Thursday, February 06, 2014

Aset Anak Lelaki Taib Mahmud Bernilai RM1.395 Bilion!

Aset Anak Lelaki Taib Mahmud Bernilai RM1.395 Bilion!

Seorang akauntan memberi keterangan di Mahkamah Tinggi Syariah di sini bahawa aset anak Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud bernilai antara RM976 juta dan RM1.395 bilion.

Datuk Seri Mahmud Abu Bekir dan Isteri

Akauntan bertauliah, Andrew Heng, 39, berkata sebelum ini beliau memaklumkan kepada mahkamah bahawa aset Datuk Seri Mahmud Abu Bekir bernilai RM916 juta hingga RM1.344 bilion.

Beliau berkata angka baru itu diperolehi setelah memasukkan dua aset yang dimiliki Mahmud yang terdiri daripada sebuah kereta Audi dan kepentingannya di Menara Titanium di Brighton Square, Kuching, Sarawak.

Andrew telah dilantik oleh bekas isteri Mahmud, Shahnaz A. Majid, 50, untuk mengenalpasti aset milik Mahmud dan nilai pegangan sahamnya dalam 49 syarikat di Malaysia.

“Berikutan penemuan baru itu, angka terkini di antara RM976 juta dan RM1.395 bilion selepas mengambil kira kedua-dua aset.

“Angka tersebut berdasarkan kepada lima komponen termasuk yang diwarisi daripada arwah ibu Mahmud, tanah kelapa sawit, saham dalam 49 syarikat Malaysia dan kini, kenderaan Audi yang dimiliki oleh Ivy Kraf Sdn Bhd di mana beliau mempunyai 50 peratus kepentingan dan juga Menara Titanium,” kata Andrew.

Andrew telah memberi keterangan semasa pemeriksaan balas oleh peguam Shahnaz, Akbardin Abdul Kader dalam perbicaraan tuntutan mutaah RM100 juta beliau.

Shahnaz yang merupakan kakak kepada ratu jazz, Datuk Sheila Majid, menuntut RM400 juta yang mana RM300 juta adalah harta sepencarian sebagai sebahagian daripada penyelesaian perceraian.

Shahnaz juga menuntut 50 peratus daripada semua aset yang dimiliki oleh Mahmud, 50, termasuk kereta mewah, rumah di pelbagai lokasi, tanah di Sarawak dan saham.

(Baca: Bethany Mota, Gadis Yang Menjadi Jutawan Kerana YouTube)

Mereka telah berkahwin pada Januari 1992 dan bercerai pada 2011.

Mereka mempunyai seorang anak lelaki berusia 20 tahun, Raden Murya.

Andrew berkata kenderaan mewah Mahmud, jenis Bugatti, bernilai RM1.18 juta tidak termasuk duti dan eksais yang dibayar dan Lamborghini bernilai RM498,000.

“Dua kenderaan lain Mahmud adalah Bentley Continental dianggarkan bernilai RM478,000 dan Toyota Alphard, RM190,000,” katanya.

Pada akhir prosiding, peguam utama Mahmud Datuk Zainul Rijal Abu Bakar memberitahu mahkamah bahawa mereka memerlukan dua bulan untuk akauntan anak guamnya mengkaji laporan oleh Andrew.

“Kita perlu mendapatkan nasihat daripada pakar dalam bidang perakaunan sebelum boleh meneruskan pemeriksaan balas kami,” katanya.

Walau bagaimanapun, peguam utama Shahnaz, Dr Rafie Mohd Shafie membantah permohonan itu, dengan menyatakan ia tidak adil untuk mereka dan menambah bahawa aset Mahmud adalah berdasarkan laporan kewangan syarikat-syarikat beliau.

Mahkamah kemudian menanguhkan perbicaraan kepada 14 dan 30 April bagi pembelaan untuk pemeriksaan balas Shahnaz.

Sumber: mStar

Thursday, January 16, 2014

Rakyat Malaysia 'Paling Ramai Gemuk' Di Asia Tenggara!

Rakyat Malaysia 'Paling Ramai Gemuk' Di Asia Tenggara!

Selain terjejas oleh obesiti dan kencing manis, rakyat Malaysia juga mengambil pelbagai makanan yang tidak berkualiti dan bernutrisi tinggi, menurut laporan kualiti makanan di seluruh dunia, Oxfam International.

Obesiti di malaysia

Kajian dan penyelidikan oleh kumpulan penyelidik kemiskinan dan bantuan bencana yang berpangkalan di United Kingkom (UK) yang baharu sahaja didedahkan ini menunjukkan Malaysia berada di kedudukan 44 dalam 125 negara (Lebih tinggi skor indeks, lebih teruk kedudukan negara).

Dengan tajuk 'Good Enough to Eat Index', ia menunjukkan Malaysia memperoleh 76 daripada 100 skor di bawah kategori kepelbagaian diet, yang menunjukkan walaupun makanan adalah cukup di Malaysia, pilihan pelbagai makanan bagaimanapun tidak berkhasiat.

Kemampuan makanan juga seolah-olah menjadi masalah bagi Malaysia, apabila negara memperoleh skor yang lebih tinggi daripada purata 57 dari segi tahap harga.

Tahap ini, menurut Oxfam adalah relatif kepada barangan dan perkhidmatan lain.

Kecenderungan untuk harga makanan turun naik bagaimanapun rendah, dengan Malaysia mendapat skor 14.

(Baca: Wanita New Zealand Memandu Sejauh 300 Kilometer Ketika Tidur!)

Malaysia juga didapati berada pada anak tangga yang lebih rendah dalam kategori obesiti dan kencing manis, dengan masing-masing mendapat 29 dan 37 skor.

Menurut laporan, kira-kira 2.6 juta rakyat Malaysia yang berumur 18 tahun ke atas adalah pesakit kencing manis.

Angka ini dijangka mencecah 4.5 juta pada tahun 2020.

Malaysia turut disenaraikan negara 'paling gemuk' di Asia Tenggara dan yang keenam di rantau Asia Pasifik.

Walaupun kajian itu mendapati bahawa rakyat Malaysia tidak menghidap sebarang kekurangan zat makanan, tetapi menunjukkan sebilangan kanak-kanak yang kurang berat badan dengan skor 28.

Negara ini juga secara keseluruhannya berkongsi tempat ke-44 dengan enam negara lain: Maldives, Kazakhstan, Mexico, Moldova, Rusia dan Chile.

Di Asia Tenggara, Malaysia berada di tempat kedua di belakang Thailand, yang menduduki tempat ke-42 di seluruh dunia.

Negara jiran, Filipina (67), Vietnam (71), Indonesia (83) dan diikuti Laos (112).

Singapura dan Myanmar tidak termasuk dalam senarai.

"Walaupun dalam zaman moden dan kemajuan teknologi, kita masih gagal untuk menyediakan rakyat dengan makanan asas yang mereka perlukan untuk terus hidup dan makan secara sihat," kata kenyataan Oxfam.

Dalam perbandingan yang dibuat, Belanda mendapat tempat yang pertama sebagai negara yang mempunyai makanan yang paling berkhasiat dan sihat.

Sumber: mStar online

Friday, November 15, 2013

35 Tahun Menggunakan IC Palsu!

35 Tahun Menggunakan IC Palsu!

“Saya sudah menetap di negara ini sejak 35 tahun lalu dengan hanya menggunakan kad pengenalan rakan yang diimbas,” kata seorang pengawal keselamatan dikenali sebagai Subramaniam, 59, yang ditahan dalam Op Kutip dijalankan Jabatan Imigresen Selangor di sekitar Klang dan Shah Alam, semalam.

IC Palsu!
Subramaniam ditahan kerana guna kad 
pengenalan imbas milik rakan (gambar kecil).

Lelaki warga emas terbabit ditahan ketika bertugas di sebuah kondominium di Taman Bayu Perdana, dekat Klang, mendakwa berasal dari Singapura dan berkahwin dengan warga tempatan hingga mendapat dua anak serta empat cucu di negara ini.

“Saya baru bekerja di syarikat keselamatan berkenaan dan ketika memohon pekerjaan, mereka langsung tidak meminta sebarang dokumen pengenalan daripada saya.

“Sepanjang berada di negara ini, saya hanya bersedia dengan kad pengenalan yang diimbas milik rakan kalau-kalau ada pemeriksaan pihak berkuasa,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Jabatan Imigresen Selangor di sini, semalam.

Subramaniam turut mendakwa dia keluar dan masuk negara ini tanpa sebarang masalah sejak 1979 walaupun tiada dokumen perjalanan dengan menaiki pengangkutan awam.

“Saya lebih selesa tinggal di negara ini berbanding Singapura kerana keluarga saya semuanya di sini dan saya sudah tiada saudara-mara di sana.

“Saya pernah cuba memohon status penduduk tetap negara ini, namun akibat ketiadaan dokumen pengenalan diri serta tidak mendaftar perkahwinan, usaha itu tidak dapat dilakukan,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Penolong Pengarah Operasi Jabatan Imigresen Selangor Othman Montil berkata, operasi bermula jam 10.30 pagi itu dianggotai 12 anggota dan pegawai.

“Op selama lima jam itu bertempat di Taman Bayu Perdana dan juga sebuah pusat beli-belah dekat Klang serta dua premis mencuci kereta di Seksyen 7, dekat sini.

“Kami menahan 15 warga asing yang turut membabitkan empat wanita kerana melakukan pelbagai kesalahan seperti tiada pasport serta melanggar syarat permit pekerjaan dan mereka yang ditahan akan dibawa ke Depoh Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sumber: Harian Metro

Saturday, July 27, 2013

Surat Ancaman Pengganas Sulu Tidak Benar!

Surat Ancaman Pengganas Sulu Tidak Benar!

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib semalam mengulangi penegasannya bahawa surat yang mendakwa ada gelombang kedua pencerobohan pengganas Sulu ke Sabah bulan depan adalah tidak benar.


Sehubungan itu beliau meminta rakyat di Sabah agar tidak bimbang kerana pada masa yang sama pasukan keselamatan tetap mempertingkatkan kawalan.

"Elakkan menyebarkan khabar angin hingga boleh menakutkan penduduk negeri ini," katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat Ibu Pejabat Polis Daerah Sandakan.

Beliau berkata polis masih menyiasat mengenai surat itu yang dikatakan dihantar oleh pengganas dari selatan Filipina.

Surat bertarikh 3 Julai itu yang ditandatangani oleh ‘Komando Militan’ bagi pihak Kesultanan Sulu dan keluarga Kiram telah dihantar kepada pegawai daerah Tambunan, pegawai polis dan masyarakat Tambunan, memberi amaran mereka mahu memulakan perang di daerah itu pada Ogos ini sebagai membalas dendam terhadap pertempuran di Kampung Tanduo, Lahad Datu, Mac lepas.

Dalam pada itu Hamza turut meminta orang ramai, khususnya pemimpin masyarakat agar menyalurkan sebarang maklumat mengenai kegiatan yang dipercayai ada kaitan dengan pengganas kepada pihak keselamatan. -Bernama

Friday, July 26, 2013

Gempar Buaya Tembaga Gergasi Terdampar Ditepi Sungai

Gempar Buaya Tembaga Gergasi Terdampar Ditepi Sungai

Penduduk sekitar Bukit Belimbing dekat sini gempar selepas dua nelayan menemui bangkai buaya besar yang tersangkut di tepi sungai ketika mahu memancing udang di Jeti Jalan Tok Empat Masjid, Kampung Bukit Belimbing kira-kira lewat malam kelmarin.

Dua nelayan terkejut menemui bangkai buaya yang 
tersangkut di tepi sungai ketika mahu memancing udang.

Nelayan, Zaidi Jaafar, 23, berkata, dia tidak menyangka suluhan lampu rakannya ketika menyusuri Sungai Selangor untuk memancing udang tertumpu pada objek besar yang disangka kayu yang tersangkut pada dahan kayu di tebing sungai.

“Kami mula menjarakkan sampan dan meneliti dari jauh. Namun, beberapa minit kemudian kami memberanikan diri untuk melihat lebih dekat kerana buaya itu tidak bergerak. Saya cuba menguis menggunakan pendayung dan dapati buaya itu sudah tidak bergerak.

“Selepas sah buaya itu sudah mati, kami terus mendekati untuk melihat keadaan fizikal buaya itu yang mungkin cedera di mana-mana yang mengakibatkan kematian, namun hanya didapati gigi dan kuku sudah tiada,” katanya ketika ditemui petang semalam.

Rakannya, Rosnizam Moktar, 30, berkata, penemuan itu menjadi satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan seumur hidupnya sepanjang tempoh 10 tahun menjadi nelayan sungai di kawasan itu kerana berdepan dengan buaya jenis muara tembaga yang cukup besar.

“Namun ramai rakan lain pernah cakap mereka pernah terserempak dengan buaya jenis itu dengan saiz lebih besar namun reptilia itu tidak pernah mengganggu atau mengganas terhadap nelayan yang mencari makan di sepanjang Sungai Selangor yang kaya dengan udang dan pelbagai jenis ikan.

“Saya pun pernah terserempak dengan buaya ketika memancing di kawasan sungai ini tapi tidak pernah haiwan itu mengganggu nelayan atau kaki pancing yang sering mengunjungi Sungai Selangor untuk memancing udang yang terkenal dengan saiz yang agak besar,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Perhilitan Selangor Rahim Ahmad menjelaskan, pihaknya segera ke lokasi kejadian sebaik dimaklumkan dengan penemuan itu dan mengangkut bangkai buaya terbabit ke Pusat Konservasi Hidupan Liar Sungai Dusun untuk bedah siasat.

“Kita tidak boleh memberi sebarang komen buat masa ini berhubung punca kematian, usia, jenis jantina dan saiz sebenar kerana menunggu keputusan bedah siasat nanti dan penemuan ini adalah yang pertama dilaporkan kepada Perhilitan di negeri ini,” katanya.

“Sebelum ini kita tidak pernah menerima laporan penemuan buaya dengan saiz yang agak besar bagaimanapun sehingga kini kita juga tidak pernah menerima aduan berhubung keganasan buaya di sepanjang sungai ini yang mengakibatkan kematian,” katanya.

-Hmetro

Saturday, July 20, 2013

Keputusan Majlis FATWA Haram Menghisap Shisha

Keputusan Majlis FATWA Haram Menghisap Shisha

Muzakarah khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam memutuskan shisha adalah haram bagi umat Islam.


Selain menghisap shisha, muzakarah yang bersidang pada Rabu lepas, turut melarang umat Islam daripada menyediakan perkhidmatan menghisap shisha atau apa-apa aktiviti berkaitan shisha.

Ini diumumkan Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Prof Emeritus Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin dalam kenyataan hari ini.

“Setelah mendengar pembentangan dan penjelasan pakar daripada Kementerian Kesihatan dan meneliti maklumat serta bukti perubatan dan saintifik terperinci yang dikemukakan dari dalam dan luar negara mengenai kesan dan kemudaratan besar yang dihadapi akibat shisha…maka muzakarah bersetuju memutuskan shisha adalah haram,” katanya.

Abdul Shukor menjelaskan penggunaan shisha akan memberi kesan dan kemudaratan besar dari segi kesihatan ummah, pembangunan ekonomi negara serta pembentukan generasi akan datang.

Muzakarah khas itu, katanya, mendapati semua dapatan saintifik menerusi pelbagai kajian komprehensif yang dilakukan di negara ini mahupun di peringkat antarabangsa berjaya membuktikan shisha memberi kesan amat berbahaya dan penularannya amat membimbangkan, khususnya dalam kalangan remaja dan wanita.

“Dalam hal ini, muzakarah menasihatkan seluruh umat Islam supaya tidak terlibat dengan apa-apa aktiviti berkaitan shisha kerana pengharamannya adalah berdasarkan nas-nas syarak daripada Al-Quran dan hadis serta kaedah Fiqhiyyah,” kata Abdul Shukor.

Ini, katanya, bagi memastikan lima perkara asas bagi manusia yang terkandung dalam Maqasid Syari’yyah iaitu menjaga agama, jiwa, akal, keturunan dan harta dapat dipelihara seperti mana tuntutan syarak.

“Shisha jelas memudaratkan kesihatan, membazir dan mensia-siakan masa dan harta serta dikategorikan sebagai perkara buruk atau keji yang perlu dihindari oleh semua umat Islam,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Abdul Shukor berkata muzakarah khas itu juga kecewa terhadap perlakuan pihak-pihak yang sengaja menimbulkan isu bagi mencetuskan kemarahan umat Islam, sekali gus menggugat keharmonian hidup masyarakat berbilang agama dan bangsa di Malaysia.

“Muzakarah khas berpandangan siri-siri penghinaan yang dilakukan golongan tidak bertanggungjawab ini semacam sudah dirancang dan sengaja dilakukan lebih-lebih lagi di bulan Ramadan yang amat mulia bagi umat Islam,” katanya.

Menurutnya, perbuatan yang dilakukan golongan itu telah melampaui batas kesabaran umat Islam.

“Dengan pelbagai penghinaan yang dilakukan sebelum ini, kita tidak mahu lagi kata-kata atau perlakuan biadap dan tidak bertamadun oleh rakyat Malaysia atau mana-mana warga asing dipandang sebelah mata tanpa diambil tindakan tegas dan hukuman maksimum mengikut undang-undang sedia ada,” katanya.

Abdul Shukor menekankan tindakan tegas dengan kadar segera perlu dilaksanakan pihak berkuasa supaya perbuatan menghina Islam tidak terus berulang selain menjadi pengajaran buat semua.

Beliau menarik perhatian perbuatan menghina dan mengeluarkan kenyataan yang mencetuskan kemarahan umat Islam dan kemudian memohon maaf sudah menjadi mainan pihak-pihak berkaitan, dan ini tidak harus dibiarkan berlaku.

Justeru, Abdul Shukor berkata muzakarah khas itu menggesa umat Islam supaya bersatu dalam menghadapi niat jahat pihak-pihak yang biadap itu demi mempertahankan kesucian agama dan maruah umat Islam di negara ini. –Bernama

Semua Agama Sewajarnya Dihormati

Semua Agama Sewajarnya Dihormati

Rakyat Malaysia pelbagai kaum dan etnik harus saling menghormati agama serta adat resam masing-masing bagi mengelak berlakunya ketegangan dalam masyarakat.


Apabila sesuatu kaum itu sengaja menghina atau mempermainkan kesucian dan kemuliaan agama tertentu sudah tentu akan menimbulkan kemarahan pihak berkenaan dan boleh berlakunya perbalahan kaum.

Apabila kemuliaan Islam dihina dan dipermainkan oleh bukan Islam sedangkan Islam merupakan agama rasmi negara, sudah tentu akan membangkitkan kemarahan umat Islam din negara ini.

Semua pihak terutama generasi muda seharusnya berpegang kepada prinsip perlembagaan negera untuk menghormati agama dan budaya masing-masing.

Islam merupakan agama rasmi negara yang dianuti oleh majoriti rakyat negara ini yang tidak boleh dipertikaikan oleh mana-mana pihak.

Sejarah sudah membuktikan bahawa Islam merupakan agama rasmi negara ini dan kesuciannya tetap akan dipertahankan oleh penganutnya walaupun apa yang bakal terjadi.

Kegagalan pihak berkuasa untuk segera bertindak menangani sebarang kes yang membabitkan pelanggaran terhadap kesucian terhadap agama Islam akan mendapat tindak balas daripada umat Islam.

Penghinaan dan pencercaan yang dilakukan oleh pasangan Alvin Tan dan Vivian Lee yang sebelum ini mendapat kecaman seluruh masyarakat Malaysia terutama orang Islam yang mempersendakan bulan Ramadhan dengan sup tulang babi ternyata diluar batas manusia normal dan sewajarnya dikenakan tindakan berat.

Perlakuan Alvin dan Vivian satu contoh perbuatan yang amat jijik dan seharusnya dijadikan iktibar oleh generasi muda supaya tahu menghormati agama lain sejajar dengan semangat kenegaraan.

Seluruh umat Islam di negara ini telah terluka dengan perbuatan jahat pasangan tersebut dan hanya hukuman paling berat yang patut dikenakan keatas mereka. –BERNAMA