Thursday, June 04, 2020

Menurut Kajian Wanita Lebih Bahagia Jika Pasangan Tidak Kacak!

Menurut Kajian Wanita Lebih Bahagia Jika Pasangan Tidak Kacak!

Sebuah kajian yang dijalankan oleh Florida State University mendapati bahawa dalam sesebuah perhubungan yang berjaya, kebiasaannya pasangan wanita akan lebih cantik dan menawan daripada pasangan lelaki.

Pasangan Tidak Kacak
Gambar hiasan.

Dalam bahasa mudahnya, wanita akan lebih gembira dengan lelaki yang kurang kacak dan kurang menarik!

Dalam kajian yang melibatkan 113 pasangan yang baru sahaja berkahwin, hasil menunjukkan jika pasangan lelaki mendapati dia kurang kacak dan tidak menarik, lelaki tersebut akan berusaha dengan cara yang lain untuk menambat hati wanita.

Sebagai contoh, membersihkan rumah, berpakaian kemas dan pandai dalam mengambil hati pasangan.

Berbanding dengan lelaki kacak yang sesetengah daripada mereka hanya menggunakan paras rupa sahaja untuk menambat hati pasangan.

Malah, pasangan wanita juga merasakan mereka tidak perlu lagi bersaing dengan wanita lain untuk kelihatan cantik jika mempunyai pasangan yang kurang menarik.

Betul ke? Cuba periksa pasangan di sekeliling anda.

PASANGAN CURANG TIDAK SEMESTINYA DENGAN ORANG LEBIH CANTIK ATAU KACAK

Namun, sebenarnya banyak kes pasangan di luar sana yang curang dengan seseorang yang dianggap tidaklah "lebih baik" dari pasangan sahnya.

Malah ada juga yang curang dengan seseorang yang "lebih teruk" dari pasangan asal! Contohnya seperti seorang isteri curang dengan lelaki yang menganggur, sedangkan suaminya bergaji besar.

Ada juga suami yang curang dengan wanita yang lebih tua dan tidak bekerja, sedangkan isteri mereka lebih muda, cantik dan berkerjaya.

Jadi, anggapan yang mengatakan setiap orang hanya akan curang dengan orang yang lebih menarik dari pasangan masing-masing adalah tidak benar.

Sebuah kajian dari laman web Victoria Milan telah membuktikan perkara ini.

Laman web tersebut telah menyediakan perkhidmatan untuk orang yang sudah berkahwin, bagi mencari hubungan sulit "di luar" pernikahan mereka.

Victoria Milan kemudiannya telah melakukan polling terhadap 4,000 orang ahli laman webnya itu dan mendapati kebanyakan orang yang menggunakan perkhidmatan laman web tersebut menganggap isteri dan suami mereka JAUH lebih menarik daripada "kekasih gelap" mereka.

Menariknya, responden lelaki mengatakan selain penampilan, isteri mereka juga jauh lebih superior berbanding kekasih gelap mereka.

Hanya 30% responden lelaki yang memiliki kekasih gelap lebih muda dari isteri mereka. Manakala hanya seperempat dari para lelaki tersebut mengatakan "kekasih gelap" mereka lebih menarik dari pasangan asal.

Jadi, kenapa mereka curang? Responden lelaki ini mengaku mereka curang kerana "kekasih gelap" mereka lebih ghairah berbanding pasangan, malah lebih memberi perhatian dan mahu mendengar berbanding isteri mereka.

Sementara itu buat wanita pula, lebih dari setengah responden wanita mengatakan bahawa suami mereka jauh lebih tampan daripada kekasih gelap yang mereka pilih.

Namun, 50% dari mereka juga mengatakan kekasih gelap mereka memiliki badan yang lebih tegap berbanding si suami.

Tak jauh berbeza dari responden lelaki, responden wanita juga mengatakan kekasih gelap mereka adalah pendengar yang lebih baik, malah lebih passionate berbanding suami.

Ditambah lagi, 89.6% dari responden wanita mengatakan kekasih gelap mereka lebih bijak menghargai berbanding suami sendiri.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2

Friday, May 22, 2020

Khasiat Dan Manfaat Kacang Gajus

Khasiat Dan Manfaat Kacang Gajus

Kacang gajus adalah kacang yang berasal daripada biji buah gajus dan sering dijadikan makanan ringan atau makanan diproses terutamanya untuk pembuatan biskut dan kek, namun di sebalik keenakan rasa kacang gajus, ia mempunyai banyak manfaat untuk kesihatan dan dikaitkan dengan penurunan risiko pelbagai penyakit.

Khasiat Gajus

Dalam satu ujian percubaan intervensi manusia yang diterbitkan jurnal pemakanan Nutrients, pengkaji di Perkhidmatan Penyelidik Pertanian, Jabatan Pertanian Amerika Syarikat (USDA) dan Pusat Penyelidikan Pemakanan Manusia Beltsville memeriksa kandungan tenaga yang ada dalam kacang gajus.

Seramai 18 sukarelawan yang sihat dilatih untuk mengambil bahagian dalam kajian selama sembilan minggu.

Peserta mengambil pemakanan asas dikawal yang ditambah dengan kacang gajus iaitu 42 gram sehari sepanjang tempoh kajian selama empat minggu.

Mereka turut mengambil pemakanan asas dikawal tanpa penambahan kacang gajus dalam tempoh empat minggu berikutnya.

Sampel pemakanan daripada kajian itu bersama najis dan air kencing daripada 18 sukarelawan dikumpul semasa minggu terakhir dalam setiap fasa intervensi, selain kandungan protein, lemak dan tenaga turut dianalisis.

Keputusan kajian menunjukkan kandungan tenaga (kalori) dalam kacang gajus 16 peratus lebih rendah berbanding nilai yang biasa dinyatakan pada label makanan semasa dan dalam pangkalan data di AS termasuk Pangkalan Data Nutrien Untuk Rujukan Piawaian Kebangsaan.

Meskipun nilai tenaga semasa dilaporkan 163 kilo-kalori setiap hidangan, penyelidik USDA mendapati kandungan tenaga mengalami proses metabolisme untuk 28 gram hidangan kacang gajus adalah 137 kilo-kalori.

Sementara itu, satu lagi kajian terkini diterbitkan dalam Jurnal Nutrisi Klinikal Amerika menyimpulkan pengambilan 42 gram kacang gajus sehari tidak meningkatkan tahap kolesterol jahat atau lipoprotein dengan kepadatan rendah (LDL).

Info

Kacang gajus mengandungi protein dan mineral penting termasuk tembaga, kalsium, magnesium, zat besi, fosforus, potasium dan zink malah, sodium juga hadir dalam kuantiti yang kecil.

Menurut Pangkalan Data Nutrien Kebangsaan USDA, kacang gajus turut mengandungi vitamin seperti C, B-, E dan K serta tiamin, riboflavin, niasin dan folat.

Ia juga sumber kepada asid oleik dan membekalkan sejumlah lemak mono tidak tepu dan lemak poli tidak tepu tanpa kandungan kolesterol jika diambil secara sederhana.

Manfaat

1. Kesihatan otot dan saraf

Kacang gajus adalah sumber magnesium penting untuk pembentukan tulang, otot, tisu dan organ tubuh lain.

Kandungan magnesium membantu mengekalkan tekanan darah, meningkatkan imuniti, mengekalkan fungsi saraf dan mengekalkan tulang yang kuat.

2. Mengurangkan risiko diabetes

Kacang gajus mengandungi jumlah gula sangat rendah dan tiada kolesterol jahat. Ini membolehkan kacang gajus selamat diambil pesakit diabetes, malah membantu mengurangkan risiko diabetes Tahap 2.

3. Meningkatkan kesihatan tulang dan gigi

Kacang gajus membekalkan fosforus yang penting untuk pembentukan tulang dan gigi.

Kandungan fosforus juga membantu dalam sistesis protein, menyerap lemak dan karbohidrat serta penyelenggaraan kesihatan sel.

4. Meningkatkan sistem imun

Kacang gajus mengandungi zink yang memainkan peranan penting dalam menguatkan sistem imun menentang jangkitan mikrob dan menyembuhkan luka.

Ia juga sangat penting dalam tempoh kehamilan untuk pembesaran bayi dan perkembangan kanak-kanak bagi mengekalkan tubuh yang sihat.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: hmetro

Monday, March 16, 2020

Bahaya Penggunaan 'Hand Sanitizer' Menurut Kajian

Bahaya Penggunaan 'Hand Sanitizer' Menurut Kajian

Ketika dunia dilanda wabak Covid-19, lebih ramai orang percaya penggunaan hand sanitizer berbanding mencuci tangan menggunakan sabun dan air, namun tahukah anda banyak keburukan apabila menggunakan hand sanitizer kepada kesihatan?

Bahaya Guna Hand Sanitizer

Hand sanitizer dicipta untuk kegunaan individu yang bekerja di kawasan yang memerlukan kesedaran kesihatan yang tinggi, seperti hospital, klinik, farmasi, mana-mana pusat kesihatan dan sebagainya.

Hand Sanitizer adalah sejenis cecair yang sangat berguna dan berjasa kepada golongan doktor, jururawat, ahli farmasi dan pekerja yang bekerja di pusat kesihatan yang penuh dengan pesakit.

Ini kerana ia dikatakan sangat membantu golongan ini membunuh kuman, bakteria atau virus yang sering berada pada tangan mereka akibat menyentuh atau merawat pesakit.

Hand sanitizer mengandungi pelbagai sebatian seperti air, ejen pewangi, glycerin, ethanol, triclosan, isopropyl dan N-propanol sebagai bahan ramuan yang aktif dan berfungsi sebagai antiseptik.

Pun begitu, hand sanitizer ini boleh digambarkan sebagai indah khabar dari rupa, kerana cecair yang dikatakan kononnya boleh membersihkan sepenuhnya tangan dari segala anasir buruk ini tidaklah begitu berkesan seperti yang disangka.

Bahkan, terdapat banyak keburukan hand sanitizer ini kepada penggunanya!

Menurut U.S. Food and Drug Administration (FDA), bahan-bahan yang terkandung di dalam cecair pencuci tangan ini mungkin akan mendatangkan beberapa risiko yang tersembunyi, seperti:

1. Menjadikan tubuh badan kebal antibiotik

Untuk pengetahuan anda, antibiotik sangat efektif dalam melawan bakteria namun, apakah yang akan terjadi sekiranya tubuh badan anda kebal terhadap antibiotik?

Ini sudah tentu sekali akan membuat kuman dan bakteria bermaharajalela dalam tubuh badan.

Menurut kajian yang dijalankan oleh U.S. Centers for Disease Control and Prevention (CDC) pada 2011, didapati bahawa pekerja di sebuah tempat kerja lebih berisiko dijangkiti norovirus jika menggunakan hand sanitizer berbanding mencuci tangan menggunakan sabun.

Jelas sekali, sifat cecair pencuci tangan yang rintang antibiotik ini hanya akan membuatkan kuman dan bakteria 'kebal' di dalam tubuh badan kita.

2. Membuatkan kulit lebih kering

Ramuan yang terdapat di dalam cecair pencuci tangan ini seperti ethanol, isopropyl dan N-propanol boleh menyumbang kepada keburukan hand sanitizer.

Ini kerana bahan-bahan tersebut adalah antara jenis alkohol yang boleh mengeringkan kulit jika ia terkena pada mana-mana bahagian kulit pada tubuh badan.

Bukan itu sahaja, ia juga malah akan merengsakan kulit dan membunuh segala sel kulit yang terhidrat dan membuang minyak semula jadi serta acid mantle, sekali gus meninggikan risiko dermatitis kontak.

Anda pasti tidak mahu ini terjadi kepada tangan anda, bukan?

3. Membuat proses penuaan kulit lebih pantas

Selain membuat kulit lebih kering, keburukan hand sanitizer yang lain pula adalah ia akan menyebabkan kulit lebih cepat mengalami penuaan.

Untuk lebih faham, penggunaan yang terlalu kerap akan mengakibatkan timbulnya garisan dan kedutan pada kulit selain merosakkan keremajaannya.

Ini kerana bahan alkohol yang disebutkan tadi akan merosakkan sistem pertahanan semula jadi kulit sekali gus mengurangkan keupayaannya untuk melindungi diri dan seterusnya meningkatkan risiko dehidrasi berlaku.

Ini adalah punca kulit tangan anda nampak lebih tua, berbeza dengan kulit wajah!

4. Keracunan alkohol

Bukan itu saja, antara keburukan hand sanitizer yang lain adalah, ia mungkin boleh menyebabkan keracunan alkohol.

Hanya kerana produk yang anda guna tidak mengandungi triclosan, tidak bermakna ia selamat digunakan.

Terdapat banyak jenis alkohol lain yang ada di dalam cecair pencuci tangan ini boleh mengakibatkan keracunan alkohol.

Pada Mac 2012, 6 remaja yang tinggal di Amerika Syarikat terpaksa dikejarkan ke hospital akibat keracunan alkohol selepas didapati meminum hand sanitizer.

Namun, janganlah anda menyangka bahawa keracunan alkohol hanya disebabkan anda meminumnya kerana hanya dengan menyapu secara berlebihan juga boleh mendatangkan risiko!

5. Melemahkan sistem imun tubuh badan

Selain yang disebutkan di atas, triclosan yang terdapat dalam cecair pencuci tangan ini boleh melemahkan sistem imunisasi pada tubuh badan yang berfungsi melawan penyakit.

Bagaimana ia berlaku? Menurut kajian yang dijalankan oleh University of Michigan School of Public Health, triclosan akan menjejaskan sistem imunisasi sekali gus menyebabkan individu lebih mudah mendapat alahan dan lebih terdedah kepada bahaya toksik Bisphenol A, yang biasa ditemui dalam plastik.

Pendek kata, hand sanitizer akan membuat tubuh badan menjadi lemah dan kurang efektif dalam melawan beberapa jenis penyakit.

6. Ia tidak 100% berkesan

Menurut Aaron E. Glatt yang merupakan Naib Presiden Mercy Medical Center di Amerika Syarikat, penggunaan hand sanitizer mungkin benar dapat membantu membunuh kuman dan bakteria yang terdapat pada tangan kita, namun bukan 100%.

Sebagai contoh, beliau menerangkan bahawa cecair pencuci tangan ini tidak berkesan untuk melawan virus C. difficile, yang boleh menyebabkan keradangan pada kolon yang boleh membawa maut jika tidak dirawat segera.

Hand sanitizer adalah pilihan yang kurang tepat

Hakikatnya, terdapat banyak keburukan hand sanitizer jadi, untuk apa merisikokan diri anda dengan terus menggunakan cecair pencuci tangan ini jika anda ada pilihan untuk mencuci tangan menggunakan sabun dan air?

Menurut kajian pada tahun 2000, hand sanitizer dikatakan tidak mampu mengurangkan amaun kuman dan bakteria yang terdapat pada tangan kita malah meningkatkannya!

Jadi, bertukarlah kepada sabun dan air!

BACA INI JUGA:

sumber: hellodoktor

Friday, March 13, 2020

Menurut Kajian Pembuli Mempunyai Otak Yang Kecil!

Menurut Kajian Pembuli Mempunyai Otak Yang Kecil!

Sekumpulan penyelidik antarabangsa telah membuat imbasan MRI kepada 652 orang, otak-otak milik individu yang mempunyai sejarah sebagai pembuli dan hasilnya sangat mengejutkan: pembuli mempunyai otak yang kecil. Senang cakap, bodoh!

Otak Pembuli

Menurut penyelidik, penemuan tersebut menyokong idea individu-individu yang mempunyai kecenderungan anti-sosial yang kerap, terdapat perbezaan dari segi struktur otak mereka yang menjadikannya sukar membangunkan kemahiran sosial dan mengelak dari terjebak dengan tingkah laku anti-sosial.

Kajian ini mendapati individu yang mempunyai sejarah keganasan, mencuri, membohong, buli atau mengalami kegagalan berterusan mempunyai perbezaan dari segi fizikal berbanding peserta lain.

Jika diamati struktur otak pembuli, korteks mereka lebih nipis berbanding orang lain dan keseluruhan otak mereka mempunyai keluasan permukaan yang lebih sedikit.

Tetapi usah takut bagi yang pernah membuli tetapi sudah berubah. Individu yang pernah menunjukkan tingkah laku anti-sosial semasa kecil tetapi tidak melakukannya bila mencecah usia remaja dan dewasa tidak menunjukkan keganjilan pada imbasan otak mereka.

Kebanyakan individu yang menunjukkan tingkah laku sebegini pada usia remaja hanya melakukannya untuk melepasi tahun-tahun mereka yang mencabar, tetapi kemudiannya meninggalkan tingkah laku ini dan menjadi anggota masyarakat yang bernilai.

MENTAL PEMBULI

Bila kita dengar kes buli dan jenayah buli yang membawa kematian, kita mesti tertanya, apa yang ada dalam kepala otak pembuli ini? Buli sampai ke tahap membunuh. Mereka gagal mengawal kewarasan sebagai manusia dan sebaliknya membiarkan sifat 'animal instinct' merosakkan pertimbangan akal.

Apa puncanya?

1. Masalah keluarga

Ada segelintir pembuli yang membuli ada masalah keluarga. Masalah itu tidak semestinya perceraian, penderaan atau penolakan dalam hubungan kekeluargaan.

Selain itu, stres akibat bebanan tanggungjawab yang diterima pada usia yang masih muda, akan cuba dilepaskan pada orang yang dilihat lemah dan senang dipijak.

2. Too proud too fragile

Dia rasa dia bagus sangat. Dia pandai mempengaruhi kawan sekelas. Dia pandai secara akademik, ada rupa dan aktif bersukan. Pembuli begini mengalami masalah untuk memenuhi expectation mak bapa.

3. Follower

Manusia ni, kalau ada yang memulakan sesuatu, ada la yang nak mengikut. Begitu juga dengan kes buli. Bila seorang kawan yang acah-acah pailang dan gengster belasah budak lemah, ada la yang nak uji kekuatan dan nak tumpang glemer.

Sebab? Dia tak nak ditinggalkan, dia nak rasa setaraf jadi golongan alpha di sekolah. Ataupun dia takut kalau dia tak ikut sama, dia pula yang kena buli.

Sebenarnya, sebahagian dari kumpulan pembuli ini ada masalah terhadap diri dan psikologi mereka menggesa supaya memasukkan diri ke dalam kelompok yang dapat membangkitkan keyakinan mereka.

4. Animal Instinct

Proses didikan anak fasa pertama ialah kasih sayang pada usia 0-6 tahun, disiplin pada usia 7-14 dan seterusnya ialah proses keremajaan menuju ke alam dewasa, yang memerlukan pendekatan berbeza.

Sepanjang proses 0-6 tahun, otak manusia akan mencirikan sifat 'blind nature'. Sebab itu budak-budak sukar dikawal, bertenaga dan degil. Mak bapa perlu memainkan peranan untuk mengawal perkembangan perilaku anak-anak secara lembut dan konsisten sehingga sahsiah diri anak-anak terserlah menjelang usia 7 tahun.

Tapi, bila mak bapa menggunakan konsep "Biarlah, budak lagi" atau menghukum tanpa bertanya ataupun mak bapa sendiri tidak menjaga sikap, anda tahu sendirilah jawapannya.

Budak-budak lelaki pembuli yang tidak dilentur rebungnya semenjak kecil dan bersikap membuli, mahu membuktikan kejantanan mereka, sebab kalau tak tunjuk kuat, tak jantanlah namanya. Pui~

5. Angkuh

Inilah spesies pembuli yang kita akan jumpa di mana-mana. Angkuh, sebab pembuli ini ada segalanya. Pandai, ada rupa, keluarga sempurna, berharta dan apa yang dia nak, semuanya dia dapat.

Sampai ke satu tahap, orang macam ini akan cuba menguasai orang lain, mahu membuktikan bahawa dia mampu mendapatkan apa saja yang dia mahukan.

Kesimpulan

Sejujurnya, buli wujud kerana adanya golongan yang dominan dan ada golongan yang tak dominan. Kemudian, wujudnya ruang, sebab dan punca untuk membuli.

Buli akan sentiasa ada selagi golongan dominan merasakan mereka layak untuk mendominasi dan golongan yang kurang dominan berjaya didominasi.

Masalah ini sebenarnya wujud apabila kepelbagaian atau perbezaan tidak diterima dan sukar untuk membantu golongan pembuli supaya sedar dari perbuatan mereka selagi ego masih ada.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2

Monday, February 17, 2020

Menurut Kajian Tekanan Akan Membuatkan Rambut Cepat Beruban

Menurut Kajian Tekanan Akan Membuatkan Rambut Cepat Beruban

Pernah dengar yang tekanan akan membuatkan rambut kita cepat beruban? Ia bukan sekadar kata-kata kerana tekanan benar-benar akan membuat anda cepat beruban - dan apabila rambut sudah memutih, ia tidak akan kembali ke warna asal.

Rambut Cepat Beruban
Gambar hiasan.

Kajian sekumpulan penyelidik Universiti Harvard mendapati hormon norepinephrine dibebaskan ketika badan berada dalam keadaan fight or flight.

Di bawah tekanan yang luar biasa, norepinephrine dibebaskan ke dalam saluran darah di mana ia meningkatkan kadar denyutan jantung dan menyediakan tubuh bertindak balas terhadap sebarang ancaman.

Tetapi, keadaan itu merosakkan sel stem melanocyte (MSC), iaitu sel kulit yang menghasilkan pigmen yang turut berfungsi memberikan warna pada rambut.

Umumnya manusia akan mula beruban pada usia 30-an, dan rambut akan putih keseluruhan ketika usia menjangkau 50 tahun.

Mereka yang beruban pada usia remaja kebiasaannya adalah disebabkan faktor genetik.

Dalam hasil penyelidikan yang diterbitkan dalam jurnal Nature menyebut, kebanyakan kita mempunyai anekdot tentang bagaimana tekanan memberi reaksi terhadap tubuh mereka.

"Paling utama pada kulit dan rambut mereka, satu-satunya tisu yang dapat kita lihat dari luar.

"Kami mahu memahami jika hubungan ini adalah benar dan jika ya, bagaimana tekanan membawa perubahan dalam tisu yang pelbagai," kata Dr Ya-Chieh Hsu, profesor sel stem dan biologi regeneratif di Harvard.

Sudah diketahui sebelum ini, hormon yang dihasilkan sebagai tindak balas kepada tekanan memberi kesan kepada sel stem yang memberi warna rambut.

Tetapi apa yang ingin ditentukan ialah hormon manakah yang sering diperkatakan dan dari mana ia datang.

Para penyelidik mendapati bahawa tekanan menyebabkan sistem saraf mengeluarkan norepinephrine ke salur darah.

Norepinephrine dihasilkan otak dalam keadaan tertekan menjadikan tubuh lebih berjaga-jaga dan bersedia untuk melawan tekanan.

Tetapi ia juga menyebabkan sel stem dalam folikel rambut diaktifkan secara berlebihan, menurut kajian itu.

"Apabila kita memulakan kajian ini, saya tahu tekanan beri kesan buruk, tetapi rupa-rupanya ia jauh lebih teruk daripada yang saya bayangkan.

"Selepas beberapa hari saja, semua sel pemulihan stem hilang dan anda tidak boleh menghasilkan semula pigmen lagi. Kerosakan itu kekal," tambah Cheih Hsu.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: astroawani

Thursday, June 20, 2019

Kajian Membuktikan Garam Masakan Mengandungi Microplastic Penyebab Kanser

Kajian Membuktikan Garam Masakan Mengandungi Microplastic Penyebab Kanser

Selama ini kita tidak sedar pun bahawa garam masakan yang kita selalu gunakan sebagai penyedap makanan ketika memasak rupa-rupanya mengandungi Microplastic, sejenis bahan yang boleh mengundang bahaya pada kesihatan tubuh.

Garam Microplastic

Pendedahan mengenai garam yang kita makan sehari-hari, mengandungi bahan microplastic telah pun dimuatkan dalam Jurnal Environmental Science and Techology selepas kajian dilakukan oleh sekumpulan penyelidik Korea Selatan dan mereka telah bekerjasama dengan Persatuan Greenpeace Asia Tenggara.

Hasilnya, 90 peratus garam yang dijual di pasaran mengandungi microplastic yang menjadi salah satu penyebab kanser ovari.

Baca perkongsian manfaat dari Dr Latif Saad yang juga pengasas kepada page The Diagnosa dan Root The Science mengenai isu ini.

Penghasilan garam yang kita anggap benar-benar terhasil dari galian ini rupanya bercampur microplastik.

Sudah menjadi kebiasaan kita untuk memasukkan garam ke dalam makanan bagi memberikan makanan yang kita masak menjadi lebih sedap dan enak.

Bahkan, negara kita terkenal dengan ikan kering, sotong kering dan pelbagai lagi makanan kering dimana makanan tersebut akan direndam dalam air garam terlebih dahulu sebelum dijemur di tengah panas.

Tapi tahukah anda bahawa pengambilan garam akan meningkatkan kuantiti anda makan plastik?

Lebih daripada 90% daripada garam dapur yang dijual di pasaran mengandungi ‘Microplastic’ dan kajian ini telah diterbitkan dalam Jurnal Environmental Science and Technology.

Apa Itu Microplastic?

Microplastic adalah plastik kecil yang terhasil daripada penguraian plastik yang besar dan wujud, namun kita tidak tahu kewujudannya di dalam air kerana ia tidak mempunyai rasa dan bau dalam kuantiti sedikit.

Microplastic juga wujud dalam bentuk ‘Microbeads’ dalam produk kesihatan, kecantikan dan juga produk pencuci.

Pernah tak rasa macam biji-biji ketika mencuci muka menggunakan pencuci muka, itulah microbeads.

Apabila air yang mengandungi microbeads dibuang, ia akan masuk ke dalam sistem kumbahan, diproses semula dan sebagainya sehinggalah ia digunakan semula oleh manusia.

Untuk mengetahui bagaimana tahap microplastic dalam garam yang digunakan dalam masakan harian, pengkaji di Korea Selatan telah berkerjasama dengan Persatuan Greenpeace Asia Tenggara.

Kajian tersebut membandingkan kandungan microplastic di dalam air laut bersama dengan tahap pencemaran plastik di kawasan tersebut.

Daripada 39 jenama garam laut yang berasal daripada Eropah, Afrika, Asia dan Amerika, kesemuanya mengandungi plastik kecuali 3 jenama sahaja.

Kandungan microplastic dalam garam tersebut adalah berbeza bergantung kepada Jenama, namun pengkaji tersebut tidak menyenaraikan jenama yang terlibat.

Akan tetapi mereka dapat melihat bahawa kandungan microplastic dalam garam yang tertinggi adalah berasal daripada kawasan Asia.

“Penemuan ini menunjukkan bahawa pengambilan microplastic melalui sumber laut adalah sangat tinggi terutamanya dikawasan yang terlibat (Asia)."

Kajian yang sama juga mendapati garam bukit juga mengandungi Microplastic, cuma kandungannya kurang berbanding garam laut.

Ini mengambarkan betapa teruknya bumi ini sudah tercemar sehinggakan garam di bahagian bukit juga mengandungi bahan yang sama.

Microplastic penyebab kanser dan penyakit?

Terdapat pelbagai kajian yang menyatakan plastik boleh menjadi salah satu punca kepada kanser kerana ia mengandungi kompaun BPA (Bisphenol A).

Kompaun ini dikatakan boleh mengganggu hormon dalam badan dan mendedahkan seseorang itu kepada penyakit seperti kanser ovari dan sebagainya, namun masih lagi diperingkat kajian bagi membuktikan kesahihannya.

Tetapi, cukuplah kita tahu bahawa microplastic mungkin akan mendatangkan kesan buruk kepada kesihatan dan masyarakat perlu sedar yang bumi ini sudah tercemar dengan teruknya.

Jadi, kurangkanlah penggunaan plastik supaya alam ini tidak tercemar.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: remaja

Thursday, May 30, 2019

Bahaya Kurang Tidur Yang Anda Wajib Tahu

Bahaya Kurang Tidur Yang Anda Wajib Tahu

Satu kajian yang dilakukan oleh Dr. Josiane Broussard dan beberapa penyelidik dari Cedars-Sinai Medical Center di Los Angeles mendapati, kurang tidur semalaman boleh mengurangkan sensitiviti badan terhadap insulin sama seperti ketika anda makan makanan berlemak selama 6 bulan lamanya.

Bahaya Kurang Tidur

Insulin adalah hormon yang dihasilkan oleh buah pinggang yang membolehkan badan anda untuk menggunakan gula (glukosa) dari karbohidrat dalam makanan yang anda makan untuk tenaga selain membantu menjaga tahap gula dalam darah anda dari menjadi terlalu tinggi (hiperglisemia) atau terlalu rendah (hipoglisemia).

Kurang tidur punca Diabetes

Apabila tubuh menjadi kurang sensitif terhadap insulin, tubuh anda tidak boleh menghasilkan insulin yang cukup untuk menjaga kadar gula darah stabil.

Jika keadaan ini berterusan, tubuh anda tidak dapat memproses dan mengawal gula dengan baik dalam tubuh.

Kurang tidur boleh menyebaban kerosakan insulin dan berpotensi diserang penyakit diabetes jadi, kalau anda kurang tidur beberapa hari ini, ‘bayar hutang’ tidur anda tu balik ye.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: lelakisihat

Sunday, April 28, 2019

Benarkah Minum Kopi Dan Teh Panas Meningkatkan Risiko Kanser?

Benarkah Minum Kopi Dan Teh Panas Meningkatkan Risiko Kanser?

Menikmati minuman teh atau kopi panas dikatakan boleh meningkatkan risiko pembentukan kanser oesophageal, menurut satu kajian yang telah dijalankan dan telah diterbitkan dalam Jurnal Kanser Antarabangsa, dibuktikan dengan kajian ke atas 50,045 individu berusia 40 hingga 75 tahun untuk median 10 tahun.

Kopi panas

"Ramai orang suka minum teh atau kopi dan minuman panas lain dan menurut laporan kami, ia berupaya meningkatkan risiko kanser oesophagal.

"Jadi, anda dinasihatkan menunggu sehingga ia sejuk sebelum minum, " kata pengarang utama Farhad Islami, dari Persatuan Kanser Amerika.

Susulan kajian itu, 317 kes baharu kanser oesophageal telah direkodkan.

Kanser oesophageal merupakan penyakit melibatkan kecacatan sel dalam salur pemakanan yang membesar dengan tidak terkawal.

Menurut Kajian Kanser UK, ia turut dikenali sebagai gullet. Walau bagaimanapun, tidak dinyatakan berapa kekerapan minum teh atau kopi panas sehari yang boleh menyebabkan risiko kanser.

Jadi, buat peminat teh dan kopi panas, bersederhanalah menikmati jamuan kegemaran anda itu.

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:

sumber: mstar

Thursday, April 25, 2019

Wanita Tahu Lelaki Curang Hanya Dengan Melihat Wajah Pasangan

Wanita Tahu Lelaki Curang Hanya Dengan Melihat Wajah Pasangan

Dalam satu kajian terbaharu mendapati bahawa, wanita sememangnya boleh tahu jika pasangan mereka curang hanya dengan melihat pada wajah. Kajian itu dijalankan ke atas 299 lelaki dan 452 wanita.

Wajah Curang
Gambar hiasan.

Kecurangan yang dicurigai mungkin mengandungi kebenaran jika diamati pada air muka lelaki, ujar penulis kajian itu.

Berbeza dengan lelaki, kajian membuktikan mereka sukar untuk menilai kecurangan dengan hanya melihat wajah wanita.

Menerusi kajian itu, mereka diberi siri gambar wajah dan perlu membuat tekaan skala kecurangan dari satu hingga 10.

Jurnal kajian itu diterbitkan menerusi The Royal Society Publishing pada 17 April 2019 lalu.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: mstar

Tuesday, April 23, 2019

Kajian Membuktikan Individu Kesepian Akan Berdiri Jauh Dari Pasangannya

Kajian Membuktikan Individu Kesepian Akan Berdiri Jauh Dari Pasangannya

Satu kajian yang diterbitkan oleh Universiti Chicago pada September 2018, melaporkan bahawa seseorang yang merasa sunyi dan kesepian akan melakukan satu perkara yang tidak disedari secara automatik - beliau akan berdiri, duduk atau menjarakkan diri dari padangan, rakan dan ahli keluarga.

Wanita Kesepian

Ini kerana mereka yang sunyi secara psikologinya, mempunyai 'ruang lingkungan peribadi' yang jauh lebih besar berbanding orang lain, tak kiralah sama ada individu tersebut sudah berkahwin atau tidak, apa jantinanya, faktor tahap kebimbangan dan faktor tahap kemurungan individu tersebut.

Kajian yang dijalankan melibatkan 600 orang individu lelaki dan wanita menunjukkan satu perkara yang konsisten iaitu mereka yang kesunyian, akan meletakkan jarak dua kali ganda di antara dia dengan orang yang lebih intim dengannya.

Kajian pertama berjaya mengaitkan kesunyian dengan jarak fizikal

Laporan tersebut menyifatkan kajian yang dijalankan adalah pertama kali dapat dilihat wujud hubungan jarak individu dengan tahap kesunyian seseorang.

Diramalkan hasil kajian ini dapat membantu pihak perubatan, khasnya pakar psikologi dalam meramal tahap kesunyian seseorang dengan lebih baik serta dapat membantu dalam mengenalpasti individu yang bermasalah sunyi.

Kajian tersebut juga mendapati walaupun seseorang individu itu diberikan interaksi sosial pada kadar yang lebih tinggi, jarak mereka dengan individu seperti pasangan mereka tetap tidak berubah.

Penyelidik berpendapat, fenomena ini wujud disebabkan rasa sunyi seseorang individu sebenarnya berpunca daripada perbezaan dalam hidupnya sendiri.

Faktor 'apa yang dia ada' yang berbeza dengan 'apa yang dia sebenarnya mahukan' dikatakan menjadi punca sebenar seseorang itu merasa perasaan sunyi.

Rasa sunyi juga dikatakan mampu berlaku pada mana-mana individu, tatkala dia berada dalam kumpulan manusia ataupun sudah pun berkahwin dan bahagia dengan perkahwinannya.

Kesunyian perlu ditangani dengan segera

Penemuan terbaru ini selari dengan model 'evolusi kesunyian' yang dikeluarkan oleh Dr. Stephanie Cacipppo, pakar dalam psikologi Universiti Chicago.

Dalam kajian yang dijalankan Dr. Cacippo, beliau mendapati rasa sunyi sebenarnya memainkan peranan yang besar pada seseorang sehingga mampu mempengaruhi tahap fizikal individu, keupayaan untuk tidur dan juga faktor kematian mengejut lebih awal.

Model yang diperkenalkan Dr. Cacippo mendapati walaupun rasa sunyi seseorang akan menyebabkan dia mahu berusaha mendekatkan diri dengan orang lain, secara nalurinya individu tersebut akan bertindak menjauhkan diri mereka tanpa sedar.

Atas sebab itulah, dua kajian berkenaan kesunyian ini dirasakan amat penting dalam mendidik lebih ramai individu berkenaan isu ini.

Ketika ini penyelidik sedang dalam peringkat memperkenalkan hasil kajian mereka kepada National Institutes of Health, bagi mempercepatkan pengenalan program yang dapat mengenalpasti individu yang mengalami masalah kesunyian lebih awal.

Jadi, mulai hari ini perhatikan pasangan anda. Lihat jarak yang diletakkan di antara dia dan anda.

Sekiranya wujud jarak besar yang tidak disengajakan setiap kali, besar kemungkinan pasangan anda sebenarnya seorang yang sentiasa merasa sunyi, walaupun anda ada di sebelahnya.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: iluminasi

Friday, April 19, 2019

Kanak-kanak Gemar Dinosour Petanda Amat Bijak

Kanak-kanak Gemar Dinosour Petanda Amat Bijak

Sebilangan kanak-kanak menyukai unikorn dan anak patung, manakala sebahagian yang lain menggemari kereta serta kereta api bagaimanapun, jika anak anda obses dengan dinosaur dan boleh membezakan antara Brachiosauraus dan Diplodocus, ia mungkin petanda kanak-kanak tersebut seorang yang amat bijak.

Anak Bijak suka dinosaur

Ia berikutan keputusan kajian oleh Universiti Indiana dan Universiti Wisconsin mendapati kanak-kanak yang mempunyai minat mendalam terhadap dinosaur juga mempunyai kecerdasan minda lebih tinggi.

Kajian itu bukan sesuatu yang baharu tetapi kembali popular di internet kerana mendapati kanak-kanak yang mempunyai minat mendalam dalam perkara-perkara seperti dinosaur akan memperoleh banyak manfaat.

Antara faedah yang diperoleh termasuk mereka menjadi lebih tabah, daya perhatian mereka bertambah, manakala kebolehan seperti berfikir secara kompleks dan memproses maklumat turut meningkat.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-Sentiasapanas.com

Tuesday, April 09, 2019

Kajian Mendapati Lelaki Paling Curang

Kajian Mendapati Lelaki Paling Curang

Pada tahun 2018 yang lepas, ada satu laman web, Trustify, telah menjalankan satu kajian tentang punca-punca berlakunya CURANG, terhadap responden lelaki dan wanita, bagi mencari punca kenapa ianya terjadi.

Lelaki Paling Curang

Mereka juga telah menemuramah salah seorang penyiasat persendirian di rangkaian Trustify yang menganggarkan 90% kes yang dia kendalikan adalah berkaitan isu curang.

Trustify mengambil keputusan untuk melakukan kajian (survey) kepada pasangan yang sudah berkahwin untuk melihat beberapa aspek penting tentang kecurangan.

Kebanyakan dapatan kajian ini akan membuatkan ramai terkejut, tapi kalau difikir panjang-panjang – sebenarnya logik juga.

Ini beberapa dapatan daripada kajian yang telah dilakukan;

55% lelaki mengaku menipu pasangan dengan lima atau lebih wanita. Memang playboy betul lelaki ni.

50% wanita mengakui menipu pasangan dengan seorang lelaki. Maksudnya, wanita walaupun dalam kecurangan ada kesetiaan.

32% lelaki berjumpa skandal diorang dalam talian. Hati-hatilah kalau pasangan anda aktif guna media sosial, jangan-jangan..

22% wanita bertemu dengan skandal dalam beberapa jenis tempat sosial (bar atau apa-apa pesta) atau pernah ada hubungan intim dengan orang itu.

23% lelaki kata penyebab utama diorang mencari skandal kerana kurangnya kepuasan seksual.

28% wanita mengatakan punca mereka curang disebabkan kurangnya kepuasan emosi.

40% wanita mengakui bahawa mereka tidak akan meneruskan hubungan jika pasangan mereka curang, manakala 60% lelaki mengatakan mereka akan teruskan.

Wanita lebih bersifat positif jika pasangan curang berbanding lelaki

Hampir 200 orang yang terlibat dalam kajian ini, dengan majoriti responden datang dari mereka yang berusia 25-54 tahun (68% lelaki, 77% wanita).

Untuk responden lelaki, 38% masih berkahwin dan 20% telah bercerai, manakala untuk responden wanita pula 20% masih berkahwin dan 17% sudah bercerai.

Salah satu perkara menarik – kebanyakan peserta kajian ini mengaku yang mereka melakukan kecurangan dengan orang yang sudah dikenali.

Tak kisahlah kenal melalui kerja, sekolah, kawan atau pernah menjalinkan hubungan dengan orang itu dulu.

Apabila responden ini ditanya – adakah anda pernah melakukan kecurangan semasa masih berkahwin? 36% responden lelaki dan 21% responden wanita menjawab pernah.

Bila ditanya – adakah pasangan anda pernah melakukan kecurangan, 58% responden lelaki dan 65% responden wanita menjawab, pernah.

Ada satu soalan yang best ketika ditanya – adakah mereka fikir jika pasangan itu melakukan kecurangan, perkahwinan akan berakhir?

40% lelaki berkata perkahwinan mereka berakhir disebabkan kecurangan, manakala hanya 19% wanita yang fikir macam itu.

Jadi, tak hairanlah kalau isteri Aliff Aziz, walaupun suaminya itu seekor buaya darat, masih mahu meneruskan perkahwinan walaupun sudah beberapa kali dicurangi.

Selain daripada masalah kepuasan seksual, ada juga yang curang semata-mata untuk membalas dendam.

Selain daripada kekurangan kepuasan seksual dalam perkahwinan, keinginan untuk perhatian lebih (14%) dan keinginan untuk pengalaman baru (14%) adalah antara sebab utama lelaki mengambil keputusan untuk curang.

Bagi wanita pula, 22% mengatakan sebab mereka tidak setia adalah kerana keinginan untuk membalas dendam.

Apa yang pelik adalah, tiada siapa yang menjawab mereka melakukan kecurangan sebab sudah tidak sayang dengan pasangan. Mereka mungkin masih sayang dengan pasangan, tetapi atas sebab-sebab diatas, diorang pun curang.

Mereka juga ditanya, macam mana pasangan yang melakukan kecurangan ini boleh terkantoi.

Secara umumnya, 68% lelaki dan 39% wanita yang melakukan kecurangan berkata, pasangan tidak tahu yang mereka curang.

Bagi pasangan yang ditipu, separuh daripada pasangan kantoi melalui bukti elektronik: mesej teks, e-mel atau gambar yang disimpan secara online.

Wanita Paling Setia

Pengkaji kecurangan ini juga bertanya responden mereka, seandainya kecurangan ini tidak akan membawa apa-apa kesan buruk dan dibolehkan, adakah mereka akan berlaku curang?

56% lelaki dan 70% wanita berkata mereka tidak akan curang. Terbaiklah, nampaknya dunia ni masih ramai orang yang memilih untuk setia.

Responden juga ditanya – adakah mengurat boleh dikira sebagai kecurangan? 63% lelaki berkata tidak, tetapi responden wanita terpecah dua, 43% kata ya dan 47% katakan tidak.

Tapi, majoriti responden setuju ‘one night stand’ adalah kecurangan sebab 92% lelaki dan 95% wanita setuju ia dianggap curang.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: soscili

Tuesday, March 26, 2019

Khasiat Biji Avokado Merawat Penyakit Berbahaya

Khasiat Biji Avokado Merawat Penyakit Berbahaya

Sejenis ekstrak daripada biji buah avokado didapati mampu mengurangkan bengkak dan mempunyai potensi rawatan untuk gejala penyakit jantung, kanser, artritis dan pelbagai penyakit yang menyebabkan keradangan kronik.

Khasiat Biji Avokado

Seorang penyelidik sains pemakanan Universiti Pennsylvania State, Joshua Lambert menemui potensi perubatan biji avokado itu selepas 10 tahun mengkaji ekstrak tersebut sebagai pewarna makanan.

“Jika kami dapat memberi nilai pulangan kepada penanam dan pengilang avokado, biji buah tersebut tidak akan dibuang begitu sahaja seperti sekarang,” katanya dalam satu laporan terbitan jurnal Advances In Food Technology and Nutritional Sciences.

Pasukan penyelidik diketuai Lambert sebelum ini menguji tindak balas imuniti badan dan penyakit yang menyebabkan keradangan kronik menggunakan ekstrak itu di makmal.

Mereka merancang untuk mengadakan ujian ke atas haiwan sebelum ia boleh dikomersialkan demi manfaat manusia.

Lambert merasakan penemuan itu sungguh memberangsangkan kerana kebanyakan kajian bahan bioaktif sedia ada bertumpu kepada pasaran koko dan teh hijau sedangkan biji avokado dianggap tidak berharga.

Pasukannya juga telah memohon paten hak cipta untuk ekstrak baharu itu pada 2016.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-Sentiasapanas.com

Tuesday, February 26, 2019

Gunung Padang Indonesia Piramid Pertama Dan Tertua Di Dunia!

Gunung Padang Indonesia Piramid Pertama Dan Tertua Di Dunia!

Mungkin ramai yang tak tahu terdapat sebuah piramid purba yang tersembunyi di bawah gunung di Indonesia selama berabad-abad. Ia dikenali sebagai Gunung Padang, dan seorang penyelidik mempunyai alasan untuk mempercayai bahawa ia mungkin piramid tertua yang masih wujud di Bumi.

Gunung Padang piramid tertua

ScienceAlert melaporkan bahawa penyelidikan baru yang dibentangkan di AGU (Kesatuan Geofizik Amerika) 2018 Fall Meeting di Washington, DC mencadangkan bahawa tapak struktur piramid tertua di dunia itu sebenarnya terletak di tapak megalitik Gunung Padang, yang terletak di Wilayah Jawa Barat, Indonesia.

Selama beberapa tahun, pasukan penyelidik yang meninjau Gunung Padang mendapati bahawa apa yang kelihatan seperti bukit sebenarnya merupakan struktur yang terdiri daripada lapisan dengan beberapa tapak sejak 10,000 tahun atau lebih.

"Kajian kami membuktikan bahawa struktur itu tidak hanya meliputi bahagian atas tetapi juga membungkus sekitar cerun yang meliputi kawasan sekurang-kurangnya seluas 15 hektar. Struktur itu bukan sahaja cetek tetapi berakar pada kedalaman yang lebih tinggi." kata salah seorang penyelidik.

Pasukan penyelidikan tersebut yang diketuai oleh ahli geofizik Danny Hilman Natawidjaja dari Institut Sains Indonesia menggunakan radar penembusan tanah (GPR), tomografi seismik, dan penggalian arkeologi untuk membuat kesimpulan bahawa lapisan asas tersebut telah dibina selama tempoh prasejarah berturut-turut.

Struktur diagram yang dicipta oleh para penyelidik menunjukkan bahawa terdapat empat lapisan yang mungkin dibina di atas satu sama lain.

Pentarikhan radiokarbon awal mencadangkan bahawa lapisan luar Gunung Padang yang pertama mungkin berusia 3,500 tahun, lapisan kedua kira-kira 8,000 tahun dan yang ketiga di antara 9,500 hingga 28,000 tahun.

Lapisan-lapisan dan bentuk yang terhasil membuatkan Natawidjaja beranggapan bahawa ia bukan struktur semulajadi, tetapi sebenarnya piramid buatan manusia kuno.

Beliau juga percaya bahawa piramid yang dicadangkan mungkin mempunyai kepentingan agama tertentu.

"Ia adalah sebuah kuil yang unik. Ia tidak seperti topografi di sekitarnya, yang sangat teruk. Ia kelihatan sangat muda. Bagi kami, ia kelihatan seperti buatan." kata Danny Hilman Natawidjaja.

Walaupun penyelidikan dan penggalian Danny Hilman di tapak tersebut kelihatan seperti boleh dipercayai, namun ia dipenuhi dengan beberapa kontroversi dari ahli arkeologi lain.

Ketua Pusat Arkeologi Bandung, Desril Riva Shanti, telah mengkritik kaedah yang telah digunakan oleh pasukan Danny Hilman Natawidjaja untuk membuat kesimpulan ini.

"Saya belum lagi pergi ke tapak ini tetapi saya boleh menilainya dari gambar. Kaedah penggalian arkeologi tidak seharusnya dilakukan dengan cara itu," kata Desril Riva Shanti.

Beliau berkata adalah lebih baik untuk menjalankan penyelidikan di tapak seperti Gunung Padang pada kadar yang perlahan dan dengan alat yang halus.

Misteri Gunung Padang

Penemuan pertama tapak Gunung Padang dicatatkan oleh seorang petani Belanda pada 1941. Ia telah ditemui buat kali kedua oleh sekumpulan petani tempatan pada tahun 1979 dan telah menjadi perhatian sejak itu.

Menteri Pendidikan dan Kebudayaan Mohammad Nuh berjanji untuk menyediakan dana tanpa had untuk penyelidikan di Gunung Padang. Dan nampaknya, Danny Hilman Natawidjaja telah memanfaatkan dana itu untuk penyelidikan terkininya.

Buat masa ini, penyelidikan yang dicadangkan oleh pasukan Danny belum dikaji semula. Walaupun teori-teori ini belum terbukti benar, penemuan ini sememangnya menjadikan tapak arkeologi Gunung Padang lebih menarik daripada yang asalnya.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: iluminasi

Tuesday, January 15, 2019

Kajian Menyatakan Bahawa Perut Buncit Menyebabkan Otak Semakin Mengecil

Kajian Menyatakan Bahawa Perut Buncit Menyebabkan Otak Semakin Mengecil

Kajian sekumpulan penyelidik di Britain mendapati individu yang gemuk dan mempunyai nisbah pinggang ke pinggul (kaedah mengukur lemak perut) yang tinggi secara purata mempunyai isi padu otak lebih rendah berbanding mereka yang mempunyai berat badan sihat.

Perut Buncit
Gambar hiasan.

Perut buncit yang berpunca daripada lemak berlebihan sememangnya sudah lama dianggap tidak baik untuk kesihatan, tetapi satu kajian terbaru pula mendapati ia juga tidak baik untuk otak anda.

Penyelidik daripada Sekolah Sukan, Senaman dan Sains Kesihatan di Universiti Loughborough, Leicestershire mendapati, secara khusus, lemak perut mempunyai kaitan dengan isi padu jirim kelabu iaitu tisu otak yang mengandungi sel saraf.

“Kajian kami melihat sekumpulan besar individu dan mendapati obesiti, secara khusus lemak di tengah badan mungkin berkait dengan otak mengecut,” kata Profesor Mark Hamer yang menjadi ketua kajian itu dalam satu kenyataan.

Kenyataan itu yang dilaporkan portal livescience.com juga menyatakan isi padu otak yang rendah atau otak mengecut mempunyai kaitan dengan peningkatan risiko penurunan kadar ingatan dan demensia atau nyanyuk.

Penemuan itu yang diterbitkan dalam jurnal Neurology yang merumuskan kombinasi obesiti dan perut yang buncit mungkin faktor risiko otak mengecut.

Bagaimanapun, kajian itu hanya menemui hubungan antara lemak di perut dan isi padu otak, tetapi tidak dapat membuktikan lemak berlebihan di perut menjadi punca otak mengecut.

Sehubungan itu, mungkin individu dengan jumlah jirim kelabu di beberapa kawasan otak berisiko tinggi menjadi obesiti.

Menurut penyelidik itu, kajian lanjut diperlukan untuk mengetahui punca hubungan berkenaan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: hmetro

Thursday, October 11, 2018

6 Fakta Kenapa Bahaya Tidur Dalam Kereta Anda Wajib Tahu!

6 Fakta Kenapa Bahaya Tidur Dalam Kereta Anda Wajib Tahu!

Melalui perjalanan jauh, ada pemandu yang akan berhenti di mana-mana hentian rehat atau di tepi jalan untuk melelapkan mata apabila terasa letih.

Bahaya tidur dalam kereta
Gambar hiasan.

Jika anda mempunyai tabiat tidur dalam kereta dengan enjin yang tidak dimatikan, mungkin ada baiknya jika tabiat itu dihentikan.

BAHAYA TIDUR DALAM KERETA DENGAN ENJIN TERPASANG

1. Sekiranya terdapat masalah pada ciri mekanikal kereta, kemungkinan berlaku kebocoran ekzos kereta ke dalam kabin kenderaan ketika anda sedang tidur, akan meningkatkan risiko mati lemas.

2. Ini kerana, pengumpulan karbon monoksida (CO) yang disebabkan oleh kebocoran daripada ekzos akan menurunkan paras oksigen di dalam kenderaan.

3. Peningkatan tahap karbon monoksida di dalam kereta memberi kesan kepada oksigen dalam darah. Ini mengakibatkan darah membawa lebih banyak karbon monoksida dan boleh menyebabkan kematian secara tiba-tiba (sudden death).

4. Walaupun dengan tingkap dibuka, karbon monoksida tetap boleh terkumpul dan akan menyebabkan penurunan oksigen dalam darah.

5. Kesannya, mangsa akan kehilangan cecair dan air dalam badan selepas satu jangka masa.

6. Jadi kenapa kita boleh bertahan memandu dengan penghawa dingin terpasang?

Jawapannya mudah. Kerana kita sedar dengan perubahan suhu dan akan sedar jika terdapat kebocoran.

Jika kita mula merasa tidak selesa, kita akan segera bertindak dengan menutup penghawa dingin dan membuka tingkap. Sebaiknya, elakkan tidur di dalam kereta!

Jika perlu berehat semasa memandu jauh, keluar dari kereta dan carilah tempat yang sesuai.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: astroawani