Friday, June 02, 2017

Menjawab Putar Belit Orientalis Peristiwa Israk Mikraj

Menjawab Putar Belit Orientalis Peristiwa Israk Mikraj

Musuh-musuh Islam terutamanya di kalangan Orientalis barat, telah meletakkan jarum-jarum mereka dalam penulisan buku-buku sejarah dan sirah baginda Rasulullah SAW.

Putar Belit Orientalis

Ia bertujuan agar umat Islam yang membacanya akan terkeliru dengan fakta sebenar mengenai perjalanan Israk dan Mikraj.

Takrif Israk dan Mikraj

Israk: Perjalanan Nabi Muhammad SAW pada 27 Rejab, daripada Masjidil Haram, ke Masjidil Aqsa. Dalil jelas disebutkan di dalam al Quran, Surah al Isra’ ayat 1. Sesiapa yang mengingkarinya adalah kafir.

Mikraj: Perjalanan Baginda SAW pada tarikh tersebut, daripada Masjidil Aqsa ke langit yang ketujuh. Dalil disebutkan di dalam Hadis Masyhur. Ada yang mengatakan mikraj Baginda SAW melintasi syurga, sampai ke Arasy, dan sebagainya berdasarkan perbezaan riwayat. Kesemuanya diriwayatkan secara perseorangan. Sesiapa yang mengingkarinya adalah fasiq, tidak dikafirkan.

Tarikh Peristiwa Israk dan Mikraj

Ulama khilaf di dalam menentukan tarikh yang tepat peristiwa ini.

1. Imam Thabari mengatakan bahawa ia berlaku pada tahun Nabi SAW di lantik sebagai nabi.

2. Al ‘Allamah Mansur Furi mengatakan ia berlaku pada 27 Rejab, tahun ke 10 kenabian Nabi Muhammad SAW.

3. Imam Nawawi dan al Qurtubi mengatakan bahawa ia berlaku pada tahun ke 5 kenabian.

4. Pandangan-pandangan lain ada yang mengatakan bahawa ia berlaku pada 16 bulan sebelum hijrah bersamaan Ramadhan tahun ke 12 kenabian. Ada juga yang mengatakan pada setahun dua bulan sebelum hijrah, iaitu pada Muharram tahun ke 13 selepas kenabian. Juga ada yang mengatakan ia berlaku pada setahun sebelum hijrah, iaitu pada Rabi’ul Awwal tahun ke 13 selepas kenabian. Namun, pandangan-pandangan ini tidak dapat dipastikan sumber-sumbernya.

Di dalam kitab Zadul Ma’ad, menyebut bahawa solat fardhu diwahyukan selepas kewafatan Saidatina Khadijah, iaitu pada Bulan Ramadhan, tahun ke 10 selepas kenabian. Dan solat fardhu disyariatkan pada malam Israk dan mikraj. Wallahu a’lam.

Plot-plot Israk dan Mikraj

1. Nabi Muhammad SAW berjalan di waktu malam (israk) dengan menaiki buraq, daripada Mekah ke Baitul Maqdis dengan tubuhnya. Baginda SAW didampingi oleh Malaikat Jibril AS.

2. Baginda SAW sampai di Baitul Maqdis, dan menjadi imam solat bagi nabi-nabi. Baginda SAW mengikat buraq di pintu masjid, dan terus mikraj.

3. Mikraj bermula dengan melalui langit dunia, dan Jibril AS meminta supaya ia dibuka, dan pintu langit dunia dibuka untuk laluan Baginda SAW. Di sana, Baginda SAW bertemu dengan Nabi Adam AS, dan memberi salam kepadanya. Salam tersebut dijawab, dan Nabi Adam AS mengakui kenabian Nabi Muhammad SAW.

4. Dalam masa yang sama, Allah SWT memperlihatkan kepada Nabi Muhammad SAW roh-roh orang syahid di medan perang di sebelah kanan Baginda SAW, dan roh-roh orang yang jahat di sebelah kirinya.

5. Kemudian, Baginda SAW dinaikkan (dimikrajkan) ke langit kedua. Di sana, Nabi Muhammad SAW bertemu Nabi Yahya bin Zakaria AS, dan Nabi Isa bin Maryam AS. Baginda SAW memberi salam kepada mereka, dan mereka mengakui kenabian Baginda SAW.

6. Kemudian, Baginda SAW dinaikkan lagi ke langit ketiga. Di sana, Baginda SAW bertemu dengan Nabi Yusuf AS, dan memberi salam kepadanya. Salam tersebut dijawab, dan Nabi Yusuf mengakui kenabian Nabi Muhammad SAW.

7. Kemudian, Baginda SAW dinaikkan lagi ke langit yang keempat. Di sana Baginda SAW bertemu dengan Nabi Idris AS, dan memberi salam kepadanya. Salam tersebut dijawab, dan Nabi Idris mengakui kenabian Nabi Muhammad SAW.

8. Kemudian, Baginda SAW dinaikkan lagi ke langit yang kelima. Di sana Baginda SAW bertemu dengan Nabi Harun bin Imran AS, dan memberi salam kepadanya. Salam tersebut dijawab, dan Nabi Harun mengakui kenabian Nabi Muhammad SAW.

9. Kemudian, Baginda SAW dinaikkan lagi ke langit yang keenam. Di sana Baginda SAW bertemu dengan Nabi Musa bin Imran AS, dan memberi salam kepadanya. Salam tersebut dijawab, dan Nabi Musa mengakui kenabian Nabi Muhammad SAW.

10. Ketika Nabi Muhammad SAW melepasinya, Nabi Musa menangis. Lalu, ditanya kepada Nabi Musa, “kenapakah kamu menangis?” Nabi Musa AS menjawab: “Aku menangis kerana seorang manusia yang diutuskan selepasku, umatnya masuk ke syurga lebih ramai daripada umatku.”

11. Kemudian, Baginda SAW dinaikkan lagi ke langit yang ketujuh. Di sana Baginda SAW bertemu dengan Nabi Ibrahim a.s., dan memberi salam kepadanya. Salam tersebut dijawab, dan Nabi Ibrahim mengakui kenabian Nabi Muhammad SAW.

12. Kemudian, Nabi Muhammad SAW dinaikkan ke Sidratul Muntaha, dan dinaikkan lagi ke Baitul Ma’mur. Seterusnya dinaikkan bertemu Allah SWT. Di sinilah, Baginda SAW disyariatkan solat fardhu 50 waktu. Setelah itu, Baginda SAW turun daripada tempat tersebut sehinggalah melalui langit keenam, tempat pertemuan dengan Nabi Musa AS.

13. Di sana, Nabi Musa AS bertanya kepada Baginda SAW, “Apakah yang diperintahkan kepada kamu?” Nabi Muhammad SAW menjawab “50 waktu solat”. Nabi Musa AS berkata, “Umat kamu tidak mampu melakukannya, pergilah bertemu Allah SWT minta dikurangkan”. Lalu Baginda SAW bertanya kepada Jibril, dan Baginda SAW dinaikkan semula.

14. Apabila bertemu Allah SWT buat kali kedua, bilangan waktu solat dikurangkan menjadi 45 waktu. Baginda SAW turun semula dan sekali lagi bertemu dengan Nabi Musa AS. Nabi Musa AS berkata kepadanya supaya meminta lagi supaya dikurangkan. Lalu Baginda SAW naik semula sehinggalah waktu solat dikurangkan menjadi 5 waktu sahaja.

Persoalan Dan Keraguan Yang Dilontarkan Orientalis Di Dalam Peristiwa Ini

Di sana terdapat beberapa keraguan, yang dapat dijelaskan di sini. Antara keraguan tersebut ialah:

Pertama

Bagaimanakah Nabi Muhammad SAW boleh bertemu dengan Allah SWT di Baitul Makmur? Bukankah Allah SWT tidak bertempat?

Jawapan: Hakikatnya Allah itu bukanlah berada di Baitul Makmur. Tetapi, Nabi SAW dinaikkan daripada tempat tersebut sehingga bertemu Allah SWT. Dan tidak pula menyatakan bahawa Allah itu berada di Baitul Makmur. Ini kerana Allah itu tidak bertempat.

Kedua

Bagaimanakah Nabi Muhammad SAW boleh bertemu Allah? Adakah Allah itu boleh dilihat? Bukankah ia menunjukkan Allah itu berada di satu tempat?

Jawapan: Ya, Nabi Muhammad SAW bertemu Allah, tetapi Allah SWT tidak serupa langsung dengan makhluk. Allah SWT wujud, dan setiap yang wujud dapat dilihat. Maka, Allah dapat dilihat, tetapi, kita melihat Allah tidak sama dengan melihat makhluk. Makhluk memerlukan ruang untuk bertempat, sedangkan Allah tidak. Contohnya, kita melihat pemberita di dalam televisyen. Tetapi, hakikatnya pemberita tersebut tidak berada (bertempat) di dalam peti televisyen tersebut.

Isra dan Mikraj Dengan Roh Sahaja? Atau Beserta Jasad?

Syeikh Ibrahim al Baijuri mengatakan bahawa, di dalam persoalan ini, terdapat tiga pandangan yang berbeza:

1. Sebahagian umat Islam pada kurun pertama berpandangan bahawa Nabi SAW israk dan mikraj dengan rohnya sahaja.

2. Sebahagian yang lain, berpandangan bahawa Baginda SAW hanya bermimpi.

3. Umat Islam kurun kedua, dan selepasnya, berpandangan bahawa Nabi SAW israk dan mikraj dengan roh dan jasadnya. Pandangan inilah yang terpilih.

Perbezaan di antara pandangan pertama dan kedua ialah, sekiranya israk dan mikraj dengan roh sahaja, iaitu dalam keadaan berjaga (tidak tidur). Dan jasadnya berada dalam keadaan separa sedar. Manakala mimpi, jasadnya sedang tidur.

Pandangan Terpilih

1. Imam Nawawi berkata bahawa kebanyakan salafus soleh, umat Islam selepasnya, para fuqaha’, ulama’ hadis dan ulama’ Ilmu Kalam, kesemuanya berpandangan bahawa Baginda SAW israk dan mikraj dengan roh dan jasad.

2. Imam Ibnu Hajar al Asqolani berkata bahawa ia berlaku dalam keadaan sedar, jasad dan roh Baginda SAW, sepertimana yang dipegang oleh ulama’ Hadis, para fuqaha’ dan ulama Ilmu Kalam.

Bagaimanakah kita dapat menggambarkannya dengan akal?

Menggambarkan bahawa Nabi Muhammad SAW israk dan mikraj dengan jasad dan rohnya, adalah satu perkara yang mudah.

Cuma, beberapa persoalan yang meragukan, kerap timbul. Maka, saya datangkan sebuah perumpamaan yang sesuai untuk menjawab persoalan ini.

Seekor semut sedang berada di pakaian seorang peniaga, ketika peniaga tersebut pergi melancong maka, semut tadi akan bersama-sama peniaga tadi, melancong ke seluruh dunia.

Apabila peniaga tersebut kembali ke rumah, semut tadi menceritakan kepada kawan-kawannya, bahawa dia telah pergi melancong ke seluruh dunia.

Maka, semut-semut yang lain, sukar untuk mempercayainya. Mana mungkin seekor semut boleh sampai ke London, Mesir dan New Zealand, kata mereka.

Kawan-kawan semut menambah lagi, mungkin kamu hanya melihat pada gambar kemudian berkhayal, atau kamu hanya bermimpi! Tetapi hakikatnya ia adalah satu perkara yang logik.

Adakah Nabi SAW pergi dengan roh dan jasadnya? Jawapannya adalah “ya”.

Sekiranya Baginda SAW hanya bermimpi atau pergi dengan rohnya sahaja, maka tidaklah nampak satu kehebatan dan kelainan pada Peristiwa Israk dan Mikraj ini.

Muhammad Mujahid bin Mohammad Fadzil
Kuliah Usuluddin, Akidah dan Falsafah
Universiti Al Azhar

BACA INI JUGA:

sumber: ibnuirfadzil

Friday, April 14, 2017

Kisah Langit Dan Bumi Ketika Peristiwa Israk Mikraj

Kisah Langit Dan Bumi Ketika Peristiwa Israk Mikraj

Adapun terjadinya peristiwa Israk dan Mikraj adalah kerana bumi merasa bangga dengan langit. Berkata dia kepada langit, “Hai langit, aku lebih baik dari kamu kerana Allah S.W.T. telah menghiaskan aku dengan berbagai-bagai negara, beberapa laut, sungai-sungai, tanam-tanaman, beberapa gunung dan lain-lain.”

Kisah Langit Dan Bumi

Berkata langit, “Hai bumi, aku juga lebih elok dari kamu kerana matahari, bulan, bintang-bintang, beberapa falah, buruj, ‘arasy, kursi dan syurga ada padaku.”

Berkata bumi, “Hai langit, ditempatku ada rumah yang dikunjungi dan untuk bertawaf para nabi, para utusan dan arwah para wali dan solihin (orang-orang yang baik).”

Bumi berkata lagi, “Hai langit, sesungguhnya pemimpin para nabi dan utusan bahkan sebagai penutup para nabi dan kekasih Allah seru sekalian alam, seutama-utamanya segala yang wujud serta kepadanya penghormatan yang paling sempurna itu tinggal di tempatku. Dan dia menjalankan syari’atnya juga di tempatku.”

Langit tidak dapat berkata apa-apa, apabila bumi berkata demikian. Langit mendiamkan diri dan dia mengadap Allah S.W.T dengan berkata, “Ya Allah, Engkau telah mengabulkan permintaan orang yang tertimpa bahaya, apabila mereka berdoa kepada Engkau. Aku tidak dapat menjawab soalan bumi, oleh itu aku minta kepada-Mu ya Allah supaya Muhammad Engkau dinaikkan kepadaku (langit) sehingga aku menjadi mulia dengan kebagusannya dan berbangga.”

Lalu Allah S.W.T mengabulkan permintaan langit, kemudian Allah S.W.T memberi wahyu kepada Jibrail A.S pada malam tanggal 27 Rejab, “Janganlah engkau (Jibrail) bertasbih pada malam ini dan engkau ‘Izrail jangan engkau mencabut nyawa pada malam ini.”

Jibrail A.S. bertanya, ” Ya Allah, apakah kiamat telah sampai?” Allah S.W.T berfirman, maksudnya, “Tidak, wahai Jibrail. Tetapi pergilah engkau ke Syurga dan ambillah buraq dan terus pergi kepada Muhammad dengan buraq itu.”

Kemudian Jibrail A.S. pun pergi dan dia melihat 40,000 buraq sedang bersenang-lenang di taman Syurga dan di wajah masing-masing terdapat nama Muhammad.

Di antara 40,000 buraq itu, Jibrail A.S. terpandang pada seekor buraq yang sedang menangis bercucuran air matanya. Jibrail A.S. menghampiri buraq itu lalu bertanya, “Mengapa engkau menangis, ya buraq?” Berkata buraq, “Ya Jibrail, sesungguhnya aku telah mendengar nama Muhammad sejak 40 tahun, maka pemilik nama itu telah tertanam dalam hatiku dan aku sesudah itu menjadi rindu kepadanya dan aku tidak mahu makan dan minum lagi. Aku laksana dibakar oleh api kerinduan.”

Berkata Jibrail A.S., “Aku akan menyampaikan engkau kepada orang yang engkau rindukan itu.”

Kemudian Jibrail A.S. memakaikan pelana dan kekang kepada buraq itu dan membawanya kepada Nabi Muhammad S.A.W. Wallahu’alam. Buraq yang diceritakan inilah yang membawa Rasulullah S.A.W dalam perjalanan Israk dan Mikraj.

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:

sumber: irfanirsyad

Friday, April 07, 2017

Peristiwa Agung Israk Dan Mikraj

Peristiwa Agung Israk Dan Mikraj

Sempena bulan Rejab yang banyak keberkatannya ini, kami paparkan sedikit kisah peristiwa Israk dan Mikraj yang berlaku pada 27 Rejab, setahun sebelum Hijrah.

PERISTIWA ISRAK DAN MIKRAJ

Mafhum Firman Allah SWT, "Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al-Masjidil Haram ke Al-Masjidil Aqsa yang telah kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda kebesaran Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.” Surah Al-Israa’: Ayat 1

Sebelum Israk dan Mikraj

Rasulullah SAW mengalami pembedahan dada, perut, dilakukan oleh malaikat Jibrail dan Mika’il. Hati Baginda SAW dicuci dengan air zamzam, dibuang ketul hitam (‘alaqah) iaitu tempat syaitan membisikkan was-wasnya.

Kemudian dituangkan hikmat, ilmu dan iman.ke dalam dada Rasulullah SAW.  Selepas itu, dadanya dijahit dan dimeterikan dengan “khatimin nubuwwah”.

Selesai pembedahan, didatangkan binatang bernama Buraq untuk ditunggangi oleh Rasulullah dalam perjalanan luar biasa yang dinamakan “Israk” itu.

Semasa Israk

(Perjalanan dari Masjidil-Haram ke Masjidil-Aqsa):

Sepanjang perjalanan (israk) itu Rasulullah S.A.W. diiringi (ditemani) oleh malaikat Jibrail dan Israfil.

Tiba di tempat-tempat tertentu (tempat-tempat yang mulia dan bersejarah), Rasulullah telah diarah oleh Jibrail supaya berhenti dan bersembahyang sebanyak dua rakaat.

Antara tempat-tempat berkenaan ialah:

  • Negeri Thaibah (Madinah), tempat di mana Rasulullah akan melakukan hijrah.
  • Bukit Tursina, iaitu tempat Nabi Musa A.S. menerima wahyu daripada Allah.
  • Baitul-Laham (tempat Nabi ‘Isa A.S. dilahirkan)

Dalam perjalanan itu juga baginda Rasulullah S.A.W. menghadapi gangguan jin ‘Afrit dengan api jamung dan dapat menyasikan peristiwa-peristiwa simbolik yang amat ajaib.

Antaranya:

Kaum yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka – apabila dituai, hasil (buah) yang baru keluar semula seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini berlaku berulang-ulang. Rasulullah S.A.W. dibertahu oleh Jibrail : Itulah kaum yang berjihad “Fisabilillah” yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak.

Tempat yang berbau harum – Rasulullah S.A.W. diberitahu oleh Jibrail : Itulah bau kubur Mayitah (tukang sisir rambut anak Fir’aun) bersama suaminya dan anak-anaknya (termasuk bayi yang dapat bercakap untuk menguatkan iman ibunya) yang dibunuh oleh Fir’aun kerana tetapt teguh beriman kepada Allah (tak mahu mengakui Fir’aun sebagai Tuhan).

Sekumpulan orang yang sedang memecahkan kepala mereka – Setiap kali dipecahkan, kepala mereka sembuh kembali, lalu dipecahkan pula. Demikian dilakukan berkali-kali. Jibrail memberitahu Rasulullah: Itulah orang-orang yang berat kepala mereka untuk sujud (sembahyang).

Sekumpulan orang yang hanya menutup kemaluan mereka (qubul dan dubur) dengan secebis kain – Mereka dihalau seperti binatang ternakan. Mereka makan bara api dan batu dari neraka Jahannam. Kata Jibrail : Itulah orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat harta mereka.

Satu kaum, lelaki dan perempuan, yang memakan daging mentah yang busuk sedangkan daging masak ada di sisi mereka – Kata Jibrail: Itulah lelaki dan perempuan yang melakukan zina sedangkan lelaki dan perempuan itu masing-masing mempunyai isteri/ suami.

Lelaki yang berenang dalam sungai darah dan dilontarkan batu – Kata Jibrail: Itulah orang yang makan riba.

Lelaki yang menghimpun seberkas kayu dan dia tak terdaya memikulnya, tapi ditambah lagi kayu yang lain – Kata Jibrail: Itulah orang tak dapat menunaikan amanah tetapi masih menerima amanah yang lain.

Satu kaum yang sedang menggunting lidah dan bibir mereka dengan penggunting besi berkali-kali – Setiap kali digunting, lidah dan bibir mereka kembali seperti biasa. Kata Jibrail: Itulah orang yang membuat fitnah dan mengatakan sesuatu yang dia sendiri tidak melakukannya.

Kaum yang mencakar muka dan dada mereka dengan kuku tembaga mereka – Kata Jibrail: Itulah orang yang memakan daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah (mencela, menghinakan) orang.

Seekor lembu jantan yang besar keluar dari lubang yang sempit. Tak dapat dimasukinya semula lubang itu – Kata Jibrail: Itulah orang yang bercakap besar (Takabbur). Kemudian menyesal, tapi sudah terlambat.

Seorang perempuan dengan dulang yang penuh dengan pelbagai perhiasan. Rasulullah tidak memperdulikannya – Kata Jibrail: Itulah dunia. Jika Rasulullah memberi perhatian kepadanya, nescaya umat Islam akan mengutamakan dunia daripada akhirat.

Seorang perempuan tua duduk di tengah jalan dan menyuruh Rasulullah berhenti. Rasulullah S.A.W. tidak menghiraukannya – Kata Jibrail: Itulah orang yang mensia-siakan umurnya sampai ke tua.

Seorang perempuan bongkok tiga menahan Rasulullah untuk bertanyakan sesuatu – Kata Jibrail: Itulah gambaran umur dunia yang sangat tua dan menanti saat hari kiamat.

Masjid Al-Aqsa

Setibanya di masjid Al-Aqsa, Rasulullah turun dari Buraq. Kemudian masuk ke dalam masjid dan mengimamkan sembahyang dua rakaat dengan segala anbia` dan mursalin menjadi makmum.

Rasulullah SAW terasa dahaga, lalu dibawa Jibrail dua bejana yang berisi arak dan susu. Rasulullah memilih susu lalu diminumnya.

Kata Jibrail: Baginda membuat pilhan yang betul. Jika arak itu dipilih, nescaya ramai umat baginda akan menjadi sesat.

Semasa Mikraj

(Naik ke Hadhratul-Qudus Menemui Allah ):

Didatangkan Mikraj (tangga) yang indah dari syurga. Rasulullah S.A.W. dan Jibrail naik ke atas tangga pertama lalu terangkat ke pintu langit dunia (pintu Hafzhah).
  • Langit Pertama: Rasulullah S.A.W. dan Jibrail masuk ke langit pertama, lalu berjumpa dengan Nabi Adam A.S. Kemudian dapat melihat orang-orang yang makan riba` dan harta anak yatim dan melihat orang berzina yang rupa dan kelakuan mereka sangat huduh dan buruk. Penzina lelaki bergantung pada susu penzina perempuan.
  • Langit Kedua: Nabi S.A.W. dan Jibrail naik tangga langit yang kedua, lalu masuk dan bertemu dengan Nabi ‘Isa A.S. dan Nabi Yahya a.s.
  • Langit Ketiga: Naik langit ketiga. Bertemu dengan Nabi Yusuf a.s.
  • Langit Keempat: Naik tangga langit keempat. Bertemu dengan Nabi Idris a.s.
  • Langit Kelima: Naik tangga langit kelima. Bertemu dengan Nabi Harun a.s. yang dikelilingi oleh kaumnya Bani Israil.
  • Langit Keenam: Naik tangga langit keenam. Bertemu dengan Nabi-Nabi. Seterusnya dengan Nabi Musa  a.s. Rasulullah mengangkat kepala (disuruh oleh Jibrail) lalu dapat melihat umat baginda sendiri yang ramai, termasuk 70,000 orang yang masuk syurga tanpa hisab.
  • Langit Ketujuh: Naik tangga langit ketujuh dan masuk langit ketujuh lalu bertemu dengan Nabi Ibrahim Khalilullah yang sedang bersandar di Baitul-Ma’mur dihadapi oleh beberapa kaumnya. Kepada Rasulullah SAW, Nabi Ibrahim A.S. bersabda, “Engkau akan berjumapa dengan Allah pada malam ini. Umatmu adalah akhir umat dan terlalu dha’if, maka berdoalah untuk umatmu. Suruhlah umatmu menanam tanaman syurga iaitu LA HAULA WALA QUWWATA ILLA BILLAH.

Mengikut riwayat lain, Nabi Ibahim  a.s. bersabda, “Sampaikan salamku kepada umatmu dan beritahu mereka, syurga itu baik tanahnya, tawar airnya dan tanamannya ialah lima kalimah, iaitu: SUBHANALLAH, WAL-HAMDULILLAH, WA LA ILAHA ILLALLAH ALLAHU AKBAR dan WA LA HAULA WA LA QUWWATA ILLA BILLAHIL- ‘ALIYYIL-‘AZHIM.

Bagi orang yang membaca setiap kalimah ini akan ditanamkan sepohon pokok dalam syurga”.

Setelah melihat beberpa peristiwa lain yang ajaib. Rasulullah dan Jibrail masuk ke dalam Baitul-Makmur dan bersembahyang (Baitul-Makmur ini betul-betul di atas Baitullah di Mekah).

  • Tangga Kelapan: Di sinilah disebut “al-Kursi” yang berbetulan dengan dahan pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah S.A.W. menyaksikan pelbagai keajaiban pada pokok itu: Sungai air yang tak berubah, sungai susu, sungai arak dan sungai madu lebah. Buah, daun-daun, batang dan dahannya berubah-ubah warna dan bertukar menjadi permata-permata yang indah. Unggas-unggas emas berterbangan. Semua keindahan itu tak terperi oleh manusia. Baginda Rasulullah S.A.W. dapat menyaksikan pula sungai Al-Kautsar yang terus masuk ke syurga. Seterusnya baginda masuk ke syurga dan melihat neraka berserta dengan Malik penunggunya.
  • Tangga Kesembilan: Di sini berbetulan dengan pucuk pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah S.A.W. masuk di dalam nur dan naik ke Mustawa dan Sharirul-Aqlam. Lalu dapat melihat seorang lelaki yang ghaib di dalam nur ‘Arasy, iaitu lelaki di dunia yang lidahnya sering basah berzikir, hatinya tertumpu penuh kepada masjid dan tidak memaki ibu bapanya.
  • Tangga Kesepuluh: Baginda Rasulullah sampai di Hadhratul-Qudus dan Hadhrat Rabbul-Arbab lalu dapat menyaksikan Allah S.W.T. dengan mata kepalanya, lantas sujud. 

Kemudian berlakulah dialog antara Allah dan Muhammad, Rasul-Nya.

Allah SWT: Ya Muhammad.

Rasulullah: Labbaika.

Allah SWT: Angkatlah kepalamu dan bermohonlah, Kami perkenankan.

Rasulullah: Ya, Rabb. Engkau telah ambil Ibrahim sebagai Khalil dan Engkau berikan dia kerajaan yang besar. Engkau berkata-kata dengan Musa. Engkau berikan Dawud kerajaan yang besar dan dapat melembutkan besi. Engkau kurniakan kerajaan kepada Sulaiman yang tidak Engkau kurniakan kepada sesiapa pun dan memudahkan Sulaiman menguasai jin, manusia, syaitan dan angin. Engkau ajarkan ‘Isa Taurat dan Injil. Dengan izin-Mu, dia dapat menyembuhkan orang buta, orang sufaq dan menghidupkan orang mati. Engkau lindungi dia dan ibunya daripada syaitan.

Allah SWT: Aku ambilmu sebagai kekasih. Aku perkenankanmu sebagai penyampai berita gembira dan amaran kepada umatmu. Aku buka dadamu dan buangkan dosamu. Aku jadikan umatmu sebaik-baik umat. Aku beri keutamaan dan keistimewaan kepadamu pada hari qiamat. Aku kurniakan tujuh ayat (surah Al-Fatihah) yang tidak aku kurniakan kepada sesiapa sebelummu.

Aku berikanmu ayat-ayat di akhir surah al-Baqarah sebagai suatu perbendaharaan di bawah ‘Arasy. Aku berikan habuan daripada kelebihan Islam, hijrah, sedekah dan amar makruf dan nahi munkar. Aku kurniakanmu panji-panji Liwa-ul-hamd, maka Adam dan semua yang lainnya di bawah panji-panjimu. Dan Aku fardhukan atasmu dan umatmu lima puluh (waktu) sembahyang.

Selesai munajat, Rasulullah SAW di bawa menemui Nabi Ibrahim a.s. kemudian Nabi Musa a.s. yang kemudiannya menyuruh Rasulullah S.A.W. merayu kepada Allah S.W.T agar diberi keringanan, mengurangkan jumlah waktu sembahyang itu.

Selepas sembilan kali merayu, (setiap kali dikurangkan lima waktu), akhirnya Allah perkenan memfardhukan sembahyang lima waktu sehari semalam dengan mengekalkan nilainya sebanyak 50 waktu juga.

Selepas Mikraj

Rasulullah SAW turun ke langit dunia semula. Seterusnya turun ke Baitul-Maqdis. Lalu menunggang Buraq perjalanan pulang ke Mekah pada malam yang sama.

Dalam perjalanan ini baginda bertemu dengan beberapa peristiwa yang kemudiannya menjadi saksi (bukti) peristiwa Israk dan Mikraj yang amat ajaib itu (Daripada satu riwayat peristiwa itu berlaku pada malam Isnin, 27 Rejab, kira-kira 18 bulan sebelum hijrah). Wallahu a'lam.

(Sumber : Kitab Jam’ul-Fawaa`id)

Kesimpulannya

Peristiwa Israk dan Mikraj bukan hanya sekadar sebuah kisah sejarah yang diceritakan kembali setiap kali 27 Rejab menjelang.

Adalah lebih penting untuk kita menghayati pengajaran di sebalik peristiwa tersebut bagi meneladani perkara yang baik dan menjauhi perkara yang tidak baik.

Peristiwa Israk dan Mikraj yang memperlihatkan pelbagai kejadian aneh yang penuh pengajaran seharusnya memberi keinsafan kepada kita agar sentiasa mengingati Allah dan takut kepada kekuasaan-Nya.

Seandainya peristiwa dalam Israk dan Mikraj ini dipelajari dan dihayati benar-benar kemungkinan manusia mampu mengelakkan dirinya daripada melakukan berbagai-bagai kejahatan.

Kejadian Israk dan Mikraj juga adalah untuk menguji umat Islam (apakah percaya atau tidak dengan peristiwa tersebut).

Orang-orang kafir di zaman Nabi SAW langsung tidak mempercayai, malahan memperolok-olokkan Nabi sebaik-baik Nabi bercerita kepada mereka.

Peristiwa Israk dan Mikraj itu merupakan ujian dan mukjizat yang membuktikan kudrat atau kekuasaan Allah SWT.

Allah telah menunjukkan bukti-bukti kekuasaan dan kebesaran-Nya kepada Baginda SAW.

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA: Israk Dan Mikraj, Kekejian Orientalis Memutar Belit Kebenaran

sumber: irfanirsyad