Thursday, November 01, 2018

Kisah Terkulainya Cik Mary Ann Jolley Ditangan Pendekar Najib!

Kisah Terkulainya Cik Mary Ann Jolley Ditangan Pendekar Najib!

Silap besar dan sesat yang nyatalah untuk sesiapa yang menganggap politik negara ini semudah mentafsir bidalan Abdul Hadi Awang atau kepintaran Nazri Aziz.

Mary Ann Jolley Pendekar Najib

Memanglah di permukaannya politik Malaysia agak mudah dan polos namun di mata awam, ada sifir politik yang lebih rumit dan mendebarkan berbanding Malaysia.

Nah, di situlah titik permulaan kesilapan orang yang tidak mengetahui. Ketika hal ehwal negara dilihat laksana lebuh raya yang lurus, siasah sebenar umpama jalan-jalan kampung yang berselirat dan serba menduga.

Justeru apabila anda mentertawakan Najib Razak yang kelihatan tenggelam punca atau hilang sabar, kita sebenarnya mengagumi langkah strategik bekas perdana menteri itu.

Pedulilah apa pun anda kata, namun Najib sebebarnya berjaya menempuhi sesi temu bual dengan Cik Mary Ann Jolley dengan jayanya.

Pujian yang melangit juga wajar dirafakkan kepada pasukan pemikir, perencana dan pelaksana langkah politik kontemporari Najib.

Sebagaimana lincahnya Najib mengutarakan pemikiran dan hujah di media sosial, begitu jugalah kepintaran yang ditunjukkan beliau di depan kamera Al Jazeera

Tanda sahabat sejati

Kerana kepintaran Najib maka boleh dikatakan semua orang - terutama anggota Umno - lupa kepada isu desakan bercuti kepada Ahmad Zahid Hamidi.

Justeru itulah yang diperlukan oleh Umno atau sekurang-kurangnya Ahmad Zahid, Lokman Noor Adam dan ratusan ribu penyokong parti berkenaan.

Maka satu daripada masalah Umno dapat diselesaikan dengan penuh bergaya oleh salah seorang pemimpin teragung mereka. Najib.

Mungkin ada yang sudah terlupa bagaimana hubungan persahabatan di antara Najib dan Ahmad Zahid sudah terbina sejak puluhan tahun silam.

Dan pada setahun silam - atau tepatnya 27 Okt 2017 - Najib sekali lagi menegaskan betapa bertuahnya beliau memiliki seorang sahabat sejati dari Bagan Datuk. Ahmad Zahid namanya.

Ketika bekas timbalan perdana menteri itu didesak oleh orang yang ada di sekelilingnya untuk bercuti, tidak ada orang yang lebih tepat tampil untuk mempertahankan beliau kecuali Najib.

Jika ada pun orang yang mungkin lebih sesuai membela Ahmad Zahid lebih gigih daripada Najib, tentulah individu tersebut bernama Lokman.

Nak berharap kepada Jamal Yunos, ada sedikit risiko juga. Bimbang pada masa diperlukan beliau sukar dikesan.

Dan di sebalik kecaman masyarakat kita, jangan sesekali menolak kemungkinan bahawa bakal pemimpin terhebat masa depan Umno - Lokman - mengadakan pakatan dengan Al Jazeera. Justeru temu bual 101 East itu konon-kononnnya memerangkap Najib.

Jolley kena belajar lagi

Mana mungkin seorang pejuang rakyat sehebat Najib boleh tersasul dan tersilap langkah di depan Cik Jolley?

Najib bukan sekadar pejuang. Beliau ialah seorang panglima. Jika tidak cukup menggerunkan, beliau juga bertaraf pendekar.

Selain ada senjata yang berbisa, beliau juga ada armada laut yang bersedia digerakkan menerjah badai tanpa mempedulikan sama ada sauh sudah dilabuh atau belum. Asalkan layar sudah dikembangkan, hanya ada satu kata, maju terus!

Sekali lagi ditegaskan, susah untuk diterima akal Najib boleh tergelincir kata-katanya di depan Cik Jolley.

Siapa sangatlah wartawan asing yang mewakili media asing itu berbanding pengarang-pengarang media Malaysia, kan?

Secara jujur, kita wajar mencari seseorang yang dapat menyampaikan pesanan kepada wartawan Al Jazeera itu supaya dia belajar lebih mendalam lagi bagaimana cara untuk berdepan dengan Najib.

Cik Jolley wajib berguru dengan ketua-ketua pengarang akhbar negara cara-cara untuk mengajukan soalan yang benar-benar mencabar Najib.

Setakat wartawan bernama Cik Jolley, ia umpama lebihan makanan di celah gigi saja. Kalau Al Jazeera mahu mengenakan orang lain, bolehlah.

Mereka mungkin berjaya memberi tekanan kepada pemimpin lain di dunia seperti Donald Trump, Vladimir Putin malah Raja Salman di Saudi itu.

Namun, mereka melakukan silap yang terlalu besar apabila menggunakan taktik yang sama ke atas Najib.

Apabila beliau kemudiannya mengakui gagal mengawal perasaan semasa temu bual itu berlangsung, sebenarnya tindakan tersebut mesti difahami dengan betul.

Najib tidak mengaku salah, tetapi sekadar berbudi bahasa selayaknya orang Timur yang penuh dengan kesopanan dan kesusilaan.

Penegasan terbaik Najib kepada Al Jazeera itu dapat dilihat ketika beliau berkata, "Because as far as I am concerned, making lies, fabricating lies is not something we want to tolerate in this country."

Dan 'pukulan maut' terakhir untuk Najib menafikan perangkap Cik Jolley dan Al Jazeera itu ialah apabila beliau dengan penuh bergaya dan segak bangkit dari kerusinya dan berkata, "I'm going to walk out. No more. No more. I'm done."

Dalam konteks politik Malaysia, apakah maksud kenyataan Najib yang dilihat ramai sebagai 'mengelak' atau 'mengalah' itu?

Bagi ahli politik, aksi tersebut sebenarnya membawa mesej yang jelas lagi terang dan menawan, bak permata disinari cahaya.

Pernyataan itu wajib difahami sebagai soalan padu daripada beliau, "Anda rasa saya ada masa untuk sakit kepala?"

BACA INI JUGA:

sumber: malaysiakini

Thursday, October 04, 2018

Najib Tawar RM3.5 Juta Jika Mengaku Bunuh Kevin Morais!

Najib Tawar RM3.5 Juta Jika Mengaku Bunuh Kevin Morais!

Tertuduh ketujuh yang didakwa membunuh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Anthony Kevin Morais mengakui di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur bahawa dia ditawarkan wang RM3.5 juta oleh bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mengaku bersalah membunuh Kevin Morais.

Bunuh Kevin Morais

S. Ravi Chandaran, 47, turut mengakui bahawa tawaran itu dibuat melalui pegawai penjara kepadanya dan selain tawaran itu, dia turut menerima tawaran dari adik Kevin Morais sendiri iaitu Datuk Richard Morais untuk membuat pengakuan sama.

Ravi Chandaran yang juga saksi pembelaan keenam berkata demikian ketika pemeriksaan balas peguam Datuk N.Sivananthan yang mewakili pakar patologi tentera, Dr R. Kunaseegaran, pada prosiding membela diri hari ke-24.

Sivananthan: Kamu katakan Dr Kunaseegaran tawar wang RM1.5 juta untuk kamu mengaku salah. Ini dibuat pada 29 Dis, 2017.

Ravi Chandaran: Benar

Sivananthan: Kamu juga ada buat satu laporan polis bahawa pada 26 Jan 2018, Richard Morais tawarkan RM2 juta untuk kamu mengaku salah.

Ravi Chandaran: Ya, benar.

Sivananthan: Dalam laporan yang sama, pada Februari 2018, kamu kata ada pegawai penjara yang menawarkan kamu RM3.5 juta untuk mengaku salah bagi pihak Najib Tun Razak.

Ravi Chandaran: Ya, benar.

Ravi Chandaran turut bersetuju dengan cadangan Sivananthan bahawa keseluruhan wang yang ditawarkan oleh individu-individu terbabit kepadanya untuk mengaku bersalah dalam kes itu adalah berjumlah RM7 juta.

Kepada cadangan Sivananthan bahawa tertuduh telah mereka cerita berhubung tawaran wang itu sehingga ia kelihatan tidak masuk akal, Ravi Chandaran berkata dia tidak bersetuju.

Tertuduh turut tidak bersetuju dengan cadangan peguam itu bahawa tidak ada sebab untuk kesemua individu itu menawarkan wang kepadanya.

Ditanya Sivananthan adakah Dr Kunaseegaran telah mengarahkannya untuk membunuh Kevin Morais, tertuduh berkata “tidak”.

Dia juga menjawab “tidak” kepada soalan Sivananthan mengenai adakah Dr Kunaseegaran mengarahkannya melakukan sesuatu seperti menculik Kevin Morais.

Pada prosiding sebelum ini Ravi Chandaran mendakwa Dr Kunaseegaran menawarkan wang RM1.5 juta jika mengaku bersalah membunuh Kevin Morais.

R. Dinishwaran, A.K Thinesh Kumar, M. Vishwanath; S. Nimalan, Ravi Chandaran, dan Dr Kunaseegaran, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan membunuh Kevin Morais di dalam perjalanan dari Jalan Dutamas 1, Sentul ke No.1 Jalan USJ 1/6D, Subang Jaya, antara pukul 7.00 pagi dan 8.00 malam, 4 Sept 2015 mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Dinishwaran, 26, Thinesh Kumar, 25, Vishwanath; 28, Nimalan, 25, dan Ravi Chandaran, diwakili peguam Rajehgopal manakala pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Saiful Edris Zainuddin.

BACA INI JUGA:

sumber: malaysiakini

Tuesday, September 25, 2018

Apa Sebenarnya Skandal RM2.6 Bilion Najib?

Apa Sebenarnya Skandal RM2.6 Bilion Najib?

Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan bagi 25 pertuduhan berkaitan skandal 1MDB dan dana RM2.6 bilion.

Skandal RM2.6 Bilion Najib

Sejumlah 21 pertuduhan oleh polis bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFA), manakala baki empat pertuduhan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia bawah Akta SPRM 2009.

Pada 2016, peguam negara ketika itu Tan Sri Mohamed Apandi Ali telah membersihkan Najib daripada segala kesalahan berkaitan skandal itu.

Apa sebenarnya skandal RM2.6 bilion?

Skandal RM2.6 bilion merujuk kepada AS$681 juta yang dipindahkan ke akaun peribadi Najib pada Mac dan April 2013.

Menurut tukaran mata wang ketika itu, ia bernilai RM2.08 bilion, namun apabila skandal itu mula diketahui umum pada 2015, nilai tukaran meningkat kepada RM2.6 bilion.

Wang itu didakwa untuk kempen BN pada PRU ke-13 dan Najib bertegas ia merupakan sumbangan daripada keluarga diraja Arab Saudi.

Pendakwa bagaimanapun mendakwa ia merupakan wang yang diseleweng daripada 1MDB melalui Tanore Finance Corporation.

Apa itu Tanore Finance Corporation?

Tanore didakwa telah memindahkan RM2.08 bilion kepada Najib sebelum beliau memulangkan kembali RM1.53 bilion.

Menurut Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DOJ), Tanore dimiliki oleh Eric Tan Kim Loong, sekutu rapat kepada individu yang didakwa sebagai dalang skandal 1MDB, Jho Low.

Jho Low juga menggunakan nama itu sebagai nama samaran.

Najib pula mendakwa Tanore milik keluarga diraja Saudi dan sebelum ini menunjukkan tiga surat oleh "Saud Abdulaziz Al Saud".

Dalam salah satu surat itu, penulisnya mendakwa Tanore milik putera itu.

Apa pendakwaan terhadap najib?

Sejumlah 21 pendakwaan pengubahan wang haram terhadap Najib merangkumi semua transaksi yang melibatkan "derma" itu.

Najib didakwa menerima RM2.08 bilion melalui sembilan bahagian daripada Tanore melalui Falcon Bank di Singapura.

Beliau juga didakwa menyalahgunakan kuasa sebagai perdana menteri, menteri kewangan dan pengerusi lembaga penasihat 1MDB untuk mendapatkan suapan berjumlah RM2.28 bilion daripada 1MDB, yang merangkumi RM2.08 bilion itu.

Apa perincian pendakwaan?

1. Seksyen 4(1) AMLATFA

Pertuduhan bawah seksyen ini menumpukan kepada dakwaan pengubahan wang haram yang Najib terima, guna dan pindahkan RM2.08 bilion.

Beliau didakwa menerima wang tersebut melalui sembilan bahagian antara 22 Mac hingga 10 April 2013.

Beliau kemudian mendakwa telah memulangkan RM1.53 bilion kepada Tanore pada Ogos 2013.

Ketika itu juga Najib dituduh membayar kepada lima pihak, iaitu Umno (RM20 juta); Umno Batu Kawan (RM100,000); Lim Soon Peng (RM246,000); ORB Solutions Sdn Bhd (RM2 juta) dan Semarak Consortium Sdn Bhd (RM303,000).

Baki RM12.4 juta kemudian dipindahkan kepada satu lagi akaunnya di AmBank.

Seksyen 4(1) AMLATFA memperuntukan hukuman penjara sehingga 15 tahun jika sabit kesalahan pengubahan wang haram.

Pihak bersalah juga boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda hasil daripada pengubahan wang haram, atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.

2. Seksyen 23 Akta SPRM

Najib dituduh menyalahgunakan kuasa sebagai perdana menteri, menteri kewangan dan pengerusi lembaga penasihat 1MDB untuk menerima suapan RM2.28 bilion.

Beliau dikatakan melakukannya dengan membenarkan 1MDB menyertai usaha sama dengan Aabar Investments PJS dan kemudian mengeluarkan surat sokongan untuk 1MDB menerbitkan bon bernilai AS$3 bilion.

Beliau juga dituduh menyalahgunakan kuasa dan pengaruh dalam kerajaan dan 1MDB untuk mendapat suapan RM60 juta, RM90.9 juta dan RM49.4 juta dalam tiga keadaan berbeza.

Seksyen 23(1) Akta SPRM menyatakan: "Mana-mana pegawai badan awam yang menggunakan jawatan atau kedudukannya untuk apa-apa suapan, sama ada bagi dirinya sendiri, saudaranya atau sekutunya, melakukan suatu kesalahan."

Jika didapati bersalah, Seksyen 24(1) akta sama memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak lebih lima kali ganda nilai atau jumlah suapan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: malaysiakini

Friday, September 21, 2018

Penyamun Yang Tidak Mengaku Mencuri Belum Tentu Tak Bersalah!

Penyamun Yang Tidak Mengaku Mencuri Belum Tentu Tak Bersalah!

Dulu, ketika mula-mula didedahkan oleh WSJ berhubung kemasukan wang berjumlah RM2.6 bilion ke dalam akaun bank peribadinya, Najib Razak menegaskan, beliau bukan seorang penyamun.

Najib tidak mencuri

"Kalau pun saya nak menyamun, takkan saya masukkan dalam akaun peribadi," begitulah lebih kurang kata-kata Najib waktu itu.

Kenyataan beliau kemudiannya disokong oleh seluruh pimpinan UMNO termasuk Ahmad Maslan yang menyebut, "Bodohlah Najib kalau masukkan wang sebanyak itu menggunakan akaun bank peribadinya."

Apabila WSJ terus mendedahkan bukti demi bukti mengenai kemasukan wang itu dan Najib tidak mampu mengelak lagi, beliau lantas tampil mengatakan wang tersebut adalah derma yang diterimanya adalah daripada kerabat Diraja Arab Saudi.

Berduyun-duyunlah pula pemimpin UMNO mengatakan ia sebagai derma juga. Dulu berduyun-duyun sama menafi, kemudian berduyun-duyun pula mengesahkan ada wang dalam akaun peribadi, cuma didalihkan sebagai derma.

Antara Najib dan Ahmah Maslan, siapa yang bodoh dalam hal ini?

Sementara Najib mengatakan wang tersebut adalah derma untuk UMNO menghadapi pilihanraya, beberapa pemimpin lain yang bersuara sentiasa tampil dengan dengan hujah yang berbeza-beza.

Ada yang berkata untuk memerangi keganasan, melawan pengaruh ISIS, menentang Syiah, mengembangkan fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah dan berbagai alasan yang lain lagi.

Dalam hantaran di laman facebooknya, sambil menunjukkan beberapa bukti kononnya wang RM2.6 bilion itu adalah derma daripada kerabat Diraja Arab Saudi, Najib turut menyebut ia adalah derma untuk "pelan kecemasan" bagi menghadapi ketidaktentuan politik dalam negara berikutan peristiwa 16 September beberapa tahun sebelum itu.

Yang penting wang beribu-ribu juta itu ada diterima Najib, cuma hairannya kenapa beliau mula-mula menafi dan kemudian mengiyakannya?

Yang lebih menghairankan, alasan mengapa wang itu diberikan juga tidak pernah sama dan berbeza-beza dari semasa ke semasa.

Terbaharu, berkaitan wang RM2.6 bilion yang sama dan setelah tidak lagi berkuasa, Najib didakwa di mahkamah dengan 25 pertuduhan berkaitan dengannya.

Penantian banyak pihak yang mempersoalkan bila lagi Najib mahu didakwa berkaitan penerimaan wang tersebut serta memberi gambaran seolah-olah kerajaan tiada bukti untuk meneruskan pendakwaan, menjadi kenyataan jua akhirnya.

Sebaik selepas pendakwaan di mana Najib mengaku tidak bersalah dan dibebaskan dengan ikat jamin RM3.5 juta serta diberi kelonggaran untuk membayar wang jaminan secara ansuran sehingga 28 September 2018 depan, beliau bersuara lagi dengan mengatakan, "Bukan pencuri."

Hmmmm. Dulu bukan penyamun, sekarang bukan pencuri!!?

Kalau begitu, siapa penyamun dan siapa pencuri sedangkan ada wang beribu-ribu juta ditemui?

Najib boleh bercakap apa saja, "saya bukan penyamun", "saya bukan pencuri" atau ungkapan-ungkapan lain yang dimahukannya.

Tetapi, sekarang baru bermula proses pendakwaan dan perbicaraan dijadual akan diadakan pada November 2018 depan.

Adanya tuduhan atau pendakwaan tidak bermakna Najib sudah bersalah.

Begitu juga dengan pengakuan tidak bersalah yang dibuatnya, ia tidak bermakna Najib tidak bersalah.

Bersalah atau tidak hanya akan ditentukan dalam perbicaraan di mahkamah nanti.

Yang ditunggu-tunggu ramai ialah oleh kerana Najib sudah menyebut nama putera Raja Arab Saudi yang kononnya menulis surat dan memberi derma RM2.6 bilion kepadanya, walaupun dalam masa yang sama mengakui kemasukan wang itu dibuat melalui Tanore Finance, sebuah firma yang dimiliki oleh Jho Low bersama Eric Tan Kim Loong, adakah dalam perbicaraan nanti beliau dapat menampilkan anak raja Arab Saudi itu sebagai saksinya?

Sediakah anak Raja Arab itu berdepan soalan-soalan pendakwa dan pihak pembela di dalam mahkamah?

Bagaimana jika tiada anak Raja Arab dapat ditampilkan sebagai saksi sehingga akhir bicara?

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: shahbudindotcom

Thursday, September 20, 2018

Najib Berdepan 25 Pertuduhan Penggubahan Wang Haram RM2.8 Bilion

Najib Berdepan 25 Pertuduhan Penggubahan Wang Haram RM2.8 Bilion

Bekas Perdana Menteri, Najib Tun Razak ditahan sebaik tiba di ibu pejabat Unit Pencegahan Pengubahan Wang Haram (Amla) Bukit Aman di Menara KPJ, pagi Khamis sebelum didakwa dengan 21 pertuduhan membabitkan wang sebanyak RM2.8 bilion.

NAJIB AMLA

Selain itu, Najib, juga akan menghadapi empat pertuduhan mengikut Seksyen 23 (1) dan 24 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, tangkapan dibuat pasukan siasatan Amla dan Urus Setia Ketua Polis Negara (USKPN) selepas mendapat persetujuan daripada Jabatan Peguam Negara.

Najib akan dikemukakan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur untuk proses pertuduhan oleh timbalan pendakwa raya di bawah Seksyen 4(1) Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA) 2001.

Sebanyak 21 pertuduhan melibatkan 681 juta dollar Amerika (RM2.8 bilion) telah disediakan.

Sembilan pertuduhan melibatkan penerimaan wang haram, lima pertuduhan melibatkan penggunaan wang haram dan tujuh pertuduhan melibatkan pemindahan wang haram ke entiti lain.

Tangkapan dan pertuduhan ini dilakukan dengan kerjasama pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Terdahulu, menurut laporan The Star, Najib tiba di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman selepas ditahan semalaman di lokap SPRM pada Rabu.

Bekas perdana menteri itu tiba pada pukul 9.20 pagi Khamis sambil diiringi polis.

Dipercayai beliau hadir untuk merekod kenyataan di ibu pejabat tersebut sebelum dibawa ke mahkamah.

Ini merupakan kali ketiga Najib dibawa ke mahkamah, kali pertama pada Julai ketika beliau didakwa atas tiga pertuduhan berkaitan kes pecah amanah dan satu tuduhan menerima rasuah bernilai RM42 juta.

Bulan Ogos lalu, Najib didakwa atas tiga pertuduhan berkaitan pengubahan wang haram.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: mstar

Friday, July 06, 2018

Tangkap Najib Adalah Impian Majoriti Rakyat Malaysia

Tangkap Najib Adalah Impian Majoriti Rakyat Malaysia

Najib Razak akhirnya akan didakwa di mahkamah atas beberapa pertuduhan yang dipercayai berkaitan rasuah, pecah amanah sebagai penjawat awam dan juga berhubung penglibatan dalam aktiviti penggubahan wang haram.

Tangkap Najib Adalah Impian Majoriti Rakyat Malaysia

Semua pertuduhan itu adalah susulan siasatan terhadapnya sebelum ini dan rampasan wang tunai, barang kemas, jongkong emas dan beg tangan mewah di beberapa kondo dan kediamannya yang keseluruhannya dianggarkan bernilai sehingga RM1.1 bilion.

Apa yang berlaku kepada Najib adalah pertama kali tercatat dalam sejarah negara Malaysia, di mana seorang bekas Perdana Menteri diheret ke mahkamah atas beberapa kesalahan jenayah yang memungkinkannya merengkok dalam tempoh yang lama di penjara.

Meskipun barangkali ada yang bersimpati dan menyifatkan pendakwaan terhadap Najib lebih bersifat dendam atau bermotif politik, sebenarnya jika diimbas kembali, itulah yang seharusnya dilakukan oleh kerajaan baru Pakatan Harapa terhadap bekas Perdana Menteri itu.

Motif utama Pakatan Harapan menyertai pilihanraya bukan saja untuk menumbangkan UMNO serta BN dan mengambil alih kuasa pentadbiran negara, malah juga untuk menangkap, mengheret ke mahkamah dan seterusnya menghantar Najib ke penjara.

Kesalahan paling besar yang didakwa dilakukan Najib ialah berkaitan skandal 1MDB yang daripadanya dipercayai berlabuh wang RM2,600 juta dalam akaun bank peribadinya.

Sejak sekian lama, kempen dan ceramah Pakatan Harapan, khususnya oleh Tun Mahathir Mohamad dan hampir semua pemimpin utama gabungan itu ialah untuk menangkap dan memenjarakan Najib.

Tidak cukup dengan perkara itu, dilaungkan dalam ceramah-ceramah dan kempen media sosial, malah "Himpunan Tangkap MO1" turut acap kali diadakan di beberapa lokasi.

Atas keyakinan bahawa Najib bersalah dan terlibat dalam skandal 1MDB yang merupakan skandal kewangan terbesar di dunia dan bersama keinginan untuk menangkap Najib itulah, hari demi hari sokongan rakyat terhadap Pakatan Harapan semakin membesar dan akhirnya berjaya menumbangkan BN buat pertama kalinya.

Maknanya, rakyat mengundi dan memenangkan Pakatan Harapan memang dengan kesedaran untuk melihat Najib ditangkap dan dipenjara.

Jika kempen Pakatan Harapan sekadar untuk memulihkan negara, menghapuskan GST, menstabilkan harga minyak saja misalnya, tanpa disertai laungan mahu menangkap Najib dan semua yang terlibat dengan skandal 1MDB, belum tentu BN dapat ditumbangkan dalam pilihanraya 9 Mei 2018 lalu.

Secara umumnya, semua orang sedar bahawa salah laku Najib dan keluarganya berkaitan 1MDB, disertai pula gaya hidup mewah, pembaziran dan segala macam onar lainnya adalah paling dahsyat dalam sejarah negara dan tidak pernah berlaku dalam mana-mana era kepimpinan terdahulu.

Oleh itu, tidak perlu bagi rakyat sebagai pembayar cukai yang dibebankan dengan pelbagai kenaikan kos sebelum ini, tiba-tiba mahu bersimpati atau menzahirkan rasa kesian terhadap bekas Perdana Menteri itu.

Apa yang berlaku sekarang adalah kerana rakyat sendiri berkehendakan demikian dengan kesatuan hati mereka menumbangkan Najib, UMNO serta BN dan memenangkan Pakatan Harapan.

Semua ini adalah permulaan untuk negara terus bergerak ke hadapan dan menuju pemulihan yang sebenar-benarnya.

Kalau pun masih ada juga perasaan itu, fikir dan renung kembali betapa besarnya hutang 1MDB yang akhirnya ditanggung oleh kita semua.

Fikir juga bagaimana daripada ribu-ribu juta hutang itu, kita-kira RM18,000 juta daripada dilencongkan oleh Jho Low sebagai dalangnya yang kemudian digunakan untuk bermewah, berpesta, membeli hartanah di seluruh dunia, memiliki kapal mewah, bermurah hati membeli barang-barang kemas sebagai hadiah dan sebagainya.

Fikirkan bagaimana sejumlah RM2,600 juta ada dalam akaun peribadi Najib selaku Perdana Menteri ketika itu yang kemudian ianya didakwa sebagai derma.

Fikirlah seterusnya bagaimana Najib dan keluarganya memiliki simpanan tunai dalam 26 jenis matawang berjumlah RM116 juta di rumahnya beserta beg tangan, barangan kemas, jam tangan dan sebagainya yang jumlahnya mencecah ribuan juta.

Fikir. Fikir. Fikir.

Adakah nasib serta keadaan kita sebagai rakyat difikirkan oleh Najib dan semua mereka yang terkait dan bermewah dengan skandal 1MDB sebelum ini?

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: shahbudindotcom

Thursday, July 05, 2018

Ketahui Apa Pertuduhan Terhadap Najib Razak Kes SRC

Ketahui Apa Pertuduhan Terhadap Najib Razak Kes SRC

Laporan Ketua Audit Negara memperincikan pelaburan SRC yang dipertikaikan di luar negara dengan RM4 bilion yang diterima, termasuk dalam usaha sama yang tidak mempunyai kajian kebolehlaksanaan.

Ketahui Apa Pertuduhan Terhadap Najib Razak Kes SRC

Bagaimanapun, pertuduhan terhadap Najib adalah khusus kepada urus niaga yang dilakukan di dalam negara dan menurut kertas pertuduhan, Najib didakwa menerima RM42 juta daripada dana SRC.

Najib didakwa menerima jumlah itu dalam tiga transaksi iaitu sebanyak RM27 juta, RM5 juta dan RM10 juta.

Jumlah itu sama dengan apa yang dilaporkan oleh Sarawak Report , yang mendakwa dana SRC diluluskan melalui Gandingan Mentari Sdn Bhd dan Ihsan Perdana sebagai pengantara sebelum dipindahkan ke akaun bank Najib di Ambank.

APA PERTUDUHAN SPESIFIK?

1. Seksyen 23 Akta SPRM

Tuduhan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM memberi tumpuan terhadap keputusan Najib dalam memberi jaminan kerajaan bagi pinjaman sebanyak RM4 bilion kepada SRC.

Beliau didakwa menggunakan jawatannya sebagai perdana menteri dan menteri kewangan untuk meluluskan jaminan kerajaan bagi pinjaman RM4 bilion itu dengan menerima suapan RM42 juta.

Tempoh masa untuk kelulusan adalah di antara 17 Ogos 2011 dan 8 Feb 2012.

Seksyen 23 (1) Akta SPRM menyatakan:

"Mana-mana pegawai badan awam yang menggunakan jawatan atau kedudukannya untuk apa-apa suapan, sama ada bagi diriny sendiri, saudaranya atau sekutunya, melakukan suatu kesalahan."

Sekiranya didapati bersalah, Najib boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang dari lima kali jumlah atau nilai suapan.

2. Seksyen 409 Kanun Keseksaan

Pihak pendakwaan membawa tiga pertuduhan di bawah seksyen ini yang menumpukan kepada RM42 juta yang didakwa dimasukkan dalam akaun Ambank Najib dari SRC International.

Mereka mendakwa Najib atas kapasitinya sebagai perdana menteri, menteri kewangan dan penasihat SRC mempunyai kuasa atas pinjaman RM4 bilion SRC tetapi melakukan jenayah pecah amanah berhubung RM42 juta itu.

Tiga pertuduhan itu adalah sama, dengan satu pertuduhan bagi setiap transaksi - RM27 juta dan RM5 juta antara 24 Disember hingga 29 Disember 2014 dan RM10 juta antara 10 Feb dan 2 Mac 2015.

Seksyen 409 Kanun Keseksaan menyatakan:

"Barang siapa yang telah diberi amanah terhadap sesuatu harta, atau kawalan terhadap harta, dalam kapasitinya sebagai penjawat awam atau ejen telah melakukan pecah amanah jenayah mengenai harta itu hendaklah dihukum penjara bagi tempoh tidak kurang dari dua tahun dan tidak lebih daripada 20 tahun dan dengan hukuman sebatan dan denda."

Kecuali kesalahan rogol, mereka berusia 50 tahun ke atas dikecualikan daripada sebatan. Najib akan mencecah umur 65 tahun pada tahun ini.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: malaysiakini

Wednesday, July 04, 2018

Najib Razak Mengaku Tidak Bersalah Kes SRC, Perbicaraan Bermula 18 Februari 2019

Najib Razak Mengaku Tidak Bersalah Kes SRC, Perbicaraan Bermula 18 Februari 2019

Pentadbiran Pakatan Harapan menunaikan janjinya untuk mendakwa Datuk Seri Najib Razak berhubung skandal 1MDB apabila bekas presiden Umno itu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Najib Razak Mengaku Tidak Bersalah Kes SRC, Perbicaraan Bermula 18 Februari 2019

Semua mata kini tertumpu ke Kompleks Mahkamah Jalan Duta, di mana Najib menghadapi tiga pertuduhan pecah amanah dan satu pertuduhan salah guna kuasa.

Kes Najib disebut di hadapan hakim Mahkamah Sesyen Datuk Zainal Abidin Kamaruddin dan di hadapan hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Azman Abdullah.

Pendakwaan diketuai oleh peguam negara yang baru dilantik Tommy Thomas, manakala Najib diwakili pasukan peguam bela yang diketuai Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Penyokong Najib mahu AG cakap Melayu

12.54 PM: Sidang media yang dijangka akan disampaikan oleh Ketua Peguam Negara Tommy Tomas kecoh apabila penyokong Najib menjerit mahu sidang media itu disampaikan dalam bahasa Melayu.

Kejadian yang berlaku di lobi kompleks mahkamah itu bermula apabila kira-kira 50 penyokong Najib menjerit "Melayu" berulang kali menyebabkan sidang media itu dibatalkan.

Mereka turut melaungkan “Hidup Najib” dan bertakbir.

Pihak polis mengarahkan kumpulan itu untuk keluar dari lobi berkenaan.

Turut kelihatan dalam kumpulan itu adalah pelakon Ellie Suriaty dan Presiden Pemantau Malaysia Baru, Datuk Lokman Noor Adam.

Bicara 19 hari

12.49 PM: Mahkamah Tinggi 3 – Perbicaraan ditetapkan selama 19 hari, iaitu pada 18-28 Februari, 4-8 Mac dan 11-15 Mac 2019.

12.35 PM: Mahkamah Tinggi 3 – Pengurusan kes ditetapkan pada 8 Ogos depan. Kekangan daripada mengulas sementara itu itu berkuat kuasa sehingga tarikh itu.

Arahan itu turut tertakluk kepada media daripada mengulas isu berkaitan empat pertuduhan terhadap Najib, selain daripada merit fakta kes.

12.25 PM: Peguam bela utama Shafee Abdullah dan ketua pendakwaan Tommy Thomas berbalah mengenai penyerahan dokumen kes sebelum perbicaraan bermula.

Tommy berkata permintaan Shafee untuk mendapatkan dokumen sebelum tarikh perbicaraan ditetapkan munasabah.

Shafee menjawab, “Jika kami dakwa dia hari ni bermakna kamu sudah sedia! Saya tak boleh bayangkan kami akan dakwa seseorang tetapi dokumen masih tidak tersedia.

“Fotostat saja dan serahkan pada kami.”

Mahkamah benarkan permohonan perintah interim

12.10 PM: Mahkamah Tinggi - Hakim Mahkamah Tinggi Sophian Abdul Razak membenarkan permohonan peguam bela untuk mendapatkan perintah interim (sementara).

Ini selepas peguam Shafee Abdullah memohon hakim memberikan perintah interim terhadap sebarang kenyataan yang berpotensi mempengaruhi kes anak guamnya dalam empat pertuduhan itu.

Beliau merujuk kejadian yang didakwa sebagai "perbicaraan oleh pihak media" terhadap Najib.

Pendakwa Tommy Thomas membantah permohonan itu dengan menyatakan prinsip-prinsip kebebasan bersuara di bawah Perlembagaan Persekutuan harus dipelihara.

Beliau berkata Shafee perlu membuat permohonan rasmi dan bukan perintah interim dan pihak pendakwaan akan "menentang kuat" permohonan itu.

11.55 AM: Hakim Mahkamah Tinggi, Sophian Abdul Razak menetapkan jaminan RM1 juta untuk semua empat pertuduhan dengan dua penjamin.

Beliau juga mengarahkan tertuduh menyerahkan pasportnya.

"Mahkamah berpendapat RM1 juta tunai dengan dua penjamin adalah adil dan saksama.

"Tertuduh juga perlu menyerahkan pasportnya."

Shafee Abdullah berkata anak guamnya hanya dapat membayar separuh daripada jumlah itu hari ini.

"Pada Isnin, saya akan berusaha mendapat RM500,000 lagi," peguam itu memberitahu mahkamah.

11.10 AM: Mahkamah Tinggi - Seorang pegawai polis memarahi mereka yang menunggu di luar bilik mahkamah kerana mengganggu prosiding.

"Jika kamu nak bercakap, bercakap di bawah," katanya.

Najib mengaku tidak bersalah

10.50 AM: Mahkamah Tinggi - Peguam bela utama Shafee Abdullah membantah ikat jamin yang diminta pendakwa raya dengan menyatakan jumlahnya terlalu tinggi.

"Anak guam saya melalui anak-anak dan isterinya perlu meminta dari saudara-saudara mereka untuk mendapatkan wang.

"Mereka mempunyai sejumlah wang tetapi setakat ini tidak sampai RM4 juta."

Shafee sebaliknya meminta ikat jamin dikurangkan kepada RM500,000 hingga RM800,000, dengan dua penjamin bagi semua empat pertuduhan dan untuk tertuduh menyerahkan pasportnya.

Malah, beliau menyatakan anak guamnnya bersedia menyerahkan geran rumah kepada mahkamah sebagai sebahagian daripada jaminan, memandangkan semua akaun banknya telah dibekukan.

10.45 AM: Mahkamah Tinggi - Najib mengaku tidak bersalah dan memohon perbicaraan atas empat pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.

Najib dilihat mengangguk selepas setiap pertuduhan dibacakan.

Timbalan Pendakwa Raya, Tommy Thomas memohon ikat jamin sebanyak RM1 juta bagi setiap pertuduhan.

10.35 AM: Mahkamah Tinggi - Kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Bekas perdana menteri merekodkan pengakuan di hadapan hakim Sophian Abdul Razak.

Peguam Negara Tommy Thomas yang mengetuai pasukan pendakwa raya, meminta supaya pertuduhan dibacakan sekali lagi kepada tertuduh sebelum pengakuannya direkodkan.

Najib berdepan hukuman penjara

10.30 AM: Jika disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, Najib bakal menghadapi hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda jumlah suapan.

Sekiranya disabitkan dengan tuduhan pecah amanah, Najib boleh dipenjarakan antara dua hingga 20 tahun, sebatan dan kemungkinan dikenakan denda.

Bagaimanapun, hukuman sebat hanya dijatuhkan kepada individu di bawah umur 50 tahun dan oleh itu Najib, 64 terlepas hukuman tersebut jika sabit kesalahan.

10 AM: Kompleks Mahkamah, Jalan Duta - Timbul kekeliruan apabila tidak jelas di mana Najib dibawa.

Sebelum itu ditetapkan bahawa Najib dibawa ke Mahkamah Tinggi Jenayah 1, yang berada di tingkat keempat.

Bagaimanapun, beliau sekarang dibawa ke Mahkamah Tinggi Jenayah 3, yang berada di tingkat lima.

Kes dibawa ke Mahkamah Tinggi

9.20 AM: Mahkamah Sesyen - Peguam Negara Tommy Thomas berhasrat memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi.

Beliau meminta agar rayuan tertuduh, Datuk Seri Najib Razak, tidak direkodkan.

Ketua peguam bela Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah membantah dengan menyatakan rayuan perlu direkodkan di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi.

Najib didakwa di bawah seksyen 409 Kanun Keseksaan.

Hakim Datuk Zainal Abidin Kamarudin kemudian memutuskan pengakuan Najib dicatatkan di Mahkamah Tinggi.

Tommy kemudian menyerahkan sijil pemindahan untuk kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Shafee berkata beliau tidak mempunyai bantahan tetapi akan membangkitkan perkara itu di Mahkamah Tinggi sekiranya terdapat sebarang kesilapan.

Pertuduhan dibacakan

9.13 AM: Mahkamah Sesyen - Pertuduhan keempat dibacakan. Beliau didakwa di bawah Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pertuduhan keempat

Najib didakwa sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Malaysia, telah menggunakan jawatan untuk suapan bagi dirinya berjumlah RM42 juta apabila dia mengambil bahagian atau terlibat dalam keputusan bagi pihak kerajaan Malaysia untuk memberikan jaminan kerajaan bagi pinjaman-pinjaman berjumlah RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) kepada SRC International Sdn Bhd.

9.09 AM: Mahkamah Sesyen - Tertuduh, Najib Razak menghadapi tiga tuduhan di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan kerana jenayah pecah amanah.

Pertuduhan pertama

Najib didakwa sebagai seorang penjawat awam dan ejen iaitu Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Malaysia, Advisor Emeritus SRC International Sdn Bhd (SRC) dan dalam kapasiti itu diamanahkan dengan penguasaan ke atas wang milik SRC berjumlah RM4 bilion, telah melakukan pecah amanah jenayah terhadap wang sejumlah RM27 juta.

Pertuduhan kedua

Najib didakwa sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan diamanahkan dengan penguasaan ke atas wang milik SRC berjumlah RM4 bilion, telah melakukan pecah amanah jenayah terhadap wang sejumlah RM5 juta di tempat dan tarikh sama.

Pertuduhan ketiga

Najib didakwa sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan diamanahkan dengan penguasaan ke atas wang milik SRC berjumlah RM4 bilion, telah melakukan pecah amanah jenayah terhadap wang berjumlah RM10 juta di tempat sama antara 10 Feb 2015 dan 2 Mac 2015, mengikut seksyen sama.

9.05 AM: Ketua Pemuda Umno yang baru Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berharap bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak diberi keadilan sewajarnya.

Beliau turut mahukan mahkamah menjalankan proses perbicaraan dengan adil dan telus.

"Jangan kita menghukum sebelum mahkamah menghukum, jangan kita aibkan dia sebelum dia dikenakan apa-apa hukuman.

"Masalahnya hari ini beliau diadili di mahkamah media bukan di kamar mahkamah sebenar," katanya kepada pemberita di lobi Kompelks Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Asyraf juga berkata seseorang tidak boleh dianggap bersalah selagi mahkamah tidak memutuskan perkara itu.

Pasukan peguam, pendakwa tiba

8.55 AM: Mahkamah Sesyen - Shafee tiba bersama pasukan pembelaan termasuk Harvinderjeet Singh, Farhan Read, dan Farhan Shafee.

8.42 AM: Peguam Negara Tommy Thomas tiba bersama pasukan pendakwa raya termasuk Manoj Kurup, Mohd Hanafiah Zakaria dan Mohd Ishak Yusof

Anak-anak Najib, Najwa dan suaminya Daniyar serta Ashman juga masuk ke bilik mahkamah.

Berikut senarai pegawai pendakwa yang diketuai peguam negara:
  1. Tommy Thomas
  2. Mohamad Hanafiah Zakaria
  3. Manoj Kurup
  4. Suhaimi Ibrahim
  5. Umar Saifuddin Jaafar
  6. Ishak Mohd Yusoff
  7. Donald Joseph Franklin
  8. Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi
  9. Budiman Lutfi Mohammed
  10. Sulaiman Kho Kheng Fuei
  11. Mohd Ashrof Adrin Kamarul
  12. Muhammad Izzat Fauziah

Sementara itu, anggota Parlimen Pasir Salak, Datuk Tajuddin Abdul Rahman dilihat berada di luar mahkamah.

"Perjuangan belum selesai, lihat Anwar Ibrahim.

"Dia masuk dan keluar dari penjara tetapi perjuangannya berterusan," kata bekas timbalan menteri itu kepada pemberita.

8.30 AM: Bekas perdana menteri diiringi ke bilik saksi. Isterinya, Rosmah Mansor juga dijangka hadir.

Seperti dijangka, kawalan keselamatan ketat di dalam mahkamah. Wartawan hanya dibenarkan menduduki dua bangku terakhir.

Salah seorang anak Najib dari perkahwinan pertamanya, yang dipercayai Nazifuddin, juga dilihat berada dalam mahkamah.

Najib tiba di mahkamah

8.18 AM: Datuk Seri Najib Razak tiba di mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini dan dilihat memakai kemeja biru.

Kira-kira 50 penyokong Najib melaungkan "Hidup Najib" dan takbir "Allahuakbar"

Berlaku tolak menolak ketika Najib memasuki pintu utama mahkamah.

8.15 AM: Peguam Rosmah, K Kumaraendran tiba di mahkamah dan memasuki bilik saksi.

Menurut sumber, difahamkan bekas perdana menteri itu akan menghadapi tiga pertuduhan pecah amanah hari ini dan bukan 10 pertuduhan seperti dilaporkan lebih awal.

Terdapat satu atau dua lagi pertuduhan akan dikenakan di bawah Akta SPRM 2009.

Najib juga mungkin menghadapi pertuduhan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA) pada hari yang lain.

8.10 AM: Pemimpin Umno Tun Faisal Ismail Aziz yang mengetuai himpunan solidariti terhadap Najib berbalah dengan anggota polis yang bertugas.

"Ini bukan karaoke, ini mahkamah!" kata seorang pegawai polis kepada Tun Faisal ketika beliau cuba mengajak orang ramai menyanyi lagu "Allah Selamatkan Kamu".

Tun Faisal membantah dengan mengatakan tiada halangan untuk bercakap atau menyanyi di luar lobi mahkamah tetapi pihak polis menegaskan bahawa orang ramai harus bergerak ke luar dari pintu utama.

"Di mana arrest team? Bertindak macam budak-budak," kata pegawai itu lagi.

Di kalangan orang ramai, ada yang berteriak "jangan provoke!" ke arah polis.

8.05 AM: Bernama melaporkan kenderaan yang membawa Datuk Seri Najib Tun Razak dilihat keluar dari ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada pukul 7.37 pagi ini.

Kenderaan Proton Inspira merah yang membawa Najib diiringi enam kenderaan lain termasuk dua kereta peronda polis dan dua motosikal pengiring.

8.00 AM: Laungan "bebas Najib" bergema di Kompleks Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Sekumpulan penyokong Najib melaungkan "bebas Najib" sebanyak tiga kali bagi membakar semangat sebelum ketibaan bekas perdana menteri itu.

Mereka turut menyanyikan lagu "Allah selamatkan kamu".

Bagaimanapun Ketua Polis Daerah Sentul R Munusamy mengarahkan mereka beredar ke luar kompleks mahkamah kerana menghalang laluan kenderaan untuk masuk.

"Jangan ganggu perjalanan mahkamah, kalau nak menyanyi di luar," katanya.

7.50 AM: Kompleks Mahkamah, Jalan Duta - Antara pemimpin Umno yang dilihat menunjukkan sokongan kepada Najib termasuk ketua Umno bahagian Batu Pahat Datuk Puad Zarkashi, Ketua Wanita Umno Datuk Noraini Ahmad dan anggota exco Pemuda Umno, Wan Muhammad Azri Wan Deris atau lebih dikenali sebagai blogger Papagomo.

"Kami datang untuk menunjukkan sokongan kerana beliau (Najib) bukan sahaja bekas presiden Umno tetapi juga bekas perdana menteri kita.

"Kami mahu menunjukkan bahawa kami akan terus mempertahankannya," kata Puad kepada pemberita.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner R Munusamy juga dilihat berada di lobi bersama sekumpulan pegawai dan anggota polis yang lain.

Ketibaan pegawai-pegawai SPRM

7.35 AM: Mahkamah Sesyen - Pegawai dari SPRM kelihatan memeriksa bilik mahkamah.

Salah seorang daripada mereka dilihat membawa beg besar dan satu lagi membawa dokumen yang tebal.

Beberapa pegawai polis berpakaian biasa juga dilihat bersama mereka.

7.25 AM: Kompleks Mahkamah, Jalan Duta - Empat trak FRU dan sebuah trak polis memasuki kompleks mahkamah.

7.35 AM: Mahkamah Sesyen - Pegawai dari SPRM kelihatan memeriksa bilik mahkamah.

Salah seorang daripada mereka dilihat membawa beg besar dan satu lagi membawa dokumen yang tebal.

Beberapa pegawai polis berpakaian biasa juga dilihat bersama mereka.

Sementara itu, peguam terkemuka, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dijangka mengetuai pasukan peguam Najib.

Laluan ke kawasan lobi dipenuhi dengan petugas media tempatan dan antarabangsa yang menunggu ketibaan Najib.

Di tingkat atas di bilik mahkamah, wartawan juga sedang menunggu prosiding bermula.

Sementara itu, peguam kanan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dijangka mengetuai pasukan peguam Najib.

7.05 AM: Jurugambar berkumpul di lobi. Najib dijangka dibawa masuk ke lobi dan dikawal ke tingkat keempat.

Peguam Negara Tommy Thomas yang mengetuai pendakwaan dijangka mengadakan sidang akhbar selepas Najib didakwah.

7 AM: Kumpulan sekitar 50 orang yang terdiri daripada petugas media dan yang lain-lain sudah berkumpul di kompleks mahkamah/ Mereka tiba sebelum matahari terbit.

Anggota polis turut meningkatkan kawalan dengan anjing pengesan kelihatan digunakan untuk memeriksa kenderaan yang memasuki kawasan bangunan melalui pondok utama pengawal.

Semua mata tertumpu di mahkamah

6.55 AM: Kurang dari dua bulan selepas pilihan raya umum 9 Mei, sejarah dicatat lagi apabila bekas perdana menteri Malaysia dihadapkan ke mahkamah hari ini untuk menghadapi tuduhan jenayah.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: malaysiakini