Tuesday, February 07, 2023

Sahihkah Hadis '9 Daripada 10 Rezeki Berada Pada Perniagaan'?

Sahihkah Hadis '9 Daripada 10 Rezeki Berada Pada Perniagaan'?

Benarkah hadis berkaitan 9/10 rezeki datang daripada perniagaan? Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Perniagaan sumber rezeki terbesar

Berdasarkan soalan di atas, di sini kami datangkan sebuah hadis yang tersebar dan masyhur dalam kalangan masyarakat berkaitan kepentingan berniaga.

Antaranya adalah yang maksudnya:

"Hendaklah kamu berniaga kerana padanya 9 daripada 10 rezeki."

"9 daripada 10 rezeki berada pada perniagaan."

Dua matan ini biasa didengar di bibir-bibir penceramah ketika menceritakan perihal rezeki.

Namun, apakah ia benar datang daripada Rasulullah SAW atau ia hanya kata-kata sebahagian ulama?

Untuk itu, Irsyad al-Hadith pada kali ini akan menjelaskan berkaitan status hadis ini. Di sini kami datangkan beberapa pendapat para ulama dalam menyatakan status hadis ini.

Imam Ibn Abd al-Bar (463 H) mengisyaratkan bahawa hadis ini dhaif di dalam kitabnya kerana beliau menggunakan sighah tamridh (صيغة التمريض) ketika menukilkan hadith ini. [Lihat: al-Istizkar, 619/8]

Imam al-Iraqi (806 H) ketika mengtakhrijkan hadis ini di dalam ihya' Ulumuddin berkata: Berkata Ibrahim al-Harbi di dalam Gharib al-Hadith, hadis tersebut datang daripada Nu’aim bin Abd al-Rahman dan perawi-perawinya adalah thiqah. Dikatakan bahawa Nu'aim adalah sahabat sebagaimana dinyatakan oleh Ibn Mandah dan dakwaan itu adalah tidak benar. Telah berkata Abu Hatim al-Razi dan Ibn Hibban bahawa Nu'aim adalah seorang tabi'i maka hadith tersebut adalah mursal (iaitu hadith yang gugurnya sahabat daripada sanad hadith tersebut). [Lihat: al-Mughni: 419/1]

Melihat kepada beberapa pandangan di atas, kami juga cenderung kepada pandangan yang mengatakan hadis di atas adalah dhaif kerana berlaku keguguran pada sanad hadis tersebut.

Walaupun hadis tersebut adalah dhaif, tetapi berniaga merupakan salah satu pekerjaan yang terpuji kerana Rasulullah SAW terkenal sebagai seorang peniaga sebelum dan selepas Baginda SAW dilantik menjadi rasul.

Hal ini, banyak dinukilkan di dalam kitab-kitab sirah apabila Nabi SAW bersama bapa saudaranya Abu Thalib pergi ke Syam bagi tujuan berniaga.

Selain itu, Nabi SAW juga pernah membantu isterinya yang tercinta Khadijah binti Khuwailid dalam perniagaan dan banyak lagi peristiwa-peristiwa yang lain.

Tambahan pula, terdapat ramai daripada kalangan sahabat yang menceburkan diri mereka di dalam pelbagai jenis perniagaan.

Antaranya Abu Bakar al-Siddiq, Uthman bin Affan, Abdul Rahman bin Auf, Zubair bin al-Awwam, Sa'ad bin Abi Waqqas, al-Barra' bin Azib dan ramai lagi daripada kalangan sahabat.

Di samping itu juga, Imam Abu Hanifah iaitu pengasas mazhab Hanafi juga merupakan seorang peniaga, kerana bapanya juga merupakan seorang peniaga yang berjaya.

Terdapat banyak lagi kisah-kisah yang membuktikan bahawa perniagaan merupakan di antara sumber utama rezeki seseorang itu.

Penutup

Kesimpulannya, hadis yang dinyatakan di atas adalah mursal atau dhaif kerana sanadnya terputus.

Walau bagaimanapun, makna hadis tersebut adalah benar kerana perniagaan sememangnya menjadi salah satu daripada sumber rezeki yang terbesar.

Islam amat menggalakkan umatnya mencari kesenangan hidup dan perniagaan merupakan salah satu daripada caranya.

Akan tetapi, Islam meletakkan beberapa garis panduan agar setiap perkara yang dilakukan sentiasa diberkati dan diredhai oleh Allah SWT.

Bahawa Nabi SAW bersabda yang maksudnya, "Peniaga yang jujur dan amanah akan bersama para nabi, orang yang jujur dan orang yang syahid.”" [Riwayat al-Tirmizi (1209)][Hadith ini adalah hasan menurut Imam al-Tirmizi]

Selain itu, terdapat sebuah lagi hadis yang penting untuk dijadikan renungan bagi setiap yang ingin berniaga, bahawa Nabi SAW pernah bersabda yang maksudnya, "Sesungguhnya para peniaga ini akan dibangkitkan pada hari Kiamat dalam keadaan yang berdosa melainkan orang yang bertaqwa kepada Allah, berbuat kebaikan dan jujur." [Riwayat al-Tirmizi (1210)][Hadith ini adalah hasan sahih menurut Imam al-Tirmizi dan hadith ini disahihkan oleh Imam Ibn Hibban di dalam sahihnya]

Akhirnya, marilah sama-sama kita menjadi orang yang bertaqwa kepada Allah SWT dalam setiap perkara atau pekerjaan yang kita lakukan.

Semoga Allah SWT menggolongkan kita semua dalam kalangan hamba-Nya yang beriman serta berjaya di dunia dan di akhirat. Amin.

Wallahu a'lam.

sumber: (1)

Tuesday, August 14, 2018

Sahihkah Kisah Jin Ummu Sibyan?

Sahihkah Kisah Jin Ummu Sibyan?

Maghrib adalah saat dimana matahari sudah tenggelam namun masih muncul dengan sinar yang terkadang berwarna jingga atau merah menyala dan pada waktu itulah seluruh umat Islam diingatkan untuk segera menutup pintu dan jendela sambil mengucapkan bismillah agar wanita ini tidak datang ke rumah kita.

Jin Ummu Sibyan
Gambar hiasan.

Bukan tetamu tapi inilah wanita yang suka datang ke rumah kita pada waktu Maghrib tetapi, siapa yang hendak bertamu ke rumah orang pada waktu maghrib?

Siapakah wanita itu, apa yang dia lakukan di dalam rumah kita? Ketahui bahawa dia bukanlah wanita baik, namun mampu membahayakan anak dan wanita yang sedang hamil.

Mungkin ada yang pernah dengar nama (Ummu Sibyan) atau pun tidak sebelum ini, (Ummu Sibyan) ini adalah jin dari kaum perempuan yang suka mengganggu bayi dan anak yang berusia kurang dari 2 tahun serta wanita hamil, sebab itulah anak-anak yang baru lahir harus diazankan terlebih dahulu agar bayi itu tidak di ikuti oleh jin ini.

Apa Kerja Jin Ummu Sibyan?

Kerja dia tak lain tak bukan adalah mengganggu bayi yang baru lahir dan anak-anak (biasanya kurang dari 2 tahun) serta wanita yang hamil.

Jin Ummu Sibyan memiliki wajah yang mengerikan dengan satu mata yang besar dan berjalan di dinding seperti cicak.

Ummu Sibyan juga dapat mengikat rahim wanita serta membunuh bayi yang masih dalam kandungan.

Seperti yang di ceritakan dalam kisah jin Ummu Sibyan dengan Nabi Sulaiman, jin ini mampu masuk ke dalam rahim orang perempuan dan mengikat rahimnya serta menyumbat dengan tujuan agar kaum wanita itu tidak mengandung.

Diceritakan juga jin ini masuk ke dalam perut orang perempuan yang hamil, di waktu janin di dalam kandungannya sedang tumbuh jin ini akan menendangnya, maka berlakulah keguguran dan jadilah rahimnya kosong semua.

Sungguh mengerikan bukan? Bagaimana tandanya jika seorang bayi terkena gangguan jin Ummu Sibyan, diantaranya adalah;
  • Bayi menangis melalak (matanya terbeliak memandang keatas/sudut tertentu).
  • Anak-anak jatuh seakan-akan didorong.
  • Mengigau sambil menggemerutukkan gigi berulang kali.
  • Demam panas hanya setelah Asar sampai sebelum Subuh.

Akibat gangguan di atas akan mengakibatkan hal seperti ini;
  • Sawan tangis.
  • Autisme (over hiperaktif).
  • Nakal dan keras kepala.
  • Malas.

Tanda-tanda Wanita Hamil Terkena Gangguan Jin Ummu Sibyan;
  • Rasa sesak dada terutama setelah waktu asar, yang mungkin berlangsung sampai tengah malam.
  • Kusut fikiran.
  • Sakit di bahagian tulang-tulang belakang.
  • Mengigau ketika tidur.
  • Bermimpi dengan mimpi yang menakutkan.

Cara Mengelak dari Gangguan Ummu Sibyan;
  • Tutup pintu dan jendela rumah waktu Maghrib.
  • Jangan angkat atau masukkan baju yang sudah dijemur diluar rumah pada waktu Maghrib (jemuran tak kering).

Cara mengatasi gangguan pada bayi/anak;
  • Meniarapkan bayi/anak jangan matanya melihat ke arah itu , baca ayat Qursi dan Surah 3 Qul kemudian tiup ke ubun-ubunnya sampai berhenti menangis.
  • Halau dengan bahasa sendiri seperti "wahai Ummu Sibyan pergilah kau keluar dari rumahku dan jangan ganggu anak anakku."

In Sha' Allah dengan izin Allah, Ummu Sibyan akan pergi.

SOALAN:

Assalamualaikum, adakah kisah berkenaan UMMU SIBYAN ini shahih? Sudah ramai yang sebar.

JAWAPAN:

Waalaikumussalam.

HADIS tentang UMMU SIBYAN ini DHAIF. Hadis daif ialah hadis yang tidak sampai ke tahap hadis yang boleh diterima.

Hadis yang boleh diterima ada dua;
  • Hadis sahih.
  • Hadis hasan.

Hadis sahih pula terbahagi kepada;
  • Hadis sahih lizatihi.
  • Hadis sahih lighairihi.

Hadis hasan juga terbahagi kepada dua;
  • Hadis hasan.
  • Hadis hasan lighairihi.

Lizatihi merujuk kepada zatnya, yakni hadis itu sendiri sahih dan tidak perlu kepada sokongan. Adapun lighairihi, hadis itu menjadi sahih atau menjadi hasan kerana disokong oleh hadis lain.

HUKUM BERAMAL DENGAN HADIS DHAIF

Hadis dhaif boleh diamalkan (Sila Rujuk Nasbun Nuraini Jilid 1 ms 78).

Tidak semua hadis dhaif ditinggalkan dan tidak semua hadis sahih diamalkan. Hadis daif tetap hadis, lemah tetapi bukan palsu. Hadis Maudu’ (palsu) bukan hadis.

LARANGAN DIKALA MASUK MAGHRIB

Walau bagaimanapun, hadis larangan kanak-kanak berkeliaran pada waktu senja SAHIH kerana waktu syaitan berkeliaran.

Dari sahabat Jabir radhiallahu’anhu, bahawa Nabi Shallallahu’alaihi Wasallam bersabda:

“Jika malam datang menjelang, atau kalian berada menjelang maghrib maka tahanlah anak-anak (di rumah), kerana ketika itu syaitan sedang bertebaran. Jika telah berlalu sesaat dari waktu malam, maka biarkan mereka (jika ingin keluar). Tutuplah pintu dan berzikirlah kepada Allah, kerana sesungguhnya syaitan tidak dapat membuka pintu yang tertutup. Tutup pula bekas minuman dan makanan kalian walau sekadar dengan meletakkan sesuatu di atasnya dan matikanlah lampu-lampu kalian.” (HR. Bukhari 3280, Muslim 2012)

Tingkap dan pintu rumah perlu ditutup dan menyebut nama Allah dimalam hari dan tidak digalakkan dibuka jika tidak ada keperluan sebagai langkah berjaga-jaga dari kejadian yang tidak baik berlaku.

Dan jangan biarkan bekas-bekas makanan dan minuman tidak ditutup dan dianjurkan menyebut nama Allah ketika menutup bekas-bekas tersebut.

Ini semua dilakukan untuk mengelakkan gangguan syaitan.

Wallahu a'lam.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: wajibbaca | facebook

Friday, April 20, 2018

Benarkah Sebaik-baik Jin Adalah Sejahat-jahat Manusia?

Benarkah Sebaik-baik Jin Adalah Sejahat-jahat Manusia?

Perkara yang sering dicanangkan apabila berbicara perihal jin adalah kononnya hadis yang mengatakan bahawa, "Sebaik-baik jin adalah sejahat-jahat manusia", namun kenyataan ini sangat meragukan kerana tidak pernah dinyatakan asas sandarannya daripada Al-Quran mahupun hadis.

Benarkah Sebaik-baik Jin Adalah Sejahat-jahat Manusia?

Asas pertama yang perlu dipegang apabila membicarakan tentang jin dan malaikat ialah keimanan kepada perkara ghaib kerana alam jin adalah alam ghaib yang terhalang daripada alam nyata.

Benarkah Sebaik-baik Jin Adalah Sejahat-jahat Manusia?

1. Tidak ditemui sebuah hadith – sama ada sahih atau dhaif – yang menyatakan sedemikian.

2. Al-Quran – Allah SWT menyamakan di antara jin dan manusia dari segi sebahagiannya baik dan sebahagian lagi tidak.. seperti:

Dalam surah al-Jinn, ayat 11, Allah SWT menyatakan kata-kata jin:

“Dan bahawa sesungguhnya (memang maklum) ada di antara kita golongan yang baik keadaannya, dan ada di antara kita yang lain dari itu; kita masing-masing adalah menurut jalan dan cara yang berlainan.“

“Dan bahawa sesungguhnya (dengan datangnya Al-Quran, nyatalah) ada di antara kita golongan yang beragama Islam, dan ada pula golongan yang (kufur derhaka dengan) menyeleweng dari jalan yang benar; maka sesiapa yang menurut Islam (dengan beriman dan taat), maka merekalah golongan yang bersungguh-sungguh mencari dan menurut jalan yang benar, Adapun yang menyeleweng dari jalan yang benar, maka mereka menjadi bahan bakaran bagi neraka Jahannam."

Bahaya fitnah Syaitan

Manusia tidak boleh berbicara tentang jin kecuali mengikut neraca Al-Quran dan Al-Sunnah.

Firman Allah;

"Wahai anak-anak Adam! janganlah kamu diperdayakan oleh Syaitan sebagaimana ia telah mengeluarkan kedua ibu bapa kamu dari syurga, sambil ia menyebabkan terlucutnya pakaian mereka berdua untuk memperlihatkan kepada mereka: aurat mereka (yang sebelum itu tertutup). Sesungguhnya Syaitan dan kaumnya melihat kamu dengan keadaan yang kamu tidak dapat melihat mereka. Sesungguhnya kami telah menjadikan syaitan-syaitan itu teman rapat bagi orang-orang yang tidak beriman." (Al-Araf :27)

Hanya kedua-dua sumber itu mampu menelah dan menembusi alam jin. Sesiapa sahaja yang ingin mengutarakan buah fikiran mengenai alam jin perlu terlebih dahulu merujuk Al-Quran dan Al-Sunnah supaya umat Islam tidak berpegang kepada asas yang rapuh, tidak berasas atau disuap dengan fakta karut dan khurafat yang tidak banyak membina iman dan minda.

Kenyataan Sebaik-baik Jin Adalah Sejahat-jahat Manusia sebenarnya salah dan bercanggah dengan al-Quran, al-Sunnah dan akal yang sihat. Terdapat banyak hujah yang menyangkal kenyataan tersebut:

1) Seperti manusia, jin juga dipertanggung jawabkan dengan taklif agama

Firman Allah yang ertinya: "Kami hanya akan menguruskan hitungan dan balasan amal kamu sahaja (pada hari kiamat,) wahai manusia dan jin! Maka yang mana satu di antara nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?" (al-Rahman[55:31-32]).

Dengan taklif agama mereka akan diberikan ganjaran pahala dan balasan dosa atas semua perbuatan baik dan buruk mereka.

Perbuatan baik pastinya akan diberikan ganjaran syurga, manakala perbuatan jahat akan diberikan balasan neraka di akhirat kelak.

Sekiranya kenyataan di atas diterima, nescaya semua jin walaupun yang soleh akan tetap dihumban ke neraka.

Kezaliman sebegini juga mustahil bagi Allah yang Maha Adil.

2) Allah mengiktiraf ada jin yang soleh dan layak ke syurga

Firman Allah yang ertinya, "Dan bahawa sesungguhnya (memang maklum) ada di antara kita golongan yang baik keadaannya, dan ada di antara kita yang lain dari itu; kita masing-masing adalah menurut jalan dan cara yang berlainan." (al-Jinn[72:11]).

Juga firman Allah SWT yang ertinya, "Dan bahawa sesungguhnya (dengan datangnya Al-Quran, nyatalah) ada di antara kita golongan yang berugama Islam, dan ada pula golongan yang (kufur derhaka dengan) menyeleweng dari jalan yang benar; maka sesiapa yang menurut Islam (dengan beriman dan taat), maka merekalah golongan yang bersungguh-sungguh mencari dan menurut jalan yang benar." (al-Jinn[72:14]).

3) Allah mengiktiraf para utusan, pendakwah dari golongan Jin

Tafsir Ibn Kathir pada tafsiran ayat berikut, ertinya, "WAHAI SEKALIAN JIN DAN MANUSIA! BUKANKAH TELAH DATANG KEPADA KAMU PARA RASUL DARI KALANGAN KAMU SENDIRI, yang menyampaikan kepada kamu ayatKu (perintahKu), dan yang memberikan amaran kepada kamu tentang pertemuan kamu dengan hari (kiamat) ini?" (al-An’am [6:130]).

Mereka ini adalah generasi awal jin yang memeluk Islam setelah mendengar nabi SAW membaca al-Quran, firmanNya:

Ertinya: "Dan (ingatkanlah peristiwa) semasa Kami menghalakan satu rombongan jin datang kepadamu (wahai Muhammad) untuk mendengar Al-Quran; setelah mereka menghadiri bacaannya, berkatalah (setengahnya kepada yang lain): "Diamlah kamu dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya!" Kemudian setelah selesai bacaan itu, kembalilah mereka kepada kaumnya (menyiarkan ajaran Al-Quran itu dengan) memberi peringatan dan amaran. Mereka berkata: "Wahai kaum kami! Sesungguhnya kami telah mendengar Kitab (Al-Quran) yang diturunkan (oleh Allah) sesudah Nabi Musa, yang menegaskan kebenaran kitab Suci yang terdahulu daripadanya, lagi, memandu kepada kebenaran (tauhid) dan ke jalan yang lurus (ugama Islam). "Wahai kaum kami! Sahutlah (seruan) Rasul (Nabi Muhammad) yang mengajak ke jalan Allah, serta berimanlah kamu kepadanya, supaya Allah mengampunkan sebahagian dari dosa kamu, dan menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya. "Dan sesiapa tidak menyahut (seruan) Rasul yang mengajaknya ke jalan Allah, maka dia tidak akan dapat melepaskan diri (dari balasan azab walau ke mana sahaja dia melarikan diri) di bumi, dan dia tidak akan beroleh sesiapapun - yang lain dari Allah - sebagai pelindung yang membelanya; mereka (yang demikian sifatnya) adalah dalam kesesatan yang nyata.” (al-Ahqaf [46:29-32]).

4) Generasi awal jin diiktiraf sebagai para sahabat nabi oleh ulama Hadith

Mereka juga menyenaraikan generasi awal jin ini dalam senarai para sahabat nabi.

Antara yang disebut adalah: Zawba’ah, al-Arqam, al-Adras, Hasir, Khasir dan sebagainya (al-Isabah fi Ma’rifat al-Sahabah & Mustadrak al-Hakim dalam tafsir surah al-Ahqaf).

Sekiranya kenyataan tersebut dipakai, nescaya kita akan menghukum para sahabat nabi sebagai makhluk yang jahat, sedangkan para ulama sepakat menyatakan para sahabat semuanya adil. (Dr. Muhammad Abu Layth,’Ulum al-hadith, Asiliha Wa Mu’asiriha, ms 103)

Selain itu banyak sekali ayat al-Quran yang menyokong fakta keadilan para sahabat nabi seperti seperti (al-Tawbah[9:100], al-Fath[48:18], al-Hasyr[59:8-9]).

5) Nabi SAW memuji para sahabatnya dari kalangan jin yang sensitif terhadap ayat Allah ketika mendengar surah al-Rahman

Sebuah hadith menyebut yang ertinya: Rasulullah keluar membaca surah al-Rahman kepada para sahabatnya dari awal sehingga akhir surah. Mereka hanya diam. Baginda lalu bersabda: "Aku pernah membacanya (surah al-Rahman) kepada para jin pada malam jin (malam baginda bertemu dan berdakwah kepada para jin). Reaksi mereka jauh lebih baik berbanding kamu semua. Setiap kali aku membaca (فَبِأَيِّ آلَاءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ -Maka yang mana satukah antara nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan - wahai umat manusia dan jin?)*, mereka akan berkata: "Tiada satupun antara ni’matMu wahai Tuhan kami yang kami dustai, maka bagiMu sahajalah segala pujian." (Sunan al-Tirmidhi & Tafsir Ibn Kathir).

Ayat ini berulang sebanyak 31 kali dalam surah al-Rahman.

6) Allah menyediakan syurga untuk manusia dan jin yang beriman

Firman Allah yang ertinya, "Dalam syurga itu terdapat bidadari yang pandangannya tertumpu (kepada mereka semata-mata), YANG TIDAK PERNAH DISENTUH SEBELUM MEREKA OLEH MANUSIA DAN JIN." (al-Rahman[[55:56]).

Ayat ini menunjukkan jin yang beriman dan beramal soleh seperti manusia layak ke syurga. (Tafsir Ibn Kathir &Tafsir al-Qurtubi pada tafsiran (al-Rahman[[55:56]).

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA: 41 Tanda Dalam Badan Anda Ada Jin

sumber: darussyifabbst

Monday, January 15, 2018

Benarkah Hadis 'Tidur Selepas Asar Hilang Akal'?

Benarkah Hadis 'Tidur Selepas Asar Hilang Akal'?

Apakah status hadis, “Sesiapa yang tidur selepas Asar lalu hilang akalnya, maka janganlah dia mencela melainkan dirinya sendiri.”

Benarkah Hadis 'Tidur Selepas Asar Hilang Akal'?

Jawapan: Sesungguhnya ALLAH SWT menjadikan setiap insan atau tubuh badan manusia itu memerlukan kepada rehat secukupnya. Tidur merupakan salah satu cara untuk seseorang itu merehatkan badannya.

Hal ini telah dikhabarkan oleh ALLAH SWT di dalam kitab- Nya yang suci, “Dan Kami telah menjadikan tidur kamu untuk berehat. (al-Naba’: 9)

Kata Imam Ibnu Kathir ketika mentafsirkan ayat ini, tidur itu adalah memutuskan pergerakan bagi tujuan merehatkan diri daripada banyak bergerak dan berjalan pada urusan kehidupan bagi menempuh waktu siang. (Lihat: Tafir Ibn Kathir, 307/8)

Berdasarkan soalan di atas, di sini kami sertakan beberapa pendapat para ulama dalam menentukan status hadis ini.

Imam Ibn Hibban mengatakan di dalam sanad hadis ini terdapat Khalid bin al-Qasim dan dia menyambung riwayat-riwayat yang terputus, menrafa’kan riwayat-riwayat yang mursal dan juga menyambung riwayat-riwayat yang mawquf maka tidak boleh menulis riwayatnya.

(Lihat: al-Majruhin, 334/1) Imam Ibn al-Jauzi menghukum hadis ini sebagai tidak sahih. (Lihat: al-Mawdhu’at, 252/2) Imam al-Zahabi mengatakan di dalam sanad hadis ini terdapat Khalid bin al-Qasim yang dituduh berdusta. (Lihat: Tartib al- Mawdhua’at, 239) Imam al-Haithami mengatakan perawi bernama Amr bin al- Husain seorang yang matruk. (Majma’ al-Zawaid, 119/5) Imam al-Syaukani mengatakan bahawa di dalam sanad hadis ini terdapat perawi yang berdusta. (Lihat: al-Fawaid al-Majmu’ah, 216) Syeikh al-Albani menilai hadis ini sebagai dhaif. (Silsilah al- Ahadith al-Dhaifah, 112/1)

Berdasarkan beberapa pendapat para ulama di atas, kita memahami bahawa sebahagian pendapat ulama mendhaifkan hadis ini dan sebahagian yang lain mengatakan hadis ini palsu.

Maka dengan itu, kami berpandangan bahawa hadis tersebut adalah teramat lemah kerana di dalam sanadnya terdapat perawi yang dituduh berdusta.

Maka dengan itu, kami nyatakan bahawa tiada hadis sahih yang melarang tidur selepas asar.

Akan tetapi, jika dikatakan tidur pada waktu ini boleh menghilangkan akal berdasarkan kepada tajrubah dan ia boleh membawa kepada mudarat maka ia sebaiknya perbuatan ini mestilah dijauhi kerana setiap insan itu mesti menjauhkan dirinya daripada perkara yang boleh memudaratkan dirinya.

Di samping itu, jika seseorang itu memerlukan atau berhajat untuk tidur pada waktu tersebut maka ia dibolehkan.

Kesimpulan

ALLAH SWT menjadikan tidur untuk kita berehat kerana pada waktu siang manusia sibuk bekerja untuk mencari rezeki.

Maka tidur pada waktu malam dapat mengembalikan tenaga untuk bekerja pada keesokan harinya dan begitulah sebaliknya bagi yang bekerja pada waktu malam.

Ini kerana, tanpa tidur yang secukupnya maka akan tergendalalah segala usaha yang ingin dilakukan pada hari-hari yang berikutnya.

Akhir sekali, semoga ALLAH SWT menjadikan kita daripada kalangan hamba-hamba-Nya yang sihat rohani dan jasmani agar kehidupan dapat diteruskan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Kenapa Hadis Palsu Dicipta?

sumber: sinarharian

Friday, November 17, 2017

Orang Yang Berpegang Dengan Agamanya Seperti Memegang Bara Api

Orang Yang Berpegang Dengan Agamanya Seperti Memegang Bara Api

Daripada Anas ra berkata, Rasulullah SAW bersabda, "Akan datang kepada umat ku suatu zaman di mana orang yang berpegang kepada agamanya laksana menggenggam bara api". Hadis Riwayat Tirmizi

Agama bara api

Ulasan Hadis

Yang dimaksudkan di sini ialah zaman yang sangat mencabar sehingga sesiapa yang hendak mengamalkan ajaran agamanya ia terpaksa menghadapi kesusahan dan tentangan yang sangat hebat.

Kalau ia tidak bersungguh-sungguh, nescaya agamanya terlepas dari genggamannya.

Ini adalah disebabkan suasana di sekelilingnya tidak membantu untuk ia menunaikan kewajiban agamanya.

Bahkan apa yang ada di sekelilingnya mendorong untuk membuat kemaksiatan dan perkara-perkara yang dapat meruntuhkan akidah dan keimanan atau paling kurang menyebabkan kefasiqan.

Ini juga bermaksud, orang Islam tersepit dalam melaksanakan tuntutan agamanya di samping tidak mendapat kemudahan.

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA: Ujian Dahsyat Terhadap Iman Pada Akhir Zaman

sumber: waktusolat

Friday, October 13, 2017

Masa Akan Menjadi Singkat, Berlalu Terlalu Pantas Di Akhir Zaman

Masa Akan Menjadi Singkat, Berlalu Terlalu Pantas Di Akhir Zaman

Daripada Anas bin Malik r.a. berkata, Rasulullah SAW bersabda; “Tidak akan terjadi Kiamat sehingga masa menjadi singkat maka setahun dirasakan seperti sebulan dan sebulan dirasakan seperti seminggu dan seminggu dirasakan seperti sehari dan sehari dirasakan seperti satu jam dan satu jam dirasakan seperti satu petikan api.” Hadis riwayat Tirmizi

Masa

Keterangan hadis

Masa akan berlalu begitu pantas. Belum sempat berbuat sesuatu, tiba-tiba masa sudah berlalu, sehingga banyak perkara yang belum dapat diselesaikan.

Kita seakan-akan sibuk, tetapi kita tidak faham apa yang disibukkan.

Kita diburu masa dan ia berlalu dengan tiada perkara yang dapat kita selesaikan.

Inilah yang dimaksudkan dengan singkatnya masa.

Menurut Imam al-Karmani, yang dimaksudkan dengan singkatnya masa ini ialah dicabut keberkatan daripadanya.

Dahulu, kita merasakan dalam sehari banyak perkara yang dapat kita laksanakan, tetapi sekarang dalam sehari yang sama, hanya sedikit perkara yang dapat kita laksanakan.

Ini adalah salah satu petanda hampirnya kiamat.

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA: 5 Fasa Umat Akhir Zaman, Bersabarlah Wahai Umat Islam

sumber: waktusolat

Friday, October 06, 2017

Golongan Ruwaibidhah, Golongan Fasik Yang Hina Di Akhir Zaman

Golongan Ruwaibidhah, Golongan Fasik Yang Hina Di Akhir Zaman

Daripada Abu Hurairah ra berkata, Rasulullah SAW bersabda, "Lagi akan datang kepada manusia tahun-tahun yang tandus (kemarau panjang). Dan pada waktu itu orang yang berdusta dikatakan benar dan orang yang benar dikatakan berdusta. Orang khianat akan disuruh memegang amanah dan orang yang amanah dikatakan pengkhianat. Dan yang berpeluang bercakap hanyalah golongan "Ruwaibidhah". Sahabat bertanya, "Apakah Ruwaibidhah itu hai Rasulullah?" Nabi SAW menjawab, "Orang yang kerdil dan sebenarnya hina dan tidak mengerti urusan orang ramai".

Golongan Ruwaibidhah

Ulasan Hadis

Zaman yang disebutkan tadi adalah zaman ketandusan. Tandus di segi material dan juga tandus di segi pemikiran.

Orang yang benar akan diketepikan dan orang yang khianat serta fasiq akan di sanjung dan dibesar-besarkan.

Orang yang benar tidak diberikan peluang untuk bercakap. Yang berpeluang bercakap hanyalah peribadi-peribadi yang hina dan sebenarnya tidak tahu bagaimana untuk menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi oleh masyarakat.

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA: Golongan Ingkar Sunnah Zaman Dahulu

sumber: waktusolat

Friday, September 29, 2017

Peperangan Demi Peperangan Ketika Akhir Zaman

Peperangan Demi Peperangan Ketika Akhir Zaman

Daripada Abu Hurairah r.a., bahawasanya Rasulullah SAW bersabda, “Hari kiamat tidak akan terjadi sehingga melimpah ruah harta benda dan timbul fitnah (ujian kepada keimanan) dan banyak berlaku ‘al-Harj’”. Sahabat bertanya, “Apakah al-Hajr itu hai Rasulallah”? Nabi SAW menjawab, “Peperangan demi peperangan demi peperangan.” Hadis Riwayat Ibnu Majah

Peperangan Demi Peperangan
Gambar hiasan.

Keterangan hadis

Realiti dunia hari ini membuktikan kebenaran sabda junjungan kita Nabi SAW.

Harta benda melimpah ruah. Banyak alat-alat moden yang dihasilkan oleh teknologi Barat dan Timur sehingga bertambah banyak peralatan dan keperluan hidup.

Maka oleh kerana itu ramai orang berlumba-lumba untuk mengaut keuntungan dalam membuat dan memperdagangkan alat-alat tersebut.

Dan oleh kerana masing-masing tamak dan rakus, maka terjadilah perebutan yang mengakibatkan berlakunya peperangan demi peperangan.

Dari masa ke semasa peperangan berkobar dengan tiada henti-hentinya. Padam di suatu tempat menyala pula ditempat yang lain. Satu sama lain saling cakar mencakar.

Semakin maju teknologi, semakin terseksa manusia kerananya. Sebenarnya teknologi tidaklah bercanggah dengan Islam, tetapi ia mestilah tunduk kepada etika kemanusiaan yang didukung oleh Islam itu sendiri.

Sedangkan teknologi yang ditaja oleh dunia barat hari ini adalah berdasarkan kepada kepentingan peribadi dan mengikut telunjuk hawa nafsu yangrakus sehingga teknologi itu digunakan untuk menghancurkan nilai-nilai kemanusian itu sendiri.

Nampaknya, begitulah keadaan yang berlaku dari umur dunia ini, sehinggalah sampailah ketitik akhirnya, iaitu kiamat.

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA: Perang Akhir Zaman Bermula Dengan Peperangan Di Syria?

sumber: waktusolat