Friday, April 07, 2017

2 Cara Mudah Membezakan Bisnes MLM Sebenar vs Skim Cepat Kaya

2 Cara Mudah Membezakan Bisnes MLM Sebenar vs Skim Cepat Kaya

Masih ramai rakyat Malaysia yang memandang serong kepada Bisnes MLM disebabkan banyak kes-kes penipuan yang membabitkan bisnes MLM.

MLM

Cuma anda perlu tahu bahawa tidak semua Bisnes MLM itu adalah Skim Cepat Kaya.

Skim Cepat Kaya Bertopengkan MLM

Disebabkan terlalu banyak kes penipuan yang membabitkan MLM, rakyat Malaysia sehingga hari ini masih keliru untuk membezakan di antara Skim Cepat Kaya dan Bisnes MLM Sebenar.

Puncanya adalah di sebabkan Skim Cepat Kaya yang tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan, sekaligus menyebabkan nama bisnes MLM menjadi sedikit tercalar.

Aktiviti Skim Cepat Kaya biasanya tidak terhad kepada satu-satu platform bisnes seperti produk kesihatan dan sewaktu dengannya.

Malah, ia mungkin bertopeng di sebalik platform bisnes lain seperti pelaburan, perniagaan dan boleh juga mengikuti trend bisnes semasa.

Bahkan, ada juga yang berselindung di sebalik pertanian dan penternakan, contohnya penternakan ikan keli, kelisa dan sebagainya.

Sebenarnya, Bisnes MLM di jadikan tempat untuk berselindung oleh Skim Cepat Kaya.

Kalaulah ada bisnes MLM (Skim Cepat Kaya) yang menjanjikan Pakej Umrah, Haji, ramai orang kita yang begitu cepat terpedaya kerana ramai beranggapan bahawa bisnes itu bagus kerana nampak islamik.

2 Asas Penting Untuk Menilai Bisnes MLM

Bagaimana hendak membezakan Bisnes MLM tulen ataupun Skim Cepat Kaya?

Ada 2 cara yang kita boleh gunakan untuk membezakan di antaranya.

Penilaian #1: Adalah Melalui Produk

Dalam sesebuah perniagaan, produk adalah paling utama, “Tiada produk maka tiadalah jualan, tiada jualan maka tiadalah perniagaan.”

Andaikata perniagaan itu tidak mementingkan produk dan produk tersebut tidak diminati atau tak ada siapa nak beli kalau bukan di sebabkan nak join “SKIM“, anda perlu BERHATI-HATI.

Bisnes MLM seperti ini biasanya hanya menggunakan produk sebagai alat dan topeng untuk membuatkan perniagaan mereka sah di sisi undang-undang.

Pendek kata, produk mereka itu tak laku kalau di jual di pasaran kerana mungkin disebabkan harganya yang terlalu mahal atau produk itu tiada nilai dan tidak berkualiti.

Penilaian #2: Bagaimana Cara Ia Menjana Pendapatan

Dalam Bisnes MLM yang asli, pendapatan bisnes MLM itu sepatutnya hanya melalui dengan cara menjual produk. Tidak kira jualan itu melalui jualan persendirian atau pun jualan berkumpulan.

Pada kebiasaannya juga, MLM penipu hanya mendakwa ADA BISNES atau kononnya BISNES ini dan BISNES itu, selalu juga disebut BAKAL BUAT BISNES! Dan bila kita minta bukti perniagaan yang mana satu, terlalu banyak alasan dan putar-belit diberikan. Sila jauhi MLM ini!

Bisnes MLM sebenar juga tidak akan mendapat apa-apa komisyen di atas penajaan (down line).

Andaikata pendapatan dalam bisnes MLM itu berdasarkan berapa banyak orang yang join di bawah kita, maka anda WAJIB BERHATI-HATI kerana ia berkemungkinan besar adalah Skim Cepat Kaya yang bertopengkan Bisnes MLM

Jika bisnes MLM itu setiap saat memikirkan cara bagaimana untuk mencari orang baru, kita perlu ada sedikit rasa sangsi.

Tapi, kadang-kadang syarikat MLM itu sendiri sebenarnya tidak menjalankan perniagaan Skim Cepat Kaya, cuma segelintir ejen kepada produk itu yang membuatkan bisnes itu nampak seakan-akan Skim Cepat Kaya.

Jadilah Usahawan Sebenar

Secara ringkas, selidik dan kaji betul-betul perniagaan atau pun skim yang anda nak join. Berhati-hati dengan janji manis yang menjanjikan rumah besar, kereta besar, wang besar dan sebagainya.

Bak kata pepatah, “Bukan senang nak senang & bukan susah nak susah.”

Kalau nak buat bisnes MLM, buatlah dengan setulus hati, ikhlas, beretika dan berakhlak sebagai seorang muslim sejati.

Mulakan dari kecil-kecilan pun tak apa asalkan ianya berkat. Dengan kecil-kecilan itulah ia akan menjadi besar kalau kita buat dengan betul dan istiqomah. InsyaAllah.

Renung-renungkan dan semoga bermanfaat.

BACA INI JUGA: Wang Yang Dibekukan Dalam Skim Haram Tidak Akan Di Pulangkan - Bank Negara

sumber: nadiamusa

Wednesday, February 08, 2017

Zenith Gold 'Pelaburan' Skim Cepat Kaya

Zenith Gold 'Pelaburan' Skim Cepat Kaya

Modus operandi yang digunakan oleh penganjur skim cepat kaya biasanya hampir sama sahaja dengan para ‘pelabur’ akan diberi masa dan 'peluang' untuk merasa keuntungan terlebih dahulu sebelum akhirnya gagal dibayar kemudian (skim ponzi).

Zenith Gold

Bak kata Mentor Kewangan, Azizi Ali, “Mengapa nak tambah kerja dan risiko melabur dalam skim-skim yang pelik-pelik ini? Terdapat ratusan pelaburan yang betul di Malaysia."

ASB, ASN, AHB, Tabung Haji, beratus unit amanah, beratus saham di Bursa Malaysia, ratusan ribu hartanah dan emas fizikal yang valid, mengapa tak melabur dalam pelaburan yang confirm sah dan valid ini?

Dan 'pelaburan' terbaharu yang sedang hangat sekarang ini iaitu Zenithgold sebenarnya adalah skim bohong, penipu dan tengah aktif mencari mangsa dimana-mana.

Kenapa kita anggap 'peleburan' Zenith Gold ini sebenarnya adalah scam, pelaburan skim cepat kaya dan akan menghilang tidak lama lagi?

1. Zenith Gold dakwa mereka tidak pernah menjamin keuntungan dan modal, jadi mereka bukan riba

Kita nak tanya balik, kalau Zenith Gold tak jamin keuntungan dan modal, kenapa mereka janjikan keuntungan berkali ganda?

Dan akad jual beli apa yang mereka gunakan? Adakah akad musyarakah dan mudarabah?

Yang pasti, tidak ada akad, dan kontrak antara Zenith Gold dan peserta adalah batil kerana tidak ada akad. Akad batil juga haram di sisi Syariah.

2. Selepas ahli masuk Zenith Gold mereka tidak lagi boleh keluarkan duit mereka sehingga cukup tempoh matang

Ini akad jenis apa? Dalam mana-mana pelaburan, anda boleh keluarkan semula duit masing-masing sebelum tempoh matang, sama ada dengan menjual share pada harga hari tersebut ataupun withdraw deposit.

3. Zenith Gold adalah pelaburan gharar kerana tidak berdaftar di mana-mana negara di dunia

Zenith Gold cuma ada laman web yang diuruskan oleh ORANG MALAYSIA yang mendakwa mereka berpangkalan di UK.

Buktinya sampai sekarang geng-geng Zenith Gold tidak pernah mengeluarkan penyata kewangan tahunan pelaburan mereka dalam web palsu zenithgolds.com tu.

Mana-mana syarikat yang menjalankan pelaburan yang sah, akan mengemukakan pelaburan tahunan dan oleh kerana pelaburan Zenith Gold tidak jelas, maka ia termasuk dalam hukum gharar fahisy yang haram.

4. Dakwaan Zenith Gold mereka berdaftar di UK adalah palsu

Syarikat Zenith Gold limited di UK tidak ada kena mengena langsung dengan Zenith Gold yang buat 'pelaburan emas' di Malaysia.

Zenith Gold UK adalah syarikat sewaan bangunan dan hartanah dan tidak ada anak syarikat atau cabang bisnes lain.

Saya sendiri sudah meneliti dan memiliki laporan kewngan tahunan zenithgold di UK itu yang mana anda pun boleh beli dengan harga USD10 sahaja.

Bukti yang paling ketara ialah dalam website zenithgolds.com anda tidak akan jumpai satu pun nombor pendaftaran ditulis dalam laman web.

5. Dakwaan laman web sekuriti tinggi SSL dan tidak ada kena mengena dengan pelaburan dan syarikat yang tidak wujud

Sesiapa sahaja boleh buat laman web begitu dan cuma beli dengan mana-mana provider tanpa perlu ada daftar di mana-mana negara.

Logo-logo syarikat emas dalam website Zenith Gold itu sesiapa sahaja boleh dakwa dan jangan percaya kepada website yang berselindung tanpa syarikat berdaftar.

6. Zenith Gold dakwa mereka melabur dalam BURSA SAHAM DUNIA

Ini sudah cukup bukti bohong. Mana ada Bursa Saham Dunia. Jika Zenith Gold melabur dalam emas, sama ada harga mereka perlu ikut turun naik emas, atau mereka akan labur dalam mana-mana syarikat emas.

Tapi Zenith Gold bukan labur dalam emas, juga bukan dalam syarikat emas.

Harga emas adakalanya melambung naik dan menjunam turun, tapi Zenith Gold masih offer keuntungan harian pada waktu harga sedang turun!

7. Emas jongkong yang anda lihat itu emas yang dibuat di Malaysia saja

Anda juga kena berhati-hati sebab Zenith Gold tidak berdaftar di mana-mana dengan kata lain emas Zenith Gold tidak dapat dipastikan ketulenannya kecuali di buka Cert dan di uji di kedai-kedai emas.

Walaupun ada yang tulen, tapi oleh kerana Zenith Gold tidak berdaftar di mana-mana, maka boleh jadi saja dicampurkan.

8. Tidak berdaftar di Malaysia, bererti Zenith Gold TIDAK BOLEH kutip duit rakyat Malaysia

Risiko WANG YANG DIKUTIP akan diseleweng kerana tidak berdaftar di Malaysia dan tidak ada sesiapa yang memantau.

'Pelabur' yang tidak pernah kenal pelaburan emas cuma melihat nombor dalam website dan berharap dapat untung dalam 400 hari.

Sedangkan keuntungan itu cuma diambil daripada pandaftaran insan-insan bodoh jahil yang baru join.

9. Pulangan Zenith Gold yang dijanjikan adalah lebih kurang 75 kali ganda (atau lebih) dalam tempoh 400 hari!

Ingat, pelabur-pelabur world class seperti Warren Buffett dan George Soros pun ‘hanya' memberi pulangan 20-34% setahun!

Adakah masuk akal syarikat yang tidak pernah dikenali mampu memberikan pulangan yang sebegitu tinggi?

Kalau betul pula, sudah tentu semua media di dunia termasuk CNN, Fortune dan Forbes akan memberi liputan yang menyeluruh kepada Zenith Gold. Kenapa tak ada?

Takkanlah media dunia (yang tahu semua pelaburan lain) begitu buta dan tidak pernah mendengar pulangan yang sebegitu hebat? Fikir.

Sekali lagi pesan saya kepada rakyat Malaysia, jangan terdesak sangat 'melebur' duit anda melalui Zenith Gold.

BACA INI JUGA: Apa Itu Money Game, Skim Ponzi Dan Skim Cepat Kaya?

Sumber: amirmarzhuki

Monday, January 23, 2017

Apa Itu Money Game, Skim Ponzi Dan Skim Cepat Kaya?

Apa Itu Money Game, Skim Ponzi Dan Skim Cepat Kaya?

Money game, skim ponzi atau skim cepat kaya adalah kegiatan mengumpul dan menggandakan wang dalam bentuk pemberian bonus atau komisen.

Money Game

Bonus atau komisen itu datang dari penambahan atau pengrekrutan anggota, ahli baharu dan bukanlah dari penjualan produk atau servis.

Walaupun ada penjualan produk pada skim-skim money game tertentu, hal ini hanyalah sebagai helah manakala pendapatan utama ahli pada hakikatnya adalah dari kutipan yuran atau lesen ahli baharu.

Money game juga sering dikenali sebagai skim cepat kaya, skim piramid atau skim ganda wang.

Antara contoh dan ciri-ciri utama skim cepat kaya adalah:

1. Untuk menyertai, kita harus membayar yuran atau lesen yang agak mahal (lesen perniagaan adalah berbeza kerana dibayar kepada pihak ketiga seperti pihak berkuasa tempatan, kerajaan atau badan pengelola dan lesen ini juga murah dan tidak membebankan).

2. Setelah menyertai, kita ada hak untuk menjual sesuatu (mungkin berupa produk dagangan atau servis, tapi itu hanyalah helah).

3. Setelah menyertai, kita telah mendapat hak untuk merekrut orang yang akan bertindak sama seperti kita (mencari orang lain untuk direkrut dan begitulah seterusnya).

4. Pulangan dibayar kerana kita merekrut ramai orang, bukan kerana jualan produk atau servis kepada bukan ahli.

Penganjur money-game ini sentiasa kreatif dan cuba sedaya-upaya untuk menggambarkan money-game ini sebagai satu skim yang tidak menyalahi undang-undang, halal dan sebagai satu peluang keemasan yang tak patut dilepaskan begitu saja.

Format money-game

Money Game

Antara format dan ciri-ciri money-game yang biasa dianjurkan adalah “Anda beri duit untuk keahlian atau lesen, kemudian anda pulak suruh peserta-peserta lain memasukkan duit seperti anda (anda sebagai upline atau sponsor).

Anda pula akan suruh mereka ulang proses ini sampai level maksimum.

Anda dijamin duit akan dapat semula setelah peserta join bawah anda dan setelah itu anda akan kaya raya seperti upline anda.

Hindari Money-Game

Bagaimana untuk mengelakkan daripada terjebak dengan money game?

Bersikap kritikal dan waspada terhadap semua tawaran perniagaan atau pelaburan yang menjanjikan keuntungan-keuntungan tidak masuk akal.

Bukan senang nak kaya. Kalau ada orang kata, “nak kaya senang saja, labur saja duit pada skim saya nanti duit anda akan berganda” – lari jauh-jauh daripada orang seperti ini.

Fahami ciri-ciri money-game seperti tersenarai di atas untuk mengelakkan daripada terkeliru dengan helah dan kreativiti penganjur skim yang sentiasa mencari idea baharu.

Untuk memudahkan anda menapis dan menepis skim-skim ini, cuba tanya soalan-soalan ini sebelum terjebak:

1. Adakah produk (atau servis) sebenar yang dijual kepada orang ramai? Adakah produk ini sudah dikenali ramai, benar-benar berbaloi atau sekadar helah?

2. Adakah sumber pulangan yang diterima datang dari jualan barang (atau servis) atau pun sebenarnya daripada keahlian baharu?

3. Adakah pelaburan ini mempunyai sijil patuh syariah (iaitu sudah ada panel penasihat syariah rasmi bertauliah dan mengikut garis panduan JAKIM dan sudah mengeluarkan pernyataan rasmi patuh syariah)?

Perniagaan yang patuh syariah bermaksud sudah dipantau daripada terlibat dengan riba dan penipuan. Jadi perniagaan ini boleh disertai tanpa ragu-ragu.

4. Jika aktiviti merekrut dihentikan hari ini, adakah akan berlaku kesukaran untuk membayar pulangan kepada ahli seperti yang dijanjikan?

Antara skim-skim di Malaysia yang mempunyai unsur money game atau ponzi adalah;
  • DanaNiaga2u
  • OG1Asean
  • Krubal
  • Affiliate Junction
  • MGSB (iComey)
  • Phytoscience
  • MamaCaptain (MMC)
  • MFace
  • GMJ4U
  • Bookcoins
  • THWGlobal
  • T1Fx
  • Coince
  • i-Tijari
  • Bio Niaga Abu Nur
  • ABN Network (AviaBitCoin)
  • ARBA Network
  • FXUnited
  • VenusFX
  • Mymi1
  • Pok Din Empire
  • BitClub Network
  • Bitkingdom
  • Mon Space
  • Zenith Gold
  • YSLM
  • Highway Group
  • Wadiah Trading
  • GWGFX
  • Geneva Gold

Banyak lagi skim money game terbaru mahupun yang sudah lingkup dan tidak tersenarai di sini kerana mudah bercambah dengan kemajuan teknologi internet masa kini.

Ingat, sudah menyertai mana-mana money game tidak bermaksud ianya bukan money game tapi kerana anda sudah terlanjur menyertainya. Masih belum terlambat untuk berundur jika anda sudah terlanjur.

Elakkan dari terjerat.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Ketahui Manipulasi Popular Bisnes MLM Dan Skim Cepat Kaya Elak Tertipu

Sumber: peraduan