Monday, August 26, 2024

Mitos Pemandangan 7 Matahari Terbenam!

Mitos Pemandangan 7 Matahari Terbenam!

Gempar di media sosial apabila tular video pendek memaparkan tujuh matahari terbenam secara serentak di langit pada 18 Ogos 2024 lalu. Kejaiban alam pastinya memukau sesiapa yang melihat.

Mitos 7 Matahari

Video itu dipercayai dirakam oleh seorang wanita daripada sebuah bilik terletak pada aras 11 dalam hospital di Chengdu, China.

Rakaman tersebut membuatkan rata-rata pelayar berasa kagum serta keliru tentang fenomena yang sedang berlaku.

"Wah cantiknya, seperti kita berada di alam semesta yang lain. Adakah ini pengakhiran dunia kita?," ujar warga maya risau.

Walaupun begitu, mitos dalam video berkenaan akhirnya berjaya dibongkar, ia ternyata merupakan ilusi optik yang terhasil daripada pembiasan cahaya menerusi tingkap kaca.

Namun warga maya tetap berterusan membuat teori yang merapu, kononnya hendak merungkai misteri kejadian itu.

"Anda sedang menyaksikan medan magnet menyatukan kesemua lapisan alam," demikian kata seorang pelayar, entah betul atau tidak.


Semoga memberi manfaat.

-Sentiasapanas.com

Wednesday, August 14, 2019

10 Mitos Popular Apabila Menaiki Kapal Terbang

10 Mitos Popular Apabila Menaiki Kapal Terbang

Seperti semua jenis pengangkutan, perjalanan udara juga mempunyai bahayanya, jadi tidak hairanlah sesetengah orang akan gementar setiap kali menaiki pesawat, tetapi jika anda seorang yang fobia untuk terbang, anda perlu tahu bahawa kebimbangan itu mungkin tidak masuk akal atau tidak seteruk yang anda fikirkan.

Mitos Kapal Terbang

Ahli terapi, Christopher Paul Jones telah menyenaraikan 10 mitos paling biasa mengenai perjalanan udara, bagi membuktikan kepada golongan ini bahawa mereka tidak perlu bimbang untuk menaiki pesawat.

Paul Jones, juga dikenali sebagai 'The Breakthrough Expert', pakar dalam membantu orang ramai mengatasi ketakutan dan kebimbangan terbesar mereka dan panduan ini mungkin dapat membantu anda.

Mitos 1: Terbang itu bahaya

Munasabah untuk berfikir terbang di udara pada kelajuan 500 batu sejam, 36,000 kaki dari darat berbahaya, tetapi hakikatnya, perjalanan udara sebenarnya jauh lebih selamat berbanding mod pengangkutan darat.

Menurut Paul, kemungkinan untuk anda meninggal dunia dalam kemalangan pesawat adalah satu dalam 11 juta.

Mitos 2: Ia boleh berlaku kepada seseorang

Realitinya, bernasib malang kerana nahas kapal terbang masih ada dan seseorang pasti akan terjejas dengannya, tetapi jika anda adalah salah seseorang itu, ia dianggap sangat tidak bernasib baik.

Paul berkata, jika anda menggunakan logik untuk menjelaskan tentang takut mati dalam kemalangan pesawat, maka secara logiknya anda perlu 220 kali lebih prihatin tentang kematian kemalangan kereta.

Malah, tidur adalah lebih bahaya kerana kemungkinan untuk anda mati di atas katil semasa tidur adalah lima kali berbanding ketika berada di udara.

Mitos 3: Kalau terhempas, semuanya berakhir

Anda mempunyai 95.7 peratus peluang berkemungkinan terselamat dari nahas pesawat kerana kemahiran juruterbang yang mampu mendaratkan pesawat dengan ketepatan dan keselamatan luar biasa.

Mitos 4: Kemalangan, syarikat penerbangan tak terjejas

Sebuah pesawat jumbo menanggung kos penerbangan komersial sekitar £100 juta, jadi jika kapal terbang terhempas, begitu jugalah keuntungan mereka menjunam.

Belum lagi dikira berjuta-juta ringgit pampasan yang perlu diketepikan untuk mangsa dan keluarga mangsa.

Oleh itu, tidak masuk akal untuk berfikir bahawa syarikat tidak akan mengambil langkah berjaga-jaga untuk mengelakkan salah satu pesawat mereka terhempas.

Mitos 5: Gelora udara bahaya

Juruterbang yang paling berpengalaman pun tidak mampu mengalahkan gelora udara yang kuat, tetapi ia sebenarnya tidak menimbulkan kemungkinan kemalangan.

Pesawat bergoyang hanyalah disebabkan ia melanggar 'poket udara' dan juruterbang anda sepenuhnya bersedia untuk itu.

Menurut Patrick Smith dari 'Ask The Pilot', jumlah kemalangan pesawat yang disebabkan oleh pergolakan boleh dihitung dengan jari sebelah tangan.

Mitos 6: Kegagalan enjin, pesawat terhempas

Enjin rosak semasa penerbangan adalah salah satu mimpi buruk, tetapi sebuah pesawat sebenarnya hanyalah sebuah luncur besar, yang bermaksud ia boleh diterbangkan dengan mudah dan mampu mendarat tanpa enjin.

Walaupun mustahil juruterbang anda untuk mendaratkan pesawat tanpa enjin, tetapi pendaratan tanpa satu enjin adalah tugas yang jauh lebih mudah.

Mitos 7: Kilat buat pesawat terhempas

Pesawat terhempas disebabkan kilat adalah fantasi Hollywood yang lebih besar berbanding realiti.

Paul mendakwa tiada pesawat moden pernah terhempas disebabkan kilat, kerana pesawat semasa direka untuk menahan kilat.

Mitos 8: Sayap pesawat mungkin jatuh

Kemungkinan sayap pesawat terjatuh semasa penerbangannya hampir sama dengan sifar kerana semua sayap telah diuji sebelum pesawat dibenarkan untuk berlepas, jadi jika akan jatuh, ia akan berlaku di darat.

Boeing mempunyai 'ujian pergerakan sayap' di mana sayap Boeing 787 dinaikkan ke atas pada ketinggian 25 kaki, membuktikan bahawa ia boleh berdepan sehingga 150 peratus pergerakan semasa peristiwa paling melampau.

Mitos 9: Bimbang buat saya terkawal dan bersiap sedia

Pakar 'Breakthrough' menyatakan bahawa adalah tidak rasional untuk cuba mengawal setiap elemen dalam hidup anda dan berbuat demikian boleh membawa kepada tahap tekanan yang tinggi.

Satu dalam setiap tiga orang mempunyai serangan jantung kerana tekanan dan kebimbangan, jadi anda sebenarnya jauh lebih cenderung untuk mati kerana bimbang tentang kemalangan pesawat.

Mitos 10: Berita tunjuk nahas pesawat banyak berlaku

Mitos ini mungkin yang paling mudah untuk disangkal kerana kita melihat kemalangan pesawat dalam berita disebabkan ia sangat jarang berlaku.

Jika kemalangan perjalanan udara begitu biasa, agensi berita tidak akan mempedulikannya lagi.

Paul mencatatkan bahawa, terdapat kira-kira 100,000 penerbangan setiap hari di seluruh dunia dan walaupun dengan bilangan yang tinggi, kita tidak akan mendengar kemalangan komersial walaupun satu, setiap hari.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: mstar

Monday, July 29, 2019

5 Tips Kelangsungan Hidup Yang Sebenarnya Berbahaya Kepada Nyawa Manusia

5 Tips Kelangsungan Hidup Yang Sebenarnya Berbahaya Kepada Nyawa Manusia

Kita seringkali mendengar atau menonton rancangan di televisyen mengenai cara-cara untuk meneruskan kelangsungan hidup sekiranya berada di dalam situasi yang tidak menyenangkan, seperti sesat di dalam hutan, sesat di padang pasir dan ketika kemalangan berlaku.

Tips Ikhtiar Hidup
Gambar hiasan.

Namun, adakalanya tips yang diberikan itu kadangkala merapu dan boleh membahayakan nyawa.

Mari kita lihat beberapa mitos tips kelangsungan hidup serta penjelasan mengapa kaedah ini dianggap merepek.

1. MINUM AIR KENCING

Jika anda pernah menonton rancangan ‘lakonan’ Bear Grylls seperti Man VS Wild, terdapat satu episod dimana akibat kekurangan air, dia mula meminum air kencingnya sendiri yang tersimpan di dalam kulit ular.

Jika kita fikirkan, tips tersebut boleh diikuti memandangkan air kencing juga dikira air yang boleh diminum bagi mengelakkan dehidrasi yang teruk.

Sebenarnya tidak!

Badan kita akan memproses air kencing yang mengandungi kandungan garam natrium yang tinggi dikala badan kita mulai mengalami dehidrasi.

Apabila kita minum air yang mempunyai kepekatan garam yang tinggi ini, kesannya ibarat meminum air laut masin, yang mana hanya akan meningkatkan lagi garam natrium di dalam badan dan menjadikan darah menjadi terlalu pekat sehinggakan darah ini mula menarik kandungan air di dalam sel-sel kita.

Sekiranya sel-sel otak kita mula ditarik airnya, pengecutan otak akan berlaku dan daripada situ, pelbagai masalah akan mulai timbul seperti sawan, tidak sedarkan diri dan yang paling teruk, kematian!

Jadi, tips ini hanyalah mitos dan berdasarkan buku tips kelangsungan hidup bagi tentera Amerika Syarikat (Survival Handbook of United States Army), mereka juga menyatakan perkara yang sama iaitu elakkan daripada meminum air kencing ketika dehidrasi.

2. PEMBEDAHAN CRICOTHYROIDOTOMY

Walaupun perkataan cricothyroidotomy ini panjang dan sukar disebut, penjelasannya mudah sebenarnya.

Pernahkah anda menonton filem di mana apabila seseorang tercekik, dengan pantas hero di dalam cerita tersebut mengambil pen dan menikam bahagian leher orang tersebut, membenarkan dia bernafas semula atau seperti yang disiarkan di dalam filem SAW, di mana polis tersebut menikam dirinya sendiri akibat kepalanya sudah ditenggelami air kesan daripada perangkap yang dibuat.

Jadi, sebenarnya prosedur ini amat jarang dilakukan walaupun di hospital di mana kelengkapan dan staf terlatih cukup untuk mereka melakukannya.

Hal ini kerana peratus kejayaan pembedahan ini teramat rendah walaupun di tangan seseorang yang terlatih dan profesional.

Pada tahun 2016, seorang saintis daripada Jerman mengambil beberapa sukarelawan yang tiada latar belakang perubatan bagi membuat prosedur ini secara hands-on pada kadaver (iaitu mayat yang didermakan ke Universiti untuk tujuan penyelidikan), keputusannya, 9 daripada 10 antara mereka gagal melakukan perkara ini, menjadikan peratus kejayaan hanyalah 10 peratus sahaja.

Teknik yang betul adalah Hemlich maneuvre di mana dalam teknik ini, kita diajar pergerakan untuk meningkatkan tekanan di dalam rongga toraks dan abdomen secara mengejut.

Perbuatan ini boleh memaksa apa-apa makanan atau bahan asing yang tersumbat di saluran pernafasan seseorang.

Anda boleh membuat carian di Youtube di mana terdapat beberapa video menunjukkan teknik yang betul untuk orang dewasa dan kanak-kanak.

3. MENGHALANG GIGITAN LIDAH PESAKIT KANCING GIGI

Sewaktu seseorang itu sedang mengalami sawan, salah satu gejalanya adalah kancing gigi, iaitu otot-otot rahang tiba-tiba mengecut, menyebabkan rahang pesakit menutup rapat mulut dan mengancing gigi atas dan bawah.

Gejala ini ditakuti akan menyebabkan gigitan lidah secara tidak sengaja dan menutup tuang pernafasan seseorang itu.

Ada yang berpendapat supaya meletakkan sudu mahupun kapas bagi mengelakkan kecederaan ini berlaku.

Walaupun tidak dinafikan ada pesakit yang mempunyai kecederaan pada lidah saat mereka kancing gigi, kecederaan yang dialami kebanyakan masanya adalah minor sahaja.

Perbuatan meletakkan sudu contohnya, boleh menyebabkan kepatahan gigi saat gejala ini berlaku dan ada bahaya yang lain muncul apabila serpihan gigi yang patah boleh menutup saluran pernafasan pesakit.

Samalah seperti kapas juga dan bahaya yang lain kepada orang yang ingin menolong akibat digigit jari sehingga putus boleh berlaku.

Tahukah anda, manusia boleh menggigit jari mereka dengan mudah ibarat menggigit lobak merah sahaja.

Otot-otot rahang amatlah kuat dan mampu memutuskan apa sahaja yang diletakkan saat gejala kancing gigi ini hadir.

Perkara yang patut dibuat adalah meletakkan pesakit dalam posisi recovery, iaitu mengiring ke sebelah kanan sekiranya serangan ini berlaku.

Pastikan anda telahpun menghubungi talian kecemasan untuk mendapatkan pertolongan.

4. MINUM AIR DARIPADA POKOK KAKTUS

Mitos ini juga hadir beberapa tahun dahulu di mana saat kehausan akibat tersesat di padang pasir, mereka mula memotong pokok kaktus dalam usaha untuk mendapatkan cecair daripadanya.

Teknik ini sebenarnya amat berbahaya kepada manusia.

Akibat ketandusan air di padang pasir, pokok-pokok kaktus akan mengeluarkan bahan kimia untuk mengelakkan air yang terkandung di dalam pokok itu dicuri.

Bahan kimia ini teramat bahaya kerana boleh menyebabkan gejala muntah dan cirit birit, yang mana bakal menerukkan lagi dehidrasis seseorang itu, sehingga membawa maut.

Walaupun ada beberapa spesies pokok kaktus yang tidak berbahaya dan tidak mengeluarkan bahan kimia tersebut, lebih baik jika kita elakkan terus daripada mengambil peluang ketika masalah dehidrasi ini mendatang.

5. MENGELUARKAN OBJEK DARIPADA BADAN

Tidak kira sama ada ditembak, ditikam atau tercucuk dengan objek-objek tajam, objektif utama untuk menolong mangsa tersebut adalah dengan menstabilkan objek terbabit, bukan menariknya keluar.

Hal ini adalah kerana kadangkala, objek tajam tersebutlah yang berjaya menghentikan pendarahan daripada menjadi lebih teruk.

Sama juga dengan kecederaan akibat ditembak, yang mana mengeluarkan peluru daripada badan mangsa bukanlah pertolongan cemas yang utama.

Kita perlu stabilkan objek berkenaan dan hantar mangsa ke hospital dan biar pakar bedah yang mengeluarkannya di atas meja bedah.

Anda mesti pernah menonton cerita john Wick 2 di mana babak pertarungan dengan Cassian yang berakhir dengan tikaman ke dadanya.

Dia memberi pilihan sama ada untuk menarik pisau tersebut keluar dan mati akibat pendarahan atau membiarkannya terbenam dan mendapatkan pertolongan orang lain.

Jadi, inilah 5 tips kelangsungan hidup yang menjadi mitos dan amat berbahaya jika anda lakukan.

Semoga bacaan hari ini dapat menambah ilmu anda untuk hari-hari mendatang.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: thepatriots

Wednesday, November 21, 2018

9 Legenda Dan Mitos Ikan Duyung Diseluruh Dunia!

9 Legenda Dan Mitos Ikan Duyung Diseluruh Dunia!

Selama ribuan tahun manusia telah menulis mengenai ikan duyung. Makhluk ini menjadi begitu terkenal di dalam rancangan televisyen atau filem dan hampir kebanyakan budaya mempunyai versi legenda ikan duyung tersendiri.

Ramai berpendapat penampakan ikan duyung pada zaman dahulu adalah imaginasi para kelasi yang tersalah anggap haiwan seperti dugong, singa laut atau ikan lumba-lumba.

Namun, legenda kewujudan ikan duyung ini masih menarik minat manusia di seluruh pelusuk dunia dan berikut adalah beberapa kisah mengenainya.

1. Jiaorén - China

Legenda Dan Mitos Ikan Duyung

Di dalam legenda China, Jiaoren adalah ikan duyung yang bukan sahaja cantik malah makhluk ini juga mempunyai kemahiran untuk membuat pakaian dari kain yang dinamakan "tenunan naga" yang tidak basah jika terkena air. Jika Jiaoren menangis, air matanya akan bertukar menjadi mutiara.

Semasa Dinasti Jin, terdapat satu catitan di mana ia menceritakan tentang kemunculan ikan duyung yang menjual kain "tenunan naga" ini kepada manusia.

Jika ada sesiapa yang menawarkannya tempat tinggal, dia akan berterima kasih dengan menitiskan air mata ke dalam bekas tadahan yang kemudian dipenuhi oleh mutiara.

Dalam sejarah, beberapa orang bangsawan China mendakwa mereka mempunyai pakaian yang dihasilkan menggunakan "tenunan naga" ini.

2. Ningyo - Jepun

Legenda Dan Mitos Ikan Duyung

Berbeza daripada legenda ikan duyung versi barat yang kebanyakannya dikatakan cantik, versi ikan duyung Jepun ini adalah sebaliknya. Ningyo dikatakan seekor ikan gergasi yang mempunyai wajah manusia, mulut monyet dengan taring keemasan dan juga tanduk.

Makhluk ini dikatakan mempunyai suara seakan-akan bunyi tiupan seruling. Menurut legenda lagi, sesiapa sahaja yang memakan daging Ningyo akan menjadi cantik, muda dan hidup kekal.

Namun, jika makhluk ini ditangkap, akan terjadinya ribut yang sangat dahsyat dan juga akan membawa nasib yang malang kepada seluruh kampung.

3. Iara - Brazil

Legenda Dan Mitos Ikan Duyung

Menurut legenda Brazil, Iara adalah seorang gadis yang berani serta pintar dan tinggal di Amazon. Dia mempunyai kebolehan berlawan yang lebih baik dari saudara lelakinya yang lain. Disayangi dan dihormati oleh puaknya membuatkan abang-abangnya cemburu.

Mereka kemudian telah membunuh Iara dan membuang mayatnya ke dalam Sungai Amazon. Ketika itu Dewi Bulan iaitu Jaci berasa kasihan terhadapnya dan telah menghidupkannya semula sebagai seekor ikan duyung.

Setelah dihidupkan semula, Iara telah menghabiskan masanya membalas dendam terhadap lelaki. Setiap kali ada lelaki yang mati lemas di Sungai Amazon, mereka percaya ia adalah perbuatan Iara.

Suatu hari, seorang lelaki bernama Jaraguari bertemu dengan Iara dan mereka berdua telah jatuh cinta. Jaraguari memberitahu ibunya dia telah menemui seekor ikan duyung yang cantik dan ingin bersamanya di dalam kehidupan dalam air. Selepas itu mereka percaya bahawa roh Iara telah menjadi tenang.

4. The Finfolk - Ireland & Scotland

Legenda Dan Mitos Ikan Duyung

Di Ireland dan Scotland, mereka percaya bahawa "Finfolk" adalah spesis ikan duyung yang tinggal di kerajaan bawah laut bernama Finfolkenheim. Pada musim panas makhluk ini dipercayai akan berehat di Hildaland, iaitu sebuah pulau yang akan muncul buat seketika waktu sahaja.

Makhluk ini juga dipercayai boleh berubah bentuk kepada ikan atau manusia sepenuhnya. Selain itu Finfolk dikatakan sangat cantik dan akan menggoda manusia supaya mengawan dengan mereka.

Namun, ia sebenarnya berniat untuk mengambil keperawanan manusia untuk kekal hidup selamanya. Jika ada sesiapa yang diculik atau kelasi hilang di lautan, mereka percaya ia adalah perbuatan Finfolk itu.

Walau bagaimanapun, jika Finfolk berkahwin sesama sendiri, Finfolk betina yang dikenali sebagai Finwife akan berubah bentuk menjadi seorang wanita tua yang akan ke darat untuk bekerja bagi mendapatkan wang dan makanan.

5. Mami Wata - Afrika

Legenda Dan Mitos Ikan Duyung

Mami Wata adalah dewi ikan duyung Afrika yang mempunyai kuasa menyembuh dan ibu kepada semua hidupan laut. Terdapat banyak kisah penampakannya di tasik, sungai dan laut di benua itu.

Mami Wata sering dilihat memegang ular air di sekitar bahunya dan dia dikatakan boleh berubah bentuk kepada wanita, ikan atau ikan duyung mengikut kemahuannya.

Sehingga hari ini masyarakat di Afrika berasa taksub mengenai legenda Mami Wata. Terdapat banyak patungnya dijual sebagai cendera hati. Di Afrika juga terdapat satu kumpulan yang memuja para dewi dan mereka digelar sebagai "anak Mami Wata".

Mereka mendakwa sering bermimpi didatangi Mami Wata yang memanggil mereka untuk melakukan upacara pembersihan kerohanian.

6. Triton - Greece

Legenda Dan Mitos Ikan Duyung

Di dalam mitos Greek, Triton merupakan tuhan yang menjaga tasik Tritonis. Dia adalah anak kepada Poseidon iaitu tuhan lautan. Triton dikatakan membawa cengkerang di mana ia digunakan sebagai semboyan dan juga senjata.

Menurut legenda, jika kelasi sesat di tasik itu, Triton akan membantu mereka dengan mencipta sebidang tanah yang kini dikenali sebagai pulau Thera. Pada kelasi yang sesat dapat berehat di situ sementara Triton akan menerangkan kepada mereka jalan kembali kepada lautan terbuka.

Tidak semuanya kisah baik mengenai Triton. Jika terdapat ternakan yang hilang atau kelasi terbunuh di lautan, ia adalah perbuatan Triton. Kerana tidak mampu melawan kuasa tuhan, mereka akan menawarkan minuman keras yang diletakkan di tepi pantai sebagai sembahan kepada Triton.

7. Millalobo - Chile

Legenda Dan Mitos Ikan Duyung

Di Chile, terdapat mitos mengenai raja di lautan yang digelar sebagai Millalobo. Ia adalah separuh manusia dan separuh lagi singa laut. Millalobo dikatakan berkahwin dengan manusia dan mempunyai seorang anak lelaki bernama Pincoy serta 2 anak perempuan bernama Sirena dan Pincoya.

Beberapa orang kelasi mendakwa mereka pernah dibantu oleh Pincoy menunjukkan arah pulang ketika sesat di lautan. Pincoya pula dikatakan sebagai seorang wanita paling cantik di dunia dengan rambut perang serta mempunyai mata berwarna biru.

Pincoya dikatakan akan duduk di atas batu dan gemar menari. Jika dia memandang ke arah lautan maka para nelayan akan mendapat banyak tangkapan dan jika dia memandang ke arah darat maka sebaliknya pula yang akan berlaku.

8. Ceasg - Scotland

Legenda Dan Mitos Ikan Duyung

Disebut dengan "kee-ask", ikan duyung dari Scotland ini adalah separuh wanita dan separuh ikan salmon. Legenda menceritakan sesiapa yang berjaya menangkap Ceasg ini akan mendapat 3 permintaan.

Makhluk ini dikatakan menggoda manusia kepada kematian sama seperti legenda Siren. Cara untuk membunuh Ceasg ialah dengan memusnahkan azimat mereka berbentuk cengkerang di mana ia menyimpan rohnya dan disembunyikan agar tidak dijumpai manusia.

Legenda juga mengatakan jika anda berjaya menemui cinta sejatinya bersama Ceasg, mahkluk ini akan bertukar sepenuhnya kepada manusia. Tiada 3 permintaan yang diberikan, sebaliknya anda akan menjadi bertuah sepanjang hidup.

Terdapat beberapa keluarga di Scotland mendakwa mereka adalah dari keturunan pasangan manusia dan ikan duyung yang berkahwin.

9. Melusine - Perancis

Legenda Dan Mitos Ikan Duyung

Legenda mengenai ikan duyung ini banyak diceritakan di dalam kisah dongeng Eropah. Melusine mempunyai bahagian bawah badan menyerupai ekor ular.

Melusine dikatakan seorang wanita garang yang ingin membalas dendam terhadap ayahnya bagi pihak ibunya. Dia dikatakan telah berkahwin dengan seorang bangsawan dan mengenakan satu syarat pelik, iaitu dia ingin bersendirian selama 1 hari dalam seminggu.

Akan tetapi kerana sifat ingin tahu, suaminya telah mengintai Melusine ketika bersendirian dan terkejut apabila mendapati isterinya itu sebenarnya adalah ikan duyung.

Kerabat di raja Perancis dari House of Lusignan mendakwa mereka adalah keturunan dari Melusine. Kini, gambarnya kelihatan di seluruh dunia, terutamanya pada lambang minuman kopi terkenal iaitu Starbucks.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: iluminasi

Sunday, November 18, 2018

6 Jenis Hantu Paling Popular Masyarakat Jawa

6 Jenis Hantu Paling Popular Masyarakat Jawa

Kali ini mari kita mengenali kepercayaan tentang jenis-jenis hantu yang diyakini sudah termasuk dalam kategori popular di Tanah Jawa. Meskipun hal ini dianggap tabu di kalangan masyarakat setempat tetapi masih ramai yang meyakininya.

Kita sebagai manusia memang harus percaya terhadap yang perkara-perkara ghaib, namun terpulang kepada anda untuk percaya atau tidak.

Jenis-jenis hantu yang diakui di tanah Jawa telah disenaraikan di bawah. (Gambar hiasan semata-mata).

1. Genderuwa

Hantu Popular Jawa

Genderuwa (dalam pengucapan Bahasa Jawa: “Genderuwo”) adalah mitos Jawa tentang sejenis bangsa jin atau makhluk halus yang berupa manusia mirip kera yang bertubuh besar dan kekar dengan warna kulit hitam kemerahan, tubuhnya ditutupi rambut lebat yang tumbuh di sekujur tubuh.

Genderuwa dikenal paling banyak dalam masyarakat di Pulau Jawa, Indonesia. Orang Sunda menyebutnya “gandaruwo” dan orang Jawa umumnya menyebutnya “gendruwo”.

Habitat kegemarannya adalah batu berair, bangunan tua, pohon besar yang teduh atau sudut-sudut yang lembap sepi dan gelap.

Menurut mitos, makhluk ini dipercayai berada di daerah hutan seperti Hutan Jati Cagar Alam Danalaya, kecamatan Slogohimo, sekitar 60 km di sebelah timur Wonogiri dan di wilayah Lemah Putih, Purwosari, Girimulyo di Kulon Progo, sekitar 60 km ke barat Yogyakarta.

Asal-usul genderuwa dipercayai berasal dari arwah orang yang meninggal secara tidak sempurna, boleh jadi akibat bunuh diri, pengebumian yang tidak sempurna ataupun kecelakaan sehingga arwah tersebut merasa penasaran dan belum dapat menerima kematiannya.

Genderuwa tidak dapat dilihat oleh orang biasa tapi pada saat tertentu dia dapat menampakkan dirinya bila merasa terganggu.

Dipercayai bahawa tidak semua genderuwo jahat, kerana ada pula yang baik dan sikap mereka tergantung kepada bagaimana sikap manusia, apakah mahu berteman atau bermusuhan dengan genderuwa tersebut.

2. Pocong

Hantu Popular Jawa

Pocong adalah hantu yang popular di kalangan masyarakat Indonesia. Pocong berupa sosok yang berpakaian orang mati (berkain kafan). Cara berjalannya adalah dengan melompat-lompat kerana terdapat ikatan pada bahagian kakinya.

Pocong biasanya tinggal di kuburan seseorang, yang konon semasa hidupnya bergelumang dengan dosa, contohnyanya menjadi lintah darat, memelihara toyol atau mengamalkan ilmu hitam dan ia tidak rela atas kematiannya.

Pocong suka bergantungan di pokok, bersandar di dinding atau terbaring di tepi jalan (kalau di tengah jalan, boleh jadi pocong tersebut leper jika dilanggar oleh kereta yang lalu-lalang), dan juga mengejar orang yang ketakutan.

Meskipun cara berjalannya adalah dengan melompat, tapi boleh mengalahkan orang yang berlari laju. Jika anda tidak percaya akan soal ini, boleh diadakan acara lumba lari antara atlet pelari kita dengan mereka.

3. Wewe Gombel

Hantu Popular Jawa

Wewe Gombel adalah makhluk ghaib atau hantu perempuan dalam mitologi Jawa. Dikatakan bahawa Wewe Gombel yang menculik kanak-kanak.

Mitos ini dikatakan digunakan untuk menakutkan kanak-kanak supaya tidak bermain di luar rumah pada waktu maghrib dan supaya tidak keluar dari rumah pada waktu malam.

Secara tradisinya, Wewe Gombel digambarkan sebagai seorang wanita dengan buah dada yang panjang dan tergantung.

Hantu itu dinamakan Wewe Gombel kerana ia berkaitan dengan satu peristiwa yang menurut cerita rakyat kuno berlaku di Bukit Gombel, Semarang, di mana lama dahulu terdapat sepasang suami isteri yang hidup di situ.

Mereka telah berkahwin selama bertahun-tahun, tetapi lama-kelamaan si suami sedar bahawa isterinya mandul dan berhenti mencintai dia.

Si suami mula mengabaikan isterinya dan meninggalkannya bersendirian untuk jangka masa yang lama, jadi isterinya tinggal dalam kesedihan.

Satu hari isteri mengikutinya dan si suami ditangkap sedang berhubungan seks dengan wanita lain. Terluka oleh pengkhianatan suaminya dia menjadi marah dan membunuhnya.

Berhadapan dengan jenayah itu, jiran-jirannya marah dan menghalau dia keluar dari kampung. Kecewa kerana dihalau dari kampung dan gangguan berterusan, dia membunuh diri. Selepas kematiannya, kerana dendam yang mendalam beliau menjadi Wewe Gombel.

Cerita rakyat Sunda mengatakan bahawa dia tinggal di atas pokok kabung, di mana dia mempunyai sarang dia dan menyimpan anak-anak yang dia tangkap di situ.

Wewe Gombel tidak menyakiti anak-anak tersebut dan apabila mereka berada di bawah cengkaman beliau mereka tidak takut kepadanya.

Mengikut kepercayaan masyarakat setempat, anak-anak yang dilarikan oleh Wewe Gombel kebanyakannya telah dizalimi atau diabaikan oleh ibu bapa mereka.

Dia menjaga kanak-kanak tersebut dengan penuh kasih sayang, menjaga mereka dan melindungi mereka sehingga ibu bapa mereka bertaubat, di mana dia mengembalikan mereka semula.

Wewe Gombel mempunyai pertalian dengan hantu yang dikenali sebagai Hantu Kopek dalam cerita rakyat Melayu.

4. Sundel Bolong

Hantu Popular Jawa

Dalam mitologi Indonesia, Sundel Bolong adalah hantu mitos dari Nusantara yang biasanya digambarkan sebagai seorang wanita dengan rambut panjang yang indah dan pakaian putih yang panjang (bentuk beliau adalah sama dengan Kuntilanak).

Nama dan mitos Sundel Bolong berkait rapat dengan pelacur, yang bermaksud “pelacur dengan lubang di dalamnya”, merujuk kepada lubang besar yang dikatakan muncul di belakang beliau.

Dalam cerita rakyat, Sundel Bolong dikatakan roh wanita yang meninggal dunia ketika dia sedang mengandung dan oleh itu melahirkan dalam kuburnya, atau yang meninggal dunia semasa melahirkan anak dan bayi itu keluar daripada belakangnya (inilah sebabnya mengapa terdapat lubang yang terbentuk di belakang beliau). Lubang ini disembunyikan daripada pandangan lelaki dengan rambut hitam panjang beliau.

Sundel Bolong juga dikatakan sebagai roh yang sensitif dan jika ditolak oleh seorang lelaki, dia dikatakan akan memandulkan lelaki tersebut.

5. Kuntilanak

Hantu Popular Jawa

Kuntilanak adalah sejenis hantu perempuan dalam mitologi Indonesia. Ia juga dikenali sebagai matianak atau kuntilanak, kadang-kadang dipendekkan kepada Kunti.

Kuntilanak dikatakan sebagai roh wanita yang mati ketika hamil. Kuntilanak sering dikelirukan dengan makhluk yang berkaitan iaitu Lang Suir, hantu seorang wanita yang meninggal dunia semasa melahirkan.

Perkataan pontianak dilaporkan berasal dari Malaysia yang bermaksud perempuan mati beranak, atau wanita yang meninggal dunia ketika melahirkan anak.

Bandar Pontianak di Indonesia dinamakan sempena makhluk jahat ini, yang dikatakan telah dihantui sultan pertama yang pernah menetap di sana.

Kuntilanak biasanya digambarkan sebagai wanita berkulit pucat dengan rambut panjang hitam, bermata merah, dan pakaian putih yang berlumuran darah, tetapi mereka dikatakan boleh berubah rupa sebagai seorang perempuan yang cantik kerana mereka menjadikan lelaki dan orang yang tidak berdaya sebagai mangsanya.

Dalam cerita rakyat, Kuntilanak biasanya mengumumkan kehadiran beliau melalui bunyi bayi menangis dengan nyaring. Jika tangisan itu perlahan, bermakna Kuntilanak itu berada jauh tetapi dan jika ia kuat, bermakna dia berada berdekatan.

Ada yang percaya bahawa jika anda mendengar anjing melolong pada waktu malam, ini bermakna Kuntilanak berada jauh tetapi jika anjing merengek, ini bermakna pontianak berada berhampiran.

Kehadiran beliau kadang-kadang boleh dikesan dengan haruman bunga yang wangi diikuti dengan bau busuk seperti bau bangkai selepas itu.

6. Jerangkong

Hantu Popular Jawa

Jerangkong adalah hantu pencuri telur di dalam mitologi masyarakat jawa kuno, khususnya Jawa Timur. Pada saat memakan telur yang dicurinya, Jerangkong digambarkan berwujud sebagai kerangka tulang manusia dengan kepala tengkorak.

Setelah makan telur, jerangkong pergi dan lenyap dalam bentuk asap putih. Kononnya telur yang dimakan oleh jerangkong tetap utuh atau tidak pecah, namun isinya kosong.

Makhluk halus ini makan telur dengan cara menghisapnya melalui lubang pori-pori pada kulit telur.

Jerangkong dipercayai berasal dari arwah orang mati yang semasa hidupnya suka mencuri. Setelah dia mati, arwahnya bergentayangan dan menjadi jerangkong.

Jerangkong dipercayai sering keluar masuk melalui salah satu lubang kecil di kuburan miliknya, keluar petang hari dan pulang menjelang fajar. Ketika Jerangkong pulang, maka ia akan masuk ke sebuah lubang di kuburan miliknya.

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:

sumber: kisahseram

Friday, August 31, 2018

Mitos Bukit Batu Tomanggong Besar Kinabatangan

Mitos Bukit Batu Tomanggong Besar Kinabatangan

Kewujudan sebuah bukit batu kapur dikenali Tomanggong Besar di kawasan tanjung Sungai Kinabatangan, mempunyai cerita seakan sama seperti kisah batu belah batu bertangkup di Semenanjung.

Mitos Bukit Batu Tomanggong Besar

Keunikan struktur itu menarik perhatian pengunjung tetapi belum ada usaha dilakukan pihak berkuasa sehingga ini untuk mempromosikannya sebagai lokasi tarikan pelancong.

Bukit batu kapur setinggi kira-kira 50 meter dari permukaan air terletak di Kampung Sukau, dekat sini, dianggap 'keramat' oleh penduduk setempat kerana selain mitosnya, kawasan berkenaan dipercayai sering berlaku kejadian pelik termasuk ribut.

Mengikut cerita penduduk, bukit itu mengambil sempena nama seorang pemuda iaitu Tomanggong yang 'ditelan' batu selepas dipercayai kempunan memakan seekor burung ketika memburu bersama enam abangnya.

Tujuh beradik itu kononnya memudik ke hilir Sungai Kinabatangan untuk berburu dan ketika perjalanan pulang, mereka singgah berteduh dalam gua pada batu kapur itu kerana berlaku ribut.

Selepas ribut reda, tujuh beradik itu keluar namun malang bagi si Tomanggong apabila pintu masuk gua tertutup sendiri sebelum sempat keluar menyebabkannya terperangkap sebelum enam abangnya berusaha mengumpil pintu gua menggunakan sebatang kayu belian tetapi tidak berjaya.

Sehingga kini, penduduk mendakwa kayu belian itu masih wujud di pintu gua berkenaan, namun hanya boleh dilihat ketika air surut.

Biarpun ada pelbagai versi cerita mengenai bukit Tomanggong, penduduk khususnya masyarakat etnik Orang Sungai masih percaya terhadap pantang-larang jika melalui kawasan itu.

Antaranya ialah tidak boleh membawa makanan dalam perahu, jangan berbuat bising dan memberi salam.

Malapetaka seperti ribut, perahu karam, air sungai bertukar menjadi minyak atau serangan buaya berlaku jika pantang larang tidak dituruti.

Mereka yang membawa makanan sama ada daging atau tumbuhan perlu buang sedikit ke batu untuk mengelak perkara tidak baik berlaku.

Dulu (sebelum memeluk Islam), penduduk yang ada hajat, akan pergi ke situ (bukit batu kapur) membawa beras kuning dan mencampakkan duit.

Kalau mahu makan siput, orang tua (ibu bapa) bawa 'sigup kirai' (rokok), sisip pada batu dan tidak lama keluarlah banyak siput.

Kira-kira satu kilometer (km) di hulu Tomanggong Besar, ada sebuah lagi batu kapur setinggi kira-kira 20 meter dari paras air dinamakan Tomanggong Kecil atau dipanggil 'Tomanggong anak-anak' dalam bahasa Sungai.

Disebabkan mitos itu juga, ramai orang luar datang ke bukit batu kapur berkenaan untuk membuat hajat dengan memacak bendera dan menabur syiling.

Walaupun tiada lagi kejadian pelik, penduduk tempatan masih lagi mengikuti pantang larang dan mengelak ke situ pada waktu malam sebab ia tempat keramat.

Kayu Belian

Mitos Bukit Batu Tomanggong Besar

Sementara itu, air surut di Sungai Kinabatangan cuma berlaku dua atau tiga kali sebulan, namun agak sukar untuk menjangka waktunya yang bergantung kepada keadaan cuaca di hulu sungai menyebabkan usaha melihat kayu belian berkenaan sukar.

Orang tua di sini berkata, kalau tujuan datang mahu lihat kayu belian, tak akan nampak, tetapi kalau tiada niat baru boleh nampak.

Berbanding sekarang, bukit batu kapur itu cuma mendapat sambutan penyelidik dari dalam dan luar negara membuat kajian mengenai batu kapur atau pendaki yang berminat meneroka flora dan fauna di kawasan itu.

Kelebihan kawasan bukit berkenaan yang mempunyai banyak flora dan fauna dan asal usul bukit diberi nama sempena dengan seorang pemuda kempunan seekor burung, mempunyai kaitan antara satu sama lain.

Di Kinabatangan, selain Tomanggong Besar dan Tomanggong Kecil, ada dua lagi bukit batu kapur yang kini diwartakan sebagai kawasan pelancongan iaitu Batu Tulug berusia 20 hingga 25 juta tahun setinggi 29 meter yang menyimpan 125 keranda purba kayu balak.

Selain itu, Gua Gomantong mempunyai 27 gua kecil dihuni jutaan burung layang-layang yang menghasilkan sarang burung, terletak kira-kira 30 kilometer dari Kampung Sukau.

Kewujudan bukit batu kapur selain kawasan lembah Kinabatangan yang terkenal dengan gajah Pygmy Borneo dan 10 spesies primat memberi pulangan kepada penduduk yang terbabit secara langsung dalam pelancongan serta pemuliharaan alam sekitar.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: bharian

Wednesday, June 20, 2018

5 Fakta Tidak Benar Tentang Bahaya Mengecas Telefon Bimbit

5 Fakta Tidak Benar Tentang Bahaya Mengecas Telefon Bimbit

Terlalu banyak pantang larang yang sering didengar mengenai peraturan mengecas telefon bimbit. Ada juga segelintir individu yang terlalu percayakan kepada mitos-mitos ini sehingga begitu taksub mengikut setiap kepercayaan karut ini.

Mitos Mengecas Telefon Bimbit

Tidak dinafikan sesetengah daripadanya adalah benar dan jika bateri telefon bimbit dijaga dengan baik, ia mampu bertahan sehingga tiga ke lima tahun.

Berikut merupakan 5 mitos yang ingin kami kongsikan berkaitan dengan peraturan mengecas telefon bimbit anda.

1. Mitos: Cas telefon sewaktu tidur malam sehingga pagi akan memberi kesan pada bateri

Fakta: Bateri telefon bimbit anda akan berhenti mengecas setelah penuh.

Mesti korang selalu dengar cakap-cakap orang tentang tidak bagus untuk mengecas telefon bimbit sewaktu anda ingin masuk tidur.

Yang jelas, apabila ia sudah mencapai caj maksimum, ia akan berhenti dengan sendirinya.

Ini bermakna, telefon bimbit anda tidak akan dicas sepanjang waktu malam tersebut.

2. Mitos: Menggunakan alat pengecas daripada jenama lain akan merosakkan bateri

Fakta: Pengecas telefon bimbit daripada jenama lain adalah baik selagi ia bukanlah produk tiruan.

Ramai yang mendakwa bahawa penggunaan daripada alat pengecas telefon bimbit lain akan memberi kesan pada bateri telefon.

Ia terbukti hanya mitos semata-mata kerana alat pengecas daripada jenama lain juga sama mempunyai fungsi yang sama.

Prestasi yang ditunjukkan mungkin tidak optimum tetapi ia tidak sampai mengakibatkan bateri telefon bimbit anda rosak.

3. Mitos: Jangan pernah matikan telefon bimbit

Fakta: Mematikan telefon bimbit dapat membantu bateri tahan lebih lama.

Menurut seorang pakar jenama Apple, mematikan telefon bimbit anda dari semasa ke semasa dapat memaksimumkan jangka hayat bateri.

Jika kamu pengguna tegar telefon bimbit, dinasihatkan agar mematikan telefon pada waktu malam untuk memastikan bateri telefon bimbit anda sentiasa dalam keadaan yang baik.

4. Mitos: Dilarang menggunakan telefon bimbit yang sedang dicas

Fakta: Guna telefon bimbit sewaktu dicas adalah tidak mengapa selagi alat pengecas yang diguna itu adalah original.

Terdapat kebimbangan oleh pengguna telefon bimbang tentang situasi ini.

Ada yang mengatakan anda akan terkena kejutan elektrik jika menggunakannya semasa di caj.

Terdapat insiden yang benar-benar berlaku di mana telefon tersebut meletup.

Walau bagaimanapun, dalam semua kes yang dilaporkan, pengguna telah mengecas telefon bimbit mereka dengan pengecas tiruan.

Jika anda menggunakan telefon bimbit daripada pengilang yang diluluskan, maka tiada risiko telefon akan meletup.

5. Mitos: Keadaan panas akan merosakkan bateri telefon bimbit anda

Fakta: Tidak dapat dinafikan bahawa pemanasan mampu untuk merosakkan bateri telefon bimbit.

Jadi, jika anda meletakkannya di tempat yang panas, kemungkinan bateri tersebut akan rosak.

Begitu juga jika suhu terlalu sejuk turut memberi kesan kepada bateri.

Bateri akan lebih cepat mati dalam keadaan suhu yang rendah.

6. Mitos: Cas telefon bimbit pada waktu ia benar-benar ‘low’

Fakta: Cas berkala adalah lebih baik

Kenyataan mengecas telefon bimbit pada masa benar-benar kritikal adalah tidak benar sama sekali kerana pada waktu itu, bateri menjadi agak tidak stabil.

Lebih baik cas telefon anda dalam kadar berkala.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: remaja