Tuesday, May 23, 2017

Sambutan Hari Penyu Sedunia, World Turtle Day

Sambutan Hari Penyu Sedunia, World Turtle Day

Sambutan Hari Penyu Sedunia, World Turtle Day disambut pada 23 Mei setiap tahun bagi meningkatkan kesedaran masyarakat tentang usaha melindungi penyu yang diancam kepupusan itu.

Hari Penyu Sedunia

Meskipun penyu telah wujud lebih 100 juta tahun, namun bilangannya semakin menurun di­sebabkan faktor luaran seperti aktiviti perburuan secara haram atau perubahan iklim yang tidak menentu.

Pelbagai inisiatif serta program dianjurkan oleh semua pihak di seluruh dunia bertujuan memberikan kesedaran, berkenaan pentingnya memulihara spesies terancam ini.

Antaranya, sambutan Hari Penyu Sedunia yang di­sambut secara global pada 23 Mei setiap tahun, untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan komuniti tempatan dan antarabangsa mengenai keperluan melindungi penyu dan memulihara ekosistem marin ini.

Selaras dengan usaha tersebut, di Malaysia dua institut penyelidikan di bawah Universiti Malaysia Terengganu (UMT), iaitu Unit Penyelidikan Penyu (SEATRU) dan Institut Oseanografi dan Sekitaran (INOS) telah menganjurkan beberapa program berbentuk ke­sedaran marin, dengan harapan agar masyarakat akan lebih memahami serta prihatin terhadap langkah yang sepatutnya dijalankan demi menjaga spesies penyu ini daripada terancam.

Pelbagai aktiviti menarik dijalankan bagi meningkatkan kefahaman orang ramai mengenai biologi penyu, ancaman kepada penyu dan usaha orang ramai dalam memulihara haiwan ini.

Antaranya pameran poster menge­nai penyu, aktiviti mewarna dan taklimat manakala pelepasan anak penyu ke laut pula menjadi acara kemuncak.

Ancaman terhadap penyu dilihat semakin berleluasa sekarang ini dan cabaran terbesar dalam usaha pemuliharaan penyu terutama­nya pengu­tipan telur untuk tujuan komersial.

Sehingga kini, selain telur Penyu Belimbing, masih belum ada undang-undang untuk mengharamkan penjualan telur Penyu Agar dan Karah di Terengganu.

Ini menyebabkan penduduk tempatan semakin aktif mengutip te­lur penyu untuk dijual, tambahan pula harganya telah meningkat kerana permintaan orang ramai termasuklah pelancong dalam dan luar negara yang datang ke Terengganu.

Namun, usaha untuk menghentikan terus penjualan telur penyu mungkin akan mengambil masa yang agak lama memandangkan mentaliti mereka yang membeli dan memakan telur penyu agak sukar diubah.

Dengan pemahaman yang dapat dipupuk tentang betapa pentingnya memulihara penyu melalui sambutan Hari Penyu ini, maka aktiviti seperti penjualan dan memakan telur penyu dapat dikurangkan dari masa ke semasa.

Selamat menyambut Hari Penyu Sedunia.

BACA INI JUGA:

sumber: utusan