Sunday, January 01, 2023

Kisah Lembing Takdir Yang Membunuh Nabi Isa!?

Kisah Lembing Takdir Yang Membunuh Nabi Isa!?

Selain Tabut Yahudi dan Holy Grail, Nazi juga mencari Lembing Takdir atau Spear Of Destiny. Lembing ini yang dikatakan menikam Nabi Isa a.s semasa baginda disalib. Kalau dalam siri Legends of Tomorrow DC, lembing ini dikatakan mampu menukar takdir.

LEMBING TAKDIR (SPEAR OF DESTINY)
LEMBING TAKDIR (SPEAR OF DESTINY).

Konon bukti kepada mitos ini ialah ada 40 pemerintah terdahulu yang pernah memilikinya termasuk Maharaja Rom, Constantine dan Raja Frederick Yang Agung. Si Misai Kontot (hitl3r) yang melihat nilai yang ada pada lembing tersebut pada tahun 1908 di Austria mahu memilikinya.

Selepas Austria ditakluk oleh Nazi Jerman pada tahun 1938, lembing tersebut dipindahkan dari Austria ke bandar Nuremberg. Bilah lembing tersebut selamat sampai di Jerman, menurut mitos, Si Misai Kontot melancarkan serangan di Poland.

Ironinya, selepas pihak Bersekutu merampas lembing tersebut pada 1945, Si Misai Kontot membunuh diri dalam bunker.

Nabi Isa a.s. tidak dibunuh ataupun disalib

Dalam Islam, Al-Quran menerangkan dalam surat An Nisaa':157 bahawa Nabi Isa a.s. tidaklah dibunuh mahupun disalib oleh orang-orang Kafir. Adapun orang yang mereka salib ialah orang yang bentuk dan rupanya diserupakan oleh Allah SWT seperti Nabi Isa a.s. (sebahagian ulama berpendapat orang yang diserupakan ialah muridnya yang mengkhianatinya bernama Judas Iscariot).

"...dan kerana ucapan mereka: "Sesungguhnya kami telah membunuh Al Masih, Isa putera Maryam, Rasul Allah", padahal mereka tidak membunuhnya dan tidak (pula) menyalibnya, tetapi (yang mereka bunuh ialah) orang yang diserupakan dengan Isa bagi mereka. Sesungguhnya orang-orang yang berselisih faham tentang (pembunuhan) Isa, benar-benar dalam keragu-raguan tentang yang dibunuh itu. Mereka tidak mempunyai keyakinan tentang siapa yang dibunuh itu, kecuali mengikuti persangkaan belaka, mereka tidak (pula) yakin bahawa yang mereka bunuh itu ialah Isa." (An Nisaa' : 157)

Nabi Isa a.s. diselamatkan oleh Allah SWT dengan cara diangkat ke langit dan ditempatkan disuatu tempat yang hanya Allah SWT yang tahu.

KISAH LEMBING TAKDIR (SPEAR OF DESTINY)

Kisah penyaliban Nabi Isa dikatakan berlaku di Calvary, yang juga dipanggil sebagai Golgota, di luar dinding purba Jerusalem pada awal abad Pertama.

Relik itu telah disimpan oleh para pengikutnya di Jerusalem sehingga ia dipindahkan selepas Perang Salib.

Tidak kira apa yang diberitahu kepada anda tentang Perang Salib, sebab sebenar di sebalik peperangan itu sebenarnya adalah kerana perebutan untuk merampas relik itu.

Relik tersebut telah menyebabkan meletusnya Perang Salib pada abad ke-11.

Menurut buku teks, Perang Salib Pertama telah dilancarkan pada tahun 1095 oleh Paus Urban II dengan dwi matlamat untuk menakluki semula kota suci Baitulmuqaddis dan Tanah Suci dan membebaskan orang-orang Kristian Timur daripada pemerintahan Islam.

Sebaliknya, apa yang tidak dimasukkan ke dalam buku teks adalah niat sebenar di sebalik Perang Salib Pertama.

Ia bukanlah bertujuan untuk membebaskan Komuniti Kristian tetapi sebenarnya untuk merampas dan menyelamatkan relik itu daripada Kerajaan Islam.

Kedua-dua golongan kesateria dan petani daripada pelbagai negara-negara Eropah Barat mengembara melalui tanah dan laut ke arah Baitulmuqaddis dan menawan bandar tersebut pada bulan Julai 1099, seterusnya mewujudkan Kerajaan Jerusalem dan lain-lain negeri Salib.

Sepanjang tempoh berlakunya perang, tentera salib membunuh hampir setiap penghuni Jerusalem. Penduduk Islam, Yahudi, dan juga orang Kristian timur semuanya telah dibunuh beramai-ramai.

Penduduk-penduduk itu dibunuh di dengan dalih bahawa mereka menyebelahi musuh sedangkan hakikatnya mereka dibunuh untuk menyembunyikan pemilikan relik oleh perintah tertinggi dalam perang salib.

Selepas berlakunya Perang Salib pertama, Persaudaraan Tentera Miskin Pengikut Jesus dan Kuil Sulaiman (Latin: Pauperes commilitones Christi Templique Solomonici), lebih dikenali sebagai kesateria templar atau peraturan rumah agama (Perancis: Ordre du Temple or Templiers) didirikan dengan tujuan yang 'dikatakan' untuk memastikan keselamatan ramai penganut Kristian yang menziarahi Jerusalem selepas penaklukannya.

Dakwaan ini sudah tentunya palsu kerana Kesateria Templar telah ditubuhkan untuk melindungi peninggalan di dalam kawasan Jerusalem.

Legenda mengatakan bahawa apabila relik itu berada di tangan mereka, tentera salib mendapati kuasa menakjubkan daripada relik itu yang mampu memperkasakan pemakainya menjadi tidak terkalahkan dalam peperangan.

Legenda Kristian mengatakan bahawa Kesateria Templar telah menggunakan Lembing dalam kemenangan terkenal mereka pada tahun 1177 semasa Peperangan Montgisard, iaitu kira-kira 500 kesateria Templar membantu tentera Salib untuk mengalahkan tentera Salahuddin Al-Ayubi yang berjumlah lebih daripada 26,000 tentera.

Lembing Takdir itu kemudian dipercayai bertukar tangan kepada orang-orang Rom.

Queen Helena Augusta Constantinople (sekitar 250– sekitar 330 TM) telah diberitahu tentang kuasa relik itu dan mengembara ke Jerusalem untuk mendapatkannya.

Setibanya di Jerusalem dia membina sebuah Gereja (ada yang mengatakan dia sebenarnya membina ibu pejabat pertama untuk Kesateria Templar) yang menyebabkan Kesateria Templar bersedia meminjamkan Lembing Takdir kepada beliau.

Relik itu tidak pernah dikembalikan kepada para Templar, sebaliknya Queen Helena memberikan Lembing itu kepada anaknya Constantine the Great yang kemudian menjadi Maharaja Rom Kristian pertama yang memerintah empayar terdiri daripada Britain, Gaul, dan Sepanyol.

Oleh itu, adalah dipercayai bahawa Empayar Rom itu sendiri dibina daripada kuasa relik itu.

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:
sumber: (1) | (2)

Wednesday, December 21, 2022

Lionel Messi Legenda Terhebat Sepanjang Zaman!

Lionel Messi Legenda Terhebat Sepanjang Zaman!

Perdebatan sama ada Lionel Messi layak digelar sebagai pemain terhebat sepanjang zaman, atau lebih mesra dipanggil G.O.A.T. - singkatan bagi Greatest of All Time - dalam sejarah bola sepak secara rasmi mencapai penghujungnya pada perlawanan akhir Piala Dunia 2022.

Lionel Messi Legenda

Jawapannya, ya - Lionel Messi adalah G.O.A.T. daripada semua G.O.A.T. yang pernah dunia bola sepak!

Ketiadaan pingat juara Piala Dunia sudah lama diperkatakan sebagai sebab utama mengapa Lionel Messi tidak dapat mengatasi legenda Brazil Pele dan ikon senegaranya Diego Maradona dalam dewata bola sepak.

Namun, dengan kemenangan Argentina ke atas Perancis dalam aksi akhir Piala Dunia yang mendebarkan di Doha, segala keraguaan terhadap 'maestro' berusia 35 tahun itu akhirnya terjawab.

Dalam kerjaya yang menakjubkan sepanjang tiga dekad, Lionel Messi telah memenangi 37 trofi kelab, tujuh anugerah Ballon D'Or dan enam But Emas Eropah.

Terdapat juga gelaran Copa Amerika, pingat emas Sukan Olimpik dan senarai rekod jaringan gol dan statistik yang mungkin tidak akan dapat ditewaskan.

Dalam aksi terakhirnya di Piala Dunia, Messi menjaringkan dua gol ketika Argentina berjuang untuk seri 3-3 pada masa tambahan sebelum menang 4-2 menerusi sepakan penalti.

Malah, hatrik ajaib Kylian Mbappe untuk Les Bleus tidak mampu merampas penobatan juara Lionel Messi dan Argentina dengan takdir pada malam itu nampaknya sudah ditetapkan.

"Ia adalah impian zaman kanak-kanak sesiapa sahaja," kata Messi.

"Saya bertuah kerana telah mencapai segala-galanya dalam kerjaya ini.

"Ia luar biasa. Lihat bagaimana cantiknya ia (trofi Piala Dunia). Saya sangat menginginkannya. Saya membayangkan bahawa kami akan menang Piala Dunia ini."

Ia telah mengambil lima percubaan dan rekod 26 perlawanan pusingan akhir Piala Dunia, tetapi budak lelaki dari Rosario - bandar hab ladang kira-kira 300 kilometer di utara Buenos Aires - akhirnya berjaya mengangkat dirinya bersama dewa bola sepak Argentina yang lain, Maradona, yang telah membawa negaranya merangkul gelaran itu pada 1986.

"Kami menderita, tetapi kami sudah memilikinya (Piala Dunia)," kata Messi.

"Saya mahu menutup kerjaya saya dengan ini, saya tidak boleh meminta apa-apa lagi, terima kasih Tuhan kerana memberi saya segala-galanya."

Berdasarkan jumlah dan julat piala yang dimenangi sahaja, tidak dapat dinafikan bahawa Lionel Messi adalah yang paling G.O.A.T. berbanding pesaing terdekatnya, Pele dan Maradona.

Walaupun tiga kejayaan Pele di Piala Dunia kekal tiada tandingan, kerjaya kelab ikon Brazil itu hambar berbanding Lionel Messi.

Sementara itu, Maradona hanya memenangi satu Piala Dunia dan tidak pernah menjulang Piala Eropah semasa beraksi untuk kelab Eropah, yang kebanyakannya dihabiskan bersama Barcelona dan Napoli.

Bagaimanapun, ada yang berpendapat bahawa Pele, Maradona dan Messi wujud dalam era yang berlainan, dengan gaya dan permintaan bola sepak yang berbeza. Tiada bandingan yang diperlukan.

Hujah itu munasabah, namun jarang dalam satu-satu era, terdapat dua pemain hebat bersaing untuk memperoleh status G.O.A.T.

Kita bertuah dapat menonton permusuhan hebat antara Lionel Messi dengan Cristiano Ronaldo, meskipun harus akur bahawa kedua-dua pemain adalah wira dalam kelas mereka yang tersendiri.

PENCAPAIAN MESSI:
  • Satu Piala Dunia
  • Tujuh anugerah Ballon D'Or
  • Enam But Emas Eropah
  • Satu Piala Copa Amerika
  • Satu Pingat emas Sukan Olimpik
  • 37 trofi kelab

Justeru, kebangkitan Messi sebagai G.O.A.T. di era moden ini tidaklah mudah dan bahkan mungkin sukar untuk generasi pemain akan datang mengatasi pencapaiannya.


Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: (1)

Tuesday, September 20, 2022

Kisah Kemunculan Semula Legenda Mat Kilau

Kisah Kemunculan Semula Legenda Mat Kilau

Kisah Mat Kilau sangat unik. Beliau diisytiharkan mati pada 1895 di Kelantan untuk mengelak daripada diburu penjajah British, kemudian muncul semula pada 1969 sebelum meninggal dunia kurang setahun selepas itu.

Keratan akhbar Mat Kilau

Selama lebih tujuh dekad, Mat Kilau berpindah-randah sehingga ke Pattani, Thailand sebelum menetap semula di Pahang dengan identiti baharu. Kemunculan semula beliau pada hari Jumaat, 26 Disember 1969 di Masjid Kampung Pulau Tawar, Jerantut menggemparkan negara.

Mat Siam

Mengikut kisah yang diceritakan Mat Kilau kepada wartawan Utusan Malaysia, Nordin Mohammad dan Haji Alang Ahmad, selepas tamat Perang Bahaman di Semantan, Pahang, beliau dan Dato' Bahaman telah mengundurkan diri. Dato' Bahaman akhirnya dikatakan meninggal dunia di Kelantan.

Beliau kemudiannya pulang semula ke Pahang pada tahun 1900, ketika Pahang di bawah pemerintahan Almarhum Sultan Abdullah.

Pada 1927, Mat Kilau dititahkan oleh Sultan Abdullah supaya menukar namanya kepada Mat Siam dan berpindah dari Kampung Tanjung Medang, Pekan ke Kampung Batu Lima, Jalan Maran-Kuantan. Ini untuk mengelakkan beliau daripada dikesan oleh pihak British yang ketika itu masih berkuasa di Pahang.

Pada 26 Disember 1969, Mat Kilau menunaikan solat Jumaat di Masjid Kampung Pulau Tawar. Selepas solat dan membaca al-Quran buat seketika, beliau membuat pengumuman dan mendedahkan identitinya sebagai Mat Kilau di hadapan lebih 100 jemaah masjid tersebut.

Beliau turut mendedahkan beberapa tanda pada badannya bagi membuktikan dirinya Mat Kilau, termasuk tahi lalat di pipi kanan, tahi lalat panjang di bahu kiri dan sebiji buntat embun yang tertanam di celah jari kelingking kaki kirinya.

Malah, beliau turut menunjukkan beberapa parut peluru di tubuhnya. Parut tersebut jumlahnya mencecah puluhan.

Wawancara Utusan Malaysia

Utusan Malaysia merupakan akhbar pertama yang mewawancara Mat Kilau secara eksklusif selepas pahlawan itu muncul semula. Wawancara tersebut disiarkan pada 29 Disember 1969 dengan tajuk "Sah: Pahlawan Mat Kilau maseh hidup".

Wawancara tersebut dijalankan oleh wartawan, Nordin Mohammad dan Haji Alang Ahmad dan dalam wawancara tersebut, Mat Kilau membahasakan dirinya sebagai Aki.

Menurut Nordin dan Haji Alang, pada usia 122 tahun, Mat Kilau masih boleh berjalan dengan gagah, cuma pandangan sedikit kabur. Malah, pendengarannya juga masih jelas.

Kepada Nordin dan Haji Alang, Mat Kilau menceritakan semula kisahnya yang bersama berperang dengan Dato Bahaman sebelum berundur dan menyembunyikan diri.

Ketika bercerita tentang kembalinya beliau ke Pahang pada 1900, Mat Kilau tiba-tiba berhenti dan menangis. Beliau kemudiannya mengucapkan tahlil dan membaca beberapa potong ayat al-Quran.

Lahir di Pulau Tawar, mahu mati di Pulau Tawar

Hampir 15 minit Mat Kilau mendiamkan diri selepas menangis. Wartawan yang mewawancara juga tidak cuba mengajukan soalan lagi, sebaliknya menunggu pahlawan gagah itu bersedia meneruskan cerita.

"Aki gembira dapat berada dengan sanak saudara setelah 78 tahun berpisah. Aki lahir di Pulau Tawar dan mahu mati di sini juga," kata Mat Kilau sambil memandang ke wajah wartawan yang mewawancara.

Pandangannya dilempar kepada tetamu lain pula seraya berkata, "Aki tidak mempunyai sebarang ilmu untuk diberikan kepada anak-anak semua".

Mat Kilau kemudiannya melanjutkan cerita tentang peperangan lain, iaitu Perang Kuala Lipis-Budu yang menyaksikan beliau membunuh sepasukan tentera upahan British yang terdiri daripada tentera Sikh di Kuala Tembeling.

Dalam perang tersebut, Mat Kilau berhadapan dengan 'hujan peluru', sedangkan beliau hanya bersenjatakan sundang dan senjata lain.

Sundang yang digunakan dalam perang itu dikatakan disembunyikan di makam Tuan Senik, Beserah, Kuantan.

Digelar 'Babi Lemak'

Mat Kilau sekali lagi terdiam apabila dikemukakan soalan tentang pemergiannya dari negeri Pahang. Kata beliau, dia dihalau dari Pahang oleh penasihat British di negeri itu ketika itu, Hugh Clifford. Orang putih itu, kata beliau, turut menggelarnya sebagai 'babi lemak'.

"Sejak itulah Aki merantau dari kampung. Akhirnya Aki sampai di Kampung Penar dan Kampung Jambu di Pattani. Di sini Aki menjadi guru silat," katanya.

Kisah kemunculan semula Mat Kilau selepas puluhan tahun dianggap sudah meninggal dunia merupakan antara peristiwa paling menggemparkan yang pernah berlaku di negara ini.

Bukan sahaja kisah kepahlawanannya boleh menjadi inspirasi, malah kemampuannya untuk kekal sihat pada usia lebih seratus tahun terus menjadi tanda tanya.

Bagi mengesahkan identiti Mat Kilau, kerajaan Pahang telah menubuhkan jawatankuasa khas pada 8 Januari 1970 untuk menyiasat perkara tersebut.

Jawatankuasa itu dipengerusikan oleh Datuk Abdul Aziz Ahmad dan dianggotai Ibrahim Arshad, Abdul Razak Hitam, Kapten Mohd. Ali Muhammad, Zakaria Hitam dan Asaari Yaacob.

Jawatankuasa tersebut mengesahkan bahawa Mat Siam ialah Mat Kilau, melalui keterangan yang diberikan beberapa pihak seperti Tok Pawang Nong, Mustafa Awang Mat, Mek Munah, Pak Him serta dua bekas petugas di istana Sultan Abdullah, Idris Lambak dan Haji Abdul Hamid Lela.

Mat Kilau meninggal dunia pada 16 Ogos 1970, 10 hari selepas kerajaan Pahang mengesahkan identitinya.

Beliau meninggal dunia di Kampung Batu Lima, Kuantan di rumah yang didudukinya sejak berpindah ke kampung itu pada 1927.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: (1)

Monday, September 19, 2022

5 Kisah Mat Kilau Yang Anda Tidak Pernah Tahu

5 Kisah Mat Kilau Yang Anda Tidak Pernah Tahu

Mat Kilau merupakan antara nama besar, sebaris dengan nama-nama individu lain yang bangkit secara terbuka menentang penjajahan British. Sejarahnya mungkin secara ringkas sudah anda ketahui, tetapi bagaimana pula dengan beberapa kisah berbeza berkaitan beliau?

Berikut adalah lima kisah berbeza berkenaan Allahyarham Mat Kilau yang jarang mahu dikongsikan.

1. Semua gerakan Mat Kilau menentang British didalangi Sultan Pahang

Identiti Mat Kilau

Menurut perspektif British - semua insiden pemberontakan melibatkan Tok Bahaman, Imam Rasu (Tok Gajah) dan anaknya Mat Kilau sebenarnya berpunca daripada gerakan sulit didalangi Sultan Pahang sendiri.

Pendapat ini menimbulkan dilema di kalangan pegawai British yang mentadbir - kerana mereka tahu mereka perlu bekerjasama dengan Sultan, tetapi dalam masa yang sama perlu berhati-hati dengan kelicikan Sultan Pahang.

Pendapat ini disokong rekod British, kerana kebanyakan mangsa gerakan pemberontakan yang mati dibunuh bukan orang Melayu, sebaliknya individu berbangsa Cina dibawah perlindungan British, orang Sikh yang berkhidmat sebagai pegawai keselamatan dan ada juga melibatkan orang British sendiri.

Selepas Tok Bahaman menyerah diri, perbincangan berkenaan hukuman yang sepadan dengan jenayah yang telah mereka lakukan dimulakan.

Tetapi ekoran kebimbangan mereka terhadap pengaruh Sultan Pahang terhadap kumpulan pemberontak tersebut, British sukar membuat keputusan.

Sehinggakan bagi menghukum Tok Bahaman, ada idea untuk beliau dihantar saja ke tanah suci Mekah. Apa yang melucukan, idea itu ditolak kerana British risau orang Melayu melihat seandainya mereka memberontak, mereka dapat buat haji percuma ditaja British.

Mat Kilau yang terlibat dalam insiden pembunuhan di kebun candu Kuala Lipis dan dua orang lelaki China di Bukit Kayu Arak, dilaporkan akan dihantar ke Pulau Andaman, lokasi di mana British membuang banduan-banduan dari India sekiranya berjaya diberkas dan dibicarakan.

2. Ayah Mat Kilau seorang yang cekap berpolitik

Dalam catatan sejarah, nama ayah Mat Kilau direkodkan sebagai 'Imam Rasu' atau gelarannya yang lebih terkenal 'Tok Gajah'. Bagi pihak penjajah yang bertungkus-lumus cuba menangkap Tok Gajah, gelaran yang mereka gunakan adalah 'Si Rasu.'

Beliau individu yang memainkan pengaruh yang sangat besar membentuk perjuangan anaknya Mat Kilau, selain daripada peranan besar dimainkan Orang Kaya Semantan iaitu Tok Bahaman (juga dirujuk sebagai Tok Rahman atau Tok Bahman).

Dalam satu operasi British, Imam Rasu menggunakan kepintarannya bermain politik di kalangan kesetiaan orang Melayu, menggunakan pengalamannya berbincang sehingga berjaya membuatkan seorang pemimpin pro-British bernama Penghulu Raja di Tembeling, Pahang berpaling tadah.

British pada ketika itu mengeluarkan arahan agar Penghulu Raja membina sekatan bagi menghalang pergerakan kumpulan pemberontak. Beliau pada awalnya menyatakan persetujuan tetapi mengamalkan sikap talam dua muka.

Benteng dibina demi memenuhi arahan, tetapi Imam Rasu, Mat Kilau dan para pengikut mereka dibenarkan Penghulu Raja untuk bermalam tidak jauh dari benteng tersebut hasil perbincangan dengan Tok Gajah. Siap mendapat perlindungan pasukan pengawal Penghulu Raja masa beradu.

Keesokannya, Tok Gajah dan pengikutnya meneruskan perjalanan ke Kelantan. Tidak jauh daripada kumpulan itu, Penghulu Raja turut bersama-sama bergerak mengekori kumpulan pemberontak tersebut dengan rombongan 30 orang lelaki, 70 orang wanita yang dikawal 17 laras senapang.

Pengkhianatan Penghulu Raja ini sangat mencabar British, kerana mereka tidak menyangka pengaruh individu pemberontak tersebut kepada orang Melayu.

Selepas British menyedari mereka dipermainkan, British mengeluarkan pengumuman bahawa Penghulu Raja dan semua pengikutnya yang berpaling tadah akan diampunkan sekiranya mereka kembali setia kepada British.

Tok Gajah berjaya memujuk Penghulu Raja untuk menggunakan pengaruh politik beliau, berjaya mengumpulkan kumpulan-kumpulan pahlawan sekitar Kelantan untuk sama-sama berjuang dengan mereka.

3. Identiti Mat Kilau menjadi polemik masyarakat

Selepas menyembunyikan diri berdekad-dekad lamanya daripada menjadi buruan British, Mat Kilau akhirnya keluar dari persembunyian pada penghujung tahun 1969.

Peristiwa ini mengejutkan semua pihak kerana majoriti berpendapat Mat Kilau telahpun mati terbunuh dalam satu insiden pertempuran dengan askar British, walaupun ada ura-ura mengatakan beliau terselamat dalam keadaan cedera parah.

Banyak pihak menafikan seorang lelaki tua yang kurus serta lebih dikenali dengan gelaran 'Mat Siam' adalah Mat Kilau yang terkenal.

Polemik mula timbul ekoran dakwaan tersebut, kerana dakwaan itu hanya bergantung kepada pengakuan individu itu semata-mata.

Kesangsian yang dipegang oleh sebilangan besar ahli masyarakat, tidak diterima ahli keluarga terdekat Mat Kilau.

Mereka tanpa rasa ragu-ragu percaya 'Mat Siam' atau apa saja gelaran yang pernah digunakannya seperti Mohamed bin Ibrahim, adalah Mat Kilau bin Imam Rasu yang sebenar.

Disahkan anaknya sendiri yang pada ketika itu sudah berusia 80 tahun, Mat Kilau ketika keluar dari persembunyian dipercayai sudah berusia 122 tahun dalam laporan akhbar. Hanya selepas penyelidikan dijalankan, angka ini diolah semula kepada 103/104 tahun.

Individu mengaku Mat Kilau itu didapati tetap mempunyai kemampuan mental yang kuat, masih sasa serta cukup memahami selok-belok urusan istana Pahang ketika dipanggil mengadap Sultan Pahang.

Kelakuan-kelakuan ini sedikit sebanyak menutup mulut mereka yang menafikan dakwaan yang timbul itu.

4. Usaha memfilemkan kisah beliau sudah lama berjalan tanpa hasil

Selepas kemunculan semula Mat Kilau daripada persembunyian serta pengesahan kerajaan negeri Pahang berkenaan identiti beliau, usaha untuk memfilemkan kisah hidup Mat Kilau mula digembar-gemburkan sekitar awal tahun 1970 - beberapa bulan sebelum beliau meninggal dunia.

Pihak yang menyuarakan minat adalah rumah penerbitan Shaw yang ketika itu dikenali sebagai Pertubohan Shaw.

Shaw ketika itu sudah mengumumkan rundingan untuk menjalinkan kerjasama dengan Studio Merdeka (atau Merdeka Filem Productions) bagi memperhalusi idea tersebut.

Bagaimanapun ekoran masih banyak tanda tanya dan kontroversi berkenaan status sebenar kesahihan identiti Mat Kilau pada waktu tersebut, idea untuk memfilemkan kisah hidup beliau tidak menemui titik permulaannya.

Hanya pada tahun 2022, sebuah filem yang digarap berdasarkan kisah hidupnya serta ada elemen ditokok-tambah bagi mengangkat penceritaan berjaya diterbitkan.

Sambutan baik orang ramai terhadap filem ini membuktikan, masyarakat kita sebenarnya peduli tentang sejarah dan legasi orang lama.

5. Allahyarham Jins Samsuddin marah Mat Kilau dipakaikan Kot

Mat kilai berkot

Allahyarham Jins Samsuddin merupakan salah satu nama lama dan besar juga orang kuat industri perfileman kita.

Selepas kemunculan semula Mat Kilau dan wujud ura-ura kisah hidupnya difilemkan, Mat Kilau mula diberikan pendedahan dan peluang untuk muncul dalam media.

Dalam salah satu laporan yang disiarkan dalam akhbar berkenaan pahlawan tersebut yang ketika itu masih hidup, dipaparkan Mat Kilau berpakaian baju kot yang jelas peninggalan British.

Tindakan itu mendapat reaksi Jins Samsuddin yang menyifatkan pemilihan pakaian itu untuk dipakaikan kepada seorang pahlawan Melayu yang mengabadikan diri menentang penjajah, sebagai satu pengkhianatan kepada Mat Kilau dan juga kumpulan pahlawan Melayu di Pahang.

Menurut Jins Samsuddin, busana yang sepatutnya dipakai mestilah melambangkan orang Melayu, bertanjak dan berkeris agar lebih kena dengan kisah hidupnya.

Jins Samsuddin mengkritik mereka yang tidak sensitif dengan isu tersebut, sanggup memakaikan pahlawan Melayu pakaian yang menjadi legasi penjajah yang telah berjaya ditinggalkan.

Tidak ada maklum balas berkenaan kritikan itu direkodkan, sama ada oleh pihak penganjur majlis ataupun dari belah keluarga Mat Kilau sendiri.

Seandainya pada masa tersebut era internet, kami yakin isu ini pasti tular dan membawa kepada perbincangan hangat.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: (1)

Friday, March 05, 2021

Misteri Anak Patung Okiku Yang Rambutnya Memanjang Seperti Manusia!

Misteri Anak Patung Okiku Yang Rambutnya Memanjang Seperti Manusia!

Rambut Okiku atau 'Anak Patung Berhantu di Hokkaido' yang terletak di sebuah kuil di Iwamizawa, Jepun didakwa tumbuh seperti rambut manusia, dikatakan mempunyai semangat seorang budak perempuan.

Okiku
Gambar hiasan.

Terdapat banyak cerita legenda mengenai Okiku, tetapi yang paling popular adalah kisah anak patung Jepun tradisional itu dibeli oleh Eikichi Suzuki, seorang budak lelaki berumur 17 tahun dari Hokkaido, yang membelinya untuk adik perempuannya pada tahun 1918.

Budak perempuan itu, Kikuko yang berusia tiga tahun ketika itu, dikatakan sangat menyukai anak patung tersebut, membawanya ke mana sahaja dia pergi dan tidur dengannya setiap malam.

Tetapi, selepas Kikuko meninggal dunia ketika dia masih kecil, keadaan berubah menjadi aneh dan menyeramkan.

Keluarga Kikuko telah menyimpan anak patung itu di sebuah kuil kecil sebagai tanda mengenangnya. Mereka juga menamakannya sebagai 'Okiku' selepas anak perempuan mereka meninggal dunia dan mula berdoa untuknya.

Pada satu ketika, mereka melihat sesuatu yang sangat luar biasa!

Patung Okiku

Rambut anak patung ini tumbuh dan menjadi lebih panjang. Mereka menganggap keadaan ini menunjukkan anak patung itu mempunyai semangat Kikuko.

Pada tahun 1938, keluarga Kikuko memutuskan untuk berpindah dari Hokkaido dan bersetuju untuk anak patung itu kekal di pulau tersebut.

Jadi mereka meletakkan kepercayaan kepada sami-sami di Kuil Mannenji dan berkongsi rahsia menyeramkan itu dengan mereka.

Sejak itu Okiku kekal di kuil berkenaan dan orang ramai sering datang ke situ untuk melihat rambut yang dikatakan tumbuh pada patung itu, tetapi mereka tidak dibenarkan mengambil gambar.

Kini, Okiku mempunyai rambut panjang sehingga paras lutut. Ia mungkin lebih panjang, tetapi para sami sentiasa memotongnya dari semasa ke semasa.

Sebenarnya, bertindak seperti itu sangat membahayakan tetapi Grape melaporkan salah seorang sami mula melakukannya selepas bermimpi Okiku sendiri meminta rambutnya dipotong.

Kuil
Kuil Mannenji (wikipedia).

Sehingga kini tiada siapa dapat menjelaskan mengapa rambut anak patung itu terus tumbuh.

Sesetengah sumber mendakwa, pemeriksaan saintifik terhadap anak patung itu menunjukkan bahawa rambutnya adalah rambut manusia.

Malah ada yang mendakwa jika anda berada cukup dekat dengan Okiku dan melihat mulutnya yang separuh ternganga, anda dapat melihat giginya juga tumbuh seperti manusia.

Cerita Okiku telah menjadi ilham untuk penulisan novel, filem dan drama tradisional, yang mana unsur-unsur lebih menyeramkan ditambah.

Jadi jika anda berada di pulau Hokkaido, Jepun dan ingin melihat anak patung berhantu itu sendiri, pergilah ke Kuil Mannenji untuk bertemu Okiku, anak patung berhantu yang terkenal di Hokkaido.

Misteri kan?

BACA INI JUGA:
sumber: mstar

Tuesday, February 16, 2021

Kisah Legenda Golem

Kisah Legenda Golem

Konsep mencipta manusia buatan oleh seorang manusia sebenar tanpa penglibatan Tuhan bukanlah suatu perkara yang janggal dalam norma masyarakat terdahulu. Sebagai contoh dalam ilmu hitam Yahudi iaitu ilmu Kabbalah, terdapat beberapa legenda dan kisah yang menceritakan kewujudan makhluk kecil berupa manusia (homunculus) dan makhluk yang diperbuat daripada tanah liat (golem) menerusi amalan magis dan mistik, yang menggambarkan keupayaan manusia "berkongsi" kuasa Tuhan.

Golem
Gambar hiasan.

Penganut Kristian dan Yahudi pada ketika itu melarang perbuatan menghidupkan makhluk atas keupayaan sendiri, dan menganggap ia amalan syirik (blasphemy), melanggar batas kemanusiaan dan mempercayai ianya suatu perjanjian yang dibuat bersama Syaitan.

Sebelum kebangkitan ilmu sains, (iaitu zaman pra-sains), idea pembentukan manusia buatan (homunculus dan golem) sudah lama bertapak dalam amalan masyarakat lama.

Menurut sejarah, masyarakat ketika itu sudah pun mempunyai teknologi mekanikal, iaitu pergerakan automatik yang menggunakan kuasa stim dan pergerakan pasir.

Pada ketika itu, patung mekanikal (puppetry) sudah lama diamalkan, seperti burung mekanikal, patung ukiran bergerak dan teater patung mekanikal kecil.

Malah, selain dicipta sebagai suatu bentuk hiburan, patung-patung ini juga digunakan dalam ritual penyembahan mereka.

Agama Theurgy

Mereka mempercayai bahawa pembentukan manusia buatan oleh seorang manusia sebenar (puppetry) bukanlah untuk membentuk suatu bangsa manusia yang baru atau memberi "nyawa" kepada benda tidak hidup, akan tetapi sebaliknya merupakan penyediaan untuk kefahaman keagamaan Theurgy.

Theurgy adalah kefahaman agama yang mana mengamalkan ritual menyeru atau memanggil para 'Tuhan' untuk memasuki dan bersemadi didalam jasad seseorang manusia demi mencapai henosis (kesempurnaan diri).

Ia didirikan oleh aliran kefahaman NeoPlatonism pada era Zaman Pertengahan, dengan penggunaan patung (artificial intelligence) dalam amalan keagamaan ini seakan menjemput Tuhan mereka untuk bersemadi didalam jasad buatan ini.

Seperti magnet yang menarik kuasa Tuhan, lebih kurang, bahkan Pope Sylvester II pernah direkod berkomunikasi dengan suatu "kepala yang bergerak".

Golem

Golem merupakan makhluk mistik dari kepercayaan Yahudi yang dicipta oleh manusia melalui tanah liat atau lumpur, untuk melakukan tugasan dan melindungi tuannya.

Golem tidak mempunyai bentuk tubuh yang spesifik, hanya digambarkan sebagai makhluk tidak berbentuk.

Golem dipercayai boleh dikawal oleh penciptanya sendiri, atau diwariskan kepada orang lain.

Golem mempunyai kekuatan luarbiasa melebihi kemampuan manusia, akan tetapi tidak mempunyai kecerdasan otak, sekadar patung kosong yang menurut perintah sahaja.

Sejarah kisah golem awalnya diceritakan didalam kitab Talmud secara singkat dan agak kabur, menceritakan kisah Adam pada awalnya diperbuat daripada lumpur dan tanah liat tanpa sebarang bentuk manusia, hanya untuk 12 jam pertama kewujudannya.

Kemudiannya golem diceritakan pernah dicipta oleh Rava, seorang rabbi di Mahoza, yang menghantar golemnya berjumpa Rav Zeira di Israel.

Apabila ditanya soalan oleh Rav Zeira kepada golem tersebut, ia tidak menyahut akibat dari ketidakupayaannya untuk bersuara.

Lantas Zeira berkata, "Engkau diciptakan oleh yang berilmu, maka kembalilah engkau menjadi debu".

Akan tetapi kisah golem yang paling signifikan adalah berkenaan Golem Chelm yang dicipta oleh Rabbi Eliyahu (Elijah) dari Chelm.

Dikhabarkan, seorang pengamal ilmu Kabbalah pernah ternampak Rabbi Eliyahu mencipta sebuah golem dan mengarahkannya melakukan tugasan berat bagi pihaknya.

Pada dahi golem tersebu terdapat perkataan אמת (Emet) yang membawa maksud Kebenaran.

Akan tetapi, lama-kelamaan golem tersebut menjadi semakin besar dan Rabbi Eliyahu risau sekiranya golem ini menjadi terlampau besar, ia boleh memusnahkan dunia ini.

Maka Rabbi Eliyahu bertindak memadamkan satu huruf pada perkataan Emet menjadi מת (Met) yang membawa maksud Kematian dan sejurus memadam huruf tersebut, golem itu berderai menjadi debu semula. Kisah ini juga direkodkan oleh Rabbi Jacob Emden.

Golem juga dikatakan boleh dikawal dengan meletakkan satu skrol kecil yang mengandungi beberapa huruf membentuk shem, iaitu nama-nama Tuhan Judaism ke dalam mulut golem.

Dan Golem secara ringkasnya adalah makhluk yang diberi nyawa, tapi tidak memiliki roh.

ETIMOLOGI HOMUNCULUS DAN GOLEM

Homunculus berasal dari perkataan Latin homo (manusia) dan -culus (kata nama bagi sesuatu alatan atau pekakas).

Gabungan kedua perkataan ini membentuk homunculus (homunculi jika banyak) yang bererti, manusia kerdil.

Golem pula diambil dari perkataan Hebrew, gólem dan Yiddish, goylem yang membawa maksud objek tidak berbentuk (shapeless mass).

SAINS DISEBALIK HOMUNCULUS

Homunculi (homunculus) digambarkan sebagai jasad yang dibentuk oleh manusia melalui amalan magik.

Homunculi, seperti yang direkodkan oleh Paracelsus (1493-1541), adalah seorang manusia yang dibentuk melalui sperma laki-laki tanpa menjalani proses 'mengawan' bersama wanita mahupun melibatkan jasad seorang wanita (yang dipercayai adalah sumber sihir black magic, witchcraft).

Menurut beliau lagi; "Seorang homunculus boleh dicipta dengan cara meletakkan sperma didalam sebuah bekas kaca kedap udara, dan ditanam didalam baja (najis) kuda selama 40 hari, nescaya ia akan mula hidup dan bergerak.

"Beberapa seketika, ia akan mula membentuk seperti bentuknya jasad manusia, akan tetapi ia masih lut cahaya dan tiada badan yang sebenar.

"Jika ia kekal diberi Arcanum sanguinis hominis sehingga minggu ke 40, dan masih dibiarkan didalam baja kuda dengan suhu yang terkawal, ia akan tumbuh sepertimana tumbuhnya seorang kanak-kanak dari rahim wanita, lengkap dengan anggota. Akan tetapi ia bersaiz lebih kecil berbanding kanak-kanak biasa.

"Kami menggelarkannya homunculus. Ia boleh dibesarkan dan membesar, diajar dan belajar, membentuk logik, rasional dan mampu menjaga dirinya sendiri."

Ada yang berpendapat bahawa, "Arcanum sanguinis hominis" bermaksud darah manusia, manakala ada yang berpendapat ianya adalah sperma manusia, selain ia mungkin merujuk kepada ovum wanita.

Ada juga yang berpendapat bahawa Paracelsus sebenarnya sedang menerangkan tentang proses persenyawaan manusia diluar rahim (vitrofertilization), akan tetapi menggunakan konsep mistik dan magis untuk kefahaman masyarakat eranya.

Ini tidak jauh bezanya dengan amalan membentuk embrio melalui test tube yang diguna pakai hari ini, dimana baja diibaratkan sebagai inkubator meregulasikan suhu, berlarutan sehingga 40 hari sepertimana diperlukan embrio didalam rahim, dan melibatkan dua gametes (sperma dan ovum).

Amalan membentuk homunculus ini sebenarnya sudah dinyatakan dalam ilmu alchemy, suatu ilmu purba yang dibangunkan di Mesir.

Alchemy asasnya merupakan ilmu spiritual yang mengkaji rahsia pembentukan alam semulajadi, melalui kesedaran spiritual dan kepercayaan bahawa diri si pengkaji dan alam adalah satu.

Ilmu ini kemudiannya berubah mengikut zaman sehinggalah ia kini dikenali sebagai sains kimia.

SAINS DISEBALIK GOLEM

Kisah kewujudan golem banyak diimplementasi didalam karya fiksyen moden, seperti filem Frankenstein karya Mary Shelley atau tulisan bersiri The Lord Of The Rings, karya J.R.R. Tolkien.

Namun, adakah golem itu mampu dihidupkan secara saintifik?

Diteorikan bahawa ketika era agama Yahudi, golem hanya diciptakan daripada tanah liat dan lumpur, kerana besar kemungkinan pada ketika itu, masih tiada lagi mineral yang cukup kuat untuk dijadikan tubuh makhluk ini.

Pendek kata, lumpur dan tanah liat merupakan bahan paling banyak dan paling kukuh yang boleh digunakan untuk membentuk sebuah golem.

Manakala imej yang sering ditunjukkan didalam filem moden pula menggambarkan golem tercipta daripada objek-objek keras seperti kerikil, batuan bukit, berlian, magma, atau batu besar seperti yang dipertontonkan dalam siri Supernatural.

Sebenarnya, imej golem sudahpun bertapak dalam dunia serba moden kita ini, walaupun tidak diciptakan menggunakan batuan dan tanah liat, manusia sudahpun mencipta golem menggunakan besi, aloi dan campuran bahan metalik.

Ya, kita tidak memanggilnya sebagai golem, akan tetapi menggelarkannya sebagai robot yang dicirikan sebagai makhluk ciptaan manusia yang diberi nyawa tetapi tiada roh.

Robot acapkali ditugaskan untuk melindungi pemilik dan ahli keluarganya, habitatnya (rumah, bangunan, negara), dan diberikan tugasan-tugasan untuk dilengkapkan oleh tuannya.

Robot tidak berakal, dan tidak mampu bertutur (berkomunikasi). Ia perlu dikawal oleh manusia untuk beroperasi. Ia mempunyai keupayaan luarbiasa melebihi kemampuan manusia. Sama seperti golem, bukan?

Berkenaan penggunaan tulisan untuk mengaktifkan, mengawal dan mematikan golem, ini juga digunapakai ketika mengendalikan robot.

Walaupun tidak menggunakan nama Tuhan, tulisan-tulisan ini boleh diibaratkan seperti memasukkan kod atau data bagi menghidupkan, mengawal, dan mematikan robot-robot ini.

Data dan kod ini dicipta dalam bentuk kata kunci, analog dan lain-lain bentuk, dan ia mempunyai "kuasa" tersendiri, sama seperti penggunaan nama Tuhan.

Bahkan, terdapat suatu konferens bertajuk Beyond Artificial Intelligence telah dijalankan di Czech Republic pada tahun 2013 berkenaan pembuatan atau penciptaan artificial intelligence berdasarkan pembentukan golem, dan sebuah kertas kerja telah dihantar, bertajuk "Artificial Golem Intelligence".

PENUTUP

Ringkasnya, pembentukan homunculus dan penciptaan golem sebenarnya selari dengan pembentukan embrio daripada proses vitrofertilization dan penciptaan robot pada masa kini.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: fb

Monday, August 17, 2020

Legenda Batu Panggah, Rumah Yang Di Sumpah Kerana Cinta Terlarang!

Legenda Batu Panggah, Rumah Yang Di Sumpah Kerana Cinta Terlarang!

Sekiranya anda berpeluang menjejakkan kaki ke Borneo Highland Resorts, Sarawak, jangan lupa untuk melawat serta melihat sendiri keunikan Batu Panggah yang dikatakan mirip seperti wajah seorang manusia.

Legenda Batu Panggah

Panggah bermaksud Rumah Kepala, jadi Batu Panggah merujuk kepada Batu Rumah Kepala yang merupakan lambang kisah cinta terlarang antara dua insan.

Kononnya, pada suatu ketika dahulu, terdapat dua buah kampung yang saling bermusuhan sehinggakan tiada seorang pun daripada mana-mana penduduk boleh menjejakkan kaki ke sempadan kampung yang lain.

Namun begitu, akhirnya terdapat seorang lelaki dan perempuan telah saling jatuh cinta antara satu sama lain.

Suatu hari, kisah cinta mereka sampai ke pengetahuan Tuai Rumah (ketua kampung) di kampung mereka.

Maka, suatu perintah telah dikeluarkan yang memberi arahan agar menangkap pasangan kekasih ini sama ada hidup atau pun mati!

Mendengarkan arahan tersebut, pasangan kekasih ini telah nekad untuk melarikan diri, namun nasib tidak menyebelahi mereka kerana semasa dalam pelarian, hujan lebat telah turun mencurah-curah membasahi bumi.

Akibat hujan yang amat lebat, maka kedua pasangan bercinta ini telah mengambil keputusan untuk berlindung di sebuah rumah kayu.

Tetapi, rumah yang dimasuki mereka bukanlah sebarangan rumah kerana ia merupakan sebuah rumah yang digelar Rumah Kepala.

Dikatakan Rumah Kepala ini menjadi tempat menyimpan kepala dan tengkorak sebagai simbol kemenangan.

Tambahan lagi, legenda telah mengatakan bahawa orang perempuan serta kanak-kanak adalah dilarang sama sekali daripada memasuki rumah tersebut.

Akibat daripada itu, kilat telah menyambar tepat ke Rumah Kepala lalu menukarkannya menjadi sebuah batu yang amat besar serta mempunyai wajah persis manusia.

Sejurus selepas panahan kilat itu juga, segala pintu keluar dari rumah tersebut telah ditutup dan kedua-dua pasangan itu terperangkap di dalamnya.

Akhirnya, apabila orang kampung sampai ke sana, maka tahulah mereka bahawa pasangan yang dicari mereka itu telah memasuki rumah itu kerana perubahan fizikal Rumah Kepala tersebut.

Maka, Rumah Kepala terus kekal sehingga sekarang menjadi batu yang diberikan nama Batu Panggah.

Siapa sangka di Malaysia juga terdapat batu seakan-akan mirip seperti batu di Kepulauan Easter.

Nampaknya, sebelum kita mengembara jauh ke Kepulauan Easter, eloklah kiranya jika mengembara di dalam negara terlebih dahulu.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: thevocket