Thursday, September 20, 2018

Najib Berdepan 25 Pertuduhan Penggubahan Wang Haram RM2.8 Bilion

Najib Berdepan 25 Pertuduhan Penggubahan Wang Haram RM2.8 Bilion

Bekas Perdana Menteri, Najib Tun Razak ditahan sebaik tiba di ibu pejabat Unit Pencegahan Pengubahan Wang Haram (Amla) Bukit Aman di Menara KPJ, pagi Khamis sebelum didakwa dengan 21 pertuduhan membabitkan wang sebanyak RM2.8 bilion.

NAJIB AMLA

Selain itu, Najib, juga akan menghadapi empat pertuduhan mengikut Seksyen 23 (1) dan 24 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, tangkapan dibuat pasukan siasatan Amla dan Urus Setia Ketua Polis Negara (USKPN) selepas mendapat persetujuan daripada Jabatan Peguam Negara.

Najib akan dikemukakan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur untuk proses pertuduhan oleh timbalan pendakwa raya di bawah Seksyen 4(1) Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA) 2001.

Sebanyak 21 pertuduhan melibatkan 681 juta dollar Amerika (RM2.8 bilion) telah disediakan.

Sembilan pertuduhan melibatkan penerimaan wang haram, lima pertuduhan melibatkan penggunaan wang haram dan tujuh pertuduhan melibatkan pemindahan wang haram ke entiti lain.

Tangkapan dan pertuduhan ini dilakukan dengan kerjasama pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Terdahulu, menurut laporan The Star, Najib tiba di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman selepas ditahan semalaman di lokap SPRM pada Rabu.

Bekas perdana menteri itu tiba pada pukul 9.20 pagi Khamis sambil diiringi polis.

Dipercayai beliau hadir untuk merekod kenyataan di ibu pejabat tersebut sebelum dibawa ke mahkamah.

Ini merupakan kali ketiga Najib dibawa ke mahkamah, kali pertama pada Julai ketika beliau didakwa atas tiga pertuduhan berkaitan kes pecah amanah dan satu tuduhan menerima rasuah bernilai RM42 juta.

Bulan Ogos lalu, Najib didakwa atas tiga pertuduhan berkaitan pengubahan wang haram.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: mstar

Monday, June 19, 2017

Doktor Beri Sebab Mengapa Suspek Bunuh Zulfarhan Wajar Dihukum Gantung

Doktor Beri Sebab Mengapa Suspek Bunuh Zulfarhan Wajar Dihukum Gantung

Seorang doktor yang menggunakan nama samaran @hafizsuratman di laman sosial Instagram menceritakan mengapa suspek pembunuhan arwah Zulfarhan wajar berdepan hukuman gantung.

Zulfarhan

Hasil bedah siasat melaporkan arwah Zulfarhan mengalami kesan lecur terbakar di seluruh badan bahagian hadapan, tangan kanan dan kiri, bahagian kemaluan, kedua-dua belah kaki depan dan belakang badan yang didakwa menggunakan seterika wap. Punca kematian arwah dilaporkan berpunca daripada 80% kesan lecur tahap dua dan tiga.

Menurut doktor berusia 26 tahun itu, beliau memaklumkan bahawa kematian kesan lecur tahap ketiga bukanlah disebabkan arwah tidak dapat menahan sakit terbakar.

Tetapi, kesan lecur tahap ketiga membawa maksud bahawa lapisan kulit sudah tiada akibat kesan terbakar dan saraf-saraf yang mengenal pasti rasa sakit yang berada di bawah kulit sudah tiada lagi untuk mengesan rasa sakit.

Secara umumnya, doktor berkenaan memberitahu bahawa arwah tidak merasa sakit pada bahagian kesan lecur tahap ketiga, tetapi mungkin hanya merasa kesakitan di bahagian hujung-hujung luka yang masih mempunyai reseptor sakit (pain receptors).

Pesakit yang melecur hanya akan merasa kesakitan apabila merasai kesan lecur tahap kedua dan ketiga sahaja.

Doktor tersebut berkata lagi bahawa, kematian kesan lecur tahap ketiga adalah disebabkan kehilangan cecair dalam badan daripada salur-salur yang sudah rosak.

Ini menyebabkan badan mudah terkena kejutan dan jangkitan kuman memandangkan lapisan kulit yang bertindak sebagai pelindung sudah tiada.

Kejutan dan jangkitan kuman akhirnya menyebabkan kerosakan organ-organ dalaman yang lain di dalam badan.

Pesakit yang mengalami tahap lecur yang sedemikian rupa sepatutnya dibawa ke hospital segera untuk mendapatkan rawatan doktor.

Tetapi tindakan semua suspek yang melambat-lambatkan penghantaran ke hospital membawa kepada kematian arwah.

Di akhir entri, doktor berkenaan menyatakan perasaannya yang terkesan dengan peristiwa ini dan mendoakan kesejahteraan buat arwah Zulfarhan.

BACA INI JUGA: Liwat, Oral Seks Perkara Biasa Ketika Latihan Tentera - Bekas Pensyarah UPNM

sumber: kisahdunia

Thursday, March 30, 2017

23,259 Pelabur Mangsa Skim Penipuan Forex (VenusFX)

23,259 Pelabur Mangsa Skim Penipuan Forex (VenusFX)

Seramai 23,259 pelabur menjadi mangsa kes skim pelaburan forex dengan anggaran kerugian mencecah hampir RM80 juta, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani.

Penipuan+Forex

Beliau berkata, perkara itu didedahkan selepas pihaknya menerima sejumlah 408 laporan polis berhubung kes berkenaan yang dikendalikan oleh sebuah syarikat dikenali sebagai VenusFX.

"Berdasarkan siasatan yang dijalankan, kami mendapati syarikat ini memperdaya mangsa untuk membuat pelaburan minimum bernilai RM2,000 hingga RM40,000 dan pembayaran keuntungan akan dibuat secara harian.

"Pelaburan forex ini dibuat secara pelaburan manakala keuntungan dijanjikan tidak dibayar. Susulan itu, kami melancarkan operasi nuri untuk membanteras kegiatan ini di beberapa lokasi di Kuala Lumpur, Pahang dan Selangor," katanya dalam satu kenyataan.

Acryl Sani berkata, dalam operasi itu, pihaknya menahan lima suspek lelaki dan seorang wanita warga tempatan berumur lingkungan 28 hingga 38 tahun.

Menurutnya, kesemua mereka ditahan reman selama 21 hari untuk siasatan di bawah Seksyen 3 (1) Akta Pencegahan Jenayah 1959 Pindaan 2014 (Akta 297).

"Selain itu, kami merampas satu unit komputer riba, 10 telefon bimbit pelbagai jenama, 10 keping kad ATM dan lima kenderaan pelbagai jenis dianggarkan berjumlah RM750,000 dalam serbuan yang dijalankan.

"Saya ingin mengingatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan tidak menjadi mangsa kegiatan penipuan pelaburan sedemikian," katanya.

Beliau berkata jika ditawarkan sebarang bentuk pelaburan dijanjikan pulangan lumayan dalam masa yang singkat, segera membuat semakan dengan agensi-agensi kerajaan berkaitan.

"Ini untuk memastikan kesahihan pelaburan itu sekaligus mengelakkan diri daripada menjadi mangsa sindiket penipuan ini," katanya.

BACA INI JUGA: Apa Sebenarnya Forex Dan Hukumnya Dalam Islam?



sumber: sh

Friday, March 24, 2017

Remaja Pandu Gen-2 Lawan Arus Mengaku Tidak Bersalah Di Mahkamah

Remaja Pandu Gen-2 Lawan Arus Mengaku Tidak Bersalah Di Mahkamah

Remaja perempuan yang sebelum ini didakwa mengambil amphetamine ketika memandu secara melawan arus hingga mengakibatkan kemalangan maut, sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, atas pertuduhan memandu di bawah pengaruh dadah.

Ng Pei Ven

Ng Pei Ven, 19, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan memandu sebuah kenderaan di bawah pengaruh dadah sehingga menyebabkan kematian Mohamad Fandi Rosli, 26, di Lebuhraya Utara Selatan, arah utara, pada 7.50 pagi, 14 Mac lepas.

Remaja yang merupakan model sambilan itu didakwa mengikut Seksyen 44(1)(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang tiga tahun dan tidak lebih 10 tahun, dan denda minimum RM8,000 dan maksimum RM20,000, serta hilang kelayakan lesen memandu tidak kurang lima tahun dari tarikh sabitan, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Razali Che Ani menawarkan jaminan RM10,000 dengan dua penjamin.

Peguam Parmjit Singh yang mewakili Ng kemudiannya memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan atas faktor tertuduh adalah orang kurang upaya dan masih remaja.

Majistret Jamaliah Abd Manap kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan dua penjamin dan menetapkan 12 Mei untuk sebutan semula kes ini atas tuduhan mengambil dadah amphetamine di Pejabat Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Seberang Perai Tengah dekat sini pada 5 petang, 14 Mac lepas.

Remaja itu didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum RM5,000, jika sabit kesalahan.

Model sambilan itu dibebaskan dengan ikat jamin RM5,000 dengan dua penjamin.

BACA INI JUGA:

sumber: mynewshub

Friday, October 17, 2014

Video Kejadian Tetak Di Kedai 7Eleven Keningau

Video Kejadian Tetak Di Kedai 7Eleven Keningau

Polis Keningau telah menahan empat remaja lelaki warga tempatan lingkungan umur 18 hingga 22 tahun pada jam 2.10 petang Selasa lepas dalam satu lagi kejadian tetak.

Kena-tetak

Ia berikutan kejadian kes pukul menggunakan rantai kunci dan sebilah pisau pemotong daging terhadap seorang remaja lelaki tempatan berusia 19 tahun di sebuah kedai serbaneka 24 jam pada jam 12.38 tengah malam pada hari berkenaan.

Keempat-empat suspek ditahan berdekatan Ibu Pejabat Polis Daerah Keningau dan di sebuah rumah tidak bernombor di pekan Keningau.

Seorang lagi suspek dilaporkan masih bebas, namun sudah dikenali pasti dan kini sedang diburu polis.

Hasil siasatan polis mendapati punca kejadian merupakan kes balas dendam oleh suspek terhadap mangsa, dan pernah bergaduh sekali pada Hari Raya Aidilfitri yang lalu.

Pada masa kejadian, mangsa yang ingin membeli barang di kedai itu telah diserang oleh kelima-lima suspek.

Selepas kejadian, mangsa mengalami kecederaan luka di tapak kaki dan lutut serta kening sebelah kanan. Mangsa menerima rawatan di Hospital Keningau dan berada dalam keadaan stabil.

Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun jika disabit kesalahan. Keempat-empat suspek itu kini ditahan reman selama tujuh hari sehingga 20 Oktober ini.

Hasil ujian air kencing terhadap semua suspek yang ditahan, tiga daripadanya positif dadah jenis Methamphetamine dan Ampethamine.



Sumber:
http://www.theborneopost.com/2014/10/17/empat-remaja-tempatan-ditahan-bantu-siasatan-kes-pukul/

Friday, August 15, 2014

Pegawai Bank CURI Wang Penumpang MH370

Pegawai Bank CURI Wang Penumpang MH370

Seorang pegawai bank dan suaminya yang dipercayai terbabit dalam kes memindah dan mengeluarkan wang daripada akaun milik penumpang pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 ditahan semalam.

Pegawai Bank ROMPAK Wang Penumpang MH370

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kuala Lumpur, ACP Izany Abd Ghani berkata pegawai bank itu yang bekerja di bank berkenaan sejak 10 tahun lalu ditahan di rumahnya di Ampang kira-kira 4 petang.

“Suaminya yang berusia 33 tahun turut ditahan di bengkel kereta di Ampang ketika membaiki keretanya. Polis percaya suaminya mungkin turut terlibat.

“Polis masih belum mendapat rakaman kamera litar tertutup (cctv) daripada pihak bank. Ia akan mengambil masa sedikit,” katanya kepada Bernama dan menambah kedua-dua mereka kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.

Kedua-dua mereka tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.

Izany menasihati keluarga penumpang MH370 yang pesawat itu masih belum ditemui supaya meneliti kenyataan akaun bank penumpang.

“Keluarga mereka boleh periksa kenyataan bank penumpang. Kita minta mereka berwaspada,” katanya.

Rabu lepas media melaporkan sebanyak RM110,643 milik empat penumpang pesawat MH370 lesap daripada akaun bank dipercayai dipindahkan oleh kakitangan bank tanpa kebenaran.

Siasatan mendapati wang dari akaun milik penumpang dipindahkan ke akaun penumpang lain melalui perbankan Internet melibatkan jumlah keseluruhan RM110,643.

Akaun berkenaan masing-masing milik dua penumpang warga China, seorang penumpang warga Malaysia dan akaun seorang pramugara.

Kejadian disedari pada 18 Julai lepas oleh seorang petugas bank yang mengesan beberapa transaksi pengeluaran dan pemindahan secara mencurigakan dari empat akaun berkenaan.–BERNAMA

Thursday, August 14, 2014

AWAS! Mesin ATM Di Genting Highlands Ada Alat Curi Data!

AWAS! Mesin ATM Di Genting Highlands Ada Alat Curi Data!

Polis mengesan empat mesin juruwang automatik (ATM) di Genting Highlands yang dipasang alat perakam khas bagi mencuri data kad bank pelanggan sejak Februari lepas hingga awal Ogos ini.

Mesin ATM

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Supt Azizan Md Isa berkata jenayah yang didalangi sindiket sama itu dikesan meletakkan alat perakam khas di dalam slot kad dan kamera litar tertutup (CCTV) tanpa wayar yang dipasang di mesin ATM di bank tersebut.

Beliau berkata kejadian terbaru dikesan pada 7 Ogos lepas kira-kira jam 4 petang di sebuah mesin ATM di kawasan peranginan yang menjadi tumpuan pelancong di Genting Highlands manakala tiga kes lagi dikesan pada bulan Februari, Mei dan Jun lepas.

Katanya siasatan awal mendapati sindiket ini menggunakan alat perakam khas dan CCTV yang dipasang di mesin-mesin ATM bertujuan menyalin data akaun mangsa manakala CCTV digunakan untuk merakam nombor pin mangsa.

“Selepas memperoleh maklumat tersebut sindiket itu akan membuat kad ATM palsu untuk mengeluarkan wang,” katanya kepada pemberita di sini Khamis.

Azizan berkata polis juga percaya sindiket ini menyasarkan pelancong dari luar negara memandangkan kad bank milik mereka mudah dibuat salinan.

Katanya sindiket ini juga dipercayai memilih mesin ATM yang diletakkan di luar bangunan bank dan polis kini bekerjasama dengan pihak bank berkenaan bagi mendapatkan rakaman CCTV suspek terbabit.

“Polis juga tidak dapat memastikan bila mereka memasang alat perakam khas itu bagaimanapun siasatan sedang giat dijalankan. Sehingga kini juga tiada laporan polis dibuat berhubung kehilangan wang di sana,” katanya.

Ekoran kejadian itu, Azizan menasihati pihak bank supaya memeriksa mesin ATM secara kerap untuk memastikan tidak ada alat-alat asing yang dipasang di mesin ATM berkenaan.

Selain itu, katanya, CCTV yang dipasang oleh pihak bank untuk mengawasi mesin ATM juga harus sentiasa diperiksa bagi memastikan ia berfungsi dengan baik dan lokasi mesin ATM juga harus di tempat terbuka dan bukannya di tempat sunyi.–BERNAMA