Friday, February 15, 2019

Merawat Penyakit Sawan Dengan Perubatan Islam

Merawat Penyakit Sawan Dengan Perubatan Islam

Penyakit ayan atau sawan iaitu kekejangan otot degan tidak sedarkan diri, mungkin binasa menyerang kanak-kanak yang berumur antara enam bulan hingga lima tahun apabila mereka mengalami demam panas yang tinggi suhunya.

Merawat Penyakit Sawan
Gambar hiasan.

Dalam keadaan ini, kanak-kanak biasanya, tidak sedarkan diri, dikuti dengan kekejangan atau tersentak kaki dan tangan. Ini disebut sebagai demam sawan.

Jelas bahawa rawatan dengan doa-doa dan tawajuh kepada Allah Taala itu menghasilkan pengaruh yang pengaruh sangat baik yang tidak dapat dihasilkan oleh pengubatan para doktor biasa.

Sekiranya berlaku pada anak anda, maka ikutilah langkah-langkah berikut iaitu:
  • Pertama: Baringkan anak secara mengiring dan pastikan kepala berada di paras yang sama atau lebih rendah dari badan.
  • Kedua: Catatkan masa dan tempoh berlakunya sawan.
  • Ketiga: Jangan sekali-kali cuba memasukkan sebarang benda ke dalam mulut.
  • Keempat: Jangan cuba sedarkan anak dengan menampar, menggoncang ataupun mengurut badannya.
  • Kelima: Sekiranya sawan itu berterusan, anda boleh memasukkan ubat sawan melalui dubur (suppository diazepam). Biasanya sawan akan berhenti dalam tempoh 10 minit.
  • Keenam: Bawa anak ke hospital sekiranya sawan masih berterusan dalam tempoh 10 minit selepas memasukkan ubat.

SAWAN EPILEPSI

Sawan juga disebut epilepsi. Kata epilepsi berasal daripada Yunani (epilepsia) yang bererti serangan. Sawan epilepsi ialah sawan tanpa demam dan biasanya berlaku kepada kanak-kanak yang lebih dewasa atau remaja.

Dalam satu hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim daripada ‘Ata’ bin Abi Rabah, beliau berkata, Ibn Abbas r.a. berkata, “Mahukah kamu saya tunjukkan ahli syurga?” Saya menjawab: “Mahu.” Ibn Abbas berkata:

“Itu wanita hitam yang telah menghadap Rasulullah s.a.w. seraya berkata: ‘Saya terkena penyakit ayan dan saya membuka baju (tanpa disedari). Tolong doakan kepada Allah Taala untukku! Maka Nabi s.a.w. menjawab: ‘Jika engkau bersabar, maka bagimu syurga. Tetapi jika engkau mahu, aku akan mendoakanmu sehingga Dia menyembuhkanmu.’

“Wanita itu berkata, ‘Saya akan bersabar, tetapi saya membuka-buka aurat (tanpa saya sedari), maka pohonkan kepada Allah s.w.t. agar saya tidak berbuat demikian!’ Lalu Nabi s.a.w. mendoakan baginya.”

Senjata Paling Ampuh

Menurut Ibn Qayyim al-Jawziyyah r.a. dalam kitab beliau al-Tib al-Nabawi berkaitan penyakit sawan (epilepsi), sawan terbahagi kepada dua jenis:

1. Sawan yang berpunca daripada roh jahat.

2. Sawan yang berpunca daripada unsur dalam tubuh yang rosak. Sawan jenis kedua inilah yang dibincangkan oleh pakar-pakar perubatan tentang punca dan cara merawatnya.

Manakala sawan kategori pertama diakui kewujudannya, namun mereka tidak mampu merawat atau menghilangkannya.

Mereka juga menyedari bahawa cara mengatasi kekuatan roh jahat hanyalah melalui kekuatan roh yang baik dan mulia sehingga dapat diatasi pengaruhnya dan tindak balasnya dapat dicegah.

Seorang ahli ilmu Yunani menyebut dalam beberapa kitabnya tentang beberapa cara merawat penyakit sawan.

Beliau berkata, “Ini semua bagi merawat penyakit sawan yang disebabkan oleh unsur-unsur yang rosak dalam tubuh. Adapun yang berpunca dan’pada roh jahat, maka rawatan ini tidak berguna sama sekaIi.”

Terdapat juga ahli perubatan yang jahil dan Iemah iman tidak percaya sama sekali jenis sawan yang berpunca daripada roh jahat walaupun mereka sendiri menyaksikan rawatan mereka tidak memberikan apa-apa kesan.

Ada juga ahli perubatan dahulu kala yang salah dalam memahami hakikat roh sehingga menamakannya dengan sakit ketuhanan (maradIlahi). Orang yang mengenali hakikat roh dan pengaruhnya pasti mentertawakan kejahilan mereka.

Rawatan yang harus dilakukan bagi menghilangkan pengaruh roh jahat ada dua bahagian iaitu daripada pihak pesakit dan daripada pihak orang yang merawatnya.

Adapun perkara pertama yang dituntut kepada pesakit, ia harus memiliki kemahuan dan kekuatan jiwa serta keyakinan yang kuat, menghadapkan diri dengan ikhlas kepada Allah SWT, memohon perlindungan daripadanya.

Ini ibarat peperangan dan ia tidak dapat dimenangi kecuali dengan senjata yang paling ampuh dan pembantu yang kuat. Bagaimana dia hendak mengusir roh jahat sekiranya hatinya kosong daripada tauhid, tawakal dan takwa kerana itu semua senjata baginya.

Manakala yang kedua dituntut daripada orang yang merawat iaitu sebagaimana yang dituntut daripada si pesakit.

Sekiranya perawat memiliki tauhid, tawakal dan takwa yang kuat, memadai ia berkata:

“Keluar!” atau mengucapkan “Bismillah” atau “La hawla wa la quwwata illa biilah!”

Dalam sebuah hadis riwayat Ahmad dan lain-lain, Rasulullah s.a.w. pernah mengucapkan yang maksudnya: “Keluarlah hai musuh Allah! Aku utusan Allah.”

Merawat Sawan Rasukan

Ibn Qayyim al-Jawziyyah rhm. bercerita: “Saya pernah menyaksikan syeikh saya mengutus seseorang kepada penderita sawan. Utusan itu berkata: ‘Syeikh berpesan kepada kamu: ‘Keluarlah Jasad ini tidak halal bagimu.” Maka pesakit itu pun terus sedar. Kadang-kadang syeikh sendiri yang berkomunikasi dengan roh syaitan tersebut. Sekiranya syaitan itu degil, maka syeikh akan mengeluarkannya dengan pukulan. Setelah itu barulah penderita itu sedar dan dia tidak berasa sakit sedikit pun. Kami sendiri menyaksikan kejadian tersebut.”

Beliau juga selalu membacakan di telinga penderita surah al-Mu’minun ayat 115 yang bermaksud: “Maka adakah patut kamu menyangka bahawa Kami hanya menciptakan (daripada tiada kepada ada) dengan tiada sebarang hikmah pada ciptaan itu dan kamu (menyangka pula) tidak akan dikembalikan kepada Kami?”

Beliau pernah menceritakan bahawa ketika beliau membacakan ayat tersebut di telinga penderita sawan, maka roh yang merasuknya berkata: “Ya!” dengan suara yang panjang. Beliau berkata: “Maka aku mengambil tongkat dan aku pukul pada belakangnya sehingga tanganku lenguh.”

Orang yang menyaksikan peristiwa itu menyangka penderita sawan itu mati kerana pukulan tersebut. Ketika syeikh sedang memukul, tiba-tiba terdengar suara: “Saya mencintaimu!” Maka syeikh itu berkata kepadanya: “Dia tidak mencintaimu!”

Roh itu berkata lagi: “Saya ingin naik haji bersamanya!” Syeikh menjawab: “Dia tidak ingin naik haji bersamamu!”

Roh itu berkata lagi: “Saya akan keluar dari tubuhnya kerana menghormati tuan!” Beliau menjawab: “Tidak, tetapi kerana taat kepada Allah dan Rasulnya!”

Akhirnya keluarlah roh jahat itu dari tubuh pesakit. Kemudian pesakit itu terduduk sambil menoleh ke kiri dan kanan seraya berkata: “Mengapa aku boleh berada di tempat syeikh?”

Orang yang hadir bertanya: “Apakah kamu tidak terasa dipukul?”

Pesakit itu menjawab: “Sebab apa syeikh memukul saya sedangkan saya tidak bersalah?” Sebenamya pesakit itu sedikit pun tidak terasa pukulan-pukulan tadi.

Di samping itu, syeikh juga mengubati orang yang diserang roh jahat dengan membaca ayat al-Kursi. Beliau menyuruh pesakit memperbanyakkan bacaannya. Begitu juga orang yang merawatnya. Beliau juga membaca al-Mu‘awwizatain (iaitu surah al-Falaq dan al-Nas).

Daripada keterangan dan contoh-contoh di atas tadi, jelaslah bahawa rawatan dengan doa-doa dan tawajuh kepada Allah Taala itu menghasilkan pengaruh yang sangat baik yang tidak dapat dihasilkan oleh rawatan para doktor biasa.

Pengaruh atau kesan pengubatan ini Iebih besar daripada pengaruh ubat-ubatan biasa. Rawatan ini telah dicuba berkali-kali dan hasilnya memuaskan.

Rawatan yang harus dilakukan bagi menghilangkan pengaruh roh jahat ada dua bahagian iaitu daripada pihak pesakit dan daripada pihak orang yang merawatnya.

Wallahu a’lam.

BACA INI JUGA:

sumber: hafizamri

Thursday, February 14, 2019

Punca Penyakit Sawan Dan Epilepsi

Punca Penyakit Sawan Dan Epilepsi

Sawan atau tarik adalah cetusan aktiviti elektrik mendadak yang berlaku di dalam otak yang menyebabkan berlakunya perubahan dalam tingkahlaku atau aktiviti, merujuk kepada masalah gangguan fungsi otak pada sel saraf atau sel neuron menyebabkan otak tidak berfungsi dengan baik.

Sawan Dan Epilepsi.jpg

Bukan semua sawan adalah epilepsi. Sawan yang disebabkan rangsangan lain seperti demam panas, kurang gula dalam darah dan kuman di dalam otak tidak diklasifikasikan sebagai epilepsi.

Seseorang boleh dikatakan mengalami epilepsi sekiranya dia mengalami sekurang-kurangnya dua kali episod sawan.

Bagi pesakit epilepsi, apabila aktiviti sel neuron terganggu, berlaku gangguan pada deria rasa, emosi dan kelakuan, kejang otot serta tidak sedarkan diri.

Ini dapat dilihat jika:
  • Diam seketika.
  • Tiba-tiba keliru atau hilang kesedaran.
  • Kaki dan tangan menjadi keras/kejang.
  • Kaki dan tangan tersentak-sentak.
  • Tiba-tiba jatuh ke lantai.

Ramai kanak-kanak yang boleh mengalami kejadian yang menyerupai sawan. Pergerakan aneh atau pengsan ini termasuklah:
  • Tersentak.
  • Pergerakan semasa tidur.
  • Tindakan menahan nafas (breath-holding spells).
  • Refleks sawan anoxic (Reflex anoxic seizures).
  • Berangan.
  • Pengsan.

Apa itu epilepsi?

“Epilepsi” berasal daripada perkataan Greek “epilambanien”. Ia bermaksud “serangan”. Perkataan ini digunakan untuk menerangkan keadaan di mana serangan sawan yang berterusan berlaku tanpa sebarang rangsangan luar.

Epilepsi juga dikenali sebagai “sawan babi”, “cho chin” dalam bahasa Mandarin ataupun “kaka valipu” dalam bahasa Tamil.

Nota:

Sawan yang disebabkan oleh rangsangan tertentu adalah bukan epilepsi. Sawan jenis ini boleh disebabkan oleh demam yang tinggi, kadar gula yang rendah di dalam darah, selepas kecederaan kepala, apabila terdapat pendarahan di dalam otak atau pun apabila mendapat jangkitan kuman di otak.

Siapa yang menghidap epilepsi?

Sekurang-kurangnya 1% daripada semua kanak-kanak akan mengalami sawan yang berlaku tanpa rangsangan tertentu, tetapi hanya separuh daripada mereka ini yang akan seterusnya mendapat epilepsi.

Mengapa anak saya menghidap epilepsi?

Penyakit epilepsi disebabkan oleh sel-sel otak yang tidak berfungsi dengan baik. Terdapat arus elektrik kecil yang berlaku semasa sel otak berfungsi. Apabila aliran elektrik ini menjadi tidak stabil, berlaku gangguan seperti “short circuit” dan sawan akan berlaku.

Kanak-kanak yang menghidap epilepsi ada kecenderungan untuk membentuk aliran elektrik otak yang tidak stabil. Ini disebabkan oleh:
  • Faktor keturunan dan kecenderungan semula jadi mendapat sawan.
  • Struktur otak yang abnormal semasa pembentukan janin di dalam kandungan.
  • Kerosakan otak yang disebabkan oleh jangkitan otak, kekurangan oksigen / lemas atau pendarahan di bahagian otak.
  • Penyakit otak yang berlanjutan, contohnya kanser otak atau penyakit yang menyebabkan sel-sel otak semakin susut.

Sawan Demam

Sawan demam berlaku apabila suhu badan menjadi terlalu panas, aktiviti sel otak terganggu yang menyebabkan pesakit hilang kesedaran, badan, tangan dan kaki menjadi kejang, pergerakan mata hitam ke atas, air liur meleleh dan terkencing atau termuntah.

Kadangkala, episod kekejangan badan akan disusuli dengan pergerakan tangan dan kaki yang berulang-ulang. Bagaimanapun, tempoh sawan selalunya singkat dan tidak melebihi lima minit.

Jika sawan berlarutan melebihi dua minit, panggil ambulans atau bawa anak segera ke unit kecemasan hospital.

Dalam tempoh itu juga, jika anak anda kembali normal pemeriksaan doktor di hospital masih diperlukan untuk memastikan anak tidak mempunyai masalah lain yang lebih serius.

Situasi begini semestinya mencemaskan untuk setiap ibu bapa tetapi anda dinasihatkan bertenang supaya dapat membantu anak dengan memastikan mereka berada di tempat selamat dan tiada sebarang bahaya di sekelilingnya.

Kenal pasti waktu bermula sawan dan letakkan mereka dalam posisi mengiring ke sebelah kiri.

Jangan cuba memasukkan sebarang objek seperti sudu atau jari anda ke dalam mulut walaupun anak mengancing gigi.

Penyakit Keturunan

Hubungan antara genetik dan sawan bersifat kompleks. Tidak banyak ujian boleh dilakukan untuk mengenalpasti faktor genetik ini.

Epilepsi boleh diwarisi terutama daripada kategori yang mempunyai kecenderungan genetik. Serangan melangkaui generasi jika corak pewarisan genetik ini tidak kuat.

Namun begitu, jika anda mempunyai epilepsi tidak semestinya anak anda juga mempunyai epilepsi, cuma risiko untuk mendapat epilepsi lebih berbanding keturunan yang tidak mempunyai sejarah serangan.

Tiada had umur khusus bagi penghidap epilepsi dan serangan boleh terjadi kepada bayi seawal kelahiran.

Pesakit yang mempunyai episod epilepsi lebih sekali atau mempunyai keputusan elektroencephalogram (EEG)/MRI/CT) tidak normal akan diberikan ubat antiepilepsi.

Pemberian ini sesuai dengan keadaan epilepsi yang dihidapi namun begitu, bagi segelintir kecil pesakit, peringkat awal dikesan sukar bagi mereka untuk mengawal sawan. Mereka perlu diberi ubat-ubatan yang berbeza mengikut kesesuaian.

Sesetengah keadaan epilepsi sukar dirawat menggunakan ubatan dan mempunyai struktur tidak normal di dalam otak.

Jika keadaan sebegini dikesan, satu pembedahan akan dilakukan. Ini bertujuan untuk membuang bahagian yang merangsang sawan yang tidak terkawal.

Penghidap epilepsi mempunyai harapan untuk sembuh, bergantung kepada keadaan yang dialami dan kebanyakan kanak-kanak yang mendapat epilepsi jenis menyeluruh boleh dikawal dengan ubat-ubatan.

Pesakit kanak-kanak berkemungkinan tidak mendapat sawan apabila mereka membesar. Mengikut statistik, tiga dalam 10 pesakit epilepsi diserang sawan yang sukar sembuh.

Namun begitu, kebarangkalian mereka sembuh lebih tinggi jika memberikan tindakan positif apabila diberikan ubat.

Gejala epilepsi

Serangan epilepsi berbeza-beza antara penghidap dengan penghidap yang lain. Mereka mungkin mengalami perasaan kabur dan luar biasa hingga sukar untuk dijelaskan.

Antaranya termasuklah:
  • Rasa tidak sedap perut.
  • Denyutan jantung menjadi cepat.
  • Sukar bernafas.
  • Rasa bukan realiti, seolah-olah seperti mimpi.
  • Perasaan gelisah, panik, bersemangat, takut, sedih dan gembira.
  • Seolah-olah pernah pergi sesuatu tempat atau melihat sesuatu benda seperti berkhayal.
  • Benda biasa dilihat ganjil, tidak dikenali.
  • Masa berlalu cepat atau lambat.
  • Persekitaran dirasai besar, terlalu kecil dan berada dalam persekitaran aneh.
  • Benda yang biasa menukar rupa yang menakutkan.
  • Mengalami halusinasi.

Selain itu, terdapat petunjuk tertentu yang membolehkan orang lain mengetahui seseorang itu mengalami epilepsi.

Semasa serangan, penghidapnya tidak dapat berinteraksi secara normal dengan orang lain, tidak dapat mengawal pergerakan, percakapan. Pesakit tidak menyedari apa yang sedang dilakukan.

Antara tanda lain termasuklah:
  • Penghidapnya merenung jauh.
  • Memberi maklum balas kurang sesuai ketika interaksi.
  • Pesakit mudah marah, menjerit dan berlari.
  • Pergerakan tangan seperti memukul atau kaki seolah-olah mengayuh basikal.
  • Muka merah padam, pucat dan berpeluh.

BAYI ATAU KANAK-KANAK

Struktur otak tidak normal. Ini berlaku kepada bayi yang kurang oksigen ketika dilahirkan. Bayi yang mengalami kekurangan gula, kalsium, magnesium, garam serta menghidap masalah masalah metabolisma sejak lahir.

Kanak-kanak atau dewasa, masalah kongenital seperti Tuberous sclerosis/Neurofibromatosis; berlaku kecederaan pada otak, masalah saraf progresif dan serangan strok.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2

Sunday, April 09, 2017

Sawan Demam Bukan Epilepsi

Sawan Demam Bukan Epilepsi

Sawan (seizure, fit, convulsion) ialah fenomena akibat perubahan pada gelombang otak yang berlaku secara tiba-tiba.

Sawan Demam

Sawan demam merujuk kepada sawan di kalangan kanak-kanak yang berumur dari enam bulan hingga enam tahun yang demam akibat berlaku jangkitan atau radang selain jangkitan otak dan saraf.

Ia berlaku kepada kanak-kanak yang demam dengan suhu badan mencecah 38 darjah celsius (100.4 darjah Farenheit).

Lumrahnya sawan demam tidak menyebabkan kerosakan otak mahupun menggugat tahap intelektual kanak-kanak.

Kanak-kanak yang mengalami sawan demam tidak diberi diagnos epilepsi. Epilepsi bermaksud kejadian sawan sekerap dua episod atau lebih tanpa demam.

Sawan demam berlaku apabila kanak-kanak demam yang secara amnya akibat jangkitan virus atau bakteria (selain radang pada otak dan saraf di mana sawan merupakan salah satu petanda klinikal).

Terdapat dua jenis sawan demam iaitu ringkas (simple) atau kompleks. Sawan demam yang berlaku ringkas merupakan majoriti kes yang berlaku pada kanak-kanak melibatkan seluruh anggota badan. Ia juga berlaku sekali dalam episod demam dan tidak berulang.

Sawan kompleks pula jarang-jarang berlaku. Apabila berlaku ia mengambil tempoh lebih 15 minit yang adakalanya hanya satu anggota badan kaki atau tangan yang terlibat dan sawan ini berlaku lebih dari sekali dalam episod demam dan juga boleh berulang kali.

Selaku penjaga, ibu bapa perlu peka kepada perubahan suhu badan kanak-kanak supaya ubat demam dapat diberi mengikut dos dan tempoh masa yang sesuai.

Pada kebanyakan masa, sawan banyak berlaku serentak dengan demam. Penting bagi ibu bapa supaya tidak panik apabila berdepan dengan situasi tersebut.

Beberapa langkah boleh diamalkan oleh ibu bapa apabila anak mereka diserang sawan supaya mereka tidak mencederakan diri sendiri.

Antaranya, mereka tidak cuba memberhentikan sawan tersebut dengan memegang badan mereka secara kuat atau memasukkan sebarang objek dalam mulut.

Seeloknya letak anak dalam posisi mengiring untuk mengelak anak dari tersedak semasa hilang kesedaran sewaktu sawan.

Kelaziman tempoh sawan amat pendek. Ibu bapa harus membawa anak mereka berjumpa doktor walaupun sawan tersebut berhenti secara sendiri.

Sekiranya sawan berlarutan melebihi lima minit, hubungi pihak ambulan atau pergi ke unit kecemasan terdekat untuk bantuan serta merta.

Kanak-kanak yang dibawa berjumpa doktor akan diperiksa secara teliti untuk mengenal pasti punca jangkitan yang mengakibatkan demam.

Rawatan demam melibatkan pemberian ubatan seperti paracetamol dan antibiotik sekiranya petanda klinikal mencadangkan jangkitan bakteria.

Sekiranya sawan berlarutan atau berulang-kali, ubatan spesifik perlu diberikan untuk memberhentikan sawan. Ubatan biasanya diberikan secara suppository atau melalui dubur pesakit melainkan terdapat akses salur darah.

Bagi kanak-kanak bawah setahun, doktor mungkin mengesyaki jangkitan pada selaput otak (bergantung kepada petanda klinikal) dan ujian air tulang belakang disarankan kepada ibu bapa.

Bagaimanapun, sawan demam mungkin berulang dalam tempoh hayat kanak-kanak di bawah enam tahun.

Lebih kurang 30 peratus kanak-kanak yang mengalami sawan demam akan mengalami sawan demam berulang-kali tetapi tidak semestinya pada setiap episod demam.

Bagi kanak-kanak yang masih muda (umur bawah 18 bulan) sawan berlaku pada suhu bawah 40 darjah celcius semasa sawan julung kali. Sawan berlaku dalam tempoh sejam demam atau sejarah sawan demam dalam kalangan ahli keluarga.

Namun, kanak-kanak dengan sawan demam mempunyai tindak balas yang bagus dan tidak mengalami kesan negatif terhadap perkembangan minda mereka.

Risiko kanak-kanak mengalami epilepsi selepas satu episod sawan demam ringkas adalah hampir menyerupai risiko populasi umum.

Kebiasaannya mereka yang akhirnya menghidap masalah epilepsi datang dari golongan yang sediakala mengalami masalah perkembangan otak dan saraf, sawan demam kompleks dan sejarah keluarga epilepsi.

BACA INI JUGA:

sumber: utusan

Sunday, March 26, 2017

Apa Itu Epilepsi, Simptom, Punca Dan Rawatan

Apa Itu Epilepsi, Simptom, Punca Dan Rawatan

Epilepsi atau ayan dan lebih dikenali sebagai penyakit sawan adalah gangguan otak apabila sel-sel saraf dalam otak kadang-kala mengeluarkan isyarat yang luar biasa.

Apa itu Epilepsi

Corak aktiviti neuron terganggu dan menjejaskan perasaan, tingkah laku dan emosi atau kadang-kala menyebabkan kejang otot dan pengsan.

Seseorang yang mengalami sawan tidak bermakna ia mempunyai epilepsi. Sekiranya seseorang kerap mengalami sawan (dua atau lebih) dikenalpasti mempunyai epilepsi.

Epilepsi tidak berjangkit dan tidak disebabkan oleh penyakit atau kemerosotan mental.

Epilepsi boleh dikawal, namun sesetengahnya sembuh dengan sendiri.

Punca

Epilepsi berpunca dari pelbagai faktor. Sebarang gangguan pada aktiviti normal neuron samada penyakit mahupun kecederaan otak boleh menyebabkan sawan.

Sebahagian besar sawan tidak diketahui puncanya.

Punca epilepsi:

  • Faktor-faktor genetik.
  • Kecederaan pranatal (sebelum kelahiran) dan masalah tumbesaran.
  • Cedera di otak.
  • Keracunan.
  • Tumor otak.
  • Pengambilan alkohol berlebihan.
  • Penyakit Alzheimer.
  • Angin ahmar (strok).
  • Jangkitan otak.
  • Serangan sawan juga boleh berlaku jika kurang tidur, meminum alkohol, stres atau mengalami perubahan hormon yang berkaitan dengan haid.

Tanda dan Gejala Epilepsi

Gejala epilepsi bergantung kepada kawasan otak yang terjejas.

Sawan setempat berlaku disebabkan oleh kejadian aktiviti yang tidak normal di salah satu kawasan otak.

Tanda dan gejala sawan setempat adalah:

  • Berasa gembira yang secara tiba-tiba tanpa sebarang sebab.
  • Berasa marah.
  • Berasa sedih.
  • Loya.
  • Halusinasi (mendengar, bau, rasa, melihat atau merasa perkara yang tidak benar).
  • Berlaku samada mereka sedar atau tidak sedar.
  • Mampu melakukan pergerakan berulang-ulang (automasi) seperti mengelip mata, mengenyit mata dan menggerakkan mulut.
  • Sesetengah pesakit mempunyai aura tersendiri dengan menunjukkan tanda luar biasa atau amaran sebelum mendapat serangan.

Sawan menyeluruh berlaku akibat kejadian aktiviti tidak normal di kedua-dua belah otak.

Tanda dan gejala sawan menyeluruh adalah:

  • Tidak sedar.
  • Jatuh.
  • Kejang otot yang teruk.
  • Kancing gigi.
  • Mulut berbuih.
  • Terkencing.
  • Terbuang air besar.

Diagnosis Epilepsi

Diagnosa epilepsi adalah berdasarkan keterangan yang tepat yang diperolehi daripada individu yang menyaksikan kejadian serangan sawan ke atas pesakit.

Diagnosa epilepsi dilakukan dengan ujian EEG (electroensefalogram) dan imbasan otak.

EEG adalah rekod gelombang otak dengan meletakkan elektrod pada kulit kepala. EEG boleh mengesan aktiviti gelombang otak yang tidak normal.

Namun, ujian ini boleh menjadi kurang tepat kerana gelombang otak sesetengah pesakit direkodkan normal walaupun selepas mengalami sawan.

Pemantauan melalui video boleh digunakan bersama EEG untuk menentukan jenis sawan seseorang.

Imbasan otak yang digunakan adalah imej resonan magnetik (MRI). MRI digunakan bagi mengesan keabnormalan struktur di dalam otak

Ujian lain termasuk imbasan PET (tomografi pancaran positron), imbasan SPECT dan fungsi MRI. PET, SPECT dan fungsi MRI digunakan bagi mengesan keabnormalan fungsi otak.

Komplikasi

Kebanyakan pesakit epilepsi boleh menjalani kehidupan yang aktif, namun berisiko kepada 2 keadaan bahaya iaitu status epileptikus dan kematian secara tiba-tiba tanpa sebab.

Status epileptikus adalah serangan sawan yang berulang-ulang yang berpanjangan dan pesakit tidak sedarkan diri. Ia dirawat dengan pelbagai ubat anti-epileptik dan boleh mengancam nyawa.

Risiko kematian mengejut di kalangan penghidap epilepsi semakin meningkat, tetapi punca kematian tidak diketahui.

Risiko kematian mengejut juga terdapat di kalangan orang biasa. Walau bagaimanapun, risikonya adalah dua kali ganda. Punca sebenar kejadian ini tidak diketahui.

Rawatan Epilespi

Diagnosis yang tepat adalah penting untuk rawatan epilepsi.

Rawatan ubat-ubatan anti-epilepsi masa kini boleh mengawal 80% pesakit epilepsi manakala 20% lagi sukar dirawat dan disebut sebagai epilepsi refraktori.

Apabila epilepsi dikesan, rawatan perlu dimulakan secepat mungkin.

Terdapat pelbagai ubat-ubatan pencegah epilepsi yang mempunyai manfaat serta kesan sampingan tersendiri.

Pilihan ubat pencegah epilepsi bergantung kepada umur dan sifat sawan, gaya hidup pesakit, kekerapan sawan dan bagi wanita- samada hamil atau tidak.

Semua pesakit perlu mematuhi regimen rawatan dan berbincang dengan doktor sekiranya mengalami kesan sampingan dari ubat yang diambil.

Kebanyakan pesakit dirawat dengan sejenis ubat sahaja. Walau bagaimanapun, sesetengah pesakit memerlukan kombinasi ubat-ubatan anti-epilepsi.

Kesan sampingan kecil ubat termasuklah pening, berat badan bertambah dan keletihan. Kadang-kala pesakit mengalami kesan sampingan yang lebih serius seperti kesan buruk alergi yang boleh membawa maut seperti Steven Johnson Syndrome.

Ubat epilepsi juga boleh menyebabkan pesakit menjadi murung atau tidak berupaya untuk berfikir secara rasional.

Ubat epilepsi boleh juga berinteraksi dengan ubat-ubatan lain dengan cara yang berbahaya. Oleh itu pesakit perlu memberitahu doktor ubat-ubatan lain yang diambil.

Ubat epilepsi biasanya bermula pada dos yang rendah dan meningkat secara beransur-ansur. Ia mungkin mengambil masa untuk mencari dos yang sesuai untuk merawat pesakit di samping mengurangkan kesan sampingan.

Ubat-ubatan boleh dihentikan setelah mendapat nasihat dan pengawasan doktor. Doktor akan menghentikan ubat jika pesakit tidak mengalami sawan melebihi 2 tahun. Sesetengah pesakit pula antara 3 hingga 5 tahun.

Apabila sawan tidak dapat dikawal dengan kaedah ubat-ubatan, doktor boleh merujuk pesakit untuk membuat penilaian pembedahan. Ini biasanya dilakukan oleh pakar. Keputusan untuk pembedahan adalah bergantung kepada jenis epilepsi dan kawasan otak yang terjejas.

Kaedah lain untuk merawat epilepsi adalah makanan ketogenik (makanan yang menggalakkan pembetntukan bahan-bahan dalam tisu) untuk kanak-kanak.

Pencegahan Epilespi

  • Cegah trauma di kepala, dengan memakai topi keledar dan tali pinggang keledar.
  • Menjaga peringkat pranatal dengan baik, termasuk merawat tekanan darah tinggi dan jangkitan dalam kehamilan.
  • Merawat penyakit kardiovaskular, jangkitan penyakit, tekanan darah dan gangguan lain yang boleh menjejaskan otak.

Kesan Epilepsi

Kebanyakan penghidap epilepsi boleh menjalani kehidupan normal. Walau bagaimanapun, keadaan ini boleh menjejaskan kehidupan harian penghidap epilepsi, keluarga mereka dan rakan-rakan.

Masalah tingkah laku dan emosi

Kebanyakan penghidap epilepsi menghadapi masalah tingkah laku dan emosi. Ini disebabkan oleh rasa takut, malu dan kecewa dengan penyakit yang dihidapi.

Kaunseling boleh membantu pesakit dan juga keluarga yang mengalami epilepsi.

Penghidap epilepsi juga berisiko tinggi menjadi murung, membunuh diri dan mempunyai jati diri yang rendah.

Larangan Memandu dan rekreasi

Penghidap epilepsi:

  • Dilarang memandu kecuali tidak mengalami serangan sawan dalam tempoh yang lama.
  • Dilarang membuat terjunan udara dan berlumba motor.

Aktiviti seperti belayar dan berenang memerlukan pengawasan manakala berjoging, bola sepak dan sukan lain adalah aktiviti yang agak selamat.

Pendidikan dan pekerjaan

Sebahagian besar individu dengan epilepsi telah berjaya dalam pelajaran dan pekerjaan, bagaimanapun sebilangan individu dengan epilepsi sukar menamatkan pengajian kerana serangan sawan dan masalah ingatan dan tumpuan.

Sebahagian penghidap epilepsi menganggur kerana tekanan sosial, salah faham serta kesan ubat sedatif yang menyebabkan mengantuk.

Ibu hamil

Kebanyakan wanita yang menghidap epilepsi boleh hamil dan risiko kecacatan anak kandungan adalah 4 hingga 6%.

Peluang untuk berjaya dalam proses kehamilan adalah melebih 90% dan anak kepada penghidap epilepsi mempunyai risiko mendapat epilepsi kurang dari 5%.

Untuk mengurangkan risiko semasa hamil, penghidap epilepsi perlu mendapatkan nasihat doktor mengenai ubat-ubatan yang diambil. Sesetengah ubat boleh menyebabkan kecacatan bayi.

Wanita disarankan mengambil makanan tambahan semasa pranatal dan asid folik untuk mengurangkan risiko kecacatan bayi.

Sawan semasa hamil boleh membahayakan janin dan menyebabkan keguguran. Walau bagaimanapun, ramai penghidap epilepsi melahirkan bayi yang normal dan sihat.

Seseorang yang mengambil ubat pencegah epilepsi boleh memberi susu badan kerana jumlah ubat yang dirembeskan di dalam susu ibu adalah rendah dan tidak berbahaya kepada bayi.

Kadang-kala bayi boleh menjadi mengantuk namun, faedahnya lebih banyak berbanding risiko.

Sesetengah ubat pencegah epilepsi boleh menjejaskan keberkesanan ubat kontraseptif oral. Wanita yang ingin menggunakan pil perancang disyorkan merujuk doktor terlebih dahulu.

BACA INI JUGA:

sumber: myhealth