Wednesday, June 21, 2017

Adakah Batal Puasa Jika Berbekam Atau Menderma Darah?

Adakah Batal Puasa Jika Berbekam Atau Menderma Darah?

Apakah hukum puasa seseorang yang ingin menderma darah ataupun mengambil ujian darah atau berbekam ketika dirinya berpuasa?

Hukum Berbekam Ketika Puasa

Jawapan:

Isu mengenai menderma darah serta mengambil ujian darah tidak dibincangkan secara khusus di dalam kitab-kitab fiqh klasik.

Ianya mula dibincangkan oleh para fuqaha’ mu’asirin dan perbincangan asas terhadap permasalahan ini bertitik-tolak dari hukum berbekam ketika berpuasa.

Disebabkan oleh itu, perlulah untuk kita mengetahui dahulu hukum berkenaan dengan berbekam ketika berpuasa kerana dengannya menjadi asal kepada qiyas bagi hukum menderma darah dan mengambil ujian darah.

Bagi permasalahan berbekam ketika puasa, terdapat dua pandangan yang masyhur:

PERTAMA: MEMBATALKAN PUASA

Ulama’ terdahulu yang mengatakan terbatalnya puasa dengan berbekam adalah seperti al-Imam Ahmad, al-Imam Ibn Sirin, al-Imam Ato’, al-Imam al-Auza’ie, al-Imam Ishak, al-Imam Ibn al-Munzir, al-Imam Ibn Khuzaimah dan ini juga adalah ikhtiar pendapat Ibn Taimiyyah Rahimahumullah.

Manakala dari kalangan sahabat pula adalah seperti Saidina Ali, Abu Hurairah dan ‘Aisyah R.Anhum.

Ulama’ dari kalangan salaf dan khalaf yang mengatakan terbatalnya puasa dengan sebab berbekam menggunakan dalil dari sebuah hadith Nabi SAW.

Maksudnya, “Terbatal (puasa) orang yang membekam dan yang di bekam”. Riwayat Abu Daud (2369), Al-Tirmizi (774) & Ibn Majah (1679)

Dikalangan ulama’ kontemporari pula, Syeikh Ibn Baaz, Syeikh Ibn ‘Uthaymeen, Syeikh Soleh al-Munajjid dan juga Syeikh Soleh Fauzan.

Berdasarkan pendapat yang terbatalnya puasa dengan berbekam maka ianya diqiyaskan dengan keadaan seseorang yang mendermakan darah dan disebabkan oleh itu, mereka yang menderma darah, maka terbatallah puasanya.

KEDUA: TIDAK MEMBATALKAN PUASA

Ianya adalah pendapat jumhur iaitu pendapat al-Imam Abu Hanifah, al-Imam Malik, al-Imam al-Syafi’ie dan selainnya.

Manakala dari kalangan sahabat yang berpendapat bahawa tidak terbatalnya puasa adalah Ibn Mas’ud, Ibn Umar, Ibn Abbas, Anas bin Malik, Abu Sa’id al-Khudri dan sekumpulan dari kalangan salaf yang lain.

Dalil yang digunakan bagi mengatakan berbekam tidak membatalkan puasa adalah daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma yang mana mengatakan: Maksudnya: "Rasulullah SAW telah berbekam dan Baginda sedang berpuasa." Riwayat Al-Bukhari (1939), Abu Daud (2372) & Al-Tirmizi (776)

Oleh itu, dengan melihat bahawa hukum berbekam tidak membatalkan puasa, maka ianya diqiyaskan dengan hukum menderma darah yang mana ianya juga tidak membatalkan puasa.

Perbahasan Dalil

Zahir perbahasan melihat bahawa terdapat dua hadith sahih yang saling bercanggah. Sebuah hadith mengatakan batalnya puasa kerana berbekam dan sebuah hadith lagi sebaliknya.

Bagi mereka yang berpendapat bahawa tidak terbatalnya puasa dengan berbekam, mereka mengatakan bahawa hadith adalah termansukh.

Ianya termansukh dengan hadith Abi Sa’id al-Khudri RA: Maksudnya: "Nabi SAW memberikan rukhsah bagi orang yang berpuasa untuk berbekam." Riwayat Al-Nasa’ie di dalam al-Kubra (3224), Ibn Khuzaimah di dalam Sahihnya (1967)

Ibn Hazm Rahimahullah menyebutkan bahawa: “Sanad-sanadnya sahih dan wajib berpegang dengannya kerana datangnya rukhsah setelah adanya ‘azimah dan ianya menunjukkan kepada mansukhnya hukum terbatal puasa kerana berbekam bagi yang membekam dan yang di bekam.”

Ini juga adalah pendapat al-Imam al-Syafi’e, al-Baihaqi dan juga Ibn ‘Abd al-Bar yang mana mengatakan hadith telah termansukh.

Difahami juga melalui hadith ini, sebahagiannya dengan takwilan yang mana tegahan berbekam ketika berpuasa itu adalah ditakuti melemahkan badan seterusnya menyebabkan seseorang itu berbuka puasa kerana banyaknya darah yang keluar.

Ini seperti mana riwayat Anas bin Malik RA yang ditanyakan tentang berbekam: Maksudnya, “Adakah kamu membenci berbekam bagi orang yang berpuasa?” Berkata Anas bin Malik RA: “Tidak, kecuali jika ia melemahkan (tubuh badan).” Riwayat Al-Bukhari (1940)

Kesimpulan

Melihat kepada perbahasan ini, kami lebih cenderung kepada pendapat jumhur yang mana mengatakan bahawa berbekam itu tidak membatalkan puasa.

Berdasarkan pendapat di atas juga kami mengatakan bahawa hukum menderma darah ketika berpuasa adalah harus dan juga tidak membatalkan puasa secara umumnya.

Sekiranya dengan menderma darah boleh melemahkan tubuh badan seseorang, maka pada keadaan itu makruh.

Ini juga adalah keputusan yang dikeluarkan oleh Dar al-Ifta Jordan yang mana mengatakan ianya tidak membatalkan puasa kerana menderma darah bukanlah dengan erti memasukkan sesuatu bahkan ianya mengeluarkan sesuatu.

Ianya zahir dari perkataan Ibn ‘Abbas R.Anhuma yang menyebutkan, “Adalah yang membatalkan puasa itu sesuatu yang masuk ke dalam dan bukannya sesuatu yang keluar.”

Adapun mengambil ujian darah, maka ianya juga diharuskan dan tidak membatalkan puasa.

Jika dinisbahkan ujian darah dengan menderma darah, maka kita dapati bahawa jumlah darah yang keluar dengan menderma darah lebih banyak kuantitinya daripada darah yang diambil untuk tujuan ujian.

Wallahu a’lam.

BACA INI JUGA: Benarkah Mengorek Telinga Dan Hidung Membatalkan Puasa?

sumber: muftiwp

Tuesday, June 20, 2017

Panduan Qada’ Puasa Dan Pembayaran Fidyah

Panduan Qada’ Puasa Dan Pembayaran Fidyah

Siapakah yang harus membayar qada’ puasa dan menunaikan fidyah? Bagaimanakah cara melaksanakannya? Semoga perkongsian ini mampu memberikan jawapannya.

Masalah puasa dan fidyah

Yang dimaksud dengan qada’ adalah mengerjakan suatu ibadah yang memiliki batasan waktu di luar waktunya. Jadi, siapa yang terkena Qada’ puasa dan masalah tentang pembayaran fidyah?

Qada' Puasa dan Fidyah Yang Dikenakan

1. Orang yang meninggalkan puasa Ramadhan kerana uzur syar’ie (musafir, haid atau nifas atau wiladah), sakit yang ada harapan sembuh.

Denda:
  • Wajib Qada’ puasa.
  • Sekiranya hingga datang Ramadhan berikutnya dia tidak ‘menggantikan puasanya, maka wajib dia Qada’ puasa dan membayar Fidyah.

2. Orang sakit yang tiada kemungkinan atau harapan untuk sembuh yang disahkan oleh doktor tidak boleh berpuasa.

Denda:
  • Tidak wajib Qada’ puasa.
  • Wajib bayar Fidyah pada tahun tersebut.

3. Ibu hamil atau yang masih menyusui anaknya yang tidak berpuasa di bulan Ramadhan dengan sebab, bimbang akan kesihatan dirinya sahaja atau bimbang akan kesihatan dirinya dan janinnya/anaknya.

Denda:
  • Wajib Qada’ puasa.
  • Tidak wajib bayar Fidyah.
  • Sekiranya hingga datang Ramadhan berikutnya dia tidak ‘menggantikan puasanya, maka wajib dia Qada’ puasa dan membayar Fidyah.

4. Ibu hamil atau yang masih menyusui anaknya yang tidak berpuasa di bulan Ramadhan dengan sebab bimbang akan kesihatan janinnya, anaknya sahaja.

Denda:
  • Wajib Qada’ puasa.
  • Wajib bayar Fidyah.

5. Orang yang telah meninggal dunia dan tidak sempat menggantikan puasanya.

Denda:

  • Tanggungjawab membayar fidyah si mati dilaksanakan oleh waris-warisnya mengikut bilangan hari yang ditinggalkan

Hukum fidyah

Hukum membayar fidyah adalah wajib. Ia wajib disempurnakan mengikut bilangan hari yang ditinggalkan. Ia juga menjadi satu tanggungan (hutang) kepada Allah SWT sekiranya tidak dilaksanakan.

Namun, dengan membayar fidyah tidak bermakna seseorang itu tidak perlu menggantikan puasa yang wajib diganti mengikut bilangan hari ditinggalkan (bagi) yang mampu).

Kadar Fidyah

Jika seseorang meninggalkan puasa selama tiga hari dan tidak menggantikan puasanya sehingga tiga kali bulan Ramadhan, maka kadar fidyahnya ialah: Harga semasa secupak beras (675 gram) x tiga hari x tiga tahun. *sila rujuk kadar semasa fidyah.

Hasil kutipan fidyah akan disalurkan kepada golongan fakir atau miskin sahaja.

Fidyah boleh dibayar di cawangan pusat zakat atau amil bertauliah menggunakan WANG TUNAI sebelum tiba Ramadhan tahun berikutnya bagi mengelakkan gandaan puasa.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Adakah Batal Puasa Pesakit Mengambil Ubat Yang Diletakkan Di bawah Lidah?

sumber: maij

Thursday, June 15, 2017

Apa Sebenarnya Hikmah Disebalik Puasa?

Apa Sebenarnya Hikmah Disebalik Puasa?

Puasa merupakan madrasah akhlak yang besar dalam melatih keperibadian mukmin, melawan hawa nafsu dan tergoda dengan tipu daya syaitan.

Hikmah Puasa

Puasa mengajar erti amanah dan muqarabah kepada Allah SWT sentiasa sama ada dalam sir atau terang-terangan. Begitu juga menguatkan semangat dalam menambahkan lagi kesabaran.

Puasa membawa seorang mukmin mempunyai nizam dan disiplin yang tinggi. Hal ini berdasarkan waktu yang dihadkan untuk makan dan perlakuan ibadah.

Dr. Yusuf al-Qaradawi berkata, “Puasa adalah tarbiyyah yang berkesan dan suatu jihad mengawal diri dan hawa nafsu serta membiasakan diri dengan bersifat sabra, sama ada sabra melakukan ketaatan atau sabra menjauhi maksiat.”

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Matlamat Puasa Adalah Takwa Bukan Sekadar Lapar Dan Dahaga

sumber: muftiwp

Friday, June 09, 2017

Apakah Hukumnya Menggantikan Puasa Orang Yang Telah Meninggal Dunia?

Apakah Hukumnya Menggantikan Puasa Orang Yang Telah Meninggal Dunia?

Soalan: Apakah hukumnya menggantikan puasa bagi mereka yang telah meninggal dunia? Orang yang telah meninggal dunia tersebut ketika hayatnya masih ada baki-baki qadha’ puasa yang belum dilunaskan namun telah meninggal dunia terlebih dahulu.

Hukum Ganti puasa orang meninggal dunia

Jawapan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Bagi persoalan di atas, sekiranya berterusan keuzuran seseorang itu sehingga dia meninggal dunia seperti sakitnya yang berterusan, berpanjangan safarnya, pengsannya, hamilnya, menyusunya dan semisalnya, maka ia tidak dikira berdosa.

Tidak wajib keatasnya sesuatupun dan begitu juga bagi pihak walinya (saudara terdekat) kerana kewajipan berpuasa tidak dapat dilaksanakan sehinggalah dia meninggal dunia maka telah gugur hukum berpuasa buatnya.[1]

Sekiranya seseorang itu mampu untuk mengqadha’kan puasa yang ditinggalkan sama ada sebab uzur ataupun tidak, namun tidak diqadha’kan sehingga dia mati, adapun mazhab al-Qadim (dan ia adalah yang rajih dan disahihkan oleh golongan muhaqqiq), dalam keadaan begini dibolehkan bagi wali untuk berpuasa bagi pihak si mati namun tidaklah dilazimi (wajib) akan perbuatan tersebut.

Ini berdasarkan hadis `Aisyah R.Anha yang mana Nabi SAW telah bersabda yang maksudnya, "Siapa yang mati dan padanya terdapat puasa yang belum digantikan, maka berpuasa bagi pihak (si mati) walinya." Riwayat al-Bukhari (1952) & Muslim (1147)

Al-Imam al-Nawawi Rahimahullah di dalam kitabnya al-Minhaj menyebutkan bahawa bagi mereka yang berbuka puasa kerana uzur dan berpanjangan uzur atau sakitnya itu sehinggalah mati, maka tidak ada puasa keatasnya, dan tidak perlu membayar fidyah baginya dan tidak pula orang lain berpuasa baginya.[2]

Dalam sebuah hadis yang lain, daripada Ibn `Abbas R.Anhuma, telah datang seorang lelaki kepada Nabi SAW lalu berkata, "Wahai Rasulullah SAW, sesungguhnya ibuku telah mati dan masih ada padanya baki puasa sebulan (yang belum diqadha’kan). Adakah aku perlu menggantikannya?"

Jawab Nabi SAW yang maksudnya, "Adapun hutang Allah itu lebih berhak untuk dilunaskan." Riwayat Abu Daud (3310)

Puasa tersebut boleh digantikan oleh wali si mati dari kalangan ahli keluarga yang terdekat dan boleh juga untuk mengupah orang lain berpuasa bagi si mati.

Sekiranya terdapat orang luar (bukan dari kalangan wali si mati) yang berpuasa bagi si mati tanpa izin atau tiada wasiat dari si mati maka tidak sah puasa tersebut.[3]

Sekiranya wali tidak berpuasa bagi si mati, dan tidak juga orang yang lain, maka dikeluarkan dari bahagian yang ditinggalkan puasa tersebut fidyah bagi setiap hari yang ditinggalkan dengan satu mud (cupak).

Sekiranya si mati tiada meninggalkan harta maka dibolehkan untuk orang lain mengeluarkan hartanya bagi menyelesaikan hutang puasa si mati dalam bentuk fidyah.

Wallahu a’lam.

Rujukan

[1] Lihat Al-Mu`tamad fi al-Fiqh al-Shafi`e. Dar al-Qalam, 2/201.
[2] Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim. Dar Ihya’ al-Turath al-`Arabiy, 8/23.
[3] Lihat Al-Mu`tamad fi al-Fiqh al-Shafi`e. Dar al-Qalam, 2/202.

BACA INI JUGA: Apa Hukumnya Menjemput Rakan Bukan Islam Berbuka Puasa?

sumber: muftiwp

Adakah Batal Puasa Pesakit Mengambil Ubat Yang Diletakkan Di bawah Lidah?

Adakah Batal Puasa Pesakit Mengambil Ubat Yang Diletakkan Di bawah Lidah?

Seorang pesakit yang perlu mengambil sublingual medication, iaitu ubat yang diletakkan dibawah lidahnya, adakah boleh menyebabkan puasanya terbatal?

Sublingual Medication

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Kemajuan di dalam bidang sains perubatan khususnya di dalam bidang farmasi melalui hasil kajian dan eksperimen telah membawa kaedah perubatan dan pengubatan ke tahap yang lebih tinggi dan terkini.

Suka di sini untuk kami jelaskan secara ringkas mengenai subligual medication ini agar gambaran awal tentang kaedah pengubatan ini dapat difahami oleh masyarakat Islam dan kaitannya dalam hukum-hakam berkaitan dengan puasa.

Sublingual Medication

Sublingual di dalam bahasa Latin membawa maksud ‘di bawah lidah’. Ianya merujuk kepada proses pengubatan bagi sesetengah penyakit di mana pil atau tablet diletakkan di bawah lidah dan ia kemudiannya meresap masuk ke dalam saluran darah manusia dengan lebih cepat.

Ianya berbeza dengan pengambilan ubat/pil secara oral (kaedah biasa dengan menelan ubat tersebut) kerana kaedah oral memerlukan sesuatu ubat itu melalui banyak proses sebelum ianya dihadamkan di dalam perut.

Adapun ubat sublingual ini, ianya hanya diletakkan di bawah lidah dan setelah bertindak balas dengan mucouse membrane yang terletak di bawah lidah, ubat tersebut akan terus meresap ke dalam badan melalui saluran darah dan tindak balas terhadap ubat ini adalah sangat pantas tidak seperti kaedah pengubatan secara oral.

Ini seperti mana yang terdapat di dalam ubat bagi mereka yang terkena serangan jantung yang memerlukan tindak balas ubat dengan kadar yang segera.

Terdapat banyak ubat yang dikategorikan sebagai sublingual medication, antaranya:
  • Ubat sakit jantung (nitroglycerin, verapamil)
  • Steroids
  • Sebahagian ubat Barbiturate
  • Enzyme
  • Vitamin
  • Sesetengah ubat bagi masalah mental

Adakah Pengambilan Sublingual Medication Membatalkan Puasa?

Melihat kepada kaedah pengubatan sublingual ini, kami berpendapat bahawa pengambilan ubat jenis sebegini tidak membatalkan puasa.

Mengikut mazhab al-Imam al-Syafi’e sesuatu ‘ain yang memasuki rongga yang terbuka maka ianya membatalkan puasa.

Al-Jauf di sisi mazhab kita bermakna otak dan apa yang melepasi bahagian kerongkong hingga ke perut dan ianya berlainan dengan apa yang memasuki selain dari rongga yang terbuka.

Seperti ubat yang diletakkan di atas luka, meskipun sampai ke dalam otak atau daging maka ianya tidak membatalkan puasa kerana ianya tidak dikira sebagai rongga yang terbuka.

Adapun sublingual medication, ianya hanya diletakkan di bawah lidah dan tidak melepasi bahagian kerongkong dan terus meresap ke saluran darah dengan kadar yang pantas.

Ini sepertimana yang telah diputuskan oleh Majma’ al-Fiqh al-Islami yang mana setelah kajian dijalankan serta mendengar penjelasan daripada pakar perubatan dan para ulama’ memutuskan bahawa penggunaan sublingual medication tidak membatalkan puasa bagi penyakit jantung dan juga yang lainnya selagi mana ianya tidak ditelan melepasi kerongkong.

Ini juga sepertimana yang telah difatwakan oleh Dar al-Ifta Jordan yang mana mengatakan, “Mengambil ubat pil, tablet yang diletakkan di bawah lidah tidak membatalkan puasa kerana ianya tidak sampai kepada rongga yang terbuka tetapi, jika ianya ditelan, maka batallah puasanya.”

Jawapan yang sama juga telah diberikan oleh Dar al-Ifta Mesir yang mana mengatakan ianya tidak membatalkan puasa dan ianya telah dijawab oleh Mufti Mesir (sekarang) Prof. Dr. Shauqi Ibrahim ‘Allam Hafizahullah sejak tahun 2013 lagi.

Wallahu a’lam.

BACA INI JUGA: Puasa Dan Kelebihannya Menurut Kajian Sains

sumber: muftiwp

Wednesday, June 07, 2017

Apa Hukumnya Menjemput Rakan Bukan Islam Berbuka Puasa?

Apa Hukumnya Menjemput Rakan Bukan Islam Berbuka Puasa?

Non-Muslim adalah sebahagian daripada ummah siyasiyyah (political community) yang membentuk satu kerangka bagi sebuah ummah (nation) disamping adanya Muslim sebagai ummah diniyyah (religious community).

Berbuka Puasa
Gambar hiasan.

Konsep ini telah dibentuk oleh Rasulullah SAW melalui Sahifah Madinah (Piagam Madinah) yang dibentangkannya.

Maka, secara asasnya non-Muslim adalah warganegara yang wajar menerima haknya untuk hidup dengan harmoni sepertimana dalam konteks Malaysia.

Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.” (Surah al-Mumtahanah: 8-9)

Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua; dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan jiran tetangga yang dekat, dan jiran tetangga yang jauh, dan rakan sejawat, dan orang musafir yang terlantar, dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong takbur dan membangga-banggakan diri.” (Surah al-Nisa’: 36)

Ketika membahaskan berkenaan konsep jiran dalam ayat di atas, Imam al-Qurtubi berkata:

“Aku berkata: Dengan ini, berlaku baik kepada jiran-jiran adalah digalakkan, samada mereka Muslim atau tidak. Ini adalah yang sahih. Bentuk perlakuan baik itu samada dalam bentuk membantu atau boleh jadi dalam bentuk berlaku baik, mengelakkan daripada ketidakselesaan dan berada di samping mereka. (Tafsir al-Qurtubi, 5/179)

Amalan berbuka puasa perlu dilihat sebagai satu medium yang sangat baik bagi merapatkan hubungan kejiranan dan mahabbah tanpa mengira agama dan bangsa selain daripada memberi gambaran yang sebenar terhadap sifat keramahan Islam.

Malah, bulan Ramadhan juga adalah satu bulan yang baik bagi kita menyemai sikap bantu-bantu dan berkongsi kesenangan terutamanya dengan mereka yang memerlukan.

Jika dilihat di luar negara, majlis berbuka puasa yang dihadiri non-Muslim adalah perkara yang lazim dilakukan.

Tokoh terkenal bukan Muslim seperti Justin Trudeau (Perdana Menteri Kanada), Barack Obama (mantan Presiden Amerika Syarikat), Lee Hsien Loong (Perdana Menteri Singapura) juga pernah menghadiri majlis berbuka puasa anjuran komuniti Muslim di tempat masing-masing.

Oleh itu, kami cenderung berpandangan hukum menjemput non-Muslim berbuka puasa adalah harus dan dibolehkan dalam Islam.

Dalam masa yang sama, hendaklah dipelihara adab-adab dan nilai murni dalam majlis berbuka puasa tersebut.

Selain itu, pihak yang menganjurkan majlis berbuka puasa boleh juga mengutamakan mereka yang fakir miskin dan anak yatim daripada kalangan Muslim dan bukan Muslim dalam jemputan berbuka puasa. Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Mereka juga memberi makan benda-benda makanan yang dihajati dan disukainya, kepada orang miskin dan anak yatim serta orang tawanan.” (Surah al-Insan: 8)

Memberi makan juga adalah dikira sebagai salah satu bentuk sedekah. Dalam hal memberi sedekah kepada non-Muslim, Imam al-Nawawi menyatakan,

Maksudnya: “Dianjurkan agar sedekah itu diberikan kepada orang soleh, orang yang rajin melakukan kebaikan, menjaga kehormatan dan yang memerlukan. Namun jika ada orang yang bersedekah kepada orang fasik, atau orang kafir, di kalangan Yahudi, Nasrani, atau Majusi, hukumnya boleh dan baginya ganjaran pahala pada keseluruhan perbuatannya. (al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 6/240)

Namun beberapa perkara harus diberi perhatian; lokasi berbuka puasa yang dipilih dan pakaian yang dikenakan haruslah bersesuaian.

Manakala adab-adab berbuka puasa haruslah dijaga dan dipatuhi. Sebarang provokasi harus dielakkan, dan sebarang agenda yang tidak baik hendaklah dijauhi.

Semoga Allah memberikan kita kefahaman yang mendalam tentang agama dan menjadikan Malaysia sebuah negara berbilang agama dan bangsa yang kekal dalam keharmonian dan perpaduan.

BACA INI JUGA: Adakah Sah Puasa Jika Belum Mandi Wajib?

sumber: muftiwp

Tuesday, June 06, 2017

Hukum Menjalani Rawatan Memutihkan Gigi Di Siang Hari Ramadhan

Hukum Menjalani Rawatan Memutihkan Gigi Di Siang Hari Ramadhan

Apakah hukumnya menjalani rawatan pemutihan gigi atau bleaching iaitu rawatan mengilatkan gigi yang telah kuning atau pudar warnanya samada vital bleaching atau non vital bleaching ketika berpuasa di bulan Ramadhan?

Rawatan Gigi
Gambar hiasan.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Hukum bagi rawatan memutihkan gigi ketika berpuasa adalah harus dan dibolehkan selama mana tidak menelan air semasa proses rawatan.

Ini adalah berdasarkan pandangan Keputusan Majma’ al-Fiqhi al-Islami [No. 93 (1/10) pada 23-28 Safar tahun 1418H bersamaan 28 Jun – 3 Julai 1997] yang menjelaskan bahawa perkara berikut tidak membatalkan puasa:

“Menampal, mencabut, mengorek dan mencuci gigi atau menggunakan alatan dan berus gigi, dengan syarat tiada apa-apa bahan yang memasuki perut dari prosedur tersebut.”

Hal ini juga bertepatan dengan keputusan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dalam buku Garis Panduan Berpuasa Bagi Pesakit yang menyebut:

“Perkara-perkara yang berkaitan rawatan perubatan yang tidak membatalkan puasa ialah, melakukan prosedur tampalan gigi, cabutan atau pembersihan gigi dan memberus gigi menggunakan siwak (tooth cleanser) dengan syarat individu tersebut tidak menelan apa-apa bahan semasa prosedur rawatan tersebut.” (Garis Panduan Berpuasa Bagi Pesakit, hlm. 6).

Semoga Allah mengurniakan kepada kita kefahaman dalam agama dan dapat menjalani ibadah puasa dengan sempurna.

BACA INI JUGA: Benarkah Mengorek Telinga Dan Hidung Membatalkan Puasa?

sumber: muftiwp