Wednesday, November 23, 2022

Sejarah Asal Nama FIFA Dan Kenapa Piala Dunia Berlangsung Setiap 4 Tahun

Sejarah Asal Nama FIFA Dan Kenapa Piala Dunia Berlangsung Setiap 4 Tahun

Piala Dunia dikenali sebagai kejohanan yang berlangsung setiap 4 tahun sekali, dengan hak penganjuran sebagai tuan rumah berpindah-pindah di antara benua. Namun, kenapa Piala Dunia berlangsung setiap 4 tahun?

Kenapa FIFA Setiap 4 Tahun

Sebelum bermulanya kejohanan Piala Dunia, temasya Sukan Olimpik moden sudah jauh lebih awal pada tahun 1896. Salah satu acara yang cuba dipertandingkan dalam temasya Olimpik adalah bola sepak.

Kisahnya, dalam era tersebut disebabkan kekangan logistik dan fasiliti yang boleh diguna pakai, perlawanan bola sepak biasanya terhad dianjurkan dalam kejohanan tempatan, dikendalikan oleh persatuan bola sepak peringkat daerah atau negeri.

Jarang masyarakat ketika itu dapat menyaksikan perlawanan di antara negara berlangsung kecuali bagi negara-negara berjiran; seperti perlawanan di antara England dengan Scotland yang berlangsung pada tahun 1872.

Perlawanan yang berkesudahan dengan keputusan seri tanpa jaringan itu, menjadi perlawanan pertama dalam sejarah masyarakat dunia menampilkan dua pasukan yang mewakili dua negara berentap atas padang.

Sambutan penyokong serta masyarakat antarabangsa yang mahu melihat pasukan-pasukan negara berentap antara satu sama lain, membolehkan bola sepak dimasukkan ke dalam Sukan Olimpik 1900 di Paris, Perancis sebagai acara persembahan.

Penubuhan FIFA

Bagi memperkemas perkembangan sukan agar berkembang ke satu hala tuju yang konkrit, usaha menubuhkan sebuah badan khusus bagi menyelia sukan bola sepak dijalankan.

Beberapa negara Eropah mula berbincang sesama mereka bagi menubuhkan satu jawatankuasa khas memantau perjalanan dan susun atur sukan itu pada tahun 1904, dengan penyertaan negara seperti Perancis, Belgium, Denmark, Belanda, Sweden dan Switzerland.

Sepanyol pula ketika itu tiada wakil negara, diwakili pentadbir kelab Madrid Football Club (kini Real Madrid).

Mereka bersepakat mewujudkan kerjasama menubuhkan Fédération internationale de Football Association, diolah menggunakan bahasa Perancis dengan singkatannya FIFA, oleh kerana Perancis menawarkan diri menjadi tuan rumah persidangan kali pertama.

Itulah sebabnya nama FIFA secara rasmi terus ditulis dalam bahasa Perancis sehingga sekarang. Mesti ramai tak perasan nama penuh FIFA sebenarnya bukan dalam bahasa Inggeris kan?

Berikutan kejayaan penubuhan sebuah badan khusus mentadbir perjalanan sukan bola sepak, FIFA mula diberikan peluang memainkan peranan menyokong penganjuran acara bola sepak bermula dalam beberapa kejohanan lain pada tahun 1906 dan sukan Olimpik bermula dengan temasya 1908.

Bergantung Kehendak Sukan Olimpik

Bersetuju untuk menjalinkan kerjasama, Jawatankuasa Olimpik dan FIFA memulakan hubungan pertama secara rasmi dengan penganjuran acara bola sepak Olimpik 1908 di London.

Bagaimanapun kebanyakan perlawanan berkesudahan dengan keputusan yang agak berat sebelah, berikutan kualiti pemain yang tidak seimbang antara negara yang menghantar pasukan.

Punca utamanya adalah disebabkan syarat ketat Olimpik memerlukan semua peserta atau pemain yang bertanding dalam temasya, haruslah bergelar seorang atlet amatur.

Syarat ini menjadi kekangan utama untuk negara-negara yang pada ketika itu sudah mula membentuk skuad bola sepak sendiri, dibarisi pemain-pemain berstatus profesional.

Situasi pemain amatur ini kekal dalam beberapa siri kejohanan Olimpik, menyebabkan FIFA mula merasakan kemajuan sukan bola sepak tidak boleh berlaku selagi mana mereka masih menuruti syarat penganjuran Olimpik.

Status amatur yang wajib diikuti dikhuatiri FIFA, hanya mengakibatkan banyak pasukan gagal menyediakan pasukan yang benar-benar mantap beraksi.

Faktor inilah yang menjadi punca kenapa kepimpinan tertinggi FIFA mengorak langkah mahu mewujudkan satu kejohanan berbeza di bawah payung sendiri.

Temasya Olimpik 1928 di Belanda menyaksikan bola sepak menjadi acara paling popular dengan menyaksikan Uruguay menewaskan Argentina untuk memenangi pingat emas.

Menyedari itulah detik terbaik untuk mereka berpecah dari Olimpik, FIFA memulakan pelan kejohanan bola sepak antara negara dengan sasaran kejohanan pertama akan dimulakan dalam tahun 1930.

Berpecah Dari Olimpik

Bagi memastikan peminat sukan bola sepak tidak terkeliru dengan kewujudan satu kejohanan bola sepak baru, FIFA mengumumkan bola sepak tidak akan dipertandingkan dalam tahun 1932.

Hanya satu kejohanan, iaitu kejohanan Piala Dunia 1930 diambil kira sebagai kejohanan bola sepak rasmi yang disahkan FIFA.

Walaupun sudah berpisah, FIFA tetap menghormati jasa baik Olimpik yang sudah memberikan mereka platform pendedahan dan tapak mula.

Demi memastikan penjadualan kedua-dua buah kejohanan tidak terganggu, FIFA bersetuju untuk menganjurkan Piala Dunia setiap 4 tahun sekali sama seperti Olimpik, dengan penganjurannya berlangsung dalam tahun ke 2 selepas setiap kali Olimpik berlangsung.

Penganjuran Piala Dunia 1930 bertempat di Uruguay, menyaksikan tuan rumah mengulangi pencapaian mereka di Olimpik 1928 dengan membenam Argentina 4-2, melayakkan Uruguay bergelar pemenang pertama Piala Dunia.

Kejohanan yang disertai 13 buah negara majoritinya oleh pasukan dari benua Amerika Selatan disebabkan oleh kesukaran pasukan dari Eropah untuk hadir, tetap diterima baik membuktikan Piala Dunia boleh berkembang lebih besar.

Penganjuran dalam zaman moden

Ura-ura cadangan untuk menukarkan kejohanan sukan bola sepak Piala Dunia kepada kejohanan 2 tahun sekali, masih dalam proses perbincangan pihak terlibat.

Cadangan ini didasari berdasarkan kadar keuntungan yang lebih kerap boleh dijana, berikutan kekerapan penganjuran yang meningkat seandainya cadangan ini dapat dilaksanakan.

Namun, jika dinilai dalam aspek sekarang, 4 tahun jarak di antara setiap kejohanan Piala Dunia sebenarnya harus dilihat wajar dikekalkan.

Ini kerana skop penganjuran perlu ditanggung negara tuan rumah bagi mempersiapkan fasiliti yang diperlukan, jauh lebih besar berbanding Piala Dunia edisi terdahulu.

Seandainya dinilai pada aspek pemain dan pasukan, dalam zaman sekarang pun sudah wujud kejohanan bersifat dalam benua seperti Piala Asia, Piala Eropah dan Piala Negara-Negara Afrika yang mengisi kalendar kejohanan, dianjur berselang 2 tahun dengan tarikh Piala Dunia.

Adakah pertukaran penganjuran Piala Dunia ke 2 tahun sekali lebih baik atau hanya akan mengakibatkan lambakan kejohanan sehingga Piala Dunia hilang prestijnya?

Ada kemungkinan situasi sebegitu akan berlaku, tetapi kita yakin potensi penganjuran yang membawa kepada janaan untung komersial sudah menjadi satu kepentingan yang tidak lagi dapat dihiraukan.

Bila agaknya Piala Dunia akan berlangsung 2 tahun sekali?

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: (1)

Thursday, July 11, 2019

Sejarah Bola Sepak Piala Dunia Wanita FIFA

Sejarah Bola Sepak Piala Dunia Wanita FIFA

Piala Dunia Wanita FIFA adalah sebuah kejohanan bola sepak antarabangsa untuk wanita yang disertai oleh pasukan wanita kebangsaan daripada kalangan ahli FIFA dan diadakan empat tahun sekali sejak tahun 1991, sebelumnya dikenali sebagai Kejohanan Dunia Wanita yang telah diadakan di China.

Piala Dunia Wanita FIFA
AS juara FIFA 2019.

Format terkini kejohanan ini menyaksikan terdapat 24 slot di mana 1 slot dirizabkan kepada pasukan tuan rumah dan 23 slot lagi ditawarkan kepada pasukan kebangsaan yang akan melalui fasa kelayakan yang diadakan selama lebih kurang tiga tahun.

Pusingan akhir kejohanan ini kemudian diadakan di negara yang telah ditetapkan sebagai tuan rumah selama sebulan.

Setakat ini, lapan edisi kejohanan Piala Dunia Wanita FIFA telah diadakan dan dimenangi oleh empat pasukan kebangsaan berbeza, termasuklah pasukan Amerika Syarikat, yang mengalahkan pasukan Norway dengan jaringan 2-1 dalam edisi pertama.

Juara semasa dimenangi oleh pasukan Amerika Syarikat, selepas memenangi kejuaraan kali keempat mereka dalam kejohanan Piala Dunia Wanita FIFA 2019.

Format

Pusingan akhir menyaksikan 12 hingga 24 buah pasukan kebangsaan bertanding dalam masa sebulan di negara tuan rumah.

Ianya mempunyai dua peringkat iaitu; peringkat kumpulan dan kalah mati. Dalam peringkat kumpulan, pasukan akan dibahagikan kepada empat kumpulan yang setiap satunya terdiri daripada empat pasukan.

Setiap kumpulan akan bermain menggunakan format round-robin di mana setiap pasukan dijadualkan beraksi sebanyak 3 perlawanan menentang pasukan lain dalam kumpulan yang sama.

Bagi perlawanan terakhir kumpulan, ianya dijalankan pada masa serentak bagi mengekalkan kesaksamaan di antara kesemua pasukan dalam kumpulan itu.

Pada tahun 2019, yang menggunakan format 24 pasukan, dua pasukan teratas dalam setiap kumpulan serta empat pasukan terbaik yang menduduki kedudukan ketiga setiap kumpulan akan layak ke pusingan kalah mati. Mata akan diberikan kepada pasukan dalam setiap kumpulan.

Sejak tahun 1994, tiga (3) mata diberikan kepada pasukan yang memenangi perlawanan, satu (1) mata kepada pasukan yang seri manakala tiada mata (0) diberikan kepada pasukan yang kalah.

Dalam pusingan kalah mati pula, pasukan akan melawan pasukan yang telah ditetapkan sebanyak satu perlawanan sahaja, di mana masa tambahan atau sepakan penalti akan diadakan jika perlawanan berkesudahan seri selepas masa penuh.

Keputusan Pemenang Perlawanan Akhir
  • 1991: Amerika Syarikat 2–1 Norway
  • 1995: Norway 2–0 Jerman
  • 1999: Amerika Syarikat 0–0 China (Penalti 5–4)
  • 2003: Jerman 2–1 Sweden (Gol Emas)
  • 2007: Jerman 2–0 Brazil
  • 2011: Jepun 2–2 Amerika Syarikat (Penalti 3–1)
  • 2015: Amerika Syarikat 5–2 Jepun
  • 2019: Amerika Syarikat 2-0 Belanda

Saksikan aksi AS menewaskan Belanda pada final FIFA 2019.

BACA INI JUGA:



sumber: wikipedia

Tuesday, September 25, 2018

Luka Modric Pemain Terbaik FIFA 2018

Luka Modric Pemain Terbaik FIFA 2018

Sepanyol, Real Madrid dari Croatia, Luka Modric diumumkan Pemain Terbaik Kesatuan Bola Sepak Dunia (FIFA) 2018 dalam majlis yang berlangsung di London pada Isnin (24/9/2018).

Luka Modric FIFA 2018

Antara pencapaian hebat Modric adalah membantu pasukannya muncul juara Kejohanan Liga Juara-Juara Eropah selain membantu Croatia mara ke perlawanan akhir pada aksi Piala Dunia Rusia.

Croatia bagaimanapun tewas di tangan Perancis.

Selain Modric, turut tercalon adalah pemain Liverpool dari Mesir, Mohamed Salah dan pemenang tahun lepas, Cristiano Ronaldo dari Portugal yang juga rakan sepasukan Modric.

Marta FIFA 2018
Marta.

Gelaran Pemain Terbaik Wanita pula dirangkul oleh pemain Brazil, Marta.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: astroawani

Friday, July 13, 2018

8 Perlawanan Paling 'Kotor' Dalam Sejarah Piala Dunia

8 Perlawanan Paling 'Kotor' Dalam Sejarah Piala Dunia

Perlawanan ketika berlangsungnya perlawanan Piala Dunia biasanya tidak dapat lari dari dicemari dengan pelbagai insiden kekasaran yang memaksa pengadil melayangkan kad malah, ada juga insiden-insiden yang tidak disedari pengadil terutamanya apabila para pemain cuba bermain dengan siku.

Mari kita lihat beberapa perlawanan yang dianggap paling kotor dalam sejarah Piala Dunia.

1. Portugal lawan Brazil, Piala Dunia 1966

8 Perlawanan Paling 'Kotor' Dalam Sejarah Piala Dunia

Piala Dunia 1966 merupakan satu detik manis bagi England kerana dapat menjulang Piala Dunia di tanah air mereka sendiri.

Tetapi bagi Pele, ia sesuatu yang mahu dilupakan beliau kerana pada edisi ini, Brazil tersingkir ketika di peringkat kumpulan.

Pele yang diragui tahap kecergasannya semasa bermain menentang Bulgaria disahkan cergas untuk membantu Selecao menghadapi ancaman The Navigators.

Dan perlawanan itu dianggap penting terutama selepas Brazil tewas di tangan Turki pada perlawanan kedua.

Menyedari betapa pentingnya perlawanan ini, jurulatih Vicente Feola menukar barisan pertahanan dan penjaga gol serta mengambil risiko menurunkan Pele.

Perlawanan yang berlangsung di gelanggang Everton, Goodison Park ini menyaksikan Pele sentiasa dikasari Joao Pinto sehingga menyebabkan beliau terhincut-hincut dalam perlawanan.

Perlawanan berakhir dengan kemenangan 3-1 memihak kepada Portugal dan mereka berjaya mendapat tempat ketiga dalam edisi itu.

Bagi Raja Bola Brazil itu pula, Piala Dunia 1966 seharusnya menjadi medan terakhirnya tetapi keputusan persaraannya dibatalkan dengan beliau mengetuai Selecao memenagi Piala Dunia 1970.

2. England lawan Argentina, Piala Dunia 1966

8 Perlawanan Paling 'Kotor' Dalam Sejarah Piala Dunia

Jika Pele merasakan nasib malang menimpanya kerana ditimpa kecederaan, dia bernasib baik kerana pemain-pemain England seperti mendiang Sir Geoff Hurst dan Martin Peters pasti bersetuju dengannya.

Ini diakui sendiri pengurus England, Sir Alf Ramsey yang melabel pemain-pemain Argentina binatang kerana satu insiden membabitkan kapten mereka, Antonio Rattin enggan keluar padang selepas dilayangkan kad merah.

Pada perlawanan berkenaan, pemain-pemain Argentina dituduh melakukan taktik kotor seperti meludah dan memulas telinga pemain England.

Rattin kemudiannya dihalau keluar pengadil kerana selalu meleteri pengadil.

Ramsey turut mengarahkan pemain tidak bertukar jersi dengan pemain La Albiceleste selepas tamat perlawanan yang memihak 1-0.

Dan dalam terowong pemain pula, wujud kekecohan antara pemain kedua-dua negara.

Mereka bernasib baik kerana insiden berkenaan tidaklah sekecoh Pizzagate membabitkan pemain tengah Chelsea, Cesc Fabregas dan Ferguson selepas Manchester United menamatkan rekod tanpa kalah Arsenal pada musim 2004-2005.

3. Itali lawan Argentina, Piala Dunia 1982

8 Perlawanan Paling 'Kotor' Dalam Sejarah Piala Dunia

Ini antara resepi yang selalu ditiru pihak lawan sekiranya pasukan mempunyai pemain bertaraf bintang dan legenda.

Tidak kiralah sama ada anda Lionel Messi, Cristiano Ronaldo, Zidane atau Maradona, manteranya tetap sama:

'Halang mereka dan anda halang mereka bermain’.

Dalam kes Maradona, Itali tahu sekiranya mereka mahu menang, maka Maradona perlu dihalang.

Dan tugas itu diserahkan kepada pemain pertahanan Juventus, Claudio Gentile.

Gentile yang berkebolehan bermain sebagai bek tengah atau pemain pertahanan kanan/kiri, merupakan individu yang paling sesuai untuk tugas itu.

Pada perlawanan berkenaan, Gentile melakukan 23 kekasaran ke atas Maradona dan bernasib baik pengadil memutuskan untuk tidak menghalaunya keluar selepas dilayangkan kad kuning pada minit ke-42.

Ironinya, orang yang bertanggungjawab menyebabkan La Albiceleste kalah ialah pemain pertahanan Americo Gallego yang dihalau keluar pengadil kerana menolak pemain dengan sengaja.

Argentina kalah 2-1 dengan Itali meneruskan kemaraan dan menjulang kejuaraan Piala Dunia.

4. Scotland lawan Uruguay, Piala Dunia 1986

8 Perlawanan Paling 'Kotor' Dalam Sejarah Piala Dunia

Piala Dunia 1986 merupakan edisi Piala Dunia yang penuh dengan kontroversi.

Jika England menyumpah seranah pengadil kerana membenarkan jaringan gol Tangan Tuhan yang dilakukan Maradona, jiran mereka Scotland pula berang dengan kerenah Uruguay.

Pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan, Uruguay hanya memerlukan seri untuk layak ke peringkat seterusnya.

Dan mereka berjaya mencapai matlamat berkenaan walaupun dipaksa bermain hampir 90 minit selepas pemain Sky Blues, Joao Batista dihalau keluar pengadil kerana melakukan terjahan keras ke atas legenda Scotland, Gordon Strachan.

Uruguay yang terdesak mahukan keputusan seri melakukan apa saja taktik termasuk kekasaran dengan tujuan mengganggu ritma permainan.

Dan ini menimbulkan kemarahan pengurus legenda Manchester United, Sir Alex Ferguson yang berkata, “Mereka tiada rasa hormat terhadap maruah orang lain.”

Pemain-pemain The Tartan Army turut menuduh pemain Uruguay memijak kaki mereka semasa menarik mereka berdiri semula.

5. Cameroon lawan Argentina, Piala Dunia 1990

8 Perlawanan Paling 'Kotor' Dalam Sejarah Piala Dunia

Perlawanan membabitkan Indomitable Lions dan La Albiceleste yang juga perlawanan pembukaan kejohanan seharusnya memihak kepada Argentina yang ketika itu diketuai legenda Napoli dan Barcelona, Diego Maradona.

Tetapi, pihak lawan dilihat menggunakan kekuatan fizikal mereka mengatasi kemahiran teknikal yang dimiliki La Albiceleste untuk mendominasi perlawanan.

Hasilnya, Cameroon mengutip faul sebanyak 30 kali berbanding Argentina sebanyak sembilan kali.

Dan jika itu saja tidak mencukupi, dua pemain iaitu Andre Biyik dan Benjamin Massing turut dilayangkan kad merah oleh pengadil kerana melakukan terjahan keras dan berbahaya.

Walau apapun orang mahu kata berkenaan rekod disiplin The Indomitable Lions, Cameroon menang dengan keputusan 1-0 hasil jaringan penyerang Stade Rennes ketika itu, Francois Omam-Biyik.

Bagi peminat neutral, mereka menyukainya kerana Cameroon melakar sejarah sebagai negara Afrika pertama memenangi perlawanan ketika Piala Dunia.

Cameroon berjaya layak ke suku akhir tetapi ditewaskan England dengan keputusan 3-2.

Sementara Argentina pula berjaya layak ke peringkat akhir tetapi tewas di tangan Jerman dengan jaringan 1-0.

6. Belanda lawan Jerman Barat, Piala Dunia 1990

8 Perlawanan Paling 'Kotor' Dalam Sejarah Piala Dunia

Jika Argentina menyumpah tahap kekasaran yang dipamerkan Cameroon, ini pula membabitkan pertembungan dua pemain legenda.

Pada perlawanan berkenaan, keadaan sudah menjadi tegang antara mereka berdua bila Frank Rijkaard dilayangkan kad kuning kerana melakukan terjahan gunting ke atas Rudi Voller.

Bila Rijkaard berjalan di sebelah Voller tatkala mahu mengambil sepakan percuma, beliau meludah ke arah Voller sekali gus menimbulkan kemarahan bakal pengarah sukan Bayer Leverkusen itu.

Selepas mengadu kepada pengadil, aduannya tidak dilayan dengan beliau juga dilayangkan kad kuning.

Dari situ, semasa sepakan percuma diambil, Voller berlaga dengan penjaga gol Belanda, Hans van Breukalen di mana tangannya terkena bola dan dikatakan sengaja menjatuhkan diri untuk mendapatkan penalti.

Rijkaard yang sudah hilang sabar memusing telinga penyerang Jerman itu dan memijak kaki Voller.

Untuk mengelak ketegangan antara kedua-dua pemain ini berterusan, pengadil Juan Carlos Loustau melayangkan kad merah kepada kedua-duanya.

Dan apabila mereka berdua menuju ke bilik persalinan, sekali lagi Rijkaard meludah ke arah Voller.

Akibatnya, media Jerman melabel legenda AC Milan itu sebagai Llama kerana insiden meludah Voller.

Bagaimanapun, tidak lama selepas itu, pemain tengah Belanda itu kemudian memohon maaf dan permohonan maafnya diterima Voller.

7. Portugal lawan Belanda, Piala Dunia 2006

8 Perlawanan Paling 'Kotor' Dalam Sejarah Piala Dunia

Piala Dunia 2006 merupakan satu edisi yang mahu dilupakan legenda Perancis dan bekas pengurus Real Madrid, Zinedine Zidane kerana menanduk bek tengah Itali, Marco Materazzi semasa final kejohanan.

Tetapi, Zidane tidak keseorangan kerana perlawanan pusingan kedua membabitkan Oranje dengan The Navigators turut tidak terlepas dengan kontroversi.

Perlawanan tersebut menyaksikan layangan kad kuning dan kad merah paling banyak dalam kejohanan.

Dalam perlawanan tersebut, pengadil Rusia, Valentin Ivanov tidak teragak-agak melayangkan empat kad merah dan 16 kad kuning.

Pemain-pemain yang menerima kad merah ialah Costinha dan Deco (Portugal) dan Giovanni van Bronckhorst dan Khalid Boulahrouz.

Constinha mencetuskan kekecohan dengan melakukan terjahan berbahaya ke atas pemain veteran Belanda, Philipp Cocu sekaligus mencetuskan keributan kad merah.

Dan tidak seperti Zidane, legenda Portugal merangkap rakan sepasukannya di Real, Luis Figo bernasib baik tidak dilayangkan kad merah atas kesalahan menanduk pemain tengah Barcelona ketika itu, Mark van Bommel.

Portugal layak ke peringkat suku akhir dengan kemenangan 1-0.

8. Sepanyol lawan Belanda, Piala Dunia 2010

8 Perlawanan Paling 'Kotor' Dalam Sejarah Piala Dunia

Empat tahun selepas apa yang berlaku di Jerman, jika ada pengadil menyangka apa yang berlaku bersifat sekali saja, mereka silap.

Ianya kembali berulang membabitkan pelaku yang sama, Belanda tetapi mangsa berbeza, Sepanyol. Ini berlaku pada pentas final Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan.

Pada perlawanan tersebut, Belanda yang mengamalkan gaya permainan menarik sepanjang kejohanan mengambil keputusan meniru taktik Cameroon untuk cuba menjejaskan keupayaan pihak lawan.

Anda perlu ingat, ketika itu kita amat obses dengan gaya permainan tiki-taka yang diperkenalkan bakal pengurus Manchester City, Josep Guardiola dan ia menjadi identiti permainan bukan saja di Barca tetapi juga untuk kegunaan pasukan kebangsaan.

Pengadil Howard Webb terpaksa bertindak tegas dengan melayangkan 14 kad termasuk satu kad merah ke atas bek tengah Oranje, Johnny Heitinga.

Dalam tempoh 13 minit, lima kad kuning dilayangkan dan orang besi Hamburg SV ketika itu, Nigel de Jong bernasib baik tidak dihalau keluar kerana membuat sepakan karate terhadap pemain tengah Sepanyol, Xabi Alonso.

Mendiang Johan Cruyff menuduh Belanda bermain permainan anti-bola sepak dan taktik mereka langsung tidak berhasil selepas La Roja menewaskan Oranje 1-0.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: thepatriots

Thursday, July 12, 2018

5 Pemain Piala Dunia Dengan Disiplin Paling Teruk

5 Pemain Piala Dunia Dengan Disiplin Paling Teruk

Dalam bola sepak kekasaran sudah menjadi satu kebiasaan dengan terjahan, pelanggaran dan bentesan yang kerap dilakukan dalam perebutan bola namun tidaklah menjadi satu kesalahan, melainkan sengaja mengasari pihak lawan.

Sistem kad kuning dan kad merah yang diperkenalkan jelas membantu dalam mengawal disiplin pemain.

Walaupun begitu, ada juga pemain tertentu yang dilihat memang gemar bermain dalam corak yang lebih keras berbanding pemain lain sehingga mendapat kritikan atau jolokan nama tertentu.

Bukan semua kekerasan layak untuk diberikan kad dengan hanya situasi tertentu sahaja memerlukan pengadil menyeluk poket mengeluarkan kad kepada pemain.

Berikut adalah lima pemain yang sudah pasti anda tidak menyangka memegang rekod penerima kad paling banyak dalam kejohanan Piala Dunia sehingga kini.

1. Cafu (Brazil)

5 Pemain Piala Dunia Dengan Disiplin Paling Teruk

Pemain legenda Brazil yang terkenal sebagai satu-satunya pemain di dunia yang menyertai 3 perlawanan akhir Piala Dunia berturut-turut pada tahun 1994, 1998 dan 2002, rekod disiplinnya di atas padang sayangnya kurang menyinar.

Bermain dalam Piala Dunia sejak edisi 1994 hingga 2006 dalam 20 perlawanan, Cafu berjaya mengelakkan dirinya daripada di buang padang namun rekod 6 kad kuning yang dikutip menjadikan dia antara pemain paling kasar di atas padang, sepanjang zaman.

2. Rigobert Song

5 Pemain Piala Dunia Dengan Disiplin Paling Teruk

Pemain terkenal dari Cameroon antara pemain Afrika paling ikonik ini, adalah seorang yang terkenal dengan reputasi pemain keras di atas padang.

Bermain dalam empat kejohanan Piala Dunia pada kejohanan 1994, 1998, 2002 dan 2010.

Beliau terkena penyakit angin ahmar yang menyebabkan tubuhnya koma selama 2 hari sehingga ada pihak yang tersilap melaporkan kematian beliau.

Kini cergas semula, rekod kekerasannya dalam Piala Dunia dengan 3 kad kuning dan 2 kad merah yang diperolehinya, hanya dalam sembilan perlawanan.

3. Zinedine Zidane (Perancis)

5 Pemain Piala Dunia Dengan Disiplin Paling Teruk

Legenda Perancis ini terkenal sebagai seorang pemain yang mempunyai kemahiran bermain yang cukup cantik. Kemahiran menggelecek Zidane menjadi ikutan ramai.

Begitu juga detik-detik yang dihasilkan oleh beliau ketika mengemudi pasukan Perancis memenangi dua kejohanan besar iaitu Piala Dunia 1998 dan Euro 2000.

Bagaimanapun, prestasi buruk pasukan Perancis pada tahun 2002 membawa kepada kebangkitan mereka dalam edisi 2006 di mana Perancis berjaya melayakkan diri ke perlawanan akhir berdepan Itali.

Dalam satu insiden masa tambahan selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1, Zidane yang marah terhadap provokasi Marco Materazzi bertindak menanduk Materazzi lalu dibuang padang.

Karier Piala Dunia Zidane berakhir pada detik itu, menjadikan Zidane pemegang rekod disiplin paling teruk dalam semua kejohanan Piala Dunia dengan 4 kad kuning dan 2 kad merah dalam 12 perlawanan.

4. Rafael Marquez (Mexico)

5 Pemain Piala Dunia Dengan Disiplin Paling Teruk

Rafael Marquez terkenal sebagai pemain tegap yang mengetuai barisan pertahanan pasukan serta menjadi pemain Mexico pertama bermain dengan kelab Barcelona di Sepanyol.

Dalam kejohanan Piala Dunia 2018, Marquez menjadi pemain ketiga sepanjang zaman pernah bermain dalam lima edisi Piala Dunia iaitu 2002, 2006, 2010, 2014 dan 2018.

Pada usia 39 tahun, inilah peluang terakhir untuk Marquez memintas pemain nombor 1 dalam jumlah pungutan kad Piala Dunia.

Marquez mengumpul 5 kad kuning dan 1 kad merah dalam semua kejohanan yang disertai sebelum ini, belum cukup untuk memintas pendahulu senarai ini.

5. Tim Cahill (Australia)

5 Pemain Piala Dunia Dengan Disiplin Paling Teruk

Penyerang veteran Australia ini telah pun menyertai tiga kejohanan Piala Dunia sebelum ini dengan mula menyertainya pada tahun 2006, 2010 dan 2014.

Tetap terpilih sebagai pemain dalam skuad Australia untuk kejohanan 2018 namun Cahill bukan lagi berada dalam kesebelasan utama.

Mengumpul 4 kad kuning dan 1 kad merah, Cahill berada di tempat kelima pemain paling banyak mengumpul kad sepanjang zaman dengan rekodnya itu dibuat dalam lapan kali penampilan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: iluminasi

Wednesday, July 11, 2018

5 Kontroversi Politik Ketika Penganjuran Piala Dunia 2018

5 Kontroversi Politik Ketika Penganjuran Piala Dunia 2018

Penganjuran temasya sukan sebesar Piala Dunia pasti akan menimbulkan isu-isu sampingan yang kurang mendapat liputan, berikutan perhatian orang ramai yang terarah kepada perkara yang lebih penting iaitu perlawanan-perlawanan yang berlangsung di atas padang.

Beautiful rusian fifa

Bagaimanapun, isu-isu sampingan berkaitan penganjuran Piala Dunia 2018 sebenarnya tidak kurang menarik untuk dibincangkan, kerana ia sebenarnya melibatkan politik serta hal ehwal keselamatan dan undang-undang mereka yang menyertai temasya Piala Dunia kali ini.

Pernahkah anda terdengar tentang isu-isu ini?

1. Rusia melarang laporan berita buruk sepanjang Piala Dunia 2018

Dalam menjaga imej negara mereka, kesemua media di Rusia menerima arahan jelas daripada pihak dalam negeri Rusia - hanya laporkan berita yang positif dan baik-baik sahaja sepanjang berlangsungnya Piala Dunia.

Larangan itu berlangsung bermula 5 Jun 2018 sehinggalah 25 Julai 2018.

Bagi mengawal sebaran berita tidak elok, pihak penguatkuasa undang-undang di Rusia tidak akan berkongsi sebarang maklumat serta statistik jenayah sepanjang tempoh tersebut kepada pihak media, walau apa saja yang berlaku termasuklah kes pembunuhan, rompakan, tunjuk perasaan atau apa yang saja yang mampu membawa imej negatif kepada 11 negeri yang menjadi tuan rumah Piala Dunia.

Untuk menggantikan ketiadaan berita-berita berkaitan jenayah yang berlaku, media di Rusia diminta untuk melaporkan berkenaan kes-kes jenayah yang berjaya diselesaikan oleh pihak polis.

Walaupun jelas larangan ini diadakan sempena Piala Dunia, kerajaan Rusia menafikan tindakan ini diambil kerana penganjuran Piala Dunia.

2. Nike dihalang dari membekalkan kasut kepada pasukan Iran

5 Kontroversi Politik Ketika Penganjuran Piala Dunia 2018

Ekoran sekatan yang dikenakan ke atas Iran oleh kerajaan Amerika Syarikat, Nike yang selama ini menjadi tidak bermasalah menaja kasut kepada pasukan bola sepak Iran menghentikan bekalan kepada pasukan tersebut serta merta.

Malangnya, tindakan itu diumumkan hanya beberapa hari sebelum bermulanya kejohanan yang menyebabkan pemain-pemain Iran terpaksa mencari jalan lain bagi mendapatkan kasut mereka.

Carlos Quieroz, jurulatih pasukan Iran menyalahkan pihak Nike yang tidak tahu membezakan sukan dengan politik.

Nike dalam kenyataan balas, menyifatkan tindakan itu sebagai perkara yang mereka perlu patuhi.

Yang lebih membimbangkan, kerajaan Amerika Syarikat bukan setakat mendesak syarikat Amerika Syarikat memboikot Iran, mereka juga mendesak syarikat-syarikat lain dari negara sekutu mereka untuk turut sama mengikut jejak langkah mereka - termasuklah Jerman dengan Adidas merasai bahang isu ini sebagai penaja jersi pasukan Iran.

3. Pemain legenda Mexico boleh menyebabkan syarikat Amerika Syarikat didenda

5 Kontroversi Politik Ketika Penganjuran Piala Dunia 2018

Rafael Marquez adalah pemain veteran Mexico yang sudah menyertai beberapa siri kejohanan Piala Dunia.

Bagaimanapun, penyertaan beliau kali ini agak unik kerana namanya berada dalam senarai individu yang berada dalam siasatan, ekoran dakwaan dia merupakan salah seorang ahli kartel pengedar dadah terbesar Mexico, Raul Flores Hernandez.

Kerajaan Amerika Syarikat ketika ini telah pun menyenaraikan Marquez bersama 22 lagi individu lain dan seluruh aset Marquez yang disimpan di Amerika Syarikat serta sebarang aset beliau yang berkait dengan syarikat Amerika Syarikat dibekukan.

Atas sebab itu, semua syarikat milik Amerika Syarikat yang menjadi penaja kepada Piala Dunia 2018 memboikot Rafael Marquez daripada dilihat berada serentak dengan logo mereka dalam apa saja sekalipun.

Mana-mana syarikat yang didapati 'mengiklankan' syarikat mereka bersama dengan Marquez, sengaja atau tidak sengaja boleh didenda sebanyak RM40 juta ringgit.

Oleh sebab itulah, dalam setiap penampilan Marquez kali ini, tamat saja perlawanan petugas akan cepat-cepat membawa beliau masuk ke bilik persalinan.

4. Persatuan bola sepak Argentina ajar pemain dan pegawai pasukan cara memikat wanita Rusia

Beautiful rusian fifa

Sebulan sebelum bermulanya pertandingan Piala Dunia, persatuan bola sepak Argentina (AFA) menjemput pemain-pemain, jurulatih, eksekutif dan pasukan media tempatan menyertai sesi kursus berkenaan penyertaan mereka dalam Piala Dunia 2018, bagi mengenali dengan lebih baik suasana yang bakal mereka bakal hadapi di Rusia.

Dalam buku panduan kursus tersebut yang diberikan kepada semua peserta kursus, malangnya terselit satu bahagian berkenaan tips-tips yang perlu diikuti dalam memikat hati gadis Rusia sekiranya mereka berminat untuk menjalinkan hubungan.

Selepas beberapa orang peserta mempersoalkan kewajaran bahagian itu disertakan dalam buku panduan tersebut, pegawai AFA menarik semula edaran buku tersebut. Satu naskhah berjaya diseludup keluar.

Antara tips yang terkandung berbunyi - "sekiranya kurang yakin untuk bercakap dengan wanita, berlatih dahulu sebelum ke Rusia" dan "wanita Rusia gemarkan lelaki yang mengambil inisiatif terlebih dahulu."

AFA menyifatkan berlakunya kesilapan dalam cetakan buku panduan tersebut dan bahagian tersebut sepatutnya tidak disertakan namun pengkritik berpendapat alasan itu tidak boleh diterima.

Sekarang, fahamlah kita mengapa prestasi pasukan Argentina amat teruk dalam kejohanan kali ini.

5. Mesut Ozil dan Ilkay Gundogan di kritik kerana bergambar dengan Presiden Turki

5 Kontroversi Politik Ketika Penganjuran Piala Dunia 2018

Peminat-peminat bola sepak Jerman bangun melontarkan kritikan lantang ke atas dua pemain berstatus bintang mereka iaitu Mesut Ozil dan Ilkay Gundogan kerana bergambar dengan Presiden Turki, Reccep Tayyip Erdogan beberapa hari sebelum kejohanan Piala Dunia 2018 dimulakan.

Kedua-dua pemain itu yang memegang kewarganegaraan Jerman bagaimanapun mempunyai susur galur keturunan dari Turki, menyebabkan rakyat Jerman mempersoalkan kesetiaan mereka pada negara.

Lebih memburukkan keadaan, Gundogan menghadiahkan Erdogan jersi yang bertulis "kepada Tuan Presiden," mengiktiraf kedudukan Erdogan.

Tindakan kedua-dua pemain mendapat kritikan keras Presiden Persatuan Bola Sepak Jerman, Reinhard Grindel.

Canselor Jerman, Angela Markel terpaksa bangun mempertahankan kedua-dua pemain sebelum keadaan bertambah buruk dan pemain-pemain Jerman sendiri menyatakan sokongan kepada Ozil serta Gundogan.

Bagaimanapun, sokongan itu tetap tidak membantu.

Pada 7 Jun 2018, individu-individu tidak dikenali memecahkan tingkap kereta Gundogan dan kedua-dua pemain dikutuk sepanjang aksi mereka di atas padang.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: iluminasi

Tuesday, July 10, 2018

Sejarah Penciptaan Trofi Piala Dunia FIFA

Sejarah Penciptaan Trofi Piala Dunia FIFA

Trofi Piala Dunia FIFA yang sangat ikonik itu sememangnya sangat terkenal di seluruh dunia dan hampir semua orang mengenalinya namun, disebalik kehebatan trofi ini, terdapat sejarah tersurat tentang bagaimana ia boleh tercipta dan berdiri gah sehingga ke hari ini.

Trofi Piala Dunia FIFA

Jom kami kongsikan sejarah bagaimana trofi Piala Dunia yang anda lihat pada hari ini dicipta.

Kisah Dewi Emas

Piala Jules Rimet yang sebelum itu diberikan nama "Victory", dihadiahkan kepada pemenang Piala Dunia sehingga tahun 1970.

Presiden FIFA ketiga iaitu Jules Rimet meluluskan undi untuk memulakan kejohanan bola sepak global buat kali pertama pada tahun 1929.

Setahun kemudian, beliau menganugerahkan piala tersebut kepada pasukan Uruguay yang memenangi Piala Dunia yang pertama dalam sejarah.

Piala itu kemudiannya dinamakan semula sebagai penghormatan kepada jasa Jules Rimet selepas Perang Dunia Kedua.

Direka oleh pengukir Perancis, Abel Lafleur, piala tersebut menggambarkan dewi Yunani purba yang sedang menjulang cawan berbentuk decagonal.

Patung idaman itu adalah seberat 3.8 kilogram dan diperbuat daripada perak sterling bersalut emas di atas dasar lapis lazuli.

Trofi ini diberikan nama jolokan "Dewi Emas" dan pada plak emas yang dilekatkan kepada empat bahagian pada tapak trofi ini, setiap nama negara yang pernah memenangi Piala Dunia dari tahun 1930 hingga 1970 diukir, iaitu Uruguay, Itali, Jerman, England dan Brazil.

Selepas memenangi Piala Dunia buat kali ketiga pada tahun 1970 di Mexico, Brazil mendapat hak untuk menyimpan piala tersebut selama-lamanya, menurut peraturan FIFA ketika itu.

Tiga kecurian dan seekor anjing

Sejarah Penciptaan Trofi 'Jules Rimet' Piala Dunia FIFA
Piala Jules Rimet.

Pada tahun 1930, Piala Jules Rimet memulakan pelayaran sulungnya ke Uruguay di atas kapal transatlantik iaitu Conte Verde.

Ketika Perang Dunia Kedua meletus, piala ini disimpan oleh Itali yang memenangi Piala Dunia 1938.

Itali yang pada ketika itu sangat tidak selamat untuk menyimpan trofi berharga di tengah-tengah kekacauan yang melanda, membuatkan Presiden Persekutuan Bola Sepak Itali, Ottorino Barassi memutuskan untuk menyembunyikannya dengan cara yang kelihatan seperti kecurian.

Beliau secara diam-diam mengeluarkan trofi itu dari peti besi bank dan menyembunyikannya di dalam sebuah kotak kasut di bawah katilnya, dengan harapan bahawa Nazi tidak akan menemuinya di situ.

Trofi tersebut selamat dan pada tahun 1950, ia dianugerahkan kepada Uruguay, yang memenangi kejohanan Piala Dunia selepas perang, sekali lagi.

Pada 20 Mac 1966, 4 bulan sebelum Piala Dunia 1966 berlangsung di England, Piala Jules Rimet telah dicuri ketika dipamerkan di Westminster Centrall Hall, walaupun dengan kawalan keselamatan 24 jam, yang menyebabkan kegemparan hebat.

Seluruh pasukan polis London dikerah untuk mencari pencuri trofi ini yang menuntut wang tebusan sebanyak £15,000.

Mereka dengan tergesa-gesa menghasilkan replika trofi ini bagi menggantikan yang asal, sekiranya ia tidak dapat ditemui semula sebelum kejohanan bermula.

Sejarah Penciptaan Trofi 'Jules Rimet' Piala Dunia FIFA

Namun, seekor anjing bernama Pickles telah menyelamatkan keadaan untuk England apabila berjaya menemui piala tersebut yang dibalut dengan suratkhabar ketika bersiar-siar bersama tuannya, David Corbett.

David yang merupakan peminat bola sepak tahu apa yang berada dalam bungkusan surat khabar itu dan menyerahkan trofi tersebut kepada pihak berkuasa.

Terdapat khabar angin bahawa David Corbett dijemput ke majlis makan malam sebagai tanda penghormatan ketika England memenangi Piala Dunia pada tahun tersebut dan dihadiahkan £6,000, manakala anjingnya diberikan bekalan makanan seumur hidup.

Trofi replika yang dihasilkan atas alasan keselamatan itu dijual pada lelongan kepada FIFA dengan harga £254,500 pada tahun 1997.

Piala Jules Rimet kemudiannya berpindah ke Brazil pada tahun 1970, namun itu bukanlah pengakhiran bagi kontroversi yang dialaminya.

Berita bahawa trofi Dewi Emas itu hilang sekali lagi telah menggemparkan dunia pada Disember 1983.

Beberapa orang telah mencuri trofi tersebut dari kabinet pameran di ibu pejabat Konfederasi Bola Sepak Brazil di Rio, dengan membuka pintu belakang kabinet menggunakan rod besi.

4 lelaki tersebut didakwa dan disabitkan kesalahan atas kesalahan mencuri dan trofi itu gagal ditemui.

Jadi, mengikut jejak langkah England, Brazil terpaksa menghasilkan replika Piala Jules Rimet dan tiada siapa tahu apa yang berlaku kepada trofi asli tersebut.

Ramai yang percaya bahawa sama ada ia dicairkan dan dijual, atau menjadi koleksi peribadi seseorang.

Sejarah trofi Piala Dunia yang baharu

Trofi Piala Dunia FIFA Baru

Selepas meyerahkan Piala Jules Rimet kepada Brazil, FIFA terpaksa mengarahkan penggantian trofi untuk Piala Dunia 1974.

53 penyertaan diterima bagi tender reka bentuk piala yang baru, yang diumumkan pada tahun 1971 daripada pengukir di 7 buah negara.

Silvio Gazzaniga, pengukir dari Itali, yang dinobatkan sebagai pemenang mereka bentuk piala yang baru, telah menghantar dua reka bentuk yang mana dimenangi oleh rekabentuk pertama.

"Untuk menghasilkan simbol universal, saya mendapat ilham daripada dua imej asas, iaitu atlet yang berjaya dan dunia.

"Saya ingin mencerminkan kegembiraan pemain bola sepak yang memenangi kejuaraan, seorang lelaki yang berubah disebabkan kemenangannya, tetapi tanpa ego manusia yang tinggi.

"Wira sukan ini yang memeluk dunia dengan tangannya, mencerminkan kekuatan yang diperlukan untuk melakukan pengorbanan setiap hari dengan ahli pasukannya dan ciri-ciri sejagat sukan seperti komitmen dan kebebasan," jelas Silvio Gazzaniga.

Khabar angin mengatakan bahawa Silvio tinggal di studionya selama seminggu untuk menghasilkan trofi tersebut.

Beliau sendiri kemudiannya mengakui bahawa sebenarnya sebahagian besar daripada kerja itu tidak mengambil masa yang lama untuk disiapkan.

Walau bagaimanapun, trofi tersebut diperbuat daripada emas pepejal, butiran lebih halus yang dihasilkan membuktikan ianya adalah satu cabaran besar dan terpaksa ditambah selepas pembentangan pertama trofi ini.

Trofi emas seberat 5 kilogram

Trofi Piala Dunia FIFA Gold

Tidak seperti trofi sebelumnya, trofi baru ini diperbuat daripada 5 kilogram emas 18 karat.

Trofi ini berukuran 36.8 sentimeter tinggi dan seberat 6.142 kilogram. Tapaknya berdiameter 13 sentimeter dengan dua lapisan malachite, sepadan dengan warna padang bola sepak.

Trofi ini menggambarkan dua tokoh manusia yang sedang menjunjung Bumi.

"Kedua-dua pemain yang mengangkat tangan mereka melambangkan pasukan pada saat kegembiraan dan keghairahan kemenangan.

"Sfera di bahagian atas dibentuk bagi menggambarkan imej benua-benua. Ini juga melambangkan bola sepak dan dunia, manakala garis-garis di antara dua pemain ini menggambarkan tenaga dalam sukan bola sepak," jelas Silvio.

Bahagian tapak trofi Piala Dunia diperbuat daripada dua cincin malachite hijau, dipisahkan oleh cincin emas yang tertulis nama kejohanan "FIFA World Cup".

Ia dilengkapi dengan plat emas yang mana diukir atasnya nama negara pemenang dalam bahasa tempatan, sebagai contoh "1974 Deutschland" atau "1994 Brazil".

Nama tersebut disusun dalam bentuk bulatan, meninggalkan ruang untuk pemenang seterusnya.

Di mana trofi ini disimpan?

Sejarah Penciptaan Trofi 'Jules Rimet' Piala Dunia FIFA

Sebelum tahun 2006, trofi ini akan diserahkan kepada negara yang menjadi juara, yang akan disimpan sehinggalah cabutan akhir Piala Dunia yang akan datang namun, ia tidak lagi dilakukan sedemikian.

Menurut peraturan semasa FIFA, pemenang kejohanan akan menerima trofi replika tembaga bersalut emas dan trofi sebenar akan dipamerkan di Muzium Bola Sepak Dunia FIFA di Zurich, Switzerland sejak tahun 2006.

Ia hanya dibawa keluar dan dipamerkan ketika Jelajah Trofi Piala Dunia FIFA oleh Coca-Cola di Cabutan Akhir bagi kejohanan tersebut dan juga di atas padang, serta di atas pentas ketika perlawanan akhir kejohanan ini.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: iluminasi