Friday, September 08, 2017

Jawapan JAKIM Isu Anak Tidak Sah Taraf

Jawapan JAKIM Isu Anak Tidak Sah Taraf

Isu yang berkaitan dengan kesahtarafan anak di negara ini hendaklah sentiasa dirujuk kepada peruntukan dalam Akta atau Enakmen Undang-undang Keluarga Islam atau Pentadbiran Negeri-negeri.

Isu anak tidak sah taraf

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Othman Mustapha berkata, keputusan tersebut dibuat dalam pertemuan antara pihak Jakim dengan Mufti-Mufti Selangor, Kelantan, Johor, Sabah, Pulau Pinang, Melaka, Kedah, Timbalan Mufti Wilayah Persekutuan dan wakil Mufti Sarawak.

"Satu pertemuan bagi membincangkan isu anak tak sah taraf telah diadakan pada 21 Ogos 2017 lalu.

"Turut hadir wakil-wakil daripada Majlis Agama Islam Negeri-Negeri dan Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri.

"Pertemuan ini telah diatur oleh Jakim untuk menzahirkan kesepakatan bersama dalam isu kesahtarafan anak.

"Pertemuan ini telah sebulat suara bersetuju bahawa isu-isu yang berkaitan dengan kesahtarafan anak di negara ini hendaklah sentiasa dirujuk kepada peruntukan dalam Akta atau Enakmen Undang-undang Keluarga Islam atau Pentadbiran Negeri-negeri yang antara lain memperuntukkan bahawa jika seseorang perempuan yang berkahwin dengan seseorang lelaki melahirkan seorang anak lebih daripada enam bulan qamariah dari tarikh perkahwinannya itu atau dalam masa empat tahun qamariah selepas perkahwinannya itu dibubarkan sama ada oleh sebab kematian lelaki itu atau oleh sebab perceraian dan perempuan itu pula tidak berkahwin semula, maka lelaki itu hendaklah disifatkan sebagai bapa anak itu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya lagi, peruntukan undang-undang itu juga adalah selaras dengan fatwa yang telah diwartakan di negeri-negeri berkenaan dengan kesahtarafan anak dan juga pandangan hukum Muzakarah Jawatankuasa Fatwa MKI kali ke-57 pada 10 Jun 2003.

"Bagaimanapun, lelaki itu boleh, dengan cara li’an atau kutukan, menafikan anak itu sebagai anaknya di hadapan mahkamah," jelasnya.

BACA INI JUGA: Jangan Aibkan Anak Dengan Bin Binti Abdullah

sumber: sinarharian

Tuesday, January 10, 2017

Penjelasan JAKIM Isu Sijil Halal KFC

Penjelasan JAKIM Isu Sijil Halal KFC

Bahagian Hab Halal, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menafikan laporan berkaitan status halal KFC yang viral baru-baru ini.

KFC

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan di laman rasmi Facebook, Jakim berkata, maklumat yang tersebar sejak tahun 2007 berkenaan laporan tinjauan Ustaz Daud Che Ngah ke loji pemprosesan ayam KFC adalah tidak benar dan tidak berasas sama sekali.

Menurut Jakim, KFC (Malaysia) merupakan pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia yang masih sah sehingga kini.

"Proses pengeluaran Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) telah mengambil kira setiap ramuan dan proses yang berkaitan di dalam pengeluaran sesuatu produk dengan teliti oleh pakar Syariah dan juga Teknologi Makanan.

"Pegawai pemeriksa yang ditugaskan bukan sahaja membuat pemeriksaan dokumen, malah membuat pemeriksaan pematuhan berdasarkan Standard dan Prosedur SPHM di kawasan kilang yang mengeluarkan produk bagi memastikan apa jua pengisytiharan yang dibuat dipatuhi," jelas Jakim dalam satu kenyataan.

Jakim berkata, syarikat pengeluar juga perlu mewujudkan Sistem Jaminan Halal serta menubuhkan Jawatankuasa Halal Dalaman yang dianggotai oleh seorang Eksekutif Halal bagi memantau keseluruhan perolehan bahan mentah dan proses pengeluaran produk.

"Hal ini bagi memastikan produk tersebut terjamin dari segi aspek kehalalan dan juga jaminan kualiti serta kebersihan (Halalan thoyyiban).

Jakim menasihatkan masyarakat Islam agar lebih bijak dan peka apabila menerima sesuatu maklumat dan jangan mempercayai maklumat yang tidak disahkan, serta perlu menyelidiki terlebih dahulu sebelum menyebarkan maklumat tersebut.

BACA INI JUGA: Tips Dan Cara Membezakan Ais Bersih Atau Kotor

Sumber: SH

Friday, September 09, 2016

Pentingkah Memilih Produk Yang Mempunyai Logo Halal JAKIM Sekalipun Pemiliknya Bukan Islam?

Pentingkah Memilih Produk Yang Mempunyai Logo Halal JAKIM Sekalipun Pemiliknya Bukan Islam?

Secara mudah, halal JAKIM adalah satu pengiktirafan patuh syariah terhadap proses pembuatan produk yang bermula dari proses paling awal iaitu pemilihan bahan mentah hinggalah proses yang terakhir iaitu produk sampai di tangan pengguna.

Halal Jakim

Jika anda berada di hadapan dua buah restoran; sebuah restoran milik bukan muslim tetapi mempunyai sijil halal daripada JAKIM, manakala satu lagi milik Muslim tetapi tidak sijil halal JAKIM, restoran manakah yang anda pilih?

Saya pasti ramai yang tak mampu menjawab dengan yakin. Hal ini kerana kebanyakan kita tidak mengetahui apakah itu sijil halal JAKIM dan apakah proses yang dilalui bagi memperoleh sijil halal.

Untuk memperoleh pengiktirafan itu, sesebuah pengeluar makanan perlu mengistiharkan semua proses dan bahan mentah yang terlibat dari awal hingga akhir dengan terperinci.

Semua dokumen pengistiharan ini dikumpul dalam satu fail yang dipanggil Fail Halal. Fail ini dijaga oleh Eksekutif Halal di setiap syarikat.

Setiap kali juruaudit halal JAKIM datang melawat, fail inilah yang akan diperiksa dahulu. Apabila semua pengistiharan lengkap, juruaudit itu akan melakukan tinjauan di lapangan terbabit bagi memastikan semua pengistiharan itu benar-benar dipatuhi.

Selain dari itu, pihak syarikat juga mesti melantik seorang eksekutif halal yang beragama Islam dan mempunyai kewarganegaraan Malaysia. Lantikan ini mesti berstatus ‘Tetap’.

Tugas eksekutif halal adalah memastikan keberkesanan sistem kawalan halal dalaman (internal halal control).

Semua langkah ini diambil bagi memastikan pihak syarikat mencapai sifar kesilapan dalam penghasilan produk halal.

Nah, itulah yang terkandung dalam logo kecil halal di bungkusan produk kita. Menurut pengamatan saya, rata-rata pengguna menganggap pengiktirafan halal hanya meliputi bahan mentah sahaja.

Mulai saat ini, ketahuilah bahawa pengiktirafan halal juga meliputi aktiviti memproses bahan mentah itu. Bahkan pada masa hadapan, ia mungkin melibatkan sumber kewangan yang patuh syariah.

Dengan memahami apa yang ada si sebalik logo Halal ini, tentunya pendekatan yang lebih dekat dengan maqasid syariah (hifzun nafs; menjaga nyawa/diri) adalah memilih restoran yang mempunyai sijil halal, walaupun ia milik non-muslim.

Sebenarnya saya pernah berada dalam situasi di atas. Lalu saya pilih restoran mamak (yang mempamer simbol-simbol Islam) yang tidak memiliki sijil halal. Akhirnya saya dikecewakan dengan tisu di restoran itu yang berbau najis tikus!

Pentingkah mencari produk yang mempunyai logo halal?

Ya, bahkan teramat penting. Dalam era kemajuan teknologi ini, rata-ratanya hanya orang yang mempunyai latar belakang tertentu saja (seperti Sains Pemakanan, Bioteknologi dan lain-lain) yang faham maklumat yang terpamer di bungkusan produk.

Kompleksiti proses pembuatan makanan menyebabkan ramai yang tidak tahu apa itu gelatin, lecithin, glycerin, Kod-Kod E dan lain-lain.

Maka wajarlah dibentuk satu badan berautoriti yang memantau perkara ini agar orang-orang yang berpendidikan rendah dapat menikmati makanan halal tanpa was-was. Penting untuk kita menjauhi rasa was-was kerana ia merupakan satu perasaan yang menyiksa jiwa.

Persoalannya, sejauh mana kita perlu berusaha mencari produk halal? Bagi saya, kita dituntut untuk mencarinya semampu kita.

Dalam konteks Malaysia, kita dipandu oleh logo halal JAKIM, maka carilah produk yang sudah diperiksa kehalalannya oleh JAKIM.

Jika di luar negara yang tiada badan pengiktirafan halal, maka tanyalah kepada pengeluar produk mengenai spesifikasi produk yang dikeluarkan, samada melalui emel atau panggilan telefon.

Menurut pengalaman saya, apabila sesebuah syarikat sering dihubungi pengguna untuk bertanyakan status halal produknya, pihak pengurusan syarikat akan mengambil langkah memohon pensijilan halal. Itulah kesan kuasa pengguna.

Pada hari ini, kesedaran halal dalam kalangan pengguna semakin baik. Bermula dengan produk makanan, kini JAKIM menawarkan pensijilan halal kepada rumah sembelih, farmaseutikal, kosmetik dan logistik.

Dengan sokongan padu dan komitmen terbaik pihak berautoriti, skop halal ini akan diperluas sehingga kita dapat menikmati Halal Lifestyle (Gaya Hidup Halal) yang dituntut oleh Allah SWT.

Moga Allah permudahkan urusan ini untuk umat Islam keseluruhannya.

Penulis
Ustaz Bilal bin Jailani
Sarjana Pentadbiran Muamalat (Produk Halal)

BACA INI JUGA:

Sumber: Ismaweb

Monday, June 16, 2014

Pegawai JAKIM Enggan Jamah Hidangan Coklat Cadbury!

Pegawai JAKIM Enggan Jamah Hidangan Coklat Cadbury!

Satu program memakan coklat Cadbury dilaporkan telah diadakan hari ini dianjurkan oleh penggiat media sosial dan blogger di Wisma Nusantara, di Kuala Lumpur

Cadbury-Babi-JAKIM

Difahamkan pada program itu, coklat berkenaan hanya dijamah oleh para blogger tetapi pegawai dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang turut hadir enggan menjamahnya.

Menurut laporan Astro Awani, sebab mengapa wakil Jakim enggan menjamah coklat berkenaan tidak diketahui.

Sebelum ini, pada 3 Jun lepas seorang pegawai Jakim pernah mmebuat kenyataan sedia memakan coklat berkenaan pada bila-bila masa bagi membuktikan kebenaran pensijilan halal yang diberikan oleh badan itu di negara ini.

Program itu diberi nama “Sijil Halal Malaysia Dan Kontroversi Cadbury: Satu Perspektif”.

Menurut penganjur program berkenaan, rogram itu antara lain bertujuan mempertahankan kenyataan halal yang dikeluarkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Cadbury Malaysia berhubung isu DNA babi (porcine) dalam coklat yang dibangkitkan beberapa pihak, kebelakangan ini.

Selain itu, penggiat media sosial menggesa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) agar tampil memberi kenyataan mengapa keputusan ujian DNA babi ke atas dua produk coklat Cadbury iaitu Cadbury Dairy Milk Roast Almond dan Hazelnut dibiarkan utuk tempoh tiga bulan.

Isu ini terjadi selepas KKM pada mulanya mengesahkan ada DNA babi pada awal Februari, namun membiarkan perkara ini sehingga 5 Mei.

Tindakan pegawai Jakim yang tidak diketahui sebabnya itu boleh mewujudkan kekeliruan khususnya apabila ada pegawai Jakim pernah mengeluarkan kenyataan berbeza.

Kenyataan itu sebelum ini dikeluarkan oleh Pengarah Kanan Bahagian Hab Halal Jakim, Mohd Amri Abdullah yang berkata pihaknya berpegang kepada keputusan yang telah mereka keluarkan dan tidak ada masalah untuk pihaknya membuktikan kepada orang ramai bahawa coklat Cadbury adalah halal.

Sumber: Mynewshub.my