Monday, September 16, 2019

Sambutan Hari Angkatan Tentera Malaysia

Sambutan Hari Angkatan Tentera Malaysia

Sambutan Hari Angkatan Tentera Malaysia disambut pada bulan September setiap tahun, bagi meraikan penubuhan awal pasukan tentera pada tahun 1933, yang merupakan pasukan tentera peneraju negara, yang mana pada tahun tersebut juga telah dijadikan sebagai tahun tertubuhnya Angkatan Tentera Malaysia.

Angkatan Tentera Malaysia

Susur-galur Angkatan Tentera Malaysia boleh diimbau dari penubuhan rasmi Tentera Darat. Pada mulanya, ia disambut bersempana pembentukan Malaysia pada 16 September 1961, menyaksikan kerajaan telah merombak pembentukan ketiga-tiga cabang perkhidmatan di bawah Angkatan Tentera Persekutuan yang kini tertakluk di bawah Akta Angkatan tentera (1972).

Kerajaan juga telah mempersetujui iaitu Hari Angkatan Tentera disambut pada hari dan tarikh yang sama setiap tahun sempena penubuhan Malaysia.

ANGKATAN TENTERA MALAYSIA (ATM)

ATM ialah pihak yang bertanggungjawab terhadap pertahanan nasional dengan kata lain ialah pasukan tentera profesional negara Malaysia.

ATM meliputi tiga cabang ketenteraan utama iaitu; Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Pemimpin tertinggi Angkatan Tentera Malaysia ialah Panglima Angkatan Tentera.

Komander
  • Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia: Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong.
  • Panglima Angkatan Tentera Malaysia: Jeneral.

Angkatan Tentera Malaysia (ATM) diketuai oleh Panglima Angkatan Tentera (PAT) berpangkat Jeneral, Laksamana atau Jeneral TUDM.

Mereka adalah ketua profesional ATM yang dilantik oleh Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong, yang memerintah dan mentadbir ATM melalui Jawatankuasa Panglima-Panglima (JPP).

Kekuatan ATM
  • Tentera Malaysia: 110,000 (aktif) + 296,500 (simpanan) = 406,500 askar.
  • Kelengkapan Perang Malaysia: 74 kereta kebal, 55 jet perang, 8 kapal perang, 2 kapal selam.

SEJARAH ATM

1. Tentera Darat Malaysia

Sejarah moden ATM bermula dengan pengambilan 25 orang pemuda Melayu sebagai skuad percubaan Rejimen Askar Melayu pada 1 Mac 1933.

Rejimen ini terus berkembang menjadi satu batalion penuh yang dikenali sebagai Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu pada 1 Januari 1938.

Batalion kedua ditubuhkan pada 1 Disember 1941 iaitu enam hari sebelum Perang Dunia Kedua bermula di Malaya.

Kedua-dua batalion ini telah menunjukkan kebolehan mereka dalam peperangan menentang tentera Jepun.

Selepas perang, negara dilanda pula oleh ancaman Komunis dan Darurat telah diisytiharkan pada tahun 1948. Keadaan ini memerlukan pembesaran angkatan tentera.

Menjelang tahun 1950 kekuatan Rejimen Askar Melayu telah ditambah menjadi tujuh batalion.

Pada zaman Darurat juga, angkatan tentera telah melihat penubuhan pasukan berbilang bangsa iaitu Rejimen Persekutuan dan Skuadron Kereta Perisai Persekutuan pada tahun 1952.

Setelah negara mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, Tentera Darat Malaysia telah berkembang maju dan lengkap untuk menjalankan operasi melawan insurgensi.

Unit TDM

Unit Tentera Darat berbeza daripada unit-unit yang lain apabila menampilkan pasukan tentera darat yang dibahagikan kepada 17 rejimen dan kor. Setiap rejimen dan kor tersebut diklasifikasikan mengikut fungsi dan kepakaran.

Pasukan tentera darat dibahagikan kepada tiga kelompok iaitu kelompok tempur, kelompok bantuan tempur dan kelompok bantuan perkhidmatan.

Tugas-tugas mereka bukan sahaja difokuskan dalam bidang peperangan semata-mata, tetapi kemahiran dalam bidang bidang perubatan, pendidikan, kejuruteraan, keagamaan, muzik dan sebagainya turut diberi perhatian.

TDM merupakan unit dengan aset terbesar negara pada ketika ini.

Pada masa ini pasukan Tentera Darat sedang pesat dipermodenkan sebagai satu pasukan tentera konvensional yang mampu untuk menghadapi cabaran masa depan.

2. Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM)

Tentera Laut Diraja Malaysia bermula dari Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Laut Negeri-negeri Selat (SSNVR) pada 27 April 1934 di Singapura.

Pasukan ini diperbesarkan pada tahun 1938 dengan penubuhan cawangan Pulau Pinang dan ditukarkan nama kepada Pasukan Sukarela Tentera Laut Diraja Malaya.

Menjelang Perang Dunia Kedua, seksyen Melayu dalam Royal Navy telah ditubuhkan dan kekuatan pasukan ini mencapai jumlah 1430 anggota pada tahun 1941.

Selepas kejatuhan Singapura pada tahun 1942, seramai 150 orang anggota Tentera Laut Malaya telah berundur ke Ceylon, India dan Afrika Timur.

Anggota-anggota ini kembali ke Malaya apabila perang tamat, malangnya disebabkan kekurangan kewangan selepas perang, Tentera Laut Malaya telah dibubarkan pada bulan April 1947.

Apabila Darurat tercetus pada tahun 1948, Tentera Laut Malaya telah dihidupkan semula dan diwartakan pada 4 Mac 1949.

Tentera Laut Malaya dianugerahkan gelaran Diraja oleh baginda Queen Elizabeth II pada tahun 1952.

Tentera Laut Diraja Malaya yang selama ini menjadi sebahagian daripada Royal Navy telah dipindahkan dari Singapura ke Persekutuan Tanah Melayu pada 12 Julai 1958.

Serentak dengan ini, panji-panji Royal Navy telah ditukarkan dengan panji-panji Persekutuan, Tentera Laut Diraja Malaya.

Selepas penubuhan Malaysia pada tahun 1963 ia dikenali sebagai Tentera Laut Diraja Malaysia.

3. Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM)

Titik mula Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) ialah dengan penubuhan Pasukan Sukarela Tentera Udara Negeri-negeri Selat (SSVAF) oleh British pada tahun 1936.

Pasukan ini ditukar nama kepada Pasukan Simpanan Tentera Udara Malaya pada tahun 1940 tetapi telah dibubarkan selepas Perang Dunia Kedua.

Pada tahun 1950, pasukan ini telah dihidupkan semula sebagai Royal Air Force Malaya (RAF Malaya).

Tentera Udara Malaya menjadi kenyataan pada tahun 1958 apabila pesawat Twin Pioneer pertama mendarat di pangkalan RAF Kuala Lumpur.

Tentera Udara Diraja Malaya ditubuhkan dengan rasminya pada 2 Jun 1958.

PEMODENAN ATM

Angkatan Tentera Malaysia mengalami evolusi yang berterusan daripada sekadar pasukan tambahan di dalam Tentera British kepada pasukan yang menentang insurgensi seterusnya dibentuk menjadi sebuah angkatan konvensional.

Pun begitu, pemodenan ATM pula kadangkala dihadang oleh faktor ekonomi dan faktor sumber manusia.

Krisis kewangan yang melanda telah menyebabkan beberapa program masih belum melepasi fasa cadangan.

Antaranya, perolehan kumpulan kedua frigat TLDM, skuadron kedua pesawat tempur pelbagai fungsi TUDM, pesawat amaran awal dan rondaan maritim dan juga helikopter utiliti tambahan.

Krisis tenaga manusia pula walaupun belum kritikal, mempunyai kesan yang besar di dalam unit-unit tertentu, terutama yang memerlukan anggota yang memiliki latar belakang pendidikan yang tinggi.

Kekecewaan ini pernah disuarakan oleh bekas Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Ilyas Din, berikutan kesukaran mendapatkan anggota yang menepati kriteria bagi mengikuti kursus latihan kapal selam.

Tambahan pula, kerjaya tentera dilihat kurang popular berbanding profesyen lain bagi golongan muda yang berpelajaran.

Kekurangan minat dikalangan generasi muda terutamanya dari kaum bukan Melayu menyebabkan ATM mengalami sedikit kesukaran merekrut anggota, barangkali didorong kesedaran yang kurang di pihak orang awam dan pemimpin politik terhadap kepentingan ATM.

Beberapa kontroversi di dalam perolehan ATM seperti kapal selam Scorpene, pesawat Sukhoi Su-30 MKM dan helikopter Eurocopter, suatu ketika dahulu tidak membantu memberikan persepsi yang baik kepada umum.

ANCAMAN TERBESAR

Kalau nak diikutkan sekarang ini, kita mungkin terlepas pandang akan satu ancaman yang terbesar kepada Kementerian Pertahanan, iaitu musuh dalam selimut.

Musuh tersebut adalah korupsi! Tahun 2017 lepas, badan anti-korupsi antarabangsa Transparency International telah mengeluarkan laporan komprehensif yang mengelaskan Malaysia sebagai 'D' dalam tahap korupsi badan pertahanan.

Ini pun sudah ada sedikit peningkatanan sebab tahun sebelumnya, Malaysia mendapat markah 'D-'.

Jika dibandingkan dengan Singapura, mereka dapat 'B'.

Mengikut Transparency International lagi, dua kontraktor pertahanan terbesar Malaysia iaitu Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd dan Sapura Group mendapat markah 2.94% dan 13.24%, yang bermakna, kedua-dua syarikat pertahanan yang disokong kerajaan ini adalah sangat korup.

Jadi, kalau hendak memperbaiki sistem pertahanan kita, mungkin kita perlu memerangi korupsi dalam tanah air sendiri terlebih dahulu.

MEMPERTAHANKAN DIRI

Pembentukan pasukan keselamatan dalam sesebuah negara khususnya negara yang dikuasai umat Islam adalah sesuatu yang diperintahkan oleh Allah SWT.

Firman Allah SWT yang bermaksud, "Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya, sedang Allah mengetahuinya. Dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya." (Surah al-Anfal, ayat 60)

Selamat menyambut Hari Angkatan Tentera Malaysia.

BACA INI JUGA:


sumber: wikipedia

Monday, March 25, 2019

Sambutan Peringatan Hari Polis Di Malaysia

Sambutan Peringatan Hari Polis Di Malaysia

Sambutan Peringatan Hari Polis disambut setiap tahun di seluruh Malaysia dengan penuh rasa bangga dan meriah oleh semua warga Polis Diraja Malaysia (PDRM), yang dijalankan secara serentak di seluruh negara.

Peringatan Hari Polis

Majlis perbarisan akan diadakan di semua kontinjen negeri dan ibu pejabat polis daerah sebagai menghormati dan mengenang tarikh bersejarah 25 Mac, yang merupakan tarikh penubuhan pasukan itu di Malaysia.

Oleh itu, anggota polis adalah digesa agar seluruh Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) melakukan anjakan paradigma agar PDRM kekal sebagai institusi penguat kuasa ulung di negara ini dengan menjadikan keselamatan negara dan masyarakat sebagai fokus utama.

PDRM juga perlu akur dengan kehendak rakyat dan harapan kerajaan yang mahukan jenayah dihapuskan.

Malah, ekspektasi rakyat yang tinggi terhadap PDRM merupakan tanggungjawab yang mesti diberikan keutamaan.

PDRM perlu merangka strategi-strategi baru dalam usaha mengurangkan jenayah termasuklah melalui pendekatan strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) yang berlandaskan prinsip kepolisan berinovatif dan kreatif.

Dan pastinya, rakan strategik utama pihak polis adalah masyarakat itu sendiri.

Jadi, kerjasama yang erat serta kesepakatan yang padu antara polis dan masyarakat perlu terus diperkasakan demi mewujudkan negara yang aman dan sejahtera.

Anggota PDRM juga digesa agar sentiasa bersikap tegas, adil dan berhemah kerana ianya akan menjadikan anggota PDRM seorang yang berintegriti tinggi dan tidak akan sekali-kali melanggar peraturan yang telah ditetapkan.

Bagi mereka yang telah memilih kerjaya ini sebagai profesion, mereka sepatutnya telah bersedia untuk memikul tangunggjawab yang diamanahkan dengan komitmen dan akauntabiliti serta integriti yang tinggi.

TUGU PERINGATAN POLIS DIRAJA PERSEKUTUAN

Tugu Peringatan Polis Diraja Persekutuan
Tugu Peringatan Polis Diraja Persekutuan.

Pada 11 Mac 1959, Tugu Peringatan Polis Diraja Persekutuan Jalan Gurney, Kuala Lumpur telah dirasmikan oleh DYMM Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong.

Turut hadir dalam upacara itu ialah Pemangku Perdana Menteri Pertahanan Dato’ Abdul Razak bin Hussein, Pesuruhjaya Polis C.M. Fenner, bekas Pesuruhjaya Polis W.L.R Carbonnel dan wakil-wakil persatuan penanam getah Malaya, Dewan Perniagaan Lombong Negeri-Negeri Melayu Bersekutu serta wakil dari persatuan bekas pasukan keselamatan Malaya.

Tugu ini dibina untuk memperingati kira-kira 1,345 orang anggota polis tetap dan tambahan yang telah terkorban dalam usaha menentang pengganas-pengganas komunis.

Tugu ini juga adalah untuk mengenang jasa anggota-anggota pasukan pengawal keselamatan dalam negeri yang telah terkorban semasa menjalankan tugas, semenjak pasukan ini ditubuhkan di Pulau Pinang pada tahun 1806.

Tugu Peringatan yang bertempat di pusat Latihan Polis ini adalah sebagai satu peringatan kepada rekrut-rekrut dan anggota-anggota lain di dalam latihan terhadap semangat berkhidmat dan rela mengorbankan jiwa, yang telah menjadi suatu kemegahan dalam sejarah perkhidmatan polis di Malaya.

Tugu ini dibina dengan harga $160,000 iaitu hasil kutipan derma daripada setiap anggota dan kakitangan perkhidmatan polis, Persatuan Penanam-penanam getah Malaya, Dewan Perniagaan Pelombong Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dan bantuan kerajaan.

Tugu ini berdiri tegak setinggi 25.9 meter. disebelah atas dinding tugu ini diletakan dengan lencana perak pasukan polis Diraja Persekutuan, sementara disebelah bawahnya terdapat sekeping gangsa yang menunjukkan gambar-gambar enam rupa bangsa iaitu Melayu, Cina, Sikh, Punjabi, India dan Eropah yang berkhidmat dalam pasukan polis.

‘Mereka Yang Terkorban Kerana Negara” dan berbaris dari kiri kekanan lambang-lambang kebesaran 11 buah negeri di Persekutuan Tanah Melayu.

Empat batang tiang bendera dipasangkan disitu untuk digunakan pada tiap-tiap kali diadakan upacara memperingati keperwiraan anggota-anggota polis yang terkorban itu.

CABARAN PDRM

1. Cabaran Dalaman

Dalamannya, yang Pertama, adalah modal insan yang kita tahu elemen paling penting yang menyumbang kepada pembangunan dan kesejahteraan negara.

Dengan penambahan nisbah penduduk di Malaysia, memerlukan penglibatan anggota polis mencukupi agar keseimbangan dapat dipertingkat selaras dengan standard piawaian Interpol - 251 polis : 250 penduduk.

Mengikut statistik sehingga Februari tahun 2015, kekuatan personel PDRM adalah 126,800 orang. Ini termasuk pegawai kanan, pegawai pangkat rendah dan pegawai awam.

Dengan penduduk berjumlah 32 juta sekarang ini, ada sedikit kurang kalau ikut nisbah itu, tapi kita akan melaksankaan tanggungjawab kita mengikut nisbah yang ada sekarang ini. Kerajaan melalui manifestonya akan memberi 4,000 orang tambahan setiap tahun dan perlu merekrut lebih kurang enam hingga tujuh ribu orang setiap tahun bagi menggantikan yang bersara dan juga untuk penuhi 4,000 jawatan yang diluluskan setiap tahun.

Kedua, yang menjadi cabaran adalah permasalahan logistik. Ini satu kekangan utama untuk melaksanakan tanggungjawab pihak polis, tambahan pula dengan perbelanjaan berhemah yang diamalkan semua jabatan kerajaan, yang memaksa untuk menangguh beberapa program pembangunan yang telah dirancang. Juga dalam menggantikan peralatan logistik seperti kenderaan dan sebagainya. Logistik bukan sahaja kenderaan tapi termasuk kediaman pekerja.

2. Cabaran Luaran

Cabaran luaran pula berkenaan keselamatan sempadan khususnya Malaysia-Thailand, Sarawak-Kalimantan, Sabah-Kalimantan.

Keadaan geografi sempadan terdiri daripada sungai, daratan dan bukit bukau dan ini merupakan satu cabaran kepada pasukan keselamatan negara untuk memantau keluar-masuk rakyat di kedua-dua negara di mana ada di antaranya mengambil kesempatan menyeludup dadah, senjata, manusia dan sebagainya.

Jadi kita terpaksa meletak banyak anggota kita di sempadan negara untuk memastikan ia tidak dibolosi. Kita pun tahu ada juga sempadan kita merupakan lautan, contohnya sempadan Sabah dengan selatan Filipina.

Pantainya timur Sabah itu panjangnya 1,700km, merupakan sempadan laut, ini satu kawasan yang bukan sedikit untuk kita kawal dan ini merupakan antara cabaran untuk kita dalam memastikan keselamatan negara.

Seterusnya adalah 'jenayah' yang menjadi ancaman tradisi kita. Di bawah program transformasi kerajaan, PDRM bertanggungjawab mengurangkan kadar jenayah indeks.

Pada hari ini dalam NKRA mengurangkan jenayah kita mensasarkan pengurangan jenayah indeks pada kadar lima peratus setiap tahun sehingaga 2020, bermula 2009.

Pelan tindakan susulan bagi mengurus tadbir pencegahan jenayah termasuklah dalam hal-hal meningkatkan kesedaran dan kefahaman rakyat yang akan menjadi pemangkin kepada sebuah negara yang aman selamat dan sejahtera.

Antara isu-isu utama berkaitan jenayah adalah jenayah bersindiket, jenayah merentasi sempadan, pemerdagangan manusia, jenayah warga asing dan jenayah sosial.

Seterusnya ancaman siber yang menunjukkan peningkatan mendadak dalam satu bulan. Dalam tempoh sembilan bulan pertama 2014, jumlah keseluruhannya adalah 8,140 kes.

Oleh itu ancaman siber berupaya menjejaskan keyakinan masyarakat dan menganggu kestabilan politik, sosio ekonomi semasa jika tak dibendung dan jika tak ditangani dengan serius.

Isu-isu berkait dengan jenayah siber antaranya masalah dalam mengenal pasti ‘origin of offender' kerana dalam siber ia mungkin dilakukan di luar negara, kelemahan undang-undang yang ada dan pendakwaan, termasuklah peningkatan kes cetak rompak dan pencabulan harta intelek.

Jenis kesalahan ini dari segi statistiknya, penipuan siber 3,376, spam 1,710 kes, cubaan ceroboh laman web dan sebagainya 1,744 kes, fitnah melalui siber 645 dan sebagainya.

Seterusnya, ancaman dalam konteks keselamatan negara dan keselamatan rakyat. Ancaman ini telah mengubah landskap tindakan punitif dan pencegahan dalam PDRM.

Fahaman politik dalam agama dan ekstremisme serta radikalisme adalah penyumbang kepada kewujudan ancaman keganasan dari dalam dan luar negara serta mengganggu gugat perpaduan nasional.

Antara isu-isu utama yang perlu dihadapi PDRM dalam hal ini antaranya hasutan melalui media sosial, penyebaran ajaran sesat, ekstremis kaum, kegiatan anti kerajaan, kumpulan pelampau agama, pengganas dan liberalisme.

Selamat menyambut Hari Polis.

BACA INI JUGA:

-Sentiasapanas.com

Sunday, March 10, 2019

Sambutan Hari Penolong Pegawai Perubatan

Sambutan Hari Penolong Pegawai Perubatan

Sambutan Hari Penolong Pegawai Perubatan Malaysia yang disambut pada 10 Mac setiap tahun sejak 2011 lalu dan sebelumnya adalah sambutan Hari Pembantu Perubatan telah termaktub didalam kalendar tahunan Kementerian Kesihatan Malaysia.

Hari Penolong Pegawai Perubatan

Penolong Pegawai Perubatan adalah antara profesion terawal wujud di Malaysia dan ia kini menjangkau lebih daripada 230 tahun.

Terdapat profesion yang hampir sama dengan Penolong Pegawai Perubatan di luar negara seperti Physician Assistant di Amerika Syarikat, Barefoot Doctor di Australia, Kanada, Rusia, China serta di beberapa negara membangun seperti Filipina dan sebagainya.

Kini seramai hampir 17,000 Penolong Pegawai Perubatan sedang menaburkan jasa dalam pelbagai bidang dan kepakaran kepada rakyat di seluruh negara.

Sambutan ini diadakan bagi menghargai kesungguhan Penolong Pegawai Perubatan untuk meningkatkan profesionalisma dan berkhidmat dengan penuh dedikasi bagi memastikan kesejahteraan masyarakat.

Sebagai salah satu profesion di barisan hadapan dalam perkhidmatan kesihatan negara ini, peranan Penolong Pegawai Perubatan adalah sangat penting bagi memastikan kesihatan rakyat terjaga dan mereka mendapat perkhidmatan terbaik.

Peranan dan tanggungjawab Penolong Pegawai Perubatan dalam penjagaan kesihatan sebelum ini hanya sebagai pembantu sahaja.

Kini, peranan Penolong Pegawai Perubatan menjadi lebih penting dan meluas, di mana ianya dikembangkan sebagai rakan kongsi kepada Pegawai Perubatan, bekerjasama sebagai sebuah pasukan bersama dengan profesion perubatan yang lain dalam menjalankan prosedur dan rawatan kepada pesakit.

Lembaga Pembantu Perubatan telah membangunkan Pelan Pembangunan Profesion Penolong Pegawai Perubatan 2016-2030 atau dikenali sebagai 6P yang mana ianya telah dijadikan blue print.

Pelan 6P yang komprehensif ini meliputi segala aspek dalam membangunkan profesion Penolong Pegawai Perubatan untuk memantapkan peranan Penolong Pegawai Perubatan sebagai anggota kesihatan yang dinamik, pembangunan pendidikan, kemajuan kerjaya, sumber manusia dan kolaborasi antarabangsa.

Bagi mencapai matlamat dan objektif Kementerian Kesihatan Malaysia, Penolong Pegawai Perubatan perlu menerapkan ciri-ciri kepimpinan cemerlang untuk menjayakan dan meningkatkan lagi motivasi sesebuah pasukan.

Pelan 6P dijangka akan dapat menyuntik anjakan paradigma bagi profesion yang penting ini dan mencerminkan peranan sebenar Penolong Pegawai Perubatan sejajar dengan pelan transformasi kesihatan nasional ke arah negara yang sihat sejahtera.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: kpkesihatan

Tuesday, October 09, 2018

Sambutan Hari Sukan Negara

Sambutan Hari Sukan Negara

Sambutan Hari Sukan Negara disambut pada hari Sabtu minggu kedua bulan Oktober setiap tahun, yang merupakan inisiatif Kementerian Belia dan Sukan sebagai salah satu langkah proaktif didalam proses transformasi ke arah mencapai hasrat menjadikan Malaysia sebagai sebuah ‘Negara Bersukan’ (Sporting Nation).

Sambutan-Hari-Sukan-negara

Hari Sukan Negara di jadikan agenda nasional yang selari dengan matlamat negara ke arah Wawasan 2020 yang bakal diisi dengan pelbagai aktiviti sukan dan riadah untuk memastikan setiap lapisan masyarakat mengambil bahagian dalam meraikan Sambutan Hari Sukan Negara dan diraikan secara serentak di seluruh negara.

Semua pihak melalui penglibatan sektor awam, swasta dan rakyat keseluruhannya akan berganding bahu menganjur dan menyertai program dan aktiviti sukan dan kecergasan pada hari berkenaan.

Hari Sukan Negara sangat penting dalam usaha kerajaan menggalakkan rakyat menerapkan amalan budaya hidup cergas dan aktif memandangkan peratusan masyarakat Malaysia yang aktif bersukan masih lagi rendah iaitu pada kadar sekitar 40 peratus berbanding dengan 50 hingga 60 peratus di negara maju.

Budaya sukan melalui amalan gaya hidup cergas dan aktif pada masa yang sama dapat membantu menurunkan kadar penyakit kronik dikalangan rakyat Malaysia.

Berikut merupakan objektif Hari Sukan Negara:
  • Menerapkan budaya sukan dikalangan rakyat.
  • Memupuk semangat perpaduan dikalangan rakyat
  • Pembangunan ekonomi negara melalui pembangunan industri sukan.
  • Meningkatkan pengetahuan sukan dikalangan rakyat.
  • Mengiktiraf rakyat Malaysia yang terlibat dalam aktiviti membangunkan sukan di peringkat akar umbi

Selamat menyambut Hari Sukan Negara.

BACA INI JUGA:

sumber: harisukannegara

Monday, October 01, 2018

Sambutan Hari Pendaftaran Negara (HPN)

Sambutan Hari Pendaftaran Negara (HPN)

Sambutan Hari Pendaftaran Negara disambut pada 1 Oktober setiap tahun bermula 2013 yang lalu dengan tujuan memberi satu pengiktirafan terhadap pengwujudan dan peranan JPN dalam urusan pendaftaran, pengeluaran dan penyelenggaraan dokumen pengenalan diri semenjak tahun 1881.

Hari Pendaftaran Negara

1 Oktober juga diisytiharkan sebagai Hari Pendaftaran Negara sempena tarikh pengeluaran Kad Pengenalan Kertas pertama yang berlaku pada 1 Oktober 1948, juga dikenali sebagai kad beras.

Kad beras dikeluarkan kepada orang awam secara sistematik dan teratur mulai 1 Oktober 1948 dengan kad pertama bernombor siri 0000001 dikeluarkan kepada Tunku Abdul Rahman, Bapa Kemerdekaan Negara.

Rekod pendaftaran tertua yang ditemui setakat ini masih dalam simpanan JPN, namun begitu sudah ada proses pendaftaran penduduk sebelum itu lagi.

SEJARAH PENDAFTARAN DI MALAYSIA

1807 – Piagam Keadilan 1807 (Piagam Pertama) telah menubuhkan undang-undang Inggeris yang dikenali sebagai Lex Loci (law of the land) di Pulau Pinang.

1826 – Piagam Keadilan 1826 (Piagam Kedua) pula telah menubuhkan undang-undang Inggeris yang dikenali sebagai Lex Loci (law of the land) di Singapura dan Melaka walaupun undang-undang tersebut bukanlah per se menggantikan undang-undang adat. Hasilnya, kes undang-undang dan adat-adat tempatan ini dipinda kepada undang-undang Inggeris.

1867 – Negeri-negeri Selat (Straits Settlements) telah dipisahkan dari Kerajaan di India (oleh operasi kerajaan di bawah Akta Negeri-negeri Selat 1866) iaitu di bawah kuasa perundangan.

1867 – Selaras dengan Surat Kurnia, kuasa perundangan di dalam tanah jajahan telah diluluskan oleh Majlis Perundangan Negeri-negeri Selat (Legislative Council The Straits Settlements).

1874–1899 – Negeri-negeri Melayu Bersekutu (Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang) menjadi negeri naungan Great Britain dari ancaman musuh.

1889 – Digabungkan menjadi Persekutuan Tanah Melayu.

1895 – Sebelum tahun 1895, Persekutuan Tanah Melayu beroperasi secara berasingan, sehinggalah satu undang-undang digubal supaya pengasingan dibuat untuk undang-undang berkaitan dengan pendaftaran kelahiran, kematian, pengebumian, perkahwinan dan perceraian. Pada tahun 1895, ianya beroperasi di bawah Majlis Persekutuan.

Rekod-rekod kelahiran dan kematian yang telah direkodkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara Malaysia masih lagi dipelihara sejak hampir 150 tahun yang lalu.

Dalam tahun 1948, kad pengenalan pertama telah dikeluarkan semasa waktu darurat (Kawasan-kawasan Pendaftaran). Peraturan-peraturan 1948 telah diperluaskan melalui Ordinan Darurat 1948.

Kad pengenalan untuk Persekutuan Tanah Melayu telah dikeluarkan pada 2 Ogos 1960.

Urusan kelahiran, kematian, pengangkatan, kewarganegaraan dan perkahwinan pada awalnya diletakkan di bawah kerajaan negeri sehingga undang-undang persekutuan dibentuk untuk memberikan perkhidmatan kepada orang awam mengenai perkara-perkara berkaitan pendaftaran.

Jabatan Pendaftaran Negara Tanah Melayu telah dibentuk untuk mentadbir akta untuk Parlimen sehingga ke hari ini.

SEJAK ZAMAN PORTUGIS

Sejarah kepada pendaftaran kelahiran dan kematian di negara ini sebenarnya mempunyai kisah yang cukup panjang.

Berdasarkan sejarah, rekod kelahiran, kematian, perkahwinan serta penceraian telah dicatat secara rasmi sejak zaman penjajahan Portugis di Melaka pada 1511.

Tindakan itu diteruskan Belanda di Melaka namun tiada undang-undang bertulis berkaitan pendaftaran sivil direkodkan sebelum 1868.

Sejak 1886 ketika di bawah pemerintahan Inggeris, Negeri-negeri Selat bermula dengan Pulau Pinang, Melaka, Singapura dan Dinding (Manjung, Perak) telah mencatatkan kelahiran dan kematian di dalam buku lejar dengan menggunakan bahasa Inggeris.

Seterusnya, Negeri-negeri Selat berserta Negeri-negeri Melayu Bersekutu dan tidak bersekutu mengeluarkan daftar kelahiran yang berbeza rupa.

Bagi daftar kelahiran Negeri-negeri Melayu Bersekutu dan tidak bersekutu, segala maklumat ditulis dalam bahasa Inggeris dan tulisan jawi sementara daftar kelahiran Negeri-negeri Selat pula menggunakan bahasa Inggeris dan bahasa Melayu menggunakan tulisan rumi.

Daftar kelahiran itu terus kekal sebagai pengenalan diri rakyat negara ini sehinggalah pihak Inggeris menerusi Peraturan Darurat 1948 memperkenalkan kad pengenalan bagi membendung ancaman komunis. Kad itu diperbuat daripada kertas tanpa dibaluti plastik.

Antara ciri yang ada padanya adalah gambar hitam putih, cap ibu jari kanan serta butir-butir asal penduduk tanpa sebarang maklumat mengenai kewarganegaraan.

Begitu pun, di kalangan rakyat, kad tersebut lebih popular dengan nama kad beras berbanding kad pengenalan sebabnya, mereka perlu menunjukkan kad tersebut setiap kali membeli beras.

Tujuannya kerana British tidak mahu bekalan makanan terlepas ke tangan pengganas komunis pada waktu darurat.

Selari dengan peredaran semasa, Akta Pendaftaran Negara 1959 (Akta 78) diperkenalkan bagi memperkemaskan lagi sistem pengeluaran kad pengenalan.

Selaras dengan itu, Kad Pengenalan Plastik (KPP) dikeluarkan bermula 1 Ogos 1960 di Semenanjung Malaysia sebelum diperluaskan kegunaannya ke Sarawak pada 30 Mac 1966 dan Sabah pada 1 Jun 1972.

Selain ditambah baik dari segi daya ketahanan termasuk tidak mudah basah dan koyak, kad tersebut mempunyai cap ibu jari kiri dan kanan berserta maklumat yang lebih terperinci.

Selain itu, menerusi KPP inilah bermulanya empat warna kad yang menentukan taraf kewarganegaraan seseorang iaitu biru untuk warganegara Malaysia, merah untuk pemastautin tetap dan hijau bagi pemastautin sementara.

Satu lagi warna iaitu coklat dikeluarkan untuk bekas banduan bagaimanapun, kad pengenalan coklat kini tidak lagi dikeluarkan bagi mengelakkan diskriminasi terhadap golongan berkenaan.

MY KAD

30 tahun berlalu, Malaysia seperti negara-negara lain mula berjinak-jinak dengan pengkomputeran data.

Seiring dengan itu, kad pengenalan bermutu tinggi diperkenalkan dengan nombornya juga adalah unik bagi setiap individu.

Pada mulanya, gambar yang digunakan hanyalah hitam putih sebelum digantikan dengan foto berwarna bermula 1997 sehingga 2000.

Seterusnya, kad pengenalan bermutu tinggi digantikan pula dengan kad pintar bercip yang mampu memberi pelbagai maklumat selain mempunyai pelbagai aplikasi seperti touch n go, kad bank dan sistem pembayaran elektronik Malaysia (MEPS).

Dan kini, rakyat Malaysia sudah bertukar kepada Mykad baharu yang diperbuat daripada bahan polikarbonat yang tahan lasak, kad tersebut menggunakan teknologi turisan laser pada permukaannya selain dilengkapi perlindungan anti salinan bagi mengelakkan pemalsuan.

Itu bermaksud, jika anda menggores gambar atau nombor Mykad tersebut untuk dipalsukan, anda pasti tidak akan berjaya mengubah turisan laser di setiap lapisan Mykad berkenaan sehingga ke bahagian terakhir.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: jpn | utusan

Tuesday, September 04, 2018

Sambutan Pesta Harapan Malaysia Baharu

Sambutan Pesta Harapan Malaysia Baharu

Sepanjang September 2018 ini, akan berlangsungnya Pesta Harapan Malaysia 2018, dengan tujuan utama penganjuran ialah bagi meraikan keberanian serta penglibatan belia dalam usaha membina Malaysia baharu.

Sambutan Pesta Harapan Malaysia Baharu

Pelbagai aktiviti menarik bakal diadakan sepanjang penganjuran Pesta Harapan Malaysia, antaranya Larian Harapan, Konsert Unity, permainan atas talian eSport, seminar eCommerce dan macam-macam lagi.

Dijangkakan lebih 50,000 orang akan menyertai Pesta Harapan Malaysia yang buat julung kalinya dianjurkan oleh Event@Kini.

Korang mesti dah tak sabar nak join kan?

Berikut kami kongsikan beberapa aktiviti menarik yang anda boleh sertai bersama rakan-rakan dan keluarga.

Larian Harapan

Berbeza dengan acara larian yang sering dianjurkan sebelum ini, Larian Harapan sudah pasti bakal menyajikan satu pengalaman baru kepada peserta larian kerana ianya bertemakan LED Mid-Nite Run.

Peserta yang telah mendaftar akan diberikan Race Kits yang mengandungi t-shirt dengan 3 pilihan rekabentuk, pingat, dan beberapa barangan aksesori LED yang menarik seperti cermin mata LED, gelang LED yang akan untuk digunakan pada semasa larian itu nanti.

Larian sejauh 5km ini akan dilepaskan pada 12 tengah malam, 16 September 2018 dan jangan lupa gunakan kod promo istimewa ‘lastcall‘ untuk mendapatkan 10% diskaun sekarang!

Malangnya, promo kod ini terhad kepada 500 pendaftaran yang pertama sahaja! Daftar sekarang!

Unity Countdown Concert

Sambutan Pesta Harapan Malaysia Baharu

Acara kemuncak yang ditunggu-tunggu oleh orang ramai pada Pesta Harapan 2018 kali ini ialah Konsert Unity yang bakal membariskan lebih 20 artis terkenal tanah air.

Bukan sahaja dapat menyaksikan persembahan artis kegemaran, seawal pukul 4 petang pengunjung yang hadir dapat beriadah dan singgah di lebih 30 gerai yang disediakan.

Ada gerai jualan makanan, gerai jualan car boot dan macam-macam lagi! Pelbagai hadiah menarik juga menanti korang semua.

Dato’ Siti Nurhaliza, Jaclyn Victor, Bunkface, Sufian Suhaimi, Estranged, Rynn Lim dan ramai lagi artis terkenal tanah air akan membuat persembahan pada Konsert Unity yang akan bermula pada pukul 7 malam sehingga detik 12 tengah malam bagi meraikan Hari Malaysia pada 16 September 2018.

Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir dijangka akan mengetui acara countdown pada acara tersebut.

Electronic Sport Game

Pada 21-23 September nanti akan berlangsungnya peringkat kelayakan World Electronic Sport Game (WESG) di Quill City Mall.

Pertandingan anjuran Ali Baba Group ini menawarkan hadiah lumayan bernilai 5.5 juta USD untuk dimenangi oleh 180 peserta yang bertanding.

Berminat untuk ‘berperang’ sekali? Korang boleh klik SINI.

ALIBABA Entrepreneurship Summit

ALIBABA Entrepreneurship Summit

mengumpulkan pemilik bisnes dan usahawan berjaya di dalam pelbagai jenis bidang terutamanya perniagaan atas talian.

Orang ramai boleh menyertai Alibaba – MalaysiaKini Entrepreneurship Summit yang akan berlangsung selama dua hari pada 25 dan 26 September di Palace Of The Garden Horses.

Beberapa topik hangat berkenaan e-commerce akan dibincangkan sepanjang dua hari program ini berlangsung dan peserta yang berdaftar berpeluang mendapatkan informasi terperinci berkenaan e-commerce.

Yuran pendaftaran serendah RM39 sahaja bagi kategori silver.

Voice For Nation Building

Voice For Nation Building

Peranan belia di dalam pembentukan sesebuah negara maju seperti Malaysia sangat diharapkan.

Selain terlibat secara langsung di dalam sesebuah organisasi, pendapat mereka perlu didengar dan diperhalusi kerajaan.

Justeru, satu acara istimewa Voice For Nation Building, khas untuk generasi belia akan diadakan pada 27 September, bertempat di Dewan Tunku Canselor Universiti Malaya.

Pendaftaran adalah percuma. Daftar sekarang di SINI dan pastikan suara anda didengari!

Lagu Tema Pesta Harapan Malaysia



Jom sama-sama meriahkan lagi Pesta Harapan Malaysia kali ini!

Untuk maklumat lanjut boleh layari laman web Pesta Harapan Malaysia 2018 dan Facebook Pesta Harapan Malaysia.

Jumpa di sana!

BACA INI JUGA:

sumber: ohbulan

Sunday, April 01, 2018

Sambutan Festival Makanan Antarabangsa Pulau Pinang

Sambutan Festival Makanan Antarabangsa Pulau Pinang

Sambutan Festival Makanan Antarabangsa Pulau Pinang disambut setiap tahun bagi memberikan peluang kepada orang ramai menikmati minuman dan makanan yang enak disediakan oleh penjaja, vendor, kafe dan restoran terbaik di negeri ini dalam festival selama 16 hari.

Sambutan Festival Makanan Antarabangsa Pulau Pinang

Acara utama akan diadakan di Lebuh Pantai, Jalan Kelawai dan Batu Kawan bagi meraikan reputasi Pulau Pinang sebagai syurga makanan di Malaysia.

Terdapat tiga acara utama pada PIFF 2018 yang mewakili pelbagai aspek landskap kulinari Pulau Pinang seperti ‘Street Food Festival', 'Taste of Penang' and 'Food Truck Invasion'.

Street Food Festival merupakan penghormatan kepada penjaja luar biasa di negeri ini dan akan menampilkan hidangan makanan jalanan yang paling terkenal.

'Taste of Penang' pula akan menumpukan kepada makanan moden Pulau Pinang dengan kafe dan restoran terbaik menyediakan hidangan eksklusif mereka.

Selain tiga acara utama itu, terdapat juga satu siri acara sampingan dalam bentuk festival mini dan pengalaman menikmati hidangan istimewa yang akan diadakan di pelbagai lokasi sepanjang festival 16 hari itu.

PIFF dianjurkan oleh TLM Event dengan sokongan kerajaan negeri Pulau Pinang.

Maklumat lanjut mengenai acara itu, orang ramai boleh melayari laman web www.piff.com.my atau Facebook Penang International Food Festival.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: mstar