Wednesday, January 29, 2020

Apa Hukum Mempercayai Ramalan Zodiak?

Apa Hukum Mempercayai Ramalan Zodiak?

ZODIAK atau bintang 12 adalah salah satu cabang astrologi, merupakan garisan yang dilalui oleh matahari dalam masa setahun, yang mana garisan itu adalah satu garisan melengkung khayalan (imaginary line).

Hukum Percaya ZODIAK

Dalam proses berkenaan, matahari dipercayai melalui 12 bahagian dan setiap bahagian akhirnya dinamakan mengikut nama gugusan bintang 12 iaitu Aries, Taurus, Gemini, Cancer, Leo, Virgo, Libra, Scorpio, Sagitarius, Capricorn, Aquarius dan Pisces.

Namun begitu, zodiak seringkali dikaitkan dengan ramalan-ramalan berkaitan yang lazimnya melibatkan tilikan nasib seseorang.

Baik atau malang nasib seseorang itu biasanya diramalkan mengikut zodiak berkenaan dalam tempoh tertentu.

Bahkan, ada juga laman sesawang yang menyediakan ramalan zodiak tersebut mengikut hari berdasarkan tinjauan di internet.

Membaca ramalan berkenaan memang seronok, apatah lagi jika ia membayangkan 'nasib yang baik' kepada kita.

Fitrah manusia sememangnya sukakan kebaikan. Tinggal lagi keputusannya terletak pada diri sendiri sama ada mahu mempercayainya atau tidak.

Jika melibatkan nasib yang buruk, begitu sukar untuk kita menerimanya dan menganggap ia hanyalah sekadar ramalan 'kosong'.

Pun begitu, jika ia membawa tuah kepada kita, sedikit sebanyak akan membibitkan satu rasa percaya dalam diri untuk menerimanya, bukan?

Siapa yang tidak mahu nasib dan perkara baik berlaku dalam hidup. Paling tidak pun, kita pasti menyimpan impian agar ramalan positif tersebut akan berlaku dalam hidup kita.

Jika begitulah penilaiannya, kita berada di ambang bahaya, kerana dikhuatiri 'rasa' itu boleh menjebakkan diri dalam perbuatan syirik kerana menyamakan ALLAH SWT selain daripada-NYA.

Ketahuilah bahawa hanya ALLAH SWT sahaja yang mengetahui apa sahaja yang berlaku di muka bumi ciptaan-NYA. Itu termasuklah hal pada masa hadapan.

Sesungguhnya pengetahuan manusia sebagai hamba ALLAH itu ada batasnya. Begitu juga ilmu kita.

Apakah pandangan Islam tentang ramalan zodiak? Benarkah orang yang mempercayai telahan berkenaan tidak diterima solat mereka?

Sebahagian ilmu falak

Sebelum menjawab persoalan berkenaan, beliau mengajak kita menelusuri historiografi zodiak yang merupakan ilmu bintang yang dicapai oleh orang terdahulu seperti Yunani sebelum kedatangan Islam lagi. Ia dinamakan sebagai ilmu astrologi.

Mereka tiada televisyen atau radio dan sebagainya. Jadi, mereka banyak merenung ke langit. ALLAH menjadikan bintang di langit.

Sebagai contoh, bintang itu 'dikhayalkan' dalam bentuk kala jengking yang kemudian mereka panggil sebagai Scorpio.

Apapun, kita tidak boleh mengatakan ilmu bintang itu ditolak oleh Islam atau 100 peratus diterima dalam agama suci itu.

Ini kerana, ALLAH menceritakan tentang bulan dan bintang dalam kalam-NYA. Ia sebahagian daripada sunnatullah (Hukum alam).

Zodiak juga sebahagian daripada cabang ilmu falak, yang terbahagi kepada dua iaitu falak syarie dan satu lagi ialah ilmu untuk mengetahui masa depan.

Bagaimanapun, sebagai orang awam, ia tidak sesuai kerana boleh menggugat perjalanan akidah seseorang kerana mempercayai ilmu bintang lebih daripada kekuasaan ALLAH.

Bagi orang alim, ilmu berkenaan tiada apa-apa (kesan) kepada mereka kerana hanya dijadikan sebagai hukum adat sepertimana yang berlaku kepada Imam Syafie.

Diceritakan bahawa beliau pernah mempelajari ilmu firasah bina insan (karakter seseorang manusia).

Pada suatu hari, Imam Syafie bermusafir mengikut satu kafilah dagangan. Apabila beliau melihat orang-orang yang terlibat dengan musafir tersebut, kelihatannya mereka itu manusia yang jahat menurut ilmu firasah berkenaan.

Namun, apa yang dialami Imam Syafie pula adalah sebaliknya kerana mereka begitu memuliakan tetamu dan belanja makan.

Imam Syafie hampir-hampir hendak 'mengeluarkan' ilmu firasah berkenaan kerana merasakan ia hanyalah sia-sia.

Hinggalah beliau tiba ke destinasi, kafilah tersebut meminta balik apa yang telah mereka belanjakan.

Ia bererti, ilmu firasah itu penting untuk berjaga-jaga, bukan untuk kita mengimaninya.

Daripada kisah itu, pokok pangkal suatu perkara bergantung kepada sejauh mana kemantapan iman dan akidah orang yang mempelajarinya.

Jika tidak kuat, maka ia akan membawa syirik kepada ALLAH SWT.

Diharamkan agama

Zodiak diamalkan oleh orang jahiliah dahulu, dipanggil sebagai ilmu tanjim atau membaca bintang.

Ia mengaitkan apa sahaja yang ada di langit. Kesan atau tanggapan kepercayaannya berpandukan kepada bintang termasuklah sama ada seseorang itu dilahirkan dalam keadaan mereka bernasib baik atau buruk.

Jadi, perkara seperti itu memang diharamkan oleh Islam sebab ia dikaitkan dengan pengetahuan ilmu ghaib, sedangkan bintang-bintang itu sebenarnya tiada apa-apa kesan pun kepada kita.

Hanya ALLAH yang Maha Mengetahui dan manusia pula tidak tahu, lebih-lebih lagi dikaitkan dengan bintang atau perkara-perkara tertentu khususnya ilmu zodiak termasuk horoskop dan sewaktu dengannya.

Firman ALLAH SWT: "Katakanlah (Muhammad), "Tidak ada sesuatu pun di langit dan di bumi yang mengetahui perkara yang ghaib, kecuali ALLAH..." (Surah al-Naml, ayat 65)

Solat tidak diterima

Ada juga yang berpendapat, amalan zodiak bertentangan dengan syarak, kerana ia mengaitkan dengan sial atau nasib buruk seseorang manusia itu.

Jika kita mempercayai perkara-perkara seperti itu, misalnya 'jika lahir pada zodiak tertentu dan mengaitkannya dengan nasib buruk atau baik', maka Nabi Muhammad SAW tidak mengaku umat sebagaimana disebutkan dalam sebuah hadis baginda.

Sabda Rasulullah SAW: "Sesiapa yang mendatangi dukun atau tukang ramal, lalu dia membenarkan apa yang dikatakannya, maka sungguh ia telah kufur kepada apa yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW." (Riwayat Ahmad)

Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa yang mendatangi tukang ramal (dukun) dan bertanya kepadanya tentang sesuatu, maka tidak diterima solatnya selama 40 malam." (Riwayat Muslim)

Adakah Berdosa Membaca Ramalan Zodiak?

Jika kita hanya membaca ramalan zodiak berkenaan, tetapi tidak mempercayainya, ia tiada masalah.

Lebih-lebih lagi kalau ia dibaca untuk menambahkan ilmu dan untuk melawan balik dakwaan-dakwaan berkenaan.

Namun, ia tidak begitu digalakkan kerana dikhuatiri akan terpengaruh terutama kanak-kanak atau remaja yang tiada asas akidah yang kuat.

Apapun, dalam Islam, tiada kelebihan-kelebihan khusus jika seseorang itu dilahirkan pada bulan-bulan tertentu.

Bahkan, bulan itu sendiri tidak memberi sebarang kesan kepada nasib manusia, kerana hanya ALLAH SWT sahaja tahu apa yang berlaku kepada manusia.

Kalau kita dilahirkan pada bulan Ramadan, sekalipun ia bulan barakah, orang yang lahir pada bulan itu ada keberkatannya.

Namun, jika hendak dikaitkan dengan nasib baik atau nasib buruk, ia langsung tiada kena-mengena. Bulan tiada kuasa, yang berkuasa hanya ALLAH SWT.

Kadangkala orang kita percaya begitu sialnya bulan Safar dan sebagainya dan perkara seperti itu merupakan kepercayaan yang syirik atau menghilangkan keyakinan kita kepada ALLAH.

Kajian sifat-sifat manusia dibenarkan Islam

Kajian karakter sifat seseorang manusia merupakan perkara yang berbeza dengan ramalan zodiak.

Ia tidak berkaitan langsung dengan zodiak kerana berdasarkan kajian ahli psikologi tentang sifat manusia yang memperkenalkan karakter seseorang.

Ia sebagaimana yang diperkenalkan oleh pakar motivasi atau psikologi untuk memperkenalkan manusia kepada karakter berdasarkan kita lahir sebagai anak ke berapa.

Sebagai contoh, anak sulung sikapnya begini, manakala anak kedua pula sikapnya begitu, juga selainnya.

Justeru, kajian sifat-sifat manusia tersebut dibenarkan dalam Islam kerana ia tidak bersangkutan dengan qada dan qadar ALLAH.

Sebaliknya, ia adalah kajian dibuat oleh manusia, seterusnya meraka sendiri yang merumuskan karakter-karakter manusia berdasarkan kategori (anak ke berapa).

Namun, apabila kita membaca karakter itu, kita bukan mempercayai 100 peratus karakter kita begitu. Barangkali ada persamaan.

Tujuan kita membacanya Adalah untuk mengetahui kelebihan, kelemahan dan memperbaiki peribadi kita.

Contohnya, anak sulung dikatakan manja. Walaupun begitu, dia tidak menunjukkan kemanjaannya, tetapi bersifat tegas dan suka mengarah. Sikap suka mengarah jika tidak dikawal, ia akan menjengkelkan adik-adik di bawah.

Anak sulung itu biasanya ALLAH akan letak sifat kepimpinan dalam dirinya untuk dia memimpin adik-adiknya. Sifat kepimpinan itu seharusnya dijaga sebaiknya.

Perkara Ghaib

Zodiak juga menyentuh tentang nasib seseorang yang semuanya di bawah kekuasaan ALLAH SWT.

Namun, antara perkara yang kita tidak ketahui adalah masa depan, takdir dan qada serta qadar. Itu semua adalah milik ALLAH SWT.

Sebab itulah, hukum kita mempercayai zodiak adalah kafir kerana telah mengkufuri al-Quran yang menyatakan ilmu ghaib di bawah pengetahuan ALLAH SWT.

Umat Islam sentiasa diingatkan agar bertawakal kepada ALLAH SWT dengan berusaha ke arah kebaikan, kebenaran dan kejayaan.

Ingatlah bahawa takdir itu milik ALLAH SWT. Sebab itu, apabila kita mempercayai zodiak, maknanya kita telah melanggar takdir dan qada ALLAH.

Manusia yang mempercayai qada dan qadar itu, mereka tidak akan gentar menghadapi musuh dan kegagalan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-Sentiasapanas.com

Friday, April 26, 2019

Hukumnya Wajib Menghadiri Jemputan Majlis Perkahwinan

Hukumnya Wajib Menghadiri Jemputan Majlis Perkahwinan

Menurut kitab Al-Feqh al-Manhaji, Al-Walimah diambil dari perkataan ﺍﻟﻮﻟْﻢ yang membawa erti berhimpun atau berkumpul, dinamakan dengan yang demikian itu kerana kedua pasangan suami isteri berkumpul padanya (majlis perkahwinan).

Majlis Kahwin

Kemudian disebutkan, al walimah merupakan makanan perkahwinan atau kesemua makanan yang dibuat untuk dijemput (orang ramai) dan selainnya. Rujuk Al-Feqh al-Manhaji (2/92).

Wajib

Secara umumnya, menghadiri kenduri perkahwinan adalah suatu perkara yang diperintahkan. Dan seperti yang diketahui bahawa setiap kata perintah yang terdapat di dalam Al-Quran dan Al-Sunnah membawa kepada hukum wajib, melainkan jika terdapat petunjuk-petunjuk lain yang mengalihkan hukum wajib tersebut.

Hukum Menghadiri dan Memenuhi Jemputan

Para fuqaha berbeza pendapat berkenaan hukum menghadiri jemputan ini dengan melihat kepada jenis dan kategori jemputan tersebut sama ada ia merupakan jemputan kenduri perkahwinan atau jemputan-jemputan selainnya.

Kami ringkaskan seperti berikut:

Hukum Menghadiri Jemputan Majlis Perkahwinan

Majoriti para ulama menyatakan bahawa hukum memenuhi jemputan perkahwinan adalah wajib. Ini berdalilkan sebuah hadis daripada Ibn Umar r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda:

ﺇِﺫَﺍ ﺩُﻋِﻲَ ﺃَﺣَﺪُﻛُﻢْ ﺇِﻟَﻰ ﺍﻟْﻮَﻟِﻴﻤَﺔِ ﻓَﻠْﻴَﺄْﺗِﻬَﺎ

Maksudnya: "Apabila salah seorang kamu dijemput ke majlis perkahwinan (walimah), maka hadirlah ia." (Riwayat Muslim 1053)

Hukum wajib tersebut diambil daripada perkataan Nabi S.A.W ﻓَﻠْﻴَﺄْﺗِﻬَﺎ yang merupakan kata perintah yang membawa hukum wajib secara asasnya di sisi kaedah fekah.

Imam Al-Nawawi dalam syarahan beliau ke atas hadis di atas berkata, ‘’Pendapat paling sahih dalam mazhab kami, hukum menghadiri kenduri perkahwinan adalah fardhu ‘ain bagi mereka yang dijemput, akan tetapi kewajipan tersebut gugur disebabkan beberapa keuzuran berikut:

1. Sekiranya ada syubhah makanan.

Secara asasnya, sekiranya seseorang itu mengetahui terdapatnya kemungkaran di majlis tertentu, maka wajib ke atasnya untuk mencegah kemungkaran tersebut sekiranya dia mampu mengubahnya.

Manakala sekiranya dia tidak mampu, hendaklah dia tidak menghadiri majlis tersebut.

2. Mengkhususkan orang-orang kaya sahaja untuk hadir.

Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A bahawa beliau berkata:

ﺷَﺮُّ ﺍﻟﻄَّﻌَﺎﻡِ ﻃَﻌَﺎﻡُ ﺍﻟْﻮَﻟِﻴﻤَﺔِ ﻳُﺪْﻋَﻰ ﻟَﻬَﺎ ﺍﻷَﻏْﻨِﻴَﺎﺀُ ﻭَﻳُﺘْﺮَﻙُ ﺍﻟْﻔُﻘَﺮَﺍﺀُ

Maksudnya: "Seburuk-buruk makanan adalah makanan pada majlis perkahwinan yang dijemput padanya orang-orang kaya dan ditinggalkan (tidak dijemput) orang-orang miskin." (Riwayat Ibn Majah (1913))

3. Majlis perkahwinan dzimmi (orang bukan Islam).

Maka pendapat yang sahih di sisi mazhab Imam Al-Syafie adalah tidak wajib untuk menghadirinya.

Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. beliau berkata bahawa Rasulullah SAW dalam menyatakan hak (tanggungjawab) seorang muslim ke atas seorang muslim yang lain antaranya:

ﻭَﺇِﺫَﺍ ﺩَﻋَﺎﻙَ ﻓَﺄَﺟِﺒْﻪُ

Maksudnya: "Dan apabila dia menjemput kamu (ke sesuatu majlis) maka hendaklah kamu menerimanya (menghadirinya)." (Riwayat Muslim (2162))

Ini berhujahkan bahawa yang menjadi kewajipan apabila undangan datang dari umat Islam itu sendiri.

Adapun hukum menghadiri majlis perkahwinan orang bukan Islam maka kami nyatakan bahawa para ulama’ mazhab Syafi’e berpandangan, hukum menghadiri jemputan walimah orang bukan Islam ialah sunat sekiranya jemputan itu datang daripada kaum keluarga dan jiran tetangga atau jika kehadiran kita akan memberi manfaat kepada dakwah Islam. (Rujuk Nihayah Al- Muhtaj, Al-Ramli (6/371).)

Ini juga dipersetujui oleh Imam al-Mardawi dari mazhab Hanbali, yang turut menyebut keharusan menghadiri walimah orang bukan Islam dengan memetik pandangan Imam Ahmad dan Ibn Qudamah. (Rujuk Al-Insaf, Al-Mardawi (8/320)).

Kami juga menambah beberapa keuzuran lain seperti berikut:
  • Ini mengguna pakai keuzuran-keuzuran yang membolehkan seseorang itu tidak menghadiri solat Jumaat.
  • Kenduri perkahwinan tersebut jauh dari kediaman mereka yang dijemput.
  • Kesibukan seperti tokoh-tokoh politik, agama dan juga pemimpin masyarakat.
  • Banyaknya jemput dalam hari yang sama di tempat-tempat yang jauh jaraknya.
  • Kesesakan lalu lintas, hujan lecah dan seumpamanya.

Kata Dr. Wahbah Al-Zuhaili: ‘’Antara keuzuran yang menggugurkan kewajipan untuk memenuhi jemputan adalah: Banyaknya kesesakan, hujan lebat, jalan lecah, sakit, dan seumpamanya." (Rujuk Al-Fiqh Al-Islami wa Adillatuh, Al-Zuhaili (9/6622))

Kata Imam Al-Nawawi lagi: ‘’Dan Al-Qadhi telah menukilkan kesepakatan para ulama dalam menyatakan wajibnya menyahut (menghadiri) jemputan walimah al-‘urs (majlis perkahwinan)." (Rujuk Al-Minhaj, Al-Nawawi (9/570))

Begitu juga berdalilkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

ﻭَﻣَﻦْ ﻟَﻢْ ﻳُﺠِﺐِ ﺍﻟﺪَّﻋْﻮَﺓَ ﻓَﻘَﺪْ ﻋَﺼَﻰ ﺍﻟﻠَّﻪَ ﻭَﺭَﺳُﻮﻟَﻪُ

Maksudnya: "Dan sesiapa yang tidak menyahut jemputan (dengan menghadirinya), sesungguhnya dia telah menderhakai Allah dan Rasul-Nya." (Riwayat Muslim (1432))

Ini bermaksud tidak menghadiri jemputan majlis perkahwinan dianggap sebagai suatu maksiat kepada Allah SWT dan tidaklah perbuatan itu dianggap maksiat melainkan pada meninggalkan yang wajib.

HUKUM HADIR JEMPUTAN MAJLIS SELAIN PERKAHWINAN ADALAH MUSTAHAB

Para ulama menyatakan bahawa hukum memenuhi jemputan menghadiri majlis selain dari majlis perkahwinan, seperti majlis keraian, majlis perpisahan, majlis akikah dan seumpamanya adalah mustahab (iaitu sunat).

Kata Imam Al-Nawawi: ‘’Adapun selainnya (iaitu selain jemputan perkahwinan), maka ada dua pendapat di sisi ashab kami.

Pertama, hukum menghadirinya adalah sama seperti walimatul ‘urus. Pendapat kedua, hukum memenuhi jemputan tersebut adalah mustahab."

Beliau juga turut menukilkan pendapat Imam Malik dan jumhur yang menyebut: ‘’Tidak wajib memenuhi jemputan (selain majlis perkahwinan)’’. Rujuk Al-Minhaj Syarah Sahih Muslim, Al-Nawawi (9/570) .

HUKUM MENJEMPUT HADIR KE MAJLIS PERKAHWINAN MELALUI FACEBOOK EVENT

Dalam perkembangan masa kini, banyak berlaku perubahan dalam gaya hidup termasuklah isu jemputan ke majlis perkahwinan.

Justeru kami menyatakan beberapa kaedah asas yang berkaitan dengan isu ini, antaranya:

ﺍﻟﻌﺎﺩﺓ ﻣﺤﻜَّﻤﺔ

Maksudnya: "Adat itu menjadi penentu hukum."

Ini bermakna, adat itu boleh menjadi penentu atau pemutus hukum dalam permasalahan-permasalahan yang berlaku.

Yang mana permasalahan tersebut tidak terdapat padanya dalil-dalil yang jelas dalam menjelaskan hukumnya.

Justeru secara umumnya, hukum bagi perbuatan ini adalah harus. Ini juga bertepatan dengan sebuah kaedah fiqh yang menyebut:

ﺍﻟﻮَﺳَﺎﺋِﻞُ ﻟَﻬَﺎ ﺃَﺣْﻜَﺎﻡ ﺍﻟﻤَﻘَﺎﺻِﺪ

Maksudnya: "Wasilah-wasilah mengambil pakai hukum maqasid."

Justeru, sekiranya tujuan seseorang itu benar-benar ingin menjemput orang ramai hadir ke majlis perkahwinannya, adalah dibolehkan untuk dia menggunakan apa sahaja wasilah menjemput yang harus sama ada melalui lisan, kad jemputan, atau aplikasi media sosial seperti facebook, twitter dan seumpamanya.

Kesimpulan

Sebagai penutup kami menyatakan bahawa secara kebiasaannya jemputan yang datang dalam bentuk facebook event ini sekadar proses pemudah cara dalam menentukan jumlah bilangan individu yang akan hadir ke majlis perkahwinan tersebut dari kalangan rakan-rakan facebook pengantin.

Bahkan kebiasaannya mereka akan menyebut bahawa kad jemputan akan menyusul sekiranya kita menekan pilihan going (akan hadir).

Meskipun begitu, sekiranya jemputan itu datang dalam bentuk yang umum seperti jemputan perkahwinan di majlis yang terdapat di dalamnya ramai orang dan kita berada dalam group tersebut, maka tidak menjadi tuntutan (kewajipan) untuk kita menghadirinya di sisi majoriti ulama.

Demikian juga kita katakan kepada isu jemputan yang datang melalui facebook event, kumpulan whats app (whatsapp group) dan sebagainya yang datang dalam bentuk jemputan umum.

Oleh yang demikian, secara asasnya wajib bagi anda untuk memenuhi undangan perkahwinan yang ditujukan khas kepada anda meskipun ia dijemput melalui facebook.

Tambahan pula ia turut disertakan pula dengan jemputan yang sama melalui medium-medium lain seperti jemputan secara berhadapan, kad jemputan dan selainnya.

Hukum wajib ini sekiranya anda tidak ada sebarang keuzuran yang menghalang. Namun, jika anda tidak dapat menghadirinya disebabkan terdapatnya keuzuran-keuzuran seperti yang telah kami nyatakan, maka ia tidaklah dianggap sebagai berdosa.

Sebaiknya, sampaikanlah permohonan maaf kepada mereka yang menjemput serta perbanyakkanlah berdoa kepada pasangan yang melangsungkan perkahwinan agar mendapat rahmat dan berkat dari Allah SWT.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang tepat kepada kita dalam beragama.

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:

sumber: muftiwp

Friday, July 20, 2018

Apakah Hukumnya Membasuh Pakaian Bernajis Dengan Mesin Basuh?

Apakah Hukumnya Membasuh Pakaian Bernajis Dengan Mesin Basuh?

Antara syarat untuk membasuh pakaian yang bernajis dengan air yang kurang dari 2 kolah, iaitu air mutlak mestilah bersifat mendatangi pada najis, iaitu air itu mestilah dicurahkan pada tempat bernajis tidak kira dari arah mana sekali pun.

Hukum Membasuh Pakaian Bernajis Dengan Mesin Basuh
Gambar hiasan.

Jika air itu tidak bersifat mendatangi pada najis maka hukum menghilang najis itu tidak dikira sah menurut syarak, maka pakaian itu kekal bernajis.

Fakta ini ada disebut di dalam kitab-kitab fiqh, antara kitab Taqrirat Sadidah:

Maksudnya: Air itu hendaklah mendatangi bukan ia didatangi, iaitu air mendatangi ke atas najis bukan sebaliknya.

Sebagai contoh jika ingin membasuh sesuatu pakaian yang bernajis hendaklah tempat bernajis itu ditadah di bawah air paip yang mengalir bukan pakaian itu direndam ke dalam bekas yang menakungkan air kurang 2 kolah.

Ini kerana air di bawah kapasiti dua kolah tidak mempunyai kekuatan untuk menolak najis, maka yang mendatangi air itu mestilah mengalir keluar bersama najis yang dihilangkan.

Jika pakaian bernajis direndam di dalam air yang kurang dari dua kolah maka penyucian pakaian itu tidak sah kerana air rendaman itu sudah menjadi mutanajjis maka ia sama sekali tidak menyucikan pakaian itu dari najis, melainkan pakaian itu dibilas sekali lagi dengan air mutlak, maka pakaian itu dikira suci.

Berkenaan mencuci pakaian yang bernajis dengan menggunakan mesin basuh automatik pada hakikatnya ia tidak menimbulkan masalah dalam proses menyucikan pakaian yang bernajis.

Perkara ini disebut oleh al-‘Allamah al-Habib Hasan bin Ahmad al-Kaf di dalam karangan beliau “Taqrirat Sadidah”:

Maksudnya: Dari masalah itu, mencampakkan pakaian kedalam mesin basuh moden, jika mesin basuh itu dalam ketogari berteknologi tinggi (automatik) maka tiada mudarat menurut persepakatan ulama.

Ini kerana ia menghilangkan najis (pada pakaian) kemudian dibilas dengan air yang suci lagi menyucikan pada pakaian itu.

Manakala jika mesin itu dari jenis biasa (bukan automatik), maka selepas basuh dan menghilangkan sifat-sifat (najis), maka najis (pada pakaian) dikategorikan najis hukmi (yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar).

Oleh itu mesti dibilas dengan air yang suci lagi menyucikan selepas itu pada pakaian, ini dinamakan sebagai peringkat penyucian di mana air mestilah bersifat mendatangi pada peringkat ini dengan meletakkan pakaian terlebih dahulu kemudian dicurah air ke atasnya.

Tidak dinafikan bahawa air dicurahkan di atas pakaian, namun selepas itu air yang berada di dalam mesin akan bertakung.

Meskipun air itu bertakung di dalam mesin, ia tidak semestinya mutanajjis (bernajis), ini disebabkan jika air tersebut bila berpisah dari pakaian dan masih tidak berubah sifatnya (tidak berubah dengan kesan najis) dan tidak bertambah beratnya (disebabkan najis) maka air itu dikira sebagai masih suci.

Dengan ini air yang masih bertakung bersama-bersama pakaian itu tidak dikira menajiskan pakaian yang direndam selagimana air itu tidak berubah sifat kerana najis.

Fakta ini banyak disebut di dalam kitab-kitab fiqh Shafi’ie antaranya ‘I’anah al-Tolibin’:

Maksudnya: Kesimpulannya, jika air mendatangi pada tempat bernajis dan ia belum terpisah darinya maka hukum air itu suci dan menyucikan.

Jika air terpisah darinya dan tidak berubah sifatnya (bau, warna atau rasa) dan ia tidak bertambah beratnya selepas menghilangkan najis dari tempatnya dan tempat itu menjadi suci, maka air itu kekal suci tetapi tidak menyucikan.

Namun jika pakaian itu bernajis dengan najis jelas kelihatan dengan mata kasar dan apabila air curahan itu berubah sifat selepas berpisah dari pakaian, maka pakaian itu mestilah dibilas paling kurang sekali sama ada melalui mesin basuh atau luar mesin sehinggalah tempat bernajis itu hilang najisnya dan air curahan yang berpisah darinya tidak berubah sifat dan tidak bertambah beratnya disebabkan najis.

Ini kerana air yang berpisah masih lagi berubah sifatnya masih diketogarikan sebagai mutanajjis iaitu tidak sah untuk menyucikan pakaian.

Jika objek (‘ain) najis wujud pada pakaian seperti ketulan najis atau tompokan najis yang tebal maka hendaklah dibuang dahulu dari pakaian sebelum dimasukkan ke dalam mesin basuh untuk mengelakkan kesan perubahan sifat yang ketara pada air curahan itu.

Meskipun pakaian bernajis itu dibasuh dengan air sabun di dalam mesin basuh iaitu bukan ketogari air mutlak yang mana ia masih tidak sah sebagai bahan menyucikan pakaian bernajis.

Namun, dengan teknologi canggih pada zaman kini yang mana pakaian yang dibasuh dengan sabun akan dibilas beberapa kali dengan air mutlak dalam mesin basuh, maka proses ini tidak syak lagi dapat menyucikan pakaian yang bernajis.

Menurut mazhab Hanafi, air mutlak yang berubah sifatnya dengan bahan lain seperti sabun maka ia tetap suci dan menyucikan.

Sesungguhnya khilaf antara ulama merupakan rahmat untuk umat.

Jelas fakta-fakta yang disebut bahawa mencuci pakaian yang bernajis melalui mesin basuh yang berteknologi moden dan canggih tetap menyucikan pakaian tersebut tanpa ragu-ragu.

Dengan syarat ia mesti memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh kaedah fiqh mazhab Syafi’ie sepertimana yang disebut di atas.

Wallahu a’lam

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: aburuqayya

Friday, June 08, 2018

Apakah Hukum Menelan Air Liur Ketika Puasa?

Apakah Hukum Menelan Air Liur Ketika Puasa?

Soalan: Mengenai air liur diantara bibir dan diluar mulut, adakah jumhur ulama mengatakan batal puasa menelannya?

Apakah yang dimaksudkan dengan air liur diantara bibir? Adakah kedudukannya di celah bibir atau macam mana? Air liur yang diludah akan tertarik balik dan berkeadaan diantara bibir, pasti ianya akan masuk balik.

Harap diperjelaskan macam mana dengan hingus atau kahak? Air liur, kahak, hingus yang diludah biasanya akan masuk ke dalam hidung dalam bentuk renjisan.

Apa yang perlu dibuat?

Apakah Hukum Menelan Air Liur Ketika Puasa?

Jawapan:

Syarak telah menetapkan hukum makan dan minum pada ketika puasa adalah dilarang, maka perbuatan sengaja menelan apa-apa benda luaran juga tidak dibenarkan.

Tetapi tidak perlu dibangkitkan permasalahan-permasalahan seperti air liur atas bibir jika masuk ke dalam balik, renjisan hingus masuk hidung balik, kerana perkara-perkara ini tidak diperincikan oleh syarak.

Kerana:

Apa-apa yang syarak senyap tentangnya, maka ia adalah kemaafan.

Perkara-perkara tersebut jika hendak dijaga, pasti membawa masyaqqah.

Contohnya, jika berkumur ketika puasa, sudah pasti lebihan air kumuran akan tertinggal dalam mulut, akhirnya boleh jadi masuk dalam rongga.

Ini adalah masyaqqah yang dimaafkan.

Menimbulkan persoalan ini akan membawa kepada penyakit was-was.

Wallahu a’lam

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: abuumair

Tuesday, May 22, 2018

Apakah Hukum Makan Ubat Penahan Haid Untuk Puasa Penuh Di Bulan Ramadhan?

Apakah Hukum Makan Ubat Penahan Haid Untuk Puasa Penuh Di Bulan Ramadhan?

Bulan puasa penuh dengan keberkatan dan digandakan pahala. Semua umat Islam berebut-rebut untuk mengejar peluang mendapat syafaat di bulan mulia ini, namun perkara ini menjadi satu kekhuatiran pada golongan wanita dengan harapan tinggi untuk puasa penuh.

Apakah Hukum Makan Ubat Penahan Haid Untuk Puasa Penuh Di Bulan Ramadhan?

Tetapi, agak mustahil kerana wanita normal akan alami pusingan haid setiap bulan dan ini menyebabkan ada yang kecewa kerana tak dapat berpuasa penuh.

Mungkin ada yang terfikir untuk ambil ubat penahan haid bagi mendapatkan puasa penuh dan melakukan ibadah berterusan sepanjang bulan yang mulia ini.

Persoalannya, apakah hukumnya mengambil ubat menahan haid?

Ulama berbeza pendapat tentang hukum memakan ubat untuk menahan haid dari keluar sama ada ubat itu berbentuk pil atau cecair.

Di antara Ulama silam yang berpandangan harus mengambil ubat penahan haid adalah Imam Ahmad Bin Hanbal.

Imam Ibnu Qudamah meriwayat di dalam almughni:-

“Tidak mengapa seorang wanita minum ubat untuk memberhentikan haidnya sekiranya ubat tersebut dikenali (tidak membawa kesan negatif).”

Antara Ulama semasa yang berfatwa harus mengambil ubat penahan haid adalah imam Yusuf al Qaradhawi dan Syeikh Wahbah az zuhaili.

Imam al Qaradhawi menyebutkan fatwanya berkaitan keharusan mengambil ubat penahan haid di dalam bukunya Feqhu siyam.

Imam Qaradhawi juga menyebutkan bahawa ulama semasa yang lain juga membenarkan pengambilan ubat penahan haid.

Kata Dr Syeikh Wahbah az zuhaili:

“Perempuan ini dan seumpamanya boleh melakukan perkara (ambil pil penahan haid) ini pada Ramadan dan pada haji tetapi tidak dipaksa dan tidak mesti."

Ayat Doa Bagi Menangguh Dan Menghentikan Sementara Haid Wanita

Ayat dan doa di bawah ini bertujuan untuk menangguh dan menghentikan sementara pusingan haid kaum wanita.

Ia boleh digunakan sebagai suatu ikhtiar untuk mengatasi penyakit reproduktif wanita dan bagi kelancaran mengerjakan ibadah Ramadhan mahupun ibadah haji dan umrah.

Sekiranya memang waktu sepatutnya ‘keuzuran’ atau didatangi haid dan ingin melakukan sesuatu ibadah atau berlaku sesuatu yang tidak dapat dielakkan seperti perubahan jadual perjalanan dan flight semasa hendak menunaikan ibadah Haji dan umrah maka bolehlah diikhtiarkan membaca dan mengamalkan doa berikut:

DOA

Doa dan ikhtiar bagi menangguh dan menghentikan sementara haid wanita.

Bacaan Ayat dan Surah

Baca ayat-ayat berikut setiap satunya sekali:
  1. Ayat pertama, surah Al-Masad (Al-Lahab)
  2. Baca dari ayat 38, Surah Yaasin
  3. Baca sebahagian dari ayat 44, Surah Hud
  4. Baca sekali Surah Al-Ikhlas: Ayat 1 – 4
  5. Baca Selawat Nabi

Doa penahan dan ayat-ayat di atas boleh juga digunakan untuk menahan darah akibat luka, kemalangan, tumpah darah yang tiada henti, cirit-birit, muntah-muntah dan sebagainya.

Waktu Masa Membacanya

Doa dan ayat-ayat di atas boleh dibaca ketika:
  • Selepas kedatangan haid terakhir.
  • Sewaktu dijangka haid akan tiba.
  • Setiap kali selepas solat fardhu 5 waktu.
  • Apabila hendak berangkat ke Tanah Suci.
  • Sepanjang berada dalam ihram.

Cara Mengamalkannya:

1. Apabila selesai membaca ayat 1, 2 dan 3, tekankan lidah ke lelangit, tarik nafas dan tahan selama 5 saat sambil berdoa (mohon dihentikan sementara haid sehingga selesai ibadah haji / umrah) lalu dihembuskan ke dalam air.

2. Diteruskan membaca surah Al-Ikhlas dan ketika berhenti pada setiap hujung ayat hendaklah disebutkan niatnya dalam hati di situ; contohnya, “Ya Allah! Berhentikanlah darah ini.” Lalu ditiupkan ke dalam air.

3. Diakhiri dengan membaca Selawat Nabi lalu dihembuskan ke dalam air kemudian dibuat minum. Insya’Allah mujarab.

4. Boleh juga ditiupkan dan sapu sebanyak tiga kali pada bahagian ari-ari atau peranakan iaitu di bahagian atas dan bawah perut.

5. Bermohonlah dengan sepenuh keikhlasan hati dan bersungguh-sungguh kerana segala yang berlaku adalah dengan izin Allah ﺳﺒﺤﺎﻧﻪ ﻭﺗﻌﺎﻟﻰ .

Sekiranya Allah ﺳﺒﺤﺎﻧﻪ ﻭﺗﻌﺎﻟﻰ mengizinkan, maka kitaran haidnya akan tertangguh sehingga ke suatu masa yang dikehendaki.

Doa Penamat

Apabila telah selesai sesuatu ibadah dan tempohnya.

Bagi membuka dan untuk mengembalikannya kepada kitaran haid yang normal semula, maka bacalah doa Rasulullah SAW sepertimana terdapat dalam Surah Al-Isra’ berikut:

Allahus Somad! Bermohonlah dengan sepenuh keyakinan dan keikhlasan hati kepada Allah ﺳﺒﺤﺎﻧﻪ ﻭﺗﻌﺎﻟﻰ .

Kita hanya berusaha sedaya upaya dan bertawakal, sekiranya diamalkan dengan keyakinan yang tinggi, Insya’Allah, ianya akan mujarab.

Wallahu A’lam Bish Shawab, hanya Allah Maha Mengetahui apa yang benar.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: hijabista

Thursday, April 05, 2018

Apa Hukumnya Jika Suami Mengaku Bujang? Adakah Jatuh Talak?

Apa Hukumnya Jika Suami Mengaku Bujang? Adakah Jatuh Talak?

Talak dari istilah bahasa bermaksud meleraikan atau melepaskan ikatan manakala istilah syara’ pula bermaksud meleraikan ikatan perkahwinan atau memutuskan akad perkahwinan dengan lafaz talak iaitu menggunakan perkataan yang khusus iaitu lafaz yang terang dan jelas yang membawa maksud talak ataupun menggunakan lafaz kinayah iaitu lafaz sindiran atau kiasan.

Apa Hukumnya Jika Suami Mengaku Bujang? Adakah Jatuh Talak?

Adakah jatuh talak sekiranya seorang lelaki yang sudah mempunyai isteri mengaku bujang sama ada kerana mahu menutup status perkahwinannya di hadapan orang atau sekadar bergurau?

Berikut disertakan beberapa contoh:
  1. Bila ditanya suami itu oleh seseorang, “Adakah kamu sudah beristeri?” lalu dijawabnya, “Saya belum beristeri.”
  2. Seorang suami yang menghantar isterinya balik bercuti ke kampung lalu berkata suami tersebut, “Abang jadi orang bujang la seminggu.”
  3. Seorang wanita berkata kepada lelaki yang sudah beristeri yang baru dikenalinya, “Awak sudah kawin atau belum sebenarnya?” jawabnya, “Saya belum kawin.”
  4. Seorang suami ditanya olih kawannya, “Kemana isteri awak lama saya tidak nampak dia.” lalu suami itu menjawab, ”Saya sekarang seorang duda.”

Maka semua jawapan suami seperti contoh di atas tidak menjatuhkan talak kerana lafaz “Saya belum beristeri”, “Saya bujang”, “Saya belum kawin” dan “Saya duda” tersebut bukan lafaz talak sarih (yang jelas).

Tetapi, jika suami tersebut berniat talak ketika melafazkan semua lafaz seperti contoh di atas maka jatuh talak menurut pendapat yang masyhur di kalangan ulama fiqh kerana ia termasuk lafaz talak kinayah (sindiran) ertinya lafaz talak yang hanya sah jika berserta dengan niat talak.

Manakala sebahagian ulama fiqh yang lain mengatakan ia tidak termasuk lafaz talak Kinayah maka sekalipun berniat talak tidak jatuh talak dan ia dikira lagha tidak ada makna.

Berkata Imam Syairazi yang ertinya, “Dan jika bertanya kepadanya oleh seseorang, "Adakah kamu mempunyai isteri? Maka dijawabnya, "tiada" maka jika tidak berniat ia akan talak dengan lafaz tersebut maka tidaklah jatuh talak dari kerana lafaz itu bukan lafaz yang jelas. Dan jika ia berniat talak dengan lafaz tersebut maka jatuh talak dari kerana ia boleh dipakai makna talak.” (Kitab Al-Muhazzab)

Berkata Imam Nawawi yang ertinya, “Dan jika berkata kepadanya oleh seseorang, "Adakah bagi kamu isteri? Maka berkata ia, "Tiada" dan dia berniat talak dengan kata-katanya itu maka berlaku talak. Tersebut di dalam kitab Furu’, Ditanggungkan bahawa lafaz tersebut bukan lafaz talak yang jelas dan bukan juga lafaz talak sindiran. Pendapat pertama iaitu ia termasuk lafaz talak kinayah ialah pendapat yang masyhur kerana ia boleh jadi bermakna talak.” (Kitab Al-Majmu’)

Kesimpulan

Tidak jatuh talak jika suami mengaku bujang atau belum kawin atau belum beristeri atau duda atau yang semakna dengannya jika suami tersebut tidak berniat talak ketika melafazkan kata-kata tersebut.

Bermain-main dengan lafaz talak atau seumpamanya adalah tidak disukai syara’.

Sekalipun tidak jatuh talak, berbohong adalah perbuatan yang berdosa disisi syara’.

Wallahu a’lam

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: 7 Kesilapan Besar Dan Pantang Larang Dalam Hubungan Suami Isteri

sumber: facebook

Thursday, February 01, 2018

Hukum Muslim Bertatu Mengikut Pandangan Islam

Hukum Muslim Bertatu Mengikut Pandangan Islam

Bertatu haram hukumnya di sisi agama islam malah sesiapa yang pernah bertatu perlulah menghilangkan tatu tersebut dengan sebaik mungkin. Jika seseorang bukan islam memeluk islam dan dia mempunyai tatu, maka dia perlu menghilangkan tatu tersebut.

Hukum Muslim Bertatu

Begitu juga, jika seseorang islam yang bertatu lantaran kejahilannya, maka dia perlu menghilangkan tatu tersebut apabila menginsafi kesalahannya itu.

Namun, perlulah difahami, islam adalah agama yang mudah dan tidak pernah membebankan penganutnya. Jadi, dalam isu menghilangkan tatu, ia hendaklah dihilangkan setakat yang termampu dan sedaya yang boleh, selagi tidak memudaratkan.

Jadi orang yang memakai tatu perlu berusaha untuk menghilangkan tatu tersebut dengan menggunakan cara yang tidak membahayakan diri dan nyawa mereka.

Cuma, lebih elok dan sopan, andainya orang-orang yang tidak dapat menghilangkan tatunya bertindak menyembunyikan tatu tersebut daripada pandangan umum, seperti memakai baju berlengan panjang. Ini adalah untuk mengundang fitnah dan salah sangka.

Hukum bertatu iaitu (pembuat tatu dan orang yang meminta dibuat tatu) mengikut pandangan Islam adalah haram.

Hukum Bertatu Mengikut Pandangan Islam Mesyuarat Jawatankuasa Perunding Hukum Syarak Negeri Pahang Kali Ke-2/2009, pada 29 Mei 2009, selari dengan Pandangan Islam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-86 yang bersidang pada 21–24 April 2009 telah membincangkan Hukum Bertatu Mengikut Pandangan Islam.

KETERANGAN/HUJAH:

Hukum tatu adalah jelas dilarang dalam Islam. Ini berdasarkan kepada Hadith Rasululllah SAW yang bermaksud, "Daripada Ibnu Umar R.Anhuma, sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda, “Allah melaknat perempuan yang menyambung rambut dan minta disambungkan rambutnya, perempuan yang membuat tatu dan yang meminta dibuat tatu.” (Riwayat al-Bukhari)

Dr Yusuf al-Qaradhawi dalam kitabnya al-Halal wa al-Haram fi al-Islam mengatakan bahawa bertatu di badan adalah perbuatan yang dilaknat oleh Rasulullah SAW dalam hadithnya bermaksud, "Rasulullah SAW melaknat perempuan yang mentatu dan minta ditatu, dan yang mengikir gigi dan yang minta dikikir giginya.” (Riwayat al-Thabrani)

Imam al-Nawawi dalam kitabnya al-Minhaj fi Sharh Sahih Muslim menyatakan bahawa hukum bertatu adalah haram kerana perkataan laknat dalam hadith Rasulullah SAW menunjukkan pengharaman perbuatan tersebut. Di samping itu juga, tempat yang ditatu tersebut akan menjadi najis.

Islam tidak memberatkan umatnya. Kaedah yang digunakan iaitu sekiranya sesuatu yang dilakukan itu boleh mendatangkan bahaya dan mudarat pada diri, maka ia perlu dielakkkan. Kaedah ini juga terpakai bagi seorang muslim yang bertatu dan telah bertaubat daripada perbuatan tersebut.

Banyak cara diperkenalkan untuk menghilangkan tatu dan orang yang memakai tatu perlu berusaha untuk menghilangkannya dan menggunakan cara yang tidak membahayakan diri dan nyawa mereka.

Mereka yang bertatu tetapi telah menyesal dan bertaubat dari perbuatan tersebut tetapi tidak boleh menghilangkannya dengan cara yang selamat, boleh melakukan ibadat solat dan ibadat-ibadat yang lain.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Tatu Sebagai Simbol Kuasa Dalam Kumpulan Kongsi Gelap

sumber: mufti

Friday, December 29, 2017

Bolehkah Isteri Minta Cerai Jika Tidak Puas Seks?

Bolehkah Isteri Minta Cerai Jika Tidak Puas Seks?

Apabila sepasang lelaki dan wanita bernikah, maka kedua-duanya mempunyai hak dan tanggungjawab ke atas pasangannya dan antara tanggungjawab dan hak masing-masing ialah isteri bertanggungjawab untuk melayan suaminya dan suami pula bertanggungjawab untuk memberi nafkah kepada isterinya.

Bolehkah Isteri Minta Cerai Jika Tidak Puas Seks?
Gambar hiasan.

Dalam persoalan hubungan kelamin, ia bukan hanya hak suami yang perlu ditunaikan oleh isteri tetapi juga hak isteri yang wajib ditunaikan oleh si suami.

Suami yang dengan sengaja tidak memberi nafkah batin dan kebendaan kepada isterinya tanpa sebab-sebab yang diterima oleh syara’ adalah berdosa.

Terdapat 2 Tuntutan Cerai Yang Boleh Di Mohon Oleh Isteri Dalam Kes Ini.

1 – Tuntutan Cerai Dengan Taklik

Cerai taklik berdasarkan peruntukan Seksyen 50 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam ialah lafaz perjanjian yang dibuat oleh suami selepas akad nikah mengikut hukum syarak dan peruntukan undang-undang.

Lafaz taklik negeri adalah berbeza antara satu negeri dengan negeri lain. Hanya isteri boleh menuntut cerai taklik.

Lafaz taklik perlu dibaca dan ditafsirkan secara keseluruhan, bukan separuh atau sekerat saja.

Lazimnya di Malaysia pernikahan dilakukan dengan lafaz perjanjian taklik oleh suami.

Seandainya suami telah melafazkan taklik bahawa sekiranya beliau tidak memberikan nafkah zahir dan batin selama 3 bulan atau lebih si isteri boleh mengadu ke Mahkamah Syariah dan jika didapati benar aduannya maka jatuhlah satu talak.

Dalam kes di atas, pihak isteri telah menyatakan bahawa beliau tidak pernah mendapat kepuasan dalam hubungan kelamin selama perkahwinannya iaitu 10 tahun ini.

Meskipun telah mendapat anak, namun itu bukanlah ukuran untuk membuktikan kepuasan seks isteri.

Dalam keadaan yang sama juga si isteri telah berbincang dengan suami dan telah berusaha berkali-kali tetapi tiada tindakan serius oleh pihak suami.

Dalam situasi ini pihak isteri boleh mengemukakan aduan kepada Mahkamah Syariah untuk tindakan lanjut.

2- Tuntutan Cerai Dengan Fasakh

Fasakh mengikut Seksyen 2 (1) Enakmen Undang-undang Keluarga Islam didefinisikan sebagai pembubaran nikah disebabkan sesuatu hal keadaan yang diharuskan oleh hukum syarak mengikut seksyen 53.

Jika pihak lelaki mempunyai hak untuk menceraikan isteri dengan melafazkan talak, si isteri pula boleh memohon cerai dengan Fasakh.

Bagaimanapun, fasakh yang boleh dituntut oleh isteri bergantung kepada beberapa keadaan yang telah ditetapkan oleh undang-undang.

Untuk kes di atas, sila semak tulisan berwarna merah yang telah saya tandakan di bawah:

Semua Undang-undang Keluarga yang digubal sejak tahun 1983 mengiktiraf bahawa seorang isteri dibenarkan memohon fasakh di Mahkamah atas satu atau beberapa alasan yang telah disenaraikan dan diperuntukan dalam Undang-undang Keluarga Islam di tiap-tiap negeri. Di Negeri Perak, alasan yang disenaraikan sebagaimana yang diperuntukkan,dalam Seksyen 49, Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Perak, Bil 13, Tahun 1984,

a) Bahawa suami telah mati pucuk dan masih lagi sedemikian keadaannya dalam masa setahun setelah dibuat pengaduan.

b) Bahawa suami telah gila atau sedang mengidap penyakit kusta atau vitiligo atau sedang mengidap penyakit kelamin dalam keadaan boleh berjangkit selama tidak ada kenyataan yang terang menunjukkan relanya dengan penyakit tersebut.

c) Bahawa izin isteri terhadap perkahwinan itu telah diberi secara tidak sah samada oleh sebab paksaan, kesilapan ketidak sempurnaan akal atau pun lain-lain sebab mengikut Hukum Syarak,

d) Bahawa pada masa perkahwinan itu, suami adalah seorang yang sakit otak (samada berterusan atau berselangan) dalam erti Ordinan sakit 0tak 1952 dari jenis atau setakat yang menjadikannya tidak layak untuk berkahwin;

e) Atas apa-apa alasan lain yang diiktiraf sebagai sah bagi membubarkan perkahwinan atau bagi fasakh menurut Hukum Syarak”.

Manakala dalam enakmen Undang-undang Keluarga Islam Kelantan No. 1, tahun 1983, Seksyen 38 selain dari memperuntukkan sebagaimana Undang-undang Bil.13/1984 (Perak), ia juga ada memperuntukkan alasan bahawa isteri yang telah dikahwinkan oleh bapanya atau datuknya sebelum ia cukup umur mengikut Hukum Syarak yang mana ia boleh menolak perkahwinan tersebut setelah mencapai umur 18 tahun.

Penambahan kepada 3 alasan yang lain sebagaimana yang diperuntukkan dalam Seksyen 44 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Kedah, Bil. 1/1984 iaitu:

a) Bahawa suaminya, kerana kepapaan tidak mampu menyarainya

b) Bahawa isterinya mempunyai kecacatan yang menghalang persetubuhan dilakukan,

c) Bahawa suaminya mempunyai kemaluan yang luar biasa.

Bagaimanapun bagi negeri-negeri Terengganu, Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan, Negeri Sembilan dan Selangor 28 telah memperuntukkan alasanalasannya dengan agak luas sebagaimana:

a) Tempat di mana beradanya suami telah tidak diketahui selama tempoh lebih daripada satu tahun.

b) Bahawa suami telah cuai atau tidak mengadakan peruntukan nafkahnya selama tempoh tiga tahun.

c) Bahawa suami telah dihukum penjara selama tiga tahun atau lebih

d) Bahawa suami telah tidak menunaikan, tanpa sebab yang munasabah, kewajipan perkahwinan (nafkah batin) selama tempoh satu tahun

e) Bahawa suami menganiayainya, iaitu antara lain:
  • lazim menyakiti atau menjadikan kehidupannya menderita disebabkan oleh kelakuan aniya (ketidakpuasan seks adalah satu penderitaan batin), atau
  • berkawan dengan perempuan-perempuan jahat atau hidup berperangai keji mengikut pandangan Hukum Syarak, atau
  • cuba memaksa isteri hidup secara lucah, atau
  • melupuskan harta isteri atau melarang isteri itu dari menggunakan hak-haknya di sisi-undang-undang terhadap harta itu, atau
  • menghalang isteri dari menunai atau menjalankan kewajipan atau amalan agamanya, atau
  • jika ia mempunyai isteri lebih daripada seorang, dia tidak melayani isteri yang berkenaan secara adil mengikut kehendak Hukum Syarak

f) Bahawa walaupun empat bulan berlalu tetapi isteri masih belum disetubuhi oleh kerana suami bersengaja enggan menyetubuhinya.

g) Apa-apa alasan lain yang diiktiraf sebagai sah bagi membubarkan perkahwinan atau fasakh di bawah Hukum Syarak.

Dengan peruntukan undang-undang di atas, tiada alasan lagi mengapa si isteri perlu malu untuk mengadu kepada Mahkamah Syariah dan tidak sepatutnya si isteri berkelakuan curang atau mencari lelaki lain sebelum bercerai dengan suaminya.

Atas sebab ini, hukuman rejam sampai mati yang dianjurkan islam kepada penzina yang telah berkahwin amatlah tepat dan bersesuaian terhadap orang yang sengaja menzalimi diri sendiri dengan perbuatan terkutuk itu!

"Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina maka rejamlah tiap-tiap mereka 100 kali rejam, dan janganlah disebabkan rasa simpati menyebabkan kamu gagal melaksanakan hukum Allah, jika kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat, dan hendaklah pelaksanaan hukum Allah disaksikan oleh sekumpulan orang." (An-Nuur 24:2)

Semoga dengan penerangan yang jelas dan panjang lebar ini dapat membantu saudari dalam menasihati teman saudari itu.

Sama-sama kita doakan semoga Allah melindunginya dan elakkan beliau dari terus curang dan melakukan perbuatan terkutuk itu.

Islam itu mudah dan sangat adil, ikutilah cara yang telah digariskan. InsyaAllah semuanya akan dapat diselamatkan dan diselesaikan dengan baik.

Saya bukan menggalakkan supaya mereka bercerai, namun jika sudah 10 tahun mengadu dan si suami tidak mengambil sebarang tindakan, perbuatan ini samalah seperti menyiksa batin si isteri.

Mengadu kepada Mahkamah Syariah dan meminta tunjuk ajar dari mereka adalah jalan terbaik. Tentang hukum samada si isteri boleh menuntut cerai atau tidak, di atas itulah jawapan saya.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: wanwma

Friday, November 10, 2017

Bolehkah Seorang Ayah Mencium Anak Perempuan Yang Sudah Baligh?

Bolehkah Seorang Ayah Mencium Anak Perempuan Yang Sudah Baligh?

Bolehkah ayah mencium anak perempuannya? Setiap kali saya ingin pulang semula ke kampus, ayah saya akan mencium saya sebelum berpisah. Bolehkah seorang ayah mencium anak perempuannya atau seorang ibu mencium anak lelakinya walaupun sudah dewasa?

Cium anak
Gambar hiasan.

JAWAPAN

Alhamdulillah, terima kasih kepada yang bertanya. Kita tidak dapat nafikan bahawa seorang ayah adalah mahram bagi puterinya dan dibolehkan bagi si anak untuk tidak berhijab dihadapan ayahnya.

Yang jadi pertanyaan disini, bolehkah seorang ayah mencium puterinya yang sudah baligh dan sebaliknya?

Diriwayatkan oleh al-Hakim di dalam al Mustadrak, Saidatina Aisyah berkata, “Aku tidak pernah melihat seseorang yang lebih mirip dengan Rasulullah SAW dalam ucapan dan perkataan daripada Fatimah r.ha. Apabila Fatimah datang kepada baginda, Baginda mengucapkan selamat dating kepadanya, berdiri menyambutnya, kemudian memegang tangannya, menciumnya dan mendudukkan Fatimah di tempat duduk beliau.” Kata Imamaz-Zahabi, “Hadis ini sahih”.

Tidak ada dosa dan kesalahan bagi seorang ayah untuk mencium puterinya yang sudah besar ataupun yang masih kecil tanpa disertai syahwat.

Namun ustaz nasihatkan supaya ciuman itu diarahkan ke pipi seorang anak atau sebaliknya apabila telah dewasa.

Ciuman pada bibir terkadang akan menggerakkan nafsu dan syahwat ditambah pula dengan suasana zaman sekarang yang memandang bahawa ciuaman mulut ke mulut adalah ciuman kemesraan pasangan kekasih. Maka meninggalkannya lebih utama dan lebih hati-hati.

Demikian pula si anak, boleh baginya mencium ayahnya pada hidung atau kepalanya tanpa disertai syahwat.

Seorang ibu juga boleh mencium anak lelakinya di dahi, pipi atau diatas kening dan begitulah sebaliknya.

Adapun apabila ciuman itu disertai syahwat walaupun dibahagian mana sekalipun, maka haram hukumnya supaya menutup fitnah dan menutup ruang yang membawa kepada perbuatan keji.

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA: Jangan Aibkan Anak Dengan Bin Binti Abdullah

sumber: addeen

Thursday, November 09, 2017

Cara Yang Betul Untuk Berpoligami

Cara Yang Betul Untuk Berpoligami

SOALAN: Saya dan isteri berkahwin sejak 15 tahun dan dikurniakan lima anak. Baru-baru ini saya bertemu semula dengan bekas kekasih dan kami mengambil keputusan untuk mendirikan rumahtangga.

Saya yakin mampu menanggung kehidupan isteri pertama, anak dan isteri baru dengan pendapatan bulanan RM7,000. Bagaimanakah cara memohon kebenaran untuk berpoligami di mahkamah syariah?

Syarat berpoligami

JAWAPAN: Berpoligami adalah perbuatan yang diharuskan dalam Islam. Firman ALLAH SWT yang bermaksud, "Jika kamu takut bahawa kamu tidak dapat berlaku adil terhadap (hak) perempuan-perempuan yang yatim, maka kahwinilah oleh mu perempuan yang baik bagi mu, dua, tiga atau empat orang.

Tetapi jika kamu takut bahawa tidak akan berlaku adil, maka kahwinilah seorang sahaja." (Surah An-Nisa': 3)

Saya ingin mengucapkan tahniah kepada anda bersedia untuk berpoligami mengikut prosedur sebenar mahkamah syariah serta tidak mengambil jalan mudah dan pintas dengan bernikah seperti di sempadan Thailand.

Prosedur permohonan

1. Boleh dibuat di mahkamah tinggi syariah di tempat anda tinggal atau bermastautin.

2. Permohonan mesti disertai dengan:
  • Satu ikrar yang menyatakan alasan berpoligami perlu dan patut;
  • Pendapatan pemohon ketika itu;
  • Butir-butir komitmen dan tanggungan kewangan;
  • Bilangan orang yang akan menjadi tanggungan pemohon;
  • Sama ada pemohon mendapat keizinan atau pandangan untuk berpoligami daripada isteri atau isteri-isteri pemohon sedia ada.

Walaupun isteri anda memberi keizinan, tapi terdapat faktor lain yang perlu dilihat oleh mahkamah sebelum memberi perintah kebenaran untuk berpoligami.

Faktor isteri tidak memberi keizinan juga bukan ukuran kepada mahkamah untuk tidak membenarkan pemohon untuk berpoligami.

Begitu juga dengan pendapatan kewangan yang diperoleh pemohon. Dalam kes ini, walaupun pendapatan anda mencapai RM7,000 sebulan termasuk elaun, tapi ia juga tidak menjamin anda mendapat kebenaran dari mahkamah syariah.

Perkara asas dinilai mahkamah mengikut Seksyen 23(5) Akta Undang-undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1998:
  • Mahkamah akan melihat sama ada perkahwinan yang dicadangkan itu patut dan perlu dengan melihat kepada sama ada isteri pemohon tidak dapat melahirkan zuriat.
  • Isteri sedia ada mengalami keuzuran jasmani hingga menyebabkan tidak mampu melakukan persetubuhan atau isteri sedia ada adalah seorang yang gila.
  • Sama ada pemohon berupaya atau mampu untuk memberikan layanan adil kepada semua isterinya mengikut kehendak syarak.
  • Perkahwinan yang dicadangkan oleh pemohon tidak akan mendatangkan darar syarie kepada isteri atau isteri-isteri yang sedia ada. 
  • Darar syarie ialah bahaya kepada isteri sama ada daripada segi agama, nyawa, tubuh badan, akal fi kiran, maruah atau harta benda mengikut syarak.
  • Isteri atau isteri-isteri sedia ada juga akan memberi keterangan di mahkamah sama ada pemohon layak untuk berpoligami atau tidak.
  • Setelah mahkamah meneliti permohonan pemohon, ikrar pemohon serta jawapan isteri atau isteri-isteri sedia ada dan setelah mahkamah meneliti keterangan pemohon, bakal isteri, wali kepada bakal isteri dan syarat-syarat untuk berpoligami, barulah mahkamah akan memutuskan sama ada pemohon layak atau tidak.

Islam memang membenarkan seorang lelaki mengahwini lebih daripada seorang wanita dengan syarat lelaki itu boleh berlaku adil secara sepenuhnya kepada semua isteri. Bagaimanapun, mampukan lelaki itu bersikap adil dalam berpoligami?

Firman ALLAH SWT yang bermaksud:"Kamu tidak akan berkuasa berlaku adil antara perempuan itu, meskipun kamu sangat ingin demikian." - (Surah An-Nur: 129)

Nota: Bukan mudah ya untuk beristeri lagi! Fikir-fikirkanlah.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: sinarharian

Friday, November 03, 2017

Sejarah Asal-usul Memakai Pakaian Hitam Ketika Majlis Kematian

Sejarah Asal-usul Memakai Pakaian Hitam Ketika Majlis Kematian

Seringkali kita melihat apabila ada kematian, budaya memakai pakaian berwarna hitam pasti berlaku, seolah-olaj mengenakan pakaian hitam ketika menziarah atau berlaku kematian bagaikan perkara WAJIB dalam kebanyakan masyarakat hari ini.

Pakaian hitam

Tanda penghormatan? Berkabung? Namun, tahukah anda asal-usul dan apa hukumnya dalam Islam memakai pakaian hitam ketika majlis kematian?

Asal-usul pakaian hitam

Berpakaian hitam kerana berlaku kematian sudah mahsyur dan menjadi kebiasaan diamalkan oleh masyarakat kristian eropah sejak abad pada 19.

Ketika Raja Albert meninggal dunia pada tahun 1861, balunya Ratu Victoria telah mengamalkan tradisi berpakaian hitam ini dan diberitakan Ratu memakainya selama 40 tahun.

Menurut pakar sejarah eropah, berpakaian hitam ketika kematian bermula lebih awal lagi iaitu di abad yang ke 17.

Ketika Inggeris diperintah oleh Sir Oliver Cromwelll pada tahun 1653-1658, beliau melarang rakyatnya hidup mewah, termasuk dalam soal berpakaian. Kaum wanita dikehendaki memakai gaun labuh yang berwarna hitam.

Ane Holander menyebutkan tiga mazhab kristian katolik yang memakai pakaian hitam ketika kematian samada hitam keseluruhan seperti mazhab Benedictine. Manakala mazhab Augustine dan Dominican memakai hitam dan putih.

Menurut Franco Piponnier dan Perrine Manne dalam buku bertajuk Dress in the Middle Ages, bahawasanya berpakaian hitam ketika berlaku kematian asalnya dari Sepanyol pada abad pertengahan yang kemudian ditiru oleh masyarakat Inggeris dan Perancis.

Al-Hafiz Al-Imam As-Suyuthi berkata pada kitabnya, “Al-Awa’il” bahawa orang-orang kristian koptik Mesir memakai pakaian berwarna hitam untuk menunjukkan kesedihan dalam masa berkabung bila berlaku kematian dikalangan mereka.

Hukum

Memakai pakaian berwarna hitam bukan sebab berlaku kematian adalah harus kerana Nabi SAW pernah memakai pakaian berwarna hitam.

Memakai pakaian hitam kerana meniru budaya orang kafir adalah haram kerana hadis yang ertinya, “Sesiapa yang meniru/menyerupai suatu kaum, maka ia termasuk dari kalangan mereka.“

Berkata Imam ‘Izzuddin bin Abdussalam, adalah harus memakai pakaian hitam sebab ia dibolehkan oleh syarak, melainkan jika dalam memakainya adalah kerana meniru/menyerupai orang-orang kafir, maka hukumnya diharamkan.

Imam Ghazali menyebut didalam Ihya 'Ulumuddin bahawa hukum memakai pakaian hitam ketika kematian adalah haram kerana termasuk tasyabbuh (menyerupai) dengan cara hidup dan pakaian agama lain

Oleh itu jika kebetulan kita sedang memakai pakaian berwarna hitam lalu mendengar berita kematian, harus hukumnya terus memakai pakaian tersebut dan harus pula pergi ke tempat berlaku kematian samada kerana mengucapkan takziah atau sembahyang atau mengikut jenazah ke kubur.

Tetapi, jika tidak berpakaian hitam lalu menukar pakaian hitam kerana mendengar berita kematian atau kerana hendak ziarah kematian maka hukumnya adalah haram.

Begitu juga haram membuat peraturan kemestian memakai warna hitam bila berlaku kematian atau menyuruh atau berpesan kepada orang lain supaya memakai warna hitam sebab ada berlaku kematian.

Wallahu a'lam

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Apa Hukum Membawa Kanak-kanak Ke Masjid?

sumber: facebook

Friday, July 28, 2017

Eyelash Extention Hukumnya Haram, Peringatan Untuk Wanita Yang Taksub Kelihatan Cantik

Eyelash Extention Hukumnya Haram, Peringatan Untuk Wanita Yang Taksub Kelihatan Cantik

Pastinya semua wanita ingin kelihatan cantik bagi memenuhi kepuasan diri mereka. Ada sesetengah wanita yang berasa lebih confident apabila dia tambil dengan imej yang menarik dan wajah yang jelita.

Eyelash Extention Haram

Jika bulu mata pendek dan nipis, dibuatnya eyelash extention, rambut konon tak cantik, ditanam pula rambut entah siapa-siapa dekat kepala tu.

Apa yang lebih membimbangkan lagi adalah apabila ada sesetengah artis wanita berhijab serta model Muslimah yang juga mempromosikan perkhidmatan eyelash extention di laman sosial tanpa berfikir panjang.

Penceramah bebas, Syamsul Amri Ismail atau lebih dikenali sebagai Syamsul Debat telah memberi ulasan lanjut tentang perkara ini.

“Memang haram hukumnya sambung rambut ni. Tak kisahlah sama ada sambung rambut, bulu mata, jambang atau pun bulu hidung.”

“Ia boleh menjadi fitnah kerana mengubah ciptaan Allah dan menyambung rambut yang menyerupai kejadian asal bulu mata,” katanya.

Ulasan Syamsul Debat ini juga ada kaitannya dengan perbuatan sesetengah selebriti wanita tempatan yang kelihatan secara sengaja telah mengakui terang-terangan perbuatan mereka.

Ada yang melakukan eyelash extention dan turut menggalakkan orang awam lain untuk melakukan perkara yang sama seperti itu.

Tambah pendakwah selebriti ini lagi, ada perbezaan pendapat yang berkaitan pemakaian bulu mata palsu.

“Ada pandangan ulama yang bulu mata palsu (pakai buang) itu menyerupai kejadian asal bulu mata yang asli, jadi hukumnya haram.”

Syamsul Debat

“Namun, ada pandangan dari segi syarak dibenarkan seandainya berniat menghiaskan diri untuk suami atau kerana faktor kesihatan atau kecacatan hingga memaksa dia pakai bulu mata palsu itu.”

“Tapi janganlah berlebih-lebihan macam bulu mata tarian singa tu pula,” ujar Syamsul Debat yang kelihatan berseloroh di hujung talian.

Jadi yang mana kita nak ambil iktibar? Nampak cantik tapi dalam masa yang sama dapat dosa. Kita nak kumpul pahala, bukan kumpul dosa.

Moga-moga tiada mana-mana artis wanita berhijab yang terasa dengan artikel ni sebab kita takda mention siapa-siapa pun di sini.

Kalau bukan artis sekalipun, ada juga para Instafamous yang buat benda macam ni.

BACA INI JUGA: Apa Hukum Berduaan Bersama Pemandu Bukan Mahram?

sumber: mynewshub

Monday, June 19, 2017

Apa Hukum Menjual Mercun Kepada Orang Lain Sedangkan Kita Tahu Bahayanya?

Apa Hukum Menjual Mercun Kepada Orang Lain Sedangkan Kita Tahu Bahayanya?

Hukum menjual mercun kepada orang lain sedangkan penjual tahu ia akan memberi keburukan dan boleh memudaratkan orang lain dikategorikan sebagai syubhah.

HUKUM menjual mercun

Perkara itu disahkan oleh Imam Besar Terengganu, Aizi Saidi Abdul Aziz merujuk sebuah hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim yang menjelaskan, perkara yang halal itu jelas dan perkara yang itu jelas, manakala perkara yang berada di tengah-tengahnya adalah perkara syubhah.

Menurutnya, barang siapa yang terlibat dengan syubhah, bererti ia terlibat dengan perkara yang haram.

“Hadis ini dengan jelas menyuruh umat Islam supaya mengelakkan daripada menghampiri dengan perkara yang masih tidak jelas.

"Perkara syubhah ertinya perkara yang berada dalam kesamaran, tidak jelas hukumnya sama ada halal atau haram.

“Kita tahu menjual mercun akan memudaratkan orang lain, jadi lebih baik ia ditinggalkan. Kalau nak diharamkan, memang patut kerana selain memberikan kesukaran dan mudarat kepada orang lain, duit juga dihabiskan begitu sahaja, ibarat kita membakar duit,” katanya.

Jelasnya, seeloknya peniaga menjual barangan yang boleh dimanfaatkan orang ramai dan bukannya menjual barangan yang tidak elok yang boleh memberikan keburukan kepada orang lain.

Malah katanya, duit hasil jualan mercun itu walaupun hasil jualan sendiri dan tidak dicuri, ia masih tidak bagus atau ‘tidak comel’ untuk digunakan.

“Kita tidak boleh lihat nilainya pada duniawi sahaja, tetapi akhirat nanti, bagaimana? Sebaiknya kita menjauhkan diri daripada perkara yang boleh membawa kemusnahan kepada diri sendiri dan juga orang lain.

“Pernah atau tidak kita terfikir, ada yang kudung tangan, mati dan cedera kerana menggunakan barang yang kita jual kepada mereka?” katanya.

Malah katanya, orang ramai juga tidak perlu membazirkan duit membeli mercun kerana ia langsung tidak memberikan faedah atau manfaat.

Afdalnya kata beliau, duit itu dibelanjakan dengan lebih baik, seperti memberi sumbangan dan membantu golongan yang memerlukan, yang akan membawa kebaikan di dunia dan akhirat.

BACA INI JUGA: Ngeri! Video Badan Hancur Angkara Mercun!

sumber: sinarharian

Monday, February 02, 2015

Haram Buat Binaan Batu Kekal Di Kubur - Mufti Pahang

Haram Buat Binaan Batu Kekal Di Kubur - Mufti Pahang

“Hukum membina binaan kekal di tanah perkuburan, hukumnya haram,” tegas Mufti Pahang, Dr Abdul Rahman Osman ketika diminta mengulas mengenai tindakan sebahagian masyarakat Islam kini yang gemar membuat binaan konkrit kekal pada pusara ahli keluarga mereka.

Abdul Rahman
Dr Abdul Rahmanketika melawat perkiburan Sungai Puteri.

Beliau berkata, tanah perkuburan adalah tanah wakaf dan ia tidak boleh menjadi hak milik.

“Sekarang ni, ramai waris kepada pusara-pusara Islam buat binaan kekal seperti memasang konkrit yang siap dipasang batu marmar, kadang-kala siap dipasang pagar… itu tidak boleh.

Jika berlaku sedemikian, itu bermakna hak bahagian orang lain telah kita ambil. Sedangkan, tanah kubur adalah tanah wakaf. Maka, haram hukumnya di dalam Islam.

“Tetapi, jika waris hendak buat binaan kekal sedemikian ia boleh dilakukan, dengan syarat jenazah berkenaan dikebumikan di tanah milik sendiri.

Tetapi, jenazah umat Islam lebih baik dikebumikan di tanah perkuburan iaitu di tempat yang ramai,” jelasnya ketika ditemui di majlis meletakkan papan tanda petunjuk arah kiblat di Tanah Perkuburan Islam Sungai Puteri, di sini yang turut dihadiri Adun Tioman, Datuk Mohd Johari Hussain dan Kadi Daerah Rompin, Adnan Mamat.

Menyentuh mengenai keadaan beberapa pusara di tanah perkuburan tersebut yang dilihat turut dibina binaan kekal oleh pihak waris, Abdul Rahman berkata, pusara-pusara lama sedemikian tidak perlu dipecahkan untuk diganti semula dengan yang baharu.

“Pusara-pusara lama di sini yang telah dibuat binaan kekal tidak mengapa… cuma kini kita akan fokus pada kubur-kubur baharu supaya pihak waris tidak membuat binaan kekal.

"Waris kepada pusara lama di sini mungkin tidak tahu mengenai hal ini sebelum ini.

Sehubungan itu, ia tidak mengapa…” jelasnya.

Dr MAZA Dilantik Mufti Perlis Sekali Lagi

Dr Mohd Asri

Sementara itu, tokoh Islam dan bekas Mutfi Negeri Perlis Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dikhabarkan akan kembali dilantik ke jawatan berkenaan sekali lagi esok (hari ini) selepas enam tahun.

Dr Mohd Asri akan mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Dr Juanda Jaya yang mengakhiri tempoh perkhidmatannya hujung tahun lepas.

Sebelum ini, beliau pernah berkhidmat sebagai Mufti Perlis dari tahun 2006 hingga 2008.

Dengan pelantikan ini, Dr Mohd Asri akan menjadi satu-satunya mufti yang dilantik dua kali ke jawatan yang sama.

Laman web The Star memetik sumber dari Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) berkata pelantikan akan dibuat secara rasmi hari ini dan beliau akan mula bertugas pada esok.

Difahamkan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail memperkenan pelantikan beliau.

Dr Asri atau lebih dikenali sebagai Dr MAZA di laman media sosial dikenali sebagai seorang yang lantang jika memberi pendapat atau reaksi beliau kepada beberapa isu.

Pada tahun 2006, Dr Mohd Asri dilantik sebagai Mufti Perlis ketika sedang berkhidmat sebagai seorang pensyarah di Universiti Sains Malaysia, Mufti termuda untuk memegang jawatan sebagai mufti.

Beliau merupakan lulusan Ijazah Sarjana Muda, University Of Jordan dan pemegang Ijazah Doktor Falsafah (PHD) dari University Of Wales.

Dr Mohd Asri dikenali sebagai pakar dalam ilmu Hadith dan Fiqh.

Sumber: SinarOnline/Mynewshub.cc