Sunday, January 21, 2018

Fenomena Gerhana Bulan Penuh 31 Januari 2018

Fenomena Gerhana Bulan Penuh 31 Januari 2018

Orang ramai berpeluang menyaksikan fenomena gerhana bulan penuh yang akan berlaku pada 31 Januari 2018 ini dan dijangka mengambil masa selama lima jam 17 minit itu bermula pada jam 6.51 petang hingga 12.08 tengah malam (1 Februari 2018).

Fenomena Gerhana Bulan Penuh 31 Januari 2018
Gambar hiasan.

"Di Semenanjung, gerhana sedang berlaku ketika bulan terbit di ufuk timur, manakala Sabah dan Sarawak, fenomena ini akan bermula selepas bulan terbit.

"Fasa gerhana penuh maksimum adalah pada jam 9.29 malam dan keseluruhan gerhana berakhir pada jam 12.08 tengah malam iaitu pada 1 Februari," kata Agensi Angkasa Negara (ANGKASA)i.

Gerhana bulan penuh turut berlaku di timur Eropah, timur Afrika, Asia, Australia dan Amerika Utara.

Gerhana bulan penuh berlaku apabila matahari, bumi dan bulan berada pada kedudukan sebaris dan keseluruhan bulan merentasi bayangan umbra bumi.

Bulan dengan perlahan-lahan bertukar daripada warna putih mutiara kepada warna kemerahan dan kemudiannya kembali ke warna aslinya sepanjang tempoh lima jam.

Warna kemerahan akan dapat dilihat ketika fasa penuh gerhana bulan pada 31 Januari 2018 ini berbeza daripada gerhana bulan penuh yang lain bergantung kepada beberapa faktor termasuk keadaan di atmosfera atas bumi dan kedudukan bulan di sepanjang orbitnya.

Ketika hampir berlakunya gerhana pada 31 Januari ini, bulan sebenarnya baru saja melepasi kedudukan perigee iaitu sehari sebelumnya dengan jarak 358,993 kilometer dari bumi, sekali gus menjadikan gerhana kali ini 'Gerhana Supermoon'.

Supermoon akan berlaku apabila bulan berada pada jarak kurang 360,000 kilometer dari bumi dan tiada peralatan tertentu diperlukan untuk melihat fenomena ini.

Penggunaan teleskop dan binokular akan dapat membantu untuk melihat dengan lebih jelas.

Observatori Negara Langkawi, ANGKASA akan mengadakan aktiviti pencerapan bagi orang awam untuk menyaksikan fenomena gerhana bulan penuh.

Beberapa teleskop mudah alih akan disediakan kepada pengunjung yang hadir dan penyertaan adalah percuma.

Lokasi lain boleh dikunjungi orang ramai untuk aktiviti pencerapan adalah Planetarium Negara, Kuala Lumpur; Balai Cerap Teluk Kemang, Port Dickson, Negeri Sembilan; Balai Cerap Selangor, Sungai Lang Parit Baru, Sungai Ayer Tawar, Selangor dan Balai Ceral Al-Khawarizmi, Tanjung Bidara, Melaka.

Orang ramai juga boleh mengunjungi Pantai Tok Jembal, Terengganu; Menara Tun Mustapha, Kota Kinabalu, Sabah dan Balai Cerap Kota Bharu, Kampung Kubang Rawa, Salor, Kelantan.

Gerhana bulan penuh akan berlaku sekali lagi dan kelihatan di Malaysia pada 28 Julai 2018 depan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: bharian

Friday, August 18, 2017

Fenomena Gerhana Bulan Penumbra

Fenomena Gerhana Bulan Penumbra

Apa sebenarnya fenomena gerhana bulan penumbra? Fenomena gerhana ini adalah, seluruh bahagian bulan berada di bahagian penumbra, namun bulan masih dapat dilihat dengan warna yang agak suram.

Gerhana Bulan penumbra

Jenis-Jenis Gerhana

Pada umumnya, bayang-bayang bumi di angkasa lepas akan mempunyai 2 bahagian. Satu bahagian yang gelap, yang dipanggil umbra. Sementara yang lagi satu dikenali sebagai penumbra.

Berikut adalah beberapa jenis gerhana bulan:
  • Gerhana Bulan Penuh berlaku apabila orbit bulan bergerak masuk tepat ke dalam umbra dan keseluruhan jasad bulan memasuki umbra.
  • Gerhana Bulan Separa berlaku apabila orbit bulan bergerak sedikit senget dari kawasan umbra dan hanya sebahagian sahaja jasad bulan memasuki umbra.
  • Gerhana Bulan Penumbra berlaku apabila orbit bulan memasuki hanya di kawasan penumbra, dan keseluruhan atau sebahagian daripada jasad bulan memasuki kawasan tersebut.

Waktu Melihat Gerhana

Di Malaysia, kita boleh menyaksikan gerhana bulan penumbra jika diamati secara terperinci dan cuaca benar-benar cerah tetapi secara keseluruhannya kita tidak dapat melihat saat dan ketika bulan mula-mula masuk ke dalam kawasan bayang-bayang penumbra.

Hanya apabila bulan berada pada ‘puncak gerhana’ iaitu titik ia berada paling ‘ke dalam’ dalam kawasan tersebut, barulah ia mula terbit di ufuk Timur.

Penampakan Gerhana Bulan Penumbra adalah berkemungkinan kurang ketara kejelasannya jika dilihat dengan mata kasar kerana bayang-bayang penumbra bumi adalah lebih samar (kurang gelap) jika dibandingkan dengan bayang-bayang umbra bumi yang lebih gelap.

Peluang untuk melihat kesan gerhana penumbra akan menjadi lebih baik atau lebih jelas jika kita melihat gerhana tersebut menggunakan peralatan bantuan seperti binokular atau pun menggunakan teleskop.

Kenapa Gerhana Penumbra Berlaku?

Gerhana Bulan penumbra

Gerhana bulan penumbra berlaku kerana terhalangnya cahaya matahari oleh bumi, sehingga tidak semua cahaya sampai ke bulan.

Secara umumnya, mata kita tidak mampu melihat sebarang perubahan kecerahan bulan disebabkan ketika bulan memasuki kawasan bayang-bayang penumbra, sempadan bayang-bayang penumbra dengan kawasan di luar bayang-bayang bumi amat sukar untuk dibezakan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

Sumber: Shafiqolbu

Wednesday, August 16, 2017

Fenomena Gerhana Bulan Separa

Fenomena Gerhana Bulan Separa

Gerhana bulan separa adalah fenomena alam yang berlaku apabila sebahagian daripada cahaya matahari jatuh pada permukaan bulan, telah terlindung oleh jasad bumi.

Gerhana bulan separa

Secara amnya, gerhana bulan separa ini berlaku apabila bumi berada di antara matahari dan bulan.

Walaupun ia nampak seperti sebaris, tetapi jika dilihat dari satah ‘tepi’, bulan berada sedikit ke atas daripada garisan matahari dan bumi.

Ini akan menyebabkan ia tidak akan dilindungi sepenuhnya oleh bayang-bayang bumi.

Fasa Gerhana
  1. Permulaan masuk bayang-bayang penumbra.
  2. Permulaan masuk bayang-bayang umbra.
  3. Kemuncak Fasa Gerhana Bulan Separa.
  4. Tamat gerhana separa. (Bulan sudah keluar dari bayang-bayang umbra).
  5. Tamat gerhana penumbra (Bulan sudah keluar dari kawasan bayang-bayang penumbra).

Keseluruhan fasa gerhana separa (Bulan berada di dalam bayang-bayang umbra) ialah selama 1 jam 55 minit.

Bulan akan berada tegak dan sedikit ke arah barat, ketika bermulanya fasa gerhana separa. Bulan akan berada di kawasan buruj Capricornus.

Adakah Bulan menjadi merah ketika gerhana nanti?

Untuk fenomena gerhana bulan separa, bulan tidak akan ditutupi sepenuhnya oleh bayang-bayang Bumi. Ia TIDAK AKAN KELIHATAN KEMERAHAN.

Kita akan hanya dapat lihat sebahagian kecil bulan kelihatan ‘sompek’ atau ‘terpotong’ sahaja.

Hakikatnya dengan pandangan mata nanti, kita hanya akan dapat lihat warna hitam sahaja.

Adakah kita perlukan sebuah teleskop untuk melihatnya?

Tidak perlu. Gerhana bulan amat senang dan boleh dilihat dengan mata kasar sahaja. Walau bagaimanapun, jika anda mempunyai binokular atau teleskop, pemandangan akan lebih jelas dan menarik.

Bolehkah saya merakam fenomena ini menerusi kamera?

Secara amnya, kita BOLEH merakam permukaan Bulan dengan jelas, samada menggunakan kamera telefon bimbit yang mempunyai fungsi zoom yang kuat, ataupun kamera DSLR dengan lens zoom yang panjang, ataupun rakaman terus menerusi teleskop.

Bulan merupakan objek yang besar dan terang. InsyaAllah tidak ada masalah untuk merakamnya.

Di bawah ialah contoh foto fasa gerhana bulan penuh yang dirakam menerusi teleskop (F=500mm) dan kamera DSLR.

Adakah Bumi menerima sebarang kesan fizikal daripada fenomena ini?

Tidak. Gerhana Bulan ialah sebuah fenomena optikal sahaja. Ia tidak ada kesan langsung terhadap kehidupan di Bumi.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: falakonline

Tuesday, March 31, 2015

Fenomena Gerhana Bulan Penuh

Fenomena Gerhana Bulan Penuh

Fenomena kejadian gerhana bulan sentiasa menjadi perhatian ahli astronomi kerana ia banyak membantu memberikan maklumat berhubung bulan.

Fenomena Gerhana Bulan Penuh

Pada masa gerhana bulan penuh, bentuk topografi (profil) bulan seperti kawah dapat disaksikan dengan baik.

Selain itu, katanya, gerhana bulan penuh juga dapat memberikan para saintis maklumat dalam menentukan masa kejadian gerhana matahari dengan tepat.

Jelasnya, kebiasaannya gerhana bulan dilihat dengan membandingkan kecerahan bulan yang biasanya diukur menggunakan skala tertentu.

Misalnya skala magnitud kecerahan yang diwujudkan oleh ahli astronomi Dan John yang melihat kecerahan bulan mengikut warna seperti warna tembaga atau perang.

Kejadian gerhana bulan merupakan fenomena yang berlaku tiap-tiap tahun.

Fenomena Gerhana Bulan Penuh di Malaysia

Rakyat Malaysia berpeluang menyaksikan fenomena gerhana bulan penuh pada 4 April ini, satu-satunya gerhana bulan yang dapat dilihat di Malaysia pada tahun ini.

Mengikut satu kenyataan yang dikeluarkan Agensi Angkasa Negara (ANGKASA), fasa fenomena tersebut bermula pada 5.01 petang, iaitu bulan memasuki bayang-bayang penumbra.

Kemuncak gerhana berlaku pada 8 malam dan fenomena itu berakhir pada 10.59 malam, iaitu bulan keluar dari bayang-bayang penumbra.

Menurut kenyataan itu, di Sabah, bulan akan terbit lebih awal berbanding di semenanjung iaitu sekitar 6 petang dan untuk itu penduduk di Sabah dapat menyaksikan fenomena tersebut bermula dari fasa separa sehingga tamat keseluruhan gerhana.

“Di semenanjung pula, bulan hanya akan terbit sekitar 7.20 malam dan ini bermakna fasa gerhana bulan penuh bermula sejurus selepas bulan terbit,” menurut kenyataan berkenaan.

Lokasi terbaik untuk melihat fenomena tersebut adalah di kawasan yang paling timur dengan ufuk yang tidak terlindung.

Sehubungan itu, ANGKASA dan Jabatan Mufti Selangor akan mengadakan program pencerapan bulan dan planet Musytari, melihat bintang Sirus dan buruj Belantik (Orion) di perkarangan Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong, Selangor.

Selain itu, ANGKASA juga akan membawa Mini Planetarium bagi memberi peluang kepada orang ramai untuk menonton tayangan filem pendek astronomi secara percuma.

Untuk mendapatkan perkembangan terkini tentang fenomena tersebut, orang ramai boleh melayari laman sesawang, Facebook dan Twitter: Agensi Angkasa Negara (ANGKASA) atau hubungi talian 03-22734403/5484.

BACA INI JUGA:

sumber: bharian

Wednesday, October 08, 2014

Fenomena Gerhana Bulan Berdarah

Fenomena Gerhana Bulan Berdarah

Fenomena gerhana bulan merah yang turut dikenali sebagai ‘Gerhana Bulan Berdarah’ terjadi apabila kedudukan Bumi terletak pada kedudukan sejajar di antara Matahari dan Bulan.

Gerhana Bulan Berdarah

Bagi peminat astronomi, malam ini bukan saja akan berlakunya kejadian gerhana bulan penuh berwarna merah, malah terdapat dua lagi fenomena lain yang diramal berlaku, iaitu penampakan Uranus dan juga selenelion.

Ketika itu, bayang Bumi yang menutupi permukaan Bulan itu akan menghasilkan bias berwarna merah seakan warna darah. Kali terakhir fenomena ini berlaku adalah pada 15 April tahun ini.

Selain fenomena bulan berdarah, satu lagi fenomena di mana planet Uranus boleh dilihat dengan mata kasar bakal berlaku malam ini, lapor TribunJogja.com.

Terdapat dua faktor yang membolehkan penampakan planet tersebut iaitu jaraknya yang dekat dengan Bumi, serta keadaan gerhana itu sendiri.

Seorang sumber astrologi Indonesia menyatakan bahawa Uranus dijangka dapat dilihat sebagai sebuah titik kecil yang menyerupai bintang dengan cahaya samar bermagnitud +5.

Namun, detik tersebut agak singkat dan mereka yang terlatih sahaja berpeluang mengesannya di dada langit. Oleh kerana cahayanya samar, Uranus hanya dapat dikesan dengan mata kasar pada saat gerhana terjadi sepenuhnya.

Sebelum atau selepas detik itu, kelibat planet ketujuh dalam sistem cakerawala itu akan pudar dan menghilang.

Fenomena selenelion pula merujuk kepada kejadian kedua-dua Matahari dan bulan gerhana yang dapat dilihat serentak. Ia hanya boleh terjadi pada detik sebelum matahari terbit atau terbenam.

Secara ringkasnya, ia adalah fenomena apabila dua objek langit terpisah 180 darjah dari sudut pandang manusia di Bumi.

Pada waktu senja nanti, selenelion yang terjadi melibatkan Bulan dan Matahari. Ini bermakna Matahari akan disaksikan tepat di ufuk barat manakala Bulan pula di ufuk timur.

UPDATE!

Fenomena Gerhana Bulan Berdarah

Berikut antara gambar gerhana bulan ‘berdarah’ yang dirakamkan berlaku di langit Malaysia antara jam 5.14 petang hingga 8.34 malam.

Bukit Baru, Melaka
Bukit Baru, Melaka

Kuala Selangor
Kuala Selangor

Bukit Putra Mahkota, Bangi
Bukit Putra Mahkota, Bangi

Jambatan Pulau Pinang
Jambatan Pulau Pinang

Kulim, Kedah
Kulim, Kedah

Seksyen 13, Shah Alam
Seksyen 13, Shah Alam

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Hikmah Disebalik Kejadian Gerhana Matahari