Thursday, April 20, 2017

Perbezaan Antara H1N1 Dan H5N1 Yang Anda Wajib Tahu

Perbezaan Antara H1N1 Dan H5N1 Yang Anda Wajib Tahu

Orang ramai dinasihatkan supaya jangan keliru tentang penyakit H1N1 yang sememangnya berbeza dengan wabak H5N1 berikutan viral berita kematian seorang wanita mengandung yang kononnya disebabkan H1N1.

H1N1

Influenza A H1N1 dan H5N1 (Avian Influenza) adalah dua wabak penyakit yang berbeza.

H1N1

H1N1 adalah flu (selesema) biasa yang boleh menjangkiti sesiapa sahaja dan tidak akan menyebabkan sebarang komplikasi kesihatan yang teruk dan akan pulih dalam tempoh beberapa hari.

Hanya empat golongan yang berkemungkinan berisiko ditimpa masalah komplikasi kesihatan apabila menghidap H1N1 iaitu wanita hamil, kanak-kanak berusia bawah 12 tahun, warga emas dan mereka yang menghidap penyakit kronik seperti jantung, kencing manis atau darah tinggi.

Itu sahaja golongan berisiko sekiranya menghidap H1N1. Ia langsung tidak ada kena mengena dengan ayam atau binatang ternakan yang lain kerana ia adalah virus berlainan yang menyebabkan H5N1.

Pandemik

Pada akhir Mac dan awal April tahun 2009, wabak jangkitan virus novel Influenza A H1N1 dikesan di Mexico. Virus ini kemudiannya menyebabkan pandemik selesema H1N1 tahun 2009.

Pandemik adalah keadaan wabak penyakit yang merebak dengan begitu meluas, sama ada hingga ke seluruh wilayah, benua atau dunia disebabkan oleh kemunculan virus baru.

Di Malaysia, lebih 15,000 individu telah dijangkiti dengan virus ini semasa gelombang awal pandemik H1N1 berlaku.

Tanda dan gejala

Gejala jangkitan virus influenza adalah serupa dengan selesema bermusim, termasuk:
  • Demam (dengan suhu melebihi 37.8ÂșC)
  • Menggigil
  • Batuk
  • Sakit tekak
  • Sakit badan
  • Sakit kepala
  • Keletihan
  • Muntah dan cirit-birit (bukan gejala selesema bermusim)

Komplikasi

Komplikasi influenza berlaku pada sesetengah individu; pneumonia adalah komplikasi yang paling biasa.

Pneumonia adalah jangkitan paru-paru yang serius dan biasanya berlaku dalam kalangan:
  • Wanita hamil.
  • Bayi dan kanak-kanak khususnya di bawah 2 tahun.
  • Individu yang mengalami penyakit kronik (termasuk asma atau penyakit paru-paru, penyakit jantung, diabetes, penyakit buah pinggang atau beberapa masalah neurologi).
  • Individu yang sistem pertahanan (imuniti) badannya terjejas teruk contohnya: penghidap HIV. Individu yang menggunakan steroid dalam tempoh yang lama.
  • Individu yang mendapatkan rawatan kanser dan lain-lain.

Rawatan

Kebanyakan indivdu akan pulih menggunakan bahan-bahan yang ada di rumah. Rehat secukupnya dan banyakkan meminum air. Gunakan paracetamol jika sakit.

Walau bagaimanapun, anda perlu berjumpa doktor jika:
  • Berasa sesak nafas atau mengalami masalah pernafasan.
  • Mengalami sakit di perut atau sesak dada.
  • Mengalami dehidrasi, seperti pening apabila berdiri atau tidak buang air kecil.
  • Berasa keliru.
  • Muntah tanpa henti atau anda tidak mampu minum air yang secukupnya.
  • Demam lebih daripada dua (2) hari.

Bagi kanak-kanak, anda perlu mendapatkan bantuan jika kanak-kanak mengalami sebarang gejala di atas atau gejala berikut:
  • Kulit beturkar menjadi biru atau ungu.
  • Begitu marah sehingga tidak mahu dipegang.
  • Tiada air mata apabila menangis (bayi).
  • Sukar bangun tidur.

Ubat antiviral seperti oseltamivir (Tamiflu ®) dan zanamivir (Relenza ®) berkesan jika diambil dalam tempoh 48 jam. Dapatkan nasihat doktor bagi menentukan jenis ubat yang diperlukan.

Jangan sebarkan virus kepada individu di sekeliling anda. Jangkitan boleh merebak dalam tempoh satu hari sebelum anda mempunyai gejala sehingga sekurang-kurangnya 24 jam selepas demam anda reda (tanpa mengambil ubat-ubatan anti-demam).

Individu yang lemah daya tahan (imuniti) diri mungkin boleh merebakkan virus lebih daripada tujuh hari.

Oleh itu, jika anda sakit:
  • Duduk di rumah dan elakkan ke tempat kerja, sekolah atau tempat yang terdapat ramai orang.
  • Tutup mulut dan hidung apabila batuk dan bersin. Jika gunakan tisu, buangnya ke dalam tong sampah.
  • Basuh tangan dengan sabun dan air atau bahan pembersih yang berasaskan alkohol.
  • Jika anda tidak mempunyai tisu ketika batuk atau bersin.
  • Gunakan penutup mulut dan hidung (mask) untuk mengelakkan titisan cecair tersebar kepada orang lain.
  • Maklumkan kepada keluarga dan rakan-rakan tentang penyakit anda dan elakkan berada dekat dengan orang lain.

Pencegahan

Cara virus Influenza A H1N1 merebak adalah serupa dengan virus selesema yang lain. Virus ini boleh disebarkan melalui batuk atau bersin, atau menyentuh hidung atau mulut selepas menyentuh permukaan yang dicemari virus.

Elakkan diri daripada dijangkiti dengan:
  • Menjauhi diri dari individu yang menunjukkan gejala selesema seperti batuk atau bersin (sekurang-kuangnya 1 meter).
  • Basuh tangan menggunakan sabun dan air, atau bahan pembersih yang berasaskan alkohol (terutamanya jika menyentuh permukaan yang dicemari).
  • Elakkan daripada menyentuh mulut, hidung dan mata.
  • Elakkan berada di persekitaran yang sesak.
  • Buka tingkap bagi meningkatkan pengudaraan di rumah.
  • Amalkan cara hidup yang sihat (termasuk tidur yang cukup, makan makanan berkhasiat, dan lakukan aktiviti fizikal).
  • Dapatkan suntikan vaksin influenza bermusim.

H5N1

H5N1 atau Selesema burung (selsema unggas) ialah penyakit berjangkit yang boleh menjejaskan kesihatan dan menyebabkan kematian terutama kepada burung-burung domestik seperti ayam, angsa, itik dan ayam belanda.

Selesema burung H5N1 ialah salah satu jenis virus dalam kumpulan virus jenis Influenza A. Sebagai pengetahuan, virus H1N1 juga adalah satu daripada virus Influenza A. Oleh itu simptom awal kedua-duanya hampir sama.

Jenis selsema burung terbahagi kepada dua kumpulan berdasarkan tahap patogenik (menyebabkan penyakit oleh) virus, atau keupayaan virus untuk menghasilkan penyakit.

Kajian Geologi Amerika Syarikat mendefinisikan selsema burung sebagai "sangat patogenik" berdasarkan keupayaannya untuk membunuh ayam.

Walau bagaimanapun, "sangat patogen" tidak merujuk kepada bagaimana tahap virus itu menjangkiti manusia, mamalia lain, atau spesies burung lain.

Cara Jangkitan

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia, penularan H5N1 kepada manusia - biasanya melalui sentuhan dengan burung atau persekitaran yang tercemar - boleh berlaku tetapi tetap menjadi kejadian yang jarang-jarang berlaku.

Manusia juga tidak boleh dijangkiti dengan memakan daging ayam atau burung yang telah mati dan diproses dengan sempurna. Ia hanya menjangkiti apabila haiwan tersebut masih hidup.

Virus ini tidak menjangkiti manusia dengan mudah dan penyebaran dari orang ke orang nampaknya bukanlah suatu yang biasa terjadi.

Menurut WHO, tidak ada bukti bahawa penyakit ini dapat disebarkan kepada orang melalui makanan yang disiapkan dengan baik dan teliti, manakala kadar kematian terhadap manusia adalah 60 peratus.

Walaupun masih tiada penduduk setempat yang dijangkiti, langkah perlu diambil di setiap sudut supaya jangkitan tidak disebarkan daripada unggas ke manusia.

Tanda-tanda Jangkitan

Simptom awal perlu dikenal pasti supaya ia dapat dikesan awal dan tidak disebarkan ke individu lain. Simptom awal jangkitan selesema burung hampir sama dengan H1N1.

Pesakit akan mengalami demam panas seawal hari pertama yang disertai dengan selesema dan batuk.

Bagi kanak-kanak, selera makan semakin berkurangan. Demam panas ini akan berulang untuk beberapa hari. Apabila rawatan awal tidak dimulakan, jangkitan akan merebak ke paru-paru.

Jika dibandingkan dengan H1N1, jangkitan paru-paru akibat H5N1 ini lebih berbahaya dan lebih berisiko kematian akibat jangkitan paru-paru.

Kematian akibat dehidrasi juga boleh berlaku jika pesakit tidak minum banyak air sewaktu demam.

Rawatan

Selaras dengan evolusi dan teknologi kesihatan, ubat antivirus untuk melawan jangkitan Influenza A sudah lama berada di hospital. Beberapa hospital swasta juga mempunyai antivirus ini yang boleh diberikan kepada pesakit yang dijangkiti.

Ia akan diberi untuk lima hari bagi memastikan pesakit bebas daripada jangkitan. Akan tetapi, ujian pengesahan sampel hidung akan diambil.

Selain itu, ujian darah juga mungkin dijalankan untuk memastikan demam itu tidaklah disebabkan oleh jangkitan lain. Ujian sinaran X paru-paru juga boleh dijalankan jika perlu.

Adakah penyakit selesema burung di Malaysia?

Malaysia bebas dari penyakit selesema burung sehingga Ogos 2004 apabila kes pertama dikesan di Kelantan.

Penyakit ini telah berjaya di benteras dengan segera dan Malaysia diiktiraf bebas dari penyakit ini pada 5 Januari 2005.

Kes terpencil sekali lagi dilaporkan kira-kira satu tahun kemudian di Kuala Lumpur.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2

Wednesday, March 22, 2017

Apa itu Selesema Burung H5N1?

Apa itu Selesema Burung H5N1?

Selesema burung ialah penyakit berjangkit yang boleh menjejaskan kesihatan dan menyebabkan kematian terutama kepada burung-burung domestik seperti ayam, angsa, itik dan ayam belanda.

h5n1

Virus avian influenza H5N1 ini telah mengakibatkan kematian haiwan ternakan dan kerugian kepada penternak ayam dan itik.

Apakah yang menyebabkan penyakit ini?

Selesema burung disebabkan oleh virus avian influenza (AI) yang biasanya boleh berjangkit kepada burung, kadang kala kepada babi dan jarang-jarang kepada kuda, anjing laut, ikan paus, manusia dan juga lain-lain binatang. Terdapat banyak jenis subtypes virus AI, misalnya H5N1.

Dari mana datangnya virus ini?

Virus ini telah wujud lebih dari se abad yang lalu dan wujud secara semulajadi dikalangan burung-burung liar yang selalunya tidak mengalami penyakit kesan dari virus tersebut.

Kenapa ketika ini selesema burung membimbangkan?

Subtype H5N1 yang mula-mula dikesan pada tahun 1997 tersebar dikalangan burung-burung di seluruh dunia pada masa kini.

Semenjak 2003 ianya telah merebak di Negara-negara Asia dan Eropah yang menyebabkan kadar kematian yang tinggi pada ayam itik dan burung liar.

Lebih 200 juta ekor ayam itik dan burung liar telah mati atau dibunuh disebabkan oleh virus ini semenjak tahun 1997.

Virus H5N1 juga boleh berjangkit kepada manusia dalam keadaan tertentu.

Dimanakah H5N1 telah dilaporkan?

Virus H5N1 telah dilaporkan di beberapa Negara tetapi pada masa ini aktif di China, Cambodia, Laos, Vietnam, Thailand, Indonesia, Kazakhstan, Mongolia, Russia, Turkey, Romania dan lain-lain negara.

Adakah penyakit selesema burung di Malaysia?

Malaysia bebas dari penyakit selesema burung sehingga Ogos 2004 apabila kes pertama dikesan di Kelantan.

Penyakit ini telah berjaya di benteras dengan segera dan Malaysia diiktiraf bebas dari penyakit ini pada 5 Januari 2005.

Kes terpencil sekali lagi dilaporkan kira-kira satu tahun kemudian di Kuala Lumpur.

Apakah tanda-tanda penyakit selesema burung pada unggas?
  • Murung dan kurang selera.
  • Batuk, bersin dan lelehan dari hidung.
  • Bengkak di kepala, balung, pial dan kaki.
  • Balung, pial dan kaki berubah warna kepada ungu.
  • Cirit berwarna kehijauan.
  • Pengeluaran telur jatuh.
  • Dalam kes yang teruk kematian mengejut berlaku dan kadar kematian tinggi.

Bagaimana penyakit selesema burung merebak?
  • Burung hijrah.
  • Pergerakan unggas yang terjangkit.

Bagaimana unggas mendapat jangkitan selesema burung?

Virus terdapat dalam najis, air liur dan lelehan dari hidung unggas yang terjangkit.

Unggas boleh dijangkiti apabila tersentuh dengan benda-benda ini, dengan unggas yang mati, makanan, air, peralatan, kenderaan dan lain-lain benda yang tercemar.

Apakah risiko jangkitan selesema burung kepada manusia?

Virus avian influenza biasanya tidak akan menjangkiti manusia tetapi orang boleh terjangkit apabila sentiasa bersentuhan rapat dengan unggas terjangkit dan najisnya.

Hanya 140 kes yang dilaporkan pada manusia, kebanyakkannya di Asia Tenggara (Vietnam, Thailand, Indonesia, Cambodia dan China) dengan 70 kematian, walaupun jangkitan ini tersebar luas pada unggas dan burung liar.

Bagaimana manusia boleh dijangkiti:
  • Melalui kontak dengan burung liar.
  • Melalui kontak binatang ternakan yang dijangkiti dan juga dari hasil binatang ternakan.
  • Pakaian, sarung kaki, kasut dan peralatan yang tercemar.
  • Semasa memberi makan dan minum kepada burung yang dijangkiti.

Tanda-tanda selesema burung pada manusia

Kanak-kanak yang terdedah dalam tempoh 2 hingga 8 hari akan menunjukkan tanda-tanda seperti berikut:
  • Demam.
  • Batuk.
  • Sakit tekak.
  • Sakit-sakit sendi.
  • Kesukaran bernafas.
  • Suara menjadi garau.
  • Bunyi gemersik (crackling) ketika bernafas.
  • Najis berdarah.
  • Jangkitan paru-paru.
  • Jangkitan mata (sakit mata).

Bagaimana Selesema Burung dikesan Pada Manusia?

Melalui ujian darah dan sampel akan diambil dari hidung dan tekak pesakit.

Bagaimana Selesema Burung dirawat? Adakah pengambilan antibiotik berkesan?

Pengambilan antibiotik tidak berkesan bagi penyakit viral. Penggunaan ubat antiviral seperti oseltamivir (dikenali sebagai Tamiflu) dan zanamavir boleh digunakan.

Ubat ini boleh mengurangkan virus ini dari membiak didalam badan dan boleh memperbaiki peluang untuk hidup, sekiranya ubat ini diberi dalam tempoh 48 jam.

Walau bagaimanapun, ubat oseltamivir tidak digalakkan untuk diberi kepada kanak-kanak dibawah umur 1 tahun.

Kebiasaannya ubat-ubat ini digunakan untuk influenza bermusim dan keberkesanannya dalam menentang selesema burung masih belum diketahui.

Perlukah kanak-kanak memakai penutup mulut bagi mengelakkan Selesema Burung?

Dinasihatkan untuk menggunakan penutup mulut jika berhubung rapat dengan mereka yang disahkan mempunyai Selesema Burung.

Bolehkah makan ternakan dan hasil ternakan ayam/burung dari kawasan yang mengalami wabak selesema burung?

Tiada bukti menunjukkan memakan daging ternakan dan telur yang dimasak dengan betul boleh menyebabkan jangkitan.

Virus ini akan mati jika dimasak, walau bagaimanapun, langkah-langkah pencegahan perlu diambil.

Virus H5N1 boleh didapati dalam telur sama ada di dalam (bahagian kuning dan putih) atau di kulit telur.

Telur dari kawasan ternakan yang dijangkiti virus ini tidak boleh dimakan mentah atau separuh masak.

Memasak daging, telur dan produk daging mengikut suhu yang betul boleh mengelakkan jangkitan silang berlaku.

Amalan pengendalian yang betul boleh mengelakkan penyakit bawaan makanan seperti salmonella:
  • Basuh tangan dengan air suam dan sabun selama 20 minit sebelum dan selepas mengendalikan ternakan dan telur ternakan.
  • Basuh papan pemotong dan lain-lain perkakas dapur dengan sabun dan air panas bagi mengelakkan daging atau telur mentah mencemari makanan lain.
  • Papan pemotong boleh dibersihkan dengan campuran larutan 1 sudu peluntur klorox dan 1 gelen air.
  • Masak daging dengan suhu sekurang-kurangnya165 darjah Fahrehheit. Pengguna boleh memasak dengan suhu yang lebih tinggi.
  • Telur hendaklah dimasak sehingga keras.
  • Caserols dan lain-lain masakan yang mengandungi telur hendaklah dimasak dengan suhu 160 darjah Fahrenheit.

Siapakah yang berisiko dijangkiti selesema burung?

Orang-orang yang bekerja dikalangan burung dan ayam itik, di rumah sembelih dan yang mengendali daging mentah dan baja (najis ayam) menghadapi risiko jangkitan.

Langkah-langkah pencegahan ialah:
  • Guna pakaian perlindungan yang lengkap (sarung tangan, gogal, kasut but, topeng, cover-all)
  • Sentiasa membasuh tangan
  • Kendali daging mentah dan produk dengan bersih

Adakah daging ayam selamat untuk dimakan?

Daging ayam itik dan telur yang dikeluarkan secara komersial di Negara ini adalah selamat untuk dimakan.

Kes yang terjadi di Negara kita adalah terhad kepada ayam yang lepas bebas.

Malah tidak ada bukti bahawa dengan memakan daging ayam itik dan telur boleh menyebabkan penyakit selesema burung, namun adalah wajar daging dan telur dimasak secukupnya.

Produk mentah perlu dikendalikan secara bersih terutama di tempat berlakunya wabak.

Apakah yang dilakukan oleh kerajaan kita?

Semenjak akhir tahun 2003, disebabkan ancaman dari burung hijrah dan penyeludupan di sempadan, survelan di Negara kita diperhebatkan untuk mengesan dan membasmi virus secepat mungkin.

Kawalan sempadan dan pemeriksaan veterinar di pintu masuk diperkukuhkan.

Apakah yang dilakukan oleh Jabatan Perkhidmatan Haiwan (JPH)?

Selain dari memperketatkan pintu-pintu masuk negara, strategi kawalan penyakit ialah untuk mengesan virus AI dengan cepat dan mengambil tindakan segera untuk membasmi jangkitan dan mencegah wabak.

Langkah-langkah yang diambil untuk mengesan virus ialah:
  • Survelan klinikal dan virologikal di ladang-ladang ayam, itik, puyuh dan lain-lain ladang, burung yang diimport, kedai haiwan kesayangan, burung hijrah, zoo, aviary, ayam kampong, ayam sabung, kawasan sempadan, pasar, rumah sembelih dan lain-lain.
  • Sampel diambil secara berkala di semua premis ini untuk ujian di makmal.
  • Kadar kematian lebih dari 3% wajib dilaporkan ke JPH.
  • Larangan import dari Negara yang dijangkiti.
  • Siasatan serta merta jika ada laporan kematian pada unggas.

Apakah yang harus dilakukan oleh penternak ayam itik dan lain-lain premis unggas di dalam mencegah jangkitan selesema burung?
  • Kebersihan dan biosekuriti ladang sangat penting.
  • Penggunaan jaring kalis burung di bangsal ayam itik supaya burung liar tidak dapat masuk ke bangsal.
  • Beli stok ayam itik dari sumber yang boleh dipercayai.

Apakah yang perlu saya lakukan sebagai seorang awam untuk membantu ?
  • Lapor serta merta kepada JPH jika terdapat unggas yang sakit atau mati.
  • Jangan melupus sendiri unggas atau ayamitik yang mati.
  • Jangan memberi makanan kepada burung-burung liar.
  • Jangan impot atau membawa burung, daging ayam itik atau baja tanpa kebenaran dari pihak JPH.
  • Jangan membeli atau membawa balik burung haiwan kesayangan ke rumah tanpa pemeriksaan dari doktor veterinar.
  • Jika burung haiwan kesayangan anda sakit sila bawa ke doktor veterinar serta merta.
  • Jika iannya menunjukkan tanda-tanda penyakit seperti yang disebutkan diatas sila lapor ke JPH.
  • Lapor ke JPH jika anda mengetahui berkenaan penyeludupan burung atau daging secara haram.
  • Jangan menyertai pertandingan ayam laga atau apa-apa pertandingan burung yang haram.
  • Lapor ke JPH jika anda mengetahui berkenaan pertandingan ayam laga.

Mengapa Selesema Burung Berbahaya?

Walaupun selesema burung boleh menjangkiti manusia, tetapi tidak boleh merebak dari seorang ke seorang.

Walau bagaimanapun, virus ini boleh berubah mengikut masa. Jika ini berlaku akan menyebabkan epidemik yang teruk kerana imuniti semulajadi yang rendah di kalangan penduduk.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2