Penyelamat pada akhir zaman disebut Imam Mahdi. Istilah "Al-Mahdi" berasal daripada kata kerja
Hada-Yahdi yang bermaksud 'membimbing' atau 'memberikan petunjuk'.
Keyakinan akan datangnya Imam Mahdi begitu menebal, baik dalam kalangan Ahli Sunnah Wal Jamaah mahupun dalam kalangan Syiah. Keyakinan ini berkembang kerana memang ada hadis yang menyebut hal tersebut.
Walau bagaimanapun, para ulama berbeza pendapat tentang Imam Mahdi itu sendiri. Sejak abad pertama Hijrah, banyak yang mengaku diri mereka sebagai Imam Mahdi.
Hal ini bermula daripada keyakinan bahawa Imam Mahdi itu bukan hanya berasal daripada keturunan Fatimah al-Zahra (puteri Nabi Muhammad SAW), tetapi yang jelas seorang Islam.
Ada hadis Nabi Muhammad SAW yang menyatakan bahawa Imam Mahdi akan datang pada akhir zaman.
Para ulama pada umumnya bersepakat bahawa hadis itu bersifat mutawatir (hadis yang diriwayatkan oleh banyak pihak sehingga dipastikan hadis tersebut benar-benar berasal daripada Nabi Muhammad SAW).
Misalnya, hadis riwayat Abu Daud yang bermaksud: "Dunia akan dipimpin oleh seseorang daripada keluargaku. Namanya sama dengan namaku. Seandainya dunia ini hanya tinggal sehari sahaja, maka Allah akan panjangkan hari itu sehingga dia akan memimpinnya."
Hadis lain diriwayatkan oleh at-Tirmidzi yang bermaksud: "Al-Mahdi berasal daripada keturunanku. Dia akan memenuhi bumi ini dengan keadilan dan keseramataan sebagaimana yang telah dipenuhi oleh kezaliman dan ketidakadilan dan dia akan berkuasa selama tujuh tahun."
Menurut kepercayaan Syiah Ithna Asyariah, Muhammad al-Muntazar ialah Imam Mahdi yang dijanjikan akan muncul pada akhir zaman. Kumpulan ini ternanti-nanti kedatangan Imam Mahdi.
Oleh itu, dalam doa mereka selalu menyelitkan harapan agar Allah SWT segera mendatangkan Imam Mahdi ke dunia. Nama Imam Mahdi juga disebut seiring dengan doa.
Doa yang lazim diucapkan oleh kumpulan ini berbunyi:
"Allahumma ajjil farajahu al-syarif" (Ya Allah segerakanlah kemunculan Imam Mahdi yang mulia) atau ajjalallah Taala farajahu" (Semoga Allah menyegerakan kemunculannya)".
Oleh itu, dalam keadaan ghaib tugas kepimpinannya diwakilkan kepada ulama yang memenuhi syarat yang disebut sebagai
na ib al-imam.
Golongan Syiah berpendapat bahawa Imam Mahdi berasal daripada keturunan Fatimah al-Zahra atau ahl al-bait dan merupakan salah seorang daripada imam ahl al-bait.
Namun, mereka berbeza pendapat dalam menentukan siapakah imam-imam yang dipercayai sebagai Imam Mahdi.
Bagi golongan Syiah Islamiyah (Syiah Tujuh Imam), Imam Mahdi ialah Ismail bin Jaafar al-Sidiq. Bagi golongan Syiah Kaisaniyah, yang dimaksudkan dengan Imam Mahdi ialah Muhammad bin Hanafiah, putera Ali bin Abu Talib.
Sementara itu, Syiah Ithna Asyariyah (Syiah Dua Belas) menganggap bahawa Muhammad al-Muntazar bin Hasan al-Askari, imam yang ke-12, sebagai Imam Mahdi.
Sifat Keperibadian al-Mahdi
Antara sifat-sifat keperibadian al-Imam al-Mahdi AS adalah seperti berikut:
1. Beliau merupakan seorang anak Adam.
2. Dahinya luas dan hidungnya mancung.
3. Kedua-dua matanya bercelak.
4. Wajahnya bercahaya seakan-akan beliau adalah bintang yang menyinar.
5. Di bahagian bahunya ada tanda seperti yang terdapat pada Rasulullah SAW.
6. Warna kulitnya adalah warna orang Arab dan tubuh badannya seperti tubuh orang Israel.
7. Umurnya 40 tahun dan dalam sebahagian riwayat 30 hingga 40 tahun.
8. Akhlak beliau menyerupai akhlak Nabi SAW.
Menurut Abu Nu’aim pula, antara ciri-ciri yang terdapat pada diri al-Imam al-Mahdi adalah:
1. Di bahagian bahunya ada tanda yang sama pada bahu Nabi SAW.
2. Beliau akan berkumpul bersama Nabi Isa A.S dan Nabi Isa akan bersolat di belakangnya.
3. Penduduk bumi akan merasa cukup pada zaman kekuasaannya dan banyaknya keberkatan dari bumi akan keluar.
4. Beliau akan menanam satu batang kayu di atas tanah yang kering lalu ia akan menjadi hijau dan berdaun.
Tempat Keluar al-Mahdi
Al-Mahdi akan keluar dari arah timur. Hal ini berdasarkan hadith daripada Thauban R.A, katanya: Rasulullah SAW bersabda:
"Maksudnya: "Ada tiga orang yang akan saling membunuh di sisi simpanan kamu; mereka semua adalah putera khalifah, kemudian ia tidak akan kembali kepada salah seorang dari mereka. Akhirnya, muncullah bendera-bendera hitam dari arah timur, lalu mereka akan memerangi kamu dengan peperangan yang tidak pernah dilakukan oleh satu kaum pun. (lalu Baginda menuturkan sesuatu yang tidak aku fahami, kemudian bersabda): Jika kamu melihatnya, maka bai'ahlah dia. Walaupun dengan merangkak di atas salji, kerana sesungguhnya dia ialah khalifah Allah, al-Mahdi."
Menurut Ibn Kathir, yang dimaksudkan dengan simpanan pada lafaz tersebut ialah simpanan Ka'bah.
Tiga orang putera-putera khalifah akan saling berbunuhan di sisinya untuk merebutkannya hingga tiba akhir zaman.
Kemudian, keluarlah al-Mahdi dan beliau datang dari arah timur.
Beliau didokong oleh orang-orang dari timur yang menolongnya, menegakkan kekuasaannya, memperkuat sendi-sendinya, dan bendera mereka ketika itu juga berwarna hitam yang melambangkan ketenangan, sebagaimana bendera Rasulullah SAW di mana ia juga berwarna hitam dengan sebutan al-'Uqab. Dia akan dibai'ah di Masjidil Haram (berhampiran Ka’bah) sebagaimana diisyaratkan oleh sebahagian hadith.
Ibn Kathir turut menegaskan: "Al-Mahdi akan muncul dari arah timur, dan bukan dari Gua Samira sepertimana yang disangkakan oleh Syi'ah (Rafidhah). Mereka menunggu hingga sekarang, sedangkan sangkaan golongan Rafidhah tersebut hanyalah igauan semata-mata dan pemikiran yang sangat lemah. Sangkaan tersebut tidak ada landasan sama sekali daripada al-Quran mahupun al-Sunnah. Apa yang mereka sangkakan tersebut sangat tidak logik dan tidak selari dengan akal yang sihat.
Tempoh Pemerintahan al-Mahdi
Dalam sebuah hadis, dinyatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: "Sesungguhnya, pada umatku terdapat al-Mahdi. Dia akan muncul, hidup (berkuasa) selama lima, tujuh, ataupun sembilan (yakni terdapat keraguan daripada salah seorang periwayat hadith ini, iaitu Zaid berkenaan bilangan tahun yang disebutkan)."
Al-Mubarakfuri menjelaskan: "Dalam riwayat daripada Abu Sa'id al-Khudri dalam Sunan Abu Daud, disebut bahawa Imam Mahdi akan berkuasa selama tujuh tahun, dengan lafaz yang tiada keraguan daripada perawi. Begitu juga dalam hadis Ummu Salamah, disebut bahawa Imam Mahdi akan berkuasa selama tujuh tahun dan ia juga tanpa ada keraguan daripada perawi. Daripada sini, hadis yang menggunakan lafaz yang pasti, lebih diutamakan daripada lafaz yang masih ada keraguan."
Dalam riwayat lain, daripada Abu Sa’id al-Khudri R.A, Nabi SAW bersabda yang maksudnya: "Akan datang pada umatku al-Mahdi, apabila masanya pendek, maka tujuh tahun. Sekiranya tidak, maka sembilan tahun."
Berdasarkan perbezaan riwayat ini, maka Ibn Kathir berpendapat bahawa tempoh masa kepimpinan atau kekuasaan Imam Mahdi yang paling lama adalah selama sembilan tahun. Manakala tempoh paling sedikit adalah lima atau tujuh tahun.
Dalam riwayat lain, daripada Abu Sa’id al-Khudri R.A, Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: "Al-Mahdi akan keluar daripada generasi akhir umatku. (Ketika pemerintahannya), Allah menurunkan banyak hujan dan bumi mengeluarkan banyak tumbuhan. Dia memberikan harta dengan adil, haiwan ternakan menjadi banyak, dan umat manusia menjadi mulia. Dia akan hidup selama tujuh atau lapan tahun."
Berdasarkan riwayat-riwayat di atas, dapat difahami bahawa tempoh masa kehadiran Imam Mahdi dalam kehidupan manusia tidak begitu lama. Tempoh kehadiran Imam Mahdi yang paling pendek adalah lima tahun, manakala tempoh yang paling lama adalah sembilan tahun.
Hadis-hadis Tentang Kedatangan al-Mahdi
Syeikh Abd al-Muhsin bin Hamad al-Abbad berkata: Aku telah meneliti kebanyakan hadis-hadis berkaitan al-Mahdi dan aku telah mendapatinya sebagaimana yang telah dikatakan oleh al-Syaukani, Ibn al-Qayyim dan selainnya:
"Padanya hadis-hadis yang sahih, hasan, hadis dhaif yang boleh dikuatkan, dan terdapat juga hadis-hadis palsu berkaitannya (Al-Mahdi). Memadailah bagi kita hadis-hadis yang elok sanadnya. Sama ada ia sahih
lizaatih atau
sahih lighayrih. Begitu juga sama ada ia
hasan lizaatih atau
hasan lighayrih dan demikian jugalah hadis-hadis dhaif yang apabila ia digabungkan akan menguatkan antara satu sama lain maka ia juga turut menjadi hujah di sisi para ulama."
"Kebenarannya, sesungguhnya majoriti ahli ilmu bahkan ia adalah satu kesepakatan bahawa sabitnya khabar berkenaal al-Mahdi bahkan dia adalah benar dan akan keluar pada akhir zaman.
"Adapun, mereka yang syaz dari kalangan ahli ilmu dalam hal ini maka tidak diberi perhatian pada pendapatnya dalam hal tersebut."
Berikut kami nyatakan beberapa hadis-hadis sahih yang menceritakan tentang kemunculan al-Mahdi dan kekhalifahannya:
Daripada Abdullah bin Mas’ud R.A beliau berkata bahawa Rasulullah SAW telah bersabda yang maksudnya: "Sekiranya tidak berbaki daripada dunia itu melainkan hanya satu hari nescaya Allah akan memanjangkan hari tersebut sehinggalah Dia mengutuskan seorang lelaki pada hari tersebut yang mana lelaki itu dari kalangan aku – atau dari ahli baitku – Namanya berbetulan dengan namaku dan nama bapanya berbetulan dengan nama bapaku. Dia akan memenuhi bumi dengan penuh adil dan saksama sebagaimana ia (bumi) dahulunya dipenuhi oleh kegelapan dan kezaliman."
Syeikh Abd al-Muhsin al-'Abbad berkata: Dalam hadith ini, terdapat keterangan bahawa sebelum kemunculan al-Mahdi, maka dunia dipenuhi dengan kezaliman dan penindasan. Kemudian setelah kedatangannya, zaman akan berubah dengan dipenuhi oleh keadilan dan tersebarnya kebaikan.
Daripada Abu Sa’id al-Khudri R.A beliau berkata, Rasulullah SAW telah bersabda yang maksudnya: "Al-Mahdi dariku. Dahinya luas dan hidungnya mancung. Dia akan memenuhi bumi dengan keadilan sebagaimana ia dahulunya dipenuhi dengan kezaliman dan dia akan menguasai selama tujuh tahun."
Al-Qari berkata: Hidung beliau tidaklah penyek kerana bentuk hidung seperti ini kurang disukai.
Daripada Ummu Salamah R.Anha berkata, Rasulullah SAW telah bersabda yang maksudnya: "Al-Mahdi dari itrah (keturunan) ku dari anak Fathimah."
Syeikh al-‘Azim Abadi menukilkan bahawa al-Hafiz 'Imad al-Din berkata: Hadis-hadis menunjukkan bahawa al-Mahdi merupakan dari kalangan Ahl al-Bait, daripada zuriat Fatimah, dan daripada keturunan al-Hasan, bukan al-Husain.
Daripada Ali bin Abi Thalib R.A beliau berkata, Rasulullah SAW telah bersabda yang maksudnya: "Al-Mahdi dari kalangan kami – ahli bait – yang Allah perbaiki dirinya pada satu malam."
Ibn Kathir berkata: Iaitu Allah mengampunkannya dan memberi taufiq kepadanya serta Allah memberi ilham dan petunjuk kepadanya sedangkan dia tidak diberikan perkara tersebut sebelumnya.
Diriwayatkan daripada Thauban R.A beliau berkata, Rasulullah SAW telah bersabda yang maksudnya: "Apabila kalian melihat panji-panji hitam telah datang dari arah Khurasan maka datangilah ia. Kerana sesungguhnya padanya terdapat Khalifah Allah al-Mahdi."
Mulla Ali al-Qari menjelaskan: "Lafaz ‘السُّودِ’ di sini, boleh jadi juga adalah bentuk kinayah (kiasan) terhadap ramainya tentera-tentera umat Islam dari arah Khurasan."
Demikianlah hadis-hadis di atas merupakan antara hadis-hadis sahih yang diriwayatkan berkaitan dengan al-Mahdi dan kemunculannya.
Hadis-hadis tersebut telah disepakati dan dikuatkan kesahihannya oleh majoriti para ulama Islam.
Pada keseluruhan hadis di atas, ia merupakan tanda penguat dari Rasulullah SAW bahawa al-Mahdi akan keluar di akhir zaman dan tidak ada syak lagi padanya.
Beliau akan keluar dan menguasai keseluruhan bangsa Arab serta akan memenuhkan bumi dengan keadilan dan saksama. Kekuasaannya juga selama tempoh tujuh tahun sebagaimana yang telah disebutkan di dalam hadis.
Disebut di dalam kitab Asyrat al-Sa'ah oleh Maher Ahmad al-Sufi: Isu al-Mahdi adalah perkara yang diketahui.
Hadis-hadis yang berkaitan dengannya sangat banyak bahkan ia mutawatir yang saling menguatkan. Kebanyakan ulama telah menyatakan bahawa ia sampai ke tahap mutawatir dan mutawatirnya ia adalah mutawatir maknawi disebabkan banyaknya jalan periwayatannya.
Hadis-hadis ini jelas menunjukkan bahawa individu yang dijanjikan ini akan benar-benar muncul pada akhir zaman kelak.
Beliau adalah Muhammad bin Abdillah al-Alawi al-Hasani dari zuriat al-Hasan bin Ali bin Abi Thalib R.Anhum.
Imam ini (al-Mahdi) adalah di antara rahmat Allah kepada umat yang keluar pada akhir zaman lalu dia akan menegakkan keadilan dan kebenaran serta menghalang kezaliman dan kejahatan.
Allah akan menaburkan dengannya panji kebaikan ke atas umat serta menjadi hidayah dan taufiq serta memberi petunjuk kepada sekalian manusia.
Wallahu a'lam.