Wednesday, September 04, 2013

Hanya Naik RM0.20 Tapi Bodohlah Kalau Harga BARANG Pun Tak Naik Lepas Ni!!

Hanya Naik RM0.20 Tapi Bodohlah Kalau Harga BARANG Pun Tak Naik Lepas Ni!!

Seperti yang kita semua sudah sedia maklum, kerajaan BN telah menaikkan harga minyak petrol RON 95 dan diesel sebanyak 20 sen. Dengan kenaikan itu, harga semasanya menjadi RM2.10 sen dan RM2.00 seliter bagi diesel.

Minyak naik

Langkah kenaikan yang disifatkan Najib untuk pengukuhan ekonomi itu juga menyebabkan subsidi kerajaan keatas petrol kini menurun kepada 63 sen manakala untuk diesel menjadi 80 sen sahaja.

Kenaikan ini jelas tidak menggembirakan rakyat. Di alam maya, Najib menerima kritikan, cemuhan dan serangan yang berterusan.

Bukan saja rakyat biasa yang rasa terbeban dengan kenaikan itu meluahkan perasaan dan kemarahan mereka, malahan bekas Mufti Perlis, Dr Asri Zainal Abidin dan ahli akademik, Dr Mazleee Malik juga turut aktif di twitter masing-masing dengan pelbagai maklumat yang berupa kritikan dan sindiran mengenai kenaikan itu.

Ahli-ahli politik pembangkang pula tentulah menggunakan peluang ini untuk menghentam dan mengkritik kerajaan semahu-mahunya, apalagi kenaikan petrol dan diesel ini umpama hadiah daripada Najib kepada rakyat sempena 100 hari kemenangan BN.

Buat pertama kali juga, pemimpin UMNO menjadi kurang aktif sama ada si facebook ataupun twitter. Selalunya jika timbul isu-isu sebegini, para pemimpin UMNO yang aktif di dunia sosial turut memainkan peranan mempertahankan apa yang dilakukan kerajaan, tetapi malam tadi ramai yang berdiam diri dan tidur awal agaknya.

Mungkin mereka juga sudah tiada idea lagi untuk mempertahankan tindakan Najib itu.

Pengendali laman sosial yang pro UMNO dan kerajaan juga kelihatan pasif dan tidak tidak berdaya lagi mempertahankan langkah tidak bijak Najib itu.

Hanya Bung Mokhtar Radin, Ahli Parlimen Kinabatangan dan Pengerusi Felcra yang cuba mempertahankan dan menyokong kenaikan minyak ini tetapi beliau juga kemudiannya dikritik dan diserang hebat, termasuk mengaitkan dengan perkahwinan keduanya bersama aktres Zizie Ezzette.

Harga minyak naik

Di alam nyata pula, kenaikan ini disambut dengan rungutan dan cebikan mulut daripada rakyat terhadap Najib dan BN.

Ditambah dengan hujan yang turun sejak awal petang, kesesakan bukan saja berlaku di jalan-jalan raya, malahan juga di hampir semua stesen minyak. Ini jelas menggambarkan kenaikan 20 sen tetap memberi kesan kepada kebayakan rakyat dan mereka berusaha untuk menjimatkan perbelanjaan masing-masing sedaya yang mungkin.

Dilaporkan juga terdapat kejadian merosakkan stesen minyak berikutan rakyat menjadi marah selepas beratur lama untuk mengisi minyak, tiba-tiba diberitahu bekalannya sudah habis.

Ini menggambarkan bukan saja kenaikan itu dibantah, malahan masa pengumuman mengenai kenaikan itu juga memperlihatkan sikap tidak bijak Najib sehingga mencetuskan suasana kelam-kabut dan panik di kalangan sesetengah rakyat.

Kenaikan minyak kali ini tidak disebut Najib sebagai kesan kenaikan minyak dunia tetapi lebih ke arah pengukuhan ekonomi dan mengurangkan defisit. Najib lantas memberitahu kenaikan harga minyak ini akan diseimbangkan dengan kenaikan BR1M yang akan diumumkan dalam Belanjawan pada Oktober nanti.

Terlihat di sini bahawa Najib mengambil pendekatan ekonomi "tutup lubang, gali lubang" untuk menyelesaikan masalah. Dengan subsidi petrol dan diesel yang dapat dijimatkan, ia kemudian akan disalurkan pula melalui BR1M.

Walaupun pemberian tunai BR1M ini mendapat kritikan daripada Mahathir tetapi nampaknya Najib akan terus menggunakan pendekatan itu untuk mengambil hati orang-orang kampung dan rakyat berpendapatan rendah, malah sudah membayangkan akan menaikkan lagi jumlahnya.

Kali ini mungkin menjadi RM700, RM1000 ataupun mungkin juga menjadi RM1200.

Harga minyak naik

Kesan kenaikan petrol dan diesel ini tentu saja akan menyebabkan kenaikan harga-harga barang di pasaran. Walaupun Najib mengingatkan peniaga tidak menaikkan harga barang, tiada jaminan kawalan ataupun penguatkuasaan akan diambil terhadap peniaga yang ingkar. Ia hanyalah sekadar peringatan semata-mata.

Ini bermakna belum pun BR1M dilaksnakan, beban kenaikan harga barang sudah menyusah dan mengeringkan lagi poket rakyat.

Bagi yang tinggal di Lembah Kelang dan bandar-bandar lain dan tidak layak pula menerima BR1M, kenaikan harga minyak dan disertai dengan kenaikan harga barang keperluan harian umpama "pontianak" yang menghisap poket mereka sehingga kering setiap hari.

Kenaikan harga minyak ini juga berlaku dicelah-celah ura-ura kerajaan mahu menaikkan tarif elektrik dan melaksanakan cukai GST yang mungkin akan diumumkan dalam Belanjawan nanti.

Walaupun propa kerajaan melalui Mahahdir Khalid mengatakan kenaikan elektrik dijamin tidak membebankan rakyat, sebenarnya asal saja namanya kenaikan, ia tetap memberi kesan kepada kehidupan rakyat.

Kerajaan juga bertegas mahu melaksanakan GST. Idris Jala yang merangka mengenainya sudah pun membayangkan hakikat itu. Masalahnya hanyalah berapa peratus saja, mungkin 5 peratus, mungkin 4 peratus dan sebagainya. Namun ia pasti akan dilaksanakan oleh Najib. Tunggu saja berita "gembira" ini dalam Belanjawan nanti.

Jika kenaikan petrol dan diesel dianggap hadiah 100 hari kemenangan BN kepada rakyat, sebenarnya banyak lagi hadiah-hadiah dalam bentuk penambahan cukai, kenaikan harga barang dan peningkatan kos hidup akan dilaksanakan oleh Najib dari semasa ke semasa. Kenaikan minyak adalah permulaannya dan lepas ini akan disusuli dengan tarif elektrik dan cukai GST pula.

Lepas itu cukai dan kenaikan yang entah apa-apa pula akan diumumkan. Mungkin juga harga minyak akan naik lagi.

Bagaimanapun di sebalik semua kenaikan ini, masih lagi ada sesetengah rakyat yang berkata, syukurlah Malaysia masih aman! [Sumber]

Luahan Kesedihan Orang Miskin Bila Harga Minyak Naik RM0.20 Sahaja!!

Luahan Kesedihan Orang Miskin Bila Harga Minyak Naik RM0.20 Sahaja!!

Kita bising minyak naik bukan kerana kita benci Malaysia. Kita bising minyak naik bukan kerana kita tak mampu bayar.

Harga Minyak Naik

Tapi...
Kita bising sebab janji tak serupa bikin.
Kita bising sebab kesiankan rakyat marhaen.
Memang kita berduit.
Memang kita berharta.

Namun,
jauh di pelusuk sana,
ada yang menghitung syiling.

Ada yang bekerja teruk terkontang kanting.
Mereka tak ada slip gaji.
Jauh sekali socso mahupun kwsp. Kerjanya keluar pagi balik dinihari.

Dan kalian pula berbicara indah persis pujangga metropolis?
Hanya 20 sen?
Itu pun nak bising?
Kerja lah lebih kuat lagi?
Buatlah part time?
Beribadatlah lebih lagi?
Untuk dimurahkan rezeki?

Ya...
Sembang kalian sembang mereka yang berharta.
Sembang kalian sembang orang yang penuh wibawa.
Sedangkan ada mereka yang facebook pun tiada.
Motor buruk hanya tunggu masa.
Kerja lebih kuat dari si sarjana muda.
Kerja lebih ikhlas dari si phd mahupun master.
Hanya untuk mengisi perut mereka sekeluarga.

Ya..
Mereka tak berharta.
Salah mereka kerana tidak berusaha di zaman muda.
Tapi adakah kita berilmu untuk menjadi penindas mereka?

Kalau itu sistem kehidupan.

Aku rela jadi bodoh dari kalian.Kerana aku taknak hilang perikemanusiaan.

BACA INI JUGA: Alasan Najib Kenapa Minyak Naik!

Sumber: Kedahkekl

Pengurangan Subsidi Minyak Satu Kesilapan Besar Kerajaan?

Pengurangan Subsidi Minyak Satu Kesilapan Besar Kerajaan?

Dalam kepayahan kita mencerna berita pengurangan subsidi minyak, berbagai-bagai persoalan dikemukakan mengenai rasionalitinya tindakan ini diambil.

Subsidi dikurangkan

Ramai yang melihat bahawa pengurangan subsidi minyak seharusnya menjadi pilihan terakhir untuk merancakkan ekonomi negara.

Ini bukan kali pertama subsidi dikurangkan. Dari pengalaman Malaysia, telah beberapa kali subsidi dikurangkan dan setiap kali juga ia akan berhadapan dengan kemarahan rakyat.

Apa yang penting ialah kerajaan harus menunjukkan bahawa langkah ini diambil sebagai pilihan terakhir.

Dalam pemerintahan Tun Mahathir, kenaikan harga minyak diimbangi dengan kenaikan cukai hiburan, cukai korporat, cukai minuman keras, rokok dan sebagainya.

Dengan cara itu, ekonomi negara terus rancak dan rakyat juga tidak marahkan kerajaan.

Dalam menghadapi krisis kewangan pula, Tun Mahathir melaksanakan kaedah tambatan ringgit, sekali lagi bagi mengelakkan rakyat bawahan menerima kesan yang besar.

Kaedah ini dilihat sesuai digunakan pada hari ini di mana keadaan Ringgit Malaysia yang semakin merudum.

Hari ini, Ringgit Malaysia jatuh ke paras rendah berbanding dolar Amerika untuk tempoh tiga tahun dan 15 tahun rendah berbanding dolar Singapura menjadikan dagangan import lebih mahal sementara nilai eksport lebih rendah meskipun jumlah eksport menurun.

Justeru, tambatan nilai ringgit harus dilakukan segera bagi mengelakkan nilai ringgit terus jatuh.

Secara ringkasnya, pengurangan subsidi adalah tidak perlu sekiranya beberapa langkah lain dilaksanakan.

Apa yang lebih membimbangkan ialah desas-desus bahawa kerajaan bakal mengambil langkah yang bertentangan dari yang diambil oleh Tun Mahathir dalam menghadapi situasi sama.

Jika Tun Mahathir memilih untuk menaikkan cukai korporat dan menyalurkan pendapatan dari situ kepada golongan berpendapatan rendah melalui subsidi, kerajaan hari ini dikhabarkan akan mengurangkan lagi cukai korporat atas alasan untuk merancakkan ekonomi.

Kita menyambut baik cadangan kerajaan untuk menggunakan penjimatan dari pengurangan subsidi minyak bagi pembangunan luar bandar, peningkatan kadar BR1M dan program-program kewangan untuk golongan berpendapatan rendah.

Namun, jumlah RM1.1 billion tidak mungkin mampu melonjakkan kedudukan ekonomi masyarakat luar bandar dan golongan berpendapatan rendah bagi menyaingi golongan berpendapatan tinggi.

Sebaliknya, ekonomi yang rancak hasil dari pengurangan cukai korporat dan dasar terbuka akan melipatkan-gandakan pendapatan golongan berpendapatan tinggi.

Keadaan ini akan menyebabkan harga hartanah meningkat berlipat kali ganda, begitu juga dengan harga barangan harian.

Kadar peningkatan pendapatan kedua-dua golongan yang tidak seiring akhirnya akan melebarkan lagi jurang ekonomi.

Di kala golongan berpendapatan tinggi melonjak secara drastik, golongan berpendapatan rendah masih merangkak untuk membina ekonomi keluarga.

Dari segi politik pula, tindakan tidak popular tidak seharusnya diambil jika masih ada cara lain.

Rakyat berpendapatan rendah dan luar bandar mungkin merasa gembira dengan pengumuman peningkatan BR1M, tetapi rakyat berpendapatan sederhana yang merupakan kumpulan paling ramai menggunakan RON95 tertanya-tanya apakah faedahnya untuk mereka.

Ini menimbulkan persoalan sinis dan kritikal terhadap kerajaan kerana mereka tidak layak menerima BR1M serta tidak pula mampu menyertai ‘pesta ekonomi’ golongan berpendapatan tinggi. Mereka terperangkap dalam kos sara hidup dan hartanah yang melonjak tinggi di bandar.

Memandangkan masalah utama ialah penurunan nilai ringgit, maka sebaiknya kerajaan menumpukan kepada usaha untuk mengukuhkannya terlebih dahulu sebelum tergesa-gesa membuat keputusan.

Dengan itu, kaedah tambatan nilai ringgit dilihat sebagai kaedah paling tepat.

Kaedah ini akan membantu meningkatkan populariti kerajaan di kalangan rakyat marhaen serta membawa kesan jangka panjang yang lebih baik dari segi mendekatkan jurang ekonomi di dalam masyarakat.

[Sumber]

Tuesday, September 03, 2013

Alasan Najib Kenapa Minyak Naik!

Alasan Najib Kenapa Minyak Naik!

Pada masa ini, subsidi minyak dinikmati oleh semua lapisan masyarakat, termasuklah di kalangan mereka yang berpendapatan tinggi dan rakyat asing.

Kenapa harga minyak naik

Oleh itu, kerajaan perlu melaksanakan sistem subsidi yang lebih, dengan mensasarkan DAN memberi tumpuan kepada golongan yang memerlukan dan mudah terjejas.

(Baca: Harga Minyak Naik Pengguna Rosakkan Stesen Minyak Tak Puas Hati!)

MENGAPA NAIK?
  1. Lebihan akaun semasa imbangan pembayaran (BOP) yang sederhana di samping defisit fiskal yang berterusan boleh mendatangkan risiko jangka sederhana kepada ekonomi.
  2. Pada masa ini, Kerajaan menanggung subsidi sebanyak 83 sen seliter bagi RON95, dan RM1.00 seliter bagi diesel.
  3. Jumlah subsidi bahan api yang ditanggung oleh kerajaan bagi tahun ini adalah RM24.8 billion, jumlah yang sangat besar sedangkan jumlah yang sama boleh digunakan untuk projek pembangunan negara yang lain.

APA YANG RAKYAT AKAN DAPAT?
  1. Kerajaan akan MENINGKATKAN pemberian BR1M dalam Bajet 2014 dimana jumlahnya akan diumumkan dalam ucapan Bajet.
  2. Pada masa hadapan, satu jaringan keselamatan sosial (social safety net) yang lebih komprehensif akan diperkenalkan.
  3. Projek Mass Rapid Transit (MRT) Jajaran 1, 2 dan 3 diteruskan seperti yang dirancang.
  4. Kerajaan masih memberi subsidi sebanyak 63 sen seliter bagi RON95 dan 80 sen seliter untuk diesel.
Anda fikirlah sendiri..




Bila Minyak Naik Harga, Apa Jadi Pada Ekonomi?

Pengumuman kenaikan harga diesel dan minyak petrol RON95 sebanyak 20 sen seliter mulai tengah malam tadi memeranjatkan dan dijangka meningkatkan kos terhadap pengusaha serta pengguna di negara ini.

Timbalan Presiden Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM), Datuk Abu Samah Bachik berkata, pihaknya tidak dimaklumkan awal mengenai kenaikan itu dan pengumuman tersebut sememangnya sesuatu yang tidak diduga.

“Pada mulanya kami hanya dengar khabar angin dan anggap ia tidak betul. Kami tidak menjangkakan kenaikan yang begitu mendadak dan kadar 20 sen itu memang banyak dan akan membebankan pengusaha stesen minyak kerana kita perlu mengeluarkan modal lebih untuk membeli stok minyak.

“Kos operasi stesen minyak juga akan meningkat akibat kenaikan itu dan sudah pastinya pengguna juga akan terbeban kerana kos sara hidup mereka meningkat,” katanya kerajaan perlu cari mekanisme terbaik membantu rakyat walaupun dalam keadaan ekonomi tidak seimbang sebelum menaikkan harga petrol.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Maamor Osman turut terkejut kerana dalam keadaan ekonomi tidak stabil, pastinya akan memberikan kesan kepada golongan berpendapatan rendah.

"Kerajaan diharapkan jangan hanya tahu menaikkan harga minyak, sebaliknya mesti mencari kaedah lain membantu rakyat,” katanya.

Sehubungan itu katanya, beliau menyarankan kerajaan menggunakan kaedah lain seperti memperkenalkan kad rebat kepada rakyat.

“Saya cadangkan supaya kerajaan berikan kelebihan kepada individu yang menggunakan kereta nasional dan pengguna motosikal supaya mendapat harga berlainan bagi membantu mereka.

“Ini kerana jika diberikan harga murah, semua dapat menikmatinya tidak mengira sama ada golongan kaya atau miskin,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berharap rakyat bijak mengatur perjalanan bagi mengelakkan penggunaan petrol yang tinggi.

“Sebagai pengguna, kita kena bijak dan mencari kaedah untuk mengelakkan pembaziran penggunaan petrol.

“Walaupun kita kecewa, tapi kita tetap tidak boleh membiarkan perkara itu membelenggu hidup, jadi jalan terbaik amalkan kongsi kereta dan kerap gunakan kenderaan awam,” katanya.

-Sentiasapanas.com

Harga Minyak Naik Pengguna Rosakkan Stesen Minyak Tak Puas Hati!

Harga Minyak Naik Pengguna Rosakkan Stesen Minyak Tak Puas Hati!

Beberapa keping gambar telah dikongsi di laman-laman sosial seperti Facebook, Instagram dan Twitter berkenaan situasi semasa yang berlaku sebelum jam 12:01 malam di stesen-stesen minyak di seluruh negara.

Harga Petrol dan Diesel Naik

Bermula dengan keadaan sesak kenderaan yang merebut harga akhir minyak RM1.90 bagi RON95 hinggalah gambar suasana berselerak sebuah stesen minyak.

Keadaan berselerak tersebut dipercayai akibat daripada perbuatan pengguna yang tidak berpuas hati dengan pengusaha stesen minyak. Pengusaha stesen minyak itu memaklumkan bahawa minyak di stesennya telah pun habis.

Akibat bengang dengan dakwaan tersebut, pengguna tersebut dikatakan bertindak liar dengan merosakkan beberapa pam.

Harga Petrol dan Diesel Naik
Harga Petrol dan Diesel Naik
Harga Petrol dan Diesel Naik

Pengguna tersebut bertindak demikian kerana beranggapan pengusaha stesen minyak tersebut cuba mengambil kesempatan dengan menyimpan minyak. [Sumber]

Peniaga diberi amaran jangan naikkan harga barang

Peniaga diberi amaran supaya tidak mengambil kesempatan menaikkan harga barang, susulan kenaikan harga petrol RON95 dan diesel, berkuat kuasa tengah malam tadi.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hasan Malek, berkata pihaknya tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana peniaga yang cuba berbuat demikian dan mereka yang didapati bersalah akan dikenakan tindakan tegas berdasarkan akta sedia ada.

Pemantauan dan pemeriksaan akan dilakukan di kawasan bandar, luar bandar dan kawasan tumpuan ramai seperti pasar basah, pasar tani, pasar raya dan medan selera” Hasan Malek, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan

Kenaikan kecil

Katanya, berdasarkan kajian kos, kenaikan petrol RON95 dan diesel sebanyak 20 sen seliter hanya membabitkan kenaikan kecil kira-kira 0.1 peratus daripada sekarang dan ia bukan kenaikan mendadak serta tidak membebankan.

“Tiada sebab untuk peniaga menaikkan harga barang atau keperluan lain. Soal menaikkan harga barang sepatutnya langsung tidak timbul,” katanya kepada BH, semalam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, semalam mengumumkan kenaikan itu adalah antara langkah rasionalisasi subsidi oleh kerajaan. Sehubungan itu, petrol RON95 akan berharga RM2.10 seliter, manakala diesel RM2 seliter.

Hasan berkata, kementerian akan sentiasa memantau harga barang di pasaran supaya ia sentiasa terkawal dan tidak akan terkena impak berikutan kenaikan itu.

“Kementerian akan sentiasa memberikan komitmen dengan ‘turun padang’ dan memantau harga barangan bagi membendung kegiatan memanipulasi harga.

Pantau harga barang

“Pemantauan dan pemeriksaan akan dilakukan di kawasan bandar, luar bandar dan kawasan tumpuan ramai seperti pasar basah, pasar tani, pasar raya dan juga medan selera,” katanya.

Beliau berkata, pengurangan subsidi berkenaan akan menyelamatkan kira-kira RM1.1 bilion wang kerajaan yang boleh digunakan untuk tujuan lain, yang mampu menjana ekonomi negara seperti pembangunan infrastruktur berkaitan pendidikan, termasuk bangunan sekolah.

“Justeru, apa yang diharapkan adalah semua pihak dapat memberi sokongan dan kerjasama sepenuhnya kepada kerajaan dengan tidak menaikkan harga barang atau perkhidmatan lain sewenang-wenangnya,” katanya. -BeritaHarian

-Sentiasapanas.com