Monday, August 19, 2024

Sambutan Hari Malas Sedunia

Sambutan Hari Malas Sedunia

Ada satu penyakit – penyakit M. Saya yakin, bukan saya seorang sahaja yang mempunyai penyakit ini. Apa itu penyakit M? Penyakit M-A-L-A-S! Biasalah, ada hari kita tidak ada mood untuk bekerja. Tetapi kita tak boleh malas-malas sebab bos bayar kita gaji untuk bekerja, bukan untuk bermalasan!

Sambutan Hari Malas Sedunia
Gambar hiasan.

Cuma, dalam setahun, ada satu hari yang kita bebas untuk bermalasan. 10 Ogos merupakan Hari Malas Sedunia.

Sambutan ini dilaporkan bermula sejak tahun 1985 untuk menggalakkan orang ramai supaya berehat dan tidak memandu dengan laju.

Asal-usul Hari Malas Sedunia mungkin sukar difahami tetapi motif sambutan hari itu diwujudkan adalah untuk beristirehat.

Menurut Economic Times, Hari Malas Sedunia mula wujud pada awal 1900-an di Amerika Syarikat (AS). Masyarakat disana pada ketika itu mewujudkan sambutan itu untuk menggalakkan orang ramai mengetepikan tanggungjawab buat sementara waktu dan menggunakan masa itu untuk berehat.

Meskipun Hari Malas Sedunia ini sebenarnya idea yang biasa-biasa sahaja, kepentingan di sebaliknya, iaitu berehat sering diambil mudah.

Di sini, kita dapat simpulkan bahawa ideologi hustle demi hasil sudah wujud ratusan tahun dahulu.

Jadi, Hari Malas Sedunia berfungsi sebagai peringatan lembut untuk mengutamakan penjagaan diri dan menikmati saat-saat tidak mahu buat apa-apa selain bermalasan di atas katil.

Mungkin ada yang mempersoalkan apa fungsinya sambutan itu sedangkan kita sudah ada dua hari hujung minggu untuk berehat?

Hari Sabtu dan Ahad mungkin bukan hari cuti untuk semua orang. Ada yang manfaatkan hari Sabtu dan Ahad untuk bekerja sambilan bagi mencari wang tambahan.

Ada juga yang terpaksa bekerja kerana bosnya ganggu pada hari minggu.

Dan, ada beberapa bidang pekerjaan hari kerja dan hari cutinya tidak mengira hari minggu atau hujung minggu. Jadi, mereka terpaksa bekerja seperti biasa pada hari Sabtu dan Ahad.

Hari riadah yang membahagiakan

Untuk meraikan Hari Malas Sedunia tidak ada pantang larangnya. Masing-masing bebas melakukan apa sahaja dengan cara tersendiri.

Bagi sesetengah orang, ia peluang untuk merebahkan diri atas katil sepanjang hari sambil menonton drama kegemaran.

Ada yang memilih untuk melakukan hobi yang sudah lama ditinggalkan akibat terlalu sibuk bekerja.

Apa sahaja yang anda lakukan pada Hari Malas Sedunia, pastikan ia menyumbang rasa kepuasan dan kebahagiaan.

Semua orang dijemput untuk merasai nikmat kemalasan agar mental dan fizikal lebih segar untuk kembali berjuang mencari wang.

Jangan ambil mudah kepentingan berehat. Ia mungkin kedengaran mudah tetapi jika tidak berehat, kesihatan mental dan fizikal anda akan terjejas.

Semoga memberi manfaat.

-Sentiasapanas.com

Saturday, August 19, 2023

Sambutan Hari Orang Utan Sedunia

Sambutan Hari Orang Utan Sedunia

Sambutan Hari Orang Utan Sedunia yang disambut pada 19 Ogos setiap tahun, adalah satu program istimewa yang dianjurkan oleh Malaysian Palm Oil Green Conservation Foundation (MPOGCF) bertempat di Zoo Negara, sebagai inisiatif untuk menyelamatkan spesis orang utan yang kian pupus.

Lindungi Orang Utan

Menurut jurucakap MPOGCF, tujuan sambutan ini adalah untuk menguar-uarkan kepada semua bahawa kita bukan sahaja memberi keutamaan kepada industri sawit, tetapi turut memelihara biodiversiti hidupan liar antaranya Orang Utan.

Kita mahu menangkis dakwaan pihak luar bahawa industri sawit ialah satu industri yang mengancam kepada hidupan liar, katanya.

Beliau turut menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk menyokong usaha pemuliharaan Orang Utan dengan mengutamakan produk sawit mampan yang mendapat pengiktirafan pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO).

Ancaman terbesar populasi Orang Utan ialah aktiviti pemburuan haram dan Orang Utan Borneo dikategorikan haiwan kritikal terancam oleh International Union for Conservation of Nature (IUCN) dengan populasi dianggarkan berjumlah 104,700 ekor.

Laporan Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF) pada 2019, berdasarkan tinjauan ke atas sarang Orang Utan dalam tempoh Mei 2014 hingga Mac 2017 mendapati populasi Orang Utan di Sabah adalah stabil selama 15 tahun.

Namun, hasil kajian sama bagaimanapun mendapati populasi Orang Utan Borneo di hutan yang dikelilingi ladang sawit menunjukkan trend penurunan.

Berdasarkan hasil kajian WWF itu, industri sawit Malaysia menerusi MPOGCF menjalankan beberapa aktiviti pemuliharaan terhadap haiwan yang dilindungi itu.

Antaranya, program penanaman sejuta pokok untuk rehabilitasi habitat Orang Utan melibatkan kawasan seluas 2,500 hektar di Hutan Simpan Ulu Segama-Malua di Lahad Datu.

MPOGCF juga membiayai Unit Penyelamat Hidupan Liar (WRU) untuk menyelamatkan dan memindahkan Orang Utan ke habitat selamat.

Sebanyak 61 Orang Utan berjaya diselamatkan WRU dalam tempoh 2010 hingga 2020.

Lingkungan hidup Orang Utan

Orang utan adalah binatang cerdas yang hidup di hutan hujan tropika dan kerana lingkungan mereka dirosakkan, maka populasi Orang Utan menjadi semakin sedikit.

Di hutan hujan tropika, biasanya Orang Utan tinggal di pepohonan kawasan rendah, dataran yang terdapat banyak sungai kecil dan berlumpur.

Orang Utan boleh ditemui di Asia Tenggara, di seluruh Kalimantan serta di Sumatera.

Spesies

Orang Utan hanya memiliki 1 spesies tapi memiliki 2 subspesies iaitu Orang utan Kalimantan yang berwajah lebih bulat dan lapisan pipinya lebih menonjol ke depan jadi terkesan cekung dan Orang utan Sumatera, berwajah panjang tapi sempit serta rambut lebih tebal panjang dan terang daripada Orang Utan Kalimantan.

Spesies terancam

Pusat Pemulihan Orang Utan Sepilok

Untuk melihat orang utan di Pusat Pemulihan Orang Utan Sepilok di Sandakan, pengunjung perlu berjalan antara 10 hingga 15 minit meniti laluan papan menuju ke pelantar yang dikelilingi hutan.

Kini selepas lebih 50 tahun, pusat berkenaan yang terletak dalam hutan simpan Kabili-Sepilok seluas 4,294 hektar bukan saja menguruskan orang utan, malah sebagai 'ibu' kepada bayi orang utan yang kehilangan ibu.

Susulan pelbagai cabaran termasuk kemusnahan habitat, pemburuan haram dan perdagangan haiwan peliharaan haram, jumlah orang utan di Borneo ketika ini dianggarkan cuma 57,000 ekor, manakala di Sabah antara 11,000 hingga 15,000.

Mengikut senarai merah Kesatuan Pemuliharaan Alam Sekitar Antarabangsa (IUCN), orang utan kini berada pada tahap kritikal terancam berdasarkan jumlah yang semakin berkurangan, manakala pemburuan dan kehilangan habitat terus berlaku pada tahun 2016.

Jika inisiatif melindungi orang utan tidak terus diperkasa, mungkin kita boleh kehilangan haiwan ini apabila status orang utan dalam kawasan liar naik satu tahap lagi ke tahap pupus dalam senarai merah IUCN.

Orang utan antara mamalia mempunyai paling rendah jangka hayat iaitu 62 tahun dan dari segi tabiat, ia bukan jenis keluarga.

Bagi orang utan betina, ia hanya boleh melahirkan satu anak dalam jangka enam hingga sembilan tahun dan mengambil masa lebih lama untuk menjaga bayinya.

Sebab itu, usaha perlu diambil bagi melindungi Orang Utan kerana potensi kematian lebih tinggi berbanding populasinya.

Semoga memberi manfaat.

Saturday, April 16, 2022

Sambutan Hari Suara Sedunia

Sambutan Hari Suara Sedunia

Hari Suara Sedunia, World Voice Day disambut di seluruh dunia pada 16 April setiap tahun untuk meraikan fenomena suara, bertujuan untuk menonjolkan kepentingan suara dalam kehidupan, kerana suara dianggap instrumen penting bagi golongan pengguna suara profesional seperti penyanyi, pembaca berita, pengacara dan guru.

Sambutan Hari Suara Sedunia

Namun, penjagaan suara sebenarnya tidak hanya terhad kepada golongan ini sahaja kerana suara merupakan aset yang mempengaruhi kehidupan dan kerjaya seseorang, malah boleh dianggap identiti seseorang individu.

Occupational hazard di Malaysia masih belum diterima sebagai hazard. Di luar negara, syarikat insuran ada menawarkan suara sebagai sebahagian daripada penjagaan.

Sebagai contoh, seorang guru di London berjaya menerima pampasan kerana dia mengajar di kelas bersebelahan dengan jalan besar yang bising, mengakibatkan dia mengalami masalah suara.

Kesedaran seperti ini masih kurang di Malaysia, walaupun pada hakikatnya suara yang baik penting untuk kualiti hidup.

Kajian menunjukkan kualiti hidup mereka yang mengalami masalah peti suara suara dan suara serak, jauh lebih rendah berbanding mereka yang mengalami penyakit lain contohnya masalah buah pinggang, kencing manis dan lain-lain.

Selain pengguna suara profesional, khalayak umum juga berisiko mengalami masalah suara terutama bagi mereka yang merokok dan minum minuman keras, masalah alahan atau kesihatan seperti resdung serta faktor tekanan.

Penggunaan teknik yang betul merupakan sebahagian daripada aspek penjagaan suara bagi golongan penyanyi.

Bakat dan teknik sama penting, tetapi dengan adanya teknik yang betul, ia boleh membantu penyanyi yang average menjadi bagus.

Penyanyi average maksudnya dia boleh menyanyi, tidak sumbang dan boleh ikut tempo tetapi kualiti suara mungkin kurang.

Penyanyi yang sudah ada bakat semulajadi pun, jika ada teknik yang baik, dia boleh mempertingkatkan lagi kemampuannya, malah akan membantu memberikannya keyakinan untuk menyanyi dengan selesa.

Matlamat utama menyanyi dengan teknik yang betul ialah untuk mengelak ketegangan dan kecederaan suara, bagi membolehkan seorang penyanyi menggunakan suaranya selama yang boleh.

Bakat dan teknik, disokong oleh musicianship (pengetahuan tentang nada, ritma dan tempo) dan stail, akan membantu seorang menjadi penyanyi yang baik.

Selamat menyambut Hari Suara Sedunia.

BACA INI JUGA:
sumber: (1)

Monday, November 16, 2020

Sambutan Minggu Kesedaran Stres Sedunia

Sambutan Minggu Kesedaran Stres Sedunia

Kemurungan dan stres adalah dua situasi melibatkan masalah mental yang berbeza, tetapi sebelum seseorang itu mengalami masalah kemurungan, dia akan melalui fasa stres terlebih dahulu. Itulah bahayanya apabila kita gagal mengawal dan merawat tahap stres, kerana ia akan menjadi kemurungan yang menjadi punca sebahagian orang membunuh diri.

Minggu Stres

Selain itu, individu yang merasakan diri mengalami kemurungan perlu mendapat pengesahan dari pakar terlebih dahulu.

Minggu Kesedaran Stres Sedunia yang disambut pada setiap 4-8 November setiap tahun, menekankan pengurusan stres di tempat kerja dan peribadi.

Kenalpasti antara punca-punca stres di tempat kerja:
  • Tidak mahir dengan kerja.
  • Hasil kerja tidak dihargai.
  • Persekitaran tidak selesa.
  • Tiada keseronokan bekerja.
  • Selalu dimarahi tanpa sebab.
  • Rakan sekerja tidak membantu.
  • Beban kerja berlebihan.
  • Menangguh kerja.

Seseorang yang mengalami stres boleh mengurangkan stres yang dialami dengan segera dengan cara mengamalkan kaedah ini:
  • Bertenang.
  • Bernafas dengan dalam.
  • Berkata 'relakslah' atau 'tak mengapa'.
  • Beribadat.
  • Bercakap dengan seseorang.
  • Berurut.
  • Berehat dan mendengar muzik.
  • Beriadah.
  • Bersenam.
  • Berfikiran positif.

Stres Itu Menyeksakan

Sayangnya, tidak semua orang tahu bagaimana cara menghadapi rakan atau keluarga yang sedang stres atau tertekan.

Ketidaktahuan tersebut akhirnya membuatkan orang yang sedang stres merasa sendirian dan tidak mendapatkan sokongan dari sesiapa.

Terlebih lagi, jika orang yang mengalami stres juga tidak menunjukkan bahawa dirinya sedang tertekan.

Ini kerana mereka biasanya sering berkelakuan normal di depan orang lain.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
-Sentiasapanas.com

Thursday, October 29, 2020

Sambutan Hari Strok Sedunia

Sambutan Hari Strok Sedunia

Sambutan Hari Strok Sedunia, diraikan pada 29 Oktober setiap tahun dengan tujuan menekankan kesan buruk kepada penghidap penyakit Strok, sekali gus dapat meningkatkan kesedaran dan pengetahuan orang ramai mengenai penyakit tersebut.

Hari Strok

Hari Strok Sedunia juga dapat memperingati tentang kecekalan dan perjuangan seseorang pesakit Strok, penjaga dan keluarganya.

Dianggarkan bahawa di seluruh dunia, satu juta serangan Strok setiap setahun dikaitkan dengan kekurangan aktiviti fizikal.

Dengan mendapatkan jumlah senaman yang disyorkan setiap minggu, anda akan mengurangkan risiko mengalami Strok.

Angin Ahmar

Strok atau Angin Ahmar, berlaku apabila aliran darah ke otak tersekat yang disebabkan oleh urat atau arteri tersumbat atau berlakunya pendarahan di dalam otak.

Tisu otak akan kekurangan oksigen, di mana ia berlaku secara tiba-tiba dan boleh menyebabkan tubuh menjadi lemah atau kekurangan kesedaran anggota badan atau muka, kurang keseimbangan dan kesukaran bertutur yang boleh menyebabkan maut.

Jenis-jenis Strok

Terdapat dua jenis Strok iaitu:
  • Strok Darah Beku Iskemia, yang mana saluran darah tersumbat dari bahagian dalam, menyebabkan pengurangan aliran darah secara mendadak.
  • Strok Pendarahan, iaitu saluran darah yang telah pecah dan menyebabkan kebocoran darah di dalam otak.
Punca Strok

Antara faktor risiko Strok ialah:
  • Tekanan darah tinggi.
  • Diabetes.
  • Kolesterol tinggi.
  • Obesiti.
  • Jenis-jenis perubatan tertentu.
  • Penyakit Jantung.
  • Kurang bersenam.
  • Stres.
  • Pengambilan minuman beralkohol berlebihan.
Simptom Strok

Antara tanda-tanda Strok iaitu:
  • Ada kesulitan melihat.
  • Perubahan penglihatan.
  • Wajah menjadi senget atau rasa kebas sebelah muka.
  • Tangan kebas atau lemah.
  • Amat sukar bercakap.
Kita seharusnya terus berusaha dalam mencegah, merawat dan mengawal penyakit ini bagi mengurangkan beban pesakit kerana penyakit Strok dapat dicegah dengan mengamalkan gaya hidup sihat.

Pada masa ini, penyakit Strok adalah antara punca kematian tertinggi dan penyebab utama kekurangan upaya di seluruh dunia.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: PB

Sunday, June 14, 2020

Sambutan Hari Penderma Darah Sedunia

Sambutan Hari Penderma Darah Sedunia

Sambutan Hari Penderma Darah Sedunia, World Blood Donors Day oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia disambut 14 Jun setiap tahun bagi menyedarkan masyarakat mengenai kepentingan menderma darah, dan untuk menggalakkan masyarakat menderma darah bagi menyelamatkan orang lain.

Hari Penderma Darah Sedunia

Kempen menggalakkan rakyat yang layak menderma darah perlu digandakan apatah lagi Pusat Darah Negara dan tabung darah di hospital di seluruh negara sering berdepan dengan stok darah yang kritikal untuk digunakan oleh mereka yang memerlukan pemindahan darah.

Oleh itu, masyarakat perlu disedarkan bahawa menderma darah adalah suatu amalan sukarela yang terpuji dan tidak ternilai sumbangannya.

Darah adalah cecair berwarna merah yang mengalir di dalam tubuh manusia mempunyai 'kuasa' menggerakkan aktiviti badan seperti petrol menghidupkan mesin.

Setakat ini belum ada unsur lain dapat menggantikan fungsi darah dan dipercayai tidak akan ada ciptaan manusia yang akan dapat menggantikannya.

Bahkan, darah manusia tidak boleh dimasukkan ke dalam badan orang lain jika tidak mengikut jenisnya.

Uniknya Darah Manusia

Manusia mempunyai empat kumpulan darah iaitu O, A, B dan AB:
  • Kumpulan darah O boleh menerima darah dari kumpulan darah O sahaja, bagaimanapun darah itu boleh didermakan kepada semua penerima.
  • Kumpulan darah AB hanya boleh didermakan kepada individu kumpulan darah yang sama, tetapi boleh menerima semua kumpulan darah.

Di dalam badan manusia mengandungi sembilan hingga 10 pain darah dan individu yang mengalami kekurangan darah melebihi tiga pain akan menghadapi masalah perjalanan fungsi organ badan yang boleh membawa maut.

Satu-satunya cara menyelamatkan mangsa yang sedang kekurangan darah adalah melalui proses pemindahan darah.

Justeru itu, amatlah penting bagi setiap anggota masyarakat memahami kepentingan untuk menderma darah kerana setiap darah yang didermakan mampu menyelamatkan nyawa.

Menderma Darah Mampu Cegah Penyakit Kronik

Derma darah selamatkan nyawa

Mutakhir, statistik yang dikeluarkan hanya 2.5 peratus rakyat Malaysia menjadi penderma darah tetap berbanding lima peratus penderma di kebanyakan negara lain di dunia, menunjukkan betapa rakyat Malaysia kurang menderma darah.

Sepatutnya, keinginan untuk menderma darah perlu wujud dalam diri setiap individu sebagai satu tanggungjawab membantu sesama manusia.

Pelbagai persepsi wujud akibat menderma darah, antaranya mendatangkan banyak penyakit kronik.

Tanggapan ini salah kerana menderma darah tidak membahayakan penderma, bahkan memelihara kesihatan.

Hakikatnya, penderma darah akan memperoleh pelbagai kebaikan, antaranya pemeriksaan kesihatan secara tetap dan teratur, memperoleh maklumat mengenai pendidikan kesihatan, menggalakkan seseorang mengekalkan gaya hidup sihat selain membantu merangsang penghasilan sel darah merah yang baru sekali gus menyegarkan kembali sistem tubuh.

Ini kerana selepas menderma darah, kiraan sel darah dalam badan akan berkurangan yang akan merangsang sistem tubuh untuk menghasilkan darah merah baru bagi menggantikan darah yang hilang.

Bahkan, menderma darah dapat mencegah dan mengurangkan pengumpulan zat besi berlebihan dalam tubuh seterusnya mengurangkan risiko menghadapi serangan jantung sebanyak satu pertiga.

Dengan pelbagai manfaat diperoleh hasil pendermaan darah, masyarakat seharusnya tampil melakukan tanggungjawab sosial ini.

Ketepikan hal remeh-temeh atau persepsi yang salah, sebaliknya terus bermatlamat membantu golongan memerlukan.

Setitik darah mungkin boleh membantu menyelamatkan nyawa mereka yang memerlukan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2

Saturday, January 04, 2020

Sambutan Hari Braille Sedunia

Sambutan Hari Braille Sedunia

Sambutan Hari Braille Sedunia disambut pada 4 Januari setiap tahun bertujuan bagi memberikan pendedahan dan kesedaran kepada orang ramai mengenai kepentingan tulisan braille terhadap orang cacat penglihatan.

Hari Braille Sedunia

Selain itu, orang ramai juga perlu dididik bagi mengelak rasa prejudis terhadap golongan berkenaan, terutama dalam sektor pekerjaan kerana mereka juga mampu bekerja dengan baik seperti orang normal.

Orang kelainan upaya (OKU) penglihatan, terutamanya di negara ini juga berhadapan masalah mendapatkan ilmu dan maklumat penting berikutan kurangnya kemudahan braille untuk mereka.

Keadaan tersebut merupakan antara cabaran terbesar kepada golongan cacat penglihatan.

Bahan bacaan dalam tulisan braille juga begitu kurang di pasaran, malah mesin braille untuk sekolah pendidikan khas juga masih tidak mencukupi.

Kekurangan kemudahan tulisan Braille juga menyukarkan golongan berkenaan mengetahui maklumat dan berita dalam dan luar negara.

Justeru, pihak yang bertanggungjawab disarankan agar memperbanyakkan maklumat dalam tulisan braille supaya OKU cacat penglihatan mempunyai peluang mendapatkan ilmu sama seperti orang normal, selain mempertingkatkan kemudahan awam kepada golongan berkenaan.

Malah, banyak kemudahan untuk orang kelainan upaya ini disalahgunakan, tempat pejalan kaki yang dikhaskan untuk orang buta dijadikan parkir motor, diletakkan meja makan dan sebagainya yang yang tidak patut dilakukan.

Sejarah Tulisan Braille

Braille adalah sejenis sistem tulisan sentuh yang digunakan oleh orang buta, telah dicipta oleh seorang lelaki Perancis bernama Louis Braille yang buta disebabkan kemalangan semasa kecil.

Ketika berusia 15 tahun, Braille mengubah suai tulisan bagi memudahkan tentera untuk membaca ketika gelap.

Sistem ini dinamakan sistem Braille, namun ketika itu Braille tidak mempunyai huruf W.

Abjad Braille

Braille terdiri daripada sel yang mempunyai 6 titik timbul yang dinomborkan seperti berikut:

Angka Braille

Kehadiran atau ketiadaan titik itu akan memberi kod untuk simbol tersebut.

Huruf Braille Bahasa Melayu adalah hampir sama dengan kod huruf Braille Inggeris. Perkataan, simbol (seperti tanda seru dan tanda soal), beberapa perkataan dan suku kata boleh didapati secara terus.

Contohnya, perkataan orang dipendekkan kepada org. Ini membolehkan buku Braille yang lebih nipis boleh dicetak.

Simbol Braille juga telah diperkaya sehingga boleh digunakan untuk membaca nota muzik dan matematik.

Huruf dan Nombor Braille

Kini Braille telah diubahsuai dengan menambah dua lagi titik menjadikan Braille menjadi kod 8 titik.

Ini memudahkan pembaca Braille mengetahui huruf tersebut adalah huruf besar atau kecil.

Selain itu, penukaran ini membolehkan huruf-huruf ASCII ditunjukkan dan kombinasi 8 titik ini diekodkan dalam standard Unicode.

Braille boleh dihasilkan menggunakan batuan loh (slate) dan stilus (stylus), dimana titik dihasilkan daripada belakang muka kertas, menulis dengan imej cermin, menggunakan tangan atau menggunakan mesin taip Braille yang dikenali sebagai Perkins Brailler.

Braille juga boleh dihasilkan menggunakan mesin cetak Braille yang disambung kepada komputer.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2