Friday, October 30, 2020

Kisah Dialog Dr Burhanuddin Dengan Seorang Ateis

Kisah Dialog Dr Burhanuddin Dengan Seorang Ateis

Dr Burhanuddin Al Helmy merupakan satu sosok yang tidak perlu diperkenalkan lagi di dalam sejarah perjalanan politik negara. Selepas perang, beliau merupakan antara pengasas Parti Kebangsaan Melayu Malaya dan telah dilantik sebagai Timbalan Yang Di-Pertua manakala Yang Di-Pertuanya ialah Mokhtaruddin Lasso, seorang Melayu berfahaman ateis dan condong kepada komunisme.

Dr Burhanuddin


Satu hari, selepas menghadiri sebuah kongress PKMM, Burhanuddin dan Mokhtaruddin berehat di pejabat akhbar rasmi PKMM yang terletak di Brewster Road. Turut bersama mereka pada ketika itu ialah Ahmad Boestamam.

Mokhtaruddin tiba-tiba bertanyakan satu soalan kepada Burhanuddin mengenai ketuhanan.

"Apakah benar Tuhan itu ada, tuan Doktor?" soal Mokhtaruddin.

"Sudah tentu saja Tuhan ada," balas Dr. Burhanuddin pendek.

"Benarkah DIA berkuasa?" soal Mokhtaruddin lagi.

"Benar," jawab Dr. Burhanuddin.

"Kalau benar DIA berkuasa, suruhlah DIA membuat sepasang terompah kayu sekarang dan kalau DIA boleh membuatnya saya akan percaya Tuhan itu ada dan DIA berkuasa, tetapi tidak sebaliknya," kata Mokhtaruddin kepada Dr. Burhanuddin.

"Masakanlah patut Tuhan diminta membuat pekerjaan yang remeh seperti membuat terompah kayu itu," Dr Burhanuddin menjawab dengan tenang.

Tidak ada tanda marah dalam suaranya ketika memberikan jawapan itu kepada Mokhtaruddin Lasso, sambil menambah,

"Ini tidak bererti Tuhan tidak boleh membuat terompah kayu itu," Dr Burhanuddin meneruskan kata-katanya lagi.

"DIA boleh. Kalau alam ini dapat dicipta-Nya kenapa pula perkara mudah dan kecil seperti membuat terompah kayu itu tidak boleh?

"Kalau seseorang yang pakar dalam ilmu pasti misalnya boleh menjawab masalah-masalah yang tinggi dalam ilmu itu dengan mudahnya, mustahillah dua kali lima (2×5) dia tidak tahu. Itu logik bukan? Demikianlah ibaratnya Tuhan dengan membuat terompah kayu itu.

"Kalau ramai orang, banyak manusia yang menjadi makhluk Tuhan, sudah boleh membuat terompah kayu belaka, kenapakah harus diperlukan juga tenaga Tuhan untuk perkara yang remeh ini?

"Tidakkah itu sama saja seperti menyuruh seorang ayah mengesat hingus atau menghisap puting sedang bayi kecil pun sudah tahu belaka membuatnya?" balas Dr Burhanuddin panjang.

Mokhtaruddin terpegun dengan jawapan yang diberikan oleh Burhanuddin. Lalu beliau bertanya.

“Orang-orang Islam menyembah Tuhan yang mereka panggil Allah. Tetapi ada juga orang yang menyembah bulan, matahari dan banyak lagi.

"Mereka katakan benda-benda ini Tuhan mereka. Bagaimanakah ini sedangkan Tuhan itu dikatakan Esa, tidak dua dan tidak tiga?" soal Mokhtaruddin yang terus dibalas Dr. Burhanuddin.

"Ada orang memanggil kasut itu kasut tetapi ada pula yang memanggilnya sepatu.

"Tetapi bukankah 'kasut' dan 'sepatu' itu benda yang satu itu juga? Begitulah pula dengan Tuhan ini. Ada yang memanggilnya Allah, ada yang memanggilnya God, ada yang memanggilnya Tok Pekong, ada yang memanggilnya Sami, ada yang bertuhankan Bulan, Matahari dan entah apa lagi. Itu soal bahasa dan istilah seperti 'kasut' dan 'sepatu' tadi.

"Panggilannya saja yang banyak tetapi bendanya tetap yang satu itu juga. Ertinya Tuhan itu memang Esa,” Dr Burhanuddin mengambil nafas seketika, sebelum menambah.

"Dan kalau saudara masih meragukan adanya Tuhan, maka hujah saudara itu dapat saya kembalikan untuk menikam saudara pula."

"Bagaimana?" balas Mokhtaruddin pendek.

"Bukankah saudara mengatakan tadi ada orang yang mengatakan bulan itu Tuhan, matahari itu Tuhan.

"Allah itu Tuhan dan seterusnya – masing-masing ada Tuhan yang disembahnya," soal Dr Burhanuddin yang dibalas anggukan kepala dari Mokhtaruddin.

"Tidakkah itu menunjukkan setiap orang percayakan adanya Tuhan kerana tidak ada orang yang mengatakan tidak ada? Ya, Tuhan itu ada dan Esa," Dr Burhanuddin menghabiskan ayatnya dengan tersenyum lebar sambil memandang tepat Mokhtaruddin.

Mokhtaruddin mengangkat kedua-dua belah tangannya dan berkata, "Cukuplah setakat itu sahaja tuan Doktor dan kita kira seri – tak kalah tak menang."

"Saya ikut saja. Kalau cukup kata saudara, cukuplah. Kalau tak cukup ayuh lagi."

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: thepatriots

Thursday, April 20, 2017

Kisah Raja Namrud Yang Mengaku Sebagai Tuhan Mati Di Bunuh Seekor Nyamuk

Kisah Raja Namrud Yang Mengaku Sebagai Tuhan Mati Di Bunuh Seekor Nyamuk

Raja Namrud (hidup sekitar tahun 2275 SM- 1943 SM) juga disebut eja Namrudz bin Kan'aan (2275 SM – 1943 SM) adalah salah satu seorang Raja yang memerintah Mesopotamia purba (kini dikenali negara Iraq).

tower-of-babel

Ia memiliki gelaran "a mighty hunter" yang bermaksud "pemburu yang hebat" atau "pemburu yang perkasa", kerana kebijakannya dalam berburu.

Nama lengkapnya adalah Namrudz bin Kan'aan bin Kush bin Ham bin Nuh (Nabi Nuh a.s.) atau juga sesetengah pendapat (Raja Namrud bin Kush bin Ham bin Nuh).

Selain itu beliau diberi gelaran Dewa Bacchus atau Dewa Wain serta Dewa Matahari.

Namrud sendiri merupakan kata jamak yang mempunyai pengertian “Mari memberontak". Namanya tercatat dalam Taurat, Injil dan kisah-kisah Islam.

Pada zamannya, Namrud merupakan seorang raja yang cerdas, namun kecerdasannya itu membuatnya bersikap sombong dan takbur sehinggakan dia mengaku menjadi seorang ateis atau sebagai Tuhan dan usahanya mendapat tentangan hebat dari Nabi Ibrahim a.s.

Namanya terkenal kerana usahanya sebagai pendiri Menara Babel. Menurut Kitab Bible kerajaannya termasuklah Babel, Erech, Accad dan Calneh, di tanah Shinar, yang juga dikenali sebagai tanah Namrud.

Keturunan Nabi Nuh a.s

Bapa Namrud ialah Kush iaitu cucu kepada nabi Nuh a.s., manakala ibunya ialah Semiramis. Ibunya pada usia remaja telah berkahwin dengan bapanya.

Adalah dipercayai sehari selepas mengadakan hubungan kelamin dengan Semiramis, bapanya telah meninggal dunia. Oleh itu, apabila Namrud lahir beliau tidak berbapa.

Ibunya adalah seorang yang wanita yang cantik lagi bijaksana. Setelah beliau dilahirkan, ibunya membuat cerita kononnya dia tidak pernah disentuh oleh manusia dan Namrud adalah anak yang suci. Ini telah menambahkan keyakinan Namrud bahawa beliau adalah anak tuhan.

Apabila beliau menjadi dewasa, beliau menjadi seorang yang kacak dan ibunya cemburu dengan teman wanitanya. Oleh itu, Semiramis telah berkahwin dengan Namrud iaitu anaknya sendiri.

Pemerintahan Raja

Raja Namrud telah dianugerahkan daya intelek yang tinggi dan menjadi pakar dalam pelbagai bidang seperti seni reka, matematik dan ilmu falak.

Beliau telah menemui sistem sexagesimal yang membahagikan bulatan kepada 360 darjah, satu darjah kepada 60 minit dan 1 minit kepada 60 saat.

Selain itu beliau menetapkan bahawa satu hari terbahagi kepada 24 jam setiap jam kepada 60 minit dan 1 minit kepada 60 saat.

Menurut beliau, hari bermula pada waktu tengah malam dan bukannya pada waktu matahari terbenam seperti yang dipercayai oleh kaum sebelumnya.

Disamping itu, Namrud mahir dalam pengiraan matematik dalam pembinaan bangunan-bangunan besar, jambatan, kuil, mahligai dan empangan.

Antara sumbangan beliau ialah pembinaan sistem saliran irrigation di lembah Tigris dan Euphrates.

Beliaulah orang pertama yang menggunakan batu-bata dari tanah liat yang terbakar burnt clay sebagai bahan binaan bangunan.

Malah beliau terkenal sebagai arkitek Menara Babil iaitu pencakar langit yang pertama di dunia.

Malangnya sebagai seorang ateis, beliau telah menyalahgunakan kebijaksanaannya untuk menyesatkan rakyatnya.

Antara lain beliau telah menggunakan ilmu falak untuk mencipta pelbagai sistem meramal nasib seperti horoskop dan tilik nasib palmistry.

Tujuannya ialah untuk menunjukkan bahawa manusia tidak perlukan Tuhan kerana manusia mampu meramal dan mengubah nasibnya sendiri.

Selain itu, beliau membina banyak bangunan serta berhala yang tersergam indah agar manusia kagum dengan kehebatan ciptaannya sendiri.

Menara Babil yang bermaksud "Pintu Gerbang yang Sempurna" merupakan kuil dimana pendeta-pendeta menyanjung Namrud. Tujuannya dibina ialah untuk menaikkan sebuah bangunan yang mampu mencecah kayangan.

Menurut buku "Sejarah Para Rasul dan Raja" pada abad ke-9 oleh ahli sejarah Islam terkenal al-Tabari, menara tersebut telah dimusnahkan oleh Allah.

Pada mulanya para pembinanya menggunakan satu bahasa iaitu bahasa Suryani, tetapi ia terpecah kepada 72 bahasa yang berlainan. Akibatnya mereka tidak dapat berkomunikasi antara satu sama lain dan tidak dapat meneruskan pembinaan menara tersebut.

Beliau juga amat meminati ilmu sihir dan menggunakannya untuk mempengaruhi fikiran rakyatnya. Adalah dipercayai beliau mempelajari ilmu tersebut dari dua malaikat Harut dan Marut yang pernah disebut dalam al-Quran.

Selain itu, beliau telah memulakan suatu era yang baru dimana manusia memandang rendah pada tuhan.

Rakyatnya tidak digalakkan untuk melakukan kebaikan demi tuhan kerana baginya tuhan yang ghaib adalah lemah.

Oleh itu orang ramai dibawah pemerintahannya boleh mengikut nafsu manusia seperti berpesta, seks rambang, meminum arak dan segala kemungkaran yang lain.

Oleh yang demikian, beliau diberi gelaran Bacchus atau Dewa Wain kerana beliau 'mabuk' dengan keduniaan.

Beliau juga mendakwa dirinya Tuhan kerana sebagai seorang manusia beliau lebih tahu mengenai kelemahan manusia lain berbanding Tuhan yang jauh terpisah dari makhluknya sendiri.

Raja Namrud yang zalim dengan Nabi Ibrahim a.s.

Kitab Injil tidak pernah menyatakan tentang pertemuan antara Raja Namrud dengan Nabi Ibrahim a.s. Malah terdapat jurang tujuh generasi antara mereka berdua, Namrud sebagai cicit Nabi Nuh a.s, manakala Ibrahim sepuluh generasi selepas Nabi Nuh. (Genesis 10,11).

Walaupun begitu, Kitab Taurat dan al-Quran menggambarkan pertembungan antara Raja Namrud dengan Nabi Ibrahim a.s sebagai satu konfrontasi hebat antara kebaikan dan kejahatan atau lebih spesifik lagi Monoteisme menentang Taghut dan Penyembahan Berhala.

Namun demikian menurut sumber Yahudi, Raja Namrud sempat bertaubat sebelum beliau meninggal dunia. Tetapi penganut Islam mempercayai bahawa beliau tetap dengan pendiriannya sebagai Tuhan sehinggalah keakhir hayatnya.

Ketibaan Nabi Ibrahim a.s.

Pada satu malam Raja Namrud bermimpi melihat bintang yang terbit dari barat. Semakin tinggi ia naik, semakin terang bintang itu menyinar. Sehinggakan ia sampai ke zenith dimana ia menerangi seluruh alam semesta.

Selepas terbangun Raja Namrud pun memanggil penasihatnya dan menceritakan mimpi tersebut. Penasihat itu memberitahu beliau bahawa terdapat beberapa tafsiran bagi mimpinya itu.

Antara tafsirannya ialah:

  • Akan lahir seorang insan dalam masa setahun.
  • Insan itu akan dilahirkan di Faddam A'ram.
  • Insan itu akan menjadi pemusnah batu berhala.
  • Insan itu akan membuktikan kepalsuan Raja Namrud.
  • Insan itu akan menyebarkan agama bahawa tuhan yang esa wujud dan darinya akan lahir zuriat-zuriat para nabi dan aulia.
  • Nabi terakhir dari zuriat ini akan membawa agama yang ibarat bintang di zenith iaitu menyinari seluruh alam semesta.
  • Akibat insan ini Raja Namrud akan mati secara dasyhat.


Menurut cerita yang lain, Namrud bermimpi melihat seorang kanak-kanak melompat dan masuk ke biliknya, kemudian merampas mahkota yang dipakainya, lalu menghancurkannya.

Sebaik mendengar berita ini Namrud pun menjadi gelisah dan sedar bahawa insan ini akan membawa kepada kejatuhannya.

Dengan serta-merta Raja Namrud menghantar bala tenteranya ke Faddam A'ram. Penduduk lelaki telah dipisahkan dari isteri-isteri mereka. Wanita-wanita yang mengandung telah dibunuh.

Raja Namrud pun mengeluarkan perintah bahawa sesiapa yang melahirkan anak akan dibunuh bersama anaknya sekali.

Selepas satu tahun beliau mendapat petanda bahawa insan itu akan dilahirkan. Beliau mengesyaki Azaar iaitu orang yang paling dipercayainya kerana Azaar pernah dibenarkan untuk memasuki bandar tersebut.

Walaupun begitu Azaar menafikannya dan isterinya pula tidak menunjukkan tanda-tanda hamil.

Namun, beliau tidak mempercayainya dan menugaskan seorang tentera untuk menjaga isteri Azaar. Setahun telah berlalu dan tentera Namrud telah dikeluarkan dari bandar Faddam A'ram.

Nabi Ibrahim a.s. menentang kebatilan yang disebarkan Raja Namrud

Raja Namrud lega kerana menyangkakan bahawa beliau telah menggagalkan kelahiran insan yang akan menentangnya itu.

Walaupun begitu insan itu telah dilahirkan disebuah gua berhampiran Faddam A'ram.

Semasa insan itu iaitu Nabi Ibrahim a.s. dewasa beliau telah menghancurkan beberapa batu berhala. Ini telah menimbulkan kemarahan rakyat jelata yang menangkap serta membawanya kepada muka pengadilan dihadapan Raja Namrud.

Ditanyalah Nabi Ibrahim oleh Raja Namrud, "Apakah engkau yang menghancur dan merosakkan tuhan-tuhan kami?"

Dengan tenang dan selamba, Nabi Ibrahim menjawab, "Patung besar yang berkalungkan kapak di lehernya itulah yang melakukannya. Cuba tanya kepada patung-patung itu siapakah yang menghancurkannya."

Raja Namrud pun terdiam sejenak. Kemudian beliau berkata, "Engkau kan tahu bahawa patung-patung itu tidak dapat bercakap dan berkata mengapa engkau minta kami bertanya kepadanya?"

Tibalah saat yang memang dinantikan oleh Nabi Ibrahim, maka sebagai jawapan atas pertanyaan yang terakhir itu beliau berpidato membentangkan kebatilan persembahan mereka, yang mereka pertahankan mati-matian, semata-mata hanya kerana adat itu adalah warisan nenek-moyang.

Berkata Nabi Ibrahim kepada Raja Namrud itu, "Jika begitu, mengapa kamu sembah patung-patung itu, yang tidak dapat berkata-kata, tidak dapat melihat dan tidak dapat mendengar, tidak dapat membawa manfaat atau menolak mudarat, bahkan tidak dapat menolong dirinya sendiri dari kehancuran dan kebinasaan?

Alangkah bodohnya kamu dengan kepercayaan dan persembahan kamu itu! Tidakkah dapat kamu berfikir dengan akal bahawa persembahan kamu adalah perbuatan yang keliru yang hanya difahami oleh syaitan.

Mengapa kamu tidak menyembah Tuhan yang menciptakan kamu, menciptakan alam sekeliling kamu dan menguasakan kamu di atas bumi dengan segala isi dan kekayaan. Alangkah hina dinanya kamu dengan persembahan kamu itu."

Setelah selesai, barulah Raja Namrud sedar bahawa jejaka dihadapannya ialah insan dalam mimpinya itu.

Budak ini bijak berpidato dan mempunyai logik yang lebih tinggi daripada beliau dan mampu menggugat kepercayaan rakyatnya terhadap penyembahan berhala.

Selain itu, budak ini sangat yakin dengan wujudnya tuhan yang esa dan tidak percaya dengan berhala. Budak ini langsung tidak gentar dengan Raja Namrud dan berani membantahnya.

Raja Namrud pun tahu bahawa beliau mesti membunuh Nabi Ibrahim dengan serta merta. Lalu beliau pun membuat keputusan untuk membakar Nabi Ibrahim hidup-hidup sebagai hukuman atas perbuatannya menghina dan menghancurkan tuhan-tuhan mereka.

Maka berserulah Raja Namrud kepada rakyat yang hadir menyaksikan pengadilan itu, "Bakarlah ia dan belalah tuhan-tuhanmu, jika kamu benar-benar setia kepadanya."

Nabi Ibrahim pun dilemparkan ke dalam bukit api yang menyala-nyala. Tetapi dengan ajaibnya beliau terselamat.

Hanya tali temali dan rantai yang mengikat tangan dan kakinya yang terbakar hangus, sedangkan tubuh dan pakaian yang terlekat pada tubuhnya tetap utuh, tidak sedikit pun tersentuh oleh api.

Orang ramai tercengang dengan keajaiban ini dan mula mempersoalkan kepercayaan kepada Raja Namrud.

Malah anak perempuan Raja Namrud sendiri, Puteri Razia mengaku di hadapan orang ramai bahawa tuhan Nabi Ibrahim a.s. adalah tuhan yang sebenarnya.

Ini telah menaikkan kemarahan Namrud yang mengarahkan tenteranya untuk membunuh puterinya itu. Puteri itu pun meluru kearah api yang besar itu lalu berkata, "Tuhan Nabi Ibrahim selamatkanlah aku".

Puteri Razia pun turut terselamat dari terbakar dalam api yang membara itu dan kedengaran dia mengucap kalimah syahadah.

Tindakan derhaka puterinya menjadikan hati Raja Namrud semakin membara. Sebaik sahaja puteri Razia keluar dari api tersebut beliau serta tenteranya telah mengejarnya kedalam hutan.

Ini memberi peluang kepada Nabi Ibrahim serta adik tirinya Sarah, bapanya Azaar serta anak saudaranya Nabi Luth a.s. untuk melarikan diri.

Raja Namrud dan tenteranya cuba mencari Puteri Razia tetapi puteri itu telah hilang. Selepas sekian lama, mereka pun pulang dan mendapati bahawa Nabi Ibrahim turut hilang.

Setelah peristiwa ini, Raja Namrud semakin gelisah kerana rakyatnya mula hilang kepercayaan terhadap kekuasaannya. Oleh itu, beliau berazam pula untuk membunuh Tuhan nabi Ibrahim.

Raja Namrud cuba membunuh Allah SWT

Seperti kepercayaan orang dahulukala, beliau menganggap bahawa Tuhan bersemayam di atas kayangan.

Oleh itu Raja Namrud telah berusaha untuk membina sebuah kenderaan yang mampu terbang keatas langit.

Empat ekor burung yang besar digunakan untuk mengangkat kenderaan itu kelangit. Empat tiang yang panjang dicucuk dengan makanan telah dinaikkan agar burung-burung itu terbang ke atas.

Beliau yakin apabila sampai dilangit, beliau akan menghampiri Allah dan boleh memanahnya sehingga mati.

Sebaik sahaja kenderaan naik keudara, Raja Namrud pun bersedia dengan anak panahnya.

Beliau terkenal sebagai pemanah yang handal dan hadiahnya yang paling besar ialah Allah.

Walaupun begitu, Namrud hairan kerana semakin tinggi kenderaan itu naik semakin jauh langit itu berada. Lama-kelamaan, udara pun menjadi semakin nipis dan beliau semakin sukar untuk bernafas.

Dengan sepenuh hati beliau mengacukan panahnya kelangit dan memanah keudara. Selang beberapa ketika kemudian, panahnya jatuh semula dengan berlumuran darah.

Raja Namrud berasa gembira kerana menyangka beliau berjaya membunuh Tuhan Nabi Ibrahim a.s. lalu Namrud pun menolak tiang-tiang itu kebawah supaya burung-burung itu semula ke bumi.

Apabila sampai ke tanah, Namrud dengan bangganya menunjukkan anak panahnya dikhalayak ramai dan mengaku bahawa beliau telah memburu serta membunuh Allah.

Raja Namrud pun menjemput Nabi Ibrahim a.s ke istananya untuk menunjukkan kekuasaan beliau.

Apabila ditunjuk akan panahnya itu, nabi Ibrahim bertanya apabila Raja Namrud memanah tuhan, adakah langit semakin jauh atau semakin dekat. Beliau terpaksa mengaku bahawa langit semakin jauh.

Nabi Ibrahim mendakwa bahawa darah itu adalah sebenarnya darah ikan yang dilumur oleh malaikat dilangit dan Raja Namrud tidak berupaya untuk membunuh Allah.

Barulah beliau sedar bahawa beliau telah dikaburkan matanya oleh Allah. Namrud tetap mahu menunjukkan kekuasannya.

Lalu beliau memanggil tenteranya untuk membawa dua orang tawanan. Satunya telah dikenakan hukuman bunuh manakala seorang lagi telah dibebaskan.

Dengan angkuh beliau berkata berkata kepada nabi Ibrahim, "Lihatlah saya dapat memberi kehidupan kepada seorang dan mengambil nyawa orang yang lain!"

Nabi Ibrahim pula menjawab, "Tuhan yang saya sembah berkuasa untuk menerbitkan matahari dari timur. Bolehkah Raja Namrud menerbitkan matahari disebelah barat pula?"

Beliau pun terpaksa mengaku kalah dengan logik nabi Ibrahim a.s.

Dengan nada yang tinggi beliau mencabar Allah untuk menentangnya disebuah tempat tertentu. Beliau akan mengumpul seluruh bala tenteranya untuk berperang dengan Allah.

Kematian Raja Namrud

Raja Namrud pun mengumpul bala tenteranya yang ramai lengkap dengan senjata yang serba canggih untuk menghadapi Tuhan nabi Ibrahim a.s.

Apabila tiba ditempat itu, Allah telah menurunkan beribu-ribu nyamuk atau serangga yang halus.

Senjata buatan manusia yang paling hebat pun tidak mampu menepis serangan makhluk yang halus ini.

Dalam beberapa ketika, mereka telah menembusi kulit tentera Raja Namrud dan membunuh mereka dengan dahsyat sekali.

Namrud bagaimanapun berjaya melarikan diri tetapi seekor nyamuk telah masuk ke otaknya.

Dipercayai selama empat puluh hari dan empat puluh malam, Namrud merana kerana otaknya dihisap oleh nyamuk itu.

Dalam tempoh tersebut, nabi Ibrahim sering mengunjungi serta memberi dakwah kepada beliau, namun Namrud tetap mendakwa dirinya Tuhan.

Akhirnya Namrud memanggil orang suruhannya untuk mengambil sebatang besi yang besar untuk memukul kepalanya agar sakitnya hilang.

Selepas kepalanya dipukul, Namrud mengarahkan orang suruhannya untuk memberi pukulan yang paling kuat dan ini telah membawa kepada kematian Raja Namrud yang zalim itu. Kemudian, nyamuk tersebut merangkak keluar dari telinganya.

Maka berakhirlah kehidupan seorang raja takbur yang mati akibat serangan seekor nyamuk yang kecil.

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA: Rahsia Bagaimana Piramid Di Bina Akhirnya Terbongkar

sumber: wikipedia

Monday, August 22, 2016

'Jenazah Isteri Harum Seperti Bunga Ros, Balasan Mentaati Suami'

'Jenazah Isteri Harum Seperti Bunga Ros, Balasan Mentaati Suami'

Saya mempunyai satu pengalaman yang ingin saya kongsi dengan pembaca. Mungkin cerita ini bermanfaat. Kalau baik, jadikanlah pedoman untuk sama-sama akhiri hidup dengan Husnul Khatimah.

Isteri masuk syurga
Gambar hiasan.

Kejadian ini berlaku kepada saya lebih kurang beberapa tahun lalu. Ceritanya begini..

Suatu hari, saya telah mendapat panggilan daripada seorang lelaki yang meminta saya datang ke rumahnya untuk melihat ibunya yang sudah lama sakit.

Cuma kali ini ibunya kelihatan seperti sedang tidur, namun apabila dikejutkan, dia tidak sedarkan diri. Disebabkan permintaannya, saya tunaikan.

Petang itu saya telah pergi ke rumahnya yang terletak di sebuah kampung di Kuala Terengganu.

Sampai dirumahnya, saya lihat semua anak-anak duduk mengelilingi ibu mereka yang keras kaku tidak bergerak.

Sebaik memandang wajahnya, saya lihat wajahnya bersih. Bibirnya juga seolah-olah terukir dengan senyuman.

"Kenapa ni?" soal saya.

"Entahlah ustaz. Cuba tengok. Dari tengah hari tak bangun," jawab anaknya yang menghubungi saya tadi.

Saya pun terus melihat dan mengamati wanita dihadapan saya itu. Mengikut pengalaman dan keadaannya, saya rasakan wanita itu telah pun meninggal dunia.

Tetapi wajahnya memang seolah-olah sedang tidur dan bila diperiksa nadinya, memang sudah tidak berdenyut.

Saya tidaklah pandai sangat, tetapi mengikut pengalaman saya merawat orang, saya tahu serba sedikit.

"Kalau ikut apa yang saya tengok, dah tak ada ni," kata saya.

"Betul ke ustaz?" soal anaknya.

"Ya. Kalau nak kepastian lagi, baik call hospital. Minta mereka datang sahkan," balas saya.

Keadaan masih lagi tenang. Waris-waris wanita itu tidak dapat menerima kata-kata saya. Beberapa orang anaknya juga sudah bergenang air mata.

Dalam keadaan itu, tiba-tiba kami tercium sesuatu. Ia begitu harum. Baunya seperti bunga ros. Sangat wangi.

"Eh, dari mana datang bau ni," soal anaknya.

Saya hanya diamkan diri. Hati saya kuat mengatakan bau itu datang dari arah jenazah wanita itu.

Cuma saya tertarik untuk tahu apakah amalan wanita ini sehinggakan Allah muliakan jenazahnya sedemikian.

Tidak lama selepas itu, pihak hospital datang. Doktor melakukan pemeriksaan dan mengesahkan ibu mereka sudah meninggal dunia beberapa minit yang lalu.

Bererti sewaktu saya tiba, jenazah itu baru sahaja meninggal dunia.

Waktu itu, bau bunga ros sangat kuat. Seolah-olah ada taman di dalam bilik tersebut.

Bila saya perhatikan, wajahnya begitu bersih, cantik dan berseri, seolah-olah sedang tidur dalam keadaan senyum.

"Berapa umur emak ni?" soal saya.

"Dah 70 lebih ustaz," balas anaknya.

Terkejut saya mendengar kata-kata anaknya. Kalau mengikut pengamatan, wajahnya seperti tidak lebih dari 50an. Memang nampak muda dan cantik. Kulit masih lagi tegang seperti orang muda.

"Betul ke?" saya bertanya lagi kerana sukar percaya.

Anak lelakinya pantas mengangguk.

Persiapan telah dibuat, namun saya belum lagi dapat jawapan apa yang saya ingin tahu.

Bukanlah hendak menyibuk tetapi sekurang-kurangnya apa yang saya tahu boleh menjadi iktibar kepada saya.

Tidak lama selepas itu, saya mendekati anak lelakinya itu. Saya duduk disebelahnya sambil bersembang.

Saya bertanya kepada anaknya. Saya nak tahu apa amalan ibunya sewaktu hidup? Lelaki itu seolah-olah pelik mendengar pertanyaan saya.

"Kenapa ustaz?" soalnya.

"Saja nak tahu," balas saya ringkas.

Menurut lelaki itu, sewaktu hidup, arwah ibunya seorang yang baik. Dia tidak pernah sekalipun mendengar terkeluar daripada mulut ibunya berkata buruk tentang orang lain.

Walaupun orang lain berkata buruk tentang jiran-jiran, ibunya tetap berkata benda yang baik.

Dengan anak-anak juga dia tidak marah. Setiap masa terluang dia akan duduk membaca Al-Qur'an.

Paling anaknya ingat ialah sewaktu ayahnya tiada di rumah, ibunya tidak pernah keluar ke mana-mana sekalipun ke kedai membeli barang. Apabila mendapat izin, barulah ibunya akan keluar.

Selain itu, sekalipun dia tidak pernah mendengar ibunya meninggikan suara kepada arwah ayahnya.

Ibunya sentiasa melayan suaminya dengan baik. Apabila ayahnya makan, ibunya akan duduk disebelah.

Apa sahaja kehendak suaminya dituruti biarpun terpaksa bangun untuk membuat air pada waktu malam, dia akan bangun. Sekalipun dia tidak pernah ingkar permintaan suaminya.

Ibunya memang sangat taat dengan apa yang ayahnya katakan. Dia tidak pernah membantah.

Pintu Ke Syurga

Mendengar cerita anak arwah, saya mengangguk. Inilah rupanya balasan untuk isteri yang menghormati dan mentaati suaminya. Masyaa-Allah.

Mungkin disebabkan itulah Allah memuliakan jenazah wanita itu, disebabkan ketaatannya kepada suami. Wallahu a'lam.

"Apabila seorang wanita (isteri) itu telah melakukan sembahyang lima waktu, puasa di bulan Ramadhan, menjaga maruah dan mentaati perintah suaminya, maka dia dijemput di akhirat kelak supaya masuk syurga mengikut pintu mana yang ia suka (mengikut pilihannya)." Hadis Riwayat Ahmad, Ibnu Hibban dan Thabrani

Begitu senang sekali kan?

Nota editor: Seperti yang diceritakan oleh Ustaz Abdul Rahman Mohd (Pak Zaki) dari Perubatan Islam Darul Syifa Terengganu.

*Dipetik dari majalah Mastika Ogos 2016 dan disiarkan pertama kali diblog sentiasapanas.com

BACA INI JUGA: Kisah Besarnya Pahala Membantu Jiran dan Anak Yatim

-SENTIASAPANAS.COM

Monday, January 26, 2015

Kisah Benar ‘Keajaiban’ Tawakal Kepada Allah

Kisah Benar ‘Keajaiban’ Tawakal Kepada Allah

Yakinlah bahawa rezeki atau penyelesaian akan datang daripada Allah SWT, bezanya cuma cepat atau lambat sahaja.

Tawakkal-Kepada-Allah [2]

Jika anda yang membaca ini, sedang berada dalam keadaan sukar kerana dihimpit ujian hidup dan susah hati dengan masalah yang menimpa diri, jangan khuatir.

Ia juga datang dalam pelbagai cara dan bentuk yang adakalanya langsung tidak kita duga.

Sebaiknya, keraplah istighfar dan memohon supaya dilapangkan rezeki.

Percayalah, Allah SWT tidak akan membiarkan hamba-Nya menanggung beban melebihi kemampuan diri.

Kisah yang ingin kami kongsikan ini merupakan satu kejadian benar mengenai rezeki, diceritakan oleh saudari Pnut Syafinaz menerusi Facebooknya.

Kisah-benar-tawakal-kepada-Allah - Pnut Syafinaz
Kisah-benar-tawakal-kepada-Allah - Pnut Syafinaz [2]
Kisah-benar-tawakal-kepada-Allah - Pnut Syafinaz [3]

Sama-samalah kita ambil iktibar dan pengajaran melaluinya, insya-Allah.

BACA INI JUGA: Ujian Berat Hanya Untuk Insan Yang Hebat

Doa-murah-rezeki

Sumber: Mynewshub.cc

Friday, August 15, 2014

Nabi Sulaiman Dan Kubah Ajaib

Nabi Sulaiman Dan Kubah Ajaib

Info Agama. Pada suatu hari Nabi Allah Sulaiman telah menerima wahyu daripada Allah supaya pergi ke tepi pantai untuk menyaksikan suatu benda yang ajaib yang akan ditunjukkan kepada Nabi Sulaiman.

Kubah sakti dalam lautan
Gambar hiasan.

Setelah bersiap sedia, Nabi Sulaiman berangkat ke tepi pantai yang dinyatakan di dalam wahyu. Baginda diiringi oleh kaum jin, manusia dan binatang.

Setibanya di pantai, Nabi Sulaiman terus mengintai-ngintai untuk mencari sesuatu seperti yang dikatakan oleh Allah. Setelah lama mencari, baginda belum lagi menjumpai apa-apa. Kata salah seorang daripada mereka. "Mungkin tersalah tempat". Tetapi baginda menjawab "Tidak, di sinilah tempatnya".

Nabi Sulaiman mengarahkan Jin Ifrit supaya menyelam ke dalam laut untuk meninjau apa-apa yang pelik atau ajaib.

Jin Ifrit menyelam agak lama juga barulah ia kembali kepada Nabi Sulaiman dan memaklumkan bahawa dia tidak menjumpai apa-apa benda yang ajaib.

Tanya Nabi Sulaiman "Apakah kamu menyelam sehingga dasar laut" Jawab Jin Ifrit "Tidak". Nabi Sulaiman pun mengarahkan Jin Ifrit yang kedua supaya menyelam sehingga ke dasar laut.

Setelah puas menyelam dan mencari benda-benda yang dikatakan oleh Nabi Sulaiman, Jin Ifrit yang kedua juga tidak menjumpai apa-apa yang ajaib dan ia melaporkan kepada Nabi Sulaiman.

Perdana Menterinya yang bernama Asif bin Barkhiya telah berbisik ke telinga Nabi Sulaiman dan memohon kebenaran untuk menolongnya.

Setelah mendapat izin Nabi Sulaiman, dia membaca sesuatu dan terus menyelam ke dalam laut. Tidak lama kemudian Asif menjumpai sebuah kubah yang sangat cantik.

Kubah tersebut mempunyai empat penjuru, setiap penjuru mempunyai pintu. Pintu pertama diperbuat daripada mutiara, pintu kedua diperbuat daripada zamrud berwarna merah, pintu ketiga diperbuat daripada jauhar dan pintu keempat diperbuat daripada zabarjad. Pintu-pintu tersebut terbuka luas, tetapi yang peliknya air tidak masuk kedalam kubah tersebut walaupun pintunya terbuka luas.

Dengan kuasa yang diberikan oleh Allah, Asif dapat membawa kubah tersebut naik ke darat dan diletakkan di hadapan Nabi Sulaiman. Nabi Sulaiman melihat kubah tersebut dengan penuh takjub di atas kebesaran Allah.

Baginda berangkat untuk melihat kubah tersebut, setelah menjenguk ke dalam didapati ada seorang pemuda berada di dalamnya. Pemuda tersebut masih belum sedar walaupun kubahnya telah diangkat ke darat kerana asyik bermunajah kepada Allah.

Nabi Sulaiman memberi salam kepada pemuda tersebut. Pemuda tersebut menyambut salam dengan perasaan terkejutnya apabila melihat orang ramai sedang berada di situ. Nabi Sulaiman memperkenalkan dirinya kepada pemuda itu bahawa beliau adalah Nabi Allah Sulaiman.

Pemuda itu bertanya "Dari manakah mereka ini dan bagaimana mereka datang?". Pemuda itu merasa hairan dan setelah menjenguk keluar dia mendapati bahawa kubahnya telah berada di darat.

Nabi Sulaiman memberitahu pemuda itu bahawa mereka datang kerana diperintahkan oleh Allah untuk melihat keajaiban yang dikurniakan Allah kepadanya.

Setelah mendapat izin dari pemuda itu Nabi Sulaiman meninjau ke dalamnya untuk melihat benda yang ajaib yang dihiasi di dalamnya. Keindahan yang terdapat di dalam kubah itu sungguh menakjubkan.

Nabi Sulaiman bertanya kepada pemuda tersebut bagaimana dia boleh berada di dalam kubah ini yang terletak di dasar laut. Pemuda tersebut menceritakan bahawa dia telah berkhidmat kepada kedua ibu bapanya selama 70 tahun. Bapanya seorang yang lumpuh manakala ibunya pula seorang yang buta. Suatu hari ketika ibunya hendak meninggal dunia, ibunya memanggilnya dan memaklumkan bahawa ibunya telah rela di atas khidmat yang diberikan olehnya. Ibunya berdoa kepada Allah supaya anaknya dipanjangkan umur dan sentiasa taat kepada Allah.

Setelah ibunya meninggal dunia, tidak lama kemudian bapanya pula meninggal dunia. Sebelum bapanya meninggal dunia, bapanya juga telah memanggilnya dan memaklumkan bahawa dia juga telah rela di atas khidmat yang diberikan olehnya. Bapanya telah berdoa sebelum meninggal dunia supaya anaknya diletakkan di suatu tempat yang tidak dapat diganggu oleh syaitan.

Doa kedua-dua orang tuanya telah dimakbulkan oleh Alllah. Pada suatu hari ketika pemuda tersebut bersiar-siar di tepi pantai ia terlihat sebuah kubah yang sedang terapung-apung di tepi pantai. Ketika pemuda tadi menghampiri kubah tersebut . Ada suara menyeru supaya pemuda itu masuk ke dalam kubah tersebut. Sebaik sahaja ia masuk kubah dan meninjau di dalamnya tiba-tiba ia bergerak dengan pantas dan tenggelam ke dasar laut.

Tidak lama kemudian muncul satu lembaga seraya memperkenalkan bahawa dia adalah malaikat yang diutuskan Allah. Malaikat itu memaklumkan bahawa kubah itu adalah kurniaan Allah kerana khidmatnya kepada orang tuanya dan beliau boleh tinggal di dalamnya selama mana dia suka, segala makan dan minum akan dihidangkan pada bila-bila masa ia memerlukannya.

Malaikat itu memaklumkan bahawa dia diperintahkah Allah untuk membawa kubah tersebut ke dasar laut. Semenjak dari itu pemuda tersebut terus bermunajah kepada Allah sehingga hari ini.

Taat kepada ibu bapa

Nabi Sulaiman bertanya kepada pemuda itu "Berapa lamakah kamu berada di dalam kubah ini" Pemuda itu menjawab "Saya tidak menghitungnya tetapi ia mula memasukinya semasa pemerintahan Nabi Allah Ibrahim a.s lagi". Nabi Sulaiman menghitung ". Ini bermakna kamu telah berada di dalam kubah ini selama dua ribu empat ratus tahun". Nabi Sulaiman berkata "Rupamu tidak berubah malah sentiasa muda walaupun sudah dua ribu empat ratus tahun lamanya".

Nabi Sulaiman bertanya pemuda itu sama ada dia mahu pulang bersamanya". Jawab pemuda tadi "Nikmat apa lagi yang harus aku pinta selain daripada nikmat yang dikurniakan oleh Allah kepada ku ini".

Nabi Sulaiman bertanya, "Adakah kamu ingin pulang ke tempat asalmu?"

Jawab pemuda itu "Ya, silalah hantar aku ke tempat asalku". Nabi Sulaiman pun memerintahkan Perdana Menterinya membawa kubah tersebut ke tempat asalnya.

Setelah kubah tersebut diletakkan ke tempat asal, Nabi Sulaiman berkata kepada kaumnya, "Kamu semua telah melihat keajaiban yang dikurniakan oleh Allah. Lihatlah betapa besar balasan yang Allah berikan kepada orang yang taat kepada orang tuanya dan betapa seksanya orang yang menderhakai kepada kedua ibu bapanya".

Nabi Sulaiman pun berangkat pulang ke tempatnya dan bersyukur kepada Allah Taala kerana telah memberi kesempatan kepadanya untuk menyaksikan perkara yang ajaib.

[Sumber]