Saturday, June 13, 2020

Ratu Hatshepsut, Firaun Wanita Pertama Mesir Purba

Ratu Hatshepsut, Firaun Wanita Pertama Mesir Purba

Hatshepsut adalah firaun ke-5 daripada dinasti ke-18 Mesir, adalah pemangku rasmi kepada anak tirinya, Thutmose III, yang hanya berusia 2 tahun ketika kematian bapanya Thutmose II, dan Hatshepsut adalah satu-satunya pengganti yang layak untuk memerintah Mesir.

Ratu Hatshepsut
Gambar hiasan.

Hatshepsut adalah puteri Firaun Thutmose I yang dilantik menjadi ratu setelah mengahwini adik lelakinya bernama Thutmose II, putera Thutmose I dan isteri kedua pada umur 12 tahun.

Salasilah

Suami Hatshepsut, Thutmose II, merupakan adik beradik sebapa (berlainan ibu) dan sebab utama Thutmose II mengahwini Hatshepsut adalah kerana dia adalah anak tunggal Thutmose I dengan isterinya yang pertama (kedudukan isteri yang tertinggi), Ahmose.

Ibu Thutmose II, Mutnofret adalah isteri kedua bapanya, menjadikan Thutmose II kurang layak untuk diangkat sebagai pengganti.

Dengan mengahwini Hatshepsut, Thutmose II menjadi pilihan utama sebagai firaun seterusnya.

Pasangan Thutmose II dan Hatshepsut hanya mempunyai seorang anak, iaitu Neferure, yang merupakan seorang perempuan.

Walaupun ibunya seorang Firaun, Neferure tidak layak untuk diangkat menjadi firaun, kerana keutamaan harus diberikan kepada Thutmose III.

Firaun Wanita Pertama

Hatshepsut merupakan seorang firaun yang hebat, yang mana pemerintahannya selama 21 tahun merupakan suatu tempoh kemakmuran buat Mesir.

Hatshepsut memainkan peranan yang sangat penting dalam membina Mesir, antaranya menaik taraf laluan perdagangan yang penting buat ekonomi kerajaan berkenaan.

Lembah Diraja atau The Valley of Kings yang menjadi lokasi pemakaman firaun-firaun juga terbina kerana Hatshepsut.

Di lokasi tersebut, Hatshepsut telah membina makam buat bapa dan dirinya sendiri, sebelum para firaun selepas baginda mula membina makam mereka di tempat yang sama.

Walaupun ratu Hatshepsut mempunyai karisma sebagai firaun, majoriti Egyptologist (pengkaji tamadun Mesir Purba) berpendapat, sebab ratu itu diangkat adalah kerana krisis dalaman diraja melibatkan rampasan kuasa oleh kerabat diraja lain, maka ratu Hatshepsut harus melantik dirinya sebagai firaun.

Ratu Hatshepsut dibantu oleh para penyokong yang mengambil jawatan dalam badan kerajaan seperti Senenmut yang berjawatan sebagai ketua menteri.

Ada pendapat menyatakan, Senenmut adalah kekasih gelap ratu Hatshepsut namun hanya ada sedikit bukti untuk mengaitkan hubungan mereka berdua.

Patung Hatshepsut
Patung Ratu Hatshepsut.

Dua pencapaian gemilang ratu Hatshepsut ialah; aktiviti perdagangan dan projek pembinaan.

Dalam dunia perdagangan, ratu Hatshepsut meluaskan jaringan tersebut selepas penjarahan kaum gasar Hyksos pada 1650 SM, kemudian mengembalikan kekayaan Mesir pada zaman pemerintahnya.

Pada tahun kesembilan pemerintahan, Hatshepsut mengetuai penjelajahan ke tanah Punt bagi menjalankan hubungan perdagangan dengan orang Punt.

Sebanyak 5 buah kapal pelayaran dan seramai 210 orang kelasi berlayar mewakili ratu Hatshepsut.

Hasil dari hubungan dagang itu, wakil ratu Hatshepsut membawa balik kemenyan beserta 31 batang pokok kemenyan atau myrrh.

Namun, kewujudan Tanah Punt yang Ratu Hatshepsut telah jelajahi sehingga sekarang masih menjadi misteri.

Ada dua pendapat tentang keberadaan tanah tersebut. Yang pertama adalah di kawasan Ethiopia dan Eritrea, namun kawasan tersebut pada zaman pemerintahan Ratu Hatshepsut tidak ada sebarang kerajaan, malah hanya perkampungan saja.

Manakala pendapat kedua adalah Tanah Punt berada di bahagian timur Mesir. Pendapat ini lebih relevan kerana terdapat rekod-rekod Mesir Purba menyatakan keberadaan tanah yang sama.

Dalam The Egyptian Book of the Death iaitu buku sihir Mesir Purba, ia menyatakan bahawa Tanah Punt adalah beberapa buah negeri atau kawasan di sebelah timur namun, tiada penjelasan dimana keberadaan sebenar Punt itu.

Sebuah lagi karya Mesir Purba iaitu The Shipwrecked Sailor menyatakan, raja Punt adalah pemerintah kawasan pulau, bukannya pemerintah sebuah daratan besar seperti Afrika.

Bukti kukuhnya adalah ukiran di dinding kuil Djeser-Djeseru yang menunjukkan bahawa Punt terletak di kawasan persimpangan jalan perdagangan beberapa tamadun besar dunia.

Jika tamadun besar itu dimaksudkan adalah tamadun China dan India, tidak mustahil tanah Punt berada di Asia Tenggara. Ini mengukuhkan teori bahawa Nusantara adalah Tanah Punt itu.

Tambahan pula, para pelayar Ratu Hatshepsut pernah menemui Ratu Ati, ratu Punt, namun kenyataan ini sukar dibuktikan jika kawasan Ethiopia yang tiada kerajaan menjadi lokasi sebenar Punt.

Yang menarik, dari jurnal-jurnal sejarah kuno dari tamadun luar seperti Yunani Purba atau China, nama Brunei yang bertempat di pulau Borneo mempunyai banyak gelaran mengikut lidah pedagang asing seperti Poni, Pome, Poli, Boni dan sebagainya.

Kita terfikir juga, bagaimana orang Mesir Purba memanggil Brunei itu adala Punt? Kalau benar, adakah pulau Borneo pernah mempunya sebuah kerajaan purba di zaman ratu Hatshepsut sekali gus membuktikan Tanah Punt itu adalah Borneo?

Pembinaan

Selain aktiviti perdagangan, Ratu Hatshepsut juga pernah menyumbang dalam perlaksanaan projek-projek pembinaan bangunan yang baginda banggakan.

Hatshepsut adalah firaun prolifik dalam pembinaan, dengan beratus-ratus projek pembinaan dilaksanakan di Mesir Utara (Upper Egypt) dan Mesir Selatan (Lower Egypt). Berbanding projek pembangunan yang pernah firaun sebelumnya telah laksanakan, bangunan ratu Hatshepsut lebih gah dan lebih banyak sehinggakan firaun seterusnya menuntut bangunan-bangunan tersebut adalah milik mereka.

Sebab utama ratu Hatshepsut menjadi terkenal dalam projek pembinaan adalah kerana dia mempunyai arkitek tersohor bernama Ineni yang pernah berkhidmat di bawah pemerintahan ayahanda dan suaminya.

Pembinaan paling masyhur adalah kuil agung milik ratu Hatshepsut sendiri iaitu Djeser-Djeseru yang bertempat di kawasan Deir el-Bahri berdekatan dengan Thebes.

Seni bina kuil tersebut diinsipirasikan oleh ketua menteri kepercayaan baginda, Senenmut.

Kuil Hatshepsut
Djese-Djeseru. Kuil agung Hatshepsut.

Tahun 1458 SM, ratu Hatshepsut mangkat pada usia pertengahan 40-an dan dikebumikan di lembah raja-raja, berdekatan Deir el-Bahri.

Bagi memastikan pemerintahannya kekal dikenali, kubur ayahandanya telah dibuka dan dikubur bersama-sama.

Kemudian, Thutmose III menjadi firaun seterusnya selama 30 tahun, mengikut jejak ibu tirinya sebagai Pembina terkenal dan sebagai seorang pahlawan.

Pada akhir pemerintahan, firaun Thutmose III berusaha menghapuskan sebarang jejak ibu tirinya seperti patung berukir wajah ratu itu dan projek pembinaan di bawah namanya. Sebabnya masih kabur, sama ada dia tidak mahu sebarang kewujudan firaun wanita atau mendekatkan jurang masa pemerintahan setiap firaun lelaki.

Akibatnya, masyarakat Mesir tidak tahu tentang ratu Hatshepsut sehinggalah pada tahun 1822 di mana para ahli Egyptologist berjaya membaca tulisan Hieroglyph pada kuil Djeser-Djeseru.

Di situlah legenda ratu Hatshepsut kembali dikenali ramai, sebagai firaun wanita pertama dunia.

Cubaan Memadam Legasi Hatshepsut

Tidak diketahui individu sebenar yang cuba untuk memadamkan Hatshepsut daripada sejarah.

Menurut rekod, cubaan untuk menghancurkan legasi Hatshepsut berlaku pada penghujung era pemerintahan Thutmose III.

Ketika Hatshepsut memerintah, Thutmose III adalah jeneralnya yang paling berjaya, turut memainkan peranan penting lain sebagai atlet, penulis, sejarawan, ahli botani dan arkitek.

Selepas kematian Hatshepsut, pemerintahan Thutmose III selama 33 tahun menyaksikan kawasan taklukan Mesir semakin luas.

Thutmose III juga tiada sebarang masalah atau dendam terhadap ibu tirinya jadi, Thutmose III bukanlah suspeknya.

Namun begitu, terdapat beberapa spekulasi yang mengaitkan Thutmose III sendiri sebagai suspek utama yang cuba 'menyucikan' rekod kewujudan ibu tirinya itu.

Thutmose III bertindak sedemikian kerana marahkan Hatshepsut yang menduduki takhta firaun sebelumnya.

Antara suspek lain termasuklah Amenhotep II, yang merupakan anak dan waris Thutmose III, yang membantu bapanya mentadbir di penghujung pemerintahannya.

Sebagai anak kepada salah seorang isteri firaun, kedudukannya bagi menaiki takhta sedikit goyah.

Menurut beberapa sumber, dengan memadamkan legasi Hatshepsut, takhta sebagai firaun lebih mudah untuk diduduki, namun tidak jelas bagaimana.

Sama ada betul atau tidak Amenhotep II yang cuba memadamkan legasi Hatshepsut, tiada siapa yang tahu.

Namun yang pasti, individu tersebut cuba melakukan apa sahaja bagi menghapuskan Hatshepsut daripada rekod sejarah.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: thepatriots

Monday, May 11, 2020

Kisah Tiye: Isteri Firaun Paling Berkuasa Dalam Sejarah

Kisah Tiye: Isteri Firaun Paling Berkuasa Dalam Sejarah

Tiye adalah isteri raja Agung Amenhotep III, firaun Mesir yang sering dibandingkan dengan Louis XIV, manakala puteranya, Akhenaten, merupakan seorang pencetus kontroversi terbesar dalam sejarah firaun di Mesir.

Ratu Tiye

Tiye juga merupakan nenek kepada Tutankhamun dan saudara perempuan kepada Ay. Beliau adalah salah seorang wanita yang paling berpengaruh dalam Mesir Purba namun, namanya hilang dalam lipatan sejarah berkurun-kurun lamanya.

Tiye, juga dikenali sebagai Taia, Tiy dan Tiyi, dipercayai hidup pada suatu tempoh antara tahun 1398 – 1338 SM.

Kisah hidupnya diselubungi misteri, sama seperti figura-figura sejarah lain yang hadir dari zaman ini.

Dunia kehidupannya tumbang bersama ibu kota yang diperintah oleh puteranya, Akhenaten, iaitu Amarna.

Menurut inskripsi-inskripsi purba, Tiye adalah puteri kepada Yuya dan Tuya, juga merupakan saudara perempuan kepada firaun Ay.

Sebahagian ahli kaji Mesir purba berpendapat bahawa tiada kaitan yang wujud di antara Ay dan Tiye.

Namun, kedudukan saudaranya itu (yang juga dikenali sebagai Anen) dilihat menjadi bukti – Ay adalah Paderi Kedua Amun dan banyak mewarisi gelaran daripada Yuya.

Selain daripada faktor-faktor ini, tiada sebab lain yang dapat menerangkan bagaimana Ay boleh meraih kedudukannya di dalam istana diraja.

Dalam erti kata lain, beliau mempunyai kaitan (pertalian darah) dengan Yuya, Tuya dan Tiye.

MUMIA BERAMBUT CANTIK

Semasa Victor Loretin menemui sebuah kamar yang menempatkan mumia-mumia pada tahun 1898, beliau menemui mumia wanita yang memiliki rambut yang mengurai panjang lagi cantik – suatu ciri yang amat jarang dilihat pada seorang mumia.

Pada tahun 2010, ujian-ujian DNA yang dijalankan oleh pasukan dari Supreme Council of Antiquities, National Geographic dan Siemens mendapati bahawa 'Wanita Tua' cantik yang ditemui di KV35 ini adalah Ratu Tiye.

Penyelidikan juga mendapati bahawa mumia wanita itu adalah nenek kepada Tutankhamun, ibunda kepada Akhenaten dan seorang mumia wanita lain yang ditemui di KV35, yang digelar 'Cik Puan Muda'.

Mumia Ratu Tiye
Mumia Ratu Tiye, kini disimpan rapi di Muzium Mesir.

Mumia Ratu Tiye ini ditemui dalam keadaan tidak berbalut atau berbungkus. Jasadnya mengalami kerosakan teruk akibat petualangan pencuri-pencuri purba yang menceroboh makamnya.

Seluruh abdomen bahagian depan, termasuklah rongga dadanya mengalami kerosakan.

Mumia beliau ditemui dan diperincikan oleh G.E. Smith sebagai wanita berusia pertengahan yang ditemui dalam keadaan tangannya mengulur atau menegak di sisinya, dengan tapak tangan kanan diletakkan di peha kanan.

Namun, tangan kirinya pula disilangkan ke atas dada sekali gus mengisyaratkan bahawa beliau berkemungkinan memegang sesuatu semasa dikebumikan.

Perincian ini adalah petanda awal yang mengisyaratkan bahawa beliau adalah seorang ratu.

Gigi dan rambutnya berada dalam keadaan yang sangat terpelihara. Pun begitu, mumia ini dikebumikan semula di KV35 tanpa membawa bersama sebarang barangan pengebumian.

Bahkan, pihak yang menguburkannya semula langsung tidak membalut atau membungkus semula jasadnya.

Ratu Tiye berkemungkinan pada asalnya dikebumikan di Amarna, makam diraja Akhenate.

Akhenaten dan Maetaten (cucunya) dikebumikan di sisinya.

Kuil pengebumian bersepuh emas tempat di mana Tiye ditemui berada bersama Akhenaten ditemui di makam KV55 9 (pemakaman terakhir Akhenaten).

Namun, shabtis beliau ditemui di makam WV22 – makam milik Amenhotep III.

PENASIHAT DAN ORANG KEPERCAYAAN YANG BIJAK

Tiye diyakini sebagai seorang penasihat yang berkhidmat untuk Amenhotep III dan Akhenaten.

Kedudukannya di istana kedua-dua firaun ini agak tinggi. Beliau berkahwin dengan Amenhotep pada tahun kedua pemerintahannya.

Ketika itu, mereka berdua masih kanak-kanak namun meluangkan seluruh kehidupan secara bersama.

Tiye muncul dalam sejarah sebagai seorang penasihat yang bijak dan wanita paling penting dalam istana Amenhotep.

Beliau turut menjadi individu yang penting semasa zaman pemerintahan puteranya.

Patung besar Amenhotep III

Amenhotep dan Tiye mempunyai beberapa orang anak, namun tidak dapat diketahui bagaimana kebanyakan anak mereka melepasi usia kanak-kanak.

Tiye juga berkemungkinan merupakan ibunda kepada puteri tertua firaun, iaitu Sitamun.

Tiye diangkat kedudukannya sebagai Isteri Diraja Agung semasa zaman pemerintahan Amenhotep.

Antara puterinya yang lain termasuklah Isis, Henuttaneb dan Nebetah (yang mungkin adalah individu yang sama dengan puteri Baketaten).

Beliau setidak-tidaknya mempunyai dua orang putera, zuriat bersama Amenhotep.

Putera pertama adalah Thutmose si Paderi Tinggi Ptah manakala putera kedua pula dilahirkan sebagai Amenhotep IV, namun dikenali dalam sejarah sebagai seorang raja yang mencetuskan revolusi, iaitu Akhenaten.

Amenhotep merupakan seorang firaun yang lasak, banyak meluangkan masanya di luar dan amat bertuah kerana dikurniakan seorang isteri yang sanggup mengikutnya.

Istana mereka dilimpahi kekayaan, dan semasa hayat Tiye, Mesir kelihatan seolah-olah sebuah tapak pembinaan yang besar.

Diyakini bahawa hubungan yang terjalin antara pasangan ini tidak hanya sekadar berpasak pada perkongsian zuriat.

Tiye merupakan seorang wanita yang berpendidikan, selayak seorang raja. Beliau merupakan penasihat dan orang kepercayaan suaminya, tersenarai dalam lingkungan kecil kepercayaan Amenhotep III.

Sumber-sumber yang ada menunjukkan bahawa beliau adalah seorang yang bijaksana, yakin diri dan amat berpengaruh.

Tiye memainkan peranan yang aktif dalam politik Mesir, hubungan antarabangsa dll.

Beliau adalah ratu pertama Mesir yang dikenali, namanya muncul dalam tindakan-tindakan rasmi kerajaan.

Sejarahwan mendapati bahawa pemerintah kerajaan Mitanni yang bernama Tushratta pernah berutus surat dengan Tiye.

Terdapat sejumlah makam suci yang dibangunkan sebagai dedikasi untuknya. Terdapat juga tasik buatan yang dibina pada tahun ke-12 pemerintahan Amenhotep khusus untuknya.

PENAMAT HIKAYAT

Lembah Raja-Raja
WV22.

Tatkala Amenhotep mangkat selepas memerintah selama 39 tahun, Tiye menguruskan pengebumiannya di Lembah Raja-Raja, di sebuah makam yang kini dikenali sebagai WV22.

Tiye sendiri kemudiannya mangkat, diperkirakan pada tahun ke-12 pemerintahan Akhenaten (sekitar 1338SM).

Dipercayai bahawa punca kemangkatannya adalah disebabkan oleh wabak penyakit.

Pada waktu-waktu sekitar yang sama itu jugalah, ramai figura sejarah yang sezaman dengan Tiye hilang dari lembaran sejarah.

Ratu Tiye, yang suaminya, Amenhotep III mungkin digambarkan berada di sebelahnya pada patung yang telah hancur ini.

Beliau mangkat pada usia sekitar 50 tahun. Tidak lama selepas kemangkatannya, Akhenaten kehilangan autoriti pemerintahannya dan bandarnya mula hilang pengaruh.

Zaman tersebut masih memegang banyak rahsia untuk diungkapkan oleh sejarah, namun sejarahwan meyakini bahawa Tiye adalah individu penting dalam istana Mesir purba.

Berikutan kemangkatannya, sebuah zaman pun menemui penamatnya. Kemangkatan Tiye boleh dianggap sebagai petanda berakhirnya kegemilangan Dinasti Ke-18.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: thepatriots

Friday, February 14, 2020

Firaun Ramses ll: Pemimpin Teragung Mesir Purba

Firaun Ramses ll: Pemimpin Teragung Mesir Purba

Dalam sejarah tamadun Mesir Purba, ada beberapa kisah firaun terkenal yang kita kenali, tetapi ada satu firaun yang bukan saja melakar kegemilangan tamadun itu tetapi dikatakan ada kaitan dengan kisah Nabi Musa a.s dan Bani Israel. Firaun yang dimaksudkan ialah Ramses II.

Mumia Firaun Ramses II
Mumia Firaun Ramses II.

Ramses II merupakan putera Seti I dan Permaisuri Tuya, yang sejak dari kecil, sentiasa dibawa mengikuti ekspedisi ketenteraan ayahandanya di Libya dan Palestin pada usia 14 tahun.

Setelah mencecah usia 22 tahun, giliran Ramses II pula menjadi panglima tentera ditemani dua puteranya, Khaemweset dan Amunhirwenemef selain dinamakan sebagai pemerintah bersama dengan Seti I.

Ketika itu, Mesir mempunyai hubungan tegang dengan kerajaan Hittite dan semakin lama dahagakan kuasa untuk mendominasi rantau berkenaan.

Bukanlah satu kejutan mengapa Seti I dan Ramses II menyimpan dendam terhadap kerjaan Hittite.

Semasa pemerintahan Raja Suppiluliuma (1344-1322 Sebelum Masihi (BC)), kebanyakan pusat dagangan penting Mesir di Syria dan Canaan (Kanaan) jatuh ke tangan kerajaan berkenaan.

Seti I berjaya merampas semula Kadesh dari penguasaan kerajaan Hittite tetapi ia tidak bertahan lama selepas ditawan semula oleh Raja Muwatalli II (1295-1272 BC).

Selepas kemangkatan Seti I dan Ramses II menaiki takhta sebagai firaun yang baharu, salah satu agendanya ialah menundukkan kekuasaan Hittite.

Pada tahun kedua pemerintahannya, Ramses II menewaskan satu kelompok yang dipanggil Orang Laut di luar perairan Delta Nil.

Berdasarkan riwayat, kelompok ini dipanggil Sherdan dan mempunyai hubungan pakatan dengan kerajaan Hittite.

Bagi mengumpan mereka, Ramses II meletakkan satu kontinjen tentera laut di muara Sungai Nil untuk mengumpan kapal mereka keluar.

Sedang kapal-kapal perang Sherdan sibuk berperang dengan kapal perang Mesir Purba, tiba-tiba mereka diserang dari segenap penjuru.

Serangan mengejut Ramses II menyebabkan banyak kapal mereka tenggelam dan mana-mana orang Sherdan yang terselamat diserap masuk ke dalam angkatan tentera firaun.

Ada juga yang diserap menjadi sebahagian daripada angkatan pengawal diraja Ramses II.

Per-Ramses

Walaupun sibuk mengatur strategi memerangi kerajaan Hittite, Ramses II tidak melupakan soal dalaman kerajaannya.

Pada satu ketika sebelum 1275 SM, Ramses II memulakan pembinaan ibu kotanya Per-Ramses (Rumah Ramses/House of Ramses) di timur Delta Nil berhampiran bandar lama Avaris.

Per-Ramses bukan saja berperanan sebagai ibu kota pentadbiran semasa era pemerintahannya, tetapi juga berperanan sebagai istana persinggahan dan tapak pelancaran operasi ketenteraan di wilayah-wilayah yang berjiran dengan Mesir.

Bandar tersebut dibina dengan begitu indah sehinggakan ia dikatakan dapat menyaingi kecantikan ibu kota purba Thebes.

Tetapi, ada sesetengah sejarawan berpandangan pembinaan Per-Ramses sebenarnya dimulakan pada era Seti I kerana ia sudah digunakan sebagai tapak operasi ketenteraan Ramses II pada tahun 1275 SM.

Dan seperti dijanjikan Ramses II, Mesir menyerang Kanaan yang berperanan sebagai ibu kota utama kerajaan Hittite.

Dalam serangan tersebut, Ramses II dan angkatannya berjaya meraih sejumlah besar rampasan perang dan ramai anggota kerabat diraja Kanaan serta Hittite dijadikan tawanan perang.

Tetapi Ramses II tidak mahu berhenti di situ saja, kerana selagi Kadesh belum lagi di bawah kawalan, kejayaannya dianggap belum sempurna.

Pada akhir tahun 1275 SM, Ramses II mempersiapkan tenteranya untuk mara ke Kadesh sambil menanti peluang sesuai untuk menyerang wilayah tersebut.

Ramses II tidak mahu bersikap terburu-buru kerana sedar jika salah percaturan, angkatannya boleh tewas dengan kekuatan tentera Hittite.

Setahun selepas itu, melihat semua perkara menyebelahinya, Ramses II mengetuai 20,000 tentera dari Per-Ramses, yang dibahagikan kepada empat divisyen sempena nama dewa-dewi Mesir Purba: Amun, Ra, Ptah dan Set.

Ramses II sendiri mengetuai Divisyen Amun dengan tentera-tentera lain mengikut dari belakang.

Perang Kadesh

Lembah Ratu-Ratu
Lembah Ratu-Ratu.

Mereka bergerak selama dua bulan sebelum akhirnya tiba di satu kawasan di mana Ramses II merasa yakin untuk menyusun formasi pertempuran menyerang Kadesh dan menunggu ketibaan tiga divisyen lain.

Sementara itu, dua perisik Hittite yang dihantar mengintip kekuatan angkatan tentera Ramses II, berjaya ditahan dan diseksa untuk mendapatkan maklumat.

Selepas diseksa selama berhari-hari, mereka mendedahkan tiada tentera Hittite yang berkubu di Kadesh.

Ramses II memutuskan untuk terus berkhemah dan menanti ketibaan tiga divisyen lain.

Tatkala mereka sibuk memasang khemah, saat itu juga digunakan tentera Hittite untuk menyerang ketumbukan tentera Ramses II. Ternyatalah dua perisik Hittite dalam tawanan mereka itu hanyalah umpan semata-mata.

Akibat serangan mengejut itu, ramai tentera Ramses II terbunuh dengan kekuatan tentera berkuda mereka hampir musnah diserang tentera infantri Hittite. Mana-mana tentera yang terselamat berusaha mencari perlindungan di khemah mereka.

Sedar berhadapan situasi genting, Ramses II berdoa kepada Dewa Amun dan kembali ke medan perang.

Sejarawan menceritakan, kehadiran baginda memberi sedikit kelegaan dan ketenangan dalam kalangan anggota divisyennya.

Dan perlahan-lahan Ramses II menyerang tentera musuh seperti mana perihal panglima tentera China Li Guang membunuh pihak musuh tatkala cuba menyertai pasukan di sebelah selatan.

Dengan bantuan saki-baki anggota tentera dan beberapa pegawai, Ramses II menaiki kereta kuda tunggangannya dan menyerang pihak musuh dari sebelah timur bagi memberi peluang mana-mana tentera yang terperangkap melarikan diri.

Dengan situasi perang mula menyebelahi Ramses II, peluangnya bertambah cerah apabila Divisyen Ptah tiba di medan perang.

Ramses II memerintahkan mereka segera mengikutinya untuk menyerang secara bertubi-tubi, memaksa tentera Hittite berundur hingga ke Sungai Orontes di mana ramai yang dibunuh atau lemas dalam cubaan menyeberanginya.

Tetapi, kegopohan Ramses II hampir memakan diri kerana itu juga menyebabkan tenteranya terperangkap antara sungai dengan orang Hittite.

Jika tidak kerana Muwatalli II enggan menggerakkan saki-baki tentera yang dimilikinya memerangi tentera Ramses II, pasti baginda juga akan menjadi mangsa tentera Hittite.

Tetapi, perkara tersebut tidak berlaku dan ini memberi peluang kepada Ramses II dan tenteranya memaksa orang Hittite berundur dari medan perang.

Perang Kadesh dianggap satu kejayaan besar bagi Mesir Purba kerana berjaya menewaskan musuh ketat empayar di medan perang. Tetapi, perang tersebut juga hampir menyebabkan kematian Ramses II di tangan musuh.

Ramses II menganggap antara sebab dia terselamat adalah kerana keberanian dan ketenangannya semasa di medan perang serta restu dewa-dewi yang membolehkannya menewaskan tentera Hittite.

Sementara bagi Muwatalli II pula, walaupun tewas di medan perang, dia juga dianggap pemenang kerana tidak kehilangan kota Kadesh.

Selepas perang Kadesh, Ramses II memeterai perjanjian damai pertama di dunia dengan pengganti Muwatalli II, Hattusili III (mangkat pada 1237 SM).

Selepas perang berakhir, Ramses II mendedikasikan hidupnya menambahbaik infrastruktur Mesir, mengukuhkan sempadan dan meluluskan pelbagai projek yang memperingati kejayaannya pada tahun 1274 SM dan pelbagai pencapaian lain.

Permaisuri Nefertari

Permaisuri Nefertari

Jika pernah berkunjung ke Mesir, pasti anda akan melihat kebanyakan monumen Mesir Purba dibina semasa era Ramses II.

Antara binaan yang dibina pada era firaun Ramses II ialah Kompleks Makam Ramesseum di Thebes, Kuil Abu Simbel dan Patung Ramses II di Memphis.

Ramai sejarawan dan pakar seni menyifatkan era baginda sebagai kemuncak kebudayaan dan kesenian Mesir Purba.

Salah satu contoh dalam aspek ini ialah Makam Permaisuri Nefertari di Lembah Ratu-Ratu. Kebanyakan gambaran Nefertari muncul di dinding-dinding kuil atau dalam bentuk patung.

Tetapi tidak ramai tahu Nefertari mangkat pada tahun-tahun awal perkahwinan mereka (berkemungkinan mati semasa melahirkan anak).

Walaupun makam Nefertari dirompak oleh penjarah makam, kesan-kesan kesenian dan kebudayaan pada makam masih terpelihara dengan baik.

Selepas kemangkatan Nefertari, kedudukannya digantikan oleh isteri kedua Ramses II, Isetnefret dan seterusnya menjadi milik anak-anak perempuan selepas kemangkatannya.

Cinta Ramses II terhadap permaisurinya itu terus kekal bertahan walaupun selepas berkahwin dengan wanita lain dan mempunyai cahaya mata yang ramai.

Jika tidak, mengapa baginda tetap mahukan imej Nefertari pada dinding kuil atau dalam bentuk patung.

Malah, Ramses II juga melayan putera-puteri baginda dengan adil dan baik walaupun mempunyai bonda berbeza-beza.

Ramses II dan Nabi Musa a.s.

Berkenaan kaitan Ramses II dan Nabi Musa a.s., ia sebenarnya sudah mencetuskan perdebatan bukan saja dikalangan ahli teologi tetapi juga dikalangan sejarawan dan pengkaji Mesir Purba.

Nama Ramses II amat popular dikaitkan dengan kisah Nabi Musa a.s. dalam Al-Quran atau dalam Book of Exodus.

Kaitan Ramses II dengan kisah ini dimulakan menerusi filem The Tenth Commandments pada tahun 1956 dan diteruskan sejak itu sehinggalah filem arahan Sir Ridley Scott, Exodus: Gods and Kings (2014).

Filem tersebut menampilkan Joel Edgerton yang memegang peranan sebagai Ramses II. Tetapi, ini yang menjadi perdebatan para cendekiawan: dakwaan ini tidak disokong oleh fakta sejarah.

Memang benar nama Per-Ramses ada disebut dalam Book of Exodus atau lebih ayat 1:11 dan 12:37 dan Book of Numbers (ayat 33:3 dan 33:5), tetapi ia sebenarnya sebahagian daripada kota-kota yang dikatakan dibina Bani Israel dan tempat mereka keluar dari Mesir.

Tiada bukti menunjukkan penghijrahan beramai-ramai itu berlaku di kota-kota yang dinyatakan dan tiada bukti yang menunjukkan Per-Ramses dibina dari tangan-tangan hamba Bani Israel.

Ini berdasarkan pelbagai penemuan dari pelbagai tapak arkeologi di Mesir terutama di Giza menunjukkan kebanyakan projek monumen sudah disiapkan semasa era Ramses II.

Dan kebanyakan projek ini turut menggunakan buruh mahir dan tidak mahir sama ada dibayar gaji atau menawarkan diri sebagai sebahagian daripada tugas sivil mereka.

Adat orang Mesir menawarkan diri bekerja untuk projek-projek raja mereka banyak direkodkan dalam sejarah.

Sehinggakan di alam akhirat, roh-roh akan dipanggil bekerja oleh Osiris, Dewa Kematian untuk projek-projek pembinaan yang dimahukannya.

Amalan meletak patung-patung shabti di makam-makam dan kubur-kubur orang yang telah tiada, memenuhi tujuan ini: patung-patung mengambil tempat orang yang mati semasa bekerja di projek-projek monumen.

Selain itu, Ramses II juga terkenal kerana suka merekodkan sejarah pencapaiannya dan akan mengubahsuai sejarah sekiranya ia tidak bertepatan dengan naratif yang dikehendakinya.

Mustahil bagi seorang firaun berlaku cuai dalam merekodkan sejarah sama ada mengikut naratifnya atau tidak berkenaan wabak yang melanda Mesir atau penghijrahan beramai-ramai Bani Israel keluar dari Mesir.

Selain dari keterangan Ramses II, orang Mesir Purba juga dikatakan menyimpan rekod bertulis yang panjang dan rekod mereka langsung tidak menunjukkan populasi besar golongan hamba Bani Israel atau penghijrahan keluar mereka dari Mesir.

Teori

Antara teori berkenaan siapa Firaun yang dimaksudkan dalam Al-Quran adalah, lambakan batu-batu bersurat yang mendakwa Ramses II sebagai Tuhan dan penemuan garam dalam mumianya oleh pasukan saintis yang diketuai Dr Maurice Bucaille.

Sementara itu, ada yang berpendapat beberapa Firaun muncul semasa hayat Nabi Musa a.s.

Kemungkinan firaun yang mengejar baginda dan Bani Israel hingga ke Laut Merah ialah Thutmose III.

Sementara Firaun yang hidup ketika baginda berhijrah dari Mesir ke Madyan ialah ayahanda Thutmose III, Thutmose II dengan Hatshepsut (berkemungkinan Asiah), yang bertanggungjawab menjadikan baginda sebagai anak angkat dan dipelihara di istana.

Sementara Firaun yang bertanggungjawab mengeluarkan perintah bunuh anak-anak Bani Israel (selepas mendapat mimpi dan kelahiran Nabi Musa a.s) ialah Amenhotep I atau Thutmose I, jika proses penghijrahan berlaku ketika baginda sudah menjangkau usia tua.

Mumia Dan Pasport

Firaun Ramses II

Mumia Ramses II ditemui para pengkaji Mesir Purba pada tahun 1881 dalam makam seorang pendeta bernama Pinedjem II yang hidup 400 tahun selepas pemerintahannya.

Mumia tersebut dipindahkan dari lokasi asal makam di Lembah Raja-Raja ke makam berkenaan selepas makam asal dirompak oleh penjarah kubur.

Tidak mahu insiden berkenaan berulang, pendeta-pendeta memutuskan untuk memindahkan mumia Ramses II ke situ untuk mengelak ia dicuri atau dirosakkan.

Semasa ditemui, mumia Ramses II masih lagi dalam keadaan baik dan ini memudahkan para pengkaji mengenalpasti mumia berdasarkan ciri muka pada patungnya.

Selepas itu, ia dipindahkan ke Muzium Mesir di Kaherah untuk tujuan kajian dan pameran.

Tetapi selepas beberapa lama, akibat beberapa faktor termasuk kelembapan, keadaan mumia Ramses II mula merosot.

Pada tahun 1970-an, mumia tersebut mula diserang bakteria dan menanti masa untuk reput. Ini mendorong pihak berkuasa Mesir berusaha mendapatkan pakar-pakar terkemuka untuk memulihara mumia berkenaan.

Dan hanya satu tempat sahaja yang mampu melakukannya: Perancis.

Tetapi, sebelum ia boleh dibawa ke Perancis, mumia Ramses II tersebut perlu mempunyai dokumen pengenalan diri.

Ini berdasarkan undang-undang Perancis yang menetapkan semua individu tanpa mengira hidup atau mati perlu mempunyai dokumen pengenalan diri untuk memasuki Perancis.

Ini memaksa Kaherah mengeluarkan satu pasport khas di bawah nama Ramses II dengan bahagian pekerjaan dinyatakan sebagai raja.

Apabila mumia tersebut tiba di Paris, ia disambut dengan adat istiadat tentera dan diberi penghormatan penuh ketenteraan.

Ini juga berdasarkan satu lagi undang-undang yang menyatakan, mana-mana raja sama ada hidup atau mati yang memasuki Perancis atas urusan rasmi layak diberi sambutan berkenaan.

Ini menjadikan Ramses II, firaun pertama yang bukan saja memegang pasport rasmi Mesir, bahkan firaun pertama mendapat penghormatan penuh tentera di Perancis.

Dan selepas dikaji dan dipulihara sebaik mungkin, mumia tersebut dikembalikan ke Muzium Mesir di Kaherah.

Dan selepas ia dipulang, mumia Ramses II diperiksa sendiri oleh Presiden Anwar Sadat dan isterinya Jehan Sadat.

Mereka mahu memastikan mumia berkenaan benar-benar dipelihara dan dipulihara seperti dijanjikan Perancis dan benar-benar berpuas hati dengan proses yang dijalankan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: thepatriots

Tuesday, January 21, 2020

Misteri Sumpahan Makam Firaun Tutankhamun

Misteri Sumpahan Makam Firaun Tutankhamun

Tutankhamun ialah seorang firaun muda yang terkenal pada zaman kerajaan Tamadun Mesir purba, memerintah dari 1333 SM - 1323 SM dalam Dinasti Kelapan Belas yang turut dikenali sebagai Tempoh Kerajaan Amarna.

Patung emas Tutankhamun
Patung emas Tutankhamun.

Tutankhamun terkenal pada abad ke-20 apabila makamnya di Lembah Raja-raja ditemui oleh Howard Carter. Anehnya, mumia Tutankhamun tidak pernah dirompak oleh pencari harta karun.

Kebanyakan makam firaun lain yang terletak di Lembah Raja-raja pernah dijarah perompak makam setelah beribu-ribu tahun. Tutankhamun menjadi firaun Mesir ketika berusia hanya 9 tahun.

Dalam tempoh 10 tahun memerintah, Tutankhamun banyak membina semula kuil-kuil baru bagi menyembah tuhan-tuhan Mesir Purba, terutamanya Amun-Ra namun, Tutankhamun mangkat ketika berusia 19 tahun.

Punca kematian

Keranda Tutankhamun

Pada 18 Februari 2010, kajian genetik DNA mendapati Raja Tutankhamun mati akibat penyakit malaria iaitu sejenis penyakit tropika yang dibawa oleh nyamuk tiruk.

Laporan itu disiarkan oleh Journal of American Medical Association. Kajian itu dilakukan oleh saintis Jerman dan Mesir.

Tubuh Tuthankhamun lemah kerana hasil sumbang mahram antara dua adik beradik (kakak dan adik lelaki).

Tutankhamun sangat lemah dan menderita pelbagai penyakit dan mungkin berjalan dengan tongkat kerana kakinya cacat.

Rahsia Sumpahan Makam Firaun Tutankhamun

Lembah Raja-raja
Lembah Raja-raja.

Pada tahun 1922, ahli arkeologi Mesir Purba, Howard Carter bersama-sama pasukan beliau menemui pintu masuk ke makam Firaun Tutankhamun yang terletak di Lembah Raja-Raja atau dalam Bahasa Inggerisnya Valley of the Kings.

Lembah Raja-Raja ini terletak berhadapan Sungai Nil di Bandar Luxor, yang merupakan tempat persemadian terakhir bagi firaun-firaun dan individu penting Mesir Purba. Tetapi, kebanyakan makam telah pun dirompak sebelum ini oleh penjarah kubur.

Hanya sebuah makam sahaja yang lokasinya kekal misteri, tidak terusik atau dirompak kekayaannya dan makam itu adalah makam Firaun muda, Tutankhamun, yang mati sekitar 1323-1324 SM.

Pakar pengkaji Mesir Purba warganegara British iaitu Howard Carter, bertungkus-lumus untuk mengesan makam ini dan memulakan operasi pencarian.

Operasi ini bermula pada tahun 1914 dengan dana yang diterima daripada Lord Carnarvon namun, selama 7 tahun pencarian tersebut menemui jalan buntu.

Pintu makam Tutankhamun
Pintu makam Tutankhamun.

Apabila Lord Carnarvon hampir sahaja ingin menghentikan dana operasi pencarian tersebut, ibarat bulan jatuh ke riba, pasukan Howard Carter membuat salah satu penemuan arkeologi terhebat dalam sejarah.

Pada 4 November 1922, apabila seorang lelaki tempatan yang bekerja sebagai pemberi air, menggali pasir menggunakan sebatang kayu, secara tidak sengaja, membawa kepada penemuan tangga batu.

Kemudian, kru pencarian tersebut memulakan penggalian di kawasan penemuan tangga batu itu, yang akhirnya membawa mereka kepada sebuah pintu yang tertutup rapat.

Pasukan itu seterusnya memecahkan pintu, namun menjumpai sebuah lagi pintu dengan lambang (insignia) Tutankhamun.

Pada ketika itu, barulah mereka yakin bahawa mereka telah menemui makam Firaun Tutankhamun, yang telah tersembunyi sejak sekian lama.

Lakaran makam Tutankhamun
Lakaran makam Tutankhamun
Lakaran makam Tutankhamun.

Menjelang 26 November, setelah beberapa minggu usaha membersihkan ruang di hadapan pintu itu dari batu-batan, Howard membuat satu lubang bukaan kecil di pintu makam tersebut.

Beliau dapat melihat ke dalam bahagian makam melalui lubang itu dengan bantuan cahaya lilin.

Hasil pemerhatian Howard, beliau sedar bahawa makam ini belum lagi dijarah, kerana harta-harta yang diperbuat daripada emas kelihatan seperti tidak pernah dialihkan.

Apabila ditanya oleh Lord Carnarvon; "Can you see anything?"

Carter menjawab; "Yes, Wonderful things."

Howard Carter dan Lord Carnarvon seterusnya menjadi individu pertama yang masuk ke makam Firaun Tutankhamun dalam masa 3,000 tahun.

Mereka kemudian merekod serta mengkatalog penemuan harta-harta karun itu dan hanya pada 27 Disember, harta karun pertama dikeluarkan daripada makam tersebut.

Antara barangan yang dikeluarkan adalah;
  • Topeng yang diperbuat daripada emas.
  • Takhta diperbuat daripada emas.
  • Pedati kuda diperbuat daripada emas.
  • Topeng diperbuat daripada emas (death mask).
  • Model kapal.
  • Minyak wangi.
  • Barang kemas dan perhiasan.
  • Makanan dan wain.
  • Sandal.
  • Belati diperbuat daripada meteorit.
  • Dan banyak lagi.

Penemuan harta karun ini merupakan antara penemuan terbesar barangan antikuiti Mesir Purba yang pernah direkodkan.

Pada 16 Februari 1923, barulah ruang yang paling dalam makam itu dibuka, membawa kepada sebuah keranda batu.

Apabila keranda batu itu dibuka, terdapat sebuah keranda lagi yang diperbuat dari emas padu seberat 100 kilogram dan di dalam keranda emas itu, terdapat mumia Firaun muda, Tutankhamun.

Penemuan Tutankhamun
Keranda Tutankhamun.

Susur Galur Tutankhamun

Sehingga tahun 2010, tiada apa yang diketahui tentang susur galur Tutankhamun.

Ia hanya diketahui kemudian, apabila ujian DNA dilakukan ke atas mumia Tutankhamun beserta 9 mumia-mumia firaun yang lain setelah dibenarkan oleh kerajaan Mesir.

Berdasarkan hasil ujian DNA tersebut, mumia Tutankhamun bersama-sama mumia firaun yang lain disyaki mempunyai hubungan darah (saudara terdekat).

Sampel DNA yang diambil dari tulang Tutankhamun mendedahkan misteri yang menyelubungi 'firaun muda' ini.

Hasilnya, susur galur keluarga selama 5 generasi dapat dibina melalui ujian DNA tersebut.

Ujian DNA tersebut mendapati, bahawa Firaun Amenhotep III merupakan datuk kepada Tutankhamun.

Sewaktu pemerintahan Amenhotep III, Mesir Purba berada dalam keadaan aman damai, manakala Tiye, permaisuri kepada Amenhotep III, merupakan nenek kepada Tutankhamun.

Amenhotep III dan Tiye mempunyai 3 orang anak lelaki dan 5 orang anak perempuan. Dan salah seorang daripada anak lelaki mereka, iaitu Akhenaten menjadi pewaris dan Firaun seterusnya.

Akhenaten adalah bapa kepada Tutankhamun, manakala identiti ibu Tutankhamun masih kekal misteri.

Terdapat ujian DNA ke atas mumia misteri yang dikatakan ibu kepada Tutankhamun. Pada masa yang sama, ujian mengesahkan bahawa individu tersebut merupakan salah seorang daripada 5 anak perempuan Amenhotep III dan Tiye.

Ini bermakna, Akhenaten mengahwini adik perempuannya sendiri!

Amalan pembiakbakaan-dalaman ini turut diamalkan Tutankhamun sendiri apabila mengahwini Ankhesenpaaten, yang merupakan adik perempuan tiri (1 bapa) kepada Tutankhamun.

Mereka mempunyai 2 orang anak perempuan tetapi kedua-duanya dilahirkan mati, atau telah gugur (stillbirth).

Kesan pembiakbakaan-dalaman

Mumia Tutankhamun
Mumia Firaun Tutankhamun.

Amalan pembiakbakaan-dalaman dikalangan keluarga diraja Mesir Purba ini menyebabkan selalu terjadi keguguran didalam kelahiran. Selain itu, penyakit yang disebabkan oleh kerosakan genetik turut terjadi kesan dari amalan ini.

Impaknya dialami sendiri oleh Tutankhamun apabila ujian DNA yang dibuat bagi mengenal pasti susur galur Tutankhamun turut mendedahkan bahawa firaun tersebut mempunyai beberapa masalah kesihatan.

Tutankhamun mempunyai kaki yang cacat, disebabkan oleh nekrosis tulang yang memaksa Tutankhamun berjalan menggunakan tongkat. Firaun itu juga mempunyai sumbing serta tulang belakang yang melengkung.

Selain itu, Tutankhamun turut berdepan dengan masalah keradangan akibat mempunyai sistem imun yang lemah.

Keadaan kesihatan Tutankhamun yang terjejas ini bukanlah penyebab kematiannya diusia muda, tetapi ia menyumbang kepada kemerosotan taraf kesihatannya.

Selain daripada masalah-masalah diatas, mumia Tutankhamun didapati patah kaki kanannya, turut dipercayai bahawa dia mempunyai penyakit malaria yang teruk.

Segala gejala permasalahan kesihatan inilah yang akhirnya menyebabkan Tutankhamun mati ketika berumur 19 tahun.

Nasib yang sama Raja Charles II dari dinasti Habsburg di Sepanyol, akibat ketiadaan pewaris, Tutankhamun merupakan Firaun terakhir didalam dinastinya.

Malaria yang dihidapi Tutankhamun adalah disebabkan oleh parasit Plasmodium falciparum.

Malaria disebabkan parasit ini merupakan yang paling berbahaya berbanding parasit malaria lain seperti Plasmodium vivax, Plasmodium ovale dan Plasmodium malariae.

Kebenaran Disebalik 'Sumpahan' Tutankhamun

Khabar angin mengenai sumpahan maut Tutankhamun menjadi bualan setelah kematian Lord Carnarvon, tidak lama selepas memasuki makam firaun muda itu.

Kemudian, muncul teori bahawa terdapat kemungkinan Lord Carnarvon terdedah kepada organisma seperti bakteria dan kulat berbahaya yang mendiami makam tersebut selama lebih 3,000 tahun.

Menurut pendapat Jennifer Wegner, seorang ahli kaji mesir purba dari Muzium Universiti Pennsylvania yang terletak di Philadelphia, Amerika Syarikat, bahawa sudah tentu makam tersebut mempunyai patogen yang mungkin berbahaya kepada manusia.

Oleh kerana selain daripada menyimpan mayat, makam itu juga turut menyimpan makanan seperti daging, sayur-sayuran yang akan menarik perhatian serangga, kulat dan bakteria.

Harta, makanan dan minuman serta persalinan pakaian dimakamkan bersama-sama firaun atau pegawai kerajaan penting Mesir Purba kerana tamadun mereka mempercayai bahawa terdapat alam kehidupan selepas mati.

Melalui kajian makmal terkini, saintis mendapati bahawa mumia purba sememangnya mempunyai kulat berbahaya kepada manusia. Antaranya ialah kulat dari spesies Aspergillus niger dan Aspergillus flavus.

Harta asal Tutankhamun
Harta asal Tutankhamun.

Kedua-dua kulat ini boleh menyebabkan tindakbalas alergi seperti kesukaran pernafasan dan lebih kritikal, pendarahan di dalam paru-paru.

Toksin-toksin yang dirembeskan kulat ini sangat berbahaya kepada individu yang lemah sistem imunnya.

Selain itu, dinding makam juga turut diketahui mempunyai bakteria yang menyerang sistem respiratori seperti bakteria genera Pseudomonas dan Staphylococcus.

Ujian makmal juga menunjukkan bahawa keranda yang menyimpan mumia purba turut mempunyai gas berbahaya seperti ammonia, formaldehid dan hidrogen sulfida.

Dalam konsentrasi tinggi, ia mampu memberi penghidu gas simptom seperti pneumonia, iritasi pada mata dan hidung malah berupaya membawa maut.

Akhir sekali, kehadiran kelawar yang menjadikan gua-gua pembukaan makam kediaman mereka juga mempunyai risiko tersendiri kepada manusia. Ini kerana najis kelawar mempunyai kulat yang mampu menyerang sistem pernafasan.

Harta Tutankhamun di Muzium
Harta Tutankhamun di Muzium.

Tetapi, pakar mendapati bahawa 'toksin makam' ini bukanlah punca kepada kematian Lord Carnarvon.

Ini kerana beliau diketahui mempunyai penyakit kronik sejak sekian lama sebelum beliau menjejakkan kaki ke dalam makam.

Selain itu, ia disokong dengan fakta bahawa kematian Lord Carnarvon berlaku berbulan lamanya selepas pendedahan awal kepada makam tersebut.

Jika kematian beliau disebabkan oleh bakteria atau kulat yang terkandung di dalam makam, sudah tentu Lord Carnarvon akan mengalami simptom penyakit lebih awal.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2

Wednesday, January 15, 2020

Legenda Cleopatra: Firaun Wanita Paling Berkuasa Dalam Sejarah Mesir Purba

Legenda Cleopatra: Firaun Wanita Paling Berkuasa Dalam Sejarah Mesir Purba

Cleopatra, Cleopatra Ptolemy VII, Cleopatra VII Thea Neotera atau Cleopatra Philopator, lahir pada Januari 69 SM – 12 Ogos 30 SM, dikenali sebagai wanita paling berbahaya dalam sejarah, penggoda yang telah berjaya memikat lelaki paling berkuasa di dunia ketika itu.

Legenda Cleopatra
Cleopatra VII.

Cleopatra adalah firaun terakhir yang memerintah Mesir di fasa Dinasti Ptolemaic, yang mempunyai darah keturunan dari Ptolemy I Soter, jeneral tentera berdarah Yunani Macedonia yang sentiasa menjadi peneman Alexander the Great ketika perluasan empayar, kemudian mengasaskan Dinasti Ptolemaic sebagai pemula kepada Zaman Hellenistik selepas kemangkatan Alexander.

40 tahun sebelum kelahiran Nabi Isa, Cleopatra telah menggugat kekuasaan Empayar Rom yang sedang berkuasa, berbanding kuasa lain di dunia ketika itu.

KEHIDUPAN AWAL KE PERLANTIKAN MENJADI FIRAUN

Cleopatra VII adalah puteri kedua dari enam adik beradik hasil perkahwinan ayahandanya, Firaun Ptolemy XII dan ibunya yang masih kabur identitinya.

Berkemungkinan besar ibu Cleopatra adalah Cleopatra VI Tryphaena, juga dikenali sebagai Cleopatra V Tryphaena.

Semasa remaja, Cleopatra mempelajari seni dan falsafah Yunani di institusi Musaeum dan Perpustakaan Alexandria.

Firaun berketurunan Ptolemy diberi takhta oleh organisasi paderi bernama High Priest of Ptah yang mana tradisi kenaikan takhta mempunyai campuran budaya antara Mesir dan Yunani Macedonia.

Dinasti Ptolemy menubuhkan sistem beraja Hellenistik dan menggunakan bahasa Yunani dalam urusan kerajaan.

Walaupun para firaun Ptolemy memerintah Mesir, mereka tidak ingin mempelajari bahasa Mesir Purba yang sekian lama menjadi simbolik ketamadunan orang Piramid ini.

Berlainan dengan Cleopatra di zaman remaja, dia mempelajari bahasa Mesir Purba, menjadikannya sebagai firaun Ptolemy pertama mempelajari lebih satu bahasa.

Cleopatra juga mahir berbahasa Ethiopia, Hebrew, Arab, dialek Syriac, Media, Parthia dan Latin.

Pada tahun 58 SM, Cleopatra pernah menemani ayahandanya ketika pengusiran ke Rom setelah berlaku pemberontakan yang membenarkan Berenice VI, kakak sulung Cleopatra menaiki tahkta.

Pada 55 SM, firaun Ptolemy XII dapat mengembalikan takhtanya dengan bantuan tentera dari Rom yang diketuai oleh jeneral Aulus Gabinius dengan menggulingkan pemerintahan anak sulungnya.

Pada 51 SM, Cleopatra dilantik menjadi firaun selepas kemangkatan ayahandanya.

Di fasa awal pemerintahannya, Cleopatra mengalami banyak dugaan yang menimpa seperti kebuluran akibat kemarau berpanjangan dan hasil pertanian yang tidak berhasil akibat ketidak-kawalan terhadap paras air Sungai Nil.

Cleopatra juga terpaksa menghadapi kerenah askar Gabiniani, iaitu sebilangan askar Rom yang diperintah oleh jeneral Gabinius, bertugas menjaga ayahanda Cleopatra atas sebab perlindungan setelah firaun Ptolemy XII mendapat takhtanya dari tangan pengkhianat.

Dan lagi, Cleopatra harus melangsaikan hutang ayahnya kepada Rom sebanyak 17.5 juta drachmas.

PERANG SIVIL

Pada 29 Ogos 51 SM, Cleopatra menjadi pemerintah tunggal mengikut rekod penulisan bersama bukti bahawa dia tidak mengiktiraf adik lelakinya, Ptolemy XIII sebagai pemangku serta menolak perkahwinan sesama mereka.

Perkahwinan sesama adik-beradik adalah tradisi yang diamalkan sejak pemerintahan Firaun Ptolemy II, di mana baginda berkahwin dengan kakaknya, Arsinoe II.

Ptolemy yang tidak berpuas hati dengan tindakan Cleopatra itu membina pengaruhnya dengan mengajak Potheinos, seorang sida, penasihat dan pengurus harta; komander perang iaitu Achillas, dan gurunya Theodotus of Chios bersatu menentang Cleopatra.

Pada 49 SM, Ptolemy XIII memulakan perlantikan dirinya sebagai pemerintah dan berperang dengan Cleopatra di kota Alexandria.

Di akhir peperangan, Cleopatra terpaksa berundur ke Thebes atas kekalahannya menentang adik sendiri.

Pada musim luruh 48 SM, Cleopatra pergi ke Syria, salah satu jajahan Rom bersama adik perempuannya, Arsinoe IV bagi mengumpul kekuatan tentera untuk menumbangkan Ptolemy XIII sekali lagi.

Namun, kempen peperangan ke Alexandria terhenti kerana terpaksa berhadapan dengan askar Gabiniani dan askar adiknya, memaksa Cleopatra membina kubu di timur delta Sungai Nil.

Di Greece, empayar Rom juga mengalami perang sivil terbesar iaitu Perang Sivil Caesar dan Perang Pharsalus, melibatkan tentera kedua-dua jeneral perang berpengaruh, Julius Caesar dan Pompey pada 9 Ogos 48 SM.

Tentera Pompey mengalami kekalahan teruk dan terpaksa berundur ke kota Tyre yang terletak di Lubnan.

Kemudian, Pompey memilih Mesir untuk memulihkan kekuatan tenteranya. Sebab? Dia mempunyai hubungan erat dengan kerabat diraja Ptolemy.

Penasihat Ptolemy XIII yang mengetahui misi Pompey itu, menyatakan rasa tidak selesa dengan kehadiran Pompey dan bala tenteranya.

Maka, misi membunuh Pompey dilaksanakan dengan rancangan jeneral Theodotus.

Pada mulanya, surat jemputan dihantar kepada Pompey untuk berlabuh di perlabuhan berdekatan kota Pelousion, seterusnya menyerang gerombolan Pompey dan memancung kepalanya.

Dengan kepala Pompey yang dipancung, Ptolemy XIII dapat menunjukkan kuasanya dengan menyerahkan kepala tersebut kepada Caesar.

Tindakan Ptolemy XIII mengundang kemarahan Caesar dan memaksa Ptolemy dan Cleopatra untuk berdamai di hadapan Caesar di istana kerajaan dinasti Ptolemy.

CLEOPATRA BERSAMA JULIUS CAESAR

Cleopatra cuba menghantar utusan sebagai wakilnya dalam pertemuan damai itu namun apabila mendengar khabar bahawa Caesar lebih selesa berurusan dengan kerabat diraja wanita, Cleopatra datang bersemuka dengannya sendirian.

Menurut sejarahwan Rom bernama Cassius Dio melalui penulisan rekodnya, Cleopatra tidak memaklumkan kehadiran dalam pertemuan itu, sebaliknya menyeludup masuk ke istana dengan memasuki gulungan tilam, bertemu Caesar berdua-duaan dengan memakai pakaian menjolok mata dan menggoda dengan kebijaksanaannya.

Ptolemy XIII menyedari tindakan kotor Cleopatra dan mula menghasut penduduk Alexandira untuk memberontak.

Caesar mengesan tindakan gila Ptolemy itu dan telah menangkapnya, sebelum menenangkan orang ramai dengan kepetahan pidatonya.

Pada akhir pertemuan ini, Cleopatra menang dengan kelayakannya sebagai pemerintah Mesir melalui wasiat ayahandanya.

Ptolemy XIII tidak berpuas hati dan meminta pertolongan adiknya yang memerintah kerajaan Cyprus, Arsinoe IV membawa pasukan tentera seramai 20,000 orang untuk menawan Alexandria.

Caesar dan Cleopatra yang tidak dapat melawan Ptolemy XIII terperangkap dalam istana seperti banduan sehinggalah 47 SM.

Antara bulan Januari dan Mac 47 SM, bantuan ketenteraan Rom tiba ke Alexandria kemudian memaksa Ptolemy XIII dan Arsinoe IV berundur ke Sungai Nile.

Ptolemy XIII lemas dalam percubaan melarikan diri menggunakan bot manakala Arsinoe IV ditangkap kemudian dibawa ke ibu kota Rom, kemudian mendapat hukuman buangan ke kuil Artemis yang bertempat di Ephesus.

Walaupun Caesar berjaya menghapuskan kebangkitan pemberontakan Ptolemy XIII, namun status Caesar sebagai ahli konsul telah tamat pada akhir 47 SM.

Pegawainya iaitu Antony berjaya membantu Caesar mendapat lantikan sebagai Dictator, nama bagi ahli majistret republik Rom dan mendapat kuasa bagi menyelesaikan konflik di Mesir.

Bagi memastikan Cleopatra tidak keterlaluan dalam memerintah seperti apa yang kakaknya lakukan, Caesar melantik adik lelaki Cleopatra iaitu Ptolemy XIV sebagai pemerintah kedua melalui perkahwinan sesama adik-beradik.

Perkahwinan ini hanya sebagai langkah politik dan tiada hubungan cinta antara Cleopatra dan adiknya.

Yang benar ialah, Caesar dan Cleopatra menjalin hubungan cinta secara sulit.

Pernah Caesar mengikuti rombongan Cleopatra berlayar di Sungai Nil bagi melihat monumen-monumen Mesir Purba kerana Caesar ingin mengetahui lebih lanjut tentang sungai ini.

Tetapi sejarahwan sepakat bahawa, rombongan ini hanyalah pertemuan romantik Caesar dan Cleopatra, tidak lebih dari itu.

Hasil dari hubungan sulit mereka berdua, lahirlah anak lelaki bernama Caesarion atau ‘Firaun Caesar’ pada 23 Jun 47 SM.

Caesar tidak ingin anak hasil dari ratu Mesir diketahui sesiapa terutamanya isteri ketiganya iaitu Calpurnia namun berlainan dengan Cleopatra, berkali-kali mengumumkan kelahiran Ceasarion di khalayak ramai.

Lebih memeranjatkan, Cleopatra bersama Ptolemy XIV, membawa Caesarion pergi melawat di Rom bagi bertemu dengan Caesar.

Selepas lawatan itu, Caesar dibunuh pada 15 Mac 44 SM dalam satu konspirasi yang dirancang ahli senat yang khuatir kekuasaan Caesar bakal melahirkan pemerintahan diktator.

Beberapa bulan kemudian, Ptolemy XIV mati diracun oleh Cleopatra dan mengangkat Caesarion yang berumur 3 tahun menggantikan tempat adiknya.

CLEOPATRA DAN PERANG SAUDARA LIBERATORS

Akibat dari pembunuhan Caesar, perang saudara berlaku pada 42 SM bagi membela kemangkatan Caesar oleh persekutuan Second Triumvirate menentang para pembunuh Caesar.

Kedua-dua pihak iaitu Gaius Cassius Longinus, salah seorang pembunuh Caesar dan Publius Cornelius Dollabella, wakil konsul di Syria dan pegawai setia Caesar, menulis surat memohon bantuan tentera daripada Cleopatra.

Sudah semestinya Cleopatra berpihak kepada pembela Caesar, maka Cleopatra secara sopan menolak permintaan Cassius dengan alasan kerajaan sendiri juga mengalami konflik dalaman padahal dia secara senyap menghantar 4 gerombolan tentera legion yang Caesar tinggalkan kepada Cornelius.

Di akhir peperangan, pada 42 SM, pembela Caesar memenangi peperangan dalam Perang Kota Philippi dan membawa kepada pembunuhan Cassius dan seorang lagi pembunuh Caesar, Marcus Junius Brutus.

Pada musim panas 41 SM, setelah Second Triumvirate menguasai seluruh empayar Rom, salah seorang ahli persekutuan iaitu Marcus Antonius atau Antony, menubuhkan ibu pejabat Tarsos di Anatolia dan mengajak Cleopatra untuk bertemu dengannya melalui surat.

Pada mulanya Cleopatra menolak ajakan Antony namun setelah dipujuk oleh utusan Antony iaitu Quintus Dellius, baginda pergi ke Tarsos dengan kapal mewahnya.

Pertemuan ini memberi peluang kepada Cleopatra untuk menerangkan salah sangka bahawa baginda memihak kepada para pembunuh Caesar, setelah berkali-kali bantuannya lambat tiba berjuang bersama tentera pembela.

Namun yang sebenarnya, Antony telah lama berkenan dengan Cleopatra dan ingin memulakan hubungan cinta mereka walaupun dia sendiri mempunyai isteri ketiga bernama Fulvia yang turut berjuang dalam politik Rom.

CLEOPATRA BERSAMA ANTONY

Pada November 41 SM, Antony tiba di Alexandria atas jemputan Cleopatra. Dia menaiki kapal mewah Cleopatra dan mendapat sambutan baik dari penduduk Mesir kerana kehadirannya sama seperti Caesar, tidak membawa rombongan tentera Rom.

Cleopatra menerima cinta Antony bukan kerana cinta semata. Antony seperti Caesar, ahli politik yang berpengaruh.

Dia adalah calon terbaik bagi Cleopatra untuk melahirkan pewaris yang kuat seperti mana hubungan sulitnya dengan Caesar.

Sepanjang bersama Antony, dia dapat merampas mana-mana tanah bekas jajahan dinasti Plotemy seperti Cilicia dan Cyprus (masa itu milik Rom) dan mengembalikannya kepada Cleopatra menggunakan kuasanya sebagai ahli sekutu Triumvirate.

Pada musim bunga 40 SM, Antony harus meninggalkan Mesir bagi berhadapan dengan konflik dalaman di jajahan Syria.

Cleopatra membantu Antony dengan memberikan 200 buah kapal bagi memudahkan ekspedisi ke Syria.

3 tahun mereka berdua berpisah namun Cleopatra tidak terputus hubungan dengan kekasihnya itu.

Pada akhir 40 SM, Cleopatra melahirkan pasangan kembar berlainan jantina, bernama Alexander Helios dan Cleopatra Selene II.

Cleopatra menamakan anaknya Helios (bermaksud matahari) dan Selene (bermaksud bulan) dari nama dewa-dewi Yunani kerana mengharapkan, inilah petunjuk bahawa pada masa akan datang, Antony berupaya menakluk empayar Parthia seperti Alexander The Great lakukan dulu.

Setelah Fulvia meninggal dunia, Antony dipaksa membuktikan kesetiaannya kepada Octavian dengan mengahwini adik perempuan Octavian.

Pada 37 SM, Antony bertemu Cleopatra dan memohon untuk menampung perbelanjaan kempen peperangan Antony menentang Kerajaan Parthia.

Sebagai balasan, dia bersetuju menyerahkan kawasan timur Mesir termasuklah Cyprus, Crete, Cyrenaica (Libya), Jericho dan sebahagian besar Syria dan Lubnan.

Cleopatra bersetuju dan mereka tinggal bersama lagi sebagai kekasih, sehinggalah Cleopatra melahirkan anak lelaki kedua bernama Ptolemy Philadelphos pada 36 SM.

Walaupun memperoleh bantuan Cleopatra bagi melancarkan perang, Antony kalah teruk di tangan Parthia.

Antony memutuskan penceraian dengan adik perempuan Octavian dan kembali ke Mesir untuk bertemu Cleopatra.

Pada tahun 34 SM, ketika Rom mengadakan sambutan "Donations of Alexandria", Antony mengumumkan bahawa Caesarion adalah anak Caesar dan layak memerintah Rom berbanding Octavian yang cuma berstatus anak angkat.

Perkara ini mengundang kepada perang propaganda antara Antony dan Octavian, di mana bagi pihak Octavian, Antony telah dipengaruhi oleh Cleopatra demi menjadikan Mesir sebagai ibu kota Rom.

Pada akhir tahun 32 SM, Senat melucutkan semua jawatan Antony dan Octavian mengisytiharkan peperangan kepada Cleopatra.

DI AKHIR KEHIDUPAN CLEOPATRA

Pada 2 September 31 SM, bala tentera Octavian telah mengalahkan gabungan tentera pimpinan Antony dan Cleopatra dalam Perang Actium.

Kapal perang Cleopatra meninggalkan perang tersebut dan kembali ke Mesir bersama Antony dengan beberapa buah kapal lain.

Ketika Alexandira diserang oleh tentera Octavian pada 30 SM, Cleopatra terpaksa memalsukan kematiannya dan membawa berita ini kepada Antony.

Setelah mendengar khabar tersebut, Antony membunuh diri dalam kekalahan dan tewas dalam mengekalkan kekuasaan Cleopatra.

Octavian memberi peluang kepada Cleopatra untuk tunduk kepada Rom namun dia berkeras dan mengurung dirinya di bilik tidur bersama dua orang pembantunya.

Dalam pengurungan, Cleopatra mendengar berita bahawa dia dan keluarganya akan dibawa ke Rom, lalu mengambil keputusan untuk membunuh diri.

Dikatakan, melalui Plutarch, Cleopatra membenarkan dirinya digigit oleh sejenis ular berbisa Asp yang berkait dengan simbol keabadian.

Mungkin atas dasar mengekalkan keabadian diri selamanya, dia berbuat sedemikian.

Octavian begitu marah namun dia harus menunaikan permintaan terakhir Cleopatra iaitu kuburnya ditanam bersebelahan dengan Antony.

Caesarion pula berhijrah ke Utara Mesir dan memerintah selama 18 hari, kemudian terpaksa menerima hukuman mati pada 29 Ogos 30 SM di Alexandira kerana berhadapan dengan tuduhan palsu tentang pelantikan dirinya sebagai raja yang dipersetujui oleh Octavian.

Dengan ketiadaan pewaris keturunan Ptolemy, Octavian mengistiharkan Mesir berada dalam jajahan Rom.

Maka, Octavian menjadi Maharaja Rom pertama dengan gelaran Augustus. Cleopatra cuma berumur 39 tahun ketika kemangkatannya dan telah memerintah Mesir selama 22 tahun.

Cleopatra boleh dikatakan sebagai wanita besi walaupun bersikap Machiavellianism kerana baginda mampu mempertahankan kemerdekaan Mesir selagi mana dia bergelar Firaun dan mempunyai tanggungjawab kepada rakyatnya, walaupun terpaksa menggoda dua tokoh politik terkenal.

Baginda juga mampu mempertahankan sebuah tradisi Mesir Purba bernama ma’at – keseimbangan dan keharmonian – selagi mana tradisi tersebut masih dipraktikan.

Walaupun Cleopatra bukan berdarah Mesir, namun dia adalah simbolik kewanitaan yang mempunyai sumbangan terbesar dalam sejarah tamadun Mesir Purba.

Kini, legasi Cleopatra diabadikan dalam dunia dokumentasi sejarah Mesir Purba seperti National Geographic dan Ancient History.

Tidak ketinggalan dunia perfileman juga menyiarkan kehidupan Cleopatra dalam politik 'godaan' dalam filem Cleopatra (1963) arahan Joseph L. Mankiewicz.

Di Jepun, syarikat Design Works yang mencipta mobile game Fate/Grand Order – video permainan mengenai Perang Holy Grail, peperangan antara ahli sihir bersama penemannya berupa roh tokoh sejarah bernama Servant – menerapkan watak Cleopatra sebagai Servant dengan kelasnya sebagai Assassin.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: thepatriots

Friday, November 15, 2019

Pisau Raja Tutankhamun Berasal Dari Angkasa Lepas?

Pisau Raja Tutankhamun Berasal Dari Angkasa Lepas?

Raja Tutankhamun telah memerintah Mesir pada Dinasti ke-18 selama kira-kira 9 tahun sebelum kematiannya pada 1323 SM iaitu pada penghujung Zaman Gangsa semasa Mesir berada pada kemuncak kekuasaannya.

Pisau Tutankhamun

Populariti dan minat orang ramai untuk mengkaji raja Mesir ini sangat mendalam sejak penemuan makamnya yang dijumpai dalam keadaan hampir sempurna.

Selain itu, dia juga merupakan salah satu daripada hanya sebilangan raja Mesir yang dipuja sebagai dewa dengan penemuan binaan kuil sejauh Nubia.

Firaun sememangnya diketahui umum biasa membawa bersama harta dan barangan berharga untuk ditanam apabila mati.

Jadi, penemuan pisau belati milik Raja Tut yang ditanam bersama mumianya bukanlah sesuatu yang menghairankan.

Namun, asal-usul pisau tersebut telah menjadi antara topik hangat yang menarik minat para ahli arkeologi dari seluruh dunia.

Penemuan makam Tutankhamun

Makam Tutankhamun telah ditemui oleh seorang ahli arkeologi berbangsa Inggeris iaitu Howard Carter pada tahun 1922 dalam satu ekspedisi yang dilakukan di Lembah Raja-raja, Mesir.

Selain mumia Tutankhamun, makam itu menempatkan 5,398 barangan lain termasuklah dua bilah pisau belati yang diletakkan di dalam balutan mumia sendiri.

Penemuan Makam Tutankhamun
Howard Carter dan keranda yang menyimpan mumia Tutankhamun.

Pencarian dan ekskavasi di makam firaun berusia 19 tahun itu bermula sejak 1915 dan telah dibiayai oleh George Herbert yang merupakan Earl Carnarvon ke-5.

Walaupun makam itu tidak bertutup dan telah dirompak beberapa kali, ia telah dilupakan antara kurun ke-12 dan 11 Sebelum Masihi kerana tertimbus sepenuhnya oleh serpihan batu yang mungkin dibawa oleh banjir atau disebabkan kerja-kerja pembinaan makam baru.

Makam Tutankhamun yang ditemui didapati menyimpan pelbagai objek lain seperti takhta, keranda yang diperbuat daripada emas tulen, topeng muka, mangkuk, trompet, piala, makanan, minuman, kasut dan linen yang dipercayai akan membantu raja tersebut dalam kehidupannya selepas mati.

Binaan Makam Tutankhamun
Binaan kawasan makam Raja Tutankhamun.

Terdapat juga beberapa objek logam yang dibalut bersama mumia seperti penyandar kepala di dalam topeng, gelang emas beserta tangkal dan juga dua bilah pisau belati berhulu emas.

Di bahagian abdomennya merupakan pisau yang keseluruhannya diperbuat daripada emas manakala sebilah lagi yang dijumpai di paha kanannya pula diperbuat daripada besi.

Dalam semua objek yang dijumpai, hampir kesemuanya dibuat dengan hasil pertukangan yang kasar kecuali pisau belati istimewa itu.

Harta Makam Tutankhamun
Antara objek-objek lain yang dijumpai dalam makam.

Pisau Tutankhamun telah menarik perhatian ramai ahli akademik dan sejarawan sejak penemuannya kerana bilahnya diperbuat daripada besi.

Pada Zaman Gangsa, besi adalah sejenis bahan yang sangat jarang dijumpai maka, pisau firaun ini telah mencetuskan pelbagai teori bahawa ia berasal daripada meteorit.

Dagger-of-Tutankhamun
Pisau dari angkasa lepas.

Bilah besi pisau ini telah dipasang ke dalam pemegang yang diperbuat daripada emas dan diukir dengan cantik serta terdapat tombol kristal di bahagian hujungnya.

Sarung pisau juga diperbuat daripada emas dan dihiasi dengan ukiran sejenis serigala dan corak bulu pelepah serta bunga lili.

Umum mengetahui tamadun Mesir purba sangat kaya dengan sumber mineral asli seperti tembaga, gangsa dan emas yang telah mula digunakan sejak milenium ke-4 Sebelum Masihi lagi untuk tujuan ritual, kesenian, upacara dan pemberian hadiah.

Namun, logam besi merupakan sesuatu yang sangat jarang didapati serta dianggap jauh lebih berharga daripada emas.

Tambahan pula, hampir kesemua bukti arkeologi menunjukkan aktiviti peleburan logam di Lembah Nil hanya bermula pada kurun ke-6 S.M.

Maka, tidak hairanlah kehadiran pisau besi pada mumia Tutankhamun ini menjadi tanda tanya bagi para pengkaji seluruh dunia.

Walaupun kandungan nikel yang tinggi pada pisau tersebut menandakan ia berasal daripada batuan meteor, tidak ada bukti sahih yang dapat menyimpulkan teori berkenaan ketika itu.

Tambahan pula, artifak-artifak Mesir agak sukar dianalisis kerana kesukaran mendapatkan kebenaran untuk menjalankan ujian secara lebih dekat.

Kemajuan teknologi sekitar dua dekad yang lalu terutamanya penciptaan spektroskopi pendarfluor X-ray (XRF) yang membolehkan pengesanan sebarang komposisi kimia tanpa merosakkan artifak telah membolehkan para saintis membuktikan bahawa pisau tersebut mengandungi bahan daripada salah satu antara 76 meteorit yang pernah dijumpai.

Kaedah ujian dilakukan

Apabila sesuatu bahan dihentam oleh sinar gama atau X-ray berkuasa tinggi, ia mengeluarkan sinar cirian yang digelar pendarfluor X-ray.

Teknik ini digunakan untuk analisis kimia pelbagai objek dalam bidang sains forensik, arkeologi, seni dan geokimia.

Keputusan ujian ke atas pisau Tutankhamun yang diterbitkan pada bulan Jun 2016 dalam jurnal "Meteorites and Planetary Science" menunjukkan hampir kesemuanya adalah logam besi dengan 11% nikel dan 0.6% kobalt.

Komposisi bahan tersebut serta nisbah antara nikel dan kobalt itu juga mengesahkan yang pisau itu berasal daripada serpihan tahi bintang.

Besi meteor ialah satu-satunya sumber besi paling tulen dalam aloi yang boleh didapati sebelum Zaman Besi dan merupakan bahagian utama dalam meteorit besi.

Meteorit besi ini pula dipercayai merupakan serpihan-serpihan daripada asteroid dan planetesimal yang sudah lama dan jauh lebih besar.

Tutankhamun XRF
Ujian mesin XRF yang boleh dilakukan tanpa sentuhan.

Aloi besi meteor yang mengandungi besi bernikel ini terjadi dalam dua fasa iaitu kamasit dan tenit.

Meteorit besi adalah sangat jarang berlaku berbanding meteorit batu. Ia mempunyai ciri-ciri spektrum asteroid jenis-M dan merupakan objek yang dipercayai wujud dalam cakera protoplanetari dan serpihan di sekeliling bintang.

Walaupun hanya 5.7% daripada kejadian meteorit yang boleh dilihat itu merupakan meteorit besi, ia membentuk sehingga 90% (500 tan) daripada jumlah jisim kesemua meteorit yang diketahui.

Hal ini demikian kerana ketumpatannya yang jauh lebih tinggi berbanding meteorit lain.

Selain itu, ia juga lebih cenderung terselamat daripada kemasukan atmosfera dan perubahan cuaca di Bumi.

Tutankhamun ini diterajui oleh para penyelidik dari Polytechnic University of Milan, University of Pisa, Itali dan Muzium Mesir di Kaherah.

Mereka membandingkan besi yang terkandung dalam pisau tersebut dengan 11 meteorit yang jatuh dalam radius sejauh 2,012 kilometer.

Ujian mendapati kandungan logam pisau tersebut berpadanan dengan meteorit "Kharga" yang ditemui berhampiran Marsa Matruh pada tahun 2000.

Meteorit Hoba
Meteorit "Hoba" di Namibia.

Meteorit besi terbesar yang digelar "Hoba" dijumpai pada tahun 1920 di Wilayah Otjozondjupa, Namibia.

Beratnya dianggarkan melebihi 60 tan dan ia merupakan besi semula jadi dengan jisim paling berat di dunia.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: iluminasi

Sunday, August 25, 2019

Kekayaan Firaun Mesir Yang Tidak Dapat Dibayangkan

Kekayaan Firaun Mesir Yang Tidak Dapat Dibayangkan

Ramai tahu bahawa Mesir merupakan antara tamadun paling purba dalam sejarah, dengan pelbagai infrastruktur yang mengagumkan sepanjang mata memandang, sehinggalah kepada ilmu-ilmu hebat seperti perubatan, matematik dan juga astronomi.

Kekayaan Firaun Mesir

Namun, salah satu keagungan Mesir Purba yang jarang dibicarakan ialah kekayaan yang dimilikinya.

Kalau Mesir Purba tidak kaya, tidak akanlah makam-makam pemerintah Mesir Purba atau lebih dikenali sebagai Firaun ini menjadi mangsa rompakan para penjarah.

Bercakap mengenai makam firaun, mungkin dari sini kita boleh bermula bercerita tentang kekayaan firaun dalam sejarah.

Firaun Tutankhamen

Memperkenalkan kepada anda Firaun Tutankhamen yang terkenal dengan penemuan emas-emas yang tidak terbayang dek akal, dikebumikan bersama dengan jasadnya.

Firaun Tutankhamen bukanlah sesiapa pun dalam sejarah berbanding banyak lagi firaun, tetapi pada penemuan yang dijumpai berkaitan di makam beliau:
  • Firaun Tut dikebumikan bersama dengan tiga buah keranda.
  • Sebuah keranda kuarsit berwarna kuning yang diseliputi oleh emas.
  • Terdapat sebuah keranda yang diperbuat daripada emas yang menempatkan jasad Firaun Tut.
  • Pada jasadnya pula, terdapat sebuah topeng emas, manakala bahagian tubuhnya pula dihiasai permata bertakhta berlian dan barangan kemas yang lain.
  • Pada segala perabot yang ditempatkan dalam makamnya pula, ia dilapik oleh daun emas yang diperbuat umpama sebuah kertas.

Bayangkan kekayaan yang dimiliki oleh Firaun Tut sahaja, pada hari ini kekayaan yang ditanam di makam tersebut berjumlah lebih 680 juta dolar mencapai angka bilion ringgit.

Ramses II

Itu belum lagi kita bercakap bagaimana Ramses II, yang merupakan firaun teragung dalam sejarah Mesir Purba.

Ramses II pada zaman kemuncaknya dikatakan memiliki lebih 200 isteri dan dayang, memiliki sebuah kota yang dibina lalu dinamakan di atas namanya sendiri.

Pada zamannya, Mesir Purba tidak pernah melihat sebarang projek mega yang dibangunkan di serata Mesir.

Ketika Ramses II mati pada usia 92 tahun, seluruh Mesir Purba menjadi panik kerana menyangka bahawa dunia akan tamat kerana keagungan yang dimilikinya membuatkan Ramses II dipuja laksana TUHAN.

Kalau Firaun Tut dimakamkan bersama dengan segala perhiasan emas, Ramses II pula dimakamkan dan dimumiakan dengan pelbagai rempah menyelubungi tubuhnya.

Rongga hidungnya sahaja dipenuhi dengan rempah termahal abad silam, iaitu lada hitam.

Walaupun sebahagian besar hartanya telah hilang dirompak oleh penjarah makam, ia tetap meninggalkan seribu tanda tanya kepada kita.

Tentulah berganda-ganda kekayaan yang dimilikinya berbanding seorang raja lain yang tidak begitu terkenal seperti Firaun Tutankhamen.

Cleopatra

Atau mungkin juga kita boleh bercakap mengenai firaun wanita paling kaya dalam sejarah Mesir Purba iaitu Cleopatra.

Cleopatra disenaraikan oleh majalah Money Magazine’s ditempat ketujuh dalam sejarah, dengan kekayaannya dianggarkan bernilai 95 bilion, di mana jika digabungkan kekayaan milik Elon Musk dan juga pengasas Facebook hari ini, Mark Zuckerberg, masih lagi tidak mampu menandingi kekayaan miliknya.

Ini tidak menghairankan kerana ketika itu, Mesir adalah sebuah negara kaya raya yang mendapat manfaat dari kekayaan sumber bumi dan perdagangan komoditi seperti kaca, gandum, emas, minyak, papyrus dan banyak lagi.

Sebab itu jugalah yang membawa perhatian Julius Caesar daripada Rom untuk memberi perhatian kepada Mesir di bawah pemerintahan Cleopatra.

Amenhotep III

Tentu kita tidak akan terlepas daripada bercakap mengenai Amenhotep III yang sering didabik sebagai firaun terkaya dalam sejarah, sehingga kekayaannya seringkali membuatkan raja-raja kerajaan dan tamadun berdekatan cemburu.

Diceritakan bahawa, betapa kayanya Amenhotep III yang terkenal kerana mentadbir lombong emas di Nubia dalam penemuan sebuah surat Amenhotep III.

Surat Amarna yang isi kandungannya adalah dasar diplomasi Amenhotep III meminang puteri-puteri raja dari kerajaan yang berdekatan.

Dalam surat itu, dinyatakan raja-raja asing dari kerajaan asing tanpa segan silu merayu untuk memiliki emas yang dimiliki oleh Amenhotep III.

Amenhotep III menjawab dengan memberikan sedikit kekayaannya, tetapi sentiasa meninggalkan selebihnya membuatkan raja-raja lain semakin ingin merasai dan menikmati kekayaannya.

Kekayaannya membuatkan raja sekalipun, berasa cemburu dan menggemis tanpa segan, adalah bukti sebenar-benarnya sebuah kekayaan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: thepatriots