Wednesday, January 29, 2020

Apa Hukum Mempercayai Ramalan Zodiak?

Apa Hukum Mempercayai Ramalan Zodiak?

ZODIAK atau bintang 12 adalah salah satu cabang astrologi, merupakan garisan yang dilalui oleh matahari dalam masa setahun, yang mana garisan itu adalah satu garisan melengkung khayalan (imaginary line).

Hukum Percaya ZODIAK

Dalam proses berkenaan, matahari dipercayai melalui 12 bahagian dan setiap bahagian akhirnya dinamakan mengikut nama gugusan bintang 12 iaitu Aries, Taurus, Gemini, Cancer, Leo, Virgo, Libra, Scorpio, Sagitarius, Capricorn, Aquarius dan Pisces.

Namun begitu, zodiak seringkali dikaitkan dengan ramalan-ramalan berkaitan yang lazimnya melibatkan tilikan nasib seseorang.

Baik atau malang nasib seseorang itu biasanya diramalkan mengikut zodiak berkenaan dalam tempoh tertentu.

Bahkan, ada juga laman sesawang yang menyediakan ramalan zodiak tersebut mengikut hari berdasarkan tinjauan di internet.

Membaca ramalan berkenaan memang seronok, apatah lagi jika ia membayangkan 'nasib yang baik' kepada kita.

Fitrah manusia sememangnya sukakan kebaikan. Tinggal lagi keputusannya terletak pada diri sendiri sama ada mahu mempercayainya atau tidak.

Jika melibatkan nasib yang buruk, begitu sukar untuk kita menerimanya dan menganggap ia hanyalah sekadar ramalan 'kosong'.

Pun begitu, jika ia membawa tuah kepada kita, sedikit sebanyak akan membibitkan satu rasa percaya dalam diri untuk menerimanya, bukan?

Siapa yang tidak mahu nasib dan perkara baik berlaku dalam hidup. Paling tidak pun, kita pasti menyimpan impian agar ramalan positif tersebut akan berlaku dalam hidup kita.

Jika begitulah penilaiannya, kita berada di ambang bahaya, kerana dikhuatiri 'rasa' itu boleh menjebakkan diri dalam perbuatan syirik kerana menyamakan ALLAH SWT selain daripada-NYA.

Ketahuilah bahawa hanya ALLAH SWT sahaja yang mengetahui apa sahaja yang berlaku di muka bumi ciptaan-NYA. Itu termasuklah hal pada masa hadapan.

Sesungguhnya pengetahuan manusia sebagai hamba ALLAH itu ada batasnya. Begitu juga ilmu kita.

Apakah pandangan Islam tentang ramalan zodiak? Benarkah orang yang mempercayai telahan berkenaan tidak diterima solat mereka?

Sebahagian ilmu falak

Sebelum menjawab persoalan berkenaan, beliau mengajak kita menelusuri historiografi zodiak yang merupakan ilmu bintang yang dicapai oleh orang terdahulu seperti Yunani sebelum kedatangan Islam lagi. Ia dinamakan sebagai ilmu astrologi.

Mereka tiada televisyen atau radio dan sebagainya. Jadi, mereka banyak merenung ke langit. ALLAH menjadikan bintang di langit.

Sebagai contoh, bintang itu 'dikhayalkan' dalam bentuk kala jengking yang kemudian mereka panggil sebagai Scorpio.

Apapun, kita tidak boleh mengatakan ilmu bintang itu ditolak oleh Islam atau 100 peratus diterima dalam agama suci itu.

Ini kerana, ALLAH menceritakan tentang bulan dan bintang dalam kalam-NYA. Ia sebahagian daripada sunnatullah (Hukum alam).

Zodiak juga sebahagian daripada cabang ilmu falak, yang terbahagi kepada dua iaitu falak syarie dan satu lagi ialah ilmu untuk mengetahui masa depan.

Bagaimanapun, sebagai orang awam, ia tidak sesuai kerana boleh menggugat perjalanan akidah seseorang kerana mempercayai ilmu bintang lebih daripada kekuasaan ALLAH.

Bagi orang alim, ilmu berkenaan tiada apa-apa (kesan) kepada mereka kerana hanya dijadikan sebagai hukum adat sepertimana yang berlaku kepada Imam Syafie.

Diceritakan bahawa beliau pernah mempelajari ilmu firasah bina insan (karakter seseorang manusia).

Pada suatu hari, Imam Syafie bermusafir mengikut satu kafilah dagangan. Apabila beliau melihat orang-orang yang terlibat dengan musafir tersebut, kelihatannya mereka itu manusia yang jahat menurut ilmu firasah berkenaan.

Namun, apa yang dialami Imam Syafie pula adalah sebaliknya kerana mereka begitu memuliakan tetamu dan belanja makan.

Imam Syafie hampir-hampir hendak 'mengeluarkan' ilmu firasah berkenaan kerana merasakan ia hanyalah sia-sia.

Hinggalah beliau tiba ke destinasi, kafilah tersebut meminta balik apa yang telah mereka belanjakan.

Ia bererti, ilmu firasah itu penting untuk berjaga-jaga, bukan untuk kita mengimaninya.

Daripada kisah itu, pokok pangkal suatu perkara bergantung kepada sejauh mana kemantapan iman dan akidah orang yang mempelajarinya.

Jika tidak kuat, maka ia akan membawa syirik kepada ALLAH SWT.

Diharamkan agama

Zodiak diamalkan oleh orang jahiliah dahulu, dipanggil sebagai ilmu tanjim atau membaca bintang.

Ia mengaitkan apa sahaja yang ada di langit. Kesan atau tanggapan kepercayaannya berpandukan kepada bintang termasuklah sama ada seseorang itu dilahirkan dalam keadaan mereka bernasib baik atau buruk.

Jadi, perkara seperti itu memang diharamkan oleh Islam sebab ia dikaitkan dengan pengetahuan ilmu ghaib, sedangkan bintang-bintang itu sebenarnya tiada apa-apa kesan pun kepada kita.

Hanya ALLAH yang Maha Mengetahui dan manusia pula tidak tahu, lebih-lebih lagi dikaitkan dengan bintang atau perkara-perkara tertentu khususnya ilmu zodiak termasuk horoskop dan sewaktu dengannya.

Firman ALLAH SWT: "Katakanlah (Muhammad), "Tidak ada sesuatu pun di langit dan di bumi yang mengetahui perkara yang ghaib, kecuali ALLAH..." (Surah al-Naml, ayat 65)

Solat tidak diterima

Ada juga yang berpendapat, amalan zodiak bertentangan dengan syarak, kerana ia mengaitkan dengan sial atau nasib buruk seseorang manusia itu.

Jika kita mempercayai perkara-perkara seperti itu, misalnya 'jika lahir pada zodiak tertentu dan mengaitkannya dengan nasib buruk atau baik', maka Nabi Muhammad SAW tidak mengaku umat sebagaimana disebutkan dalam sebuah hadis baginda.

Sabda Rasulullah SAW: "Sesiapa yang mendatangi dukun atau tukang ramal, lalu dia membenarkan apa yang dikatakannya, maka sungguh ia telah kufur kepada apa yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW." (Riwayat Ahmad)

Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa yang mendatangi tukang ramal (dukun) dan bertanya kepadanya tentang sesuatu, maka tidak diterima solatnya selama 40 malam." (Riwayat Muslim)

Adakah Berdosa Membaca Ramalan Zodiak?

Jika kita hanya membaca ramalan zodiak berkenaan, tetapi tidak mempercayainya, ia tiada masalah.

Lebih-lebih lagi kalau ia dibaca untuk menambahkan ilmu dan untuk melawan balik dakwaan-dakwaan berkenaan.

Namun, ia tidak begitu digalakkan kerana dikhuatiri akan terpengaruh terutama kanak-kanak atau remaja yang tiada asas akidah yang kuat.

Apapun, dalam Islam, tiada kelebihan-kelebihan khusus jika seseorang itu dilahirkan pada bulan-bulan tertentu.

Bahkan, bulan itu sendiri tidak memberi sebarang kesan kepada nasib manusia, kerana hanya ALLAH SWT sahaja tahu apa yang berlaku kepada manusia.

Kalau kita dilahirkan pada bulan Ramadan, sekalipun ia bulan barakah, orang yang lahir pada bulan itu ada keberkatannya.

Namun, jika hendak dikaitkan dengan nasib baik atau nasib buruk, ia langsung tiada kena-mengena. Bulan tiada kuasa, yang berkuasa hanya ALLAH SWT.

Kadangkala orang kita percaya begitu sialnya bulan Safar dan sebagainya dan perkara seperti itu merupakan kepercayaan yang syirik atau menghilangkan keyakinan kita kepada ALLAH.

Kajian sifat-sifat manusia dibenarkan Islam

Kajian karakter sifat seseorang manusia merupakan perkara yang berbeza dengan ramalan zodiak.

Ia tidak berkaitan langsung dengan zodiak kerana berdasarkan kajian ahli psikologi tentang sifat manusia yang memperkenalkan karakter seseorang.

Ia sebagaimana yang diperkenalkan oleh pakar motivasi atau psikologi untuk memperkenalkan manusia kepada karakter berdasarkan kita lahir sebagai anak ke berapa.

Sebagai contoh, anak sulung sikapnya begini, manakala anak kedua pula sikapnya begitu, juga selainnya.

Justeru, kajian sifat-sifat manusia tersebut dibenarkan dalam Islam kerana ia tidak bersangkutan dengan qada dan qadar ALLAH.

Sebaliknya, ia adalah kajian dibuat oleh manusia, seterusnya meraka sendiri yang merumuskan karakter-karakter manusia berdasarkan kategori (anak ke berapa).

Namun, apabila kita membaca karakter itu, kita bukan mempercayai 100 peratus karakter kita begitu. Barangkali ada persamaan.

Tujuan kita membacanya Adalah untuk mengetahui kelebihan, kelemahan dan memperbaiki peribadi kita.

Contohnya, anak sulung dikatakan manja. Walaupun begitu, dia tidak menunjukkan kemanjaannya, tetapi bersifat tegas dan suka mengarah. Sikap suka mengarah jika tidak dikawal, ia akan menjengkelkan adik-adik di bawah.

Anak sulung itu biasanya ALLAH akan letak sifat kepimpinan dalam dirinya untuk dia memimpin adik-adiknya. Sifat kepimpinan itu seharusnya dijaga sebaiknya.

Perkara Ghaib

Zodiak juga menyentuh tentang nasib seseorang yang semuanya di bawah kekuasaan ALLAH SWT.

Namun, antara perkara yang kita tidak ketahui adalah masa depan, takdir dan qada serta qadar. Itu semua adalah milik ALLAH SWT.

Sebab itulah, hukum kita mempercayai zodiak adalah kafir kerana telah mengkufuri al-Quran yang menyatakan ilmu ghaib di bawah pengetahuan ALLAH SWT.

Umat Islam sentiasa diingatkan agar bertawakal kepada ALLAH SWT dengan berusaha ke arah kebaikan, kebenaran dan kejayaan.

Ingatlah bahawa takdir itu milik ALLAH SWT. Sebab itu, apabila kita mempercayai zodiak, maknanya kita telah melanggar takdir dan qada ALLAH.

Manusia yang mempercayai qada dan qadar itu, mereka tidak akan gentar menghadapi musuh dan kegagalan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-Sentiasapanas.com

Friday, April 26, 2019

Hukumnya Wajib Menghadiri Jemputan Majlis Perkahwinan

Hukumnya Wajib Menghadiri Jemputan Majlis Perkahwinan

Menurut kitab Al-Feqh al-Manhaji, Al-Walimah diambil dari perkataan ﺍﻟﻮﻟْﻢ yang membawa erti berhimpun atau berkumpul, dinamakan dengan yang demikian itu kerana kedua pasangan suami isteri berkumpul padanya (majlis perkahwinan).

Majlis Kahwin

Kemudian disebutkan, al walimah merupakan makanan perkahwinan atau kesemua makanan yang dibuat untuk dijemput (orang ramai) dan selainnya. Rujuk Al-Feqh al-Manhaji (2/92).

Wajib

Secara umumnya, menghadiri kenduri perkahwinan adalah suatu perkara yang diperintahkan. Dan seperti yang diketahui bahawa setiap kata perintah yang terdapat di dalam Al-Quran dan Al-Sunnah membawa kepada hukum wajib, melainkan jika terdapat petunjuk-petunjuk lain yang mengalihkan hukum wajib tersebut.

Hukum Menghadiri dan Memenuhi Jemputan

Para fuqaha berbeza pendapat berkenaan hukum menghadiri jemputan ini dengan melihat kepada jenis dan kategori jemputan tersebut sama ada ia merupakan jemputan kenduri perkahwinan atau jemputan-jemputan selainnya.

Kami ringkaskan seperti berikut:

Hukum Menghadiri Jemputan Majlis Perkahwinan

Majoriti para ulama menyatakan bahawa hukum memenuhi jemputan perkahwinan adalah wajib. Ini berdalilkan sebuah hadis daripada Ibn Umar r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda:

ﺇِﺫَﺍ ﺩُﻋِﻲَ ﺃَﺣَﺪُﻛُﻢْ ﺇِﻟَﻰ ﺍﻟْﻮَﻟِﻴﻤَﺔِ ﻓَﻠْﻴَﺄْﺗِﻬَﺎ

Maksudnya: "Apabila salah seorang kamu dijemput ke majlis perkahwinan (walimah), maka hadirlah ia." (Riwayat Muslim 1053)

Hukum wajib tersebut diambil daripada perkataan Nabi S.A.W ﻓَﻠْﻴَﺄْﺗِﻬَﺎ yang merupakan kata perintah yang membawa hukum wajib secara asasnya di sisi kaedah fekah.

Imam Al-Nawawi dalam syarahan beliau ke atas hadis di atas berkata, ‘’Pendapat paling sahih dalam mazhab kami, hukum menghadiri kenduri perkahwinan adalah fardhu ‘ain bagi mereka yang dijemput, akan tetapi kewajipan tersebut gugur disebabkan beberapa keuzuran berikut:

1. Sekiranya ada syubhah makanan.

Secara asasnya, sekiranya seseorang itu mengetahui terdapatnya kemungkaran di majlis tertentu, maka wajib ke atasnya untuk mencegah kemungkaran tersebut sekiranya dia mampu mengubahnya.

Manakala sekiranya dia tidak mampu, hendaklah dia tidak menghadiri majlis tersebut.

2. Mengkhususkan orang-orang kaya sahaja untuk hadir.

Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A bahawa beliau berkata:

ﺷَﺮُّ ﺍﻟﻄَّﻌَﺎﻡِ ﻃَﻌَﺎﻡُ ﺍﻟْﻮَﻟِﻴﻤَﺔِ ﻳُﺪْﻋَﻰ ﻟَﻬَﺎ ﺍﻷَﻏْﻨِﻴَﺎﺀُ ﻭَﻳُﺘْﺮَﻙُ ﺍﻟْﻔُﻘَﺮَﺍﺀُ

Maksudnya: "Seburuk-buruk makanan adalah makanan pada majlis perkahwinan yang dijemput padanya orang-orang kaya dan ditinggalkan (tidak dijemput) orang-orang miskin." (Riwayat Ibn Majah (1913))

3. Majlis perkahwinan dzimmi (orang bukan Islam).

Maka pendapat yang sahih di sisi mazhab Imam Al-Syafie adalah tidak wajib untuk menghadirinya.

Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. beliau berkata bahawa Rasulullah SAW dalam menyatakan hak (tanggungjawab) seorang muslim ke atas seorang muslim yang lain antaranya:

ﻭَﺇِﺫَﺍ ﺩَﻋَﺎﻙَ ﻓَﺄَﺟِﺒْﻪُ

Maksudnya: "Dan apabila dia menjemput kamu (ke sesuatu majlis) maka hendaklah kamu menerimanya (menghadirinya)." (Riwayat Muslim (2162))

Ini berhujahkan bahawa yang menjadi kewajipan apabila undangan datang dari umat Islam itu sendiri.

Adapun hukum menghadiri majlis perkahwinan orang bukan Islam maka kami nyatakan bahawa para ulama’ mazhab Syafi’e berpandangan, hukum menghadiri jemputan walimah orang bukan Islam ialah sunat sekiranya jemputan itu datang daripada kaum keluarga dan jiran tetangga atau jika kehadiran kita akan memberi manfaat kepada dakwah Islam. (Rujuk Nihayah Al- Muhtaj, Al-Ramli (6/371).)

Ini juga dipersetujui oleh Imam al-Mardawi dari mazhab Hanbali, yang turut menyebut keharusan menghadiri walimah orang bukan Islam dengan memetik pandangan Imam Ahmad dan Ibn Qudamah. (Rujuk Al-Insaf, Al-Mardawi (8/320)).

Kami juga menambah beberapa keuzuran lain seperti berikut:
  • Ini mengguna pakai keuzuran-keuzuran yang membolehkan seseorang itu tidak menghadiri solat Jumaat.
  • Kenduri perkahwinan tersebut jauh dari kediaman mereka yang dijemput.
  • Kesibukan seperti tokoh-tokoh politik, agama dan juga pemimpin masyarakat.
  • Banyaknya jemput dalam hari yang sama di tempat-tempat yang jauh jaraknya.
  • Kesesakan lalu lintas, hujan lecah dan seumpamanya.

Kata Dr. Wahbah Al-Zuhaili: ‘’Antara keuzuran yang menggugurkan kewajipan untuk memenuhi jemputan adalah: Banyaknya kesesakan, hujan lebat, jalan lecah, sakit, dan seumpamanya." (Rujuk Al-Fiqh Al-Islami wa Adillatuh, Al-Zuhaili (9/6622))

Kata Imam Al-Nawawi lagi: ‘’Dan Al-Qadhi telah menukilkan kesepakatan para ulama dalam menyatakan wajibnya menyahut (menghadiri) jemputan walimah al-‘urs (majlis perkahwinan)." (Rujuk Al-Minhaj, Al-Nawawi (9/570))

Begitu juga berdalilkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

ﻭَﻣَﻦْ ﻟَﻢْ ﻳُﺠِﺐِ ﺍﻟﺪَّﻋْﻮَﺓَ ﻓَﻘَﺪْ ﻋَﺼَﻰ ﺍﻟﻠَّﻪَ ﻭَﺭَﺳُﻮﻟَﻪُ

Maksudnya: "Dan sesiapa yang tidak menyahut jemputan (dengan menghadirinya), sesungguhnya dia telah menderhakai Allah dan Rasul-Nya." (Riwayat Muslim (1432))

Ini bermaksud tidak menghadiri jemputan majlis perkahwinan dianggap sebagai suatu maksiat kepada Allah SWT dan tidaklah perbuatan itu dianggap maksiat melainkan pada meninggalkan yang wajib.

HUKUM HADIR JEMPUTAN MAJLIS SELAIN PERKAHWINAN ADALAH MUSTAHAB

Para ulama menyatakan bahawa hukum memenuhi jemputan menghadiri majlis selain dari majlis perkahwinan, seperti majlis keraian, majlis perpisahan, majlis akikah dan seumpamanya adalah mustahab (iaitu sunat).

Kata Imam Al-Nawawi: ‘’Adapun selainnya (iaitu selain jemputan perkahwinan), maka ada dua pendapat di sisi ashab kami.

Pertama, hukum menghadirinya adalah sama seperti walimatul ‘urus. Pendapat kedua, hukum memenuhi jemputan tersebut adalah mustahab."

Beliau juga turut menukilkan pendapat Imam Malik dan jumhur yang menyebut: ‘’Tidak wajib memenuhi jemputan (selain majlis perkahwinan)’’. Rujuk Al-Minhaj Syarah Sahih Muslim, Al-Nawawi (9/570) .

HUKUM MENJEMPUT HADIR KE MAJLIS PERKAHWINAN MELALUI FACEBOOK EVENT

Dalam perkembangan masa kini, banyak berlaku perubahan dalam gaya hidup termasuklah isu jemputan ke majlis perkahwinan.

Justeru kami menyatakan beberapa kaedah asas yang berkaitan dengan isu ini, antaranya:

ﺍﻟﻌﺎﺩﺓ ﻣﺤﻜَّﻤﺔ

Maksudnya: "Adat itu menjadi penentu hukum."

Ini bermakna, adat itu boleh menjadi penentu atau pemutus hukum dalam permasalahan-permasalahan yang berlaku.

Yang mana permasalahan tersebut tidak terdapat padanya dalil-dalil yang jelas dalam menjelaskan hukumnya.

Justeru secara umumnya, hukum bagi perbuatan ini adalah harus. Ini juga bertepatan dengan sebuah kaedah fiqh yang menyebut:

ﺍﻟﻮَﺳَﺎﺋِﻞُ ﻟَﻬَﺎ ﺃَﺣْﻜَﺎﻡ ﺍﻟﻤَﻘَﺎﺻِﺪ

Maksudnya: "Wasilah-wasilah mengambil pakai hukum maqasid."

Justeru, sekiranya tujuan seseorang itu benar-benar ingin menjemput orang ramai hadir ke majlis perkahwinannya, adalah dibolehkan untuk dia menggunakan apa sahaja wasilah menjemput yang harus sama ada melalui lisan, kad jemputan, atau aplikasi media sosial seperti facebook, twitter dan seumpamanya.

Kesimpulan

Sebagai penutup kami menyatakan bahawa secara kebiasaannya jemputan yang datang dalam bentuk facebook event ini sekadar proses pemudah cara dalam menentukan jumlah bilangan individu yang akan hadir ke majlis perkahwinan tersebut dari kalangan rakan-rakan facebook pengantin.

Bahkan kebiasaannya mereka akan menyebut bahawa kad jemputan akan menyusul sekiranya kita menekan pilihan going (akan hadir).

Meskipun begitu, sekiranya jemputan itu datang dalam bentuk yang umum seperti jemputan perkahwinan di majlis yang terdapat di dalamnya ramai orang dan kita berada dalam group tersebut, maka tidak menjadi tuntutan (kewajipan) untuk kita menghadirinya di sisi majoriti ulama.

Demikian juga kita katakan kepada isu jemputan yang datang melalui facebook event, kumpulan whats app (whatsapp group) dan sebagainya yang datang dalam bentuk jemputan umum.

Oleh yang demikian, secara asasnya wajib bagi anda untuk memenuhi undangan perkahwinan yang ditujukan khas kepada anda meskipun ia dijemput melalui facebook.

Tambahan pula ia turut disertakan pula dengan jemputan yang sama melalui medium-medium lain seperti jemputan secara berhadapan, kad jemputan dan selainnya.

Hukum wajib ini sekiranya anda tidak ada sebarang keuzuran yang menghalang. Namun, jika anda tidak dapat menghadirinya disebabkan terdapatnya keuzuran-keuzuran seperti yang telah kami nyatakan, maka ia tidaklah dianggap sebagai berdosa.

Sebaiknya, sampaikanlah permohonan maaf kepada mereka yang menjemput serta perbanyakkanlah berdoa kepada pasangan yang melangsungkan perkahwinan agar mendapat rahmat dan berkat dari Allah SWT.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang tepat kepada kita dalam beragama.

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:

sumber: muftiwp

Friday, July 20, 2018

Apakah Hukumnya Membasuh Pakaian Bernajis Dengan Mesin Basuh?

Apakah Hukumnya Membasuh Pakaian Bernajis Dengan Mesin Basuh?

Antara syarat untuk membasuh pakaian yang bernajis dengan air yang kurang dari 2 kolah, iaitu air mutlak mestilah bersifat mendatangi pada najis, iaitu air itu mestilah dicurahkan pada tempat bernajis tidak kira dari arah mana sekali pun.

Hukum Membasuh Pakaian Bernajis Dengan Mesin Basuh
Gambar hiasan.

Jika air itu tidak bersifat mendatangi pada najis maka hukum menghilang najis itu tidak dikira sah menurut syarak, maka pakaian itu kekal bernajis.

Fakta ini ada disebut di dalam kitab-kitab fiqh, antara kitab Taqrirat Sadidah:

Maksudnya: Air itu hendaklah mendatangi bukan ia didatangi, iaitu air mendatangi ke atas najis bukan sebaliknya.

Sebagai contoh jika ingin membasuh sesuatu pakaian yang bernajis hendaklah tempat bernajis itu ditadah di bawah air paip yang mengalir bukan pakaian itu direndam ke dalam bekas yang menakungkan air kurang 2 kolah.

Ini kerana air di bawah kapasiti dua kolah tidak mempunyai kekuatan untuk menolak najis, maka yang mendatangi air itu mestilah mengalir keluar bersama najis yang dihilangkan.

Jika pakaian bernajis direndam di dalam air yang kurang dari dua kolah maka penyucian pakaian itu tidak sah kerana air rendaman itu sudah menjadi mutanajjis maka ia sama sekali tidak menyucikan pakaian itu dari najis, melainkan pakaian itu dibilas sekali lagi dengan air mutlak, maka pakaian itu dikira suci.

Berkenaan mencuci pakaian yang bernajis dengan menggunakan mesin basuh automatik pada hakikatnya ia tidak menimbulkan masalah dalam proses menyucikan pakaian yang bernajis.

Perkara ini disebut oleh al-‘Allamah al-Habib Hasan bin Ahmad al-Kaf di dalam karangan beliau “Taqrirat Sadidah”:

Maksudnya: Dari masalah itu, mencampakkan pakaian kedalam mesin basuh moden, jika mesin basuh itu dalam ketogari berteknologi tinggi (automatik) maka tiada mudarat menurut persepakatan ulama.

Ini kerana ia menghilangkan najis (pada pakaian) kemudian dibilas dengan air yang suci lagi menyucikan pada pakaian itu.

Manakala jika mesin itu dari jenis biasa (bukan automatik), maka selepas basuh dan menghilangkan sifat-sifat (najis), maka najis (pada pakaian) dikategorikan najis hukmi (yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar).

Oleh itu mesti dibilas dengan air yang suci lagi menyucikan selepas itu pada pakaian, ini dinamakan sebagai peringkat penyucian di mana air mestilah bersifat mendatangi pada peringkat ini dengan meletakkan pakaian terlebih dahulu kemudian dicurah air ke atasnya.

Tidak dinafikan bahawa air dicurahkan di atas pakaian, namun selepas itu air yang berada di dalam mesin akan bertakung.

Meskipun air itu bertakung di dalam mesin, ia tidak semestinya mutanajjis (bernajis), ini disebabkan jika air tersebut bila berpisah dari pakaian dan masih tidak berubah sifatnya (tidak berubah dengan kesan najis) dan tidak bertambah beratnya (disebabkan najis) maka air itu dikira sebagai masih suci.

Dengan ini air yang masih bertakung bersama-bersama pakaian itu tidak dikira menajiskan pakaian yang direndam selagimana air itu tidak berubah sifat kerana najis.

Fakta ini banyak disebut di dalam kitab-kitab fiqh Shafi’ie antaranya ‘I’anah al-Tolibin’:

Maksudnya: Kesimpulannya, jika air mendatangi pada tempat bernajis dan ia belum terpisah darinya maka hukum air itu suci dan menyucikan.

Jika air terpisah darinya dan tidak berubah sifatnya (bau, warna atau rasa) dan ia tidak bertambah beratnya selepas menghilangkan najis dari tempatnya dan tempat itu menjadi suci, maka air itu kekal suci tetapi tidak menyucikan.

Namun jika pakaian itu bernajis dengan najis jelas kelihatan dengan mata kasar dan apabila air curahan itu berubah sifat selepas berpisah dari pakaian, maka pakaian itu mestilah dibilas paling kurang sekali sama ada melalui mesin basuh atau luar mesin sehinggalah tempat bernajis itu hilang najisnya dan air curahan yang berpisah darinya tidak berubah sifat dan tidak bertambah beratnya disebabkan najis.

Ini kerana air yang berpisah masih lagi berubah sifatnya masih diketogarikan sebagai mutanajjis iaitu tidak sah untuk menyucikan pakaian.

Jika objek (‘ain) najis wujud pada pakaian seperti ketulan najis atau tompokan najis yang tebal maka hendaklah dibuang dahulu dari pakaian sebelum dimasukkan ke dalam mesin basuh untuk mengelakkan kesan perubahan sifat yang ketara pada air curahan itu.

Meskipun pakaian bernajis itu dibasuh dengan air sabun di dalam mesin basuh iaitu bukan ketogari air mutlak yang mana ia masih tidak sah sebagai bahan menyucikan pakaian bernajis.

Namun, dengan teknologi canggih pada zaman kini yang mana pakaian yang dibasuh dengan sabun akan dibilas beberapa kali dengan air mutlak dalam mesin basuh, maka proses ini tidak syak lagi dapat menyucikan pakaian yang bernajis.

Menurut mazhab Hanafi, air mutlak yang berubah sifatnya dengan bahan lain seperti sabun maka ia tetap suci dan menyucikan.

Sesungguhnya khilaf antara ulama merupakan rahmat untuk umat.

Jelas fakta-fakta yang disebut bahawa mencuci pakaian yang bernajis melalui mesin basuh yang berteknologi moden dan canggih tetap menyucikan pakaian tersebut tanpa ragu-ragu.

Dengan syarat ia mesti memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh kaedah fiqh mazhab Syafi’ie sepertimana yang disebut di atas.

Wallahu a’lam

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: aburuqayya

Friday, June 08, 2018

Apakah Hukum Menelan Air Liur Ketika Puasa?

Apakah Hukum Menelan Air Liur Ketika Puasa?

Soalan: Mengenai air liur diantara bibir dan diluar mulut, adakah jumhur ulama mengatakan batal puasa menelannya?

Apakah yang dimaksudkan dengan air liur diantara bibir? Adakah kedudukannya di celah bibir atau macam mana? Air liur yang diludah akan tertarik balik dan berkeadaan diantara bibir, pasti ianya akan masuk balik.

Harap diperjelaskan macam mana dengan hingus atau kahak? Air liur, kahak, hingus yang diludah biasanya akan masuk ke dalam hidung dalam bentuk renjisan.

Apa yang perlu dibuat?

Apakah Hukum Menelan Air Liur Ketika Puasa?

Jawapan:

Syarak telah menetapkan hukum makan dan minum pada ketika puasa adalah dilarang, maka perbuatan sengaja menelan apa-apa benda luaran juga tidak dibenarkan.

Tetapi tidak perlu dibangkitkan permasalahan-permasalahan seperti air liur atas bibir jika masuk ke dalam balik, renjisan hingus masuk hidung balik, kerana perkara-perkara ini tidak diperincikan oleh syarak.

Kerana:

Apa-apa yang syarak senyap tentangnya, maka ia adalah kemaafan.

Perkara-perkara tersebut jika hendak dijaga, pasti membawa masyaqqah.

Contohnya, jika berkumur ketika puasa, sudah pasti lebihan air kumuran akan tertinggal dalam mulut, akhirnya boleh jadi masuk dalam rongga.

Ini adalah masyaqqah yang dimaafkan.

Menimbulkan persoalan ini akan membawa kepada penyakit was-was.

Wallahu a’lam

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: abuumair

Tuesday, May 22, 2018

Apakah Hukum Makan Ubat Penahan Haid Untuk Puasa Penuh Di Bulan Ramadhan?

Apakah Hukum Makan Ubat Penahan Haid Untuk Puasa Penuh Di Bulan Ramadhan?

Bulan puasa penuh dengan keberkatan dan digandakan pahala. Semua umat Islam berebut-rebut untuk mengejar peluang mendapat syafaat di bulan mulia ini, namun perkara ini menjadi satu kekhuatiran pada golongan wanita dengan harapan tinggi untuk puasa penuh.

Apakah Hukum Makan Ubat Penahan Haid Untuk Puasa Penuh Di Bulan Ramadhan?

Tetapi, agak mustahil kerana wanita normal akan alami pusingan haid setiap bulan dan ini menyebabkan ada yang kecewa kerana tak dapat berpuasa penuh.

Mungkin ada yang terfikir untuk ambil ubat penahan haid bagi mendapatkan puasa penuh dan melakukan ibadah berterusan sepanjang bulan yang mulia ini.

Persoalannya, apakah hukumnya mengambil ubat menahan haid?

Ulama berbeza pendapat tentang hukum memakan ubat untuk menahan haid dari keluar sama ada ubat itu berbentuk pil atau cecair.

Di antara Ulama silam yang berpandangan harus mengambil ubat penahan haid adalah Imam Ahmad Bin Hanbal.

Imam Ibnu Qudamah meriwayat di dalam almughni:-

“Tidak mengapa seorang wanita minum ubat untuk memberhentikan haidnya sekiranya ubat tersebut dikenali (tidak membawa kesan negatif).”

Antara Ulama semasa yang berfatwa harus mengambil ubat penahan haid adalah imam Yusuf al Qaradhawi dan Syeikh Wahbah az zuhaili.

Imam al Qaradhawi menyebutkan fatwanya berkaitan keharusan mengambil ubat penahan haid di dalam bukunya Feqhu siyam.

Imam Qaradhawi juga menyebutkan bahawa ulama semasa yang lain juga membenarkan pengambilan ubat penahan haid.

Kata Dr Syeikh Wahbah az zuhaili:

“Perempuan ini dan seumpamanya boleh melakukan perkara (ambil pil penahan haid) ini pada Ramadan dan pada haji tetapi tidak dipaksa dan tidak mesti."

Ayat Doa Bagi Menangguh Dan Menghentikan Sementara Haid Wanita

Ayat dan doa di bawah ini bertujuan untuk menangguh dan menghentikan sementara pusingan haid kaum wanita.

Ia boleh digunakan sebagai suatu ikhtiar untuk mengatasi penyakit reproduktif wanita dan bagi kelancaran mengerjakan ibadah Ramadhan mahupun ibadah haji dan umrah.

Sekiranya memang waktu sepatutnya ‘keuzuran’ atau didatangi haid dan ingin melakukan sesuatu ibadah atau berlaku sesuatu yang tidak dapat dielakkan seperti perubahan jadual perjalanan dan flight semasa hendak menunaikan ibadah Haji dan umrah maka bolehlah diikhtiarkan membaca dan mengamalkan doa berikut:

DOA

Doa dan ikhtiar bagi menangguh dan menghentikan sementara haid wanita.

Bacaan Ayat dan Surah

Baca ayat-ayat berikut setiap satunya sekali:
  1. Ayat pertama, surah Al-Masad (Al-Lahab)
  2. Baca dari ayat 38, Surah Yaasin
  3. Baca sebahagian dari ayat 44, Surah Hud
  4. Baca sekali Surah Al-Ikhlas: Ayat 1 – 4
  5. Baca Selawat Nabi

Doa penahan dan ayat-ayat di atas boleh juga digunakan untuk menahan darah akibat luka, kemalangan, tumpah darah yang tiada henti, cirit-birit, muntah-muntah dan sebagainya.

Waktu Masa Membacanya

Doa dan ayat-ayat di atas boleh dibaca ketika:
  • Selepas kedatangan haid terakhir.
  • Sewaktu dijangka haid akan tiba.
  • Setiap kali selepas solat fardhu 5 waktu.
  • Apabila hendak berangkat ke Tanah Suci.
  • Sepanjang berada dalam ihram.

Cara Mengamalkannya:

1. Apabila selesai membaca ayat 1, 2 dan 3, tekankan lidah ke lelangit, tarik nafas dan tahan selama 5 saat sambil berdoa (mohon dihentikan sementara haid sehingga selesai ibadah haji / umrah) lalu dihembuskan ke dalam air.

2. Diteruskan membaca surah Al-Ikhlas dan ketika berhenti pada setiap hujung ayat hendaklah disebutkan niatnya dalam hati di situ; contohnya, “Ya Allah! Berhentikanlah darah ini.” Lalu ditiupkan ke dalam air.

3. Diakhiri dengan membaca Selawat Nabi lalu dihembuskan ke dalam air kemudian dibuat minum. Insya’Allah mujarab.

4. Boleh juga ditiupkan dan sapu sebanyak tiga kali pada bahagian ari-ari atau peranakan iaitu di bahagian atas dan bawah perut.

5. Bermohonlah dengan sepenuh keikhlasan hati dan bersungguh-sungguh kerana segala yang berlaku adalah dengan izin Allah ﺳﺒﺤﺎﻧﻪ ﻭﺗﻌﺎﻟﻰ .

Sekiranya Allah ﺳﺒﺤﺎﻧﻪ ﻭﺗﻌﺎﻟﻰ mengizinkan, maka kitaran haidnya akan tertangguh sehingga ke suatu masa yang dikehendaki.

Doa Penamat

Apabila telah selesai sesuatu ibadah dan tempohnya.

Bagi membuka dan untuk mengembalikannya kepada kitaran haid yang normal semula, maka bacalah doa Rasulullah SAW sepertimana terdapat dalam Surah Al-Isra’ berikut:

Allahus Somad! Bermohonlah dengan sepenuh keyakinan dan keikhlasan hati kepada Allah ﺳﺒﺤﺎﻧﻪ ﻭﺗﻌﺎﻟﻰ .

Kita hanya berusaha sedaya upaya dan bertawakal, sekiranya diamalkan dengan keyakinan yang tinggi, Insya’Allah, ianya akan mujarab.

Wallahu A’lam Bish Shawab, hanya Allah Maha Mengetahui apa yang benar.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: hijabista

Thursday, April 05, 2018

Apa Hukumnya Jika Suami Mengaku Bujang? Adakah Jatuh Talak?

Apa Hukumnya Jika Suami Mengaku Bujang? Adakah Jatuh Talak?

Talak dari istilah bahasa bermaksud meleraikan atau melepaskan ikatan manakala istilah syara’ pula bermaksud meleraikan ikatan perkahwinan atau memutuskan akad perkahwinan dengan lafaz talak iaitu menggunakan perkataan yang khusus iaitu lafaz yang terang dan jelas yang membawa maksud talak ataupun menggunakan lafaz kinayah iaitu lafaz sindiran atau kiasan.

Apa Hukumnya Jika Suami Mengaku Bujang? Adakah Jatuh Talak?

Adakah jatuh talak sekiranya seorang lelaki yang sudah mempunyai isteri mengaku bujang sama ada kerana mahu menutup status perkahwinannya di hadapan orang atau sekadar bergurau?

Berikut disertakan beberapa contoh:
  1. Bila ditanya suami itu oleh seseorang, “Adakah kamu sudah beristeri?” lalu dijawabnya, “Saya belum beristeri.”
  2. Seorang suami yang menghantar isterinya balik bercuti ke kampung lalu berkata suami tersebut, “Abang jadi orang bujang la seminggu.”
  3. Seorang wanita berkata kepada lelaki yang sudah beristeri yang baru dikenalinya, “Awak sudah kawin atau belum sebenarnya?” jawabnya, “Saya belum kawin.”
  4. Seorang suami ditanya olih kawannya, “Kemana isteri awak lama saya tidak nampak dia.” lalu suami itu menjawab, ”Saya sekarang seorang duda.”

Maka semua jawapan suami seperti contoh di atas tidak menjatuhkan talak kerana lafaz “Saya belum beristeri”, “Saya bujang”, “Saya belum kawin” dan “Saya duda” tersebut bukan lafaz talak sarih (yang jelas).

Tetapi, jika suami tersebut berniat talak ketika melafazkan semua lafaz seperti contoh di atas maka jatuh talak menurut pendapat yang masyhur di kalangan ulama fiqh kerana ia termasuk lafaz talak kinayah (sindiran) ertinya lafaz talak yang hanya sah jika berserta dengan niat talak.

Manakala sebahagian ulama fiqh yang lain mengatakan ia tidak termasuk lafaz talak Kinayah maka sekalipun berniat talak tidak jatuh talak dan ia dikira lagha tidak ada makna.

Berkata Imam Syairazi yang ertinya, “Dan jika bertanya kepadanya oleh seseorang, "Adakah kamu mempunyai isteri? Maka dijawabnya, "tiada" maka jika tidak berniat ia akan talak dengan lafaz tersebut maka tidaklah jatuh talak dari kerana lafaz itu bukan lafaz yang jelas. Dan jika ia berniat talak dengan lafaz tersebut maka jatuh talak dari kerana ia boleh dipakai makna talak.” (Kitab Al-Muhazzab)

Berkata Imam Nawawi yang ertinya, “Dan jika berkata kepadanya oleh seseorang, "Adakah bagi kamu isteri? Maka berkata ia, "Tiada" dan dia berniat talak dengan kata-katanya itu maka berlaku talak. Tersebut di dalam kitab Furu’, Ditanggungkan bahawa lafaz tersebut bukan lafaz talak yang jelas dan bukan juga lafaz talak sindiran. Pendapat pertama iaitu ia termasuk lafaz talak kinayah ialah pendapat yang masyhur kerana ia boleh jadi bermakna talak.” (Kitab Al-Majmu’)

Kesimpulan

Tidak jatuh talak jika suami mengaku bujang atau belum kawin atau belum beristeri atau duda atau yang semakna dengannya jika suami tersebut tidak berniat talak ketika melafazkan kata-kata tersebut.

Bermain-main dengan lafaz talak atau seumpamanya adalah tidak disukai syara’.

Sekalipun tidak jatuh talak, berbohong adalah perbuatan yang berdosa disisi syara’.

Wallahu a’lam

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: 7 Kesilapan Besar Dan Pantang Larang Dalam Hubungan Suami Isteri

sumber: facebook

Thursday, February 01, 2018

Hukum Muslim Bertatu Mengikut Pandangan Islam

Hukum Muslim Bertatu Mengikut Pandangan Islam

Bertatu haram hukumnya di sisi agama islam malah sesiapa yang pernah bertatu perlulah menghilangkan tatu tersebut dengan sebaik mungkin. Jika seseorang bukan islam memeluk islam dan dia mempunyai tatu, maka dia perlu menghilangkan tatu tersebut.

Hukum Muslim Bertatu

Begitu juga, jika seseorang islam yang bertatu lantaran kejahilannya, maka dia perlu menghilangkan tatu tersebut apabila menginsafi kesalahannya itu.

Namun, perlulah difahami, islam adalah agama yang mudah dan tidak pernah membebankan penganutnya. Jadi, dalam isu menghilangkan tatu, ia hendaklah dihilangkan setakat yang termampu dan sedaya yang boleh, selagi tidak memudaratkan.

Jadi orang yang memakai tatu perlu berusaha untuk menghilangkan tatu tersebut dengan menggunakan cara yang tidak membahayakan diri dan nyawa mereka.

Cuma, lebih elok dan sopan, andainya orang-orang yang tidak dapat menghilangkan tatunya bertindak menyembunyikan tatu tersebut daripada pandangan umum, seperti memakai baju berlengan panjang. Ini adalah untuk mengundang fitnah dan salah sangka.

Hukum bertatu iaitu (pembuat tatu dan orang yang meminta dibuat tatu) mengikut pandangan Islam adalah haram.

Hukum Bertatu Mengikut Pandangan Islam Mesyuarat Jawatankuasa Perunding Hukum Syarak Negeri Pahang Kali Ke-2/2009, pada 29 Mei 2009, selari dengan Pandangan Islam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-86 yang bersidang pada 21–24 April 2009 telah membincangkan Hukum Bertatu Mengikut Pandangan Islam.

KETERANGAN/HUJAH:

Hukum tatu adalah jelas dilarang dalam Islam. Ini berdasarkan kepada Hadith Rasululllah SAW yang bermaksud, "Daripada Ibnu Umar R.Anhuma, sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda, “Allah melaknat perempuan yang menyambung rambut dan minta disambungkan rambutnya, perempuan yang membuat tatu dan yang meminta dibuat tatu.” (Riwayat al-Bukhari)

Dr Yusuf al-Qaradhawi dalam kitabnya al-Halal wa al-Haram fi al-Islam mengatakan bahawa bertatu di badan adalah perbuatan yang dilaknat oleh Rasulullah SAW dalam hadithnya bermaksud, "Rasulullah SAW melaknat perempuan yang mentatu dan minta ditatu, dan yang mengikir gigi dan yang minta dikikir giginya.” (Riwayat al-Thabrani)

Imam al-Nawawi dalam kitabnya al-Minhaj fi Sharh Sahih Muslim menyatakan bahawa hukum bertatu adalah haram kerana perkataan laknat dalam hadith Rasulullah SAW menunjukkan pengharaman perbuatan tersebut. Di samping itu juga, tempat yang ditatu tersebut akan menjadi najis.

Islam tidak memberatkan umatnya. Kaedah yang digunakan iaitu sekiranya sesuatu yang dilakukan itu boleh mendatangkan bahaya dan mudarat pada diri, maka ia perlu dielakkkan. Kaedah ini juga terpakai bagi seorang muslim yang bertatu dan telah bertaubat daripada perbuatan tersebut.

Banyak cara diperkenalkan untuk menghilangkan tatu dan orang yang memakai tatu perlu berusaha untuk menghilangkannya dan menggunakan cara yang tidak membahayakan diri dan nyawa mereka.

Mereka yang bertatu tetapi telah menyesal dan bertaubat dari perbuatan tersebut tetapi tidak boleh menghilangkannya dengan cara yang selamat, boleh melakukan ibadat solat dan ibadat-ibadat yang lain.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Tatu Sebagai Simbol Kuasa Dalam Kumpulan Kongsi Gelap

sumber: mufti