Thursday, September 27, 2018

MH370: Media Dedah Mesej 'Rahsia' Kapten Zaharie Kepada Model Kembar!

MH370: Media Dedah Mesej 'Rahsia' Kapten Zaharie Kepada Model Kembar!

Rantaian mesej di media sosial daripada juruterbang penerbangan MH370 yang hilang secara tidak langsung mendedahkan personalitinya sebagai seorang lelaki yang 'obses' dengan profil sepasang model kembar.

MH370: Media Dedah Mesej 'Rahsia' Kapten Zaharie Kepada Model Kembar!

Kapten Zaharie Ahmad Shah adalah juruterbang dalam pesawat yang membawa 238 penumpang dan anak kapal yang hilang pada Mac 2014.

Namun pendedahan menerusi media sosial itu hanya dilaporkan Daily Mail pada Ahad (23/9/2018), sekali gus memberikan gambaran tentang dakwaan status mental yang 'merosakkan dirinya' seperti yang pernah dinyatakan oleh seorang ahli psikologi terhadap juruterbang itu.

Dalam tempoh 12 bulan sebelum pesawat Boeing 777 hilang, Zaharie dilaporkan telah 'meninjau' halaman Facebook pasangan model kembar Malaysia itu dan meninggalkan komen bersifat seksual.

Lan Qi Hui dan Qi Min Lan, 26, di mana usia mereka 27 tahun lebih muda berbanding Zaharie.

Sepanjang 2013, kapten berusia 53 tahun itu dilaporkan telah meninggalkan 97 komen berasingan di Facebook untuk Qi Min Lan. Sebilangan besar mesejnya bagaimanapun diabaikan.

Zaharie meminta pasangan kembar itu datang ke Kuala Lumpur, lokasi di mana dia tinggal bersama isterinya.

"Bila di KL," dia menulis satu lagi komen.

"Bagaimana dengan KL?," tetapi tidak mendapat balasan.

MH370: Media Dedah Mesej 'Rahsia' Kapten Zaharie Kepada Model Kembar!

Dalam satu lagi posting, di mana Qi Min Lan menyiarkan gambar dirinya memakai baju mandi, dia menulis, "Baru mandi?"

Zaharie digambarkan sebagai seorang lelaki yang baik dan riang oleh rakan-rakannya, tetapi media sosialnya menunjukkan sisi lain juruterbang itu, lapor Daily Telegraph.

Di samping mesej kepada gadis-gadis, Zaharie sering mengkritik kerajaan Malaysia yang kebetulan memiliki syarikat penerbangan tempat dia bekerja.

Di laman Facebooknya sendiri, Zaharie pernah melabel perdana menteri ketika itu Datuk Seri Najib Razak sebagai 'moron'.

Pada April 2013, menjelang pilihan raya Malaysia, Zaharie membuat 119 kali posting, kesemuanya mencerminkan kebenciannya terhadap kerajaan Najib.

Bulan berikutnya, selepas parti Najib diberi mandat lima tahun lagi, Zaharie menulis, "Perasaan memberontak sentiasa ada dalam diri kita. Biarkan ia keluar!"

Pakar penerbangan yang juga ketua pengarang airlineratings.com Geoffrey Thomas berkata, adalah sesuatu yang membimbangkan apabila seorang juruterbang kanan membuat komen politik.

"Sepatutnya ia menjadi penggera yang serius bagi syarikat penerbangan itu apabila anda mempunyai seseorang yang terbang dan terang-terangan anti-kerajaan," kata Thomas.

"Sekiranya seorang juruterbang Qantas melakukan sesuatu seperti itu dia akan beri penjelasan dan digantung."

MH370: Media Dedah Mesej 'Rahsia' Kapten Zaharie Kepada Model Kembar!

Sehingga kini, bangkai penerbangan MH370 masih tidak ditemui, menyebabkan banyak teori konspirasi muncul.

Salah satu teori popular timbul hanya beberapa minggu selepas pesawat hilang, yang mana Zaharie dikatakan merancang dan melaksanakan pembunuhan beramai-ramai kerana masalah peribadi, bagaimanapun dakwaan itu ditepis oleh keluarga dan anak-anaknya.

Komunikasi terakhir dari pesawat itu adalah daripada Zaharie yang mengucapkan 'Good night, Malaysian370' ketika pesawat meninggalkan ruang udara Malaysia.

Turut dilaporkan Zaharie menggunakan simulator penerbangan di rumahnya untuk merancang laluan ke pulau terpencil.

Bagaimanapun, pegawai penyiasat di Kuala Lumpur mengisytiharkan bahawa polis Malaysia dan pakar teknikal FBI tidak menemui sebarang petunjuk untuk mencadangkan bahawa dia merancang untuk merampas penerbangan itu selepas memeriksa simulator penerbangannya.

Peminat penerbangan Australia, Michael Gilbert percaya pesawat malang itu terbakar semasa penerbangan, memaksa juruterbang untuk merancang lencongan jauh dari kawasan yang ramai penduduk.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: mstar

Wednesday, August 01, 2018

Malaysia Akui Kehilangan MH370 Campur Tangan Pihak Ketiga?!

Malaysia Akui Kehilangan MH370 Campur Tangan Pihak Ketiga?!

Pasukan Penyiasat tidak menolak kemungkinan campur tangan pihak ketiga (third party intervention) antara punca kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370 pada 8 Mac 2014.

Kehilangan MH370 Mungkin Ada Campur Tangan Pihak Ketiga!
Gambar hiasan.

Kata Ketua Pasukan Penyiasatan Keselamatan Lampiran 13 Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) Malaysia bagi MH370, Datuk Kok Soo Chon, Pasukan Penyiasat telah meneliti semua laporan dan dakwaan di semua platform berita dan juga media sosial.

"Apabila anda menyiasat MH370, ia merupakan antara kerja paling sukar di dunia.

"Apa yang kami telah buat ialah membaca semua jenis laporan, semua jenis dakwaan, berita dan gosip di media sosial, dan kami letak semuanya di atas meja.

"Dalam hampir 60 dakwaan dan gosip yang diterima dan diteliti, kami buang satu per satu dan tengok apa yang tinggal.

"Kini, tinggal hanya tujuh kemungkinan. Tetapi saya harus berhati-hati kerana saya tidak mahu menolak sebarang kemungkinan," katanya kepada media selepas selepas membentangkan laporan terakhir siasatan MH370 di Bangunan Kementerian Pengangkutan.

Laporan itu, antara lain, menyatakan penemuan sepanjang siasatan, termasuk aspek keadaan pesawat berkenaan, keadaan kru termasuk juruterbang sewaktu penerbangan, komunikasi dua hala antara pusat kawalan trafik udara Kuala Lumpur dan Ho Chi Minh, serta cadangan-cadangan untuk mengelakkan kejadian seumpama itu berulang.

Antara penemuan yang dinyatakan ialah, sewaktu pesawat Boeing B777-200ER itu melencong dari laluan asal, ia berada di bawah kawalan manual dan sengaja dihalakan menuju ke Lautan India.

"Kami telah menjalankan tujuh simulasi penerbangan, tiga di bawah kelajuan tinggi dan empat lagi di bawah kelajuan rendah dan kami mendapati lencongan berkenaan dibuat di bawah kawalan manual, bukan autopilot ," jelas Soo Chon.

Bagaimanapun, beliau enggan membuat kesimpulan yang kesihatan juruterbang pesawat, Kapten Zaharie Ahmad Shah ataupun pembantu juruterbang, Fariq Abdul Hamid, berada di tahap kurang baik, atau mempunyai tujuan berlainan sewaktu kapal terbang itu dilencongkan.

"Kami telah membuat pemeriksaan terhadap Zaharie, kami dapati beliau tidak mempunyai masalah dengan rakan-rakan atau keluarga, tiada sifat-sifat kemurungan, tiada penyalahgunaan alkohol atau dadah.

"Kami juga dapati tiada tekanan atau tanda kebimbangan dalam komunikasi antara beliau dengan pusat kawalan udara di Kuala Lumpur atau Ho Chi Minh.

"Kami dapati Kapten Zaharie seorang juruterbang yang kompeten, rekod penerbangan hampir sempurna, serta mempunyai kebolehan untuk menguruskan tekanan sewaktu bekerja," jelasnya.

Bagi Fariq juga, kata Soo Chon, tiada sebarang asas untuk beliau melencongkan pesawat berkenaan, tetapi dakwaan yang mengatakan terdapat isyarat dari telefon bimbit beliau sukar ditentukan memandangkan ianya terlalu lemah.

Tetapi katanya, kekurangan komunikasi radio antara MH370 dan pusat kawalan sebelum ia dilencongkan adalah berkemungkinan besar sistem komunikasi pesawat berkenaan telah ditutup secara manual, sama ada secara sengaja atau tidak sengaja.

Soo Chon berkata, pihak beliau juga dapati Pusat Kawalan Udara Ho Chi Minh gagal untuk memaklumkan Pusat Kawalan Udara Beijing apabila pesawat itu tidak melakukan sebarang komunikasi lanjut.

Jelasnya lagi, petugas di pusat kawalan berkenaan tidak menjalankan pelbagai fasa kecemasan yang sudah tergaris dalam panduan, sekali gus memberi impak yang besar kepada operasi mencari dan menyelamat.

Dalam pada itu, Soo Chon menegaskan laporan setebal 449 muka surat yang diedarkan kepada awam bukan bermakna siasatan sudah berakhir.

"Bagaimana kami boleh menganggapnya laporan terakhir, itu akan jadi tekaan tanpa asas kerana rangka MH370 tidak ditemui, mangsa juga tidak ditemui," katanya.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: astroawani

Tuesday, May 29, 2018

Pencarian MH370 Akhirnya Berakhir

Pencarian MH370 Akhirnya Berakhir

Syarikat penerokaan dasar laut dari Amerika Syarikat, Ocean Infinity, mengesahkan misi pencarian bangkai pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang telah berakhir.

Pencarian MH370 Akhirnya Berakhir

Ocean Infinity dalam satu kenyataan berkata, syarikat itu menjalankan pencarian dan mengumpul data berkualiti tinggi meliputi kawasan seluas lebih 112,000 kilometer persegi dan berjaya mengatasi keadaan dan kawasan dasar laut yang mencabar.

Keluasan kawasan yang diliputi dalam masa lebih tiga bulan operasi adalah jauh melebihi sasaran awal iaitu 25,000 km persegi dan hampir sama dengan kawasan pencarian sebelumnya dalam tempoh dua setengah tahun.

Ketua Pegawai Eksekutif Ocean Infinity, Oliver Plunkett, merakamkan rasa dukacita semua pihak di Ocean Infinity kepada keluarga yang kehilangan orang tersayang dalam MH370.

"Sebahagian daripada motivasi kami untuk menyambung semula pencarian ialah cuba merungkaikan beberapa jawapan kepada mereka yang terbabit.

"Oleh itu, kami dengan hati yang amat berat mengakhiri usaha pencarian tanpa mencapai matlamat itu," katanya.

Beliau berkata, Ocean Infinity berterima kasih kepada kerajaan Malaysia kerana memberi tawaran dan peluang kepada syarikat itu menyambung semula misi pencarian.

Komitmen yang dizahirkan oleh kerajaan baharu di Malaysia untuk memberi keutamaan kepada usaha menjejaki MH370 adalah sangat baik, kata Plunkett.

"Walaupun hasil misi pencarian itu setakat ini amat mengecewakan, tetapi sebagai sebuah syarikat, kami amat berbangga dengan apa yang telah kami capai dari segi kualiti data yang kami hasilkan dan kecepatan tempoh masa yang telah diliputi dalam misi pencarian merangkumi kawasan yang luas.

"Belum pernah misi pencarian dasar laut laut berskala ini dijalankan dengan begitu cekap dan berkesan sebelumnya," kata beliau.

Beliau juga berkata, Ocean Infinity dengan ikhlas berharap syarikat itu sekali lagi dapat menawarkan khidmatnya dalam pencarian MH370 pada masa akan datang.

Ocean Infinity juga mengucapkan terima kasih kepada pasukan di atas kapal Seabed Constructor yang berusaha dengan gigih tanpa penat dan juga kepada semua syarikat, organisasi dan individu yang memberi sokongan, bimbingan dan nasihat yang tidak ternilai.

Plunkett berkata, pihaknya turut berterima kasih kepada kakitangan di Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) yang dedikasi mereka usaha menjejaki pesawat itu tidak pernah pudar dan layak diberi pujian.

Pesawat MH370 yang membawa 227 penumpang dan 12 kru hilang dari imbasan radar ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac, 2014.

Pada Januari tahun 2018 ini, Malaysia menandatangani perjanjian dengan Ocean Infinity untuk menyambung semula pencarian pesawat malang itu.

Misi pencarian oleh Ocean Infinity di selatan Lautan Hindi adalah berdasarkan terma "no cure, no fee," yang bermakna bayaran hanya akan dibuat apabila serpihan pesawat yang hilang itu ditemui dan disahkan oleh pihak ketiga.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: bharian

Friday, March 09, 2018

Kronologi Pencarian Kehilangan Misteri MH370

Kronologi Pencarian Kehilangan Misteri MH370

Pesawat Boeing 777, MH370 hilang daripada paparan radar semasa dalam penerbangan ke Beijing dari Kuala Lumpur pada 8 Mac 2014 dengan membawa 239 penumpang dan anak kapal.

Carian MH370 ditamatkan

Kerajaan yang komited merungkai misteri kehilangan pesawat tersebut apabila bersetuju menggunakan khidmat Ocean Infinity, sebuah firma penerokaan dasar laut dari Amerika Syarikat untuk menjejaki pesawat itu pada 10 Januari 2018.

Pencarian tersebut adalah berdasarkan terma 'no cure no fee' iaitu pembayaran hanya dibuat apabila serpihan pesawat ditemui dalam tempoh masa 90 hari.

Misi pencarian membabitkan 65 kru atas kapal tersebut, termasuk dua anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sebagai wakil Kerajaan Malaysia dan kapal Seabed Constructor telah menjalankan pencarian merangkumi kawasan seluas lebih 16,000 kilometer persegi.

Usaha mencari pesawat MH370 telah tamat tanpa kemuktamadan yang membawa kepada "kerugian ekonomi dan bukan ekonomi, masalah emosi dan fizikal, kecemasan serta masalah mental dan penderitaan" bagi mangsa dan keluarga mereka.

Berikut adalah kronologi pencarian kehilangan pesawat paling misteri di dunia sejak 2014.

Tahun 2014

8 Mac - Operasi mencari dan menyelamat (SAR) pesawat itu dilancarkan di Laut China Selatan.

9 Mac - Kawasan pencarian diperluaskan ke Selat Melaka selepas disahkan pesawat itu telah berpatah balik.

- Beberapa negara termasuk Singapura, Vietnam, Indonesia, China dan Amerika Syarikat mengerahkan anggota dan aset masing-masing untuk membantu dalam operasi SAR.

15 Mac - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kali terakhir pesawat itu berkomunikasi dengan satelit berkemungkinan dari satu daripada dua koridor; koridor utara daripada sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan hingga ke utara Thailand atau koridor selatan, lebih kurang dari Indonesia ke selatan Lautan Hindi.

- 26 negara terlibat dalam operasi meliputi 2.24 juta batu nautika persegi.

24 Mac - Najib umum data dikeluarkan satelit Inmarsat Britain bahawa penerbangan itu berakhir di selatan Lautan Hindi. Australia mengetuai operasi mencari di kawasan itu.

1 April - Kerajaan Australia lancar Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) bagi menyelaras operasi pencarian MH370.

4 April - JACC berkata operasi mencari MH370 memasuki fasa baharu dengan pencarian dilakukan di dasar laut di selatan Lautan Hindi bagi mengesan ‘pinger’ kotak hitam.

31 Julai - JACC berkata kerja-kerja mengukur batimetrik oleh kapal Zhu Kezhen dan Fugro Equator di sepanjang arka ketujuh di selatan Lautan Hindi berjalan lancar.

21 Oktober - Kapal Malaysia yang diberi kontrak, Go Phoenix, menyertai operasi mencari bersama kapal Fugro Discovery dan Fugro Equator, kedua-dua kapal yang diberi kontrak oleh Malaysia dan Australia.

- Kapal Fugro Supporter ditambah untuk membantu operasi mencari.

Tahun 2015

29 Januari - Ketua Pengarah, Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Datuk Azharuddin Abdul Rahman secara rasmi mengisytiharkan MH370 adalah kemalangan ikut Standard Lampiran 12 dan 13 Konvensyen Chicago dan 239 penumpang serta anak kapal dianggap terkorban.

12 Februari - Malaysia berbincang dengan China untuk menambah kapal bagi menyertai operasi mencari MH370, ketika ini melibatkan empat kapal.

25 Februari - Operasi SAR MH370 di kawasan terpencil Lautan Hindi meliputi dasar laut lebih 24,000 kilometer persegi iaitu kira-kira 40 peratus daripada kawasan pencarian utama.

18 Jun - Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, Malaysia meneruskan fasa kedua misi pencarian MH370 dengan hanya dua kapal meredah kawasan terpencil di Lautan Hindi.

29 Julai - Seorang pekerja pembersih pantai di pulau La Reunion di Lautan Hindi, milik Perancis, menemui bahagian sayap sepanjang 2.7 meter dikenali sebagai ‘flaperon’ di mana pakar percaya ia milik sebuah pesawat jenis Boeing 777. MH370 merupakan satu-satunya pesawat jenis Boeing yang dilaporkan hilang di Lautan Hindi.

6 Ogos - Najib mengesahkan flaperon yang ditemukan di pulau La Reunion itu adalah pesawat MH370.

Tahun 2016

7 Mac - Serpihan kedua dipercayai kemungkinan milik pesawat MH370 ditemui di pulau La Reunion, dilaporkan agensi berita AFP.

20 April - Dua serpihan ditemukan di pantai di Mozambique hampir pasti daripada pesawat MH370, menurut Laporan Pemeriksaan Teknikal yang dikeluarkan Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB).

14 Mei - DCA hampir 90 peratus pasti kedua-dua serpihan yang ditemukan, masing-masing di Afrika Selatan dan Mauritius adalah daripada pesawat MH370.

22 Julai - Malaysia, China dan Australia memutuskan untuk menangguhkan operasi pencarian pesawat MH370 apabila pencarian di kawasan seluas 120,000 kilometer persegi selesai.

16 September - Dua daripada sejumlah 24 serpihan pesawat ditemui di Afrika Selatan, Mozambique, Mauritius dan Tanzania disahkan adalah daripada pesawat MH370 manakala empat lagi hampir pasti daripada pesawat yang hilang itu.

7 Oktober- Pakar ATSB memutuskan serpihan yang dijumpai di pulau Mauritius adalah daripada pesawat MH370.

20 Disember - ATSB berkata kawasan dasar laut di selatan Lautan Hindi yang dikenal pasti sebagai kawasan pencarian sebelum ini bukan merupakan tempat terletaknya bangkai pesawat MH370.

Tahun 2017

17 Januari - Operasi pencarian MH370 di dasar laut di Lautan Hindi digantung, demikian menurut kenyataan tiga pihak - Malaysia, Australia dan China.

Tahun 2018

6 Februari - Kapal pencarian pesawat MH370 Seabed Constructor, dilapor hilang daripada radar selama 80 jam tanpa penjelasan.

Misi pencarian pesawat MH370 dikatakan berakhir pada Jun 2018.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: MH653, Pesawat Malaysia Yang Pernah Dirampas!

sumber: sinarharian

Thursday, November 03, 2016

Jika Benar MH370 Menjunam, Mustahil Tiada Serpihan!

Jika Benar MH370 Menjunam, Mustahil Tiada Serpihan!

Laporan terbaru menyatakan bahawa MH370 dipercayai hilang kawalan ketika menjunam ke dalam laut dengan kepak sayapnya berada pada kedudukan tidak bersedia untuk mendarat.

MH370 Menjunam

Laporan oleh Biro Ke­selamatan Pengangkutan Australia (ATSB) itu mendapati, komunikasi satelit terakhir MH370 adalah konsisten dengan situasi pesawat tersebut menjunam semakin laju sebelum hilang.

Analisis kepak sayap kanannya yang ditemui di Tanzania mendapati, komponen itu berada dalam kedudukan tertutup ketika terpisah dari sayap, membayangkan MH370 tidak bersedia untuk melakukan pendaratan lalu terhempas ke dalam laut.

Laporan itu mengan­dungi maklumat penting baharu berkaitan apa yang dipercayai berlaku pada pengakhiran penerbangan MH370, kata Menteri Pe­ngangkutan Australia, Darren Chester.

Beliau berkata demikian pada permulaan mesyuarat tiga hari di Canberra yang menyaksikan pakar-pakar bertemu bagi merangka fasa terakhir pencarian pesawat malang itu.

Pesawat jenis Boeing 777 milik Penerbangan Malaysia itu hilang bersama 239 penumpang dan anak kapal ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac 2014.

Walaupun usaha mencari secara besar-besaran di dasar bawah laut dilakukan di luar perairan Australia Barat selama berbulan-bulan, tiada kesan pesawat itu ditemui sehingga kini.

Pasukan penyiasat bagaimanapun mengesahkan tiga serpihan yang ditemui di sepanjang perairan barat Lautan Hindi adalah serpihan milik pesawat MH370.

Usaha mencari telah merangkumi kawasan seluas lebih 110,000 kilometer persegi daripada keluasan 120,000 kilometer persegi yang diputuskan.

Manakala operasi mencari MH370 dijangka tamat awal tahun 2017 lapor Kosmo.

Jika MH370 Menjunam 20,000 Kaki Seminit Tentu Ada Serpihan

MH370 Menjunam

Seorang juruterbang ujian mempertikai laporan berita bahawa pesawat MH370 menjunam ke dalam laut pada kelajuan amat tinggi iaitu hingga 20,000 kaki seminit memandangkan tiada sebarang serpihan ditemukan pasukan mencari.

Juruterbang Ujian Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Prof Dr Mohd Harridon Mohamed Suffian berkata sekiranya pesawat itu menjunam ke dalam laut pada kelajuan itu, ia sudah tentu berkecai.

Katanya, perkara itu tidak mungkin berlaku kerana tiada sebarang kesan letupan ditemui semasa operasi mencari dan menyelamat dilakukan.

Beliau berkata teori itu tidak dapat diterima kerana tiada langsung serpihan besar atau fiuslaj dijumpai anggota dan pegawai pasukan mencari sejak operasi mencari MH370 dilancarkan.

"Pelik...kami sepatutnya menjumpai sekurang-kurangnya serpihan kecil atau besar atau malah sebahagian daripada fiuslajnya jika teori itu betul...tapi, tiada satu pun yang dijumpai...mungkin MH370 kehabisan bahan bakar, maka tidak berlaku letupan," katanya.

Beliau bagaimanapun tidak menolak teori pesawat itu menjunam pada kelajuan tinggi.

"Kami hanya boleh menerima data itu dan membuat penyelidikan serta andaian untuk memecahkan kebuntuan, selain mencari serpihannya. Itulah objektif utama kami," jelasnya.

Selain laporan terbaru diatas, Mei lalu saintis pertahanan Australia yang menganalisis isyarat daripada MH370 mendedahkan bahawa pesawat jenis Boeing 777 itu jatuh dengan amat laju sebelum terhempas ke dalam Lautan Hindi di luar pantai Australia Barat.

Hasil daripada analisis yang dibuat terhadap data dan simulasi pengeluar pesawat berkenaan menunjukkan MH370 mungkin kehilangan kuasa enjinnya sebelum jatuh pada kelajuan hingga 20,000 kaki seminit pada 8 Mac 2014.

Ditanya tentang kemungkinan pesawat itu terhempas pada kelajuan tinggi dikawasan mencarinya, bekas juruterbang Kapten (B) Abdul Rahmat Omar Tun Mohd Haniff berkata kapal dan pesawat yang terlibat dengan operasi mencari tidak menemui sebarang serpihan luar biasa.

"Alat Pemancar Lokasi Kecemasan (ELT), yang dicipta untuk berfungsi apabila berlaku sesuatu nahas, tidak menghantar sebarang mesej.

"ELT tentu akan hidup sekiranya MH370 menjunam dengan kelajuan 20,000 kaki seminit. Dalam kes ini, itu tidak berlaku.

"Sebab itulah saya masih berpegang pada teori bahawa ada seseorang yangmengawal pesawat itu untuk melayang dan mendarat dengan lancar, menanggalkan 'cowling' enjin, flaperon dan sebagainya.

"Sesebuah pesawat akan berkecaia pabila berada 6 kilometer di dalam air disebabkan aktiviti seismik dan arus lautan.

"Maka, ia sudah tentu akan berkecai. Mayat dan kerusi terapung di merata tempat. Tetapi, setakat ini, itu tidak berlaku," kata bekas pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) itu.

Sementara itu, pensyarah Kejuruteraan Aeroangkasa, Universiti Putra Malaysia(UPM) Prof Madya Dr Kamarul Arifin Ahmad berkata serpihan daripada pesawat itu tentu berselerak dan terapung sekiranya ia menjunam ke dalam laut pada kelajuan tinggi.

Kata beliau, memandangkan tiada serpihan besar ditemukan di kawasan mencari, maka para pegawai patut mencari penyelesaian lain atau alternatif untuk mengesan kotak hitam, yang akhirnya boleh merungkai misteri ini.

Sementara itu, Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) dalam laporan mingguannnya berkata kapal pencari, Fugro Discovery, akan beredar dari kawasan mencari untuk kali terakhir pada 11 Ogos dan singgah di Singapura untuk membuat persiapan bagi menjalankan projek seterusnya, yang tidak mempunyai kaitan dengan MH370.

ATSB berkata pelan pencarian menetapkan bahawa kawasan pencarian selebihnya akan diliputi dengan menggunakan kapal lain dan setakat ini, lebih 110,000 kilometer persegi kawasan dasar laut sudah diliputi.

Sehingga setakat ini, pesawat MH370 masih belum ditemui walaupun operasi mencari secara besar-besaran dilakukan di selatan Lautan Hindi.

Kawasan ini dipercayai mengakhiri penerbangannya setelah melencong daripada laluan asalnya lapor mStar.

BACA INI JUGA: MH370: Dr. Mahathir Dakwa CIA Rampas Pesawat!

Saturday, October 08, 2016

Misi Solo Blaine Gibson Rungkai Misteri MH370

Misi Solo Blaine Gibson Rungkai Misteri MH370

Lelaki itu mengenakan jaket kulit berona coklat gelap dan topi jenis fedora daripada warna sedondon. Riak wajahnya serius sekali.

Blaine Gibson

Dengan penampilan sedemikian, lagaknya saling tidak tumpah seperti karakter ahli arkeologi, Dr. Henry Walton Indiana Jones Jr. dalam siri fiksyen arahan Steven Speilberg, Indiana Jones.

Seperti Jones, lelaki berkenaan, Blaine Gibson, 58, punya misi tersendiri. Jika dalam filem tersebut, Jones mencari tabut perjanjian atau sejenis peti berisi batu yang bertulis 10 Rukun dipanggil Lost Ark of the Covenant, Gibson pula dalam usaha mencari petunjuk bagi merungkai misteri terbesar dalam sejarah penerbangan moden dunia.

Penyiasat amatur dari Seattle, Amerika Syarikat itu bergerak secara solo ke beberapa buah negara di timur Afrika untuk mengesan serpihan pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 yang hilang sejak 8 Mac 2014.

Gibson yang juga seorang peguam merupakan individu pertama yang ‘menaja diri’ menjalankan usaha mencari serpihan pesawat MH370 dan benar-benar menjumpainya.

Antara serpihan yang ditemui dan disahkan milik pesawat berkenaan adalah panel penstabil dengan cetakan stensil bertulis No Step yang dijumpai di Mozambique pada 27 Februari lalu.

Menurut Gibson, dia berasa sangat teruja dan tidak akan berputus asa untuk meneruskan pengembaraannya sehingga misteri kehilangan pesawat MH370 dapat diselesaikan.

Katanya, sebagai seorang pengembara, dia lazimnya mengembara dari satu negara ke negara lain tanpa tujuan utama, namun kehilangan pesawat MH370 seolah-olah memberikannya satu misi untuk dilaksanakan.

“Ini adalah misi terbaharu sehingga saya mendapat maklumat tentang perkara sebenarnya yang berlaku kepada pesawat itu serta anak kapalnya,” ujarnya seperti dipetik portal Associated Press.

Penemuan sulung

Cerita Gibson, idea untuk memulakan pengembaraan mencari serpihan pesawat MH370 tercetus selepas mendengar berita mengenainya di kaca televisyen.

“Laporan berita tentang kehilangan pesawat itu ke udara hampir setiap hari selama beberapa bulan. Saya membuat ‘penyiasatan’ dalam diam dengan membaca artikel dan berita mengenainya.

“Sehinggalah pada suatu hari saya terbaca tentang majlis memperingati ulang tahun pertama kehilangannya dan terus menempah tiket penerbangan ke Kuala Lumpur bagi menyertai acara tersebut,” katanya.

Pada majlis itu, Gibson mengambil peluang beramah mesra dengan ahli keluarga dan mendengar kisah mereka.

“Saya tersentuh mendengar nasib keluarga mangsa. Saya tidak dapat membayangkan perasaan mereka yang tidak mendengar khabar berita daripada orang tersayang dalam masa setahun.

“Jadi saya terfikir untuk mencarinya sendiri. Saya dapat merasakan serpihannya pasti dihanyutkan ke mana-mana pesisiran pantai dan menunggu masa untuk ditemui,” tambahnya.

Dalam masa setahun, Gibson melawat pantai-pantai di sekitar Malaysia sehingga ke Mauritius dan Maldives dengan matlamat untuk mencari serpihan pesawat berkenaan.

Malah, dia sanggup ‘turun’ ke Mozambique biarpun tidak pernah menjejakkan kaki ke negara itu semata-mata untuk mencari serpihan pesawat tersebut yang berkemungkinan berbaki di pesisiran pantai tersebut.

“Saya diberitahu pakar oseanografi Australia, David Griffin bahawa serpihan MH370 mungkin dibawa arus ke sini (Mozambique).

"Sungguh tidak disangka, ia membuahkan hasil selepas terjumpa serpihan berbentuk segi tiga yang merupakan panel penstabil pada sayap kapal terbang itu,” ujarnya sambil memberitahu, serpihan tersebut merupakan penemuan sulung membabitkan pesawat MH370 sepanjang hampir setahun menjalankan misi mencari.

Hampir putus asa

The ‘no step’

Serpihan panel penstabil dengan cetakan stensil bertulis No Step ditemui Gibson di Mozambique pada 27 Februari lalu.

Gibson mengakui, kerja-kerja mencari serpihan pesawat itu tidak mudah dan berdepan dengan pelbagai cabaran serta rintangan.

“Bayangkan saya mencarinya di banyak tempat termasuk di Pulau Reunion dan Mauritius tetapi langsung tidak menemui apa-apa. Saya sangat kecewa dan hampir berputus asa,” tuturnya sambil memberitahu, pencarian itu tidak ditaja mana-mana pihak dan bukan bertujuan mengaut keuntungan.

Sehingga hari ini, Gibson telah menemui sebanyak 13 serpihan dipercayai milik MH370 di Madagascar dengan bantuan penduduk tempatan.

Digelar dengan panggilan Indiana Jones moden, lelaki itu turut menemui beberapa barang peribadi termasuk beg galas dan sarung komputer riba.

Pada 12 September lalu, dia membawa dua keping serpihan dengan kesan terbakar yang ditemui di Sainte Luce, tenggara Madagascar ke Australia untuk ujian forensik.

Bagaimanapun Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) yang menyelaras operasi mencari pesawat MH370 menjelaskan, pihaknya tidak dapat mengaitkan serpihan-serpihan tersebut dengan pesawat berkenaan.

Ketika ini, Australia mengetuai misi pencarian MH370 dengan menggunakan kenderaan tanpa pemandu dalam air dan peralatan sonar. Misi pencarian itu yang juga melibatkan Malaysia dan China mencakupi lebih 110,000 kilometer persegi.

Pencarian itu dijangka tamat menjelang bulan Disember depan jika tiada maklumat baharu dan signifikan diperoleh.

Pelajari ilmu

Bekas Timbalan Perdana Menteri Australia, Warren Truss yang menyelia misi pencarian itu sehingga bersara daripada politik pada bulan Februari lepas, menjangkakan lebih banyak penemuan Gibson akan disahkan.

“Dia pasti telah memberi sumbangan yang membina untuk misi pencarian ini,” kata Truss seperti dipetik portal news.com.au.

Bagi Gibson, dia tidak pasti lokasi pencarian seterusnya, namun dia berhasrat untuk ke Seychelles dan Pulau Comoro untuk meneruskan misi tersebut.

“Saya rasa berpuas hati setiap kali menyerahkan serpihan yang ditemui ke tangan pihak berkuasa. Sepanjang tempoh pencarian, saya dapat mempelajari tentang ilmu penerbangan, oseanografi, biologi marin dan juga politik. Selain itu, saya juga dapat mempelajari tentang budaya masyarakat tempatan.

“Namun, pada masa sama saya tidak turut berasa sedih lebih-lebih lagi dengan bukti yang ada, kita tahu pesawat ini terhempas,” katanya.

Penerbangan MH370 yang membawa 239 orang penumpang termasuk anak kapal itu hilang ketika dalam penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk ke Beijing, China.

Pada 29 Januari 2015, Jabatan Penerbangan Awam Malaysia telah mengisytiharkan penerbangan MH370 sebagai kemalangan dan semua mereka di dalam pesawat itu dianggap maut.

BACA INI JUGA: MH370: Apa Yang Kita Tahu Dan Apa Tidak?

Sumber: Kosmo

Friday, October 07, 2016

Penemuan Serpihan Pesawat Di Mauritius Sah Milik MH370!

Penemuan Serpihan Pesawat Di Mauritius Sah Milik MH370!

Serpihan pesawat yang ditemui di Mauritius Mei 2016 lalu disahkan milik pesawat Malaysia Airlines MH370.

MH370

Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan pada Jumaat.

Pemeriksaan terhadap serpihan komposit yang ditemukan di pulau yang terletak di Lautan Hindi itu disempurnakan pakar dari Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB).

Analisis ATSB telah mengesahkan bahagian itu dikenal pasti sebagai ‘trailing edge splice strap’ yang dipasang pada kelepak luar spar belakang pesawat Boeing 777, dengan nombor siri yang sepadan.

Pakar membuat kesimpulan bahawa serpihan tersebut berasal daripada pesawat 9M-MRO, yang juga dikenali sebagai MH370.

Pesawat MH370 hilang pada 8 Mac 2014 semasa dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing membawa 239 penumpang dan anak kapal.

Bangkai pesawat MH370 masih belum ditemui walaupun pencarian secara besar-besaran di selatan Lautan Hindi dilaksanakan di lokasi dipercayai penerbangannya berakhir.

BACA INI JUGA:

Sumber: Astroawani