Wednesday, March 08, 2017

Kenapa Malaysia Dipilih Sebagai Lokasi Pembunuhan Kim Jong-nam?

Kenapa Malaysia Dipilih Sebagai Lokasi Pembunuhan Kim Jong-nam?

Kes pembunuhan Kim Jong-nam meninggalkan miste­ri­ yang belum terungkai se­takat ini selepas kaedah untuk membunuhnya dikatakan tidak seperti modus operandi biasa yang digunakan oleh rejim Korea Utara.

Misteri pembunuhan Kim Jong-Nam

Menurut portal Taiwan, thenewslens.com, ini kerana dua pembunuh wanita yang dituduh membunuh abang pemimpin ter­tinggi Korea Utara tersebut bukanlah warga negara terbabit, se­baliknya rakyat Indonesia dan Vietnam yang tidak mempunyai latar belakang atau pengalaman dalam kerja-kerja perisikan.

Selain itu, menurut artikel bertajuk, Kenapa pembunuhan Jong-nam berlaku di Malaysia? itu, banyak lagi persoalan yang timbul ekoran kematian lelaki terbabit.

Antaranya portal itu membangkitkan, mengapa beliau kerap berulang alik ke Malaysia tanpa diiringi pengawal peribadi dan akhirnya mati dalam perjalanan kali ini?

Menurut sumber portal itu, Jong-nam sering ke negara ini se­jak­ tahun 2010 kerana Duta Besar Korea Utara ke Malaysia sebelum ini, Jang Yong Chol merupakan saudaranya.

Tetapi, jika dilihat pada sejarah dan rekod, Jong-nam sepatutnya menjauhkan diri dari negara ini selepas Yong Chol dan keluarga­nya dihukum bunuh di Pyongyang pada Disember 2013 atas alasan operasi pembersihan Korea Utara.

Apa yang orang ramai sama ada penduduk luar atau Malaysia sendiri tidak ketahui kata thenewslens.com ialah tentang keha­diran ramai rakyat Korea – sama ada Korea Selatan atau Korea Uta­ra – di negara ini.

Dianggarkan hampir 20,000 penduduk Korea tinggal di Malaysia dengan sebilangan besar daripada mereka merupakan rakyat Korea Selatan.

Malah, kehadiran ramai penduduk Korea boleh dibuktikan dengan wujudnya dua ‘bandar Korea’ di Kuala Lumpur iaitu Ampang serta Mont Kiara – kawasan yang turut menjadi tumpuan rakyat Korea Utara sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Selain itu, terdapat juga pe­nerbangan terus dari Kuala Lumpur ke Pyongyang menerusi sya­rikat penerbangan rasmi Kore­a Utara iaitu Air Koryo dengan menggunakan pesawat jet lama Rusia, menurut laporan portal berkenaan.

Sementara itu, lapor artikel itu, banyak pihak tidak tahu bahawa terdapat rakyat Korea Utara yang bekerja dalam sektor perlombongan di Sarawak hasil perjanjian khas antara Pyongyang dan Kuching.

Apa yang luar biasa mengenai perjanjian ini ialah rakyat Korea Utara hanya boleh bekerja di syarikat perlombongan tertentu di Sarawak dan tidak dibenarkan bekerja di tempat-tempat lain di negara ini, kata portal berkenaan.

Dalam pada itu, artikel tersebut turut mendakwa Malaysia sentiasa menjadi destinasi pilihan bagi perlindungan tidak rasmi sama ada sebagai transit atau tempat berehat serta rekreasi bagi ahli politik dari seluruh pelosok dunia yang dibuang negeri malah ramai daripada mereka sebenarnya turut menjadi buruan kerajaan ma­sing-masing.

Perkara ini boleh dibuktikan dengan kehadiran pelarian kumpulan pemberontak Parti Rakyat Brunei sekitar tahun 1960-an, ahli keluarga diraja Kemboja yang menetap di Kuala Lumpur semasa zaman pemerintahan Khmer Rouge dan tempat perlindungan beberapa pemimpin Maldives sewaktu era 1990-an.

Daripada semua kenyataan di atas, maka kita tidak perlu berasa terkejut bahawa pembunuhan politik boleh berlaku di negara ini dan perkara ini boleh berulang.

Jong-nam mampu keluar ma­suk ke negara ini kerana Malaysia mempunyai sejarah panjang yang menyaksikan bagaimana buangan politik dari negara lain bebas mencari perlindungan di Malaysia.

Kita percaya selagi Malaysia memberi peluang kepada ahli politik dalam buangan untuk tinggal di sini, maka kita mungkin bakal me­nyaksikan perkara yang terjadi ke atas Jong-nam berulang.

Apa yang pasti, kes seperti itu bukanlah yang pertama dan juga bukan yang terakhir, kata portal itu. -utusan

Kenapa Malaysia menjadi lokasi pembunuhan?

Malaysia dipercayai menjadi sasaran lokasi pembunuhan Kim Jong-nam atas faktor negara ini memiliki kurang kepentingan dari segi politik dan ekonomi bagi kerajaan Korea Utara berbanding negara lain yang sering dikunjungi abang Pre­siden Korea Utara, Kim Jong-un.

Penyelidik Kajian Dasar di Institut Asan, Go Myong-hyun berkata, Malaysia tersenarai sebagai lokasi pembunuhan berikutan kurang berisiko sekiranya hubung­an diplomatik dua hala antara negara itu dan Korea Utara terjejas berbanding Singapura dan China.

Ujarnya, Macau yang merupakan tempat tinggal Jong-nam dan keluarganya adalah sebahagian dari China, justeru Korea Utara tidak mahu mempunyai sebarang konflik dengan negara itu.

"Singapura pula merupakan salah satu hub ekonomi penting kepada republik itu, oleh itu mereka tidak mahu menjejaskan hubungan dua hala berkenaan," katanya dalam forum bertajuk ‘Significance of Kim Jong-nam’s Death’ yang disiarkan selama 25 minit 17 saat menerusi stesen televisyen Korea Selatan, Arirang.

Menurut Myong-hyun, antara aspek lain pembunuhan dilakukan di Malaysia adalah disebabkan negara ini menjadi salah satu destinasi utama yang dikunjungi Jong-nam selain Singapura. -utusan

BACA INI JUGA: Siapa Kim Jong-Nam Dan Kenapa Perisik Korea Utara Membunuhnya?

-SENTIASAPANAS.COM

Thursday, February 16, 2017

Siapa Kim Jong-Nam Dan Kenapa Perisik Korea Utara Membunuhnya?

Siapa Kim Jong-Nam Dan Kenapa Perisik Korea Utara Membunuhnya?

Kim Jong-Nam, dilahirkan pada 10 Mei 1971, merupakan anak sulung kepada bekas pemimpin tertinggi Korea Utara, mendiang Kim Jong-ll dan abang tiri pemimpin Korea Utara, Kim Jong-Un, dipercayai mati diracun perisik Korea Utara di KLIA 2.

Kim Jong-Nam

Namun, tidak ramai yang mengetahui identiti Kim Jong-Nam sebelum berita kematiannya mendapat liputan meluas dunia, sehingga mencetuskan soalan, siapa sebenarnya Kim Jong-Nam?

Kim Jong-Nam adalah abang tiri kepada pemimpin Korea Utara ketika ini, Kim Jong-un, adalah hasil hubungan sulit Kim Jong Il dengan aktres Korea Utara, Song Hye Rim.

Kim Jong-Nam dilahirkan di ibu negara Korea Utara, Pyongyang, pada 10 Mei 1971 dan sebenarnya merupakan anak lelaki sulung Kim Jong-Il.

Sebelum adiknya menjadi pemimpin, Kim Jong-Nam dinamakan sebagai bakal pewaris takhta dinasti Komunis Korea Utara, namun dunianya berubah 180 darjah apabila hidup dalam buangan sebelum kematian ayahnya, Kim Jong-Il pada 2011.

Bukan itu sahaja, dia juga terpaksa menyembunyikan diri serta mengelak pergerakannya dihidu adik tirinya, yang masih lagi takut sekiranya dia akan kembali menuntut hak untuk berkuasa.

Kedua adik beradik ini memiliki raut wajah bulat dan air muka yang hampir sama, gaya jalan dan ekspresi yang sama, namun kedua-duanya dikatakan tidak pernah bersua muka.

Kim Jong

Memetik laporan CNN pada Januari 2012, wartawan akhbar Tokyo Shimbun, Yoji Gomi yang merupakan penulis biografi kisah Kim Jong Nam berjudul "My Father, Kim Jong Il, and Me," berkata, Kim Jong Nam merupakan seseorang yang berfikiran terbuka lebih-lebih lagi mengenai perubahan ekonomi serta berpengetahuan tinggi mengenai hal dunia.

Selepas temubual dibuat dalam lebih 150 e-mel, Yoji Gomi menyifatkan Kim Jong Nam lantang menentang dasar yang dibuat bapanya terutama dasar kepimpinan ketenteraan.

Kim Jong-nam juga sebelum ini pernah dilaporkan secara meluas mengenai percubaannya memasuki Jepun menggunakan pasport palsu kerana ingin melawat Taman Tema Disneyland di Tokyo pada Mei 2001.

Insiden itu telah membawa satu perubahan besar kepada hubungan Kim Jong Nam dan bapanya.

Sejak itu, Kim Jong Nam dibuang ke China dan Kim Jong Un diangkat sebagai pewaris kedudukan Kim Jong Il pada tahun 2003.

Bagaimanapun, menerusi temu bual bersama Yoji Gomi, Kim Jong Nam dikatakan menafikan sekeras-kerasnya bahawa tindakannya itu telah menyebabkan bapanya menggugurkan namanya sebagai pengganti kepemimpinan Korea Utara.

Kim Jong Nam mendakwa bahawa namanya digugurkan sebagai calon pewaris kerana beliau cenderung melakukan reformasi lantaran menerima pendidikan di Switzerland.

Sejak itu, hubungan beliau dan bapanya semakin renggang kerana Kim Jong Nam dilihat telah membawa pemikiran Kapitalisme.

Dalam satu e-mel kepada Yoji Gomi, Kim Jong Nam berkata, "Selepas saya kembali ke Korea Utara selepas belajar di Switzerland, hubungan saya dengan bapa semakin jauh kerana saya berkeras mahukan pembaharuan dan pasaran terbuka, namun ia menimbulkan syak wasangka.

"Bapa berasa sangat sunyi selepas menghantar saya belajar di luar negara. Apabila dia merasakan bahawa saya akan menjadi kapitalis selepas tinggal di luar negara selama bertahun-tahun, pendidikan luar negara untuk adik-adik saya telah dipendekkan.”

Kim Jong-Nam

Jawatan bakal penyambung legasi itu kemudian diturunkan kepada Kim Jong-Un, adik tirinya, selepas kematian mengejut bapanya pada 2011.

Kim Jong-Un dikatakan melihat Kim Jong-Nam sebagai ancaman terhadap hak kekuasaannya.

Apatah lagi Kim Jong-Nam yang bermulut ‘celupar’ itu juga dengan beraninya pernah mempersoalkan kewibawaan Kim Jong-Un untuk memimpin Korea Utara di dalam buku “My Father, Kim Jong-il, and Me”.

Katanya, dia yakin bahawa rejim pimpinan Kim Jong-Un akan tumbang dalam masa singkat kerana adiknya itu terlalu muda dan langsung tidak memiliki pengalaman luas dalam bidang pentadbiran.

Dalam temubual lain pula, Kim Jong-Nam pernah berkata bahawa dia menolak keras pelaksanaan sistem warisan kuasa mengikut keturunan yang diamalkan oleh rejim Korea Utara.

Kim Jong-Nam meninggalkan Macau akhir 2012 selepas gusar keselamatannya kerana seorang perisik Korea Utara yang ditangkap di Korea Selatan mengakui telah diarahkan membunuh Kim Jong-Nam pada Julai 2010.

Malah, terdapat beberapa percubaan untuk membunuh Kim Jong-Nam selepas kematian ayahnya.

Lelaki berusia 46 tahun itu kemudian membahagikan masanya antara Singapura dan Macau sebelum dikesan di Malaysia pada Januari 2014.

Dia terpaksa berpindah randah secara rahsia selepas adik tirinya mengarahkan bapa saudara mereka, Jang Song-Thaek, dihukum bunuh pada akhir 2013 lalu.

BACA INI JUGA: Osama Bin Laden Ditembak Sampai Hancur!

Sumber: mynewshub