Thursday, June 02, 2022

Amber Heard Penipu, Johnny Depp Menang Saman Fitnah!

Amber Heard Penipu, Johnny Depp Menang Saman Fitnah!

Selepas enam minggu perbicaraan kes saman fitnah Johnny Depp, 58, terhadap bekas isteri, Amber Heard, 36, juri yang bersidang di Mahkamah Circuit, Fairfax Country, Virginia, memutuskan bahawa pelakon Pirates of the Caribbean itu dibayar ganti rugi AS$15 juta (RM65.7 juta).

Johnny Depp Menang Saman Fitnah

Juri memutuskan Johnny Depp dibayar AS$10 juta (RM43.8 juta) dalam bentuk ganti rugi pampasan dan AS$5 juta (RM21.9 juta) dalam bentuk ganti rugi punitif.

Jumlah itu kemudiannya dikurangkan kepada AS$10.35 juta (kira-kira RM45 juta) sejajar dengan had punitif yang dibenarkan undang-undang di negeri itu.

Tujuh juri yang mendengar perbicaraan itu mendapati bahawa artikel ditulis Amber Heard pada tahun 2018 mengenai dakwaan keganasan seksual adalah fitnah dan berniat jahat.

Juri juga membuat keputusan Amber Heard dibayar ganti rugi pampasan sebanyak AS$2 juta (RM8.7 juta), dalam perbicaraan penuh kontroversi yang membabitkan pelbagai saksi dan bintang terkenal Hollywood itu.

Juri memihak kepada Amber Heard dalam satu tuntutan balasnya kepada Johnny Depp dan mengarahkannya membayar bekas isterinya itu AS$2 juta (kira-kira RM8.78 juta).

Pasangan ini bertemu pada tahun 2011 ketika berlakon filem The Rum Diary, sebelum berkahwin pada Februari 2015.

Bagaimanapun, mereka disahkan berpisah dan penyelesaian perceraian dimuktamadkan dua tahun kemudian.

Saman Fitnah

Sebelum ini, Johnny Depp memfailkan saman fitnah terhadap Amber Heard atas penulisannya untuk kolum Washington Post, dengan menuntut ganti rugi sebanyak AS$50 juta (RM218 juta).

Amber Heard yang juga pelakon filem Aquaman, membalas dengan memfailkan saman menuntut AS$100 juta (RM437.8 juta) dan mendakwa dirinya mengalami 'penderaan serta keganasan fizikal' daripada Johnny Depp.

Dalam keterangan kepada mahkamah, Johnny Depp menafikan beliau pernah melakukan penderaan fizikal terhadap Heard, sebaliknya mendakwa wanita itu yang sering bertindak ganas.

Melalui kenyataan yang dimuat naik di Instagram (IG) selepas keputusan itu, Johnny Depp meraikan kejayaan memenangi kes saman malu tersebut.

"Enam tahun lalu, hidup saya dan anak-anak termasuk mereka yang rapat dengan saya, juga mereka yang selama ini menyokong dan mempercayai saya, berubah sama sekali.

"Semuanya berlaku dalam sekelip mata. Tuduhan jenayah palsu dan serius dikenakan terhadap saya melalui media. Ini mencetuskan kebencian ramai yang berterusan biarpun tiada dakwaan dibuat ke atas saya.

"Perkara ini memberi impak terhadap kehidupan dan karier saya. Enam tahun kemudian, juri beri kehidupan saya semula. Saya sangat rendah diri," katanya yang tersentuh dengan sokongan dan kasih sayang peminat sepanjang perbicaraan berlangsung.

Melalui kenyataan penuh emosi itu, Johnny Depp berharap usaha yang dilakukan bagi memulihkan maruahnya membantu insan lain yang mungkin berdepan situasi sama.

Johnny Depp berterima kasih kepada hakim, juri, kakitangan mahkamah dan semua pihak lain termasuk kumpulan peguam yang melakukan tugas terbaik membantunya menegakkan kebenaran.

Amber Heard Tukang Fitnah

Sementara itu, dalam kenyataannya, Amber Heard meluahkan rasa kecewa dengan keputusan juri.

"Kekecewaan yang saya rasakan hari ini tidak mampu diungkap dengan kata-kata. Saya patah hati. Semua bukti yang dikemukakan tidak mencukupi.

"Saya lebih kecewa dengan impak keputusan juri ini terhadap wanita. Ini suatu 'setback' (langkah berundur) apabila wanita yang menegakkan hak namun akhirnya dimalukan.

"Ini suatu 'setback' apabila keganasan terhadap wanita tidak diberi perhatian serius.

"Saya sedih tewas kes ini. Tetapi saya lebih sedih apabila saya hilang hak yang saya fikir ada sebagai rakyat Amerika Syarikat (AS)," katanya.

TIADA PIHAK YANG MENANG

Amber Heard Liar

Kehidupan Johnny Depp dan Amber Heard tiada lagi privasi apabila kisah mereka seolah-olah 'ditelanjangkan' sepanjang prosiding berlangsung di Virginia, Amerika Syarikat (AS).

Lebih-lebih lagi apabila perbicaraan disaksikan secara langsung di seluruh dunia melalui penstriman.

Agensi berita CNN menemuramah beberapa pakar dan pemerhati industri hiburan dengan masing-masing memberi pendapat sendiri sejauh mana prosiding itu memberi kesan kepada kerjaya Johnny Depp dan Amber Heard.

Seorang 'publicist' yang enggan mendedahkan nama memberitahu, Johnny Depp mendapat sokongan padu peminat dalam media sosial terutama di platform TikTok.

Individu terbabit yang dilaporkan sudah lama mengenali Johnny Depp memberitahu, sokongan peminat sedikit sebanyak membantu Johnny Depp melangkah ke hadapan.

"Saya tidak pasti dan tidak dapat jangka apa yang membuatkan Johnny Depp nekad (mengemukakan saman fitnah). Saya percaya prosiding itu dapat membantu menaikkan semula imejnya di mata orang awam," katanya.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, karier seni Johnny Depp agak merudum dikatakan berpunca sikap dan disiplinnya.

Johnny Depp juga dikatakan boros dan sering lewat tiba di lokasi.

Seorang lagi 'publicist' terkemuka Hollywood berpendapat baik, Johnny Depp mahupun Amber Heard, masing-masing tidak bernasib baik.

"Kedua-duanya bersalah. Wang adalah toksik dan sifat tamak boleh memusnahkan seseorang. Tiada siapa antara mereka akan menang dalam kes ini," katanya.

Ejen hiburan, Darryl Marshak, pula dipetik berkata penerbit filem mungkin keberatan mengambil pelakon yang terpalit dengan kontroversi berikutan kisah mereka terlalu menjadi perhatian umum.

"Hollywood adalah tempat pelik. Apabila anda mempamerkan keburukan, semua orang yang terbabit di dalamnya akan cuba berundur daripada api yang panas," katanya.

Bagaimanapun, Marshak dilaporkan berkata, dia yakin bakat hebat dimiliki Johnny Depp dapat membantunya kembali ke layar perak.

"Hollywood mudah memaafkan. Apabila kes mereka berakhir kelak, Johnny Depp akan kembali semula ke dalam bisnes ini. Hollywood sering berubah-ubah," katanya.

Sementara itu, wakil peguam kedua-dua pihak mendakwa, masa depan anak guam mereka terjejas teruk akibat kes saman fitnah itu.

Pasukan peguam yang mewakili Johnny Depp berkata, angkara fitnah Amber Heard dalam sebuah artikel, nama anak guam mereka digugurkan daripada sekuel keenam filem Pirates of The Carribean.

Penerbit filem itu, Jerry Bruckheimer memberitahu The Times, mereka masih belum membuat keputusan mengenai pembabitan Johnny Depp dalam sekuel akan datang.

Pasukan produksi filem itu, katanya, membuat dua skrip di mana, satu daripadanya mungkin membabitkan Margot Robbie dan satu lagi tanpa Robbie.

Kali terakhir francais itu menemui penonton adalah pada tahun 2017 menerusi Pirates of The Carribean: Deam Men Tell No Tales.

Sementara itu, seorang pengarah filem Hollywood memberitahu CNN, Johnny Depp tidak akan diberi peluang menerajui filem francais besar lagi.

"Saya yakin dia masih berpeluang membintangi filem bebas kerana Johnny Depp masih mempunyai nama dan pengikut.

"Tetapi syarikat produksi terkemuka mungkin lebih berhati-hati dengan alasan insurans yang mungkin menghentikan perlindungan ke atas aktor itu kerana bimbang dengan penerimaan orang ramai berbanding syarikat berskala kecil," katanya.

Menyentuh mengenai Amber Heard pula, pengarah itu percaya perhatian yang diberikan terhadap kes perbicaraan pasangan itu tidak membantu memulihkan kembali imej Amber Heard.

Malah, wujud petisyen yang meminta agar wanita itu digugurkan daripada sekuel filem Aquaman yang sudah selesai menjalani penggambaran.

Sementara itu bagi Amber Heard, yang kurang popular berbanding bekas suaminya, pemerhati berkata kerjaya aktres itu sukar untuk diramalkan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: (1)(2)

Thursday, May 19, 2022

Potret Marilyn Monroe 'Shot Sage Blue Marilyn' Terjual RM853 Juta!

Potret Marilyn Monroe 'Shot Sage Blue Marilyn' Terjual RM853 Juta!

Potret ikonik Marilyn Monroe yang dihasilkan pada tahun 1964 oleh artis pop Andy Warhol terjual pada harga AS$195 juta (RM853 juta), menjadikan ia nilai lelongan tertinggi dalam sejarah karya seorang artis Amerika Syarikat (AS).

Shot Sage Blue Marilyn
Shot Sage Blue Marilyn.

Shot Sage Blue Marilyn ialah satu dalam siri potret yang dilukis oleh Andy Warhol mengenai pelakon itu selepas kematiannya pada 1962 dan sejak itu, ia menjadi salah satu karya seni pop yang paling terkenal.

Potret dimiliki dalam peniaga seni Switzerland, Thomas dan Doris Ammann itu dijual oleh rumah lelong, Christie's dalam satu acara lelongan di New York.

Anggaran prajualan mencapai setinggi AS$200 juta (RM200 juta). Lukisan itu dijual dengan lelongan AS$170 juta (RM744 juta). Bayaran tambahan memberikannya harga akhir AS$195 juta.

Penjualan itu memecahkan rekod sebelumnya untuk karya seni di AS.

Sebelum ini, rekod dipegang oleh lukisan dihasilkan pada tahun 1982 oleh Jean-Michel Basquiat yang dilelong dengan harga AS$110.5 juta (RM484 juta) pada 2017.

Shot Sage Blue Marilyn ialah 'kemuncak mutlak American Pop', kata Pengerusi Seni Abad ke-20 dan ke-21 di Christie's, Alex Rotter dalam satu kenyataan ketika mengumumkan lelongan.

"Lukisan itu mengatasi genre potret, menggantikan seni dan budaya abad ke-20.

"Lukisan itu dibina atas gambar promosi Marilyn Monroe untuk filem pada 1953, Niagara yang ditayangkan dengan warna terang di atas mata, rambut dan bibirnya.

"Tajuknya merujuk kepada insiden di mana seorang wanita menembak timbunan empat potret Marilyn di studio Warhol dengan pistol, walaupun Shot Sage Blue Marilyn tidak terkena peluru," katanya.

Marilyn Monroe ialah salah seorang bintang Hollywood paling terkenal sebelum kematiannya akibat mengambil pil tidur dengan dos berlebihan di rumahnya di Los Angeles pada 4 Ogos 1962.

Andy Warhol dilaporkan meninggal dunia pada tahun 1987.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: (1)

Saturday, April 30, 2022

Amber Heard Hidap Penyakit Mental Punca Hubungan Toksik!

Amber Heard Hidap Penyakit Mental Punca Hubungan Toksik!

Ketika ini nama pelakon Amber Heard menjadi bualan hangat apabila sikap buruknya terbongkar di dalam mahkamah apabila pelbagai bukti menunjukkan dia mendera bekas suaminya, aktor Johnny Depp ketika mereka berkahwin.

Amber Heard dan Johnny Depp

Namun sebelum ini, Amber mendakwa dia menjadi mangsa dera pelakon itu sehingga mengalami kecederaan dan memutuskan untuk bercerai.

Pendedahan Amber itu telah menyebabkan Johnny dibenci dan dipulau oleh rakan-rakan malah namanya digugurkan daripada membintangi filem terbaharu The Pirates of Carribean dan beberapa naskah lain.

Berang dengan keadaan itu, Johnny memfailkan saman terhadap bekas isterinya itu atas tuduhan memfitnah dan pelbagai perkara terbongkar mengenai sikap Amber.

Aktres itu dikatakan menderita masalah kecelaruan identiti iaitu Boderline Personality Disorder (BPD) dan Histrionic Personality Disorder (HPD).

Perkara itu disahkan oleh pakar psikologi forensik California, Dr Shannon Curry dalam salah satu perbicaraan kes itu baru-baru ini.

Ketika memberi kenyataan kepada mahkamah, Dr Shannon memberitahu diagnosis ini dibuat berdasarkan kajian dan temubual bersama Amber selama 12 jam malah ketika ini kesihatan mentalnya masih lagi dibawah pemantaun pakar.

Tentang BPD

Mengenai BPD yang dialami Amber, ia adalah sejenis masalah mental yang memberi kesan terhadap cara pemikiran tentang diri sendiri dan orang di sekeliling secara berterusan.

Individu yang mengalami masalah ini sukar mengawal emosi dan tingkah laku mereka selain ketidakstabilan dalam hubungan.

Orang yang menghidap BPD juga akan melakukan pelbagai percubaan untuk mencegah hal yang ditakutinya walaupun dalam keadaan terdesak.

Mereka yang menjalinkan hubungan dengan peskait BPD sangat berisiko mengalami perubahan tingkah laku yang mana pada awalnya mereka mudah didekati tetapi boleh berubah dengan drastik termasuk mengganas.

Tentang HPD

Kecelaruan Histrionic Personality Disorder (HPD) pula merupakan tingkah laku yang gemar mencari perhatian dan emosi secara berlebihan.

Menurut Dr Curry, terdapat kaitan antara dua kecelaruan personaliti ini yang secara fizikalnya sangat menarik untuk mendapatkan perhatian.

Pakar kesihatan ini turut menjelaskan artis tersebut tidak menderita Post-Traumatic Stress Disorder (PTSD) akibat penceraian.

Amber dan Johnny berkahwin pada 2015 sebelum bercerai dua tahun kemudian.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: (1)

Thursday, December 16, 2021

Robot Star Wars 'R2-D2' Bernilai RM12 Juta!

Robot Star Wars 'R2-D2' Bernilai RM12 Juta!

Robot paling terkenal, R2-D2, yang digunakan dalam beberapa filem Star Wars berjaya dijual pada harga hampir AS$3 juta (RM12.02 juta), dan menurut agensi di Los Angeles dalam katalog profil sejarahnya menyatakan, robot tersebut dipasang daripada bahagian yang digunakan dalam tiga filem Star Wars di antara 1977 dan 1983 dan dua filem di antara 1999 dan 2005.

R2-D2 and C-3PO

Watak setinggi 109 sentimeter itu sebahagian besarnya dilakonkan aktor Inggeris, Kenny Baker yang terkenal dengan jenakanya.

Difahamkan, robot yang dijual itu mempunyai alat mekanikal dalaman dan bahagian luarnya diperbuat daripada aluminium, besi dan gentian kaca.

Pembeli yang enggan dikenali itu membayar AS$2.76 juta (RM11.85 juta) untuk robot itu, menjadikan ia lelongan termahal dalam sesi tiga hari membabitkan peralatan lakonan Hollywood.

Ia termasuk banyak alat lakonan lain daripada syarikat Lucasfilm, dengan lelongan keseluruhan berjumlah AS$14 juta (RM60.11 juta).

Pedang cahaya Skywalker daripada dua filem pertama, 'A New Hope' dan 'The Empire Strikes Back' berjaya dilelong pada harga AS$450,000 (RM1.93 juta).

Manakala topeng Darth Vader daripada filem asal dijual pada harga AS$96,000 (RM412,000).

Makna Nama Robot R2D2 Dan C-3PO

Robot kecil dan comel, R2-D2 seringkali menjadi antara robot ikonik di dalam filem Star Wars dan ramai yang tahu bahawa robot tersebut dinamakan R2-D2 kerana ianya singkatan dari "Second Robotic Droid Series-2".

Namun, di sebalik nama itu, ramai yang tidak tahu bahawa pada asalnya, George Lucas tidak mahu menamakan robot tersebut R2-D2.

Dalam satu post Twitter, pengarah kreatif Lucasfilm, Phil Szostak mendedahkan bahawa nama R2-D2 sebenarnya diambil daripada teriakan seorang kru ketika penggambaran filem tersebut.

Sekarang anda sudah tahu asal usul nama robot R2D2.

Bagaimana pula dengan sahabatnya, C-3PO? Nama C-3PO diambil dari lokasi sebuah pejabat pos yang terletak pada titik rujukan C3 di peta bandar kelahiran George Lucas.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: 1 | 2

Thursday, March 04, 2021

Bisnes Ganja Mike Tyson Hasilkan Untung RM2 Juta Sebulan!

Bisnes Ganja Mike Tyson Hasilkan Untung RM2 Juta Sebulan!

Mike Tyson yang berjaya menghasilkan kekayaan sekitar £500,000 atau RM2 juta sebulan, hasil daripada hasil penanaman ganja di tanah seluas 169,1586 hektar, kini sedang merancang untuk membina sebuah kerajaan ganja.

Bisnes Ganja

Legenda sukan tinju ini mula menjual ganja sejak 2016 melalui label Tyson Holistic, melalui perniagaan yang menawarkan ganja jenis premiun sahaja, berjaya menghasilkan keuntungan RM2 juta setiap bulan.

Selain daripada itu, Mike Tyson juga sedang membangunkan pusat percutian di tanah yang sama dan bercadang untuk menjadikan tempat itu sebagai kawasan festival muzik.

Mike Tyson juga bercadang untuk membina Tyson University yang akan memberi pendidikan kepada petani mengenai penanaman ganja.

Setelah bertahun-tahun bergelumang dengan dadah, Mike Tyson mengakui merasa selesa dengan penggunaan ganja.

Menurut Mike Tyson, mengambil ganja menjadikan seseorang itu lebih tenang dan disebabkan itu, dia memilih untuk bekerjasama dengan ahli perniagaan Rob Hickman, dengan tujuan untuk mengubah hidupnya dan mengenali selok belok perniagaan ganja.

Rancangan untuk membina kerajaan ganja hadir pada 2018, Tyson mendedahkan bahawa dia mahu mengembangkan perniagaannya kepada taman tema yang bertemakan ganja pada tanah seluas 169,5168 hektar.

Digambarkan sebagai 'wonderland of weed', para tetamu boleh menghisap ganja di mana sahaja di dalam taman tema terbabit.

Namun, apa yang beliau harapkan adalah taman tema ini bukan sahaja menjadi tempat percutian, tetapi ia juga akan mempromosikan kesihatan dan kesejahteraan.

Pelanggan juga boleh memilih untuk tinggal di hotel mewah atau berkhemah di kawasan lapang.

Taman tema ini juga akan menawarkan sungai terpanjang di dunia dan membolehkan para pengunjung menaiki rakit untuk meninjau kawasan sekitar.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: thevocket

Thursday, January 07, 2021

Kim Kardashian Dan Kanye West Bercerai!

Kim Kardashian Dan Kanye West Bercerai!

Bintang realiti, Kim Kardashian, 40, dan penyanyi rap Kanye West, 43, dilaporkan bercerai selepas tujuh tahun berkahwin, namun kedua-dua pihak masih mengunci mulut mengenai perpisahan itu kerana masih dalam proses menguruskan perceraian.

Kim Kardashian

Menurut sumber, Kardashian dan West seboleh-bolehnya tidak mahu berita berkenaan diperbesar-besarkan.

"Mereka tidak mahu menghebohkannya namun hubungan memang sudah berakhir," katanya.

Menurut laporan E! News, Kardashian belum memfailkan cerai secara rasmi kerana mahu memastikan dia mengambil keputusan yang tepat untuk anak-anak mereka.

Kardashian dan West mendirikan rumah tangga pada Mei 2014 dan dikurniakan empat cahaya mata iaitu North, 7; Saint, 5; Chicago, 2; dan Psalm, 1.

Mereka dikatakan sudah tidak tinggal sebumbung selama beberapa bulan dan rumah tangga mula bermasalah besar sejak pertengahan tahun 2020 yang lalu.

Kanye West Hidap Bipolar

Pada tahun 2018 yang lalu, Kanye West pernah mendedahkan dia menghidap penyakit mental, Bipolar.

Menurut Kanye, dia sudah lama mengalami masalah tersebut namun hanya mula mendapatkan bantuan kerana ingin berhadapan dengan penyakit tersebut.

Dalam pada itu, Kanye berkata, dia tidak pernah melihat penyakit itu sebagai satu kecacatan atau kelemahan sebaliknya menyifatkan ia memberi banyak kelebihan kepadanya.

Apa Itu Bipolar?

BIPOLAR adalah sejenis penyakit mental melibatkan gangguan emosi yang ketara, yang dahulunya dikenali sebagai 'manic depression' tetapi istilah ini tidak lagi diguna pakai dalam bidang perubatan masa kini.

Adakalanya penyakit ini juga dikenali sebagai kecelaruan dwikutub, kerana terdapat kecelaruan emosi pada dua kutub yang berbeza di mana episod kemurungan dan episod gembira yang melampau dialami oleh seseorang individu.

Perasaan gembira yang melampau ini dikenali sebagai fasa 'mania' dan jika gejala 'mania' tersebut tidak begitu ketara, ia dikenali sebagai 'hypomania'.

Kecelaruan emosi berbeza mengikut individu

Ada individu mengalami perubahan emosi yang berubah silih berganti dalam jangka masa cepat pada suatu masa dan ada juga mengalami fasa kemurungan atau fasa mania berpanjangan.

Perubahan emosi tidak stabil serta ketara inilah yang menyebabkan kesukaran dalam menjalani kehidupan harian.

Ia merupakan penyakit mental yang boleh berulang terutamanya jika tidak mengambil rawatan atau mengalami tekanan hidup.

Secara teorinya, kecelaruan emosi ini adalah disebabkan oleh ketidakseimbangan bahan kimia (neurotransmitter) di dalam otak iaitu Serotonin dan Dopamin.

Kedua-dua bahan kimia ini adalah lebih tinggi dari biasa pada fasa mania dan rendah pada fasa kemurungan.

Serotonin memainkan peranan yang penting dalam emosi manakala Dopamin pula penting dalam pengawalan pergerakan, fokus dan motivasi.

Bagaimanapun, berbanding penyakit kecelaruan psikosis seperti schizophrenia, penyakit yang melibatkan kecelaruan emosi seperti bipolar mempunyai tahap penyembuhan serta prognosis yang lebih baik.

Ramai di antara mereka yang mempunyai penyakit ini boleh berfungsi dengan baik di antara episod penyakit.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: 1 | 2 | 3

Wednesday, November 04, 2020

Sean Connery, James Bond Pertama Meninggal Dunia

Sean Connery, James Bond Pertama Meninggal Dunia

Pemergian bintang Hollywood legenda, Sean Connery, 91, mati dalam tidur di kediamannya di The Bahamas, Kepulauan Caribbean, pada Sabtu (31 November 2020) diratapi keluarga, rakan selebriti, penerbit dan peminat seluruh dunia.

Sean Connery

Memetik laporan BBC, berita sedih berkenaan disahkan keluarga aktor kelahiran Edinburgh, Scotland itu, selain diumumkan dalam akaun Twitter rasmi, James Bond.

Isteri, Micheline Roquebrune dan dua puteranya, Jason dan Stephane mengesahkan Connery menghembuskan nafas terakhir dalam keadaan tenang ketika tidur dan dikelilingi ahli keluarga.

"Upacara pengebumian akan diadakan secara tertutup, diikuti dengan majlis peringatan yang masih dalam perancangan selepas pandemik COVID-19 berakhir," kata wakil keluarga.

Micheline, 91, menceritakan detik terakhir sebelum mendiang suaminya yang menderita penyakit Demensia meninggal dunia.

Penyakit Demensia atau lebih dikenali sebagai 'nyanyuk' yang berkaitan dengan daya ingatan disebabkan kematian sel otak secara abnormal.

Menerusi dailymail.co.uk, Micheline mengakui, penyakit Demensia mengorbankan suaminya, bagaimanapun sempat menghabiskan masa bersama pada saat akhir.

Pelukis Maghribi-Perancis itu memberitahu, "Tiada lagi kehidupan baginya. Beliau sudah tidak dapat menguruskan diri, sejak akhir ini. Mati dalam tidur, keadaannya amat tenang. Saya bersamanya sepanjang masa.

"Penyakit Demensia merugikannya. Bagaimanapun, beliau dapat menunaikan hasrat terakhir iaitu melarikan diri daripada keributan dunia selebriti.

"Dia lelaki hebat sepanjang kami hidup bersama selama 45 tahun. Bagi saya, beliau adalah lelaki yang boleh dijadikan teladan.

"Tentunya, kehidupan saya sukar tanpanya. Tetapi, saya tidak mampu menghalangnya pergi untuk selamanya. Biarlah beliau pergi dengan tenang," katanya kepada dailymail.co.uk.

Berikutan kematian Sean Connery, selebriti dan peminat berkumpul dalam media sosial untuk memberi penghormatan kepada aktor itu.

Sean Connery dilahirkan tanggal 25 Ogos 1930. Ibunya, Euphemia McBain berkerja sebagai tukang cuci, manakala bapa, Joseph Connery pula mencari rezeki dengan bekerja di kilang.

Dari seorang budak kampung yang bersekolah sehingga usia 14 tahun, Sean Connery pernah melakukan kerja kolar biru seperti pemandu trak, penjual susu dan mengelap keranda.

Siapa sangka namanya menjadi tersohor seluruh pelosok dunia sebagai aktor yang terkenal dengan watak ejen perisik James Bond pada 1962.

Pembabitan Sean Connery dalam dunia seni bermula pada 1950, ketika menyertai pertandingan bina badan, Mr Universe yang berlangsung di London.

Susuk tubuh yang tegap menyebabkannya dilamar untuk membintangi drama terbitan BBC, Requiem for a Heavyweight dan diberikan watak utama sebagai peninju.

Dari situ, Sean Connery ditawarkan kontrak di bawah syarikat penerbitan terkemuka di Hollywood, Paramount Pictures.

Pembabitan pertamanya dalam industri filem Hollywood bermula apabila penerbit Albert Broccoli dan Harry Saltzman mencari calon yang sesuai membawakan watak James Bond daripada kisah adaptasi novel kepada layar lebar.

Rezeki berpihak kepada Sean Connery apabila aktor, Cary Grant menolak tawaran berkenaan, memaksa penerbit mencari pengganti yang bersedia menerima tawaran murah dan kurang dikenali.

Dengan ketinggian 6 kaki 2 inci, Sean Connery dilihat paling layak, namun penulisnya Ian Fleming menganggap beliau tidak menepati ciri yang dicari.

Penonton nyata tidak bersetuju dengan pendapat Fleming, buktinya sebaik filem berkenaan muncul di pawagam berjaya mencatat kutipan pecah panggung, sekali gus mengangkat nama Connery.

"Beliau akan terus dikenang sebagai James Bond yang asli. Sejarah pembabitan dalam dunia filem akan kekal diingati sampai bila-bila.

"Ayat popularnya, 'The name's Bond, James Bond, masih segar diingati peminat hingga hari ini," kata penerbit siri James Bond, Micahel G Wilson dan Barbara Broccoli daripada EON Production.

Sean Connery licik dan cerdik dalam membawakan watak ejen perisik 007 itu. Malah kemampuannya sebagai ejen seksi dan berkarisma tidak boleh disangkal hingga dinobatkan gelaran 'Sexiest Man Alive' oleh majalah People pada 1989 ketika berusia 59 tahun.

Sementara itu, aktor kelahiran Australia, Geoge Lazenby yang pernah membawakan watak James Bond masih terkejut dengan berita pemergian Connery.

"Saya mengucapkan selamat ulang tahun ke-90 kepadanya, beberapa minggu lalu. Tetapi, sekarang saya dengan berat hati terpaksa menyampaikan ucapan takziah buat ahli keluarga dan teman rapatnya.

"Secara peribadi, Connery menjadi sumber inspirasi saya. Saya pernah bertemu dengannya beberapa kali dan amat berbesar hati apabila beliau memberikan restu kepada filem On Her Majesty's Secret Service. Apa yang mengagumkan, kerja yang dilakukan melangkaui filem James Bond.

"Beliau aktif melakukan kerja amal, sangat menyayangi keluarga, menyertai politik dan sukan golf. Seorang insan yang baik dan aktor yang hebat di layar perak.

"Kini, aktor yang tidak begitu dihargai sudah pun meninggalkan kita. Ingatan tulus ikhlas dari saya buat Lady Micheline, anak dan cucu Connery, " tulisnya menerusi laman Instagram (IG).

Seorang lagi bintang James Bond, Pierce Brosnan berkata, beliau amat mengagumi Connery yang membawakan watak ejek perisik itu ketika masih kecil. Connery menjadi dirinya sendiri.

Katanya, Sean Connery juga membawa bayang-bayangnya ke dalam watak berkenaan dan ia akan kekal sampai bila-bila.

"Sean Connery menunjukkan jalannya dan saya hanya mengikut jejak langkahnya. Setiap pelakon yang dipertanggungjawabkan membawakan watak Bond pasti akan melihat Connery dengan rasa kagum dan hormat.

"Anda seorang yang hebat daripada pelbagai sudut, sama ada aktor, manusia dan akan terus kekal diingati sampai bila-bila," katanya yang dipetik menerusi IG.

Daniel Craig berkata, dia amat sedih sebaik mengetahui berita pemergian aktor yang sangat hebat.

"Sean Connery akan terus diingati sebagai Bond. Beliau menterjemahkan watak ejen perisikan 007 itu dengan penuh bergaya, cerdik dan mempesona di layar lebar.

"Beliau mampu menggegarkan panggung dan akan terus menjadi aktor yang berpengaruh," katanya menerusi Twitter.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: bharian