Wednesday, July 24, 2024

Siapa Pengasas Kerja 5 Hari Seminggu?

Siapa Pengasas Kerja 5 Hari Seminggu?

"Siapa yang tentukan cuti hujung minggu hanya dua hari? Kenapa hari bekerja perlu dilalui selama lima hari?" Saya yakin, anda juga tertanya-tanya tentang perkara ini.

Tidak dinafikan kita semua sangat sukakan cuti hujung minggu kerana dapat berehat daripada kehidupan bekerja yang melelahkan.

Kerja 5 Hari Seminggu

Tetapi, sekiranya kita mempunyai kurang daripada lima hari bekerja timbul pula isu lain. Bayangkan, berapa banyak gaji yang diperoleh jika kita hanya kerja selama tiga hari seminggu?

Konsep lima hari bekerja, dua hari cuti ini juga sudah diamalkan selama hampir 100 tahun.

Bagi menjawab soalan siapa yang menentukan konsep ini, kita imbas kembali apa yang tercatat dalam sejarah.

Revolusi Perindustrian

Konsep cuti dua hari pada hujung minggu mula wujud pada awal abad ke-19 selepas Revolusi Perindustrian berlaku. Ketika itu, kilang besar yang mengeluarkan barangan pengguna mula dibangunkan, mengubah ekonomi pertanian tradisional menjadi perindustrian.

Apabila petani tradisional mula bekerja di kilang, ramai yang tidak suka bekerja pada waktu yang ditetapkan. Ini kerana mereka sudah biasa menyusun jadual sendiri di ladang.

Tambahan itu, pemilik kilang juga memaksa mereka bekerja tujuh hari seminggu. Perkara ini menambah kemarahan dalam kalangan petani dan pekerja kilang lain.

Mereka mula merungut dan meminta cuti bagi meluangkan masa bersama keluarga. Aduan ini akhirnya berkembang menjadi mogok buruh yang berlaku di seluruh Amerika Syarikat.

Dalam tempoh mogok itu, ketegangan antara penguat kuasa undang-undang dan buruh yang menunjuk perasaan menyebabkan ramai yang cedera dan kehilangan nyawa.

Perjuangan itu bagaimanapun berbaloi buat para pekerja kerana waktu kerja yang lebih berperikemanusiaan mula dilaksanakan.

Konsep cuti hujung minggu juga didorong amalan beragama para pekerja. Majoriti pekerja yang beragama Kristian menuntut cuti pada hari suci agama mereka, iaitu hari Ahad.

Kejayaan pekerja Kristian menuntut cuti pada hari Ahad membuatkan pekerja beragama Yahudi – yang juga tidak kurang ramainya di Amerika Syarikat – pula menuntut cuti pada hari suci agama mereka, iaitu Sabtu.

Tuntutan tersebut menyebabkan beberapa kilang menutup operasi pada kedua-dua hari Sabtu dan Ahad, demi mengelak konflik antara pekerja Kristian dengan Yahudi.

Henry Ford

Pemilik kilang Ford Motor Company yang terkemuka, Henry Ford memainkan peranan yang besar dalam penetapan waktu bekerja lima hari seminggu. Dia antara majikan terawal yang memberi pekerja kilangnya cuti hujung minggu dua hari pada awal abad ke-20.

Henry Ford mengumumkan waktu bekerja 40 jam, lima hari seminggu pada 1926, dengan cuti diberikan pada Sabtu dan Ahad setiap minggu.

Waktu bekerja baharu itu juga mengurangkan gaji pekerjanya kerana dia menggunakan sistem gaji harian. Kurang hari bekerja bermakna kurang gaji yang dibayar. Namun, ia sebuah kejayaan.

Walaupun mendapat tentangan pemilik kilang lain, Henry Ford membuktikan produktiviti syarikatnya tidak berubah, malah meningkat selepas cuti diberikan pada hujung minggu.

Tambahan lagi, dia juga ada agenda lain. Henry Ford meneruskan inisiatif tersebut kerana dia ingin menjual kereta yang dibuat kepada pekerjanya. Dia menyedari bahawa pekerjanya sendiri adalah antara pelanggan terbaiknya.

Jika ingin menjual lebih banyak kereta, dia memutuskan bahawa pekerjanya memerlukan cuti agar dapat memandu dan menikmati kereta yang dibuat.

Henry Ford juga didorong oleh keinginan untuk menarik dan mengekalkan pekerja mahir. Dia menyedari bahawa menawarkan keseimbangan antara kerja dengan kehidupan boleh menjadi senjata berkuasa untuk dia merekrut pekerja yang berbakat tinggi.

Dengan inisiatif itu, syarikat Ford Motor Company berjaya memintas pesaingnya dan tumbuh menjadi syarikat permotoran yang maju sehingga hari ini.

Keseimbangan kerja-kehidupan

Pelaksanaan sistem lima hari bekerja dalam seminggu antara revolusi besar dunia pekerjaan yang memihak kepada golongan pekerja.

Ia membolehkan pekerja berehat secukupnya untuk menikmati hidup dengan lebih seimbang, baik untuk bersama keluarga, berekreasi dan menikmati hobi mahupun menjalankan aktiviti agama.

Wawasan Henry Ford yang melihat waktu rehat sebagai cara untuk menambah produktiviti pekerja perlu dicontohi lebih ramai pemilik perniagaan.

Henry Ford membuktikan, mengerah keringat pekerja sampai kering bukan cara yang sihat untuk memajukan perniagaan.

Para pekerja ialah manusia dan manusia memerlukan waktu rehat serta rekreasi untuk berfungsi dengan baik.

Selepas 98 tahun, idea penuh revolusi Henry Ford terus terbukti benar dan relevan.

Semoga memberi manfaat.

-Sentiasapanas.com

Monday, July 22, 2024

Tidak Ada Orang Yang Malas Di Dunia Ini, Yang Ada Hanyalah Orang Yang Terlalu Letih Menghadap Kehidupan

Tidak Ada Orang Yang Malas Di Dunia Ini, Yang Ada Hanyalah Orang Yang Terlalu Letih Menghadap Kehidupan

Saya rasa, saya seorang manusia pemalas. Tahun ini, umur saya 30 tahun. Saya (masih) bangun lambat. Saya suka buang masa. Lebih memburukkan keadaan, saya sukar fokus pada waktu kerja, fikiran mudah melayang. Tahu-tahu sudah pukul 3 petang. Kerja pula belum siap. Jadi, saya simpulkan bahawa saya seorang pemalas. Kalau rajin, sudah tentu kerja boleh siap awal.

Sifat Pemalas

Dulu, saya malas buat kerja sekolah. Kalau cikgu minta salin karangan pada waktu cuti sekolah, saya tidak akan buat walaupun tahu saya akan dimarahi.

Dalam hati, saya lebih sanggup kena jerkah atau kena rotan depan kelas daripada menghabiskan masa cuti sekolah menyalin karangan sebanyak tujuh muka surat.

"Kamu ini pandai tapi kamu malas! Malas buat kerja sekolah," kata cikgu kepada saya. Saya okay sahaja. Saya tahu saya memang malas.

Tetapi, ketika menerima keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), saya merupakan antara calon cemerlang di sekolah.

Selepas itu, saya berjumpa dengan cikgu Fizik. Katanya, saya rajin. Inilah keputusan yang saya dapat kalau rajin berusaha.

Pada waktu itu, saya rasa pelik. Saya rasa saya malas. Orang lain juga cakap saya malas.

Tetapi, bila saya berjaya, orang kata saya rajin. Mana satu?

Kemalasan adalah satu amaran

Perkataan malas bermaksud tidak mahu berbuat apa-apa, termasuklah bekerja. Tetapi, apa yang membuatkan seseorang itu layak dipanggil pemalas?

Pengarang buku Laziness Does Not Exist, Dr. Devon Price berkata, kemalasan adalah satu penipuan. Oleh itu, tidak ada sesiapa layak dipanggil pemalas.

Menurutnya, kemalasan hanyalah satu idea yang diterapkan dalam minda masyarakat untuk membuatkan kita dan orang lain rasa tidak berguna dan tidak produktif.

Dr. Devon berkata, pemikiran tersebut merupakan satu perangkap. Orang yang berasa dirinya malas selalu akan mencari jalan untuk menjadi lebih produktif dan lebih rajin.

Bagi mereka, kemalasan nampak seperti satu kelemahan yang perlu diperbetul.

Jadi, kita akan minum kopi untuk segarkan badan. Duduk di pejabat sampai malam dengan alasan ingin siapkan kerja. Padahal, apa yang kita perlu hanyalah rehat yang cukup.

Benar, ada orang yang memang pemalas. Ada yang melepak 24 jam di rumah, makan dan tidur. Ada orang yang tidak akan lakukan apa-apa kerja di pejabat; lebih sanggup makan gaji buta.

Dr. Devon berkata, individu sebegini mungkin boleh dipanggil pemalas. Bagaimanapun, Price menyeru agar kita semua melihat kemalasan secara lebih empatetik.

Di sebalik kemalasan yang ditonjolkan, selalunya ada masalah lain yang membelenggu sehinggakan badan dan minda mereka jadi terlalu penat.

Price berkata, sebenarnya tidak ada orang yang malas di dunia ini. Apa yang ada hanyalah orang yang terlalu letih menghadap kehidupan.

Orang yang kita panggil malas itu mungkin bergelut dengan masalah mental. Mungkin juga mereka alami masalah keluarga, sakit atau sebagainya.

Siapa kita untuk panggil orang lain pemalas jika kita tidak tahu masalah sebenar dalam hidup mereka?

Perlu pandai urus kerja

Kemalasan juga sering dikaitkan dengan sikap suka melengah-lengahkan kerja (procrastination). Individu yang tersangkut dalam pusaran ini akan berasa mereka kerap buang masa dan malas buat kerja.

Menurut ahli psikologi, Jenny Yip, dalam sebuah artikel di CNN, ada dua perkara yang membezakan kemalasan dengan sikap suka melengahkan kerja.

"Orang yang malas selalunya tidak ada usaha untuk buat satu-satu kerja. Tetapi, mereka yang melengah-lengahkan kerja pula terbeban dengan keinginan untuk menyiapkan kerja tersebut.

"Kesukaran inilah yang menyebabkan mereka ada masalah untuk memulakan satu-satu tugas. Ini satu perbezaan yang sangat besar," katanya.

Jenny berkata, ada beberapa jenis procrastinator. Contohnya, orang yang inginkan kesempurnaan atau The Perfectionist; The Dreamer — orang yang sukar fokus kerana fikiran mereka mudah melayang dan The Worrier — belum buat apa-apa lagi sudah dibebani kerisauan yang melampau.

Sikap suka melengah-lengahkan kerja ada kesan buruk terhadap kehidupan. Kerja sudah tentulah akan tertangguh. Ini tidak termasuk lagi dengan masalah lain yang mungkin tercetus hanya kerana kita suka tangguh kerja.

Tetapi, sikap ini juga berkait rapat dengan keadaan mental seseorang. Sikap suka melengahkan kerja boleh berlaku disebabkan depresi, kegelisahan, kesunyian atau masalah tidur.

Oleh itu, penting untuk mereka yang gemar melengahkan kerja ini kenal pasti corak kemalasan dalam diri. Beliau berkata, ada sebab mengapa seseorang itu menjadi procrastinator.

"Setelah kenal corak atau punca mengapa kita malas, kita dapat patahkan kitaran tersebut dengan merangka strategi tertentu," katanya.

Apa yang penting, beliau menegaskan, perlu ada mindset tertentu yang boleh membantu kita keluar dari kepompong kemalasan.

Kalau anda percaya anda boleh, maksudnya anda boleh. Jika tidak, anda tidak boleh.

Apa sahaja yang anda percaya, anda betul, katanya.

Semoga memberi manfaat.

-Sentiasapanas.com

Friday, December 30, 2022

Bagaimana Orang Kaya Terus Kaya, Miskin Kekal Miskin?

Bagaimana Orang Kaya Terus Kaya, Miskin Kekal Miskin?

Kenapa sesetengah orang yang sudah kaya raya, kekal kaya? Apa kelebihan mereka Pasti anda pernah terfikir persoalan itu. Pasti anda juga pernah mempersoalkan kenapa kita yang sudah kuat berjimat cermat berbelanja, masih sukar untuk berubah menjadi kaya.

Semakin kaya

Satu teori ringkas cuba menjawab persoalan ini dengan cara yang mudah difahami semua.

Teori beza perspektif kaya miskin yang popular

Satu teori barat yang sering dijadikan perbandingan mudah berkenaan 'ketidakadilan' kewangan masyarakat, adalah Boots Theory of Socioeconomic Unfairness atau 'Teori Ketidakadilan Sosio-Ekonomi Berasaskan Kasut.'

Teori ini asalnya diambil daripada karya fiksyen tulisan penulis Terry Pratchett dalam bukunya yang berjudul 'Men at Arms' yang diterbitkan dalam tahun 1993.

Dalam novel itu, watak bernama Kapten Samuel Vimes mempersoalkan mengapakah berlakunya perbezaan besar di antara kemampuan individu berpendapatan rendah dan tinggi berbelanja.

Buah fikiran itu membawa kepada perbandingan kemampuan untuk seseorang petugas perang dalam mendapatkan kasut yang sesuai.

Kapten Vimes berpendapat seorang askar yang berkemampuan, mampu mendapatkan sepasang kasut yang berharga lebih tinggi sementara seorang yang kurang berkemampuan, akan berusaha mendapatkan kasut yang lebih murah nilainya serta kualitinya.

Menurut Kapten Vimes, kasut yang lebih mahal mampu bertahan lebih lama berbanding kasut yang murah.

Ini menyebabkan seseorang yang berkemampuan hanya perlu mengeluarkan belanja sekali, bagi mendapatkan kasut yang baik.

Bagi askar miskin, kasut yang dibelinya walaupun jauh lebih murah - perlu diganti dalam tempoh waktu tertentu disebabkan bahannya yang kurang berkualiti.

Proses penggantian ini pula boleh berlaku berulang kali, sehinggakan kos untuk mendapatkan kasut murah oleh si miskin akhirnya melebihi kos untuk membeli kasut berkualiti oleh si kaya, yang tidak perlu menggantikan kasut miliknya dalam tempoh masa panjang.

Nampak asas idea itu?

Benarkah murah lebih murah untuk jangka masa panjang?

Teori itu mempersembahkan kepada pembaca satu idea mudah bahawa ada kemungkinan disebabkan oleh ketidakmampuan seseorang untuk berbelanja lebih - dia akhirnya perlu mengeluarkan belanja yang lebih besar.

Adakah teori ini ada kebenarannya? Memang ada asasnya.

Berdasarkan pengalaman penulis sendiri, penulis serik untuk membeli kasut dan sandal yang lebih murah (walaupun berjenama) kerana besar kemungkinan alas kaki itu perlu diganti lebih awal.

Kebiasaannya sandal dipakai penulis yang berharga RM60 perlu ditukar selepas 6 bulan.

Setelah penulis cuba sekali saja membeli sandal berharga lebih RM200, cuba anda teka berapa lama sandal itu bertahan? 3 tahun!

Mungkin anda boleh mempertikaikan pendapat penulis ini, namun realitinya orang berkemampuan bukan saja dapat mengurangkan keperluan untuk mereka lebih perlu kerap keluar duit - bahkan mereka juga mampu meminimakan masa yang perlu diluangkan untuk keluar membeli barangan.

Kos perjalanan untuk ke kedai atau kompleks beli belah sekiranya kita gunakan contoh sandal penulis, dapat dikurangkan sekiranya kita hanya perlu ke sana 1 kali untuk 3 tahun berbanding 6 kali untuk 3 tahun.

Aplikasikan teori ini ke dalam hidup anda

Selain kasut, penulis suka untuk menggunakan contoh kereta bagi lebih memperjelaskan teori ini.

Seseorang yang kurang mampu, berkemungkinan besar memilih untuk membeli kereta terpakai berbanding kereta baru.

Walaupun harga lebih rendah, dia dalam masa yang sama menanggung risiko kondisi kereta yang tidak diketahui apa keadaannya kecuali dia membeli dari individu yang dikenalinya.

Sekiranya nasib dia baik, berbaloilah kenderaan yang dibelinya - namun acapkali kita mendengar rungutan pemilik kereta terpakai yang perlu mengeluarkan belanja bagi memperbetulkan kenderaannya yang akhirnya menelan dana besar. Kos pembaikian saja satu bab.

Bahagian perkakasan enjin yang sudah lusuh akibat usia juga lebih cepat perlu diganti berbanding kenderaan baru. Silap-silap penjimatan yang diharapkan berlaku, akhirnya bertukar menjadi belanja lebih besar cuma tidak ramai menyedarinya kerana masih membayangkan penjimatan awal semasa membeli kereta.

Kita juga belum mengambil kira pandangan orang ramai yang mahu berjimat ketika membeli kereta pertama, tetapi setelah berkeluarga terpaksa pula cepat menukar kereta disebabkan oleh keperluan-keperluan pertambahan ahli keluarga baru yang ada serta perlunya ruangan yang lebih luas.

Murah tidak semestinya berbaloi

Halangan utama untuk kumpulan pertengahan dan bawahan dalam menangani masalah keperluan berbelanja lebih ini, adalah untuk mendapatkan modal awal yang mencukupi.

Tidak semua orang yang kurang berkemampuan sanggup mengeluarkan modal besar dalam membeli kualiti, walaupun kualiti lebih baik membolehkan penjimatan di kemudian hari.

Lagipun kita yang kais pagi makan pagi ni pun pasti sedar masih banyak desakan hidup lebih penting yang memerlukan belanja diperuntukan, menutup opsyen untuk kita mendapatkan kualiti.

Itulah gunanya menyimpan - tetapi bagaimana nak menyimpan kalau kasut kita dah licin, tak mampu menggigit jalan kan?

Kami yakin ramai di luar sana yang mempunyai pemikiran seperti penulis, gemar mencari sesuatu yang 'bargain', lebih kerap berbelanja membeli barangan murah serta merasakan apa yang murah dan berbaloi, benar-benar berbaloi.

Tanggapan itu ada masanya benar, ada masanya salah sama sekali.

Cuba anda lihat sendiri kehidupan anda dan cari di manakah situasi sebegini boleh diperbaiki. Mungkin anda tidak menyedari tabiat anda dalam cuba menjimatkan belanja, sebenarnya memerlukan anda mengeluarkan belanja dan membuang masa dengan lebih kerap.

Rancanglah pembelian berdasarkan penjimatan masa panjang

Teori Ketidakadilan Sosio-Ekonomi Berasaskan Kasut
Teori Ketidakadilan Sosio-Ekonomi Berasaskan Kasut.

Satu contoh yang paling jelas - adalah bagaimana tabiat makan kita.

Ada pihak sanggup membayar lebih untuk makan di restoran yang lebih 'upscale,' kerana tak nak beratur sendiri membeli makanan. Ada yang sanggup beratur beberapa kali, untuk membeli makanan dan minuman demi penjimatan.

Persoalan di sini - adakah berbaloi penjimatan yang dapat kita lakukan, seandainya pengalaman kita makan itu, adalah sesuatu yang menyusahkan?

Apabila kita kurang berkemampuan, kita akan meletakkan sekatan mental kepada diri kita sendiri dalam menganalisis situasi sebegini dengan lebih terbuka.

Sekiranya kita dapat membuka sedikit minda, pasti anda dapat menerima pendapat kadangkala tak berbaloi untuk anda terlalu kedekut dan cuba berjimat setiap masa.

Struggle sikit untuk mendapatkan sesuatu yang lebih berkualiti, sebenarnya tak mengapa. Yang penting tahan lama.

Tak percaya? Cubalah beli sesuatu yang agak berkualiti, lebih mahal berbanding range harga biasa anda tetapi masih kena dengan bajet anda.

Mungkin nanti anda akan tersedar - orang kaya kekal kaya, kerana mereka sebenarnya jarang lokek mengeluarkan belanja. Sementara kita yang lokek, berterusan merugikan diri kita.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: (1)

Wednesday, December 28, 2022

Apa Rahsia Negara Qatar Menjadi Sangat Kaya Dan Berjaya!?

Apa Rahsia Negara Qatar Menjadi Sangat Kaya Dan Berjaya!?

Sejak tiga dekad yang lalu, Qatar berubah menjadi antara salah sebuah negara dengan ekonomi terkaya di dunia. Qatar mendapat kemerdekaan daripada United Kingdom pada tahun 1971 dan ketika itu, ia merupakan antara ekonomi termiskin di timur tengah. Ekonomi Qatar sangat bergantung kepada industri perikanan.

Negara Qatar Kaya

Ramai yang percaya bahawa penemuan minyak dan gas asli adalah punca kepada kejayaan ekonomi Qatar.

Fakta ini benar kerana minyak dan gas asli sememangnya memainkan peranan besar dalam mengubah ekonomi Qatar.

Namun memiliki sumber semula jadi sahaja tidak bermakna mereka akan menjadi kaya.

Banyak negara yang dikurniakan dengan sumber alam namun ia tidak membuatkan mereka kaya malah sebaliknya, contoh yang paling mudah adalah Korea Utara dan Venezuela.

Apa yang berbeza dengan Qatar adalah mereka tahu cara untuk menguruskannya dengan begitu efektif.

Penemuan Minyak dan Gas Asli

Untuk beberapa dekad yang lalu, permintaan terhadap minyak dan gas asli meningkat. Hal ini sekaligus memberi manfaat kepada Qatar untuk menjadi ekonomi terkaya di Timur Tengah.

Medan minyak pertama ditemui seawal tahun 1939 iaitu di medan Dukhan, namun ia tidak mengubah Qatar menjadi sebuah negara yang mewah.

Pada tahun 1951, Qatar mengeluarkan 46,500 tong minyak sehari, memberikan hasil $4.2 juta.

Penemuan medan minyak luar pesisir dan pembangunannya oleh Shell membawa kepada peningkatan dalam pengeluaran Qatar kepada 233,000 tong sehari.

Hasil baharu daripada eksport minyak menjadikan keluarga pemerintah semakin kaya dan Qatar memulakan proses pemodenan yang perlahan.

Sekolah pertama negara, hospital, loji kuasa, loji penyahgaraman, dan pertukaran telefon semuanya dibuka pada tahun 1950-an.

Pada tahun 1971, medan gas asli terbesar di dunia, medan South Pars/North Dome Gas-Condensate, ditemui di luar pantai Qatar.

Pengeluaran petroleum masih berjalan tinggi pada masa itu, jadi lapangan yang baharu ditemukan ini tidak dibangunkan lagi.

Permintaan gas asli juga tidaklah begitu tinggi pada ketika itu kerana pada tahun 1970an, gas asli hanya boleh diangkut melalui saluran paip gas.

Qatar juga jauh dari tempat di mana gas asli mendapat permintaan tinggi dan ini adalah satu masalah besar. Jadi tidak lama kemudian, Qatar melupakan medan gas asli besar yang dimiliki ini.

Menjelang 1995, keadaan di Qatar tidak berubah.

Syeikh Hamad bin Khalifa Al-Thani kemudiannya mengambil takhta dalam rampasan kuasa tanpa pertumpahan darah daripada bapanya Emir Khalifa bin Hamad, semasa beliau berada di Switzerland.

Sheikh Hamad menetapkan hala tuju baharu untuk Qatar. Di bawah kepimpinannya, Qatar sekali lagi mula mengeksploitasi medan gas asli gergasi mereka.

Salah satu langkah pertama Sheikh Hamad ialah mempercepatkan pembangunan lapangan North Dome.

Sheikh Hamad mula melabur dalam teknologi yang jarang dilakukan seperti pencairan yang boleh membawa gas asli dalam bentuk cecair.

Cara ini membolehkan gas asli diangkut menggunakan kapal besar seperti minyak. Tetapi untuk melakukan ini, gas asli perlu disejukkan pada suhu -161 Celcius.

Oleh itu, Qatar melaburkan dengan banyak bagi membangunkan teknologi ini untuk meningkatkan permintaan gas asli mereka dari negara yang terletak jauh.

Dengan ini, Qatar menjadi pengeksport gas asli cecair terbesar di dunia.

Kos pengekstrakan dan pencairan yang ditanggung Qatar adalah termurah berbanding negara lain di dunia, sekaligus membolehkan mereka mengaut keuntungan walaupun dijual pada harga yang rendah.

Kebanyakan gas asli Qatar dieksport ke ekonomi Asia seperti Jepun, Korea Selatan, dan China.

Qatar juga mampu mengeksport gas aslinya ke seluruh dunia, yang menjadikan ekonomi mereka sebagai salah satu yang terhebat di Timur Tengah.

Menyimpan berbanding berbelanja

Seperti yang dinyatakan di atas, mempunyai rizab minyak dan gas yang besar tidak menjamin bahawa ekonomi boleh menjadi kaya, seperti Venezuela.

Kebanyakan ekonomi yang kaya dengan minyak membelanjakan wang tersebut dan bukannya menyimpan untuk kemudian hari bagi membina ekonomi mereka.

Tetapi Qatar tahu bahawa hasil minyak sangat tidak menentu, jadi mereka mula menyimpan perolehan yang diterima dari hasil minyak dan melaburkannya di seluruh dunia.

Qatar Investment Authority (QIA) adalah dana yang dilancarkan oleh kerajaan negara ini pada tahun 2005.

Sebagai dana kekayaan negara, ia melaburkan wang yang diterima daripada hasil minyak untuk menjadikan ekonominya lebih berdaya tahan dan mengurangkan pergantungan kepada minyak dalam jangka panjang.

QIA melabur dana di peringkat antarabangsa untuk mempelbagaikan dan mengembangkan aset ekonominya di seluruh dunia seperti hartanah, syarikat awam dan mata wang. Sehingga tahun 2022, QIA bernilai RM1.6 trilion.

Matlamat QIA adalah untuk menghasilkan pulangan yang baik dan menghapuskan pergantungan kepada minyak dan gas asli.

Ini adalah perbezaan antara Qatar dan ekonomi miskin lain yang dikurniakan dengan sumber asli.

Pengaruh Global Qatar

Piala dunia qatar 2022

Apabila Ekonomi Qatar menjadi semakin kaya dan berkembang dari segi saiz, pengaruh global Qatar juga semakin meningkat.

Ini membuatkan banyak ekonomi Timur Tengah bimbang seperti Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu.

Apabila emir baharu mengambil alih kuasa, salah satu matlamat beliau adalah meningkatkan pengaruh global Qatar.

Pada tahun 2003, Arab Saudi meminta Amerika Syarikat untuk membawa tenteranya keluar dari negara mereka.

Qatar melihatkan ini sebagai satu peluang keemasan, lantas memperlihatkan negara mereka sebagai destinasi baharu untuk tentera AS.

Mereka membelanjakan lebih daripada RM4 bilion untuk membina pangkalan tentera yang mana membuatkan Qatar selesa dengan keselamatan negaranya.

Dan dengan Qatar sebagai ekonomi Timur Tengah pertama yang menjadi tuan rumah Piala Dunia FIFA pada 2022, menunjukkan betapa kuatnya kuasa dan kekayaan dimiliki negara ini.

KDNK per kapita Qatar telah meningkat daripada 2,755 pada tahun 1970 kepada 61,276 pada tahun 2021.

Ia adalah salah satu yang tertinggi di dunia iaitu sebanyak 22 kali ganda.

Pada tahun 2016, Arab Saudi, Bahrain, Mesir dan Emiriah Arab Bersatu mengenakan sekatan ke atas Qatar kerana dakwaan menyokong organisasi pengganas.

Tetapi sekatan tersebut gagal dalam percubaan mereka untuk memperlahankan pertumbuhan ekonomi Qatar.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: (1)

Friday, December 23, 2022

9 Mitos Ubat Gigi Ramai Tidak Tahu!

9 Mitos Ubat Gigi Ramai Tidak Tahu!

Terdapat pelbagai jenama dan jenis ubat gigi yang kini berada di pasaran, namun kebanyakan dari kita masih tidak mengetahui kepentingan dan fakta tentang penggunaan ubat gigi.

Ubat gigi sememangnya memainkan peranan penting dalam kehidupan seharian kita. Mari kita rungkai mitos-mitos yang sering didengar tentang ubat gigi. 

Mitos ubat gigi

1. Semua ubat gigi sama je!

Tidak! 

Kebanyakan pengguna ubat gigi percaya bahawa semua ubat gigi adalah sama. Memandangkan perasa dan bahan-bahan yang terkandung tidak benar-benar menunjukkan perbezaan, maka ramai yang mula percaya formula asas ubat gigi adalah sama. 

Penghasilan ubat gigi sememangnya berkongsi formula yang tidak jauh beza, tetapi terdapat perbezaan besar dalam perumusan ubat gigi yang terhasil sesuai untuk masalah gigi yang tertentu seperti ubat gigi pemutihan dan ubat gigi sensitif.

Rujuk pada pakar gigi untuk mengetahui jenis ubat gigi yang sesuai untuk keperluan anda.

2. Kalau tahu teknik berus, pakai apa pun okay 

Tidak semestinya! 

Teknik memberus gigi sememangnya penting, tetapi ubat gigi juga memainkan peranan penting dalam memastikan gigi dan gusi anda dalam keadaan sihat. Teknik memberus dan pemilihan jenis ubat gigi yang sesuai dapat mengelakkan pengeluaran plak pada gigi sekaligus mengurangkan masalah mulut. Ini kerana, jika anda mempunyai masalah gigi yang tertentu, tidak semua jenis ubat gigi anda boleh gunakan. 

3. Tiada bahan kimia dalam ubat gigi ‘semula jadi’.

Tidak! 

Ubat gigi yang diiklankan mempunyai bahan semua jadi bukanlah bermakna ia benar-benar bebas daripada bahan kimia. Ubat gigi semula jadi selalunya kurang mengandungi bahan kimia terutama sekali bahan kimia tambahan. 

Oleh itu, ubat gigi semula jadi tidaklah menjamin 100% penggunaan bahan bebas kimia.

Apa yang perlu dititik beratkan sebenarnya adalah keselamatan dalam penggunaan ubat gigi yang boleh digunakan tanpa was-was dan tiada sebarang ujian terhadap hidupan seperti haiwan. 

4. Flourida memang ada dalam semua ubat gigi kan?

Tidak semua ubat gigi mengandungi flourida

Flourida merupakan salah satu elemen penting dalam penghasilan ubat gigi yang membantu dalam mencegah penularan plak serta menguatkan gigi. 

Tetapi tidak bermakna ubat gigi tanpa flourida adalah ubat gigi tidak berkualiti.

Ubat gigi tanpa flourida selalunya mengandungi kandungan semula jadi seperti silika hidrat yang mencegah penghasilan plak, kotoran dan juga bakteria secara lembut dan selamat. 

5. Beli ubat gigi mahal lah lagi baik

Tidak semestinya! 

Untuk menghasilkan ubat gigi yang terbaik dan mampu menyelesaikan segala masalah mulut bukanlah perkara yang mudah dan ia memakan masa dan juga agak mahal.

Penggunaan bahan yang digunakan untuk ubat gigi premium juga agak berkualiti tinggi yang menyebabkan harganya bukanlah di dalam kategori mampu milik. 

Walau bagaimanapun, harga dan cara penghasilan tidak menjamin keberkesanan sesuatu produk.

Penjagaan kesihatan mulut adalah satu tuntutan dalam mengekalkan kesihatan diri. Jika anda tidak mempunyai masalah gigi atau mulut yang serius, terdapat ubat gigi yang jauh lebih murah dan mampu milik tetapi mempunyai kualiti yang baik serta selamat digunakan.

6. Lebih banyak, lebih bersih

Mungkin, tapi masalah lain akan timbul. 

Menurut kebanyakan pakar gigi, kuantiti penggunaan ubat gigi yang sebaiknya adalah berukuran sebesar kacang tanah.

Walau bagaimanapun, masih ramai yang menggunakan ubat gigi dalam kuantiti yang banyak kerana kepercayaan logik bahawa lebih banyak penggunaan, lebih menjamin keberkesanan. 

Hakikatnya, menggunakan terlalu banyak pes berpotensi meningkatkan kemungkinan pelbagai sisa tertinggal di dalam mulut anda selepas dibilas.

Jenis sisa yang boleh mendatangkan lebih banyak mudarat daripada kebaikan apabila ia kekal dalam jangka panjang.

Oleh itu, menggunakan terlalu banyak ubat gigi hanyalah satu pembaziran wang dan tidak merugikan kesihatan mulut anda.

7. Gosok lebih, kebersihan terjamin

Jangan!

Memberus dengan kuat tidak menjadikan gigi anda lebih bersih. Malah, terlalu banyak tekanan pada gusi boleh merosakkan enamel anda dan menyebabkan pereputan dengan lebih mudah.

Inilah sebabnya berus gigi yang lembut lebih disyorkan. Walau bagaimanapun, terdapat berus gigi di pasaran yang berfungsi dalam mengurangkan tekanan ketika memberus. 

8. Kanak-kanak boleh guna ubat gigi dewasa kan?

Mungkin, tetapi bergantung kepada usia kanak-kanak tersebut. 

Cara penjagaan gigi orang dewasa dan kanak-kanak adalah sangat berbeza. Ubat gigi dewasa yang tertentu boleh digunakan kanak-kanak pada usia tertentu.

Namun, ubat gigi khusus buat kanak-kanak yang masih kecil telah dirumuskan atas sebab tertentu yang disyorkan para doktor.

Ubat gigi kanak-kanak direka dengan perasa dan warna yang menarik bertujuan untuk menjadikan proses memberus gigi mereka lebih mudah dan nyaman serta mengurangkan risiko jika pes ubat gigi tersebut ditelan kerana pesnya lebih selamat. 

9. Kalau pandai jaga, tak perlu pergi jumpa doktor gigi kan?

Salah tu, kena jumpa juga!

Penjagaan mulut dengan teknik dan barangan yang sesuai pada setiap hari amatlah penting, tetapi ia tidak mengecualikan anda daripada melakukan pemeriksaan gigi oleh doktor.

Terdapat bahan asas di dalam ubat gigi yang membantu dalam pengurangan pembentukan plak atau tartar, tetapi ia hanya memelihara pada bahagian luar gusi dan permukaan atas gusi.

Setiap pemakanan yang kita ambil juga mendorong kepada masalah gigi yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar.

Oleh itu, sentiasa dapatkan pemeriksaan pakar bagi mengetahui masalah gigi yang mungkin anda alami dan terapkan penjagaan gigi yang disyorkan doktor gigi anda.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: (1)

Thursday, December 01, 2022

Roti Perancis 'Baguette' Disenarai Sebagai Warisan Dunia UNESCO

Roti Perancis 'Baguette' Disenarai Sebagai Warisan Dunia UNESCO

Badan warisan dan budaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berpangkalan di Paris, mengundi untuk memasukkan 'pengetahuan artisan dan budaya roti Baguette' dalam senarai Warisan Budaya Tidak Ketara, seiring hampir 600 tradisi daripada lebih 130 negara.

Roti Perancis Baguette

Ketua UNESCO, Audrey Azoulay, menyifatkan ia meraikan gaya hidup, dengan Perancis: Baguette adalah ritual harian, elemen penstrukturan hidangan, sinonim dengan perkongsian dan kemesraan.

Baguette, roti gebu dan memanjang dengan kerak yang rangup adalah simbol Perancis di seluruh dunia dan menjadi makanan utamanya sekurang-kurangnya sejak 100 tahun lalu, meskipun ada yang mendakwa ia telah wujud lebih lama.

Menurut sejarah, pembuat roti kepada pemimpin tentera Perancis, Napoleon Bonaparte menghasilkan bentuk memanjang agar ia mudah dibawa tentera, manakala yang lain berpendapat sebenarnya tukang roti Austria bernama August Zang yang mencipta Baguette.

Berdasarkan anggaran Fiducial 2019, Perancis masih menghasilkan kira-kira 16 juta roti itu setiap hari, hampir 6 bilion Baguette setahun, biarpun kadar pengambilan berkurangan sejak beberapa dekad lalu.

Sejarah

Perkataan baguette tidak digunakan untuk mengungkapkan sejenis roti sehingga tahun 1920, tetapi apa yang kini dikenali sebagai baguette mungkin telah wujud sebelum itu.

Perkataan itu bermakna tongkat atau baton, seperti dalam ungkapan baguette magique (tongkat sihir), baguettes chinoises (penyepit) atau baguette de direction (baton konduktor); ia serapan kata Bahasa Itali: bacchetta.

Walaupun baguette kini sering dianggap sebagai salah satu simbol budaya Perancis dilihat dari luar negara, perkaitan Perancis dengan roti panjang wujud sebelum itu lagi.

Roti panjang lebar telah dibuat sejak zaman Louis XIV, manakala roti panjang yang menirus pula dihasilkan sejak pertengahan abad kelapan belas dan pada abad kesembilan belas ada yang jauh lebih panjang daripada baguette:

"...roti enam kaki panjang yang kelihatan seperti tuil besi!" (1862);

"Pembantu rumah akan bergegas ke rumah dengan pembelian mereka untuk pelbagai sarapan Gaul dan roti panjang, seela atau dua panjangnya, yang dibawa di bawah tangan mereka, meninggalkan kesan yang aneh kepada saya." (1898)

Penghasilan dan cara hidangan

"Baguette de tradition française", iaitu baguette mengikut resipi asal, secara asasnya diperbuat daripada tepung gandum, air, yis dan garam.

Bahan keringnya barangkali mengandungi sehingga 2% tepung kacang parang, 0.5% tepung soya dan 0.3% tepung malt gandum.

Negara-negara lain turut menghasilkan roti jenis sebegini dengan bahan tersendiri yang mudah didapati - roti bánh mì dari Vietnam menggunakan tepung beras yang agak banyak manakala roti yang dihasilkan di Amerika Utara pula lebih menggunakan doh daripada gandum penuh, bijian penuh dan doh masam (sourdough).

Roti ini biasanya digunakan untuk membuat sandwic atau dihidangkan dalam potongan bersama pâté atau keju.

Ia dimakan dalam hidangan sarapan Perancis sama ada disapu dengan mentega atau jem mahupun dicicah dalam kopi atau coklat panas.

Di Amerika Syarikat pula, ia kadangkala digunakan sebagai kerak asas dalam pembuatan piza apabila roti ini dipotong dua.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: (1) | (2)

Tuesday, July 26, 2022

Tali Pinggang WBC Muhammad Ali Terjual USD$6 Juta!

Tali Pinggang WBC Muhammad Ali Terjual USD$6 Juta!

Pemilik pasukan bola sepak Colts di Indianapolis, Jim Irsay, membeli seutas tali pinggang kejuaraan milik legenda sukan tinju, Muhammad Ali pada harga berjumlah AS$6 juta (RM26.7 juta) menerusi satu acara lelongan, lapor stesen penyiaran ESPN.

WBC Muhammad Ali 1974

Ia merupakan tali pinggang kejuaraan WBC yang dimenangi Muhammad Ali pada tahun 1974 dalam kejohanan Rumble in the Jungle selepas menewaskan lawannya, George Foreman di Zaire.

Irsay berjaya memenangi bidaan tersebut dalam satu proses yang berlangsung sehingga hampir pukul 4 pagi (waktu tempatan) kelmarin.

Ia dianggap sebagai salah satu contoh memorabilia tinju paling berharga yang pernah wujud.

Menurut firma lelongan Heritage Auctions, tali pinggang tersebut adalah satu daripada hanya dua tali pinggang WBC yang dimiliki Muhammad Ali.

Satu lagi kini disimpan dalam koleksi muzium persendirian dan berkemungkinan tidak akan dijual.

Ia juga merupakan koleksi terbaharu bagi memorabilia Muhammad Ali yang dimiliki Irsay. Beliau sebelum ini telah membeli sepasang kasut yang pernah dipakai legenda tinju itu pada tahun 1957 ketika kejuaraan Thrilla in Manila.

Rumble in the Jungle, Pertarungan Paling Hebat Dunia Tinju!

Populariti Muhammad Ali mencanak apabila pada bulan Oktober 1974, dia menewaskan George Foreman di Zaire dalam pertembungan yang digelar "Guruh di dalam Hutan".

Seperti pertemuan pertamanya dengan Liston, Ali hanya diberikan sedikit harapan apabila bertemu dengan Foreman.

Malah, beberapa pengulas secara ekstrem meramalkan bahawa Ali mungkin terbunuh.

Dengan orang ramai yang penuh kegilaan di belakangnya, Ali menghabiskan sebahagian daripada lapan pusingan pertama tersandar pada tali, mengelak tumbukan musuh yang lebih muda dan lebih besar fizikalnya.

Beliau memanggil taktik tersebut ketagihan tali dan pada akhir pusingan kelapan, Ali membuat lima tumbukan berturut-turut ke kepala Foreman, menyebabkannya hilang keseimbangan dan jatuh.

Ali memenangi pertemuan tersebut yang ditonton secara langsung oleh lebih 100 buah negara.

Pada usia 32 tahun, Ali menjadi peninju kedua dalam sejarah dunia yang berjaya merampas kembali kejuaraan heavyweight dunia.

Semoga memberi manfaat.



BACA INI JUGA:
sumber: (1)