai stesen TV al-Faraeen yang pro tentera, Tawfiq Ukasha, menuduh Al Sisi sebagai "orang mereka (Ikhwan) di Scaf" dan ada laporan juga menggambarkan bahawa isteri Al Sisi memakai purdah menutup wajah yang biasa dipakai oleh Muslimah konservatif .

Namun, Scaf menegaskan bahawa anggotanya tidak mempunyai hubungan apa-apa, apalagi partisan atau ideologi dari setiap kekuatan politik di Mesir.

Mutaz Abdul Fattah, seorang profesor di Universiti Kaherah, juga menyatakan Al Sisi bukanlah anggota Ikhwanul Muslimin, dia menulis di Twitter.

"Dia bukan ahli Ikhwan, dia hanya orang yang beragama," tulis mutaz Abdul Fattah.

Pada bulan Ogos 2012, surat khabar al-Tahrir juga melaporkan bahawa General Al Sisi mempunyai "hubungan yang kuat dengan para pegawai AS pada tahap diplomatik dan tentera".

Dia pernah belajar di Washington, menghadiri beberapa persidangan tentera di sana, dan terlibat dalam "kerjasama yang berkaitan dengan latihan perang dan operasi risikan dalam beberapa tahun terakhir", katanya.

Tindakan ketenteraan baru-baru ini juga telah memberikan angin segar kepada demonstrasi anti-kerajaan yang memperlihatkan bahawa sikap Al Sisi tidak akan membolehkan kerajaan untuk menutup mulut suara demonstrasi mereka.

Setelah berjanji kepada kerajaan dan lawan-lawannya untuk menyelesaikan krisis di negara itu dalam tempoh 48 jam, helikopter tentera membuat simpati pendemo dengan melemparkan ribuan bendera Mesir di atas para demonstran di Tahrir Square.

Para demonstrasi bersorak menyambut kejadian ini dengan meneriakan "Rakyat (Sekuler, Kristian, dan Syiah) dan tentera di satu pihak".

Dewan Tertinggi Angkatan Bersenjata (SCAF), yang terdiri daripada 21 tokoh kanan tentera yang dipimpin oleh Marshal Mohamed Hussein Tantawi, pernah memerintah Mesir pada masa peralihan selepas kejatuhan Presiden Hosni Mubarak pada bulan Februari 2011 hingga Presiden Mohamed Mursi dilantik pada bulan Jun 2012. Dewan SCAF dikritik selama tempoh peralihan tersebut kerana gagal melaksanakan tuntutan revolusioner.

Tahukah anda bahawa...

Netanyahu dan King Abdullah Bin Abdul Aziz antara yang gembira dengan kejatuhan Morsi.


[Sumber]

Monday, August 19, 2013

Pengakuan Perisikan Israel Kenapa Morsi Wajib Di Singkirkan!

Pengakuan Perisikan Israel Kenapa Morsi Wajib Di Singkirkan!

Rakaman video mengenai sebuah forum berkaitan Mesir kini tersebar luas di Youtube.


Di depan forum yang dihadiri ratusan orang, seorang komandan perisikan Israel menjelaskan sebab utama mengapa Presiden Mursi perlu disingkirkan.

Pertama, menurutnya, Mursi membawa pemikiran Ikhwanul Muslimin yang hari ini berkembang pesat di Timur Tengah seperti di Mesir, Turki, Tunisia, Maghribi, Libya, Gaza, dan lain-lain.

Kini mereka berupaya untuk membina kekuatan di Syria dan Jordan.

Kekuatan Ikhwanul Muslimin ada dipelbagai bidang, tidak hanya sebagai gerakan politik, mereka juga mengisi kehidupan sosial dan berinteraksi dengan manusia.

Ada dua agenda besar yang kini sedang digencarkan Ikhwan.

Pertama: Mempromosikan negara khilafah dan penerapan syariat. Definisinya ada di Mesir, sebagai negara demokrasi yang melaksanakan sistem Syura. Sebuah merupakan konsep permusyawaratan yang diakui dalam Islam.

Kedua: Strategi lebih luas iaitu memperkuat pertahanan mereka di tengah-tengah pengaruh rezim non-demokratik pada masa demokrasi tidak mampu memadamkannya dengan mudah, sebagaimana terlihat di Turki dan Gaza.

Universiti Al Azhar akan menjadi kekuatan penerapan Syariat. Tetapi ini akan menyusul, supaya fokus kepada pengukuhan legitimasi hukum yang sedang diterapkan oleh negara.

Dua misi besar tersebut akan menguatkan Ikhwanul Muslimin dalam perjuangan mereka.

Maka parti-parti Ikhwan yang kini berkembang di Mesir, Gaza dan Tunisia sedang bergerak menuju ke arah kepemimpinan yang kemudian akan menjadikan mereka sebagai peneraju utama yang bertanggung jawab.

Tanggungjawab ini tidak lagi diterjemahkan sebagai pucuk-pucuk kecil, tapi sudah menjadi kembang yang utuh/kuat.

Jadi kudeta terhadap Ikhwan pada hakikatnya bertujuan untuk menghalangi tegaknya Daulah Islamiyah di Mesir. -Mynewshub