Thursday, June 25, 2020

Asal-usul Perayaan Hantu Lapar Masyarakat Cina

Asal-usul Perayaan Hantu Lapar Masyarakat Cina

Istilah Perayaan Hantu Lapar (Hungry Ghost Festival) dikatakan adalah rekaan istilah orang British semasa mereka menjejakkan kaki ke negara-negara Timur Asia dan hasil dari itu sambutan perayaan ini diberi satu gambaran sebagai sesuatu yang menakutkan.

Festival Hantu Lapar

Menurut Routledge Encyclopedia of Religious Rites, Rituals and Festivals (Religion and Society), hlm. 92, perayaan ini dikenali sebagai Yulanhui atau Yulanpen dalam hari ke-15 pada bulan ke-7 mengikut kalendar Buddha.

Sementara itu, istilah sebenar sambutan hantu lapar adalah Zhongyuan Jie, Gui Jie atau Yulan Festival (Yú lán pén jié), adalah sebuah perayaan yang disambut oleh penganut Buddha dan Tao di negara Asia.

Yu Lan adalah perkataan asing yang bermaksud "nasib malang orang yang digantung terbalik di dalam neraka", manakala Pen adalah mangkuk.

Yu Lan Pen dilihat sebagai: mangkuk yang disediakan makanan di dalamnya untuk para sami, dengan niat untuk menyelamatkan nasib moyang mereka yang "digantung terbalik" di dalam neraka.

Perayaan Hantu Lapar ini dikatakan bermula pada sekitar kurun ke-7 (antara 601-700 Masihi).

ASAL-USUL

Sambutan Festival Hantu Lapar adalah berbeza kerana penganut Tao, menumpukan perhatian untuk menenangkan roh-roh yang sedang berkeliaran kerana dilepaskan dari neraka, sementara bagi para penganut Buddha pula adalah lebih kepada membina nilai bakti anak-anak kepada orang tua mereka.

1. Buddhisme

Kebanyakan orang mengetahui tentang kisah perayaan ini melalui tukang cerita profesional, yang menceritakan sebuah kisah bertajuk "The Transformation Text on Mu-lien Saving His Mother from the Dark Regions".

Kisahnya tentang seorang pengikut Siddhratha Gautama Buddha bernama Mu-Lien (sanskrit: Maudgalyayana), yang mempunyai kebolehan untuk melihat alam ghaib, serta misinya untuk mencari kedua ibu bapanya yang telah meninggal dunia.

Kisah ini juga tertulis di dalam Ullambana Sutra (juga dikenali Yulanpen Sutra, dipercayai ditulis antara 266- 313 Masihi).

Maudgalyayana beri ibu makan
Maudgalyayana datang memberi makanan kepada ibunya di neraka.

Sejarahnya bermula daripada kisah ibu Maudgalyayana yang menyembunyikan derma kepada kuil dan kemudiannya menjadi hantu lapar di neraka.

Ini adalah balasan kepada ibunya kerana tidak membelanjakan wang peninggalan suaminya dengan memberikan makanan kepada orang ramai sepertimana diwasiatkan oleh suaminya itu.

Ketika Maudgalyayana sedang bertapa, dia ternampak ibunya sedang merana di dalam neraka akibat daripada balasan amalan buruk semasa hidup.

Ibunya telah menjadi hantu lapar dengan memiliki perut yang besar tetapi dengan leher yang sempit, menyebabkan ia sukar untuk menelan makanan, manakala perut yang besar menyebabkan perut selalu kosong dan selalu kelaparan.

Ibu Mu Lien diberi makan
Ibu Mu Lien diberi makan di neraka, yang memiliki leher kecil tetapi perut yang besar.

Hal ini membuatkan Maudgalyayana berasa sedih, terseksa dan bertekad untuk menyelamatkan ibunya.

Dia telah mengurangkan seksaan ibunya itu dengan meminta tunjuk ajar daripada Buddha, cara untuk memberi makan kepada ibunya itu.

Buddha mengarahkannya untuk meletakkan makanan di atas pinggan yang bersih dan membaca mantera tertentu sebanyak tujuh kali, dan memetik jari untuk memanggil roh yang telah meninggal lalu meletakkan makanan itu di atas lantai yang bersih.

Perbuatan Maudgalyāyana ini telah dapat menyelamatkan ibunya, yang kemudian telah menjelma menjadi anjing yang dijaga oleh sebuah keluarga bangsawan.

Dia lalu meminta bantuan Buddha sekali lagi untuk menghidupkan semula ibunya menjadi manusia.

Buddha pun menetapkan suatu hari (iaitu hari ke-14 bulan ke-7 tahun lunar) di mana Maudgalyāyana perlu memberi makan kepada 500 bhikkhu (para sami), sehingga ibunya dapat dihidupkan kembali dalam bentuk manusia.

Ada juga sebahagian sarjana berpendapat bahawa perayaan tradisi ini diamalkan sebelum kedatangan agama Buddha dan ia adalah lebih kepada kepercayaan kuno (Chinese folk religion) yang merangkumi seluruh daerah.

Namun, asal-usulnya tidak dapat dipastikan kerana budaya ini terdapat di negara-negara Asia dan India sehinggakan di Kemboja dan Jepun juga mempunyai perayaan yang hampir serupa dan diraikan pada bulan berkenaan.

2. Taoisme

Mengikut kepercayaan Tao, pintu neraka terbuka pada hari pertama bulan 7 dan hantu lapar akan bebas untuk mencari makanan ataupun membalas dendam kepada mereka yang berbuat jahat.

Mengikut satu cerita lain, Raja Yama (Raja Neraka) membuka pintu neraka dan membenarkan hantu liar untuk menikmati penyembahan pada hari pertama pada bulan 7.

Pintu akan ditutup pada hari terakhir pada bulan berkenaan agar hantu ini balik ke neraka, dan masyarakat Cina percaya pintu syurga juga terbuka pada bulan berkenaan, lalu mereka menyembah nenek moyang serta dewa-dewi yang datang daripada syurga.

Secara tradisinya pada bulan ini, para agamawan Taoisme akan melaksanakan upacara dan membuat persembahan makanan, sementara para penyembah akan mengunjungi kuil, serta berdoa untuk kebahagiaan dan menghindarkan bencana.

PERAYAAN

Walaupun Festival Hantu Lapar berbeza antara Tao dan Buddha, akan tetapi sambutan ini diamalkan bersekali (sinkretis) oleh masyarakat Cina di Malaysia pada hari ini.

Ketika sambutan perayaan ini, kuil, biara dan masyarakat cina akan melakukan sembahyang dan membuat persembahan makanan dan membakar kertas yang dibuat pakaian, keperluan harian dan juga barangan mewah kertas yang lain.

Mereka juga akan membuat persembahan opera Cina untuk menghiburkan hantu-hantu, akan tetapi trend telah beralih ke arah muzik Cina Moden dikenali sebagai Gei Tai. Ada juga sebahagian tempat disertakan dengan tarian dan joget.

Pada majlis tersebut, kerusi bahagian hadapan akan dibiarkan kosong untuk membenarkan hantu-hantu duduk disitu dan kerusi itu tidak dibenarkan untuk peserta mendudukinya.

Acara itu berakhir dengan makan malam untuk semua peserta, dan lelongan diadakan untuk mengumpulkan dana untuk badan amal.

Oleh itu, sementara upacara-upacara itu bertujuan untuk meraikan roh-roh yang melawat alam manusia, aktiviti-aktiviti ini juga memberi manfaat kepada masyarakat yang kurang bernasib baik melalui lelongan amal.

KESIMPULAN

Perayaan ini merupakan perayaan masyarakat Cina, kerana kepercayaan tentang roh adalah sangat menebal dan kompleks sehingga mewujudkan perayaan-perayaan yang membentuk 'penyelamatan' kepada orang yang sudah meninggal.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: askislam

Sunday, April 01, 2018

Sambutan Festival Makanan Antarabangsa Pulau Pinang

Sambutan Festival Makanan Antarabangsa Pulau Pinang

Sambutan Festival Makanan Antarabangsa Pulau Pinang disambut setiap tahun bagi memberikan peluang kepada orang ramai menikmati minuman dan makanan yang enak disediakan oleh penjaja, vendor, kafe dan restoran terbaik di negeri ini dalam festival selama 16 hari.

Sambutan Festival Makanan Antarabangsa Pulau Pinang

Acara utama akan diadakan di Lebuh Pantai, Jalan Kelawai dan Batu Kawan bagi meraikan reputasi Pulau Pinang sebagai syurga makanan di Malaysia.

Terdapat tiga acara utama pada PIFF 2018 yang mewakili pelbagai aspek landskap kulinari Pulau Pinang seperti ‘Street Food Festival', 'Taste of Penang' and 'Food Truck Invasion'.

Street Food Festival merupakan penghormatan kepada penjaja luar biasa di negeri ini dan akan menampilkan hidangan makanan jalanan yang paling terkenal.

'Taste of Penang' pula akan menumpukan kepada makanan moden Pulau Pinang dengan kafe dan restoran terbaik menyediakan hidangan eksklusif mereka.

Selain tiga acara utama itu, terdapat juga satu siri acara sampingan dalam bentuk festival mini dan pengalaman menikmati hidangan istimewa yang akan diadakan di pelbagai lokasi sepanjang festival 16 hari itu.

PIFF dianjurkan oleh TLM Event dengan sokongan kerajaan negeri Pulau Pinang.

Maklumat lanjut mengenai acara itu, orang ramai boleh melayari laman web www.piff.com.my atau Facebook Penang International Food Festival.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: mstar

Saturday, August 12, 2017

Sambutan Festival Tari Malaysia

Sambutan Festival Tari Malaysia

Festival Tari Malaysia telah mula disambut sejak tahun 1992 dan dilaksanakan oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dengan tujuan festival adalah bagi memantapkan lagi kumpulan-kumpulan kesenian di peringkat negeri selaras dengan perkembangan pesat di negara ini.

Festival Tari Malaysia

Selain itu festival tari ini diharap dapat menjadikan kesenian sebagai satu pengisian kepada industri pelancongan negara.

Beberapa kategori dipertandingkan sempena festival tari tersebut.

Antaranya Anugerah Kostum Terbaik tarian kontemporari, Anugerah Susunan Muzik Terbaik Tarian Kontemporari dan Anugerah Susunan Muzik Terbaik Tarian Rampaian Tradisional.

Penyertaan Festival Tari Malaysia ini dibuka kepada mereka yang berumur 16 hingga 35 tahun.

Keutamaan adalah kumpulan baharu untuk menampilkan bakat masing-masing dengan penyertaan setiap pasukan tidak melebihi 15 orang

Kumpulan yang ingin bertanding perlu menyediakan sinopsis mengenai sejarah penubuhan kumpulan, pereka tari, pemuzik, konsep serta tema tarian.

Pertandingan semasa Festival Tari Malaysia menawarkan hadiah wang tunai, sijil penyertaan dan trofi.

Masuk adalah percuma dan borang penyertaan boleh didapati di pejabat atau laman web JKKN.

Medan serlah bakat seni tari

Tarian tradisi mahupun etnik melambangkan warisan bangsa dan identiti sesebuah negara. Rutin dalam gerak tarinya dipersembahkan bukan kosong, tetapi ada isinya iaitu menceritakan sifat majmuk masyarakat, cara hidup sesebuah kaum termasuk pakaian, makanan, adat resam dan seni.

Atas sebab ini pentingnya tarian tradisi ini terus dipelihara.

Ia juga mendorong Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dengan kerjasama Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan menganjurkan Festival Tari Malaysia.

Mengikuti peredaran semasa tiada salahnya asal tidak meminggirkan seni tradisi yang menjadi lambang jati masyarakat. Memeliharanya inilah antara usaha giat dijalankan JKKN.
JKKN sentiasa mencari inisiatif untuk memberi nilai tambah, pembaharuan ke arah transformasi dan menjadi pemangkin kepada perkembangan seni budaya tanah air dalam mengiktiraf karyawan seni budaya tempatan dengan menyediakan landasan untuk mereka mempersembahkan karya bermutu dan dihayati bersama.

Festival Tari Malaysia membawa satu kelainan dengan memberi peluang kepada generasi muda untuk menyerlahkan bakat bukan saja dalam bidang tradisional seperti kelazimannya, malah memberi peluang untuk mendedahkan bakat dalam genre tarian moden seperti street dance, hip hop, ballet, kontemporari, jazz, line dance, tap, bally, lyrical dance dan banyak lagi genre tari moden lain yang bersesuaian.

Setiap kumpulan akan bersaing dengan lapan daripadanya adalah kategori tradisional manakala selebihnya kategori moden.

Acara Festival Tari Malaysia ini terbuka kepada orang ramai dan mereka dijemput hadir untuk menyaksikan FESTARI kerana tiada bayaran dikenakan.
 
Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: 14 Tarian Tradisional Masyarakat Majmuk Di Malaysia

sumber: jkkn

Friday, July 21, 2017

Festival Makanan Tradisi Sabah

Festival Makanan Tradisi Sabah

Sambutan Festival Makanan Tradisi Sabah mampu menjadi platform untuk mempromosi dan mengetengahkan makanan tradisional negeri ini, kata Penolong Pegawai Daerah Penampang Henry Idol.

Festival Sabah

Beliau berkata menerusi acara itu, pengendali dan pengusaha makanan di Sabah dapat mempamerkan hidangan masing-masing kepada orang ramai.

“Inilah masanya untuk meneroka kepelbagaian rasa makanan-makanan istimewa tradisi Sabah yang bukan sahaja unik, tetapi mampu memperkenalkan suku kaum dan budaya di negeri ini.

“Makanan tradisional ini juga turut memperihalkan identiti masyarakat atau daerah di Sabah kerana setiap daerah di negeri ini terkenal dengan makanan tradisinya.

"Contohnya, daerah Penampang terkenal dengan hidangan tradisional istimewa hinava,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan festival itu di perkarangan Pusat Kebudayaan Sabah, Penampang.

Festival Makanan Tradisi Sabah 2017 yang bermula pada 20/7/2017 sehingga 23/7/2017, dianjurkan oleh Junior Chamber International (JCI) Penampang dan Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah, sempena Program Tugu Budaya Etnik Sabah.

Selain itu, Henry turut mencadangkan agar makanan tradisional di negeri ini, disajikan di setiap hotel di Sabah.

“Makanan adalah antara tarikan yang mampu menarik minat pelancong luar. Oleh itu, saya harap makanan tradisional ini turut menjadi menu utama di hotel-hotel di Sabah,” katanya.

BACA INI JUGA:

sumber: mynewshub

Saturday, May 27, 2017

Sambutan Hari Seniman Kebangsaan

Sambutan Hari Seniman Kebangsaan

Hari Seniman Kebangsaan di Malaysia disambut pada 29 Mei setiap tahun bagi memperingati pemergian seniman agung negara, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee ke rahmatullah, 29 Mei 1973.

Hari Seniman Kebangsaan

Allahyarham P. Ramlee merupakan seniman tersohor, insan seni yang amat istimewa dan seorang reformer paling hebat dan tidak ada tandingannya.

P. Ramlee telah membawa banyak perubahan kepada bangsa Melayu dan telah menjadikan filem serta lagu sebagai satu usaha mempengaruhi pemikiran masyarakat untuk membawa kemajuan dan mengetepikan apa-apa yang tidak membawa kemajuan.

Langkah kerajaan mewujudkan Hari Seniman Kebangsaan juga adalah atas kesedaran golongan seniman termasuk penggiat seni sudah sekian lama memberi sumbangan berterusan kepada negara.

Bagi mereka yang bergelar seniman, Hari Seniman Kebangsaan membawa makna bahawa sumbangan mereka diiktiraf dan diakui.

Seniman tentunya bukan setakat artis dan karyawan filem serta muzik semata-mata malah merangkumi penggiat seni lain.

Hari seniman seharusnya disambut dengan hasrat para seniman dan karyawan akan terus menghasilkan karya yang mampu menyumbang ke arah merealisasikan wawasan negara.

Memang kita tidak boleh nafikan bahawa warga seni merupakan satu aset penting negara. Mereka mempunyai tugas yang penting iaitu meninggikan martabat masyarakat melalui karya seni

Seni tidak harus dijadikan santapan mata dan telinga semata-mata tetapi ia perlu berperanan dalam melahirkan tamadun bangsa berilmu dan berbudaya.

Dalam usaha Malaysia menuju ke arah negara maju, pembangunan material bukan segala-galanya tetapi menuntut kepada kepelbagaian elemen termasuk pembudayaan karya seni.

Kemajuan yang syumul bukan setakat pembangunan material semata-mata tetapi ia menuntut kepada pelbagai elemen kemajuan dan pembangunan termasuk pembudayaan karya seni dalam kalangan masyarakat.

Dalam konteks ini, seni perlu dijadikan sebagai satu wadah ke arah memupuk masyarakat yang berbudaya dan bertamadun.

Seni juga merupakan satu industri yang mempunyai potensi besar untuk dikembangkan bagi menjana pendapatan lebih tinggi, namun begitu ia perlu diusahakan secara bersungguh-sungguh.

Kerajaan sentiasa prihatin untuk membela nasib warga seni dan sedia mempertimbangkan sebarang cadangan yang boleh memberi kebaikan kepada golongan tersebut.

Bagi meneruskan usaha ini, kerajaan akan terus memberikan dokongan, sokongan dan galakan yang sewajarnya kepada penggiat seni dalam pelbagai genre dan bidang

Program sempena Hari Seniman

Konsep acara pada sambutan Hari Seniman termasuklah mempamerkan aktiviti seni persembahan secara terus yang menggambarkan keunikan, peranan dan sumbangan warga seni negara dalam menyumbang pembentukan bangsa Malaysia.

Melalui pameran itu, usaha mewujudkan jati diri bangsa dan menggalakkan semua pihak mencintai budaya dapat dilihat.

Program yang dirancang menjurus kepada cabang-cabang kesenian seperti kesenian rakyat, seni lukis, lakonan, nyanyian, puisi serta bidang seni lain.

Acara yang dirancang itu adalah untuk memperlihatkan sumbangan setiap cabang seni dalam menyemarakkan perkembangan seni tanah air.

Pada sebelah malam pula akan diadakan bacaan tahlil.

Agensi dan jabatan lain di bawah KPKKW juga menganjurkan program tersendiri, yang melibatkan ekspo jualan kraf, pameran produk kraf serta pameran seni warisan.

Jabatan Warisan Negara pula akan mengadakan Himpunan Seniman Rakyat manakala Teater Muzikal P. Ramlee akan dipentaskan di Istana Budaya.

Hari Seniman Kebangsaan tidak setakat untuk bersuka ria tetapi lebih penting pengisian ke arah mengangkat martabat seni.

Misalnya, lebih banyak peluang diberikan kepada kumpulan teater untuk beraksi di pentas Istana Budaya atau memberi peluang kepada lebih banyak artis mengadakan pameran secara berkumpulan atau solo di Balai Seni Lukis Negara.

Kepada semua anak seni yang bergelar atau digelar seniman, pengiktirafan itu jangan disia-siakan. Mereka perlu menyokong penuh program murni ini demi memartabatkan dunia kesenian negara.

Tunjukkan perpaduan dan mungkin dengan cara itu kerajaan dapat mempertimbangkan dana sesuai untuk mengangkat lagi industri seni di Malaysia.

Selamat menyambut Hari Seniman Kebangsaan.

BACA INI JUGA: Merekalah Yang Telah Menjatuhkan P. Ramlee

sumber: utusan | kosmo

Sunday, May 14, 2017

The Big Bad Wolf Book Sale, Pesta Jualan Buku Terbesar Di Malaysia

The Big Bad Wolf Book Sale, Pesta Jualan Buku Terbesar Di Malaysia

The Big Bad Wolf Book Sale merupakan pesta jualan buku terbesar di dunia yang diadakan di Malaysia, yang diadakan sepanjang tahun.

The Big Bad Wolf Book Sale

Pesta jualan buku Big Bad Wolf menawarkan potongan harga buku dari 75% hingga 95% dan dimulakan pada tahun 2009 oleh pemilik kedai buku BookXcess, Andrew Yap dan pasangannya Jacqueline Ng. Ia kini menjadi acara tahunan dan dikendalikan oleh syarikat Big Bad Wolf Sdn. Bhd.

Pada tahun 2012-2016 ia telah dijalankan di di Pusat Pameran dan Konvosyen Antarabangsa Malaysia (MIECC), Kuala Lumpur dengan 3-3.5 juta buah buku dan majalah untuk dijual dengan kebanyakannya adalah buku bahasa Inggeris.

Big Bad Wolf menggunakan tema di dalam cerita dongeng si kecil pemakai tudung merah (Little Red Riding Hood) dengan menjadikan serigala di dalam kisah itu, iaitu Big Bad Wolf, datang 'menyerang' dan 'menculik' buku-buku di luar negara dan kemudian singgah di Malaysia. Oleh kerana buku-buku itu 'diculik', ia dijual dengan harga murah.

Sejarah

Jualan The Big Bad Wolf Book Sale bermula dengan pembukaan kedai buku BookXcess oleh Andrew Yap. Cetusan idea pesta ini terhasil apabila beliau terfikir untuk menghabiskan stok buku-buku di kedainya.
  • Bermulalah pesta jualan pertama pada Mei 2009, di Dataran Hamodal, Petaling Jaya, Selangor. Atas sambutan yang hangat, pesta jualan kedua berlangsung sekali lagi pada tahun yang sama (26 November-2 Disember) di Amcorp Mall, Petaling Jaya.
  • Pada tahun 2010, ia diadakan pula di South City Plaza di Seri Kembangan bermula pada 12 November hingga 17 November.
  • Pada tahun 2011, pesta jualan ini telah berlangsung di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) selama 10 hari (7-16 Oktober) dengan menawarkan sehingga 1.5 juta buah buku dan majalah.
  • Pada tahun 2012, pesta jualan buku Big Bad Wolf diadakan pada 7-23 Disember di Pusat Pameran dan Konvosyen Antarabangsa Malaysia (MIECC), Kuala Lumpur.
  • Pada tahun 2013, pesta jualan buku Big Bad Wolf berlangsung pada 6-15 Disember 2013 di MIECC@The Mines. Di buka 230 jam tanpa henti (24 jam) dan sebanyak 3 juta buku ditawarkan.
  • Pada tahun 2014, pesta jualan buku Big Bad Wolf berlangsung pada 5-16 Disember 2014 di MIECC@The Mines. Sebanyak 3.5 juta buku ditawarkan.
  • Pada tahun 2015, pesta jualan buku Big Bad Wolf berlangsung pada 4-14 Disember 2014 di MIECC@The Mines.
  • Pada tahun 2016, pesta jualan buku Big Bad Wolf berlangsung pada 9-19 Disember 2014 di MIECC@The Mines, selama 254 jam tanpa henti.

Stok buku

Andrew berkata, beliau mendapatkan buku-buku ini dengan harga murah melalui pembelian lebihan stok buku dari gudang-gudang buku pengedar luar negara seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia dan Kanada.

Ini kerana buku-buku yang tidak habis dijual di kedai-kedai buku luar negara dalam tempoh tertentu akan disimpan di dalam gudang bagi menggantikan buku-buku keluaran terkini.

Oleh itu, buku-buku yang dijual di jualan Big Bad Wolf adalah buku asli dan baru.

BACA INI JUGA:

sumber: wikipedia

Friday, April 28, 2017

Sambutan Perayaan Vaisakhi Penganut Sikh

Sambutan Perayaan Vaisakhi Penganut Sikh

Vaisakhi juga dikenali sebagai Baisakhi) ialah salah satu pesta menuai kuno di Punjab, yang juga menandakan bermulanya tahun suria baru dan musim menuai baru.

Vaisakhi

Vaisakhi juga membawa kepentingan keagamaan bagi penganut agama Sikh, yang jatuh pada hari pertama bulan Vaisakh dalam kalendar Nanakshahi suria, bersamaan dengan 14 April dalam kalendar Gregory.

Vaisakhi merupakan salah satu perayaan utama dalam kalendar Sikh, memperingati penubuhan Khalsa pada tahun 1699; Tahun Baru Sikh.

Vaisakhi juga disambut sebagai bermulanya tahun baru oleh bangsa India di Bengal Barat, Kerala, dan sesetengah rantau lain di India.

Kepentingan tertentu yang dihubungkan dengan perayaan ini menonjolkan kepelbagaian antara rantau di luar Punjab.

Di Himachal Pradesh, Dewi Hindu Jwalamukhi dipuja pada hari Vaisakhi, sementara di Bihar, dewa matahari Surya diberi penghormatan.

Perayaan ini disambut sebagai Rongali Bihu di Assam, Naba Barsha di Bengal, Puthandu di Tamil Nadu, Vishu (atau Vaishakhi) di Kerala, dan Tahun Baru Sinhala/Tamil di Sri Lanka.

Selain Punjab, Vaisakhi juga disambut sebagai pesta menuai di beberapa negeri lain di utara India, termasuk Haryana, Himachal Pradesh dan Uttaranchal.

Vaisakhi dalam agama Sikh

Guru Gobind Singh, guru Sikh Kesepuluh mengasas Khalsa (Hamba-hamba Tuhan) pada perhimpunan Vaisakhi tahun 1699, di Keshgarh Sahib berhampiran Anandpur, di mana beliau bersedia untuk para pengikut berjumpa dengan beliau di Pesta Vasakhi di Anandpur.

Pada hari itu Guru Gobind Singh meminta seorang lelaki dalam jemaah yang sanggup mengorbankan nyawa diri demi perjuangannya tampil ke hadapan.

Lelaki itu bernama Daya Singh dan dia mengikut Guru ke dalam khemah beliau. Sewaktu Guru keluar dari khemah, pedang beliau diwarnai darah; maka beliau meminta seorang lagi.

Seorang demi seorang Dharam Singh, Himmat Singh, dan Sahib Singh ctampil ke hadapan. Seorang demi seorang mereka memasuki khemah Guru, dan Guru keluar sendiri dengan pedang berdarah.

Para pengikut berasa gementar, sehingga kelima-lima lelaki itu keluar dari khemah, lalu dinamai Panj Piare atau lima orang tersayang.

Guru mencurahkan air ke dalam sebiji mangkuk untuk direnjiskan pada lima orang itu dalam upacara inisasi yang serba ringkas.

Beliau membaca doa sambil mengacau air dengan sebilah pedang keluli yang pendek; melambangkan perlunya kekuatan.

Isteri Guru, Mata Sundri, kemudian tampil ke hadapan lalu meletakkan beberapa hablur gula ke dalam air suci atau amrit sebagai peringatan bahawa kekuatan mesti diimbangi dengan kebaikan resmi. Setelah selesai upacara, barulah Guru merenjiskan amrit pada kelima-lima orang itu.

Guru mengisytiharkan lima orang pengikut itu sebagai ahli-ahli terawal sebuah masyarakat orang-orang setaraf yang lama, bergelar Khalsa atau "suci".

"Tentera keramat" ini bertujuan membaktikan sepanjang umur mereka untuk membantu yang lain dan mengejar keadilan demi segala insan tanpa mengira agama.

Panj Pyare itu diminta memakai lima lambang tersendiri identiti baru mereka, iaitu Lima K.

Sebagai langkah menghapuskan pembahagian sosial, nama keluarga Panj Pyare digugurkan oleh Guru, terutamanya kerana nama keluarga dikaitkan dengan kasta seseorang - kemudian Guru mengurniakan gelaran Singh (yang bermaksud "singa") kepada Panj Pyare (dan semua lelaki Sikh) sebagai peringatan perlunya keberanian.

Pada masa yang sama, Guru mengurniakan gelaran "Kaur" ("puteri") pada semua perempuan Sikh untuk menekankan maruah dan kesetarafan sepenuhnya.

Kemudian, Guru berlutut menghadap kelima-lima pengikut itu lalu meminta mereka menginisiasi beliau. Maka, Khalsa menjadi sebuah masyarakat di mana tuan dan pengikut adalah setaraf.

Bagi orang-orang Sikh, perayaan bermusim ini juga amat penting sebagai memperingati penubuhan Akal Khalsa (Tentera kepada Yang Abadi) di Anandpur Sahib.

Akal Khalsa memainkan peranan penting dalam menentang pemerintahan Empayar Mughal.

Berabad-abad kemudian, anak lelaki sulung kebanyakan keluarga Hindu di Punjab ditahbiskan sebagai Sikh agar membolehkan anak-anak itu berlatih dan menjadi pahlawan dan berjuang demi rakyat jelatan. Kanak-kanak lelaki lain pula menjaga keluarga, orang tua dan tanah.

Sambutan

Bagi menyambut perayaan, para penganut berkumpul di gurdwara atau tempat ibadah Sikh.

Sambutan bermula awal apabila penganut yang membawa bunga dan persembahan pergi ke gurdwara sebelum subuh.

Perarakan sekitar bandar juga satu kebiasaan Vaisakhi merupakan hari kelahiran Khalsa (Orang-orang Suci) dan para penganut Sikh diberi identiti yang jelas tatalaku untuk diikuti.

BACA INI JUGA: Kumbh Mela, Ritual Penyucian Dosa Penganut Hindu

sumber: wikipedia