Monday, May 15, 2017

Jasa Guru Hingga Ke Syurga

Jasa Guru Hingga Ke Syurga

Tanggal 16 Mei pada setiap tahun merupakan hari bagi memperingati jasa guru di seluruh negara namun begitu, bukanlah bermakna guru hanya diingati pada hari tertentu sahaja malah jasa guru perlu sentiasa dikenang dalam doa kita setiap hari.

Guru

Kerjaya sebagai guru adalah mulia. Mereka ibarat matahari yang menyuluh kegelapan alam ini. Jasa mereka yang istiqamah mendidik dan menyampaikan ilmu demi membangunkan ummah amatlah besar kepada setiap anak bangsa.

Justeru, kedudukan guru atau orang yang berilmu amat tinggi di sisi ALLAH berbanding orang lain, lantaran ilmu yang ditekuni dan dicurahkan, lebih-lebih lagi jika dia seorang yang beriman.

Firman ALLAH dalam Surah az-Zumar, ayat 9, “Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui? Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna.”

Malah mereka juga akan mendapat ganjaran pahala yang berterusan sehingga hari kiamat selagi ilmu yang disampaikan itu dimanfaatkan dan diamalkan oleh setiap anak didik mereka, walaupun jasad sudah tiada lagi di dunia ini. Benarlah sabda Nabi Junjungan SAW:

“Apabila meninggal dunia seseorang manusia, terputuslah pahala amalannya kecuali dari tiga perkara: Sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan, dan anak soleh yang mendoakannya”. Hadith sahih riwayat Bukhari dan Muslim.

Namun perlu difahami bahawa kerjaya guru atau pendidik bukanlah semata-mata terhad kepada mereka yang bekerja di sekolah atau di universiti, atau di mana-mana pusat pengajian.

Hakikatnya, semua mereka yang tekun mengajar apa sahaja kebaikan dan mendidik anak bangsa menjadi orang yang berguna adalah termasuk dalam kategori “guru”, bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW berkenaan kelebihan orang yang mengajarkan kebaikan kepada orang lain: “Sesungguhnya ALLAH, para malaikat-Nya, penduduk langit dan bumi sehinggakan semut dalam lubangnya dan sehinggakan ikan (di laut) berselawat (mendoakan rahmat) ke atas orang yang mengajarkan kebaikan kepada manusia”. Hadith hasan riwayat at-Tirmizi.

Bahkan, dalam kehidupan setiap daripada kita, guru utama yang tidak dapat dilupakan jasanya adalah kedua ibu bapa kita sendiri yang mengajar, mendidik, mentarbiah dan membesarkan kita sejak kita dilahirkan.

Sebagaimana sabda Rasulullah SAW, “Tidak ada bayi yang dilahirkan kecuali dilahirkan dalam keadaan fitrah, maka kedua ibu bapanyalah yang menjadikan dia sebagai seorang Yahudi, atau seorang Kristian, atau seorang Majusi”. Hadith sahih riwayat Bukhari dan Muslim.

Dalam sejarah Islam, peranan guru amatlah besar. Lihatlah bagaimana Rasulullah SAW menjadi contoh terbaik sebagai seorang pelajar yang berguru dengan malaikat Jibril AS, walaupun ALLAH boleh sahaja memberikan ilmu kepada baginda tanpa melalui perantaraan malaikat Jibril.

Begitu juga dengan para sahabat yang berguru dengan Baginda, seterusnya para tabiin dan tabi’ tabiin sehinggalah ke hari ini.

Justeru, bagi mereka yang bergelar pelajar, perlulah beradab dan menunjukkan akhlak yang mulia terhadap guru mereka, kerana hakikat kejayaan dan keberkatan seseorang pelajar itu adalah bergantung kepada sejauh mana adab dan akhlak dia dengan gurunya, dan bukan bergantung pada semata-mata kebijaksanaan pelajar itu atau sejauh mana usahanya mendapatkan ilmu.

Lihatlah kepada mereka yang berjaya pada hari ini, tidak kira siapa, pasti di sebalik kejayaan itu, ada guru yang mendidik dan mentarbiah mereka, di samping adab dan hubungan dengan guru-guru mereka.

Mengakhiri artikel, suka penulis untuk mengungkap sajak daripada sasterawan negara, Usman Awang berkenaan guru:
Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.
Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.
Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.
Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.
Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulangi ilmu
Panggilan keramat “cikgu” kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

Selamat menyambut Hari Guru.

BACA INI JUGA: Kisah Benar Cikgu Idayu Dan Kerenah Birokrasi Yang Memualkan!

sumber: sinarharian

Sunday, May 14, 2017

Sambutan Hari Guru, Teacher's Day

Sambutan Hari Guru, Teacher's Day

Sambutan Hari Guru, Teacher's Day disambut pada 16 Mei setiap tahun sebagai penghargaan kepada semua guru, disamping memberi peluang kepada para pelajar untuk membalas jasa guru yang tinggi ibarat gunung, dalam ibarat laut.

Sambutan Hari Guru

Tarikh sambutan ini dipilih sebagai Hari Guru kerana pada haribulan yang sama dalam tahun 1956, Majlis Undang-Undang Persekutuan Tanah Melayu (Federal Legislative Council) telah menerima cadangan-cadangan Laporan Jawatankuasa Pelajaran (Report of the Education Committee) sebagai dasar pelajaran bagi negara kita.

Dokumen tersebut yang dikenali sebagai Laporan Razak (Razak Report) telah menjadi Dasar Pelajaran Kebangsaan semenjak itu.

Oleh itu, pihak Kementerian Pelajaran Malaysia telah menetapkan 16 Mei setiap tahun sebagai Hari Guru dan mengadakan sambutan Hari Guru di setiap sekolah di Malaysia.

Objektif
  • Menitikberatkan peranan guru dalam pembinaan kebangsaan (termasuk perpaduan dan integrasi), pembangunan negara dan perkhidmatan kepada masyarakat.
  • Menarik perhatian ibubapa, murid dan orang ramai kepada peranan penting kaum guru dalam masyarakat Malaysia.
  • Memupuk perasaan perpaduan ikhtisas dan muhibah di antara guru.
  • Meninggikan martabat dan taraf guru dalam masyarakat.
  • Memberi peluang untuk memajukan kecekapan guru melalui seminar-seminar, persidangan-persidangan, dan sebagainya yang diadakan pada Hari Guru.
  • Menilai secara objektif peranan guru dengan berlatarbelakangkan Malaysia dan mengambil langkah-langkah supaya peranan itu lebih berkesan.

Hubungan Guru Dan Murid

Murid-murid pada hari sambutan ini boleh memberi hadiah seperti bunga dan seumpamnya untuk merakamkan setinggi-tinggi perhargaan kepada guru yang banyak mendidik kita menjadi modal insan yang berguna.

Tindakan ini bukan sahaja akan mendidik murid menjadi seorang yang mengenang budi, malah juga memberi ganjaran untuk guru yang dihormati dan disayangi murid.

Selain itu, sambutan Hari Guru juga memberi satu pentas untuk mengeratkan hubungan antar guru dengan murid. Hal ini demikian kerana murid berpeluang untuk berkomunikasi dan berinteraksi semasa bermain permainan yang diadakan.

Misalnya, permainan bola keranjang antara murid dengan guru akan memupuk sikap kerjasama antara satu sama lain selain dapat berkongsi teknik bermain bersama. Secara tidak langsung, fenomena yang mesra dan meriah dapat dibentukkan di kawasan sekolah.

Tambahan pula, sambutan Hari Guru bertujuan untuk memberi tanda terima kasih kepada guru daripada pihak sekolah selain daripada murid.

Memang tidak dinafikan bahawa setiap orang guru perlu bertanggungjawab menjaga dan mengharumkan nama sekolah selain mendidik anak murid dengan baik.

Oleh itu, pihak sekolah menggunakan peluang sambutan Hari Guru untuk menunjukkan perhargaan mereka terhadap guru dengan mengadakan jamuan ringkas pada Hari Guru.

Manakala, ketika sambutan Hari Guru juga, program lafaz ikrar daripada guru untuk memberi peringatan kepada setiap guru agar tidak bersikap evasif dalam usaha mengajar murid.

Melalui program ini, guru akan mempunyai kesedaran tentang ajaran murid ialah obligasi yang tidak boleh dipandang-remeh, malah harus dititikberatkan.

Dengan itu, murid yang berpengetahuan luas dan bersopan-santun dapat dibentuk sekali gus mewujudkan pemimpin yang berwibawa bagi masa depan negara kita.

Kesimpulannya, sambutan Hari Guru merupakan salah satu sambutan yang tidak dapat digantikan di peringkat sekolah kerana sambutan Hari Guru memberi makna yang dalam terhadap guru dan murid.

Tema Hari Guru
  • 1972 Peranan Guru Dalam Pembangunan Negara
  • 1973 Kerjasama Ibu Bapa Untuk Kemajuan Pendidikan
  • 1974 Peranan Guru Dalam Zaman Sains dan Teknologi
  • 1975 Guru dan Pembangunan Negara
  • 1976 Pendidikan Moral Dalam Zaman Kemajuan Pendidikan
  • 1977 Dedikasi dan Disiplin Asas Kemajuan Pendidikan
  • 1978 Guru Pembentuk Generasi Akan Datang
  • 1979 Murid Sejahtera Negara Jaya
  • 1980 Pendidikan Teras Perpaduan Negara
  • 1981 Pengorbanan Guru Kejayaan Rakyat
  • 1982 Ke Arah Kecekapan Guru Dan Pendidikan Bermutu
  • 1983 Kepimpinan Berteladan Teras Pendidikan
  • 1984 Kepimpinan Berteladan Kesempurnaan Pendidikan
  • 1985 Guru dan Masyarakat Asas Kemajuan Pendidikan
  • 1986 Pendidikan Teras Nasionalisme
  • 1987 Pendidikan Ke Arah Kesejahteraan Insan
  • 1988 Guru Pengasas Budaya Membaca
  • 1989 Guru Pembina Budaya Ilmu
  • 1989 Guru Pembina Budaya Ilmu
  • 1990 Pendidikan Bermutu Masyarakat Sejahtera
  • 1991 Ke Arah Pendidikan Cemerlang
  • 1992 Guru Cemerlang Teras Kejayaan Wawasan
  • 1993 Guru Inovatif dan Kreatif Menjayakan Wawasan
  • 1994 Guru Inovatif dan Kreatif Menjayakan Wawasan
  • 1995 Permuafakatan dan Perpaduan Menjayakan Wawasan
  • 1996 Guru Malaysia Teras Pendidikan Bertaraf Dunia
  • 1997 Guru Bestari Sekolah Bestari
  • 1998 Guru Penyemai Tanggungjawab Bersama
  • 1999 Guru Berkesan Pendidikan Cemerlang
  • 2000 Bersatu Memartabatkan Profesion Keguruan
  • 2001 Memartabatkan Profesion Keguruan Tanggungjawab Bersama
  • 2002 Guru Berkualiti Aspirasi Negara
  • 2003 Guru Berkualiti Aspirasi Negara
  • 2004 Guru Berkualiti Pemangkin Kegemilangan
  • 2005 Guru Berkualiti Pemangkin Kegemilangan
  • 2006 Pendidikan Bestari Pemangkin Kegemilangan
  • 2007 Guru Penjana Modal Insan Cemerlang
  • 2008 Guru Cemerlang Negara Terbilang
  • 2009 Guru Pembina Negara Bangsa
  • 2010 Guru Pembina Negara Bangsa
  • 2011 Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara
  • 2012 Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara
  • 2013 Guru Malaysia 1 Aspirasi 1 Agenda
  • 2014 Guru : Pencetus Kreativiti, Penjana Inovasi
  • 2015 Guru : Membina Ilmu Menyempurnakan Akhlak
  • 2016 Guru Pembina Negara Bangsa
  • 2017 Guru Pembina Negara Bangsa

Sambutlah Hari Guru bersama guru yang kita sayangi!

BACA INI JUGA:

sumber: spmsos | wikipedia