Wednesday, July 06, 2022

Pemerkasaan Kesihatan Mental Teras Komuniti Yang Sejahtera

Pemerkasaan Kesihatan Mental Teras Komuniti Yang Sejahtera

Kesihatan mental yang merangkumi kesejahteraan dan keseimbangan emosi, psikologi dan sosial sering dipandang enteng dikalangan masyarakat kita. Stigma ini bukanlah perkara baharu akan tetapi, ia harus diubah.

Kesihatan Mental Teras Komuniti

Ia secara tidak langsung akan memberi impak kepada keluarga pesakit, seterusnya kepada komuniti dan masyarakat.

Mengikut statistik Kementerian Kesihatan Malaysia pada tahun 2015 sahaja, 29.2% rakyat Malaysia yang berumur 16 tahun dan ke atas mempunyai masalah kesihatan mental. Iaitu 1 daripada 3 rakyat Malaysia.

Kebanyakkanya yang berumur di antara 16 hingga 19 tahun dan juga di kalangan keluarga B40.

Perang melawan Covid19 juga ternyata memberi kesan kepada statistik ini terutamanya pada tahun 2021 di mana, ramai rakyat Malaysia kehilangan punca pendapatan, terputus hubungan dan kemurungan apabila tinggal bersendirian.

Ini dapat dilihat daripada peningkatan kes-kes bunuh diri, penceraian dan sebagainya.

Astro awani melaporkan pada Oktober 2021 bahawa sebanyak 638 kes bunuh diri telah dilaporkan sepanjang Januari sehingga Julai 2021. Ia merupakan peningkatan sebanyak hampir 60% bagi tempoh yang sama pada tahun 2020.

Antara punca utama terjadinya gangguan mental di kalangan masyarakat adalah kurangnya sokongan sosial. Pesakit mental lazimnya sering dianggap gila, meroyan dan berdrama.

Stigma-stigma ini haruslah diketepikan kerana mereka lebih memerlukan sokongan dan bantuan. Keadaan akan menjadi lebih teruk jika ia berterusan, terutamanya kesan kepada pesakit itu sendiri.

Mereka akan lebih suka menyendiri, malah ada yang mula berjinak-jinak dengan dadah.

Pensyarah Kanan Program Psikologi Klinikal dan Kesihatan Tingkah Laku, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Shazli Ezzat Ghazali, mengulas tentang kesihatan mental, "Terdapat banyak faktor mendorong kesihatan mental terjejas terutamanya tekanan psikologi yang disebabkan pelbagai perkara."

Mengulas lanjut, "Isu kesihatan mental juga akan menjadi lebih serius jika tiada mekanisma dan saluran yang betul dalam membantu golongan yang terkesan."

Sehubungan dengan itu, amatlah penting untuk kita bersikap prihatin dan sering bertanya khabar dengan keluarga, rakan-rakan dan diri kita sendiri yang mungkin mempunyai gejala-gejala gangguan mental.

Mengikut pandangan Mohd Ali Mahmood, Konsultan Pembangunan Masyarakat dan Kerja Sosial bagi 'BROMOHD-The Practice', gejala awal gangguan mental adalah seperti berikut:
  • Tidak dapat melakukan atau memberi tumpuan kepada tugasan harian.
  • Tidur atau makan yang keterlaluan atau tidak mencukupi.
  • Rasa tidak berdaya, tidak bermaya atau berputus asa.
  • Menjauhkan diri dari orang lain atau dari aktiviti kebiasaan.
  • Cepat naik berang dan kerap ingin bertengkar.
  • Mengeluh tentang rasa sakit yang tidak jelas puncanya.
  • Lupa-lupa, bingung dan berasa risau yang tidak menentu.
  • Berasa seolah-olah semuanya sudah tidak berguna.
  • Merokok atau meminum arak keterlaluan.
  • Rasa seperti ingin mencederakan diri sendiri atau orang lain.

Oleh itu, kita sebagai rakyat Malaysia harus peka dan cakna dengan keadaan sekeliling kita.

Jika ada diantara kita mengalami gejala-gejala awal masalah tekanan jiwa atau gangguan kesihatan mental, segeralah merujuk kepada pakar kesihatan mental agar kita dapat membantu menyelamatkan lebih ramai nyawa sebelum terlambat.

Sama-samalah kita sayangi diri kita, sayangi kesihatan mental, seterusnya melahirkan komuniti yang lebih sihat dan sejahtera.

Ayuh, Rakyat Malaysia!!

Penulis:
NAMA: NURUL AMIRAH KAMISAN
NO MATRIK: 2021856222
SARJANA MUDA KONUNIKASI MASSA (KEPUJIAN) PERHUBUNGAN AWAM, UITM SHAH ALAM

Rujukan:
Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
-Sentiasapanas.com

Tuesday, February 23, 2021

Sejarah Kenapa Ganja Dan Ketum Di Haramkan Penjajah British Adalah Untuk Menghalalkan Arak!

Sejarah Kenapa Ganja Dan Ketum Di Haramkan Penjajah British Adalah Untuk Menghalalkan Arak!

Dua tumbuhan asli dari bumi tropika adalah ganja dan ketum. Semua warga tahu apa itu ganja. Semua tahu apa itu ketum. Mustahil ada manusia waras yang mengada-ngada buat-buat tidak tahu dan kita yakin semua warga yang akil baligh pernah mendengar nama ganja dan ketum sekurang-kurangnya sekali, walaupun pastinya ramai belum melihat rupa dua tumbuhan ini.

Ganja

Mungkin juga ramai yang tidak tahu apa guna dan peranan dua tumbuhan luar biasa ini.

Kalau masih ada lagi yang kata tak pernah mendengar ganja dan ketum – kalaulah ada kuasa - gantung saja status kerakyatan hingga mereka kenal apa itu ganja dan apa itu ketum.

Jangan risau dan jangan kecewa kalau tak pernah melihat ganja dan daun ketum. Tidak pernah melihat dua tumbuhan ini bukan satu jenayah.

Penggunaan nama Latin untuk ketum dan ganja adalah mengarut. Ketum dan ganja mustahil akan tumbuh segar di tepi Sungai Tiber Rom Itali – tempat asal usul bahasa Latin.

Ramai tahu bahawa ganja dan ketum boleh hidup subur membiak di belakang kedai Pak Usin Batu Tujuh Bendang Raja Kuala Nerang.

Pasal itu ada daerah dan orang-orang kampung ini panggil Daun Ketum sebagai Daun Biak. Kerana senang membiak dalam alam bumi tropikal.

Penulisan tentang ketum dan ganja kali ini adalah dengan tujuan yang amat jelas. Bukan kerana diupah oleh tokan ganja atau tokan ketum. Tidak.

Ini ditulis untuk membuka pencerahan dan wacana baharu tentang sejarah dan punca 'kebencian' kepada daun ketum dan daun ganja.

Ini juga untuk menjadikan ganja dan ketum sebagai perbualan harian, membawang tentang ketum dan ganja dari sudut yang segar, cerah dan berpaksikan sejarah dan fakta.

Sentimen anti dari konstruk sosial

Sikap antiketum dan antiganja kini telah melebar. Sikap anti pada dua tumbuhan asli negara kita ini muncul melalui apa yang dipanggil akta dan undang-undang yang diluluskan melalui apa yang dipanggil parlimen.

Ahli parlimen dan senator – para YB - bertanggungjawab membuat dan meluluskan rang undang-undang.

Undang-undang ini adalah konstruk sosial yang diwujudkan oleh daulah. Konstruk sosial bukan azali. Ia adalah hasil perbuatan manusia. Ia tidak natural seperti petai dan kerdas atau pisang.

Konstruk sosial ini diwujudkan oleh manusia seperti rumah atau reban ayam.

Tetapi, ia bukan macam reban ayam yang boleh dilihat dan dipegang. Konstruk sosial tidak dapat dilihat. Tetapi ia wujud. Konstruk sosial wujud dengan agenda dan tujuan masing-masing. Semua kontruk sosial memiliki agenda.

Undang-undang kolonial

Selesai membaca tulisan ini, para pembaca yang budiman sila beri perhatian teliti. Baca dengan teliti apabila membaca berita tangkapan ganja atau ketum yang dilaporkan oleh media.

Pada hari Isnin, 1 Feb 2021, portal My Metro ada melaporkan sebuah lori dengan muatan 4.5 tan daun ketum ditahan dalam perjalanan dari Baling Grik Kedah ke Serambi Mekah.

Polis berkata: Suspek di reman sehingga 4 Februari depan untuk siasatan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

Pada 10 Jun 2020 portal Berita Harian telah melaporkan tentang sosok bernama Mat Tarzan dari Jalan Datuk Kumbar Alor Star telah ditahan kerana menanam ganja di halaman rumahnya.

Polis berkata: Kes disiasat mengikut Seksyen 6B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 kerana menanam pokok ganja dan Seksyen 15 (1) ADB 1952.

Setelah membaca dua berita ini, adakah pembaca nampak sesuatu?

Bukan nampak daun ganja atau daun ketum. Tetapi sesuatu yang amat menonjol. Selama ini ia tenggelam dalam laporan berita.

Selama ini mata kita hanya memerhati berapa kilo ganja dirampas atau berapa guni daun ketum ditemui dalam lori.

Gambar polis berhadapan dengan daun ketum atau air ketum juga mengalihkan pandangan kita untuk menjadi teliti.

Angka 1952 - perhatikan betul -betul – angka 1-9-5-2 - Akta Racun 1952. Akta Dadah 1952. Kuncinya di sini ialah angka 1-9-5-2.

Kenapa kita mengatakan angka 1-9-5-2 sebagai kunci?

Bro, 1952 ialah angka tahun akta itu dibuat. Sedarlah bahawa pada tahun 1952 kita belum ada Parlimen. Kita masih lagi dijajah oleh Inggeris.

Maknanya, undang-undang dan akta ini adalah hukuman dari kuasa kolonial Inggeris. Betul atau tidak?

Ini bukan undang-undang dari parlimen negara Malaysia. Tapi kuasa kolonial Inggeris dan Baginda Queen yang membuat udang undang ini.

Undang-undang anti ganja dan ketum ini dibuat oleh kuasa kolonial Inggeris. Sesudah fakta ini difahami maka kita akan masuk ke satu bab yang baru.

Fakta baharu ini ialah, di negara yang di jajah seperti Tanah Melayu - anak buah suku sakat kaum kerabat baginda Queen dari London awalnya datang dengan syarikat bernama East India Company.

Ini sebenarnya lanun laut yang dipayung oleh baginda Queen. Datang untuk menjarah harta kekayaan negara lain.

Lanun ini diberi taraf 'perniagaan' oleh baginda Queen. Mereka melanun atas nama baginda Queen. Dapat senjata dan bantuan laut dari baginda Queen.

Demi 'Menghalalkan' Arak

Lanun penjajah ini telah mendirikan kilang Tiger Beer di Singapura pada tahun 1932. Pada tahun 1933 kilang Anchor beer didirikan juga di Singapura. Dua beer ini amat terkenal dalam dunia ini. Dua-dua beer ini berasal dari air Kallang di Singapura.

Anak-anak muda jangan silap faham dan bertanya - ada apa tersangkut dengan Singapura.

Singapura ini adalah sebahagian dari Tanah Melayu. Pulau ini kita boleh nampak dari Johor Baharu. Kalau kita menonggeng beramai-ramai dan terkentut di Johor Baru mengarah ke Singapura mungkin ada bangunan yang akan runtuh di Woodland.

Bagaimana parti ketuanan Melayu - United Malays National Organisation belot hingga Singapura cabut lari – satu cerita lain. Bukan dalam kisah ganja dan ketum.

Apa yang hendak disampaikan disini ialah bagaimana kuasa kolonial Inggeris mahu memunculkan satu akta dan udang undang untuk melarang ketum dan ganja.

Undang-undang ini di buat pada tahun 1952. Akta anti ketum dan anti ganja ini muncul 20 tahun setelah Tiger dan Anchor bertapak di Singapura.

Nampak atau tak nampak?

Ketum

Tujuan undang-undang antiganja dan antiketum dibuat agar orang ramai lari dari menghisap ganja dan meninggal meminum air ketum untuk membeli bir buatan syarikat kolonial Inggeris.

Satu habuk pun kita tak percaya bahawa baginda Queen yang meluluskan akta antiganja dan antiketum ada niat untuk menjaga kesihatan anak-anak tanah jajahan. Poorah.

Niat kesihatan ini tak timbul. Kuasa kolonial Inggeris datang untuk menjarah Tanah Melayu. Apa boleh dirembat akan dirembat. Apa boleh dilanun akan dilanun. Gali, tebang dan jual. Ini rukun iman kuasa kolonial Inggeris.

Jangan lupa - rokok dan tembakau telah diperkenalkan ke Tanah Melayu seawal tahun 1912 – lebih awal dari Tiger dan Anchor.

Di Kelantan, walaupun klim sebagai Serambi Mekah menjadi wilayah penting untuk kaum tani menanam tembakau, tidak ada undang-undang anti rokok yang bersabit dengan kesihatan sehingga tahun 1977.

Para perancang syarikat beer pasti sedar bahawa ganja dan ketum adalah dua tanaman asli Tanah Melayu.

Ini memberi persaingan yang maha hebat kepada Anchor dan Tiger. Voila! Maka undang-undang yang berselindung di sebalik kesihatan dibuat.

Konon untuk mengawal dan menjaga kesihatan anak tanah jajahan dari makan racun. Maka dimunculkan Akta Racun 1952.

Pukrak mukrak apa? Ganja dan ketum tidak penah menjadi racun dalam alam Melayu. Tak ada siapa kena racun. Ganja dan ketum wujud selari dalam budaya kehidupan kaum tani, nelayan dan buruh cucu cicit sejak sekian lama.

Tiba-tiba para penjajah ini mengatakan ganja dan ketum ini racun. Ganja dan ketum tidak baik untuk kesihatan.

Bagi penjajah ini, untuk berehat dan bersantai salepas memburuh di bendang atau pulang dari menangkap ikan, buka sebotol Harimau atau sebotol Sauh.

Apakah para pembaca budiman tidak melihat kenapa harimau dari hutan dan sauh dari laut telah dijadikan logo?

Ini taktik kuasa kolonial Inggeris di belakang Akta Racun 1952. Tak percaya?

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: malaysiakini

Thursday, June 25, 2020

Kenapa Amerika Syarikat Negara Paling Teruk Diserang Virus Korona?

Kenapa Amerika Syarikat Negara Paling Teruk Diserang Virus Korona?

Amerika negara terkaya dalam dunia, hospital dan klinik tercanggih, memiliki pakar perubatan yang ulung. Bomoh dan tabib – kelas dunia tinggal di Amerika Syarikat. Hospital dan klinik lengkap dengan peralatan terbaru yang canggih-manggih. Universiti dan sekolah perubatan Amerika tersohor. Kaji selidik ilmu perubatan dan ilmu bidang sains terunggul dalam dunia, berpusat di sana.

AS Covid-19

Fakta menunjukkan seramai 336 warga Amerika adalah pemenang Hadiah Hadiah Nobel semenjak tahun 1901. Dari jumlah ini seramai 94 orang memenangi hadiah dalam bidang fisiologi dan perubatan.

Tetapi, kenapa Amerika Syarikat menjadi negara paling teruk diserang oleh korona. Serangan pandemik kali ini membuktikan Amerika tercorot dalam bidang menyelamatkan warga. Tercorot dalam bidang kesihatan awam. Apakah darah warga Amerika lebih enak untuk dibaham oleh Mat Korona. Tidak. Jawapannya ialah sistem.

Kematian dan statistik yang menonjol ini adalah manifestasi dari satu sistem. Untuk memahami persoalan Covid-19 dan pandemik ini kita wajib memahami apa sistem yang diguna pakai oleh Amerika Syarikat. Kita wajib memahami sistem ekonomi Amerika.

Pandemik Covid-19 ini telah memaksa dunia untuk mula berbincang tentang sistem perubatan awam. Berbincang tentang sistem kesihatan untuk rakyat teramai. Melalui perbincangan tentang kesihatan awam maka dengan sendirilah terbuka luas perbincangan tentang sistem ekonomi.

Pada ketika ini seluruh dunia sedang berbicara tentang sistem ekonomi. Kalau dahulu hanya kaum Marxis, kaum Sosialis dan kaum kerabat kiri sahaja yang membincang dan menimbulkan wacana tentang sistem ekonomi. Kali ini perbualan dunia ialah sistem, sistem dan sistem.

Virus korona telah memaksa warga dunia untuk memahami bahawa di belakang kehidupan moden hari ini wujud satu sistem. Budaya, gaya hidup, nilai, kepercayaan, moral dan semua ciri kehidupan kita hari ini adalah manifestasi dari satu sistem.

Sistem ini ialah sistem ekonomi kapitalis. Apakah dia yang dipanggil sistem ekonomi kapitalis?

Sistem ekonomi kapitalis muncul sesudah runtuhnya sistem feudal, yang menobatkan raja sebagai punca kuasa. Semua kuasa dimiliki dan berpusat kepada istana dan raja. Orang ramai bekerja untuk raja. Tanaman, buah-buahan, ternakan ayam, itik, kambing lembu boleh diambil oleh raja bila bila masa sahaja. Malah anak dara dan isteri sendiri pun boleh dirembat oleh raja jika tuanku berkenan.

Tenaga tulang empat kerat rakyat jelata boleh dikerah oleh raja untuk membuat apa sahaja kerja. Jika raja berperang maka rakyat jelata akan dikerah untuk menjadi soldadu mempertahankan raja.

Sistem feudal ini masih ada. Di Saudi Arabia, di Negara Arab Teluk dan juga di Brunei sistem ini masih diguna pakai. Amat jelas ada kerjasama paling intim dan bersekongkolan yang rapat antara kaum feudal dengan kaum agamawan. Masjid dan istana sepakat.

Raja membunuh jika kamu ingkar. Golongan agamawan akan menandatangani surat untuk menghantar kamu dibakar api neraka jika kamu ingkar. Dua lembaga – istana dan masjid - bekerja rapat menakut-nakutkan dan mengancam orang biasa. Tujuan ancaman hanya satu untuk mengumpul dan memiliki harta kekayaan demi kesenangan dalam hidup.

Jangan silap baca: istana dan masjid dan tulisan ini bukan bangunan. Masjid dan istana ini adalah lembaga daulah.

Sistem ekonomi feudal ini dilawan oleh golongan baru yang merasakan sistem ini tidak adil. Kaum baru ini bangun memberontak dan memenggal kepala raja.

Golongan baru ini membawa sistem ekonomi kapitalis. Kuasa raja dan masjid mula diketepikan. Raja dan masjid bukan lagi punca utama kuasa daulah.

Kini harta kekayaan boleh dimiliki oleh sesiapa sahaja. Kalau dalam sistem feudal yang dibenarkan mengumpul harta kekayaan hanya raja dan kaum kerabat istana. Kini dalam sistem baru – sistem ekonomi kapitalis individu – orang persendirian dibolehkan mengumpul harta. Mereka dipanggil pemaju, pemodal, tuan tanah, atau tauke. Sesiapa saja yang ada modal boleh menjadi kapitalis.

Sistem ekonomi kapitalis ini berpaksikan keuntungan maksimum. Rukun iman kaum kapitalis ialah untung. Apa sahaja yang menguntungkan akan diniagakan oleh kaum kapitalis. Apa yang boleh beli akan dibeli – apa boleh dijual akan dijual – asalkan semua membawa keuntungan.

Kaum kapitalis dan kaum pemodal ini akhirnya akan memiliki punca-punca pengeluaran. Punca pengeluaran bermakna – tanah, kilang dan bank – akan dimiliki oleh kaum pemodal.

Orang ramai, rakyat biasa akan menjadi pengguna. Orang ramai akan didorong dan dikandang untuk membeli hasil barangan – produk - yang telah dikeluarkan oleh kilang milik kaum kapitalis.

Pengeluaran bahan produk yang dihasilkan oleh kaum kapitalis hanyalah dengan satu tujuan, membawa keuntungan. Jual beli kaum kapitalis hanya berlaku jika ada untung. Untung. Untung dan cari untung. Untung adalah wirid kaum kapitalis. Untung ialah kiblat dan Rukun iman kaum kapitalis.

Kaum kapitalis akan sedaya upaya tidak mahu diganggu gugat dalam menjalankan perniagaan mencari untung. Dalam masa yang sama saki baki raja dan istana juga boleh bekerjasama dalam usaha mencari untung.

Kerabat sultan atau puteri atau putera raja "di-ahlanwasahlan" untuk berniaga atau membuat projek. Begitu juga masjid tidak dilupuskan dari budaya meniaga dan mencari untung. Dalam sejarah, menjual agama adalah perniagaan kedua tertua dalam dunia.

Masjid masih wujud, kini diambil sebagai rakan baik kaum pemodal. Ini penting untuk mengeluarkan nas dan hadis bagi mengharamkan sesuatu yang tidak menguntungkan kaum kapitalis. Atau menghalalkan sesuatu yang membawa keuntungan kepada kaum pemodal.

Kepada yang keras kepala dijanjikan api neraka. Jika masih keras kepala ditakrif sebagai penganut ajaran sesat. Seperti di Arab Saudi dituduh murtad untuk dipancung kepala sesudah sembahyang Jumaat di hadapan masjid.

Peranan minimum daulah

Dalam sistem ekonomi kapitalis peranan daulah adalah minimum. Daulah hanya diperlukan untuk mengadili jika berlaku perbalahan – sebagai contoh - antara pemaju perumahan dengan setinggan. Lagi jauh daulah berperanan dari urusan perniagaan, lagi molek dan lagi maju jaya kaum kapitalis.

Apa sangkut paut sistem kapitalis ini dengan serangan virus korona ke atas Amerika Syarikat?

Jawapannya: Sistem ekonomi kapitalis Amerika telah gagal menangani serangan korona. Amerika walaupun dengan kecanggihan hospital, klinik dan makmal perubatan – telah gagal. Amerika tercorot dalam usaha melawan Covid-19.

Sistem ekonomi kapitalis tidak memiliki keupayaan hakiki untuk melawan pandemik yang berlaku.

Di Amerika yang disembah ialah keuntungan. Maka semua sistem perubatan di Amerika didirikan untuk mencari untung. Jika tidak ada untung maka klinik dan hospital tidak akan didirikan. Kesihatan menjadi bahan perniagaan. Orang sakit diperniagakan. Lagi ramai sakit lagi molek untuk bisnes.

Perubatan menjadi industri. Perubatan bukan lagi untuk memastikan kesihatan orang ramai dijaga baik. Kesihatan warga negara dijadikan komoditi untuk diniagakan seperti jual beli sawit dan getah.

Kesihatan maknanya keuntungan. Orang ramai hanya pengguna. Siapa ada duit akan mendapat rawatan. Siapa tak ada duit mati di tangga pintu hospital, maka warga Amerika yang tidak memiliki insuran perubatan tidak akan dapat rawatan perubatan.

Sebelum mendaftar ke hospital perlu dibuktikan memiliki dana dalam akaun bank, memiliki sijil insuran atau cagaran harta. Inilah namanya sistem ekonomi kapitalis.

Justeru yang banyak mati di Amerika adalah mereka yang miskin. Mereka yang tidak ada modal untuk mendapat rawatan hospital. Mereka yang tidak ada duit kerana hilang pekerjaan.

Data menunjukkan majoriti yang mati kerana Covid-19 di Amerika adalah orang hitam, Latin, kaum pendatang yang halal dan yang haram. Ini termasuk warga miskin kota yang tidur di tepi jalan atau di lorong-lorong.

Tangan ghaib

Daulah di Amerika tidak memiliki peranan. Kaum kapitalis di Amerika berjaya menafikan daulah dari mendirikan hospital atau klinik. Menjaga kebajikan rakyat dan kesihatan rakyat bukan tugas kerja daulah. Kapitalisme mengikut teori wujud - tangan ghaib – yang akan menguruskan semua. Daulah hanya jadi saksi.

Dalam sistem ekonomi kapitalis, semua orang diwajibkan melepaskan pucuk masing-masing. Aku untuk aku. Kau untuk kau. Semangat kekitaan dan kemasyarakatan bukan akidah ajaran sistem ekonomi kapitalis.

Komuniti dan konsep gotong-royong, kerjasama atau berseraya tidak dibenarkan wujud dalam sistem ekonomi kapitalis. Tolong-menolong dan bantu membantu akan membantutkan dan menghalang keuntungan maksimum. Tenaga kerja adalah komoditi untuk dijual beli bukan untuk dihadiah atau disedekahkan.

Apa terjadi dari 18 Mac 2020 hingga ke 19 Mei 2020?

Ini sesudah WHO mengumumkan pandemik Covid-19. Ini sesudah Wuhan menjadi buah mulut warga dunia. Apa terjadi di Amerika pada tarikh ini?

Dalam masa dua bulan ini berjuta warga Amerika hilang pekerjaan. Berjuta beratur untuk mendapat stem makanan.

Hari ini seramai 42 juta warga Amerika telah hilang pekerjaan. Mereka tergelincir jatuh hilang kerja terus menjadi statistik warga miskin dalam negara terkaya dalam dunia.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: malaysiakini

Friday, January 24, 2020

Apabila Ahli Agama Menjadi Batu Api

Apabila Ahli Agama Menjadi Batu Api

Di Malaysia, ada dua isu besar sedang menjadi penyakit yang jika tidak diatasi boleh menjadi barah berbahaya kepada negara, iaitu isu perkauman dan isu sentimen agama. Dua isu ini bukan semata-mata melanda negara kita yang tercinta ini, malah polemik sama juga menimpa negara jiran kita, Indonesia.

Ahli Agama Batu Api

Semenjak pilihan raya Indonesia (Pemilu), kelihatan bagaimana sentimen keagamaan dan pribumi membelenggu situasi masyarakat Indonesia.

Lebih menyedihkan, Pemilu yang merupakan mekanisme memilih pemimpin dicemari siri kekacauan sehingga pertumpahan darah.

Perkara sebegini tidak wajar berlaku di negara kita dan semoga negara kita dan negara jiran sentiasa diberikan keamanan oleh Allah.

Apa yang kita lihat terjadi di Indonesia, dari beberapa sudut, tidak jauh beza dengan apa yang berlaku di Malaysia.

Yang menjadi masalah adalah, sentimen perkauman dan agama, bukan dikepalai oleh rakyat biasa, tetapi menjadi "makanan harian" bagi kalangan asatizah (ustaz-ustaz) yang dibenarkan berceramah dan berkuliah di masjid dan surau di seluruh negara.

Sebagai ilmuan dan dai Islam, apabila melihat kekacauan dan permusuhan yang sedang dan bakal berlaku, sikap yang perlu ada adalah berusaha sedaya mungkin memadamkan api permusuhan.

Tetapi ini tidak berlaku pada sebilangan ilmuan dan dai Islam di Malaysia. Lebih menyedihkan, api permusuhan itu diminyaktanahkan oleh mereka, termasuklah mereka yang bergelar mufti.

Mereka sendiri yang menuduh kalangan yang berbeza dengan mereka sebagai "musuh Islam" dan "munafik".

Mereka sendiri yang mengangkat sentimen perkauman, walhal ada pendekatan yang lebih bijaksana - menjadi duta keamanan.

Jika kita teropong apa yang sedang berlaku di negara kita, perkara sebegini sebenarnya berlaku.

Lihatlah kepada dua isu yang terdekat dengan kita; Jawi dan Zakir Naik. Walhal, kedua-dua isu ini boleh diatasi dengan bijaksana.

Tetapi, kebijaksanaan itu ditenggelamkan dengan sentimen sebilangan asatizah, sehingga suasana di media sosial amat membimbangkan.

Apatah lagi, minyak tanah yang menyuburkan kebimbangan ini bersulamkan tafsiran-tafsiran ayat al-Quran dan hadis yang bercanggah dengan maqasid dan tujuannya.

Mengenang Al-Ghazali

Kita sebenarnya amat berbangga apabila negara ini mengangkat Syeikh Abdullah bin Bayyah sebagai tokoh Maal Hijrah buat kali ini.

Seakan-akan tepat dengan masanya, beliau diangkat sebagai tokoh Maal Hijrah pada saat sentimen agama dan perkauman sedang rancak dimainkan oleh sebilangan agamawan dan asatizah di Malaysia.

Syeikh Bin Bayyah yang merupakan salah seorang ulama terkenal yang berasal Mauritania, bukan sekadar dalam negara, malah dunia mengiktiraf beliau sebagai tokoh keamanan.

Bagi yang mengikuti perkembangan Syaikh Bin Bayyah dari apa saluran pun, pasti akan mendapati bahawa tidak pernah terungkap sebarang perkataan yang boleh membawa kepada perbalahan.

Malah, mulut beliau pasti akan terungkap seruan agar berhenti dari permusuhan, sama ada terhadap sesama Muslim mahupun terhadap masyarakat bukan Muslim.

Menarik berkenaan Syaikh Bin Bayyah, beliau boleh dikatakan antara ulama yang berjaya mengolah tradisi ilmu Islam untuk diadaptasi dalam kerangka masyarakat yang pelbagai - kalau diadaptasikan, ia boleh memberi implikasi keamanan.

Bukan tidak ada, tetapi pendekatan beliau boleh dikatakan agak jarang dapat dilakukan oleh ramai ilmuan dunia.

Sepertimana kita mengetahui dahulu terdapat seorang tokoh ilmuan Islam yang terkenal bernama Al-Imam Al-Ghazali.

Kemahiran beliau menggabungkan tradisi ilmu fikah dan tasawuf amat membanggakan, yang dapat kita lihat melalui tulisan beliau yang terkenal - kitab Ihya' Ulum al-Din.

Pendekatan Al-Imam Al-Ghazali amat dekat dalam masyarakat Islam sedari awal.

Ekoran itu, umat Islam lebih mengenali al-Imam Al-Ghazali berbanding anak al-Imam al-Syafie, walhal Al-Imam Al-Ghazali itu adalah ulama mazhab Syafie; masyarakat Islam ketika itu lebih mengenali kitab Ihya' Ulum al-Din karya Al-Imam Al-Ghazali berbanding kitab al-Umm karya Al Imam al-Syafi'i.

Bukan kerana Imam Syafie tidak hebat, tetapi pendekatan dengan menggabungkan fikah dan tasawuf seperti terdapat dalam Ihya' Ulum al-Din amat dekat dengan masyarakat umat Islam.

Sementara itu, apabila kita meneliti dan mempelajari banyak karya dan syarahan Syeikh Abdullah bin Bayyah, kita dapati, pendekatan beliau tidak jauh beza seperti yang dibawa oleh al-Imam Al-Ghazali.

Oleh itu, pendekatan Syeikh Abdullah bin Bayyah amat baik untuk dijadikan teladan bagi para asatizah di Malaysia.

Apatah lagi, apabila kita meneliti dalam banyak komentar ilmuwan Islam dan barat berkenaan Syeikh Abdullah bin Bayyah, rata-rata mereka mengakui bahawa Syeikh adalah seorang ilmuwan Islam yang amat dekat dengan keamanan.

Akal faqih, jiwa sufi

Bagi mereka yang mendalami pengajian Islam, walaupun banyak, tetapi kebiasaannya ada tiga perkara yang amat ditekankan; fikah, akidah dan tasawuf.

Perbincangan berkenaan akidah berorientasikan kepada kepercayaan dan keyakinan dalam agama.

Fikah pula berorientasikan kepada amalan perbuatan. Sedangkan tasawuf berorientasikan kepada pembinaan hati dan jiwa; hindari sifat-sifat buruk (mazmumah) dan membina sifat-sifat terpuji (mahmudah).

Guru agama yang terlibat dalam perbincangan akidah dan tasawuf, mereka mampu memberi pemahaman yang mendalam berkenaan kepercayaan, keyakinan dan amalan perbuatan.

Pun begitu, tidak semestinya mereka mampu menjadi manusia yang budiman, kerana kekurangan tasawuf.

Dengan sebab itu, kita akan dapati terdapat guru agama yang hebat dalam perbahasan akidah dan fikah, tetapi dalam masa yang sama menuduh Muslim yang berbeza pendapat sebagai sesat, kufur dan munafik.

Juga tidak sedikit, mudah menuduh kalangan yang berbeza agama dengan mereka sebagai musuh Islam atau anti-Islam. Dengan sebab itu, pendekatan Syaikh Bin Bayyah ini wajar diangkat.

Bukan tidak ada ulama lain, tetapi manhaj dan pendekatan Syaikh Ben Bayyah yang berjaya mengangkat wacana tasawuf yang digabungkan dengan ilmu fikah dan akidah, menjadikan keputusan hukum yang dikeluarkan beliau mempunyai sifat yang cukup manusiawi.

Dengan itu, kita akan dapati tidak ada sebarang elemen permusuhan datang dari ucapan beliau walaupun sebesar butir pasir.

Ketika wujud pertembungan dan perbalahan, kita akan dapati ucapan beliau adalah memadamkan api permusuhan.

Demi memastikan negara kita ini aman damai, bukan sekadar manhaj dan pendekatan, malah watak ini, wajar diteladani oleh para asatizah di Malaysia.

Di negara Arab, masyarakat mereka biasanya satu bangsa, walaupun wujud kepelbagaian agama. Demikian juga negara selain Arab, seperti Turki, Iran, Pakistan dan sebagainya.

Di negara barat juga tidak jauh beza. Walaupun wujud kepelbagaian bangsa, tetapi sesuatu bangsa itu tidak mewakili sesuatu agama.

Keadaan ini sudah pasti tidak sama dengan Malaysia, kerana setiap bangsa kelihatan seperti mewakili sesuatu agama.

Walaupun bukan kemestian, tetapi dari sudut persepsi di Malaysia, Melayu dianggap seperti mewakili agama Islam, India seperti mewakili agama Hindu dan Cina pula seperti mewakili agama Buddha.

Keunikan masyarakat Malaysia ini, sewajarnya dianggap satu kebanggaan negara kita.

Kita sebagai warganegara Malaysia perlu membuktikan kepada dunia bahawa kepelbagaian agama dan bangsa dalam negara ini tidak menjadikan kita berbalah.

Malah, kita sepatutnya mampu duduk bersama-sama dengan harmoni, kasih sayang dan saling menghormati.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: malaysiakini

Tuesday, January 21, 2020

Hipokrit Politik: Bukan Bahaya Rokok, Tapi Gaya Hidup

Hipokrit Politik: Bukan Bahaya Rokok, Tapi Gaya Hidup

Kepada menteri kesihatan Pakatan Harapan yang dihormati. Saya seorang perokok tegar. Saya menghisap tiga kotak rokok kretek sehari. Saya berbangga dengan rokok saya. Saya tidak peduli sama ada Humphrey Bogart dan Lauren Bacall mengisap rokok atau tidak.

Rokok Vape Haram

Saya tidak terpengaruh oleh Hussein Abu Hassan dengan Players Gold Leafnya ataupun dengan Inchek Clint Eastwood dengan cigarillonya.

Berkepul-kepul asap rokok keluar dari mulut bintang filem yang kacak, yang cun dan yang jambu.

Semua ini tidak akan mempengaruhi saya. Ini kerana saya tahu nikmat rokok. Saya tahu nikmat menghisap rokok sesudah makan. Saya tahu nikmat rokok ketika bersembang. Saya tahu nikmat rokok ketika menghirup secawan kopi pekat. Saya juga tahu nikmat rokok sesudah berjimak.

Saya juga tahu nikmat ganja. Saya tahu nikmat air ketum dan air anggur. Saya tahu nikmat bir.

Bukan hanya Tunku Abdul Rahman atau Tun Razak atau Sulaiman Brandy sahaja yang tahu nikmat brandy. Saya juga tahu apa itu XO Cognac. Semua ini tak sedap.

Justeru, kepada yang tidak merokok. Kepada yang tidak pernah menghisap ganja. Kepada yang tak pernah menghidu kokain. Kepada yang tidak pernah minum beer atau whisky sila jangan sesekali berkata 'semua ini tak sedap, tak shiok, bahaya pada kesihatan..'

Kalau belum pernah minum Dom Pérignon. Kalau belum minum Moët Chandon. Kalau belum meneguk Mort Subite atau tak tahu apa itu Duvel sila jangan perlekehkan peminum air anggur, todi, air tapai, tuak atau langkau. Atau memperlekeh penghisap rokok.

Maknanya - jika tak pernah ada ramai kekasih - kalau hanya ada seorang isteri atau kalau yang dipeluk hanya sang suami, jangan sesekali berkata bertukar pasangan itu tiada nikmat.

Tak pernah buat ertinya tak pernah tahu. Sudah buat baru tahu. Belum buat belum tahu.

Saya dikenalkan dengan kretek oleh Tongkat Waran (nama pena Usman Awang). Ini pada tahun 1972. Saya tidak tahu berapa harganya pada ketika itu.

Saya tidak tahu dari mana si Tongkat ini mendapat kretek. Setiap kali bertemu Tongkat saya akan menjadi 10,000 kali lebih puitis jika Tongkat menghulurkan Gudang Garam.

Adik saya meninggal dunia pada jam 1.00 pagi Selasa 22 Januari 2019 yang lalu. Arwah ini lima tahun lebih muda dari saya, dan bukan perokok.

Di kereta adik saya ada terlekat sticker McDonald. Pernah saya bertanya apa tujuan sticker ini.

Jawabnya: "Senang nak masuk beli burger di Seremban..."

Apabila kawan-kawan bertanya apa sakit adik saya hingga membawa maut. Saya akan jawab, "tak ada penyakit. Dia meninggal dunia kerana life style, kerana gaya hidup. Dia meninggal dunia tanpa serangan kuman, tidak diserang virus."

Ramai kawan-kawan tidak faham jawapan saya ini. Maka tulisan ini bertujuan untuk menerangkan apa itu gaya hidup yang menyebabkan mati.

Saya ingin menerangkan bagaimana ramai warga dunia hari ini hidup dalam marabahaya yang amat sangat.

Bahaya ini bukan dari rokok. Bukan kerana air anggur. Bukan kerana todi, samsu atau beer. Tetapi kerana gaya hidup.

Ingatan pada roh adik

Justeru, sebagai ingatan kepada roh adik saya, lalu saya menulis surat ini kepada menteri kesihatan Pakatan Harapan.

Pak menteri yang saya hormati,

Saya mengalu-alukan tindakan kerajaan saudara memperkenalkan undang-undang dan peraturan baru menghisap rokok.

Saya gembira kerana kerajaan dan jabatan kesihatan yang saudara pimpin merasa bertanggungjawab terhadap kesihatan warganegara. Amin. Syabas. Tahniah.

Tetapi hati kecil saya berkata - betulkah kerajaan baru ini prihatin terhadap kesihatan warga negara?

Atau ini hanya kempen popular yang tidak masuk akal? Atau ia hanya anti-rokok kerana pak menteri sendiri tidak pernah menghisap rokok?

Saya berani bertanya sedemikian kerana saya kurang yakin terhadap kempen anti-rokok yang dikaitkan dengan kesihatan.

Saya melihat kempen anti-merokok ini dijalankan di Malaysia kerana ada negara lain pun telah berbuat demikian.

Saya melihat pak menteri menjadi pak turut. Kita bukan menjadi pemecah ruyung. Kita bukan menjadi pemula. Kita tidak memulakan apa-apa.

Saya kurang yakin sebab musabab larangan merokok ini berasaskan keprihatinan kerajaan Pakatan Harapan terhadap kesihatan warga negara.

Apakah ini suara kurang ajar dari saya? Apakah saya mempertikaikan kesucian hati pak menteri dan kerajaan Pakatan Harapan? Kerajaan yang saya sokong.

Tidak. Saya tidak kurang ajar. Malah saya menyokong semua langkah kerajaan Pakatan Harapan untuk menjadikan warga negara sihat. Amin.

Pak menteri yang saya hormati,

Saya ingin memberi tahu bahawa ada satu lagi perkara yang lebih bahaya dari rokok.

Tetapi, hingga ke hari ini pak menteri gagal memaparkan dan memberitahu kepada orang ramai.

Perkara ini gagal diumumkan kepada warga negara. Ini malapetaka yang amat sangat. Malapetaka yang berjuta kali lebih bahaya dari rokok.

Musibah kesihatan

Bahaya Kencing-Manis

Perkara yang amat bahaya daripada rokok ini ada terlekat di cermin kereta arwah adik saya. Malah mungkin beratus-ratus kereta lagi ada terlekat sticker laknat ini.

Pak menteri kesihatan dan kerajaan Pakatan Harapan telah gagal menerangkan secara tuntas dan ilmiah kepada warga negara tentang bahaya dan musibah terhadap kesihatan yang dibawa oleh gaya hidup industri makanan segera.

Di Eropah dan Di Amerika makanan seperti McDonald dan Kentucky ini dipanggil 'junk food' (makanan tidak berkhasiat).

Mengikut istilah Dewan - junk - ialah sampah. Food ialah makanan. Junk food ertinya makanan sampah. Khalas.

Makanan sampah ini bahaya kepada kesihatan. Pak menteri seorang penganut Islam yang baik pasti ada terjumpa ayat-ayat tentang haramnya memakan sampah dan bahan-bahan kotor.

Satu kajian ilmiah baru dari School of Medical Sciences University New South Wales Australia telah membuktikan bagaimana makanan sampah ini boleh mengubah perjalanan saraf otak manusia hingga menjadikan seseorang itu gemok hotok.

Kenapakah pak menteri tidak memberi tahu rakyat dan warga negara secara jujur bahawa makanan sampah ini lebih banyak membunuh orang dari bencana perang, bencana kebuluran dan genocide.

Portal Daily Nation pada 12 Jun 2014 telah melaporkan kenyataan Anand Grover tentang makanan sampah. Anand Grover ialah Wakil Khas Hak Kesihatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu - United Nation.

Mengikut laporan kajian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) ini seramai 2.8 juta orang mati saban tahun akibat makanan sampah.

"The culprit is 'junk food'," Mr Grover said.

"Containing high levels of sugar, salt, trans-fats and saturated fats, this 'junk’ has unfortunately replaced healthy foods in our diets."

'Kepala setannya ialah makanan sampah…' Ini kata-kata rasmi daripada PBB.

Peluang menjadi murung

Malaysia negara haram

Amat jelas makanan sampah ini membawa bahaya terhadap kesihatan. Membawa maut awal. Mengakibatkan serangan jantung. Badan menjadi gemuk hotok. Ini membawa kencing manis.

Makanan sampah juga membawa murung, boleh membawa penyakit otak dan barah.

Satu kajian dari Public Health Journal yang diumum pada 30 Mac 2013 menunjukkan warga yang berbudayakan makanan sampah memiliki 51 peratus peluang untuk menjadi murung.

Ini bukan kelentong. Ini fakta ilmiah. Ini kajian Pertubuhan Bangsa Bersatu. Tapi sayangnya pak menteri kesihatan hanya bergerak separuh jalan. Hanya berkempen antirokok.

Pak menteri,

Apakah pak menteri benar-benar jujur dan serius untuk menjaga dan mengawasi kesihatan warga negara?

Betulkah pak menteri ingin menjaga dan mengawasi kesihatan anak semua bangsa? Ingin melihat bangsa semua agama sihat wal afiat.

Jika pak menteri jujur maka kempen seterusnya ialah memberitahu bahawa makanan sampah seperti Mc Donald dan suku sakatnya amat merbahaya kepada kesihatan.

Makanan sampah lebih bahaya daripada rokok atau pun sama bahayanya.

Pak menteri,

Jadilah seorang pemula. Jadikan diri pak menteri seorang pemecah ruyung. Jadikan diri seorang yang berani. Jadikan diri seorang yang jujur dan berani berkata benar.

Saya memberi cadangan. Pada awalnya umumkan kepada warga negara - anak semua bangsa tentang bahaya makanan sampah. Mulakan kempen kesedaran. Beri pencerahan.

Di sekolah, di masjid, di surau, di kuil, di gereja, di kaca televisyen, di media - terus menerus beri penerangan dan pencerahan tentang bahaya makanan sampah.

Adakan kempen Jom Tinggalkan Makanan Sampah. Jemput pemikir, cerdik pandai dari kampus dan kolej untuk berforum secara ilmiah tentang bahaya makanan sampah.

Rasa saya, pembuat filem dokumentari Morgan Spurlock boleh dijemput untuk memberi kuliah dan pencerahan tentang bahaya makanan sampah bernama McDonald.

Kuliah berasaskan filem Super Size Me yang dibuat oleh Morgan pada tahun 2004. Filem ini telah dicadangkan untuk mendapat Hadiah Academy.

Bila telah ada kesedaran dan pencerahan maka pada hemat saya ada beberapa langkah seterusnya wajib dilakukan.

Saya mencadangkan agar kerajaan Pakatan Harapan meluluskan Akta Makanan Sampah 2021 di parlimen.

Dalam Akta Makanan Sampah 2021 ini secara jelas ditulis bahawa makanan sampah membawa mudarat kepada kesihatan.

Justeru, semua restoran makanan sampah wajib memaparkan papan tanda tentang bahaya memakan makanan sampah.

Juga pada setiap kotak dan pembungkus makanan sampah wajib ada tanda bahaya dan gambar sosok jantan ata betina murung yang sugul dan mungkin jadi sasau.

Atau gambar sosok jantan dan betina yang gemuk hotok dan hodoh. Ini sama saperti gambar-gambar barah yang menakutkan yang diletakkan pada tiap-tiap kotak rokok.

Pak menteri yang saya hormati,

Jangan silap faham. Saya bukan berkempen menentang kempen antirokok pak menteri. Saya menyokong kempen ini.

Ops, hampir terlupa, saya telah sepuluh tahun berhenti merokok.

Dan dalam ingatan - saya hanya pernah sekali masuk ke restoran McDonald di Picadilly Circus London. Itu pun untuk menggunakan jambannya sahaja. Amin.

BACA INI JUGA:

sumber: malaysiakini

Monday, January 06, 2020

Benarkah Jika Rajin Bekerja Kita Jadi Kaya-raya?

Benarkah Jika Rajin Bekerja Kita Jadi Kaya-raya?

Tun Mahathir dalam ucapannya telah mengkritik dan memberi analisa kenapa orang Melayu dan mungkin juga termasuk bumiputera lain, corot dalam hal pencapaian ekonomi dan meminta semua pihak supaya tidak berasa “iri hati” dengan orang kaya.

Rajin Bekerja Jadi Kaya

Analisa dan pandangan Mahathir ini sebenarnya tempang, lompong dan tidak lengkap. Bunyi dan nada hujah Mahathir ini telah selalu kita dengar. Melayu segan bekerja. Memilih kerja. Enggan kerja susah. Tidak mahu kerja kotor. Suka kerja dengan kerajaan yang ada pencen.

Pandangan Tun Mahathir ini tidak semuanya tepat dan betul. Malah hujah Mahathir ini amat klise. Hujah ini dituturkan tanpa asas ekonomi yang boleh merungkai secara tuntas kenapa Melayu dan bumiputera corot dalam ekonomi.

Tun Mahathir jelas bertukang tanpa alat yang lengkap untuk memahami kenapa Melayu dan bumiputera corot dalam ekonomi. Alat pertukangan Mahathir tidak lengkap. Sesiapa sahaja yang berhujah tentang ekonomi tanpa menggunakan tukul dan paku Marxis maka analisa itu akan tempang dan tidak tuntas.

Cuba kita analisa hujah yang selalu kita dengar; jika seseorang bekerja kuat dan rajin bekerja maka orang ini akan berjaya dalam kehidupan. Berjaya ertinya memiliki harta kekayaan. Kata-kata kunci di sini ialah rajin dan kerja kuat.

Hujah ini adalah hujah hampeh daripada kaum kapitalis yang boleh kita jentik dengan mudah menggunakan lojik akal untuk membuktikan pandangan ini karut.

JIKA..

Jika kerja kuat, jika rajin bekerja – jika teori ini tepat dan betul - maka orang yang paling berjaya dalam dunia ini pastilah Minah Nazarawit Udunga dari kampung pedalaman Ethiopia yang berjalan empat batu berulang alik tiga empat kali sehari untuk mengambil air minuman demi keluarga serta lembu, kambing dan tanamannya.

Jika kuat kerja dan rajin bekerja akan berjaya dan jadi kaya, pastilah Meena Kumari dari Tamil Nadu yang mendukung anak kecil di sebelah kanan manakala tangan kiri menjunjung sebuntil gandum ketika sedang berkerja di ladang milik seorang Zamindar akan jadi kaya.

Jika rajin dan kuat bekerja akan menjadi kaya-raya maka yang akan jadi kaya-raya pastilah Kak Bibah di Kampung Banggol Dedap Kedah yang dari awal subuh telah turun ke sawah.

Sebelum ke sawah memasak air dan menyediakan sarapan apa yang ada untuk anak dan suami. Tengah hari pulang dari sawah, Kak Bibah akan memasak apa yang ada untuk makan tengah hari. Sebelah petang Kak Bibah merembas cangkul di belakang rumah dengan harapan pisang dan terung belanda akan hidup subur.

Jika rajin dan kuat bekerja akan jadi kaya-raya maka taikun di Malaysia pastilah Alang Dusin dari Kuala Muda Kedah yang ke laut melawan ombak berhari-hari untuk menangkap ikan.

TEORI DONGENG

Lalu kita bertanya, betulkah Vincent Tan kuat bekerja walhal dia sendiri tidak pernah turun menapak melihat setiap kedai judi miliknya? Apakah Vincent bekerja keras bermati-matian menjual nombor?

Apakah betul Ananda Krishnan kuat bekerja maka dia jadi kaya-raya? Boleh saya berikan sebuah TV saya yang rosak agar tuan pemilik stesen Astro ini membaikinya? Saya akan bayar upah untuk menambah kekayaan beliau.

Betulkah Lim Goh Tong rajin dan kuat bekerja siang dan malam tak tidur sambil melaung dan menjerit memanggil duit untuk bertaburan datang berlonggok-longgok, hingga menjadi bukit menyembah kaki Lim Goh Tong?

Apakah betul Tuan Haji Daim Zainuddin rajin? Dia menapak dari rumah ke rumah menjual garam hingga dia jadi kaya. Kemudian Tuan Haji Daim ini membanting tulang membancuh simen dan mengatur batu-bata untuk mendirikan 58 tingkat Menara Ilham untuk didudukinya?

Apakah betul Tuan Haji Syed Mokhtar rajin dan kuat bekerja? Tuan Haji ini memikul setiap guni beras yang masuk secara halal dan haram ke Malaysia. Kemudian Tuan haji ini membungkus beras ini untuk dipikul dan dihantar dari kedai ke kedai untuk dipasarkan. Hasilnya Tuan Haji ini jadi kaya-raya.

Jelas rajin dan kuat kerja ini adalah teori hampeh yang sengaja ditaburkan oleh kaum kapitalis dan para penyokong sistem kapitalis. Teori rajin dan kuat bekerja jadi kaya ini cuba membuktikan bahawa orang yang gagal dan corot dalam pencapaian ekonomi itu adalah mereka yang tak rajin dan tak kuat bekerja.

Dalam ucapan di Kongres Maruah Melayu Mahathir gagal untuk menerangkan dengan jelas dan tuntas bahawa Bani Melayu malah anak semua bangsa dalam negara ini hidup dalam sistem ekonomi kapitalis.

Dalam sistem ekonomi kapitalis ada hukum dan syarat yang jelas. Hukum dan syarat yang saintifik dan teratur. Dalam apa sahaja sistem ada ciri dan pola yang tidak akan berubah-ubah. Ciri dan pola ini tidak berganjak. Datanglah ribut dan taufan, sistem ekonomi kapitalis tegak berdiri.

Sekali lagi kita masyhurkan bahawa, rukun iman sistem ekonomi kapitalis ialah mencari untung. Untung yang dicari ialah keuntungan maksima.

Hukum ini tidak berubah sama ada kamu Lim Goh Tong, Daim Zainuddin atau Syed Mokhtar. Tidak berubah walaupun kamu telah mencium Batu Hitam di Kaabah atau telah menyelam dalam Sungai Ganges atau telah berpuasa 7 hari di Vatican.

Perkara ini tidak dijelaskan oleh Mahathir kerana beliau percaya jika Bani Melayu bekerja kuat dan rajin, maka semua Bani Melayu boleh menjadi macam Daim, Lim Goh Tong atau Syed Mokhtar.

Hujah yang jelas ini membuktikan bahawa Mahathir tidak memiliki pandangan ekonomi yang tepat.

MANTERA KARUT

Untuk memahami kenapa Melayu dan bumiputera corot dalam ekonomi, maka kita wajib memahami dari mana datangnya harta kekayaan. Dari mana punca harta kekayaan dengan penjelasan tuntas.

Punca keuntungan yang akhirnya menjadi harta kekayaan adalah hasil lebihan tenaga kerja kaum buruh. Lebihan nilai tenaga kerja kaum buruh ialah dipangil laba atau untung.

Kak Bibah menanam padi kemudian menjual padi ini seguni RM50 pada Syed Moktar, yang kemudian dijual oleh Syed Mokhtar dengan harga RM150 seguni. Tolak itu tolak ini, Syed Mokhtar dapat untung 80 ringgit. Untung ini ialah lebihan nilai tenaga kerja dan masa daripada Kak Bibah.

Duit RM80 keuntungan Syed Mokhtar itu ialah tenaga buruh Kak Bibah yang telah dieksploit oleh Syed Mokhtar. Masa dan tenaga kerja Kak Bibah yang dibayar rendah.

Lebihan dari nilai masa dan tenaga ini diambil oleh Syed Mokhtar. Lagi ramai petani seperti Kak Bibah menjual beras kepada Syed Mokhtar, lagi kaya Syed Mokhtar.

Begitu juga kilang – apa sahaja kilang – lagi ramai yang bekerja, lagi banyak lebihan tenaga kerja buruh yang dikumpulkan oleh tuan empunya kilang.

Sebuah kilang membuat kasut mengupah 80 pekerja. Lebih murah gaji yang dibayar untuk membuat kasut lebih baik. Semakin banyak kasut dijual dengan harga yang lebih tinggi dari harga upah membuat kasut, maka lebih cepat tuan kilang kasut jadi kaya-raya.

Tuan empunya kilang kasut tidak pernah membanting tulang. Tidak pernah bekerja keras. Tidak berpeluh kerana pejabat berhawa dingin. Tidak pernah menapak menghantar kasut dari ke kedai-kedai kerana ada buruh pengedar. Tuan kilang hanya mengumpul untung – mengumpul lebihan nilai masa dan tenaga 80 orang buruh di kilangnya.

Untuk menghalalkan eksploitasi kaum buruh ini, ketika belajar di sekolah, kita diberitahu oleh cikgu bahawa semua ini memerlukan modal. Modal perlu untuk dilabur. Tanpa modal tak ada kilang. Tak ada kilang maka tak ada kerja. Tak ada kerja kita mati tak makan. Inilah mantra yang disebarkan. Ini mantra karut.

Mantera ini menghebohkan bahawa Vincent Tan, Ting Phek Kiing atau Lim Goh Tong mengeluarkan modal yang besar. Mereka melabur dan mengambil risiko atas modal dan memastikan pelaburan mereka membawa untung. Mereka ada jentera. Mereka ada tanah. Maka kerana mereka melabur dan ada jentera, mereka boleh menuai keuntungan. Ini juga cerita karut.

Pelaburan, tanah, modal dan jentera dikenali sebagai punca pengeluaran. Punca pengeluaran ini juga bermula dari eksploitasi lebihan tenaga kerja kaum buruh yang terdahulu.

Harta kekayaan yang dikumpul oleh orang kaya adalah hasil eksploitasi tenaga kerja dan lebihan nilai kerja kaum buruh. Ini fakta yang saintifik. Bukan teori karut-marut.

Buruh dan modal tidak dapat dipisahkan. Tanpa buruh, modal mengecut tidak kemana-mana.

Kita selalu mendengar syarikat eletronik di Pulau Pinang ditutup. Syarikat berpindah ke Vietnam atau ke China Merah. Perpindahan ini adalah saintifik mengikut hukum dan syarat sistem ekonomi kapitalis.

Kilang kapitalis akan berpindah mencari wilayah yang dapat ditegakkan rukun iman kapitalis - keuntungan maksima.

Kilang syarikat Apple pindah ke China Merah, India dan Indonesia. Semua mencari buruh murah dan pasaran luas. Jaminan keuntungan maksima.

Sistem kapitalis datang ke Malaysia ini juga kerana wujud syarat dan pola. Tanah tapak kilang disediakan. Cukai dikecualikan. Buruh dilarang berpersatuan. Jika ada mogok pemimpin buruh boleh ditangkap dan dibuang kerja. Tidak ada gaji minima. Gaji semurah mungkin dan secukup hidup. Gaji boleh cukup makan agar jangan mati. Jika mati tidak dapat memburuh lagi.

KEMISKINAN ADALAH CIPTAAN KAPITALIS

Buruh Haram Di Korea

Bila agenda siapa menetapkan nilai masa dan lebihan tenaga ini ditimbulkan maka akan muncul jawapan: Kuasa pengeluaran dan permintaan. Atau untuk lebih cool dan cun dikatakan semua ini adalah market forces – kuasa pasaran.

Perkara bagaimana China jadi kaya dan kenapa Melayu/bumiputera corot ekonomi tidak diperjelaskan dengan terang. Semua bangsa ini didodoikan dengan dongeng bahawa Melayu/bumiputera malas, memilih kerja dan dan dan. Ini cerita dongeng.

Justeru, saya di sini saya ingin membawa satu jalur penjelasan dan pencerahan untuk membuktikan bahawa ada satu lagi cara untuk kita semua melihat dan memahami kenapa Melayu/bumiputera corot ekonomi.

Jawabnya senang sahaja; Kemiskinan adalah hasil sistem ekonomi sistem kapitalis. Sistem ini memiliki hukum dan syarat - untuk individu, untuk kumpulan dan untuk negara.

Sistem ekonomi kapitalis ini tidak berubah rukun imannya: mendapat keuntungan maksimum, mencari laba. Keuntungan kaum kapitalis global ialah hasil dari lebihan nilai kerja dan masa umat manusia.

Semua yang hidup dalam sistem ekonomi kapitalis ini akan memiliki pengalaman, budaya dan gaya hidup yang sama. Tenaga dan masa mereka dieksploit untuk dikumpul dan dijadikan keuntungan.

Warga Chile memburuh di lombong tembaga akan dibayar dengan upah yang murah dari nilai harga tembaga. Pekebun buah limau di Moroko akan dibeli panel mereka oleh negara Kesatuan Eropah dengan harga murah. Upah pemetik kopi di Uganda sehari lebih murah dari harga secawan kapucino atau secawan kopi di Hotel Sheraton New York.

Hubaya, hubaya, sistem ekonomi kapitalis ini bergerak secara global. Di mana sahaja sistem ini diguna pakai maka akan wujud Kak Bibah, Alang Dusin dan Mat Husin.

Moroko, Chile dan Uganda adalah negara dunia ketiga. Negara ini dieksploitasi oleh negara maju seperti Jerman, Kanada, Perancis atau Britain. Negara-negara maju ini tidak ada bezanya dari peranan yang dimainkan oleh tauke Hong atau tauke Lim.

Negara maju mengumpulkan nilai lebih masa dan tenaga bukan dari seorang, tetapi mengumpulkan nilai lebihan nilai tenaga dan masa 42 juta warga Uganda, 35 juta warga Moroko atau 18 Juta warga Chile.

Rakyat miskin bukan kerana dia dari Melayu/bumiputera atau malas, tetapi kerana sistem ekonomi kapitalis yang bergerak dengan hukum dan syaratnya.

Tauke Lim dan tauke Hong kaya bukan kerana mereka Cina dan rajin bekerja tetapi kerana hukum dan syarat ekonomi kapitalis menyebelahi mereka.

PENGHINAAN

Apa sangkut-paut semua ini dengan kenapa Melayu dan bumiputera corot dalam hal ekonomi?

Cuba fikirkan, majoriti Minah Karan yang bekerja di kilang-kilang eletronik di Pulau Pinang dan Seremban adalah gadis Melayu. Hari ini mereka tidak kaya. Adakah ketika memburuh mereka malas bekerja atau tidak bekerja keras? Kenapa mereka tidak kaya-raya walaupun telah bekerja setengah mati?

Boleh Tun Mahathir dan menteri yang kaya-raya tolong jawabkan?

BACA INI JUGA:

sumber: malaysiakini

Sunday, August 11, 2019

Ahli Politik Adalah Pendusta

Ahli Politik Adalah Pendusta

Berpuluh-puluh kali diulangi bahawa politikus itu kerjanya ialah memuaskan nafsu mereka sendiri dan untuk puas mereka akan melakukan apa saja asalkan sampai ke puncak, namun bukanlah kami maksudkan bahawa mereka itu hanya memikirkan hal kelamin semata-mata.

Ahli Politik Adalah Pendusta

Apa yang mahu kami sampaikan ialah, mereka - politikus itu - adalah sekumpulan manusia yang sanggup melakukan apa saja untuk mencapai cita-cita untuk berkuasa.

Lalu kita dihiburkan dengan telatah tipu daya mereka setiap kali datangnya pilihan raya.

Mereka menjanjikan langit dan bersumpahkan bumi. Menganggap diri adalah Mahdi yang dijanjikan. Pada masa sama mereka menyebarkan dakyah bahawa sesiapa pun yang menentang adalah syaitan besar.

Pada masa tertentu mereka akan menangis bersimpati atas nasib malang yang menimpa kita, sepertinya kita dan mereka itu bersaudara.

Di ketika yang lain mereka akan bergembira bergelak bertepuk bertampar seolah-olah kita dan mereka membesar bersama.

Lakonan mereka adalah kerana mahukan kuasa, yang lazimnya tidak datang sendiri. Kuasa datang dengan laba dan justeru itu sajalah yang ada dalam fikiran mereka.

Setelah pilihan raya, yang kalah akan - untuk beberapa ketika - menjerit ke sana sini kerana menyangka mereka dianiaya, sementara yang lain diam meratapi nasib sambil menunggu pusingan pilihan raya yang akan datang.

Yang menang akan terjerit-jerit kesukaan seperti tanggungjawab yang diperolehi itu adalah hadiah daripada tuhan. Mereka mabuk kerasukan. Setelah bertenang mereka akan mula memasang jalan untuk memegang jawatan paling atas dalam pentadbiran.

Apa saja akan mereka lakukan. Jika cara murni tidak berkesan lalu cara busuklah yang akan mereka lakukan.

Malu tidak ada dalam kamus hidup mereka. Dibukanya semua untuk dilihat manusia. Dalam masa yang sama apa yang dilaungkan adalah keadilan.

Yang paling bodoh antara kita tentu saja yang memilih untuk berpihak secara mutlak. Berpihak tanpa syarat.

Kita pun ketawakan keaiban orang. Kita bergaduh sesama sendiri kerana mempertahankan kumpulan manusia hamis tadi. Bersoraklah kita yang menentang dan berasa malanglah kita yang menatang.

Biar perit tekak memberitahu kamu bahawa politikus ialah manusia jahat yang kerjanya mencari ruang untuk menonjolkan diri sendiri dan kamulah alat yang paling sesuai untuk dijadikan bidak dan tapak bagi menolak mereka ke atas.

Sampai bila kita mahu menjadi baghal yang ditunda? Taat seperti haiwan peliharaan. Manja kerana diberi makan, meminta-minta mahu disuapkan sentiasa dan tidak sedar bakal disembelih dan dagingnya dijual untuk laba.

Keluarlah dari kebodohan politik kepartian dan berdoalah agar tuhan menjauhkan kita semua daripada syaitan dan ahli politik yang berlawan, mahu menentukan nafsu siapa yang lebih tegang.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: malaysiakini